Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jumlah jualan kenderaan Disember 2020 naik 21.8%

    Jumlah jualan kenderaan Disember 2020 naik 21.8%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menyiarkan data jualan kenderaan bagi bulan Disember 2020, yang menyaksikan peningkatan, antaranya dirangsang oleh pengecualian cukai jualan (SST) oleh kerajaan, yang sepatutnya berakhir akhir bulan tersebut (bagaimanapun, ia telah disambung lagi).

    Secara keseluruhannya, 68,836 buah kenderaan telah diserahkan kepada pemilik dalam bulan terakhir 2020 tersebut, dan ini bersamaan dengan peningkatan sebanyak 21.8% berbanding 56,489 yang dicatat pada bulan November 2020. Jumlah ini juga lebih tinggi 13,994 unit berbanding bulan sama tahun sebelumnya (54,842 unit).

    Meskipun jumlah jualan bulan Disember lebih tinggi, apabila mengambil kira jumlah keseluruhan bagi tahun 2020 sebanyak 529,434 unit, ia menurun sedikit berbanding tahun 2019, iaitu 604,281 unit (-74,847 unit).

    Untuk bulan Januari 2021, MAA menjangkakan jumlah jualan ini akan menurun sedikit berbanding bulan Disember 2020 kerana pasaran tidak menentu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lima negeri dan tiga Wilayah Persekutuan bermula 13 Januari 2021, serta bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri baru-baru ini.

     
     
  • PKP 2.0: Pasangan berkahwin yang terpisah boleh rentas negeri bermula esok, dengan kebenaran polis

    PKP 2.0: Pasangan berkahwin yang terpisah boleh rentas negeri bermula esok, dengan kebenaran polis

    Kerajaan telah membuat keputusan untuk membenarkan pergerakan rentas negeri bagi pasangan suami isteri yang terpisah akibat PKP yang sedang berlangsung ketika ini.

    Dalam satu kenyataan media hari ini, Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa individu yang sudah berkahwin akan dibenarkan merentas negeri untuk bertemu dengan pasangan mereka bermula esok (27 Januari 2021). Bagaimanapun, mereka terlebih dahulu perlu mendapatkan kebenaran daripada polis.

    Beliau menambah, mereka yang mempunyai simptom pula dinasihatkan untuk mengambil ujian swab terlebih dahulu untuk memastikan mereka bebas daripada Covid-19 sebelum membuat perjalanan, agar tidak menjangkiti orang lain.

    Setakat ini, hampir seluruh Malaysia dikenakan PKP 2.0, dengan tarikh akhir sehingga 4 Februari nanti. Ini terkecuali bagi Sarawak yang hanya dikenakan PKPB, yang hanya menyaksikan Sibu diletakkan di bawah PKP.

     
     
  • Shell beli syarikat pengecaj kereta elektrik, ubitricity

    Shell beli syarikat pengecaj kereta elektrik, ubitricity

    Shell telahpun menandatangani perjanjian untuk membeli ubitricity, iaitu syarikat penyedia perkhidmatan pengecaj kenderaan elektrik (EV) tepi jalan utama di Eropah. Menurut satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, langkah ini adalah untuk membolehkan Shell meluaskan servis pengecaj EV sedia adanya, selari dengan opsyen pengangkutan karbon rendah untuk pelanggan yang sedang meluas buat masa sekarang.

    Perjanjian berkenaan dijangka akan lengkap lewat tahun ini, selepas itu ubitricity akan menjadi subsidiari penuh Shell. Diasaskan di Berlin, Jerman, ubitricity merupakan rangkaian penyedia pengecaj EV awam paling besar di UK, dengan 2,700 pengecaj, memegang 13% pegangan pasaran.

    Syarikat tersebut turut beroperasi di berberapa negara Eropah lain seperti Jerman dan Perancis, serta memberikan perkhidmatan kepada pelanggan flit yang turut melibatkan pemasangan lebih 1,500 pengecaj bagi kegunaan persendirian.

    Ubitricity menghasilkan solusi pengecaj EV yang bersepadu dengan infrastruktur jalan raya sedia ada seperti tiang lampu dan tiang jalan, dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan. Sasaran mereka adalah untuk menghasilkan pengecaj kenderaan elektrik yang murah, serta mudah dan selesa untuk digunakan oleh sesiapa sahaja ketika memarkir kenderaan di tepi jalan, yang dilihat sangat berguna untuk mereka yang mempunyai EV tetapi tiada laman rumah.

    Shell beli syarikat pengecaj kereta elektrik, ubitricity

    Menurut ubitricity, mereka menganggarkan 60-85% proses mengecaj kenderaan EV ini dibuat di kawasan persendirian, manakala 15-40% dibuat pada kawasan awam. Walau bagaimanapun, 60% dari pemandu EV dalam bandar tiada akses kepada tempat parkir persendirian dan bergantung kepada fasiliti pengecaj awam yang sedang dikembangkan.

    Menerusi platform pengecaj mereka yang digelar ubiCharge, syarikat tersebut menawarkan pelbagai solusi untuk memasang pengecaj awam, yang dirujuk sebagai SimpleSocket. Ini termasuk tiang lampu dengan kuasa mengecaj maksima 5.8 kW dan tiang jalan yang membekalkan kuasa sehingga 3.7 kW (fasa tunggal) atau 11 kW (tiga-fasa). Opsyen konvensional lain termasuk Wallbox dengan spesifikasi sama seperti pada sistem tiang jalan.

    Pengambilalihan oleh Shell ini menandakan bahawa ubitricity akan berkembang dalam pasaran pengecaj EV tepi jalan yang kini sedang bertumbuh dengan laju, merangkumi jaringan sedia ada mereka dengan pengecaj ultra pantas dan pantas melebihi 1,000 unit di kira-kira 430 fasiliti runcit Shell, serta akses global hingga lebih 185,000 pengecaj EV pihak-ketiga.

    “Dengan bekerjasama bersama pihak berkuasa tempatan, kami mahu berikan sokongan kepada pelanggan Shell yang semakin ramai mahu beralih kepada EV dengan membuatkan ia seselesa yang mungkin untuk mereka,” kata naib presiden Shell Global Mobiliti, Istvan Kapitany.

    Shell beli syarikat pengecaj kereta elektrik, ubitricity

    “Opsyen di atas jalan raya seperti pada pengecaj tiang lampu yang ditawarkan ubitricity akan menjadi ciri penting kepada mereka yang tinggal dan bekerja di bandar atau mempunyai akses yang terhad kepada tempat parkir bukan di jalan raya. Sama ada di rumah, atau di tempat kerja atau dalam perjalanan, kami mahu menyediakan opsyen pengecaj EV yang mudah diakses dan mampu milik untuk pelanggan kami bagi membolehkan mereka mengecaj tidak kita di mana mereka berada,” tambahnya lagi.

    “Apa yang mengujakan ramai orang tentang ubitricity adalah integrasi kami terhadap pengecaj kepada insfrastruktur sedia ada pada jalan raya membolehkan proses mengecaj EV menjadi mudah dan senang untuk diakses bagi semua orang yang memerlukannya, di mana mereka memerlukannya,” kata CEO ubitricity, Lex Hartman.

    “Khususnya di bandar-bandar lebih besar di mana akses untuk parkir luar jalan raya adalah terhad, ini merupakan solusi untuk ramai orang yang menunggu untuk beralih kepada pemilikan EV. Dengan menggabungkannya bersama jaringan solusi pengecaj EV Shell sedia ada memberikan pemandu EV akses kepada barisan penuh opsyen pengecaj, menjadikan Shell dan ubitricity padanan yang sempurna,” tambahnya lagi.

     
     
  • Nissan rancakkan pembangunan teknologi elektrifikasi di China — Sylphy e-Power tahun ini, X-Trail menyusul

    Nissan rancakkan pembangunan teknologi elektrifikasi di China — Sylphy e-Power tahun ini, X-Trail menyusul

    Melihat perkembangan dan gerak langkah terbaru Nissan, syarikat itu seperti sedang dalam persiapan untuk memperkenalkan lebih banyak model dengan teknologi e-Power janaan elektrik dalam tempoh beberapa tahun mendatang. Ini didorong oleh dorongan rancak yang dilakukan Nissan di China, sebagai sebahagian strategi baru syarikat itu.

    Nissan dilaporkan sedang mempersiap sebuah kilang yang akan digunakan untuk mempercepat pengeluaran kenderaan dengan teknologi elektrifikasi di pasaran automotif paling besar dunia itu, bagi kedua-dua jenamanya sendiri dan juga jenama tempatan di sana, Venucia, lapor Reuters.

    Sumber memaklumkan agensi berita berkenaan, strategi baru ini yang dijangka akan diperkenalkan ketika Auto Shanghai April nanti, tidak hanya akan merangkumi kenderaan tetapi juga alatan dan teknologi, yang membolehkan syarikat itu mengurangkan kos dan jadi lebih kompetitif.

    Nissan rancakkan pembangunan teknologi elektrifikasi di China — Sylphy e-Power tahun ini, X-Trail menyusul

    Khabarnya pengeluar itu akan melancarkan tiga model kenderaan di China tahun ini. Selain daripada crossover elektrik Ariya dan X-Trail generasi keempat yang direka semula, Nissan turut akan memperkenalkan versi hibrid bagi Sylphy generasi keempat, memanfaatkan sistem janaan e-Power. Model selepas itu yang akan diperkenalkan dengan teknologi yang sama ialah X-Trail, kemungkinan akan sama seperti model Qashqai di Eropah.

    Sistem berkenaan menggunakan enjin petrol 1.5 liter nisbah mampatan boleh ubah dengan janaan 157 PS dan diganding bersama generator kuasa, inverter dan motor elektrik. Kombinasi ini memberikan output akhir 187 PS. Sama seperti sistem e-Power lainnya, enjin petrol digunakan hanya untuk menjana elektrik, dengan kuasa elektrik memacu roda.

    Nissan mensasarkan untuk memperkenal sekurang-kurangnya satu model di China setiap tahun sehingga 2025, dengan hampir semuanya kereta elektrik sepenuhnya atau hibrid dengan teknologi autonomous dan pemanduan pintar.

    Nissan rancakkan pembangunan teknologi elektrifikasi di China — Sylphy e-Power tahun ini, X-Trail menyusul

    Salah satu sumber memaklumkan, fokus baru terhadap kereta yang khusus untuk China adalah bertujuan untuk menarik perhatian dan selera pembeli tempatan terhadap model-model elektrik. Ini juga mungkin akan melibatkan pembaharuan rekaan, untuk menjadikan bahagian gril lebih besar, lampu utama tajam serta rekaan dalaman yang lebih “kaya”.

    Namun, cabaran utama dengan model khusus untuk pasaran China itu adalah untuk membangunkan kenderaan dengan alatan dan tenologi yang diambil dari dalam negara itu sendiri untuk mengurangkan kosnya. Menurut sumber lagi, itu akan melibatkan lebih daripada sekadar mendapatkan bampar, tempat duduk dan lampu. Ia sebaliknya dijangka akan melibatkan juga sistem sensor dan inverter kuasa elektrik.

    Selebihnya, bateri untuk model e-Power akan dibangunkan di China oleh Sunwoda Electric Vehicle Battery. Berdasarkan rancangan, ini termasuk menukar arah tuju jenama Venucia dan menjadikannya sebagai jenama EV yang lebih mampu milik.

     
     
  • Ruslin Tamsir, jurutera Malaysia hasilkan rekaan gril pembesar suara tanpa skru untuk Mclaren Senna

    Ruslin Tamsir, jurutera Malaysia hasilkan rekaan gril pembesar suara tanpa skru untuk Mclaren Senna

    Gril atau penutup pembesar suara hadapan mungkin kita lihat sebagai komponen yang ringkas dan tidak memerlukan kejuruteraan yang tinggi untuk dihasilkan. Namun sebenarnya komponen berkenaan sangat kritikal untuk dihasilkan kerana sebarang halangan selepas pembesar suara berkenaan akan memberikan gangguan terhadap penghantaran bunyi. Jika gril ini tidak dipasang pula, ia mungkin akan merosakkan pembesar suara tersebut.

    Malah untuk menentukan posisi pembesar suara hadapan juga agak sukar, kerana ia perlu disusun agar tidak menggangu komponen lain pada pintu hadapan, dan sebab itu ia selalunya diletakkan pada sebelah bawah penghujung pintu hadapan. Rekaannya juga perlu dibuat dengan teliti kerana jika salah buat, ia mungkin senang rosak kerana bahagian tersebut adalah ‘laluan utama’ untuk kaki penumpang/pemandu masuk ke kabin kereta.

    Oleh sebab ini, hypercar dari British iaitu McLaren Senna dipadankan dengan pembesar suara hadapan yang diletakkan pada posisi unik pada pintunya. Perumah atau gril pembesar suara yang diperbuat dari gentian karbon tersebut dihasilkan begitu kompleks bukan sahaja kerana kedudukannya, malah ia turut perlu menempatkan pembesar suara Bowers & Wilkins dengan rekaan tweeter diamond dome 25 mm dan juga kon Kevlar 10 cm di belakangnya yang begitu canggih – rekaan tersebut sebenarnya dihasilkan oleh anak jati Malaysia, Ruslin Tamsir!

    Apa yang istimewa dengan rekaan perumah pembesar suara gentian karbon oleh Ruslin ini adalah ia tidak perlu sebarang pengikat, skru atau kaedah konvensional lain untuk melekatkannya, tetapi menampilkan satu ciri baharu yang digelar invisible locking (pengunci yang tidak nampak).

    Ruslin sebenarnya menghasilkan rekaan ini menerusi syarikat tempat dia bekerja iaitu Harman Becker Automotive System di Garching, Jerman dengan memegang jawatan sebagai ketua projek kejuruteraan. Paten untuk rekaan tersebut telah difailkan oleh syarikatnya pada tahun 2019, dan kemudiannya telah diterbitkan di Pejabat Paten Eropah pada 21 Oktober tahun lalu.

    Dalam hantaran Facebook yang dibuat, Ruslin menyatakan bahawa dia agak skeptikal pada mulanya bahawa rekaannya itu mungkin tidak akan dihantar ke pejabat paten. Ini kerana tempoh masa yang diberikan adalah sangat singkat iaitu hanya tiga bulan untuk menghasilkan perumah pembesar suara yang boleh dilekatkan tanpa sebarang pengikat konvensional tersebut.

    Menurutnya lagi berberapa prototaipnya telah gagal dalam usaha berkenaan, namun pada satu tahap di mana dia hampir putus asa, dia bermula sekali lagi dengan pendekatan yang lebih konvensional. Usaha Ruslin tidak sia-sia kerana rekaan akhir berkenaan diterima untuk dinilai dan diuji, kemudian paten tersebut difailkan dengan namanya.

    Dalam hantaran yang dibuat juga, Ruslin yang kini sudah pun berada di Malaysia memberikan pesanan agar jangan sesekali berputus asa dan sentiasa berusaha untuk mendorong diri sendiri sehingga ke had maksima. “Anda tidak akan berjaya tanpa mencuba dan gagal, dan anda hanya akan melihat potensi sebenar diri sendiri setelah anda berjaya,” kata Ruslin dalam hantaran tersebut.

     
     
  • Volkswagen lancarkan ID.4 GTX dan ID.5 tahun ini

    Volkswagen lancarkan ID.4 GTX dan ID.5 tahun ini

    Volkswagen akan melancarkan model elektrik sepenuhnya ID.4 GTX dan ID.5 pada tahun ini, seperti mana yang didedahkan oleh pengeluar kereta ini menerusi laporan sasaran emisi untuk Eropah bagi 2020. ID.4 GTX merupakan varian prestasi tinggi bagi SUV elektrik ID.4, sementara ID.5 pula merupakan versi coupe-roofed yang penah dilihat sedang diuji pada tahun lalu.

    ID.4 GTX pula bakal menampilkan penjana dwi-motor, menambahkan larasan standard pada ID.4 berkuasa 204 hp/310 Nm pada motor yang dipasang pada gandar belakang dan juga 102 PS/140 Nm bagi motor pada gandar hadapan dengan jumlah keseluruhan kuasa mencecah 306 PS. Sebelum ini, sumber kami memaklumkan, ID.4 GTX boleh mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 6.3 saat, atau 2,3 saat lebih pantas berbanding varian biasa ID.4 pacuan roda-belakang.

    Penjana kuasa RWD asas pada ID.4 adalah dari model hatchback ID.3 dengan binaan modular electric drive matrix (MEB) dari kenderaan elektrik sepenuhnya siri produksi sulung Wolfsburg, yang ditayangkan di peringkat dunia buat pertama kalinya pada September 2019.

    Volkswagen lancarkan ID.4 GTX dan ID.5 tahun ini

    Unit pembangunan Volksawgen ID.5

    Sementara itu, ID.5 turut menerima pilihan penjana kuasa seperti yang ada pada ID.4, dengan motor berkuasa 204 hp/310 Nm yang dipasang pada gandar belakang dan juga pek bateri berkapasiti 77 kWh yang mampu mencapai jarak 520 km. Pada ID.4, pecutan dari 0-100 km/j hanya dalam 8.5 saat dan kelajuan maksimum mencecah 160 km/j.

    Suku pertama bahagian kabin ID.5 dijangka mirip dengan ID.4, dengan sedikit perbezaan pada bahagian penumpang belakang dan juga garisan bumbung yang agak landai. Sekaligus memberikan beban pada kapasiti penyimpanan barangan yang berkurangan berbanding kapasiti pada ID.4 yang mencecah 543 liter apabila tempat duduk belakang dalam kedudukan normal.

    Untuk pengetahuan, Volkswagen ID.4 bakal berharga dari $40,000 (RM166,660) di Amerika Syarikat sebelum kredit cukai persekutuan di negara tersebut, dan dengan pengurangan harga bagi versi SUV elektrik bermula $32,500 (RM135,412). Ia melibatkan penurunan sebanyak $27,500 (RM114,579) selepas kredit cukai persekutuan apabila ia diproduksi di Chattanooga, Tennessee bermula pada 2022.

    GALERI: Foto spyshot Volkswagen ID.4 GTX

    GALERI: Foto spyshot Volkswagen ID.5

     
     
  • Prototaip Skoda Kushaq untuk India mula ditunjuk

    Prototaip Skoda Kushaq untuk India mula ditunjuk

    Tak sampai beberapa bulan sebelum tarikh asal pengenalan rasmi Skoda Kushaq, pengeluar Czech itu telah mula menunjukkan crossober segmen B terbabit kepada umum. Walaupun yang ditunjuk itu model prototaip dengan pelekat samaran, ia tetap menunjukkan bentuk model berkenaan dengan jelas.

    Kushaq ini memang direka dengan pertimbangan untuk pasaran India, menggunakan platform modular MQB A0 IN. Ini merupakan versi daripada platform MQB A0, yang digunakan pada model Kamiq untuk pasaran Eropah, dan dibangun spesifik untuk rantau itu. Platform yang sama juga akan digunakan untuk Volkswagen Taigun (ya, bukan Tiguan yang biasa).

    Rekaan Kushaq dipertontonkan tahun lalu melalui model konsep Vision IN dan kelihatan bentuk umumnya masih dikekalkan, termasuklah gril besar enam bucunya, lampu utama tirus serta lengkung tingkap yang tinggi dan lampu belakang bentuk L.

    Garis bahu yang ketara pada model konsepnya juga kelihatan akan dikekalkan, tetapi bahagian gril dengan iluminasi, pemegang pintu serta roda besar tidak akan di”bawa” sekali. Rekaan dalaman yang sebelum ini terlalu canggih dan aneh juga dirasakan akan disantaikan sedikit untuk versi produksi.

    Skoda juga telah mendedahkan beberapa ciri pada model ini. Antaranya ialah kerusi pemandu dengan ketinggian boleh laras, sama seperti larasan sterengnya. Mungkin ini hal yang jarang ditawarkan untuk pasaran India; berserta sistem pendingin hawa dengan kawalan automatik akan ada sekali. Skrin sentuh untuk infotainmen, kawalan melayar dan lampu/pengilap automatik akan ditawarkan juga.

    Barisan enjin yang akan digunakan juga telah disahkan, terdiri daripada unit 1.0 liter tiga-silinder turbocas dan 1.5 liter empat-silinder TSI. Versi enjin yang lebih besar pada Vision IN menghasilkan 150 PS dan 250 Nm, dan didakwa mampu mencapai 0-100 km/j dalam masa 8.7 saat dengan laju maksimum 195 km/j dengan transmisi DSG tujuh-kelajuan pacuan depan. Kotak gear manual enam-kelajuan juga akan ditawarkan.

    Dari aspek keselamatan, Kushaq dilengkapi dua beg udara sebagai standard, dengan enam keseluruhannya bergantung kepada varian. Turut ada ialah kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki dan sistem pemantauan tekanan tayar – kereta ini menepati peraturan keselamatan yang lebih ketat untuk pasaran di sana. Selain untuk pasaran India, Skoda memaklumkan yang crossover ini akan turut dipasarkan ditempat lain yang dirasakan sesuai. Jadi, ada peluang Skoda kembali ke Malaysia?

     
     
  • Mitsubishi Outlander 2021 ditunjuk dalam teaser – pelancaran rasmi SUV generasi keempat pada 16 Feb

    Mitsubishi Outlander 2021 ditunjuk dalam teaser – pelancaran rasmi SUV generasi keempat pada 16 Feb

    Mitsubishi Motors telah mengeluarkan video teaser baru untuk Outlander generasi keempat, yang diberitahu akan membuat penampilan global 16 Februari ini. Ini sebagai susulan kepada satu lagi teaser yang pernah dikeluarkan Disember lalu serta gambar yang bocor dalam internet baru-baru ini.

    Dalam video teaser terbaru ini, kita boleh melihat Outlander baru melalui ujian serta pelarasan di atas pelbagai jenis jalan. “Kami ambil semua yang perkara yang kami tahu tentang pemanduan atas jalan biasa dan offroad daripada pengalaman dalam dunia rali dan memasukkan teknologi Super All-Wheel Control (S-AWC) terkini kepada platform yang baru dibangunkan ini,” kata ketua jurutera projek Outlander baru, Kentaro Honda.

    “Kami juga telah membangunkan pemilih mod pemanduan baru untuk menyediakan pemanduan yang meyakinkan pada sepanjang masa dan pada apa sahaja jenis keadaan cuaca. Kami berharap ramai pelanggan akan mendapat pengalaman pemanduan yang baik dengan prestasi pemanduan Outlander serba baru yang dipertingkat ini,” tambah beliau.

    Mitsubishi Outlander 2021 ditunjuk dalam teaser – pelancaran rasmi SUV generasi keempat pada 16 Feb

    Berdasarkan apa yang ditunjuk, SUV ini nampak selesa meredah lumpur serta salji, dan turut mempunyai kemampuan untuk meredah air yang dalam. Slogan “diuji untuk menjadi tegap” juga nampak padan dengan kepakaran serta pengalaman Mitsubishi dalam Rali Dakar.

    Menurut Mitsubishi, Outlander baru ini dibangunkan untuk mengikuti konsep “I-Fu-Do-Do”, yang bermaksud asli dan mewah. Mereka juga memberitahu model ini telah “direka semula dan digambarkan semula dalam segenap cara,” dan “lebih besar berbanding generasi sebelumnya.”

    Tiada perincian teknikal setakat ini tetapi Outlander dijangka akan terus ditawarkan dengan pilihan enjin petrol dan plug-in hybrid. Kereta yang ditunjuk awal ini menggunakan penggerak PHEV yang dipertingkat, dengan gabungan enjin 2.4 liter, motor elektrik pada setiap gandar dan bateri 20 kWh.

     
     
  • Subaru jual kereta tak sampai 1k unit di UK sepanjang tahun 2020; mengaku mereka kini jenama ‘orang tua’

    Subaru jual kereta tak sampai 1k unit di UK sepanjang tahun 2020; mengaku mereka kini jenama ‘orang tua’

    Subaru hanya mencatatkan jualan sebanyak 951 unit kereta di United Kingdom tahun lalu, jatuh menjunam sebanyak 68% berbanding tahun 2019. Dengan prestasi seperti ini, pengarah urusan Subaru UK, John Hurtig menyifatkan bahawa ia adalah ‘tidak masuk akal’ dan ‘memalukan’.

    “2020 adalah tahun yang teruk. Apa yang boleh anda katakan? Ia hanyalah angka yang memalukan. Secara jujur, tiada lagi konteks lain,” kata Hurtig kepada Autocar.

    Seperti yang diketahui, pandemik Covid-19 telah menjejaskan hampir kesemua jenama automotif secara global, dan menurut laporan Autocar ini, Subaru adalah jenama yang paling teruk terjejas di UK. Pada Ogos 2020, 69 pengedar Subaru di UK hanya mencatatkan jualan sejumlah 34-unit.

    Antara penyebab kejatuhan yang mendadak ini adalah proses jualan secara pra-pendaftaran yang dibuat oleh Subaru UK pada Disember 2019. Ia secara terus menjejaskan prestasi mereka pada Januari 2020.

    “Sebagai jenama, kami mendapat angka pendaftaran yang sangat tinggi pada Disember 2019. Malah, ia adalah bulan terbaik pernah dicatatkan oleh Subaru UK. Jadi kami menempuh 2020 dengan tunggakan yang besar,” jelas Hurtig. Beliau turut menyatakan bahawa pra-pendaftaran yang dibuat secara besar-besaran tersebut dibuat bagi mengelakkan denda emisi purata keseluruhan yang dikuatkuasakan oleh Kesatuan Eropah pada Januari 2020.

    Subaru jual kereta tak sampai 1k unit di UK sepanjang tahun 2020; mengaku mereka kini jenama ‘orang tua’

    Satu lagi faktor utama sudah tentulah pandemik Covid-19. “Sasaran pasaran kami, secara jujurnya, adalah orang yang lebih tua, dan kumpulan tersebut adalah kumpulan dengan risiko [terbesar] untuk dijangkiti [wabak berkenaan]. Jadi mereka sangat gusar untuk keluar dan membuat sebarang urusan; ini adalah maklum balas yang kami dapat dari pelanggan. Ini adalah antara sebab ia lebih menjejaskan kami,” kata Hurtig lagi.

    Jenama Subaru di UK dan Eropah yang diuruskan oleh syarikat Britain iaitu International Motors tersebut kini sedang mencari jalan untuk memulihkan kembali prestasi mereka. Rombakan perlu dilakukan dan ia akan dimulakan dengan rangkaian jualan.

    “Rangkaian pengedar perlu dibangunkan semula dari bawah. Kami telah melakukan perubahan yang banyak dalam Subaru UK. Kami juga perlu membuat perubahan struktur keseluruhan rangkaian pengedar. Banyak perkara yang kami kekurangan sebelum ini – dari kedua-dua sisi perniagaan. Saya bukan hanya salahkan pengedar; 50% [kesalahan] adalah dari kami dan juga sebagai satu organisasi,” jelas Hurtig yang sebelum ini bertanggungjawab ke atas pasaran Nordik Subaru, dan hanya dilantik sebagai bos Subaru UK pada musim panas lalu.

    Subaru jual kereta tak sampai 1k unit di UK sepanjang tahun 2020; mengaku mereka kini jenama ‘orang tua’

    “Kami perlukan pengedar yang betul. Ia perlu kembali kepada perkara berkenaan. Kami boleh mendapatkan pemasaran dan kesedaran jenama terbaik, tapi sekiranya pengedar tidak sehaluan, ia tidak berguna. Jadi ia perlu dibangunkan bersama,” tegasnya lagi.

    Subaru merupakan jenama yang tidak asing untuk pasaran UK, lebih-lebih lagi ketika era mereka masih bertanding dalam Kejohanan Rali Dunia. Hero rali British, Colin McRae merupakan pemandu rali UK pertama dalam sejarah yang berjaya merangkul gelaran juara dunia WRC pada tahun 1995 dengan memandu Subaru Impreza WRX, malah firma yang bertanggungjawab membangunkan kereta rali WRC Subaru, Prodrive juga berpusat di UK.

    Namun Subaru UK tidak lagi menjual model WRX STi sejak tahun 2018, malah model generasi baharu kereta sport pacuan belakang Subaru BRZ juga tidak akan dipasarkan di Eropah. Jadi pemasaran dan penjenamaan untuk disasarkan kepada pelanggan yang lebih muda mungkin sukar untuk Subaru di UK.

    Subaru jual kereta tak sampai 1k unit di UK sepanjang tahun 2020; mengaku mereka kini jenama ‘orang tua’

    “Subaru UK telah membuat banyak kesalahan sebelum ini, dari segi membangunkan jenama Subaru untuk menjadikan ia luar biasa sudah tidak ada. [Impreza] adalah kereta berprestasi, kereta rali. Ia adalah era yang baik di UK. Tapi ia tinggal sejarah; ia sudah lama berlalu. Ia sudah tidak ada kaitan lagi dengan jenama Subaru sekarang,” kata Hurtig kepada Autocar.

    “Kami telah tukar pentadbiran, kami sudah tukar pasukan, kami sudah buat banyak perubahan dalam separa kedua 2020. Sebab itulah kami sekarang sudah pun mulakan langkah pemulihan,” kata ketua Subaru UK berkenaan, dan menambah bahawa kini mereka telah pun membuat sistem tempahan secara dalam talian. Model kemaskini untuk XV, Forester facelift dan wagon off-road Subaru Outback juga akan tiba di UK tahun ini.

    “2020 adalah bencana buat kami. Tetapi dari perspektif kami, masih ada cara yang baik untuk mara dan masa depan yang baik untuk kami, di mana kami sangat komited mengenainya,” kata Hurtig lagi.

     
     
  • Maruti Suzuki Swift – kereta terlaris di India pada 2020

    Maruti Suzuki Swift – kereta terlaris di India pada 2020

    Suzuki Swift telah mencatatkan jualan terbaik di India pada tahun 2020, dan Maruti Suzuki melaporkan sebanyak 160,700 unit kenderaan tersebut telah dijual kepada pelanggan. Selain itu, model tersebut juga mencatatkan satu lagi sejarah kerana telah mencatatkan jualan sebanyak 2.3 juta unit untuk kesemua generasinya.

    Pertama kali Swift diperkenalkan di India pada 2005, dan lima tahun kemudian, sebanyak 500,000 unit telah terjual. Pada tahun 2013, angka tersebut melonjak ke satu juta unit dan 1.5 juta unit pula pada tahun 2016. Model semasa iaitu generasi ketiga telah dilancarkan di negara berkenaan pada Februari 2018 dan ditawarkan dengan enjin petrol dan diesel.

    Walau bagaimana pun, jualan bagi enjin diesel telah dihentikan, dan kini hanya ada satu pilihan sahaja yang ditawarkan iaitu 1.2 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol dengan kuasa 83 PS (82 hp) dan tork 113 Nm. Bergantung pada varian, ia menawarkan transmisi manual dan automatik lima-kelajuan.

    “Maruti Suzuki Swift telah menjadi hatchback premium terlaris di negara ini sejak 15 tahun yang lalu dengan jualan sebanyak 2.3 juta unit. Walau pun terkesan dengan Covid-19, namun Swift berjaya terjual melebihi 160,700 unit pada tahun lalu, sekaligus menjadi kereta terlaris di sini,” ujar Shashank Srivastava, pengarah eksekutif (pemasaran & jualan) Maruti Suzuki India.

    Maruti Suzuki Swift – kereta terlaris di India pada 2020

    Tambahnya lagi, “Kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pelanggan setia di atas sokongan dan kepercayaan mereka terhadap jenama Suzuki. Saya berasa berkeyakinan bahawa para pelanggan akan terus menyokong Suzuki dan mencipta lebih banyak kejayaan di masa akan datang.” Menurut syarikat terbabit, 53% daripada pelanggan Swift adalah berusia sekitar 35 tahun.

    Maruti Suzuki mempunyai pasaran yang teguh di India, dan menurut laporan RushLane, syarikat terbabit telah menjual sebanyak 1,183,777 unit kereta pada tahun lalu. Manakala jenama kedua yang turut mempunyai prestasi cemerlang adalah Hyundai dengan jualan sebanyak 407, 800 unit, manakala Tata pula di tempat ketiga dengan 145,394 unit.

    Malahan, beberapa model Suzuki yang lain turut menduduki lima kedudukan tertinggi dalam carta jualan di India pada tahun lalu, dengan tempat kedua dimonopoli oleh Alto (154,076 unit), diikuti dengan Baleno (153,986 unit), Wagon R (148,298 unit) dan Dzire (124,969 unit). Dzire merupakan versi sedan bagi Swift, sementara Alto pernah mendahului barisan pada tahun 2019.

     
     
  • Malaysia Speed Festival 2021 — acara, kemaskini

    Malaysia Speed Festival 2021 — acara, kemaskini

    Tahun 2020 akan diingati sebagai satu tahun yang sukar untuk kita semua akibat daripada penularan wabak Covid-19. Bagi Malaysia Speed Festival (MSF), cabaran berkenaan diharingi dengan pembaharuan serta penyesuaian terhadap acara perlumbaan sebenar yang selalu dianjurkan sebelum ini.

    Namun, tambahan acara terbaru yang dinantikan, MSF Touge Hillclimb tidak dapat dijalankan disebabkan masalah permit majlis tempatan di Janda Baik. Begitu juga dengan perkembangan semasa berkaitan SOP sukan sebelum itu yang masih samar-samar, menyebabkan acara berkenaan tidak dapat dianjurkan. Begitu juga dnegan MSF Superbikes yang memasuki tahun ketiganya, yang turut menyaksikan penyertaan daripada Ducati Owners Club Malaysia (DOCM).

    Bagaimanapun, demam perlumbaan tahun lalu dapat dialihkan sebahagiannya ke dalam talian, terutama ketika semua kita berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui siri perlumbaan maya MSF CyberTurismo. Acara ini sempat berlangsung selama lapan bulan, dalam 82 episod dan sempat penyaksikan sebanyak 240 perlumbaan diadakan melalui platform Gran Turismo Sport, yang turut ditayang di saluran Astro Arena HD.

    MSF juga bekerjasama dengan Sepang Circuit (SIC) untuk menjayakan Merdeka Race 2020 bersama Malaysia Championship Series (MCS). Merdeka Race merupakan acara sukan permotoran bersejarah bagi Malaysia, ia mendapat lebih daripada 337,000 tontonan siaran di Facebook, dan lebih daripada 50,000 penonton ketika disiarkan di Astro Arena pada minggu berikutnya.

    Malaysia Speed Festival 2021 — acara, kemaskini

    Untuk tahun 2021, ia awalnya dirancang untuk menjadi tahun perubahan, penyesuaian, dan pengembangan. MSF Racing akan dikembangkan menjadi acara hujung minggu selama dua hari dan akan bekerjasama dengan SIC serta dengan MCS untuk melahirkan festival perlumbaan permotoran peringkat nasional yang lebih besar dan lebih menarik.

    Setiap perlumbaan hujung minggu direncana untuk menampilkan perlumbaan yang berbeza format dan akan mewujudkan cabaran yang berbeza pada setiap pusingan. Merdeka Race pula akan berkembang menjadi karnival sukan permotoran tahunan yang besar dan perlumbaan 1,000km Sepang juga akan menjadi acara kemuncak musim MSF.

    MSF SuperTurismo akan disusun semula, bersama juga dengan MCS, untuk membawa lebih banyak nilai dan mewujudkan struktur pembangunan pemandu lumba kereta salun nasional. MSF Ultimate dan MCS pula tidak akan banyak berubah, tetapi akan ditingkatkan: kategori “Street” tetap akan berlangsung kerana kategori ini adalah pautan kepada pasukan perlumbaan peringkat “Street Tuners”.

    Kategori Ultimate akan digabungkan dengan kategori MCS, secara keseluruhan akan berkembang dan peraturan kategori tersebut juga akan dipadankan dengan peraturan siri perlumbaan yang sama dan relevan dari negara keliling. Kategori “Ultimate Open” akan sentiasa menjadi perlumbaan peringkat tuner utama, menampilkan pengubahsuaian kereta perlumbaan yang paling hebat di negara ini.

    Malaysia Speed Festival 2021 — acara, kemaskini

    MSF SuperBikes pula dirancang untuk muncul ketika Merdeka Race dan acara kemuncak nanti. Aksi pelumba motosikal ini sentiasa dinantikan selepas mereka tidak dapat berentap langsung pada tahun lalu. X Street Mania pula adalah acara baru yang menampilkan MSF SuperMoto dan Drifting yang dijangka akan dijalankan pada tahun 2021, dan tidak lupa juga kepada acara MSF Touge.

    Kedua-dua siri ini sangat dinanti-nantikan dan akan memperluaskan pengaruh serta demam MSF ke kawasan dan lokasi baru di seluruh negara. Secara tidak langsung, ia akan membawa dan mendekatkan lagi MSF kepada peminatnya di merata tempat dan ceruk. Ini apa yang sudah MSF rancangkan untuk dijalankan sepanjang tahun 2021. Dan, untuk menjangkau jumlah penonton yang lebih banyak, MSF juga merancang untuk membawakan siaran langsung semua perlumbaan ini ke media sosial serta sorotan mingguannya ditayangkan di saluran Astro Arena HD.

    Sebaliknya, dengan keadaan semasa yang tidak menentu, agak susah untuk menjanjikan atau memastikan semua perancangan ini dapat dilaksanakan atau tidak. Walaupun kalendar perlumbaan sudah dirancang, tetapi dengan kenaikan kadar jangkitan harian dan PKP 2.0, sebaiknya aktiviti perlumbaan ditunda dahulu dan dimulakan paling awal selepas Hari Raya Aidilfitri. Namun, tiada kepastian untuk semua ini.

    Sehingga keadaan menjadi lebih baik dan beransur-ansur pulih, ada eloknya kita mamatuhi semua SOP yang disarankan oleh kerajaan, dan kekal menjaga keselamatan serta kesihatan kita terlebih dahulu.

     
     
  • Dokumentasi Mitsubishi daftarkan Proton sebagai varian Lancer Evolution kepada FIA didedahkan

    Dokumentasi Mitsubishi daftarkan Proton sebagai varian Lancer Evolution kepada FIA didedahkan

    Rasanya ramai yang tahu, pada era 90’an dan awal tahun 2000 dahulu, Petronas EON Racing Team (PERT) bukan sahaja berlumba dalam Malaysia, malah telah menjelajah keseluruh dunia untuk berlumba dalam disiplin rali untuk membawa nama Proton. Malah pelumba utamanya, Karamjit Singh turut pernah bergelar juara dunia dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori Produksi/Group N (PWRC) pada tahun 2002.

    Dan sudah tidak menjadi rahsia, jentera-jentera perlumbaan pasukan PERT berkenaan bukanlah kereta Proton yang boleh kita beli di bilik pameran Proton, tetapi adalah jentera Mitsubishi Lancer Evolution yang telah diberikan lencana Proton.

    Persoalannya, macam mana jentera-jentera PERT ini boleh menggunakan logo Proton sedangkan syarat-syarat homologasi dari FIA memerlukan kereta-kereta rali yang bertanding dalam kategori Group A dan Group N di kejohanan seliaan mereka seperti WRC dan Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) tersebut perlu dijual di bilik pameran dengan jumlah sekurang-kurangnya 2,500 unit setahun?

    Dokumentasi Mitsubishi daftarkan Proton sebagai varian Lancer Evolution kepada FIA didedahkan

    Bagi Lancer Evolution II dan Evolution III yang pernah digunakan oleh PERT mungkin kita boleh kaitkan dengan Proton Wira, tapi bagaimana pula dengan Lancer Evo V, Evo VI dan Evo VII yang pernah dipandu Karamjit Singh dalam WRC dan APRC?

    Untuk pengetahuan anda, sebenarnya ketika Mitsubishi menghantar proses homologasi kepada FIA untuk Lancer Evolution, mereka turut meletakkan nama Proton, dengan mendakwa ia adalah salah satu varian yang mereka hasilkan untuk pasaran Malaysia.

    Untuk peminat-peminat rali tempatan, perkara ini sudah lama diketahui. Namun untuk menguatkan apa yang didakwa ini, peminat pasukan Proton PERT iaitu Allan Cham Wei Lun (pemilik replika Proton Iswara Group S FWD PERT Karamjit Singh yang kami paparkan sebelum ini) telah memuat naik dokumen-dokumen sebenar yang telah dihantar oleh Mitsubishi kepada FIA untuk tujuan homologasi berkenaan di laman Facebook Apa khabar Proton lama hari ini?.

    Anda boleh lihat dengan jelas dalam dokumen tersebut bagaimana Mitsubishi Lancer Evolution II (kod casis CD9A) dan Evolution III (kod casis CE9A) didaftarkan sebagai model pasaran Malaysia yang diberi nama Proton Wira, dengan logo Proton dilekatkan pada gril hadapan, manakala skrip ‘Proton’ dilekat pada sebelah kiri penutup but belakang, bersama emblem ‘Wira’ pada bahagian sebelah kanan.

    Lancer Evolution IV walau bagaimanapun tidak didaftarkan sebagai Proton, namun proses ini kembali pada Mitsubishi Lancer Evo V (kod casis CP9A). Namun untuk model ini, ia tidak lagi didaftarkan sebagai Proton Wira, sebaliknya diberi nama “Proton PERT” dalam dokumentasi tersebut.

    Untuk Proton PERT yang diasaskan dari Evo V ini, sekali lagi logo Mitsubishi pada gril digantikan dengan logo Wau Bulan Bintang Proton, skrip “Proton” dilekat pada sebelah kiri penutup but, manakala pelekat “PERT” pula dilekat pada sebelah kanan.

    Pada tahun 2001, proses sama dibuat oleh Mitsubishi pada Lancer Evolution VI, di mana ia juga dirujuk sebagai “Proton PERT” untuk pasaran Malaysia. Apa yang menarik, untuk Proton PERT berasaskan Evo VI ini ia bukan sahaja merujuk kepada Lancer Evo VI biasa, malah turut tertakluk kepada model edisi terhad Lancer Evolution VI Tommi Makinen Edition!

    Model terakhir Lancer Evolution yang didaftarkan kepada FIA sebagai Proton PERT adalah Lancer Evolution VII (kod casis CT9A) pada Julai 2002. Model ini turut pernah digunakan oleh Karamjit Singh untuk memenangi satu lagi gelaran juara APRC pada tahun 2004.

    Kenapa Mitsubishi begitu bermurah hati untuk menolong Proton dan EON dalam proses homologasi ini? Pada era berkenaan sukan permotoran adalah salah satu cara yang begitu kuat untuk mempromosikan satu-satu jenama automotif. Edaran Otomobil Nasional (EON) pula bertanggungjawab untuk semua perkara melibatkan permasaran, dan sukan permotoran ini sudah tentu antara cabang penting dalam organisasi mereka.

    Mitsubishi yang mempunyai pegangan yang besar dalam Proton tentu mahukan kereta jenama tersebut dijual dengan laris bagi memastikan mereka juga mendapat pulangan dari pelburan yang dibuat, jadi ini adalah salah satu usaha mereka untuk membantu Proton.

    Malah kerjasama antara Mitsubishi Ralliart dan EON Motorsport ini sebenarnya lebih serius dari ini dan ia telah bermula pada era 80’an. Ketika zaman tersebut, perlumbaan rali di Malaysia turut menampilkan satu kategori khas yang dinamakan sebagai Group S; kategori ini membolehkan kereta-kereta prototaip bertanding kerana ia tidak memerlukan syarat homologasi dari FIA.

    Menurut sumber-sumber yang dipercayai, Proton Saga 4WD dengan enjin turbo yang bertanding di Malaysia pada zaman tersebut bukan sekadar untuk mempromosikan jenama Proton, malah ia sebenarnya asas yang digunakan oleh Mitsubishi Ralliart untuk menguji komponen-komponen prototaip mereka yang akan diproduksi pada masa hadapan.

    Jadi jika anda terdengar cerita-cerita seperti Mitsubishi membuat bantahan terhadap Saga Iswara 4WD Group S Proton PERT sehingga ianya diharamkan oleh FIA, ketahuilah itu hanya khabar angin semata-mata kerana Ralliart dan EON Motorsport sebenarnya adalah entiti dalam satu pasukan!

    GALERI: Dokumentasi Mitsubishi Lancer Evolution II (CD9A) dan Evolution III (CE9A) sebagai Proton Wira

    GALERI: Dokumentasi Mitsubishi Lancer Evolution V, Evolution VI dan VI TME (CP9A) sebagai Proton PERT

    GALERI: Dokumentasi Mitsubishi Lancer Evolution VII (CT9A) sebagai Proton PERT

     
     
  • Yamaha YZF-R25 kini dalam warna Cyan – RM19,998

    Yamaha YZF-R25 kini dalam warna Cyan – RM19,998

    Kali terakhir model YZF-R25 diberikan penampilan baru untuk pasaran Malaysia adalah Februari tahun lalu, dan kini sekali lagi Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) memberikan pilihan warna baru untuk model sports tersebut. Ia kini boleh didapati dalam warna cyan, yang dikeluarkan sebagai pengganti warna perak sebelum ini, sementara warna biru matt juga masih lagi disediakan.

    Selain daripada pilihan warna baru ini, tiada bahagian yang berubah, di mana R25 dikuasakan oleh enjin dua silinder selari, suntikan bahan api 249 cc DOHC penyejukan cecair serta kotak gear enam kelajuan dengan kuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm.

    Bahagian suspensi R25 ini menggunakan fork USD berwarna emas di hadapan, manakala di belakang terdapat monoshock yang ditala untuk ciri sporty. Brek adalah unit cakera dengan angkup dua piston di hadapan dan angkup satu piston di belakang.

    Perincian lain bagi R25 adalah termasuk tangki bahan api 14 liter, panel instrumen LCD digital penuh, lampu penukar gear (shift light), rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, berat 166 kg dan tinggi tempat duduk 780 mm. Model yang dijual di Malaysia ini masih tidak dilengkapi sistem ABS.

    Harga cadangan pengilang masih lagi tidak berubah, iaitu RM19,998 dan setiap pembelian akan diberikan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek yang bernilai RM100 secara percuma.

     
     
  • Teaser BMW i4 ibarat mencucuk Tesla – “setakat laju di jalan lurus sahaja tidak cukup bagus untuk BMW”

    Teaser BMW i4 ibarat mencucuk Tesla – “setakat laju di jalan lurus sahaja tidak cukup bagus untuk BMW”

    Dalam masa beberapa bulan lagi, BMW akan mendedahkan model i4 kepada dunia dan sebelum itu, mereka mengeluarkan beberapa teaser. Dalam siri yang terbaru, beberapa perincian penting bahagian casis didedahkan, sebaik model elektrik empat pintu tersebut siap melalui ujian pemanduan dinamik.

    Antara spesifikasi yang sudah diberitahu sebelum ini adalah i4 akan mampu menghasilkan kuasa 390 kW (530 PS) – lebih banyak berbanding M3 dan M4 Competition baru – sekaligus membenarkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa empat saat. Ia juga boleh memberikan jarak gerak sehingga 600 km, hasil daripada penggunaan teknologi sel baru pada bateri voltan tingginya.

    Meskipun catatan pecutan 0-100 km/j dalam masa empat saat ini boleh diagggap pantas, masih banyak lagi kenderaan elektrik lain yang lebih laju. Selain daripada itu, BMW juga dikenali sebagai pengeluar “Ultimate Driving Machine,” dan nampaknya mereka seperti ‘menembak’ Tesla dengan berkata prestasi pada jalan lurus semata-mata tidak cukup bagi sebuah BMW.

    Teaser BMW i4 ibarat mencucuk Tesla – “setakat laju di jalan lurus sahaja tidak cukup bagus untuk BMW”

    Untuk memadankannya dengan kuasa tersebut, i4 akan dilengkapi dengan penyerap yang ditala khas bagi menahan kenderaan tersebut daripada mendap apabila memecut, serta kawalan cengkaman ARB seperti i3s, 1 Series serta 2 Series Gran Coupe. Bagi membantu lagi kawalan serta kelincahannya, i4 menggunakan jarak roda yang panjang, lebar, rim lebih besar, ketegaran yang lebih kuat, titik graviti rendah, pembahagian berat ideal serta tetapan camber khas.

    Gabungan penggerak serta suspensi ini menurut BMW menghasilkan lekapan atas jalan yang optima serta pemanduan yang lancar walaupun dalam kelajuan yang tinggi. BMW juga mendakwa i4 mempunyai karekter pengemudian sendiri yang neutral, berkuasa serta brek yang tepat.

    Turut diangkat adalah kawalan yang tepat, seterusnya memberikan maklum balas yang baik kepada pemandu, serta lebih stabil hasil penggunaan sistem stereng yang sensitif kepada kelajuan. Badan kenderaan tidak akan terkesan akibat daripada tujahan kuasa dan buat masa ini, ia hanya dikeluarkan dalam versi pacuan roda belakang.

    Gambar yang dikeluarkan oleh BMW ini sebenarnya menunjukkan model prototaip sama seperti sebelum ini, yang menggunakan pelekat samaran, dan mempunyai rekaan asas sama seperti 4 Series Coupe. Selain tetapan empat pintu, bahagian lain yang berbeza adalah pembuka pintu (jenis rata dengan badan), tetapi itu diambil daripada 4 Series Gran Coupe.

    Satu khabar angin yang menarik adalah kewujudan i4 M, yang berkemungkinan menerima motor paling berkuasa. Ia dapat dibezakan melalui penggunakan rim 20 inci yang lebih besar serta lengkuk roda yang lebih lebar. Ia juga menerima brek M Sport yang lebih besar, seperti M440i dan bukannya unit enam piston seperti M4.

     
     
  • Lotus perkenalkan kereta sport baru pertengahan 2021

    Lotus perkenalkan kereta sport baru pertengahan 2021

    Menurut laporan Automotive News Europe, Lotus bakal memperkenalkan model kereta sport baharu pada musim panas ini (pertengahan 2021), yang diharapkan mampu memperluaskan lagi jenama ini ke peringkat global. Dalam temubual bersama penerbitan terbabit, CEO Lotus Phil Popham berkata model akan datang ini bakal memberikan pertumbuhan yang lebih besar kepada syarikat. Tahun lalu, Lotus telah menghantar sejumlah 1,378 unit kereta kepada para pelanggan, iaitu meningkat sebanyak 4.4% berbanding 2019.

    Model yang tidak diketahui lagi namanya dikatakan bakal dijanakan oleh enjin pembakaran dalaman, selain tidak diketahui adakah ia bakal ditampilkan dalam bentuk elektrifikasi. Produksinya dikatakan bakal dilakukan di fasiliti Hethel milik Lotus yang telah dinaiktaraf dengan beberapa versi yang akan ditawarkan, berharga dari 55,000 British pounds (RM305,038) hingga 105,000 pounds (RM582,346).

    Dengan harga tersebut, kereta sport baharu ini mungkin boleh menggantikan barisan model Lotus yang telah lama, termasuk Elise dan Exige, di mana kedua-duanya telah pun berusia lebih dua dekad, begitu juga dengan Evora yang bakal mencecah 12 tahun. Sebelum ini, Popham menggambarkan masa hadapan Lotus dengan menawarkan model permulaan dengan ruang dalaman yang sesuai untuk kegunaan harian.

    Lotus perkenalkan kereta sport baru pertengahan 2021

    Seperti yang disebut, model baharu ini bakal memperluaskan lagi rangkaian jenama ini di lebih banyak pasaran, termasuk Amerika Syarikat, di mana hanya Evora sahaja yang merupakan satu-satunya model Lotus yang ditawarkan di sana buat masa ini. Amerika Syarikat merupakan pasaran kedua terbesar selepas Jerman, dengan United Kingdom di tempat ke-empat dan Jepun pula ke-lima.

    “Kereta ini akan mempunyai penetapan harga yang lebih luas, dan ia juga memberikan peluang kepada kami untuk lebih berkembang di pasaran USA. Dan untuk berjaya di pasaran kereta sport di sana, kami perlu membangunkan model masa akan datang untuk pasaran global,” ujar Popham.

    Lotus diambil alih oleh Zhejiang Geely Holding (ZGH) Group pada 2017, yang turut memfokuskan pengeluaran model elektrik sepenuhnya, dengan Evija sebagai salah satu contoh terbaik. Malah ia juga bakal mengeluarkan SUV (dikenali sebagai Lambda), yang akan dikeluarkan di kilang baharu di Wuhan, China. Baru-baru ini, Lotus telah sah menjalinkan kerjasama dengan Alpine untuk membangunkan kereta sport pacuan elektrik sepenuhnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025