Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Civic Type R FK8 – beli dan menang perjalanan menyaksikan perlumbaan F1 di litar Suzuka Jepun

    Honda Civic Type R FK8 – beli dan menang perjalanan menyaksikan perlumbaan F1 di litar Suzuka Jepun

    Kalau ada pasang angan-angan untuk beli Honda Civic Type R FK8, kempen terbaru dari Honda Malaysia ini mungkin untuk anda; “Sprint to the Suzuka Circuit” menanti mereka yang membeli dan mendaftarkan unit berkenaan dalam tempoh dari 1 April hingga 30 Jun 2018.

    Keseluruhannya, akan ada 10 pemenang bertuah dan setiap seorang akan berpeluang untuk memenangi hadiah tiket penerbangan kelas perniagaan ke Jepun dengan penginapan selama lima hari empat malam, dua tiket untuk menonton Gran Prix Formula 1 Jepun serta cenderahati rasmi Honda bernilai RM30,000 semuanya.

    Untuk ikut serta, pelanggan perlu membeli dan mendaftarkan Civic Type R mereka dalam tempoh kempen ini berlangsung, isikan borang dan jawab dua soalan ringkas dengan kreatif di mana-mana 20 pengedar Honda Sport seluruh negara.

    Civic Type R dilancarkan untuk pasaran tempatan tahun lalu pada harga RM320,000 atas jalan tanpa insurans. Model berkenaan dibawa masuk secara CBU dari kilang pemasangan di Swindon, UK. Ia dilengkapi dengan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder VTEC yang menghasilkan 310 PS dan 400 Nm kuasa. 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 5.7 saat dan kelajuan maksimumnya ialah 272 km/j.

     
     
  • Genesis Essentia Concept – 0-96 km/j dalam 3.9 saat

    Genesis Essentia Concept – 0-96 km/j dalam 3.9 saat

    Genesis telah memperkenalkan sebuah model konsep, bernama Essentia di New York International Auto Show. Ia adalah sebuah kenderaan konsep prestasi tinggi elektrik penuh, yang membawa konsep rekaan “Athletic Elegance” dan dikatakan memberi bayangan kepada model prestasi dan teknologi masa hadapan syarikat itu.

    Essentia adalah kenderaan elektrik penuh (EV) pertama daripada Genesis, dan ia menggunakan kerangka monocoque gentian karbon serba ringan, pek bateri berketumpatan tinggi dan beberapa motor elektrik. Tiada perincian penuh yang didedahkan lagi, tetapi Genesis memberitahu kenderaan ini mampu melakukan pecutan 0-60 bsj (0-96 km/j) dalam masa tiga saat.

    Bateri sistem elektrik kenderaan ini diletakkan di terowong tengah kenderaan, dan bukannya di bawah tempat duduk penumpang, sekaligus membenarkan rekaan bumbung yang rendah dan kabin gaya grand tourer. Gaya yang rendah ini juga menghasilkan perkadaran badan sebuah GT klasik, dengan hud hadapan yang rendah. Melalui hud lutsinar tersebut, anda akan dapat melihat casis gentian karbon dan suspensi push rod.

    Selain bentuk badan yang aerodinamik, kenderaan ini turut dipasang dengan lampu Genesis Quad Lights yang menggunakan teknologi laser optik, sekaligus dapat dijadikan lebih nipis. Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan sistem pengenalan muka dan pengesan cap jari, untuk membuka dan menutup pintu. Rim unik itu pula diperbuat daripada besi copper Midas.

    Di dalam, Genesis mahu mengetengahkan konsep minimalis, tanpa sebarang butang, dan panel paparan digital di sepanjang papan pemuka tersebut. Bagi tempat duduk, bahan yang digunakan adalah kulit cognac, manakala cagak tali pinggang pula daripada aluminium. Bagi menambahkan ciri sporty, lapisan gentian karbon turut diguna di beberapa bahagian.

    Genesis Essentia Concept – 0-96 km/j dalam 3.9 saat

    Sebagai sebuah kenderaan konsep zaman kini, Essentia disiapkan dengan kemampuan berkomunikasi dengan keadaan sekelilingnya. Sebagai contoh, ia boleh memberitahu pemandu keadaan jalan di hadapan untuk mengelakkan kemalangan atau kesesakan trafik.

    Selain daripada itu, dengan memori yang disimpan, kenderaan ini dapat mencadangkan jalan paling sesuai untuk ke sesuatu destinasi. Apabila sudah dipilih pula, ia akan melaras kenderaan mengikut kegemaran penggunanya, termasuk tempat duduk, prestasi kenderaan, sistem audio dan tetapan casis.

     
     
  • Perodua Kancil – baka perlumbaan dari Rawang

    Perodua Kancil – baka perlumbaan dari Rawang

    Bila berbicara berkenaan hero sukan permotoran tempatan negara, peminat tentunya terbayang jentera-jentera rali Proton dari era pasukan Proton PERT sehingga Proton Iriz R5 yang dibina oleh pasukan Mellors Elliot Motorsport. Mana Perodua? Tak teringin ke nak masuk mana-mana perlumbaan?

    Bagi mereka yang mengikuti perkembangan sukan rali di Malaysia, anda pasti tahu bahawa pada era pertengahan 90’an, ‘Proton Wira 4WD’ dari pasukan Proton PERT sebenarnya mempunyai lawan yang begitu pantas dan tidak disangka-sangka iaitu ‘Perodua Kancil 2-Pintu 4WD Turbo’ yang dipandu oleh Kan Chee Hong.

    Jentera berkenaan dihasilkan oleh ‘mastermind’ disebalik Perodua Castrol Racing Team iaitu mendiang Gary Chua, yang juga terkenal dengan kepakarannya menala enjin Rotary, selain menyediakan kereta lumba untuk pelbagai disiplin perlumbaan. ‘Kancil’ yang diasaskan dari Daihatsu Mira L200 660 cc Turbo 4WD berkenaan bukan sahaja ‘mengacau’ penguasaan Proton PERT ketika itu, malah turut menjadi mimpi buruk kepada jentera-jentera lebih besar seperti Subaru Impreza dan Galant VR4 dari pasukan-pasukan lain.

    Perodua Kancil – baka perlumbaan dari Rawang

    Kancil yang kami tampilkan pada kali ini bukanlah Kancil sebenar yang pernah menghambat raksasa-raksasa tersebut, tetapi ia adalah salah sebuah jentera sebenar yang menjadi sebahagian armada Perodua pada era kegemilangannya dalam dunia rali di Malaysia. Ia juga bukannya Daihatsu Mira, sebaliknya Kancil sebenar keluaran tahun 1996 yang pada asalnya menerima enjin 660 cc karburator di kilang Perodua, Rawang.

    Menurut pemiliknya, Mohd Khairul Hairodin (juga pemilik Suzuki Alto Works yang kami paparkan sebelum ini) dari GoDaddy Motorsport yang begitu viral dikalangan peminat sukan permotoran tanah air, Kancil ini diterima olehnya dari mendiang Gary Chua sendiri. Ketika berkhidmat dalam pasukan rali Perodua, Kancil berkenaan diberikan enjin NA 1,000 cc dari Kelisa, tanpa pacuan empat roda.

    Tamat tugasnya dalam arena rali, Kancil ini dibawa pula berlumba di litar. Pada 2006, kereta ini menduduki tempat keempat keseluruhan kategori NA 1,000 Supercompact dalam perlumbaan Malaysia Super Series (MSS) tahun itu. Setahun berikutnya, Kancil ini berjaya dinobatkan pula sebagai juara dalam kategori dan perlumbaan yang sama.

    Perodua Kancil – baka perlumbaan dari Rawang

    Ia kemudian kembali semula untuk berlumba dalam siri perlumbaan Saturday Night Fever (SNF, kini dikenali sebagai Malaysia Speed Festival atau MSF) pada tahun 2015, dan berjaya menamatkan musim berkenaan pada kedudukan ketiga.

    Di tangan Khairul, Kancil ini digunakan untuk perlumbaan endurance K-Car Global 24 Jam (dikenali juga sebagai K4GP sebelum ini) pada tahun lalu menerusi pasukan seliaanya iaitu Loco Racing Maxxoil. Untuk pengetahuan anda, K-Car Global ini merupakan perlumbaan ketahanan yang berlangsung selama 24-Jam, disertai oleh jentera-jentera Kei-Car dari seluruh dunia, dan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) saban tahun.

    Untuk perlumbaan tersebut, unit janakuasa kereta ini dirombak semula sepenuhnya. Enjin 1,000 cc tadi kini telah digantikan dengan enjin NA 850 cc DVVT yang diambil dari Perodua Viva. Sebelum enjin tersebut disumbatkan ke dalam perut Kancil berkenaan, ia terlebih dahulu dileraikan untuk diseimbangkan sepenuhnya kembali, serta menjalani proses blueprint semula.

    Perodua Kancil – baka perlumbaan dari Rawang

    Kotak komputer asal enjin Viva tersebut masih lagi digunakan, namun unit komputer piggy back Greddy E-manage telah dipadankan bagi membolehkan lebih kuasa diekstrak dengan talaan semula yang dilakukan. Ekzos juga dilakukan ubahsuai ringkas dengan pemadanan paip keluli tahan karat berdiameter 2-inci.

    Untuk perlumbaan endurance, penghasilan kuasa maksima dari enjin bukanlah keutamaan, tetapi apa yang lebih penting adalah ia boleh bertahan sehingga ke penghujung pertarungan yang panjang tersebut. Sebab itulah enjin ini tidak diberikan camshaft yang agresif dan sebagainya. Penyejuk minyak dari Mocel pula diberikan bagi memastikan suhu minyak pelincir sentiasa stabil walaupun beroperasi dalam tempoh masa yang lama.

    Kuasa masih lagi dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear yang juga diambil dari Viva, namun peralihan kuasa kini lebih efisien menerusi penggunaan klac ‘4-puck’ dari Trinity. Bagi membolehkan kuasa dari enjin digunakan se-optima yang mungkin, gear nisbah akhir asal kini telah digantikan dengan unit yang menghasilkan nisbah 4.9.

    Untuk pengedalian, suspensi hadapan kereta lumba ini menerima set penyerap hentak boleh laras sepenuhnya dari GAB, manakala bahagian belakang pula menerima set Monroe Matic. Kemudian, cakera brek hadapan dipadankan dengan unit yang diambil dari Daihatsu Mira L5 lengkap dengan angkup, bersama pad brek dari Endless.

    Kancil lumba ini turut diberikan tayar yang sah untuk digunakan di litar, iaitu tayar ATR K-Sport bersaiz 165/55R14. Keempat-empat tayar tersebut membaluti set rim Mugen MF10 replika, bersaiz 14x6jj.

    Dalam kabin, Kancil ini diberikan roll cage dari silinder chrome moly enam-poin. Papan pemuka ‘Kancil Lompat’ masih digunakan, namun kluster meter kini digantikan dengan unit dari Viva bagi memudahkan pendawaian enjin. Pelbagai peralatan untuk bertarung di litar turut diberikan di dalam kokpit jentera ini, termasuk tempat duduk dan roda stereng perlumbaan dari OMP, tali pinggang perlumbaan dari Cobra, dan juga papan suis kawalan custom pada papan pemuka.

    Untuk penampilan luaran pula, muka Kancil ini telah diubah menggunakan set lengkap Daihatsu Mira L200. Bahagian lain masih lagi standard Kancil, kecuali spoiler bumbung belakang yang diambil dari Mira L5. Untuk mengurangkan beratnya pula, cermin kaca pada bahagian belakang dan pintu belakang kereta ini telah digantikan dengan cermin jenis semi-perspex.

    Dalam perlumbaan K-Car Global 2017 berkenaan, Kancil ini bertanding dalam kelas M3. Sepanjang 24-jam perlumbaan, kereta kecil ini berjaya mengelilingi Litar Sepang sebanyak 383 pusingan, dengan catatan masa terpantas 3 minit 7 saat – dinobatkan sebagai juara kategorinya menewaskan jentera-jentera sekelas termasuk dari Jepun, dan menduduki tempat ke-sembilan secara keseluruhan.

    Nah, sekarang siapa kata tiada kereta dari Perodua yang sesuai dijadikan kereta lumba?

     
     
  • Subaru ada cara tersendiri untuk perkenal teknologi tanpa pemandu – elak perlanggaran jadi keutamaan

    Subaru ada cara tersendiri untuk perkenal teknologi tanpa pemandu – elak perlanggaran jadi keutamaan

    Banyak pengeluar kenderaan ini sedang berlumba-lumba untuk memperkenalkan teknologi pemanduan autonomous bagi model-model terkini yang dihasilkan. Tapi, menurut Subaru, syarikat itu akan tunggu sedikit masa lagi – sehingga teknologi tanpa pemandu yang ada kini menjadi betul-betul matang.

    CEO Subaru Amerika Syarikat, Tom Doll di dalam satu kenyataan kepada CarAdvice memaklumkan, tidak kira apa pun yang dikatakan oleh pengeluar lain kepada umum berkaitan teknologi itu ketika ini, pemandu masih perlu mengawal kenderaan mereka sepanjang masa.

    “Anda tidak boleh mengalihkan perhatian dari jalan raya,” jelasnya merujuk kepada pemandu. “Tak kisah apa jenama lain sedang lakukan, termasuk memperkenalkan sistem berkenaan dalam kadar yang singkat untuk pasaran, kami akan melakukannya dalam langkah yang lebih bijak,” ujar Tom.

    Ini adalah susulan kejadian kenderaan autonomous Uber yang terlibat dalam kemalangan, serta sebuah Tesla Model X yang kemalangan dalam satu kejadian lain, yang menyebabkan kematian pemandunya. Tesla berkenaan dilaporkan berada dalam mod Autopilot.

    Tom menambah, Subaru tidak akan terburu-buru untuk menjadi antara yang terawal memperkenalkan teknologi berkenaan dalam kenderaan, kerana teknologi yang belum matang seperti itu akan membahayakan pengguna. “Kami akan lakukannya dalam cara yang berbeza, misalnya cuba untuk mengelakkan perlanggaran terlebih dahulu, agar pemandu dan penumpang selamat dan akan bergerak ke depan dari situ,” tambahnya.

    Bagi Subaru, pendekatan syarikat itu terhadap pemanduan autonomous dapat dilihat melalui sistem tinjauan pemandu baru yang ditawarkan pada model Subaru Forester. Teknologi berkenaan menggabungkan sistem pengesanan wajah yang membenarkan hingga lima setting bagi setiap pemandu dan juga selari dengan sistem EyeSight untuk membantu mengelakkan perlanggaran.

    “Ia akan mengecam wajah anda, dan wajah pemandu yang lain. Jadi, jika anda memandang ke tempat lain dalam beberapa saat ia akan memberi amaran. Tetapi jika anda masih tidak mengalihkan pandangan anda kepada sistem ini, ia akan mula beroperasi bersama sistem EyeSight untuk mengelak apa juga pertembungan. Jadi ia satu sistem yang sangat unik bagi tanda harga sebegitu,” tambah Tom.

    Subaru Forester 2019

     
     
  • Nissan Serena S-Hybrid 2018 – tempahan kini dibuka secara rasmi, dijangka bakal dilancar pada Mei ini

    Nissan Serena S-Hybrid 2018 – tempahan kini dibuka secara rasmi, dijangka bakal dilancar pada Mei ini

    Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd (ETCM) mengumumkan bahawa tempahan Nissan Serena S-Hybrid generasi kelima serba baharu kini sudah dibuka. Malah MPV baharu ini dijangka akan dilancarkan pada Mei 2018.

    Difahamkan, bahagian mekanikal untuk Serena baharu ini tiada perubahan berbanding model terdahulu. Ia masih mengekalkan enjin 2.0 liter (MR20DD) CVTC Berkembar (Kawalan Pemasaan Injap-Pemboleh Ubah Berterusan Berkembar) dipadankan dengan kotak gear XTRONIC CVT dan Kawalan Syif Adaptif (ASC).

    Padanan enjin ini mampu menjana kuasa maksimum 150PS pada 6,000 rpm dan tork 200 Nm pada 4,400rpm. Kegunaan Dual Arm Tensioner (DAT) baharu pula menghasilkan ketegangan rendah pada tali sawat bagi mengurangkan masalah kehilangan kuasa serta meningkatkan efisiensi bahan api.

    Selain itu, MPV ini turut dilengkapi dengan sistem Hibrid Pintar kompak yang didatangkan dengan motor ECO yang dinaik taraf bagi mengawal sistem Berhenti Melahu dan memberi tambahan kuasa tork apabila memecut dari titik pegun. Ia juga berfungsi sebagai unit alternator semasa nyah pecutan untuk memudahkan pemulihan tenaga.

    Klik untuk besarkan

    Penambahbaikan pada enjin kenderaan ini membolehkannya menawarkan penjimatan bahan api yang terbaik dalam kelasnya iaitu 14.2 km per liter (NEDC R101), sekaligus memberikan Serena S-Hybrid serba baharu bertaraf Kenderaan Cekap Tenaga atau EEV.

    Antara elemen yang ditampilkan termasuklah padanan roda 15-inci dan tayar 195/65. Elemen standard termasuk pintu gelangsar dwi-berkuasa, Paparan Pandangan Sekeliling 360-sudut, tujuh USB port dan Pengesan Objek Bergerak Pintar (I-MOD).

    Bagi elemen keselamatan, ia ditawarkan dengan enam beg udara, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), kawalan cengkaman, Bantuan Mula Mendaki (HSA), ABS dengan EBD, bantuan brek dan dua cagak Isofix. Empat warna yang bakal ditawarkan iaitu Brilliant White, Tungsten Silver, Diamond Black dan Cashmere Gold.

    Anda yang berminat, bolehlah mendaftar di pautan khas oleh Nissan Malaysia ini.

    GALERI: Nissan Serena S-Hybrid generasi ke-lima yang dipertontonkan di Malaysia

     
     
  • Maserati Levante Trofeo guna enjin V8 3.8 liter 590 hp

    Maserati Levante Trofeo guna enjin V8 3.8 liter 590 hp

    Maserati masih dianggap sebagai satu jenama kereta sports, tapi untuk model SUV pertama Levante, mereka cuma menggunakan enjin V6. Perkara tersebut kini berubah apabila Maserati memperkenalkan Levante Trofeo yang dikuasakan enjin 3.8 liter twin turbo V8 sama seperti Quattroporte GTS.

    Enjin ini walaubagaimanapun diberi penambah baikan, dengan turbo, head, cam, injap, piston dan penyambung rod baru. Selain daripada itu, rekaan crankcase, crankshaft, pam minyak, tali sawat dan pendawaian juga adalah baru bagi memadankannya dengan sistem pacuan semua roda Q4.

    Hasilnya, kenderaan ini dapat menghasilkan 590 hp pada 6,250 rpm dan 730 Nm tork pada antara 2,250 hingga 5,000 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, dan membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat dan laju maksimum lebih 300 km/j.

    Di sebalik badannya terdapat sistem suspensi double wishbone di hadapan dan multi link di belakang dengan spring udara dan penyerap adaptif Skyhook. Rim pula adalah paling besar yang pernah digunakan pada kenderaan Maserati, iaitu unit 22 inci “Orione”. Menambahkan lagi stabiliti kenderaan ini, ia dilengkapi dengan Integrated Vehicle Control (IVC) – pertama kali pada Levante – yang lebih efektif berbanding sistem kawalan cengkaman biasa.

    Terdapat juga mod pemanduan Corsa baru pada Levante, di mana ia dapat meningkatkan tindak balas enjin, membuka injap ekzos apabila memecut, mempercepat penukaran gear, merendahkan kenderaan, mengeraskan lagi suspensi, mengoptimakan sistem pacuan dan melaras sistem kawalan cengkaman dan stabiliti supaya menjadi lebih sporty.

    Maserati Levante Trofeo guna enjin V8 3.8 liter 590 hp

    Selari dengan prestasi ini, bahagian luar turut dijadikan lebih agresif, dengan di hadapan terdapat gril baru, bonet dengan salur udara, serta penggunaan kemasan gentian karbon pada splitter dan side skirt. Di belakang, bahagian diffuser juga menggunakan gentian karbon dan terdapat empat muncung ekzos. Pemilik diberikan pilihan empat warna untuk angkup brek termasuk merah, biru, hitam dan perak.

    Masuk ke dalam pula, anda akan dapat melihat kemasan kulit asli Pieno Fiore yang boleh didapati dalam warna sama hitam, merah atau coklat, dengan jahitan yang kontras dan logo Trofeo di penyandar kepala. Bahan gentian karbon turut digunakan pada beberapa bahagian termasuk pedal penukar gear. Kelengkapan standard lain pada kenderaan ini adalah lampu utama LED Matrix dan sistem bunyi Bowers & Wilkins.

     
     
  • Kerajaan sedia pertimbangkan tribunal bagi e-hailing

    Kerajaan sedia pertimbangkan tribunal bagi e-hailing

    Bagi membantu menyelesaikan segala pertikaian melibatkan syarikat perkhidmatan e-hailing dan pemandunya, kerajaan bersedia untuk mempertimbang bagi mewujudkan sebuah tribunal berkenaan dengannya.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, setakat ini segala pertikaian yang wujud antara kedua-dua pihak dikendalikan oleh Jabatan Pengurusan Aduan di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), laporan Bernama.

    “SPAD tiada lagi cadangan untuk wujudkan tribunal, ini adalah kerana terdapat satu bahagian di SPAD yang dikenali sebagai CMD yang uruskan semua aduan dan isu berkaitan (pertikaian). Semua aduan yang dimaklumkan akan ditangani secara pentabiran atau ‘case basis’ dan diberi maklum balas mengenai isu ditimbulkan,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

    Ia adalah bagi menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang ingin tahu sekiranya kerajaan boleh mewujudkan tribunal untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

     
     
  • Nissan Serena S-Hybrid – ROI kini dibuka secara rasmi

    Nissan Serena S-Hybrid – ROI kini dibuka secara rasmi

    Registration of interest (ROI) atau pendaftaran untuk yang berminat bagi Nissan Serena S-Hybrid generasi kelima telah pun dibuka, menerusi paparan khas di laman di laman web Nissan Malaysia. MPV baharu ini telah pun dipertontonkan di khalayak ramai buat pertamanya pada minggu lalu, dan kami telah pun memberikan beberapa perincian mengenainya.

    MPV ini menggunakan penjana kuasa yang sama seperti C26 Serena, dengan enjin MR20DD 2.0 liter suntikan-terus CVTC-berkembar empat-silinder petrol yang menawarkan 150 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm.

    Unit ini turut dipadankan dengan Xtronic CVT, yang ditambah dengan motor ECO untuk mengawal fungsi Idling Stop dan berfungsi juga sebagai pengganti semasa nyahpecutan. Motor 1.8 kS/200 A juga membolehkan fungsi “bantuan tork”, menyediakan 50 Nm rangsangan sehingga ke satu saat apabila bergerak dari titik pegun.

    Nissan Serena S-Hybrid – ROI kini dibuka secara rasmi

    Antara elemen yang ditampilkan termasuklah padanan roda 15-inci dan tayar 195/65. Elemen standard termasuk pintu gelangsar dwi-berkuasa, Paparan Pandangan Sekeliling 360-sudut, tujuh USB port dan Pengesan Objek Bergerak Pintar (I-MOD).

    Serena spesifikasi Malaysia tidak akan ditampilkan dengan lapan-tempat duduk – ia sah hanya ada tujuh-tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-3 (dengan tempat duduk kapten di barisan kedua). Apa yang kami dengar, akan ada lebih dari satu varian Serena ini yang akan ditawarkan untuk pasaran kita, dijangka tiga varian tetapi ia hanya akan disahkan nanti.

    Bagi elemen keselamatan, ia ditawarkan dengan enam beg udara, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), kawalan cengkaman, Bantuan Mula Mendaki (HSA), ABS dengan EBD, bantuan brek dan dua cagak Isofix. Empat warna yang bakal ditawarkan iaitu Brilliant White, Tungsten Silver, Diamond Black dan Cashmere Gold.

     
     
  • SUV pertama Proton dari Geely Boyue – undian nama oleh netizen diperlukan, ‘Bayu’ tiada dalam senarai

    SUV pertama Proton dari Geely  Boyue – undian nama oleh netizen diperlukan, ‘Bayu’ tiada dalam senarai

    Debaran menanti ketibaan model SUV pertama dari Proton kini kian terasa apabila pengeluar automotif nasional berkenaan mengumumkan mereka memerlukan undian dari orang awam untuk nama yang bakal diberikan bagi model pertama yang dihasilkan bersama rakan strategiknya dari China iaitu Geely.

    Mereka yang berminat untuk membuat undian berkenaan boleh melakukannya pada laman khas yang direka pada PAUTAN INI. Walau bagaimanapun, nama ‘Bayu‘ yang tersebar sebelum ini nampaknya langsung tidak tersenarai, dan netizen hanya boleh memilih antara empat nama yang terdiri dari Proton X7, PX7, X70, atau X700.

    Menurut berberapa laporan dan juga kenyataan dari Proton sendiri, SUV tersebut akan membuat kemunculan sulungnya pada akhir tahun ini. Ia akan diasaskan dari SUV Geely Bouye (atau Geely Emgrand X7 pada berberapa pasaran luar China), yang di prebiu buat pertama kali dalam bentuk pemanduan sebelah kiri pada Jun tahun lalu.

    Kelibat Boyue yang diuji oleh Proton di atas jalan raya Malaysia sudahpun kelihatan berberapa kali, namun ia masih lagi dalam bentuk pemanduan sebelah kiri. Spesifikasi sebenar model yang akan dihasilkan oleh Proton ini juga masih belum diumumkan. Gambar versi pemanduan sebelah kanan SUV berkenaan juga telah tersebar sebelum ini, tetapi jika diperhatikan, ia hanyalah imej palsu yang telah di edit.

    Boyue merupakan sebuah SUV yang direka oleh bekas pereka Volvo, Peter Horbury. Ia merupakan SUV segmen-C dengan bentangan lima-tempat duduk, berukuran 4.5 meter panjang.

    Untuk pasaran China, Boyue dijana dengan berberapa pilihan enjin termasuk 2.4 liter NA berkuasa 162 hp/210 Nm dan juga versi 1.8 liter turbo berkuasa 163 hp/250 Nm. Enjin-enjin tersebut dipadankan dengan sama ada transmisi enam-kelajuan manual atau automatik, bergantung pada pilihan enjin.

    Model pasaran China juga diberikan pelbagai ciri menarik antaranya skrin sesentuh lapan-inci dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto dan juga kelengkapan keselamatan aktif seperti amaran keluar lorong serta cruise control adaptif. Wakil kami telah pun menguji SUV ini di China tahun lalu, dan anda boleh baca ulasannya DI SINI.

    GALERI: Geely Boyue facelift 2018 pasaran China

    GALERI: Penampilan sulung Geely Boyue di Malaysia 2017

     
     
  • Bangkok 2018: Toyota Hilux Revo Rocco lebih garang

    Bangkok 2018: Toyota Hilux Revo Rocco lebih garang

    Toyota Hilux telah menerima peningkatan di Thailand pada November lalu. Trak pikap generasi ke-lapan yang disemak semula ini juga telah tiba di Malaysia, tetapi foto ini merupakan antara model baharu dalam barisan Hilux Revo di Thai, yang diberi nama Rocco.

    Nama Rocco yang memberikan gambaran kelasakannya, sesuai dengan tema yang digunakan. Dua contoh di sini – Smart Cab dan Double Cab – dengan padanan gril hitam berkilat dan kelabu, bampar belakang kelabu, kekemasan gerbang roda hitam, roda 18-inci hitam dengan tayar untuk kegunaan semua jalan dan tulisan putih, palang sport, bed lining, grafik istimewa Rocco dan kekemasan hitam dengan metalik hitam.

    Pertambahan bagi facelift ini, dengan di tengah gril haksogan yang besar yang diinspirasikan dari trak Toyota Tacoma bagi pasaran US. Bahagian gril tersebut ditampilkan dengan bampar yang direka semula bersama corong udara tengah dan lampu kabus baharu. Walau bagaimana pun, tiada perubahan bagi bahagian luara, kabin dan elemen yang ditampilkan masih kekal.

    Bangkok 2018: Toyota Hilux Revo Rocco lebih garang

    Enjin 2GD-FTV 2.4 liter turbodiesel kekal menghamburkan kuasa 150 hp pada 3,400 rpm dan tork 400 Nm dari 1,600 dan 2,000 rpm dengan padanan transmisi automatik enam-kelajuan (343 Nm antara 1,400 dan 2,800 rpm bagi manual lima-kelajuan).

    Untuk enjin berkapasiti lebih besar 1GD-FTV 2.8 liter juga kekal dengan kuasa 177 hp pada 3,400 rpm dan tork 450 Nm antara 1,600 dan 2,400 rpm (420 Nm antara 1,400 dan 2,600 rpm bagi manual enam-kelajuan). Ia juga hadir dengan enjin petrol 2.7 liter dengan 166 hp/245 Nm di Thailand.

    Di Malaysia, Hilux facelift dihadirkan dengan L-Edition, yang ditawarkan varian 2.4L AT 4×4 atau 2.8L AT 4×4. Senarai kelengkapannya tidak banyak berubah, melainkan ditampilkan dengan elemen tambahan termasuk kekemasan hitam berkilat (berbanding kekemasan perak) dan tempat duduk balutan kulit lembaran berlubang. Harganya ditawarkan pada RM119,300 (OTR tanpa insurans) untuk 2.4L dan RM133,900 untuk 2.8L.

    GALERI: Toyota Hilux L-Edition 2.4L 4×4

     
     
  • Driven Web Series 2018: Keluarga hatchback di Malaysia – Perodua Myvi vs Proton Iriz vs Kia Picanto!

    Driven Web Series kini kembali, dibawakan khas oleh Petronas Primax! Pastinya ini merupakan episod yang anda nantikan, menampilkan Perodua Myvi 2018! Kami membandingkan model kereta paling laris di Malaysia ini dengan dua persaing terdekatnya iaitu Proton Iriz yang dipertingkatkan dan Kia Picanto baharu.

    Tiada apa lagi yang hendak diperkatakan kerana semua pasal Myvi terkini ini telah pun dibongkarkan. Menduduki carta teratas dalam jualan, di mana ia tampil dengan imej yang diperbaharui, elemen yang lebih maju dan juga keupayaannya yang wajar menerima pujian. Model tertinggi 1.5 Advance yang dipaparkan di sini, lengkap dengan pakej keselamatan aktif, berharga RM55,300.

    Pada awalnya, Proton seakan mahu memberikan persaingan sengit buat Myvi, namun sayangnya jualan Iriz kurang memberangsangkan. Ia mengambil masa tiga tahun untuk jenama ini mempertahankannya, dan kini, model yang dipertingkatkan telah diperkenalkan. Adakah ia mampu diletakkan sebagai pilihan yang relevan bagi persaingnya? Untuk model tertinggi 1.6 Premium, hatchback ini berharga RM56,950.

    Bersaing dengan dua model tempatan ialah Kia Picanto baharu. Ya, model segmen-A ini bersaing dengan dua hatchback dari segmen-B, tetapi ia memberikan alternatif persaingan terbaik untuk kedua-dua model buatan Malaysia tersebut. Jika anda mencari kereta baharu di bawah bajet RM50k, Picanto mungkin pilihan yang berbaloi dan harganya sekitar RM49,888.

    Jadi, mana satu yang sepatutnya menjadi pilihan anda? Kami membandingkan ketiga-tiga model tersebut berdasarkan spesifikasi, prestasi, pengendalian, praktikaliti, kualiti dan penjimatan bahan apinya untuk ujian kumpulan komprehensif ini. Selamat menonton!

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 Advance 2018

    GALERI: Proton Iriz 1.6 Premium 2017

    GALERI: Kia Picanto 1.2 EX 2018

     
     
  • Volkswagen Atlas Cross Sport Concept, Atlas Tanoak

    Volkswagen Atlas Cross Sport Concept, Atlas Tanoak

    Semasa New York International Auto Show, Volkswagen telah menunjukkan dua model konsep yang membawa nama Atlas iaitu satu SUV lima tempat duduk, Atlas Sport Concept dan satu lagi trak pikap Atlas Tanoak. Kedua-duanya dibina atas platform MQB.

    Bagi model Atlas Sport Concept, ia merupakan variasi kepada Atlas produksi tujuh tempat duduk yang baru dilancarkan dan rekaannya masih mempunyai persamaan. Namun semestinya, sebagai sebuah model konsep, ia lebih moden dengan lampu LED hadapan yang bersambung dengan gril dan rim sebesar 22 inci.

    Daripada aspek dimensi, model ini mempunyai ukuran 4,846 mm panjang, 2,029 mm lebar dan 1,734 mm tinggi. Sebagai perbandingan, Atlas tujuh tempat duduk pula berukuran 5,037 mm panjang, 1,979 mm lebar dan 1,768 mm tinggi. Bahagian dalam model konsep ini juga dilengkapi dengan ciri lebih berteknologi seperti tiga skrin paparan informasi.

    Atlas Sport Concept menggunakan enjin sama seperti Atlas iaitu unit V6 FSI 3.6 liter yang mampu menghasilkan 276 hp dan 361 Nm tork. Kemudiannya, model konsep ini turut dibantu motor elektrik di hadapan (54 hp dan 220 Nm) dan belakang (114 hp dan 270 Nm) yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 18 kWh. Secara keseluruhan, kuasanya menjadi 355 hp dan 670 Nm.

    Alternatif lain yang diberi adalah unit enjin hibrid ringkas, yang menggunakan bateri lebih kecil, iaitu 2 kWh. Kuasa yang mampu dihasilkan oleh model ini adalah 310 hp. Atlas Sport Concept akan dijadikan sebagai sebuah model produksi dan dirancang berada di pasaran Amerika Syarikat menjelang tahun 2019.

    Sementara itu, satu lagi model konsep yang ditunjukkan oleh Volkswagen, iaitu trak pikap Atlas Tanoak hanya dihasilkan untuk pameran. Ia dihasilkan untuk melihat reaksi orang ramai terhadap kenderaan jenis tersebut dan merupakan trak pertama yang menggunakan platform MQB.

    Rekaan luarnya menyerupai Atlas Sport Concept, dengan adanya lampu utama LED yang bersambung dengan gril, tetapi ditambah dengan bampar yang lebih ranggi berserta tulisan Atlas, manakala di belakang juga mempunyai pencahayaan lampu LED yang bersambung di tengah.

    Trak ini mencatat ukuran 5,438 mm panjang, 2,030 mm lebar and 1,844 mm tinggi, sekaligus meletakkannya dalam kategori trak sederhana di Amerika Syarikat. Bahagian ruang barangannya pula berukuran 1,627 mm panjang, 1,450 lebar dan 530 mm tinggi.

    Masuk ke bahagian dalam, trak konsep ini masih menggunakan rekaan asas daripada Atlas, tetapi diberikan banyak perubahan seperti penambahan jalur lampu dari tepi pintu dan bersambung di sepanjang papan pemuka. Untuk kuasa, kenderaan ini dipacu enjin V6 TSI 3.6 liter 280 PS dan 350 Nm tork, dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem cengkaman semua roda 4Motion.

    GALERI: Volkswagen Atlas Cross Sport Concept


    GALERI: Volkswagen Atlas Tanoak Concept

     
     
  • Renault Koleos Signature 2WD di Malaysia – RM199k

    Renault Koleos Signature 2WD di Malaysia – RM199k

    TC Euro kini telah mengumumkan ketibaan varian baru, Renault Koleos Signature untuk pasaran Malaysia. Dijual pada harga RM198,800, SUV pacuan dua roda hadapan itu berada RM10k lebih murah berbanding model spesifikasi paling tinggi 4WD yang berharga RM209,000.

    Ia juga berada pada penawaran yang lebih tinggi berbanding model 2WD paling asas, dengan tanda harga RM16k lebih mahal. Bagaimanapun, varian Signature ini dilengkapi dengan lebih banyak kelengkapan. Dengan imej lebih premium, apa sebenarnya tambahan yang diberikan?

    Antaranya ialah lampu utama Pure Vision LED sepenuhnya, rim 18-inci aloi, skrin sentuh 8.7-inci berwarna, paparan panel instrumen TFT tujuh-inci, material kemasan kulit, tempat duduk pemandu kuasa elektrik (dengan larasan lumdar), lapan pembesar suara Arkamys 3D dan kawalan pendingin hawa dwi zon dengan corong di belakang.

    Selain itu, varian ini juga dilengkapi dengan bumbung kaca, tempat duduk kulit dengan jahitan kontras dan sistem infotainmen R-Link 2 dengan sokongan kepada Apple CarPlay dan Android Auto. Ia turut dilengkapi dengan tailgate kuasa elektrik – model asas 2WD tidak ada ciri berkenaan.

    Bagaimanapun, dari sudut prestasi, tiada apa yang berubah. Enjin petrol 2.5 liter QR25DE empat-silinder yang sama masih digunakan, dengan janaan 170 PS pada 6,000 rpm dan 226 Nm pada 4,400 rpm dan digandingkan dengan transmisi X-Tronic CVT automatik.

    Dari segi ciri keselamatan, Koleos Signature dilengkapi enam beg udara, tapak ISOFIX, ESP, kawalan cengkaman, ABS (dengan EBD dan BA), sensor parkir sekeliling kenderaan, sistem amaran titik buta, kamera pandang belakang dan bantuan mula mendaki – semua ciri ini turut ada pada model 2WD asas.

    Seperti model lain Renault, Koleos Signature datang dengan jaminan pengeluar lima-tahun tanpa had perbatuan. Pilihan warna terdiri daripada Marron Red, Universal White, Meissen Blue, Grey Metallic dan Black Metallic.

     
     
  • Litar di Jengka bakal siap, setiap negeri akan mempunyai litar perlumbaan selepas ini – Khairy

    Litar di Jengka bakal siap, setiap negeri akan mempunyai litar perlumbaan selepas ini – Khairy

    Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyatakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan semua negeri di negara ini memiliki sekurang-kurangnya sebuah litar perlumbaan bagi memperkasakan sukan permotoran dalam negara untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, lapor BH Online.

    Beliau turut memberitahu bahawa sebuah litar baharu akan dibina di Jengka dalam tempoh terdekat dengan jarak sepanjang 2.24 kilometer dan memiliki kapasiti 2,000 penonton. Menerusi litar tersebut, ia diharapkan dapat merancakkan industri sukan pemotoran negara kelak.

    “Dengan adanya litar lumba di Tangkak dan di Jengka nanti, kita akan dapat melihat dengan lebih banyak lagi litar perlumbaan khususnya Cub Prix Malaysia.

    “Hari ini kita ada litar Pasir Gudang yang sedang dinaik taraf. Kita ada litar Gong Badak di Terengganu, ada litar Speedway Elite, ada litar Air Keroh, litar UNIMAP (Universiti Malaysia Perlis), litar Sepang dan tak lama nanti akan ada litar di Sungai Petani dan di Pahang,” katanya pada majlis perasmian Tangkak Racing Track dan Kejuaraan Cub Prix Malaysia 25 tahun di Litar Lumba Tangkak di Gersik semalam.

    Litar di Jengka bakal siap, setiap negeri akan mempunyai litar perlumbaan selepas ini – Khairy

    Litar Lumba Tangkak yang bernilai RM14.4 juta dengan jarak perlumbaan sejauh 1.2 kilometer berkenaan adalah litar pertama dibina oleh KBS. “Negeri mana yang belum ada litar (perlumbaan) lagi, datang jumpa saya. Kita akan bina litar untuk anak muda Malaysia,” tegas Khairy lagi.

    Beliau turut menyatakan, KBS meraikan sambutan ke-25 Cub Prix Malaysia tahun ini kerana ia menjadi tempat melahirkan jaguh sukan permotoran di Malaysia.

    “Cub Prix Malaysia inilah yang melahirkan sebahagian besar juara kita. Di sini juga kita mencungkil bakat muda dan di sini juga kita mengasuh bakat baharu yang akan menjulang dan mengharumkan nama negara pada masa akan datang.

    “Saya percaya dan yakin anak muda yang terbabit dalam Cub Prix Malaysia satu hari nanti akan mengambil alih tempat jaguh seperti Hafiz Syahrin Abdullah dan MotoGP selain nama-nama besar seperti Shahrol Yuzi Ahmad Zaini, Zulfahmi Khairuddin dan Khairul Idham Pawi,” katanya.

    Litar di Jengka bakal siap, setiap negeri akan mempunyai litar perlumbaan selepas ini – Khairy

    Menteri tersebut turut berharap agar semua jaguh negara berkenaan akan menjadi contoh kepada anak-anak muda yang ingin menjadi perlumba sukan permotoran ini dan bukannya beraksi di jalanan, dan sebab itulah beliau mahu memastikan selagi ada keinginan berlumba dari golongan ini, tidak ada alasan lagi untuk tidak ada litar perlumbaan.

    “Saya tak nak dengar alasan tak ada tempat untuk berlumba. Itu saya akan pastikan segala perancangan dapat kita laksanakan untuk ada sekurang-kurangnya satu litar perlumbaan di setiap negeri.

    “Kita berharap Malaysia juga akan dikenali sebagai hab sukan permotoran di Asia Tenggara suatu hari nanti dan juga di peringkat Asia,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025