Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • SPYSHOT: Porsche 911 generasi baharu terdedah, sedang diuji tanpa sebarang pelekat penyamaran

    SPYSHOT: Porsche 911 generasi baharu terdedah, sedang diuji tanpa sebarang pelekat penyamaran

    Generasi seterusnya untuk kereta sport ikonik Porsche 911 atau dikenali sebagai generasi 992 telah pun dilihat diuji tanpa apa-apa pelekat penyamaran. Sebelum ini, 911 tersebut telah pun dilihat berkeliaran dan dilihat mempunyai empat tip ekzos (model berwarna merah), manakala gambar terbaharu (unit berwarna biru) pula dilihat hanya mempunyai dua tip ekzos.

    Ini mungkin kerana kedua-duanya adalah dari versi berlainan – versi lebih berkuasa dengan empat tip ekzos, sementara versi Carrera bagi unit yang berwarna biru.

    Generasi 992 ini masih mengekalkan muka tradisi 911 dengan lampu berbentuk oval. Namun model terbaharu ini menampilkan bampar hadapan dengan liang udara yang lebih bersegi. Perubahan drastik dapat dilihat pada bahagian belakang di mana kluster lampu konvensional kini digantikan dengan lampu berbentuk jalur bersaiz penuh.

    Porsche juga masih belum mengeluarkan apa-apa pengesahan berkenaan unit janakuasa untuk model generasi seterusnya tersebut, tetapi berkemungkinan versi Carrera akan terus dikuasakan dengan enjin boxer enam-silinder 3.0 liter petrol turbo seperti model sedia ada. Pilihan kotak gear manual dan klac berkembar automotik turut terus akan ditawarkan, bersama pilihan pacuan belakang atau semua roda.

    Sehingga kini, tiada lagi rekaan dalaman untuk kereta sport baharu ini terdedah. Namun boleh dijangka ia mungkin tidak akan lari jauh dari rekaan pada SUV Cayenne dan model empat pintu Panamera – menampilkan rekaan Advanced Cockpit terdiri dari instrumen dengan takometer bersaiz besar pada bahagian tengah diapit dengan sepasang skrin digital.

     
     
  • Malaysia dan Singapura sepakat tangguh pembinaan HSR bagi tempoh dua tahun, tiada bayaran pampasan

    Malaysia dan Singapura sepakat tangguh pembinaan HSR bagi tempoh dua tahun, tiada bayaran pampasan

    Malaysia dan Singapura telah bersepakat untuk menangguhkan pembinaan projek keretapi laju HSR KL-Singapura, tanpa melibatkan sebarang bayaran pampasan. Ia akan disambung kembali selepas dua tahun, iaitu pada 31 Mei 2020, dan persetujuan ini dicapai dalam “semangat kejiranan” yang baik antara kedua-dua negara, lapor The Edge.

    “Singapura telah bersetuju dengan cadangan kerajaan Malaysia untuk menangguhkan pelaksanaan projek ini sehingga keadaan ekonomi bertambah baik,” jelas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali seperti dilaporkan oleh Channel NewsAsia.

    Di dalam laporan berkenaan, sumber menyatakan bahawa Singapura memahami keadaan Malaysia yang ketika ini sedang menilai semula kedudukan kewangannya, dan pembinaan HSR ketika ini akan menjadi beban. Sebelum ini dilaporkan bahawa Malaysia akan dikenakan pampasan RM500 juta kepada Singapura sekiranya projek itu dibatalkan.

    “Tiada pampasan yang perlu dibayar dalam tempoh penangguhan ini. Jika tamat tempoh berkenaan dan sekiranya projek itu dibatalkan, maka ketika itu kita perlu membayarnya. Kami ingin meneruskan projek ini kerana ia akan membawa banyak manfaat kepada kedua-dua negara. Bagaimanapun, dengan penangguhan ini kami akan berbincang tentang cara untuk mengurangkan kos yang terlibat,” jelas Azmin.

    Dengan perkembangan ini, maka lebih jelaskan hala tuju berkaitan projek HSR ini. Ia akan ditangguh dengan persetujuan kedua-dua negara bagi tempoh dua tahun dan akan disambung semula selepas itu. Di awal pembentukan kerajaan Pakatan Harapan, Dr. Mahathir menyatakan bahawa projek HSR akan dibatalkan atas faktor kos yang telalu tinggi, sebelum memaklumkan semula tidak lama selepas itu bahawa ia hanya akan ditangguhkan buat sementara.

     
     
  • SST: BMW Malaysia siar harga – CKD turun, CBU naik

    BMW Malaysia telah mengeluarkan senarai harga terbaru untuk kenderaan jenama itu yang dijual di Malaysia selepas pelaksanaan semula cukai SST yang bermula 1 September lalu. Cukai jualan yang berjumlah 10% ini mengambil alih cukai barangan dan servis (GST) sebanyak 6% serta tempoh tanpa cukai yang berlangsung pada bulan Jun, Julai dan Ogos.

    Sama seperti syarikat lain yang telah mengumumkan senarai harga termasuk SST ini, model yang dipasang dalam negara (CKD) kini dijual pada harga yang lebih rendah berbanding semasa cukai GST dilaksanakan sebelum ini.

    Model 118i M Sport, 318i Luxury dan X1 SDrive20i Sport semuanya diletakkan pada harga RM3,000 kurang berbanding harga dengan GST, manakala 530i M Sport dan 530e plug-in hybrid mencatat penurunan harga paling banyak iaitu masing-masing RM9,000 dan RM15,000.

    SST: BMW Malaysia siar harga – CKD turun, CBU naik

    Sedikit menimbulkan pertanyaan, model X5 xDrive40e M Sport pula dilihat mempunyai harga baru yang lebih tinggi selepas pelaksanaan SST iaitu RM390,888, bersamaan dengan peningkatan sebanyak RM2,000 berbanding harga dengan GST. Untuk model import seperti X2 sDrive20i M Sport, M4 Coupe dan M5, semuanya naik antara RM8,000 ke RM12,000.

    Bagi model yang dilancarkan semasa ‘cuti cukai’ dulu, harganya telah meningkat apabila SST diperkenalkan, dan ini termasuk X3 sDrive30i Luxury dengan harga sekarang antara RM302,000 hingga RM313,800 (peningkatan RM11,800), manakala i8 Coupe telah menjadi RM1,408,800 (naik 98,000) dengan SST, berbanding RM1,310,800 semasa ‘cuti cukai’ waktu ia dilancarkan bulan lalu.

     
     
  • SST: Harga motosikal BMW naik sehingga RM3,000

    SST: Harga motosikal BMW naik sehingga RM3,000

    Dengan pengumuman cukai SST yang sudah pun bermula, BMW Malaysia bukan sahaja mengumumkan harga terbaru untuk kenderaan empat roda mereka, malah harga motosikal juga turut disiarkan. Di bawah, kami telah kumpulkan harga barisan motosikal jenama ini dengan SST, dan diletakkan bersama harga tanpa cukai dan harga dengan GST untuk perbandingan.

    Seperti yang anda boleh lihat, peningkatan harga model motosikal BMW ini berbeza mengikut model dan tidak semestinya model paling mahal yang menerima peratusan peningkatan paling tinggi. Melihat kepada senarai harga terbaru ini, peningkatan paling tinggi dicatat oleh model S1000R, iaitu sehingga 2.3% (bersamaan dengan RM2,000) manakala model R1200R naik 2.04% menjadi RM99,900 (+RM2,000).

    SST: Harga motosikal BMW naik sehingga RM3,000

     

    Kebanyakan model lain juga mencatat peningkatan harga, tetapi cuma di antara 0.92% hingga 2.3%, manakala model G310GS, G310R dan R nineT Pure masih dijual pada harga sama dengan harga seperti waktu cukai GST dikenakan sebelum ini iaitu masing-masing RM29,900, RM26,900 dan RM83,900.

    Melihat kepada model sports popular S1000RR, harganya cuma naik RM1,000 sahaja, sama seperti R nineT, R nineT Scrambler, R nineT Urban GS, S1000XR serta skuter C650 Sport dan C650 GT. Dalam senarai ini juga, anda boleh melihat harga terbaru untuk beberapa model sudah tiada, yang membawa maksud BMW Motorrad sekarang tidak lagi menjualnya.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 – lebih perincian

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 – lebih perincian

    Teruja dengan pengenalan versi sedan untuk Mercedes-Benz A-Class generasi baharu Julai lalu? Ini ada lagi laporan untuk menyambung keterujaan anda terhadap model berkenaan – Mercedes-Benz telah mendedahkan lebih lagi perincian terhadap sedan pacuan hadapan generasi baharu tersebut.

    Dua enjin petrol ditawarkan untuk model ini iaitu enjin 1.33 liter untuk A 200 dan 2.0 liter bagi A 220 4Matic, A 250 dan A 250 4Matic. Model diesel pula hadir dengan satu enjin iaitu 1.5 liter untuk model A 180.

    Enjin M282 1.33 liter empat silinder dengan pengecas turbo yang diberikan pada A 200 berkenaan adalah produk usahasama Mercedes-Benz dan Renault, menghasilakan kuasa 161 hp (163 PS) dan tork maksima 250 Nm. Ia hadir dengan dua pilihan transmisi iaitu enam-kelajuan manual atau klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7G-DCT.

    Model dengan kotak gear manual berupaya memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 8.3 saat, manakala versi yang dilengkapi sistem DCT automatik mampu mencatatkan masa 8.1 saat untuk pecutan sama. Kedua-dua model berkenaan walau bagaimanapun mempunyai kelajuan maksima yang sama iaitu 230 km/j.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 – lebih perincian

    Bagi enjin M260 2.0 liter empat silinder turbo pula, ia hanya menerima kotak gear 7G-DCT tanpa pilihan manual. Enjin untuk versi A 220, ia ditala bagi menghasilkan kuasa 188 hp (190 PS) dan tork maksima 300 Nm. Manakala versi A 250, talaan yang diberikan membolehkan enjin berkenaan mengerah 221 hp (224 PS) dan tork maksima 350 Nm.

    Ini membolehkan A 220 4Matic memecut dari 0-100 km/j dalam masa tujuh saat sebelum mencapai kelajuan maksima 237 km/j. Sementara untuk model A 250 sama ada dengan sistem 4Matic atau tidak, boleh memecut pada jarak sama dalam masa 6.3 saat dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 250 km/j.

    Beralih ke versi diesel, enjin OM608 1.5 liter turbo empat silinder pada model A 180 mampu untuk menjana 114 hp (116 PS) pada takat 4,000 rpm dan tork maksima 260 Nm bermula 1,750 rpm hingga 2,750 rpm. Model ini tidak sepantas model-model petrol dengan pecutan 0-100 km/j dicatatkan pada 10.6 saat dan kelajuan maksimanya hanya 206 km/j.

    Walau bagaimanapun, versi 1.5 liter diesel ini mempunyai catatan penggunaan bahan api paling baik iaitu serendah 4.1 l/100 km, berbanding versi-versi petrol turbo yang mencatatkan bacaan sekitar 5.2 hingga 6.5 l/100 km.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 – lebih perincian

    A Class sedan akan dijual dalam tiga kemasan iaitu Style, Progressive dan AMG Line. Untuk versi Style, ia menampilkan gril diamond radiator dengan pin-pin kemasan hitam bersama jalur perak dan krom, skirt sisi dengan warna badan serta jalur-jalur krom. Bahagian dalaman pula menerima pakej Seat Comfort yang dibekalkan dengan tempat duduk Luxury, balutan upholsteri kulit Artico/fabrik Bertrix dan juga pakej Light and Visibility.

    Untuk Progressive pula, kelengkapannya turut termasuk jalur krom pada tingkap, kemasan serlahan pada tip ekzos, apron belakang dengan kemasan krom, upholsteri kulit Artico/fabrik Fléron, roda stereng sport balutan kulit, jahitan dekorasi hitam, bersama kemasan-kemasan gentian karbon palsu terang dan gelap serta perak.

    Bagi versi AMG Line, ia menerima apron hadapan AMG dengan spiltter udara krom, panel bendul sisi AMG dan juga apron belakang AMG bersama kemasan krom dan kemasan serlahan tip ekzos. Ciri lain yang turut diberikan termasuk gril diamond radiator dengan pin krom, suspensi selesa lebih rendah dan sistem stereng-terus dengan nisbah bervariasi. AMG Line A 220 turut menerima cakera brek hadapan yang ditebuk.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 – lebih perincian

    Bahagian dalam untuk model lebih sporty ini pula menerima tempat duduk sports bersama pakej Seat Comfort dan juga perehat kepala boleh laras, pedal kemasan brushed stainless steel AMG, karpet kaki istimewa, roda stereng rata di bawah balutan kulit Nappa dengan jahitan serlahan dan kemasan krom perak.

    Uphlosteri untuk versi ini boleh dipilih sama ada dengan kulit Artico/gentian mikro Dinamica, atau kulit Artico dan kemasan aluminium. Manakala untuk jahitan serlahan pada kabin, warna merah atau hitam akan diberikan bergantung pada pilihan warna utama upholsteri.

    Pakej Leather opsyenal juga ditawarkan untuk Progressive dan AMG Line, yang turut termasuk jahitan dekoratif serta jalur pada panel instrumen. Pakej Night pula turut disediakan bagi mereka yang mahukan penutup cermin sisi, jalur pada gril hadapan, kemasan pada apron belakang dan garis tingkap yang berwarna hitam.

    Mercedes menawarkan pilihan rim dengan saiz bermula 16-inci hingga 19-inci untuk A-Class sedan, diberikan berdasarkan kemasan yang dipilih. Bagi model istimewa Edition 1, rim 19-inci akan dibekalkan secara standard.

    Edition 1 turut akan menerima serlahan kemasan tembaga pada bahagian luaran seperti pada bahagian pin-pin gril dan juga kesemua rim, serta ciri standard lain termasuk lampu hadapan LED High Performance, tempat duduk sport dengan perehat kepala boleh laras serta lampu suasana.

    Pilihan lampu hadapan Multibeam LED dengan 18 LED individu untuk setiap sebelah lampu juga ditawarkan sebagai ciri opsyenal. Manakala untuk ciri keselamatan, sebahagian sistem pakej bantuan pemanduan dari S-Class diturunkan pada model sedan paling kecil ini, termasuk sistem Active Distance Control Distronic, Active Steering Assist, Active Speed Limit Assist; Active Brake Assist, Evasive Steering Assist, Active Blind Spot Assist dan Pre-Safe Plus. Sistem paparan Heads-up turut disediakan sebagai satu lagi ciri pilihan.

    Mercedes-Benz A-Class Sedan V177 – lebih perincian

    Mercedes-Benz A-Class generasi baharu diberikan sistem multimedia terkini digelar Mercedes-Benz User Experience (MBUX), menampilkan kawalan pintar menggunakan suara. Pada versi sedan ini, ia diberikan pilihan untuk sistem paling asas (Basic Navigation Package) yang diberikan dua skrin setiap satunya bersiaz tujuh-inci, butang Touch Control dan pad sesentuh.

    Manakala untuk pakej sistem Premium Navigation, ia dilengkapkan dengan dua skrin lebih besar bersaiz 10.25-inci. Ia juga dibekalkan dengan fungsi Traffic Sign Assist serta turut boleh menerima sokongan navigasi mengunakan kecerdasan buatan (A.I). Servis Mercedes me Connect pula menambahkan lagi fungsi berkenaan dengan servis concierge dan juga servis navigasi selanjutnya.

    Ciri opsyenal lain yang ditawarkan untuk model sedan ini termasuk sistem bunyi Burmester, lampu suasana kabin dengan 64-warna, tempat duduk dengan liang dan pemanas, pakej Multicontour Seat dengan fungsi pengurut serta bumbung panaromik gelangsar. Berberapa ciri ini ada dirangkumkan dalam pakej Business.

    Untuk pasaran Jerman, A-Class sedan akan dijual pada harga bermula (termasuk cukai VAT) 30,916 euro (RM148,202) untuk model A 200, manakala model tertinggi A 250 4Matic dijual dengan harga bermula 39,526 euro (RM189,476). Model ini akan menerjah pasaran terpilih bermula awal tahun hadapan, manakala Mercedes-Benz Malaysia masih lagi belum mengesahkan sama ada ia akan dibawa ke pasaran tempatan.

     
     
  • Pan Borneo tidak akan rentasi Brunei – Tun Mahathir

    Pan Borneo tidak akan rentasi Brunei – Tun Mahathir

    Malaysia dan Brunei telah bersetuju bahawa Projek Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sarawak dan Sabah tidak akan dibina merentasi negara ini.

    Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Sultan Hassanal Bolkiah yang berlangsung di Istana Nurul Iman, sempena lawatan rasminya ke Brunei Darussalam, laporan Berita Harian

    Menurut Tun Mahathir, persetujuan itu bersandarkan beberapa faktor berkaitan, khususnya kekangan kos, selain isu imigresen sekiranya lebuh raya itu dibina merentasi negara ini.

    Pan Borneo tidak akan rentasi Brunei – Tun Mahathir

    “Memang rancangannya kita meneruskan pembinaan lebuh raya ini kerana kepentingannya kepada Sabah dan Sarawak, namun tidak akan merentasi Brunei Darussalam seperti perancangan asalnya. Pendirian Malaysia berhubung perkara itu cukup difahami oleh Sultan Brunei selepas mengambil kira kekangan yang kita hadapi. Baginda tiada masalah jika ia mahu dibina merentasi negaranya, namun baginda memahami kesukaran kita,” katanya.

    Katanya lagi, keputusan itu juga bagi memudahkan perjalanan, termasuk menjimatkan masa kerana tidak perlu melalui sekurang-kurangnya 12 kali pemeriksaan imigresen dari Sarawak ke Sabah merentasi Brunei.

    Walau bagaimana pun, pihak berkaitan sedang meneliti jajaran alternatif bagi pelaksanaan projek lebuh raya itu yang diperlukan oleh rakyat di kedua-dua negeri berkenaan, selain mampu merangsang pembangunan serta sosio ekonomi di sana.

     
     
  • Kerajaan diminta utamakan projek lebuhraya berbanding ECRL; LPT3 lebih penting – senator

    Kerajaan diminta utamakan projek lebuhraya berbanding ECRL;  LPT3 lebih penting – senator

    Anggota Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris, menggesa kerajaan untuk mengutamakan projek pembinaan lebuh raya berbanding Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
    Katanya, keputusan kerajaan untuk mengkaji semula pembinaan ECRL adalah tepat memandangkan ia bukanlah keperluan mendesak bagi negeri di Pantai Timur, laporan Bernama.

    “Sebenarnya keperluan mendesak pada masa ini adalah menyiapkan projek Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) sepanjang 165 kilometer yang menghubungkan sambungan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan.

    “Tindakan kerajaan menangguhkan pembinaan ECRL disebabkan perbelanjaan besar adalah tepat dan yang kita terdesak adalah projek-projek telah sedia ada jaringan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara, semalam.

    Razali juga meminta kerajaan menyelesaikan pembinaan projek jalan raya Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang-Kuala Berang untuk kemudahan penduduk.

     
     
  • Teaser Kia Sorento facelift untuk M’sia kini muncul

    Kia Malaysia kini telah mula memberi petunjuk kepada kehadiran model SUV Sorento facelift baru di media sosial. SUV berkenaan kini dari generasi ketiga (UM) telah menerima kemaskini untuk pasaran Korea Selatan Julai lalu.

    Perubahan paling ketara untuk bahagian depan adalah pada lampu utamanya, yang kini menggunakan unit LED penuh dalam rekaan berbentuk bulat bagi model spesifikasi tertinggi. Kedudukan asal lampu siang (DRL) juga telah diubah ke bahagian bawah lampu utama.

    Rekaan “diamond stud” pada gril Sorento sebelum facelift kini telah ditukar kepada rekaan bersisik yang kelihatan lebih berkilat, manakala lampu kabus pula mempunyai rekaan berpetak kecil. Memandangkan lampu kabus ini sekarang adalah LED, saiznya juga adalah lebih kecil.

    Pada bahagian belakang, bentuk pencahayaan LED lampunya telah diubah dan dijadikan lebih berlekuk, manakala lampu brek pula kini adalah jalur LED menegak. Terdapat juga rekaan lampu dengan tiga jalur melintang bagi varian yang lebih bawah.

    Profail bampar Sorento facelift ini telah diubah, dan muncung ekzosnya kini keluar sedikit dari bampar dengan bentuk petak berwarna krom (sebelum ini muncungnya turun ke bawah).

    Antara pembaharuan pada bahagian dalaman pula adalah untuk meningkatkan lagi rasa mewah pada SUV ini. Rekaan roda stereng dengan fungsi pemanas adalah baru, dan unit sistem hiburannya adalah yang paling terkini daripada Hyundai/Kia, dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Tombol gear juga adalah baru. Bila agaknya model ini akan dilancarkan di Malaysia?

    Kia Sorento facelift 2018 Korea Selatan

     
     
  • Pemandu berkelakuan baik boleh ‘diberi ganjaran’ diskaun insurans kenderaan – Anthony Loke

    Pemandu berkelakuan baik boleh ‘diberi ganjaran’ diskaun insurans kenderaan – Anthony Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sedang mempertimbangkan pemandu yang berkelakuan baik bakal diberikan ganjaran yang berupa diskaun insurans kenderaan, dengan syarat mereka tidak melanggar mana-mana undang-undang lalu lintas dalam setahun.

    Sekiranya mekanisme berkaitan dikenalpasti, kemungkinan besar perancangan ini akan dimulakan pada tahun hadapan, ujar Loke seperti yang dilaporkan menerusi News Strait Times.

    Tambahnya lagi, pihak kementerian sedang berbincang dengan Persatuan Insurans Automotif Malaysia (PAIM) mengenai cara untuk mengimplementasikannya termasuk mekanisme yang bakal digunakan.

    Pemandu berkelakuan baik boleh ‘diberi ganjaran’ diskaun insurans kenderaan – Anthony Loke

    “Di bawah sistem demerit kita akan menggantung lesen sekiranya pemandu banyak melakukan kesalahan. Walau bagaimana pun, kita juga mahu memberikan ganjaran untuk pemandu yang bagus yang tidak mempunyai rekod buruk. Jika tiada satu pun demerit dalam tempoh setahun, mereka mungkin diberikan diskaun insurans.

    “Kita sedang berbincang dengan PIAM bagi mengetahui bagaimana untuk memberikan ganjaran ini. Salah satu idea yang dicadangkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan agensi insurans untuk memberikan diskaun ketika pemandu terbabit mahu memperbaharui insurans tahunan kenderaan mereka,” ujarnya lagi.

    Loke turut berkata PIAM telah bersetuju mengenai pemandu “risiko kemalangan-rendah” dan pelan ini dijangka akan dilaksanakan tahun depan.

     
     
  • SST: VW M’sia umum harga baharu – model CKD lebih murah 1.5%-2.6%, CBU naik antara RM3.4k-RM8.4k

    SST: VW M’sia umum harga baharu – model CKD lebih murah 1.5%-2.6%, CBU naik antara RM3.4k-RM8.4k

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan harga baharu bagi semua modelnya selepas cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan kembali mulai 1 September 2018. Di mana VPCM mengesahkan harga bagi model pemasangan tempatan (CKD) mengalami penurunan antara RM1,898 hingga RM3,600. Manakala untuk unit yang diimport dari luar negara (CBU) diumumkan naik harga antara RM3,400 hingga RM8,400.

    Bagi CKD, model yang paling banyak mengalami penurunan harga ialah Passat Highline iaitu sebanyak RM3,600, kini menjadi RM195,390, berbanding harga sewaktu GST ialah RM198,990.

    Manakala unit CBU yang mengalami peningkatan harga paling banyak ialah Golf R (+RM8,400), iaitu kini menjadi RM304,390, berbanding RM295,990 ketika GST dilaksanakan.

    SST: VW M’sia umum harga baharu – model CKD lebih murah 1.5%-2.6%, CBU naik antara RM3.4k-RM8.4k

    Klik untuk besarkan

    Dalam masa yang sama, Skin Perlindungan Harga VPCM (PPS) masih boleh digunakan untuk semua model yang didaftarkan sebelum 15 November 2018 dan sementara stok masih ada. Sejak PPS diperkenalkan, VPCM telah mencatatkan perningkatan permintaan bagi model Volkswagen. Justeru, VPCM sedang berusaha untuk memenuhi permintaan, manakala stok juga adalah sangat terhad dan pelanggan dinasihatkan agar tidak menangguhkan urusan tempahan.

    Erik Winter, Pengarah Urusan VPCM berkata, “Senada dengan inisiatif kerajaan ini, kami berbesar hati untuk mengumumkan harga baharu yang lebih kompetitif ini. Dengan struktur cukai baharu ini, pengurangan harga bagi model Volkswagen dari 1.5% hingga 2.6% berbanding GST sebelum ini. Bagi perkhidmatan selepas jualan pula, harga ditentukan mengikut kadar cukai perkhidmatan, dan pelanggan boleh memuat turun panduan harga servis yang telah disemak semula menerusi laman web Volkswagen.”

    Semua model Volkswagen didatangkan dengan penyelenggaran percuma selama tiga-tahun, lima-tahun waranti pengilangan dan juga bantuan tepi jalan selama lima-tahun.

     
     
  • Honda Malaysia umum senarai harga dengan SST – ada model CKD RM4.9k lebih murah, CBU naik RM10k

    Honda Malaysia umum senarai harga dengan SST – ada model CKD RM4.9k lebih murah, CBU naik RM10k

    Honda Malaysia telah mengumumkan senarai harga baru bagi barisan model keluaran dan edaran syarikat itu di Malaysia. Secara ringkasnya, semua model CKD menyaksikan penurunan harga berbanding harga dengan GST sebelum ini selepas pelaksanaan SST bermula 1 September 2018.

    Semua model CKD seperti Jazz, BR-V, City, Civic, CR-V dan Accord akan dijual pada harga bermula dari RM70,242 hingga RM169,398 (di Semenanjung); sekitar 0.5% hingga 3.1% lebih murah.

    Antara model yang menyaksikan penyusutan harga paling banyak ialah CR-V 1.5 TC 4WD, iaitu sebanyak RM4,868 dengan SST (RM156,732) berbanding harga dengan GST dahulu (RM161,600). Jazz 1.5 S pula menyaksikan peratusan penurunan paling banyak, iaitu 3.13% lebih murah kini berbanding harga dengan GST.

    Honda Malaysia umum senarai harga dengan SST – ada model CKD RM4.9k lebih murah, CBU naik RM10k

    Kalau diperhatikan, model Jazz Hybrid, City Hybrid dan HR-V tiada harga yang disenaraikan. Kenapa? Ini kerana, bagi dua model hibrid itu, harga dengan SST belum lagi ditetapkan. Manakala bagi HR-V pula, model facelift terbarunya akan muncul tak lama lagi, jadi harga SST akan ditentukan berdasarkan versi berkenaan.

    Bagi dua model CBU Honda pula, iaitu Odyssey dan Civic Type R, masing-masing dijual lebih tinggi berbanding sebelumnya pada harga RM258,896 dan RM330,002 (Semenanjung). Civic Type R juga mencatatkan peningkatan paling banyak, iaitu RM10,002 atau +3.13% berbanding harga dengan GST dahulu. Odyssey pula naik sebanyak RM4,096 atau 1.61%.

    Dengan SST, cukai 10% akan dikenakan bagi jualan manakala 6% dikenakan bagi servis. Khidmat selepas jualan Honda Malaysia juga akan tertakluk kepada 6% cukai servis bagi caj buruh penyelenggaraan selepas ini.

     
     
  • Lada 4×4 Vision Concept – Niva generasi baharu?

    Lada 4×4 Vision Concept – Niva generasi baharu?

    Walaupun tidak membina model yang banyak, jenama automotif dari Rusia – Lada – tetap menghasilkan dua buah model ikonik untuk negara bekas Soviet berkenaan iaitu SUV Lada Niva dan sedan Lada VAZ (diasaskan dari Fiat 124). Niva yang telahpun menerjah pasaran bermula pada tahun 1977 hingga kini mungkin akan menerima model jelmaan semula pada masa hadapan apabila jenama di bawah AvtoVAZ dan dimiliki oleh Pakatan Renault-Nissan berkenaan memperkenalkan model konsep Lada 4×4 Vision pada Moscow Motor Show 2018.

    SUV konsep berkenaan dihasilkan oleh sekumpulan pereka diketuai oleh Pengarah Rekaan Lada, Steve Mattin dengan jelas diinspirasikan oleh model Niva asli, terutama bentuk pada bonet hadapan dan juga fender belakang. Dengan badan yang begitu sasa dan seakan kereta perisai, Lada 4×4 Vision Concept ini diberikan rim gergasi bersaiz 21-inci, bersama lampu-lampu hadapan dan belakang menggunakan teknologi LED.

    “Kami sedang menyediakan masa depan untuk Lada,” kata Mattin. “Dengan 4×4 Vision, kami mendemonstrasikan keunikkan, ekspresif, rekaan yang garang dan energetik yang berpotensi pada SUV baharu, dilakar berinspirasikan lagenda Lada 4×4 Niva,” jelasnya lagi.

    Tipikal sebuah model konsep, bahagian dalaman SUV berkenaan turut menampilkan rekaan futuristik. Ia diberikan paparan instrumen digital sepenuhnya bersama skrin infotaimen dan navigasi pada bahagian tengah, bersama roda stereng yang rata pada bahagian atas dan bawah. Keseluruhan kabin model ini menerima serlahan berwarna oren.

    Tiada lagi sebarang perincian teknikal didedahkan, namun model ini dikatakan dibina di atas “platform istimewa”. Unit janakuasa untuk SUV ini juga masih belum diketahui.

     
     
  • Perodua umum harga barisan modelnya kini 1-3% lebih rendah dengan cukai SST berbanding GST

    Perodua umum harga barisan modelnya kini 1-3% lebih rendah dengan cukai SST berbanding GST

    Perodua hari ini telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa hampir kesemua model dalam barisan produknya kini 1-3% lebih murah (untuk model tertentu sahaja) setelah pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1hb September 2018 berbanding ketika 6% Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan sebelum 1 Jun lalu.

    “Berdasarkan struktur cukai baharu, hampir semua model Perodua berharga lebih rendah berbanding sebelum 1hb Jun 2018. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya kepada 3.3 juta pelanggan yang dihargai yang telah memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka.” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr Zahari Husin.

    “Mengenai servis penyelenggaraan serta alat ganti Perodua, kami akan terus menawarkan harga kompetitif kepada para pelanggan kami. Kami amat menghargai sokongan padu yang telah ditunjukkan oleh orang ramai terhadap produk dan perkhidmatan kami, dan akan terus memperbaiki diri untuk pelanggan kami,” tambahnya lagi.

    Perodua umum harga barisan modelnya kini 1-3% lebih rendah dengan cukai SST berbanding GST

    Sebelum ini, Kastam DiRaja Malaysia (KDRM) mengesahkan bahawa komponen-komponen yang automotif yang dipasang secara pemasangan tempatan (CKD) adalah dikecualikan dari SST, namun sebuah kereta yang lengkap masih lagi akan dikenakan cukai berkenaan.

    Manakala Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut menjangkakan harga kenderaan akan naik setelah cukai SST ini diperkenalkan semula. Presidennya Datuk Aishah Ahmad berkata, “sebelum GST diimplementasikan, SST pada kadar 10%. Jika kita mengambil kira angka ini, kami jangka harga kenderaan akan naik, selepas-SST. Ini merupakan jangkaan mudah jika kadarnya sama.”

    Perodua nampaknya mengesahkan ramalan berkenaan sedikit tersasar, dan kami masih lagi menunggu pengumuman dari pengeluar lain berkenaan harga baharu selepas sistem rejim cukai SST ini diperkenalkan kembali.

     
     
  • AES: JPJ keluarkan 1,268 saman sejak 1 Sept lalu

    AES: JPJ keluarkan 1,268 saman sejak 1 Sept lalu

    Sejak mengambilalih kesemua operasi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) bermula 1 September lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sejumlah 1,268 saman trafik. Ia membabitkan kesalahan had laju (1,121 saman) dan kesalahan lampu isyarat (147 saman).

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, operasi ini melibatkan penguatkuasaan kesalahan yang dirakam melalui kamera bagi dua kesalahan iaitu memandu melebihi had laju dan tidak mematuhi lampu isyarat merah. Pengambilalihan oleh JPJ itu meliputi penguatkuasaan bagi pengoperasian ke atas 45 buah kamera AWAS yang terdiri daripada 29 kamera bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan 16 buah kamera bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah, laporan Bernama

    “Pada masa yang sama terdapat dua lokasi lagi dalam proses mendapatkan kelulusan pemasangan daripada pihak berkuasa tempatan iaitu satu lokasi bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan satu lokasi bagi kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah,” katanya.

    Anthony berkata, secara keseluruhannya sehingga akhir tahun ini, JPJ akan menguatkuasa kesalahan AWAS di 47 lokasi. Beliau turut menekankan bahawa tujuan utama pemasangan dan penguatkuasaan kamera AWAS adalah untuk mendidik dan menjaga keselamatan pemandu khususnya apabila mereka memandu di zon operasi kamera AWAS.

    AES: JPJ keluarkan 1,268 saman sejak 1 Sept lalu

    “Untuk pengetahuan, semua lokasi yang telah dikenalpasti ini adalah jalan yang mempunyai risiko tinggi berlakunya kemalangan jalan raya,” katanya.

    Dalam pada itu, kerajaan hanya akan mempertimbangkan untuk menambah lokasi pemasangan dan pengoperasian kamera ini sekiranya terdapat keperluan dan semua pihak boleh mencadangkan lokasi yang sesuai untuk dipasang dengan kamera AWAS. Beliau berkata, tiada pengecualian atau pengurangan bayaran kompaun akan diberikan untuk semua saman yang dikeluarkan bagi kesalahan AWAS mulai 1 September 2018.

    “Orang Yang Kena Saman (OKS) akan diberi tempoh kompaun selama 60 hari dengan kadar kompaun RM300 dan pada masa yang sama mata demerit akan dikenakan apabila kompaun ini dibayar. Sekiranya OKS tidak menyelesaikan kompaun yang ditetapkan, kes ke atas OKS akan didakwa di mahkamah dan jika OKS masih gagal hadir ke mahkamah seperti yang dikehendaki, mereka akan disenarai hitam dan dihalang daripada melakukan apa jua transaksi serta urusniaga di JPJ sehinggalah kes ini diselesaikan,” ujarnya lagi.

    Jelasnya tindakan untuk menyenarai hitam ini akan dilakukan menurut peruntukan di bawah Seksyen 17(1d), 29(1A) dan 119(B) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Namun sekiranya OKS memilih untuk menyelesaikan kesnya di mahkamah, jika disabitkan mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak melebihi RM2,000 dan pada masa yang sama mata demerit akan dikenakan.

     
     
  • Proton serap SST untuk semua model yang dibeli sepanjang Sept ini – jualan Ogos meningkat 18.5%

    Proton serap SST untuk semua model yang dibeli sepanjang Sept ini – jualan Ogos meningkat 18.5%

    Proton telah mengumumkan akan menyerap cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk pembelian mana-mana model kenderaannya sepanjang September ini. Walau pun mengakui pelaksanaan SST pasti mendatangkan kesan terhadap pasaran automotif tempatan, namun keputusan Proton untuk menyerap cukai tersebut sepanjang bulan ini adalah bagi memastikan pembeli masih dapat membeli dengan harga yang lebih rendah (tanpa cukai).

    “Sementara Proton menunggu maklumat lanjut mengenai pelaksanaan SST, kami akan menyerap kos SST tersebut untuk semua model untuk memberi peluang kepada pembeli untuk membeli kereta. Ini memberikan manfaat kepada mereka semasa tempoh transaksi serta membantu Proton mengekalkan momentum jualan,” ujar Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

    Sementara itu, Abdul Rashid turut berkata, bulan Ogos turut mencatatkan jualan yang memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 18.5% berbanding bulan sebelumnya. Malah ia merupakan rekod jualan tertinggi (setakat ini) bagi 2018. Secara keseluruhannya, sebanyak 9,501 unit kereta telah dijual, di mana ini bukan sahaja pencapaian terbaharu bagi tahun ini, tetapi merupakan volum jualan terbanyak sejak Julai 2015. Malah TIV yang dicatatkan pula mencapai 15.4% bagi Ogos, meskipun peratusan sebenar akan diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

    Proton serap SST untuk semua model yang dibeli sepanjang Sept ini – jualan Ogos meningkat 18.5%

    “Ogos telah memperlihatkan pertumbuhan jualan sebanyak tiga kali berturut-turut untuk PROTON di mana syarikat sekali lagi mencapai volum yang tinggi bagi tahun ini. Pertumbuhan ini sedikit sebanyak didorong oleh GST yang berkadar sifar sebelum pelaksanaan SST, serta kempen pemasaran yang giat dijalankan bagi mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengambil kesempatan bersempena dengan pembelian tanpa cukai ini.

    “Jumlah jualan yang tinggi ini menunjukkan peningkatan keyakinan orang ramai terhadap jenama kami kerana ramai yang masih memilih Proton berdasarkan pakej menarik yang ditawarkan kepada mereka. Pelan pemulihan kami berjalan seperti yang dirancangkan, kini menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan mereka kekal memilih jenama kami dengan memberikan servis pelanggan yang terbaik,” ujar Rashid lagi.

    Sama seperti tujug bulan sebelum ini, Saga dan Persona kekal menjadi model pilihan pembeli apabila kedua-dua model ini kekal mendominasi jualan Syarikat. Saga menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan dan memecah rekod jualan sebanyak 4,000 unit dengan pendaftaran sebanyak 4,174. Manakala, Proton Persona hampir mencapai jualan 3,000 unit dengan pendaftaran sebanyak 2,957 unit bagi Ogos. Bagi model-model yang lain turut menyumbang pada jualan, ditambahkan lagi dengan pembeli yang mencari kereta sebelum tamat hujung bulan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025