Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lexus RC F facelift dan RC F Track Edition didedahkan

    Lexus RC F facelift dan RC F Track Edition didedahkan

    Tahun lalu, Lexus telah memperkenalkan versi facelift untuk model coupe RC dengan rupa yang lebih garang. Seperti sebelum ini, RC 2019 turut disusuli dengan model talaan divisi perlumbaannya – Lexus F – dan kali ini ia turut hadir dengan satu lagi RC F yang lebih fokus kepada pemanduan litar digelar RC F Track Edition.

    Kedua-dua model ini menerima penyegaran rupa luaran rekaan baharu menerusi lampu LED hadapan yang kini dibina bersepadu dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah. Lampu dan bampar belakang juga mendapat sentuhan semula bagi membezakan ia dengan model sebelum ini.

    Kita mulakan dengan versi RC F ‘standard’ dahulu. Model ini masih dijana oleh enjin 2UR-GSE 5.0 liter V8 tanpa pengecas turbo atau supercharger, tetapi ia telah menerima rombakan pada laluan kemasukan udara, serta ditala bagi membolehkan bukaan injap sekunder pada sistem berkenaan dibuka pada tahap RPM lebih rendah.

    Ubahsuai yang dilakukan ini membolehkan enjin tersebut mengekstrak 5 hp dan 8 Nm tork lebih dari jumlah asal, menjadikan kuasa keseluruhan yang dihasilkan ialah 472 hp dan tork maksima 536 Nm. Kuasa juga masih dialirkan pada kotak gear automatik lapan kelajuan, tetapi nisbah gear akhir telah ditukar dengan nisbah yang lebih tinggi bagi memberikan pecutan lebih baik, dan ia turut dibantu dengan pemadanan sistem launch control baharu.

    Lexus juga menghasilkan RC F 2019 dengan pelbagai komponen yang lebih ringan, tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan tahap ketegarannya. Syaf pemacu (drive shaft) pada gandar belakang telah diganti dari unit solid kepada jenis hollow (mempunyai rongga di tengah), manakala di hadapan manifold kemasukan enjin yang lebih ringan dipadankan bersama pemampat (compressor) penghawa dingin direka lebih kecil.

    Pada bahagian suspensi pula, braket lengan kawalan sudut toe dan juga kesemua braket sokongan suspensi bahagian atas diperbuat dari aluminium yang bukan sahaja lebih ringan, malah juga lebih tegar. Walau bagaimanapun, Lexus tidak mendedahkan angka sebenar yang dapat dikurang menerusi pemandanan komponen-kompenen ini.

    Bagi mendapatkan kawalan yang lebih solid, kesemua getah bushing pada lengan suspensi belakang dan juga cagak rak stereng dibuat mengunakan bahan yang lebih keras. Begitu juga dengan cagak enjin, ia dibuat dengan material lebih tegar bagi memastikan kuasa dari enjin dapat dipindahkan ke roda belakang dengan lebih optimum.

    Kesemua perubahan yang dilakukan ini dilengkapkan dengan pemadanan tayar istimewa Michelin Pilot Sport 4S. Menurut Lexus, tayar tersebut direka dengan bentuk profil, paten bunga dan kompaun getah yang unik bagi mengurangkan understeer, serta memperbaiki cengkaman sisi dan meningkatkan ketahanannya pada situasi ekstrem.

    Beralih kepada model lebih hardcore Lexus RC F Track Edition, kereta ini diberikan pelbagai lagi komponen yang lebih ringan dan talaan hasil dari input yang diperolehi hasil penyertaan Lexus dalam perlumbaan seperti Super GT serta IMSA, dan jenama mewah Toyota tersebut menyatakan bahawa versi ini masih mengekalkan tahap keselesaannya.

    RC F Track Edition bukan sahaja lebih ringan, malah nampak lebih agresif dengan pemadanan splitter udara hadapan, bonet hadapan, bunmbung dan juga sayap GT di belakang – kesemuanya diperbuat dari bahan gentian karbon. Sayap berkenaan adalah jenis tetap dan tidak boleh dilaras, namun ia direka dengan sudut attack bagi memberikan aliran udara yang lebih lancar, serta 26 kg downforce tambahan berbanding spoiler aktif standard.

    Model ini juga dipadankan dengan rim aloi forged BBS 19-inci dengan rekaan diambil dari kereta lumba sebenar RC F GT3, bersama brek karbon seramik dari Brembo – perubahan bahagian ini menurut Lexus telah mengurangkan berat sebanyak 25 kg. Akhir sekali, sistem ekzos RC F Track Edition ini menerima unit muffler yang diperbuat dari Titanium.

    Secara keseluruhan, RC F Track Edition dihasilkan lebih ringan antara 70 kg hingga 80 kg berbanding RC F biasa. Ini membolehkan ia memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 4 saat, atau setengah saat lebih pantas dari versi standard.

     
     
  • Volkswagen hidupkan semula ‘dune buggy’ sebagai EV

    Volkswagen hidupkan semula ‘dune buggy’ sebagai EV

    Nampaknya akan ada banyak berita menarik yang muncul sempena Geneva Motor Show yang bakal berlangsung nanti. Dari kem Volkswagen misalnya, nostalgia terhadap model dune buggy ikonik disekitar 1960an dan 1970an dahulu akan dihidupkan semula. Khabar angin mengatakan ia bakal menggunakan asas modular electric drive matrix (MEB), dan akan menjadi kenderaan elektrik sepenuhnya.

    “Sebuah buggy adalah lebih daripada sekadar sebuah kereta. Ia lebih bertenaga dan meriah. Semua ciri klasiknya akan diterjemahkan pada e-buggy pula, yang akan menampilkan interpretasi moden kepada rekaan klasik dan retro model lamanya dahulu. Sangat menarik untuk melihat keterkaitan berkenaan terhadap sebuah kenderaan elektrik moden,” jelas ketua pereka Volkswagen, Klaus Bischoff

    Walaupun nadi yang menggerakkannya menggunakan teknologi maju kenderaan elektrik, rekaan luarannya pula bagaimanapun kekal klasik dune buggy seperti dulu – dengan lengkung tayar yang menonjol, dipadankan dengan tayar besar. Lampu utama bulat pula menyuntik karekter tersendiri bagi model ini – dari jauh “wajah”nya akan kelihat jelas.

    Volkswagen hidupkan semula ‘dune buggy’ sebagai EV

    Sama seperti pendekatan rekaan pada dune buggy terdahulu yang mengambil asasnya daripada model Beetle yang diringkaskan, model konsep terbaru ini pula hadir tanpa bumbung tetap serta rekaan pintu yang di luar kebiasaan.

    Volkswagen memaklumkan, rekaan konsep ini bertujuan untuk mempamerkan kepelbagaian platform MEB yang digunakan – ia tidak hanya digunapakai untuk menghasilkan model-model produksi dalam jumlah yang besar, tetapi juga boleh menampung keperluan model-model unik yang jumlah pengeluarannya terhad.

     
     
  • Aprilia Shiver 900 2019 kini di Malaysia – RM72,000

    Aprilia Shiver 900 2019 kini di Malaysia – RM72,000

    Sejak hak pengedaran motosikal Aprilia untuk pasaran Malaysia bertukar tangan dari Naza Premira kepada Didi Resources pada Julai 2018, Apilia Shiver 900 2019 menjadi model pertama jenama Itali itu yang diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran tempatan.

    Menggunakan enjin V-Twin 900, motosikal naked ini menjana sebanyak 95.2 hp pada 8,750 rpm dan 90 Nm pada 6,500 rpm. Ia merupakan enjin sejukan cecair, DOHC dengan lapan injap dan suapan minyak melalui sistem EFI serta ciri ride-by-wire, Shiver dilengkapi kotak gear enam-kelajuan, dengan klac hidraulik yang kini 15% lebih ringan dikenalikan.

    Fork depan menggunakan unit dari Kayaba dengan diameter 41 mm, boleh dilaraskan tetapan tahap bebanan serta mempunyai 130 mm jarak pergerakan. Bahagian belakang pula menggunakan suspensi monoshock boleh laras, juga dengan 130 mm jarak pergerakannnya.

    Aprilia Shiver 900 2019 kini di Malaysia – RM72,000

    Sistem brek pula terdiri daripada penggunaan cakera 320 mm, dengan kaliper radial-mount empat-piston. Di belakang, cakera tunggal 240 mmm dengan kaliper piston-tunggal menggalas tanggungjawab sama – motosikal ini juga datang dengan ciri ABS dua saluran.

    Aprilia Shiver 900 ini mempunyai kapasiti minyak 15 liter, dan berat basahnya ialah 218 kg. Ketinggian tempat duduk ialah 810 mm. Roda pula menggunakan rim 17-inci – tayar depan bersaiz 120/70 manakala belakang dengan 180/55.

    Kelengkapan lain yang datang sebagai ciri standard pada Shiver 900 ini adalah seperti kawalan cengkaman yang dibangunkan oleh Aprilia sendiri bagi jentera RSV4 dalam World Superbike Championship – mempunyai tiga tahap dan boleh dinyah-aktif. Ada juga tiga mod tunggangan yang boleh dipilih – Sport, Touring dan Rain. Sport paling agresif manakala Rain pula akan melibatkan mengurangan kuasa kepada 70 hp.

    Mod tunggangan ini boleh diubah ketika bergerak. Semua paparan yang diperlukan akan dipapar pada skrin TFT-LCD 4.3-inci dengan pancaran cahaya adaptif mengikut kecerahan persekitaran. Motosikal ini juga datang dengan Aprilia MIA System, yang membolehkan sambungan telefon pintar penunggang ke skrin yang ada untuk data tunjuk arah dan kawalan muzik.

    Hanya dua warna ditawarkan pada Aprilia Shiver 900 2019 ini; Challenging Red dan Innovation Dark. Banyak pilihan aksesori lain turut ditawarkan, seperti pelana yang lebih selesa serta beg atau ruang simpanan untuk kegunaan touring. Jentera ini kini boleh didekati di bilik pameran Aprilia bertempat di The Gasket Alley.

     
     
  • Petronas Yamaha Sepang Racing Team 2019 dilancar

    Petronas Yamaha Sepang Racing Team 2019 dilancar

    Tahun ini, dalam kancah perlumbaan MotoGP, Malaysia ada sesuatu yang istimewa untuk ditawarkan kepada peminat-peminat tegar sukan permotoran berkenaan. Sepang Racing Team (SRT) akan membawa nama negara untuk bersaing dalam ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan dalam MotoGP.

    Memperkenalkan jentera dan pasukan yang akan menggalas cabaran dalam musim terbaru nanti, jentera Petronas Yamaha SRT YZR-M1 bakal menyaksikan dua pelumba, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo berentap dalam kategori utama MotoGP.

    Sementara itu, dalam kelas Moto2, pelumba negara, Khairul Idham Pawi – atau lebih mesra dengan nama Super KIP – akan menunggang jentera Petronas Sprinta Racing yang dikuasakan oleh enjin 765 Triumph. Bagi kelas Moto3 pula, Ayumu Sasaki dan John McPhee akan mewakili Petronas Sprinta Racing.

    “Petronas Sepang Racing Team yang terlibat di dalam semua tiga kategori perlumbaan MotoGP ini merupakan pasukan satelit atau bukan pengeluar terbesar yang ikut serta. Kami telah berkembang kepada pasukan dengan kapasiti 50 individu dari pelbagai negara dengan penunggang yang mewakili lima negara – Malaysia, Itali/Brazil, Perancis, Jepun dan Scotland,” jelas CEO SIC, Datuk Razlan Ahmad Razali.

    Petronas Yamaha Sepang Racing Team 2019 dilancar

    “Penglibatan Petronas dalam sukan perlumbaan bukanlah sesuatu yang baru, terutamanya di dalam Formula 1 dan MotoGP. Usahasama ini menandakan kehadiran penuh Petronas di dalam acara sukan lumba motosikal, dari peringkat akar umbi melalui Cub Prix sehinggalah kepada perlumbaan antarabangsa seperti MotoGP, Moto2 dan Moto3.

    “Ini antara lain memperkayakan lagi penjenamaan global Petronas serta kerjasama teknologi yang terlibat, terutama dalam lapangan pembangunan bahan api dan pelincir,” jelas Presiden dan CEO Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

    MotoGP tahun ini akan bertandang ke litar SIC dari 6-8 Februari bagi sesi ujian musim sejuk, sebelum ke Losail, Qatar bagi ujian musim sejuk terakhir dan kemudian memulakan kempen perlumbaan bagi musim 2019.

     
     
  • Bas perantara MRT guna sistem pembayaran tambang tanpa tunai sepenuhnya mulai 1 Feb ini – Prasarana

    Bas perantara MRT guna sistem pembayaran tambang tanpa tunai sepenuhnya mulai 1 Feb ini – Prasarana

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengumumkan RAPID Bus Sdn Bhd, pengendali perkhidmatan bas Rapid KL, akan melaksanakan sistem pembayaran tambang tanpa tunai sepenuhnya bagi semua bas perantara Mass Rapid Transit (MRT) bermula 1 Februari 2019.

    Ia bertujuan untuk meningkatkan kemudahan penumpang dan menikmati perjalanan yang lebih lancar ketika menaiki bas. Ia meliputi semua 57 laluan bas perantara dari Sungai Buloh ke depot MRT Kajang, laporan Bernama.

    Menurut Prasarana lagi, tempoh tangguh satu bulan lagi diberi kepada pemegang kad konsesi semasa iaitu pelanggan terdiri daripada pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang masih dibenarkan untuk membayar dengan tunai sehingga 28 Februari.

    Tempoh tangguh ini bertujuan bagi membolehkan mereka untuk memohon kad konsesi mereka melalui www.myrapid.com.my atau di kaunter konsesi Pasar Seni dan hab bas Pasar Seni.

    Bas perantara MRT guna sistem pembayaran tambang tanpa tunai sepenuhnya mulai 1 Feb ini – Prasarana

    Dalam masa yang sama, pihak pengendali bas ini turut menjangkakan 51% daripada 60,000 penumpangnya dalam sehari akan menukar kepada sistem tanpa tunai dengan lancar.

    Prasarana berkata langkah itu juga dapat menyokong usaha negara untuk mempercepat agenda nasional ke arah merealisasikan masyarakat tanpa tunai, yang menjadi sebahagian aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan sistem pembayaran negara.

    Justeru, pelanggan dinasihatkan untuk membeli kad Touch ‘n Go sebelum menaiki bas bagi memastikan kelancaran perjalanan bersama kami. MyRapid Touch ‘n Go boleh dibeli dari mana-mana pejabat perkhidmatan pelanggan MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Monorail atau Bas Rapid Transit (BRT). Mereka yang telah membeli produk My100 dan My50 boleh menggunakannya bagi sistem pembayaran tanpa tunai di dalam bas.

     
     
  • 30% diskaun tol di Lebuhraya DUKE sempena TBC ini

    30% diskaun tol di Lebuhraya DUKE sempena TBC ini

    Sempena Tahun Baharu Cina (TBC) yang bakal disambut minggu hadapan, Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI) telah mengumumkan pemberian diskaun tol pada kadar 30% di Lebuhraya Duta – Ulu Kelang yang dikendalikannya. Diskaun tol tersebut dibuka kepada semua kenderaan kelas 1 selama 24 jam pada 5 Februari 2019 ini, bermula jam 12 pagi hingga 11.59 malam.

    Menurut kenyataan yang dihantar, diskaun tersebut adalah sebagai salah satu inisiatif Khidmat Sosial Korporat (CSR) syarikat kepada pengguna lebuhraya terbabit.

    Pengarah Eksekutif KESTURI, Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng berkata, jumlah tersebut menyaksikan peningkatan daripada kadar diskaun tol pada TBC berbanding tahun-tahun sebelumnya.

    “Jumlah diskaun tersebut jelas dapat mengurangkan perbelanjaan pengguna dan dalam masa yang sama memberikan nilai pulangan bayaran yang lebih rendah,” ujarnya.

     
     
  • Diskaun tol sempena musim perayaan bukan punca kesesakan, kemalangan di lebuh raya – Baru Bian

    Diskaun tol sempena musim perayaan bukan punca kesesakan, kemalangan di lebuh raya – Baru Bian

    Dakwaan segelintir pihak yang menyatakan pemberian diskaun tol sempena musim perayaan utama adalah penyebab kesesakan dan kemalangan di lebuh raya telah disangkal oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

    Menurutnya, sikap pemandu yang cuai dan tidak berhemah terus menjadi penyumbang statistik saban tahun, laporan Bernama.

    “Pemberian diskaun adalah cara syarikat konsesi menghargai pelanggan lebuh raya mereka dan bukan penyebab kesesakan di musim perayaan. Paling utama, setiap syarikat konsesi mengeluarkan jadual cadangan perjalanan sebagai rujukan pengguna untuk mereka merancang perjalanan pada musim perayaan,” katanya kepada media selepas melancarkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya sempena Tahun Baharu Cina 2019 semalam.

    Diskaun tol sempena musim perayaan bukan punca kesesakan, kemalangan di lebuh raya – Baru Bian

    Selain itu, Baru berharap statistik kemalangan dan kematian pada musim perayaan akan terus menurun pada tahun ini.

    “Penurunan jumlah kematian yang dicatat melalui Op Selamat ke-12 pada tahun lalu diharap menjadi titik tolak yang positif atas usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak dan berharap trend penurunan ini akan terus dikekalkan,” katanya.

    Dalam hal lain, Baru berkata, sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 5 Februari ini sebanyak 25 lebuh raya akan menawarkan insentif berbentuk diskaun kadar tol sebanyak 10 hingga 30% kepada pengguna. Di mana diskaun khusus untuk pengguna tol bagi kenderaan Kelas 1 itu akan berkuat kuasa selama 24 jam bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam Selasa, 5 Februari ini.

     
     
  • VIDEO: Mainkan peranan anda, untuk jalan raya yang lebih selamat – Anthony Loke turut berlakon

    Selain kerajaan dan agensi yang berkaitan, sebenarnya banyak pihak termasuk wakil NGO turut memainkan peranan yang penting dalam memupuk kesedaran untuk pemanduan yang berhemah. Memang sudah banyak kempen yang dijalankan, termasuklah menerusi iklan mahu pun video yang disiarkan menerusi Internet.

    Antara yang terkini adalah video terbitan Persatuan Insurans Malaysia (PIAM) dan Malaysian Takaful Association (MTA) yang turut mendapat kerjasama Kementerian Pengangkutan Awam.

    Diterajui oleh watak utamanya, penyanyi dan pelakon berkaliber, Adibah Noor, video berdurasi lima minit ini, mempunyai beberapa adegan yang berkaitan dengan ragam popular yang sering dilakukan oleh kebanyakan pengguna jalan raya. Antaranya motosikal yang dibonceng lebih dari dua pembonceng, menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu atau menunggang motosikal, memarkir kenderaan di tepi jalan hingga mengundang kesesakan trafik dan sebagainya. Malah lirik lagu yang ditulis oleh Mo Nazmi juga agak catchy dengan mesej yang jelas disampaikan.

    Secara kesimpulannya, mesej yang disampaikan menerusi video ini sebenarnya ringkas dan mudah difahami. Antaranya jangan menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu, pakailah topi keledar untuk penunggang dan pembonceng motosikal, pastikan anak kecil diletakkan di tempat duduk khas kanak-kanak, pemakaian tali pinggang keledar adalah wajib termasuk penumpang di belakang, jangan menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya, jangan meletakkan kenderaan merata tempat termasuk menghalang laluan kecemasan.

    Menariknya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, turut melakukan penampilan khas di dalam video ini dengan membawakan peranan sebagai tuan director. Malah timbalannya, Dato’ Kamarudin Jaafar, juga muncul sebagai penolong pengarah. Selain itu, beberapa watak undangan turut dilakonkan oleh beberapa individu penting dalam penerbitan video ini termasuklah Anthony Lee yang merupakan pengerusi PIAM, Muhammad Fikri Mohamad Rawi (pengerusi MTA), Mark Lim (CEO PIAM) dan juga Azli Munani (CEO MTA).

     
     
  • Malaysia tangguh guna RON95-Euro 4M – KPDNHEP

    Malaysia tangguh guna RON95-Euro 4M – KPDNHEP

    Kerajaan telah mengambil keputusan untuk menangguhkan penggunaan petrol berkualiti tinggi yang mengikut standard bahan bakar Eropah atau RON95-Euro 4M sehingga 1 Januari 2020.

    Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sepatutnya Malaysia mengguna pakai petrol RON95-Euro 4M pada Disember tahun lepas. Walau bagaimana pun, selepas perkara tersebut telah dibawa kepada pengetahuan Kabinet dan mendapat persetujuan untuk ditunda penggunaannya, laporan Bernama.

    “Kita telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat minyak untuk kita melanjutkan tempoh penggunaannya di Malaysia sehingga 2020,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan masih belum bersedia untuk melaksanakan penggunaan bahan bakar RON95-Euro 4M kerana kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan perlu menumpukan kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

    “Namun begitu, penangguhan (penggunaan RON95-Euro 4M) tidak akan berlarutan dengan terlalu lama kerana negara terikat dengan komitmen perjanjian antarabangsa yang memerlukan kita menyumbang kepada persekitaran yang lebih sihat,” tambahnya.

     
     
  • Mitsubishi Triton 2019 dilancarkan di M’sia secara rasmi – 6-kelajuan auto, 5 varian, dari RM100k-RM135k

    Mitsubishi Triton 2019 dilancarkan di M’sia secara rasmi – 6-kelajuan auto, 5 varian, dari RM100k-RM135k

    Hanya dua bulan selepas muncul pada peringkat global, didedahkan di Thailand, Mitsubishi Triton 2019 telahpun selamat dilancarkan untuk pasaran Malaysia hari ini. Triton dengan muka lebih kacak ini hadir dengan lima varian berbeza pada pasaran tempatan bermula model asas Triton MT (RM100,200), Triton AT (RM105,990), Triton MT Premium (RM112,500), Triton AT Premium (RM118,600) dan Triton Adventure X (RM135,200). Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan lengkap dengan waranti pengeluar lima-tahun/200,000 km.

    Yang paling ditunggu-tunggu pastinya muka baharu pada Triton ini, iaitu direka dengan prinsip rekaan Dynamic Shield terbaharu Mitsubishi. Ia bukan sahaja mengenakan lampu utama tirus sepertimana yang dibuat oleh pemilik-pemilik Triton sebelum ini yang mengambil terus muka dari Pajero Sport, malah tampil lebih segar dengan rekaan hampir sama seperti pada model-model terkini Mitsubishi seperti Eclipse Cross dan SUV MPV Xpander.

    Garis pada bonet depan kini 100 mm lebih tinggi dari model terdahulu, manakala lampu hadapan bi-LED dengan lampu nyalaan siang LED bina (untuk Adventure X, varian lain diberikan lampu halogen projektor dan LDR halogen) dalam pada trak pikap ini direka nipis. Lampu-lampu berkenaan dihubungkan antara kedua-duanya dengan gril dua bar baharu. Bagi menyerlahkan rupa Dynamic Shield berkenaan, perumah lampu kabus direka lebih menyerlah bersama kemasan krom yang tebal.

    Mitsubishi Triton 2019 dilancarkan di M’sia secara rasmi – 6-kelajuan auto, 5 varian, dari RM100k-RM135k

    Untuk membezakan varian, versi Adventure X dan Premium menerima bampar hadapan krom bersama lampu kabus, pembuka pintu krom, dan juga cermin sisi kemasan krom bersama sistem kawalan elektrik dan dilengkapi lampu isyarat membelok. Tiada perubahan pada bahagian pintu, dan ia masih mengekalkan “garisan-J” asli Triton. Namun pada bahagian sisi, trak ini disegarkan dengan pemadanan set rim 18-inci baharu untuk varian tertinggi Adventure-X dan 17-inci bagi varian lain.

    Beralih ke belakang, model varian tertinggi diberikan lampu belakang LED yang direka dengan grafik seperti air meleleh – memberikan rupa luaran yang kini hampir menyerupai versi konsepnya – GR-HEV – muncul pada Bangkok Motorshow 2013. Varian lain yang lebih rendah pula hanya menerima lampu petak biasa. Manakala pembuka pintu tailgate belakang dan juga kemera undur diletakkan dalam perumah kemasan krom.

    Empat warna badan ditawarkan iaitu White Diamond, Jet Black Mica (hanya untuk Adventure-X), Sterling Silver (hanya untuk versi asas AT dan MT) dan Graphite Grey Metallic (hanya untuk varian Premium AT dan MT).

    Penyegaran turut dibuat untuk bahagian kabin. Suis-suis kawalan dan liang penghawa dingin kini direka semula dengan lebih kemas, serta menerapkan rekaan yang lebih bersegi, sesuai dengan rupa luarannya.

    Untuk varian Adventure X dan Premium, ia menerima suis penghidup enjin, panel meter berkontras tinggi bersama paparan pelbagai info berwarna,roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit dan kunci automatik menggunakan penderia kelajuan. Penumpang belakang menerima slot penyimpan telefon pintar dan port usb, serta liang penghawa dingin yang mengitar semula udara dari kabin hadapan menggunakan kipas blower sendiri, dan boleh dikawal dengan empat-kelajuan berbeza.

    Hanya model tertinggi Adventure X menerima temapt duduk balutan kulit, amaran pemakaian tali pinggang keledar hadapan, penderia parkir hadapan dan belakang dan juga tempat duduk pemandu larasan berkuasa.

    Mitsubishi Triton 2019 dilancarkan di M’sia secara rasmi – 6-kelajuan auto, 5 varian, dari RM100k-RM135k

    Bagi sistem infotaimen pula, Adventure X dan Premium menerima skrin sesentuh yang boleh dikawal dengan suara tetapi hanya Adventure X menerima sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Versi asas AT dan MT pula diberikan pemain utama 2-Din yang mampu memainkan muzik dari CD dan fail MP3 dari USB.

    Triton baharu ini masih ditawarkan dengan enjin 4N15 MIVEC turbodiesel 2.4 liter yang mampu menjana 179 hp pada takat 3,500 rpm dan tork maksima 430 Nm bermula 2,500 rpm. Enjin turbodiesel 2.5 liter empat-silinder berkuasa 107 hp dan tork maksima 200 Nm hanya ditawarkan pada model Triton Quest, dan ia tidak menerima muka baharu ini.

    Untuk kotak gear pula ada berita baik untuk mereka yang gemar memilih transmisi automatik – Triton kini diberikan kotak gear enam-kelajuan auto bagi menggantikan kotak gear lima-kelajuan INVECS II sebelum ini. Versi manual masih menerima enam-kelajuan, namun menurut Mitsubishi, kotak gear pada trak pikap baharu ini memberikan penukaran yang lebih lancar dan halus serta memberikan pecutan yang lebih berkuasa.

    Mitsubishi Triton 2019 dilancarkan di M’sia secara rasmi – 6-kelajuan auto, 5 varian, dari RM100k-RM135k

    Model 4WD disertakan dengan sistem Super-Select 4WD dan Easy-Select 4WD. Mitsubishi menyatakan bahawa kedua-dua sistem tersebut menawarkan cengkaman dan karekteristik optimum pada semua permukaan dan prestasi pada laluan off-road juga telah dipertingkat. Model pacuan empat roda juga menerima sistem Kawalan Menurun Bukit secara ekslusif buat pertama kali pada Triton (hanya pada Adventure X).

    Bukan itu sahaja, kini sistem 4WD untuk model Adventure X dan Premium AT turut menawarkan mod pemanduan Gravel, Mud/Snow, Sand dan Rock pada gear 4L. Menerusi sistem ini, kuasa enjin, transmisi dan cengkaman tayar (dikawal menerusi brek oleh komputer) akan ditala semula mengikut mod yang dipilih pemandu bagi mendapatkan prestasi off-road yang optima.

    Trak pikap ini juga sebenarnya 100 mm lebih tinggi dari sebelum ini. Walaupun bersaiz besar, Triton 2019 mempunyai radius pusingan 5.9 meter yang bukan sahaja memudahkan pengadalian dalam off-road, malah untuk pemanduan dalam bandar pada kawasan yang sempit.

    Pelbagai ciri keselamatan telah ditingkat taraf menerusi model 2019 dan antaranya yang pertama dalam kelasnya pada pasaran Malaysia bergantung pada varian. Ciri berkenaan adalah adalah Pengelak Pelanggaran Hadapan, Amaran Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang, Lampu Tinggi Automatik (AHB) dan juga tujuh beg udara SRS – kesemua ini hanya untuk Adventure X dan model lain hanya diberikan dua beg udara di hadapan.

    Triton Adventure X juga menerima Sistem Pengelak Salah Pecut Ultrasonic (UMS) yang berfungsi untuk mengelakkan kemalangan yang berlaku kerana pemandu yang menekan pedal secara tidak betul semasa mula bergerak atau mengundur pada ruang sempit – lebih kurang dengan sistem Pedal Misoperation Control (PMC) pada Perodua Myvi generasi baharu.

    Menurut Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), selepas tempahannya dibuka ketika diprebiu pada KLIMS 2018 November lalu, 800 unit Triton 2019 telah ditempah, dan pelanggan-pelanggan awal akan menerima trak pikap mereka sebelum perayaan Tahun Baharu Cina. MMM mensasarkan jualan sebanyak 600 unit sebulan dan pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia telah pun menempah 50-unit model baharu ini.

    Perincian lengkap berkenaan Mitsubishi Triton 2019 ini boleh anda lihat di laman Carbase.my.

    GALERI: Mitsubishi Triton Adventure X 2019

    GALERI: Mitsubishi Triton Premium MT 2019

    GALERI: Mitsubishi Triton Premium AT 2019

    GALERI: Mitsubishi Triton AT 2019

     
     
  • 90,000 saman AES dikeluarkan sejak 1 Sept 2018, hanya 10,000 dibayar; tiada lagi diskaun saman – Loke

    90,000 saman AES dikeluarkan sejak 1 Sept 2018, hanya 10,000 dibayar; tiada lagi diskaun saman – Loke

    Sejak Kementerian Pengangkutan mengambil alih operasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) pada 2018, sebanyak 90,000 saman telah dikeluarkan berkaitan kesalahan melebihi had laju yang dirakamkan oleh kamera terbabit. Walau bagaimana pun, daripada jumlah itu, hanya 10,000 saman sahaja yang dibayar, dengan jumlah kutipan yang bernilai RM3 juta.

    Ini menyaksikan kekurangan pendapatan berjumlah RM24 juta, berdasarkan kadar RM300 per saman yang dikeluarkan, ujar menterinya Anthony Loke. Beliau berkata demikian sewaktu melancarkan Ops Bersepadu dan kempen keselamatan jalan raya Tahun Baharu Cina (TBC) di Dengkil, Selangor, semalam.

    “Kempen keselamatan jalan raya pada 2018 merekodkan sejumlah 21,041 kemalangan, berbanding 20,572 pada tempoh yang sama tahun 2017,” ujarnya.

    90,000 saman AES dikeluarkan sejak 1 Sept 2018, hanya 10,000 dibayar; tiada lagi diskaun saman – Loke

    Sepanjang tempoh perayaan TBC pada 2018, sejumlah 226 kematian direkodkan, berbanding 257 pada 2017. Loke berkata, “Pada pandangan saya, 226 kematian itu untuk tempoh dua minggu musim perayaan boleh dianggap sangat tinggi dan saya berharap semua pihak memandang serius dengan perkara ini, termasuk pengguna jalan raya, dan membantu mengurangkan statistik ini.”

    Statistik yang dikeluarkan oleh polis pula, untuk tempoh Januari hingga September 2018, sebanyak 410,926 kemalangan direkodkan, berbanding 533,875 pada 2017, menurun sebanyak 23%. Begitu juga dengan kemalangan yang menyebabkan kematian sepanjang tempoh yang sama, dengan 4,823 pada 2018 berbanding 6,740 pada 2017.

    “Mulai sekarang, tiada lagi diskaun saman yang akan dikeluarkan oleh JPJ untuk semua kesalahan,” ujar Loke. Ini termasuk tujuh kesalahan trafik; gagal patuhi lampu isyarat, memotong di laluan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, tidak memakai tali pinggang keledar, menyebabkan laluan paling kanan terhalang dan memandu di lorong kecemasan – di mana sebanyak 27,013 saman telah dikeluarkan.

    90,000 saman AES dikeluarkan sejak 1 Sept 2018, hanya 10,000 dibayar; tiada lagi diskaun saman – Loke

    “Untuk tahun ini, saya menggesa polis dan JPJ untuk memfokuskan operasi mereka di jalan negeri dan persekutuan, kerana majoriti kemalangan jalan raya berlaku di jalan-jalan demikian jika mengikut statistik,” ujar Loke lagi. Untuk Ops Bersepadu tahun ini, yang bermula pada 29 Januari hingga 12 Februari 2019, seramai 10,000 penguatkuasa telah ditugaskan iaitu 6,140 daripadanya adalah polis, 1,800 dari JPJ, 150 dari Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan selebihnya sokongan dari agensi berkaitan.

    Sebagai tambahan, PLUS juga akan menggerakkan 5,000 kakitangannya sepanjang musim perayaan untuk memastikan perjalanan pengguna lebuhrayanya lancar. Malah sepanjang kempen ini juga, Shell Malaysia akan menyediakan minyak untuk 40 penunggang motosikal dan mendemostrasi sistem titik buta untuk kenderaan berat.

     
     
  • BMW Malaysia melancarkan enam fasiliti pengecasan BMW i baharu di Bangsar Shopping Centre

    BMW Malaysia melancarkan enam fasiliti pengecasan BMW i baharu di Bangsar Shopping Centre

    Dalam majlis mengumumkan prestasi jualan BMW Group Malaysia sepanjang 2018, jenama kenderaan premium ini turut memperkenalkan enam fasiliti pengecasan baharu BMW i di Bangsar Shopping Centre. Ia menandakan satu langkah yang penting dalam inisiatif syarikat ini untuk memupuk peralihan negara Malaysia ke arah Mobiliti-Elektro.

    Pengenalan infrastruktur baharu ini merupakan susulan kepada fastiliti-fasiliti pengecasan BMW i yang dibuka di Ramada Plaza oleh Wyndham Melaka, The Banjaran Hotsprings Retreat di Ipoh, Iconic Hotel di Pulau Pinang serta WEIL Hotel di Ipoh yang diperkenalkan pada tahun lalu.

    Portfolio Mobiliti Bervisi BMW Group Malaysia dengan kenderaan BMW iPerformance juga didukung oleh platform ChargEV melalui usaha samanya dengan GreenTech Malaysia.

    Perkhidmatan BMW ChargeNow yang ditawarkan menerusi program BMW 360° ELECTRIC juga memberikan akses kepada fasiliti-fasiliti pengecasan rakan kongsi yang lain seperti ChargEV, ia membolehkan pengguna menikmati bantuan dan akses 24/7 bagi kesemua lokasi pengecasan yang terletak dalam rangkaian ChargEV yang kian berkembang di seluruh negara.

    Pada tahun lalu, kenderaan elektrifikasi BMW mencatatkan penguasaan sebanyak 57% dalam jualan keseluruhannya di negara ini, dengan sejumlah lebih 7,500 unit. Model plug-in hybrid tersebut ialah BMW X5 xDrive40e, BMW 740Le xDrive, BMW 530e, BMW 330e dan MINI Cooper S E All4 . Ini menandakan penerimaan masyarakat di Malaysia untuk kenderaan plug-in hybrid semakin menggalakkan, apatah lagi stesen pengecasannya kian diperluaskan.

     
     
  • Proton Iriz facelift 2019 terdedah diuji oleh Tun M

    Kalau anda masih ingat, Proton Iriz antara projek terakhir Proton ketika dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamed, dan beliau dilihat memandu kereta berkenaan 10 hari sebelum dilancarkan – ketika itu nama Iriz masih belum rasmi, hanya dikenali sebagai Proton Compact Car (PCC).

    Kini terdedah pula Iriz versi facelift 2019 dalam sebuah video di akaun youtube Tun sendiri, Chedet Official, yang memaparkan Perdana Menteri itu menguji hatchback segmen-B yang disegarkan berkenaan.

    Tiada sebarang pelekat penyamaran seperti gambar dan video spyshot sebelum ini, membolehkan kita melihat dengan jelas rupa Iriz facelift berkenaan. Iriz nampaknya menerima muka baharu yang dihasilkan dari lampu hadapan lebih tirus diambil dari Persona, bersama gril baharu yang mempunyai jalur krom berbentuk sayap dan bersambung dengan kemasan jalur di atas lampu.

    Bampar hadapan turut dirombak semula dengan rekaan ‘mulut’ bahagian bawah lebih kecil, tetapi diberikan kemasan perumah lampu kabus LED yang lebih menonjol. Bahagian sisi pula menampilkan perubahan ringkas menerusi pemadanan set rim baharu dan juga antena sirip yu menggantikan antena konvensional pada bumbung.

    Namun di belakang, Iriz menerima perbezaan yang memudahkan kita kenal mana model lama dan mana model lebih baharu. Versi 2019 ini diberikan kemasan tambahan berwarna hitam yang turut menempatkan perkataan ‘PROTON’ dengan gaya seperti SUV X70. Grafik lampu belakang juga direka semula dan ia nampak seperti lebih kurus dari model sebelumnya.

    Proton Iriz <em>facelift</em> 2019 terdedah diuji oleh Tun M

    Bukan itu sahaja, bampar belakang turut ditukar, kali ini menampilkan bahagian kelihatan seperti diffuser yang lebih menyerlah, bersama sepasang liang udara menegak pada kedua-dua sisi.

    Tetapi agak sukar untuk melihat perubahan bahagian dalaman menerusi video berdurasi 50 saat ini. Apa yang kami boleh ‘tangkap’ adalah skrin sesentuh infotainmen lebih besar, serta tuil penukar gear yang diinspirasikan juga dari abang besar Proton X70.

     
     
  • Petronas perkenal petrol Primax 95 dengan Pro-Drive

    Petronas perkenal petrol Primax 95 dengan Pro-Drive

    Petronas Dagangan Berhad hari ini melancarkan petrol RON 95 dengan formulasi terbaru, dikenali sebagai Petronas Primax 95 dengan Pro-Drive. Bahan api berkenaan kini di datangkan dengan ciri “Dual Friction Modifier” yang pertama di dunia. Teknologi minyak sebelum ini hanya menggunakan modifier tunggal.

    Apa kelebihan formulasi terbaru petrol RON 95 dari Petronas ini? Ada dua perkara – ia diuji berhasil mengurangkan geseran dalam enjin sebanyak 20% berbanding bahan api dengan modifier tunggal. Kesannya, enjin kenderaan menjadi lebih lancar dan responsif. Kedua, ia juga hadir dengan “Double Detergent” yang berupaya membersihkan sehingga 99% deposit karbon.

    Petrol baru ini sudah berada disemua stesen Petronas seluruh negara dan mula dijual hari ini. Dibangunkan selama dua tahun, Primax 95 dengan Pro-Drive direka sepenuhnya di Malaysia sebelum turut diuji di Amerika Syarikat.

    Petronas perkenal petrol Primax 95 dengan Pro-Drive

    Eksekutif Teknologi Bahan Api Petronas Dagangan Berhad, Mohamad Hafiz Abd Aziz memaklumkan, ini kali pertama pembangunan bahan api petrol yang turut mengambil kira pemerhatian terhadap penggunaan terhadap kenderaan hibrid di dalam proses pembangunannya. “Berkaitan perkara ini, Petronas yang pertama melalkukannya. Disebabkan itu kami perlu memulakannya dari awal, dan melakukan pemerhatiannya sendiri, dari sifar,” jelas Hafiz.

    Selain itu, petrol baru ini juga hadir dengan ciri anti-hakisan enjin yang kini menyediakan dua kali lebih perlindungan kepada enjin. Ujian dan pemerhatian Petronas ke atas kenderaan juga mendapati, baki tenaga bateri yang tersisa masih berbaki 2% berbanding penggunaan petrol biasa. Ia juga menggunakan kurang tenaga bateri dan bahan api bagi satu jarak perjalanan yang sama.

    Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Sri Syed Zainal Abidin memaklumkan; “Primax 95 dengan Pro-Drive ini adalah maklumbalas kami dalam memenuhi keperluan dan memberi kepuasan kepada pelanggan. Rata-rata mereka inginkan pemanduan lebih lancar, enjin yang lebih responsif dan cekap. Jadi, melalui produk ini, kami penuhi keperluan itu semua.”

    Petronas perkenal petrol Primax 95 dengan Pro-Drive

    Sempena pelancaran rasmi ini dan ingin menggalakkan orang ramai mencuba sendiri produk terbaru ini, pelanggan yang mengisi RM30 Primax 95 dengan Pro-Drive di mana-mana stesen Petronas dari 1 – 3 Februari ini dan terus menerima rebat RM1 bagi pembelian barangan di Kedai Mesra Petronas.

    Selain itu, 108 stesen Petronas ketika ini membolehkan pelanggan menggunakan perkhidmatan aplikasi pintar Setel; kaedah pembayaran tanpa tunai yang pertama di Asia Tenggara yang tidak memerlukan pemandu untuk keluar kenderaan bagi tujuan membuat pembayaran untuk bahan api. Angka ini akan ditingkatkan kepada 268 stesen menjelang Mac 2019, dan 600 stesen menjelang hujung tahun nanti.

    Satu lagi perkhidmatan baru, trak mudah alih ROVR yang menyediakan perkhidmatan penghantaran bahan api antara perniagaan (B2B) yang boleh dimanfaatkan oleh pelanggan fleet akan turut dikembangkan. Ketika ini, hanya satu trak berkenaan tersedia, dan Petronas mensasarkan untuk ada 30 unit trak berkenaan menjelang hujung tahun ini.

     
     
  • BMW M’sia catat 13% peningkatan jualan pada 2018 – 57% daripadanya adalah model elektrifikasi

    BMW M’sia catat 13% peningkatan jualan pada 2018 – 57% daripadanya adalah model elektrifikasi

    BMW Group Malaysia telah mengumumkan kejayaan satu rekod baharu buat tahun kelapan berturut-turut apabila berjaya mencapai 13% peningkatan jualan pada 2018. Di mana sebanyak 14,338 unit kenderaan pelbagai model dari BMW telah berjaya dijual pada tahun lalu.

    Daripada jumlah itu, sebanyak lebih 7,500 unit atau merangkumi 57% daripadanya adalah kenderaan elektrifikasi, iaitu BMW X5 xDrive40e (2,900 unit), BMW 740Le xDrive (540 unit), BMW 530e (1,700 unit), BMW 330e (2,100 unit) dan MINI Cooper S E All4 (90 unit).

    BMW turut berkata, sebanyak lebih 2,700 unit untuk model 5 Series, 3 Series dengan 3,300 unit, MINI Cooper Countryman F60 (lebih 560 unit), dan BMW Motorrad R 1200 GS Adventure (lebih 330 unit) menjadi model terlaris pada tahun lalu.

    BMW M’sia catat 13% peningkatan jualan pada 2018 – 57% daripadanya adalah model elektrifikasi

    Menurut Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, “Tahun 2018 merupakan tahun yang memberangsangkan bagi BMW Group di peringkat global dan kami telah mencatatkan satu lagi rekod baharu untuk tahun yang kelapan secara berturut-turut dengan penyerahan 14,338 unit kenderaan. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 13% dan angka ini merupakan yang tertinggi dalam segmen pasaran seumpamanya. Pencapaian ini juga memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran utama di rantau ini bagi BMW Group, dan kami berbesar hati untuk menggarap kejayaan tersebut.”

    Beliau turut berkata, semua jenama di BMW Group Malaysia masing-masing menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Model BMW sendiri mencatatkankan jualan sebanyak 12,008 unit (+13%), MINI dengan 1,200 unit (+18%) dan BMW Motorrad pula 1,130 unit (+7%). Manakala sasaran jualan untuk tahun 2019 masih dikekalkan seperti mana tahun sebelumnya iaitu sekitar 14,000 unit.

    “Sebagai peneraju dalam pembekalan kenderaan berelektrik yang premium di negara ini, kami sentiasa berusaha untuk memacu daya inovasi, keupayaan pemasangan di peringkat domestik, kesedaran terhadap teknologi yang baharu dan bersih bagi industri automotif, serta untuk mengubah infrastruktur kenderaan premium di Malaysia. Kami mula mengikhtiarkan inisiatif-inisiatif ini bersama Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) seawal tahun 2015 dan kami juga telah membangunkan beberapa projek dalam rangkaian pengedaran kami di seluruh negara,” sambungnya lagi.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025