Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kenderaan merah yang tular bukan SUV Perodua, tidak mungkin dilancarkan tahun ini – MD jualan Perodua

    Kenderaan merah yang tular bukan SUV Perodua, tidak mungkin dilancarkan tahun ini – MD jualan Perodua

    Sejak baru-baru ini terdapat banyak spekulasi berkenaan sebuah SUV yang akan dikeluarkan oleh Perodua, sehinggakan perincian serta pelbagai lagi informasi dikongsi di media sosial. ‘Berita’ ini kemudiannya disokong lagi dengan lukisan digital sebuah SUV, yang kemudiannya menjadi tular minggu lepas.

    Walaupun keinginan Perodua menjual SUV di Malaysia sudah diketahui – pada Julai 2017 kami membuat laporan presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh memberitahu, syarikat waktu itu sedang mempertimbangkan secara serius pengeluaran SUV – namun tiada sebarang perincian dan tempoh masa rasmi yang didedahkan kepada media.

    Terdapat laporan lain oleh penganalisis yang mengatakan SUV ini bakal dilancar pada tahun ini, dan menyatakan secara spesifik ia akan berlangsung semasa Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) hujung tahun ini. Ada juga yang mendakwa Perodua akan melakukan latihan untuk wakil jualan pada bulan Ogos dan September ini.

    Kenderaan merah yang tular bukan SUV Perodua, tidak mungkin dilancarkan tahun ini – MD jualan Perodua

    Bagi mengetahui perkara sebenar, rakan sekerja kami, Danny Tan berjumpa dengan pengarah urusan jualan Perodua, Datuk Dr Zahari Husin dan beliau menyatakan secara jelas, tiada sebarang latihan jualan akan dilakukan dalam masa beberapa bulan yang terdekat ini. Beliau juga ada berkongsi sedikit informasi berkenaan produk serba baru ini, sekaligus memberi bayangan apa yang boleh dijangka daripada Perodua. Untuk gambar SUV merah yang tular tersebut, ia tidak benar tapi beliau suka dengannya.

    DT: Kami diberitahu Perodua sekarang menambah waktu bekerja di bahagian pengeluaran untuk memenuhi permintaan model yang ada sekarang terutamanya Myvi. Jadi, masih adakah ruang untuk pengeluaran produk baru tahun ini?

    ZH: Memang betul, fokus kami sekarang adalah meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan sekarang, dan juga permintaan untuk tiga bulan ke hadapan – itu keutamaan kami. Pelanggan Myvi kini sedang menunggu kenderaan mereka.

    Sebagai pengeluar, kita tahu ada waktu menunggu sehingga tiga bulan, tapi tidak mahu sampai ke tahap itu kerana jika tidak dapat menguruskannya dengan baik, pelanggan akan lari. Kami perlu memperbaiki situasi ini dan itu adalah keutamaan buat masa ini. Berkenaan model baru, apabila tiba masanya, kami akan kongsikan.

    DT: Terdapat status yang dimuat naik di laman sosial, bersama perincian yang dikatakan milik SUV baru Perodua, termasuk memberitahu wakil jualan akan menerima latihan dalam beberapa bulan akan datang. Anda ada sebarang komen berkenaannya?

    ZH: Saya boleh memberitahu tiada sebarang sesi latihan yang akan dijalankan pada bulan Ogos dan September ini. Saya juga boleh memberitahu bahawa kenderaan yang viral itu bukan model terbaru kami. Yang itu terlalu cantik (sambil ketawa). Kalau awak merujuk kepada kereta merah tersebut, saya juga berharap model itu boleh menjadi model kami.

    DT: Kita sudah tahu Perodua kini sedang melihat kepada SUV sebagai produk seterusnya…

    ZH: Kami dapat melihat pertubuhan dalam pasaran SUV, bukan sahaja di Malaysia, malah juga di negara lain dalam benua ini seperti Thailand, Indonesia dan juga Jepun. Kami memang mahu mengikut trend ini. Jika kami mahu memperkenalkan sebuah model baru sebagai tambahan kepada barisan kenderaan yang sedia ada sekarang, sudah tentu kami akan melihat kepada trend semasa. Jadi, mungkin ‘SUV’ adalah segmen yang betul untuk dilihat sekiranya kami mahu memperkenalkan model baru.

    Kenderaan merah yang tular bukan SUV Perodua, tidak mungkin dilancarkan tahun ini – MD jualan Perodua

    DT: Daihatsu ada SUV yang baru Indonesia. Walaupun begitu, Perodua nampaknya sekarang lebih banyak melakukan langkah sendiri dalam aspek rekaan dan pembangunan (R&D). Adakah perkara ini akan berterusan untuk produk baru nanti?

    ZH: Daihatsu telah memperkenalkan Terios di Indonesia. Walaupun pasaran SUV sedang berkembang, jumlah keseluruhannya masih lagi kecil, dan kami masih menganggapnya sebagai segmen tertumpu (niche) berbanding sedan dan hatchback di Malaysia.

    Untuk model seperti ini, secara hipotesisnya, jika kami sudah ada model asas yang boleh digunakan, saya rasa itulah cara yang lebih baik daripada perlu membangunkan sebuah model lengkap secara sendiri, hanya untuk jumlah yang kecil.

    Kenderaan merah yang tular bukan SUV Perodua, tidak mungkin dilancarkan tahun ini – MD jualan Perodua

    Dengan berkata begitu, saya juga mahu memberitahu kemampuan R&D kita sekarang bukanlah seperti 10 tahun yang lepas. Kita mempunyai kemampuan untuk melakukan rekaan bahagian atas badan kenderaan secara sendiri. Jadi, platform mungkin boleh dikongsi, beberapa bahagian yang berkait dengan casis juga boleh dikongsi, tapi apabila tiba pada penampilan akhir dan enggayaan, ia akan jadi sesuatu yang unik untuk rakyat Malaysia.

    Beberapa model kita yang terakhir direka sendiri oleh orang kita, dan Perodua sudah terkenal dengan pengeluaran sesuatu yang unik untuk rakyat Malaysia. Perkara itu, saya pasti akan diteruskan.

    DT: Nampak seperti tahun yang sibuk untuk Perodua. Adakah kita akan dapat melihat produk baru ini tahun ini?

    ZH: Memang tahun ini agak sibuk. Kami ada beberapa aktiviti yang berkaitan dengan produk, tapi bukan produk baru. Menjawab soalan tersebut – mungkin tidak.

    GALERI: Daihatsu Terios pasaran Indonesia

     
     
  • Jualan kenderaan Proton naik 2.3% bagi bulan Mei

    Jualan kenderaan Proton naik 2.3% bagi bulan Mei

    Proton telah mengumumkan syarikat itu telah menjual sebanyak 4,091 unit kenderaan sepanjang Mei 2018, mencatatkan peningkatan sebanyak 2.3% berbanding 3,999 unit yang terjual pada April lalu. Peningkatan itu menurut Proton adalah disumbangkan oleh pengumuman kadar GST sifar bermula 1 Jun, serta tempoh promosi “Kosong-kosong” yang dijalankan.

    Model Saga dan Persona menjadi yang paling popular dalam kalangan pelanggan, menyumbang 70% daripada jumlah keseluruhan bulan lalu. Proton juga memaklumkan bahawa angka tidak rasmi menunjukkan kadar perkongsian pasaran terkini yang dicapai ialah 8.8%.

    “Proton sentiasa berusaha untuk memberikan tawaran terbaik kepada pelanggan, terutamanya dengan barisan produk yang berkualiti. Tetapi, itu sahaja tidak mencukupi, jadi kami lakukan banyak lagi untuk menarik perhatian pelanggan,” jelas CEO Proton Edar, Abdul Rashid Musa.

    “Untuk itu, kami mengambil inisiatif tambahan untuk meningkatkan lagi kualiti produk dan perkhidmatan, memberikan tawaran istimewa yang menarik untuk pelanggan, naik taraf pusat 3S dan 4S serta banyak lagi pembaharuan positif yang bakal diperkenalkan selepas ini,” tambah beliau.

    Bagi bulan Jun, Proton mengumumkan promosi “Greatest Saga Raya Deal” di mana pelanggan bukan sahaja menikmati kadar 0% bagi GST, malahan rebat tunai bagi model-model terpilih Proton. Sebagai tambahan, Proton juga menawarkan pemeriksaan 20-poin percuma di semua cawangan rasminya (sehingga 15 Jun) serta di beberapa stesen Petronas terpilih (12-13 Jun, 10pg-5pm).

     
     
  • Projek kereta nasional baru; tumpuan untuk pasaran Malaysia terlebih dahulu, diikuti global – Tun Mahathir

    Projek kereta nasional baru; tumpuan untuk pasaran Malaysia terlebih dahulu, diikuti global – Tun Mahathir

    Semalam, berita berkaitan hasrat Tun Mahathir untuk mewujudkan satu lagi jenama kereta nasional yang baru menarik perhatian ramai orang dan mengundang pelbagai maklumbalas. Tetapi, hanya sedikit maklumat yang beliau nyatakan berkaitan perkara itu.

    Namun, di dalam wawancara bersama Nikkei Asian Review di Jepun, selain mengulas tentang penangguhan projek keretapi laju HSR KL-Singapura, rancangan Tun M berkaitan projek kereta nasional yang baru juga menjadi antara perkara yang ditanyakan, dan beliau memaklumkan beberapa lagi perincian tambahan.

    Dalam temuramah itu, Tun Mahathir ditanyakan sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk membeli semula kepentingan dalam Proton dari Geely. “Sebenarnya Malaysia masih mempunyai pegangan majoriti 51% (sebenarnya 50.1%). Saya tak tahu perjanjian apa yang terlibat antara kedua-dua pihak. Saya berharap kita dapat memasarkan kenderaan ke China.”

    “Namun syarikat itu percaya bahawa Malaysia hanya boleh memasang kenderaan pemanduan sebelah kanan, dan hanya akan tertumpu kepada pasaran pemanduan sebelah kanan sahaja. Ini bermakna, kita tiada akses untuk memasarkannya di China. Ini akan membantutkan pertumbuhan. Sudah tentu, kami berharap untuk mengeluarkan kenderaan baru yang menepati piawaian Euro 5 dan Euro 6, supaya kita boleh memasarkannya ke pasaran global lain, walaupun kami tak boleh menembusi pasaran China,” tambah Tun Mahathir.

    Projek kereta nasional baru; tumpuan untuk pasaran Malaysia terlebih dahulu, diikuti global – Tun Mahathir

    Geely sebelum ini pernah menyatakan hasrat syarikat itu untuk meluaskan lagi jangkauan jenama Proton dan dieksport bagi pasaran ASEAN, dengan Malaysia menjadi hab bagi pemasangan kenderaan pemanduan sebelah kanan.

    Memberi tumpuan kepada cadangan untuk projek kereta nasional yang baru, Tun Mahathir menjelaskan syarikat itu nanti akan berbeza sama sekali dari Proton dan ingin menjadikan Jepun sebagai rakan usaha sama. “Seperti kereta nasional yang pertama dulu, yang bermula hanya dengan 18% kandungan tempatan dan mendapatkan kerjasama dari Mitsubishi Motor, kami berhasil untuk menguasai keseluruhan proses pembuatan kenderaan, dari merekabentuk hinggalah ujian kenderaan,” jelas beliau.

    “Hari ini, teknologi moden disandarkan kepada sensor dan sebagainya. Kami perlu untuk menguasai hal ini juga. Tetapi, pada peringkat ini, kami ingin membina kereta untuk pasaran Malaysia terlebih dahulu. Kemudian barulah untuk pasaran global yang lain,” tambahnya.

    Adakah anda bersetuju dengan cara dan pandangan ini? Kongsikan diruang komen.

     
     
  • KHANN tunjuk kit badan untuk Toyota Land Cruiser

    KHANN tunjuk kit badan untuk Toyota Land Cruiser

    Walaupun Toyota Land Cruiser adalah sebuah SUV mewah lasak, pasti ada yang mahukan penampilan yang berbeza berbanding orang lain. Ini adalah satu penawaran yang ditunjukkan oleh KHANN Car Design, dan model yang dipasang dengan kit badan ini digelar sebagai KHANN HRS Sport.

    Sukar untuk memberikan definisi kepada kit badan ini kerana mungkin ada yang melihat ia sebagai agresif, dan mungkin juga ada yang merasakan ia terlalu pelik. Paling unik adalah muka hadapannya, yang mempunyai banyak garisan dan mewujudkan ekspresi seperti muka yang sedang berkerut.

    Kit yang disediakan oleh KHANN ini adalah lengkap dari depan sampai ke belakang, bersama pilihan tiga rekaan rim yang besar. Enjin walaubagaimanapun tidak diusik; sama ada menggunakan unit V8 4.6 liter NA 304 hp 439 Nm atau V8 4.5 liter bi-turbo diesel 268 hp 650 Nm tork. Transmisi pula adalah unit automatik enam kelajuan dengan sistem pacuan 4×4.

    Di Amerika Syarikat, Land Cruiser ini ditawarkan dengan enjin V8 petrol 5.7 liter, dengan kemampuan 381 hp dan 544 Nm tork. Ia kemudiannya dipadankan bersama kotak gear ECT-i lapan kelajuan, yang juga menghantar kuasa kepada semua tayar. Kesemua varian kenderaan ini didatangkan dengan differential tengah dengan pengesan tork.

    Pada tahun 2015, SUV ini telah diberikan facelift, dan ia kini datang dengan pakej keselamatan aktif Toyota Safety Sense P secara standard. Ini termasuk sistem pra perlanggaran dengan pengesan pejalan kaki, radar cruise control (dengan kawalan brek), pemerhati panoramik pelbagai jalan, amaran keluar laluan, lampu tinggi automatik, sistem pemerhati bawah lantai, pemerhati titik buta, rear cross traffic alert dan amaran tekanan angin tayar.

     
     
  • Projek HSR hanya ditunda, tunggu masa lebih sesuai

    Projek HSR hanya ditunda, tunggu masa lebih sesuai

    Nampaknya projek HSR antara KL-Singapura yang termasuk di dalam senarai projek mega yang dinilai semula oleh kerajaan dan pernah diumumkan akan dibatalkan oleh Tun Mahathir hanya akan ditangguh sementara waktu dan menunggu masa yang lebih sesuai dan stabil untuk dilaksanakan.

    Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Mahathir ketika satu wawancara bersama Nikkei Asian Review di Jepun. “Akan ada keperluan untuk sebuah kereta laju pada masa hadapan, mungkin merentas bahagian Semenanjung.

    “Tetapi kami tidak mampu melaksanakannya ketika ini. Jadi, kami terpaksa menangguhkan pelaksanaan projek berkenaan. Kereta laju menjadi lebih cekap jika melibatkan jarak perjalanan yang panjang. Tetapi, jika jarak terlibat cuma pendek, sumbangannya tidak seberapa. Jadi kami perlu nilai semula projek HSR ini,” jelas beliau.

    Pada bulan Mei, Mahathir memaklumkan bahawa projek HSR akan dibatalkan sepenuhnya dalam usaha untuk menghentikan projek-projek yang tidak diperlukan ketika ini, bertujuan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

    Projek HSR hanya ditunda, tunggu masa lebih sesuai

    Ditandatangani pada Disember 2016, projek HSR KL-Singapura melibatkan laluan trek berkembar sepanjang 350 km dengan melibatkan lapan hentian – Singapura, Iskandar Puteri, Batu Pahat, Muar, Ayer Keroh, Seremban, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

    Sebanyak 10 gerabak dijangka akan digunakan bagi setiap keretapi, dengan kapasiti 100 orang dalam setiap satunya. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 300 km/j, dengan tempoh perjalanan dari KL ke Singapuran hanya memakan masa 90 minit.

    “Kita tak boleh kata yang kita tak akan perlukan keretapi laju ini di Malaysia. Apa yang boleh dilakukan ialah menangguh dahulu projek berkenaan, kerana ia memerlukan perbelanjaan yang begitu tinggi ketika ini,” tambah Mahathir.

     
     
  • Ford Triple Celebration – promosi beli satu, dapat satu

    Tak sampai beberapa hari saja lagi kita akan sambut Hari Raya Aidilfitri. Dan, dalam musim perayaan seperti ini, banyak promosi kenderaan yang ditawarkan. Apa pun, sukar nak lawan tawaran berganda yang diberikan oleh Ford Malaysia ini; beli satu model kenderaan keluaran mereka, dan anda berpeluang untuk dapat sebuah lagi kereta secara PERCUMA!

    Promosi “Triple Celebration” oleh Ford ini dimulakan dengan penawaran kadar 0% GST bagi semua modelnya. Untuk itu, trak pikap Ford Ranger kini RM8,000 lebih murah, Fiesta pula RM5,000 lebih rendah dan model ikonik, Mustang akan menikmati potongan sampai RM32,000.

    Tambah menarik, sehingga akhir Jun nanti, pelanggan yang membeli Ranger Wildtrak akan menikmati pakej servis percuma bagi tempoh dua tahun atau 40,000 km. Kalau beli Ranger biasa pula, anda akan berpeluang untuk memenangi sebuah Ford Fiesta 1.5L Sport.

    Tawaran paling menarik tentulah bagi mereka yang berhasrat untuk membeli sebuah Mustang; anda akan dapat sebuah Fiesta 1.5L Sport secara percuma dengan setiap pembelian model berkenaan. Ini promosi beli satu dapat satu yang biasa kita dengar, tetapi untuk beli kereta dan ditawarkan dengan promosi sebegini, itu sangat jarang berlaku.

    Layari laman web rasmi Ford Malaysia untuk tahu lebih lanjut. Jangan lupa juga untuk tonton video ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri!

     
     
  • Audi A1 2019 tampil dalam teaser pertama – dijangka bakal diperkenalkan di Barcelona tidak lama lagi

    Selepas Audi Q8, pengeluar kereta Jerman ini telah mula mengeluarkan teaser bagi A1 2019, yang dijangka akan diperkenalkan di Barcelona, Sepanyol pada tahun ini. Hanya satu generasi sahaja setakat ini, di mana ia pertama kali didedahkan pada tahun 2010 dan model facelift terkini pada 2015.

    Fokus utama bagi teaser ini adalah berkenaan dengan dalamannya, terutamanya pada paparan skrin sesentuh MMI, yang kini disambungkan ke papan pemuka berbandung unit sendirian pada generasi semasa. Malahan corong pendingin hawa berbentuk bulat juga telah digantikan dengan unit yang lebih bersudut umpama bingkai pada perumah instrumen.

    Turut kelihatan ialah pengawal bagi sistem kawalan suhu automatik serta haba bagi tempat duduk. Selain itu, tidak banyak yang dipaparkan menerusi teaser pertama ini dan dipercayai akan ada teaser susulan. Turut dijangkakan kokpit maya Audi juga akan ditampilkan.

    A1 baharu ini dijangka menggunakan platform MQB dari Volkswagen Group (turut digunakan pada Seat Ibiza dan VW Polo), dan ia bakal dijanakan oleh beberapa pilihan enjin. Ini termasuklah enjin asas 1.0 liter, tiga-silinder baharu bersama enjin 1.5 liter pengecas turbo baharu dengan kuasa 150 PS. Juga sama seperti varian S1 prestasi tinggi, yang menerima hamburan 200 PS dari enjin 2.0 TSI dari Polo GTI.

    GALERI: Spyshot Audi A1 2019

     
     
  • ANIH keluarkan cadangan jadual perjalanan untuk pengguna Lebuhraya Pantai Timur sempena Aidilfitri

    ANIH keluarkan cadangan jadual perjalanan untuk pengguna Lebuhraya Pantai Timur sempena Aidilfitri

    Pengendali Lebuhraya Pantai Timur (LPT), ANIH Berhad (ANIH) telah mengeluarkan cadangan jadual perjalanan (TTA) untuk rujukan para pengguna lebuhraya terbabit sempena Hari Raya Aidilfitri ini yang serentak dengan cuti sekolah pertengahan tahun. Bagi mengelakkan pengguna lebuhraya terperangkap dalam kesesakan luar biasa yang sering terjadi setiap kali menjelang perayaan utama, ANIH menyarankan agar anda mengikuti TTA ini.

    Dua hari sebelum Syawal tiba iaitu pada 13 hingga 14 Jun, pengguna yang datang dari Kuala Lumpur/Selangor (masuk ke LPT menerusi Plaza Tol Gombak) yang ingin ke Pahang, terdapat tiga pilihan diberikan. Pilihan pertama ialah memulakan perjalanan antara jam 10 pagi hingga 2 petang, pilihan kedua pula pada 7 malam hingga 11 malam serta pilihan ketiga dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari.

    Manakala yang mahu ke Terengganu dan Kelantan pula, disarankan bertolak antara jam 6 pagi hingga 10 pagi bagi pilihan pertama, 5 petang hingga 8 malam untuk pilihan kedua dan pilihan ketiga pula antara 6 pagi hingga 9 pagi untuk Terengganu dan 3 pagi hingga 6 pagi bagi yang ke Kelantan.

    Bagi yang ingin pulang ke Kuala Lumpur/Selangor pada 17 Jun atau 23 hingga 24 Jun, terdapat dua pilihan masa yang ditawarkan untuk setiap negeri terbabit.

    ANIH keluarkan cadangan jadual perjalanan untuk pengguna Lebuhraya Pantai Timur sempena Aidilfitri

    Jika anda dari Pahang, pilihan pertama ialah anda memulakan perjalanan antara jam 6 pagi hingga 10 pagi dan pilihan kedua pula 7 malam hingga 11 malam. Manakala bagi yang dari Terengganu (masuk ke LPT menerusi Plaza Tol Jabor), pilihan pertama ialah antara jam 8 pagi hingga 11 pagi dan pilihan kedua pula 8 malam hingga 10 malam.

    Anda yang datang dari Kelantan dan memasuki LPT menerusi Plaza Tol Bentong pula, waktu saranan adalah antara jam 6 petang hingga 10 malam bagi pilihan pertama dan pilihan kedua pula 9 malam hingga 12 tengahmalam. Malahan ANIH turut menyarankan waktu perjalanan bebas dari ketiga-tiga negeri berkenaan iaitu antara jam 12 tengahmalam hingga 6 pagi pada tarikh berkenaan.

    Seperti mana yang diumumkan Kerajaan mengenai diskaun tol sebanyak 50% pada dua hari sebelum Aidilfitri, ANIH memberitahu, ia bakal dilaksanakan untuk semua kelas kenderaan dari jam 12 tengahmalam 13 Jun sehingga 11.59 malam pada 14 Jun ini. Para pengguna dinasihati agar memastikan baki tambah nilai kad Touch ‘n Go mencukupi.

    ANIH turut memaklumkan waktu perjalanan yang disarankan bagi bas ekpress dari Plaza Tol Gombak adalah antara jam 9.30 pagi hingga 12 tengahari dan 9.30 malam hingga 12 tengahamalam. Pengguna kenderaan ringan disaran elak memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu berkenaan. Malah larangan kenderaan berat menggunakan lebuhraya terbabit adalah pada 13-14 Jun dan 23-24 Jun.

     
     
  • Diskaun 50% bagi rangkaian Lebuhraya PLUS dan LPT2 pada 13 hingga 14 Jun ini sempena Aidilfitri

    Diskaun 50% bagi rangkaian Lebuhraya PLUS dan LPT2 pada 13 hingga 14 Jun ini sempena Aidilfitri

    Sepertimana yang diumumkan oleh Kerajaan Malaysia baru-baru ini, PLUS Berhad (PLUS) telah memaklumkan pengguna rangkaian Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) bakal menikmati diskaun bayaran tol sebanyak 50% apabila membayar tol pada 13 Jun dan 14 Jun ini.

    Menurut PLUS, pemberian diskaun tol tersebut berkuatkuasa pada jam 12.01 pagi pada 13 Jun (Rabu) hingga 11:59 malam pada 14 Jun (Khamis). Diskaun ini ditawarkan kepada semua kelas kenderaan. Ia diberikan kepada pengguna secara langsung ketika membayar atau melakukan transaksi bayaran tol dalam tempoh tersebut.

    Sebagai contoh, sekiranya pengguna mula memasuki lebuh raya pada jam 8 malam pada 12 Jun tetapi keluar dari lebuh raya dan membuat bayaran tol pada jam 1 pagi pada 13 Jun, mereka akan menikmati diskaun tersebut.

    Diskaun tersebut merangkumi pembayaran tol di semua plaza tol di semua lebuh raya PLUS dan LPT2 kecuali di Plaza Tol Tanjung Kupang dan Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor.

    Bagi pengguna di Jambatan Pulau Pinang, kadar tol sebanyak RM0.70 akan dikenakan bagi kenderaan Kelas 1, RM3.50 bagi Kelas 2, RM6 bagi Kelas 3, RM12.50 bagi Kelas 4, RM22.50 bagi Kelas 5, RM30 bagi Kelas 6 dan RM37.50 bagi Kelas 7 pada 13 Jun dan 14 Jun ini.

     
     
  • Brixton BX150 masuk M’sia – 150 cc, harga dari RM9k

    Brixton BX150 masuk M’sia – 150 cc, harga dari RM9k

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd, yang merupakan pengedar rasmi motosikal jenama SYM dan Benelli menambah satu lagi jenama dalam portfolio mereka iaitu Brixton Motorcycles. Ini adalah satu jenama dari Austria dan kemasukannya di Malaysia diperkenalkan melalui model BX150 yang hadir dalam tiga variasi.

    BX150 standard datang dengan penampilan klasik biasa, BX150X bergaya scrambler manakala BX150R pula membawa gaya cafe racer. Walaupun rupa sedikit berbeza, kesemuanya masih mempunyai enjin sama iaitu unit satu silinder empat strok 149 cc suntikan bahan api yang dipadankan bersama transmisi lima kelajuan. Kuasa yang mampu dicapai oleh enjin ini adalah 11.67 hp pada 8,000 rpm dan 11.9 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Pada bahagian hadapan motosikal ini terdapat fork teleskopik serta brek cakera tunggal manakala di belakang terdapat dua penyerap hentak dan juga brek cakera tunggal. Untuk menambahkan ciri keselamatan, brek hadapan dan belakang motosikal ini menggunakan sistem Combined Braking System (CBS).

    Secara keseluruhannya, BX150 mencatat berat kasar 157 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 14 liter. Paparan meter pula menggunakan teknologi digital manakala lampu siang dan lampu penunjuk arah menggunakan
    sistem LED yang lebih terang.

    Harga jualan untuk model BX150 ini bermula dengan RM8,988 untuk model standard, RM9,288 untuk BX150X dan RM9,588 untuk BX150R. Harga ini tidak termasuk insurans dan cukai jalan, dan ia sudah pun berada di semua pengedar sah jenama ini di seluruh Malaysia.

     
     
  • Porsche 911 Speedster Concept – gabung ciri model lama dan baru, teknologi pemanduan daripada GT

    Porsche 911 Speedster Concept – gabung ciri model lama dan baru, teknologi pemanduan daripada GT

    Tahun ini Porsche menyambut ulang tahun ke-70 bagi kenderaan sports mereka dengan pelbagai cara. Antaranya adalah pengenalan model konsep baru seperti 911 Speedster Concept ini. Ia dibangunkan dengan gabungan ciri Speedster pertama yang mula keluar pada tahun 1948, iaitu Porsche 356, dengan ciri kenderaan Porsche sekarang.

    Daripada penggayaannya anda boleh melihat 911 Speedster Concept ini menggunakan kerangka tingkap yang lebih pendek, cermin hadapan yang lebih condong dan tingkap tepi yang juga lebih pendek. Di belakang pula, satu penutup khas berbentuk gelembung dibuat daripada gentian karbon untuk menutup besi pelindung dan ia memberikan elemen tradisional seperti Speedster zaman dulu. Sama juga dengan bumbung, di mana ia didatangkan dengan tonneau cover, dan bukannya convertible top.

    Bonet hadapan serta sayap belakang kenderaan ini juga dibuat daripada gentian karbon, dan ia disudahkan dengan warna GT Silver dan putih. Kalau boleh anda perhatikan juga, terdapat beberapa perincian klasik lain padanya seperti cermin sisi Talbot krom, tempat mengisi minyak di tengah bonet dan lampu hadapan dengan corak X yang meniru gaya seperti kereta lumba dulu yang ditutup dengan pita pelekat.

    Pada bahagian dalam, kelengkapan yang disediakan adalah minimal, dengan tiada sistem navigasi, radio mahupun sistem pendingin hawa. Tempat duduk pula dibina menggunakan gentian karbon dan kemudiannya dibalut dengan kulit Aniline coklat.

    Di sebalik badannya ini, 911 Speedster Concept sebenarnya dihasilkan menggunakan casis 911 GT3. Teknologi pemanduannya juga adalah daripada model GT, dan bagi model konsep ini ia dilengkapi dengan unit enjin yang boleh menghasilkan sehingga 500 hp, transimisi manual enam kelajuan dan sistem ekzos titanium. Walaupun nampak seperti sudah siap untuk satu model produksi, ia tidak akan berlaku sehingga tahun 2019, dan keputusan untuk menawarkannya kepada pengguna pula hanya akan dibuat dalam masa beberapa bulan akan datang.

     
     
  • Proton 2.0 – adakah kita benar-benar perlukan sebuah lagi jenama kereta nasional yang baru ketika ini?

    Proton 2.0 – adakah kita benar-benar perlukan sebuah lagi jenama kereta nasional yang baru ketika ini?

    Jadi, pagi tadi dalam satu acara yang berlangsung di Tokyo, Jepun, Tun Mahathir telah umumkan secara terbuka bahawa Malaysia berhasrat untuk mewujudkan satu lagi jenama atau syarikat kereta nasional yang baru. Ini bagi menggantikan Proton, yang menurut beliau bukan lagi sebuah syarikat kereta nasional selepas sebahagian pegangan kepentingan (49.9%) dalam syarikat itu telah menjadi milik Geely dari China.

    Berdasarkan perkembangan ini, ada persoalan lain yang lebih penting untuk ditanyakan; adakah kita memerlukan sebuah jenama atau syarikat kereta nasional yang baru ketika ini? Kita faham tentang minat Tun Mahathir terhadap kereta, dan menghargai setiap sumbangannya dalam membangunkan Proton dari kosong sejak 1985 sehinggalah jenama itu mampu berdiri sebagaimana sekarang.

    Tetapi, dalam masa kerajaan hari ini bercakap tentang masalah hutang negara yang menimbun, kedudukan kewangan negara yang tenat serta membawa kepada adanya Tabung Harapan Malaysia yang bertujuan untuk mengumpul sumbangan sesiapa sahaja yang ingin menyumbang untuk meringankan beban negara, saya fikir soal untuk mewujudkan satu lagi jenama kereta nasional sama sekali bukan satu keperluan kolektif kita sebagai rakyat Malaysia ketika ini.

    Sebelum kita meninjau lebih lanjut tentang perkara berkenaan, eloklah kita berlaku adil terhadap beberapa perkara terlebih dahulu. Pertama, secara teknikalnya, Proton masih lagi merupakan sebuah syarikat yang kepentingan majoritinya dimiliki oleh DRB-Hicom, sebuah syarikat tempatan.

    Proton 2.0 – adakah kita benar-benar perlukan sebuah lagi jenama kereta nasional yang baru ketika ini?

    Bagaimanapun kita faham, ketika Tun M menyebut Proton bukan lagi jenama kereta nasional, beliau sedang merujuk kepada dua perkara; bahawa pengurusan dan keputusan dalam Proton kini dibuat oleh Geely dan kedua, tiada lagi pengaruh kerajaan di dalam syarikat itu – kerana antara tujuan usahasama rakan strategik dengan Geely itu adalah untuk menjadikan Proton lebih berdaya saing secara komersial sepenuhnya (dan bukan lagi bergantung kepada dana kerajaan).

    Kedua, Tun M di dalam ucapannya pagi ini juga hanya menyebut sekali lalu tentang hasrat itu, tanpa menggariskan sebarang perincian yang kukuh tentang maksud sebenar disebalik pernyataan tersebut. Jadi, serba-serbi yang diketahui ketika ini hanyalah hal-hal yang dipermukaan sahaja.

    Adakah cadangan beliau untuk menggabungkan usaha sama peringkat serantau itu bermaksud ingin menarik lebih banyak perhatian pelabur-pelabur luar bagi sektor automotif untuk melabur di Malaysia? Semuanya masih belum dihuraikan dengan terperinci.

    Menarik juga untuk melihat lebih dekat sisi ini. Jika rentang waktu 10-15 tahun lalu Malaysia pernah menjadi tumpuan sebagai hab bagi banyak pengeluar kenderaan untuk operasi serantau di sini, suasana itu telah berubah. Negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia telah mengambil peranan itu daripada Malaysia.

    Proton 2.0 – adakah kita benar-benar perlukan sebuah lagi jenama kereta nasional yang baru ketika ini?

    Sekadar contoh kecil, model-model yang dijual di sini seperti Toyota Sienta juga sebenarnya dipasang dan dibawa masuk dari Indonesia. Ada pengeluar-pengeluar motosikal pula – misalnya Triumph – menjadikan Thailand sebagai kilang pemasangan utamanya untuk pasaran global ketika ini.

    Bukan tak ada pengeluar yang menjadikan Malaysia sebagai tapak operasi serantau mereka – Mazda dan Volvo antara contoh yang memasang dan mengeksport keluar kenderaan mereka dari Malaysia – tetapi di mata banyak pengeluar, negara-negara jiran kita memberikan lebih banyak tarikan untuk itu.

    Tetapi, jika memang ini menjadi antara tujuannya, apakah kita perlu untuk mewujudkan satu lagi jenama kereta nasional ini? Saya fikir tidak. Apa yang diperlukan ialah sebuah dasar sektor automotif yang lebih menyeluruh dan mesra pelabur, serta paling penting dapat menandingi keterbukaan penawaran dasar-dasar yang dibuat oleh negara-negara serantau. Dasar automotif negara yang lebih kompetetif, itu yang kita perlukan sekarang.

    Menyentuh tentang jenama kereta nasional pula, sekarang ini kita sudah ada dua – Proton dan Perodua. Dan, kedua-duanya sedang berada dalam landasan yang nampak meyakinkan, terutamanya Perodua. Dari permulaan hanya melakukan rebadge kereta-kereta Daihatsu, Perodua kini sudah jauh meninggalkan pendekatan itu dan berdiri dengan yakin dan berani dengan mengetengahkan rekaan hasil anak Malaysia serta penggunaan kandungan tempatan dalam peratusan yang sangat tinggi kini, seperti yang dapat kita lihat pada model Myvi ketika ini.

    Proton 2.0 – adakah kita benar-benar perlukan sebuah lagi jenama kereta nasional yang baru ketika ini?

    Tidak hanya itu, enjinnya juga dipasang di sini, dan turut dieskport semula untuk pasaran Indonesia menggunakan nama Daihatsu Sirion. Kelebihan kepada pengguna tempatan pula, harga kereta menjadi relatif lebih murah, dengan kualiti yang semakin hari semakin boleh dibanggakan.

    Begitu juga dengan Proton. Keputusan untuk Geely menjadi rakan strategik sudah pun dibuat. Walaupun ada sisi-sisi yang mungkin membuatkan kita kurang senang, tetapi pencapaian Geely bersama jenama-jenama lain yang dimilikinya juga memang tidak dapat disangkal. Volvo mungkin menjadi contoh terbaik untuk menilai perkara ini.

    Dengan peredaran dunia automotif global yang sudah berubah, dengan semakin banyak syarikat-syarikat terpaksa bergabung untuk kekal relevan dari segi idea, teknologi dan kewangan, adakah jenama kereta nasional baru ini nanti – sekiranya ada – akan dibangun menggunakan kerangka pemikiran yang sama ketika Proton diperkenalkan hampir 30 tahun dulu? Adakah jenama baru itu nanti akan bermula dari sifar dan mengambil langkah sama untuk terlebih dahulu melakukan rebadge kepada model sedia ada?

    Syarikat-syarikat pengeluar di Jepun sendiri hanya tinggal Honda sahaja yang masih mampu menongkah arus perubahan secara bersendirian ketika ini – mungkin saja kerana kecekapan pengurusannya dan kekukuhan pasarannya di luar Jepun. Sang gergasi, Toyota sahaja terpaksa berganding usaha dengan Subaru. Terkini, syarikat itu juga menjalin kerjasama dengan Mazda untuk pembangunan teknologi kereta elektrik.

    Proton 2.0 – adakah kita benar-benar perlukan sebuah lagi jenama kereta nasional yang baru ketika ini?

    Nissan bergabung dengan Renault, yang kemudiannya disertai pula oleh Mitsubishi untuk membentuk satu pakatan baru, hanya untuk kekal melawan badai dunia automotif yang semakin mencabar ketika ini. Jadi, bagaimana sebenarnya idea jenama kereta nasional baru ini nanti akan dilaksanakan?

    Itu kita belum lagi mengambil kira kepesatan dan kecepatan peredaran teknologi automotif yang sedang berlangsung kini. Global sudah bercakap untuk menggugurkan pembangunan dan ingin mengharamkan enjin diesel. Banyak pengeluar tidak ghairah lagi bercakap tentang enjin pembakaran dalaman konvensional, tetapi lebih mengarahkan kajian dan pembangunan mereka terhadap teknologi elektrifikasi kenderaan – hibrid, kenderaan elektrik, teknologi bateri dan sebagainya.

    Di mana kita dalam peta besar automotif dunia ketika ini? Kalau betul kerajaan hari ini ingin membantu sektor automotif nasional, ada eloknya memikirkan kaedah terbaik misalnya bagaimana untuk meningkatkan keperdayaan dua jenama yang kita ada kini untuk membolehkan kedua-duanya meluaskan pasaran di luar Malaysia. Sekali lagi, keperluan mendesak paling masuk akal ketika ini adalah dengan mewujudkan satu kerangka dasar automotif nasional yang lebih baik dan inklusif berbanding negara-negara jiran. Tak perlu ragu-ragu tentang ini.

    Proton 2.0 – adakah kita benar-benar perlukan sebuah lagi jenama kereta nasional yang baru ketika ini?

    Seperkara lagi, berbanding kereta nasional baru, saya fikir adalah lebih masuk akal untuk memperkemas dan memperluas rangkaian perkhidmatan awam, terutamanya di kawasan bandar yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Lebih banyak kenderaan di atas jalan, kita sebenarnya akan berdepan dengan masalah lain pula; kesesakan melampau yang akan menjurus pula kepada kualiti hidup yang semakin rendah dan akibat tahap tekanan atau stress dalam urusan seharian warga yang tinggal di kota.

    Lebih baik juga memikirkan bagaimana caranya untuk menyepadukan dan meningkatkan tahap perkhidmatan e-hailing dan teksi sekaligus. Ini sangat baik untuk pengguna; sekiranya tambang lebih murah dan perkhidmatan menjadi lebih baik, kita akan dapat menyelesaikan beberapa masalah sekaligus.

    Kurangkan jumlah kenderaan persendirian di atas jalan sudah tentu dapat menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan, misalnya. Dan, oleh kerana kerajaan merasakan projek-projek jaringan pengangkutan awam seperti MRT3 perlu dibatalkan – dan kita boleh faham serta menghormati keputusan itu – idea untuk sebuah lagi jenama kereta nasional bunyinya sedikit aneh atau absurd ketika ini.

     
     
  • Perodua beri 100 unit tempat duduk kanak-kanak Gear Up secara percuma di tiga lebuhraya utama esok

    Perodua beri 100 unit tempat duduk kanak-kanak Gear Up secara percuma di tiga lebuhraya utama esok

    Perodua akan memberikan 100 unit tempat duduk keselamatan kanak-kanak Gear Up secara percuma esok, sempena sambutan Hari Raya tahun ini dan juga sebagai sebahagian langkah dalam Kempen Keselamatan Jalan Raya Perodua yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu. Perkara ini telah diberitahu sendiri oleh Pengarah Urusan Perodua, Datuk Dr Zahari Husin kepada paultan.org.

    “Sempena Hari Raya, kami mahu berikan kejutan kepada pemilik Perodua. Esok, kami akan tempatkan orang kami pada tiga lokasi, di tiga lebuhraya utama, menuju ke utara, selatan dan pantai timur. Kami jangkakan masyarakat akan memulakan perjalanan balik kampung mereka esok. Kami akan perhatikan kereta Perodua dengan kanak-kanak di dalam kereta, tetapi tanpa tempat duduk kanak-kanak,” kata Zahari.

    “Kami akan pilih secara rawak dan berikan mereka satu tempat duduk kanak-kanak Gear Up, secara percuma. Kami akan datang ke keluarga berkenaan, dan kami akan ajar mereka macam mana cara untuk memasang tempat duduk kanak-kanak. Sebahagian dari mereka sudah pun mempunyai tempat duduk kanak-kanak, tetapi tidak menggunakannya secara betul. Kami mahu wujudkan kesedaran dan juga mendidik pada masa yang sama,” tambahnya lagi.

    Walau bagaimanapun, Zahari tidak menyatakan dengan tepat di mana ketiga-tiga lokasi berkenaan. Namun beliau mendedahkan bahawa Perodua turut bekerjasama dengan Petronas dan juga panel insurannya dalam usaha ini – jadi boleh dijangka mungkin mereka akan berada di mana-mana stesen-stesen Petronas pada tiga lebuhraya utama di semenanjung Malaysia.

    Dilancarkan pada Oktober 2017, tempat duduk keselamatan kanak-kanak Gear Up Perodua ini ditawarkan dalam dua jenis berbeza – pertama untuk bayi dengan berat sehingga 13 kg atau sehingga 18 bulan, manakala yang kedua adalah untuk kanak-kanak dengan berat antara sembilan hingga 36 kg atau antara umur sembilan bulan hingga 12 tahun.

    Tempat duduk ini boleh dipadankan dengan mudah untuk model-model Perodua yang mempunyai cagak Isofix (bermula 2012), dan dijual pada harga RM623 (untuk bayi) dan RM736 untuk tempat duduk kanak-kanak. Harga berkenaan adalah harga pengenalan yang hanya terpakai sehingga 30 Jun ini, dengan GST pada kadar 0%.

     
     
  • Polis Pahang pantau 23 laluan ‘hitam’ di negeri itu

    Polis Pahang pantau 23 laluan ‘hitam’ di negeri itu

    Sempena sambutan Aidilfitri ini dan demi keselamatan para pengguna jalan raya, polis trafik Pahang akan memantau 23 laluan yang telah dikenalpasti berbahaya kerana sering berlaku kemalangan di negeri itu.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Kamarulzaman Jusoh, antara laluan yang terbabit ialah Jalan Pintasan Kuantan, Jalan Pekan-Muadzam Shah-Segamat di Rompin, Jalan Bentong-Raub, Jalan Raub-Kuala Lipis dan laluan menghubungkan Kuala Lipis serta Merapoh yang dijangka berlaku peningkatan trafik, laporan Harian Metro.

    “Semua 11 ketua polis daerah diberi penerangan berkenaan laluan sering berlaku kemalangan itu dan diminta membuat pemantauan dengan lebih kerap. Kita menjangkakan lebih banyak kenderaan berada di jalan raya berikutan keputusan kerajaan memberikan diskaun 50% bagi bayaran tol untuk dua hari sebelum Aidilfitri.

    Polis Pahang pantau 23 laluan ‘hitam’ di negeri itu

    “Seramai 256 anggota dan 46 pegawai trafik bertugas sempena Op Selamat dan mereka ditempatkan di kawasan berbahaya itu bagi memantau kelancaran trafik. Mereka turut dibantu anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

    Beliau turut menambah, pihaknya juga membuat pemantauan 24 jam di laluan tertentu di Lebuhraya Karak di antara Kuala Lumpur dan Bentong selain laluan menghubungkan Raub serta Kelantan untuk mengurangkan kemalangan. Malah pasukan bertindak kecemasan juga ditempatkan di tiga stesen iaitu Bentong, Temerloh dan Gambang supaya ia dapat memberikan bantuan segera sekiranya berlaku kemalangan.

     
     
  • KJ bidas cadangan wujudkan jenama kereta nasional baharu – saran tambahbaik pengangkutan awam

    Pagi tadi, dalam ucaptama sempena Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) yang berlangsung di Tokyo, Jepun, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia bakal mewujudkan jenama kereta nasional baharu untuk Malaysia. Perkara ini diputuskan selepas Proton dikatakan bukan lagi jenama kereta nasional selepas hampir separuh sahamnya dijual kepada syarikat dari China, Geely, pada pertengahan tahun lalu.

    Ekoran pengumuman tersebut, bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) membidas cadangan tersebut dan berpendapat pengumuman projek kereta nasional yang baharu adalah satu langkah regresif dan terbelakang.

    Menerusi catatannya di laman Facebook miliknya, KJ berkata, ia tidak sepatutnya dilakukan apatah lagi tatkala projek pengangkutan awam seperti MRT 3 dibatalkan oleh Kerajaan masa kini.

    “Bukan sahaja projek kereta nasional ini tidak mesra alam dari segi pelepasan karbon dioksida, tetapi juga bakal menelan belanja yang besar kepada Kerajaan yang sepatutnya disalurkan kepada pembangunan projek pengangkutan awam,” ujar Ahli Parlimen Rembau ini.

    KJ bidas cadangan wujudkan jenama kereta nasional baharu  – saran tambahbaik pengangkutan awam

    Jelasnya, sejak 1984 Kerajaan telah menyalurkan pelbagai bantuan kewangan merangkumi pinjaman mudah dan geran berjumlah RM15.3 bilion kepada Proton.

    Sambungnya lagi, “Projek kereta nasional seperti ini juga akan menambah kos kepada rakyat melalui duti eksais yang mencecah sehingga 105% yang membebankan pengguna yang ingin membeli kereta jenama selain kereta nasional. Melainkan projek kereta nasional baharu ini akan menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya, saya tidak nampak kebaikan dan manfaatnya kepada rakyat, ekonomi negara dan alam sekitar. Ini juga banyak bergantung kepada kemampuan kita dalam mencapai ekonomi skala atau ‘economies of scale’. Kalau skala pengeluarannya kecil, sasaran impak ekonomi yang diingini mungkin tidak akan dicapai.”

    Beliau turut meminta Kerajaan melalui Jemaah Menteri supaya memperhalusi cadangan ini sebaik-baiknya sebelum bersetuju untuk meneruskan projek ini.

    “Namun saya berharap, keutamaan masa dan sumber dapat diberikan kepada penambahbaikan sistem pengangkutan awam seperti kerjasama dengan pihak swasta dalam menambahbaik “last-mile connectivity” seperti solusi e-hailing dengan menggunakan kenderaan dan motosikal, kajian menyeluruh dari segi kemungkinan (feasibility) termasuk bagaimana untuk mengurangkan kos untuk projek MRT 3 dihidupkan semula pada masa akan datang atau dengan menggunakan sistem yang lebih menjimatkan kos seperti Bas Rapid Transit (BRT) yang tidak hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja,” ujarnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025