Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Hyundai Elantra facelift 2019 – gaya, kelengkapan baru

    Hyundai Elantra facelift 2019 – gaya, kelengkapan baru

    Melalui model Elantra facelift 2019, Hyundai menggambarkan rekaannya sebagai “bersemangat”, dan muka yang dulunya seperti Audi pada model AD generasi keenam telah diubah dan diganti dengan rekaan yang lebih tajam dan moden. Pada bahagian belakang, tempat nombor plet telah diubah ke bawah dan tempat asalnya diletakkan dengan lencana tulisan Elantra yang lebih berjarak, seperti Sonata facelift.

    “Pembaharuan luar dan dalam Elantra 2019 ini dibuat bagi mengekalkan karekter rekaannya yang penuh emosi. Hud, fender hadapan, gril dan lampu, serta bahagian belakang, but serta lampu belakangnya telah direka semula untuk mewujudkan imej yang menarik dan penuh keyakinan,” kata pengarah perancangan produk Hyundai Motor America, Scott Margason.

    Pada model baru ini juga terdapat rekaan rim 16 dan 17 inci baru, serta unit 15 inci untuk varian Eco di Amerika Syarikat (AS). Perumah lampu yang berbentuk segi tiga tajam kini menempatkan unit lampu utama LED bagi varian Limited dan Sport, manakala di penghujung bampar juga terdapat bukaan berbentuk segi tiga yang menjadi tempat untuk lampu kabus.

    Naik taraf sistem keselamatan adalah kelebihan utama model facelift ini. Bagi varian SEL ke atas, ia telah diperlengkap dengan pakej SmartSense Hyundai yang bermaksud, ia kini ada pada 75% daripada Elantra yang ditawarkan oleh Hyundai di AS. Dalam pakej ini terdapat Forward Collision-Avoidance Assist (jenis yang menggunakan kamera), Lane Keep Assist dan Driver Attention Alert. Ini adalah sebagai tambahan kepada Blind-Spot Collision Warning dengan Rear Cross-Traffic Alert dan Lane Change Assist.

    Bagi varian paling atas Elantra Limited dengan Ultimate Package, pakej SmartSense padanya dilengkapkan sekali dengan Safe Exit Assist dan Forward Collision-Avoidance Assist dengan Pedestrian Detection yang menggunakan gabungan input daripada kamera dan radar. Safe Exit Assist memberikan amaran apabila ada kenderaan yang mendekati dari belakang, dan memberitahu penumpang keadaan tidak selamat untuk membuka pintu dan keluar dari kenderaan.

    Elantra 2019 juga tampil dengan sistem infotainmen AVN 5.0 generasi terbaru, yang kini mempunyai processor yang dinaik taraf supaya lebih responsif, serta skrin 8.0 inci (lebih besar satu inci). Penggunaan preset juga lebih mudah kerana saluran AM, FM dan SiriusXM berada pada satu skrin, dan turut menampilkan HERE HD Traffic. Turut ditambah kepada peta navigasi adalah pandangan dari atas, dan pemandu kini boleh melihat aliran trafik dan data insiden tanpa membayar yuran langganan melalui HD Radio. Kamera undur juga ada pada model ini dengan garisan dinamik.

    Hyundai Elantra facelift 2019 – gaya, kelengkapan baru

    Elantra 2019 turut boleh didapati dengan kemudahan lain seperti Infinity Premium Audio dengan Clari-Fi dan lapan pembesar suara, Apple CarPlay, Android Auto dan pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi. Rekaan pengawal pendingin hawa juga adalah baru, termasuk tombol kawalannya.

    Untuk pilihan enjin, tiada perubahan yang dilakukan, bermaksud ia masih ditawarkan dengan unit 2.0 liter Nu MPI Atkinson Cycle 147 hp dan Kappa 1.4 liter Turbo-GDI dengan 128 hp. Menurut Hyundai, Elantra Sport facelift akan diperkenalkan pada hujung tahun ini, dan secara mekanikalnya, ia akan mempunyai perbezaan yang sama seperti model sebelum facelift, iaitu enjin 1.6 liter Turbo GDI yang dipadankan dengan transmisi sama ada manual enam kelajuan atau automatik klac berkembar tujuh kelajuan. Di Malaysia, Elantra 7DCT Sport datang dengan 204 PS dan 265 Nm tork antara 1,500 hingga 4,500 rpm.

    Kelengkapan lain yang bakal diperbaharui pada Elantra Sport adalah lapik bumbung, pedal penukar gear di stereng, tempat duduk sport kulit, roda stereng yang berbentuk rata di bawah dan dibalut kulit, panel instrumen sport dan kemasan tepi pintu. Elantra paling laju ini datang dengan suspensi belakang multi-link independent dan bukannya torsion beam seperti model biasa.

     
     
  • Kereta nasional ketiga harus tumpu kepada kenderaan jimat tenaga, manfaat atasi kekurangan – menteri

    Kereta nasional ketiga harus tumpu kepada kenderaan jimat tenaga, manfaat atasi kekurangan – menteri

    Cadangan untuk membangunkan kereta nasional ketiga haruslah memfokuskan kepada menerokai kenderaan jimat tenaga sebagai pelaburan terasnya, ujar Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar.

    Menerusi laporan Bernama, beliau berkata bahan bakar fosil mungkin boleh bertahan 25 tahun lagi atau kurang daripada tempoh itu dan dengan itu wujud keperluan untuk melakukan perubahan segera dalam usaha untuk beralih kepada penggunaan tenaga yang lebih lestari. Beliau turut menyebut pengeluar kenderaan seperti BMW, Mercedes, Porsche dan Nissan telah mengeluarkan kereta elektrik dalam usaha untuk menerokai pemasaran dan pengkomersialan sebagai pilihan untuk jangka panjang.

    “Untuk masa depan, pastinya, pilihannya ialah kenderaan elektrik (EV). Evolusi daripada kenderaan menggunakan bahan bakar fosil kepada EV telahpun bermula. Pada ketika ini, semasa dunia terus menonton perlumbaan F1, perlumbaan Formula E-racing semakin mendapat tempat di hati peminat. Bagi saya ini cara berdaya maju “untuk masa depan’. Oleh itu, saya pasti manfaat mempunyai kereta nasional ketiga jelas akan mengatasi sebarang kekurangannya,” katanya.

    Kereta nasional ketiga harus tumpu kepada kenderaan jimat tenaga, manfaat atasi kekurangan – menteri

    Tambahnya lagi, sekiranya EV dikeluarkan secara besar-besaran di sini pada masa depan, lebih ramai orang akan mempunyai pilihan untuk beralih kepada kenderaan lebih mesra alam sekitar pada harga lebih mampu milik.

    “Pembelajaran teknologi baharu akan mendorong generasi muda untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang itu dan Malaysia boleh menjadi peneraju dalam segmen automobil itu bukan sahaja di rantau ini tetapi juga peringkat global. Industri kereta EV secara relatifnya adalah bidang baharu dengan Elon Musk dengan Tesla menerajuinya pada ketika ini. Peluang untuk menarik golongan belia kita menceburinya dan mengembangkannya adalah tiada hadnya. Biar kerajaan menerajui idea ini,” katanya.

    Baru-baru ini dilaporkan bahawa dua syarikat China bersedia melabur sehingga US$10 billion (RM41 bilion) untuk memulakan projek itu bagi lima tahun pertama. Malahan cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir itu turut menarik minat beberapa pengeluar kereta Jepun seperti Toyota dan Nissan.

    “Pada pendapat saya, sekiranya urusan itu berjaya, ia akan memanfaatkan negara dan rakyatnya untuk jangka panjang,” katanya.

     
     
  • Toyota Corolla Hatchback 2019 dianugerahkan penarafan keselamatan lima-bintang dari ANCAP

    Toyota Corolla Hatchback 2019 dianugerahkan penarafan keselamatan lima-bintang dari ANCAP

    Program penilaian kereta Baharu Australia (ANCAP) telah menganugerahkan penarafan keselamatan lima-bintang kepada Toyota Corolla Hatchback serba baharu, bagi versi petrol dan hibrid yang dijual di pasaran Australia dan New Zealand.

    Antara ciri keselamatan standard yang ditawarkan bagi semua varian Corolla itu termasuklah tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai, dan lutut pemandu), brek kecemasan sendiri, bantuan kekal lorong dan amaran ketibaan lorong.

    Bagi kategori perlindungan dewasa, Corolla berjaya memperoleh jumlah markah yang mengagumkan iaitu 36.60 daripada 38 mata (96%), dengan mata penuh bagi ujian impak sisi dan tiang serong (8/8).

    Manakala bagi ujian individu, model ini menerima 7.31 daripada lapan mata bagi frontal offset dan 7.57 daripada lapan mata untuk ujian hadapan penuh. ANCAP turut menyatakan bahagian penumpang kekal stabil dengan tahap ‘Bagus’ bagi pelindungan untuk bahagian kerangka kritikal bagi penumpang hadapan.

    Toyota Corolla Hatchback 2019 dianugerahkan penarafan keselamatan lima-bintang dari ANCAP

    Sistem brek kecemasan sendiri juga menunjukkan prestasi yang ‘Bagus’ pada ujian kelajuan rendah bagi pemanduan bandar, dengan menerima mata penuh (4/4) bagi AEB-Bandar.

    Dengan banyak sistem keselamatan termaju yang disertakan secara standard, hatchback ini turut menerima 9.90 mata daripada 13 mata (76%) bagi kategori bantuan keselamatan. Ujian bagi sistem AEB juga menunjukkan prestasi yang ‘Bagus’ untuk pemanduan di lebuhraya, dengan keputusan ‘Mencukupi’ bagi sistem sokongan lorong.

    Akhir sekali, bagi kategori pelindungan pengguna jalan raya yang terdedah, dengan analisis impak pejalan kaki, Corolla ini menerima 41.37 daripada 48 mata (86%). ANCAP memuji kemampuan sistem AEB untuk mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal pada waktu siang dan malam. Bonet kereta ini juga turut diberikan pujian ‘Bagus’ kerana memiliki perlindungan yang memuaskan.

    “Peningkatan keselamatan yang ditampilkan bagi generasi Corolla ini merupakan signifikan langkah ke hadapan. Corolla merupakan model yang dipercayai di Australia dan New Zealand serta merupakan kereta penumpang yang tertinggi jualannya, jadi dengan standard keselamatan yang tertinggi, ia dilihat sebagai pemilikan yang berbaloi,” ujar ketua eksekutif ANCAP, James Goodwin.

    Tambahnya lagi, “Dengan model arus perdana seperti Corolla, yang kini ditawarkan dengan sistem bantuan kelajuan termaju yang boleh membaca isyarat jalan. Sistem ini adalah blok automasi yang menyampaikan keperluan yang diperlukan oleh jenama, pengawal selia dan penyedia infrastruktur untuk bekerjasama bagi melihat manfaat keselamatan dan kecekapannya direalisasikan.”

     
     
  • Jaringan pengangkutan Pantai Timur akan dipertingkat

    Jaringan pengangkutan Pantai Timur akan dipertingkat

    Kerajaan akan menambah baik jaringan pengangkutan darat di Pantai Timur berikutan pembatalan projek East Coast Rail Link (ECRL), lapor The Star.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata negeri-negeri yang terlibat tidak akan diabaikan walaupun kerajaan telah mengambil keputusan untuk membatalkan pembinaan ECRL, yang telah diumumkan sendiri oleh Tun Mahathir setelah berkunjung ke China minggu lalu. Tun M menjelaskan projek berkenaan terpaksa dihentikan untuk membolehkan negara memperbaiki kedudukan kewangan.

    “Keputusan untuk membatalkan pembinaan ECRL diputuskan oleh kabinet disebabkan faktor kos. Tetapi saya ingin memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengabaikan mereka-mereka yang berada di Pantai Timur walaupun projek ini tidak diteruskan,” jelas beliau. Menurutnya, kerajaan akan terus mempertingkatkan laluan keretapi Gemas-Tumpat dan memkemas jaringan jalan raya di Pantai Timur.

    KTM sebelum ini terpaksa memberhentikan sementara laluan Gemas-Tumpat selepas ada bahagian trek berkenaan, serta sistem isyarat, stesen-stesen dan Jambatan Kemubu telah mengalami kerosakan serius akibat kejadian banjir besar pada 2014. Laluan berkenaan dibuka semula pada 2016, tetapi jumlah perkhidmatan adalah terhad ketika ini.

     
     
  • Kerajaan tidak dapat bayar semula saman AES, duit disalurkan kepada dua syarikat pengendali – menteri

    Kerajaan tidak dapat bayar semula saman AES, duit disalurkan kepada dua syarikat pengendali – menteri

    Minggu lalu kerajaan mengumumkan pembatalan semua saman Automated Enforcement System (AES) yang dilakukan sejak ia mula beroperasi pada 2012, kerana kutipan saman berkenaan dilakukan oleh dua syarikat pengendali yang dilantik oleh kerajaan sebelum ini. Bagaimanapun, kerajaan akan mengambil alih operasi AES bermula 1 September nanti.

    Untuk itu, kerajaan tidak berada dalam kedudukan untuk memulangkan semula bayaran saman oleh pengguna yang telah menjelaskan saman sebelum ini, lapor The Star.

    “Bayaran saman yang dilakukan oleh pengguna sebelum ini disalurkan kepada syarikat pengendali yang dilantik oleh kerajaan terdahulu. Kami tidak berada dalam kedudukan untuk memulangkan semula wang sama itu kerana kerajaan tidak mendapat sebarang manfaat berkaitan hal ini,” jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Keputusan pembatalan sama itu turut menerima kritikan kerana sebahagian pihak beranggapan ia tidak adil bagi mereka yang telah membayar sama berkenaan. Loke menjelaskan lagi, kementeriannya ketika ini sedang mempertimbang kaedah yang lebih baik bagi pelaksanaan AES, dan perbincangan mengenainya sedang dilakukan.

    Tentang kadar saman yang akan dikenakan pula, Loke berkata tidak perlu perkara itu dinilai semula kerana undang-undang sedia ada telah menyatakan dengan jelas bahawa saman maksimum bagi sestengah kesalahan trafik memang mencecah RM300.

    AES diperkenalkan pada tahun 2012, dengan Syarikat ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd dilantik sebagai pemegang konsesi. Setakat ini kutipan yang telah diperoleh adalah lebih RM129 juta. Satu-satunya aset yang dimiliki kedua-dua syarikat berkenaan ialah 47 kamera pengesan kelajuan, tetapi hanya 38 unit yang berfungsi.

    Kos keseluruhan untuk pemasangan sebuah kamera AES ialah RM250,000. Ini bermakna syarikat-syarikat itu hanya melaburkan sekitar RM10 juta untuk pemasangan 47 kamera berkenaan, jelas Loke.

     
     
  • Aston Martin V8 Vantage 2018 kini dilancarkan di Malaysia – 510 PS, 685 Nm, harga dari RM1.6 juta

    Aston Martin V8 Vantage 2018 kini dilancarkan di Malaysia – 510 PS, 685 Nm, harga dari RM1.6 juta

    Aston Martin Kuala Lumpur secara rasminya telah memperkenalkan Aston Martin Vantage baharu di negara ini, model coupe dua-pintu generasi kedua yang tiba di sini selepas sembilan bulan ia didedahkan di peringkat global. Harganya dari RM1.6 juta, termasuk pelbagai cukai.

    Berukuran 4,465 mm panjang, 1,942 mm lebar dan 1,273 mm tinggi, dengan jarak roda 2,704 mm, Vantage dibina dengan struktur aluminium yang sama dengan DB11, tetapi 70% komponennya adalah unik. Malahan ia juga memiliki penggayaan yang lebih berbeza berbanding abang-abangnya.

    Bagi rekaannya, Vantage baharu ini berbentuk lebih tegap, dengan memaparkan banyak butiran reka bentuk yang lebih jelas dari DB10 khusus untuk filem James Bond, Spectre. Dengan bahagian depan dan belakang yang minimum, kelihatan tulangnya lebih ‘berotot’ dan pejal, malahan Vantage baharu ini nampak lebih tajam.

    Bahagian dalamannya pula menampilkan sentuhan yang lebih signifikan malahan lebih luas bagi ruang dan ruang kepala berbanding model sebelum ini, juga terdapat sedikit ruangan di belakang tempat duduk. Bagi ruang but, ia menawarkan kapasiti sebanyak 350 liter untuk penyimpanan kargo.

    Kawalan rotary baharu turut ditampilkan di dalam kabin, dengan butang transmisi PRND yang kini disusun dengan formasi segitiga, mengklasifikasikan kawalan utama ke dalam zon yang lebih jelas. Bercakap tentang suis, tidak ada kekurangan pada konsol tengah untuk individu yang menyukai butang tersebut.

    Ciri standard termasuk tempat duduk sport, tanpa kunci mula/berhenti, sistem pemantauan tekanan tayar, kawalan suhu dwi-zon, bantuan parkir dan pengesan parkir hadapan/belakang. Lain-lain ciri termasuk sistem infotainmen COMAND Online versi Mercedes-Benz dengan skrin LCD tengah lapan-inci dan sistem audio Aston Martin.

    Sebagai standard, Vantage didatangkan dengan Alcantara upholstery tetapi dengan dalaman kulit-sepenuhnya sebagai pilihan, dan terdapat beberapa kemasan termasuklah sentuhan perak sutera dan hitam berkilat.

    Hanya satu pilihan enjin yang ditawarkan iaitu 4.0 liter turbo-berkembar V8 dari Mercedes-AMG, dengan kedudukan enjin yang lebih rendah hasil pemasangan enjin baharu yang lebih berprofil rendah, dan penjana kuasanya juga telah diberi talaan semula – bersama corong dan ekzos – yang memberikan lebih karakter gaya-AMG dan sonic signature.

    Kuasa yang mampu dihamburkan mencecah 510 PS pada 6,000 rpm dan tork 685 Nm dari 2,000 hingga 5,000 rpm, dan ia disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan ZF. Prestasinya dicatatkan dari 0.100 km/j dalam 3.6 saat dan kelajuan tertinggi mampu memuncak hingga 314 km/j.

    Elemen teknikal termasuk roda stereng kuasa elektrik kelajuan-sensitif, sistem peredam adaptif dengan Skyhook, yang menawarkan mod pemanduan Sport, Sport Plus dan Track. Juga didatangkan dengan DCS, Penvektoran Tork Dinamik, yang pertama kali ditampilkan pada Aston Martin, dan electronic locking rear differential (E-Diff) yang bekerja dengan sistem kawalan kestabilan untuk memberikan maklumbalas terhadap tindakan jentera.

    Secara standard, Vantage dipadankan dengan roda aloi Y 20-inci, yang dibaluti tayar yang dibangunkan khas Pirelli P Zero 255/40 di hadapan dan 295/35 di belakang. Pilihan personalisasi turut ditawarkan termasuk untuk unit tiruan dengan beberapa kemasan.

     
     
  • Aston Martin akan keluarkan semula 25 unit DB5 seperti dalam filem James Bond – harga RM14.45 juta

    Aston Martin akan keluarkan semula 25 unit DB5 seperti dalam filem James Bond – harga RM14.45 juta

    Aston Martin telah mengumumkan bakal mengeluarkan semula kereta model DB5, yang boleh dikatakan sebagai antara kereta paling popular di dunia. Ini kerana model tersebut telah digunakan buat pertama kali dalam filem James Bond yang ketiga iaitu Goldfinger dan sejak itu berhubung rapat dengan francais filem aksi tersebut dan digunakan lagi dalam enam lagi filem James Bond yang berikutnya.

    DB5 yang akan dikeluarkan semula oleh Aston Martin ini akan dibuat sama seperti kereta yang digunakan dalam filem tersebut, termasuklah kelengkapan khas yang berfungsi seperti tempat nombor plet yang boleh dilipat ke dalam. Pihak yang terlibat untuk membina kereta ini adalah Aston Martin Works, EON Productions dan penyelia kesan khas filem James Bond.

    DB5 pertama kali didedahkan kepada orang awam semasa Earls Court Motor Show pada tahun 1963 dan pada tahun berikutnya ia muncul dalam filem Goldfinger. Ia adalah penyambung generasi bagi model DB4, tetapi datang dengan pelbagai peningkatan – paling utama adalah enjinnya iaitu unit enam silinder sebaris 3,995 cc yang mampu menghasilkan 282 hp pada 5,500 rpm dan 379.6 Nm tork pada 4,500 rpm.

    Aston Martin akan keluarkan semula 25 unit DB5 seperti dalam filem James Bond – harga RM14.45 juta

    Penyampaian bahan api ke enjin DB5 ini dikawal oleh tiga karburetor Weber SU dan ia boleh mencapai kelajuan maksimum 238 km/j dan mencatat pecutan 0-96 km/j (0-10 mph) dalam masa 7.1 saat. Antara kelengkapan lain padanya adalah transmisi empat kelajuan (yang kemudiannya dinaik taraf kepada lima kelajuan), brek cakera Girling dan rim 15 inci.

    Menurut presiden dan ketua pegawai eksekutif Aston Martin, Andy Palmer, DB5 Goldfinger yang dikeluarkan semula ini adalah ibarat satu fantasi paling hebat bagi pengumpul kereta. Ia akan dibina bukan sahaja sama seperti kereta dalam filem tersebut, bersama kelengkapan uniknya, malah juga akan dikeluarkan di kilang dan standard pengeluaran yang sama.

    Harga jualan DB5 Goldfinger keluaran semula ini adalah £2.75 juta (RM14.45 juta) termasuk cukai, namun ia tidak boleh didaftar untuk kegunaan atas jalan raya awam.

     
     
  • Projek ECRL sah batal – Perdana Menteri Tun Mahathir

    Projek ECRL sah batal – Perdana Menteri Tun Mahathir

    Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai berbilion ringgit dibatalkan.

    Perdana Menteri berkata, beliau sudah menyampaikan keputusan itu kepada Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang memahami sebab-sebab pembatalan dua projek yang disokong kerajaan China itu, laporan Bernama.

    “Pada peringkat awal, berlaku salah faham, namun kini mereka faham mengapa kita lakukannya (batal). Saya tidak fikir China mahu kita muflis,” kata Dr Mahathir.

    Dr Mahathir berkata projek terbabit membabitkan peruntukan wang yang besar, dan Malaysia tidak terlalu memerlukannya pada masa ini berikutan kedudukan kewangan negara dengan jumlah hjutang yang tinggi yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

    “Projek tidak diteruskan. Keutamaan kami ialah mengurangkan hutang. Buat masa ini ia (projek) dibatalkan sehingga kita mampu,” katanya lagi.

    Dr Mahathir berkata, rundingan akan dilakukan pada peringkat pegawai untuk mencari jalan keluar daripada projek berkenaan pada kos paling rendah.

    Beliau menjelaskan, ini kerana kerajaan mungkin perlu membayar pampasan susulan keputusan itu yang disebabkan kebodohan rundingan kerajaan terdahulu.

    “Mengapa kita perlu memeterai perjanjian yang mana kita perlu membayar pampasan besar jika projek tidak diteruskan. Sepatutnya mesti ada klausa keluar yang adil bagi kedua-dua pihak dalam semua perjanjian. Tetapi dalam hal ini, jika kita batal, kita kena bayar jumlah wang yang banyak,” katanya.

     
     
  • LPT2 catat 2,765 kes kemalangan pada 2017 – terlanggar serpihan tayar, haiwan antara punca

    LPT2 catat 2,765 kes kemalangan pada 2017 – terlanggar serpihan tayar, haiwan antara punca

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesahkan sebanyak 2,765 kes kemalangan dilaporkan di sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Kedua (LPT2) pada tahun lalu. Antara punca kemalangan ialah pemandu terlanggar pelbagai objek termasuk serpihan tayar, kayu dan batu di atas jalan, laporan Berita Harian.

    Menurut pengarah JPJ negeri, Zulkarnain Yasin, terdapat 28 kes kemalangan akibat terlanggar serpihan tayar, 25 kes terlangar besi, 36 kes kerana kayu, 36 kes terlanggar bangkai haiwan dan empat kes terlanggar penghadang plastik.

    “Sebahagian besar kemalangan berlaku kerana pemandu kereta dan motosikal tidak dapat mengelak daripada terlanggar objek tersebut,” katanya.

    JPJ Terengganu juga baru saja melancarkan Unit Penguatkuasa Ronda Lebuh Raya (UPRL) semalam. Menurut Zulkarnain, peronda UPRL ditugaskan membuat rondaan di sepanjang LPT2 bermula dari plaza Tol Kuala Terengganu hingga ke plaza Tol Jabor di Kemaman sejauh kira-kira 194 kilometer (KM) dan menghubungi pihak konsesi lebuh raya untuk mengutip objek yang boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna lebuh raya.

    “UPRL telah mula bertugas sejak selasa lalu hingga akhir bulan ini, di mana tujuh kesalahan utama telah dikesan dilakukan pemandu kenderaan dan tindakan akan diambil. Antara kesalahan yang akan dikenakan tindakan oleh peronda UPKL adalah tidak memakai tali pinggang keledar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memotong garisan dan menggunakan lorong kecemasan,” ujar Zulkarnain.

    Katanya lagi, peronda UPRL tidak akan mengadakan sekatan jalan raya di sepanjang lebuh raya, sebaliknya saman ke atas pemandu kenderaan yang didapati melakukan kesalahan itu akan dikeluarkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R). Tindakan mengeluarkan saman ke atas pemandu yang melakukan kesalahan itu terpaksa dikeluarkan di R&R bagi mengelakkan kesesasakan aliran trafik.

     
     
  • Tesla boleh buat kereta bawah USD25k dalam 3 tahun

    Tesla boleh buat kereta bawah USD25k dalam 3 tahun

    Elon Musk telah mendedahkan bahawa Tesla boleh menghasilkan kereta yang lebih mampu milik dengan kos bawah US$25,000 (RM100k) dalam masa tiga tahun, tetapi syarikat perlu bekerja lebih keras. Dalam satu temu bual dengan pemilik akaun YouTube MKBHD Marques Brownlee, Musk telah memberitahu memang terdapat ruang untuk kereta yang kurang mahal dan berkualiti.

    “Ya, sudah tentu. Sebuah kereta US$25,000 adalah sesuatu yang kami boleh lakukan. Dan jika kami bekerja keras, ia boleh dilakukan dalam masa tiga tahun. Kunci untuk menjadikan ia mampu milik adalah rekaan, kemajuan teknologi dan skala,” kata Musk. Tambah beliau, aspek mampu milik ini juga dapat ditambah selepas mempunyai beberapa versi dan jumlah yang banyak.

    Sementara itu, Musk juga memberitahu bahawa pasukan beliau mempunyai lebih banyak idea daripada sumber untuk dilaksanakan. Baru-baru ini Tesla telah meminta kembali wang yang telah dibelanjakan daripada pembekal untuk meningkatkan keuntungan dan ia juga pernah bercadang untuk menjadi syarikat persendirian dengan dana daripada Arab Saudi.

    Tesla boleh buat kereta bawah USD25k dalam 3 tahun

    Pada masa ini, kenderaan Tesla yang paling mampu milik adalah Model 3. Semasa ia didedahkan dengan harga US$35,000 (RM140k), tempahan awal naik mendadak dengan 115,000 unit ditempah dalam masa cuma 24 jam. Kalau betul lah model yang berharga bawah US$25,000 ini keluar nanti, ia pastinya akan lebih menarik lebih ramai orang.

    Walaupun Model 3 ini didedahkan dengan harga US$35,000 (RM140k), beberapa laporan telah menunjukkan sebenarnya agak susah untuk mendapatkannya pada harga bawah US$50,000 (RM200k). Terdapat juga pelbagai isu seperti penangguhan pengeluaran serta pembatalan tempahan untuk model ini. Sebagai perbandingan dengan model lain, Hyundai Ioniq Electric yang merupakan antara kenderaan elektrik mampu milik di Amerika Syarikat dijual pada harga bermula US$29,500 (RM118k).

     
     
  • Suzuki Ciaz facelift diberikan pilihan enjin hibrid 1.5L

    Suzuki Ciaz facelift diberikan pilihan enjin hibrid 1.5L

    Tiga tahun selepas Suzuki Ciaz diperkenalkan di India, sekarang sedan ini telah diberikan facelift. Pada model baru ini, penampilannya telah diubah, dan turut mendapat pilihan enjin hibrid ringkas petrol-elektrik.

    Enjin Smart Hybrid 1.5 liter pada Ciaz facelift menggantikan unit petrol 1.4 liter K14 sebelum ini, dan menggunakan unit empat silinder K15 yang mampu menghasilkan kuasa 103 hp pada 6,000 rpm dan 138 Nm tork pada 4,400 rpm. Jumlah ini bersamaan dengan peningkatan masing-masing 13% kuasa dan 6% tork jika dibandingkan dengan enjin K14. Enjin itu kemudiannya dipadankan denan sistem Smart Hybrid Suzuki dengan bateri lithium ion kompak.

    Sistem ini membolehkan fungsi start/stop enjin automatik, penjanaan semula kuasa brek dan torque boost sewaktu memecut dan membantu memberikan catatan penggunaan bahan api sekitar 21.56 km/l dengan kotak gear manual lima kelajuan. Turut ditawar adalah kotak gear automatik empat kelajuan. Walaupun terdapat enjin hibrid 1.5L ini, varian dengan enjin diesel 1.3L DDiS SmartHybrid 88 hp/200 Nm masih lagi dikekalkan.

    Suzuki Ciaz facelift diberikan pilihan enjin hibrid 1.5L

    Pada bahagian luar, muka hadapan kenderaan ini telah direka semula dengan lampu utama LED projector dan lampu siang LED, gril yang lebih lebar serta lampu kabus LED pada penjuru bampar dengan kemasan krom di kelilingnya. Di belakang juga menggunakan lampu jenis LED, dengan kemasan krom di beberapa bahagian dan ia diperlengkap dengan rim 16 inci dua tona.

    Bahagian dalam turut melibatkan perubahan seperti kemasan kayu, paparan LCD berwarna 4.2 inci dan lampu pada panel instrumen yang boleh berubah warna. Untuk ciri keselamatan, Ciaz facelift kini dilengkapi dengan dua beg udara, ABS dan EBD secara standard, manakala varian yang lebih tinggi didatangkan dengan stability control dan hill start assist.

     
     
  • Renault Twizy untuk pemenang peraduan ‘Buy & Win’

    Renault Twizy untuk pemenang peraduan ‘Buy & Win’

    Tan Chong Euro Cars Sdn Bhd (TCEC) telah menyerahkan sebuah model kereta elektrik sepenuhnya Renault Twizy kepada seorang pemenang bertuah bagi pertandingan ‘Buy & Win’ yang dianjurkan sebelum ini.

    Lam Ming Wei, 26 tahun dari Johor yang menjadi pemenang bertuah berkenaan berhasrat untuk menghadiahkan kereta berkenaan kepada ibunya untuk kegunaan harian. “Saya sama sekali tidak sangka akan menang. Twizy ini sangat ideal untuk ibu saya gunakan, memandangkan jarak tempat kerjanya dari rumah kami tidak jauh,” jelas Lam, yang memenangi kereta EV berkenaan selepas membeli sebuah Renault Captur.

    Tiga lagi pemenang pula membawa pulang baucar percutian bernilai RM1,500 setiap seorang. Mereka ialah Nur Izzati binti Rozali, 24, dari Bangi; Chang Jun Wei, 26, dari Ampang dan S. Suraindiran a/l Sathiamurthy, 50, dari Puchong.

    “Kepuasan pelanggan menjadi keutamaan kami. Kempen seperti ‘Buy & Win’ ini merupakan satu daripada cara kami menunjukkan penghargaan terhadap sokongan mereka,” jelas CEO TCEC, Kuan Kim Luen.

    Peraduan Renault ‘Buy & Win’ berlangsung dari 1 Januari hingga 30 Jun 2018. Sepanjang tempoh berkenaan, pelanggan yang membeli mana-mana model Renault secara automatik layak untuk memenangi hadiah yang dipertandingkan. Pemenang hadiah percutian pula dilakukan setiap dua bulan (tiga pemenang setiap kali).

     
     
  • Proton anjur pertandingan servis lepas jualan untuk pekerja, usaha tingkatkan kepuasan pelanggan

    Proton anjur pertandingan servis lepas jualan untuk pekerja, usaha tingkatkan kepuasan pelanggan

    Dengan matlamat untuk memberikan khidmat lepas jualan dan servis yang lebih baik berbanding sebelumnya, Proton telah menganjurkan Pertandingan Servis Selepas Jualan yang melibatkan semua kakitangan lepas jualannya di seluruh negara – termasuk mekanik dan juruteknik.

    Tujuannya adalah untuk membolehkan juruteknik/mekanik Proton menjadi lebih berdaya saing dan mampu bertukar-tukar idea dan ilmu berkaitan kepakaran dalam bidang masing-masing. Ini diyakini akan dapat meningkatkan kualiti servis lepas jualan Proton dan meletakkannya setanding dengan peringkat global.

    “Kami ingin menyediakan satu peluang kepada pekerja-pekerja untuk berkumpul bersama-sama bagi mengenali antara satu sama lain dan saling berkongsi pengetahuan. Kami percaya bahawa rangkaian secara menyeluruh dalam kalangan mereka akan dapat membantu meningkatkan pengetahuan teknikal dan kemahiran menyelesaikan masalah,” kata Azharuddin Abdullah, Pengarah Pengurusan Selepas Jualan PROTON.

    “Kakitangan di bahagian servis selepas jualan merupakan kunci utama yang akan memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik. Kami akan memperbaiki proses servis selepas jualan secara berterusan.

    Proton anjur pertandingan servis lepas jualan untuk pekerja, usaha tingkatkan kepuasan pelanggan

    “Perkhidmatan lepas jualan yang baik adalah kunci utama untuk mengekalkan pelanggan sedia ada, serta menarik pelanggan-pelanggan baru. Juruteknik atau mekanik memainkan peranan penting dalam memastikan perkara ini berlaku,” tambah Azharuddin lagi.

    Pusingan pra kelayakan telah diadakan di lima wilayah bermula 20 Julai yang lalu. Tiga peserta teratas bagi peringkat wilayah akan bertanding ke peringkat akhir yang akan diadakan di Pusat Latihan dan Kemahiran Lanjutan Pengajar (CIAST), Shah Alam pada 27-30 September.

    Enam peserta terbaik akan memenangi hadiah wang tunai dan lawatan ke Shanghai, China di mana mereka akan melawat ke ibupejabat dan pusat penyelidikan Geely.

    Peserta akan diuji dengan keupayaan teori dan praktikal melalui tugas membaik pulih enjin di mana mereka dikehendaki untuk membuka dan memasang semula enjin Proton VVT dalam tempoh masa 3 jam. Mereka dinilai berdasarkan kelajuan, ketepatan dan kecekapan menyelesaikan masalah sepanjang proses tersebut.

     
     
  • Hapuskan semua tol langkah tidak bijak – Daim

    Hapuskan semua tol langkah tidak bijak – Daim

    Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Tun Daim Zainuddin berpendapat cadangan bagi menghapuskan tol di seluruh negara adalah dianggap sebagai tindakan yang tidak bijak dilakukan pada masa ini. Menurutnya, terdapat banyak cadangan menerangkan mengenai idea penghapusan tol dan mengapa ia tidak sesuai dilakukan, laporan Berita Harian.

    “(Laporan) kenapa idea untuk hapuskan tol semua dalam keadaan kewangan semasa negara tidak bijak dibuat pada peringkat ini. Saya rasa rakyat juga akan faham mengapa dan semua laporan cadangan ini akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekembalinya beliau dari China,” katanya pada sidang media semalam.

    Tambahnya lagi, kerajaan dan rakyat harus bersedia untuk membuat dan menerima apa sahaja keputusan yang sukar bagi manfaat jangka panjang negara.

    “Tiada penyelesaian pantas terhadap masalah yang dikenal pasti oleh CEP selain banyak lagi cabaran perlu ditempuhi di hadapan,” katanya.

    Pada awal bulan ini, Menteri Kerja Raya, Baru Bian, berkata, negara bakal menghadapi krisis kewangan sekiranya menghapuskan semua tol secara serentak.

    “Penghapusan tol secara serentak akan memberi kesan kepada kewangan kerajaan kerana kos keseluruhan pengambilalihan lebuh raya bertol mencecah RM400 bilion,” katanya.

     
     
  • Data jualan kenderaan di Malaysia bagi Julai 2018 mengikut jenama – Perodua +21.5%, Honda +12.2%

    Data jualan kenderaan di Malaysia bagi Julai 2018 mengikut jenama – Perodua +21.5%, Honda +12.2%

    Jualan kenderaan di negara ini melonjak naik bagi bulan kedua selepas kadar sifar ditetapkan bagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selama tiga bulan sehinggalah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan kembali mulai 1 September ini.

    Pengguna terus menempah kereta baharu, memberikan hasil yang memberangsangkan bagi jualan Julai 2018 iaitu mencecah 68,465 unit, meningkat 6% atau 3,963 unit dari 64,502 unit yang dicatatkan pada Jun. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan Julai merupakan TIV bulanan kedua yang tertinggi yang pernah dicatatkan dalam sejarah industri automotif tempatan, selepas rekod paling membanggakan pada Disember 2015 iaitu 69,371 unit.

    Berikut merupakan pecahan mengikut jenama bagi Julai. Tidak seperti Jun yang lebih banyak anak panah hijau, kali ini lebih anak panah merah pula.

    Seperti bulan-bulan sebelum ini, Perodua masih kekal mendahului liga dengan peningkatan sebanyak 21.5% bagi Julai. Honda menduduki tangga kedua, meningkat sebanyak 12.2%, sementara Nissan juga catat peningkatan sebanyak 9.8%. Walau bagaimana pun, Proton telah menunjukkan peningkatan yang tertinggi iaitu lebih 31.2% berbanding Jun.

    Selebihnya, menyaksikan sedikit penurunan dalam jualan – kebanyakannya kerana pergerakan stok sedia ada yang melonjak pada Jun dan permintaan yang melampaui bekalan. Mazda antara jenama yang mengalami penyusutan, dengan jualan sebanyak 1,200 unit bagi Julai, menurun 20.7% berbanding Jun.

    Manakala jualan bagi kenderaan premium juga mengalami impak yang sama, dengan Mercedes menyusut 10.7%, BMW (-14.4%), Volvo (-14.8%) dan Lexus (-46.4%). Manakala angka jualan bagi Audi pula tidak dipaparkan.

    Klik carta di bawah untuk versi yang lebih jelas.

    Data jualan kenderaan di Malaysia bagi Julai 2018 mengikut jenama – Perodua +21.5%, Honda +12.2%

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025