Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Subaru WRX 2022 – fender flare plastik hitam tanpa cat, tekstur heksagon mampu tingkatkan aerodinamik

    Subaru WRX 2022 – <em>fender flare</em> plastik hitam tanpa cat, tekstur heksagon mampu tingkatkan aerodinamik

    Macam-macam komen negatif berkenaan rupa Subaru WRX 2022 ketika sedan prestasi generasi baharu berkenaan didedahkan buat pertama kali pada September lalu, khususnya berkenaan fender flare pada setiap ruang roda yang bukan sahaja bersegi, malah komponen yang diperbuat dari plastik tersebut dibiar hitam tanpa langsung diberikan lapisan cat, membuatkan ia nampak seakan SUV.

    Namun menurut Subaru, rupa yang diberikan pada fender flare tersebut, malah mengapa ia tidak dicat mempunyai sebab yang tersendiri dan ia berkaitan dengan fungsi aerodinamik kereta tersebut. Perkara ini disebut oleh pengurus produk Subaru, Micheal Redic kepada media di Amerika Syarikat ketika pelancarannya di sana minggu lalu, lapor Road & Track.

    Kalau anda perhatikan, permukaan plastik fender flare yang tidak dicat berkenaan bukannya licin, tetapi dia diberikan tekstur-tekstur berbentuk heksagon. Untuk apa? “Permukaan ini mempunyai bentuk heksagon yang aerodinamik, ia seolah-olah bola golf. Ia berfungsi. Ia direka bagi menambahbaik aliran udara,” kata Redic.

    Subaru WRX 2022 – <em>fender flare</em> plastik hitam tanpa cat, tekstur heksagon mampu tingkatkan aerodinamik

    Menurutnya lagi jurutera Subaru telah menguji flare berteksur tersebut dan dibandingkan dengan flare yang diberikan lapisan cat dengan menggunakan terowong udara – plastik tanpa cat tersebut menunjukkan bahawa ia lebih baik dalam mengekalkan kelancaran aliran udara sekeliling kereta.

    Beliau menjelaskan bahawa dengan flare licin dan dicat, aliran udara “akan mula lari dari bentuk di belakang, dan ia akan menghasilkan lebih banyak turbulens udara di bahagian belakang.” “Dengan hanya merubah struktur dari cat kepada tekstur heksagon memberikan penambahbaikkan yang besar pada aerodinamik kereta tersebut,” katanya dan menambah bahawa berberapa bahagian pada bawah kereta juga diberikan plastik dengan tekstur sama bagi menambahbaik karekter aerodinamik.

    Redic juga memberitahu bahawa liang pada fender hadapan WRX 2022 ini juga mempunyai fungsi aerodinamik sebenar. “Ia membolehkan kami mengeluarkan udara dari ruang roda,” kata Redic dan menjelaskan fungsi tersebut adalah untuk “mengurangkan tekanan, keluarkan udara dari badan bagi mengurangkan turbulens…jadi kereta tersebut kekal licin.”

    Beliau juga menyatakan bahawa bentuk rekaan yang dibuat pada fender flare belakang Subaru WRX ini juga memberikan fungsi aerodinamik yang sama.

    Subaru WRX 2022 ini diasaskan dari Subaru Global Platform yang baru, sama seperti model-model terkini lain seperti Impreza, Levorg dan Forester generasi baharu. Ia tidak lagi menggunakan enjin siri EJ seperti model generasi sebelumnya, sebaliknya dijana oleh enjin boxer empat silinder generasi baharu FA24F 2.4 liter dengan pengecas turbo.

    Enjin berkenaan menghasilkan 271 hp pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 2,000 hingga 5,200 rpm. Walaupun kapasiti enjin baharu ini jauh lebih besar, penghasilan kuasa yang ditampilkan sebenarnya tidak jauh berbeza dari model sebelum ini yang menjana 268 hp dan tork maksima 350 Nm bagi model pasaran Amerika Syarikat. Namun menurut Subaru, enjin baharu ini ditala bagi memberikan lengkuk kuasa yang lebih luas.

    Subaru WRX 2022 – <em>fender flare</em> plastik hitam tanpa cat, tekstur heksagon mampu tingkatkan aerodinamik

    Subaru masih menawarkan kotak gear manual enam-kelajuan bagi WRX generasi baharu ini. Manakala untuk mereka yang lebih gemarkan pemanduan dua pedal, ia juga masih ditawarkan dengan transmisi CVT automatik yang digelar Subaru Performance Transmision yang kini telah ditala bagi memberikan tukaran gear menaik 30% lebih pantas, dan tukaran menurun gear 50% lebih pantas antara gear maya kedua dan ketiga.

    Subaru juga menyatakan bahawa rasa “gegelang getah” pada transmisi CVT tersebut juga kini dikurangkan lagi, dan ia juga diberikan sistem kawalan tukaran gear adaptif yang mampu memberikan respon lebih pantas bagi memberikan kesan seakan sistem rev-match ketika gear diturunkan semasa membrek.

    Seperti biasa, kesemua kuasa dari enjin dihantar ke kesemua roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive Subaru, serta dibantu dengan sistem Active Torque Vectoring. Bagi model varian tertinggi WRX GT, ia turut menerima suspensi dengan penyerap hentak kawalan elektronik – pertama kali dipadankan pada WRX.

    Suspensi ini datang dengan tiga tetapan mod yang boleh dipilih iaitu Comfort, Normal dan Sport. Pilihan berkenaan boleh dibuat menerusi sistem Drive Mode Select, yang juga menawarkan opsyen untuk membuat tetapan terhadap rasa stereng.

     
     
  • Honda M’sia umum bantuan banjir – 25% diskaun alat ganti, tunda percuma, RM1.5k untuk pelanggan HiP

    Honda M’sia umum bantuan banjir – 25% diskaun alat ganti, tunda percuma, RM1.5k untuk pelanggan HiP

    Honda Malaysia telah mengumumkan program bantuan banjir untuk para pemilik kenderaan Honda dengan menawarkan 25% diskaun alat ganti tulen. Program ini dilaksanakan mulai sekarang sehingga 31 Januari 2022, dan hanya untuk kenderaan yang dijual menerusi saluran rasmi sahaja.

    Pelanggan yang terlibat dengan bencana banjir baru-baru ini diminta untuk pergi ke pusat pengedaran Honda bertauliah untuk penilaian dan pemeriksaan kenderaan. Bagi pelanggan Honda Insurance Plus (HiP), bakal mendapay khidmat menunda dan pemeriksaaan kenderaan secara percuma (tertakluk pada terma & syarat), serta elaun banjir sehingga RM1,500 (tertakluk pada terma & syarat). Honda Malaysia juga bekerjasama dengan syarikat insurans dalam mempercepatkan proses tuntutan insurans.

    CEO dan pengarah urusan Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata, “Kami sangat berasa sedih dengan kejadian banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia, yang menyebabkan kehilangan dan kerosakan harta benda termasuk rumah dan kenderaan. Kami harap dengan bantuan banjir ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh para pelanggan.”

    Untuk maklumat lanjut mengenai program bantuan banjir dan HiP ini, pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020 atau layari laman web rasmi www.honda.com.my.

     
     
  • Modenas bantu pemilik yang terkesan dengan banjir – pemeriksaan percuma, diskaun upah sehingga 70%

    Modenas bantu pemilik yang terkesan dengan banjir – pemeriksaan percuma, diskaun upah sehingga 70%

    Dalam usaha untuk membantu pemilik motosikal yang terkesan dengan banjir baru-baru ini, Modenas mengadakan Kempen Servis Prihatin khas yang melibatkan diskaun alat ganti, upah kerja serta pemeriksaan sehingga 31 Disember ini di pusat servis berdaftar mereka di Shah Alam, Selangor dan Kuantan, Pahang.

    Melalui kempen ini, pemilik motosikal Modenas boleh menikmati pemeriksaan motosikal percuma, upah kerja percuma bagi motosikal yang tidak perlu dibaik pulih, diskaun alat ganti sehingga 25%, diskaun upah kerja overhaul sehingga 70% serta pencucian motosikal secara percuma.

    Mereka yang mahu mengetahui lebih lanjut berkenaan kempen ini boleh pergi terus ke pusat servis Modenas, menghubungi Modenas Careline di talian 1-800-880-181 atau menghantar Whatsapp ke nombor 019-5708135.

     
     
  • Kia EV6, SUV elektrik bakal tiba di M’sia Q2/Q3 2022

    Kia EV6, SUV elektrik bakal tiba di M’sia Q2/Q3 2022

    Selain daripada jenama Mazda dan Peugeot, Bermaz juga mengesahkan jadual pengenalan produk bagi Kia, yang mana syarikat berkenaan mengambil alih pengedaran jenama itu sejak April lalu. Ada beberapa produk baru dirancang untuk tahun depan, dengan yang paling penting dan menarik ialah model EV6.

    Menurut laporan penganalisis dari RHB Investment Bank dan Kenanga Research, crossover elektrik tersebut akan tiba di sini pada suku ketiga atau keempat tahun depan. Ini menjadikan garis masa pengenalannya masih dalam tempoh pengecualian cukai EV seperti yang diumumkan sebelum ini, yang akan berlangsung hingga penghujung 2023.

    EV6 merupakan kenderaan elektrik sepenuhnya yang pertama bagi Kia. Ia dibina menggunakan Electric Global Modular Platform (E-GMP) dan hampir dengan binaan Hyundai Ioniq 5, walaupun dengan reka bentuk dan penggayaan yang berbeza. Di dalam, panel paparan melengkung terletak di atas papan pemukanya, dengan bahagian konsol tengah yang tinggi, serta kerusi kurus dan ringan diperbuat daripada bahan kitar semula.

    Kia EV6, SUV elektrik bakal tiba di M’sia Q2/Q3 2022

    Beberapa konfigurasi sistem janaan ditawarkan, bergantung kepada saiz bateri. Dengan unit bateri lithium-ion paling kecil 58 kWh, motor elektrik belakang menghasilkan 125 kW (168 hp) dan 350 Nm tork, sementara model pacuan semua roda menggunakan motor elektrik berkembar untuk menjana 173 kW (232 hp) dan 605 Nm. Jarak maksimum yang boleh dicapai ialah 394 km.

    Kemudian ada bateri 77.4 kWh yang menghasilkan 168 kW (225 hp) dan 239 kW (321 hp) bagi model pacuan belakang dan semua roda, dengan jarak perjalanan masing-masing ialah 528 km dan 506 km. Penawaran paling tinggi ialah GT, dengan janaan 430 kW (577 hp) dan 740 Nm, yang memecut 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat dan laju maksimum 260 km/j dengan jarak perjalanan 424 km untuk satu cas penuh.

    Menarik juga untuk diperhatikan, laporan berkenaan menyatakan Bermaz turut merancang untuk memperkenalkan kenderaan elektrik kedua dalam tempoh yang sama, dengan kodnama PBV1. Kia menggunakan istilah Purpose-Built Vehicle (PBV) untuk merujuk kepada barisan EV akan datang, walaupun masih belum diketahui sama ada kenderaan yang dimaksudkan itu datangnya dari barisan kenderaan tersebut.

     
     
  • Honda Winner X pasaran Vietnam diberi pembaharuan

    Honda Winner X pasaran Vietnam diberi pembaharuan

    Honda Vietnam hari ini telah melancarkan Winner X 2022. Model yang turut dikenali sebagai RS-X di negara kita ini secara kasarnya masih kelihatan sama, tetapi sebenarnya menerima beberapa peningkatan yang menjadikan penampilannya lebih kemas.

    Pertama sekali, bahagian kepalanya menggunakan bentuk yang sama seperti RS-X Malaysia dan kemudiannya panel dada menggunakan unit baru yang mempunyai tambahan seakan bukaan udara di penjurunya. Lampu utama LED masih lagi sama tetapi lampu penunjuk arah dipertingkat menjadi unit yang bersepadu dengan bentuk keseluruhan panel tepi yang baru.

    Rekaan ekzos juga melihatkan sedikit kelainan dan motosikal ini diberi beberapa kelengkapan lain seperti pengecas USB, sistem kunci pintar serta rantai yang dipertingkat. Bahagian lain masih kelihatan sama, termasuklah panel meter, tempat duduk serta lampu belakang.

    Harapan ramai untuk melihat model baru ini menerima enjin 160 cc baru tidak menjadi kenyataan kerana ia masih lagi menggunakan enjin satu silinder PGM-Fi (suntikan bahan api) 149.1 cc DOHC, bersama padanan transmisi enam kelajuan yang sama, menghasilkan kuasa 15.4 hp pada 9,000 rpm dan 13.5 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Di Vietnam, Winner X 2022 ditawarkan dalam tiga versi iaitu Standard tanpa ABS pada harga 46.09 juta dong (RM8,446), Sports yang menggunakan warna ala Tricolor dengan ABS pada harga 50.49 juta dong (RM9,253) dan paling mahal adalah Special yang menggunakan fork warna emas dan dilengkapi ABS pada harga 49.99 juta dong (RM9,161).

     
     
  • APAD mansuh yuran cetakan dokumen mangsa banjir

    APAD mansuh yuran cetakan dokumen mangsa banjir

    Mengikut langkah yang diambil oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang memberi pengecualian bayaran bagi penggantian dokumen berkaitan seperti cukai jalan, lesen memandu dan sijil pemilikan kenderaan bagi mangsa banjir, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga mengambil langkah sama.

    APAD telah mengumumkan pihaknya turut memberikan pengecualian caj cetakan pendua dan caj tambahan bagi lesen mangsa yang terkesan akibat banjir. Sama seperti mereka yang ingin mendapatkan dokumen gantian daripada JPJ, mereka yang memohon dokumen baru daripada APAD juga perlu mengemukakan laporan polis untuk mengesahkan kehilangan dokumen berkenaan.

    Pengecualian khas ini akan diberikan hingga 31 Mac 2022.

     
     
  • Kia Sportage baharu tiba di M’sia pada Q3/Q4 2022 – CBU dahulu sebelum produksi CKD pada 2023?

    Kia Sportage baharu tiba di M’sia pada Q3/Q4 2022 – CBU dahulu sebelum produksi CKD pada 2023?

    Pada awal bulan ini, Kia Malaysia mengumumkan bakal memperkenalkan Sportage generasi kelima sebagai model pemasangan tempatan (CKD) pada tahun 2023, di mana ia ditawarkan dengan penjana kuasa standard dan elektrifikasi.

    Walau bagaimana pun, menurut laporan yang dikeluarkan oleh RHB Investment Band, menyatakan bahawa SUV segmen-C itu bakal tiba tidak lama lagi, dan akan dilancarkan pada suku ketiga (Q3) atau keempat (Q4) tahun 2022. Ia jauh lebih awal berbanding dengan apa yang diumumkan pada taklimat media pada 10 Disember lalu. Dan jika kenyataan tersebut tepat, mungkin model import sepenuhnya (CBU) yang akan diperkenalkan sebelum produksi CKD dimulakan dalam tempoh dua tahun akan datang.

    Kia Malaysia juga telah memaklumkan pemasangan tempatan bagi model Kia akan dijalankan di kilang Inokom, di Kulim, Kedah dan ia adalah untuk pasaran domestik dan eksport. Syarikat ini mensasarkan sebanyak 100,000 unit dari pada empat model termasuk Sportage, Carnival, Sorento dan Niro, akan diproduksi dalam tempoh lima tahun akan datang.

    SUV baharu ini diperkenalkan buat pertama kalinya pada Jun tahun ini dan ia menerima olahan gaya baharu yang lebih berketerampilan. Ia menawarkan dua pilihan enjin pembakaran dalaman (1.6 liter turbo petrol dan 2.0 liter turbodiesel) dan juga pilihan hibrid serta plug-in hybrid.

    GALERI: Kia Sportage Hybrid 2021 (Pasaran Korea)

     
     
  • Trak pikap Peugeot Landtrek akan dilancarkan pada pasaran Malaysia dalam suku ketiga tahun hadapan

    Trak pikap Peugeot Landtrek akan dilancarkan pada pasaran Malaysia dalam suku ketiga tahun hadapan

    Peugeot nampaknya mempunyai sinar baharu di bawah pengedar baharunya di Malaysia iaitu Bermaz, pihak yang sama memegang franchise Mazda di sini – selain model facelift 3008 dan 5008 yang telah pun dilancarkan, jenama dari Perancis tersebut turut bakal memperkenalkan pelbagai model baharu tahun hadapan termasuk model elektrik penuh dan juga trak pikap.

    Ya, trak pikap Peugeot Landtrek nampaknya benar-benar akan dilancarkan di Malaysia, dijadualkan pada suku ketiga 2022, menurut laporan analisa RHB Investment Bank. Trak pikap berkenaan sebelum ini telah dilihat diuji di atas jalan raya Malaysia pertengahan tahun lalu.

    Walaupun pernah menghasilkan trak pikap berasaskan kereta pada era 80’an dahulu, Peugeot sebenar sudah lama tidak memperkenalkan kenderaan dalam kelas berkenaan. Jadi untuk Landtrek ini, ia sebenarnya diasaskan dari trak pikap China, iaitu Changan Kaicheng F70 yang (diperkenalkan pada 2019) dan dihasilkan untuk pasaran benua Afrika serta Amerika Latin.

    Trak pikap Peugeot Landtrek akan dilancarkan pada pasaran Malaysia dalam suku ketiga tahun hadapan

    Untuk pasaran Malaysia, Landtrek dijangka hanya akan dijual dalam versi double cab, sementara di pasaran lain ia turut hadir dengan pilihan badan chassis cab dan single-cab. Trak pikap ini direka dengan muka signatur Peugeot menampilkan gril berbentuk mangkuk, bersama skrip ‘Peugoet’ di atas serta logo Singa pada bahagian tengah. Namun rekaan jalur LED ‘cakar singa’ tidak disertakan pada trak ini.

    Bagi pasaran Malaysia, kita dijangka akan menerima Landtrek dalam hanya satu pilihan rangkaian kuasa iaitu enjin 1.9 liter turbodiesel VGT berkuasa 150 hp dan tork maksima 350 Nm bersama kotak gear automatik dari Punch. Pada pasaran lain, Landtrek turut ditawarkan kotak gear manual enam-kelajuan dari Getrag, pilihan pacuan roda belakang atau 4X4, dan juga pilihan enjin petrol 2.4 liter turbo berkuasa 210 hp/320 Nm.

    Dalam kabin, Landtrek diberikan gaya Peugeot sebenar dengan perincian-perincian yang berbeza dari Kaicheng F70. Papan pemuka Peugeot Landtrek ini direka dengan inspirasi dari sedan Peugeot 508, serta diberikan roda stereng rata di bawah. Ia turut menerima spesifikasi premium seperti sistem pendingin hawa automatik dua-zon, dan juga sistem infotaimen dengan skrin sesentuh 10-inci definasi tinggi serta sambungan Apple CarPlay/Android Auto dan hard drive 10 GB.

    Untuk kelengkapan keselamatan, Peugeot Landtrek ini dilengkapi enam beg udara, ESP, Hill Descent Control, ASR untuk kedua-dua versi 4×2 dan 4×4, Lane Departure Warning, Trailer Swing Control dan dua cagak Isofix di tempat duduk belakang.

    Sudah diketahui, syarikat induk Peugoet iaitu Stellantis (entiti selepas PSA bergabung dengan FCA) kini turut telah memiliki sepenuhnya kilang Naza Automotive Manufacturing (NAM) di Kedah, iaitu hab produksi syarikat berkenaan di ASEAN. Jadi Peugeot Landtrek versi pemanduan sebelah kanan ini hampir pasti akan dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) dan turut akan dieksport ke Thailand, iaitu pasaran trak pikap terbesar di dunia.

    Jadi untuk peminat trak pikap serta pemilik-pemilik model-model mainstream seperti Toyota Hilux, Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max diluar sana, apa pendapat anda tentang trak pikap dengan jenama Perancis ini?

     
     
  • Kerjasama Geely & Renault akan diumum – SUV Lynk & Co dari Korea mungkin dieksport ke AS tanpa duti

    Kerjasama Geely & Renault akan diumum – SUV Lynk & Co dari Korea mungkin dieksport ke AS tanpa duti

    Setelah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Ogos lalu, Geely dan Renault dilaporkan akan mengumumkan kerjasama mereka secara rasmi tidak lama lagi yang membolehkan kedua-dua syarikat bersama-sama memproduksi kereta-kereta dari Geely di Korea Selatan.

    Langkah tersebut juga mungkin membolehkan model-model dari Geely untuk dieksport secara bebas duti ke Amerika Syarikat menerusi “pintu belakang” kerana Korea Selatan mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan kerajaan AS, lapor Reuters memetik tiga individu yang berkaitan dengan perkara ini sebagai sumber.

    Laporan itu menyebut bahawa perjanjian kerjasama berkenaan sebenarnya telah pun mula diusahakan sejak awal 2021 walaupun MoU hanya ditandatangani pada bulan Ogos, dan ia turut melibatkan operasi bersama di China. Perjanjian ini akan membantu Renault untuk bangkit semula di Korea Selatan serta untuk lebih menyerlah di Asia, sebut laporan itu lagi.

    Kerjasama Geely & Renault akan diumum – SUV Lynk & Co dari Korea mungkin dieksport ke AS tanpa duti

    Sumber berkenaan turut memberitahu bahawa Renault yang sebelum ini telah keluar dari pasaran China pada 2020, bakal kembali ke negara yang mempunyai pasaran automotif terbesar di dunia tersebut dengan mewujudkan jenama baharu yang fokus terhadap teknologi plug-in hybrid. Kedua-dua pihak akan bersama-sama menguruskan jenama baharu tersebut.

    Model-model baharu mesra alam untuk jenama baharu itu akan menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA), yang juga turut digunakan oleh Volvo. Ia turut akan menggunakan rantaian pembekalan domestik dan fasiliti pembuatan Geely di China. Manakala Renault pula akan fokus terhadapn rekaan kenderaan, serta aspek jualan dan pemasaran jenama baharu tersebut di China, tambah sumber itu lagi.

    Untuk Geely, kerjasama ini akan memberikan faedah di luar China di mana mereka akan mendapat tapak produksi segera di Korea Selatan. Salah satu sumber tersebut menyatakan bahawa Geely merancang untuk memproduksi SUV Lynk & Co 01 dalam versi petrol sepenuhnya dan juga hibrid di kilang Renault-Samsung yang terletak di Busan. Rancangan itu juga turut dilihat untuk melokalisasikan produksi berberapa model hibrid Lynk & Co di Korea.

    Selain itu, Renault Samsung Motors (RSM) iaitu entiti yang dikuasai 80% oleh Renault akan menghasilkan versi mereka sendiri berdasarkan model-model Lynk & Co yang diproduksi di Busan. Langkah ini diharap akan memberikan lonjakan jualan termasuk eksport untuk RSM. Syarikat tersebut buat masa sekarang dilihat sedang menguncup dengan jualan hanya 116,000 unit pada tahun lalu berbanding mencapai jualan sekali ganda lebih banyak pada 2017. Rekod jualan kumulatif RSM dari Januari hingga November tahun ini pula telah mencapai angka 120k unit.

    Kerjasama Geely & Renault akan diumum – SUV Lynk & Co dari Korea mungkin dieksport ke AS tanpa duti

    Perjanjian kerjasama Renault dengan jenama China berkenaan dilihat bakal memberikan pelbagai faedah pada masa hadapan. Namun masih belum jelas adakah kerjasama ini bakal menimbulkan sebarang masalah terhadap Pakatan Renault-Nissan.

    Laporan ini turut menyatakan bahawa di China, Renault dan Nissan mempunyai rakan kerjasama tempatan yang sama iaitu Dongfeng, sebelum kerjasama Renault-Dongfeng berakhir tahun lalu. Kedua-dua jenama dari Perancis dan Jepun itu juga menghasilkan model-model yang berkongsi platform dan komponen antara satu sama lain bagi mengurangkan kos.

    Sebelum ini Nissan pernah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka apabila Renault cuba berkerjasama dengan pihak lain, menyebabkan rancangan untuk bergabung dengan Fiat Chrysler Automobiles (FCA) pada 2019 dibatalkan. Namun kerjasama dengan Geely ini dilihat lebih ringan kerana tidak melibatkan sebarang pertukaran ekuiti.

     
     
  • Mitsubishi Malaysia bantu pelanggan terjejas susulan banjir – 30% diskaun alat ganti, 50% untuk kos buruh

    Mitsubishi Malaysia bantu pelanggan terjejas susulan banjir – 30% diskaun alat ganti, 50% untuk kos buruh

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan program bantuan banjir kepada para pemilik kenderaan Mitsubishi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang yang terjejas dengan bencana tersebut. Selain menawarkan diskaun sebanyak 30% untuk alat ganti tulen dan 50% diskaun bagi kos buruh, MMM turut memberikan perkhidmatan menunda kenderaan percuma kepada pemilik kenderaan terlibat.

    Namun bagi pemilik kenderaan Mitsubishi yang menguruskan sendiri untuk menunda kenderaan masing-masing, tanpa bantuan Mitsubishi Assist 24Hrs (MA24) dan perlindungan insurans layak menerima rebat sehingga RM300. Selain itu, semua pemilik kenderaan Mitsubishi yang ingin menyertai program bantuan ini perlulah membuat laporan polis dan kemudian tunda kenderaan terlibat ke pusat servis Mitsubishi Motors yang berhampiran.

    “Semua kakitangan perkhidmatan dan pengedar sah kami bersedia untuk membantu pemilik kenderaan Mitsubishi yang terjejas dengan bencana banjir ini. Kami berharap program bantuan banjir ini dapat meringankan beban pelanggan kami melalui masa sukar ini,” kata Shinya Ikeda, CEO MMM.

    Menurut MMM, tawaran ini dibuka sekarang dan berlangsung sehingga 20 Januari 2022, dan semua pemilik kenderaan yang terlibat perlu menghubungi pusat khidmat pelanggan MA24 di talian 1-800-88-2166.

     
     
  • 12 laluan di S’gor masih ditutup susulan banjir – PDRM

    12 laluan di S’gor masih ditutup susulan banjir – PDRM

    Awal pagi tadi, Polis Selangor telah memaklumkan sebanyak 12 laluan jalan raya di seluruh negeri ini yang dinaiki air telah ditutup kepada kenderaan hari ini, laporan Harian Metro.

    Kawasan yang terlibat ialah Jambatan Jalan Menghala ke Lapang Sasar, Subang serta Jalan PJU 7, Hadapan MRT, Mutiara Damansara yang berada di kawasan pentadbiran IPD Petaling Jaya. Bagi IPD Kuala Selangor pula, laluan yang ditutup adalah Jalan Kuala Selangor–Meru dan Jalan Kuala Selangor–Bestari Jaya.

    Manakala hanya satu laluan ditutup masing-masing di lapan kawasan pentadbiran IPD lain, antaranya IPD Shah Alam di Jalan Jitu, Seksyen 25, Shah Alam, manakala IPD Kuala Langat pula, Jalan Olak Lempit ke KLIA. Bagi kawasan IPD Sepang pula, Jambatan FT 31 Dengkil-Banting ditutup kepada kenderaan dan IPD KLIA membabitkan Jalan bulatan Masjid KLIA menghala Charterfield KLIA.

    Satu laluan yang ditutup di IPD Subang Jaya adalah Lorong Ikan Haruan, Kg Bukit Lanchong, Putra Heights, manakala Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra di bawah IPD Sungai Buloh. Di bawah kawasan pentadbiran IPD Sabak Bernam pula, penutupan jalan di Jalan Sungai Panjang-Tanjung Malim.

    Bagi IPD Hulu Selangor, Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja.

    Berbanding Ahad lalu, sebanyak 71 jalan telah ditutup memandangkan banyak daerah di Selangor khususnya di Taman Sri Muda di Shah Alam dan Klang, telah dilanda banjir besar.

     
     
  • Pembaikan kereta banjir – KPDNHEP akan tingkatkan pemantauan terhadap bengkel, elak harga melampau

    Pembaikan kereta banjir – KPDNHEP akan tingkatkan pemantauan terhadap bengkel, elak harga melampau

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada pengusaha bengkel kenderaan bermotor agar tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan harga yang melampau bagi kerja pembaikan kenderaan ekoran bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.

    Menurut Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dan dilaporkan oleh Bernama semalam, peniaga bengkel harus mematuhi Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002, Akta Pelindungan Pengguna 1999.

    Beliau turut menegaskan bahawa KPDNHEP akan meningkatkan pemantauan ke atas premis perniagaan kenderaan bermotor dan memberi amaran bahawa peniaga yang mengambil kesempatan boleh disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisma Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

    Azman turut memberitahu bahawa sepanjang 2021, KPDNHEP telah menjalankan sebanyak 570 pemeriksaan terhadap bengkel kenderaan bermotor dan 76 kes telah diambil tindakan dengan nilai kompaun sebanyak RM21,250.

    “Pengguna dinasihatkan berhati-hati mendapatkan sebut harga secara bertulis berkaitan jangkaan pembaikan kenderaan daripada peniaga,” katanya sambil menyarankan pengguna mendapatkan perkhidmatan pembaikan di pusat servis kenderaan berkaitan sekiranya kenderaan masih dalam jaminan.

    Menurutnya lagi, orang ramai boleh melaporkan sebarang aduan atau maklumat kepada KPDNHEP melalui saluran aduan iaitu WhatsApp 019-279 4317, portal aduan di e-aduan.kpdnhep.gov.my, Call Centre 1-800-886-800, emel kepada [email protected] dan Ez ADU KPDNHEP.

     
     
  • Mazda MX-30 Electric bakal dilancarkan oleh Bermaz di Malaysia suku ketiga atau keempat tahun hadapan

    Mazda MX-30 Electric bakal dilancarkan oleh Bermaz di Malaysia suku ketiga atau keempat tahun hadapan

    Sudah ada berberapa petunjuk bahawa model SUV elektrik sepenuhnya (EV) pertama dari Mazda iaitu MX-30 Electric akan masuk ke pasaran Malaysia sebelum ini – pengedar jenama berkenaan iaitu Bermaz dilaporkan sudah merancang untuk membawa MX30 ke sini Oktober lalu tetapi masih menunggu lampu hijau dari Mazda sendiri, kemudian bulan lalu Bermaz menyiarkan pula teaser untuk model tersebut.

    Dan yang terbaharu, nota pelaburan dari RHB Investment Bank menyatakan bahawa Mazda MX-30 Electric telah sah akan dijual dalam pasaran tempatan, dan tarikh pelancarannya adalah sekitar suku ketiga atau keempat tahun hadapan. Menurut nota itu lagi, MX-30 adalah sebahagian dari enam model Mazda yang akan diperkenalkan oleh Bermaz pada 2022, termasuk Mazda 3, CX-3, CX-30, CX-8 dan MX-5 yang dikemaskini.

    Mazda MX-30 versi janaan elektrik penuh ini telah diperkenalkan di Tokyo Motor Show 2019. Ia menampilkan motor elektrik berkuasa 145 PS dan tork maksima 217 Nm yang memacu roda hadapan, dan menerima tenaga dari bateri lithium ion 35.5 kWj.

    Mazda MX-30 Electric bakal dilancarkan oleh Bermaz di Malaysia suku ketiga atau keempat tahun hadapan

    Bateri tersebut menyokong pengecas AC sehingga 6.6 kW menerusi penyambung Type 2, membolehkan cas 20-80% dipenuhkan dalam masa tiga jam. Ia juga menyokong pengecas pantas DC sehingga 50 kW menggunakan penyambung CCS membolehkan jumlah tenaga yang sama dicas dalam masa 36 minit. Satu cas penuh bateri tersebut membolehkan MX-30 ini bergerak sejauh 224 km.

    Mazda CX-30 ini sebenarnya turut dihasilkan dalam versi rangkaian kuasa hibrid ringkas, menampilkan enjin petrol 2.0 liter bersama sistem hibrid 24-Volt serta kotak gear enam-kelajuan automatik berkuasa 155 PS/200 Nm. Namun seperti laporan sebelum ini, nota dari RHB IB ini hanya menyebut tentang MX-30 dalam versi elektrik penuh yang akan di bawa ke Malaysia.

    GALERI: Mazda MX-30

     
     
  • myTukar AutoFair 2022 — kereta dengan lanjutan waranti, servis percuma dan kadar faedah rendah

    myTukar AutoFair 2022 — kereta dengan lanjutan waranti, servis percuma dan kadar faedah rendah

    Jika anda sedang mempertimbangkan untuk menukar kereta, maka anda perlu berkunjung ke myTukar AutoFair 2022, yang akan diadakan di myTukar Retail Experience Centre – Puchong Selatan dari 7 hingga 9 Januari 2022. Ini juga merupakan acara kereta terpakai terbesar di Malaysia dengan lebih daripada 1,000 kenderaan terpakai akan dipamer.

    Daripada jumlah itu, anda turut akan mendapati pelbagai kenderaan terpakai berkualiti tinggi, dari model seperti Perodua Axia dan Myvi, Proton Saga dan Persona hinggalah kepada model Honda dan Toyota. Tidak ketinggalan pilihan yang lebih premium dari BMW, Mercedes-Benz dan Volvo.

    Setiap pembelian myTukar akan termasuk sekali lanjutan waranti setahun dan servis percuma setahun — tawaran yang jarang diberikan untuk kereta terpakai. Dan, sekiranya berdepan masalah atau berubah fikiran tentang kereta yang dibeli itu, anda hanya perlu memulangkannya dalam tempoh lima hari, tanpa sebarang soalan ditanyakan.

    myTukar AutoFair 2022 — kereta dengan lanjutan waranti, servis percuma dan kadar faedah rendah

    Anda juga akan menerima tawaran istimewa tambahan jika membeli kereta di acara berkenaan, seperti tambahan setahun untuk servis percuma, kadar faedah pinjaman serendah 1.68%, kelulusan pinjaman dan serahan kenderaan pada hari yang sama* serta pengelas kaki Trapo untuk semua kereta. myTukar juga boleh menyediakan tawaran trade-in di lokasi dengan nilai maksimum untuk kenderaan semasa anda ketika acara berlangsung.

    Lebih menarik, anda juga berpeluang memenangi satu daripada enam hadiah melalui promosi myTukar Lucky Spin Wheel: ada Apple iPad generasi kesembilan, pulangan tunai RM888, filem penapis haba Raytech bernilai RM1,000, lanjutan waranti tambahan selama setahun, kad minyak bernilai RM500 atau baucar Trapo bernilai RM500. Tidak lupa, anda juga berpeluang memandu pulang sebuah Proton X70 Premium bernilai RM100,000 melalui peraduan Ulang Tahun ke-4 myTukar.

    Liputan meluas myTukar di seluruh negara kini termasuk bilik pameran kenderaan premium yang lebih besar serta kemudahan servis sendiri yang menyeluruh. Ini memberikan anda kelegaan dari aspek pemilikan dan penyelenggaraan kenderaan, walaupun untuk kereta terpakai.

    myTukar AutoFair 2022 — kereta dengan lanjutan waranti, servis percuma dan kadar faedah rendah

    Pelawat juga boleh menikmati hidangan ringan dan ruang pameran jenama rakan niaga yang lain. SOP Covid-19 yang ketat juga dipraktik, termasuk kaedah bayaran tanpa sentuhan dan penggunaan pelitup muka sepenuh masa, vaksinasi penuh dan jaga jarak fizikal. Maklumat lanjuta tentang acara ini boleh didapati di laman rasmi myTukar, dan anda juga malayari inventori di sini untuk mencari kereta yang anda inginkan. Jumpa di sana!

    myTukar Retail Experience Centre
    Puchong South, Lot 14225, KM 3
    8, Lebuhraya Damansara-Puchong
    47100 Puchong, Selangor, Malaysia

    *Tertakluk kepada terma

     
     
  • Harga minyak 23-29 Dis – RON97 turun 1 sen seliter

    Harga minyak 23-29 Dis – RON97 turun 1 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) telah memaklumkan, bagi minggu bertarikh 23 hingga 29 Disember 2021, harga runcit bagi bahan api petrol RON 97 akan turun sebanyak 1 sen seliter. Di mana ia akan menjadi RM2.99 seliter berbanding RM3.00 pada minggu sebelumnya.

    Namun demikian, harga runcit bagi petrol RON 95 tetap dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Harga tersebut tidak berubah sejak Februari lalu dan telah mencapai harga siling.

    Begitu juga dengan harga diesel Euro B10/B20 juga masih kekal berharga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.25 seliter.

    Harga baharu ini berkuatkuasa mulai 12.01 tengahmalam ini, sehinggalah Rabu hadapan iaitu pada 29 Disember 2021.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025