Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Audi e-tron – bahagian dalam disiar, cermin sisi digital

    Audi e-tron – bahagian dalam disiar, cermin sisi digital

    Sebelum ia dipertontonkan secara rasmi Ogos nanti, Audi telah mengeluarkan gambar bahagian dalam yang jelas bagi SUV elektrik terbaru mereka iaitu e-tron. Selain gambar yang agak banyak, pengeluar dari Jerman itu juga mendedahkan beberapa lagi perincian berkenaan model tersebut.

    Sebagai permulaan, e-tron akan mempunyai jarak roda 2,928 mm, dengan Audi memberitahu ruang yang disediakan mencukupi untuk lima penumpang bersama beg mereka. Sebagai tambahan, Audi juga mendakwa model ini mempunyai panjang bahagian dalam, ruang kepada (depan dan belakang) serta ruang kaki bagi penumpang baris kedua yang terbaik dalam kelasnya (segmen SUV saiz penuh).

    Selain daripada itu, Audi juga mendakwa kereta ini mampu mencapai tahap keselesaan akustik tertentu dengan sistem penebat dan kedap bunyi istimewa di semua zon yang dapat menyerap gangguan bunyi. Mereka turut menambah, pada kelajuan sekitar 85 km/j, bunyi udara hampir tidak kedengaran kepada penumpang.

    Audi e-tron – bahagian dalam disiar, cermin sisi digital

    Sama seperti model Audi lain yang dikeluarkan baru-baru ini (A6, A7 Sportback, A8 and Q8), banyak bahagian yang boleh dilihat pada bahagian dalamnya. Di depan pemandu terdapat panel instrumen digital yang boleh diubah mengikut suka, manakala bahagian papan pemuka utama diletakkan dengan satu lagi unit skrin untuk infotainmen. Bawah padanya terdapat satu lagi paparan kecil untuk pendingin hawa serta ciri lain.

    Setakat itu, semuanya kelihatan seperti sebuah model Audi yang moden, tapi apabila anda perhatikan lebih rapi, di tepi pintunya terdapat satu skrin OLED tujuh inci. Skrin ini memaparkan pandangan yang diperolehi daripada kamera tepi yang kini menggantikan cermin sisi seperti kereta biasa. Dengan sistem digital, pemandu boleh memilih tiga pandangan dalam sistem MMI untuk situasi berbeza iaitu pemanduan lebuh raya, membelok dan masuk parkir.

    Satu lagi ciri unik pada bahagian dalamnya adalah pemilih gear dan perehat tangan, yang mana menurut Audi, “nampak seperti terapung di atas konsol.” Bergantung kepada varian, pelbagai kemasan disediakan sebagai pilihan termasuk kulit Valcona dan brushed aluminium. Tempat duduk juga dilihat mempunyai corak seperti papan litar elektrik dan boleh dipilih dengan warna jahitan yang kontras.

    Sistem lain yang ditawarkan termasuk pakej lampu suasana yang dapat mengesan garis rekaan bahagian dalam, dan memberikan nyalaan pada lencana e-tron serta sistem bunyi Bang & Olufsen yang digunakan. Untuk sistem bunyi, ia didatangkan bersama 16 pembesar suara dan amplifier berkuasa sehingga 705 watt.

     
     
  • Volkswagen Golf R pasaran Eropah ‘hilang’ 10 PS kerana prosedur ujian penggunaan bahan api baharu

    Volkswagen Golf R pasaran Eropah ‘hilang’ 10 PS kerana prosedur ujian penggunaan bahan api baharu

    Dek kerana prosedur ujian penggunaan bahan api baharu Eropah yang semakin ketat, hot-hatch Volkswagen Golf R yang sebelum ini menjana 310 PS terpaksa diturunkan kepada hanya 300 PS, lapor Autocar.

    Prosedur yang digelar Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure (WLTP) yang menggantikan prosedur NEDC sebelum ini melibatkan ujian yang dilakukan pada dunia sebenar dan bukan hanya di dalam makmal, menyebabkan Volkswagen terpaksa mengubah sistem ekzos kereta tersebut bagi memastikan pengeluaran nitrogen oksida tidak melebihi kadar yang ditetapkan.

    “Dalam konteks homologasi baharu ini, ada adaptasi untuk pemulihan gas ekzos dan untuk pengeluaran kuasa. Mulai sekarang, model Golf R akan menampilkan enjin berkuasa 300 PS,” kata jurucakap Volkswagen kepada Autocar. Namun, perincian perubahan yang dibuat tersebut masih belum didedahkan.

    Walau bagaimanapun, kuasa yang dihasilkan pada enjin 2.0 liter turbo TSI Golf R pasaran Eropah ini masih lagi lebih besar dari versi pasaran Malaysia yang hanya menjana 290 PS/380 Nm.

    Prosedur WLTP ini bukan sahaja menjejaskan Volkswagen Golf R, malah turut melibatkan kereta berkuasa tinggi dari jenama lain. BMW M3 F30 misalnya, terpaksa dihentikan terus kerana kos untuk memadankan particulate filter khas pada sistem ekzos model tersebut tidak berbaloi dan M3 hanya akan muncul semula dengan generasi baharu G80 pada tahun 2020 nanti.

    Volkswagen Golf R 2018

     
     
  • Program pengambilan lesen B2 mudah SKSJ dihenti

    Program pengambilan lesen B2 mudah SKSJ dihenti

    Semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini, JPJ ada menganjurkan skim mendapatkan lesen B2 secara mudah untuk mereka yang kurang berkemampuan dan tinggal di kawasan pedalaman, dipanggil Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ). Skim ini sudah wujud sejak tahun 2009 dan melibatkan bayaran cuma RM200 dan latihan selama satu minggu.

    Walaubagaimanapun, dalam satu sidang media, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah memberitahu bahawa skim ini akan diberhentikan. Laporannya telah disiarkan oleh The Star dan selepas ini, semua orang perlu melalui proses pengambilan lesen yang biasa dilakukan oleh JPJ.

    “Sesiapa yang mahu mendapat lesen B2 perlu melalui prosedur biasa melalui institusi memandu. Ini adalah program yang diwujudkan oleh kerajaan sebelum ini. Kementerian telah memutuskan lesen tidak lagi akan diberi dengan cara ini,” tambah Loke.

    Berkenaan isu ‘lesen terbang’, Loke memberitahu tindakan akan diambil kepada sesiapa yang menawarkan servis yang dilarang ini dalam media sosial. “Kami telah menemui beberapa laman Facebook yang menawarkan servis ini. JPJ telah membuat laporan kepada pihak polis, dan juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Loke yang turut memberitahu tindakan akan diambil kepada pegawai JPJ yang terlibat.

     
     
  • Jangan halang lalu lintas, parkir sesuka hati – PDRM

    Jangan halang lalu lintas, parkir sesuka hati – PDRM

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT) memberi amaran kepada orang awam supaya jangan membuat halangan termasuk parkir di laluan dilarang, parkir menghalang lalu lintas dan kenderaan yang membuat halangan.

    Menurut Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, hasil operasi Ops Halangan yang dijalankan di sekitar ibu kota semalam, pelbagai alasan diberikan kepada pengguna jalan raya, termasuklah hanya memarkir sekejap sahaja, laporan Harian Metro.

    Operasi dilaksanakan berikutan rungutan orang awam berhubung kesesakan jalan di kawasan berkenaan yang dikatakan berpunca akibat sikap pemandu yang meletak kenderaan mereka sesuka hati. Sebanyak 123 pengguna jalan raya disaman dalam operasi terbabit dengan pelbagai kesalahan berkaitan.

    “Antara kesalahan dilakukan termasuk berhenti terlalu lama sehingga menimbulkan halangan dan kesesakan lalu lintas serta ada pemandu meletakkan kenderaan di garisan kuning. Orang ramai perlu faham jalan ini sesak dan sekiranya pemandu tetap mahu meletakkan kenderaan di bahu jalan, ia hanya akan memburukkan keadaan sehingga menjadi sesak teruk,” katanya.

    Operasi diketuai Asisten Superintendan Mohd Hasbullah Saidin itu tertumpu kepada kenderaan yang sering membuat halangan termasuk parkir di laluan dilarang, parkir menghalang lalu lintas dan kenderaan yang membuat halangan.

    Zulkefly menambah, tindakan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kelancaran trafik dan mendidik pemandu supaya tidak mementingkan diri ketika di jalan raya.

    Dalam masa yang sama, pihaknya berharap melalui operasi yang dijalankan itu dapat mendisiplinkan pengguna di ibu kota.

     
     
  • Harga RON 97 naik lapan sen menjadi RM2.58 seliter

    Harga RON 97 naik lapan sen menjadi RM2.58 seliter

    Harga bahan api RON 97 yang ditetapkan oleh kerajaan supaya mengikut sistem apungan telah menunjukkan penurunan selama tiga minggu berturut-turut, tetapi bagi tempoh 5 hingga 11 Julai ini, ia dinaikkan sebanyak lapan sen berbanding minggu lalu, menjadi RM2.58 bagi setiap liter.

    Sementara itu, harga bahan api lain, yang ditetapkan untuk menerima subsidi masih lagi sama iaitu RM2.20 seliter bagi RON 95, RM2.18 untuk diesel Euro 2M dan RM2.28 untuk diesel Euro 5 (sentiasa 10 sen lebih berbanding diesel Euro 2M).

    Untuk subsidi bahan api RON 95 dan diesel ini, hujung bulan lalu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan dikekalkan, iaitu sebanyak RM3 bilion untuk sehingga hujung tahun ini. Bergantung kepada harga bahan api dunia, jumlah ini walaubagaimanapun boleh berubah.

     
     
  • Toyota GAZOO Racing Festival, Vios Challenge bakal kembali bagi musim kedua, lebih ramai selebriti muda

    Toyota GAZOO Racing Festival, Vios Challenge bakal kembali bagi musim kedua, lebih ramai selebriti muda

    Berdasarkan sambutan menggalakkan ketika penganjuran musim pertama Toyota GAZOO Racing (TGR) Festival dan perlumbaan Vios Challenge sebelum ini, UMW Toyota Motor Sdn Bhd akan meneruskan penganjuran acara berkenaan bagi musim kedua.

    Pusingan pertama perlumbaan musim baru ini akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 2 hingga 4 Ogos. Ini diikuti pula oleh perlumbaan di MAEPS Serdang pada 19 hingga 21 Oktober, Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang pada 22 hingga 24 Februari 2019 dan yang terakhir di Litar Antarabangsa Sepang pada 12 hingga 14 April 2019.

    Bakal menggunakan format yang sama seperti sebelumnya, tiga kategori akan dipertandingkan sekali lagi; terdiri daripada kategori Sporting, Super Sporting dan Promotional. Kategori Sporting bagi pelumba semi-profesional dan kategori Super Sporting bagi pelumba profesional.

    Toyota GAZOO Racing Festival, Vios Challenge bakal kembali bagi musim kedua, lebih ramai selebriti muda

    Kategori Promotional pula melibatkan pelumba selebriti. Janna Nick, Diana Danielle, Shawn Lee dan Syukri Yahaya yang berlumba ketika musim pertama akan ikut serta sekali lagi. Bakal memberi saingan kepada mereka ialah barisan enam muka baru yang akan terlibat di dalam musim kedua ini nanti.

    Mereka ialah Aiman Tino, Khai Bahar, Nabila Razali, Wany Hasrita, Akim Ahmad dan Nabil Ahmad. Seperti juga kumpulan selebriti pertama sebelum ini, semua mereka akan diberikan latihan menerusi Akedemi Vios untuk mempersiapkan diri bagi perlumbaan yang bakal berlangsung.

    Vios Challenge turut mengekalkan barisan penaja utama yang terlibat dari musim pertama. Ini termasuk Toyo Tyres, Denso, TRD Asia, Enkei, Moty’s, minuman tenaga Drive M7 dan Toyota Capital Services.

    Dalam majlis yang sama, UMWT turut mengumumkan arah tuju baru jenama itu, melalui platform “All About the Drive”. Dua perkara yang akan diberi tumpuan adalah untuk menzahirkan “pemanduan harian yang lebih menyeronokkan” serta menjadikan barisan produk sedia ada dan yang akan datang agar “lebih dikenali”.

    UMWT juga menyatakan komitmen syarikat itu untuk memberi komitmen yang lebih tinggi untuk mendekati golongan muda dengan lebih berkesan melalui saluran komunikasi digital.

     
     
  • JPJ keluarkan keputusan tender siri plat nombor RX

    JPJ keluarkan keputusan tender siri plat nombor RX

    Keputusan untuk siri plat nombor RX telah pun diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis selepas tender berakhir 15 Mei lalu. Tidak seperti siri plat nombor sebelumnya, tiada siri rekod yang dibayar untuk siri plat nombor ini seperti yang kita lihat pada siri V, F, W1N dan WWW.

    Bukanlah suatu yang mengejutkan, plat yang paling mahal sudah pasti ‘RX 1’ dengan bidaan tertinggi yang diterima bernilai RM313,500. Ini diikuti dengan ‘RX 2’ (RM198,000) dan ‘RX 9’ (RM153,099). Lain-lain plat yang mencecah enam angka termasuklah ‘RX 3’ (RM142,000) dan ‘RX 5’ (RM120,000).

    Bagi plat yang ada kaitan dengan jentera prestasi Mazda seperti ‘RX 7’ dan ‘RX 8’ turut mendapat sambutan dan berjaya dibida pada harga masing-masing RM85,800 dan RM96,910. Manakala plat dua digit yang popular dan menjadi pilihan termasuklah ‘RX 11’, ‘RX 22’, ‘RX 33’, ‘RX 44’, ‘RX 55’, ‘RX 66’, ‘RX 77’, ‘RX 88’ dan ‘RX 99’ dengan kesemuanya paling minimum dibida mencecah bidaan lima angka.

     
     
  • Peugeot 308 GTi bakal tiba di M’sia Ogos ini – RM200k

    Peugeot 308 GTi bakal tiba di M’sia Ogos ini – RM200k

    Kalau sebelum ini mungkin tersebar bahawa Peugeot 308 GTi tidak tidak akan datang ke Malaysia, tapi nampaknya perkara tersebut telah berubah, dan model Peugeot yang ganas ini sedang dipamerkan di pusat pameran, sebelum ia dilancarkan pada bulan hadapan. Di sini kami ada galeri penuhnya.

    Harga jangkaan untuk 308 GTi ini adalah sekitar RM200,000, dan ini menjadikan ia lebih murah berbanding pesaing terdekatnya iaitu Volkswagen Golf GTI pada RM227,060, dan ia juga mempunyai kuasa yang lebih tinggi. Jika anda berminat, lebih baik cepat kerana hanya 12 unit yang dapat dibawa untuk pasaran Malaysia.

    Peugeot 308 GTi yang akan tiba di Malaysia ini adalah model facelift, jadi ia adalah versi yang diubah suai sepenuhnya oleh cabang sukan permotoran Peugeot iaitu Peugeot Sport. Disebabkan itu, enjin empat silinder 1.6 liter turbo padanya mampu menghasilkan sehingga 270 hp pada 6,000 rpm dan 330 Nm tork pada 1,900 rpm.

    Ia juga datang cuma dengan padanan transmisi manual enam kelajuan, bersama limited-slip differential (LSD) Torsen. Dengan pakej ini, 308 GTi dapat memecut 0-100 km/j dalam masa cuma enam saat, sebelum boleh mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan pada 250 km/j.

    Di sebalik badannya, terdapat suspensi yang ditala khas, dengan kedudukan 11 mm lebih rendah, serta kadar spring dan penyerap yang ditala khas pada bahagian hadapan. Turut dipasang adalah anti-roll bar pada bahagian torsion beam belakangnya untuk mendapatkan lebih cengkaman atas jalan. Untuk sistem stability control, ia telah dijadikan lebih sporty dan boleh ditutup sepenuhnya.

    Pada bahagian luar, 308 GTi boleh dibezakan dengan 308 biasa melalui bampar yang lebih agresif, dengan gril bercorak grid warna hitam berkilat serta jalur merah di bawah (warna hitam digunakan untuk model warna Ultimate Red). Melengkapkan penampilannya adalah side skirt, diffuser belakang, dua muncung ekzos, rim 19 inci dibalut tayar Michelin Super Sport dan brek empat piston serta cakera 380 mm di hadapan.

    Peugeot 308 GTi bakal tiba di M’sia Ogos ini – RM200k

    Masuk ke dalam anda boleh melihat tempat duduk bucket Peugeot Sport yang dibalut dengan Alcantara serta jahitan merah, bersama roda stereng yang mempunyai logo GTi, panel meter bercorak grid serta plet tepi pintu (dengan tulisan Peugeot Sport dan GTi), pedal, perehat kaki dan tombol gear aluminium.

    Senarai kelengkapan penuh yang rasmi untuk model pasaran Malaysia masih belum disiarkan tetapi daripada apa yang kami lihat, kita akan menerima kelengkapan seperti lampu utama LED penuh, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, bumbung panoramik, fungsi mengurut pada tempat duduk hadapan, pengawal pendingin hawa dua zon, skrin sesentuh 9.7 inci, enam pembesar suara dan kamera undur.

     
     
  • Honda MSX125 SF tampil dengan warna baru, RM10.5k

    Boon Siew Honda Sdn Bhd telah memperkenalkan empat pilihan warna baru bagi model MSX125 SF, iaitu Incredible Green, Halloween Orange, Splendid Blue dan Gayety Red. Warna baru ini adalah bagi menggantikan warna model keluaran sebelum ini dan ia dijual pada harga baru tanpa GST iaitu RM10,499 (tidak termasuk insurans).

    Selain daripada itu, tiada yang berubah pada MSX125 SF ini, dan ia masih dikuasakan oleh enjin 125 cc silinder tunggal, empat lejang dengan sejukan udara yang mampu menjana 9.7 hp pada 7,000 rpm dan 11 Nm pada 5,250 rpm. Ia juga dilengkapi dengan sistem suntikan minyak PGM-Fi dan dipadankan dengan kotak gear empat-kelajuan.

    MSX125 SF dikategorikan sebagai sebuah ‘fun bike‘, dan ia mempunyai saiz yang kompak dan pengendalian yang lincah. Bahagian hadapannya menggunakan fork upside down dengan jarak pergerakan 31 mm, manakala di belakang pula adalah unit monoshock. Rimnya pula bersaiz 12 inci, dibalut dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang.

    Honda MSX125 SF tampil dengan warna baru, RM10.5k

    Walaupun adalah sebuah motosikal yang ranggi, MSX125 SF masih mempunyai kelengkapan moden seperti paparan meter digital LCD, lampu hadapan dan belakang LED, tempat duduk untuk dua orang, pemula enjin elektronik, tangki bahan api 5.7 liter dan berat cuma 104 kg.

    Bermula tahun lepas juga, Boon Siew Honda turut membawa aksesori H2C untuk MSX125 SF dan jenama ini mendapat sambutan hangat di Thailand. Setiap motosikal MSX125 SF yang dijual oleh Boon Siew Honda diberi dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Mesin jahit lama Singer, duit dalam poket RM7 dan bara semangat anak muda – ini cerita Suzzy Helmet

    Mesin jahit lama Singer, duit dalam poket RM7 dan bara semangat anak muda – ini cerita Suzzy Helmet

    Suzzy Helmet adalah sebuah jenama helmet buatan khas (custom) atau novelty helmet, bertujuan untuk dijadikan koleksi peribadi pemiliknya, atau untuk pameran bagi meraikan budaya kreatif seni kustom di Malaysia. Ia bukanlah untuk digunakan sebagai helmet keselamatan di atas jalan raya.

    Dari bilik kecil sebuah rumah di Bukit Permai, Cheras, Shahid al-Warith yang lebih senang disapa dengan nama Kecik, 23 tahun menjadikan ruang berkenaan sebagai “pusat operasi” jenama helmet yang diusahakan – Suzzy Helmet, dengan tagline “Helmet Itu Ibarat Mahkota”.

    Ini bukan helmet yang biasa anda lihat dikedai-kedai. Ini helmet buatan tangan sepenuhnya, baik dari peringkat membentuk shell luaran menggunakan gentian (fiber), idea rekaan tersendiri dari pemilik, pemilihan bahan-bahan perincian yang lain (seperti kulit dan butang-butang yang digunakan), proses mengecat dan melukis, serta menjahit sehinggalah sesebuah helmet itu siap untuk diserahkan kepada pemiliknya.

    Mesin jahit lama Singer, duit dalam poket RM7 dan bara semangat anak muda – ini cerita Suzzy Helmet

    Sebuah mesin jahit lama Singer terletak elok di tengah meja kerjanya. Helmet-helmet yang masih dalam pembikinan disusun rapat ke dinding. Material lain seperti foam dan kain yang diperlukan disandarkan dipenjuru kanan meja kerja yang sama.

    Dan, dalam bilik yang sama ada sebuah katil untuk Kecik tidur. Tetapi, ruang kecil ini jugalah yang menjadi saksi kepada pengaliran tenaga dan kreativiti yang diluahkan oleh Kecik tanpa jemu – semuanya untuk memuaskan hati dan menepati jangkaan setiap pelanggan.

    Di dalam bilik inilah semua kerja-kerja menjahit bahagian-bahagian yang diperlukan untuk helmet itu dilakukan. Ini termasuk pemasangan butang-butang khas, serta melukis imej atau dekorasi pada helmet – semua ini dilakukan oleh Kecik secara sendirian, sekiranya terdapat permintaan daripada pemilik. Kerja-kerja membentuk shell helmet daripada gentian pula dilakukan di lorong belakang rumah berkenaan, kerana kawasan yang lebih luas diperlukan untuk itu.

    Mesin jahit lama Singer, duit dalam poket RM7 dan bara semangat anak muda – ini cerita Suzzy Helmet

    “Saya mula minat dengan pembuatan helmet ini sebab saya sendiri susah nak dapatkan sebuah helmet yang sedap dipakai dan sesuai dengan gaya yang saya inginkan ketika menunggang,” begitu Kecik memaklumkan bagaimana dia mula tergerak untuk mengorak langkah awal.

    Minat awal itu termasuklah terhadap budaya motosikal dan tunggangan – serta disebabkan kecederaan yang diperoleh dari bermain skateboard – Kecik perlahan-lahan menumpukan perhatiannya terhadap seni dan kraf pembuatan helmet kustom.

    “Lebih kurang dalam tempoh setahun sejak 2015 dulu saya belajar sendiri untuk mahirkan diri dengan semua proses. Tak ada orang yang nak ajar. Saya pernah minta kerja tanpa gaji di kedai fiber, tapi tetap tak dilayan. Jadi, saya banyak buang masa dan duit beli bahan dan cuba eksperimen sendiri dan banyak bertanya orang,” jelas Kecik, dalam nada suara lembut dan bersahaja.

    Mesin jahit lama Singer, duit dalam poket RM7 dan bara semangat anak muda – ini cerita Suzzy Helmet

    “Waktu itu saya masih kerja di hotel, syif petang. Jadi, tiap-tiap malam lepas kerja saya akan “main” dengan fiber, cuba macam-macam benda dan pendekatan untuk faham jenis fiber yang ada dan macam mana nak dapatkan bentuk sebuah helmet seperti yang saya bayangkan. Sampai pukul lima pagi, baru saya tidur. Bangun pukul dua petang, terus pergi kerja hotel,” ceritanya.

    Dalam tempoh setahun kemudian, satu insiden yang menjadi titik tolak Kecik untuk mengusahakan Suzzy Helmet secara sepenuh masa berlaku. “Saya dah minta cuti setahun lebih awal hanya untuk pergi ride ke Pantai Balok, Pahang untuk acara Rollin’ Wheels, tapi bos tak luluskan. Jadi, saya berhenti kerja terus,” jelasnya.

    Waktu itu, Kecik sudah berhasil siapkan empat buah helmet buatan sendiri – dengan bantuan dana dari teman wanita – yang sudah “menjadi” hasil daripada eksperimen yang dilakukan sendiri setahun sebelum itu. “Dengan duit simpanan pun dah habis, dan dalam poket cuma ada RM7 – cukup untuk refuel minyak motor, saya gamble ride ke acara dan berharap dapat jual helmet-helmet yang saya bawa. Kalau tak laku langsung, saya akan balik kampung terus,” kata anak muda yang berasal dari Temerloh, Pahang itu.

    Kecik berjaya jual dua daripada empat helmet yang dibawa. Dan sejak itu, dia meluangkan sepenuh masa untuk bekerja sendiri bikin helmet yang dia suka. Katanya, ilham atau rujukan rekaan helmet yang dihasilkannya lebih kepada rekaan classic vintage yang popular di Amerika Syarikat ditahun-tahun 1960an.

    Ketika ini, ada jenama-jenama luar yang melakukan perkara yang sama, iaitu menghasilkan novelty helmet yang bergiat aktif. Sebagai contoh, TT&Co di Jepun dan juga Beetle dari Amerika Syarikat. Untuk kita mempunyai seorang anak muda tempatan yang mempunyai semangat dan iltizam untuk terus mengorak langkah yang sama, ini adalah satu rahmat yang perlu dibanggakan dan kita sokong.

    Sejak mula aktif mengambil tempahan pelanggan dalam tempoh setahun lebih kebelakangan ini, Kecik telah menyiapkan kira-kira 50 buah helmet di bawah lambang Suzzy Helmet. Dari mana pula datang nama Suzzy Helmet ini? “Suzzy ni nama yang saya bagi untuk motosikal scrambler Suzuki TS100 tahun 1971 yang saya guna. Disebabkan dah buntu cari nama, jadi saya gunalah nama Suzzy,” tambah Kecik.

    Setiap tempahan biasanya akan mengambil masa dua minggu untuk disiapkan. Lebih awal daripada itu, Kecik akan duduk dengan setiap seorang daripada mereka yang ingin menempah untuk mengetahui kehendak dan keperluan mereka terhadap helmet yang bakal dihasilkan. Harga bagi helmet yang dihasilkan Kecik bermula dari RM480 bagi versi standard, dan akan meningkat bergantung kepada permintaan pelanggan.

    Hampir semua bahan-bahan yang diperlukan untuk pembuatan helmet ini diperoleh dari pembekal tempatan. Bila ditanya apakah penambahbaikan yang ingin dibuat, Kecik memaklumkan pada masa akan datang dia mungkin akan mencari sebahagian daripada material yang diperlukan dari luar negara.

    “Sebab kualiti dan perincian yang ada, saya rasa ada perbezaan. Bila tengok detail yang ada, misalnya pada butang-butang yang digunakan, saya pun lagi semangat untuk hasilkan yang lebih baik. Dan, paling penting, pelanggan happy,” katanya.

    Mesin jahit lama Singer, duit dalam poket RM7 dan bara semangat anak muda – ini cerita Suzzy Helmet

    Perancangan masa terdekat selepas ini bagi Kecik adalah untuk membuka kedai, berkemungkinan besar di kawasan Ampang. Ini bagi memudahkan urusannya dengan pelanggan, dan juga untuk mewujudkan imej yang lebih menarik terhadap jenama Suzzy Helmet.

    Selain itu, dia juga berhasrat untuk memperkembang perniagaan ini, misalnya dengan melabur untuk mendapatkan mesin-mesin yang lebih baik serta menjadikan helmet-helmet yang dihasilkan dapat memenuhi piawaian keselamatan untuk kegunaan di atas jalan.

    Harapnya fokus Kecik terus kekal dan dapat meletakkan Suzzy Helmet pada tahap yang lebih tinggi. Usaha-usaha yang jujur dan genuine seperti ini pula layak menerima sokongan dan dukungan yang lebih besar. Jika anda berminat untuk tunjukkan sokongan, mungkin boleh mulakan dengan menempah sebuah helmet dari Suzzy Helmet?

     
     
  • Kia Stinger sah ke M’sia dengan enjin 3.3L V6 365 hp

    Kia Stinger sah ke M’sia dengan enjin 3.3L V6 365 hp

    2018 Kia Stinger GT2 RWD

    Tahun lalu, sedan sport empat pintu Kia Stinger muncul untuk diprebiu bagi pasaran Malaysia, manakala minggu lalu imej teaser kereta berkenaan disiarkan sebagai tanda tarikh pelancarannya semakin hampir. Apa yang menjadi teka-teki, adakah kita akan menerima model 2.0L empat silinder atau 3.3L V6?

    Laman Facebook Naza Kia Malaysia sekali lagi menyiarkan teaser Stinger, kali ini mendedahkan bahawa model pasaran Malaysia akan dibekalkan dengan kuasa 365 hp dan tork maksima 510 Nm – ini bermaksud kita akan menerima versi paling berkuasa dengan enjin 3.3 liter turbo berkembar V6 Lambda II dengan dua pengecas turbo dari varian GT.

    Enjin tersebut sudah pastinya akan dipadankan dengan kotak lapan-kelajuan automatik, tetapi satu lagi persoalan belum terjawab – adakah Malaysia akan diberikan sistem pacuan semua roda atau hanya memacu roda belakang?

    Setelah mula di pasarkan kelak, Kia Stinger GT bakal berhadapan dengan model dengan spesfikasi paling hampir dengannya iaitu Mercedes-AMG C 43 sedan yang dijana enjin 3.0 liter V6 juga dengan dua pengecas turbo menghasilkan 362 hp/530 Nm.

    Atas kertas, Stinger GT mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 269 km/j, manakala C 43 AMG mampu memecut lebih pantas pada jarak sama dengan hanya 4.7 saat. Namun kelajuan maksima C 43 telah dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Selain dari kuasa, prestij jenama dan juga harga pastinya akan menjadi faktor bagi menjual Kia Stinger GT ini di Malaysia – untuk pengetahuan anda, Mercedes-AMG C 43 dijual dalam versi CKD di Malaysia pada harga RM385k (tanpa GST atau SST). Berapa agaknya harga sedan berprestasi dari Korea ini? Teruskan bersama kami sehingga ia dilancarkan nanti.

     
     
  • KTM 790 Duke dipertonton di Malaysia – RM64,800

    KTM 790 Duke dipertonton di Malaysia – RM64,800

    Sebelum ini KTM mempunyai jurang yang besar dalam barisan model Duke, antara 690 Duke dan 1290 Duke. Bagi mengisi kekosongan tersebut, dan memberi saingan dalam kategori model middleweight, mereka telah membangunkan model 790 Duke. Kini, model tersebut sudah tiba di Malaysia dan dijual pada harga RM64,800 tidak termasuk insurans.

    Selain daripada rupa yang moden, 790 Duke turut membawa KTM ke satu tahap baru apabila ia menggunakan enjin dua silinder selari – pertama kali bagi pengeluar dari Austria ini. Enjin ini berkapasiti 799 cc, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 105 hp pada 9,000 rpm dan 87 Nm tork pada 8,000 rpm.

    Nisbah berat dan kuasa sentiasa menjadi keutamaan bagi KTM, dan hasil daripada pelbagai teknologi binaan baru, motosikal ini dapat dijadikan lengkap dengan berat 174 kg. Melaluinya juga, pemilik akan dapat menikmati penukar gear quickshifter secara standard yang boleh digunakan untuk menaikkan dan menurunkan gear.

    Segala informasi berkenaan operasi motosikal ini dapat dilihat pada skrin TFT-LCD, dan ini termasuk pilihan kawalan pelbagai sistem elektronik yang ada padanya. Motosikal ini didatangkan secara terus dengan Traction Control, Anti-Slip Regulation dan Cornering ABS. Fungsi KTM My Ride pula ditawarkan sebagai pilihan tambahan.

    Bagi sistem ABS dual-channel pada motosikal ini, selain boleh ditutup, ia juga didatangkan bersama pilihan Supermoto Mode, di mana roda belakang boleh dikunci apabila membrek, tetapi roda hadapan masih mempunyai kemasukan ABS. Bagi mod tunggangan, terdapat empat mod yang disediakan iaitu Sport, Street, Rain dan Track. Setiap mod ini akan mempunyai tahap tindak balas pendikit, traction control, kuasa dan anti-wheelie yang berbeza.

    Suspensi pada 790 Duke masih menggunakan unit daripada WP Suspension, tetapi ia tidak boleh dilaras (belakang hanya untuk pra beban). Di hadapan terdapat unit fork 43 mm manakala di belakang adalah unit monoshock. Walaupun tidak boleh dilaras, KTM menjelaskan kedua-dua suspensi hadapan dan belakang ini mempunyai spring dalaman progresif yang kadarnya boleh berubah secara sendiri mengikut beban yang dihadapi. Melengkapkan bahagian kawalan adalah unit steering damper juga daripada WP.

    KTM 790 Duke dipertonton di Malaysia – RM64,800

    Untuk sistem brek, KTM tidak lagi menggunakan unit daripada Brembo, sebaliknya dibangukan sendiri bersama satu syarikat lain yang terkenal di Eropah. Pada bahagian hadapan terdapat cakera berkembar 300 mm berserta angkup empat piston manakala di belakang terdapat cakera 240 mm dan angkup dua piston.

    Secara standard, 790 Duke mempunyai ketinggian tempat duduk 825 mm, tetapi pelanggan juga boleh memilih tempat duduk yang lebih rendah jika mahu. Satu pilihan yang 20 mm lebih rendah adalah tempat duduk daripada KTM Powerparts, dan jika mahu lebih rendah daripada itu, mereka perlu memilih satu lagi kit yang akan menjadikan keseluruhan motosikal lebih rendah, dan tempat duduknya cuma 780 mm dari tanah. Tangki bahan api pula berkapasiti 14 liter.

     
     
  • Volkswagen T-Cross disiar teaser sebelum dilancarkan

    Volkswagen T-Cross disiar teaser sebelum dilancarkan

    Volkswagen telah mula menyiarkan bagi model serba baharu T-Cross, yang dirancang bakal diperkenalkan tahun ini. Untuk pasaran Eropah, SUV bersaiz kecil ini akan menyertai model sedia ada seperti T-Roc, Tiguan, Tiguan Allspace dan Touareg.

    Menurut Volkswagen, T-Cross merupakan SUV paling kecil dengan dimensi hanya 4,107 mm panjang – T-Roc pula 4,178 mm dan Tiguan dengan 4,486 mm, jika dibandingkan. T-Cross juga akan menggunakan platform MQB (turut digunakan oleh Polo), dan bakal dilengkapi sistem bantuan pemandu dan keselamatan yang lebih komprehensif.

    Bagi rekaannya, lakaran bahagian belakang menunjukkan lampunya disambung dengan jaluran lampu, spoiler bumbung, rel bumbung, malahan turut didatangkan dengan gerbang roda dan pintu yang agak besar garisannya.

    Volkswagen T-Cross disiar teaser sebelum dilancarkan

    Selain itu, tiada banyak perincian didedahkan, lebih kurang sama dengan model konsep yang dipertontonkan pada 2016. Kalau merujuk pada video berkenaan rekaannya, SUV ini turut menampilkan lampu kabus bersegi, gril mirip Tiguan dan juga lampu utama trapezoid.

    Mengenai saiznya, Volkswagen berkata SUV ini akan menawarkan ruang yang lebih luas di dalamnya dengan fleksibiliti – tempat duduk belakang boleh dilaras bagi mendapatkan lebih ruang lutut atau barangan. Dijangkakan T-Cross akan dijual dengan varian enjin petrol dan diesel, dan pelanggan juga boleh memilih sama ada transmisi manual atau automatik. Walau bagaimana pun hanya pacuan roda-hadapan sahaja ditawarkan.

    GALERI: Spyshot Volkswagen T-Cross

     
     
  • Sistem ujian memandu berautomasi tanpa penguji manusia akan diperkenal di Johor bagi elak rasuah

    Sistem ujian memandu berautomasi tanpa penguji manusia akan diperkenal di Johor bagi elak rasuah

    Dalam usaha untuk membasmi amalan rasuah dalam proses ujian memandu, kementerian pengangkutan akan memperkenalkan sistem ujian tanpa kehadiran penguji manusia dan hanya bergantung kepada sistem automasi, ujar menteri pengangkutan Anthony Loke dalam laporan The Star.

    Menurut beliau, projek perintis akan dimulakan dalam masa satu atau dua bulan lagi dan akan dibuat di Johor. “Tiada penguji akan duduk di sebelah pemandu yang diuji. Kami akan gunakan proses automasi, dengan litar yang dilengkapi kamera-kamera CCTV dan kabel-kabel,” jelas Loke.

    Dengan sistem ini, pemandu yang diuji akan dinilai oleh penguji dari bilik kawalan, bagi mengurangkan campur tangan manusia. Dengan cara ini pemberian ‘duit kopi’ dapat dielakkan dan segala bukti ujian sama ada lulus atau gagal dapat dibuktikan menerusi rekod dalam kamera.

    Loke juga menyatakan bahawa kementeriannya juga sedar dengan kewujudan pakej “gerenti lulus” yang ditawarkan oleh sekolah-sekolah memandu. “Ada yang mengiklankan pakej ini secara terang-terangan di Facebook, memberikan janjin kepada pelanggan bahawa mereka boleh mendapatkan lesen tanpa menduduki ujian. Tetapi kami berazam untuk mengubah budaya seperti ini,” katanya.

     
     
  • SPYSHOT: Mercedes-Benz GLC facelift X253 dikesan

    SPYSHOT: Mercedes-Benz GLC facelift X253 dikesan

    Mercedes-Benz GLC facelift X253 telah dikesan sedang diuji baru-baru ini. Kali ini, kelibatnya telah berjaya dirakam lensa jurufoto spy kami dengan imej lampu baharu yang akan ditampilkan pada SUV ini.

    Dari bahagian hadapannya, kelihatan rekaan baharu untuk lampu nyalaan siang LED yang kini dibaluti kluster. Selain itu, masih kelihatan dua kepingan gril dan juga bahagian bampar yang masih dibaluti.

    Pada bahagian belakangnya pula, kelihatan lampunya menerima sedikit suntikan perubahan yang signifikan dengan masih dibaluti penyamaran. Tiga elemen jajaran cahaya jelas kelihatan pada hujung dua kepingan kluster, dengan bahagian yang lebih kecil seperti lampu undur. Lampu mendatar pada model semasa yang ada pada model semasa mungkin dikurangkan untuk menyesuaikannya dengan lampu nyalaan siang hadapan, walau pun ia masih dibaluti penyamaran.

    Lain-lain semakan yang dibuat termasuklah bampar belakang dan corong ekzos yang memiliki bentuk yang sedikit berlainan. Walau bagaimana pun, ternyata bahagian luarannya tidak banyak berbeza dengan model semasa.

    Untuk peningkatan dalamannya pula, banyak elemen dari C-Class W205 telah dimasukkan ke dalam model facelift ini. Antaranya paparan yang lebih besar untuk sistem infotainmen, kawalan touchpad baharu, roda stereng dengan Touch Control dan kluster instrumen paparan digital 12.3-inci juga telah disemak semula.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025