Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Puspakom Raub ditutup sementara hingga 14 Dis

    Puspakom Raub ditutup sementara hingga 14 Dis

    Puspakom telah memaklumkan penutupan sementara operasi Pusat Pemeriksaan Kenderaan cawangan Raub, Pahang mulai hari ini, 8 Disember 2021. Ia bertujuan bagi melakukan proses disinfeksi dan sanitasi demi memastikan keselamatan semua pihak.

    Menurut Puspakom, bagi pelanggan yang telah membuat temujanji pemeriksaan di cawangan tersebut, bayaran temujanji akan dipulangkan secara automatik dalam tempoh 30 hari dan pelanggan diminta untuk mengabaikan Peringatan Temujanji MyPUSPAKOM jika ada menerimanya.

    Sebagai alternatif bagi pelanggan yang terjejas akibat penutupan, boleh hadir ke cawangan berdekatan secara walk-in dengan membawa slip temujanji Puspakom Raub sebagai bukti temujanji.

    “Cawangan Raub ini dijangka akan beroperasi semula pada 15 Disember 2021. Orang ramai boleh mengikuti Facebook Puspakom Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi Puspakom dari semasa ke semasa,” ujar kenyataan yang dihantar.

     
     
  • JPJ tawar 80% diskaun saman boleh dikompaun mulai 9-12 Dis sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia

    JPJ tawar 80% diskaun saman boleh dikompaun mulai 9-12 Dis sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan pemberian diskaun sehingga 80% bagi semua Notis Saman JPJ (yang boleh dikompaun), kecuali kes-kes yang masih dalam sebutan pihak Mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan. Pemberian diskaun ini adalah bersempena acara 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan diadakan pada 9 sehingga 12 Disember 2021 dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.

    Selain itu, JPJ juga akan menyediakan kemudahan Mobile Unit JPJ dan Kiosk JPJ, untuk tujuan memudahkan orang ramai di dalam melaksanakan urusan transaksi JPJ di lokaliti KLCC, Kuala Lumpur, sepanjang berlangsungnya program tersebut.

    Menurut JPJ lagi, kemudahan pengurangan saman kompaun ini juga akan diberikan di semua Pejabat JPJ di seluruh negara, untuk tempoh empat hari tersebut sahaja. Pengurangan kadar kompaun adalah diberikan kepada semua saman bagi kesalahan yang boleh dikompaun seperti disenaraikan di dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003, kecuali kepada kes-kes yang telah didaftarkan di mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap yang belum Dilepaskan Tanpa Dibebaskan (DNAA).

    JPJ tawar 80% diskaun saman boleh dikompaun mulai 9-12 Dis sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia

    “Semua Notis Saman yang telah dikeluarkan adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ, terhadap kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), serta Kaedah-Kaedah dan Perintah-Perintah di bawahnya, termasuklah kes yang masih dalam tindakan Senarai Hitam (blacklist).

    “Tawaran ini turut diberikan kepada semua Notis Saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuat kuasa, dengan syarat urusan pembayaran tersebut dilakukan dalam tempoh yang dinyatakan iaitu 9 Disember sehingga 12 Disember 2021, di semua pejabat negeri, cawangan JPJ dan UTC JPJ, di seluruh negara, kiosk JPJ serta secara atas talian melalui portal mySIKAP JPJ,”kata JPJ.

    Menurutnya lagi, walau bagaimanapun, bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam (blacklisted), pesalah dikehendaki untuk hadir sendiri di kaunter JPJ, bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan. Oleh itu, orang ramai disarankan untuk membuat semakan status saman terlebih dahulu, terutama rekod yang melibatkan saman AES (melalui portal mySIKAP JPJ), atau di mana-mana kaunter pejabat JPJ, agar dapat mengambil peluang pengurangan saman yang akan diberikan ini.

     
     
  • Marshal ‘polis trafik olok-olok’ yang tular di Port Dickson sudah serah diri; seorang berpangkat Dato’

    Marshal ‘polis trafik olok-olok’ yang tular di Port Dickson sudah serah diri; seorang berpangkat Dato’

    Baru sahaja selesai satu kes Marshal kumpulan motosikal berkuasa tinggi yang menahan trafik di Port Dickson bulan lalu, minggu ini satu lagi kes yang sama berlaku di daerah sama. Namun menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt. Aidi Sham Bin Mohamed menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, dua orang suspek dalam kes berkenaan telah pun menyerah diri.

    “Pada 6/12/2021 jam 1245 hrs dan 1430 hrs (2) Lelaki berbangsa Melayu yang dipercayai terlibat dalam rakaman aksi marshal tersebut telah hadir ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik daerah Port Dickson untuk serah diri.

    “Kedua-dua lelaki berusia 45 dan 49 tahun dengan salah seorang berpangkat Dato’ bekerja sebagai Ahli Perniagaan dan Agen Insuran telah hadir ke Balai Trafik sejurus mengetahui aksi mereka yang dirakam telah ditularkan secara meluas di media sosial,” tulis kenyataan tersebut.

    Susulan itu, pihak polis terus menahan kedua-dua individu berkenaan di Balai Polis Trafik Port Dickson, serta merampas dua buah motorsikal berkuasa tinggi dan beberapa barangan milik individu yang digunakan kedua-dua marshal berkenaan seperti yang dirakam di dalam video tersebut.

    “Pihak Polis juga masih menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh terhadap kedua-dua lelaki jika wujud lain-lain kesalahan,” tambah kenyataan itu lagi.

    Marshal ‘polis trafik olok-olok’ yang tular di Port Dickson sudah serah diri; seorang berpangkat Dato’

    Sebelum ini Polis Port Dickson telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang mengesan individu yang terlibat dalam satu video yang tular pada 5 Disember lalu, memaparkan aksi marshal dengan motosikal seakan motosikal polis, memberi arahan kepada sebuah kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan dan bergerak ke kiri lorong jalan bagi membenarkan sekumpulan motorsikal berkuasa tinggi dalam jumlah lebih kurang 20 buah motorsikal melalui laluan tersebut.

    Menerusi rakaman berkenaan, dipercayai konvoi itu bergerak dari arah Kuala Sg. Baru Alor Gajah Melaka melepasi kawasan Jalan Tg. Agas Pasir Panjang Port Dickson.

    Menurut Aidi Sham menerusi kenyataan itu, kes ini akan disiasat bawah Sek.21 Akta Polis 1967, Sek.48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Halangan Lalulintas) dan Kaedah-Kaedah Lalulintas 167/59 (Kaedah 12(3)(A) – (Kesalahan di garisan berkembar).

    “Seseorang marshal tidak dibenarkan memberi apa jua arahan bagi tujuan menahan/memberhentikan kenderaan/melencong kehadiran tanpa kehadiran mana-mana Pegawai Polis.

    “Pihak Polis tidak berkompromi dengan mana-mana ahli kumpulan yang berlagak sebagai polis trafik dalam mengawal lalulintas yang mana boleh mendatangkan bahaya dan menyekat hak-hak bergerak di jalan awam,” jelasnya dalam kenyataan tersebut.

     
     
  • Kerajaan akan pastikan Fasa Dua Lebuhraya Pan Borneo untuk Sarawak diteruskan – Ismail Sabri

    Kerajaan akan pastikan Fasa Dua Lebuhraya Pan Borneo untuk Sarawak diteruskan – Ismail Sabri

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberikan jaminan bahawa kerajaan akan memastikan pembinaan Fasa Dua Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dari Pujut ke Lawas diteruskan.

    Perkara tersebut dibincangkan dengan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan juga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg termasuk bagaimana untuk teruskan fasa dua dan jalan-jalan yang disebut sebagai redline dan missing link (laluan yang tidak disambung) ini.

    “Saya juga beri komitmen kita tak akan berhenti setakat itu sahaja, kita akan teruskan segala projek untuk Sarawak,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tambah beliau, kerajaan Persekutuan melihat projek Lebuhraya Pan Borneo ini sangat penting untuk rakyat Sarawak bukan sahaja untuk memudahkan perjalanan tetapi meningkatkan ekonomi rakyat setempat.

    Sebenarnya kata beliau, banyak lagi dirancang kerajaan BN sebelum ini untuk Sarawak tetapi berubah selepas pertukaran kerajaan Persekutuan pada 2018.

    “Saya nak sebutkan kesan pertukaran kerajaan amat besar bukan sahaja di peringkat Persekutuan tetapi juga negeri,” katanya.

     
     
  • Honda City RS e:HEV hanya terjual 5% dari jumlah lebih 22,000 unit keseluruhan City GN di Malaysia

    Honda City RS e:HEV hanya terjual 5% dari jumlah lebih 22,000 unit keseluruhan City GN di Malaysia

    Honda City generasi terkini (kod casis GN) dalam versi hibrid iaitu RS e:HEV merupakan City paling mahal pernah dijual pada pasaran Malaysia, dengan harga atas jalan RM105,950.45 termasuk pengecualian cukai SST sehingga 30 Jun 2022.

    Ini pertama kali sebuah Honda City dijual pada harga melebihi RM100k di Malaysia dan ia sekitar RM16k lebih mahal berbanding varian tertinggi dijana enjin petrol sepenuhnya iaitu City V Sensing (RM90,212), dan hampir RM14k lebih mahal berbanding model generasi sebelumnya, City Sports Hybrid i-DCD (RM92,172).

    Dengan harga yang membuatkan ramai memberikan komen “baik beli Civic” sebegini, agaknya laku ke tidak ia dalam pasaran Malaysia? Ketika pelancaran Honda City Hatchback hari ini, Honda Malaysia menyatakan bahawa mereka telah berjaya menjual sebanyak 22,000 unit sedan Honda City GN berkenaan, sejak ia dilancarkan pada Oktober tahun lalu. Dan dari jumlah keseluruhan tersebut, hanya 5% daripadanya adalah dari varian hibrid RS e:HEV.

    Honda City RS e:HEV hanya terjual 5% dari jumlah lebih 22,000 unit keseluruhan City GN di Malaysia

    Walau bagaimanapun ketika sidang media majlis berkenaan sebentar tadi, koordinator eksekutif Honda Malaysia, Yujiro Sugino menyatakan bahawa jumlah jualan bagi model sedan City RS e:HEV tersebut tidaklah dikategorikan sebagai teruk, malah ia sebenarnya selari dengan jangkaan oleh Honda Malaysia sendiri.

    Honda City RS e:HEV ini bukan sahaja dijual jauh lebih mahal dari model petrol biasa, malah ia masih perlu berhadapan dengan pandangan skeptikal pelanggan di Malaysia yang masih meragui kematangan teknologi tersebut, walaupun Honda Malaysia sendiri telah memberikan waranti selama lapan-tahun tanpa had perbatuan untuk bateri lithium-ion yang dibekalkan.

    Model ini juga sebenarnya agak lambat masuk ke pasaran – walaupun model petrol sudah mula dijual pada Oktober 2020, produksi versi hibrid ini terpaksa ditangguhkan di kilang Honda Malaysia di Melaka kesan dari Perintah Kawalan Pergerakan, dan jualannya hanya bermula pada Mac 2021. Jadi sehingga kini, City RS e:HEV baru sahaja mula dijual selama sembilan bulan, lima bulan kurang dari versi petrol biasa.

    Honda City RS e:HEV hanya terjual 5% dari jumlah lebih 22,000 unit keseluruhan City GN di Malaysia

    City RS e:HEV, ia menerima unit rangkaian kuasa hibird i-MMD (intelligent-Multi Mode Drive) yang terdiri dari enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran-Atkinson berkuasa 98 PS dan tork maksima 127Nm. Ia digandingkan dengan dua motor elektrik iaitu unit motor generator (MGU) yang bertindak sebagai motor penghidup dan pengecas semula bateri hibrid, bersama satu lagi motor utama yang digelar sebagai Traction Motor.

    Tiada kotak gear konvensional diberikan pada sistem i-MMD ini kerana kebanyakkan masa termasuk semasa mula bergerak, tayar hadapan dipacu oleh Traction Motor berkenaan yang menyediakan 109 PS dan tork maksima 253 Nm bermula dari 0 rpm, manakala enjin petrol hanya bertugas untuk mengecas bateri lithium-ion.

    Namun ia masih diberikan transmisi kelajuan tunggal yang membolehkan enjin petrol memacu roda hadapan ketika cruising. Macam mana sebenarnya sistem i-MMD ini berfungsi? Anda boleh ketahuinya dalam artikel pandu uji kami terhadap City RS e:HEV versi sedan pada PAUTAN INI.

     
     
  • Polis keluarkan 74,437 saman menerusi Op Khas Nombor Pendaftaran sepanjang November 2021

    Polis keluarkan 74,437 saman menerusi Op Khas Nombor Pendaftaran sepanjang November 2021

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengeluarkan sebanyak 74,437 saman atas pelbagai kesalahan menerusi Op Khas (Nombor Pendaftaran) di seluruh negara selama sebulan yang berakhir 30 November lalu.

    Menurut pengarah JSPT Datuk Mat Kasim Karim, daripada jumlah itu, ia melibatkan sebanyak 7,874 saman disebabkan nombor pendaftaran ‘fancy’ atau tidak mengikut spesifikasi, tiada nombor pendaftaran (2,112), nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan (17,035) dan lain-lain kesalahan (49,528), laporan Berita Harian.

    Tambahnya, perbandingan jumlah saman mengikut pengguna jalan raya menunjukkan pemilik motosikal melakukan kesalahan nombor pendaftaran terbanyak dengan 12,318 saman atau 49.45%. Selain itu, sebanyak 10,549 saman kesalahan sama atau 42.35% dikeluarkan kepada pengguna kereta, lori (300 saman atau 1.2%), kenderaan pacuan empat roda (942 saman atau 3.78%) serta lain-lain kenderaan (800 saman atau 3.21%).

    Polis keluarkan 74,437 saman menerusi Op Khas Nombor Pendaftaran sepanjang November 2021

    “Sepanjang operasi itu, 11 individu turut ditahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, tiga orang bawah kanun keseksaan, Akta Dadah Berbahaya (20) dan lain-lain (seorang). Kami juga menyita 111 kenderaan bagi mengenal pasti identiti pemandu, kenderaan dan menghentikan sesuatu kesalahan daripada berterusan mengikut Seksyen 64(1) APJ 1987.

    “Kenderaan disita boleh dituntut atau dilepaskan selepas identiti pemandu dan kenderaan dikenal pasti, kesalahan dilakukan dihentikan serta dilepaskan oleh mahkamah,” katanya.

    Beliau turut menjelaskan, Op Khas (Nombor Pendaftaran) bertujuan mendidik pemilik dan pengguna kenderaan supaya sentiasa mengikut peraturan, selain memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi. Selain itu, operasi sekatan jalan raya, rondaan cegah kemalangan dan pemantauan berkala oleh petugas trafik di laluan utama serta taman perumahan akan terus ditingkatkan bagi mengesan pengguna jalan raya mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

    Polis keluarkan 74,437 saman menerusi Op Khas Nombor Pendaftaran sepanjang November 2021

    “JSPT juga akan mengekalkan konsep ‘zero tolerance’ (tiada tolak ansur) dan ‘strike force’ (penguatkuasaan penuh) di kawasan tumpuan orang ramai. Ia strategi utama bagi mengesan kenderaan mengubah suai dan mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

    Dalam masa yang sama, Mat Kasim menasihatkan pemilik kenderaan supaya segera menukar dan mempamerkan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi dan kegagalan berbuat demikian akan membawa kepada tindakan saman serta pertuduhan di mahkamah.

    “Sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 14 (4) APJ 1987 dibaca bersama Seksyen 119 akta sama,” katanya.

     
     
  • Mazda 2 Hybrid 2022 diperkenalkan – berasaskan Toyota Yaris Hybrid 1.5L hibrid penuh, 3.8 l/100km

    Mazda 2 Hybrid 2022 diperkenalkan – berasaskan Toyota Yaris Hybrid 1.5L hibrid penuh, 3.8 l/100km

    Mazda telah memperkenalkan Mazda 2 Hybrid, sekaligus memberikan lebih pilihan bagi barisan model hibrid penuh di Jepun. Model ini berasaskan Toyota Yaris Hybrid yang dibangunkan dengan versi GA-B bagi platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dan telah dilancarkan di Eropah pada 2020.

    Model Toyota-Mazda segmen B ini pernah dilaksanakan sebelum ini, di mana Yaris 2020 untuk pasaran Amerika Utara berasaskan Mazda 2, dan enjin pembakaran dalaman Mazda ini dijangka digunakan untuk model hibrid berasaskan Toyota.

    Mazda 2 Hybrid turut menggunakan penjana kuasa yang sama dengan Yaris Hybrid yang mampu menghasilkan kuasa keseluruhan sehingga 116 PS dengan gabungan enjin 1.5 liter tiga-silinder sebaris kitaran-Atkinson 91 hp/120 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 79 hp/141 Nm.

    Ia juga menggunakan transmisi yang sama iaitu e-CVT yang menyalurkan pacuan ke roda hadapan. Untuk kelengkapannya, Mazda 2 Hybrid mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 9.7 saat dan boleh mencapai kelajuan tertinggi hingga 175 km/j.

    Kombinasi penggunaan bahan api mengikut protokol ujian WLTP adalah antara 3.8-4.0 liter bagi setiap 100 km dengan pelepasan CO2 sekitar 87-93 g/km, bergantung sama ada roda 15- atau 16-inci, dan angka itu hampir dengan rekod untuk Yaris Hybrid iaitu 3.7 l/100 km dan 86 g/km.

    Bagi dimensi luarannya, Mazda 2 Hybrid mempunyai jarak roda berukuran 2,560 mm, sekaligus memberikan ruang penyimpanan barangan mencecah 286 liter dengan tempat duduk belakang dalam kedudukan normal. Untuk sistem suspensi, ia diberikan topang MacPherson untuk hadapan dan palang torsion di belakang. Sama seperti Yaris Hybrid, Mazda 2 Hybrid juga mempunyai jejari pusingan terbaik dalam kelasnya iaitu 4.9 meter.

    Terdapat tiga varian ditawarkan untuk pasaran Eropah iaitu Pure, Agile dan Select, dan hatchback ini turut diberi penarafan lima-bintang oleh Euro NCAP menerusi program ujian pelanggaran yang dibuat. Mazda 2 Hybrid 2022 ini dijangka akan memasuk pasaran pada musim bunga tahun hadapan.

    Sekaligus menyertai barisan model elektrifikasi Mazda yang lain termasuk Mazda 3 dan CX-30 bagi versi mild-hybrid. Mazda memang sedang mengorakl langkah yang lebih kencang untuk pembikinan model elektrifikasi, malah Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture telah dibangunkan untuk pengeluaran model kenderaan elektrik penuh dan PHEV baharu dari tahun 2022 hingga 2025, diikuti dengan SkyActiv EV Scalable Architecture yang dikhaskan untuk platform EV.

     
     
  • Honda City Hatchback dilancarkan di M’sia – bermula RM75,670, 1.5L DOHC i-VTEC dan hibrid RS e:HEV

    Honda City Hatchback dilancarkan di M’sia – bermula RM75,670, 1.5L DOHC i-VTEC dan hibrid RS e:HEV

    Selepas diprebiu bulan lalu, hari ini Honda City Hatchback secara rasmi dilancarkan di Malaysia. Seperti yang sudah diketahui sebelum ini, City Hatchback merupakan pengganti kepada Honda Jazz GK di mana Malaysia bersama pasaran Asia Tenggara lain seperti Thailand dan Indonesia tidak akan menerima Honda Fit/Jazz generasi ke-empat seperti di Jepun dan Eropah.

    Secara ringkasnya, model ini merupakan City sedan yang dihasilkan tanpa but belakang. Jadi varian City Hatchback yang ditawarkan di Malaysia ini adalah hampir sama dengan penawaran kembar sedannya – tiga varian dengan enjin petrol 1.5 liter, dan satu varian dengan unit penjana hibrid petrol-elektrik i-MMD.

    Ia bermula dengan model asas 1.5 S dijual dengan harga RM75,670 , diikuti varian pertengahan 1.5 E berharga RM83,060, serta varian tertinggi 1.5 V pula berharga RM87,860. Menurut Honda Malaysia, penghantaran untuk pelanggan terawal yang telah menempah City ini akan dibuat pada Januari 2022. Apa yang berbeza, versi harchback ini masih belum ditawarkan dengan varian petrol 1.5 V Sensing seperti sedan.

    Honda City Hatchback dilancarkan di M’sia – bermula RM75,670, 1.5L DOHC i-VTEC dan hibrid RS e:HEV

    Manakala versi hibrid, City Hatchback hadir dalam tahap kemasan paling sporty iaitu e:HEV RS – sama seperti RS sedan tempoh hari, ia akan mula dijual sedikit lambat iaitu bermula pada awal 2022, dan harganya juga akan diumumkan hampir kepada tarikh ia sampai ke bilik pameran.

    Semua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan oleh kerajaan sehingga 30 Jun 2022. Kesemua model menerima perlindungan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan bersama lima servis dengan kos buruh percuma. Model e:HEV RS pula menerima waranti selama lapan-tahun untuk bateri lithium-ion sistem hibrid juga tanpa had perbatuan.

    Seperti yang disebutkan tadi, City Hatchback ini dihasilkan dari kembar sedannya dengan hanya membuang but belakang, menjadikan ia 208 mm lebih pendek dengan ukuran panjang 4,345 mm (4,349 dengan bampar RS), dan 21 mm lebih tinggi (1,488 mm). Manakala untuk dimensi lain ia kekal sama dengan sedan iaitu 1,748 mm lebar dan jarak roda 2,589 mm.

    Honda City Hatchback RS e:HEV yang hanya akan mula dijual bermula awal tahun hadapan

    Berbanding model yang digantikannya iaitu Honda Jazz generasi GK sebelum ini, City Hatchback ini adalah lebih panjang dan lebar, tetapi lebih rendah. Ia juga menampilkan jarak roda 59 mm lebih panjang berbanding Jazz.

    Ia juga berkongsi rekaan dalaman yang sama dengan model sedan termasuk papan pemuka, roda stereng dan juga tempat duduk hadapan. Namun City Hatchback ini turut menampilkan konfigurasi Ultra Seat yang sama seperti Jazz, menawarkan empat larasan tempat duduk fleksibel iaitu mod Refresh, Long, Tall dan Utility.

    Untuk kesemua varian dengan enjin petrol penuh, ia dijana dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm, bagi menggantikan enjin SOHC i-VTEC pada Jazz GK sebelum ini. Namun ia masih dibekalkan dengan kotak gear CVT automatik bagi memacu roda hadapan.

    Ruang enjin City Hatchback 1.5L V (kiri) dan RS e:HEV (kanan)

    Manakala untuk City RS e:HEV, ia menerima unit rangkaian kuasa hibird i-MMD (intelligent-Multi Mode Drive) yang terdiri dari enjin 1.5 liter i-VTEC kitaran-Atkinson berkuasa 98 PS dan tork maksima 127Nm. Ia digandingkan dengan dua motor elektrik iaitu unit motor generator (MGU) yang bertindak sebagai motor penghidup dan pengecas semula bateri hibrid, bersama satu lagi motor utama yang digelar sebagai Traction Motor.

    Tiada kotak gear konvensional diberikan pada sistem i-MMD ini kerana kebanyakkan masa termasuk semasa mula bergerak, tayar hadapan dipacu oleh Traction Motor berkenaan yang menyediakan 109 PS dan tork maksima 253 Nm bermula dari 0 rpm, manakala enjin petrol hanya bertugas untuk mengecas bateri lithium-ion.

    Namun ia masih diberikan transmisi kelajuan tunggal yang membolehkan enjin petrol memacu roda hadapan ketika cruising. Macam mana sebenarnya sistem i-MMD ini berfungsi? Anda boleh ketahuinya dalam artikel pandu uji kami terhadap City RS e:HEV versi sedan pada PAUTAN INI.

    Papan pemuka City Hatchback 1.5L V (kiri) dan RS e:HEV (kanan)

    Kelengkapan setiap varian pada City Hatchback ini juga hampir sama seperti kelengkapan yang diberikan pada model sedan. Bagi model asas 1.5 S, ia menerima perincian standard termasuk lampu hadapan projektor halogen dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, rim aloi 15-inci kemasan perak, sistem masuk tanpa kunci bersama butang penghidup enjin, pendingin hawa manual, upholsteri fabrik, pemain audio biasa dengan hubungan Bluetooth serta empat pembesar suara.

    Model pertengahan petrol 1.5 E pula ditambah dengan rim aloi kemasan dua tona, penghidup enjin kawalan jauh, sistem pendingin hawa automatik zon tunggal, pedal penukar gear, cruise control, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 8-inci bersama sokongan Apple Carplay dan Android Auto serta kamera undur.

    Manakala model tertinggi dengan enjin petrol 1.5 V pula menerima tambahan perincian seperti lampu hadapan LED sepenuhnya bersama lampu kabus hadapan LED, rim aloi 16-inci kemasan dua tona, upholsteri kulit dengan serlahan jahitan dan paip berwarna putih, kemasan sentuhan lembut berwarna hitam pada papan pemuka serta sistem audio yang menampilkan lapan-pembesar suara.

    Kabin City Hatchback 1.5L V (atas) dan RS e:HEV (bawah)

    Bagi model e:HEV RS, imej agresif pada varian ini diserlahkan menerusi gril hadapan dan cermin sisi dalam kemasan hitam berkilat, perumah lampu kabus dengan elemen bersirip, serta rim 16-inci dalam kemasan dua-tona. Bahagian kabin model RS ini turut diberikan upholsteri gabungan kulit dan sued, set pedal aloi, pelapik bumbung hitam, pencahayaan merah pada suis kawalan pendingin hawa, serta paparan meter separa digital dengan skrin instrumen tujuh-inci.

    Serlahan jahitan benang merah turut diberikan pada roda stereng, papan pemuka, sarung tuil gear bagi memberikan imej lebih sporty pada kabin versi RS ini. Malah, tempat duduk City Hatchback RS ini juga diberikan sedikit fabrik berwarna merah pada setiap sisi tempat duduk hadapan, berbanding hitam sepenuhnya pada sedan RS.

    Juga sama seperti sedan, hanya model RS diberikan brek parkir elektronik dan brek cakera pada roda belakang (tuil manual biasa dan brek dram pada roda belakang untuk model petrol). Walau bagaimanapun, hanya varian RS pada City Hatchback ini yang menerima liang pendingin hawa belakang. Pada model sedan, liang penghembus udara sejuk untuk penumpang belakang berkenaan diberikan pada setiap varian secara standard.

    Bagi aspek keselamatan pula, City Hatchback pasaran Malaysia ini diberikan standard dengan empat beg udara dan juga sistem kestabilan kenderaan elektronik. Model tertinggi petrol 1.5 V menerima tambahan beg udara tirai (menjadikan enam secara keseluruhan) dan juga kamera titik buta Honda LaneWatch.

    Manakala varian e:HEV RS, ia ditambah dengan pakej sistem bantuan pemanduan termaju Honda Sensing. Sistem tersebut memberikan fungsi seperti brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan kenderaan arah bentetangan, cruise control adaptif, bantuan pengekal tengah lorong dan lampu tinggi automatik.

    Model ini juga menerima servis Honda Connect yang memberikan fungsi seperti pengesan pelanggaran dan penggera automatik, amaran kelajuan dan geofencing, pengesan lokasi kereta dan juga panggilan kecemasan. Sistem ini juga boleh dihubungkan kepada aplikasi pada telefon pintar membolehkan pemilik memeriksa status kenderaan mereka, mengawal pelbagai fungsi dalam jarak jauh serta pengingat untuk servis seterusnya.

    Untuk warna pula, lima rona badan ditawarkan termasuk dua warna baharu iaitu Ignite Red and Meteorite Grey Metallic. Tiga warna lagi adalah sama dengan versi sedan iaitu Platinum White, Crystal Black Pearl dan Lunar Silver Metallic. Sama seperti versi sedan, model Hatchback RS hanya ditawarkan dalam tiga warna iaitu merah, putih dan hitam.

    GALERI: Honda City Hatchback RS e:HEV

    GALERI: Honda City Hatchback 1.5 V

     
     
  • Puspakom Pekan, Pahang ditutup hingga 13 Dis

    Puspakom Pekan, Pahang ditutup hingga 13 Dis

    Puspakom telah mengumumkan penutupan sementara Pusat Pemeriksaan Kenderaan cawangan Pekan, Pahang bermula semalam bagi melakukan proses disinfeksi dan sanitasi.

    Bagi pelanggan yang telah membuat temujanji pemeriksaan di cawangan tersebut, bayaran temujanji akan dipulangkan secara automatik dalam tempoh 30 hari dan pelanggan diminta untuk mengabaikan Peringatan Temujanji MyPUSPAKOM jika ada menerimanya.

    Sebagai alternatif, pelanggan yang terjejas akibat penutupan boleh hadir ke cawangan berdekatan secara walk-in dengan membawa slip temujanji Puspakom Pekan sebagai bukti temujanji.

    Menurut Puspakom, cawangan berkenaan dijangka akan beroperasi semula pada 13 Disember 2021. Untuk mengetahui maklumat terkini mengenai perkara ini, sila layari laman web www.puspakom.com.my atau Facebook Puspakom.

     
     
  • GWM Ora Good Cat dipertontonkan di M’sia — jarak 501 km, dijangka bawah RM130k, dilancar awal 2022

    GWM Ora Good Cat dipertontonkan di M’sia — jarak 501 km, dijangka bawah RM130k, dilancar awal 2022

    Sebuah lagi EV yang dipertontonkan ketika majlis pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB) 2030 di Pusat Persidangan KLCC hari ini ialah Great Wall Motors (GWM) Ora Good Cat. Sebelum ini pernah dilihat di Elmina, Shah Alam, model EV comel berkenaan dari versi pemanduan sebelah kiri dan CBU dari China kini membuat penampilan umum yang pertama di sini.

    EV ini sedang menjalani proses akhir untuk mendapat kelulusan daripada kerajaan dan dijangka akan diperkenalkan secara rasmi di Malaysia awal tahun depan. Disebabkan ia dibawa masuk dari China, unit yang sedang anda lihat ini menggunakan sambungan pengecas GB/T untuk pasaran berkenaan bagi pengecasan pantas DC, manakala AC pula menggunakan sambungan Type 2.

    Versi yang akan dijual di Malaysia pula akan ditukar dan menggunakan penyambung jenis CCS2 (Type 2 adalah sebahagian daripada ini), sama seperti yang digunakan Ora Good Cat untuk pasaran Thailand. Malahan, spesifikasi Malaysia yang dipamerkan juga sama dengan spesifikasi Ultra yang paling tinggi dijual di negara jiran itu, dengan harga 1.199 juta baht (RM149,857).

    GWM Ora Good Cat dipertontonkan di M’sia — jarak 501 km, dijangka bawah RM130k, dilancar awal 2022

    Janaan kuasanya dibekalkan oleh motor elektrik di depan yang menghasilkan 143 PS (141 hp atau 105 kW) dan 210 Nm tork. Ini memberi prestasi 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat dan laju maksimum 152 km/j.

    Motor elektrik berkenaan mendapatkan kuasa daripada bateri ternari lithium 63.1 kWh dan boleh mencapai jarak perjalanan 501 km. Mengikut spesifikasi di Thailand, Good Cat boleh dicas menggunakan AC 6.6 kW, dengan cas penuh bagi Ultra mencecah 10 jam. Sementara pengecasan DC (hingga 60 kW) boleh mencapai 0-80% dalam masa empat jam.

    Bagi kelengkapan pula, kereta yang dipamerkan ini dilengkapi lampu utama LED, rim 18-inci, sunroof elektrik, sistem tanpa kunci, kemasan dalaman balutan kulit, klustar instrumen digital, sistem infotainmen dengan skrin sentuh, pengecas tanpa wayar, brek parkir elektronik dan kerusi larasan elektrik.

    GWM Ora Good Cat dipertontonkan di M’sia — jarak 501 km, dijangka bawah RM130k, dilancar awal 2022

    Sistem keselamatan dan bantuan pemandu yang ada termasuklah bantuan mengekalkan lorong, amaran penukaran lorong, amaran perlanggaran depan, brek kecemasan autonomous, kawalan melayar aktif dengan Stop & Go, tinjauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan lain-lain.

    Spesifikasi EV ini untuk pasaran tempatan dijangka akan mirip dengan yang ada untuk pasaran Thailand — dan sudah tentu dengan pemanduan sebelah kanan. Persoalan seterusnya yang lebih penting tentulah berapa harganya. Ora Good Cat dijangka akan dijual di sini pada harga sekitar RM130k bagi model CBU, tetapi ini hanya boleh disahkan sebaik sahaja ia dilancarkan secara rasmi kelak. Apa pandangan anda tentang kereta ini, boleh laris?

     
     
  • PEKEMA sasar jual 500 unit Tesla setahun sepanjang tempoh sifar cukai EV, Model 3 di M’sia dari RM288,888

    PEKEMA sasar jual 500 unit Tesla setahun sepanjang tempoh sifar cukai EV, Model 3 di M’sia dari RM288,888

    Dengan pengumuman pengecualian cukai dan eksais selama dua tahun untuk kereta EV oleh kerajaan seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2021 oleh kerajaan Oktober lalu, pengeluar dan pengimport kenderaan kini dalam mod yang sangat rancak untuk memperkenalkan model EV untuk pasaran tempatan.

    Hyundai menjadi antara yang terawal memanfaatkan pengecualian cukai ini dengan melancarkan Kona Electric bulan lalu untuk pasaran tempatan dengan harga bermula dari RM150k, dan sejak itu sudah menerima tempahan yang menggalakkan daripada pelanggan. Persatuan Pengimport & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) juga tidak menunggu lama untuk mengumumkan dan mengambil tempahan bagi model kenderaan Tesla untuk di bawa masuk ke sini.

    Sejak pengumuman tersebut, PEKEMA — yang turut ikut serta dalam pameran ketika majlis pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB) 2030 — telah mengambil hampir 40 unit tempahan bagi kenderaan Tesla, dengan Tesla Model 3 dan Tesla Y menjadi yang paling popular. Dan, harga bagi Tesla Model 3 juga menarik, dijual pada harga bermula RM288,888 bagi unit baru yang dibawa masuk dari Hong Kong.

    PEKEMA sasar jual 500 unit Tesla setahun sepanjang tempoh sifar cukai EV, Model 3 di M’sia dari RM288,888

    Selain itu, PEKEMA juga mempunyai kuota untuk membawa masuk dari UK, dengan Model 3 versi ini dijual pada harga bermula dari RM323,928. Terdapat perbezaan spesifikasi infotainmen antara kedua-dua versi ini, yang menyaksikan unit dari Hong Kong tidak dilengkapi dengan skrin sistem hiburan lengkap seperti versi dari UK — dan menyumbang kepada perbezaan harga berkenaan (ini kerana kerajaan China di Hong Kong mengenakan larangan terhadap skrin hiburan dalam kenderaan, sebagai satu langkah sekatan terhadap kandungan yang boleh diakses oleh rakyatnya). Semua unit yang ditempah setakat ini dijangka akan tiba dan diserahkan kepada pemilik bermula Januari 2022 nanti.

    Bagaimana dengan jaminan bagi model Tesla yang dibeli daripada PEKEMA ini? Menurut Naib Presidennya, Raja Petra Marudin, setiap unit yang dibawa masuk oleh PEKEMA adalah unit baru dan bukannya terpakai. Dan untuk itu, jaminan yang diberikan juga sama dengan jaminan antarabangsa yang diberikan oleh Tesla — lapan tahun untuk bateri/motor elektrik (yang boleh dituntut daripada negara asal kereta berkenaan) dan juga jaminan empat tahun bagi hardware lainnya.

    Harga jualan ini juga telah termasuk dengan kos pengangkutan (sekiranya perlu dihantar ke Tesla Singapura atau negara asal kereta terbabit) untuk masalah major yang mungkin berlaku, secara one-off atau sekali sahaja. “Tetapi, sejak PEKEMA bawa masuk kenderaan Tesla pada 2019 lagi, kami belum pernah berhadapan dengan masalah besar yang memerlukan khidmat berkenaan dilakukan. Cuma, jika perlu, maka PEKEMA boleh membantu dan mengaturkannya untuk pelanggan,” ujar beliau.

    Antara sokongan lain yang turut disediakan oleh PEKEMA kepada pelanggannya adalah khidmat pemasangan kad SIM penyedia telekomunikasi tempatan ke dalam kereta (untuk membolehkan kemaskini secara OTA sistem yang digunakan), memuat turun dan membuat tetapan bagi aplikasi Tesla untuk kegunaan telefon pintar pelanggan, kemaskini sistem peta dan navigasi untuk kegunaan di Malaysia (misalnya bagi unit yang didatangkan dari UK dengan peta di sana) serta naiktaraf peranti dan perisian bagi sistem yang digunakan pada kereta mereka — walaupun semua ini melibatkan kos berasingan kepada pelanggan.

    Bagi mengesan masalah yang mungkin ada juga, khidmat remote diagnosis terhadap kenderaan juga boleh dilakukan. “Sistem yang digunakan Tesla membolehkan keretanya didiagnos dari jauh untuk tujuan mengesan masalah yang mungkin ada, dan laporan tersebut akan diserahkan kepada pelanggan.

    Sekiranya memerlukan gantian alat atau komponen, kami juga boleh mendapatkannya untuk pelanggan,” tambah beliau. Tidak lupa, juruteknik PEKEMA juga ada yang dihantar ke Tesla Singapura untuk mempersiapkan mereka menangani masalah yang mungkin dihadapi oleh pelanggan, dan dalam keadaan tertentu, juruteknik ini boleh ke rumah pelanggan untuk kerja-kerja baik pulih minor yang diperlukan.

    “Dalam bahasa mudah, pelanggan tidak perlu khuatir selepas membeli model Tesla daripada kami, kerana PEKEMA akan membantu sekiranya mereka memerlukan sokongan selepas jualan untuk kenderaan yang dimiliki itu,” tambahnya, dengan memberi penekanan bahawa untuk mencari alat ganti tulen Tesla untuk pelanggan juga boleh dilakukan oleh pihaknya.

    Selain itu, pelanggan mereka juga boleh menikmati kemudahan pengecasan pantas DC yang disediakan di premis-premis ahli PEKEMA di seluruh negara. Ketika ini terdapat tujuh stesen pengecas seumpamanya, dan menjelang hujung tahun ini jumlah berkenaan akan meningkat kepada 12 stesen pengecas untuk kemudahan pelanggan.

    Sepanjang tempoh pengecualian cukai EV selama dua tahun akan datang ini, PEKEMA mensasarkan untuk menjual 500 unit Tesla setahun. Untuk itu, syarikat itu juga sedang berusaha untuk membawa masuk unit Tesla dari pasaran lain juga seperti Australian dan New Zealand. “Kami juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan kami untuk membawa masuk unit Tesla melalui Tesla Singapura, yang akan memudahkan lagi urusan logistik untuk pelanggan,” tambah Raja Petra lagi.

     
     
  • MG ZS EV dalam pelekat samaran di ruang pamer PMC di TPB 2030 — akan di’rebadge’ untuk pasaran M’sia?

    MG ZS EV dalam pelekat samaran di ruang pamer PMC di TPB 2030 — akan di’rebadge’ untuk pasaran M’sia?

    Ketika majlis pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB) 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri pagi ini di ibu negara, antara kerangka ekonomi yang direncanakan bagi tempoh 10 tahun ke depan termasuklah Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA).

    Pelan tindakan TPB ini, yang turut diterbitkan dalam sebuah jilid dengan ketebalan lebih 600 mukasurat disebut-sebut sebagai kesinambungan kepada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1971 dengan matlamat untuk merapatkan jurang dan memperkasakan ekonomi antara warga bumiputera dengan warga lain di negara ini.

    Daripada tujuh cabang sektor yang dikenal pasti di bawah KEGA itu, ada satu yang bersangkutan dengan industri automotif dan pengangkutan — KEGA 5: Logistik, Pengangkutan dan Mobiliti Lestari. Yang agak menarik perhatian kami tentulah cabang yang akhir sekali, iaitu “Mobiliti Lestari”, yang daripada namanya saja sudah tentulah dapat kita teka duduk letak perkaranya; melibatkan kenderaan dengan teknologi elektrifikasi dan juga EV.

    MG ZS EV dalam pelekat samaran di ruang pamer PMC di TPB 2030 — akan di’rebadge’ untuk pasaran M’sia?

    Dan perkara ini setidak-tidaknya tercermin dengan jelas di ruang pameran yang turut dibawakan sempena majlis berkenaan. Ada banyak kenderaan yang dipamerkan, seperti Kona Electric, Ora Good Cat (ini kita lihat nanti), beberapa buah motosikal dan juga bas. Semua kenderaan ini hadir dengan satu persamaan — teknologi EV. Dan, ada sebuah lagi model kenderaan yang dipamerkan di ruang Protech Master Coach (PMC) Sdn. Bhd.

    Model kenderaan yang dimaksudkan sebenarnya ialah sebuah MG ZS EV yang dibalut dengan pelekat samaran. Adakah model ini akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia? Sebelum ini memang ada khabar angin yang menyatakan bahawa jenama MG bakal kembali ke dalam pasaran tempatan, tetapi unit yang dipamerkan ini bukanlah menjurus kepada perkembangan itu.

    Daripada perbualan dengan jurucakap PMC yang berada di situ, MG ZS EV ini bukanlah untuk tujuan membawa masuk atau aktiviti rebadge untuk dijual sebagai unit EV siap untuk pasaran tempatan. Kereta berkenaan sudah berada di sini beberapa bulan lalu, dan sejak dua bulan terakhir telah digunakan untuk tujuan R&D oleh syarikat berkenaan.

    MG ZS EV dalam pelekat samaran di ruang pamer PMC di TPB 2030 — akan di’rebadge’ untuk pasaran M’sia?

    R&D yang dimaksudkan ini pula bukanlah untuk menguji kepenggunaannya di Malaysia. Ia sebaliknya digunakan sebagai ujian untuk menilai dan mengenal pasti komponen-komponen yang ada padanya dalam maksud untuk diproduksikan secara tempatan, oleh pemain-pemain industri sedia ada di sini.

    PMC menjalankan pemerhatian, dan juga melakukan reverse engineering untuk melihat jika ada komponen-komponen yang mampu dikeluarkan oleh syarikat vendor di sini. Hasratnya adalah untuk mewujudkan dan memperkasakan lagi kesediaan syarikat tempatan dalam eko-sistem sebagai pembekal bagi komponen-kompenen berkaitan kenderaan EV ini,” jelas jurucakap yang enggan dinamakan itu.

    MG ZS EV dalam pelekat samaran di ruang pamer PMC di TPB 2030 — akan di’rebadge’ untuk pasaran M’sia?

    PMC juga sebelum itu — dengan kerjasama SIRIM — telah terlibat dalam menghasilkan bas elektrik yang didakwa ketika ini sudah digunakan di Melaka (seperti dalam gambar). Maka, dengan MG ZS EV ini, mereka ingin mengintai peluang berkaitan teknologi elektrifikasi untuk kenderaan massa pula.

    Mengapa MG ZS EV ini yang dipilih? Menurut beliau lagi, ini kerana model berkenaan antara yang meluas jualannya di China dan UK, dan dari banyak sudut sudah terbukti kemampuan dan ketahanannya sebagai sebuah EV pasaran massa yang lebih meluas.

     
     
  • Volvo, Polestar akan bangunkan SUV entry-level baru

    Volvo, Polestar akan bangunkan SUV <em>entry-level</em> baru

    Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh Autocar, Volvo dan Polestar akan memberikan fokus untuk pengenalan sebuah SUV elektrik entry-level selepas pengganti XC90 (dipanggil sebagai Embla) dan Polestar 3 dilancarkan nanti.

    Untuk bahagian Volvo, mereka dikatakan bakal membangunkan sebuah crossover kompak untuk bersaing dengan model premium seperti Mercedes-Benz EQA dan DS3 Crossback E-Tense. Sebelum ini, terdapat ura-ura model sebegitu akan dipanggil sebagai XC20 atau C20, tetapi sekarang ia telah disahkan bakal mendapat nama baru yang tidak menggunakan sekadar gabungan huruf dan nombor (seperti XC90 diganti dengan Embla).

    SUV EV yang bakal diperkenalkan ini juga akan menjadi model Volvo pertama yang menggunakan platform “open source” Sustainable Experience Architecture (SEA) daripada Geely. Platform ini sudah digunakan oleh Zeekr 001, yang disediakan dalam versi 86 kWh dan 100 kWh, dengan jarak gerak sehingga 700 km.

    Volvo, Polestar akan bangunkan SUV <em>entry-level</em> baru

    Zeekr 001 ini juga boleh menerima pengecasan pantas DC pada kadar sehingga 360 kW, tetapi kita masih perlu menunggu untuk melihat sama ada teknologi sama akan digunakan pada model Volvo. Setakat ini, pengeluar Sweden itu sudah menyatakan hasrat mereka untuk menjadikan EV sebagai penyumbang sehingga 50% daripada jumlah jualan global mereka menjelang tahun 2025, dan model baru ini akan membantu ke arah itu.

    Sementara itu, SUV kedua Polestar pula dikatakan bakal tiba pada tahun 2023 dan diletakkan di antara model 2 dan 3. Ia juga akan mempunyai kaitan rapat dengan Polestar 2 dan Volvo C40 Recharge, yang menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) dan boleh dipasang dengan bateri 64 kWh atau 78 kWh.

     
     
  • Zeekr 001 – terjual 2,012 unit dalam bulan pertama produksi berjalan, tempahan penuh hingga akhir tahun

    Zeekr 001 – terjual 2,012 unit dalam bulan pertama produksi berjalan, tempahan penuh hingga akhir tahun

    Zeekr 001, iaitu model pertama dari Zeekr (divisi kereta elektrik premium dari Geely) diumumkan telah pun dijual sebanyak 2,012 unit dalam bulan pertama produksinya berjalan secara penuh. Model ini hanya diperkenalkan pada April lalu, dan sebenarnya kesemua unit yang dijadualkan akan diproduksi tahun ini sudah habis ditempah pada bulan Jun.

    Produksi Zeekr 001 ini dibuat menerusi fasiliti Zeekr Intelligent Factory yang terletak di Ningbo, China. Geely mendakwa bahawa kilang berkenaan adalah antara fasiliti pembuatan kenderaan paling canggih di dunia. Zeekr kini sedang berusaha untuk meningkatkan produksi mereka bagi memenuhi permintaan tempatan yang tinggi.

    Zeekr juga sudahpun merancang untuk melebarkan operasi mereka secara global, namun ia hanya akan bermula pada 2023. Buat masa sekarang, mereka hanya menumpukan bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan di China, termasuk memasang pengecas-pengecas di 211 bandar, serta menyediakan stesen pengecas khas untuk Zeekr di sembilan bandar besar.

    “Kami dedahkan Zeekr kepada dunia pada April tahun ini dan hanya dalam lapan bulan, kami telah membangunkan 001, memulakan produksinya di Kilang Pintar kami yang canggih di Ningbo dan telah menghantar lebih dari 2,000 unit coupe shooting brake mewah ini. Ini merupakan cabaran yang sangat mencabar buat Zeekr dan saya benar-benar bangga dengan kemajuan permulaan dalam masa yang singkat begini,” kata CEO Zeekr, Andy An-Conghui.

    Zeekr 001 – terjual 2,012 unit dalam bulan pertama produksi berjalan, tempahan penuh hingga akhir tahun

    Zeekr 001 ini didakwa sebagai shooting brake elektrik sepenuhnya pertama di dunia (walaupun ia pada asalnya diperkenalkan sebagai SUV dengan gaya coupe menerusi model konsep Lynk & Co Zero), serta menampilkan saiz yang agak besar dengan dimensi 4,970 mm panjang, 1,999 mm lebar, 1,560 mm tinggi dan jarak roda sejauh 3,005 mm.

    Model ini (dan model-model lain Zeekr serta model-model elektrik lain di bawah payung Geely selepas ini) diasaskan dari platform modular Sustainable Electric Architecture (SEA), atau secara spesifiknya platform SEA1 yang khas untuk asas model-model segmen-D sehingga -F.

    Ia ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa, dengan kedua-dua pilihan berkenaan menampilkan motor elektrik berkuasa 200 kW (272 PS) dan tork maksima 384 Nm. Model pacuan belakang diberikan hanya sebuah motor elektrik tersebut, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

    Zeekr 001 – terjual 2,012 unit dalam bulan pertama produksi berjalan, tempahan penuh hingga akhir tahun

    Manakala untuk model pacuan semua roda, ia diberikan dua unit motor yang sama, bermaksud ia dibekalkan dengan kuasa 400 kW (544 PS) dan tork maksima 768 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat, serta mencapai kelajuan maksima melebihi 200 km/j.

    Ia juga ditawarkan dengan dua jenis bateri – 86 kWj dan 100 kWj. Namun apa yang agak pelik, bateri kecil 86 kWj tersebut hanya ditawarkan untuk model AWD, yang membolehkan ia bergerak sejauh 526 km dalam kitaran NEDC. Manakala pek bateri 100 kWj lebih besar boleh dipadankan pada kedua-dua model, membolehkan model AWD bergerak sejauh 606 km dan model pacuan belakang bergerak sejauh 712 km.

    Manakala untuk mengecaj semula, 001 boleh menerima suapan sehingga 7 kW pada pengecaj AC di rumah, serta menyokong sistem pengecaj laju DC sehingga 360 kW dengan sistem asas 400-volt. Menurut Zeekr, dengan pengecas laju berkenaan, jarak gerak 120 km dapat ditambah dengan caj hanya selama lima minit.

     
     
  • Perodua buat kajian untuk eksport kereta terpakai

    Perodua buat kajian untuk eksport kereta terpakai

    Perodua kini sedang mempertimbangkan untuk mengkesport kenderaan terpakai yang dijual untuk membeli kenderaan baru, ke luar negara. Perkara ini dinyatakan oleh presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin sewaktu acara pandu uji Myvi facelift 2022 hujung minggu lalu.

    Kenderaan terpakai yang dimaksudkan ini adalah daripada Perodua Pre-Owned Vehicle (POV) yang sudah wujud sejak tahun 2017. Ia adalah satu cabang perniagaan kenderaan terpakai yang sudah melalui pemeriksaan rapi serta baik pulih, seperti Toyota Topmark dan BMW Premium Selection. Pembeli kenderaan POV ini diberikan jaminan terhadap catatan batuannya serta tambahan waranti selama 18 bulan.

    Menurut Zainal, POV menawarkan harga yang berpatutan dan sesiapa yang mahu membeli model baru Perodua boleh menjual semula kenderaan terpakai mereka kepada POV. Idea untuk mengeksport ini mungkin muncul kerana Perodua cuma boleh menerima jumlah kenderaan terpakai yang terhad dan mereka perlu menguruskan pelupusan kenderaan-kenderaan tersebut.

    Perodua buat kajian untuk eksport kereta terpakai

    “Saya akan umumkan pada sekitar bulan Januari. Berdasarkan pelan jangka masa panjang untuk kenderaan terpakai, ada banyak kenderaan seperti ini di Malaysia. Salah satu strategi kami adalah melihat kepada pelbagai pilihan, sama ada kami boleh mengeksport kenderaan terpakai ini ke negara lain yang memerlukan kereta,” kata Zainal.

    “Pada masa ini, kami mempunyai pasukan yang sedang membuat kajian di salah satu negara yang kami tidak boleh beritahu sekarang. Mereka sedang melakukan kajian untuk pelaksanaannya dan kami telah menghantar beberapa buah kereta ke sana untuk kaji selidik pasaran, penerimaan harga dan sebagainya,” tambah beliau.

    Eksport kenderaan terpakai sebenarnya bukanlah sesuatu yang asing. Sebagai contoh, Jepun mengeksport banyak kereta terpakai ke negara luar, dan Malaysia adalah antara destinasi utamanya. Sementara banyak kereta terpakai yang tiba di negara kita terdiri daripada kereta mewah/prestasi dengan catatan batuan yang rendah, ada juga negara lain yang mengimport kereta-kereta biasa dalam jumlah yang besar.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025