Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 diwartakan Januari 2018 untuk perkhidmatan e-hailing

    Pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 diwartakan Januari 2018 untuk perkhidmatan e-hailing

    Seperti yang semua sedia maklum, perkhidmatan e-hailing termasuk Uber dan Grab telah pun mendapat kelulusan untuk meneruskan operasi di negara ini. Namun kedua-dua penyedia perkhidmatan terbabit dikehendaki untuk mematuhi syarat-syarat yang sama dikenakan kepada pemandu teksi. Ini berikutan pindaan undang-undang bagi Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 telah pun diluluskan di peringkat Dewan Rakyat pada akhir Julai lalu.

    Bagi perkembangan selanjutnya mengenai pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, Ketua Pegawai Operasi (COO) Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Qamar Wan Noor telah memaklumkan menerusi Berita Harian, bahawa ia akan diwartakan pada Januari tahun hadapan bagi perkhidmatan e-hailing.

    “Kita perlu mengetatkan penguatkuasaan untuk perkhidmatan e-hailing sama seperti yang dijalankan terhadap perkhidmatan teksi kerana ada laporan membabitkan salah laku dalam kalangan pemandu e-hailing. Dengan adanya pindaan ini, SPAD dapat mengumpul maklumat dan mengawal selia pemandu e-hailing. Jika ada pemandu yang mempunyai rekod jenayah dan salah laku dalam pemanduan, SPAD tidak akan mengeluarkan kad pemandu,” katanya.

     
     
  • Mercedes-Benz CLS 2018 – video teaser awal disiar

    Sebelum ini kita pernah melihat gambar spyshot Mercedes-Benz CLS 2018, iaitu model generasi ketiga untuk coupe empat pintu tersebut, dan kini, Mercedes-Benz mengeluarkan sendiri video teaser sebelum model tersebut diperkenalkan secara rasmi semasa LA Auto Show 2017 hujung minggu ini.

    Dalam video ini dapat dilihat CLS generasi ketiga menggunakan gril baru dan lampu LED Multibeam di depan dan belakang. Namun yang pembaharuan yang lebih penting bagi model ini adalah garisan bumbungnya. Video ini berakhir dengan bayang bentuk berlekuknya. Kereta ini juga menggunakan lampu siang LED berbentuk L.

    Mercedes-Benz meletakkan video ini sebagai teaser rekaan luar, sekaligus mewujudkan jangkaan bahawa pada masa terdekat nanti, akan ada satu lagi video teaser untuk bahagian dalam pula.

    Mercedes-Benz CLS 2018 – video teaser awal disiar

    Satu-satunya gambar bahagian dalam yang pernah dikeluarkan sebelum ini menunjukkan penggunaan kokpit skrin lebar seperti pada E-Class. Ia adalah satu panel panjang yang menggabungkan panel instrumen digital, dengan skrin tengah, dan terletak atas pada corong pendingin hawa berbentuk turbin. Gambar itu juga menunjukkan sistem kawalan keselesaan Energising.

    Pilihan enjin model baru ini berkemungkinan termasuk unit empat silinder dan enam silinder, termasuk hibrid ringkas seperti M264 (digunakan pada E-Class Coupe C238 dan E-Class Cabriolet A238), dan M256 (digunakan pada S-Class W222). Dikatakan juga akan terdapat versi AMG.

     
     
  • BMW Malaysia prebiu X2 baharu – sDrive20i bakal tiba

    BMW Malaysia telah menguar-uarkan berita mengenai model X2 baharu yang bakal dibawa masuk ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Menariknya, kita bakal menerima X2 bagi model sDrive20i, dengan kulit Dakota berwarna Magma Red baharu.

    F39 X2 bakal tiba di sini tidak lama lagi, selepas diperkenalkan di peringkat global pada hujung Oktober lalu. Ini merupakan model pertama X2 yang berdasarkan versi sporty bagi F48 X1, yang bakal menyertai barisan SUV coupe seperti X4 dan X6. Namun tidak seperti dua model tersebut yang lebih besar berbanding model SUV biasa X3 dan X5, bagi X2 ini juga kelihatan berkongsi sedikit gaya daripada X1. Malah BMW turut menggambarkannya sebagai model kendiri baharu.

    Dua elemen signifikan bakal ditampilkan iaitu gril ‘kidney’ BMW trapezoid yang dipertingkatkan dan juga kekemasan M Sport X baharu. Di mana grilnya telah diposisikan sedikit ke atas, dan lebih lebar dari atas ke bawah, sementara pakej unik gabungan dengan elemen rekaan daripada barisan BMW M dan X.

    Klik untuk besarkan

    Dibangunkan di bawah pakej luaran M Sport biasa, kekemasan M Sport X turut menerima elemen rekaan tambahan dengan Frozen Grey termasuk bampar hadapan bawah, balutan gerbang roda dan skirt sisi serta tirai hiasan di belakang. Di dalamnya, upholstery Alcantara dan gentian-mikro dengan jahitan kontras berwarna kuning menjadi pilihan. Itulah keunikan bagi X2, yang boleh digambarkan setakat ini.

    Walau bagaimana pun, M Sport biasa masih kekal menjadi gaya yang lebih sporty, termasuk kekemasan gerbang roda dengan warna badan dan elemen Dark Shadow (kelabu) pada bampar hadapan, bilah sisi bawah dan peresap belakang. Versi asas pula menerima lebih sentuhan SUV, dengan saduran hitam di sekelilingnya. Malah ketinggiannya juga lebih 10 mm, tanpa merendahkan suspensi M Sport.

    Semua model turut menerima simbol bulat BMW yang ditempatkan di tiang-C, dan juga di bahagian belakangnya. Ia juga sama seperti yang boleh dilihat menerusi BMW coupe termasuk 2000 CS dan 3.0 CSL.

    BMW Malaysia prebiu X2 baharu – sDrive20i bakal tiba

    Bentuk X2 juga pastinya menjadi tarikan, biar pun bahagian belakangnya tidaklah landai seperti X4 dan X6, namun ia memiliki “garisan bumbung dengan gaya-coupe serta grafik tingkap yang menarik”. Malah ia juga nampak pendek dan tujuh sentimeter lebih rendah berbanding X1.

    Di dalamnya, X2 juga berkongsi binaan kejuruteraan seperti papan pemuka X1. Namun ia memang cukup bergaya, dengan penampilkan konsol tengah dan beberapa penampilan premium termasuk jahitan kontras dan material yang digunakan (Sensatec, gentian-mikro dan Alcantara). Bahagian but masih kekal seluas 470 liter.

    Dibina dengan platform BMW UKL pacuan roda-hadapan, ia turut memiliki jarak roda yang sama seperti X1 (2,670 mm). Tiga pilihan enjin bakal ditawarkan iaitu sDrive20i, xDrive20d dan xDrive25d – dengan lebih varian yang bakal ditambah pada tahun hadapan termasuk sDrive18i tiga-silinder.

    Bagi X2 sDrive20i, yang bakal diterima pasaran Malaysia kelak, dijanakan oleh enjin 2.0 liter turbo dengan kuasa 192 hp dan tork 280 Nm, yang menyalurkan kuasanya ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Ia mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat, dengan penggunaan bahan api kombinasi dianggarkan 5.9 liter setiap 100 km.

    Selain itu, varian diesel pula bakal menerima pacuan semua-roda secara standard, dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Kedua-dua varian xDrive20d dan xDrive25d turut berkongsi unit 2.0 liter turbodiesel, yang ditala bagi masing-masing mendapatkan 190 hp/400 Nm (0-100 km/j dalam 7.7 saat, 4.6 l/100 km) dan 231 hp/450 Nm (6.7 saat, 5.1 l/100 km).

    BMW X2 ini juga bakal dilengkapi dengan BMW ConnectedDrive dan sistem keselamatan aktif. Ini termasuklah Apple CarPlay tanpa wayar, High Beam Assist, City Braking, Active Cruise Control dan Traffic Jam Assistant.

    GALERI: F39 BMW X2 xDrive20d M Sport X

    GALERI: F39 BMW X2 sDrive20i M Sport

     
     
  • Pengimbas kad Touch n’ Go pada Myvi 2018 – anda kini boleh rehatkan penggunaan Smart Tag, bateri 9v

    Pengimbas kad Touch n’ Go pada Myvi 2018 – anda kini boleh rehatkan penggunaan Smart Tag, bateri 9v

    Perodua Myvi 2018, terutama bagi model dengan enjin 1.5 liter hadir dengan senarai kelengkapan yang sangat mengkagumkan. Tentunya kita sudah sedia maklum bahawa semua variannya kini dilengkapi dengan lampu utama LED serta sistem tanpa kunci. Tetapi, bagi varian 1.5 liter, ada lagi kelebihan lain.

    Misalnya, sistem Advanced Safety Assist (ASA) yang ada pada varian tertinggi 1.5 Advance. Tetapi ada satu lagi ciri menarik hanya bagi varian 1.5L sahaja ialah pengimbas atau pembaca kad Touch n’ Go yang siap dipasang pada kereta berkenaan untuk kegunaan di plaza tol elektronik seluruh negara.

    Dalam bahasa mudah, bayangkan Smart Tag anda (yang memerlukan bateri 9v untuk berfungsi). Dengan ciri pengimbas kad TnG di tol ini, anda sudah boleh rehatkan peranti berkenaan; untuk Myvi 2018 1.5L, ciri ini dibina terus dalam kereta untuk kemudahan anda.

    Pengimbas kad Touch n’ Go pada Myvi 2018 – anda kini boleh rehatkan penggunaan Smart Tag, bateri 9v

    Terletak pada bahagian kanan berdekatan kedudukan atau paras lutut pemandu, ia berfungsi sama sahaja seperti Smart Tag yang pernah anda gunakan. Alat ini terlindung pada bahagian papan pemuka, dengan penutup magnetik.

    Padanya ada slot untuk anda masukkan kad TnG. Ia juga hadir dengan skrin untuk memaparkan baki kad anda. Lebih menarik, jika baki berkenaan berada di bawah paras RM10, sistem akan menyeluarkan bunyi amaran untuk memaklumkannya kepada pemandu. Tetapi, berbeza daripada Smart Tag yang perlukan bateri 9v untuk bekalkan kuasa, alat ini mengambil kuasa yang diperlukan terus dari kereta.

    Transmitter alat ini pula terletak di bahagian atas papan pemuka menghadap cermin utama di sebelah pemandu. Tetapi, perlu diingat, ia hanya berfungsi jika penggunaan filem penapis haba yang digunakan mengikut spesifikasi yang dibenarkan. Ia juga tidak boleh digunakan pada sistem RFID.

    Pengimbas kad Touch n’ Go pada Myvi 2018 – anda kini boleh rehatkan penggunaan Smart Tag, bateri 9v

    Pengimbas kad TnG pada Haval M4

    Tetapi, ini bukanlah satu ciri baru; beberapa model di Malaysia sebelum ini sudah dilengkapi ciri yang sama. Sebagai contoh, Haval H1 (dulu dikenali sebagai Haval M4) menggunakan sistem sama, dengan transmitter diletakkan di belakang cermin pandang belakang. Toyota juga ada menawarkan ciri ini sebagai pilihan.

    Untuk mengetahui lebih terperinci berkaitan penawaran Perodua Myvi 2018, ikuti laporan pelancaran yang telah kami sediakan. Tidak lupa juga laporan pandu uji ringkas yang sempat kami lakukan terhadap kereta berkenaan.

    GALERI: Perodua Myvi 1.5L Advance 2018

     
     
  • Nissan Serena Autech diperkenal di Jepun – petunjuk arah baru Autech di samping Nismo, fokus berbeza

    Nissan Serena Autech diperkenal di Jepun – petunjuk arah baru Autech di samping Nismo, fokus berbeza

    Selain jenamanya sendiri, Nissan juga mempunyai dua lagi jenama sub di bawahnya iaitu Nismo dan Autech. April lalu syarikat dari Jepun ini sudah mengeluarkan pengumuman mahu mengembangkan lagi jenama Nismo, dan kini perkara sama diumumkan untuk jenama Autech pula. Sebagai tanda kepada langkah baru ini, MPV Serena Autech diperkenalkan untuk pasaran Jepun.

    Walaubagaimanapun, ia bukan sekadar pada jenama, malah Nissan mempunyai perancangan yang berbeza untuk Autech dan Nismo. Kenderaan jalanan Nismo difokuskan sepenuhnya kepada sports – mengikut DNA sukan permotoran Nissan, manakala Autech pula mengetengahkan hasil kerja premium, bahan berkualiti tinggi serta perincian yang cukup rapi.

    “Nissan akan menawarkan nilai utama yang berbeza melalui jenama sub Nismo dan Autech ini. Kami akan terus menawarkan pelbagai program untuk membantu pelanggan menikmati kenderaan Nissan mereka,” kata presiden dan ketua pegawai eksekutif Autech Japan dan Nissan Motorsports International, Takao Katagiri.

    Nissan Serena Autech diperkenal di Jepun – petunjuk arah baru Autech di samping Nismo, fokus berbeza

    Bagi Nismo, Nissan telah menambah barisan model yang diperkenalkan dengan pakej tertentu termasuk GT-R Nismo, Fairlady Z Nismo, Juke Nismo, Note Nismo, March Nismo, Leaf Nismo dan terbaru, Serena Nismo semasa Tokyo Motor Show Oktober lalu.

    Di Jepun sebelum ini, Nissan juga ada mengeluarkan kenderaan yang diubah suai oleh Autech, tetapi sekadar menggunakan nama gred Axis, Rider, Bolero dan Mode Premier. Melalui hala tuju baru Autech ini, semua gred tersebut akan digabungkan di bawah satu jenama iaitu Autech.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival di MAEPS, Serdang – 3 kategori, 39 pelumba gegar litar yang lebih mencabar

    Toyota Gazoo Racing Festival di MAEPS, Serdang – 3 kategori, 39 pelumba gegar litar yang lebih mencabar

    Selepas festival Pertama bagi Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival 2017 pada Ogos lalu yang diadakan di Batu Kawan, Pulau Pinang, MAEPS di Serdang pula menjadi lokasi bagi festival Kedua perlumbaan tersebut yang usai semalam. Berbanding di Batu Kawan, litar sepanjang 1.9 kilometer di MAEPS lebih mencabar dengan adanya beberapa keadaan jalan yang berbukit. Malah ia juga mempunyai 17 selekoh teknikal termasuk beberapa selekoh yang berbukit.Sekaligus memberikan cabaran buat semua pelumba yang bersaing dalam Vios Challenge dengan tiga kategori iaitu Promotional (di kalangan selebriti tempatan), Sporting dan Super Sporting ( di kalangan pelumba profesional).

    Pusingan pertama bagi Super Sporting Class dimulakan tepat jam 12 tengahari, dengan dibarisi 11 pelumba yang rata-ratanya pelumba profesional dalam perlumbaan kereta. Walau bagaimana pun, baru beberapa minit perlumbaan dimulakan, tercetus drama yang mendebarkan apabila jentera yang dipandu oleh Mark Darwin terbabas ke penghadang konkrit. Ini memaksa perlumbaan dihentikan buat seketika.

    Apabila perlumbaan dimulakan kembali, satu lagi drama berlaku apabila jentera No.12 yang dipandu oleh Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel dilanggar dari belakang oleh William Ho. Sehingga membuatkan bampar belakang jentera Tengku Djan hampir-hampir tercabut hingga memaksa beliau kembali ke pit selepas empat pusingan, biar pun ketika itu jenteranya mendahului perlumbaan. Malah jentera William Ho turut mengalami masalah apabila skirt sisi jenteranya juga hampir tertanggal membuatkan beliau juga terpaksa ke pit untuk menanggalkan bahagian terbabit.

    Toyota Gazoo Racing Festival di MAEPS, Serdang – 3 kategori, 39 pelumba gegar litar yang lebih mencabar

    Bagi pusingan tersebut, Ser Meng Hui dari pasukan MMCS Racing berjaya menduduki tempat pertama, diikuti dengan Syafiq Ali dan Boy Wong Yew Choong. Sementara Tengku Djan terpaksa berpuas hati di tangga ke-lapan, manakala tiga lagi pelumba iaitu Mark Darwin, Akira Teo dan Keifli Othman gagal menamatkan pusingan atas masalah teknikal.

    Bagi Pusingan Kedua kategori Promotional pula, seperti di Batu Kawan, seramai sembilan pelumba yang terdiri daripada golongan selebriti termasuk blogger terkenal mengambil bahagian. Acara yang cukup dinanti-nantikan oleh kebanyakan peminat hiburan tempatan yang turut hadir sama memeriahkan festival tersebut. Kelibat artis terkenal seperti Janna Nick, Syukri Yahya, Diana Danielle, Fattah Amin, Danny Khoo dan ramai lagi sentiasa dinanti oleh para peminatnya.

    Biar pun mereka bukanlah pelumba profesional, namun aksi yang dipamerkan di litar perlumbaan juga tidak kurang hebatnya. Ini termasuklah juara TGR untuk kategori ini di Batu Kawan iaitu Shawn Lee, telah melakukan kesilapan di selekoh ke-enam pada awal perlumbaan apabila jentera No.6 yang dikendalikannya tiba-tiba berpusing dan hampir tersasar ke penghadang konrit.

    Sekaligus memberikan peluang kepada pesaing terdekatnya, Syukri Yahya untuk memintas dan memecut laju meninggalkan pelumba-pelumba lain. Dengan catatan masa 26 minit 31 saat, Syukri berjaya menamatkan kesemua 16 pusingan dengan Danny Koo di tempat kedua. Manakala Diana Danielle menjadi pelumba wanita pertama yang berjaya menduduki podium dalam Vios Challnge ini apabila mendapat tempat ke-tiga dalam kategori ini.

    Sementara itu, timbalan pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama, terpaksa berpuas hati di tempat ke-empat selepas ketinggalan sembilan saat di belakang Diana. Manakala aktor yang sedang hangat diperkatakan, Fattah Amin, hanya meraih di tempat ke-lima biar pun pembakar semangat utamanya, Fazura, yang juga merupakan tunangannya turut hadir dalam festival tersebut. Tiga lagi selebriti yang mengambil bahagian iaitu Janna Nick, Venice Min dan Geraldine Gan tidak dapat meneruskan perlumbaan kerana mengalami masalah teknikal.

    Bagi kategori Sporting pula, yang melibatkan penyertaan terbanyak iaitu seramai 19 orang pelumba yang saling memberikan saingat sengit antara satu sama lain. Tiga pelumba, Brendan Paul, Brandon Lim dan Patrick Tam dilihat saling mencabar antara satu sama lain sejak awal perlumbaan. Pantang ada peluang muncul, pastinya ada di antara mereka yang gigih untuk mara ke hadapan bagi mendahului perlumbaan. Selepas 16 pusingan, menyaksikan Patrick Tam berjaya mengungguli tempat pertama dengan catatan masa 23 minit 49 saat. Diikuti oleh Brendam Lim dan Brendon Paul pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

    Toyota Gazoo Racing Festival di MAEPS, Serdang – 3 kategori, 39 pelumba gegar litar yang lebih mencabar

    Perlumbaan yang paling dinanti-nantikan ialah pusingan kedua bagi kategori Super Sporting. Walau bagaimana pun, ia sedikit tertunda dari waktu yang ditetapkan kerana hujan turun dengan begitu lebat. Namun demikian para pengunjung masih tidak berganjak dari grandstand bagi menantikan perlumbaan dimulakan.

    Selepas hujan kembali reda, perlumbaan dimulakan, dengan kedudukan enam pelumba di petak terawal bagi pusingan terdahulu, telah ditempatkan kedudukannya di petak kebelakang. Persaingan sengit juga tidak terlepas daripada drama, termasuk sewaktu di pusingan ke sembilan yang menyaksikan Djan terlanggar sedikit jentera yang dipandu oleh Mitchell Cheah daripada pasukan Dream Chaser hingga membuatkan dia hampir tersasar. Walau bagaimana pun, Mitchell berjaya mengawal jenteranya dengan baik dan meneruskan perlumbaan.

    Malah ketika melalui selekoh 16 di pusingan ke-12, jentera yang dikendalikan oleh Djan mengalami masalah tayar pancit dan ini memaksa beliau untuk menamatkan perlumbaan lebih awal. Begitu juga dengan jentera milik William Ho namun dia tetap meneruskan perlumbaan kerana keadaan tayarnya yang pancit tidak kritikal. Dalam masa 26 minit 52 saat, Mitchell Cheah berjaya melepasi garisan penamat lebih dahulu, sekaligus menobatkannya sebagai juara bagi kategori tersebut. Sementara tempat kedua diduduki oleh Boy Wong dari pasukan ST Wagan Racing dan William Ho pula di tangga ketiga.

    Tamat sudah Festival TGR di MAEPS, Serdang dengan pelbagai kisah suka dan duka. Namun menurut Toyota, acara ini akan diteruskan iaitu pada 19 dan 20 Januari tahun hadapan dengan pemilihan Johor Bahru bagi lokasi ketiganya. Nantikan maklumat selanjutnya menerusi laman web rasmi Toyota Gazoo Racing Malaysia termasuk di Facebook dan Instragram. Jumpa lagi tahun hadapan!

     
     
  • Perodua Kembara – selepas Myvi, SUV kompak pula?

    Perodua Kembara – selepas Myvi, SUV kompak pula?

    Pelancaran Myvi 2018 tempoh hari banyak menarik perhatian khalayak. Paling tidak, kalau dilihat daripada rekaan digital yang dihasilkan untuk membayangkan versi-versi berbeza sahaja, itu sudah cukup meriah. Terbaru, Myvi 2018 versi tiga pintu.

    Kalau anda memang kerap perhatikan ruang ini, pasti anda pernah terbaca tentang beberapa rekaan lanjutan kepada Myvi 2018 sebelum ini; Theopilus Chin sebelum ini pernah membayangkan Myvi dalam bentuk sedan dan Myvi SE, sementara Bear Design pula menghasilkan rekaan Myvi crossover.

    Itu cerita Myvi 2018. Memanglah Perodua sendiri masih bertungkus-lumus memasarkan dan menyerahkan model ini kepada pelanggan ketika ini, tetapi satu soalan yang tak dapat dihindarkan ialah – apa pula selepas Myvi?

    Dalam perkembangan lain, sebelum ini pada Julai lalu, Presiden dan CEO Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh pernah menegaskan bahawa syarikat itu sedang melakukan pertimbangan serius untuk mengeluarkan sebuah SUV kompak terkini. Jika dilihat sejarah Perodua, untuk pasaran Malaysia syarikat berkenaan pernah memperkenalkan model Perodua Kembara satu ketika dahulu, yang kemudiannya diikuti oleh model susulan iaitu Perodua Nautica.

    Maksudnya, SUV bukanlah model yang terlalu asing untuk Perodua, terutama dari sudut kemampuan pengeluarannya di Malaysia. Jadi, tak salah untuk kita jangkakan model SUV kompak akan jadi penawaran Perodua selepas ini.

    Bagaimana rupa SUV kompak ini agaknya? Ketika Tokyo Motorshow 2018 Oktober lalu, Daihatsu ada mempertontonkan sebuah model SUV kompak konsep, dikenali sebagai Daihatsu DN Trec. Memandangkan ia rekaan SUV kompak terbaru dari rakan kongsi Perodua sendiri, manalah tahu kalau-kalau ia akan dijadikan asas kepada model yang dibangunkan nanti.

    Perodua Kembara – selepas Myvi, SUV kompak pula?

    Dan, ia tak berhenti di situ; Theopilus Chin sekali lagi menggunakan kepakarannya untuk menghasilkan imej render bagi SUV kompok Perodua yang dibayangkkannya seperti yang ditampilkan ini. Secara keseluruhannya, ia nampak bersih dengan rekaan yang lebih banyak menerapkan sentuhan bulat berbanding garis-garis tajam.

    Rupa depannya walaupun ringkas, tetap kemas dengan elemen seperti garis gril krom yang melintang dari hujung lampu utama. Bahagian bampat pula lebih sibuk, menempatkan lampu DRL, serta bukaan ruang masukan udara yang menonjol. Di bawahnya, kehadiran diffuser memberikan suntikan imej sporty.

    Elemen landasan pada bumbung pula menggunakan warna hitam, begitu juga dengan kemasan keliling pintu yang biasanya menggunakan kemasan krom kini diubah juga menggunakan warna hitam. Bahagian fender serta sisi bawah pintunya dilengkapi juga dengan kemasan hitam yang sama – yang ditarik dari bampar depan hinggalah ke belakang.

    Bahagian belakang pula tak lagi menempatkan perumah tayar ganti pada pintunya. Sekilas pandang, bentuknya ada mirip model Volkswagen Tiguan versi sebelum ini. Sekali lagi, kemasan krom melintang digunakan untuk mengimbangi elemen sama di hadapan.

    Selain itu, bahagian bampar di bawahnya juga hadir dengan sentuhan yang sama; kemasan krom yang menyorokkan hujung ekzosnya. Tak lupa juga rekaan sisip ikan serta spoiler yang menjadikannya lebih lengkap. Jadi, apa pandangan anda tentang rekaan digital yang membayangkan Perodua Kembara terbaru ini? Cukup menarik untuk memenangi hati pemandu di Malaysia atau sebaliknya?

     
     
  • VIDEO: Toyota Starlet KP62 di Mt. Washington HillClimb 2017; enjin NA 4A-GE, 260 hp, 11,000 rpm!

    Kita telah berkenalan dengan moyang kepada Toyota Yaris GRMN iaitu Toyota Starlet KP61 menerusi artikel khas kereta milik Hamizan Selamat sebelum ini. Kini, kami hidangkan pula video antarabangsa kereta dari siri yang sama milik Mikko Kataja dari Finland, yang berlumba di rali mendaki bukit Mt Washington HillClimb 2017 di Amerika Syarikat.

    Starlet milik Kataja ini merupakan model yang lebih lama iaitu dibuat pada tahun 1979 dengan kod casis KP62. Berbanding Starlet yang kita temui biasanya dengan lampu hadapan petak, kereta ini diberikan muka dengan lampu utama berbentuk bulat yang juga digelar sebagai ‘bug eye’ oleh peminatnya.

    Jentera rali sebenar ini dijana oleh enjin 4A-GE 1.6 liter NA yang diambil Corolla AE86. Kataja tidak berlumba dengan enjin standard, dimana enjin tersebut telah dibina semula dengan pelbagai komponen perlumbaan dari bahagian aci engkol, rod penghubung, omboh, hingga kepala yang meliputi aci sesondol, spring dan sebagainya.

    Ia juga telah memadankan sistem suntikan bahan api perlumbaan dan keseluruhan pengurusan enjin dijalankan oleh kotak komputer stand alone MS6.4. Ini membolehkan enjin berkenaan menghasilkan kuasa maksima 260 hp tanpa pengecas turbo dan boleh menjerit sehingga 11,000 rpm! Hampir sama dengan angka enjin 4A-GE Formula Atlantic Fujiwara Takumi dalam siri animasi Intial D bukan?

    Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear perlumbaan sequential enam-kelajuan dan kuasa dihantar ke gandar belakang menerusi sebatang propeller shaft yang diperbuat dari gentian karbon.

    Bagi memastikan kereta ini mampu menampung kuasa yang dihasilkan serta mampu dipandu pada jalan yang sukar, ia diberikan suspensi perlumbaan dari KW dan juga diberikan cakera brek dari Willwood bersama angkup dari AP Racing. Keseluruhan bahagian dalaman telah dibuka, dan kabinnya kini diberikan roll cage lengkap bersama tempat duduk perlumbaan dan roda stereng Sparco.

    VIDEO: Toyota Starlet KP62 di Mt. Washington HillClimb 2017; enjin NA 4A-GE, 260 hp, 11,000 rpm!

    Bahagian luaran kereta ni masih lagi kelihatan seperti Starlet asli. Namun dengan penggunaan set rim dan tayar yang lebih lebar, ia telah diberikan dengan flare pada kesemua ruang roda serta diserikan spoiler bumbung yang direka seperti unit dari TRD.

    Pada perlumbaan di Mt.Washington tahun ini, Kataja bersama Starlet miliknya berjaya menduduki tempat ke-10 keseluruhan dengan menentang jentera-jentera yang jauh lebih moden serta masa yang dicatatkan di bawah tujuh minit (6:58.98). Untuk perbandingan, rekod terpantas untuk mendaki bukit ini dicatatkan oleh Travis Pastrana dengan masa 5 minit 44.72 saat yang dibuat dengan sebuah jentera rali Subaru WRX STI, pacuan semua roda, berkuasa 600 hp.

    Kataja yang juga seorang jurutera elektronik automotif membina semula Starlet ini di bengkel miliknya iaitu VHTRacing Engineering. Dia telah berlumba dengan Starlet berkenaan sejak tahun 2002 di pelbagai rali di Finland sendiri, ketika itu kereta berkenaan masih lagi menggunakan enjin asal 1.3 liter 4K tetapi turut telah diubahsuai sepenuhnya dengan bantuan ayahnya sendiri.

     
     
  • Op Saman Tertunggak Warganegara Asing di Johor Bahru catat 2,023 saman trafik berjaya diselesaikan

    Op Saman Tertunggak Warganegara Asing di Johor Bahru catat 2,023 saman trafik berjaya diselesaikan

    Bagi mengesan dan menyelesaikan masalah tunggakan saman trafik di kalangan warga asing, Op Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) telah dilaksanakan di Johor bermula Jumaat lalu.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman SAC Sharul Othman Mansor, OSTWA telah memasuki siri ke-empat di Johor membabitkan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pandan Lebuhraya EDL, R&R Gelang patah dan Kilometer 3 Jalan Tebrau, laporan Bernama.

    Untuk siri tersebut, Sharul berkata, sebanyak 2,023 saman atas pelbagai kesalahan trafik diselesaikan. Ini termasuklah 1,606 saman yang dijelaskan membabitkan warganegara Singapura manakala selebihnya 417 saman membabitkan warga tempatan

    “Sepanjang operasi ini, sebanyak 470 saman baharu dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan serta membuat dua tangkapan terhadap lelaki dan wanita warga tempatan mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita pada hari terakhir operasi ini semalam.

    Menurut beliau, dua tangkapan itu melibatkan kesalahan menggunakan cukai jalan palsu dan nombor pendaftaran palsu dalam operasi sekatan di Jalan Tebrau.

    Op Saman Tertunggak Warganegara Asing di Johor Bahru catat 2,023 saman trafik berjaya diselesaikan

    Sharul berkata OSTWA itu menggunakan dua peranti khas yang dikenali ‘Mobile Compound Online Payment System’ (MCOPS) dan kamera ‘Intelligent Compound Online Payment System’ (ICOPS) untuk menyemak dan mengesan saman tertunggak warga asing secara automatik.

    Beliau berkata, kesalahan yang paling banyak dilakukan pemandu warga asing adalah memandu melebihi had laju yang dibenarkan.

    Dari tempoh 2014 hingga semalam, sebanyak 81,708 saman direkodkan yang membabitkan warga asing di seluruh negara yang mana 50,616 saman membabitkan warga Singapura dengan pelbagai kesalahan trafik.

    Sharul Othman berkata, daripada jumlah itu, 20,651 saman yang sudah dijelaskan termasuk 13,110 yang membabitkan warga Singapura.

    Katanya, OSTWA sudah dilaksanakan sebanyak empat kali di Johor dan turut dijalankan di Perlis, Kedah, Kelantan dan Sarawak yang membabitkan sempadan atau pintu keluar masuk warga asing ke negara ini.

    Operasi itu juga menjadi antara langkah persediaan kepada warga Singapura untuk menjelaskan semua saman tertunggak sebelum pelaksanaan sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) mulai Januari tahun depan.

     
     
  • Imej bayangan Perodua Myvi 2018 versi tiga-pintu

    Imej bayangan Perodua Myvi 2018 versi tiga-pintu

    Sejak Proton Satria Neo dihentikan pengeluarannya, kita tiada lagi hatchback tiga-pintu buatan tempatan. Proton nampaknya tiada lagi perancangan untuk menghasilkan kereta sedemikian walaupun untuk mengubah konfigurasi pintu Iriz, namun adakah Perodua berminat?

    Foto Perodua Myvi 2018 versi tiga-pintu ini adalah hasil bayangan oleh pakar manipulasi imej automotif Theophilus Chin dan bukannya dari Perodua sendiri. Tetapi jika Perodua benar-benar mahu menghasilkan model segmen berkenaan, rupa yang ditampilkan Theo ini mungkin boleh difikirkan.

    Muka asal Myvi masih lagi dikekalkan oleh Theo, tetapi perubahan drastik dilakukan bermula dari firewall dan ke belakang. Konsep rekaan Theo ini bukan sekadar memanjangkan pintu hadapan dan menggantikan sekeping cermin untuk kabin belakang, malah merubah terus bahagian tersebut.

    Imej bayangan Perodua Myvi 2018 versi tiga-pintu

    Jarak roda kelihatan seperti dipendekkan, dan bumbung juga kelihatan lebih rendah. Berbanding dengan versi lima-pintu yang mengenakan quarter window seperti Honda Jazz, Myvi tiga-pintu ini diberikan cermin belakang yang landai yang membolehkan tiang-C turut direka lebih landai. Dengan lampu belakang yang direka semula dengan konsep single-piece, bahagian belakang Myvi ini kelihatan seperti Renault Megane generasi ketiga.

    Bampar belakang turut direka semula untuk kelihatan lebih bulat bagi memadankannya dengan reka bentuk belakang kereta ini. Namun rupa kemasan pada kedua-dua sisi bampar berkenaan dan juga perumah nombor pendaftaran masih lagi dikekalkan. Myvi dengan warna Peppermint Green (warna baharu, eksklusif untuk model 1.3) ini turut diberikan bumbung berwarna hitam.

    Akhir sekali, bagi melengkapkan rupa sporty Myvi tiga-pintu berkenaan, ia turut diberikan rim aloi baharu dengan elemen rekaan bilah kipas lima-jejari berkembar berdiameter lebih besar dari asal. Jadi bagaimana peminat hatchback tiga-pintu sekalian? Boleh ke ia menggantikan pasaran yang ditinggalkan Proton Satria Neo?

    GALERI: Perodua Myvi 1.3 Premium X 2018

     
     
  • Kawasaki W175 dilancar di Indonesia – dari RM9,085

    Sekarang ini trend motosikal gaya retro kembali menaik dan Kawasaki Indonesia sedar akan perkara ini, seterusnya melancarkan model W175 untuk pasaran sana. Ini adalah model siri W yang menggunakan enjin berkapasiti lebih rendah, dan di pasaran global kini terdapat juga model W800 dan juga W250 (turut dipanggil sebagai Estrella).

    W175 dilancar di Indonesia dalam dua versi iaitu standard, dan SE, tetapi kedua-duanya masih lagi menggunakan enjin sama, iaitu unit satu silinder 177 cc SOHC empat strok, dengan sistem penyejukan udara dan sistem bahan api karburetor. Transmisi yang digunakan pula adalah unit lima kelajuan. Kuasa keseluruhan motosikal ini adalah 13 PS dan 13.2 Nm tork.

    W175 versi standard datang dalam warna putih, manakala versi SE mempunyai pilihan warna hijau, hitam dan perak, dengan jalur pada bahagian tangki. Kelengkapan lain bagi dua versi ini masih adalah sama termasuk fork 30 mm dan brek cakera 220 mm di hadapan, serta dua penyerap hentak dan brek dram di belakang.

    Kawasaki W175 dilancar di Indonesia – dari RM9,085

    Rim W175 adalah bersaiz 17 inci, dan ia dibalut tayar saiz 80/100 di hadapan dan 100/90 di belakang. Berat keseluruhannya pula adalah 126 kg, dengan kapasiti tangki minyak 13.5 liter serta ketinggian dari tanah 1,275 mm. Ekzosnya berbentuk klasik dan terletak di sebelah kanan.

    Kawasaki W175 dijual di Indonesia pada harga 29,800,000 Rupiah (RM9,085) untuk versi standard, dan 30,800,000 Rupiah (RM9,390)untuk versi SE. Di Malaysia, Kawasaki Motors Malaysia juga ada menawarkan model W800 dan ia dijual pada harga sekitar RM58,000.

     
     
  • Perodua sudah serahkan 1,000 unit Myvi baru kepada pemilik – 80% daripadanya adalah varian 1.5L auto

    Perodua sudah serahkan 1,000 unit Myvi baru kepada pemilik – 80% daripadanya adalah varian 1.5L auto

    Perodua Myvi generasi ketiga baru sahaja dilancarkan minggu lalu, dan disebabkan tempahannya sudah dibuka lebih awal, jumlah semasa hari pelancaran juga sudah mencecah 5,000 unit. Kemudiannya beberapa hari selepas itu, ia meningkat menjadi 6,000 unit. Walaupun jumlah tempahan naik mendadak, Perodua komited untuk menyampaikan kereta tersebut kepada pemiliknya secepat mungkin, dan kini, 1,000 unit sudah diserahkan kepada pemilik baru.

    Daripada jumlah itu, 80% daripadanya adalah varian 1.5L, yang seperti diketahui, mempunyai lebih banyak kelengkapan dan ciri keselamatan berbanding varian 1.3L seperti enam beg udara, pembaca tol binaan dalam, kit badan hadapan dan skirt sisi (dwi-tona), bampar belakang dwi-tona dan spoiler belakang. Bagi yang memilih varian 1.5 Advance pula, mereka akan mendapat tambahan ciri keselamatan Advanced Safety Assist (ASA), Amaran Pra-pelanggaran, Brek automatik Pra-pelanggaran (brek kecemasan automatik pada kelajuan rendah), Amaran Pergerakan Kehadapan dan Kawalan Salah-operasi Pedal.

    Myvi 1.5L menggunakan enjin 2NR-VE berkuasa 102 hp/ 136 Nm dan ia datang dalam dua versi iaitu 1.5 High (RM51,800) dan 1.5 Advance (RM55,300). Transmisi yang digunakan pula adalah unit automatik empat kelajuan E-AT. Myvi 1.3L dikuasakan oleh enjin 1NR-VE 94 hp/ 121 Nm dan datang dalam tiga variasi – 1.3 Standard G manual (RM44,300), 1.3 Standard G automatik (RM46,300) dan 1.3 Premium X automatik (RM48,300).

    Menurut pengarah urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr. Zahari Husin, tempahan pada masa ini sudah mencecah 13,000 unit dan stok yang ada sekarang mencukupi untuk memenuhi permintaan tersebut. Beliau juga berterima kasih kepada orang ramai yang terus menyokong Perodua dan memilih Myvi ini sebagai kenderaan baru mereka.

    Myvi generasi ketiga ini dihasilkan dari platform Myvi generasi kedua, namun ia telah diolah semula bagi menjadikannya 70% baharu, manakala bahagian badan atas (upper body) pula adalah 100% baharu – kesemuanya adalah hasil kerja jurutera tempatan dari Perodua sendiri, dan bukannya saduran dari Daihatsu Boon mahupun Toyota Passo ataupun mana-mana model lain dua jenama berkenaan.

    GALERI: Perodua Myvi 1.5L Advance 2018

     
     
  • Toyota Alphard versi terbaharu mula dilihat di Jepun?

    Toyota Alphard versi terbaharu mula dilihat di Jepun?

    Toyota Alphard terbaru kini muncul dalam satu gambar yang beredar diinternet, seperti yang dilaporkan oleh laman web Autonetmagz.com dari Indonesia. Gambar berkenaan dikongsikan oleh pengguna Twitter dengan nama @ArancioAtlas.

    Di dalam gambar berkenaan, wajah depan Toyota Alphard itu dilihat ada kelainan berbanding versi terakhirnya. Pada lampu utamanya kini disertakan dengan tambahan kemasan hitam, yang sekaligus menjadi pemisah bagi bahagian atas dan bawahnya. Bamparnya juga lebih kemas dan ringkas.

    Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada Alphard yang dimaksudkan itu memang benar-benar dari jenis terbaru, atau versi facelift atau mungkin juga milik persendirian yang telah dilakukan pembaharuan mengikut citarasa peribadi pemiliknya.

    Namun, jika diperhatikan lebih dekat, gril yang digunakan juga nampak berbeza dari model semasa yang ada – ia kini bukan lagi dalam penampilan krom berkilat semata-mata, tetapi disadur dengan kemasan hitam. Pendekatan ini juga sebenarnya digunakan oleh Toyota bagi model-model baru yang diperkenalkan, seperti Toyota Rush 2018.

    Bentuk bampar juga nampak lebih sporty dan dalam masa yang sama, sangat ringkas. Lampu kabus berbentuk petak dipenjuru bawah bampar juga hadir dengan perumah berwarna hitam. Dari akaun Twitter yang dimaksudkan, pemiliknya sendiri menggunakan perkataan “New Alphard” dalam bahasa Jepun, memberikan petunjuk bahawa ini mungkin benar-benar versi terbarunya yang akan diperkenalkan nanti.

    Selain itu, tempat duduk MPV mewah ini juga kelihatan hadir dalam warna terang, kebarangkalian besar dalam warna beige atau putih kekuningan.

    Apa pun, setakat ini masih belum ada apa-apa pengesahan lanjut sama ada ini memang versi terbaru facelift bagi Alphard atau sebaliknya. Tapi, dari penampilan ini saja memang terlihat penampilan yang lebih kemas pada bahagian muka depannya berbanding model sedia ada.

     
     
  • VIDEO: 58 orang atas satu motosikal bergerak di India

    Pasukan yang melakukan aksi atas motosikal untuk pertunjukan ada banyak di merata dunia, dan ini adalah dari India, ataupun lebih tepat lagi, pasukan Army Service Corps (ASC) Tornadoes. Sebelum ini mereka sudah melakukan banyak pertunjukan dan aksi-aksi tersendiri namun kali ini adalah untuk memecahkan rekod dunia bagi jumlah orang terbanyak atas satu motosikal yang bergerak.

    Cubaan ini dilakukan di pengkalan askar udara Bangalore Yelahanka, India dan melalui video ini anda boleh melihat pandangan daripada salah seorang ahli yang berada di atas motosikal itu, serta pandangan dari jauh. Keseluruhannya, 58 orang berjaya dimuatkan atas motosikal Royal Enfield 500 yang digunakan.

    Sudah tentu, mereka bukannya semua duduk di atas motosikal tersebut, tetapi satu platform khas disediakan di bahagian tepi motosikal dan kebanyakan daripada mereka berdiri rapat antara satu sama lain. Walaubagaimanapun, motosikal itu masih lagi hanya mempunyai dua tayar dan bahagian tepi tidak mempunyai sokongan lain. Ada waktu anda boleh melihat motosikal itu terhuyung-hanyang cuba mengekalkan keseimbangan.

     
     
  • Infiniti QX50 baharu – imej rasmi dan perincian didedah; bakal tampil dengan enjin teknologi terkini

    Infiniti QX50 baharu – imej rasmi dan perincian didedah; bakal tampil dengan enjin teknologi terkini

    Infiniti telah mendedahkan QX50 baharu sebelum ia bakal dipamerkan di Los Angeles Auto Show 2017 minggu hadapan.

    Model generasi kedua QX50 ini hadir dengan teknologi bertaraf dunia, rekaan yang sungguh menyerlah dan ruang dalaman mendahului kelasnya, malah mampu menandingi model pesaingnya termasuk BMW X3, Mercedes-Benz G:C dan Audi Q5.

    QX50 baharu ini memiliki dimensi sepanjang 4,693 mm dan selebar 1,903 mm, iaitu 37 mm lebih panjang dan 13 mm lebih lebar berbanding SUV Mercedes-Benz saiz sederhana, satu-satunya trio Jerman yang kita telah biasa (G01 dan Q5 generasi kedua belum tiba di sini lagi). SUV buatan Jepun yang diperbuat dengan platform baharu ini juga memiliki 2,800 mm bagi jarak roda, iaitu 73 mm lebih pendek berbanding GLC. Ruang butnya juga luas, mencecah 895 liter, dan mampu mencapai 1,699 liter apabila tempat duduk belakangnya dibaringkan sepenuhnya.

    SUV premium ini juga akan didatangkan dengan enjin mampatan boleh ubah yang pertama diproduksi di dunia. Enjin 2.0 liter VC-Turbo mengambil masa selama 20 tahun untuk dibangunkan (menurut pengeluar ini) dan ia menggabungkan kuasa pecutan dan kecekapan jarak jauh.

    Mampu menghasilkan output sebanyak 272 PS dan tork 390 Nm, enjin VC-Turbo ini juga boleh melaraskan nisbah mampatan dari 8:1 (prestasi maksimum) ke 14:1 (ekonomi maksimum), dan boleh meningkatkan penjimatan sehingga 35% berbanding model lama yang dipadankan dengan enjin 3.7 liter NA V6.

    Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan kotak gear automatik CVT, membolehkan QX50 mencapai pacuan dari 0-96 k/j dalam tempoh 6.3 saat, atay 6.7 saat bagi varian pacuan roda-hadapan, dengan kelajuan tertinggi 230 km/j. Kerangka baharu ini juga memiliki 23% ketegaran yang lebih optimum (yang sepatutnya boleh meningkatkan pengendaliannya) dan lebih 6% aerodinamik.

    QX50 baharu ini juga akan didatangkan dengan teknologi bantuan pemanduan Nissan ProPILOT, yang juga ada pasa Nissan Leaf terbaharu. Bagi EV, ProPILOT ini merupakan teknologi pemanduan sendiri lorong-tunggal yang boleh mengawal jarak antara kenderaan hadapan secara automatik dengan menggunakan ketetapan kelajuan yang ditetapkan oleh pemandu (antara 30 dan 100 km/j), sementara roda stereng akan terkawal dengan sendirinya di tengah lorong.

    Sistem tersebut juga akan membrek untuk berhenti, tanpa kaki pemandu diletakkan di pedal brek. Untuk menghidupkan semula sistem, pemandu hanya perlu menyentuh suis itu sekali lagi atau memijak sedikit pedal pendikit.

    Kalau dilihat daripada rupanya, rekaan akhir QX50 ini bukanlah suatu kejutan yang besar, ia masih banyak menyamai model konsep QX50 tetapi telah dikurangkan sedikit bagi model produksi. Buat masa ini kami masih belum menerima foto rasmi dalaman atau luarannya, tetapi anda boleh bayangkannya menerusi foto spyshot dan konsep di bawah ini.

    GALERI: Foto spyshot Infiniti QX50

    GALERI: Model konsep Infiniti QX50

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025