Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Polis memperhebatkan Op Khas Motosikal Berkuasa Tinggi di seluruh negara – kerjasama JPJ, AADK

    Polis memperhebatkan Op Khas Motosikal Berkuasa Tinggi di seluruh negara – kerjasama JPJ, AADK

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan memperhebatkan lagi operasi khas ke atas motosikal berkuasa tinggi di seluruh negara.

    Menurut Timbalan Pengarah JSPT, Deputi Komisioner Mohd Nasri Omar, pihaknya mengambil maklum mengenai aktiviti penunggang motosikal berkuasa tinggi yang sering menunggang pada kelajuan tinggi. Dalam masa yang sama, pelbagai kesalahan lalu lintas lain turut akan dikesan dalam operasi berkenaan, laporan Sinar Harian.

    “Sebagai langkah pencegahan, JSPT akan mengadakan Op Khas Motosikal Berkuasa Tinggi di seluruh negara yang mana tumpuan akan diberikan kepada penunggang yang melakukan kesalahan lalu lintas.

    Polis memperhebatkan Op Khas Motosikal Berkuasa Tinggi di seluruh negara – kerjasama JPJ, AADK

    “Umum mengetahui motosikal menjadi penyumbang tertinggi kemalangan jalan raya iaitu lebih 55 peratus berbanding kenderaan lain,” katanya sambil menambah pihaknya sentiasa memberi penekanan terhadap penunggang motosikal terutamanya melibatkan motosikal berkuasa tinggi dengan mengadakan Op Khas ini.

    Jelasnya, mereka yang terlibat dengan kesalahan menunggang secara melulu dan berbahaya boleh dituduh di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit salah boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000.

    “Semua pemilik motosikal berkuasa tinggi dinasihati supaya sentiasa berhemah di jalan raya, mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan. Tindakan lain juga boleh diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” ujarnya.

    Tambah Mohd Nasri, pelaksanaan OP Khas ini juga turut disertai oleh agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

     
     
  • Audi Q8 e-tron 2023 EV kini di M’sia — versi advanced 50 quattro, 95 kWh, jarak 410 km, dari RM369k

    Audi Q8 e-tron 2023 EV kini di M’sia — versi advanced 50 quattro, 95 kWh, jarak 410 km, dari RM369k

    Tiga bulan selepas mula dibuka untuk tempahan di sini, Audi Q8 e-tron 2023 akhirnya tiba di Malaysia. EV berkenaan didatangkan dalam spesifikasi “advanced 50 quattro” oleh pengedar rasminya PHS Automotive Malaysia (PHSAM), dengan harga bermula RM369,000 hingga RM379,000.

    Audi Q8 e-tron advanced 50 quattro dikuasakan oleh sepasang motor elektrik yang membekalkan sebanyak 340 PS (250 kW) kuasa dalam mod boost, serta 664 Nm tork. Kotak gearnya mengguerakan semua empat roda, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa enam saat. Laju maksimum ialah 200 km/j.

    Motor elektrik berkenaan menerima kuasa daripada bateri lithium-ion dengan kapasiti 95 kWh (89 kWh boleh diguna). Jarak perjalanan yang dinyatakan untuk EV ini ialah 410 km dengan kitaran WLTP dan kadar penggunaan tenaganya didakwa 24.0 kWh bagi 100 km digabungkan.

    Audi Q8 e-tron 2023 EV kini di M’sia — versi advanced 50 quattro, 95 kWh, jarak 410 km, dari RM369k

    Q8 e-tron merupakan SUV bersaiz besar, dengan ukuran dimensi 4,915 mm panjang dan 1,937 mm lebar, dengan jarak antara roda 2,928 mm. Model ini bersaing antara lain dengan model BMW iX, yang 38 mm lebih panjang dan 30 mm lebih lebar, dan jarak antara roda 72 mm lebih panjang. iX di yang dijual di sini, xDrive 40, memberikan 322 hp, 630 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dengan jarak 425 km.

    Unit yang dilihat ini menggunakan rim 20-inci Graphite Gray dengan lima jejari serta suspensi udara adaptif. Kelangkapan luaran lain termasuk lampu LED, lampu belakang gabungan LED, bantuan lampu tinggi dan pek penggayaan hitam berkilat. Di dalam, kerusinya menerima balutan kulit mono.pur 550, papan pemuka juga balutan kulit buatan, butang hitam berkilat dan perincian ala aluminium.

    Audi Q8 e-tron 2023 EV kini di M’sia — versi advanced 50 quattro, 95 kWh, jarak 410 km, dari RM369k

    Ia juga datang dengan kokpit maya Audi plus, Audi connect untuk tunjuk arah dan infotainmen, antaramuka telefon pintar Audi, lampu kotak telefon Audi dan MMI Navigastion plus dengan maklum balas MMI. Kereta ini juga hadir dengan pengecas AC 11 kW. Ciri lain termasuklah kerusi larasan elektrik dengan kawalan lumbar empat-arah (Memory untuk pemandu), kawalan pendingin empat zon dan pintu belakang automatik.

    Aspek keselamatan pula lengkap dengan lapan beg udara, Audi pre sense depan dan belakang, kawalan melayar adaptif dengan penghad kelajuan, bantuan kecekapan, bantuan olengan dan belokan, amaran penukaran lorong dan bantuan lintasan trafik di belakang semuanya ada.

     
     
  • Renault Zoe E-Tech dilancar di Malaysia secara rasmi – RM165k-RM179k, langganan bermula RM2.8k sebulan

    Renault Zoe E-Tech dilancar di Malaysia secara rasmi – RM165k-RM179k, langganan bermula RM2.8k sebulan

    Selepas mula diprebiu pada Ogos tahun lalu, akhirnya Renault Zoe R-Tech 2023 kini secara rasmi mula dijual pada pasaran Malaysia. Penawarannya di pasaran tempatan oleh TC Euro Cars masih kekal dengan dua varian, bermula varian asas Zoe R110 dijual pada harga RM165,000, dan juga varian tertinggi Zoe R135 dijual pada harga RM179,000.

    Kesemua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran termasuk waranti selama tiga tahun atau 100,000 km, serta waranti bateri EV diberikan selama lapan tahun atau 160,000 km dengan kapasiti minimum 70 peratus.

    TC Euro Cars turut menawarkan pakej langganan untun Zoe E-Tech ini dengan pelan bermula 12 hingga 36 bulan. Pelanggan yang berminat untuk melanggan Zoe baharu ini boleh mendapatkan Fixed Plan menerusi platform Renault Subscription. Ada tiga pelan yang ditawarkan iaitu setahun, dua tahun dan tiga tahun dengan kadar bermula RM2,799 sebulan untuk Zoe R110 dan RM2,999 sebulan bagi Zoe R135.

    Renault Zoe E-Tech dilancar di Malaysia secara rasmi – RM165k-RM179k, langganan bermula RM2.8k sebulan

    Bayaran bulanan yang dikenakan untuk pakej langganan ini adalah termasuk kos insurans, kos servis biasa dan juga kabel Type 2 AC. Menurut TC Euro Cars, proses kelulusan Renault Subscription biasanya mengambil masa selama tiga hari bekerja, sekiranya semua dokumen dan syarat dipenuhi.

    Kedua-dua varian Zoe baru untuk pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan bateri Z.E 50 baharu dengan kapasiti 52 kWh. Ini membolehkan EV kompak berkenaan bergerak sehingga 395 km untuk varian Zoe R110 dan 386 km bagi Zoe R135 (mengikut kitaran WLTP).

    Dengan pengecas AC dengan sambungan Type 2, bateri Zoe ini boleh penuhkan dari kosong dalam masa tiga jam menggunakan pengecas 22 kW (didakwa paling pantas dalam kelasnya), atau 9.5 jam dengan pengecas 7.4 kW. Pengecas pantas DC juga boleh digunakan (dengan sambungan CCS2), dan pada kadar 50 kW, membolehkan cas dari kosong hingga 80% dicapai dalam masa 70 minit.

    Renault Zoe E-Tech dilancar di Malaysia secara rasmi – RM165k-RM179k, langganan bermula RM2.8k sebulan

    Kedua-dua varian ini hanya dibekalkan dengan motor elektrik tunggal untuk memacu roda hadapan. Zoe R110 menerima motor yang mampu menghasilkan 110 PS (80 kW) dan tork 225 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 11.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 135 km/j.

    Manakala Zoe R135 pula diberikan motor berkuasa 135 PS (100 kW) dan 245 Nm, membolehkan ia memecut dari pegun hingga 100 km/j lebih pantas dalam masa 9.5 saat, serta mencatakan kelajuan maksima lebih tinggi iaitu 140 km/j.

    Zoe baharu ini juga menampilkan fungsi B-mode, membolehkan ia dipandu dengan hanya satu pedal serta membantu penjanaan semula kuasa lebih baik. Mod Eco juga diberikan bagi membantu menjimatkan tenaga dengan mengawal fungsi tertentu kenderaan. Pemandu juga boleh melihat meter Eco yang disediakan untuk memerhatikan penggunaan tenaga.

    Renault Zoe E-Tech dilancar di Malaysia secara rasmi – RM165k-RM179k, langganan bermula RM2.8k sebulan

    Dalam kabin, Zoe diberikan upholsteri fabrik baharu yang didakwa 100% dari bahan kitar semula menggunakan yarn sisir kasar, pertama dalam industri automotif. Yarn tersebut dibuat daripada tali pinggang keselamatan dan material plastik terbuang, diperolehi dan dikilangkan berdasarkan kepada kitaran prinsip ekonomi didakwa dapat membantu mengurangkan penghasilan CO2 sehingga lebih 60 peratus.

    Zoe R110 hadir dengan upholsteri fabrik kitar semula jadi berwarna hitam. Sementara Zoe R135 menerima tempat duduk berwarna hitam dengan kombinasi kulit dan fabrik. Upholsteri fabrik kitar semula yang sama turut digunakan pada band horizontal di tengah papan pemuka.

    Selain itu, material baharu yang lembut turut digunakan pada papan pemuka, sementara butang cruise control yang diletakkan di belakang stereng yang turut menampilkan material kitar semula PET. Zoe baharu ini juga menerima cermin hadapan akustik bagi mengurang impak bunyi bising dari luar.

    Menurut Renault, konsol tengah pada Zoe baharu ini menawarkan dua kali ganda ruang storan, merangkumi dua tempat meletak botol minuman dan satu ruang untuk pengecasan telefon tanpa wayar. Ruang but pula tidak berubah iaitu 338 liter.

    Untuk kelengkapan, Zoe R110 datang standard dengan lampu utama, lampu DRL dan lampu belakang LED, rim 16-inci, panel instrumen digital 10 inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh Easy Link 9.3-inci (sambungan Android Auto dan Apple CarPlay), enam pembesar suara, balutan fabrik, pendingin hawa automatik, cermin sisi larasan elektrik, e-shifter elektronik, brek parkir automatik, lampu kabin LED sepenuhnya, serta penderia undur.

    Bagi Zoe R135, ia turut ditambah dengan sistem navigasi yang boleh berfungsi secara offline, soket pengecas USB di tempat duduk belakang, pendingin hawa automatik, cermin pandang belakang elektrokromik, kamera undur, cermin sisi boleh lipat serta penderia parkir hadapan dan belakang.

    Bagi kelengkapan keselamatan pula, Zoe R110 datang standard dengan empat-beg udara, amaran penukaran lorong (LDW), kawalan kestabilan elektronik (ESC), anti-slip regulation (ASR), ABS, bantuan brek kecemasan (EBA) dan bantuan mula mendaki (HSA). Manakala Zoe R135 diberikan tambahan lampu tinggi adaptif. pemantau titik buta dan dan bantuan parkir bebas tangan (hands-free park assist).

    Pelanggan boleh memilih Renault Zoe R110 dalam warna badan solid hitam dan putih, manakala Zoe R135 pula boleh dipilih dengan pilihan warna hitam, biru, merah dan ungu.

    Setiap pembelian Renault Zoe baharu ini dilengkapi dengan kabel 22 kW Type 2, tidak termasuk pengecas boleh alih. Pelanggan yang membeli atau melanggan diberi pilihan memasang pengecas wallbox VESTAL 7 kW pada harga RM6,250 atau wallbox VESTEL 22 kW dengan harga RM6,950 sama ada di rumah atau pejabat mereka. Kos tersebut termasuk kabel sepanjang 15 meter.

    TC Euro Cars mengesyorkan pelanggan yang berminat untuk membeli atau melanggan Zoe baharu menerusi Renault E-Store bagi memudahkan proses pembelian secara digital. Bagi pelanggan terawal yang menempah, mereka dijangka akan menerima kereta masing-masing pada Jun atau Julai 2023.

    GALERI: Renault Zoe E-Tech R110

     
     
  • Hati-hati dengan penipuan atas jalan raya – pentingnya pasang dashcam pada kenderaan untuk bukti

    Hati-hati dengan penipuan atas jalan raya – pentingnya pasang dashcam pada kenderaan untuk bukti

    Sejak kebelakangan ini kita sudah melihat banyak suspek kes penipuan (scam) atas jalan raya yang melibatkan kemalangan dengan tujuan membuat tuntutan insurans palsu ataupun mungkin mendapatkan pampasan daripada mangsa yang terlibat. Kini, tular satu lagi video yang mencadangkan perkara sama.

    Dimuat naik melalui akaun CEO OF EXPOSE di Twitter, video itu menunjukkan sekumpulan penunggang motosikal yang secara tiba-tiba membrek di hadapan kereta yang dikatakan adalah mangsa dalam keadaan ini dan kemudiannya menyebabkan dia dilanggar pula oleh kereta di belakang akibat turut membrek.

    Tiada kenyataan sebenar daripada mangsa tersebut tetapi kenyataan yang dimuat naik bersama video itu menyatakan ini adalah salah satu cara penipuan kemalangan dan satu lagi kenderaan lain di belakang yang dikatakan bersekongkol dengan penunggang motosikal itu akan turut memberi kenyataan palsu untuk “menjayakan” penipuan mereka.

    Tanpa laporan polis dan kenyataan sebenar daripada mereka yang terlibat, sukar untuk kita mengesahkan ini adalah kes penipuan sebenar, tetapi ia masih boleh diambil sebagai pengajaran untuk kita lebih berhati-hati di atas jalan raya.

    Cara yang paling berguna sudah tentu, jika kenderaan kita dilengkapi dengan kamera (dashcam) di hadapan dan belakang. Apabila terlibat dalam kes-kes mencurigakan seperti ini, rakaman tersebut boleh digunakan untuk membela diri sendiri.

     
     
  • JPJ sasar RM5b tahun ini hasil inisiatif pendigitalan

    JPJ sasar RM5b tahun ini hasil inisiatif pendigitalan

    Untuk perolehan tahun 2023, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyasarkan kutipan lebih RM5 bilion hasil pelaksanaan inisiatif pendigitalan.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, tahun lalu kutipan hasil JPJ berjumlah RM4.92 bilion dan 64.5% perolehan disumbang melalui pembayaran cukai jalan dan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), laporan Bernama.

    “Kutipan hasil JPJ adalah antara tertinggi negara selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Kalau ikut statistik tahun lepas, kita berjaya kutip purata RM11 juta sehari,” katanya kepada pemberita semalam.

    Beliau turut berkata, inisiatif pendigitalan yang dilancarkan baru-baru ini memudahkan orang ramai untuk berurusan dengan JPJ tanpa hadir ke pejabat.

    Menerusi 201 buah Kios JPJ di seluruh negara, ia telah mengutip hasil sebanyak RM120.7 juta menerusi perkhidmatan tersebut.

     
     
  • MOT sedang kaji struktur baharu cukai jalan bagi kenderaan elektrik – akan didedahkan hujung 2023

    MOT sedang kaji struktur baharu cukai jalan bagi kenderaan elektrik – akan didedahkan hujung 2023

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengesahkan pihaknya sedang meneliti dan merangka struktur baharu cukai jalan bagi kenderaan elektrik (EV).

    Katanya, pengumuman mengenai struktur baharu itu dijangka diumumkan hujung tahun ini, selain diberikan perhatian utama dalam inti pati Belanjawan 2024 bagi kementerian tersebut. Selain itu, jelasnya, penstrukturan baharu cukai jalan kenderaan berkenaan penting kerana kerajaan terdahulu hanya memberikan pengecualian cukai jalan EV sehingga tempoh 2025, laporan Bernama.

    “Rata-rata pengguna bimbang dengan struktur cukai jalan bagi EV kerana kalau kita ikut formula lama (cukai jalan EV) impak kosnya tinggi dan boleh mencecah RM4,000 hingga RM5,000 setahun.

    MOT sedang kaji struktur baharu cukai jalan bagi kenderaan elektrik – akan didedahkan hujung 2023

    Cukai jalan EV di Malaysia – klik untuk besarkan

    “Saya sudah arahkan pegawai-pegawai di MOT bagi untuk meneliti hal ini hasil maklum balas syarikat penyedia EV dan pengguna. Ini juga usaha kita untuk menggalakkan peralihan kepada penggunaan kenderaan itu,” katanya.

    Tambah beliau lagi, dasar mengenai penggunaan EV perlu jelas agar usaha kepada pertukaran mod pengangkutan yang lebih mampan dapat dilakukan.

    “Usaha itu selaras dengan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon yang menyasarkan negara mencapai 15% penggunaan EV dan kenderaan hibrid pada tahun ini dengan penyediaan 10,000 unit fasiliti pengecasan menjelang 2025,”katanya lagi.

     
     
  • Program kesetiaan Caltex Rewards dilancarkan

    Program kesetiaan Caltex Rewards dilancarkan

    Chevron Malaysia Limited yang bertanggungjawab dalam mengendalikan perniagaan runcit stesen minyak Caltex di Malaysia telah pun melancarkan program kesetiaan Caltex Rewards.

    Penyertaan menerusi aplikasi CaltexGO, Caltex Rewards memberikan kemudahan kepada pelanggan untuk mengisi minyak, membuat pembayaran, mengumpul mata ganjaran dan menebus nilainya dengan pelbagai hadiah menarik dalam transaksi yang sama. Program kesetiaan ini boleh digunakan di semua stesen minyak Caltex di Malaysia.

    Menurut Dean Gilbert, selaku Pengerusi Chevron Malaysia Limited, “Bagi pemandu kenderaan di Malaysia, kehadiran mereka secara kerap di stesen minyak adalah tugas rutin. Caltex Rewards menawarkan ganjaran untuk setiap kali anda mengisi minyak tanpa mengira jumlah tersebut. Sama ada anda mengisi mintak dengan nilai RM5 atau RM105, anda tetap menerima ganjaran dan boleh menebus mata ganjaran yang diperoleh dengan segera.”

    Program kesetiaan Caltex Rewards dilancarkan

    Menerusi Caltex Rewards ini, pelanggan yang pertama kali mendaftarnya bakal menerima 500 mata ganjaran bernilai RM5, boleh menebus nilai 100 mata ganjaran untuk mendapatkan RM1, dan juga bakal menerima 500 mata ganjaran pada hari ulangtahun kelahiran.

    Manakala setiap pengisian satu liter minyak, pelanggan akan menerima dua mata ganjaran dan jika ia dikumpul sehingga mencapai jumlah tertentu, boleh menebus mata ganjaran tersebut untuk mengisi minyak secara percuma. Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati mata ganjaran khas dengan rakan kongsi Caltex terpilih termasuk FamilyMart, pasaraya Lotus dan juga Grab.

    Untuk menyertai program kesetiaan Caltex Rewards ini, anda boleh muat turun aplikasi CaltexGO menerusi App Store dan Google PlayStore.

     
     
  • Lexus RX 2023 didedah di Malaysia – tempahan dibuka bermula 17 Mei; varian RX 350 Luxury, harga RM469k

    Lexus RX 2023 didedah di Malaysia – tempahan dibuka bermula 17 Mei; varian RX 350 Luxury, harga RM469k

    Lexus Malaysia hari ini memperkenalkan SUV terlaris keluarannya, RX generasi kelima untuk pasaran tempatan, dan akan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi. Ia akan dijual pada harga RM468,888. Dengan itu, tempahan untuk model terbabit juga mula di buka di seluruh bilik pameran Lexus seluruh negara bermula 17 Mei 2023.

    Hanya ada satu varian akan dijual buat masa sekarang, iaitu RX 350 Luxury AWD. Model ini menggunakan Enjin 2.4 liter empat-silinder turbocas yang digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan Direct Shift-8AT. Enjin ini menjana sebanyak 279 PS pada 6,000 rpm dan 430 Nm dari 1,700-3,600 Nm.

    Ia dibangun menggunakan platform GA-K, dan kini lebih lebar 25 mm dengan jarak antara roda yang juga lebih panjang sebanyak 60 mm, memberikannya imej yang lebih dinamik serta ruang lebih besar di dalam kabin.

    Lexus RX 2023 didedah di Malaysia – tempahan dibuka bermula 17 Mei; varian RX 350 Luxury, harga RM469k

    RX 350 Luxury 2023 serba baru ini hadir dengan wajah depan yang menonjol dan berbeza daripada yang lama. Ia hadir dengan rekaan badan spindle yang meluahkan identiti baru. Ia tidak sekadar menyerlahkan garis lengkung dan keseimbangan rekaan model ini semata-mata, tetapi turut membawakan fungsi dan prestasi dinamik untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih jitu.

    Gril baharu yang lebih halus dan bersahaja merupakan evolusi kepada RX, membawa penampilan sporty yang lebih kuat. Bucu hud depan juga dinaikkan, sementara bucu tingkap belakang direndahkan, menjadikan postur melintangnya lebih rendah dan rekaan luarannya lebih unik.

    Di dalam, luahan menawan bahagian luaran diteruskan lagi dengan rekaan kabin yang menggunakan konsep Tazuna yang lebih memberi tumpuan kepada manusia. Direka untuk menjadi kokpit yang mengutamakan pemandu, rekaan yang ditampilkan memberi hubungan yang lebih rapat antara kenderaan dan pemandu untuk pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan.

    Lexus RX 2023 didedah di Malaysia – tempahan dibuka bermula 17 Mei; varian RX 350 Luxury, harga RM469k

    Paparan 14-inci di tengah boleh disesuaikan dengan beberapa fungsi yang disepadukan ke dalam suis lembut. Kesan daripada semua ini adalah sebuah persekitaran yang model, jelas dan merangkum yang menjadikan pengelaman pemanduan RX lebih dinamik dan mudah.

    Untuk kemudahan penumpang, SUV ini turut dilengkapi dengan pengecas Qi tanpa wayar, 3 slot USB-C dan satu slot USB-A di depan, serta dua lagi slot USB-C di belakang. Untuk sistem bunyi, ia dilengkapi dengan Lexus Premium Sound System dengan 12 pembesar suara. Ruang kabin juga luas dengan 612 liter kapasiti.

    Dari aspek keselamatan, RX generasi baru ini menampilkan Lexus Safety System+ (LSS+) dalam versi baru yang dipertingkatkan. Ia kini menampilkan Panoramic View Monitor digital dengan pandangan 360-darjah kenderaan serta Rear Traffic Cross Alert, untuk membantu pemandu keluar dari ruang parkir yang sempit.

    Sebagai tambahan, RX 2023 ini turut dilengkapi dengan sistem E-latch untuk kedua-dua bahagian dalam dan luar pemegang pintunya. Sistem kawalan elektrik ini tidak hanya menjadikan operasi pintu lebih lancar, tetapi turut menghindarkan perlanggaran ketika penumpang ingin keluar dari kenderaan.

    Ketika memasuki kenderaan, pintu boleh dibuka dengan cara memegang pemegang tersebut dan menekan suis di belakangnya. Di dalam, pintu boleh dibuka dengan meletakkan tangan di pemegang perehat tangan dan menekan suis pembuka pintu dengan ibu jari.

    Seperti model-model Lexus yang lain, pembelian RX 350 Luxury AWD ini juga datang dengan perlindungan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan. Jadi sekiranya anda berminat dengan Lexus RX generasi baharu ini, jangan lupa untuk mana-mana bilik pameran Lexus esok untuk membuat tempahan terawal!

     
     
  • Tiket KTM ETS, tren Intercity untuk perjalanan Julai-Dis kini dibuka dalam talian – lebih awal, lebih murah

    KTM Berhad telah mengumumkan tiket bagi perkhidmatan tren ETS dan KTM Intercity bagi separuh kedua tahun 2023 kini telah pun dibuka. Ia adalah bagi perjalanan dalam tempoh antara 1 Julai hingga 31 Disember 2023.

    Pengendali pengangkutan rel itu berkata, pengguna boleh membeli tiket menerusi aplikasi KTMB Mobile atau laman web rasmi KTM, dan pembayaran secara elektronik. Jadual tren bagi separuh kedua 2023 untuk ETS dan KTM Intercity adalah lebih kurang sama dengan jadual semasa dan ia boleh disemak menerusi dalam talian atau aplikasi MyRailtime.

    Dalam masa yang sama, KTMB turut manganjurkan kempen Travel Sama-Sama dan ini memberi peluang kepada para pengguna untuk menikmati diskaun sebanyak 25% dengan masukkan kod promo mengikut bulan perjalanan anda. Minimum empat orang dalam satu transaksi pembelian, mengikut terma dan syarat.

    Dengan membeli tiket lebih awal, anda juga berpeluang menikmati kadar tambang yang lebih fleksi dan menjimatkan. Jadi, rancang perjalanan anda terutamanya jika tarikh berkenaan melibatkan musim cuti persekolahan mahu pun perayaan.

     
     
  • GWM Cannon P12 dan P11 – spesifikasi awal model pasaran Malaysia didedah, enjin 2.0 diesel turbo, 8AT

    GWM Cannon P12 dan P11 – spesifikasi awal model pasaran Malaysia didedah, enjin 2.0 diesel turbo, 8AT

    Sebagai tambahan kepada Haval H6, Great Wall Motor Malaysia juga telah mengeluarkan spesifikasi awal untuk trak pikap GWM Cannon yang akan masuk ke negara kita tahun ini. Model ini akan ditawarkan dalam dua versi dual-cab, termasuk P12 yang lebih memberi fokus kepada penumpang, manakala P11 lebih kepada tujuan komersial.

    P12 dan P11 berkongsi ruang kargo belakang yang sama, berukuran 1,520 mm panjang, 1,520 mm lebar dan 540 mm tinggi. Begitu juga dengan jarak roda, iaitu 3,230 mm, tetapi ukuran badan antara keduanya adalah berbeza.

    Melihat kepada lembaran spesifikasi, P12 mencatat ukuran panjang 5,410 mm, lebar 1,934 mm dan tinggi 1,886 mm, manakala P11 mencatat panjang 5,425 mm, lebar 1,883 mm dan tinggi 1,882 mm. Anda boleh membezakan antara dua versi ini melalui bahagian hadapannya, di mana P12 mempunyai banyak kemasan krom pada gril serta lampu yang khas untuknya.

    Sementara itu, gril P11 pula lebih biasa, dan bahagian dalamnya menampilkan rekaan berbentuk berlian di sekeliling logo besar di tengah. Lampu utama P11 juga mempunyai sedikit lekuk di bahagian bawahnya dan tidak mempunyai DRL seperti P12. Begitu juga dengan bahagian belakang, di mana lampu P11 adalah lebih ringkas berbanding P12.

    Pada bahagian dalam, corong pendingin hawa pada papan pemuka P12 menggunakan bentuk jalur menegak, sementara pada P11 bentuknya adalah berlainan. Konsol tengah pada P12 juga dibuat lebih cantik dengan kemasan yang berkilat sesuai dengan kedudukannya sebagai versi yang lebih tinggi.

    Untuk enjin, kedua-dua versi Cannon ini digerakkan oleh enjin diesel turbo empat silinder 2.0 liter yang mampu menghasilkan sehingga 163 PS (161 hp atau 120 kW) dan tork 400 Nm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan ZF dan sistem pacuan empat roda.

    Tetapan suspensi juga adalah sama antara dua versi ini, dengan di bahagian hadapan menggunakan double wishbone manakala di belakang menggunakan spring dedaun. Walaubagaimanapun, P12 mendapat stereng kuasa elektrik dan rim 18 inci (tayar 265/60), berbanding P11 yang cuma menggunakan stereng hidraulik dan rim 17 inci (tayar 245/70).

    Berkenaan kelengkapan, P12 datang dengan differential boleh kunci, beberapa mod pemanduan, lampu utama LED automatik, lampu belakang LED, cermin sisi larasan kuasa, pemijak kaki belakang, balutan kulit, tempat duduk larasan kuasa, penukar gear di stereng, panel instrumen digital tujuh inci, skrin sesentuh sembilan inci (dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay), pendingin hawa automatik (dengan corong di belakang) serta sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin.

    Pada bahagian keselamatan dan bantuan pemandu, P12 dilengkapi dengan enam beg udara, kamera 360 darjah, brek parkir elektronik, sistem pengenalan tanda jalan dan ciri autonomous Level 2 yang termasuk Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Centring Assist dan Autonomous Emergency Braking (AEB).

    GALERI: GWM Cannon P11

    GALERI: GWM Cannon P12

     
     
  • Trailer filem Transformers: Rise of the Beasts baru sahkan Porsche 911 adalah Mirage, bukan Jazz!

    <em>Trailer</em> filem Transformers: Rise of the Beasts baru sahkan Porsche 911 adalah Mirage, bukan Jazz!

    Mungkin disebabkan fasa pandemik yang dilihat sudah berakhir di kebanyakkan negara, pelbagai filem menarik bakal tiba ke pawagam tahun ini. Bagi ‘kaki-kereta’, selain dari siri terbaharu The Fast and The Furious iaitu Fast X, satu lagi filem yang ditunggu untuk ditayangkan di pawagam tahun ini sudah tentulah Transformers: Rise of the Beast.

    Ini merupakan filem sambungan dari spin-off Bumblee Bee, dan sudah tentu ramai yang tidak sabar untuk melihat Optimus Prime beraksi dalam versi yang sama seperti versi asal generasi pertama animasi Transformers (Transformers G1), iaitu dalam penyamaran sebagai trak Freightliner FL86.

    Namun selain dari Optimus, ramai juga tertanya-tanya siapa watak Autobot yang berselindung disebalik Porsche 911 964 Carerra seperti yang boleh ditonton pada trailer sebelum ini? Mungkin ramai yang meneka ia adalah Jazz kerana watak tersebut muncul sebagai Porsche 935 Turbo ‘Moby Dick’ dalam animasi Transformers G1, namun dalam trailer terbaharu filem tersebut mendedahkan Porsche 911 berkenaan adalah sahabat kepada Jazz iaitu Mirage!

    Mirage (juga dikenali sebagai Dino) sebelum ini pernah muncul dalam filem Transformers: Dark of the Moon sebagai sebuah Ferrari 458. Manakala dalam animasi Transformers G1, Mirage adalah sebuah jentera Formula 1 Ligier JS11 lengkap dengan livery perlumbaan ‘Gitanes’ seperti yang pernah dipandu oleh Jacques Laffite pada tahun 1979.

    Untuk filem Transformers: Rise of the Beast, Porsche sendiri mengesahkan bahawa Mirage adalah 911 964 Carerra RS 3.8, iaitu model yang hanya dihasilkan sebanyak 55 unit. Model ini diperkenalkan pada 1993 berasaskan 911 Carerra RS, namun ia menerima enjin dengan kapasiti 200 cc lebih besar iaitu 3.8 liter.

    Selain enjin yang lebih berkuasa, 911 Carrera RS 3.8 ini juga dibina seringan mungkin dengan menggunakan hud dan pintu aluminium, cermin yang lebih nipis, dan tempat duduk belakang dibuka. Ini membolehkan model lebih agresif berkenaan ditimbang sekitar 270 kg lebih ringan dari Carrera biasa.

    Filem Transformers: Rise of the Beasts ini dikatakan adalah berasaskan siri kartun Transformers: Beast Wars, jadi filem ini juga turut akan menampilkan watak Optimus Primal dan Rhinox dari pihak Maximals. Ia juga akan menceritakan bagaimana Optimus Prime mula berasa bertanggungjawab untuk melindungi manusia di bumi.

    Penggambaran filem berkenaan dibuat di Brooklyn, Amerika Syarikat dan juga dibeberapa bahagian di Peru. Antara pelakon yang membintangi filem ini termasuk Anthony Ramos, Dominique Fishback, Luna Lauren Vélez dan Tobe Nwigwe. Peter Cullen akan kekal sebagai suara Optimus Prime manakala suara Ron Perlman akan digunakan bagi watak Optimus Primal.

    Filem ini dijangka bakal ditayangkan di pawagam seluruh dunia bermula bulan Jun ini. Selain Porsche 911 964, sebuah Nissan Skyline R33 juga bakal beraksi dalam filem berkenaan. Siapa watak yang berselindung disebalik R33 tersebut? Sama-sama kita nantikan!

     
     
  • GWM Haval H6 – spesifikasi awal model pasaran Malaysia didedah, hibrid 1.5T, 243 PS, transmisi DHT

    GWM Haval H6 – spesifikasi awal model pasaran Malaysia didedah, hibrid 1.5T, 243 PS, transmisi DHT

    Sebelum pelancaran rasmi Haval H6 Hybrid dibuat hujung tahun ini, Great Wall Motor Malaysia telah mendedahkan spesifikasi awal untuk SUV tersebut. Model pandu uji yang anda lihat ini bukanlah menggunakan spesifikasi sebenar model yang akan dipasarkan di Malaysia, tetapi wakil daripada syarikat itu memberitahu, spesifikasi yang dinyatakan tidak akan berbeza jauh dengan apa yang akan diterima oleh pelanggan Malaysia.

    Mencatat ukuran panjang 4,683 mm, lebar 1,886 mm, tinggi 1,724 mm dan jarak roda 2,738 mm, H6 akan bersaing dengan SUV segmen C seperti Honda CR-V, Proton X70 dan Mazda CX-5, tetapi mempunyai jarak roda lebih panjang dengan mengatasi Proton X70 (2,670 mm), Honda CR-V (2,660 mm) dan Mazda CX-5 (2,700 mm).

    Di bawah bonetnya terdapat enjin petrol empat silinder 1.5 liter berkuasa 167 PS dan 285 Nm, dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan serta motor elektrik 177 PS (130 kW) untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 243 PS dan tork 530 Nm.

    Enjin hibrid series-parallel pacuan roda hadapan ini juga menggunakan transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua kelajuan keluaran GWM sendiri, dan bukannya klac berkembar tujuh kelajuan seperti yang dilaporkan sebelum ini. Pada kelajuan rendah, motor elektrik akan menjadi penggerak utama, sementara enjin akan membantu pada kelajuan yang lebih tinggi – bergantung kepada keadaan.

    Melihat kepada casis, H6 menggunakan penyerap MacPherson di hadapan dan tetapan multi-link di belakang. SUV ini juga datang dengan stereng kuasa serta rim bersaiz 19 inci yang dibalut tayar 225/55.

    Berkenaan kelengkapan, H6 di dalam gambar mempunyai lampu utama LED matriks, lampu belakang LED, tempat duduk hadapan larasan kuasa, panel instrumen digital 10.25 inci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 12.3 inci, lampu suasana, bumbung suria, enam beg udara, kamera 360 darjah dan sistem bantuan letak kereta.

    Untuk sistem bantuan pemandu ADAS pula, H6 dilengkapi dengan sensor ultrasonik, kamera dan juga radar untuk memberikan fungsi seperti Autonomous Emergency Braking (AEB), Adaptive Cruise Control, Traffic Jam Assist, Rear Cross Traffic Alert, Lane Change Assist dan Wisdom Dodge System yang boleh menjaga jarak selamat daripada kenderaan yang besar.

    H6 Hybrid akan mula dijual di Malaysia pada tahun 2023, dengan pelancaran rasminya dijangka berlaku pada suku keempat tahun ini. Setakat ini kita masih belum ada harga jualannya, tetapi melihat kepada spesifikasi, adakah anda rasa ia menarik jika dibandingkan dengan pesaing lain?

     
     
  • JPJ eBid: Siri FF dan MDT dibuka bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Wilayah Persekutuan Putrajaya, FF, ia adalah sempena dengan ulangtahun ke-77 penubuhan JPJ sendiri. Siri ini sudah pun boleh dibida mulai 14 Mei lalu, dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 18 Mei. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 19 Mei 2023. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Melaka pula, MDT, bidaannya bakal dibuka bermula 21 Mei 2023 dan akan berakhir jam 10 malam pada 25 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 26 Mei ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Honda ZR-V 2023 dilancarkan di Eropah – hanya hadir dalam versi hibrid e:HEV 2.0L, asas dari Civic gen-11

    Honda ZR-V 2023 dilancarkan di Eropah – hanya hadir dalam versi hibrid e:HEV 2.0L, asas dari Civic gen-11

    ALL-NEW ZR-V EXPANDS HONDA SUV LINE UP WITH A STYLISH, SPORTING, DYNAMIC OPTION

    Selepas Amerika Syarikat dan Jepun, SUV segmen-C Honda ZR-V kini tiba di pasaran Eropah. Seperti barisan model-model Honda yang lain di benua berkenaan, ZR-V dipasarkan di Eropah hanya dalam versi hibrid, tanpa pilihan enjin 1.5 liter VTEC Turbo.

    Seperti yang diketahui sebelum ini, ZR-V merupakan crossover yang diasaskan dari Honda Civic generasi ke-11. Menurut Honda, dengan platform yang ringan dan keras, ZR-V telah dihasilkan bagi “memberikan karekter pemanduan dan tahap kelincahan tinggi, yang sering dikaitkan dengan hatchback sport.”

    Honda turut menyatakan bahawa SUV ini menawarkan stereng yang mudah untuk dikendali kerana menggunakan logik kawalan yang diperincikan serta komponen-komponen geseran rendah. Ia juga menerima sistem suspensi multilink untuk bahagian belakang bersama set bushing yang dioptimakan.

    Honda ZR-V 2023 dilancarkan di Eropah – hanya hadir dalam versi hibrid e:HEV 2.0L, asas dari Civic gen-11

    ALL-NEW ZR-V EXPANDS HONDA SUV LINE UP WITH A STYLISH, SPORTING, DYNAMIC OPTION

    ZR-V Hybrid pasaran Eropah ini dijana oleh sistem e:HEV yang menggandingkan enjin kitaran Atkinson 2.0 liter empat silinder dengan sistem suntikan bahan api terus bersama dua buah motor elektrik. Tiada sebarang angka kuasa disebut, namun untuk ZR-V pasaran Jepun, unit rangkaian kuasa yang sama menghasilkan kuasa 143 PS/189 Nm untuk enjin petrol dan 184 PS/315 Nm untuk motor utama yang memacu roda hadapan.

    Sama seperti sistem 1.5L e:HEV pada City dan HR-V hibrid, enjin petrol yang dibekalkan pada unit rangkaian kuasa ini dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri.

    Sebuah motor bersaiz kecil dipadankan terus pada aci engkol berfungsi untuk menghidupkan enjin, manakala motor utama berfungsi untuk memacu roda hadapan. Ada masa-masa tertentu motor elektrik berkenaan turut bergabung tenaga dengan enjin petrol, dan sebab itulah ia masih diberikan transmisi E-CVT.

    Honda ZR-V 2023 dilancarkan di Eropah – hanya hadir dalam versi hibrid e:HEV 2.0L, asas dari Civic gen-11

    ALL-NEW ZR-V EXPANDS HONDA SUV LINE UP WITH A STYLISH, SPORTING, DYNAMIC OPTION

    Di Amerika Syarikat, ZR-V dikenali dengan nama HR-V dan ia ditawarkan dalam versi 2.0L DOHC i-VTEC dan juga 1.5L VTEC Turbo. Manakala di Jepun, selain dari versi Hybrid, ZR-V juga hadir dalam versi 1.5L VTEC Turbo. China juga telah menerima ZR-V ini dalam pasaran, manakala Australia juga disahkan akan menerima model ini tidak lama lagi.

    Di kebanyakkan pasaran, Honda ZR-V ini mengisi ruang kosong antara penawaran HR-V dan CR-V. Ini kerana HR-V masih lagi kekal sebagai SUV segmen-B, sementara saiz CR-V pula semakin membesar menghampiri ke model segmen-D. Mungkin selepas ini ZR-V turut akan dibawa ke pasaran ASEAN termasuk Malaysia?

     
     
  • Toyota Yaris Cross 2023 untuk ASEAN muncul di Indonesia – platform DNGA, kembar Perodua D66B?

    Toyota Yaris Cross 2023 untuk ASEAN muncul di Indonesia – platform DNGA, kembar Perodua D66B?

    Seperti yang kami laporkan tempoh hari, ini dia, Toyota Yaris Cross 2023 sudahpun membuat kemunculan sulungnya di Indonesia! Walau bagaimanapun untuk mengelakkan anda keliru, Yaris Cross yang muncul diperkenalkan ini bukanlah model sama seperti Yaris Cross yang kini sedang dijual di pasaran Jepun dan juga Eropah buat masa sekarang, tetapi ia adalah model yang dihasilkan khas untuk pasaran ASEAN.

    Berbeza dengan Yaris Cross JDM/Eropah yang dibangunkan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA), Yaris Cross untuk ASEAN ini diasaskan dari platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Untuk lebih spesifik, ia adalah SUV Segmen-B yang menggunakan platform DNGA-B, iaitu varian yang sama digunakan kembar MPV Daihatsu Xenia/Toyota Avanza dan Veloz/Perodua Alza serta Toyota Vios.

    Platform berkenaan memberikan Yaris Cross ini dimensi panjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,615 mm dan juga jarak antara roda sejauh 2,620 mm. Toyota turut mengumumkan bahawa model ini mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 260 mm.

    Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, Yaris Cross ini hanya 20 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar, 6 mm lebih rendah berbanding Proton X50, namun hadir dengan jarak roda 20 mm lebih jauh dari SUV segmen-B dari Proton berkenaan. Manakala berbanding dengan ‘adiknya’ iaitu Toyota Raize/Perodua Ativa, Yaris Cross ini adalah 245 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar, 20 mm lebih rendah, dan jarak roda 95 mm lebih jauh.

    Toyota Yaris Cross 2023 untuk ASEAN muncul di Indonesia – platform DNGA, kembar Perodua D66B?

    Dari segi rekaan, Yaris Cross ini seakan Corolla Cross dalam sekala lebih kecil. Pada bahagian muka, ia menerima gril seakan Corolla Cross tetapi diapit dengan lampu hadapan yang lebih nipis dan tajam, menampilkan jalur LED untuk lampu nyalaan siang bina dalam.

    Pada bahagian sisi, cermin tingkap paling belakang menampilkan garis bawah yang ‘sikat’ ke atas, selari dengan rekaan sisi lampu belakang. Ia juga menerima rel bumbung dan juga panel overfender pada setiap ruang tayar seperti pada Corolla Cross.

    Manakala di belakang, Yaris Cross nampak lebih sporty dari Corolla Cross dengan menampilkan rekaan lampu dan juga garis-garis yang lebih tajam.

    Pada bahagian kabin, Yaris Cross ini menerima papan pemuka yang direka fokus kepada pemandu. Ia menampilkan skrin sesentuh besar bersaiz 10.1-inci di atas liang pendingin hawa bahagian tengah untuk sistem infotainmen. Ia juga diberikan paparan instrumen digital bersaiz tujuh-inci untuk pemandu.

    Toyota Yaris Cross 2023 untuk ASEAN muncul di Indonesia – platform DNGA, kembar Perodua D66B?

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk panel-panel yang dibalut dengan material sentuhan lembut, ruang but yang mampu menampung sehingga empat bagasi besar, bumbung panaromik, lampu suasana kabin, sambungan dan juga pengecas telefon pintar tanpa wayar, tempat duduk larasan kuasa dan juga pintu tailgate elektrik.

    Ia juga menerima sistem telematik Toyota T intouch, kamera pemantau pandangan panaromik, amaran lintasan trafik belakang dan juga sistem bantuan pemanduan termaju Toyota Safety Sense.

    Toyota Yaris Cross ini ditawarkan dalam dua pilihan unit rangkaian kuasa iaitu versi petrol penuh dan juga versi hibrid petrol elektrik. Bagi model petrol sepenuhnya, ia dijana oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter empat silinder berkuasa 106 PS dan tork maksima 138 Nm. Ini merupakan enjin yang sama boleh kita temui dalam perut Xenia/Avanaza/Velos/Alza, Perodua Myvi facelift serta Toyota Vios.

    Bagi model hibrid elektrik pula, ia menggandingkan enjin petrol 2NR-VEX 1.5 liter empat silinder yang menghasilkan kuasa 91 PS dan tork maksima 121 Nm, bersama motor elektrik berkuasa 80 PS dan tork maksima 141 Nm. Kedua-dua versi ini hanya memacu roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik.

    Toyota Yaris Cross 2023 untuk ASEAN muncul di Indonesia – platform DNGA, kembar Perodua D66B?

    Toyota masih belum mengumumkan spesifikasi penuh untuk Yaris Cross dalam majlis pendedahan global ini. Ia dijangka akan diumumkan bersama harganya kelak apabila ia dilancarkan untuk dijual secara rasmi di sana tidak lama lagi. Adakah Yaris Cross ini akan turut ke Malaysia?

    Toyota Yaris Cross pasaran ASEAN ini sebelum ini dilaporkan dibangunkan dengan kod projek D03B, dan ia dikhabarkan merupakan kembar kepada SUV yang sedang dibangunkan oleh Perodua dengan kod projek D66B. Jadi tidak mustahil ini merupakan model pertama dari Perodua yang menampilkan teknologi hibrid elektrik (Ativa hybrid yang diperkenalkan dalam program langganan sebelum ini merupakan Daihatsu Rocky sebenar dari Jepun yang diganti dengan logo Perodua).

    Ia padan dengan beberapa petunjuk sebelum ini di mana D66B dilaporkan dibangunkan menggunakan asas platform DNGA-B dan akan dilancarkan pada tahun hadapan, manakala Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad mengesahkan bahawa model hibrid pertama Perodua akan dilancarkan pada 2024, dan ia adalah model baharu sepenuhnya, bukan varian atau facelift dari model-model sedia ada.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025