Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Yamaha YZF-R15M dilancar untuk pasaran Malaysia – tiada versi Standard, dua pilihan warna, RM14,998

    Yamaha YZF-R15M dilancar untuk pasaran Malaysia – tiada versi Standard, dua pilihan warna, RM14,998

    Menuruti beberapa teaser yang disiarkan sebelum ini, Yamaha YZF-R15M kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, pada harga jualan RM14,998 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Meskipun di negara luar terdapat versi Standard yang lebih murah bagi R15 V4 ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) cuma membawa versi prestasi R15M untuk pasaran dan dua pilihan grafik disediakan, iaitu Signature M (warna perak) dan Monster Energy Edition.

    Diperkenalkan kali pertama September tahun lalu di India, R15M ini menampilkan panel badan serba baru termasuk tangki, penghadang lumpur dan panel tepi, sementara lampu hadapan LED utama pula menggunakan satu unit di bahagian tengah, di tepinya terdapat jalur LED sebagai DRL.

    Enjin model ini masih lagi sama seperti R15 sebelum ini, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api SOHC, VVA 155 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, menghasilkan 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Sebagai sebuah motosikal versi prestasi, R15M didatangkan terus dengan quickshifter, sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup), ABS two-channel serta panel paparan LCD yang boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect.

    Meter LCD ini juga menyediakan dua pilihan paparan, iaitu Street untuk keadaan biasa, dan Track yang boleh memaparkan catatan masa pusingan di litar. Beberapa kemasan unik turut diberikan pada R15M, termasuk lencana R15M, penutup atas fork dengan logo R15M, tempat duduk khas serta angkup brek Bybre warna emas.

    Kelengkapan lain pada R15 V4 ini adalah sama seperti R15 sebelumnya, termasuklah fork USD di hadapan, monoshock, brek cakera 282 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, tangki bahan api 11 liter, berat 140 kg dan lengan ayun aluminium.


     
     
  • Harga minyak 30 Jun-6 Julai – semuanya dikekalkan

    Harga minyak  30 Jun-6 Julai – semuanya dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 30 Jun hingga 6 Julai 2022, Kementerian Kewangan mengumumkan harga ketiga-tiga bahan api utama di negara ini dikekalkan seperti mana harga minggu sebelumnya. Di mana harga petrol RON 97 dikekalkan pada paras RM4.84 seliter selepas mengalami kenaikan mendadak selama tiga minggu berturut-turut.

    Untuk harga bagi petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, ia juga dikekalkan sejak lebih setahun yang lalu iaitu pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20 yang masih dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Kesemua harga ini masih berkuatkuasa sehingga Rabu hadapan, 6 Julai 2022.

     
     
  • Feri Penang lanjut 50% diskaun kenderaan 2 roda hingga 31 Dis – RM1 untuk motor, 70 sen bagi basikal

    Feri Penang lanjut 50% diskaun kenderaan 2 roda hingga 31 Dis – RM1 untuk motor, 70 sen bagi basikal

    Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) telah melanjutkan pemberian diskaun sebanyak 50% bagi kenderaan dua roda yang menaiki feri Pulau Pinang. Tawaran separuh harga itu telah mula diberikan sejak 1 Januari 2022 untuk tempoh enam bulan, iaitu sepatutnya berakhir esok (30 Jun 2022). Walau bagaimana pun, dengan lanjutan tempoh ini, pemberian diskaun tersebut akan dilaksanakan sehingga 31 Disember 2022.

    Pengerusi PPC Datuk Tan Teik Cheng berkata, setakat 31 Mei, sebanyak 62,564 motosikal dan 1,393 basikal telah menikmati pemberian diskaun 50% ini. Dalam tempoh tersbeut, PPC – yang merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Pengangkutan – telah membelanjakan sebanyak RM65,539.10 untuk kempen diskaun berkenaan.

    Diskaun ini adalah untuk semua jenis motosikal, basikal dan beca, tanpa mengira warga negara penunggangnya. Untuk motosikal, dikenakan tambang sebanyak RM1 dan basikal pula 70 sen untuk menaiki feri RORO. PPC turut berkata, inisiatif ini dijangka memberikan manfaat buat 100,000 penunggang kenderaan dua roda.

     
     
  • Benarkan warga asing memandu – 3 motosikal, 3 kereta dan sebuah lori disita JPJ Perlis sejak 1 April

    Benarkan warga asing memandu – 3 motosikal, 3 kereta dan sebuah lori disita JPJ Perlis sejak 1 April

    Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah menyatakan bahawa sejak 1 April lalu pihaknya telah menyita tujuh kenderaan milik warga negara Malaysia yang dipandu oleh warga asing serta pelarian pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tanpa lesen.

    “Berdasarkan rekod kita sejak pintu sempadan Malaysia-Thailand dibuka pada 1 April lalu, sebanyak tujuh kenderaan disita membabitkan masing-masing tiga motosikal dan kereta serta sebuah lori. Malah, daripada jumlah itu, enam daripadanya adalah warga Myanmar etnik Rohingya yang memegang kad UNHCR serta seorang warga Pakistan,” kata Fatimah kepada Berita Harian selepas melakukan tinjauan Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) Bersepadu semalam.

    Menurutnya lagi JPJ mendapati kenderaan-kenderaan yang dipandu oleh warga asing terutama pemegang kad UNHCR berkenaan adalah milik majikan warga tempatan yang membenarkan mereka memandu, dan ada juga disewakan kepada mereka oleh warga tempatan. Tindakan tersebut menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengguna jalan raya disebabkan golongan ini tidak mempunyai lesen memandu sama sekali, tambahnya lagi.

    Fatimah turut menjelaskan bahawa terdapat ketetapan undang-undang pengangkutan jalan di Malaysia yang melarang sama sekali warga asing pemegang kad UNHCR terutama warga Myanmar dari etnik Rohingya memandu atau memiliki lesen serta kenderaan di negara ini.

    “Memang sudah termaktub dalam undang-undang jalan raya bahawa warga asing pemegang kad UNHCR tidak dibenarkan memandu apatah lagi menunggang motosikal di negara ini. Kita boleh menahan dan memberikan kompaun kepada mereka atas kesalahan yang dilakukan,” katanya.

     
     
  • Pemegang permit kerja tidak boleh simpan, guna kenderaan pendaftaran asing di S’pura mulai 1 Julai

    Pemegang permit kerja tidak boleh simpan, guna kenderaan pendaftaran asing di S’pura mulai 1 Julai

    Sejak pintu masuk Malaysia (menerusi Johor)-Singapura dibuka pada April lalu, ia turut membuka peluang untuk kedua-dua warga negara berkenaan merentasi sempadan bagi tujuan meneruskan pekerjaan demi kelangsungan hidup. Malahan saban hari, beribu-ribu warga kita berulang-alik ke Singapura untuk bekerja. Rata-ratanya memilih menggunakan kenderaan sendiri dan sanggup bersesakan di pintu pemeriksaan darat (CIQ) antara Malaysia dan Singapura.

    Malahan sejak kebelakangan ini, kesesakan lalu lintas itu semakin meruncing membuatkan Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) mengambil tindakan untuk mengekang jumlah kenderaan yang memasuki negara terbabit.

    Di mana LTA telah mengumumkan bermula 1 Julai 2022, pemegang permit kerja (Working Pass Holder) tidak lagi boleh menyimpan dan menggunakan kenderaan berpendaftaran asing di Singapura. Ekoran daripada peraturan itu juga, pengedar kereta tempatan Singapura telah merekodkan peningkatan sebanyak 30% dalam bilangan kenderaan yang dijual, laporan mustsharenews.com.

    Sebelum ini, pada Mei lalu, LTA telah memberi amaran kepada pemilik kenderaan berhubung perkara tersebut. Pengumuman tersebut melibatkan penarikan balik pengecualian yang akan datang untuk pemegang permit kerja “menyimpan dan menggunakan kenderaan berdaftar asing mereka selama-lamanya di Singapura”.

    Sebelum perubahan tersebut dilakukan, LTA telah membenarkan pemegang permit kerja menyimpan dan menggunakan kenderaan mereka di Singapura kerana sekatan sempadan semasa pandemik COVID-19.

    8world News pula melaporkan bahawa peraturan baharu itu diharapkan dapat membantu keperluan mengawal jumlah kenderaan yang masuk ke negara republik itu.

    Di bawah pindaan baharu Akta Trafik Lebuhraya, pesalah kali pertama akan didenda sehingga S$1,000 (RM 3169.09) dan penjara sehingga tiga bulan. Kesalahan seterusnya akan membawa denda sehingga S$2,000 (RM 6338.18) atau sehingga enam bulan penjara.

    Manakala pemegang permit kerja yang tidak tinggal di Singapura juga perlu memastikan kenderaan berpendaftaran asing mereka kekal berada di luar Singapura selama sekurang-kurangnya enam jam setiap hari.

    Ternyata keputusan LTA ini lebih berpihak pada negara jiran kita itu kerana ia dilihat mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat pemeriksaan CIQ. Walau bagaimana pun, untuk pemegang permit kerja dari Malaysia, keputusan ini agak sukar untuk diterima. Malah ada di antara mereka yang terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk membeli kenderaan di Singapura, sekurang-kurangnya motosikal, bagi tujuan berulang-alik ke kedua-dua negara berkenaan untuk bekerja.

    Buat setakat ini, kerajaan Malaysia masih belum memberikan sebarang tindak balas berhubung tindakan terbaru Singapura ini.

     
     
  • Hyundai Ioniq 6 – sedan elektrik dengan rekaan menggelembung, bateri 77.6 kWh, jarak gerak 482 km

    Hyundai Ioniq 6 – sedan elektrik dengan rekaan menggelembung, bateri 77.6 kWh, jarak gerak 482 km

    Hyundai Ioniq 6 akhirnya didedah sepenuhnya, dan menjadi model elektrik terbaru jenama itu, mengikuti Ioniq 5 yang diperkenalkan Februari lalu. Membawa rekaan serba lain, Ioniq 6 ini diberitahu mencatat kecekapan rintangan angin cuma 0.21, dan merupakan yang paling rendah berbanding model-model Hyundai yang lain.

    Selain bentuk asas melengkung seperti yang boleh dilihat dalam gambar, penyumbang lain kecekapan aerodinamik ini adalah seperti bampar tirus, sirip udara aktif, penutup ruang roda, kamera digital menggantikan cermin sisi, spoiler atas but, bahagian bawah kenderaan yang tertutup sepenuhnya serta sirip angin di beberapa bahagian lain.

    Mengikuti Ioniq yang lain, Ioniq 6 ini juga menggunakan elemen Parametric Pixels, yang boleh didapati termasuk pada lampu hadapan, lampu belakang, sensor bawah di hadapan, hiasan pada corong pendingin hawa, konsol tengah serta lampu brek ketiga.

    Hyundai Ioniq 6 – sedan elektrik dengan rekaan menggelembung, bateri 77.6 kWh, jarak gerak 482 km

    Di sebalik badannya adalah platform Electric Global Modular Platform (E-GMP) sama seperti Ioniq 5, Kia EV6 dan Genesis GV60. Spesifikasi teknikal Ioniq 6 ini masih belum didedahkan tetapi menurut Ars Technica, ia adalah lebih kecil berbanding Ioniq 5 dengan jarak roda kurang 50 mm.

    “Inilah rekaannya, dan sejujurnya, inilah apa yang kami mahu di pusat rekaan. Tetapi, bahagian jualan dan pemasaran memutuskan 4,485 mm (jarak roda Ioniq 6) adalah saiz yang sepatutnya,” kata ketua rekaan Hyundai, Lee Sangyup kepada Ars Technica, merujuk kepada jarak rodak Ioniq 6 yang kini lebih pendek berbanding Ioniq 5.

    Memandangkan platform adalah sama, kita boleh menjangkakan pakej kuasa Ioniq 6 juga adalah sama seperti Ioniq 5. Dengan pakej bateri 77.6 kWh, Ioniq 6 dijangka boleh mencatat jarak gerak 482 km, dan melihat kepada Ioniq 5 yang menggunakan bateri ini, dan paling berkuasa, ia boleh menghasilkan 302 hp/605 Nm, melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat dan mencecah kelajuan maksimum 185 km/j.

    Hyundai Ioniq 6 – sedan elektrik dengan rekaan menggelembung, bateri 77.6 kWh, jarak gerak 482 km

    Menurut Hyundai, bahagian dalam Ioniq 6 menggunakan rekaan “berbentuk kepompong” untuk menyediakan ruang peribadi tersorok, sementara bateri yang terletak di bawah lantai menjadikan ruangnya lebih luas dan selesa. Terdapat lampu suasana dengan pilihan 64 warna di dalam kereta ini dan di bahagian tengah stereng terdapat lampu Interactive Pixel.

    Panel pintu hadapan direka untuk tidak mempunyai sebarang butang kawalan demi “memberikan lebih ruang bernafas”, manakala kemasan lutsinar pada beberapa bahagian menurut Hyundai adalah untuk meningkatkan lagi rasa luas di dalam kabin.

    Selain penggerak tanpa emisi, Ioniq 6 juga cuba memperkuatkan ciri mesra alamnya dengan penggunaan bahan seperti pigmen cat kitar semula, plastik PET, lapik papan pemuka bio TPO, fabrik bio PET untuk lapis bumbung, jala kitar semula untuk lapik kaki serta cat bio daripada minyak sayur. Perincian selanjutnya berkenaan Ioniq 6 ini akan didedah bulan hadapan oleh Hyundai.

     
     
  • Pihak berkuasa Jerman serbu pejabat Hyundai dan Kia – didakwa guna peranti pengubah tipu ujian emisi

    Pihak berkuasa Jerman serbu pejabat Hyundai dan Kia – didakwa guna peranti pengubah tipu ujian emisi

    Pejabat Hyundai dan Kia di Jerman telah diserbu oleh pihak berkuasa negara berkenaan pada Selasa lalu kerana kes yang melibatkan penipuan dalam ujian emisi, lapor Reuters.

    Penipuan tersebut melibatkan sejumlah 210,000 unit model diesel yang dijual oleh kedua-dua jenama Korea berkenaan, didakwa menerima peranti pengubah haram yang digunakan di atas jalan raya oleh pejabat pendakwaraya negeri Frankfurt.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, perisian sistem pengurusan enjin yang didakwa mengandungi peranti pengubah tersebut dibekalkan oleh Bosch dan Delphi, di mana kedua-dua jenama tersebut kini di bawah kumpulan Borgwarner.

    Reuters turut melaporkan bahawa pendakwaraya di Frankfurt telah mengesahkan lapan lokasi milik Hyundai dan Kia di Jerman dan Luxembourg telah diserbu melibatkan isu yang sama dalam operasi yang dikoordinasi oleh agensi Kesatuan Eropah, Eurojust.

    Pihak berkuasa Jerman serbu pejabat Hyundai dan Kia – didakwa guna peranti pengubah tipu ujian emisi

    Jurucakap Hyundai telah pun mengesahkan serbuan tersebut dan menyatakan mereka kini sedang memberikan kerjasama terhadap pihak berkuasa, lapor agensi berita tersebut lagi.

    Apa yang sedang di hadapi Hyundai dan Kia ini nampaknya hampir sama dengan skandal Dieselgate membabitkan Volkswagen Group pada 2015, apabila pihak berkuasa mengesan peranti pengubah dalam model-model diesel keluaran gergasi automotif Jerman berkenaan.

    Peranti tersebut mampu mengesan situasi apabila kenderaan berkenaan masuk ke makmal untuk di uji, dan terus mengubah talaan enjin secara automatik agar memenuhi standard emisi yang dibenarkan, kemudian bertukar semula kepada talaan asal apabila dipandu di jalan raya.

    Skandal Dieselgate ini telah menyebabkan Volkswagen kerugian berbilion dollar untuk membayar saman di pelbagai negara di seluruh dunia. Kemudian kaedah penipuan yang hampir sama turut dikesan digunakan oleh beberapa pengeluar lain termasuk Mercedes-Benz dan lain-lain.

     
     
  • BMW 218i Gran Coupé Limited Edition diperkenal oleh Auto Bavaria di Malaysia – harga dari RM228,000

    BMW 218i Gran Coupé Limited Edition diperkenal oleh Auto Bavaria di Malaysia – harga dari RM228,000

    Bagi menjadikan pilihan lebih menarik, pengedar kenderaan BMW di Malaysia, Auto Bavaria (AB), telah memperkenalkan pakej edisi terhad untuk model 218i Gran Coupé M Sport F44. Melalui pakej ini, kereta tersebut akan ditambah dengan beberapa kelengkapan dan barang hiasan.

    Pembeli disediakan dengan tiga pilihan, dengan yang dijangka menjadi pilihan utama adalah pakej Aesthetics, menjadikan kereta tersebut bernilai RM228,000. Harga ini adalah RM15,400 lebih mahal berbanding model standard (RM213,400), dan anda akan menerima beberapa barang M Performance Parts di bahagian luar.

    Ini termasuklah gril hitam berkilat dengan rekaan seperti M235i, lapik cermin sisi gentian karbon, spoiler atas but warna hitam serta pemancar logo BMW M. Menurut AB, semua komponen ini bernilai RM8,888 dan turut diberi adalah penapis cahaya cermin, baucar petrol RM3,000 serta cawan seramik Sttoke.

    Pembeli juga boleh memilih pakej Signature Sound yang menjadikan harga kereta RM227,800 (lebih RM14,400 berbanding model standard). Pakej ini memberikan naik taraf pembesar suara Harman Kardon bernilai RM8,400, pembesar suara mudah alih Bluetooth Harman Kardon berharga RM1,699, penapis cahaya cermin serta cawan seramik Sttoke. Jika mahu mendapatkan barang dalam kedua-dua pakej ini, anda boleh menggabungkannya dengan memilih Best of Both Worlds, yang menjadikan harga kereta RM233,800.

    Kelengkapan lain pada kereta standard dikekalkan, termasuk lampu utama LED, rim 18 inci, sistem masuk tanpa kunci dan butang pemula enjin, balutan kulit Dakota asli, kemasan dalam “Boston” berlampu, cermin boleh malap sendiri, kamera undur, bantuan parkir, BMW Live Cockpit Professional dengan dua skrin 10.25 inci dan pintu but boleh buka tanpa sentuh.

    Turut dikekalkan adalah pakej Driving Assistant yang termasuk Autonomous Emergency Braking, Lane Keeping Assist, Blind Spot Monitoring, Rear Cross Traffic Alert dengan brek automatik, serta Traffic Sign Recognition. Stability Control dan enam beg udara diberi secara standard.

    Penggeraknya adalah enjin tiga silinder turbo 1.5 liter, menghasilkan 140 PS pada 4,600 hingga 6,500 rpm dan 220 Nm tork antara 1,480 hingga 4,200 rpm. Dengan transmisi klac berkembar Getrag dan pacuan roda hadapan, model ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 8.7 saat, sebelum mencapai laju maksimum 213 km/j.

     
     
  • Mazda CX-8 2022 dilancarkan di Malaysia — varian 2.5L turbo baru, harga dari RM178k hingga RM212k

    Mazda CX-8 2022 dilancarkan di Malaysia — varian 2.5L turbo baru, harga dari RM178k hingga RM212k

    Selain Mazda MX-30, Bermaz hari ini turut memperkenalkan Mazda CX-8 2022 untuk pasaran tempatan dan ia melibatkan beberapa kemaskini terbaru. Yang paling utama ialah pertambahan varian 2.5 T High Plus AWD, yang menjadi penawaran paling tingginya kini, dengan harga RM212,225 atas jalan tidak termasuk insuran. Varian petrol lain masih dikekalkan, dengan 2.5 Mid 2WD pada harga RM177,674; 2.5 High 2WD pada RM183,452; dan 2.5 High Plus 2WD pada RM197,553.

    Turut berubah adalah varian diesel tunggal 2.2 D High Plus, kini tanpa sistem pacuan semua roda. Ia kini dijual pada harga RM204,759. Ini tidak termasuk SST, dan pengecualian ini akan berakhir Jumaat nanti. Semua pembelian datang dengan jaminan lima-tahun/100,000 km dan servis percuma selama lima tahun.

    Enjin 2.5 liter terbaru ini, dengan nama Skyactiv-G 2.5 T, dikongsi juga dengan CX-5 dan menghasilkan kuasa 228 hp pada 5,000 rpm dan 420 Nm tork 2,000 rpm. Ini berbeza agak banyak berbanding enjin NA yang hadir dengan 192 hp pada 6,000 rpm dan 258 Nm pada 4,000 rpm. Model turbo ini juga merupakan satu-satunya yang dilengkapi dengan i-Activ AWD.

    Mazda CX-8 2022 dilancarkan di Malaysia — varian 2.5L turbo baru, harga dari RM178k hingga RM212k

    Varian 2.2 liter SkyActiv-D turbodiesel masih lagi menjana 188 hp pada 4,500 rpm dan 450 Nm pada 2,000 rpm. Semua model menggunakan transmisi automatik Skyactiv-Drive enam-kelajuan, lengkap dengan ciri G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) baru yang kini boleh mengaktifkan brek dan menstabilkan kenderaan.

    Model 2022 ini juga turut melibatkan beberapa perubahan estetika. Di luar, CX-8 tampil dengan rekaan gril baru untuk varian High Plus dalam penyudah kemasan gunmetal. Ia juga diberikan kemasan jalur krom di sekeliling di bahagian bawahnya, dan rim aloi 19-inci baru. Tidak lupa, ada dua warna metalik baru — Platinum Quartz dan Polymetal Grey dari Mazda 3.

    Di dalam, skrin sentuh lapan-inci kini standard, walaupun untuk pasaran tempatan tiada lagi paparan 10-inci diberikan seperti di pasaran lain. Dan untuk Apple CarPlay kini tanpa wayar serta pengecas Qi bagi varian 2.5 High dan ke atas. Kerusi balutan kulit adalah standard, dan bagi varian High Plus, kulit Nappa dan pemanas kerusi berliang jadi tambahan (termasuk pemanas kerusi barisan kedua).

    Mazda CX-8 2022 dilancarkan di Malaysia — varian 2.5L turbo baru, harga dari RM178k hingga RM212k

    Selebihnya kelengkapan kekal sama; lampu depan dan belakang LED automatik, lampu kabus LED, sistem tanpa kunci, butang Start, kawalan pendingin tiga-zon, paparan instrumen tujuh-inci, kerusi depan larasan kuasa dan memori untuk kerusi pemandu, tujuh-tempat duduk, cermin pandang belakang anti-silau, enam-pembesar suara, kamera undur dan pintu ruang karga bebas kendalian tangan.

    Beralih ke varian 2.5 High, ia menerima lampu LED adaptif, DRL LED, lampu belakang LED, pencahayaan dalaman LED, cermin pandang belakang tanpa bingkai dan enam tempat-duduk. High Plus pula diberikan head-up display, penghadang matahari pintu belakang dan sistem kamera 360-darjah. Landasan bumbung hanya untuk model turbocas sahaja.

    Untuk aspek keselamatan, CX-8 datang standard dengan enam beg udara dan kawalan kestabilan, dengan 2.5 High hadir bersama sistem bantuan pemandu i-Activsense; ini termasuklah AEB, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Baru untuk 2022 adalah ciri tambahan untuk High Plus, seperti kawalan melayar adaptif, bantuan mengekalkan lorong dan sistem AEB yang dipertingkat dengan turut berfungsi ketika mengundur.

    Mazda CX-8 2.5 T High Plus AWD

     
     
  • Mazda MX-30 EV diperkenalkan di Malaysia — varian Mid dan High, serahan pada Q4, harga dari RM199k

    Mazda MX-30 EV diperkenalkan di Malaysia — varian Mid dan High, serahan pada Q4, harga dari RM199k

    Selepas dipertontonkan pertama kali April lalu, Bermaz Motor kini memperkenalkan secara rasmi model elektrik sepenuhnya Mazda MX-30 untuk pasaran tempatan. Ia merupakan unit yang diimport sepenuhnya dari Jepun, dan dijual pada harga bermula RM198,780. Serahan untuk pasaran tempatan pula dijangka akan dilakukan bermula suku keempat tahun ini.

    Ketika pelancaran, terdapat dua varian MX-30 ditawarkan, iaitu MX-30 EV Mid dan MX-30 EV High, dengan perbezaan antara keduanya melibatkan kelengkapan yang ditawarkan. Kedua-duanya berkongsi sistem janaan yang sama; terdiri daripada bateri lithium ion 35.5 kWh, 355 volt serta motor elektrik berkuasa 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan 271 Nm tork, yang dipadankan bersama transmisi satu kelajuan.

    Penggerak elektrik yang digunakan pada MX-30 ini dipanggil sebagai e-Skyactiv, di mana ia terdiri daripada bateri lithium ion 35.5 kWh, 355 volt serta motor elektrik berkuasa 145 PS (143 hp atau 107 kW) dan 271 Nm tork, yang dipadankan bersama transmisi satu kelajuan. Bagi prestasi, model ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat, dengan kelajuan maksimum 140 km/j manakala untuk jarak gerak, dengan cas penuh, ia boleh bergerak sejauh 199 km.

    Mazda MX-30 EV diperkenalkan di Malaysia — varian Mid dan High, serahan pada Q4, harga dari RM199k

    Untuk pengecasan, MX-30 datang dengan pengecas AC Type 2 yang boleh digunakan sehingga 6.6 kW, dan apabila menggunakan wallbox pada kadar maksimum, baterinya akan mengambil masa lima jam untuk penuh. Sebagai alternatif, terdapat juga pengecas pantas DC dengan soket CCS2, yang boleh menaikkan kadar bateri dari kosong ke 80% dalam masa 36 minit menggunakan input 40 kW.

    Berkongsi platform SkyActiv-Vehicle Architecture yang sama, serta saiz yang hampir dengan CX-30, model ini mempunyai ukuran dimensi 4,395 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,570 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,655 mm — hampir sama dengan saiz CX-30, cuma lebih tinggi 30 mm. Beratnya adalah 1,645 kg, sama bagi kedua-dua varian.

    Antara kelengkapan standard luaran termasuklah lampu utama LED, DRL LED, lampu belakang kombinasi LED Signature di belakang serta lampu kabus dan lampu undur LED. Turut disediakan ialah sensor pengilap cermin dan sistem tanpa kunci, serta empat sensor parkir di depan dan enam di belakang. Kedua-dua varian menggunakan rim 18-inci dengan tayar 215/55.

    Mazda MX-30 EV diperkenalkan di Malaysia — varian Mid dan High, serahan pada Q4, harga dari RM199k

    Menggunakan rekaan papan pemuka yang lebih mendatar dan bergaris lurus, MX-30 turut dipasang dengan tiga skrin iaitu untuk panel instrumen (TFT 7.0-inci LCD), infotainmen dan pengawal suhu (unit di bawah, berhampiran tombol gear). Bahagian kabin ini juga ada menggunakan bahan kitar semula termasuk pada tempat duduk dan panel pintu.

    Kelengkapan lain untuk kedua-dua varian termasuklah kawalan pendingin dua zon, brek parkir elektronik, lampu dalaman LED, paddle shifter, head-up display, stereng dan tombol gear balutan kulit, suis kawalan audio di stereng dan skrin sentuh 8.8-inci untuk sistem infotainmen Mazda Connect dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

    MX-30 EV Mid menerima sistem audio lapan-pembesar suara, kerusi balutan fabrik, kerusi depan larasan enam-hala dan kamera undur. Varian High pula ada 12-pembesar suara dengan sistem bunyi Bose. Selain itu, varian lebih tinggi itu juga diberikan kerusi balutan kombinasi fabrik dan kulit dengan larasan lumbar dua-hala, dua momori untuk kedudukan kerusi serta fungsi pemanas. Kamera undur untuk varian ini pula memaparkan tinjauan 360-darjah, serta ada sunroof larasan elektrik.

    Untuk sistem keselamatan, ia dilengkapi dengan tujuh beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Dynamic Stability Control, Traction Control dan ISOFIX. Bagi sistem bantuan pemandu, kereta ini dilengkapi dengan i-Activesense yang terdiri daripada AEB, fungsi Start/Go dengan kawalan melayar adaptif Mazda, penggera perhatian pemandu, peninjau titik buta, penggera lintasan trafik di belakang, sistem bantuan mengekalkan lorong, amaran penukaran lorong — semuanya standard untuk kedua-dua varian.

    Varian Mid datang dengan lampu depan adaptif (AFS) dan kawalan lampu tinggi, sementara varian High menerima lampu utama LED adaptif (ALH), amaran lintasan trafik depan serta sokongan melayar dan trafik (CTS).

    Mazda MX-30 EV diperkenalkan di Malaysia — varian Mid dan High, serahan pada Q4, harga dari RM199k

    Daripada aspek praktikaliti, MX-30 menyediakan ruang but 332 liter manakala tempat duduknya pula boleh dilipat 60:40 untuk menjadikan ruang keseluruhan 1,137 liter. Tiada ruang kosong di bawah hud kerana ia digunakan untuk menempatkan motor elektrik serta kelengkapan lain.

    Lima pilihan warna ditawarkan; Polymetal Gray dan Machine Gray, serta pilihan dua-tona warna Jet Black Mica (dengan tiang warna perak), Zircon Sand (dengan bumbung hitam) dan Soul Red Crystal (dengan bumbung hitam).

    Mazda MX-30 datang dengan jaminan lima-tahun atau 100,000 km, yang mana dulu dan bateri pula dengan jaminan lapan-tahun atau 160,000 km. Mereka yang berminat boleh membuat tempahan untuk MX-30 ini di Mazda Glenmarie bermula hari ini.

    Pratonton Mazda MX-30 EV

     
     
  • Tesla rugi berbilion dolar; berisiko untuk muflis?

    Tesla rugi berbilion dolar; berisiko untuk muflis?

    Pembuat kereta elektrik dari Amerika Syarikat, Tesla kini berhadapan kerugian berbilion dolar dari kilang-kilang produksi baharu, isu rantaian bekalan dan juga sekatan-sekatan pergerakan berkaitan dengan pandemik. Menurut CEO syarikat tersebut, Elon Musk dalam wawancara baru-baru ini, syarikatnya mungkin boleh muflis kerana kerugian besar tersebut, lapor CNN Business.

    “Gangguan rantaian bekalan menjadi mimpi ngeri untuk dua tahun kebelakangan ini, selepas satu, satu lagi perkara berlaku. Kami belum keluar lagi dari masalah tersebut; kebimbangan kami adalah bagaimana untuk memastikan kilang beroperasi supaya kami boleh membayar orang ramai dan tidak muflis,” kata Musk dalam temu bual bersama kumpulan pemilik Tesla.

    CNN Business menyatakan bahawa Tesla telah sampai ke penghujung suku paling sukar dalam tempoh dua tahun, kerana sebahagian operasi kilangnya di Shanghai, China terpaksa dihentikan akibat sekatan pergerakan berkaitan Covid di bandar berkenaan.

    Dalam temu bual yang sama, Musk turut mendedahkan bahawa kilangnya di Berlin, Jerman dan Texas, Amerika Syarikat telah menyebabkan syarikat tersebut kerugian “berbilion dolar” kerana isu rantaian bekalan. Masalah tersebut telah memperlahankan produksi seterusnya mengurangkan jumlah kereta yang siap – laporan ini menyebut bahawa kenyataan berkenaan telah pun direkodkan akhir Mei lalu, tetapi hanya didedahkan pada minggu lalu.

    Tesla rugi berbilion dolar; berisiko untuk muflis?

    “Muflis adalah risiko sebenar untuk [Tesla], [kerana] banyak tunai mereka terperangkap di China,” kata Gordon Johnson dari GLJ Research kepada CNN Business. Tesla tidak menguntungkan sehinggalah kerjasama di China, dan China tidak membenarkan syarikat-syarikat luar membawa pulang wang yang dijana di negara tersebut, yang mendatangkan “masalah sebenar” untuk Tesla, katanya lagi.

    Tesla melaporkan keuntungan bersih suku tahunan pertamanya dalam dua tahun pada suku ketiga 2018, dan merekodkan jualan, keuntungan dan hasil terbaiknya pada suku ketiga tahun lalu. Namun keuntungan tersebut dilihat bakal berakhir, menurut kajian penganalisis oleh Refinitiv, tulis laporan CNN Business berkenaan.

    Penganalisis meramalkan bahawa pendapatan Tesla yang dilaras pada suku kedua 2022 akan turun kepada AS$2.5 bilion (RM11 bilion), turun daripada AS$3.7 bilion (RM16.3 bilion) yang dihasilkan pada suku pertama 2022. Walau bagaimanapun, laporan itu menyatakan bahawa ini masih merupakan peningkatan berbanding pendapatan yang dilaras sebanyak AS$1.6 bilion (RM7.03 bilion) dicatatkan pada suku kedua 2021.

    CNN Business juga menyatakan produksi kenderaan Tesla kekal dikurangkan 0.1% pada suku pertama 2022 berbanding suku keempat 2021, walaupun produksi tahun ke tahun adalah 69% lebih tinggi.

     
     
  • Mercedes-AMG GT Black Series di Malaysia – RM3 juta untuk kereta produksi terpantas di Litar Nürburgring!

    Mercedes-AMG GT Black Series di Malaysia – RM3 juta untuk kereta produksi terpantas di Litar Nürburgring!

    Ketika Mercedes-Benz Malaysia (MBM) melancarkan Mercedes-AMG A 35 Sedan dan juga SUV Mercedes-AMG GLA 35 – kedua-duanya versi pemasangan tempatan (CKD) – di Litar Antarabangsa Sepang pagi tadi, syarikat berkenaan turut ‘menjamu’ mata kami dengan jentera ini, Mercedes-AMG GT Black Series!

    Bagi yang belum mengetahui, selain dari Mercedes-AMG One yang menggunakan enjin F1 sebenar, Mercedes-AMG GT Black Series ini satu lagi jentera ‘gila tak masuk akal’ yang boleh dibeli dalam pasaran dari jenama Jerman berkenaan.

    Kenapa? Kerana Black Series ini adalah model produksi jalan raya dengan spesifikasi hampir sama dengan kereta lumba sebenar Mercedes-AMG GT3, dan ia secara rasmi merupakan kereta produksi jalan raya paling laju di Litar Nürburgring dengan catatan masa 6 minit 43.616 saat!

    Model ini juga sebenarnya dihasilkan dalam jumlah terhad, di mana pasaran Malaysia hanya diperuntukkan sebanyak 13-unit, dijual pada harga RM3 juta. Tapi kalau anda banyak duit sekalipun, ia tidak lagi boleh dibeli kerana kesemua 13-unit AMG GT Black Series ini sudah pun habis dijual.

    Mercedes-AMG GT Black Series di Malaysia – RM3 juta untuk kereta produksi terpantas di Litar Nürburgring!

    Apa yang hebat sangat sebenarnya model ni? Kita mulakan dengan enjin. Ia masih menggunakan enjin 4.0 liter V8 dengan dua pengecas turbo, bersama sistem pelinciran jenis dry-sump seakan kereta lumba sebenar. Dengar macam sama dengan enjin M178 pada Mercedes-AMG GT R dan GT R Pro kan?

    Tapi sebenarnya tidak kerana enjin berkenaan telah menerima rombakan yang cukup besar dan ia diberikan kod enjin M178 LS2. Rombakan berkenaan melibatkan penukaran aci engkol dari jenis cross-plane kepada flat-plane, sekaligus urutan nyalaan (firing order) turut perlu diubah kepada 1-8-2-7-4-5-3-6.

    Ia juga dipadankan dengan aci seondol dan manifold ekzos baru, intercooler lebih besar, bersama roda pemampat pengecas turbo lebih besar, membolehkan ia menghasilkan 730 PS dan tork maksima 800 Nm. Sebagai perbandingan, enjin M178 pada GT R dan GT R Pro ‘hanya’ menghasilkan 557 PS dan tork maksima 680 Nm.

    Transmisi klac berkembar AMG Speedshift 7G-DCT tujuh kelajuan yang dipadankan bersama enjin baru ini juga dipertingkatkan dan diberi sistem penyejukan lebih baik untuk bertahan dengan jumlah tork yang lebih tinggi.

    ‘Tiub tork’ (komponen struktur transaxle yang menghubungkan enjin dan transmisi) yang sebelum ini menggunakan aluminium diganti dengan gentian karbon (40% lebih ringan dengan berat cuma 13.9 kg) manakala driveshaft di dalamnya juga dibuat daripada gentian karbon.

    Pada bahagian casis, wishbone, steering knuckle dan pemegang hab di depan dan belakang semuanya diganti dengan komponen yang diperbuat daripada aluminium forged untuk mengurangkan berat keseluruhannya.

    Sistem kawalan cengkaman AMG Traction Control disediakan pada kereta ini, dengan terdapat sembilan tahap yang boleh dipilih tetapan Level 9 membenarkan gelinciran maksimum sekiranya pemandu mahu melakukan aksi drift. Rim forged 10 jejari serta sistem brek seramik, angkup hitam dan pad serta cakera brek sports diberikan secara standard.

    Mercedes-AMG GT Black Series di Malaysia – RM3 juta untuk kereta produksi terpantas di Litar Nürburgring!

    Untuk pengetahuan anda juga, catatan masa yang dibuat oleh Mercedes-AMG GT Black Series ini Nürburgring adalah jauh lebih pantas berbanding Mercedes-AMG GT R Pro – bukan sekadar 4-5 saat, tapi 21 saat! Menurut Mercedes-AMG, bukan hanya kuasa kuda lebih besar yang membuatkan GT Black Series ini lebih laju, ia juga melibatkan perubahan aerodinamik dan juga talaan semula pada suspensi yang ekstensif.

    Ini kerana kelengkapan aerodinamik serta sistem suspensi AMG Black Series ini diispirasikan dari kereta lumba AMG GT3 dan ia boleh dilaras sepenuhnya bagi memenuhi gaya pemanduan pemandu dan juga keadaan litar. Untuk catatan masa yang dibuat di Nürburgring pada November 2020 berkenaan, splitter udara gentian karbon hadapannya telah dilaras pada posisi “Race” (posisi Street untuk talaan kurang agresif), manakala bilah sayap bawah dan atas pada spoiler belakang telah dilaras pada posisi pertengahan.

    Model Black Series ini juga menerima penutup bonet gentian karbon hadapan dengan dua liang ekzos bersaiz besar. Menurut Mercedes-AMG, ia bukan sahaja dapat mengalirkan udara panas keluar dari ruang enjin, malah turut memberikan downforce lebih kuat. Sebahagian bawah badan kereta ini juga ditutup bagi memberikan aliran udara lebih lancar.

    Manakala pada suspensi, ketika rekod berkenaan dibuat penyerap hentak adaptif AMG boleh laras pada kereta ini direndahkan 5 mm di hadapan dan 3 mm di belakang bagi memperbaiki kesan venturi pada diffuser hadapan. Sudut camber pula ditala pada kedudukan paling maksima iaitu 3.8 darjah di hadapan dan 3 darjah di belakang.

    Untuk mengurangkan lagi beratnya, Black Series ini turut menerima cermin yang lebih nipis, manakala aerofoil belakang mampu menyumbang kepada daya tolak ke bawah sehingga 400 kg pada 250 km/j.

    Kabin jentera ini turut tampil persis kereta lumba sebenar, dengan dilengkapi tempat duduk AMG Performance, panel instrumen digital 12.3 inci, skrin 10.25 inci untuk infotainmen, roda stereng AMG Performance serta opsyen AMG Track Package yang memberikan roll bar titanium, tali pinggang keladar empat, pemadam api, upholsteri kulit Nappa dan Dinamica, serta penarik pintu jenis tali di dalam.

     
     
  • Lynk & Co akan masuk ke pasaran UK pada 2024; dengan EV yang diproduksi oleh Proton di Tg. Malim?

    Lynk & Co akan masuk ke pasaran UK pada 2024; dengan EV yang diproduksi oleh Proton di Tg. Malim?

    Selain dari China, divisi mewah Geely iaitu Lynk & Co kini turut sudah pun berada di Eropah. Namun buat masa sekarang Lynk & Co hanya berada di tujuh negara di benua berkenaan, antara sebabnya kerana ia hanya menghasilkan model pemanduan sebelah kiri (LHD).

    Menurut laporan Autocar, Lynk & Co bakal memperbesarkan lagi pasaran global mereka pada 2024, dengan menghasilkan model pemanduan sebelah kanan dan bakal masuk ke pasaran United Kingdom. Jenama China tersebut juga mempunyai strategi khusus untuk UK, iaitu akan hanya menawarkan model elektrik penuh (EV), berbanding negara Eropah lain yang kini sudahpun menerima SUV Lynk & Co 01 facelift dalam versi hibrid dan plug-in hybrid (PHEV).

    “Dengan perniagaan yang berjalan baik di negara-negara lain, kami sekarang sedang mempercepatkan proses untuk masuk ke UK, mungkin pada awal 2024,” kata ketua global Lynk & Co, Alain Visser kepada Autocar. “Apabila kami masuk ke UK, halatuju kami mungkin hanya elektrik penuh sahaja.”

    Lynk & Co akan masuk ke pasaran UK pada 2024; dengan EV yang diproduksi oleh Proton di Tg. Malim?

    Buat masa sekarang Lynk & Co tidak mempunyai sebarang model elektrik sepenuhnya. Sebelum ini Geely pernah mendedahkan model konsep elektrik penuh Zero Concept dengan perincian rekaan yang jelas sama dengan model-model Lynk & Co, namun model produksi sebenarnya diberikan lencana jenama EV baharu di bawah payung gergasi automotif China tersebut yang digelar Zeekr; diberi nama Zeekr 001.

    Laporan Autocar berkenaan turut menyebut bahawa jurucakap Lynk & Co ada menyatakan “ada model EV sedang dirancang”. Model tersebut mungkin akan mengambil pengaruh rekaan dari model konsep Lynk & Co The Next Day yang telah didedahkan sebelum ini, bagi membayangkan halatuju rekaan jenama tersebut.

    Model konsep berkenaan masih mengekal rekaan signatur Lynk & Co sedia ada iaitu lampu hadapan dengan dua jalur menghala ke belakang, serta lampu belakang dengan jalur LED merentangi sepenuhnya. Badannya pula direka seakan kereta sport, dengan ke semua empat pintu dibuka ke atas seakan sayap rama-rama.

    Lynk & Co akan masuk ke pasaran UK pada 2024; dengan EV yang diproduksi oleh Proton di Tg. Malim?

    Lynk & Co The Next Day berkenaan dikatakan menampilkan teknologi hibrid E-Motive jenama tersebut, yang diasaskan dari unit rangkaian kuasa Hi-X dari Geely. Teknologi tersebut menampilkan enjin pembakaran dalaman untuk memacu roda hadapan, manakala roda belakang dipacu oleh motor elektrik.

    Model perniagaan Lynk & Co di UK mungkin masih serupa dengan konsep yang sudahpun mereka jalankan di pasaran-pasaran Eropah lain iaitu menerusi kaedah sewa langgan. Buat masa sekarang SUV Lynk & Co 01 dalam varian paling tinggi ditawarkan dengan bayaran langganan sebanyak €550 (RM2,560) sebulan, dan pelanggan hanya boleh memilih warna hitam atau biru.

    Namun pengguna yang melanggan masih boleh menyewakan kereta tersebut kepada orang lain, di mana Visser mendakwa 20% dari mereka di Eropah berbuat demikian.

    Lynk & Co akan masuk ke pasaran UK pada 2024; dengan EV yang diproduksi oleh Proton di Tg. Malim?

    Lynk & Co 01

    Apa yang menarik, berita berkenaan rancangan Lynk & Co untuk masuk ke pasaran UK ini selari dengan rancangan jenama tersebut untuk memasang model-model mereka di fasiliti Proton di Tanjung Malim. Sebelum ini Geely telah menyatakan bahawa selain dari memasang model-model untuk pasaran domestik di Malaysia, kilang Proton di Tanjung Malim juga akan berfungsi sebagai hab pemasangan model-model pemanduan sebelah kanan (RHD) di bawah naungan kumpulan automotif berkenaan.

    Lynk & Co bakal masuk ke pasaran Malaysia pada 2025, jadi berkemungkinan besar model-model Lynk & Co untuk pasaran UK berkenaan turut akan dibekalkan dari Malaysia. Lynk & Co turut bakal masuk ke pasaran-pasaran RHD lain termasuk Australia dan New Zealand dalam tempoh tiga tahun kemudian.

    GALERI: Model konsep Lynk & Co The Next Day

     
     
  • Had laju tidak lebih 25 km/j untuk kenderaan mikromobiliti sedang diperhalusi – PLANMalaysia

    Had laju tidak lebih 25 km/j untuk kenderaan mikromobiliti sedang diperhalusi – PLANMalaysia

    Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Alias Rameli telah mengesahkan pihak kerajaan sedang memperhalusi garis panduan bagi had kelajuan bagi kenderaan mikromobiliti di Malaysia tidak melebihi 25 km/j.

    Menurutnya lagi, PLANMalaysia kini dalam fasa akhir untuk memuktamadkan garis panduan berhubung penggunaan kenderaan mikromobiliti.

    “Antara elemen yang sedang dikaji dalam garis panduan itu adalah had kelajuan kenderaan mikromobiliti, penandaan jalan serta laluan khusus. Had kelajuan kenderaan mikromobiliti contohnya mungkin tidak melebihi 25 km/j. Ini kerana, kenderaan itu boleh mencapai kelajuan 50 km/j.

    “Garis panduan itu apabila siap akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk diluluskan seterusnya diumumkan. Ia sedang disiapkan dan kini berada di peringkat akhir. Kita sedang sesuaikan penggunaan mikromobiliti dengan perundangan yang ada di peringkat KPKT dan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.


    Alias berkata, penggunaan kenderaan mikromobiliti secara umumnya memberi manfaat baik kepada negara kerana ia mampu mengurangkan penggunaan karbon di bandar.

    “Trend penggunaan mikromobiliti sebenarnya perlu kita disesuaikan untuk keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya.

    Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan kenderaan mikromobiliti jenis Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) dilarang penggunaannya di atas jalan berkuat kuasa serta-merta.

    Beliau juga berkata, kerajaan tidak pernah melarang atau mengharamkan penggunaan kenderaan mikromobiliti di Malaysia jika ia digunakan dalam persekitaran yang selamat dan terkawal. PLANMalaysia akan memperincikan garis panduan berhubung larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti tertentu tidak lama lagi, ujarnya lagi.

     
     
  • Norton Commando 961 akan dikeluarkan semula – pendaftaran minat dibuka, dibuat di Solihull, UK

    Norton Commando 961 akan dikeluarkan semula  – pendaftaran minat dibuka, dibuat di Solihull, UK

    Norton yang sudah bergelut dengan masalah kewangan sekian lama kini dimiliki oleh TVS Motors, sejak tahun 2020. Selepas semua hal pengurusan dirombak semula, ia kini bersedia untuk menawarkan model-model menarik kepada pengguna.

    Ini sudah ditunjukkan dengan pendedahan model V4CR dan V4SV pada tahun 2021, dan bakal diikuti oleh Commando 961. Setakat ini cuma dua gambar teaser sahaja yang ditunjukkan untuk model tersebut, dan pendaftaran minat untuknya kini dibuka melalui laman web rasmi jenama dari United Kingdom yang sudah berusia lebih 120 tahun tersebut.

    Nama Commando ini sudah digunakan oleh Norton untuk modelnya yang dikeluarkan sejak tahun 60-an, tetapi untuk Commando 961, ia adalah satu produk yang dikeluarkan waktu syarikat itu dipegang oleh pemilik dari Amerika Syarikat di awal tahun 2000.

    Norton Commando 961 akan dikeluarkan semula  – pendaftaran minat dibuka, dibuat di Solihull, UK

    Melalui gambar teaser yang disiarkan, kita boleh melihat Commando 961 baru ini masih mengekalkan bentuk cafe racer klasik, dengan hanya satu tempat duduk sahaja, pemegang yang mempunyai pendakap di tengah (bukan clip-on), lampu bulat terdedah serta dua ekzos yang terletak masing-masing di kiri dan kanan motosikal.

    Panel meter dilihat menggunakan bentuk bulat klasik sementara fork hadapan pula berwarna emas, memberi gambaran seakan ia akan dipasang dengan unit daripada Ohlins seperti Commando 961 sebelum ini. Ia diberitahu akan dikeluarkan di kilang baru Norton di Solihull, United Kingdom.

    Bersama gambar ini turut tertulis, “dengan lebih ketrampilan dan keterujaan, edisi baru ini membangkitkan semula masa yang lebih ringkas. Apabila anda membawanya di atas jalan, anda akan membuat pernyataan yang berani; ringkas dan sofistikated, intipati kemewahan moden.”

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025