Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Audi A6 2019 didedah dengan sistem hibrid ringkas

    Audi A6 2019 didedah dengan sistem hibrid ringkas

    Model generasi kelapan (C8) Audi A6 didedahkan secara rasmi hari ini dengan rekaan serba baru dan pelbagai teknologi maju yang diambil daripada model lebih besar seperti A8 dan A7 Sportback. A6 ini dijangka mula keluar daripada kilang Audi di Neckarsulm dan dilancarkan di Jerman pada bulan Jun tahun ini.

    Pandang sekali imbas, ia mungkin kelihatan seperti A8, tetapi sebenarnya terdapat beberapa bahagian yang dapat membezakan dua model ini. Pertamanya, walaupun gril Singleframe yang lebar dan rendah hampir sama, lampu utamanya pula dibentuk supaya lebih menyerupai A4 B9. Audi menawarkan tiga pilihan sistem lampu, dengan yang paling tinggi adalah sistem Matrix LED.

    Bahagian lain yang berbeza adalah bampar hadapan yang lebih agresif, dengan bukaan udara di bucu lebih besar, yang merupakan sebahagian daripada barangan tambahan dalam pakej S Line. Di bahagian belakang, lampunya disambung di bahagian tengah dengan jalur krom, sama seperti A8 tetapi tiada lampu LED di atasnya. Grafik di dalam lampu itu adalah baru.

    Audi A6 2019 didedah dengan sistem hibrid ringkas

    A6 baru ini mempunyai dimensi 4,939 mm panjang, dan jika dibandingkan dengan model sebelum ini, ia adalah 7 mm lebih panjang. Lebarnya pula adalah lebih 12 mm, menjadi 1,886 mm, manakala tinggi pula meningkat 2 mm menjadi 1,457 mm. Jarak roda juga bertambah 12 mm menjadi 2,924 mm.

    Menurut Audi, perubahan dimensi ini membantu menjadikan ruang dalam A6 ini lebih luas, dengan menawarkan lebih ruang kaki, kepala dan bahu berbanding sebelum ini. Ruang barangan di belakang walaubagaimanapun tidak berubah, iaitu 530 liter tetapi bukaan untuk memasukkan barang lebih lebar.

    Untuk bahagian dalam, kebanyakannya mengambil rekaan daripada A7 Sportback, dengan terdapat beberapa skrin paparan. Untuk pemandu, di hadapan terdapat kokpit virtual 12.3 inci, dan mereka boleh mengubah informasi yang mahu dipaparkan. Turut boleh didapati adalah head-up display.

    Audi A6 2019 didedah dengan sistem hibrid ringkas

    Di bahagian tengah papan pemuka terdapat dua skrin sesentuh yang boleh memberikan akses kepada sistem kenderaan. Unit di atas yang bersaiz 10.1 inci boleh digunakan untuk sistem informasi dan hiburan MMI Mavigation Plus (standard adalah MMI Navigation), manakala unit di bawah bersaiz 8.6 inci mengawal pendingin hawa, fungsi kemudahan lain serta input teks.

    Pembeli juga boleh memilih dua pakej lampu bahagian dalam iaitu pakej lampu suasana yang boleh menghasilkan pencahayaan pada papan pemuka, “menjadikannya seperti terapung”, manakala satu lagi pakej iaitu contour menyediakan lebih 30 pilihan warna pencahayaan.

    Senarai kelengkapan pada A6 baru ini juga meliputi pelbagai sistem bantuan pemandu termasuk parking pilot dan garage pilot yang boleh mengendalikan kenderaan secara sendiri apabila keluar daripada petak letak kereta atau garaj. Ini adalah sebahagian daripada pakej Park Assist, iaitu satu daripada tiga pakej yang ditawarkan. Dua lagi pakej adalah City dan Tour.

    Audi A6 2019 didedah dengan sistem hibrid ringkas

    Pakej Tour Assist pula datang dengan Adaptive Cruise Assist, yang melengkapi Adaptive Cruise Control dengan teknologi lane-keeping. Sistem ini dikawal oleh satu pengawal zFAS, dan bergantung kepada barangannya, satu set pengesan yang lengkap boleh mempunyai sehingga lima pengesan radar, lima kamera, 12 pengesan ultrasonik dan pengimbas laser.

    Pada bahagian mekanikal, Audi menawarkan dua pilihan enjin untuk A6 ini, iaitu satu diesel dan satu petrol – kedua-duanya datang dengan sistem pacuan semua roda Quattro secara standard. Bagi yang petrol, ia adalah unit 3.0 liter TFSI V6, dengan kuasa 335 hp dan 500 Nm tork, dipadankan bersama transmisi automatik S-Tronic tujuh kelajuan. Pecutan 0-100 km/j mampu dilakukan dalam masa 5.1 saat dan laju maksimum pula adalah 250 km/j.

    Unit diesel pula adalah 3.0 liter TDI V6 yang boleh menghasilkan sehingga 282 hp dan 620 Nm tork, apabila dipadankan bersama kotak gear automatik tiptronic lapan kelajuan. Semua enjin ini menampilkan teknologi hibrid ringkas 48V, di mana belt alternator starter (BAS) bekerjasama dengan bateri lithium ion untuk membenarkan kereta meluncur pada kelajuan antara 55 hingga 160 km/j.

    Audi A6 2019 didedah dengan sistem hibrid ringkas

    Kereta ini juga mempunyai fungsi start/stop yang boleh aktif pada kelajuan sehingga 22 km/j, dan enjin dihidupkan waktu mula bergerak apabila kenderaan hadapan dikesan sudah mula bergerak. Semasa memperlahankan kenderaan, sistem BAS dapat mengambil semula kuasa sehingga 12 kW dan ia dikatakan dapat membantu penjimatan minyak sehingga 0.7 l/100 km.

    Untuk bahagian suspensi, pelanggan boleh memilih empat tetapan iaitu hidraulik biasa dengan spring besi, sports, penyerap kawalan elektrik ataupun suspensi udara adaptif. Terdapat juga sistem all-wheel steering untuk pengendalian lebih baik dan bergantung kepada kelajuan, nisbah pusingan boleh jadi antara 9.5:1 dan 16.5:1.

     
     
  • Honda Civic Type R FK8 akan ke BTCC 2018

    Honda Civic Type R FK8 akan ke BTCC 2018

    Honda Halfords Yuasa Racing akan meneruskan cabaran di kejohanan Touring Car British (BTCC) tahun ini dengan jentera baharu Honda Civic Type R FK8, menggantikan jentera Civic Type R FK2R tahun lalu. Jentera baharu ini telah membuat penampilan sulung di litar Parcmotor Castellolí, Barcelona, Sepanyol ketika sesi ujian shakedown pertamanya.

    Bagi musim BTCC yang bakal bermula dengan pusingan pertama 8 April ini di litar Brands Hatch, juara tiga-kali Matt Neal masih lagi kekal memandu untuk Halfords Yuasa Racing. Namun rakan sepasukan musim lalu, Gordon Shedden yang juga juara BTCC sebanyak tiga kali meninggalkan kejuaraan ini untuk berlumba di piala Touring Car dunia, memandu Audi RS3.

    Tempat Shedden bakal digantikan oleh seorang muka baharu dalam BTCC iaitu Dan Cammish. Pelumba British tersebut sebelum ini berlumba dalam kejohanan Porsche Supercup dan juga juara dua-kali untuk kelas Carrera Cup.

    Honda Civic Type R FK8 akan ke BTCC 2018

    “Ia merupakan usaha yang besar oleh pasukan setelah berakhirnya musim lalu untuk beralih ke Honda Civic Type R baharu ini dan untuk melihat hasilnya merupakan perasaan yang hebat,” kata pengurus pasukan, James Rodgers. “Kereta ini memberikan platform cemerlang untuk dikerjakan dan kami pasti ia akan membuktikan pakej yang berpotensi apabila ia mula berlumba di litar dengan bersungguh-sungguh di Brands Hatch nanti.”

    “Jika kereta ini laju seperti rupanya jadi kami akan berada dalam keadaan yang sangat baik untuk musim ini,” kata Matt Neal pula. Manakala Cammish pula menyatakan keterujaannya untuk musim ini dengan berkata, “duduk di kokpit untuk kali pertama akan menjadi detik yang membanggakan buat saya.”

    Tahun lalu, gelaran juara untuk kategori pemandu dibolot oleh Ashley Sutton dari pasukan Adrian Flux Subaru Racing, memandu jentera wagon Subaru Levorg GT. Manakala Shedden dan Neal pula terpaksa berpuas hati di tempat keempat dan ketujuh. Dengan jentera baharu ini, pasukan Halfords Yuasa Racing berharap mereka bakal memperbaiki keputusan berkenaan untuk musim 2018.

     
     
  • Lexus UX terbaru kini ditunjukkan dalam video rasmi

    Lexus UX terbaru kini ditunjukkan dalam video rasmi

    Ketika ini, Lexus mempunyai beberapa barisan model SUV dengan ciri mewah yang ditawarkan dalam pasaran ketika ini. Contohnya Lexus NX, RX, RX L, GX dan LX. Terbaru, cabang kenderaan mewah Toyota ini bagi perhatian pula terhadap model yang lebih asas dan hadirlah Lexus UX, crossover kompak pertama jenama itu.

    Gambar awal bagi model berkenaan telah pun didedahkan, sebelum penampilan sulungnya diperingkat global yang dijangka akan diadakan ketika Geneva Motor Show bulan depan. Inilah wajah pencabar terbaru kepada model-model seperti BMW X1, Mercedes-Benz GLA dan Audi Q3.

    Walaupun ia nampak lebih ringkas dan berbeza berbanding UX Concept yang ditunjukkan pada 2016, beberapa pendekatan rekaan masih lagi dikekalkan. Ini termasuk bahagian fender, garis badan ditengah serta kemasan pada lengkungan tayar yang digunakan.

    Rekaan gril spindle Lexus masih digunakan, dengan versi baru bagi DRL LED dilanjutkan ke bahagian atas lampu utama. Walaupun belum ada gambar bahagian belakang, video yang ada mencadagkan rekaan lampunya berbentuk-U, sama seperti pada model konsep sebelum ini.

    Video yang sama juga mendedahkan bahagian dalamannya, yang menggunakan pendekatan sama seperti model-model Lexus yang lain. Ini termasuklah instrumen kluster digital, serta jam analog dan skrin infotainmen yang lebar.

    Ia dijangka akan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) versi premium, UX turut akan ditawarkan dalam varian hibrid, kemungkinan besar menggunakan sistem yang baru diperkenalkan – Toyota Hybrid System II (THS II). Lexus juga sudah patenkan nama UX 200 dan UX 250 di Amerika Syarikat; mungkin varian-varian berkenaan juga akan ditawarkan.

     
     
  • Kawasaki Z900 RS dilancar di M’sia – dari RM67,900

    Kawasaki Z900 RS dilancar di M’sia – dari RM67,900

    Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB) telah melancarkan sebuah model retro moden untuk pasaran Malaysia iaitu Z900 RS dalam dua variasi – Standard (warna hitam) pada pada harga RM67,900 dan SE (warna oren) pada harga RM69,900. Harga ini adalah termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan kos pendaftaran lain.

    Z900 RS menggunakan enjin yang sama seperti model naked Z900, iaitu unit empat silinder 948 cc, tetapi ditala semula untuk memberikan kuasa sedikit kurang, iaitu maksimum 111 hp pada 8,500 rpm dan 98.5 Nm tork pada 6,500 rpm. Transmisi pula adalah unit enam kelajuan dengan klac jenis assist and slipper.

    Walaupun enjin adalah sama, kerangka Z900 RS ini adalah berlainan dengan Z900 bagi menempatkan tangki serta bentuk tempat duduk unik baginya. Baru pada motosikal ini adalah angkup brek hadapan jenis radial bersama ABS (set berkembar cakera 300 mm dan angkup monobloc empat piston) dan sistem kawalan cengkaman KTRC dua mod. Untuk brek belakang, ia masih menggunakan cakera 250 mm dan angkup dua piston.

    Sesuai dengan penampilan klasiknya, bahagian meter turut direka dengan dua bahagian analog bulat (untuk laju dan rpm), manakala di tengahnya terdapat skrin LCD untuk informasi lain. Bahagian tempat duduk pula datang dalam satu unit manakala suspensi terdiri daripada fork 41 mm yang boleh dilaras sepenuhnya di hadapan dan penyerap gas di belakang. Berat motosikal ini adalah 215 kg dan ia datang dengan rim 17 inci dan tangki 17 liter.

    Semasa majlis pelancaran motosikal ini, pengerusi eksekutif Kawasaki Motors Malaysia, Ahmad Faez Yahya memberitahu pasaran motosikal secara amnya di Malaysia pada bulan Januari tahun ini telah menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tahun lalu, dan untuk keseluruhan tahun, jumlah yang hampir seperti tahun lepas disasar, iaitu 496,000 unit.

     
     
  • Pengguna boleh bayar kompaun dengan ‘Scan & Pay Compound’ menerusi aplikasi Flexi Parking – MBSA

    Pengguna boleh bayar kompaun dengan ‘Scan & Pay Compound’ menerusi aplikasi Flexi Parking – MBSA

    Bagi memudahkan orang ramai membayar kompaun parkir, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah memperkenalkan kaedah pembayaran ‘Scan & Pay Compound’ melalui aplikasi Flexi Parking.

    Bagi menggunakan kemudahan ‘Scan & Pay Compound’, orang ramai perlu terlebih dahulu memuat turun Aplikasi Flexi Parking. Para pengguna juga perlu membeli kredit bagi aplikasi berkenaan sebelum dapat membuat pembayaran.

    Melalui kaedah ‘Scan & Pay Compound’ ini, pengguna hanya perlu mengimbas (scan) kod bar di atas kertas kompaun yang telah diterima dan jumlah pembayaran tersebut akan ditolak daripada kredit mereka di dalam akaun Flexi Parking.

    Aplikasi Flexi Parking adalah sistem bayaran tempat letak kereta pintar di mana penggunaan telefon pintar sebagai kaedah alternatif selain daripada menggunakan kupon gores dan pas bulanan. Aplikasi Flexi Parking boleh dimuat turun secara percuma di Android Play Store atau Apple Apps Store dan ianya juga berfungsi secara dwi bahasa.

    Majlis Pelancaran ‘Scan & Pay Compound’ telah disempurnakan oleh Dato’ Haji Ahmad Zaharin bin Mohd Saad, Datuk Bandar Shah Alam, Tengku Dato’ Taha Alfashni bin Tengku Abdul Murad Shah Al-Haj , Pengarah Eksekutif Suasa Efektif (M) Sdn Bhd, Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.

    Selain MBSA, tiga lagi majlis perbandaran tempatan iaitu Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, dan Majlis Perbandaran Sepang turut menggunakan aplikasi ini bagi tujuan yang sama.

     
     
  • Nissan Terra akan masuk pasaran Thailand tahun ini

    Nissan Terra akan masuk pasaran Thailand tahun ini

    Gambar rasmi pertama Nissan Terra sudah pun kita lihat sebelum ini. Khabarnya model berkenaan akan membuat penampilan pertama di China tak lama lagi. Nissan Terra merupakan sebuah SUV tujuh tempat duduk yang dibangun menggunakan asas daripada trak pikap Navara.

    Kiranya boleh bayangkan macam Isuzu MU-X yang gunakan asas D-Max, dan Toyota Fortuner yang gunakan asas Hilux. Dan, jenis dan model kenderaan yang dinyatakan ini tidaklah asing lagi, terutama untuk pasaran Thailand dan ASEAN.

    Untuk itu, menurut sebuah laporan Bangkok Post, Terra sah akan turut diperkenalkan dipasaran di sana. Bila? Dijangka akan berada di bilik pameran di negara itu pada separuh kedua tahun ini, sejurus selepas penampilan pertamanya yang dijangka akan dilakukan ketika Beijing Auto Show.

    Nissan Terra berkongsi sistem janaan kuasa yang sama dengan Navara NP300, yang menggunakan YD25DDTi 2.5 liter turbodiesel dengan kotak gear automatik tujuh-kelajuan atau manual enam-kelajuan. Ada satu lagi piihan, enjin 2.3 liter diesel (untuk pasaran Barat) sekiranya Nissan ingin tawarkan sekali.

    Nampak gaya SUV ini macam akan turut dibawa masuk untuk pasaran Malaysia. Bila agaknya kita akan terima Nissan Terra?

     
     
  • Audi bakal lancarkan sistem pengimbas tol bina-dalam bagi model-model untuk pasaran Amerika Syarikat

    Audi bakal lancarkan sistem pengimbas tol bina-dalam bagi model-model untuk pasaran Amerika Syarikat

    Audi mengumumkan bahawa tahun ini mereka akan memperkenalkan pengimbas tol bina dalam pada model-model keluarannya yang dijual pada pasaran Amerika Syarikat, yang membolehkan pemandu melalui tol tanpa memerlukan apa-apa peranti tambahan digunakan.

    Teknologi tersebut akan dipadankan pada cermin pandang belakang, dan ia boleh dikawal menggunakan sistem infotainmen kereta berkenaan. Menurut Audi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, sistem yang bakal dipasang berkenaan boleh digunakan pada pelbagai tol di seluruh Amerika Syarikat dan juga sebahagian jalan di Kanada serta Mexico.

    Sistem ini digelar sebagai modul tol bersepadu (ITM) dan ia dibangunkan oleh Gentex Corporation, iaitu syarikat yang membekalkan cermin pandang belakang dengan sistem anti-silau automatik yang dipadankan pada semua model keluaran Audi. Sistem ini bakal dipadankan buat pertama kali pada model A8 generasi baharu.

    “Solusi pembayaran tol berasaskan cermin ini akan memberikan keselesaan untuk melalui jalan-jalan bertol dalam negara dalam masa yang sama mengurangkan serabut pada cermin hadapan serta keperluan untuk menguruskan pelbagai akaun tol,” kata Audi dalam kenyataan tersebut.

    “Pemandu boleh melaras model tersebut menerusi sistem MMI kenderaan – termasuk kawalan on/off pada ITM serta menukar larasan pengguna untuk laluan HOV/HOT.” tambah kenyataan itu lagi.

    Dengar macam canggih, tapi di Malaysia Perodua Myvi dah ada pengimbas Touch n’ Go bina-dalam macam sistem pada Audi ni kan?

     
     
  • Nissan Leaf modifikasi khas inspirasi filem Disney

    Nissan Leaf modifikasi khas inspirasi filem Disney

    Sebagai sebahagian daripada kerjasama dengan pengeluar filem Walt Disney Studios Motion Pictures, Nissan telah mengeluarkan tiga buah model Leaf yang diubah suai dengan inspirasi daripada filem animasi A Wrinkle in Time. Tiga Leaf istimewa ini hanya untuk pameran, dan bukannya untuk dijual.

    Pengubahsuaian yang dilakukan pada Leaf ini dilaksanakan oleh syarikat pembuat kenderaan khas terkenal Hollywood iaitu Vehicle Effects. Teknologi LED maju digunakan pada kenderaan ini dan ia dapat memberikan kesan grafik lampu menarik seperti dalam filem tersebut.

    Tiga Leaf yang diubah suai ini dipadankan dengan tiga karekter yang terdapat di dalam filem tersebut iaitu Mrs. Which, Mrs. Who dan Mrs. Whatsit. Leaf yang berwarna hitam menggunakan elemen rekaan seperti baju Mrs. Which, dengan warna metalik dan krom. Di belakangnya pula terdapat skrin yang boleh memainkan video.

    Satu lagi Leaf yang mempunyai corak hadapan seperti batik adalah untuk Mrs. Who, dan juga mendapat inspirasi daripada pakaian watak itu – corak bunga dan bahagian belakang warna biru. Unit terakhir yang lebih kepada warna utama putih adalah inspirasi daripada watak Mrs. Whatsit.

    Bukan setakat grafik yang meriah, tiga Leaf ini juga mempunyai skrin sensitif kepada sentuhan yang meliputi bahagian cermin hadapan dan tepi, yang mampu menghasilkan pertunjukan lampu dengan kesan “wrinkle” seperti dalam filem tersebut. Selain itu, kenderaan ini juga mempunyai kamera pengesan haba yang dapat mengesan jika ada orang menghampiri dan kemudian menunjukkan reaksi.

     
     
  • Honda HR-V Mugen di M’sia, RM119k, hanya 1,020 unit

    Honda HR-V Mugen di M’sia, RM119k, hanya 1,020 unit

    Honda Malysia hari ini mengumumkan bahawa model edisi terhad SUV HR-V Mugen kini diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Model istimewa ini menampilkan pelbagai peningkatan dari segi rupa, diberikan aksesori unik dari penala rasmi Honda iaitu Mugen. Ia akan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM118,800, dan hanya ditawarkan sebanyak 1,020 unit.

    Honda HR-V Mugen ini dipadankan dengan sembilan aksesori tambahan iaitu spoiler bawah hadapan, spoiler belakang bawah, gril baharu, skirt sisi, spoiler pintu tailgate, pelekat-pelekat dengan elemen Mugen, serta emblem Mugen pada bahagian luar.

    Pada bahagian kabin pula, emblem Mugen diletakkan pada sebelah sisi tombol penukar gear serta karpet-karpet alas kaki dengan tulisan ‘HR-V Limited Edition’.

    Kesemua aksesori ini menjadikan HR-V Mugen berkenaan RM1,370 lebih mahal dari varian tertinggi 1.8 V standard. Ciri lain, model istimewa ini berkongsi spesifikasi dengan varian V tersebut.

    Begitu juga dengan sistem mekanikal, Honda HR-V Mugen masih dijana enjin petrol standard 1.8 liter SOHC i-VTEC berkuasa 142 PS/172 Nm yang digandingkan bersama transmisi CVT Earth Dreams.

    Dua warna luaran ditawarkan untuk HR-V Mugen ini – Dark Ruby Red Pearl serta tambahan RM300 dikenakan sekiranya pembeli mahukan warna White Orchid Pearl. Kit ini ditawarkan hanya bersama kereta berkenaan dan Honda Malaysia tidak menjualnya secara berasingan atau kepada pemilik HR-V sedia ada.

     
     
  • Marquez sambung kontrak dengan HRC hingga 2020

    Marquez sambung kontrak dengan HRC hingga 2020

    Honda Racing Corporation mengumumkan kontrak dengan Marc Marquez sebagai pelumba pasukan Repsol Honda dalam perlumbaan MotoGP disambung sehingga tahun 2020. Marquez yang kini berusia 25 tahun mula diambil sebagai pelumba pasukan itu pada tahun 2013 dan telah berjaya menjadi juara keseluruhan pada tahun yang sama.

    Sejak daripada itu, Marquez terus membuktikan kemampuan dengan menjadi juara pada tahun 2014, 2016 dan 2017, selain turut mendapat 63 kali naik ke atas podium, iaitu 35 kali untuk tempat pertama, 19 kali untuk tempat kedua dan sembilan kali untuk tempat ketiga.

    Marquez sambung kontrak dengan HRC hingga 2020

    “Saya teruja untuk terus berlumba dengan pasukan pengeluar Honda dalam kelas MotoGP. Dua sesi ujian yang pertama telah berjalan lancar, dan apabila kontrak saya telah diperbaharui, saya dapat memberi fokus kepada perlumbaan dalam musim baru nanti,” kata Marquez.

    “Marquez telah berusaha keras secara konsisten, sehingga tiba ke had dan semakin matang sebagai seorang pelumba, dan memberikan Honda banyak kemenangan. Kami dapat mengumumkan pembaharuan kontrak ini secara cepat kerana kepercayaan dan semangat bersama dalam perlumbaan,” kata presiden HRC, Yoshishige Nomura.

     
     
  • Volkswagen Tiguan Comfortline, Tiguan Highline dan Passat Highline terima unit utama baharu; harga kekal

    Volkswagen Tiguan Comfortline, Tiguan Highline dan Passat Highline terima unit utama baharu; harga kekal

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dalam diam-diam memperkenalkan peningkatan bagi Tiguan Comfortline, Tiguan Highline dan Passat Highline, yang hanya melibatkan unit utama yang dipertingkatkan, dan berita baiknya, harga bagi ketiga-tiga model tersebut masih dikekalkan.

    Semasa ia dilancarkan pada April 2017, Tiguan Comfortline dan Highline didatangkan dengan unit utama skrin sesentuh lapan-inci. Varian Comfortline didatangkan dengan sistem Composition Media yang menyokong Bluetooth, kad SD, USB dan AUX-in. Manakala Highline pula hadir dengan kesemua fungsi tersebut, tetapi bersama elemen tambahan termasuk navigasi dan kamera undur.

    Unit utama yang dipertingkatkan pada kedua-dua varian tersebut adalah sebahagian daripada infotainmen Volkswagen MIB generasi terkini, yang diperkenalkan menerusi MK7.5 Golf. Kedua-dua sistem menerima skrin dengan kawalan ‘touch-sensitive’ berbanding butang biasa, namun masih mengekalkan tombol bagi volume dan talaan secara fizikal. Manakala Discover Pro, yang tidak ditawarkan di sini, menerima panel sesentuh penuh dengan paparan 9.2-inci.

    Sebagai tambahan, pakej App-Connect, yang sebelum ini ditawarkan pada Highline dengan kos RM1,099, kini standard untuk Highline dan Comfortline, termasuk skrin bagi fungsi telefon pintar menerusi Apple CarPlay, Android Auto atau MirrorLink.

    Volkswagen Tiguan Comfortline, Tiguan Highline dan Passat Highline terima unit utama baharu; harga kekal

    Unit utama Discover Pro 9.2-inci skrin sesentuh-penuh boleh dilihat pada varian Golf GTD

    Bagi elemen dan fungsinya, kebanyakannya lebih kurang sama, dan kedua-duanya turut disambungkan dengan lapan pembesar suara. Satu-satunya kelebihan bagi Discover Media berbanding Composition Media – selain kamera undur – ia ditampilkan dengan sambungan navigasi GPS, serta turut dilengkapi dengan sistem sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, jadi and aboleh menggunakan Apple Maps (Apple CarPlay) atau Google Maps atau Waze (Android Auto) untuk navigasi.

    Bagi Passat Highline, ia menerima peningkatan daripada unit lama Discover Media 6.5-inci dengan skrin yang lebih besat iaitu Discover Media lapan-inci – sama dengan yang ada pada Tiguan Highline. Passat Comfortline pula akan terus dengan unit yang lebih kecil iaitu Composition Media 6.5-inci, manakala varian yang lebih rendah Trendline pula kejal dengan paparan skrin sesentuh Composition Colour lima-inci.

    Untuk perincian dan spesifikasi penuh mengenai Tiguan dan Passat, sila layari CarBase.my. Anda juga boleh membaca ulasan pandu uji Tiguan 1.4 TSI.

     
     
  • Mercedes-Benz NZ Wheels Klang Autohaus dinaiktaraf

    Mercedes-Benz NZ Wheels Klang Autohaus dinaiktaraf

    Selaku pengedah sah kenderaan Mercedes-Benz di Malaysia, NZ Wheels kini memperkenalkan kemudahan baru yang menepati piawaian terkini jenama Jerman itu, Mercedes-Benz NZ Wheels Klang Autohaus. Menelan belanja sekitar RM6 juta, premis baru ini turut dinaik taraf untuk menempati Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II), sebuah konsep autohaus dengan identiti korporat terbaru jenama itu.

    Ia menjadi sebuah pusat 3S yang menawarkan servis menyeluruh sepenuhnya, dengan penekanan terhadap khidmat lepas jualan untuk memberikan pengalaman pelanggan yang lebih baik. Dengan keluasan seluas 320,000 kaki persegi serta keluasan kawasan bangunan 32,000 kaki persegi, NZ Wheels Klang Autohaus mempunyai kapasiti ruang pameran untuk 17 kenderaan – ini termasuk tiga kereta Mercedes-AMG di pusat prestasi AMG.

    Premis ini diuruskan oleh 70 petugas dari tiga bahagian utama; lepas jualan, perkhidmatan teknikal dan juga alat ganti. Ia juga memiliki 30 ruang servis dengan kemampuan untuk menampung 650 kenderaan sebulan – baik bagi servis biasa ataupun servis yang memerlukan perkhidmatan pakar.

    Mercedes-Benz NZ Wheels Klang Autohaus merupakan satu daripada tujuh premis dengan tahap perkhidmatan yang sama yang terletak di Selangor, bertujuan untuk menampung keperluan pelanggan jenama itu. Sehingga kini, Mercedes-Benz Malaysia mempunyai 33 rangkaian pengedaran yang menawarkan perkhidmatan serta pengalaman pelanggan yang terbaik di negara ini.

    Antara kemudahan yang disediakan di Mercedes-Benz NZ Wheels Klang Autohaus adalah seperti i-Showroom dengan skrin sentuh digital untuk memberi pendedahan yang lebih terhadap barisan produk yang ada kepada pelaggan. Ia juga dilengkapi dengan Star Lounge peribadi untuk suasana yang lebih eksklusif serta pusat kenderaan terpakai terpilih Mercedes-Benz Proven Exclusivity.

    Selain itu, sebuah pendekatan baru turut diperkenalkan; Service Differentiation – rangkaian perkhidmatan eksklusif lepas jualan peribadi yang menawarkan keselesaan dan fleksibiliti termasuk pengambilan dan serahan kenderaan pelanggan, penghantaran semula diluar waktu pernigaan serta perkhidmatan pantas.

     
     
  • Toyota dedah enjin Dynamic Force 2.0L, sistem hibrid 2.0L, kotak gear Direct-Shift CVT, sistem 4WD baharu

    Toyota telah mendedahkan enjin dan transmisi serta sistem-sistem janaan baharu yang bakal dilengkapi pada platform Toyota New Global Architecture (TNGA) iaitu asas kepada model-model akan datang jenama dari Jepun berkenaan. Ini merupakan langkah seterusnya yang diambil Toyota dalam mengembangkan unit janakuasa untuk platform TNGA tersebut yang bakal menjadi asas kepada sekitar 80% model-model baharu Toyota dan Lexus untuk lima tahun akan datang.

    Untuk enjin, siri Dynamic Force kini dihasilkan pula dalam kapasiti 2.0 liter bagi menyertai enjin 2.5 liter yang sudahpun diperkenalkan pada Camry generasi baharu. Enjin tersebut merupakan enjin NA konvensional yang diberikan pelbagai peningkatan membolehkan ia mencapai kecekapan haba maksima 40%, dan 41% untuk versi hibrid – sama seperti unit 2.5 liter.

    Antara peningkatan yang dimaksudkan adalah sistem VVT-iE pada bahagian kemasukan udara untuk respon enjin yang lebih baik serta sistem suntikan D-4S yang menampilkan suntikan bahan api pada port kemasukan dan juga terus ke dalam kebuk pembakaran. Bahagian skirt pada omboh menampilkan permukaan yang berkilat bagi mengurangkan geseran, manakala alur dengan corak jejaring silang halus diwujudkan pada permukaan skirt tersebut menggunakan laser bagi memberikan sifat tahan calar yang lebih baik.

    Kepala silinder enjin ini direka dengan kedudukan sudut antara injap yang lebih lebar manakala perumah injap (valve seat) kemasukan pula disalut laser. Ini membolehkan aliran udara yang lebih baik dan ia berpusar masuk ke kebuk pembakaran untuk penggunaan bahan api yang lebih baik serta menghasilkan kuasa yang lebih besar.

    Toyota dedah enjin Dynamic Force 2.0L, sistem hibrid 2.0L, kotak gear Direct-Shift CVT, sistem 4WD baharu

    Enjin ini juga menerapkan rekaan strok omboh yang lebih panjang bagi membolehkan nisbah mampatan setinggi 13:1 dihasilkan (versi hibrid lebih tinggi dengan 14:1). Toyota turut memberikan sistem pengurusan suhu yang lebih baik kepada enjin, menampilkan termostat dan juga pam air yang beroperasi secara elektronik.

    Dengan kesemua ciri ini, enjin 2.0 liter Dynamic Force berkenaan mampu menghasilkan 169 hp pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 205 Nm pada takat 4,800 rpm. Manakala versi yang digabungkan dengan sistem hibrid pula menghasilkan kuasa 143 hp pada takat 6,000 rpm serta tork maksima 180 Nm pada takat 4,400 rpm.

    Untuk sistem hibrid, enjin 2.0 liter ini akan digabungkan dengan teknologi yang dikenali sebagai Toyota Hybrid System (THS II). Gabungan ini bakal memacu Toyota Auris atau bakal dikenali semula sebagai Corolla Hatchback bagi model generasi seterusnya. Menurut Toyota, sistem hibrid 2.0 liter ini merupakan versi lebih baik dari sistem pada enjin 1.8 liter sedia ada, namun jumlah kuasa keseluruhan yang dihasilkan masih belum didedahkan.

    Sistem terkini ini juga menampilkan unit kawalan kuasa (PCU) baharu yang 20% lebih kecil dan 10% lebih ringan berbanding sistem pada unit 1.8 liter terdahulu, membolehkan PCU berkenaan diletakkan terus di atas unit transgandar (transaxle) motor-generator. Motor AC pada sistem ini pula menampilkan struktur gegelung berputar dengan jumlah wayar lebih sedikit serta digabungkan dengan logam magnetik yang baru dibangunkan.

    Format baharu pada gear pengurangan selari pula membantu kehilangan kuasa pada transgandar sehingga 25%. Motor pada sistem berkenaan mampu menghasilkan 107 hp dan tork maksima 202 Nm. Kuasa untuk sistem ini dibekalkan dari bateri nikel-logam hidrat, yang lebih kecil dan ringan hasil dari rombakan pada struktur pek bateri serta sistem penyejukkan yang lebih kompak.

    Kapasiti bateri berkenaan masih lagi sama pada unit yang dipadankan untuk sistem 1.8 liter iaitu 6.5 Ah. Namun dengan jumlah sel 180 pada versi baharu berbanding 168 pada versi sebelumnya, ia mampu menghasilkan voltan lebih tinggi iaitu 216 V berbanding 201.6 V sebelumnya.

    Beralih kepada transmisi, Toyota memperkenalkan kotak gear CVT baharu digelar Direct-Shift CVT yang didakwa sebagai transmisi pertama yang menggunakan gear berlepas (launch gear) pada sistem CVT. Gear berkenaan membantu memperbaiki kecekapan transmisi pada nisbah gear rendah di mana ketika ini kebiasaannya keberkesanan pada tali sawat konvensional CVT adalah tidak baik.

    Gear ini berfungsi ketika kereta mula bergerak setelah berhenti sepenuhnya membolehkan pemandu dapat merasakan pecutan yang lebih baik dan menghilangkan perasaan yang kurang responsif pada CVT biasa. Ketika kereta mula laju, sebuah pam jenis ram (vane pump) dengan respon yang tinggi akan menukar pergerakan sistem dari gear kepada tali sawat CVT.

    Dengan tambahan gear rendah berkenaan, nisbah maya untuk CVT ini juga lebih luas dan menurut Toyota, ia menawarkan nisbah maya sehingga 7.5 untuk kelas 2.0 liter – tertinggi dalam kelasnya. Dengan penggunaan gear khas ini juga membolehkan beban input yang lebih rendah diberikan, secara tidak langsung juga membenarkan penggunaan komponen pulley dan tali sawat yang lebih kecil bersama sudut tali sawat lebih tirus (dari 9 darjah kepada 11 darjah), menghasilkan penukaran nisbah gear yang 20% lebih pantas.

    Menurut Toyota, Direct-Shift CVT ini menawarkan prestasi yang sama atau lebih baik dari kotak gear klac berkembar (DCT) yang dihasilkan oleh pengeluar lain. Penggunaan bahan api juga didakwa lebih baik sehingga 6%.

    Untuk pasaran yang masih mahukan kotak gear manual seperti Eropah, Toyota telah memperkenalkan transmisi enam-kelajuan baharu. Kotak gear tersebut dibina dengan 7 kg lebih ringan serta 24 mm lebih pendek dari transmisi manual sedia ada, hasil dari hub-hub yang lebih nipis, penghenti gear yang dirombak, perumah lebih nipis dan penyisihan galas-galas jenis jarum.

    Selain rombakan pada rekaan mekanikal, kotak gear manual baharu ini juga diberikan sistem elektronik baharu digelar Intelligent Manual Transmission (iMT), memberikan fungsi rev-match sama ada ketika menaikkan gear atau menurunkan gear bagi memberikan penukaran gear yang lebih lancar. Kotak gear dengan berat keseluruhan 40 kg ini mampu menerima tork sehingga 280 Nm.

    Toyota sebelum ini telah mengumumkan untuk memperkenalkan sembilan enjin dalam 17 variasi, empat sistem transmisi dalam 10 variasi serta enam sistem hibrid dalam 10 variasi menjelang akhir 2021. Enjin 2.0 liter Dynamic Force, sistem 2.0 liter THS II, Direct-Shift CVT dan kotak gear enam-kelajuan manual baharu ini adalah sebahagian dari kesemua komponen yang dirancang berkenaan.

    Tetapi bukan hanya empat sistem ini didedahkan, Toyota juga turut memperkenal dua sistem 4WD baharu. Yang pertama digelar Dynamic Torque Vectoring AWD, bakal dilengkapkan pada model-model janaan enjin petrol. Sistem ini membolehkan tork diagihkan pada tayar kiri dan kanan berdasarkan keadaan permukaan jalan. Jika diperlukan, klac-klac jenis ratchet-type dog pada syaf roda hadapan dan belakang akan menghentikan putaran sistem, dan akan menghantar kuasa keseluruhan kepada roda belakang dalam mod 2WD.

    Yang kedua pula adalah sistem E-Four baharu yang direka khas untuk dipadankan pada model dengan janakuasa hibrid. Sistem ini akan menaikkan tork keseluruhan pada roda belakang sehingga 30% berbanding versi sedia ada. Sistem kawalan baharu akan mengagihkan tork dengan lebih optimal kepada roda belakang berdasarkan permukaan jalan.

    Kedua-dua sistem ini adalah sebahagian dari tiga sistem 4WD yang bakal dihasilkan dalam lapan variasi yang telah dirancang oleh Toyota bagi digunakan pada kenderaan penumpang, kenderaan komersial dan juga kenderaan hibird elektrik.

     
     
  • Pemilik jenama Haval, Great Wall Motor bersama BMW bakal hasilkan MINI dengan kuasa elektrik di China

    Pemilik jenama Haval, Great Wall Motor bersama BMW bakal hasilkan MINI dengan kuasa elektrik di China

    BMW bakal menghasilkan MINI dengan kuasa elektrik di China dan jenama dari Jerman berkenaan telah pun menandatangi surat memulakan kerjasama bersama pemilik jenama Haval iaitu Great Wall Motor (GWM). Menurut BMW, China boleh disifatkan sebagai pasaran paling besar untuk mobiliti-elektro.

    Selepas ini, kedua-dua pihak berkenaan akan membuat persetujuan berkenaan perincian kerjasama yang mungkin dan perjanjian kerjasama serta menjelaskan aspek seperti pemilihan lokasi produksi bersama pelaburan yang konkrit. Kesemua usaha ini adalah hanya untuk pengeluaran dan BMW masih belum ada rancangan untuk mewujudkan organisasi jualan tambahan di China.

    Kerjasama yang baharu dicadangkan bersama GWM ini tidak berkaitan dengan kerjasama jangkamasa panjangnya bersama Brilliance. Ditambah dengan dua lagi lokasi produksi, BMW Brilliance Automotive kini telah pun mengoperasikan kilang enjin, termasuk kilang bateri untuk kereta-kereta janaann elektrik keluaran jenama BMW yang diproduksi di Shenyang. Kilang berkenaan merupakan kilang bateri pertama BMW di China.

    Pemilik jenama Haval, Great Wall Motor bersama BMW bakal hasilkan MINI dengan kuasa elektrik di China

    Sekitar 560,000 kenderaan di bawah jenama BMW telah dihantar kepada pelanggan di China tahun lalu. Sebagai perbandingan, jumlah berkenaan lebih banyak dari jualan BMW di dua lagi pasaran terbesar BMW iaitu Amerika Syarikat dan Jerman yang telah digabungkan. Pada tahun 2017, China merupakan pasaran MINI keempatterbesar di dunia, dengan penghantaran kepada pelanggan sekitar 35,000 unit.

    Menurut BMW, jualan dan produksi di China yang kini sedang bertumbuh tidak menyebabkan penurunan jumlah produksi di kilangnya di Jerman. Namun sebaliknya, antara 2007 hingga 2017, produksi di Jerman meningkat sehingga hampir sekitar 1.15 juta kenderaan setahun. Pada masa yang sama, lebih dari separuh jumlah keseluruhan produksi BMW kini adalah pada kilangnya di luar Jerman.

    Ini merupakan sebab yang kukuh dari BMW bahawa strategi pertumbuhan yang sama untuk MINI tidak akan menjejaskan komitmennya di UK dan MINI dengan janakuasa elektrik sepenuhnya akan diproduksi di kilang Oxford bermula 2019. Untuk pengetahuan anda juga, pembuat kereta dari luar diwajibkan untuk membuat kerjasama dengan syarikat tempatan untuk memulakan perniagaan mereka di negara republik rakyat berkenaan.

     
     
  • Volvo trademark nama XC50 – akan ada SUV baru lagi?

    Volvo <em>trademark</em> nama XC50 – akan ada SUV baru lagi?

    New Volvo XC40 – exterior

    Volvo nampaknya sedang ghairah menghasilkan model-model kenderaan yang menarik dan tak nampak tanda-tanda syarikat itu akan perlahankan usaha mereka. Terbaru, menurut sebuah laporan oleh Auto Express, nama XC50 pula sudah di”trademark”. Adakah ini memberi petunjuk kepada sebuah lagi SUV baru dari Volvo?

    Kalau ada pun, bukan dalam masa terdekat. Sebabnya Volvo akan beri tumpuan kepada model-model yang diperbaharui bagi siri 40 dan 60 terlebih dahulu – paling dekat mungkin S60 dan V40 terbaru. Kalau mengikut cara syarikat itu meletakkan nama pada model-modelnya, XC50 mungkin akan diposisikan di antara XC40 dan XC60 yang ada ketika ini – tapi dalam bentuk apa ia akan hadir nanti masih belum diketahui.

    “Produk kami telah meliputi 98% daripada segmen-segmen kenderaan yag ada, jadi kemungkinan yang tinggal ialah untuk kami meneroka penawaran yang lebih ‘mendalam’ dan bukannya lanjutan kepada yang sedia ada,” jelas Naib Presiden Kanan Volvo Eropah, Timur Tengah dan Arfika, Lex Kerssemakers.

    Volvo <em>trademark</em> nama XC50 – akan ada SUV baru lagi?

    New Volvo XC40 – exterior

    Ketika ditanyakan sama ada model SUV dengan penampilan coupe antara yang dipertimbangkan, Kerssemakers berkata; “ada kemungkinan, tetapi bukan dalam masa terdekat.” Memandangkan posisinya di atas XC40, ada beberapa kemungkinan untuk XC50 – misalnya pesaing kepada BMW X2. Atau, jika ia lebih besar dari XC40, ia akan jadi pesaing kepada BMW X4 dan Mercedes-Benz GLC Coupe.

    Apa pun, jalan masih panjang untuk kita mengetahui sebetulnya seperti apa model berkenaan nanti. Selepas Volvo V60, syarikat itu akan memperkenalkan model sedan S60 pula. Ini akan diikuti oleh model-model generasi baru bagi siri 40 – seperti V40 dan mungkin juga pengenalan semula S40.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025