Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volvo Cars Malaysia buka pusat 3S baharu di Melaka

    Volvo Cars Malaysia buka pusat 3S baharu di Melaka

    Bagi memudahkan lagi pelanggan bahagian selatan tanah air, Volvo Cars Malaysia (VCM) kini memperkenalkan satu lagi pusat 3S mereka di Melaka. Fasiliti yang terletak di Jalan Tun Sri Lanang dalam Bandar Melaka berkenaan dioperasikan oleh Seong Hoe Motors.

    Pembukaan pusat baharu ini juga adalah seiring dengan program transformasi VCM yang telah bermula dua tahun lalu, serta menyaksikan implementasi Volvo Retail Experience (VRE) untuk semua fasiliti pengedar Volvo seluruh negara. VRE ini merupakan standard yang komprhensif yang membabitkan semua aspek kritikal di jaringan pengedar – dari rupa dan rasa pada bilik pameran hingga ke kualiti servis yang diberikan pada pelanggan.

    “Kami sedang fokus bagi mewujudkan pengalaman konsisten untuk konsumer yang mencerminkan nilai penting kami. Adalah penting untuk kami kekalkan penampilan berinspirasikan Scandinavia pada kereta dalam bilik pameran kami dan juga pada pusat servis,” kata pengarah urusan VCM Lennart Stegland.

    Pusat 3S baharu di Melaka ini menampilkan enam ruang servis pada pusat servis yang turut mampu untuk menguruskan model-model hibrid plug in T8 Twin Engine terbaharu. Seong Hoe juga bukanlah nama baharu dalam industri kerana mereka berpengalaman dalam perniagaan pelbagai jenama kereta buatan Eropah.

    Pusat 3S Volvo baharu di Melaka ini dibuka dari 9 pagi hingga 6 petang pada Isnin hingga Sabtu, manakala Ahad dan cuti umum ia akan beroperasi dari pukul 11 pagi hingga 5 petang.

     
     
  • KLIMS18: Kia Picanto GT-Line kini dipamer, ada AEB

    KLIMS18: Kia Picanto GT-Line kini dipamer, ada AEB

    Sekarang ini, untuk model Kia Picanto yang ditawarkan di Malaysia, cuma ada satu varian sahaja iaitu 1.2 EX, namun ada khabar yang mengatakan, varian KX dan GT-Line juga akan tiba. Kini, satu daripadanya, iaitu GT-Line sudah pun sampai, dan dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS 2018).

    Secara visualnya, untuk membezakan varian GT-Line ini dengan model biasa, anda boleh melihat pada bampar depan dan belakang yang lebih sporty serta rim 16 inci yang lebih besar, dibalut tayar 195/45. Melalui penggunaan bampar yang diubah ini juga, lampu kabus telah bertukar tempat, dan ia mempunyai jalur merah di sekeliling kereta dan juga dua muncung ekzos di belakang.

    Pada bahagian dalam, Picanto GT-Line ini menggunakan roda stereng yang rata di bahagian bawahnya, serta tempat duduk yang dibalut kulit. Peningkatan lain yang ada padanya adalah termasuk bumbung suria, panel instrumen Supervision, pendingin hawa automatik, perehat tangan depan, cermin solek berlampu, cruise control dan sistem pemerhati tekanan angin tayar.

    Apabila diperhatikan pula di bawah tempat letak nombor plet, anda akan dapat melihat satu panel yang menyembunyikan pengesan yang sepatutnya adalah untuk sistem brek autonomous. Ciri ini telah dilaporkan akan ada pada GT-Line, sebagai tambahan kepada sistem keselamatan lain seperti enam beg udara, stability control, ABS dan hill start assist.

    Senarai kelengkapan lain adalah sama seperti EX iaitu dilengkapi lampu projector halogen dengan lampu siang LED di hadapan, lampu belakang LED, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, kamera undur, enam pembesar suara dan sistem hiburan skrin sesentuh tujuh inci dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Melalui apa yang dilihat bawah bonetnya, Picanto GT-Line ini dikuasakan oleh enjin empat silinder NA Kappa II 1.2 liter yang mampu menghasilkan kuasa 84 PS pada 6,000 rpm dan 122 Nm tork pada 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik empat kelajuan, yang menghantar kuasa ke roda hadapan.

     
     
  • Ford sedang bangunkan teknologi untuk hilangkan ‘bau kedai’ pada kereta baharu bagi pasaran China

    Ford sedang bangunkan teknologi untuk hilangkan ‘bau kedai’ pada kereta baharu bagi pasaran China

    Selain dari plastik pembalut pada tempat duduk, ‘bau kedai’ pada ruang kabin kereta baru antara elemen yang mengujakan setelah anda menerima kereta dari bilik pameran bukan? Tapi lain pula hal nya di China kerana mengikut tinjauan yang dijalankan oleh J.D Power, 10 peratus (peratusan paling besar berbanding masalah lain) dari pengguna yang menerima kereta baharu mereka mengadu tidak selesa dengan ‘bau kedai’ berkenaan.

    Justeru itu, Ford yang mengambil berat masalah tersebut kini sedang membangunkan teknologi bagi menghilangkan bau berkenaan bagi memastikan tiada lagi masalah tersebut pada kereta-kereta baharu mereka, menurut laporan Detroit Free Press.

    Tahun lalu, Ford telah menubuhkan satu pasukan yang terdiri dari 18 orang yang mempunyai hidung sensitif bagi mengesan bau-bau itu dan mencari cara bagi menghilangkannya. Manakala pada awal bulan ini, Ford telah mendaftarkan paten untuk teknologi baharu yang dapat menghilangkan ‘bau kedai’ berkenaan.

    “Kenderaan baharu lazimnya mempunyai bau yang selalunya dipanggil ‘bau kereta baru”…Bau ini biasanya akan wujud untuk tempoh berberapa bulan selepas kereta baharu dihasilkan. Terdapat sebahagian pelanggan yang tidak suka bau ini, malah ada yang berasa terganggu dan sakit dari pada bahagian dalaman kereta baharu berkenaan,” jelas Ford pada fail paten berkenaan.

    Menerusi teknologi tersebut, kereta perlu dijemur pada cahaya matahari dengan tingkap terbuka. Enjin perlu dihidupkan dan kemudian sistem untuk menyah bau ini akan berfungsi secara automatik di mana kipas pemanas akan membantu pemanasan dalam kabin, setelah itu akan menghilangkan bau tersebut. Setelah ianya selesai, barulah kereta akan dihantar kepada pelanggan.

    Namun sistem ini masih lagi dalam peringkat pembangunan dan menurut portal berita tersebut, ia akan dipadankan pada model-model akan datang yang mempunyai sistem pemanduan separa-automatik. Jurucakap Ford juga memberitahu bahawa jenama tersebut belum mempunyai rancangan untuk melengkapkannya pada model-model sedia ada.

     
     
  • KLIMS18: UiTM AVII untuk kajian kereta autonomous

    KLIMS18: UiTM AVII untuk kajian kereta autonomous

    Bahagian luar Myvi yang anda tengok ini mungkin nampak seperti diubah suai sedikit sahaja, tapi sebenarnya perkara yang lebih penting adalah di bawah hudnya. Ia adalah sebuah prototaip yang dibuat oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk kajian berkenaan kenderaan autonomous, dipanggil sebagai Urban Intelligent Mobile Autonomous Vehicle II, atau AVII.

    Kenderaan ini dibina dengan kolaborasi antara empat fakulti iaitu kejuruteraan elektrikal, kejuruteraan mekanikal, seni reka bentuk dan sains matematik, dan dibayangkan sebagai “sebuah kenderaan elektrik autonomous masa hadapan inovatif yang dibangunkan oleh warga tempatan, serta cekap untuk mengemudi dalam jarak jauh dengan campur tangan yang minimal oleh manusia.”

    Ada pelbagai kelengkapan pemanduan autonomous pada kenderaan ini termasuk unit pengesan cahaya dan jarak (LIDAR) Velodyne VLP-16, yang boleh menghasilkan imej 3D 360 darjah melalui input yang didapati daripada 16 pengesan/laser.

    Turut dipasang adalah unit pengukur inertia, yang membantu menetapkan arah tujuan, manakala sistem GPS Emlid pula menyediakan kepekaan kedudukan yang diperlukan. Selain itu, terdapat juga kamera point-grey untuk kepekaan lorong, penentu jarak laser, pengesan ultrasonik dan kit pengesan kod berpusing. Kemampuan autonomous kenderaan ini terdapat pada bahagian stereng, pendikit, perancangan laluan dan navigasi, pengesan lorong serta pengesan objek.

    AVII boleh memuatkan empat orang didalamnya dan mempunyai berat keseluruhan 1,000 kg. Ia direka semata-mata untuk kajian berkenaan pemanduan autonomous, tetapi ada juga satu lagi kajian yang boleh dilakukan menggunakannya iaitu berkenaan kenderaan elektrik. Padanya terdapat motor DC asynchronous 48 volt lima hp yang mendapat kuasa daripada bateri lead-acid 8.1 kWh.

    Jarak pergerakan dengan sekali cas penuh (boleh dilakukan dalam masa lima jam menggunakan soket tiga pin 240V rumah biasa) adalah 50 km, dan ia boleh bergerak sehingga kelajuan maksimum 30 km/j. Walaupun begitu, kelajuannya dihadkan kepada 25 km/j sahaja setakat ini.

     
     
  • KLIMS18: Kia Sportage 2.0D GT-Line 2019 – RM150k

    KLIMS18: Kia Sportage 2.0D GT-Line 2019 – RM150k

    Kia Sportage facelift sedang dipertontonkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS 2018), bagi varian 2.0D GT-Line, di mana ia merupakan salah satu daripada dua varian yang ditawarkan bagi SUV lima-tempat duduk ini, selain 2.0 EX. Kedua-duanya dijual untuk pasaran tempatan, dengan varian 2.0 GT-Line berharga RM149,888 atas jalan tanpa insurans, dan 2.0 EX pula RM126,888.

    Dengan peningkatan ini, bahagian hadapan Sportage menerima bampar baharu selain lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang LED sama seperti Cerato dan Ceed. Apron bawah juga direka semula dengan kepingan kemasan krom baharu yang diletakkan berhampiran lampu kabus menghala ke pemegang plat nombor.

    Di bahagian belakang, lampu undur dan reflektor kini ditempatkan di atas salah satunya dengan bampar yang dibentuk semula, dipadankan bersama kemasan ekzos krom. GT-Line turut mendapat lampu belakang kombinasi jenis LED bersama elemen lain termasuk rekaan gril yang unik, lampu kabus hadapan LED “ice cube” dan roda aloi 19-inci.

    KLIMS18: Kia Sportage 2.0D GT-Line 2019 – RM150k

    Menjengah bahagian dalamnya pula, ia ditampilkan dengan roda stereng baharu dengan jenis leper di bawah. Ciri lain termasuk kawalan suhu dwi-zon dengan corong belakang, pedal penukar gear, pedal aloi, tailgate berkuasa, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, tempat duduk berkuasa lapan-hala (hanya untuk pemandu bagi EX) dan sistem infotainmen skrin sesentuh tujuh-inci.

    Selain itu, ciri lain yang spesifik untuk GT ialah pengecas telefon tanpa wayar Qi, paparan instrumen pelbagai-inci 4.2-inci (3.5-inci pada EX) dan upholstery kulit dwi-tona berbanding material fabrik bagi EX.

    Untuk keselamatan dan bantuan pemandu, Sportage menawarkan enam beg udara, Blind-Spot Collision Warning (BCW), Rear Cross-Traffic Collision Warning (RCCW), Parking Distance Warning-Forward (PDW-F) dan Vehicle Stability Management (VSM).

    KLIMS18: Kia Sportage 2.0D GT-Line 2019 – RM150k

    Di bawah bonetnya, Sportage GT-Line dikuasakan oleh enjin 2.0 liter R CRDi empat-silinder dengan 185 PS pada 4,000 rpm dan tork 400 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Turut dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan, menggantikan unit enam-kelajuan sebelum ini.

    Bagi yang mahukan enjin petrol bagi EX, ia dijanakan dengan 2.0 liter Nu MPI empat-silinder dengan padanan transmisi automatik enam-kelajuan. Angka kuasa bagi penjana petrol ini kekal sama, pada 155 PS pada 6,200 rpm dan tork 192 Nm pada 4,000 rpm.

     
     
  • Benelli TRK 251, Leoncino 250 dan 502C dipertonton awal di M’sia, masuk pasaran pertengahan tahun 2019

    Benelli TRK 251, Leoncino 250 dan 502C dipertonton awal di M’sia, masuk pasaran pertengahan tahun 2019

    Motosikal jenama dari Itali iaitu Benelli terus memandang Malaysia sebagai satu pasaran yang penting dan telah mempertontonkan tiga model baru yang akan berada di pasaran pertengahan tahun hadapan iaitu TRK 251 (adventure), Leoncino 250 (naked) dan 502C (cruiser). Harganya juga masih belum disiarkan.

    Melihat kepada TRK 251, ia boleh dianggap sebagai adik kepada TRK 502, kerana ia menggunakan bentuk dan gaya yang sama, tetapi enjin lebih kecil. Model ini dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok DOHC 249 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan 26.8 hp pada 10,500 rpm dan 21 Nm tork pada 9,000 rpm.

    Keistimewaan TRK 521 adalah ia disediakan dengan kelengkapan yang bersesuaian untuk tunggangan jenis jelajah, termasuk penghadang angin hadapan tinggi, kedudukan tegak, tangki bahan api 17 liter, pengecas USB, lampu hadapan jenis projector LED, rim 17 inci, jarak kelegaan dari tanah 200 mm, fork hadapan USD 41 mm, monoshock di belakang, brek cakera depan dan belakang, serta sistem ABS yang boleh ditutup.

    Sama seperti TRK 251, Leoncino 250 juga adalah satu versi yang lebih kecil kerana sebelum ini telah diperkenalkan Leoncino 500. Model ini menggunakan bentuk naked, dengan lampu hadapan jenis LED, pemegang yang tinggi dan mudah dicapai, kerangka jenis trellis serta tempat duduk luas untuk dua orang.

    Ia juga didatangkan dengan kelengkapan moden seperti meter jenis digital, brek cakera depan dan belakang siap dengan ABS, fork hadapan USD 41 mm, monoshock di belakang, tangki bahan api 12 liter dan rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang.

    Enjin yang digunakan pada Leoncino 250 ini adalah sama dengan TRK 251, iaitu unit satu silinder empat strok DOHC 249 cc yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan 26.8 hp pada 10,500 rpm dan 21 Nm tork pada 9,000 rpm. Enjin ini juga mendapat penarafan emisi Euro 4.

    Pergi pula kepada 502C, ia adalah sebuah model yang diperkatakan ramai kerana mempunyai bentuk seperti Ducati Diavel. Ia dibangunkan sebagai sebuah cruiser, dan kerana itulah anda boleh melihat tempat letak kakinya lebih ke hadapan, manakala tempat duduk pula lebih rendah dan pemegang lebih panjang ke belakang.

    Bentuk yang sama turut digunakan pada sebuah lagi model Benelli 400 cc iaitu 402S, tetapi 502C ini menggunakan enjin lebih besar yang berkapasiti 500 cc, dan merupakan unit dua silinder selari DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan. Kuasanya adalah 47.6 hp pada 8,500 rpm dan 45 Nm tork pada 5,000 rpm.

    Kelengkapan lain yang ada pada motosikal ini adalah termasuk rim 17 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang, fork USD 41 mm di hadapan, monoshock di belakang, meter jenis digital, tangki bahan api 21 liter, lampu jenis LED, brek cakera berkembar 280 mm dan angkup empat piston di hadapan, cakera 240 mm dan angkup satu piston di belakang, serta sistem ABS.

    GALERI: Benelli TRK 251



    GALERI: Benelli Leoncino 250


    GALERI: Benelli 502C

     
     
  • Selangor cadang bina litar lumba di Gombak

    Selangor cadang bina litar lumba di Gombak

    Bagi merancakkan lagi sukan permotoran di Selangor, kerajaan negeri telah bercadang untuk membina litar lumba di Sungai Tua, Gombak. Menteri Besar Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan menyediakan tanah seluas 20 ekar untuk pembinaan litar tersebut, menurut laporan Sinar Harian.

    Litar lumba tersebut akan dibina dengan kaedah Public Private Partnership, ujar Amiruddin dalam pembentangan Bajet Selangor 2019. “Selain itu, pelbagai acara-acara permotoran di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa akan dianjurkan selepas pembinaan litar lumba itu selesai,” katanya.

    Selangor cadang bina litar lumba di Gombak

    Mengulas lanjut mengenai litar di Gombak, Amirudin berkata, ia mampu memuatkan kapasiti tempat duduk untuk 1,000 penonton. Selain itu, fasiliti yang bakal disediakan termasuklah paddock, kafeteria, surau dan gerai jualan. Pembinaan bagi litar itu juga akan melibatkan perbincangan dengan Persatuan Automobil Malaysia (AA) bagi mendapatkan spesifikasi dan pengiktirafan yang membolehkan kejohanan besar diadakan di litar ini

    “Bukan itu sahaja, ia juga bagi kegunaan sepenuhnya, di mana litar ini juga boleh digunakan sebagai litar latihan pemanduan bagi jabatan kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

     
     
  • Mitsubishi Delica D:5 kini diperkenalkan di Jepun

    Mitsubishi Delica D:5 kini diperkenalkan di Jepun

    Seperti juga Nissan Vannette (kini dikenali sebagai Serena, menggunakan kod casis ‘C’ yang sama), Mitsubishi Delica antara ‘people mover‘ yang sangat terkenal satu ketika dahulu. Jika van lain yang sezaman dengannya menampilkan hanya sebelah pintu gelangsar, Delica lebih inovatif dengan menampilkan pintu gelangsar pada kedua-dua sisi, memudahkan penumpang untuk masuk kedalamnya.

    Kini, Delica bukan lagi van yang boleh dijadikan ‘Bas Kilang’ atau ‘Bas Sekolah’ kecil kerana model-model generasi baharunya tampil sebagai MPV. Versi generasi keenam model ini dikenali sebagai Delica D:5 sudahpun diperkenalkan di Jepun, menampilkan rupa yang garang.

    Seperti juga model-model generasi terkini Mitsubishi yang lain seperti Eclipse Cross, Xpander dan juga Triton 2019, Delica turut menerima muka ‘Dynamic Shield‘ generasi baharu, menampilkan lampu nyalaan siang LED tirus pada bahagian atas, manakala lampu hadapan utama diletakkan pada bahagian bampar.

    Apa yang menarik lagi, buat pertama kali, Mitsubishi menampilkan lampu hadapan dengan susunan LED menegak dan bukan melintang, di mana lampu biasa terdiri dari empat LED, dan lampu tinggi pula disusun dengan lima LED. Seperti juga MPV-MPV lain dari Jepun seperti Toyota Alphard, Delica diberikan gril hadapan yang cukup besar berbentuk perisai. Manakala pada bahagian belakang, ia diberikan lampu bersegi, dengan grafik LED seakan cecair yang mengalir ke bawah seperti lampu Triton.

    Dua versi Delica D:5 ditawarkan di Jepun, iaitu model Standard yang kelihatan lebih lasak dengan ciri seakan SUV, dan juga Urban Gear yang nampak lebih premium untuk kegunaan bandar.

    Versi Standard diberikan gril dengan elemen seakan susunan batu-bata, dan diberikan kemasan skid plate pada bahgian bawah bampar. Pada bahagian sisi, model Standard tidak mempunyai skirt membuatkan kelegaan tanahnya nampak lebih tinggi, dan skid plate turut diberikan pada bampar belakang. Dua pilihan rim ditawarkan untuk versi ini iaitu 16-inci dan 18-inci.

    Manakala untuk versi Urban Gear, gril hadapan direka dengan elemen lebih menlintang, tiada sebarang skid plate, manakala bampar hadapan dan belakang diberikan lips tambahan bersama skirt sisi yang lebih labuh. Varian ini juga hanya menampilkan satu pilihan rim 18-inci dengan rekaan berbeza dari versi standard.

    Untuk pasaran JDM ini, Delica D:5 turut ditawarkan dengan pelbagai aksesori dari pengedar. Aksesori berkenaan memberikan rupa yang lebih lasak untuk model standard terdiri dari perkataan ‘DELICA’ pada hujung bonet hadapan, mud-flap ala-kereta rali, pemijak kaki sisi dari bahan logam serta rak bumbung bersaiz besar – mengingatkan penulis kepada Delica 4WD dalam filem ‘Meals on Wheels’ lakonan Jackie Chan pada era 80’an dahulu.

    Bahagian dalaman Delica ini mampu memuatkan enam orang penumpang dengan tiga baris tempat duduk. Bahagian tengah papan pemuka diberikan skrin infotaimen seperti tablet bersaiz 10.1-inci, bersama suis kawalan penghawa dingin, butang pilihan mod pemanduan dan juga tuil penukar gear di bawahnya.

    Mitsubishi Delica D:5 kini diperkenalkan di Jepun

    Model standard diberikan kemasan dalaman berwarna hitam dan panel-panel dengan elemen kayu oak perang, namun dengan balutan fabrik berwarna beige. Opsyen G-Power Package pula akan menawarkan berberapa ciri tambahan seperti lampu suasana dengan jalur LED pada bumbung dan juga kamera 360 darjah yang memaparkan imej pada cermin pandang belakang.

    Versi Urban gear pula menampilkan kemasan panel kayu berwarna biru dan juga balutan kulit hitam. Dengan opsyen G-Power Package, model ini akan ditambah dengan kerusi pemandu larasan elektrik, pemanas tempat duduk dan pintu tailgate berkuasa.

    Kedua-dua varian Delica D:5 dijana dengan hanya satu pilihan enjin iaitu enjin 2.2 liter turbodiesel DI-D empat silinder dengan sistem pengurangan peredam selektif bersama AdBlue bagi mengurangkan kadar pencemaran NOx. Enjin tersebut menjana 170 hp dan tork maksima 392 Nm, dan kuasa dialirkan ke kotak gear lapan kelajuan automatik. Tidak lengkap jika sebuah Mitsubishi tidak disertkan dengan sistem pacuan semua roda – dan ia ditawarkan dengan tiga mod iaitu 2WD, 4WD dan Lock.

     
     
  • Porsche 911 gen-992 bocor menjelang pelancaran

    Porsche 911 gen-992 bocor menjelang pelancaran

    Selepas beberapa hari Porsche mula menyebarkan kehadiran 911 serba baharu, foto rasmi bagi model generasi-992 telah pun bocor dan tersebar di Internet. Walau bagaimana pun, ini bukanlah suatu kejutan kerana perkara sebegini memang sering berlaku.

    Bentuknya mungkin masih sama, tetapi bahagian hadapan dan belakangnya telah disemak semula. Malahan bamparnya kini lebih sporty dengan corong bentuk segi empat tepat pada sudut, tidak seperti unit trapezoidal yang ditampilkan pada gen-991.2.

    Lain-lain ciri yang kelihatan pada bahagian hadapan termasuklah lampu utama bulat dengan lampu nyalaan siang LED, dan di seksyen tengah terletaknya perumah bagi pengesan untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan kenderaan.

    Manakala bagi bahagian belakang pula, 911 mengambil inspirasi daripada adik-beradiknya yang lain dengan lampu belakang yang disambungkan oleh jaluran lampu iluminiasi. Selain itu, kluster juga berbentuk lebih kecil berbanding model sedia ada, dan dua corong ekzos pula dipisahkan dari antara satu sama lain dengan apron bawah yang direka semula untuk sambungan corong udara dan lampu kabus/reflektor yang lebih baik.

    Tiada foto bahagian dalaman, namun spyshot sebelum ini mendedahkan ia lebih kurang sama dengan adik-beradiknya yang lain, termasuk paparan bagi kluster instrumen dan sistem infotainmen pada pemuka utama. Malahan ia juga ditampilkan dengan suis gear, tuil gear, rekaan roda stereng dan unit kawalan suhu baharu.

    Bagi mengekalkan 911 dalam tradisinya, enjinnya akan terus ditempatkan pada gandar belakang, dengan kedua-dua bentangan roda-belakang dan pacuan semua-roda akan ditawarkan. Enjin pengecas turbo enam-silinder juga dijangka, dengan pilihan transmisi dwi-klac PDK lapan-kelajuan berbanding init tujuh-kelajuan yang ada pada model semasa – juga dengan manual tujuh-kelajuan.

    GALERI: Ujian pembangunan Porsche 911 gen-992

    GALERI: Spyshot Porsche 911 gen-992

     
     
  • Peraturan baharu untuk cermin gelap kenderaan bakal diperkenalkan tidak lama lagi – Anthony Loke

    Peraturan baharu untuk cermin gelap kenderaan bakal diperkenalkan tidak lama lagi – Anthony Loke

    Kerajaan bakal memperkenalkan peraturan baharu untuk cermin gelap kenderaan. Sementara ini, tiada perincian didedahkan mengenai peraturan terbabit, namun Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, perubahan terbabit akan dilaksanakan tidak lama lagi, laporan The Star.

    “Saya akan mengumumkan polisi baharu selepas membawa pindaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke parlimen akhir bulan ini,” ujarnya.

    Garis panduan cermin gelap kenderaan telah disemak semula pada Februari 2016, apabila peraturan yang dikemaskini, yang difailkan di bawah Peraturan Kenderaan Bermotor (Larangan Jenis Kaca Tertentu) 2016 yang menggantikan peraturan tahun 1991. Peraturan semasa menetapkan bahawa peratusan transmisi cahaya (VLT) minimum adalah 70% untuk cermin depan, 50% untuk tingkap depan, dan 30% untuk tingkap belakang dan cermin belakang.

    Pada Oktober tahun lalu, JPJ menafikan dakwaan yang dibuat di laman media sosial mengenai peraturan bahaharu yang bakal dilaksanakan pada tahun 2018. Ia juga dilaporkan terdapat rancangan untuk memperkenalkan standard Malaysia Standard (MS) 2669 baharu pada Januari tahun ini.

    Standard tersebut, yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia, filem-filem lapisan cermin gelap itu dikenalpasti menerusi label kod QR, bagi membolehkan penguatkuasa yang dibekalkan aplikasi mudah alih yang boleh digunakan untuk mendapatkan spesifikasi penuh filem tersebut dengan cara mengimbas kod.

     
     
  • Range Rover Evoque generasi baharu didedahkan – rupa ikonik kekal, padat pelbagai teknologi baharu

    Range Rover Evoque generasi baharu didedahkan – rupa ikonik kekal, padat pelbagai teknologi baharu

    Sekitar sepuluh tahun lalu, nama Land Rover sering dikaitkan dengan kenderaan lasak yang sinonim dengan lelaki pertengahan umur. Namun segala-galanya berubah apabila Evoque muncul pada tahun 2010, di mana SUV kompak yang sering dikaitkan dengan Victoria Beckham berkenaan menyebabkan jenama tersebut kini boleh dimiliki kaum hawa, tiada batas umur, tanpa kelihatan janggal.

    Lapan tahun dalam pasaran, kini Evoque hadir dengan model generasi kedua. Ia masih kekal dengan imej ikonik pada model sebelum ini, namun kelihatan jauh lebih segar. Menurut Jaguar Land Rover, Evoque generasi baharu ini menjanjikan standard baharu untuk perincian, kemampuan dan kemampanan.

    Garis badan pada Evoque baharu ini adalah kesinambungan dari model sebelumnya – garis bumbung yang menurun kebelakang dengan landai, manakala garis bahu pula menaik ke atas. Otot-otot yang diberikan pada kesemua ruang roda, bersama rim 21-inci baharu menggambarkan “sikap yang teguh dan dinamik”.

    Range Rover Evoque generasi baharu didedahkan – rupa ikonik kekal, padat pelbagai teknologi baharu

    Manakala pada bahagian belakang, Evoque diberikan perician seperti abangnya, Velar, bersama pembuka pintu yang boleh disorok. Ciri-ciri baharu yang lain termasuk elemen-elemen batu permata seperti pada lampu hadapan tirus LED Matrix dan elemen kuprum tembaga.

    Inspirasi dari Velar turut diberikan pada kabin. Ia dihasilkan dengan rekaan ringkas tanpa unsur-unsur ‘serabut’, yang di sifatkan Land Rover sebagai ruang dalaman yang mewah, minimalis dan digital. Antara ciri yang diberikan termasuk sistem skrin sesentuh berkembar Touch Pro Duo (menampilkan perisian baharu yang lebih pantas), tempat duduk denagn kawalan 16-hala serta ionisasi udara kabin.

    Land Rover turut menawarkan tekstil yang diperbuat dari plastik kitar semula, seperti campuran kapas Kvadrat dan kain sued Mikro Dinamica, dan juga pilihan Eucalyptus dan Ultrafabric bagi menggantikan balutan kulit.

    Range Rover Evoque generasi baharu didedahkan – rupa ikonik kekal, padat pelbagai teknologi baharu

    “Apabila Range Rover Evoque muncul buat pertama kali pada 2010, ia telah merubah dunia SUV kompak dan model baharu ini disasarkan untuk menyambung perjalanan luar biasa tersebut. Kenderaan yang penuh dengan karekter ini menggabungkan kehalusan dan keseronokan bagi menghasilkan semua emosi yang penting yang akan memusingkan kepala dan membuatkan orang tersenyum,” kata CEO rekaan Land Rover, Gerry McGovern.

    Saiz Evoque baharu ini masih lagi kekal, di mana dengan ukuran panjang 4.37 m adalah lebih kurang sama dengan sebelum ini. Namun, model generasi kedua ini sebenarnya diasaskan dari platform Premium Transverse Architecture Land Rover baharu yang dibina dengan pelbagai material serta menampilkan ruang kabin yang lebih luas.

    Jarak roda direka 20 mm lebih panjang bagi memberikan ruang lutut lebih luas, manakala ruang simpanan juga menerima peningkatan di mana glove box SUV tersebut kini boleh menempatkan tablet, beg tangan dan juga botol dengan mudah, menurut Land Rover.

    Ruang kargo pula dihasilkan dengan kapasti 591 liter atau 10% lebih besar, membolehkan ia diisi dengan satu beg golf. Mahu lebih ruang? Lipat tempat duduk belakang (dengan nisbah 40:20:40) sepenuhnya, dan anda menerima kapasiti sehingga 1,383 liter.

    Platform baharu ini turut direka bagi membolehkan teknologi elektrik diaplikasikan. Untuk permulaan, Evoque turut ditawarkan dengan sistem hibrid ringkas 48-volt, manakala model dengan sistem hibrid plug-in akan hadir setahun selepas ini.

    Sistem hibrid ringkas pada Evoque ini merupakan yang pertama diperkenalkan oleh Land Rover. Tenaga akan dicas semula ketika SUV berkenaan menyah-pecut menerusi starter generator yang digerakkan dengan tali sawat yang dihubungkan pada enjin. Kuasa elektrik akan dihantar kepada bateri 48V yang diletakkan di bawah lantai menggunakan penukar DC/DC.

    Range Rover Evoque generasi baharu didedahkan – rupa ikonik kekal, padat pelbagai teknologi baharu

    Pada kelajuan bawah 17 km/j, enjin akan dimatikan sekiranya pemandu menekan pedal brek. Apabila memecut pula, kuasa yang disimpan akan digunakan untuk membantu enjin konvensional bagi mengurangkan penggunaan bahan api. Menurut Land Rover, sistem ini menghasilkan pemanduan yang diperhalusi, senyap dan efisien dalam kawasan trafik sesak.

    Evoque generasi baharu ini menerima pilihan enjin Ingenium petrol dan diesel empat silinder. Sistem hibrid ringkas membolehkan emisi CO2 dicatatkan serendah 149 g/km dan penggunaan bahan api bermula 17.8 km/l berdasarkan prosedur ujian WLTP baharu. Model PHEV dan juga enjin petrol Ingenium tiga silinder yang akan ditawarkan pada masa hadapan bakal memberikan keberkesanan yang lebih baik.

    Kesemua enjin kecuali varian asas 2.0L D150 2WD Manual akan menerima sistem hibrid ringkas tersebut secara standard. Varian lain turut akan ditawarkan dengan kotak gear sembilan-kelajuan automatik dan sistem AWD, mankala pilihan enjin bermula dengan D150 berkuasa 150 PS/380 Nm sehingga petrol turbo P300 berkuasa 300 PS/400 Nm yang mampu memecut dari 0-96 km/j (0-60 bsj) dalam masa 6.3 saat.

    Range Rover Evoque generasi baharu didedahkan – rupa ikonik kekal, padat pelbagai teknologi baharu

    Bagi sistem off-road pula, pacuan semua roda Evoque ini digandingkan dengan sistem Active Driveline generasi kedua bersama Driveline Disconnect bagi meningkatkan keberkesanannya. Manakala sistem Adaptive Dynamics pula memberikan keseimbangan antara keselesaan dan ketangkasan yang optimum.

    Sistem Terrain Response 2 yang diambil dari model Range Rover yang lebih besar turut diberikan. Sistem ini berupaya untuk mengesan jenis permukaan jalan secara automatik ketika dipandu, dan selepas itu akan membuat tetapan semula juga secara automatik. Model baharu ini boleh mengharungi laluan berair sedalam 600 mm, atau 100 mm lebih dalam dari sebelumnya.

    Satu lagi ciri yang diberikan pada Evoque ini adalah cermin pandang belakang ClearSight – ciri pertama seumpamanya yang diberikan pada SUV dengan saiz tersebut. Dengan sistem ini, pemandu masih boleh melihat bahagian belakang dengan jelas walaupun bahagian kabin belakang dipenuhi barang-barang bersaiz besar, menerusi paparan skrin HD.

    Pemandu hanya perlu menggunakan suis di bawah cermin tersebut, kemudian kamera akan memberikan paparan bahagian belakang. Menurut Land Rover, skrin tersebut memberikan imej lebih lebar (50 darjah) dengan tahap penglihatan yang sangat baik walaupun dalam cahaya rendah.

    Satu lagi paparan yang akan memudahkan pemandu adalah teknologi yang digelar Ground View. Menerusi sistem ini, ia seolah-olah akan menjadikan bonet hadapan halimunan, membolehkan pemandu melihat bahagian bawah hadapan Evoque berkenaan dengan paparan 180 darjah. Sistem ini akan membantu pemandu pada ruang parkir yang sempit dan melalui jalan dengan halangan tinggi atau permukaan yang lasak. Sistem ini juga adalah versi produksi sistem ‘Bonet Telus Cahaya’ yang diprebiu oleh Land Rover pada 2014.

    Evoque juga menampilkan satu lagi teknologi yang pertama kali diperkenalkan iaitu Smart Setting – yang menggunakan algoritma A.I bagi ‘mempelajari’ apa yang pemandu suka dan bertindak sebagai pembantu kepada pemandu. Ia akan dihubungkan kepada larasan tempat duduk, pilihan muzik, tetapan penghawa dingin dan juga kedudukan kolum stereng bagi memaksimakan keselesaan.

     
     
  • KLIMS18: DS7 Crossback ditunjuk awal di Malaysia

    KLIMS18: DS7 Crossback ditunjuk awal di Malaysia

    DS Automobiles Malaysia telah membawa model DS7 Crossback untuk dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018, sebelum ia dilancarkan pada tahun hadapan. SUV ini bakal menjadi alternatif kepada mereka yang melihat kepada segmen yang disertai model lain seperti BMW X3, Mercedes-Benz GLC dan Audi Q5, tetapi mempunyai gaya yang tersendiri.

    Tanda utamanya adalah gril DS Wings yang diapit dengan lampu utama LED dengan empat petak kecil di dalamnya, inspirasi daripada model konsep DS E-Tense. Sekeliling gril ini terdapat kemasan berwarna kelabu, dan ia juga digunakan untuk memisahkan bahagian atas dan bawah bampar. Di penjuru bampar terdapat lampu siang yang dibina dengan bentuk jalur berbintik dan bawahnya pula adalah lampu kabus.

    Melihat kepada profail, garis badan yang jelas pada bahagian depan dan keliling roda menjadikan DS7 Crossback ini nampak lebih tegap, dan unit yang dipamerkan ini dipasang dengan trim Performance Line, yang termasuk rim ‘Beijing’ Black Onyx 19 inci. Di belakang, terdapat lampu yang mempunyai grafik seperti berlian, dan kemasan kelabu yang bermula dari bawah lampu tersebut dan bersambung di tengah.

    Masuk ke dalam, tema berlian ini terus digunakan, dan anda boleh melihatnya dalam sistem infotainmen serta panel instrumen digital 12.3 incinya, pada konsol tengah, corak di tempat duduk dan juga suis kawalan pada stereng. Penggunaan Alcantara pada banyak bahagian dalam kenderaan ini adalah hasil daripada pilihan trim Performance Line.

    Panel paparan utama pada papan pemuka kenderaan ini skrin sesentuh berukuran 12.3 inci, dan di atasnya terdapat corong pendingin hawa. Melalui skrin ini, anda boleh mengawal sistem pendingin hawa, pemain media dan juga fungsi navigasi. Turut disiapkan adalah pengecas telefon tanpa wayar, sistem bunyi 14 pembesar suara Focal Electra, tempat duduk larasan kuasa, corong pendingin hawa belakang dengan butang kawalan digital, pintu but belakang kawalan elektrik dan jam BRM R180 yang boleh tersembunyi apabila enjin dimatikan.

    Buat masa ini, penampilan DS7 hanya sebagai satu pra tonton awal, jadi harganya juga masih belum disiarkan. DS Automobiles Malaysia walaubagaimanapun telah menyatakan ia bakal ditawarkan dengan pilihan warna Platinum Grey, Nero Black dan Absolute Red, berserta jaminan sehingga lima tahun atau 120,000 km.

     
     
  • KLIMS18: Hyundai Accent dipertonton – 1.4L Kappa, 6 beg udara; alternatif selain Honda City/Toyota Vios

    KLIMS18: Hyundai Accent dipertonton – 1.4L Kappa, 6 beg udara; alternatif selain Honda City/Toyota Vios

    Pengunjung Kuala Lumpur International Motor Show 2018 turut berpeluang melihat secara lebih dekat Hyundai Accent generasi ke-lima (HC), salah satu model yang dipamerkan oleh Hyundai Malaysia. Sedan subkompak ini pertama kali diperkenalkan secara global pada Februari lalu dalam penganjuran Canadian International Auto Show di Toronto.

    Sekiranya ia dijual di sini (buat masa ini ia hanya untuk tontonan sahaja), Accent akan bersaing dengan model seperti Toyota Vios, Honda City dan Mazda 2 sedan dalam pasaran segmen-B.

    KLIMS18: Hyundai Accent dipertonton – 1.4L Kappa, 6 beg udara; alternatif selain Honda City/Toyota Vios

    Seperti yang anda lihat, rupa Accent umpama versi Elantra generasi ke-enam (AD) dengan “skala yang dikecilkan”, bersama rekaan pada gril, lampu utama dan lampu belakang menyerupai model segmen-C yang lebih besar. Bagi dimensi, Accent berukuran 4,385 mm panjang, 1,729 mm lebar, 1,450 mm tinggi, dengan jarak roda 2,580 mm.

    Ia dijanakan oleh enjin 1.4 liter Kappa MPI empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 100 PS pada 6,000 rpm dan tork 132 Nm pada 4,000 rpm. Turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan, menyalurkan pacuan ke roda hadapan.

    KLIMS18: Hyundai Accent dipertonton – 1.4L Kappa, 6 beg udara; alternatif selain Honda City/Toyota Vios

    Sementara itu, senarai kelengkapannya termasuklah roda 16-inci, lampu utama projektor halogen dengan lampu nyalaan siang LED, kemasukan tanpa kunci, paparan kluster instrumen berwarna TFT LCD 3.5-inci, kamera pandang belakang, pengesan parkir hadapan dan belakang, kawalan kelajuan, kawalan suhu zon-tunggal, unit utama lima-inci, dan upholstery kulit/fabrik. Bagi aspek keselamatan, Accent didatangkan dengan enam beg udara, ESC, dan Kawalan Bantuan Mula Mendak.

    Apa pendapat anda mengenai Accent? Adakah ia patut kembali ke pasaran tempatan dan memberikan anda pilihan selain dari City, Mazda 2 dan Vios? Kongsikan pendapat anda di ruang komen di bawah.

     
     
  • KLIMS18: Lexus ES250 baru dipertonton di Malaysia

    KLIMS18: Lexus ES250 baru dipertonton di Malaysia

    Lexus ada membawa beberapa model baru ke pameran Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018. Selain UX yang kelihatan seperti masih lambat untuk dilancarkan di pasaran kerana unit pameran itu masih menggunakan stereng sebelah kiri, satu lagi model iaitu ES 250 pula sudah dipamerkan dengan spesifikasi tempatan, yang membawa makna pelancarannya begitu hampir.

    ES baru yang dipamerkan ini adalah model generasi ketujuh, yang diterapkan dengan rekaan lebih sporty. Ia dibina atas platform Global Architecture – K (GA-K), iaitu versi Lexus bagi platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang digunakan pada Toyota Camry dan Avalon. Disebabkan itu, ia mendapat manfaat seperti titik graviti yang lebih rendah.

    Pada bahagian depan, gril spindle yang sudah menjadi tanda unik model ini telah dijadikan lebih agresif, dengan ada sirip di dalamnya. Lampu utama lebih nipis, garis tajam yang datang daripada gril serta garis badan lain yang lebih berlekuk menjadikan kereta ini lebih menyerlah, manakala A-pillar yang lebih ke belakang dan cermin belakang lebih condong menjadikannya lebih dinamik.

    Pergi ke belakang, ES baru ini menggunakan lampu berbentuk L yang biasa bagi Lexus, serta roda belakang yang lebih lebar. Ia sekarang berukuran 4,975 mm panjang, 1,865 mm lebar dan 1,445 tinggi, yang bermakna 66 mm lebih panjang, 46 mm lebih lebar dan lima mm lebih rendah berbanding model sebelumnya. Jarak roda pula adalah 2,870 mm (+51 mm).

    Di dalam, rekannya melihatkan banyak pengaruh daripada LS baru, seperti garis yang berlekuk dan panel paparan besar, 12.3 inci yang disambung dengan sistem Lexus Remote Touch. Unit yang dipamerkan ini turut dilengkapkan dengan lampu matrix LED, rim Resonator 18 inci, head-up display (dikatakan sebagai paling besar dalam kelasnya) serta panel instrumen tujuh inci. Cermin sisi masih lagi biasa, dan bukannya menggunakan kamera seperti pasaran Jepun.

    Selain memberikan kedudukan lebih rendah, platform GA-K pada ES ini juga dikatakan memberi ia lebih karekter bersemangat, dengan suspensi belakang double wishbone, geometri keseluruhan yang dioptimakan dan sistem stereng kuasa elektrik yang dipasang pada steering rack. Penyerap pasif pada kenderaan ini juga menampilkan injap berayun ultra low-velocity (pertama di dunia) untuk memberi tindak balas kepada ketidaksempurnaan kecil permukaan jalan.

    KLIMS18: Lexus ES250 baru dipertonton di Malaysia

    Daripada aspek keselamatan, ES dilengkapi dengan pakej bantuan pemandu Lexus Safety System+, yang termasuk brek kecemasan autonomous Pre-Collision System, Dynamic Radar Cruise Control dengan Lane Tracing Assist (LTA) yang boleh membenarkan kenderaan untuk memecut, membrek dan kekal dalam laluan secara separa autonomous, Adaptive High Beam System (AHS), Road Sign Assist (RSA), Parking Support Brake System dan Panoramic View Monitor.

    Kuasa pula datang daripada enjin empat silinder direct injection Dynamic Force 2.5 liter, yang dipadankan dengan transmisi automatik Direct Shift lapan kelajuan yang mampu menghasilkan kuasa 204 hp pada 6,600 rpm dan 243 Nm tork dari antara 4,000 hingga 5,000 rpm.

     
     
  • KLIMS18: Hyundai Grand Starex facelift dilancarkan di Malaysia – 2.5 liter turbodiesel, dari RM148,888

    KLIMS18: Hyundai Grand Starex facelift dilancarkan di Malaysia – 2.5 liter turbodiesel, dari RM148,888

    Hyundai Grand Starex facelift telah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia, dan ia ditawarkan dengan kemasan Executive pada harga RM148,888 atas jalan tanpa insurans. Dengan suntikan yang lebih segar, MPV bersaiz besar ini turut menerima rekaan yang lebih menonjol berbanding model sedia ada.

    Bahagian hadapannya paling menyerlah di mana anda dapat lihat lampu utama projektor berbentuk trapezoidal melintang berbanding unit menegak sebelum ini. Kluster pula disambungkan ke gril Cascading dengan kepingan melintang, dan tiada lagi rekaan ala-Lexus.

    Sementara di bahagian belakangnya tidak banyak perubahan, dengan kluster lampu yang sama bentuk seperti sebelum ini dan ia masih ditampilkan dengan spoiler bumbung. Corong ekzos palsu yang kelihatan pada Grandr Starex Royale, yang dilancarkan pada November 2016, telah ditiadakan.

    Seperti Grand Starex spesifikasi Thailand, rekaan papan pemuka di dalam kabin masih kekal sama seperti sebelum ini,dan tidak seperti pasaran domestik Hyundai. Unit utama skrin sesentuh ditempatkan tanpa bingkai pada papan pemuka, dan disambungkan dengan sepasang corong udara. Di bawahnya terletak kawalan bagi sistem pendingin hawa zon-tunggal, termasuk kawalan untuk corong belakang untuk tiga barisan tempat duduk.

    Seperti sebelum ini, tempat duduk barisan kedua boleh dipusingkan menghadap barisan ketiga jika diperlukan, sementara kemudahan masuk-keluar boleh dilakukan menerusi pintu gelangsa kawalan manual. Fabrik upholstery didatangkan secara standard tetapi anda juga mempunyai pilihan untuk material kulit.

    Kit kelengkapan lain yang disenaraikan termasuklah roda aloi 16-inci dengan tayar 215/70, lampu kabus hadapan dan belakang, skrin paparan yang terpasang di bahagian atas belakang, enam pembesar suara, kawalam kelajuan, kamera pandang belakang, pencahayaan automatik, pengesan parkir, empat beg udara, ESC, BAS, kawalan cengkaman dan ABS.

    Di bawah bonetnya ditampilkan enjin 2.5 liter turbodiesel dengan kuasa 170 PS pada 3,600 rpm dan tork 441 Nm dari 2,000 hingga 2,250 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik lima-kelajuan (dengan Shiftronic) yang menyalurkan kuasa ke roda belakang. Setiap pembelian turut didatangkan dengan waranti lima-tahun/300,000 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025