Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua Axia E 2023 sebenarnya model tahun 2014, ESC tidak wajib dalam ujian pada waktu itu – MIROS

    Perodua Axia E 2023 sebenarnya model tahun 2014, ESC tidak wajib dalam ujian pada waktu itu – MIROS

    Hujung minggu lalu, presiden MCA dan bekas menteri pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menaikkan persoalan kenapa Perodua Axia E 2023 yang dilancarkan 15 Jun lalu tidak dilengkapi dengan sistem brek anti kunci (ABS) dan juga kawalan cengkaman (ESC) kerana ini adalah tahap keselamatan minimum untuk semua kenderaan baru.

    Walaubagaimanapun, Axia E 2023 nampaknya tidak perlu untuk memenuhi keperluan tersebut. Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Axia E 2023 sebenarnya bukan model serba baru, dan ia menggunakan asas daripada Axia generasi pertama yang dilancarkan pada tahun 2014.

    Dalam satu maklum balas bertulis kepada New Straits Times berkenaan perkara ini, MIROS memberitahu, meskipun ESC dan ABS telah diwajibkan untuk semua kereta baru bermula 1 Julai 2018, Axia E ini diuji melalui protokol lama sebelum ini dan pada waktu itu ESC bukanlah suatu perkara yang diwajibkan.

    NST turut menambah bahawa dengan asas itu, kereta tersebut telah memenuhi segala keperluan penilaian pada waktu itu dan ia boleh diguna pakai sepanjang kitar hidupnya.

    Perodua Axia E 2023 sebenarnya model tahun 2014, ESC tidak wajib dalam ujian pada waktu itu – MIROS

    Dalam kenyataan MIROS menyatakan lagi bahawa Axia 2023 generasi kedua yang diperkenalkan awal tahun ini telah melalui protokol penilaian ASEAN NCAP terbaru, yang memerlukan bukan sahaja ESC, tetapi juga beberapa lagi teknologi bantuan keselamatan lain seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Blind Spot Detection (BSD) dan Lane Keep Assist (LKA) untuk mendapatkan kelulusan tahap keselamatan empat bintang ke atas.

    Berkenaan perkara ini, Perodua juga sekali lagi menjelaskan bahawa Axia E bukanlah model serba baru dan ia menggunakan asas daripada Axia generasi kedua, facelift tahun 2017. Apa yang baru apabila ia diperkenalkan semula adalah harganya, iaitu RM22,000.

    Untuk menjadikan perkara ini lebih jelas kepada pelanggan, MIROS kini sedang bekerjasama dengan Kementerian pPrdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) untuk mewajibkan peletakan label tahap keselamatan pada kenderaan penumpang di pusat pameran atau tempat-tempat promosi lain. Label tersebut akan menunjukkan ciri keselamatan yang terdapat pada kenderaan.

     
     
  • Polis tumpaskan pencuri catalytic converter – sasar tempat letak kereta di LRT, MRT; 15 kes selesai

    Polis tumpaskan pencuri catalytic converter – sasar tempat letak kereta di LRT, MRT; 15 kes selesai

    Polis Selangor telah mengumumkan bahawa pihaknya berjaya memberkas dua lelaki yang terlibat dengan beberapa kes kecurian catalytic converter ekzos kereta di sekitar Lembah Klang.

    Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, ia susulan laporan yang dibuat oleh seorang pemilik Toyota Estima pada 12 Jun lalu. Di mana dia mendapati komponen catalytic converter MPV miliknya telah dicuri dan terdapat kesan potong pada paip ekzos. Ia berlaku ketika MPV itu diparkir di tempat letak kereta stesen MRT Serdang.

    “Bertindak atas maklumat tersebut, pada 18 Jun, pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Serdang telah membuat serbuan di kawasan Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya. Hasil serbuan terbabit telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan (B1) berusia 34 tahun, yang kemudiannya membawa kepada penangkapan kedua (B2), juga lelaki warga tempatan berusia 43 tahun.

    “Dalam serbuah tersebut, polis turut menyita sejumlah 46 unit catalytic converter yang dianggarkan bernilai RM35,000, serta beberapa kelengkapan yang digunakan dalam kegiatan mencuri tersebut termasuk gergaji besi dan jek kereta,” kata Hussein menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh IPK Selangor.

    Beliau turut berkata, B1 bekerja sebagai pembantu di kedai alat ganti kereta di Subang, sementara B2 pula bertindak sebagai ejen pengumpul barang-barang alat ganti ekzos di sekitar KL. Modus operansi adalah menyasarkan tempat letak kereta yang tiada pengawal di stesen LRT/MRT, dan mereka hanya mencuri catalytic converter dari kenderaan Toyota sahaja.

    “B1 akan mencuri komponen berkenaan dan menyerahkannya kepada B2 untuk dijual kepada pemborong di pasaran luar negara yang berminat untuk mendapatkan material di dalam ekzos seperti platinum, palladium dan rhodium.

    “Hasil siasatan mendapati B1 mula mencuri catalytic converter sejak awal Jun 2023 kerana terdapat permintaan catalytic converter dari luar negara, dengan anggaran untuk setiap catalytic converter bernilai dari RM500 hingga RM2,500. Hasil tangkapan ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan 15 kes kecurian catalytic converter di sekitar Lembah Klang,” tambahnya lagi.

    Kedua-dua suspek akan didakwa di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan, dan jika didapati bersalah, boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari tujuh tahun, berserta dengan denda.

     
     
  • Mercedes-AMG A35 Sedan CKD facelift 2023 – harga anggaran RM354,000, 306 PS/400 Nm, MHEV 48V

    Mercedes-AMG A35 Sedan CKD facelift 2023 – harga anggaran RM354,000, 306 PS/400 Nm, MHEV 48V

    Ketika pelancaran Mercedes-Benz A-Class Sedan facelift CKD 2023 (A200 dan A250) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada hari Rabu minggu lalu, kelibat versi prestasinya iaitu A35 Sedan facelift 2023 tidak kelihatan, dan Mercedes-Benz Malaysia hanya memberikan harga anggaran RM354,000 untuk model tersebut.

    Namun model tersebut kemudiannya muncul di SIC pada hujung minggu ketika berlangsungnya perhimpunan Mercedes-AMG Track Day. Seperti versi sebelum ini, Mercedes-AMG A35 4Matic Sedan V177 ini masih hadir dalam versi pemasangan tempatan (CKD), di produksi bersama A200 dan A250 di Pekan, Pahang.

    Versi yang disegarkan ini masih dijana unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin M260 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 306 PS pada takat 6,100 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,500 rpm hingga 4,000 rpm. Bagi model kemaskini ini, A35 Sedan turut menerima sistem hibrid ringkas (MHEV) 48V yang menampilkan unit starter generator pacuan tali sawat (RSG) berkuasa 14 ps dan tork 150 Nm.

    Mercedes-AMG A35 Sedan CKD facelift 2023 – harga anggaran RM354,000, 306 PS/400 Nm, MHEV 48V

    Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan AMG Speedshift DCT 8G bagi menggantikan unit AMG Speedshift DCT 7G sebelum ini. Kuasa kemudiannya dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD AMG Performance 4Matic.

    Walau bagaimanapun, angka prestasi dilihat tidak berubah di mana ia masih mencatatkan masa 4.8 saat untuk pecutan 0-100 km/j dan kelajuan maksima dicatatkan pada 250 km/j.

    Pada sebelah luar, seperti biasa model prestasi ini mengenakan bampar “A-Wing profile” dan gril hadapan AMG yang lebih garang, serta diberikan emblem AMG bagi menggantikan logo bintang tiga penjuru yang berdiri pada muncung bonet hadapan.

    Mercedes-AMG A35 Sedan CKD facelift 2023 – harga anggaran RM354,000, 306 PS/400 Nm, MHEV 48V

    Ia juga hadir dengan lampu hadapan LED baharu seperti A200 dan A250 facelift menampilkan lampu nyalaan siang yang kini lebih nipis dan tidak lagi berbentuk-L seperti versi sebelum ini. Model ini juga menerima rim aloi AMG lima jejari berkembar berdiameter 19-inci, dibalut dengan tayar 235/35R19.

    Di belakang, model facelift ini diberikan lampu baharu dengan grafik LED dalam yang berlainan dari sebelumnya, tetapi untuk bahagian lain seperti, lips spoiler, unit diffuser dan bampar serta dua tip ekzos berbentuk bulat masih lagi nampak sama seperti model pre-facelift.

    Manakala dalam kabin, A35 AMG facelift ini menerima sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dengan gaya paparan AMG yang dipertingkat kepada versi NTG7, dan ia menampilkan pelbagai servis terhubung, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar serta sistem audio surround dari Burmester. Ia juga menampilkan port pengecas diperingkat dengan memberikan fungsi cas pantas dan tambahan port USB Type-C

    Perincian standard lain yang turut diberikan pada A35 facelift ini termasuk tempat duduk hadapan Sports dengan upholsteri gandingan kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut, tali pinggang keledar berwarna merah, karpet kaki AMG, lampu suasana 64-warna, bendul sisi bernyala AMG, dan juga roda stereng AMG balutan kulit Nappa.

    Bagi anda yang mahukan lebih kuasa, model Mercedes-AMG A45S 4Matic+ facelift juga sudah dilancarkan di Malaysia. Model tersebut masih menggunakan enjin 2.0L turbo berkuasa 421 hp/500 Nm, dan ia hanya hadir dalam versi hatchback yang diimport sepenuhnya CBU – dijual pada harga atau jalan bermula RM509,888 untuk model standard sehingga RM539,888 untuk model edisi terhad Street Style Edition.

     
     
  • Honda CBR150R terima pilihan warna baru – RM13.3k

    Honda CBR150R terima pilihan warna baru – RM13.3k

    Setelah hampir dua tahun berada dalam pasaran, CBR150R kini ditawarkan dalam satu pilihan warna baru yang dipanggil sebagai Pearl Nightfall Blue, sebagai tambahan kepada warna sedia ada sebelum ini. Ia boleh didapati di kedai wakil pengedar Boon Siew Honda bermula 22 Jun, dan dijual pada harga RM13,299 tidak termasuk insurans.

    Honda CBR150R adalah sebuah model sports permulaan yang datang dengan fairing penuh dan masuk ke dalam pasaran sebagai pesaing utama kepada Yamaha R15. Kesemua lampunya adalah unit LED, dan ia menawarkan posisi tunggangan yang agresif bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan motosikal sports.

    CBR150R dipacu oleh enjin satu silinder DOHC 149.2 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dan dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac assist and slipper, untuk menghasilkan kuasa 16 hp pada 9,000 rpm dan 13.7 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Pada bahagian meter, ia dilengkapi dengan unit digital yang lengkap dengan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan tahap rpm. Tangki bahan api berkapasiti 12 liter sementara berat keseluruhan motosikal adalah 139 kg.

    Suspensi model ini juga dipadankan dengan ciri sporty, menggunakan unit fork USD berwarna emas di hadapan (tanpa sebarang pelarasan) dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Kedua-dua bahagian depan dan belakang menggunakan brek cakera, siap dengan ABS two-channel dan rim pula bersaiz 17 inci dengan dibalut tayar 100/80 di hadapan dan 130/70 di belakang.

     
     
  • JPJ KL sita 39 kenderaan perdagangan dipandu warga asing dalam Ops PeWA di Kepong dan Batu Muda

    JPJ KL sita 39 kenderaan perdagangan dipandu warga asing dalam Ops PeWA di Kepong dan Batu Muda

    Sebanyak 39 kenderaan perdagangan yang dipandu oleh warga asing telah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) oleh JPJ dan Jabatan Imigresen di sekitar Kepong dan Batu Muda hari ini.

    Dalam operasi berkenaan, sebanyak 207 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan JPJ WPKL selain menyita 39 kenderaan membabitkan 15 lori dan 22 motosikal serta masing-masing sebuah kereta dan forklif. Malahan 39 pemandu warga asing itu turut ditahan dalam operasi yang sama, laporan Berita Harian.

    Menurut Timbalan Pengarah JPJ WPKL, Eric Jusiang, adalah menjadi satu kesalahan jika mana-mana warga asing memandu kenderaan perdagangan di negara ini.

    JPJ KL sita 39 kenderaan perdagangan dipandu warga asing dalam Ops PeWA di Kepong dan Batu Muda

    “Pemandu kenderaan perdagangan seharusnya memiliki Lesen Memandu Vokasional (GDL) tetapi warga asing tidak dibenarkan mengambil lesen berkenaan.

    “Justeru adalah satu kesalahan apabila ada warga asing dikesan memandu kenderaan perdagangan sama ada lori, bas, teksi, van pelancong, motosikal roda tiga dan semua jenis kenderaan perdagangan lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ WPKL.

    Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik kenderaan berdaftar yang membenarkan kenderaan mereka dipandu warga asing tanpa lesen dan menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi tujuan perniagaan.

    Secara keseluruhan JPJ WPKL sudah menjalankan 11 operasi bersama Jabatan Imigresen sepanjang tahun ini, selain mengeluarkan 564 notis kesalahan serta merampas 121 kenderaan. Selain itu 190 warga asing yang dikesan memandu kenderaan perdagangan telah diambil tindakan.

     
     
  • Mitsubishi Triton 2023 – teaser rasmi di siar, muncul di Thailand pada 26 Julai ini dengan rekaan ‘Beast Mode’

    Mitsubishi Triton 2023 – <em>teaser</em> rasmi di siar, muncul di Thailand pada 26 Julai ini dengan rekaan ‘Beast Mode’

    Mitsubishi secara rasmi mengumumkan bahawa model generasi baharu trak pikap Triton bakal membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada 26 Julai 2023 nanti. Serentak dengan pengumuman ini, jenama tiga berlian berkenaan turut menyiarkan gambar dan video teaser untuk trak pikap berkenaan.

    Seperti diumumkan sebelum ini, Triton generasi ke-enam ini akan tampil sebagai model produksi bagi model XRT Concept yang didedahkan pada Mac lalu. Model konsep tersebut sebenarnya dilihat hampir seperti model produksi sebenar, dan menerusi teaser baharu ini lebih banyak perincian telah didedahkan sebelum kemunculan rasminya sekitar sebulan lagi dari sekarang.

    Menurut pengurus besar untuk rekaan Mitsubishi Motors, Seiji Watanabe, Triton generasi baharu ini diimaginasikan semula dengan konsep rekaan ‘Beast Mode’, atau gagah dan berani.

    “Dalam menunjukkan sifat lasak dan berkuasa yang diharapkan dari sebuah trak pikap, Triton serba baharu menggabungkan ketangkasan dan rekaan Mitsubishi yang gagah bagi menjelmakan rupa yang mengkagumkan. Lasak dan boleh diharap, Triton serba baharu ini akan membuatkan pelanggan mahu mengembara ke mana sahaja,” katanya.

    Dalam teaser yang disiarkan, dapat dilihat Triton baharu ini sememangnya menerima rekaan yang sangat agresif. Pada bahagian muka, ia diberikan gril dengan elemen melintang yang nampak lasak, bersama tulisan ‘Mitsubishi’ diletakkan di atas logo hadapan. Bonet hadapan juga kelihatan menampilkan ‘otot-otot’ yang lebih gagah dari sebelum ini.

    Seperti Triton sebelum ini, model generasi baharu ini turut menampilkan lampu nyalaan siang LED tirus pada sebelah atas yang disifatkan sebagai “pandangan tajam seekor helang”. Manakala untuk lampu utama, ia nampaknya turut diberikan lampu LED dengan tiga ‘kiub’ yang disusun dalam kluster dengan kemasan krom seperti huruf-T.

    Elemen-T yang sama turut boleh dilihat pada grafik LED lampu belakang, yang menampilkan kluster dengan saiz agak besar, sesuai dengan saiz badannya yang nampak lebih besar dan lebih lebar dari Triton sedia ada.

    Beberapa perincian dalaman juga kelihatan dalam teaser baharu ini. Antaranya rekaan papan pemuka yang bersegi melambangkan struktur yang lasak, skrin bersaiz besar diletakkan di atas liang pendingin hawa tengah manakala panel kawalan digital terletak di bawahnya.

    Perincian lain dalam kabin yang didedahkan termasuk suis pilihan mod 4WD (2H, 4H, 4HLc dan 4LLc) jenis putar, brek tangan yang masih menggunakan tuil konvensional, dan juga butang-butang pilihan untuk mod pemanduan serta kawalan menurun bukit. Bayangan yang diberikan juga menunjukkan Triton mungkin menerima paparan instrumen digital menggunakan skrin.

    Mitsubishi masih belum menyiarkan sebarang spesifikasi teknikal untuk Triton generasi baharu ini. Namun sebelum ini ia telah mengesahkan bahawa Triton 2024 ini akan diasaskan dari platform ladder frame yang sama dengan rakan sekutunya dalam Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi iaitu Nissan Navara.

    Tetapi Mitsubishi menegaskan bahawa pembangunan yang dibuat bukanlah semudah proses rebadge, sebaliknya platform baharu ini telah menerima kejuteraan semula dari mereka sendiri dan ia kini adalah baharu sepenuhnya. Mitsubishi juga dijangka tidak akan menggunakan enjin Nissan, tetapi ia mungkin akan dijana oleh enjin 4N16 2.4 liter MIVEC DOHC Turbodiesel baharu bagi menggantik enjin 4N15 sebelum ini.


     
     
  • Subaru bangunkan EyeSight untuk kereta transmisi manual – bakal diperkenalkan pada BRZ di Jepun

    Subaru bangunkan EyeSight untuk kereta transmisi manual – bakal diperkenalkan pada BRZ di Jepun

    Buat masa ini, sistem bantuan pemanduan EyeSight ciptaan Subaru hanya ada pada kereta transmisi automatik keluarannya. Walau bagaimana pun, ia akan berubah tidak lama lagi apabila pengeluar kereta Jepun ini telah mengumumkan pembangunan EyeSight bagi kereta transmisi manual, dengan BRZ akan menjadi model pertama di Jepun yang bakal menerimanya pada musim luruh ini (mulai September).

    Menurut Subaru, sistem EyeSight untuk BRZ manual berasaskan apa yang telah diimplementasi pada varian automatik. Ia merangkumi brek pra-pelanggaran (brek kecemasan sendiri), kawalan kelajuan adaptif, amaran ketibaan lorong, kepekaan kenderaan di hadapan dan amaran sonar belakang. Ia bakal menyertai pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang yang telah pun diberikan buat BRZ manual.

    “Sambil mengekalkan prestasi tinggi dalam pengelak perlanggaran, pengurangan kerosakan perlanggaran, dan dalam mengurangkan beban kerja pemandu, sistem EyeSight baharu kini digabungkan dengan kawalan yang disesuaikan dengan ciri pemanduan dan pengendalian kenderaan transmisi manual. Ini membolehkan sistem beroperasi dalam pelbagai situasi sebenar, memberikan keseronokan pemanduan tahap tinggi dan ketenangan fikiran,” kata syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkannya.

    Ciri-ciri sistem EyeSight Subaru bergantung pada teknologi kamera stereo dengan dua kamera berwarna diletakkan berhampiran cermin pandang belakang yang mengimbas jalan di hadapan untuk bahaya yang tidak dijangka. Sejak kemunculannya pada tahun 2008, jualan global terkumpul kenderaan Subaru yang dilengkapi dengan EyeSight telah mencapai lebih 5.5 juta unit.

    BRZ dan Toyota GR86 dibangunkan di kilang milik Subaru di Gunma, Jepun. Malahan GR86 juga bakal menerima naiktaraf yang sama. Begitu juga dengan WRX yang patut menerima sistem EyeSight ini bagi versi trabsmisi manualnya.

     
     
  • Michelin Brand Experience beri peluang uji Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+ baru dalam pelbagai keadaan

    Michelin Brand Experience beri peluang uji Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+ baru dalam pelbagai keadaan

    Michelin sebenarnya kerap melakukan acara untuk pelanggan serta pengedar mereka menguji tayar terbaru yang dilancarkan untuk pasaran. Walaubagaimanapun disebabkan pandemik dan keadaan yang sukar beberapa tahun lepas, acara seperti ini terpaksa ditangguhkan.

    Baru-baru ini dengan keadaan yang sudah bertambah baik, Michelin menganjurkan satu acara yang digelar sebagai Michelin Brand Experience di Litar Antarabangsa Sepang, selama tiga hari untuk memberikan peluang kepada pelanggan, pengedar serta wakil media menguji dua produk terbaru mereka yang dilancar tahun lepas iaitu Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+.

    Secara keseluruhannya acara ini melibatkan sesi pemanduan dalam litar, pemanduan di atas jalan biasa, brek atas laluan basah serta laluan mengelak kon. Tambah menarik lagi, Michelin turut menyediakan tayar jenama lain serta tayar mereka sendiri yang sudah haus untuk menunjukkan kelebihan produk terbaru ini.

    Michelin Brand Experience beri peluang uji Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+ baru dalam pelbagai keadaan

    Sebelum pergi kepada pengalaman di acara ini, mahu kami terangkan sedikit berkenaan dua tayar baru ini. Pilot Sport 5 adalah tayar prestasi tinggi permulaan yang menggantikan Pilot Sport 4, dan melalui pelbagai perubahan yang dibuat, ia menerima peningkatan antaranya pada aspek cengkaman di atas jalan basah serta prestasi yang tahan lebih lama, dalam masa sama tidak memberi kompromi pada aspek lain.

    Peningkatan yang hampir sama juga dibuat pada Primacy SUV+, yang merupakan pengganti kepada Primacy SUV sebelum ini, tetapi ia adalah tayar untuk kenderaan jenis SUV (lebih untuk kegunaan atas jalan biasa), sementara Pilot Sport 5 pula untuk kenderaan biasa.

    Pilot Sport 5 ditawarkan dalam saiz bermula dari 17 hingga 19 inci, dengan harga antara RM700 hingga RM1,900 sebiji, sementara Primacy SUV+ pula ditawarkan dari saiz 16 hingga 20 inci, dengan harga antara RM600 ke RM1,600.

    Michelin Brand Experience beri peluang uji Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+ baru dalam pelbagai keadaan

    Bermula dengan pemanduan dalam litar, kami diberikan peluang memandu dua Mercedes-Benz C-Class yang dipasang dengan Pilot Sport 5 dan juga tayar pesaing utamanya. Ia cuma melibatkan separuh litar sahaja dan pada selekoh yang pertama, jalan dibasahkan supaya peserta dapat merasakan bagaimana tindakan tayar ini.

    Perbezaan antara keduanya memang jelas. Pada kelajuan serta radius pusingan yang sama, kenderaan yang menggunakan Pilot Sport 5 didapati masih boleh kekal dalam laluan yang diingini atas jalan basah, sementara tayar pesaing pula apabila dibuat tindakan yang sama, akan tergelincir sedikit dan terkeluar dari laluan.

    Satu lagi kelebihan Pilot Sport 5 yang boleh dirasa sewaktu ujian dalam litar adalah ia lebih senyap. Pada kelajuan mendatar yang sama (140 km/j), tayar pesaing didapati menghasilkan bunyi lebih kuat dalam kenderaan, meskipun kedua-duanya menggunakan kereta yang sama.

    Michelin Brand Experience beri peluang uji Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+ baru dalam pelbagai keadaan

    Aktiviti kedua adalah brek atas laluan basah (jalan lurus). Ia dilakukan untuk kedua-dua Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+, dengan melibatkan tayar baru, tayar yang sudah sampai tahap untuk ditukar (Michelin) serta tayar pesaing.

    Sememangnya seperti yang sudah dijangka, kedua-dua tayar Michelin ini dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding tayar pesaing, dapat berhenti dalam jarak yang lebih pendek apabila brek mengejut pada kelajuan hampir 100 km/j.

    Lebih menarik dalam ujian ini, tayar Michelin yang sudah sampai tahap untuk ditukar (mengikut penanda di tayar) juga menunjukkan penurunan prestasi yang sedikit sahaja, dan jarak ia berhenti jika dibandingkan dengan tayar Michelin yang baru adalah tidak jauh.

    Michelin Brand Experience beri peluang uji Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+ baru dalam pelbagai keadaan

    Dalam ujian mengelak kon, Pilot Sport 5 sebagai tayar prestasi memang terbukti dapat bertahan dengan tindakan kereta yang mengelak dengan mengejut dan pantas, sambil pada masa sama, penganjur juga menjadikan keadaan lebih mencabar dengan menjadikan pusingan U di hujung jalan basah disimbah air. Sekali lagi, prestasi baik tayar ini terserlah.

    Sesi akhir yang melibatkan Toyota Fortuner serta Honda CR-V yang dipandu sekitar jalan luar keliling litar Sepang adalah lebih pendek, tetapi ia dapat menunjukkan kelebihan Primacy SUV+ yang lebih senyap serta selesa berbanding tayar pesaing apabila melalui jalan dengan permukaan yang tidak bagus.

    Kedua-dua tayar Pilot Sport 5 dan Primacy SUV+ ini sudah berada di pasaran dalam pelbagai saiz dan anda boleh ke pengedar tayar Michelin untuk mendapatkannya.

     
     
  • Chery Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro 2023 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada 6 Julai ini

    Chery Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro 2023 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada 6 Julai ini

    Chery Malaysia telag menguar-uarkan bahawa pihaknya akan melancarkan modelnya di pasaran tempatan pada 6 Julai ini. Ia melibatkan dua model SUV Chery Omoda 5 dan juga Tiggo 8 Pro. “Block your calendars on 6 July 2023 and witness our momentous brand launch! The Omoda 5 and Tiggo 8 Pro will be taking centre stage,” kata Chery Malaysia menerusi laman Facebook rasminya.

    Chery Omoda 5 merupakan sebuah SUV kompak yang bakal menjadi pesaing terbaru bagi Honda HR-V, Toyota Corolla Cross dan Proton X50. Dijual di Malaysia sebagai unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah, sekaligus menjadikan negara ini sebagai hab produksi bagi unit pemanduan sebelah-kanan.

    Omoda 5 dengan spesifikasi pasaran Malaysia akan menggunakan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang menjana 147 PS (145 hp) dan 230 Nm tork. Kuasa ini disalur ke roda hadapan melalui CVT. Chery Malaysia juga telah mengesahkan bahawa enjin berkenaan akan diberikan jaminan 10-tahun/1,000,000 km daripada Chery, sebuah tawaran yang menunjukkan mereka cukup yakin dengan produk yang dihasilkan.

    SUV ini menampilkan pendekatan rekaan Art in Motion oleh Chery, dengan kelainan antaranya di bahagian gril depan yang besar dan tanpa bingkai, yang masuk bersekali dengan DRL LED tirus yang ada. Lampu utama LED pula terletak berdekatan bucu bampar depan di bawah DRL, dan di belakang, rekaan lampu yang diberikan lebih lebar dengan tulisan Chery.

    Di dalam, papan pemukanya yang lebar menempatkan kluster instrumen serta skrin sentuh di tengah, kedua-duanya bersaiz 10.25-inci. Skrin kedua itu adalah untuk kegunaan infotainmen yang lengkap dengan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, dengan sokongan sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara.

    Agak-agak berapakah harga bagi Omoda 5 ini? Kami menjangkakan harganya di antara X50 Flagship (RM113,300) dan HR-V Turbo V (RM134,800).

    Bagi SUV segmen-D tujuh tempat duduk dari Chery iaitu Tiggo 8 Pro pula, untuk pasaran Malaysia, ia tidak diberikan perkataan “Max” supaya namanya lebih ringkas. Walaupun unit ini merupakan versi pemanduan sebelah kanan dengan spesifikasi penuh pasaran Malaysia, ia sebenarnya masih lagi unit yang diimport sepenuhnya (CBU), tetapi menampilkan perincian-perincian terkini yang sama seperti Chery Tiggo 8 Pro Max pasaran China, dan sama dengan versi pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Inokom di Kulim.

    Untuk enjin, Tiggo nampaknya bakal menjadi antara model yang paling berkuasa dalam kelasnya – dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api penuh (T-GDI) menghasilkan 250 hp dan tork maksima 390 Nm. Kuasa dari enjin berkenaan hanya disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, serta diberikan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

    Dari segi rupa, model sebenar spesifikasi tempatan ini agak sedikit berbeza dari versi yang dipratonton di Malaysia pada tahun lalu. Tiggo 8 Pro 2023 ini menampilkan gril “galaxy’ baharu pada sebelah muka, manakala di belakang ia hadir dengan lampu bar LED yang merentangi sepenuhnya bersama lampu brek ketiga berbentuk-T. Set roda juga dipertingkat dengan rim 19-inci, berbanding hanya 18-inci yang ditunjuk sebelum ini.

    Bahagian dalam Tiggo 8 Pro ini juga dilihat menerima perincian yang agak mewah. Ia menerima papan pemuka dengan elemen melintang, bersama skrin gergasi berkembar dengan saiz 24.6-inci secara keseluruhan untuk sistem infotainmen dan paparan instrumen digital penuh.

    Imej ‘mewah’ pada Tiggo 8 Pro ini juga sebenarnya datang dari rekaan yang nampak dinspirasikan dari model-model dari Mercedes-Benz – cuba lihat pada bahagian-bahagian seperti suis-suis kawalan, kemasan kayu pada papan pemuka dan juga gril pembesar suara dengan gaya Burmester pada pintu serta jalur LED untuk lampu suasana kabin.

    Ia juga menerima roda stereng baharu, menampilkan tulisan ‘Chery’ bagi menggantikan logo rasmi. Kabin Tiggo 8 Pro 2023 pasaran Malaysia ini juga menerima lapan-pembesar suara dari Sony serta sembilan beg-udara.

    Antara perincian lain yang turut dibekalkan untuk Tiggo 8 Pro pasaran Malaysia ini termasuk brek parking elektonik bersama fungsi auto-hold, lampu hadapan LED automatik bersama lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu selamat datang bersama lampu suasana kabin pelbagai warna, tempat duduk hadapan larasan elektrik dengan pemanas/liang udara, fungsi memori pada tempat duduk pemandu, pendingin hawa automatik dua-zon dengan liang kabin belakang, pintu tailgate berkuasa, bumbung suria panaromik elektrik, pengecas tanpa wayar serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Harganya? Mungkinkah Tiggo 8 Pro mahal sedikit berbanding pesaingnya Proton X90 tetapi lebih murah berbanding Mazda CX-8, barangkali sekitar RM165k? Apa pun kena nantikan pelancarannya pada bulan hadapan.

    GALERI: Chery Omoda 5 2023 di Malaysia

    GALERI: Chery Tiggo 8 Pro 2023 di Malaysia

     
     
  • Shell FuelSave 95 Challenge 2023 umum pemenang – juara bawa pulang RM20k dengan rekod 28.23 km/l

    Shell FuelSave 95 Challenge 2023 umum pemenang – juara bawa pulang RM20k dengan rekod 28.23 km/l

    Pada Februari lalu, Shell Malaysia telah memperkenalkan Shell FuelSave 95 baharu dengan formulasi bahan api gred utama terbaik ciptaannya setakat ini yang didakwa dapat membuktikan perjalanan 15 kilometer (km) lebih jauh bagi setiap tangki.

    Susulan pelancaran itu, Shell Malaysia telah menganjurkan Shell FuelSave 95 Challenge 2023 bagi menggalakkan pelanggan menikmati perjalanan 15 km lebih jauh tanpa gangguan untuk setiap tangki yang diisi dengan bahan api gred utama baharu ini.

    Selepas sebulan Shell FuelSave 95 Challenge 2023 dianjurkan akhirnya menemui pemenangnya. Chin Li Qin, 26 tahun dari Johor dinobatkan sebagai pemandu paling efisien di Malaysia selepas merentasi lima wilayah dengan mencatatkan perbatuan bahan api yang menakjubkan sebanyak 28.23 km bagi setiap liter (km/l).

    “Kini, kami bukan sahaja dapat mengukur penjimatan bahan api yang diperoleh pelanggan bagi setiap tangki penuh Shell FuelSave 95, tetapi juga dapat menyaksikan pelanggan kami mencapai perbatuan yang menakjubkan seterusnya membuktikan Shell FuelSave 95 baharu kami ternyata lebih jauh.

    “Melalui keputusan Shell FuelSave 95 Challenge 2023, bahan api kami terbukti memberikan perbatuan lebih jauh. Saya menyeru agar lebih ramai rakyat Malaysia mencuba dan alami penjimatan bahan api kami yang lebih baik serta kongsikan pengalaman anda sama ada ia Biar Benar, Lebih KM!” kata Seow Lee Ming, Pengurus Besar Mobiliti, Shell Malaysia.

    “Saya sangat teruja apabila diumumkan sebagai johan Grand Finale Shell FuelSave 95 Challenge 2023. Ia merupakan pencapaian yang amat mengagumkan apabila peserta lain juga berjaya mencapai perbatuan melebihi penanda aras purata. Beberapa keadaan jalan raya agak mencabar tetapi saya pastikan fokus saya tidak terganggu dan mengekalkan gaya pemanduan saya seperti di kampung halaman,” kata Li Qin yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000.

    Cabaran Grand Finale bermula di Shell SM Alisha, Shah Alam dengan jarak keseluruhan 121 km yang melalui pelbagai keadaan jalan raya yang berbeza merentasi Cyberjaya – Bukit Jalil – Cheras – Ampang – Gombak – Sri Hartamas – Kota Damansara – Puncak Alam sebelum kembali semula ke lokasi permulaan.

    Li Qin telah bersaing dengan Jeffrey Tan Teck Heng dari Port Dickson, Ahmad Amirul Runass dari Kuantan, Muhammad Jazli Mahathir dari Ipoh, dan Lai Siaw Feng dari Kuching, yang juga mewakili wilayah masing-masing telah berjaya melepasi penanda aras purata perbatuan sebanyak 18.5 km/l dengan Shell FuelSave 95.

     
     
  • Perodua Nexis dibayangkan dari Toyota Yaris Cross – rupa paling hampir untuk pesaing baru Proton X50?

    Perodua Nexis dibayangkan dari Toyota Yaris Cross – rupa paling hampir untuk pesaing baru Proton X50?

    Sebelum ini berberapa lakaran digital telah dibuat bagi membayangkan rupa SUV baharu yang sedang dibangunkan oleh Perodua, setakat ini dikenali dengan kod projek D66B. Lakaran-lakaran tersebut dibuat secara rawak tanpa rujukan dari unit prototaip sebenar, dan hanya mengambil elemen-elemen dari model-model terbaharu Perodua yang telah dijual dalam pasaran.

    Namun selepas Toyota Yaris Cross didedahkan di Indonesia bulan lalu, bayangan untuk rupa sebenar SUV D66B Perodua ini makin jelas. Ini kerana Yaris Cross yang sebelum itu dikenali dengan kod projek D03B berkemungkinan besar adalah kembar kepada D55B, kerana kedua-duanya merupakan SUV segmen-B yang diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dari varian DNGA-B.

    Seperti biasa, bayangan Perodua Nexis berasaskan Toyota Yaris Cross ini dihasilkan oleh pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin. Mana datang nama Nexis ni? Nama berkenaan sebenarnya sudah dilihat didaftarkan oleh Perodua bersama satu lagi nama iaitu ‘Traz’ di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sebelum Perodua Alza 2022 dilancarkan lagi. Walaupun nama berkenaan masih belum diumumkan secara rasmi akan digunakan oleh Perodua, sudah ramai yang meramalkan bahawa ia akan digunakan pada SUV baharu Perodua ini kelak.

    Bagi Nexis yang dibayangkan oleh Theo ini, seperti lazimnya model kembar Toyota-Daihatsu-Perodua yang lain, ia berkongsi rupa asas badan yang sama. Jadi Theo mulakan merubah Yaris Cross kepada Nexis dengan merubah bahagian hadapan, menerapkan rekaan gril hadapan, lampu nyalaan siang LED yang diletakkan secara berdiri, menonjolkan bentuk-X pada muka seperti Myvi.

    Perodua Nexis dibayangkan dari Toyota Yaris Cross – rupa paling hampir untuk pesaing baru Proton X50?

    Di belakang, kluster lampu Yaris Cross masih dikekalkan tetapi Theo menambah bar lampu untuk merentangi sepenuhnya pintu taligate. Logo-logo Toyota juga telah ditukar kepada logo Perodua, dan Theo turut ‘menampal’ emblem Nexis pada sebelah kiri pintu tailgate berkenaan.

    Berdasarkan spesifikasi yang telah dikeluarkan oleh Toyota, Yaris Cross dihasilkan dengan dimensi panjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,615 mm dan juga jarak antara roda sejauh 2,620 mm. Toyota turut mengumumkan bahawa model ini mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 260 mm.

    Berdasarkan saiz ini, Yaris Cross/Nexis merupakan SUV yang lebih besar dari Daihatsu Rocky/Toyota Raize/Perodua Ativa
    dengan perbezaan 245 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar, 20 mm lebih rendah, dan jarak roda 95 mm lebih jauh. Jadi SUV baharu Perodua ini kelak bakal berhadapan terus dengan model seperti Proton X50 dan Honda HR-V.

    Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, Yaris Cross adalah 20 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar, 6 mm lebih rendah berbanding Proton X50, namun hadir dengan jarak roda 20 mm lebih jauh dari SUV segmen-B dari Proton berkenaan.

    Toyota Yaris Cross 2023 pasaran Indonesia

    Bagi varian asas, Yaris Cross pasaran Indonesia dijana oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 106 PS (105 hp atau 78 kW) dengan tork maksima 138 Nm, iaitu enjin yang sama boleh ditemui pada Perodua Myvi dan juga Alza. Ia dipadankan dengan pilihan kotak gear CVT dan juga manual lima kelajuan, bergantung pada penawaran varian.

    Jadi dengan hanya enjin 1.5L NA, bagaimana Nexis boleh menjadi saingan terus terhadap X50 yang dijana enjin 1.5L Turbo? Di Indonesia, Yaris Cross juga sebenarnya ditawarkan dalam versi hibrid untuk varian tertinggi. Unit rangkaian kuasa tersebut menggandingkan enjin petrol kitaran Atkinson 2NR-VEX 1.5 liter NA berkuasa 91 PS (90 hp atau 67 kW) dan tork 121 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 80 PS (79 hp atau 59 kW) dan tork 141 Nm.

    Tidak mustahil Nexis akan menjadi model pertama Perodua yang menggunakan unit rangkaian kuasa hibrid ini (Ativa hybrid yang diperkenalkan dalam program langganan sebelum ini merupakan Daihatsu Rocky sebenar dari Jepun yang diganti dengan logo Perodua).

    Ia padan dengan beberapa petunjuk sebelum ini di mana Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mengesahkan bahawa model hibrid pertama Perodua akan dilancarkan pada 2024, dan ia adalah model baharu sepenuhnya, bukan varian atau facelift dari model-model sedia ada.

    Di Indonesia, Yaris Cross ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan varian asas Yaris Cross G dijual pada harga 351 juta rupiah (RM109k), diikuti Yaris Cross S berharga IDR407.7 juta (RM126.7k) dan varian tertinggi Yaris Cross S HV dijual pada harga IDR440.6 juta (RM136.9k).

    Berdasarkan konteks tersebut dan mengambilkira kedudukan barisan produk Perodua (Ativa dijual pada harga bermula RM62,500 sehingga RM72,600), kami jangkakan Nexis mungkin dijual pada harga asas RM73,000 atau lebih murah dari varian paling murah Proton X50 yang dijual pada harga RM86,300.

    Perincian-perincian pada Yaris Cross juga mungkin boleh membayangkan apa yang akan diterima oleh Nexis di Malaysia kelak. Bagi varian tertinggi Yaris Cross S HV, ia dibekalkan dengan lampu hadapan LED, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sembilan inci menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar dan brek parkir elektronik (dengan auto brake hold).

    Yaris Cross dengan kelengkapan paling lengkap di Indonesia itu juga diberikan pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang merangkumi sistem seperti Amaran dan Brek Pra-pelanggaran (brek kecemasan automatik), Amaran dan Pengelak Keluar Lorong, cruise control adaptif, Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan, Kawalan Kekal Lorong dan Lampu Tinggi Automatik.

    Setakat ini bagaimana? Adakah anda berharap rupa SUV D55B nanti kelak tidak jauh dari apa yang dibayangkan oleh Theo ini? Dan adakah mahu ia kekal dengan nama Nexis atau Perodua perlu memberikan nama lain untuk SUV yang lebih canggih ini? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia pada Mei 2023 naik 32.7%

    Jualan kenderaan di M’sia pada Mei 2023 naik 32.7%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk bulan Mei 2023, menyaksikan sejumlah 61,795 unit kenderaan telah dihantar kepada pembeli. Ini melibatkan kenaikan sebanyak 32.7% berbanding bulan April 2023 dengan mencatatkan jualan sebanyak 46,583 unit.

    Menurut MAA, terdapat beberapa faktor yang mendorong kenaikan angka tersebut, termasuklah syarikat kereta yang memenuhi tempahan tertunggak serta pelancaran model baharu.

    Untuk prestasi tahunan, jumlah kenderaan yang terjual pada Mei 2023 adalah 22% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, yang mencatatkan jualan sebanyak 50,663 unit. Untuk jumlah keseluruhan setakat ini (untuk lima bulan prtama 2023), ia mencatatkan sebanyak 300,978 unit, iaitu 12.3% lebih tinggi berbanding yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

    Untuk bulan Jun 2023, MAA menjangkakan jumlah jualan akan kekal seperti mana Mei 2023 berdasarkan permintaan terhadap kenderaan baharu dari tempahan yang tertunggak masih tinggi walau pun jumlah pendaftarannya mungkin agak sederhana.

    Untuk produksi pula, Mei 2023 menyaksikan sebanyak 64,930 unit kenderaan telah dikeluarkan, iaitu melebihi rekod pada April 2023 dengan 41,160 unit dan meningkat 32% berbanding Mei 2022. Bagi rekod pengeluaran setakat Mei 2023 pula mencatatkan sejumlah 304,484 unit, iaitu 18% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

     
     
  • Nissan Sylphy facelift 2024 diperkenalkan di Amerika Syarikat – rupa lebih segar, 2.0L NA 149 hp/198Nm

    Nissan Sylphy facelift 2024 diperkenalkan di Amerika Syarikat – rupa lebih segar, 2.0L NA 149 hp/198Nm

    Selepas China, kini giliran Amerika Syarikat pula menerima Nissan Sylphy facelift yang diberikan rupa lebih segar bersama beberapa tingkat taraf perincian. Di negara berkenaan, Sylphy dikenali dengan Sentra, dan ia hadir dalam varian S, SV dan SR, bakal dijual bermula akhir musim panas nanti.

    Sentra facelift 2024 ini masih dijana oleh enjin 2.0 liter empat silinder NA yang menghasilkan 149 hp dan tork maksima 198 Nm. Namun menurut Nissan, kotak gear Xtronic CVT pada model baharu ini ditala semula bagi mendapatkan paten tukaran gear lebih lancar serta memberikan lebih penjimatan bahan api.

    Gandingkan itu juga kini diberikan sistem Idle Stop Start yang akan mematikan enjin secara automatik ketika dalam keadaan kelajuan pepura, dan menghidupkannya kembali untuk mula bergerak secara automatik, bagi memberikan lebih penjimatan petrol.

    Nissan Sylphy facelift 2024 diperkenalkan di Amerika Syarikat – rupa lebih segar, 2.0L NA 149 hp/198Nm

    Ini merupakan satu-satunya pilihan unit rangkaian kuasa untuk Sentra di AS. Berbeza dengan pasaran China yang menawarkan pilihan enjin petrol penuh 1.6L NA berkuasa 135 PS/159 Nm, dan juga model hibrid e-Power yang dibekalkan dengan enjin petrol 1.2L hanya untuk mengecas bateri hibird sementara roda hadapan dipacu sepenuhnya dengan motor elektrik berkuasa 136 PS/300 Nm.

    Dari segi rupa pula, muka Sentra ini jelas berubah menerusi pemadanan gril dan bampar baharu. Kluster lampu hadapan masih nampak sama, tetapi grafik dalaman telah berubah – tiada lagi jalur LED untuk lampu nyalaan siang berbentuk-J, dan diganti dengan unit yang nampak seperti anak panah pada sebelah dalam.

    Kemasan berbentuk-U pada gril V-Motion Sentra ini pula digantikan dengan gril menampilkan elemen melintang seperti Almera facelift dan Serena C28. Perumah lampu kabus berbentuk-L juga kini sudah tiada lagi, dan ia diganti dengan liang udara palsu berbentuk segi tiga.

    Nissan Sylphy facelift 2024 diperkenalkan di Amerika Syarikat – rupa lebih segar, 2.0L NA 149 hp/198Nm

    Rekaan sisi Sentra 2023 ini masih lagi sama, cuma yang nampak berbeza adalah rekaan set rim baharu yang ditawarkan dari 16-inci sehingga 18-inci, bergantung varian. Manakala di belakang, rekaan yang berbeza hanyalah pada bahagian bawah bampar yang kini diberikan rekaan liang udara palsu yang lebih lebar.

    Pada sebelah dalam, tiada sebarang perubahan ketara dapat dilihat. Ia masih menggunakan rekaan papan pemuka, roda stereng rata di bawah, konsol tengah, tempat duduk Zero Gravity dan sebagainya sama seperti model sebelum itu. Secara standard ia dipadankan dengan skrin pelbagai info 4.2-inci, skrin sesentuh infotaimen bersaiz 7-inci dengan sokongan Apple Carplay, Android Auto, Siri Eyes-Free, sistem arahan suara Google Assistant serta empat pembesar suara.

    Manakala bagi varian lebih tinggi Sentra SV dan SR, ia diberikan skrin lebih besar bersaiz lapan-inci dan enam pembesar suara, tambahan port USB Type-C serta radio satelite SiriusXM, serta paparan instrumen digital Advanced Drive-Assist Display dengan skrin 7-inci. Bagi model SV Premium pula, Sentra turut datang dengan pemantau sekeliling pintar serta sistem audion premium dari Bose dengan lapan-pembesar suara.

    Manakala untuk keselamatan, kesemua varian menerima sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360 merangkumi sistem seperti brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran keluar lorong, bantuan lampu tinggi dan brek belakang automatik.

    Ia juga datang standard dengan amaran pelanggaran pintar hadapan, bantuan haptik stereng dan juga amaran audio bagi memberikan amaran berkesan kepada pemandu. Sistem bantuan keselamatan lain yang turut ditawarkan termasuk cruise control adaptif dan juga amaran pintu belakang yang mengingatkan pemandu agar tidak lupa dengan barang yang diletak di tempat duduk belakang ketika keluar dari kereta.

    Nissan Sylphy generasi terkini ini muncul buat pertama kali pada tahun 2019 di China, dan kemudian berjaya menjadi model paling laris di negara berkenaan setahun selepas itu. Model ini pernah dirancang untuk di bawa masuk ke Malaysia oleh Edaran Tan Chong Motors (ETCM) dengan petunjuk diumum pada tahun 2020, namun sehingga sekarang masih lagi tidak nampak petanda sama ada ia akan dilancarkan di sini atau tidak.

     
     
  • UMW Toyota bakal lancarkan Innova Zenix 21 Jun ini

    UMW Toyota bakal lancarkan Innova Zenix 21 Jun ini

    Laman web rasmi UMW Toyota hari ini mula menunjukkan serta membuka pendaftaran minat kepada semua model baru yang bakal dilancarkan sedikit masa lagi. Dan, tempoh singkat pelancaran yang terpapar dalam iklan berkenaan mencadangkan bahawa pengenalan model terbabit bakal berlangsung dalam dua hari lagi, iaitu pada Rabu.

    Jadi model apakah itu nanti? Bukan lagi rahsia, jika berdasarkan penglihatan kelibat model baru Toyota yang sudah pernah dilihat di jalan raya Malaysia, model berkenaan ialah Innova Zenix, yang dilihat pada Mei lalu, yang ketika itu berada di atas lori pengangkut, mungkin untuk dihantar ke bilik-bilik pameran Toyota.

    Innova Zenix juga telah membuat kemunculan sulung globalnya di Indonesia pada November 2022. Untuk pasaran di sana, model tersebut merupakan gantian bagi Innova generasi terdahulu itu dan tidak lagi berkongsi casis Ladder Frame IMV seperti trak pikap Toyota Hilux, sebaliknya ia kini jauh lebih canggih — menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dalam varian GA-C.

    UMW Toyota bakal lancarkan Innova Zenix 21 Jun ini

    Jadi, sangat berkemungkinan masa untuk pengenalannya di Malaysia pula sudah tiba. Di Indonesia, Innova Zenix ini hadir dalam versi petrol penuh dan juga hibrid. Bagi model petrol, ia memanfaatkan enjin M20A-FKS 2.0 liter empat-silinder berkuasa 174 PS dan tork maksima 205 Nm — jauh lebih berkuasa dari enjin 1TR-FE 2.0L model sebelum ini yang menjana 139/183 Nm.

    Manakala bagi model hibrid pula menggandingkan enjin Dynamic Force 2.0 liter berkuasa 152 PS dan tork maksimum 187 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 113 PS dan tork maksima 205 Nm — menghasilkan kuasa 186 PS secara keseluruhan. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri logam-nikel hidrida (Ni-MH) yang diletak di bawah kedua-dua tempat duduk hadapan.

    Bagaimana pula penawarannya untuk Malaysia? Itu kita perlu tunggu perincian lanjut selepas model ini dilancarkan kelak. Yang pasti, ia kelihatan sudah semakin hampir.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025