Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Era kotak gear klac berkembar mungkin akan berakhir

    Era kotak gear klac berkembar mungkin akan berakhir

    Ketika kotak gear klac berkembar (DCT, DSG dan pelbagai nama lagi) mula diperkenalkan dahulu, ia seakan bakal menggantikan sistem transmisi torque converter konvensional. Namun pelbagai masalah yang muncul selepas itu khususnya untuk kotak gear yang menggunakan klac berkembar jenis kering membuatkan ia menjadi mimpi ngeri terhadap sebahagian pengguna.

    Reputasi yang buruk tersebut menyebabkan banyak pengeluar nampaknya kini mula untuk menggunakan semula kotak gear automatik konvensional. Ia seolah-olah menggambarkan teknologi transmisi menggunakan set gear planetary tersebut akan terus kekal dalam pasaran, manakala era kotak gear klac berkembar mungkin akan berakhir.

    Menerusi temu ramah bersama Car and Driver, CEO Aston Martin Andy Palmer membayangkan perkara tersebut berkemungkinan besar akan berlaku. Menurut Palmer, penggunaan kotak gear klac-berkembar tidak kira jenis klac basah atau kering kini sedang merudum secara progresif, manakala kotak gear automatik torque converter mula digunakan semula.

    Palmer menyatakan bahawa kotak gear klac berkembar ini merupakan rekaan hebat yang tidak sempurna, dan dalam masa yang sama mereka telah menemui pelbagai idea lain yang menjadikan sebuah transmisi itu sangat laju bersama kejutan tukaran yang baik.

    “Sepuluh tahun lalu, ia masih nampak seperti sebuah transmisi untuk masa hadapan. Kini ia mula nampak seperti transmisi dari masa lalu,” jelas Palmer.

    Era kotak gear klac berkembar mungkin akan berakhir

    “Kotak gear automatik konvensional yang baik seperti ZF lebih murah, yang mana tidak masuk akal sekiranya anda fikir kotak gear manual masih bertahan kerana ia merupakan opsyen yang lebih murah, tetapi terdapat banyak teknologi yang dipadankan pada (DCT) bagi membolehkan ia beroperasi,” jelas Palmer.

    “Ia juga lebih berat, yang juga menjadi lagi satu kekurangannya, tetapi isu sebenar adalah penukaran gear itu sendiri. Sebenarnya kini kotak gear automatik (planetary) adalah lebih pantas, kerana tork sistem ini boleh dikawal. Ini bermakna sudah pasti masa pecutan 0-100 km/j anda adalah lebih pantas dengan kotak gear auto, yang menafikan semua modal pemasaran untuk transmisi klac berkembar,” tambahnya lagi.

    Walau bagaimanapun, kotak gear klac berkembar ini tidak akan terus pupus. Pengeluar-pengeluar kereta berjenama seperti Ferrari dan McLaren kini masih lagi menggunakan kotak gear ini secara ekslusif, manakala Volkswagen yang kini menawarkan transmisi tersebut secara besar-besaran akan mengurangkan penawaran tersebut sedikit demi sedikit.

    Pengeluar lain pula dilihat kini sedang menyisihkan penggunaan transmisi tersebut. Ford yang menggunakan kotak gear DCT PowerShift pada Focus dan Fiesta generasi sebelum ini kini sedang beralih kepada kotak gear torque converter enam-kelajuan yang dibina bersama GM (6F35) pada Focus Mk3 facelift untuk pasaran rantau ASEAN, manakala untuk Focus Mk4 pula kini menggunakan kotak gear lapan-kelajuan automatik (dalam dua variasi tork iaitu 8F24 dan 8F35). Ford masih lagi menawarkan kotak gear DCT dari Getrag untuk model-modelnya, tetapi ia dari jenis klac basah.

     
     
  • Renault Captur facelift kini di Malaysia – RM109k

    Renault Captur facelift kini di Malaysia – RM109k

    TC Euro Cars (TCEC) telah memperkenalkan Renault Captur facelift bagi pasaran Malaysia. Crossover segmen-B ini menerima sedikit peningkatan luaran iaitu di bahagian hadapannya ditampilkan gril baharu dengan rekaan lampu utama yang disemak semula dan lampu nyalaan siang LED berbentuk-C baharu yang terletak di penjuru bampar. Sementara di belakang pula menampilkan lampu baharu dengan lampu arah LED. Captur juga menerima skid plate baharu pada bampar hadapan dan belakang.

    Selain itu, Captur facelift ini dilengkapi dengan roda aloi 17-inci rekaan baharu dan juga indicator cermin sisi LED serta ia turut ditawarkan dengan tiga warna luaran baharu yang mana setiap satunya hadir dengan dua-tona iaitu Atacama Orange, Ocean Blue dan Pearl White, yang dipadankan bersama bumbung Diamond Black, menyertai pilihan warna Flame Red.

    Di dalamnya, ia turut menampilkan sedikit semakan pada material kekemasan dan plastik, dengan tempat duduk balutan kulit hitam, kekemasan pintu hitam dan juga tuil gear yang direka semula supaya kabin nampak lebih moden dan sofistikated.

    Kit standard lain termasuklah sistem multimedia MediaNav dengan skrin sesentuh tujuh-inci bersama navigasi dan sambungan AUX, USB dan Bluetooth, kamera undur, kemasukan tanpa kunci, butang push start, pengunci pintu auto, lampu utama dan bilah pengelap cermin auto. Bagi aspek keselamatannya pula, ia dilengkapi dengan empat beg udara, ESC dan bantuan mula mendaki.

    Captur facelift masih menggunakan enjin yang sama iaitu 1.2 liter TCe 120 pengecas turbo empat-silinder, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 118 hp pada 4,900 rpm dan tork 190 Nm pada 2,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam-kelajuan, dengan kuasa disalurkan ke roda hadapan.

    Tiada perubahan harga, dan Captur pemasangan tempatan (CKD) ini masih kekal dengan harga atas jalan RM109,000 (tanpa insurans). Namun ia melibatkan pertambahan kos sebanyak RM900 bagi pilihan warna Flame Red dan Pearl White, yang turut termasuk dengan kick plate dan trunk tray.

    Perkhidmatan selepas jualan 5-in-Captur yang diumumkan tahun lalu juga tidak berubah. Pakej tersebut merangkumi servis dan penyelenggaraan percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh) untuk lima-tahun atau perbatuan sehingga 100,000km, mana-mana tiba dahulu. Selain itu, ia juga menawarkan waranti pengilang selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had dan bantuan tepi jalan 24 jam secara percuma.

    Bukan itu sahaja, ia turut menawarkan perkhidmatan mengambil dan hantar untuk penyelenggaraan berjadual di pusat servis Renault serta servis mobiliti dengan kereta gantian sekiranya alat ganti tidak boleh diperoleh untuk tempoh 48 jam di pusat servis sah, bergantung kepada kebolehdapatan.

     
     
  • Go Auto buka rangkaian baharu Haval di Skudai, JB

    Go Auto buka rangkaian baharu Haval di Skudai, JB

    Go Auto Sales Sdn Bhd, pengedar kenderaan Haval rasmi di Malaysia, telah mengembangkan lagi rangkaian pengedarannya di selatan tanahair dengan membuka sebuah lagi bilik pameran baharu. Dengan kerjasama pengedar sah Ang Trading and Motor Credit Sdn Bhd, ia terletak di Taman Perindustrian Ringan Pulai dan ini memberikan kemudahan yang lebih menyenangkan buat pelanggan Haval yang berada di sekitar Skudai dan Johor Bahru sendiri.

    Menurut Pengarah Eksekutif Go Auto Group, Dato’ SM Azli SM Nasimuddin Kamal, “Kami mengalu-alukan kedatangan Ang Trading and Motor Credit Sdn Bhd dalam keluarga Haval di Malaysia, moga sukses dalam jualan dan perkhidmatan selepas jualan. Ini merupakan rangkaian ke tujuh di Selatan tanahair dengan empat daripadanya terletak di Johor. Sehingga kini, kami sudah memiliki 24 rangkaian di seluruh tanahair.

    Haval Malaysia kini menawarkan pelanggan baharu dan sedia ada yang berminat untuk membeli SUV baharu dengan penjimatan dan insurans percuma sehingga RM3,000. Selain promosi semasa, syarikat ini juga merancang untuk menganjurkan siri jelajah ke seluruh negara tidak lama lagi. Semua informasi mengenai siri jelajah tersebut akan diumumkan di Facebook dan Instagram rasmi mereka dari semasa ke semasa.

     
     
  • GST 0% bermula 1 Jun, SST hanya akan dilaksanakan kemudian – apa kesannya terhadap harga kenderaan?

    GST 0% bermula 1 Jun, SST hanya akan dilaksanakan kemudian – apa kesannya terhadap harga kenderaan?

    Kementerian Kewangan telah pun mengumumkan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang ketika ini dikenakan pada kadar 6% akan dimansuhkan sepenuhnya menjadi 0% bermula 1 Jun ini. Ia adalah selari dengan janji Pakatan Harapan untuk melakukan perkara berkenaan dalam tempoh 100 hari pertama mengambil alih pentadbiran selepas PRU14 minggu lalu.

    Namun, tidak seperti yang diumumkan sebelum ini, penghapusan GST ini tidak pula akan digantikan semula dengan pengenalan cukai jualan dan perkhidmatan (SST); buat masa ini, tiada apa-apa struktur cukai yang akan dikenakan sehinggalah kaedah cukai baru dimaklumkan semula nanti. Barangan yang dimansuhkan GST akan kekal seperti seadaanya, tanpa digantikan oleh cukai lain buat sementara waktu.

    Langkah ini tentunya akan mendapat maklum balas positif, tetapi dalam masa yang sama turut menimbulkan pertanyaan lain, terutama berkaitan harga kenderaan. Syarikat-syarikat pengeluar kenderaan ketika ini masih lagi samar-samar dengan kesan pemansuhan GST ini – yang sepatutnya diganti semula dengan SST – serta ketidak-pastian terhadap harga yang kemungkinan akan naik atau turun. Mereka masih belum memperoleh jawapan yang jelas tentang perkara ini.

    Terkini, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) Isnin lalu menyatakan, syarikat itu menjangkakan harga kenderaan mungkin akan naik sedikit sekiranya SST 10% sebelum ini diperkenalkan semula untuk menggantikan GST 6%. Hal ini adalah selari dengan perubahan ketika peralihan antara SST kepada GST dahulu, yang menyaksikan harga kenderaan turun sedikit bagi kebanyakan jenama.

    GST 0% bermula 1 Jun, SST hanya akan dilaksanakan kemudian – apa kesannya terhadap harga kenderaan?

    Malahan, pengeluar dan pengedar kenderaan seperti ETCM (Nissan) dan Motor Image (Subaru) juga telah memperkenalkan skim pelindungan harga yang akan mengekalkan harga kenderaan mereka bagi satu tempoh tertentu sekiranya harga kenderaan akan naik selepas pelaksanaan semula SST, dan akan mengembalikan sebarang perbezaan nilai yang terlibat (refund) dalam bentuk baucar servis sekiranya harga kenderaan menjadi lebih rendah.

    Dengan pemansuhan GST nanti, syarikat-syarikat ini kemungkinan perlu melakukan penyelarasan dalam dua langkah berikut – refund kepada pembeli yang membuat tempahan sebelum Jun, dan kemudiannya mengekalkan harga pra-SST. Itupun bergantung sekiranya SST kembali dilaksanakan dalam kadar dan kaedah yang sama seperti sebelumnya, dan berlangsung dalam tempoh seperti yang dijangkakan oleh skim-skim berkenaan. Bagi Subaru misalnya ialah sehingga 18 Ogos, iaitu penghujung tempoh 100 hari pertama kerajaan baru ini.

    Apapun, harga kenderaan sepatutnya akan lebih rendah pada 1 Jun ini sebaik sahaja GST dimansuhkan. Tetapi, sejauh manakan ia akan turun? Sumber industri memaklumkan kepada kami, pelanggan mungkin tidak akan melihat harga jualan ketika ini turun sebanyak 6% bagi kadar GST itu secara serta-merta. Ini adalah kerana, syarikat pengeluar telah pun membayar GST bagi setiap peringkat dan proses pengeluaran serta pengedaran sebelum ini, dan cukai itu juga tidak akan dikenakan kepada pelanggan secara sekali gus (lump sum).

    GST 0% bermula 1 Jun, SST hanya akan dilaksanakan kemudian – apa kesannya terhadap harga kenderaan?

    Bagaimanapun, cukai yang telah dibayar bagi rantaian inventori sedia ada oleh pengeluar dan pengedar itu boleh dituntut semula oleh syarikat pengeluar daripada kerajaan, dijangka dalam masa yang relatif singkat. Ini bermaksud, dalam jangka waktu yang pendek, pengguna boleh menjangkakan penurunan bagi harga jualan sebenar – atau menghampiri nilai yang sama – bagi harga seperti yang dinyatakan sebelum GST dilaksanankan dulu.

    Malah, bagi satu tempoh waktu singkat, pengguna mungkin akan membeli kenderaan tanpa caj GST mahupun SST, sehinggalah cukai SST ini diumumkan akan agar dikuatkuasakan semula pelaksanaannya. Bila perkara ini akan berlaku masih lagi menjadi tanda tanya kepada semua.

    Dalam apa juga keadaan ketika ini, syarikat-syarikat pengeluar kenderaan sedang dalam proses mengira semula harga baru tanpa GST bagi kenderaan mereka, dan kami akan bawakan perkembangan berkaitan kepada anda sebaik sahaja ada sebarang pengumuman dilakukan nanti. Ini termasuklah perincian daripada kerajaan terhadap pelaksanaan kaedah cukai berkenaan.

     
     
  • Keputusan tender bidaan bagi siri nombor plat FB kini dikeluarkan, FB1 paling mahal pada harga RM660k

    Keputusan tender bidaan bagi siri nombor plat FB kini dikeluarkan, FB1 paling mahal pada harga RM660k

    Keputusan tender bagi siri nombor plat FB, yang dibuka untuk bidaan bulan lalu, kini telah dikeluarkan oleh Jabatang Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Harga paling mahal bagi siri ini ialah FB 1, yang mirip kepada singkatan Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika (FBI). Harganya? RM660,000. Nombor-nombor lain yang turut menarik perhatian untuk bidaan tertinggi (lebih dari RM100k) ialah seperti FB 8 (RM141,777), FB 11 (RM110,000) dan FB 3 (RM108,130). Senarai lengkap harga bidaan adalah seperti senarai di bawah.

    Permintaan terhadap siri nombor pendaftaran khas seperti ini sentiasa mendapat sambutan, dan untuk itu, JPJ menyatakan akan memperkenalkan pula siri nombor plat FC tahun hadapan.

     
     
  • PANDU UJI: Kia Optima GT – kereta sport untuk Ayah

    PANDU UJI: Kia Optima GT – kereta sport untuk Ayah

    Sedan segmen-D bukanlah pasaran yang sangat besar dalam negara kita. Ini kerana model-model dalam saingan ini direka dengan saiz yang besar, serta harga yang agak tinggi, membuatkan ia biasanya dibeli oleh golongan ‘ayah-ayah’ dengan pendapatan tinggi serta berumur sekitar 35 tahun ke atas. Jadi bila berbicara berkenaan sedan-sedan dalam kategori ini, tentulah tiga nama tradisi yang menjadi pilihan rakyat Malaysia iaitu Honda Accord, Toyota Camry dan juga Nissan Teanna.

    Pencabar dari Korea, Kia Optima juga tidak ketinggalan untuk mencuba nasib dipasaran tempatan sejak generasi pertamanya pada era awal Y2K. Namun sehingga kini, kerana ianya sebuah Kia, Optima masih lagi belum mampu untuk mencabar watak-watak utama dalam segmen tersebut terutamanya Accord dan Camry.

    Walau bagaimanapun, tahun lalu Naza Kia Malaysia (NKM) telah membawa model istimewa Optima GT yang dijual pada pasaran tempatan dengan harga atas jalan tanpa insuran RM179,888, lengkap dengan waranti lima tahun tanpa had jarak perbatuan. Dengan harga jualan yang RM5,000 lebih mahal dari varian tertinggi Honda Accord 2.4 VTi-L Advance (RM 169,800.00) dan Toyota Camry 2.5 Hybrid Luxury (RM 169,900.00), apa yang membuat Naza Kia begitu yakin ada orang Malaysia yang berani untuk membeli kereta dengan logo Kia ini?

    Saya sebenarnya telah pun memandu kereta ini tahun lalu ketika sesi pandu uji media dari KL ke Johor Bahru, namun ketika itu Naza Kia membawa sekali tiga model lain selain Optima GT ini dan saya hanya sempat memandunya dalam perjalan pulang, itu pun hanya dari Seremban pulang ke PJ melalui Lebuhraya Utara Selatan .

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Harga minyak minggu ketiga Mei tiada perubahan – PM

    Harga minyak minggu ketiga Mei tiada perubahan – PM

    Perdana Menteri ke-7, Tun Mahathir Mohamad ketika ditanyakan sama ada harga minyak akan berubah hari ini – kemaskini mingguan seperti biasa – di satu sidang media hari ini menyatakan bahawa harga minyak akan kekal setakat ini.

    “Tak ada kenaikan atau penurunan. Kalau harga minyak dunia naik, kerajaan akan tanggung subsidi,” jelas beliau, tanpa mengulas sama ada kaedah penetapan harga mingguan yang dilaksanakan ketika ini akan dibatalkan.

    Ini bermakna, semua bahan api masih lagi akan dijual pada harga sama untuk satu minggu ke hadapan, iaitu RM2.20 seliter untuk RON 95, RM2.47 seliter untuk RON 97 dan RM2.18 seliter untuk diesel Euro 2M. Seperti biasa, diesel Euro 5 dijual 10 sen lebih tinggi berbanding Euro 2M iaitu pada RM2.28 seliter.

     
     
  • Geely sedang pertimbang buka jualan saham Volvo

    Geely sedang pertimbang buka jualan saham Volvo

    Zhejiang Geely Holding Group sedang mempertimbang untuk menyenaraikan unit Volvo Cars dan sudah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Citigroup, Goldman Sachs dan Morgan Stanley terhadap penawaran umum (IPO) yang ingin dibuat bagi pengeluar kenderaan Sweden itu, lapor Bloomberg.

    Menurut pihak-pihak yang arif tentang perkara ini, Geely dan Volvo telah berbincang dan meletakkan menilai syarikat Sweden itu antara $16 bilion hingga $30 bilion dalam bentuk jualan saham. Turut disentuh ialah penyenaraian dua kali di Sweden dan Hong Kong. Geely Automobile Holding ketika ini disenaraikan di Hong Kong.

    Sumber kepada laporan itu yang tidak ingin dikenali berkata, saham Volvo itu mungkin akan mula dijual seawal musim luruh nanti; bagaimanapun keputusan akhir masih belum ditetapkan dan mungkin akan berlaku perubahan.

    CEO Volvo Cars, Hakan Samuelsson berkata pada Mac lalu, jualan saham mungkin menjadi pilihan untuk dipertimbangkan oleh pemilik Geely, Li Shufu. Geely mengambilalih Volvo dari Ford pada 2010 dan telah mengubah arah tuju syarikat dan keadaan syarikat Sweden itu ke arah yang lebih baik sekaligus menjana keuntungan.

    Geely kebelakangan ini mempunyai banyak perkembangan di dalam pasaran automotif. Tahun lalu, Geely mengambil alih pegangan besar di dalam Proton untuk menjadi rakan strategik pengeluar tempatan itu, serta turut menguasai Lotus. Terbaru, Geely juga menjadi pemegang saham terbesar di dalam Daimler, syarikat induk Mercedes-Benz, apabila mereka memiliki hampir 10% saham syarikat Jerman itu.

     
     
  • Kia Sportage bakal hadir dengan ciri EcoDynamics+

    Kia Sportage bakal hadir dengan ciri EcoDynamics+

    Kia bakal memperkenalkan sistem janaan kuasa diesel mild-hybrid 48V pada separuh kedua tahun ini. Dikenali sebagai sistem EcoDynamincs+, ia menampilkan bateri lithium-ion tambahan 0.46 kWh 48 volt serta unit penghidup-generator mild-hybrid (MHSG) yang baru.

    Dihubung menggunakan tali sawat kepada aci engkol (crankshaft) enjin diesel, sistem berkenaan menawarkan dua mod operasi, motor dan generator, dengan peralihannya dikawal secara elektronik. Ketika meningkatkan kelajuan, MHSG menyediakan sehingga 10 kW (13 hp) bantuan kuasa elektrik ke bahagian penjana kuasanya dalam mod motor, memberikan tork tambahan dan meningkatkan prestasi ketika pecutan pantas, atau pun mengurangkan beban enjin ketika pecutan biasa.

    Ketika mengurangkan pecutan pula, sistem akan beralih kepada mod generator, menyalurkan tenaga dari aci engkol untuk mengecas bateri ketika dalam pergerakan. Kuasa bateri turut akan digunakan untuk menyediakan fungsi Moving Stop & Start yang baru.

    Sekiranya beteri mempunyai cas yang mencukupi, enjin diesel akan dimatikan secara automatik ketika pengurangan kelajuan dalam kedudukan gear dan membrek. Enjinnya akan dihidupkan semula secara tidak ketara ketika pemandu menekan semula pedal minyak.

    Kia Sportage bakal hadir dengan ciri EcoDynamics+

    Kia menyatakan sistem berkenaan akan membantu mengurangkan pembebasan CO2 sebanyak 4% jika mengikut prosedur ujian kenderaan ringan (WLTP) dan 7% jika mengikut kiraan NEDC.

    Pakej dalam saiz yang kompak bermakna sistem ini dengan mudah boleh disepadukan pada binaan sedia ada. Dalam keadaan biasa, bateri 48V akan diletakkan di bawah lantai but. Bagi MHSG di ruang enjin juga sama – tidak perlu dipakejkan semula.

    Sistem mild-hybrid EcoDynamics+ ini serasi untuk digunakan dengan transmisi manual dan juga automatik dan boleh berfungsi dengan mana-mana tataan sistem pacuan – roda depan, belakang dan semua roda. Ia juga boleh digunakan selain ke atas enjin diesel. Selepas Kia Sportage facelift yang akan menjadi model pertama ditawarkan dengan ciri ini, Kia Ceed pula akan menyusul.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Kawasaki Z900RS – Serampang dua mata yang bersembunyi di sebalik penampilan retro

    TUNGGANG UJI: Kawasaki Z900RS – Serampang dua mata yang bersembunyi di sebalik penampilan retro

    Kita boleh meyaksikan sendiri motosikal berbentuk retro kini semakin kembali mendapat perhatian dalam kalangan penggemar motosikal. Dalam kategori ini, ada yang masih menggunakan teknologi dan rekaan sama sejak beberapa tahun atau mungkin berpuluh tahun seperti Royal Enfield, dan ada yang menggunakan teknologi moden. Apapun, keduanya masih berkongsi satu ciri sama, iaitu penampilan retro.

    Antara yang baru muncul dan hangat diperkatakan sekarang adalah Kawasaki Z900RS. Ia sudah pun tiba di pasaran Malaysia sejak bulan Februari lepas, dengan harga RM67,900 bagi versi standard, iaitu yang berwarna hijau gelap matte, dan RM69,900 untuk versi SE yang berwarna oren. Model ini juga diimport terus dari Jepun, dan menjelaskan sebab harganya sebegitu.

    Bagi saya, jika anda mahu mendapatkan Z900RS ini, model SE adalah model yang perlu dipilih, kerana itu adalah warna yang sama seperti Kawasaki Z1 tahun 70-an dulu, iaitu model yang dijadikan sebagai inspirasi untuk rekaan Z900RS ini. Bukan setakat itu, kemasan warna ini juga cukup menarik, dengan warna coklat gelap tersebut menggunakan kemasan metalik berkilau dan serasi dengan jalur oren yang ada.

    Selain warna, perbezaan lain di antara model SE dan model standard ini tidak banyak, melainkan kemasan akhirnya. Model standard menggunakan ekzos krom yang tidak berkilat, bersama rim serba hitam, manakala model SE menggunakan ekzos krom berkilat, serta rim yang juga mempunyai jalur krom.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • GALERI: Nissan Serena S-Hybrid – lama vs baru

    GALERI: Nissan Serena S-Hybrid – lama vs baru

    Jika diperhatikan dalam pasaran tempatan ketika ini, model-model kenderaan MPV dalam maksud sebenar – tujuh atau lebih tempat duduk, kedudukan bumbung tinggi serta mementingkan praktikaliti kegunaan seisi keluarga – adalah sangat sedikit ditawarkan.

    Ini menjadikan Nissan Serena S-Hybrid C27 2018 yang dilancarkan semalam mempunyai kedudukan yang istimewa. Disebabkan perkara itu juga, ia menjadi antara model utama yang banyak terjual bagi kenderaan Nissan di Malaysia, sejak dari versi modelnya yang sebelum ini.

    Jadi, apa sebenarnya pembaharuan yang telah dilakukan dari model lama (C26) hingga ke model baru (C27) generasi kelima kini? Walaupun ia masih menggunakan platform yang sama serta mewarisi enjin dari model terdahulu, sebenarnya terdapat banyak perkara yang telah diberikan peningkatan.

    Pertama sekali tentulah dari segi rekaan luarannya. Bahagian depan misalnya kini hadir dengan rekaan gril V-Motion dengan bampar yang lebih agresif, mengubah penampilan wajah depan MPV ini. Bahagian belakang juga tidak ketinggalan. Antaranya, rekaan lampu kini lebih pendek, dan bukaan pintunya boleh dilakukan dalam dua peringkat.

    Ruang dalaman pula menampilkan rekaan serba baru. Bahagian papan pemuka, meter serta skrin multimedia semuanya menjadi lebih moden dan kemas – ini termasuklah rekaan stereng yang digunakan pada model baru ini.

    Selain ciri-ciri kelengkapan yang juga semakin bertambah, perubahan paling utama yang perlu dinyatakan ialah peralihan dari lapan-tempat duduk kepada tujuh-tempat duduk.

    Ini adalah bertujuan untuk memberi lebih keselesaan kepada penumpang dengan menampilkan dua captain seat berasingan dengan perehat lengan di barisan kedua – juga dengan teknologi Zero Gravity untuk mengurangkan keletihan. Selain itu, untuk masuk ke ruang belakang sekali juga lebih senang.

    Harga bagi model lama dengan yang baru ini juga ada perbezaan, iaitu sekitar RM2,500 hingga RM4,500 lebih mahal kini. Tapi, perlu diingat juga, terdapat banyak kelengkapan lain yang ditambah pada penawaran model baru berkenaan.

    Selebihnya, galeri ini memaparkan perbezaan antara keduanya dengan lebih dekat lagi. Jika anda inginkan maklumat yang lebih terperinci tentang penawaran Nissan Serena S-Hybrid terbaru ini, layari juga laman CarBase.my.

    Nissan Serena S-Hybrid C27 2018

    Nissan Serena C26

     
     
  • Mercedes-AMG GT S Roadster – GT bumbung boleh buka ketiga, kuasa 515 hp, tork 670 Nm dari enjin V8

    Mercedes-AMG GT S Roadster – GT bumbung boleh buka ketiga, kuasa 515 hp, tork 670 Nm dari enjin V8

    Mercedes-AMG telah mengumumkan penambahan satu lagi variasi dalam keluarga model GT iaitu AMG GT S Roadster. Model ini menjadi model GT bumbung boleh buka, dua pintu yang ketiga dalam barisan model tersebut dan diletakkan di antara GT Roadster dan GT C Roadster. Ia juga menjadikan jumlah keseluruhan model GT sekarang adalah 12 model.

    Sama seperti ahli keluarga GT yang lain, GT S Roadster ini menggunakan enjin V8 biturbo 4.0 liter M178, dan jumlah kuasanya menyamai seperti GT S Coupe. Ia mampu menghasilkan 515 hp (522 PS) pada 6,250 rpm dan 670 Nm tork pada antara 1,900 hingga 5,000 rpm. Padanan transmisi adalah unit AMG Speedshift DCT 7G tujuh kelajuan. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 3.8 saat manakala laju maksimum pula adalah 308 km/j.

    Antara kelengkapan yang diberikan terus pada model ini adalah termasuk sistem ekzos prestasi AMG, sistem pengurusan udara aktif Airpanel, suspensi AMG Ride Control dengan penyerapan adaptif dan rim aloi 19 inci di hadapan, 20 inci di belakang. Turut disertakan adalah lampu utama LED prestasi tinggi dan locking differential kawalan elektronik pada gandar belakang.

    Pada bahagian dalam, GT S Roadster datang dengan tempat duduk sports yang dibalut kulit buatan manusia/gentian mikro Dinamica warna hitam Artico dan pakej AMG Silver Chrome Interior secara standard. Melalui pakej krom ini, bahagian keliling konsol tengah, hiasan di corong pendingin hawa dan jalur trim di panel pintu semuanya berwarna krom perak. Untuk bumbung, terdapat pilihan tiga warna iaitu hitam, beige ataupun merah.

    Seperti biasa, terdapat pelbagai pilihan barangan khas untuk kenderaan ini, dan untuk trim, ia termasuk pakej gentian karbon, balutan kulit Nappa dalam pelbagai pilihan warna, tempat duduk AMG Performance dan sistem pemanas taraf leher Airscarf.

    Untuk bahagian mekanikal juga terdapat pilihan tambahan iaitu pakej AMG Dynamic Plus, yang menambah tapak enjin dan transmisi dinamik, serta suspensi yang ditala khas supaya lebih tegap. Pembeli juga boleh menambah sistem AMG rear axle steering melalui pakej ini serta sistem brek seramik prestasi tinggi AMG.

     
     
  • Arch Motorcycles Method 143 – casis gentian karbon

    Arch Motorcycles Method 143 – casis gentian karbon

    Arch Motorcycles, iaitu sebuah syarikat pengeluar motosikal kustom milik bersama pelakon terkenal Keanu Reeves dan Gard Hollinger dan telah memperkenalkan sebuah model baru yang dinamakan sebagai Method 143. Ia hanya akan dihasilkan dalam jumlah terhad 23 unit, namun harganya tidak disiarkan secara umum.

    Seperti model-model lain yang pernah dihasilkan oleh syarikat ini, Method 143 mengetengahkan rekaan unik, hasil kerja elegan serta ciri kejuruteraan maju yang boleh dilihat pada keseluruhan motosikal. Buat pertama kali juga, Method 143 menjadi motosikal konsep produksi yang menggunakan casis mono-cell gentian karbon.

    Di dalam casis ini terdapat ruang yang dijadikan sebagai tangki bahan api bersepadu, dan ia digabungkan dengan sub-casis yang diperbuat daripada aluminium potongan mesin CNC. Untuk panel badan, kebanyakannya menggunakan aluminium dan ia mempunyai potongan khas berjalur seperti yang boleh dilihat di bahagian ‘tangki’ dan belakang.

    Bukan penampilan sahaja yang unik dan garang, Method 143 juga dikuasakan oleh enjin besar, iaitu unit V-Twin 2,343 cc S&S Cycle T143, dan dilengkapi dengan pelbagai barangan prestasi seperti fork dan penyerap belakang Ohlins boleh laras sepenuhnya serta brek berkembar enam piston ISR di depan dan empat piston di belakang.

    Untuk rim, unit 17 inci rekaan khas gentian karbon digunakan dan ia dibalut dengan tayar Michelin Power RS. Melengkapkan prestasi serta bunyi yang pastinya menakutkan, motosikal ini dipasang dengan dua ekzos SC Project inspirasi MotoGP yang dihasilkan menggunakan gabungan bahan titanium, gentian karbon dan aluminium.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI TCR Concept didedahkan di festival Wörthersee – 2.0 liter TSI, 290 PS/370 Nm

    Volkswagen Golf GTI TCR Concept didedahkan di festival Wörthersee – 2.0 liter TSI, 290 PS/370 Nm

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, Volkswagen telah pun mendedahkan model konsep yang dibina berdasarkan kereta lumba TCR sebenar untuk produksi jalan raya digelar Golf GTI TCR Concept ketika berlangsungnya festival tahunan VW Golf GTI di Wörthersee, Austria. Walaupun muncul sebagai kereta konsep, model ini dijangka akan dipasarkan dengan bentuk dan spesifikasi hampir serupa lewat tahun ini.

    Kereta ini masih dijana enjin 2.0 liter empat-silinder turbo TSI, namun diberi talaan bagi membolehkan ia menjana 290 PS dan tork maksima 370 Nm – angka yang hampir menyamai Golf R. Tidak seperti Golf R yang digerakkan sistem pacuan AWD, kuasa enjin Golf GTI TCR hanya memacu roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan yang turut disertakan dengan unit LSD.

    Angka prestasi juga belum diumumkan, tetapi ia sudah pasti mampu memecut dari 0-100 km/j jauh lebih pantas dari GTI standard. Walau bagaimanapun, VW mengumumkan dua opsyen boleh dipilih oleh pembeli. Untuk pilihan standard, kereta ini diberikan rim forged “Belvedere” 18-inci, brek bersaiz lebih besar manakala kelajuan maksimanya dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

    Jika anda rasa tidak cukup, opsyen kedua boleh dipilih yang menawarkan rim 19-inci, suspensi sport 20 mm lebih rendah serta boleh dilaras, kawalan casis adaptif (DCC), sistem ekzos titanium dari Akrpovic, dan Vmax limiter yang boleh membuka kekangan kelajuan maksima bagi memberikan Golf GTI TCR ini mencapai 264 km/j, secara tidak langsung menjadikan ia sebagai Golf GTI terpantas dalam barisan model.

    Bagi membezakan model ini dengan GTI standard, ia diberikan pengayaan baharu di bahagian luar dengan pemadanan kit baharu terdiri dari spoiler hadapan, skirt sisi, projektor logo serta lencana-lencana TCR pada tempat yang sepatutnya. Manakala untuk kabin, tempat duduk model istimewa ini dibalut dengan gabungan gentian mikro dan fabrik, termasuk pada panel pintu dan tombol gear. Serlahan berwarna merah turut ditampilkan pada jahitan dan juga pada jalur penanda roda stereng.

     
     
  • Hanya 19 juta kenderaan yang ada cukai jalan – JPJ

    Hanya 19 juta kenderaan yang ada cukai jalan – JPJ

    Daripada sejumlah 28 juta kenderaan yang didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hanya 19 juta kenderaan dan pemilik sahaja yang aktif memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan mereka.

    Perkara ini dibangkitkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan/Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman semalam, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    “Selebihnya, pemilik-pemilik kenderaan terbabit tidak berbuat demikian,” jelas beliau sambil menambah bahawa JPJ sejak Mac lalu telah memberikan kelonggaran kepada kelompok berkenaan yang mana cukai jalan bagi kenderaan mereka sudah luput dalam tempoh tiga tahun, boleh menghidupkannya semula melalui proses biasa.

    Tawaran ini yang bermula sejak 27 Mac lalu akan berakhir pada 30 Jun nanti. Beliau menambah, pembaharuan cukai jalan berkenaan boleh dilakukan di mana-mana pejabat JPJ. Program ini juga mendapat sokongan daripada syarikat-syarikat insurans untuk memudahkan pengguna.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025