Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Grab Malaysia kenakan caj RM3-RM5 jika penumpang batalkan tempahan atau langsung tidak muncul

    Grab Malaysia kenakan caj RM3-RM5 jika penumpang batalkan tempahan atau langsung tidak muncul

    Mulai 25 Mac ini, Grab Malaysia akan melaksanakan satu peraturan baharu di mana penumpang yang membuat pembatalan tempahan selepas jumlah masa tertentu yang dibenarkan, akan dikenakan caj antara RM3 hingga RM5. Menerusi Polisi Pembatalan Penumpang yang dikemaskini, Grab memberitahu bahawa penumpang yang membatalkan perkhidmatannya lima minit selepas mendapat pemandu, juga akan dikenakan caj yang sama.

    Walau bagaimana pun, jumlah yang tepat bergantung kepada jenis kenderaan atau perkhidmatan yang ditempah penumpang.Bagi perkhidmatan seperti GrabCar, GrabTax (bermeter atau eksekutif) dan JustGrab untuk Lapangan Terbang, caj pembatalan adalah RM3, laporan The Star.

    Manakala untuk GrabCar enam tempat-duduk atau JustGrab 10-tempat duduk, kadar yang dikenakan adalah RM4. Bagi perkhidmatan seperti GrabCar Premium atau GrabCar Luxe, di mana tempahan menggunakan kenderaan Vellfire untuk lapangan terbang, caj yang dkenakan adalah RM5.

    Grab Malaysia kenakan caj RM3-RM5 jika penumpang batalkan tempahan atau langsung tidak muncul

    Menurut Grab, ia juga akan mengenakan caj kepada penumpang sebanyak RM5 apabila pemandu membatalkan perjalanan selepas menunggu di tempat mengambil selama lebih lima minit. Manakala untuk perkhidmatan GrabShare, penumpang mempunyai tiga minit untuk tiba di tempat mengambil sebelum pemandu berhak untuk membatalkan perjalanan.

    Bagi setiap tempahan, penumpang boleh dikenakan caj antara RM3 hingga RM5 untuk pembatalan lewat atau dikenakan bayaran RM5 selepas pemandu membatalkan perjalanan kerana menunggu lebih lima minit. Walau bagaimana pun, syarikat terbabit memberitahu bahawa ia tidak akan mengenakan kedua-dua caj pada masa sama.

    Penumpang tidak akan dikenakan caj sekiranya mereka membatalkan dalam masa lima minit selepas mendapat pemandu yang ditugaskan untuk mereka. Pemandu juga perlu menunggu selama lima minit (atau tiga minit sekiranya mereka melakukan perkhidmatan GrabShare) sebelum pelanggan berhak dikenakan caj pembatalan.

    Walau bagaimana pun,syarikat itu memberitahu bahawa caj pembatalan akan dikecualikan sekiranya pemandu tidak tiba dalam masa 10 minit selepas taksiran masa ketibaan yang pertama kali ditunjukkan. Penumpang yang menunggu lebih 13 minit, caj pembatalan akan diketepikan.

    Grab Malaysia kenakan caj RM3-RM5 jika penumpang batalkan tempahan atau langsung tidak muncul

    Jika penumpang ingin membatalkan selepas menunggu terlalu lama, Grab menggalakkan pelanggan menghubungi pemandu melalui panggilan telefon atau GrabChat. Syarikat itu memastikan ia mempunyai langkah untuk mengesan sekiranya pemandu tidak memandu menghala lokasi pelanggan.

    Bagi penumpang yang menggunakan kemudahan bayaran GrabPay, caj pembatalan akan ditolak terus daripada baki kredit GrabPay atau kad kredit/debit. Caj akan ditambah secara automatik kepada tambang perjalanan seterusnya bagi penumpang yang membayar secara tunai.

    Syarikat itu menjanjikan 100% caj pembatalan akan diberikan kepada pemandu sebagai pampasan untuk masa mereka berada di jalan raya. Grab juga memberitahu bahawa ia menjangka polisi caj pembatalan baharu untuk mengurangkan daripada 1% tempahan yang terjejas kerana kebanyakan penumpang tidak membuat pembatalan selepas membuat tempahan.

    Jadi, bagaimana pula jika penumpang terpaksa menunggu lama untuk pemandu sampai selepas membuat tempahan. Adakalanya lebih 10 minit juga. Dan pernah juga terjadi, dah tunggu lama, pemandu yang minta tempahan dibatalkan dan suruh cari pemandu lain. Ini macam tak adil untuk pelanggan bukan? Harap Grab Malaysia membuat polisi untuk perkara sebegini pula.

     
     
  • BMW 3 Series G20 bakal dilancarkan di Malaysia

    Nampaknya BMW 3 Series G20 bakal menjadi model seterusnya yang akan dilancarkan oleh BMW Malaysia, susulan pengenalan 8 Series coupe G15 baru-baru ini. 3 Series generasi ketujuh ini pertama kalinya diperkenalkan di Paris Motor Show pada 2018.

    Menerusi entri yang dimuat naik oleh BMW Malaysia di laman Facebook tidak jelas menunjukkan G20, tetapi hanya membawa kita ke enam generasi pertama 3 Series, bermula dengan E21 sehingga F30.

    Dengan ayat “kesinambungan legasi” pada kapsyen, ia jelas menunjukkan apa yang bakal tiba tidak lama lagi. Malah BMW Malaysia juga telah memuat naik beberapa entri “throwback” seperti mana yang dilakukan sebelum pelancaran 8 Series.

    Buat masa ini, tidak banyak perincian yang didedahkan. Namun 3 Series terkini ini dipadankan dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan dua talaan, bersama transmisi automatik lapan-kelajuan. Untuk 320i, penjana kuasa ini mampu memberikan 184 PS dari 5,000-6,500 rpm dan tork 300 Nm dari 1,350-4,000 rpm, dengan 0-100 km/j dalam masa 7.2 saat.

    Sementara itu, 330i pula menawarkan 258 PS dari 5,000-6,500 rpm dan tork 400 Nm dari 1,550-4,400 rpm. Membuatkannya mampu mencapai pecutan 0-100 km/j yang lebih cepat pada 5.8 saat. Satu atau kedua-dua varian petrol ini mungkin yang akan kita dapat, tapi apa pun kena nantikan pelancarannya.

    Varian lain yang turut ditawarkan untuk G20 ini termasuk M340i xDrive, 330d, 320d dan 318d, tetapi kita tak jangkakan akan menerimanya di sini. Selain itu, ada juga model petrol plug-in hybrid yang ditawarkan menerusi 330e, dan ini mungkin akan diperkenalkan kemudian. Model semasa barisan F30 LCI di Malaysia termasuklah 318i Luxury dan 330e M Sport.

    GALERI: BMW 330i M Sport G20 di Singapore Motor Show

     
     
  • Geely FY11 guna platform sama dengan Volvo XC40

    Geely FY11 guna platform sama dengan Volvo XC40

    Sejak Geely mengambil alih Volvo 10 tahun dulu, ia telah menunjukkan perkembangan yang mengkagumkan dalam bidang automotif. Perkongsian teknologi telah memainkan peranan penting bagi pengeluar kenderaan dari China ini, dan model terbaru mereka, FY11 akan membawa manfaat daripada hubungan ini ke satu tahap baru.

    Apa yang anda lihat ini adalah SUV coupe baru Geely, yang sekarang menggunakan nama kod FY11. Ia masih belum dijual secara rasmi lagi, tapi kami diberitahu ia dibina atas platform Compact Modular Architecture (CMA) milik Volvo, yang juga digunakan untuk XC40.

    Tidak banyak perincian yang ada tentang FY11 ini, tetapi ia diketahui akan menggunakan enjin empat silinder turbo 2.0 liter dengan kuasa 235 hp dan 350 Nm tork. Sama seperti XC40, FY11 juga akan ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda.

    Geely FY11 guna platform sama dengan Volvo XC40

    Daripada aspek rekaan, bahagian hadapan FY11 mendapat versi gril kosmos Geely yang lebih kemas, dan juga mempunyai jalur krom di bawahnya untuk menghubungkan lampu kiri dan kanan. Perkara lain yang boleh dilihat adalah bukaan udara yang luas dan rendah di bawah serta garisan yang jelas di atas bonet. Model berwarna merah dan kelabu dalam gambar menggunakan rim 19 inci dua tona.

    Bahagian belakang FY11 menampilkan lampu yang nipis, dengan grafik nyalaan yang mendapat inspirasi daripada kipas Cina – ini juga satu elemen penggayaan yang dapat ditemui pada Borui GE. Sama seperti depan, terdapat satu jalur krom panjang dari hujung ke hujung berserta tulisan Geely di tengah.

    Di dalam, susun letak segala butang difokuskan kepada pemandu, dan terdapat roda stereng yang rata di bawah, serta panel instrumen digital. Panel pintu pula direka berasaskan seni tradisional lipatan kertas origami dan mempunyai jalur cahaya merah.

    Pada bahagian tengah anda akan dapat melihat skrin infotainmen bersepadu besar yang menerapkan rekaan “sayap terbang” dan juga dicondongkan sedikit ke arah pemandu. Papan pemuka yang mempunyai dua lapisan ini juga mendapat kemasan jalur krom, dan apabila digabungkan dengan permukaan hitam matte pada bahagian lain, ia seakan menimbulkan visual tiga dimensi.

    Pergi kepada konsol tengah pula, terdapat tombol gear yang besar seperti kapal terbang, serta pemegang tangan krom untuk penumpang. Tempat duduk FY11 mendapat inspirasi daripada tempat duduk bucket kereta lumba, tetapi dijadikan lebih kepada keselesaan. Apabila dilancarkan nanti, besar kemungkinan FY11 akan mempunyai pilihan sumber kuasa elektrik serta teknologi keselamatan aktif seperti Volvo.

     
     
  • Thai cadang skim Eco EV baharu bagi kereta elektrik mampu milik – Toyota, Honda, Nissan tolak tawaran

    Thai cadang skim Eco EV baharu bagi kereta elektrik mampu milik – Toyota, Honda, Nissan tolak tawaran

    Thailand telah mengasingkan skim kereta eko dan EV beberapa kali. Program ini untuk beberapa jenis kenderaan – kereta kecil mampu milik, yang mana dua fasa telah diperkenalkan; dan hibrid, plug-in hybrid atau elektrik – dan pengeluar kereta tertarik dengan pengecualian cukai dan pelepasan untuk usaha mereka.

    Terkini, kerajaan Thai sedang merangka skim lain, dan program Eco EV ini digabungkan sedikit bagi kedua-dua skim terdahulu, seperti nama yang disarankan. Kereta eko elektrifikasi mampu milik disasarkan, dan Office of Industrial Economics (OIE) negara berkenaan telah bertemu dengan Toyota, Honda dan Nissan untuk berbincang mengenai skim dan menawarkan insentif.

    “Eco EV bertujuan untuk menutup sebarang kelemahan selepas kerajaan melancarkan skim EV pada akhir bulan Mac 2017, kerana skim ini tidak menjadi penghalang kepada skim eko-kereta semasa. OIE telah mendapati bahawa skim EV yang sedia ada tidak berkesan untuk meningkatkan pengeluaran pasaran besar-besaran EV dan mempersiapkan pembuatan komponen penting EV, “kata Ketua Pengarah OIE, Nattapol Rangsitpol, yang dilaporkan oleh Bangkok Post.

    Thai cadang skim Eco EV baharu bagi kereta elektrik mampu milik – Toyota, Honda, Nissan tolak tawaran

    Nattapol memperincikan skim EV semasa sebagai “tiket terbuka dan percuma” untuk pengeluar kereta menghasilkan sebarang kereta eko dalam apa jua segmen kenderaan. “Tapi terdapat hanya EV hibrid mewah yang berharga melebihi satu juta baht, sama seperti sebelum skim,” katanya.

    Cadngan OIE adalah untuk kereta hibrid pertengahan yang akan ditukar menjadi eco EV yang mampu milik. “Hibrid pertengahan di bawah prorgam Eco EV boleh menawarkan harga dari 500,000 hingga 700,000 baht, bersamaan dengan kereta eko yang terdapat di pasaran tempatan, “kata Nattapol. Jabatan eksais negara mengatakan bahawa Eco EV boleh dikenakan cukai sehingga 4%, setanding dengan hibrid dan jauh lebih rendah daripada 10-14% kereta eco hari ini.

    Walau bagaimana pun, tiga pengeluar kereta Jepun terkemuka yang mempunyai pangkalan di Thailand – Toyota, Honda dan Nissan – secara terbuka menolak tawaran tersebut. Wakil OIE berkata syarikat-syarikat terbabit mahu menunggu mekanisme pasaran dan untuk insentif cukai eksais EV luput pada 2025.

    Thai cadang skim Eco EV baharu bagi kereta elektrik mampu milik – Toyota, Honda, Nissan tolak tawaran

    Walau bagaimana pun “menjelang 2025, Eco EV, tidak sesuai untuk landskap teknologi dan industri automotif Thailand yang akan jauh di belakang negara lain, “katanya.

    Ketiga-tiga pengeluar kereta itu meminta lanjutan satu tahun untuk tawaran tersebut. Nattapol berkata OIE akan terus bekerja pada program ini dengan syarikat kereta eko lain. Selain Toyota, Honda dan Nissan, peserta kereta eko lain ialah Mitsubishi, Suzuki dan Mazda.

    Bagi yang menerima insentif Lembaga Pelaburan EV Thailand setakat ini termasuk Mazda dan Toyota untuk kategori hibrid biasa, ditambah dengan Mercedes-Benz, BMW dan SAIC Motor (MG) untuk kategori PHEV.

     
     
  • Yamaha MT-15 dilancar di India – kelengkapan berbeza

    Yamaha MT-15 dilancar di India – kelengkapan berbeza

    Setiap pasaran mempunyai keperluan yang berbeza, dan perkara ini dapat dilihat dengan membandingkan produk yang sama, tapi untuk pasaran yang berlainan. Contohnya, Yamaha MT-15 ini. Model yang baru dilancarkan di India dapat dilihat mempunyai kelengkapan yang berbeza berbanding di Thailand dan Indonesia.

    Untuk warna, terdapat dua pilihan di India iaitu hitam dan biru, namun yang lebih mencuri perhatian adalah suspensi hadapan kerana model di India ini cuma menggunakan fork teleskopik biasa, sementara di pasaran Thailand dan Indonesia ia menggunakan fork jenis terbalik (USD).

    Selain daripada itu, kami juga mendapati model yang dijual di India mempunyai sistem brek ABS one-channel, dan anda sendiri boleh mengesahkannya dengan melihat bahagian cakera brek hadapan yang mempunyai gelung khas untuk pengesan ABS. Model di Thailand dan Indonesia tidak mempunyai ciri ini.

    Beberapa perbezaan lain adalah terdapat besi pemegang untuk penumpang belakang dan tayar untuk rim 17 inci hadapannya dijadikan lebih tebal iaitu 100/80 (di Thailand dan Indonesia 110/70) sementara di belakang masih sama iaitu 140/70. Pilihan aksesori MT-15 di India juga dijadikan lebih kepada praktikaliti.

    Selain daripada itu, model di India masih lagi menggunakan enjin satu silinder suntikan bahan api 155 cc SOHC dengan teknologi VVA dan penyejukan cecair, bersama padanan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa yang sama iaitu 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 8,500 rpm. Penukaran gear juga dijadikan lebih lancar dan berkesan dengan penggunaan klac jenis assist & slipper.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang adalah jenis cakera manakala perincian lain adalah termasuk tangki 10.4 liter, meter digital, berat 138 kg dan lampu depan dan belakang LED. Yamaha MT-15 dijual di India pada harga bermula 136,000 rupee (RM8,000).

     
     
  • Proton Persona 2019 vs Perodua Bezza: kami banding kos servis bagi tempoh lima-tahun atau 100,000 km

    Ketika taklimat media berkaitan Proton Persona 2019, Proton memaklumkan bahawa bagi tempoh lima tahun, kos penyelenggaraan Persona ialah RM3,051.91 bagi servis berjadual, kurang 32% berbanding kos servis bagi Perodua Bezza dengan RM4,287.71. Ini menyebabkan Perodua tampil memberikan kenyataan balas, dengan memaklumkan bahawa angka berkenaan tidak tepat dan mengelirukan.

    “Angka yang dinyatakan itu tidak tepat kerana perbandingan yang dilakukan tidak setara. Kos servis Proton Persona mengambil kira kos bagi servis berjadual seperti yang terdapat di dalam manual pemilik, sedangkan kos yang dinyatakan bagi Bezza itu dikira berdasarkan kos penyelenggaraan pencegahan (ditawarkan sebagai pilihan) berbanding kos servis berjadual yang sama,” jelas Pengarah Urusan Perodua Sale, Datuk Zahari Husin.

    Perkara ini menimbulkan minat ramai orang untuk mengetahui kos servis sebenar yang setara bagi kedua-dua model terbabit. Jadi, kami selidik angka-angka rasmi dari laman web kedua-dua pengeluar berkenaan dan lihat apa yang boleh diperhatikan dari situ.

    Proton Persona 2019 vs Perodua Bezza: kami banding kos servis bagi tempoh lima-tahun atau 100,000 km

    Bagi Persona, ia hanya hadir dengan enjin 1.6 liter, dengan pilihan gear manual lima-kelajuan atau CVT. Perbandingan paling hampir dengan Bezza ialah dari varian enjin 1.3 liter, yang ditawarkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan. Sekadar untuk maklumat tambahan, kami sertakan sekali versi Bezza 1.0 liter – walaupun bukanlah untuk tujuan perbandingan sebenar.

    Bagi tempoh lima-tahun atau 100,000 km, Bezza kelihatan seperti lebih mahal untuk diselenggara berbanding Persona, tidak kira jenis kotak gear yang digunakan. Hairan? Untuk memahami perkara ini dengan lebih lanjut, mari kita lihat senarai setiap satu barangan yang terlibat bagi kedua-dua model ini.

    Pertama sekali, Bezza menggunakan minyak enjin berkelikatan lebih rendah (0W-20) berbanding Persona (10W-30), yang datang dengan harga sedikit lebih tinggi. Enjin 1NR-VE empat-silinder pada Bezza 1.3 menggunakan palam pencucuh Iridium yang perlu ditukar pada setiap 50,000 km dan 100,000 km, dengan kos RM220.40 sekali tukar. Persona pula tidak menggunakan palam pencucuh Iridium, dan walaupun ia perlu ditukar lebih kerap (setiap 30,000 km), menggantikannya hanya menelan kos RM51 sekali tukar.

    Proton Persona 2019 vs Perodua Bezza: kami banding kos servis bagi tempoh lima-tahun atau 100,000 km

    Berikutnya, kami juga perasan yang Bezza memerlukan penukaran minyak kotak gear pada 40,000 km dan 80,000 km; ini hanya perlu dilakukan sekali sahaja untuk Persona, iaitu pada 100,000 km. Perkara yang sama juga bagi coolant radiator, ia perlu ditukar lebih kerap untuk Bezza (40,000 km dan 80,000 km) berbanding Persona (90,000 km sahaja).

    Servis berjadual Bezza juga memerlukan penapis udara ditukar setiap 30,000 km, tetapi ini tidak perlu dilakukan oleh Persona. Perlu juga dinyatakan bahawa enjin Bezza menggunakan “timing chain” dan bukannya “timing belt” dengan tiada penukaran diperlukan bagi 100,000 km, berbanding Persona yang perlu melakukan penukaran itu pada 100,000 km.

    Perodua juga menawarkan penyelenggaraan pencegahan seperti servis major bagi sistem pendingin hawa, serta penjajaran, imbangan dan rotation tayar. Ini termasuk di dalam penyelenggaraan berjadual, walaupun itu sebenarnya merupakan pilihan sebahagian daripada Pakej Pro Care yang ditawarkan untuk pelanggan Perodua.

    Proton Persona 2019 vs Perodua Bezza: kami banding kos servis bagi tempoh lima-tahun atau 100,000 km

    Sekiranya anda tidak ingin menjalankan penyelenggaraan pencegahan ini, seperti penyelenggaraan berkaitan tayar (hanya di cawangan terpilih) bagi setiap 20,000 km, anda tidak perlu membayar RM245 sepanjang tempoh pemilikan 100,000 km itu. Begitu juga sekiranya anda tidak mahukan servis pendingin hawa bagi pada 60,000 km, anda akan jimat lagi RM144.

    KEMASKINI: Perodua telah menjelaskan kepada kami bahawa beberapa barangan yang tersenarai dalam servis penuh berkaitan sebenarnya ditawarkan sebagai pilihan (sebahagian daripada program servis pencegahan Pro Care) dan tidak wajib ditukar seperti dinyatakan dalam buku manual pemilik. Ini termasuk yang perlu ditukar lebih kerap, seperti palam pencucuh setiap 50,000 km (hanya penukaran setiap 100,000 km sahaja yang wajib) serta penapis udara dan bendalir brek pada 20,000 km dan 60,000 km (ini hanya wajib ditukar pada perbatuan 40,000 km dan 80,000 km).

    Tanpa mengambil kira penukaran pilihan ini – termasuk jajaran tayar dan servis penuh pendingin hawa – kos penyelenggaraan asas bagi Bezza 1.3 AT (mengikut buku servis) menjadi RM3,095.38 bagi lima tahun/100,000 km, sepadan dengan angka yang dikeluarkan oleh Perodua. Ini hanya RM43.47 lebih berbanding kos pada Persona, atau perbezaan sekitar 1%.

    Proton Persona 2019 vs Perodua Bezza: kami banding kos servis bagi tempoh lima-tahun atau 100,000 km

    Tanpa memasukkan penyelenggaraan pencegahan yang ditawarkan sebagai pilihan itu dengan kos keseluruhan RM389, Bezza 1.3 AT memerlukan kos servis RM3,861.91 bagi tempoh lima-tahun atau 100,000 km (atau RM3,733.03 bagi Bezza 1.3 MT). Angka ini masih lagi lebih tinggi jika dibandingkan dengan kos Persona masing-masing sebanyak 26.61% dan 31.35% – tetapi perlu juga mengambil kira senarai barangan bagi Bezza yang tidak tersenarai untuk Persona.

    Ambil maklum juga kepada beberapa faktor yang tidak dipertimbangkan di sini, seperti penggunaan minyak atau brake pad, penyerap hentak, bateri dan tayar yang sudah tentu akan berbeza di antara dua model tersebut – bagi sepanjang tempoh pemilikan yang dinyatakan ini.

    Jadi inilah dia perbezaan kos servis antara Perodua Bezza dan Proton Persona 2019. Semua pemerhatian kami ada dinyatakan di sini. Bagaimana pula pandangan anda? Semua angka ini adalah dari apa yang diperoleh menerusi laman web rasmi kedua-dua pengeluar ketika artikel ini ditulis; harga sebenarnya boleh jadi berbeza.

     
     
  • Benelli RFS150i kini dalam warna baru – harga RM7.2k

    Benelli RFS150i kini dalam warna baru – harga RM7.2k

    Selepas hampir dua tahun berada dalam pasaran Malaysia, kini Benelli RFS150i telah diberikan penampilan baru, di mana sekarang ia ditawarkan dalam tiga warna baru iaitu merah dan hitam untuk versi standard, dan biru/hijau fluorescent untuk model SE. Harganya masing-masing adalah RM7,238 dan RM7,488 tidak termasuk insurans.

    Selain warna dan grafik ini, model tahun 2019 ini juga dilengkapi dengan ekzos baru, yang dikatakan lebih sporty dan memberikan prestasi lebih baik untuk penunggang. Untuk model SE pula, selain daripada warna yang istimewa, ia juga mendapat throttle grip dan tuil brek aluminium boleh laras yang diperbuat daripada aluminium.

    Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama, iaitu dikuasakan oleh enjin 149 cc silinder tunggal sejukan cecair yang menghasilkan 15.5 hp kuasa pada 8,500 rpm dan 13 Nm tork pada 7,000 rpm. Menjadi keunikannya ialah konfigurasi silinder dengan tiga palam pencucuh – dikenali sebagai B3SP – yang bersekali dengan ECU dan sistem penyuntik minyak pada motosikal ini, direka untuk mendapat kecekapan penggunaan bahan api dan kuasa optimum.

    Bagi kotak gear pula, motosikal ini menggunakan jenis klac basah dengan enam-kelajuan – sama seperti kebiasaan model dalam segmennya. Suspensi depan adalah dari jenis fork terbalik, manakala bahagian belakang menggunakan monoshock Kayaba. Brek pula terdiri daripada jenis hidraulik bagi kedua-duanya, dengan cakera 240 mm di depan serta 220 mm di belakang.

    Motosikal ini dilengkapi dengan tangki minyak berkapasiti 4.8 liter yang terletak di bawah tempat duduknya, dengan berat kering yang dicatatkan ialah 126 kg. Ketinggian tempat duduknya 787 mm, manakala rim pula bersaiz 17 inci dengan tayar 70/90 di depan dan 120/70 di belakang.

     
     
  • Konvoi Proton X70 dari KL ke Hangzhou selamat tiba

    Konvoi Proton X70 dari KL ke Hangzhou selamat tiba

    Masih ingat dengan sekumpulan warga Malaysia yang berkonvoi dari Kuala Lumpur ke Hangzhou dengan Proton X70? Lepas lebih dua minggu memulakan perjalanan dari Pusat Kecemerlangan Proton, mereka kini telah selamat tiba di Hangzhou dan memulakan perjalanan pulang ke Malaysia.

    Kumpulan yang memandu sembilan buat SUV Proton X70 itu melintasi sempadan Thailand, Myanmar dan Laos sebelum tiba di China. Mereka akan melalui jalan yang sama untuk perjalanan pulang ke tanah air.

    Ketika di Hangzhou, mereka berkesempatan melawat ibu pejabat Geely dan mengunjungi Geely Experience Centre. Di sana, mereka diberi peluang untuk mendekati model-model terbaru keluaran jenama itu seperti SUV Binyue, MPV Jiaji, sedan Borui dan model-model kenderaan Lynk & Co.

    Konvoi Proton X70 dari KL ke Hangzhou selamat tiba

    Mereka juga meluangkan masa beberapa malam di lokasi berdekatan sementara kenderaan mereka diservis dan dipersiap untuk perjalanan pulang. Sepanjang perjalanan dengan jarak 7,000 km setakat ini dari KL ke Hangzhou, Proton X70 yang mereka gunakan semuanya berada dalam keadaan baik dan tidak memberikan masalah.

    Prestasi enjin 1.8 liter turbocaj pada X70 juga sangat memuaskan, mampu menggalas permukaan jalanan yang pelbagai – walaupun dengan kualiti bahan api berbeza yang digunakan sepanjang perjalanan.

    Penganjur acara, Dr Ling Tung King menjelaskan bacaan penggunaan minyak terbaik yang dapat dicapai ialah 5.9 liter bagi setiap 100 km. Walaupun masih berbaki perjalanan pulang semula ke KL, beliau sudah memberi petunjuk untuk menjadikan ini sebagai aktiviti tahunan; mungkin ada yang berani untuk ke London pula?

     
     
  • Perodua Aruz sasar jadi SUV No.1 di Malaysia Timur – kini cecah 14,000 tempahan, 4,000 unit telah dihantar

    Perodua Aruz sasar jadi SUV No.1 di Malaysia Timur – kini cecah 14,000 tempahan, 4,000 unit telah dihantar

    Sejak dilancarkan pada Januari lalu, buat setakat ini, Perodua Aruz telah pun menerima sejumlah 14,000 unit tempahan, dengan 4,000 unit yang telah dihantar kepada pelanggan. Melihat akan perkembangan yang begitu positif itu, Perodua turut mensasarkan SUV tujuh-tempat duduk tersebut bakal menjadikannya terlaris di Malaysia Timur, yang mana pasarannya didominasi oleh segmen tersebut.

    “Sejak pelancaran Perodua Aruz pada Januari lalu, lebih 4,000 unit telah diserahkan kepada pemiliknya daripada 14,000 tempahan di seluruh negara setakat ini. Sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia telah mendorong kami untuk bekerja dengan lebih keras dalam memperbaiki tempoh masa penghantaran kami dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada anda.

    “Perodua mensasarkan untuk mengembangkan lagi bahagian pasaran Malaysia Timur daripada 40% pada masa ini dan Perodua Aruz baharu akan menerajui perkembangan tersebut di wilayah ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad sewaktu menyempurnakan acara pelepasan Konvoi Perodua Aruz TransBorneo kelmarin. Di mana enam unit Perodua Aruz akan memulakan penjelajahannya dari Kuching, Sarawak ke Tawau, Sabah dengan jarak keseluruhan kira-kira 1,500 km bermula dari 16-22 Mac 2019.

    Perodua Aruz sasar jadi SUV No.1 di Malaysia Timur – kini cecah 14,000 tempahan, 4,000 unit telah dihantar

    Beliau menambah bahawa ketinggian 220 mm dari aras tanah memberikan Perodua Aruz penglihatan keseluruhan yang baik buat pemandu, di samping itu menawarkan pemanduan yang selesa dan kemampuan merentasi keadaan jalan yang lasak atau berlopak dengan mudah. Tambahan lagi, struktur body-on-frame menjadikan ia sangat tahan lama dan mampu menampung beban.

    Di samping itu, Aruz turut menawarkan enam beg udara dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) yang standard pada semua varian, ditambah juga Advanced Safety Assist 2.0 pada varian AV, menjadikan Aruz model yang diperakui dengan penarafan keselamatan lima-bintang ASEAN NCAP.

    “Semua ini menjadikan Aruz sangat sesuai untuk Malaysia Timur yang mana model yang memberi nilai terbaik ini ditawarkan dengan harga RM74,900 untuk varian X dan RM79,900 untuk varian AV,” sambung Dato’ Zainal.

     
     
  • Pusat sehenti Harley-Davidson Pulau Pinang dibuka

    Pusat sehenti Harley-Davidson Pulau Pinang dibuka

    Satu lagi pusat pameran rasmi Harley-Davidson telah dibuka, dan kali ini bertempat di 1679-G1, Jalan Perusahaan, Auto City, Bukit Tengah Prai, 13600, Pulau Pinang. Dikenali sebagai Harley-Davidson Pulau Pinang, pusat pameran ini memakan pelaburan sebanyak RM6 juta, dan dikendalikan oleh GB Motorcycles Sdn Bhd.

    Selain bahagian pameran dan jualan model terkini jenama dari Amerika Syarikat itu, Harley-Davidson Pulau Pinang turut bertindak sebagai pusat sehenti, dengan menyediakan perkhidmatan lain seperti servis dan baik pulih, alat ganti, aksesori ubah suai, kelengkapan menunggang serta barangan gaya hidup lain.

    Pada majlis pembukaan pusat pameran ini, Harley-Davidson Malaysia turut mendedahkan harga terbaru barisan model yang datang dari Thailand, iaitu Sportster (lima model) dan Softail (tujuh model), di mana ia menunjukkan penurunan berbanding harga sebelum ini dan dijual bermula dari RM62,600. Untuk melihat senarai harga terkini semua model Harley-Davidson di Malaysia, anda boleh merujuk artikel kami sebelum ini.

    Selain daripada itu, pihak penganjur juga menambahkan lagi kemeriahan acara dengan penyampaian motosikal kepada dua pemilik baru dan menjemput penunggang serta pemilik Harley-Davidson seluruh negara untuk menikmati jamuan dan hiburan di kawasan acara.

    “Bagi kami, wakil pengedar rasmi kami adalah amat penting kerana mereka adalah teras dalam menawarkan keseluruhan pengalaman bermotosikal Harley-Davidson secara sepenuhnya buat para pengguna,” kata pengarah urusan pasaran membangun Harley-Davidson Asia, Johan Kleinstuber.

     
     
  • Toyota Yaris 2019 sekali lagi dikesan di Malaysia

    Toyota Yaris 2019 sekali lagi dikesan di Malaysia

    Februari lalu, UMW Toyota Motor mengesahkan model Toyota Yaris bakal diperkenalkan di Malaysia tahun ini. Terbaru, sekali lagi model tersebut dikesan sedang diangkat menaiki transporter oleh seorang pembaca paultan.org, Gan Wei Wei.

    Ini bukan pertama kali “Vios hatchback” dikesan, kerana November tahun lalu, jurufoto kami Sherman Sim juga sempat merakamkan kelibat model ini dan kereta yang dilihat itu nampak lebih kurang serupa. Warna merah yang sama masih ada di sekeliling bampar bawah, kontra dengan cat Citrus Mica Metallic. Kami menjangkakan kemasan TRD Sportivo akan turut diperkenalkan di sini, berserta dengan rim dua-tona 16-inci yang kelihatan pada kereta ini.

    Toyota Yaris 2019 sekali lagi dikesan di Malaysia

    Yaris dijanakan oleh enjin 3NR-FE 1.2 liter (86 PS/108 NM) di Thailand, manakala untuk pasaran Indonesia, ia menerima unit 2NR-FE 1.5 liter (107 PS/140 Nm) yang sama seperti Vios. Memandangkan terdapat persamaan antara Yaris dan Vios, kami percaya penjana kuasa 1.5 liter akan digunakan untuk Yaris di sini. Manakala transmisinya mungkin CVT, mungkin juga dengan pilihan versi manual lima-kelajuan seperti yang turut ditawarkan di pasaran lain.

    Yaris untuk Malaysia adalah pemasangan tempatan yang dilakukan di kilang baharu Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Bukit Raja, Klang, tempat yang sama Vios facelift dipasang. Kalau harga Vios antara RM77k-RM87k, agak-agak berapa pula harga yang bakal ditetapkan untuk Yaris?

     
     
  • Tun Mahathir tempelak pihak kritik projek kereta ketiga

    Tun Mahathir tempelak pihak kritik projek kereta ketiga

    Projek kereta nasional ketiga yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memang banyak menerima kritikan daripada pelbagai pihak sejak ia diutarakan pada Jun tahun lalu. Walau bagaimana pun, kritikan tersebut tidak membunuh semangat Tun Mahathir untuk meneruskan hasratnya.

    Malah menerusi laporan Berita Harian, beliau telah menempelak pihak yang mengkritik hasrat kerajaan untuk memperkenalkan projek berkenaan. Katanya, hasrat mewujudkan jenama kereta nasional baharu bertujuan mempelajari teknologi kejuruteraan automotif terkini.

    Tun Mahathir tempelak pihak kritik projek kereta ketiga

    “Orang fikir kereta kita tidak bagus, jangan beli kereta Malaysia, sebaliknya beli kereta buatan asing. Mereka kata jangan buat kereta nasional ketiga, ia tidak bagus. Awak lihat, adakah mereka lihat teknologi yang terbabit di sini? Enjin yang digunakan?

    “Rakyat Malaysia sangka mereka tahu semua, tidak mahu kereta (nasional) ketiga, hanya merugikan kata mereka, tapi mereka tidak tahu apa-apa. Mereka tidak tahu langsung mengenai kejuruteraan automotif. Sebab itu, kita ingin memperkenalkan kereta nasional ketiga untuk belajar mengenainya,” katanya kepada pemberita semalam.

    Beliau turut berkata, China boleh mengecapi kemajuan dalam masa singkat kerana negara itu terbuka untuk menerima langkah menceburi industri automotif. “Kita lihat bagaimana China berkembang dalam industri automotif dalam jangka masa yang pendek kerana mereka terima industri automotif,” katanya.

     
     
  • AD: Dekati barisan SUV Mercedes-Benz di Festival Hungry for Adventure, dari 22 hingga 24 Mac ini!

    AD: Dekati barisan SUV Mercedes-Benz di Festival Hungry for Adventure, dari 22 hingga 24 Mac ini!

    Anda dahagakan pengalaman yang mengujakan? Jika ya, Mercedes-Benz ada sesuatu yang ingin ditawarkan kepada anda. Selain dapat melihat sendiri pengenalan barisan SUV terbaru Mercedes-Benz, bagaimana jika terdapat pelbagai acara dan aktiviti menarik, serta persembahan konsert dari bintang ternama antarabangsa? Jika semua ini memenuhi keinginan anda, jangan lepaskan peluang untuk hadir ke Festival Hungry for Adventure yang akan diadakan hujung minggu hadapan.

    Bakal berlangsung dari 22 hingga 24 Mac nanti bertempat di Depot Sentul, acara ini memberikan anda peluang untuk mendekati Mercedes-Benz GLC 300 Coupe, serta turut akan menampilkan pra-tonton bagi model GLE 450. Anda juga berpeluang untuk memandu uji model-model Mercedes-Benz yang lain di sana.

    Bagi mereka yang inginkan lebih aksi, cabaran kayuhan maya oleh Cycology, serta beberapa aktiviti lasak lain seperti bungee jumping, flying fox dan panjat tebing turut akan berlangsung. Keriangan untuk Kanak-kanak juga tidak dilupakan, kerana mereka mempunyai sudut permainan dengan taman pemanduan mini sendiri. Tidak ketinggalan, barisan trak makanan yang menawarkan kepelbagaian untuk memenuhi selera anda.

    Bukan itu saja. Akan turut berlangsung ialah konsert Hungry for Adventure pada 23 Mac, bermula enam petang, dengan musik dari Craig David yang turut menampilkan TS5, BATE, MC VIBE, CZA dan Electronic Theatrical Music. Tidak lupa juga, akan diadakan pertandingan DJ. Hanya terbuka kepada jemputan, sekiranya anda ingin menyaksikan konsert berkenaan, anda masih berpeluang untuk memenangi pas masuk dengan menyertai peraduan gambar di Instagram.

    Anda hanya perlu menaikkan gambar sendiri mengikut tema “Force of Nature”, dan gunakan hashtag #ForcesofNature, #HungryForAdventure dan #MBMYPhoto serta maklumkan sekali Mercedes-Benz Malaysia (@mercedesbenzmalaysia). Peraduan ini berakhir 18 Mac nanti.

    Selain itu, anda juga boleh hadir ke Festival Hungry for Adventure pada 22 dan 23 Mac ini dan pandu uji mana-mana model Mercedes-Benz di sana untuk menerima pas percuma bagi menyaksikan konsert berkenaan. Pas ini akan diberikan kepada mereka yang datang dahulu, dengan jumlah terhad yang akan diedarkan setiap hari. Jadi, jangan ketinggalan!

    Tunggu apa lagi? Mari semua hadir ke Festival Hungry for Adventure Mercedes-Benz dari 22 hingga 24 Mac 2019 bermula dari 10 pagi hingga 7 malam di Depot Sentul, Sentul Barat dan menjadi sebahagian daripada acara yang menjanjikan keseronokan ini. Untuk maklumat lanjut, layari laman Facebook acara.

     
     
  • Toyota GR Supra A90 Team Toyo Tyres D1 GP 2019 – guna kit Rocket Bunny, kedua seumpamanya di dunia

    Toyota GR Supra A90 Team Toyo Tyres D1 GP 2019 – guna kit Rocket Bunny, kedua seumpamanya di dunia

    Awal minggu ini, pelumba Drift Jepun yang pernah memenangi D1 GP dan juga Formula D USA, Daigo Saito mendedahkan jenteranya untuk D1 GP musim ini iaitu Toyota GR Supra A90 yang disumbat enjin 2JZ-GTE 3.4 liter berkuasa 800 hp, serta dilengkapi kit badan lebar Rocket Bunny dari Tra Kyoto, digelar Pandem Supra.

    Hari ini, akaun facebook Tra Kyoto mendedahkan bahawa sebuah lagi Supra A90 menggunakan kit badan sama untuk D1 GP 2019, tetapi kali ini milik pasukan Toyo Tyres. Kereta berkenaan nampaknya mengenakan kit badan hampir sama seperti Supra Daigo Saito – menampilkan bampar hadapan asal tetapi diubahsuai dengan pemadanan spoiler tambahan pada bahagian bawah, serta ruang roda hadapan dan belakang dilebarkan lagi dengan gaya Rocket Bunny, menampilkan rivet-rivet yang diserlahkan.

    Manakala di belakang, spoiler seakan dari Porsche RWB diberikan dalam saiz yang sangat besar. Namun untuk Supra Toyo Tyres ini, ia direka dengan liang udara tambahan di bahagian panel bawah belakang pintu yang agak besar. Ia dilengkapkan dengan livery Toyo Tyres bersama set rim pelbagai jejari berbibir dari Rays Engineering untuk roda hadapan dan belakang.

    Toyota GR Supra A90 Team Toyo Tyres D1 GP 2019 – guna kit Rocket Bunny, kedua seumpamanya di dunia

    Walau bagaimanapun, spesifikasi janakuasa kereta ini masih belum didedahkan. Jadi kami tidak mengetahui sama ada ia masih dijana enjin asal enam silinder sebaris turbo yang diambil dari BMW atau menggunakan enjin 2JZ dari Supra JZA80 sama seperti jentera Daigo Saito. Tetapi dengan pelekat HKS pada pintu dan bonet hadapan, kami rasa ia mungkin dikuasakan oleh enjin 2JZ.

    Tiada nama pelumba pada kereta ini, namun pasukan Toyo Tyres dikenali dengan pemandu utama mereka iaitu Kawabata Masato – Juara D1 GP 2007/2013 dan Juara FIA Intercontinental Drift 2017. Adakah Nissan GT-R R35 Kawabata akan direhatkan tahun ini dan digantikan dengan Supra ini?

     
     
  • MITI amalkan ketelusan penuh berkaitan AP terbuka – syarat lebih ketat, hanya untuk syarikat yang layak

    MITI amalkan ketelusan penuh berkaitan AP terbuka – syarat lebih ketat, hanya untuk syarikat yang layak

    Dalam satu kenyataan rasmi oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Ong Kian Ming, beliau menyatakan MITI ingin mengamalkan ketelusan sepenuhnya dalam hak berkaitan AP terbuka (Open Approved Permit) bagi kereta dan motosikal.

    Sebelum ini, amalan pengeluaran AP hanya diberikan sekada sekumpulan kecil individu dan syarikat yang kemudiannya menjual AP berkenaan kepada pihak ketiga untuk mengaut keuntungan segera. Hal ini telah menyebabkan timbulnya cadangan agar amalan AP ini dihapuskan.

    Namun, tindakan itu tidak adil kepada usahawan bumiputra lain yang berusaha bersungguh-sungguh menggunakan saluran yang betul. Sebagai langkah untuk memperkemaskan agihan AP ini kepada mereka yang benar-benar layak sahaja, MITI mengeluarkan garis panduan yang lebih ketat untuk menjadikan amalan AP ini telus sepenuhnya – bagi syarikat-syarikat sedia ada mahupun syarikat baru yang ingin memohon AP bermula 2019 – seperti berikut:

  • Syarikat 100% milik bumiputra berdasarkan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia
  • Perlu membayar pendahuluan kapital sekurang-kurangnya RM1 juta
  • Perlu memiliki pengalaman paling kurang dua tahun dalam menjual dan mengedar kenderaan bermotor
  • Perlu untuk tidak mempunyai pengarah/pemegang saham/pengurusan yang mempunyai saham atau kepentingan dalam syarikat lain yang juga merupakan pemegang AP terbuka
  • Mempunyai minimu lima pekerja sepenuh masa dalam pengurusan syarikat, pemasaran dan jabatan teknikal
  • Perlu memiliki bilik pameran dan pejabat yang sesuai
  • Perlu memiliki keupayaan pengurusan dan kewangan untuk beroperasi dalam perniagaan menjual kenderaan import melalui AP terbuka
  • MITI amalkan ketelusan penuh berkaitan AP terbuka – syarat lebih ketat, hanya untuk syarikat yang layak

    Dan, sekiranya sesebuah syarikat telah dianugerahkan AP, mereka kemudiannya perlu mematuhi keperluan tambahan seperti berikut:

  • Sebarang perubahan dalam pegangan kepentingan dan barisan pengarah mana-mana syarikat perlu mendapatkan kelulusan MITI sebelum boleh dilaksanakan
  • Tiada penglibatan orang tengah atau syarikat perantara yang menjual kenderaan AP terbuka ini
  • Pembukaan cawangan baru untuk menjual kenderaan AP mesti mendapat kelulusan MITI
  • Kenderaan perlu dipamer atau disimpan di premis yang diluluskan oleh MITI
  • Dokumen mengimport (Bill of Lading/Airway Bill) tidak boleh melebihi tempoh sebulan dari tarikh syarikat tersebut seperti di dalam borang permohonan dan kelulusan MITI
  • Syarikat perlu menghantar laporan mengimport atau jualan serta rekod inventori mereka kepada MITI sebelum 10hb setiap bulan
  • AP yang dikeluarkan perlu digunakan dalam tahun yang sama ia dikeluarkan, sebelum 31 Disember setiap tahun
  • Syarikat perlu menyediakan jaminan sekurang-kurangnya setahun dan mempunyai perjanjian dengan OEM untuk menyediakan khidmat lepas jualan
  • Menurut kenyataan itu lagi, selepas mempertimbangkan permohonan ketat dan syarat-syarat kelulusannya, hanya 164 daripada 282 permohonan diluluskan oleh MITI. Daripada jumlah 164 yang diluluskan ini, 128 adalah syarikat sedia ada dan 36 merupakan syarikat baru yang belum pernah menerima AP. Daripada 109 permohonan dari syarikat baru, hanya sejumlah 36 syarikat sahaja yang diluluskan.

    Selepas ini, walaupun tiada lagi had maksimum AP yang akan dikeluarkan setiap tahun, ia bagaimanapun tetap ada had jumlah AP yang boleh diperoleh oleh sesebuah syarikat. Sebagai contoh, bagi syarikat baru yang belum pernah mendapatkan AP sebelum ini dan telah membayar pendahuluan kapital RM1 juta, maksimum AP bagi kenderaan penumpang yang boleh mereka peroleh ialah 60 bagi setiap syarikat – mereka perlu membuktikan kemampuan kewangan dan jualan bagi tahun pertama sebelum jumlah itu ditambah kemudiannya.

    Bagi syarikat sedia ada yang telah membayar pendahuluan kapital sebanyak RM2 juta, RM3 juta dan RM4 juta pula, jumlah AP yang boleh diperoleh ialah masing-masing 120, 180 dan 240. Jumlah keseluruhan AP yang dikeluarkan bagi tempoh dua tahun terakhir ini tidak melebihi angka 30,000. Ia mewakili kira-kira 4.3% dan 5.3% keseluruhan jualan kenderaan penumpang bagi tahun 2017 dan 2018.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025