Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • BMW lanjut kerjasama dengan Brilliance Automotive di China – pegangan saham meningkat sebanyak 75%

    BMW lanjut kerjasama dengan Brilliance Automotive di China – pegangan saham meningkat sebanyak 75%

    BMW telah mengumumkan bakal meningkatkan pegangan saham menerusi hasil kerjasama di China dengan Brilliance Automotive dalam perjanjian yang menyaksikan pengambilalihan kuasa terhadap BMW Brilliance Automotive (BBA). Perjanjian ini yang dijangka lengkap pada 2022 apabila China menggariskan peraturan untuk mengehadkan pemilikan asing, turut menyaksikan saham BMW meningkat dari 50% hingga 75%.

    Kontrak lanjutan bagi kerjasama ini sah untuk 22 tahun, dari 2018 hingga 2040. Sebahagian daripada perjanjian ini, pengeluar automotif Jerman ini dijangka akan melabur melebihi tiga bilion euro untuk membangun dan menaiktaraf operasi kilang sedia ada di Shenyang menjelang beberapa tahun akan datang.

    Tahun lalu, kilang BBA di Tiexi dan Dadong telah memproduksi hampir 400,000 kenderaan. Di Tiexi, kilang baharu di tapak kilang sedia ada akan meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran. Sementara langkah pembentukan semula dan pengembangan yang meluas di kilang di Dadong dijangka akan dilaksanakan. Jumlah kapasiti pengeluaran untuk kedua-dua kilang berkedaan dijangka meningkat ke 650,000 unit dari awal tahun 2020, sekaligus menghasilkan 5,000 peluang pekerjaan baharu.

    BMW lanjut kerjasama dengan Brilliance Automotive di China – pegangan saham meningkat sebanyak 75%

    Buat masa ini, enam model BMW diproduksi di kilang Shenyang – Tiexi pula membangunkan sedan 1 Series, 2 Series Active Tourer, dan sedan 3 Series serta X1, sementara kilang pemasangan di Dadong pula memasang 5 Series dan X3, malah mulai 2020, kenderaan elektrik sepenuhnya iX3 turut akan dipasang di sana. Dadong akan menjadi lokasi produksi iX3, di mana kereta berkenaan akan dieksport ke pasaran global

    Langkah yang diambil oleh BMW bagi meningkatkan lagi skop di China bukanlah suatu kejutan – negara ini mempunyai pasaran tunggal global terbesar. Tahun lalu, sebanyak 560,000 BMW terjual di sana, melebihi gabungan jualan di Jerman dan USA, dengan dua per tiga daripadanya diproduksi oleh BBA di Tiexi dan Dadong.

    Sebagai tambahan bagi dua kilang kenderaan sedia ada, BBA juga membuka kilang bateri sendiri di Tiexi beberapa tahun yang lalu dan juga bakal memperluaskan penguaran, termasuk menghasilkan bateri yang lebih berkuasa dengan teknologi elektrik lima-generasi untuk iX3.

     
     
  • MBPP laksana laluan sehala di sebahagian Lebuh Ah Quee, Pulau Pinang – tempoh percubaan tiga bulan

    MBPP laksana laluan sehala di sebahagian Lebuh Ah Quee, Pulau Pinang – tempoh percubaan tiga bulan

    Mulai 13 Oktober jam 10 pagi (Sabtu ini), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menukar aliran lalu lintas dari dua hala ke sehala di sebahagian Lebuh Ah Quee. Ia bertujuan bagi mengurangkan kesesakan, melicinkan aliran trafik serta mengurangkan masalah konflik serta gangguan lalu lintas di laluan berkenaan.

    Menurut MBPP, sebahagian Lebuh Ah Que iaitu dari persimpangan Lorong Pit menuju ke Lebuh Pantai akan menjadi jalan sehala berbanding dua hala ketika ini dan sistem itu akan dijalankan secara percubaan selama tiga bulan. Pemandu dinasihati mematuhi arah aliran lalu lintas dan larangan yang ditetapkan demi keselamatan orang ramai serta kelicinan aliran trafik di kawasan berkenaan.

    MBPP juga menjemput orang ramai untuk mengemukakan pandangan, ulasan, bantahan atau persetujuan mengenai cadangan pertukaran lalu lintas berkenaan dengan menulis surat kepada jabatan itu atau menghubungi di talian 04-2592015/04-2592327 atau e-mel ke alamat [email protected].

     
     
  • Mitsuoka Rock Star – Corvette C2 palsu berasaskan Mazda MX-5, model ulangtahun ke-50, hanya 50-unit

    Mitsuoka Rock Star – Corvette C2 palsu berasaskan Mazda MX-5, model ulangtahun ke-50, hanya 50-unit

    Mitsuoka – jenama dari Jepun yang terkenal menghasilkan model-model berbentuk retro, berasaskan pelbagai model moden dari jenama-jenama Jepun lain, terutamanya dari Nissan. Mitsuoka Le-Seyde misalnya, merupakan sebuah Nissan Silvia S13 yang diberikan rupa seperti kereta dari era 1930’an.

    Bagi meraikan ulangtahun ke-50 Mitsuoka, jenama tersebut menghasilkan sebuah lagi model baharu yang berasaskan roadster Mazda Miata MX-5 generasi ND terbaharu, digelar Mitsuoka Rock Star. Macam pernah nampak? Ya, kereta ini direka dengan menjadikan Chevrolet Corvette C2 Stingray sebagai inspirasi, dan dihasilkan terhad hanya 50-unit.

    Mitsuoka bukan sahaja membentuk muka hadapan seakan ikan pari dan juga lampu-lampu belakang yang seiras dengan Corvette C2, malah mereka turut menghasilkan lengkuk-lengkuk beralun pada setiap ruang roda Rock Star ini menyebabkan anda akan tertanya “kenapa Corvette ni kecil sangat?” ketika pertama kali melihatnya.

    Mitsuoka Rock Star – Corvette C2 palsu berasaskan Mazda MX-5, model ulangtahun ke-50, hanya 50-unit

    Tidak cukup dengan itu, anda turut akan ditawarkan dengan pelbagai ciri opsyen, misalnya kain kanvas bumbung selain dari hitam (merah dan merah gelap), Rim krom lima-jejari 15-inci dari Work yang sama seperti rim Corvette Stingray C2 bersama tayar BF Goodrich dengan bunga klasik dan tulisan berwarn putih, serta pelbagai lagi pilihan lain.

    Pada bahagian dalaman, rupa kabin Mazda MX-5 masih lagi kelihatan bersama sistem infotainmen MZD Connect dengan kawalan Comander. Mitsuoka cuma menggantikan logo Mazda kepada logo mereka pada butang hon/perumah beg udara pada roda stereng, serta menawarkan opsyen tempat duduk sport balutan kulit serta kemasan dan upholsteri dengan pelbagai pilihan warna.

    Mitsuoka Rock Star – Corvette C2 palsu berasaskan Mazda MX-5, model ulangtahun ke-50, hanya 50-unit

    Kereta ini ditawarkan enam warna badan iaitu Los Angeles Blue, Chicago Red, New York Black, Cisco Orange, Washington White dan Arizona Yellow – nama warna juga sangat Amerika bukan?

    Tiada perubahan pada aspek mekanikal di mana Rockstar masih dijana enjin petrol NA 1.5 liter SkyActic-G berkuasa 132 PS/152 Nm, dengan pilihan kotak gear sama ada enam-kelajuan manual atau automatik. Kereta ini dijual di Jepun dengan model asas bermula pada harga ¥4,688,200 (RM173,460).

     
     
  • Tak mungkin wujudkan lebuhraya tanpa tol – Tun M

    Tak mungkin wujudkan lebuhraya tanpa tol – Tun M

    Tidak mungkin pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol dapat diwujudkan, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Malah beliau mengaku sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan

    “Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini merupakan beban yang besar. Tetapi pada masa itu, saya menentang. Saya tahu, untuk mengadakan laluan percuma… ia tidak boleh (dilakukan). Satu-satunya cara untuk mengadakan laluan percuma dan tiada tol adalah dengan menaikkan harga petrol,” katanya kepada Bernama semalam.

    Jelasnya lagi, beliau bertanya siapakah yang akan menyelenggara atau membina jalan baharu sekiranya kerajaan memansuhkan kutipan tol. “Anda minta sektor swasta supaya membina jalan raya, mereka mahu meraih keuntungan tetapi jika anda tidak mengadakan kutipan tol, bagaimana hendak mendapatkan keuntungan?”

    Tak mungkin wujudkan lebuhraya tanpa tol – Tun M

    Dr Mahathir berkata di England tidak ada jalan bertol tetapi kerajaan negara itu mengenakan cukai yang sangat tinggi ke atas petroleum dan apabila harga petroleum naik, kenaikan cukai malah lebih tinggi.

    “Jadi, mereka menggunakan wang itu. Bagaimanapun jika anda memperoleh wang daripada hasil jualan petroleum, rakyat yang tidak menggunakan lebuh raya juga perlu membayar. Tetapi di sini pengguna (lebuh raya) yang bayar. Inilah pegangan kita. Bagi mereka yang tidak menggunakan (lebuh raya) mengapa mereka perlu bayar?”

    Beberapa hari lalu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, kerajaan sedang menilai beberapa cadangan daripada syarikat konsesi untuk tujuan menghapuskan tol. Walau bagaimana pun, keputusannya hanya dapat diketahui dalam tempoh beberapa bulan lagi. Penangguhan menghapuskan tol ini terpaksa dibuat memandangkan kekangan ekonomi yang sedang dihadapi oleh kerajaan yang dikatakan agak meruncing.

     
     
  • Proton X70: Teknologi multimedia dan aplikasi pintar – GPS, Voice Command, “cloud” dan muzik tanpa had

    Proton X70: Teknologi multimedia dan aplikasi pintar – GPS, Voice Command, “cloud” dan muzik tanpa had

    Satu perkara paling menarik dan penting yang akan ditawarkan pada Proton X70 ialah berkaitan teknologi perhubungan, atau connectivity multimedia serta aplikasi-aplikasi mudah alih lainnya. Untuk mudahkan anda faham, ia seperti operasi yang mirip telefon pintar anda. Bezanya, ia nanti akan dibangunkan khusus untuk kegunaan dalam kenderaan.

    Pengantar keseluruhan sistem multimedia ini adalah melalui sebuah head unit dengan TFT 8-inci skrin sentuh (resolusi 1,280 x 720) yang hadir bersama sistem GKUI – yang ditawarkan sebagai ciri standard bagi semua varian. Buat masa sekarang, ia beroperasi menggunakan platform Android terlebih dahulu sebelum dilanjutkan kepada Apple CarPlay nanti.

    Unit ini mempunyai kapasiti storan sebanyak 16GB serta boleh melakukan kemaskini over-the-air (OTA) bagi sistem multimedia berkenaan (dan bukan untuk kemaskini sistem kenderaan secara keseluruhannya). Antaramuka sistem ini hadir dengan penampilan yang asas, tetapi turut memberi peluang kepada pengguna untuk mengubah tema latar mengikut kesukaan dan selera masing-masing.

    Ada lima ciri yang diketengahkan pada laman utama skrin unit ini; Voice Command, GPS, Music, Phone dan juga System Settings. Untuk menggunakan head unit berkenaan, ia sama sahaja dengan cara kita menggunakan skrin sentuh pada telefon – leretkan ke kanan atau ke kiri untuk melihat aplikasi yang ada.

    Proton X70: Teknologi multimedia dan aplikasi pintar – GPS, Voice Command, “cloud” dan muzik tanpa had

    Paling menarik ialah ciri Voice Command yang sempat dilakukan demonstrasi kepada media dalam sesi taklimat kedua hari ini. Buat masa ini, ia hanya boleh mengesan pertuturan yang menggunakan bahasa Inggeris. Menurut Proton, aplikasi sama dalam bahasa Thailand dan Indonesia sedang dibangunkan dan tidak menolak kemungkinan untuk menghadirkannya di dalam bahasa Malaysia kelak.

    Apa yang boleh dilakukan melalui ciri ini. Mudahnya, anda boleh bercakap dengan kenderaan. Bayangkan fungsi suara robot Siri atau Google Assistant. Untuk mengaktifkan ciri ini, pengguna hanya perlu menyapa dengan ayat “Hi, Proton”.

    Ia kemudian akan bertanya sekiranya anda perlukan apa-apa bantuan. Antara fungsi pada kenderaan yang boleh dikawal dengan suara adalah seperti memperlahankan pendingin hawa (“It’s too cold”), membuka sunroof (“I want to see the sun”), menaikkan volume audio, memilih lagu serta meminta sistem ini melalui ciri GPS mencadangkan tempat makan berdekatan (“I’m hungary”). Bahkan, untuk menurunkan cermin tingkap juga boleh dengan arahan suara ini.

    Satu lagi ciri menarik yang perlu dinyatakan ialah aplikasi Proton Link; anda boleh mengetahui banyak perkara tentang kereta anda melalui telefon pintar. Tempoh servis, cermin tingkap sudah ditutup atau belum, pintu rapat atau tidak, kereta sudah dikunci atau tidak dan sebagainya hanya melalui aplikasi khusus ini – boleh juga mengawal fungsi-fungsi berkenaan dari jauh sebagai ciri remote control. Ia juga akan menunjukkan lokasi semasa di mana kereta anda berada.

    Proton X70: Teknologi multimedia dan aplikasi pintar – GPS, Voice Command, “cloud” dan muzik tanpa had

    Proton X70 juga boleh berfungsi sebagai hotspot internet untuk kepada penumpang. Pelanggan yang membeli SUV ini akan diperlukan untuk mendaftar kad e-SIM dari Celcom selaku rakan penyedia perkhidmatan, untuk anda mempunyai capaian internet dan mengubungkan semua aplikasi yang ada pada kenderaan. Inilah apa yang dimaksdukan model ini bertindak sama seperti telefon pintar sedia ada.

    Kapasiti dan pakej data yang ditawarkan disifakan oleh Proton memadai untuk menjalankan aktiviti-aktiviti rutin pengguna. Namun, jika perlukan data tambahan, pakej berasingan turut ditawarkan. Perincian lebih lanjut tentang perkhidmatan ini akan dihuraikan dengan lebih terperinci nanti.

    Kepada kaki muzik, anda akan mempunyai capaian tanpa had dari aplikasi yang disediakan oleh Tencent yang berpusat di Singapura. Ia menampilkan musik dari artis-artis di bawah naungan Sony Music, Warner Music dan Universal Music. Dan, lebih menarik, tiada iklan seperti Spotify. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan platform radio digital Raku.

    Bagaimana untuk menyimpan semua data yang ada ini? Jalan keluarnya mudah; sistem ini turut didatangkan dengan ciri storan “cloud” yang membolehkan anda menyimpan apa saja tanpa perlu runsing tentang keluasan atau kapasitinya.

    Proton X70: Teknologi multimedia dan aplikasi pintar – GPS, Voice Command, “cloud” dan muzik tanpa had

    Proton X70 juga dilengkapi dengan enam slot USB; dua untuk pemandu dan penumpang hadapan, satu di belakang cermin pandang belakang untuk memudahkan anda memasang dashcam, satu pada konsol tengan dan dua lagi untuk penumpang belakang. Bagi sistem bunyi pula, terdapat sembilan pembesar suara semuanya (empat di depan, empat di tengah dan satu subwoofer di belakang).

    Petanya pula menggunakan Baidu Map, dengan kandungan yang dibangunkan di Malaysia, termasuk mampu memaklumkan status trafik. Jika anda ingin gunakan Waze, anda boleh lakukannya melalui sambungan kabel (mirroring) untuk dipaparkan pada skrin kenderaan. Tapi, ia hanya untuk Android sahaja buat masa ini.

    Semua ini adalah sebahagian daripada usaha Proton untuk memperkenalkan sebuah eco-sistem perhubungan digital yang lebih menyeluruh di masa depan, sesuai dengan peredaran pasaran. Melihat kepada senarai yang dinyatakan ini sahaja sudah cukup menunjukkan komitmen mereka.

    Semua ini biasanya ditawarkan pada model-model kenderaan yang lebih premium, tetapi kini ada pada kenderaan Proton. Jadi, hanya satu perkara sahaja lagi yang akan menjadi penentu sama ada orang ramai akan “menerima” model ini atau sebaliknya – harga, yang hanya akan diumumkan pada majlis pelancarannya November nanti.

     
     
  • Proton X70: Perincian sistem keselamatan – AEB, ACC

    Proton X70: Perincian sistem keselamatan – AEB, ACC

    SUV pertama Proton X70 kelak akan hadir dengan pakej sistem keselamatan terbaik dan lengkap yang pernah ditawarkan oleh mana-mana model Proton sebelum ini. Baik dari sisi ciri keselamatan pasif, aktif serta termasuk sistem keselamatan termaju, semuanya akan ditawarkan pada model terbabit.

    Sebagai permulaan, Geely Boyue di China yang menjadi asas kepada SUV ini sudah diiktiraf menerima penarafan lima-bintang bagi China NCAP dengan pencapaian mata tertinggi 58.2. Sebagai perbandingan, BMW X1 dapat mengumpulkan 56.6 mata bagi ujian yang sama.

    Bagaimana pula dengan ASEAN NCAP? Proton maklumkan X70 ini sudah pun dihantar untuk ujian berkenaan dan keputusannya akan dimaklumkan kelak.

    Semua varian bagi Proton X70 ini nanti akan dilengkapi dengan enam beg-udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, kawalan cengkaman, kawalan kestabilan (dari teknologi Bosch generasi 9.1), bantuan mula mendaki (HAC) yang mengekalkan kedudukan kenderaan selama dua saat ketika pemandu pengalihkan kaki dari pedal brak ke pedal minyak, supaya tidak berundur dan kawalan menuruni curam (HDC) yang berfungsi mengekalkan kelajuan serendah 4 km/j untuk membolehkan pemandu mudah mengawal kenderaan.

    Proton X70: Perincian sistem keselamatan – AEB, ACC

    Bagi varian paling tinggi pula, ia akan turut dilengkapi dengan sistem teknologi maju Advanced Driver Assistance System (ADAS). Antara lain sistem ini menggunakan lima kamera, 19 buah sensor dan satu radar yang mampu mengesan objek pada jarak 160 m.

    Selain itu, ia juga akan dilengkapi dengan ciri autonomouse emergency braking (AEB) yang berfungsi dalam kelajuan 30 km/j ke bawah dan akan memberikan tiga tahap tindakan; pada jarak dua saat dari objek di depan, amaran bunyi akan diberikan; jarak 1.5 saat pula sekali lagi peringatan akan dibunyikan dan sekiranya masih tiada tindakan dari pemandu, kereta akan membrek sendiri dalam jarak 1 saat dari objek di depan.

    Ciri Adaptive Cruise Control (ACC) pula boleh berfungsi dalam julat kelajuan antara 30 km/j hingga 150 km/j. Lain-lain ciri termasuk juga amaran perlanggaran hadapan (FCW), amaran tukaran lorong (LDW), amaran titik buta (BLIS) serta Intelligent High Beam Control (IHBC) yang akan merendahkan tahap lampu tinggi sekiranya ada kenderaan dari arah depan.

    Untuk memerhatikan tekanan udara dalam tayar serta suhunya juga akan lebih mudah dengan ciri peninjau tekanan tayar (TMS) yang disertakan. Kamera 360-darjah dan sensor parkir pula akan memudahkan urusan pemandu untuk meletak kenderaan.

     
     
  • Hyundai Tucson facelift dilancar di M’sia hujung Okt ini – Turbo dan NA, harga jangkaan bermula RM124k

    Hyundai Tucson <em>facelift</em> dilancar di M’sia hujung Okt ini – Turbo dan NA, harga jangkaan bermula RM124k

    Selepas menyiarkan teaser tempoh hari, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) kini telah mengumumkan bahawa SUV segmen-C Hyundai Tucson facelift bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia menjelang akhir bulan ini. Model berkenaan akan ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.6 liter Turbo dan juga 2.0 liter Elegance, dan dijangka bakal dijual pada harga atas jalan tidak termasuk insuran bermula RM123,888 bersama waranti lima-tahun/300,000 km dan servis percuma tiga-tahun/50,000 km.

    Bagi model facelift ini, Tucson menerima bampar baharu dan juga lampu hadapan LED yang direka semula. Gril ‘cascading’ pada SUV ini juga ditukar kepada unit yang lebih bersegi, lampu belakang disentuh semula dengan bentuk dan grafik yang sedikit berbeza serta rim bersaiz 17-inci – setiap ciri ini adalah bergantung pada varian.

    Pada bahagian dalaman pula, model ini diberi perubahan pada bahagian papan pemuka, di mana ia kini diberikan skrin infotaimen bersaiz tujuh-inci dan liang penghawa dingin baharu. Namun, bahagian bawah papan pemuka ini masih kelihatan sama.

    Dari segi mekanikal, tiada perubahan ditampilkan. Model NA dengan enjin 2.0 liter Nu MPi mampu menghasilkan kuasa 155 PS dan tork maksima 192 Nm, digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik. Manakala versi turbo, ia dikuasakan dengan enjin 1.6 liter T-GDI yang mampu menjana 177 PS dan tork maksima 265 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik klac berkembar tujuh-kelajuan.

    GALERI: Hyundai Tucson facelift pasaran Eropah

     
     
  • UMWT lantik Fattah Amin sebagai duta Toyota C-HR

    UMWT lantik Fattah Amin sebagai duta Toyota C-HR

    Selebriti tempatan terkenal, Fattah Amin, telah diberi kepercayaan oleh UMW Toyota Motor (UMWT) sebagai duta untuk Toyota C-HR. Pengumuman berkenaan telah dilakukan dalam sebuah majlis eksklusif di ibu negara pagi tadi. UMWT berkata, pelantikan Fattah sebagai duta C-HR berdasarkan populariti aktor tersebut yang kian melonjak, apatah lagi Artis Paling Popular 2017 ini pernah membarisi pelumba selebriti dalam Vios Challenge di perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) musim lalu.

    Menurut Mohd Affend Hj Khairon, Pengurus Besar UMWT berkata, “Sudah tentu ramai yang sudah melihat wajah Fattah dalam beberapa pengiklanan kami sepanjang pelancaran C-HR pada awal tahun ini. Kini, kami berbesar hati mengumumkan pelantikannya sebagai duta C-HR dan kami berharap kekuatan pengaruh yang ada pada beliau dapat membantu mewujudkan lebih banyak kesedaran mengenai produk ini dan juga jenama ini pada umumnya.”

    “Saya berasa sangat gembira kerana berpeluang meneruskan kerjasama dengan Toyota selepas terlibat dengan TGR musim pertama. Pengalaman memandu Vios dalam perlumbaan tersebut memberikan saya pengalaman bermakna, di samping saya dapat mengetahui keistimewaan yang pada pada model Toyota.

    UMWT lantik Fattah Amin sebagai duta Toyota C-HR

    “Malahan saya juga berpeluang untuk memandu C-HR selama sebulan dan mendapati enjin 1.8 liter ini mencukupi untuk pengendalian yang optimum. Bukan itu sahaja, saiz dan gayanya juga menepati citarasa saya sendiri dan ini membuatkan saya lebih teruja apabila dipilih untuk menjadi dutanya,” ujar Fattah.

    C-HR yang dilancarkan pada akhir Mac lalu kini semakin mendapat perhatian ramai, malah kelibatnya juga makin banyak berada di jalan raya di Malaysia. Bagi pasaran Malaysia, hanya satu sahaja varian enjin yang ditawarkan iaitu 1.8 liter empat-silinder naturally aspirated Dual VVT-i dengan hamburan kuasa 138 hp pada 6,400 rpm dan tork 171 Nm pada 4,000 rpm. Kuasanya disalurkan ke roda hadapan menerusi automatik CVT dengan mod manual Sequential Shiftmatic tujuh-kelajuan.

    Ditawarkan pada harga RM150,000 (termasuk SST, tanpa insurans, untuk pendaftaran persendirian di Semenanjung sahaja), C-HR turut menampilkan ciri keselamatan termasuk tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu) bersama Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, ABS dengan EBD dan bantuan Brek, paparan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

    GALERI: Toyota C-HR

     
     
  • Proton X70: Perincian spesifikasi untuk empat varian

    Proton X70: Perincian spesifikasi untuk empat varian

    Hari ini telah berlangsungnya satu lagi sesi pra tonton awal untuk SUV Proton X70 di Petaling Jaya, dan Proton telah mendedahkan lebih lagi perincian tentang kenderaan itu, bersama imej baru. Tempahan untuk SUV pertama Proton ini juga sudah dibuka bulan lepas, manakala pelancarannya akan berlaku bulan hadapan.

    Setakat ini kita sudah tahu X70 akan ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD. Semuanya dikuasakan oleh enjin empat silinder petrol turbo TGDi 1.8 liter yang mempunyai kuasa 181 hp dan tork 285 Nm dari 1,700 hingga 4,400 rpm, bersama padanan kotak gear automatik enam kelajuan dengan mod manual. Seperti yang boleh dilihat pada nama varian itu, sistem pacuan roda hadapan dan semua roda ada disediakan.

    Versi 2WD mempunyai berat 1,700 kg, dan ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 10.5 saat dan mempunyai penggunaan bahan api bercampur 7.8 l/100 km (bersamaan 12.8 km/l). Untuk mengenali varian Standard 2WD, ia datang dengan lampu utama halogen, rim 17 inci, tempat duduk balutan fabrik serta skrin sesentuh 8.0 inci yang disambung dengan kamera undur.

    Sistem infotainmen GKUI yang diberi adalah menggunakan asas Android, dan datang dengan slot kad SIM, memori dalaman 16 GB, sambungan WiFi, Bluetooth, navigasi, pengenalan suara serta bermacam lagi. Perinciannya akan kami buat dalam satu artikel lain.

    Varian seterusnya adalah Executive 2WD, yang ditambah dengan lampu utama serta lampu siang LED dan rim 18 inci di luar. Di dalam pula terdapat tempat duduk balutan kulit, larasan kuasa untuk tempat duduk pemandu serta pandangan kamera 360 darjah. Varian Executive AWD – seperti yang diuji oleh Sultan Ibrahim – pula ditambah dengan sistem pacuan semua roda Borg-Warner serta sistem pemerhati tekanan angin tayar.

    Varian paling tinggi iaitu Premium 2WD membawa X70 sama tahap dengan SUV Jepun pada aspek kelengkapan. Daripada ciri yang ada pada varian Executive, ia ditambah lagi dengan tempat duduk kulit Nappa, pelarasan kuasa untuk tempat duduk penumpang hadapan, bumbung panoramik dan sistem Advanced Driver Assistance System (ADAS).

    Proton X70: Perincian spesifikasi untuk empat varian

    Sistem ADAS yang menggunakan kamera dan radar ini menghasilkan pelbagai ciri keselamatan lain seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control (ACC, dari 30 hingga 150 km/j), Lane Departure Warning (LDW, tiada gangguan pada stereng), Blind Spot Information System (BLIS) dan Intelligent High Beam Control (IHBC yang dapat merendahkan kembali lampu tinggi secara automatik apabila ada kenderaan yang datang).

    Ciri Electronic Stability Control (ESC) dan enam beg udara diberikan standard untuk semua varian. Menurut Proton, kenderaan yang digunakan sebagai asas untuk X70 iaitu Geely Boyue facelift berjaya mendapat lima bintang serta markah yang tertinggi bagi kelasnya dalam ujian perlanggaran China NCAP (lebih tinggi daripada markah 56.6 yang diperoleh BMW X1). Anda juga boleh menjangkakan X70 akan mendapat lima bintang dalam ujian ASEAN NCAP nanti.

    Kita juga sudah mengetahui Proton X70 akan ditawarkan dalam lima warna iaitu Flame Red, Snow White, Armour Silver, Jet Grey dan Cinnamon Brown, tetapi ia bukanlah untuk semua varian. Varian Premium 2WD yang paling tinggi disediakan dengan Flame Red sebagai warna eksklusifnya, dan empat warna lain juga masih boleh didapati manakala varian Executive 2WD disediakan dalam empat warna dan dua lagi varian yang lebih rendah cuma boleh didapati masing-masing dalam dua pilihan warna sahaja.

    Pada bahagian dalam, varian Standard menggunakan tempat duduk fabrik, manakala varian Executive menggunakan kulit sintetik. Kedua-duanya berwarna hitam, dan dipadankan sama dengan kulit pintu. Kulit Nappa yang diberikan pada varian Premium pula adalah berwarna coklat.


    GALERI: Pilihan warna luar Proton X70

     
     
  • Mercedes-Benz E300e, E300de W213 diperkenalkan – model plug-in hybrid baharu; 320 PS, 1.6 l/100 km

    Mercedes-Benz E300e, E300de W213 diperkenalkan – model plug-in hybrid baharu; 320 PS, 1.6 l/100 km

    Selain memperkenalkan Mercedes-Benz C 300 de W205, pengeluar automotif Jerman ini turut menampilkan dua model plug-in hybrid baharu di bawah famili E-Class – E 300 e dan E 300 de.

    Kedua-dua model menampilkan solusi hibrid generasi ketiga ciptaan Mercedes-Benz yang diprebiu di Geneva tahun ini, bermula dengan transmisi automatik 9-G sembilan-kelajuan yang disemak semula dengan padanan motor elektrik, 122 PS (121 hp/90 kW)/440 Nm, torque converter dan klac ke unit tunggal untuk pakej yang lebih baik.

    Motor elektrik yang dijanakan kuasa menerusi bateri 13.5 kWh, lebih besar berbanding unit 6.4 kWh pada model sebelumnya disebabkan modifikasi sel kimia. Turut ditampilkan ialah pengecas on-board penyejukan-air 7.4 kW, yang membolehkan ia dicas dari 10 ke 100% dalam hanya 1.5 jam menggunakan Wallbox 22 kW terkini, atau sekitar lima jam menggunakan soket kuasa konvensional. Aspek ini merupakan langkah terpenting yang ditampilkan pada E 350 e.

    Bagi E 300 de, seperti nama yang disarankan, ia dilengkapi dengan enjin diesel. Malah ia juga sama dengan enjinOM654 2.0 liter empat-silinder turbodiesel yang digunakan pada C 300 de. Bagi ia sendiri, penjana kuasa ini mampu menghamburkan 194 PS (191 hp) dan tork 400 Nm, tetapi dengan adanya e-motor, jumlah kuasa keseluruhan mencecah 306 PS (302 hp) dan 700 Nm.

    Daripada segi prestasi, E 300 de boleh mencapai pecutan dari 0-100 km/j dalam hanya 5.9 saat dan mampu mencecah kelajuan maksimum pada 250 km/j. Lain-lain fakta termasuklah pacuan semua-elektrik sehingga 54 km, penggunaan bahan api sekitar 1.6 l/100 km dan emisi CO2 dari 41 g/km.

    Sementara itu, bagi E 300 de pula digandingkan dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder (mungkin M274 DE20 LA) dengan 211 PS (208 hp) dan 350 Nm, dengan jumlah kuasa keseluruhan mencecah 320 PS (315 hp) dan 700 Nm. Dibandingkan dengan E 300 de, model janaan-petrol adalah lebih pantas bagi pecutan 0-100 km/j iaitu 5.7 saat untuk berbuat demikian.

    Ia berkongsi kelajuan maksimum yang sama (250 km/j dalam mod normal; lebih 130 km/j bagi mod hanya-elektrik) dengan model petrol, tetapi mencatatkan penggunaan bahan api yang lebih tinggi (2.0 l/100 km) dan emisi CO2 (45 g/km). Bagi pacuan elektrik pula sedikit kurang iaitu 50 km. Mengikut pembandingan, keseluruhan sistem output bagi E 350 e hanyalah 286 PS (285 PS) dan 550 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.2 saat. Malahan ia juga boleh dipacu dengan janaan elektrik sahaja iaitu sehingga 33 km dan 2.1 l/100 km.

    Seperti C 300 de, terdapat empat mod operasi bagi penjana kuasa, termasuk Hybrid dengan tatapan biasa, E-mode yang membenarkan pemanduan semua-elektrik, E-Save untuk pengecasan bateri apabila diperlukan; dan Charge yang mengecas bateri sewaktu pemanduan. Ia juga menampilkan sistem ECO Assist untuk memastikan mereka yang memandu dalam mengekalkan pemanduan yang munasabah.

    Buat masa ini, Mercedes-Benz belum mendedahkan pasaran manakah yang akan disasarkan untuk kedua-dua model berkenaan. Berdasarkan informasi yang diperoleh, E 300 e akan ditawarkan dalam versi sedan terlebih dahulu, sementara E 300 de pula dalam bentuk sedan dan estate.

    GALERI: Mercedes-Benz E 300 e W213

    GALERI: Mercedes-Benz E 300 de W213

     
     
  • Proton X70: Prestasi enjin, aspek kendalian dan AWD – 0-100 km/j dalam 10.5 saat, 7.8 liter per 100 km minyak

    Proton X70: Prestasi enjin, aspek kendalian dan AWD – 0-100 km/j dalam 10.5 saat, 7.8 liter per 100 km minyak

    Di dalam sesi kedua taklimat kepada media berkaitan model SUV X70, Proton telah mendedahkan lebih banyak perincian. Jika sesi pertama dahulu melibatkan penerangan tentang rekaan, pemilihan nama dan hal-hal luaran yang lain, sesi kedua ini memberi tumpuan kepada hal-hal dalaman yang tidak kelihatan pula – misalnya angka-angka prestasi.

    Seperti yang ramai sedia maklum, Proton X70 ini akan menggunakan enjin 1.8L TGDi (Turbo Gasoline Direct Injection). Unit ini mampu menghasilkan sebanyak 135 kW (181 hp) pada 5,500 rpm kuasa manakala tork pula sebanyak 285 Nm dari 1,700 rpm hingga 4,400 rpm. Pecutan dari 0-100 km/j pula boleh dicapai dalam masa 10.5 saat.

    Terdapat dua sistem pacuan yang adakan ditawarkan; 2WD (tiga varian) dan AWD (satu varian). Penggunaan minyak bagi model 2WD disifatkan mampu memberikan 7.8 liter bagi setiap 100 km, manakala penggunaan minyak bagi model AWD masih beluh dimaklumkan.

    Berat bagi model 2WD ialah 1.7 tan. Manakala bagi model AWD pula, ia melibatkan pertambahan 100 kg berat disebabkan gandar (axle) belakang yang melengkapinya. Hal ini juga sudah tentun akan mempengaruhi bacaan kadar penggunaan minyaknya. Sistem AWD berkenaan akan mengagihkan saluran kuasa antara 100:0 atau 70:30 dari roda depan ke roda belakang. Unit berkenaan dibangunkan oleh Borg Warner.

    Proton X70: Prestasi enjin, aspek kendalian dan AWD – 0-100 km/j dalam 10.5 saat, 7.8 liter per 100 km minyak

    Dari segi struktur kerangka dan casis, X70 menampilkan ciri yang lebih kukuh; sub-frame bahagian depan terutamanya menerima peningkatan dari sudut kekerasan yang lebih tinggi untuk melindungi bahagian ruang kabin.

    Aspek kendalian atau “ride & handling” SUV ini pula ditala oleh MIRA UK. Antara lain, kelebihan yang dapat dicapai ialah kadar kebisingan dalam kabin (NVH) yang lebih rendah serta penggunaan suspensi belakang dari jenis multi-link untuk memberi lebih keselesaan kepada penumpang.

    Turut tersedia ialah tiga pilihan mod memandu – Normal, Eco dan Sport. Ketiga-tiga mod ini juga akan melibatkan perubahan warna pada bahagian meter; warna putih bagi mod Normal, beralih ke Eco dalam warna hijau dan terakhir mod Sport dalam warna merah untuk memudahkan pemandu serta mewujudkan kelainan rasa pemanduan bagi setiap mod yang ada.

    Selain itu, Proton X70 ini juga akan dibuka tempahan secara online bermula 17 Oktober nanti. Ikuti juga penawaran dan pecahan setiap varian yang ada serta perinciannya, serta teknologi perhubungan (connectivity) maju yang turut melengkapi model ini.

     
     
  • Mazda CX-5 2019 dilancarkan di Jepun – kini dengan enjin 2.5 liter petrol turbo SkyActiv-G, 230 PS/420 Nm

    Mazda CX-5 2019 dilancarkan di Jepun – kini dengan enjin 2.5 liter petrol turbo SkyActiv-G, 230 PS/420 Nm

    Baru dua tahun dalam pasaran, Namun Mazda kini sudahpun mengemaskini model SUV segmen-C CX-5 generasi kedua. Kali ini, kurang peningkatan diberikan dari segi rupa, tetapi ia tampil dengan perubahan dari segi mekanikal.

    Untuk versi baharu ini, CX-5 akhirnya ditawarkan dengan enjin petrol turbo 2.5 liter SkyActiv-G empat silinder, yang menghasilkan kuasa 230 PS pada takat 4,250 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 2,000 rpm. Penggunaan bahan apinya pula dicatatkan pada 12.6 km untuk setiap liter, bukan berdasarkan kitaran ujian JC08 atau NEDC, tetapi menggunakan prosedur baharu Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure (WLTP)

    Pilihan transmisi untuk enjin ini adalah sama dengan pilihan enjin lain iaitu kotak gear automatik enam-kelajuan dan opsyen pacuan roda hadapan ataupun pacuan semua roda. Namun untuk model yang dijana enjin turbodiesel 2.2 liter SkyActiv-D berkuasa 172PS/420 Nm, Mazda kini menawarkan kotak gear manual enam-kelajuan dan menurut mereka, ini adalah satu-satunya SUV dalam segmennya yang diberikan transmisi manual.

    Sistem G-Vectoring Control (GVC) turut dikemaskini. Mazda menyatakan bahawa sistem tersebut kini akan memberikan sedikit brek pada roda bahagian luar ketika keluar dari selekoh, memberikan lebih kestabilan ketika pemandu meluruskan kembali kedudukan stereng. Ini akan membolehkan peralihan antara olengan dan yaw sekata walaupun tujahan kuat ketika membelok, sekaligus memberikan respon yang lebih baik terhadap input stereng yang diberikan secara tiba-tiba serta keluar dari selekoh dengan lebih baik.

    G-Vectoring Control yang dipertingkat ini dikenali sebagai GVC Plus dan ia turut didakwa memberikan pengedalian yang lebih baik ketika pemandu cuba untuk mengelakkan pelanggaran serta menawarkan “kawalan lebih tenang” ketika menukar lorong dan ketika memandu pada permukaan licin atau salji. GVC Plus diberikan secara standard untuk semua model dalam barisan CX-5, dan ia turut akan dilengkapkan pada model-model Mazda yang lain.

    Perincian lain yang turut dibekalkan pada CX-5 2019 ini termasuk fungsi pengesan pejalan kaki waktu malam dalam sistem Advanced Smart City Braking Support (SCBS), pilihan kamera 360-darjah, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto serta tweeter baharu yang menjadikan jumlah pembesar suara pada kabin SUV ini adalah enam-unit. Panel kawalan sistem penghawa dingin telah direka semula, manakala model asas kini menerima rim 17-inci kemasan Grey Metallic.

    Mazda turut menawarkan model edisi khas Exclusive Mode berasaskan CX-5 versi turbo petrol dan turbodiesel. Model varian tertinggi ini menerima rim aloi 19-inci kemasan hitam berkilat, upholsteri kulit Deep Red Nappa, kayu asli untuk trim dalaman, cermin pandang belakang tanpa kerangka, tempat duduk hadapan berliang, paparan instrumen TFT LCD tujuh-inci serta kesemua lampu kabin yang diberikan LED berwarna putih untuk suasana yang lebih konsisten.

     
     
  • Mercedes-Benz C300de W205 – plug-in hybrid diesel

    Mercedes-Benz C300de W205 – plug-in hybrid diesel

    March tahun ini, Mercedes-Benz telah menunjukkan model E-Class dan C-Class diesel plug-in hybrid versi pra produksi sewaktu Geneva Motor Show. Sekarang, kita telah diberikan lebih banyak informasi berkenaan varian C-Class, yang dipanggi sebagai C 300 de. Penghantaran unit pertama C 300 de ini kepada pelanggan dijadualkan bermula pertengahan tahun 2019. Syarikat ini juga akan mendedahkan versi plug-in hybrid dengan enjin petrol menggunakan asas C-Class sekarang dan nanti akan menggantikan C 350 e.

    Sistem plug-in hybrid pada kenderaan ini berfungsi seperti biasa, cumanya ia menggunakan gabungan enjin diesel, iaitu unit empat silinder 2.0L turbodiesel OM654 yang menghasilkan kuasa 194 PS (191 hp) dan 400 Nm tork, digabungkan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic.

    Aspek bantuan elektrik datang daripada motor elektrik berkuasa 122 PS (121 hp/90 kW)/440 Nm yang disepadukan bersama torque converter serta klac transmisi untuk menjadi satu unit tunggal. Ini menghasilkan rekaan yang lebih kompak dan bentuk akhirnya cuma 108 mm panjang berbanding transmisi 9G-Tronic biasa.

    Rekaan ini berbeza dengan sistem generasi kedua syarikat itu, di mana motor elektrik disambungkan terus kepada input transmisi dan klac start-off basah digunakan sebagai klac pemula dan pemisah. Torque converter yang beada antara motor elektrik dan transmisi itu mengawal kuasa ketika kenderaan mula bergerak, dan klac pemisah boleh direka semula untuk mengurangkan kehilangan kuasa.

    Motor elektrik tersebut mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion 13.5 kWh, yang merupakan satu peningkatan yang banyak berbanding unit 6.38 kWh pada C 350 e. Menurut Mercedes-Benz, ini dapat dilakukan hasil daripada peningkatan kapasiti sel dari 22 kepada 37 Ah berikutan perubahan bahan yang digunakan – daripada lithium-iron-phosphate (LiFePo) kepada lithium-nickel-manganese-cobalt (Li-NMC).

    Bateri ini boleh dicas melalui sistem penjanaan semula kuasa brek waktu memandu atau dengan menyambung kabel ke sumber kuasa. Untuk mendapatkan pengecasan pantas, Mercedes-Benz telah memasang pengecas yang disejukkan dengan air pada C 300 de ini, seterusya menjadikan kapasiti mengecas 7.4 kW – dua kali ganda berbanding 3.7 kW pada C 350 e.

    Mercedes-Benz C300de W205 – plug-in hybrid diesel

    Apabila menggunakan Wallbox 22 kW (penyambung Type 2) jenama itu pula, bateri boleh dicas daripada 10% ke 100% dalam masa cuma 1.5 jam. Ini adalah kurang 15 minit berbanding masa yang diperlukan oleh C 350 e untuk mengecas bateri 6.38 kWh padanya menggunakan Wallbox 3.7 kW sebelum ini. Anda juga boleh mengecas kereta ini menggunakan soket kuasa domestik biasa dan ia akan mengambil masa lima jam untuk penuh.

    Mercedes-Benz memberitahu, jumlah kuasa keseluruhan kenderaan ini terletak pada 306 PS (302 hp) manakala tork pula terhad kepada 700 Nm dari 1,400 rpm. Daripada aspek prestasi, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat (5.7 saat untuk model Estate/Wagon) dan mencapai laju maksimum 250 km/j. Mengikut cara ujian NEDC, penggunaan bahan api berada pada 1.4 l/100 km (1.5 l/100 km untuk Estate) dan emisi karbon dioksida pada 38 g/km.

    Empat mod operasi kuasa disediakan pada kenderaan ini, termasuk Hybrid yang merupakan tetapan asal; E-Mode yang menggunakan kuasa elektrik sahaja; E-Save untuk membantu pengecasan semula bateri apabila perlu; dan Charge yang mengecas bateri semasa memandu. Dalam E-Mode, ia boleh digunakan sehingga jarak 57 km, dengan laju maksimum lebih sedikit daripada 130 km/j.

    Pemandu juga mempunyai akses kepada sistem ECO Assist yang dapat mengambil kira profail jalan, had laju serta jarak dengan kenderaan di hadapan untuk menghasilkan saranan pemanduan serta strategi penjimatan. Sebagai contoh, pemandu akan diberitahu bila untuk memperlahankan kenderaan apabila ada had laju di hadapan. Data daripada sistem navigasi, kamera dan radar pengesan juga akan digunakan untuk melaras profail jalan dan kelajuan tertentu.

     
     
  • Proton X70: Tempahan online akan dibuka 17 Oktober

    Proton X70: Tempahan <em>online</em> akan dibuka 17 Oktober

    3d underground abstract background

    Hampir sebulan lalu, Proton mengumumkan tempahan bagi model SUV X70 mula dibuka kepada umum. Itu memerlukan pelanggan yang berminat untuk hadir ke bilik pameran atau berjumpa dengan wakil jualan Proton untuk berbuat demikian.

    Namun, bermula 17 Oktober nanti, ada satu lagi kaedah yang membolehkan pelanggan yang berminat untuk menempah; iaitu secara atas talian (online). Satu halaman khas dengan borang akan diaktifkan bermula tarikh tersebut melalui pautan di laman web rasmi Proton.

    Melalui laman khas ini nanti, pelanggan boleh melihat dan memilih jenis pendaftaran (persendirian atau syarikat), barisan varian yang disediakan dengan perincian masing-masing (Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD) serta pilihan warna luaran dan dalaman yang ditawarkan. Kemudian, dalam tempoh seminggu selepas itu, wakil penjual dari Proton akan menghubungi pelanggan untuk urusan seterusnya.

    Menurut CEO Proton, Dr Li Chunrong, proses mengambil tempahan ini penting bagi mereka kerana ia akan memberikan petunjuk kepada permintaan pasaran di Malaysia terhadap model X70 ini, sekaligus akan membantu Proton untuk merancang kadar pengeluaran model terbabit (berdasarkan pecahan permintaan berdasarkan varian) dengan lebih cekap. Dengan itu, pelanggan tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan kenderaan mereka nanti.

     
     
  • Baharui cukai jalan di pejabat pos dikenakan caj ekstra RM5 mulai 15 Okt ini – untuk pelanggan korporat

    Baharui cukai jalan di pejabat pos dikenakan caj ekstra RM5 mulai 15 Okt ini – untuk pelanggan korporat

    Beberapa hari ini berita mengenai caj tambahan bagi yang memperbaharui cukai jalan atau pun Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah pun tular di media sosial. Walau bagaimana pun, menurut laporan Berita Harian, Pos Malaysia telah pun mengesahkan perkara berkenaan, di mana mulai 15 Oktober ini, pihaknya akan mengenakan caj pemprosesan tambahan sebanyak RM5.

    Namun demikian, caj tambahan tersebut hanya dikenakan kepada pelanggan korporat mereka seperti wakil bank, syarikat kewangan, insurans atau takaful, syarikat jualan kereta baru dan terpakai sahaja.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia, tiada caj tambahan akan dikenakan bagi pelanggan individu. Jadi, jangan cepat melatah ya dan menyebarkan informasi yang salah. Tidak pasti, jangan kongsi!

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024