Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MIROS bangunkan ujian sistem AEB untuk protokol penilaian baharu Asean NCAP 2021-2025

    Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mengendalikan ujian pembangunan untuk sistem brek kecemasan sendiri (AEB), sebagai persediaan untuk protokol baharu Asean NCAP bagi tempoh 2021 hingga 2025. Perkara ini telah dimuatnaik menerusi laman Facebook rasmi MIROS.

    Ujian tersebut telah dikendalikan selama dua hari dan ini merupakan ujian pembangunan yang kedua untuk sistem bantuan keselamatan; yang pertama telah dilakukan pada tahun 2018 bagi sistem titik buta untuk keupayaan mengesan penunggang motosikal dalam titik buta bagi sebuah kenderaan yang sedang bergerak.

    Protokol penilaian terkini meliputi empat keutaman, iaitu pelindungan penumpang dewasa (AOP), pelincungan penumpang kanak-kanak (COP), bantuan keselamatan (SA) dan Keselamatan Penunggang Motosikal (MS). Ujian bagi sistem AEB ini adalah di bawah bantuan keselamatan, di mana Asean NCAP akan menilai keberkesanan sistem tersebut seperti dipasang pada kenderaan yang sedang diuji.

    Protokol yang akan datang akan mempunyai skor pemberat 40% untuk AOP, 20% untuk COP, 20% untuk SA dan 20% untuk MS. Keempat, untuk keselamatan motosikal, adalah tambahan terbaru untuk sistem pemberat skor. Pada masa ini, pemberat skor untuk sistem bantuan AOP, COP dan keselamatan masing-masing adalah 50%, 25% dan 25%.

    Protokol baharu ini akan mempunyai skor 40% untuk AOP, 20% bagi COP, 20% untuk SA dan 20% bagi MS. Bagi kategori MS, ia merupakan tambahan terbaharu untuk sistem skor ini. Buat masa ini, skor bagi sistem bantuan AOP, COP dan bantuan keselamatan masing-masing adalah 50%, 25% dan 25%.

    MIROS bangunkan ujian sistem AEB untuk protokol penilaian baharu Asean NCAP 2021-2025

    Protokol akan datang ini akan dilaksanakan pada Januari 2021, di mana Asean NCAP akan menilai sistem AEB untuk dua perkara; AEB City dan AEB Inter-Urban. AEB City akan menilai keberkesanan bagi sistem berdasarkan kenderaan dari arah belakang yang dalam kelajuan dari 10 km/j-60 km/j menuju ke arah kenderaan di hadapan yang tidak bergerak.

    Manakala bagi penilaian AEB Inter-Urban, ujian ini bagi keberkesanan sistem pemanduan dari kenderaan yang bergerak ke hadapan antara 30 km/j dan 60 km/j, menuju ke arah kenderaan di hadapannya yang bergerak dalam halaju yang berterusan.

    “Ini merupakan sebahagian daripada persediaan kami untuk mengendalikan penilaian sebegini bagi protokol baharu 2021-2025. Dalam ujian pembangunan pada tahun 2018, kami menilai keberkesanan teknologi titik buta di dalam kereta kerana kita perlu memastikan teknologi dapat mengesan penunggang motosikal dan seterusnya mengelakkan perlanggaran antara mereka, ”kata ketua pengarah MIROS dan pemangku setiausaha agung Asean NCAP Khairil Anwar Abu Kassim.

    Sambungnya lagi, “Oleh kerana teknologi lain seperti AEB lebih matang, sudah tiba masanya untuk kita melakukan penilaian sebenar bagi sistem berkenaan dan meningkatkan penilaian semasa kita dari hanya poin yang memuaskan kepada ketersediaannya di dalam kenderaan. Dengan syarat keberkesanan pemasangan AEB di bawah protokol Asean NCAP yang baharu ini, kami menjadikan keselamatan sebagai keutamaan, bukan kemewahan.”

     
     
  • VIDEO: Opel Corsa-e Rally diuji – seronok ke tengok rali tanpa bunyi enjin dan letupan dari sistem anti-lag?

    Selain dari keseronokan melihat aksi power slide, melompat dan sebagainya, salah satu elemen yang begitu mengasyikkan ketika menonton perlumbaan rali adalah bunyi enjin. Sekiranya jentera tersebut menggunakan enjin NA, kita akan dapat mendengar pemandu menekan pedal pendikit semahunya dan enjin menjerit dengan RPM tinggi, manakala untuk enjin turbo bunyi ‘tembakan’ dari ekzos yang dihasilkan dari sistem anti-lag begitu mengujakan.

    Namun seperti mana-mana juga disiplin sukan permotoran, kita tidak boleh menafikan bahawa satu masa nanti sudah tentu enjin-enjin pembakaran dalaman pada kereta-kereta rali ini akan digantikan dengan motor elektrik. Tahun ini sepatutnya kategori kereta elektrik dalam kejohanan RallyCross Dunia FIA (World RX) sudah bermula tetapi ditangguh ke tahun hadapan kerana pendemik Covid-19, manakala WRC sendiri akan mula menggunakan sistem hibrid bermula musim 2022.

    Jadi, masih seronok untuk ditonton ke sekiranya sukan rali ini nanti dijalankan dengan kereta elektrik sepenuhnya? Untuk membayangkannya, mungkin anda boleh tonton video ujian kereta rali Opel Corsa-e Rally ini. Jelas, tiada lagi sebarang bunyi mekanikal disebabkan pembakaran terhasil, diganti dengan bunyi nyaring dari motor elektrik seakan bunyi tren KTM Komuter.

    Walau bagaimanapun, Opel Corsa-e tersebut masih menyajikan aksi yang lincah ketika meredah selekoh tajam dalam kelajuan tinggi. Pecutannya juga tidak nampak sebarang perbezaan berbanding kereta rali konvensional.

    VIDEO: Opel Corsa-e Rally diuji – seronok ke tengok rali tanpa bunyi enjin dan letupan dari sistem anti-lag?

    Opel Corsa-e Rally ini didedahkan buat kali pertama pada Frankfurt International Motor Show tahun lalu. Ia masih belum boleh berlumba dalam mana-mana kategori perlumbaan rali yang dianjurkan oleh FIA, namun satu kejohanan rali ‘one-make’ digelar ADAC Opel-E Rally Cup 2020 akan dilangsungkan di Jerman tahun ini, disertai oleh 15-orang pemandu muda.

    Opel Corsa-e Rally ini digerakkan dengan motor elektrik sama seperti Corsa-e produksi jalan raya biasa, menghasilkan 100 kW (136 hp) dan tork maksima 260 Nm. Ia menerima bekalan kuasa dari pek bateri lithium-ion 50 kWj yang boleh dicas cepat yang boleh mencapai 80% penuh dalam masa 30 minit.

    Kereta tersebut juga masih boleh di cas dengan kabel menerusi wallbox atau pengecaj kelajuan tinggi, manakala paras kuasa dalam bateri boleh diperiksa menerusi aplikasi “myOpel”.

    VIDEO: Opel Corsa-e Rally diuji – seronok ke tengok rali tanpa bunyi enjin dan letupan dari sistem anti-lag?

    Menurut Opel, Corsa-e Rally ini akan memberikan pemanduan dinamik dan seronok sama seperti model produksinya, dengan tambahan peralatan rali lain seperti suspensi rali boleh laras, roll cage bersepadu yang ringan, komputer trip rali dari Tripmaster, pelindung bawah badan untuk melindungi motor elektrik dan transmisi, pemadam api elektrik, dan juga sistem amaran keselamatan elektrik bervoltan tinggi yang baru sahaja dihasilkan.

    Kereta rali ini ditimbang dengan berat 1,400 kg, dan ia diukur sedikit lebih besar dari model jalan raya biasa. Ia 5 mm lebih lebar dan tinggi, manakala jarak rodanya ditarik 2 mm lebih panjang. Selain itu, ia turut menerima peralatan perlumbaan lain seperti paparan instrumen perlumbaan dengan sistem data-logger, brek tangan hidraulik jenis “fly-off”, serta brek dengan sistem pengurusan dan pemulihan tenaga.

    Tiada sistem pacuan semua roda pada Corsa-e ini dimana kuasa dari motor elektrik hanya memacu roda hadapan. Namun ia tetap menerima LSD jenis Torsen bagi mendapatkan lebih cengkaman pada kedua-dua roda hadapan. Corsa-E Rally ini juga diberikan set rim 17-inci dengan offset ET20, dan sistem lampu-lampu tambahan untuk SS pada kawasan gelap.

    GALERI: Opel Corsa-e Rally

     
     
  • Nissan Ariya SUV elektrik diperkenal – hingga 388 hp, jarak 610 km, e-4FORCE AWD, 0-100 km/j 5.1 saat

    Nissan Ariya SUV elektrik diperkenal – hingga 388 hp, jarak 610 km, e-4FORCE AWD, 0-100 km/j 5.1 saat

    Nissan bakal mengorak lembaran dalam penawaran teknologi elektrifikasinya melalui pengenalan model Ariya, SUV elektrik sepenuhnya yang pertama jenama itu. Merupakan lanjutan kepada model konsep yang ditunjuk ketika Tokyo Motor Show tahun lalu, ia melambangkan lonjakan besar bagi Nissan dari segi rekaan, teknologi dan prestasi.

    Dibangun menggunakan platform kenderaan elektrik khas serba baru, Ariya menjadi model pertama yang menampilkan identiti kenderaan elektrifikasi jenama berkenaan. Profil reka bentuknya masih dikekalkan mirip unit yang dipamerkan sebelum ini, dengan garis bumbung yang rendah, bonet pendek dan wajah depan yang menawan.

    Gril lama telah digantikan dengan apa yang Nissan panggil shield, dengan logo baru di tengah. Panel ini, yang menampilkan corak kumiko di bawah permukaannya, menempatkan sensor-sensor bagi ciri pemanduan autonomous ProPilot. Melengkapkan bingkai bahagian berkenaan ialah jalur cahaya, yang digabungkan bersama lampu LED untuk memberikan visual V-motion.

    Nissan Ariya SUV elektrik diperkenal – hingga 388 hp, jarak 610 km, e-4FORCE AWD, 0-100 km/j 5.1 saat

    Profil sisi pula didominasi oleh permukaan dan garis yang bersih. Hanya satu garis bahu yang menghubungkan bahagian depan dan belakang. Fender roda belakang juga kelihatan sangat minimal, diikuti lampu belakang dengan kemasan gelap yang melintang penuh serta spoiler yang sporty.

    Lima warna ditawarkan dengan sembilan skim warna dua-tona ditawarkan. Ariya turut ditawarkan dengan pakej Akatsuki, menampilkan iras warna tembaga yang diilhamkan oleh cahaya fajar pagi. Rim aloi 19-inci lima-jejari datang standard, dengan pilihan roda 20-inci bergantung kepada varian.

    Di dalam juga menempatkan sentuhan futuristik yang sama seperti di luar, dengan kabin yang tampak bersih dan ringkas, memperlihatkan ruangnya yang begitu luas. Menurut Nissan, ini yang terbaik dalam kelasnya. Lantai rata dan terbentang pula didakwa dapat menyediakan ruang kaki yang luas dan membolehkan interaksi yang lebih banyak antara penumpang. Tempat duduk Zero Gravity Nissan juga hadir dengan reka bentuk yang nipis.

    Nissan Ariya SUV elektrik diperkenal – hingga 388 hp, jarak 610 km, e-4FORCE AWD, 0-100 km/j 5.1 saat

    Papan pemuka minimalisnya pula disertai pula oleh tobol dan butang konvensional. Konsol perehat lengat di tengah boleh dilaras mengikut kesesuaian dan keselesaan pemandu. Dari rekaan tombol pemilihan gearnya sahaja juga sudah mencadankan suasana dan pemanduan bersahaja yang dimiliki SUV ini.

    Terdapat dua panel apungan dengan paparan 12.3-inci, satu untuk instrumen pemanduan dan satu lagi untuk sistem infotainmen. Antaramuka pengguna juga baru, dengan sistem kawalan suara “hibrid” turut tersedia dengan pengensanan bahasa canggih, yang boleh dimulakan dengan memanggil “Hello Nissan” atau “Hey Nissan”. Selain itu, boleh juga menggunakan Alexa Amazon untuk mengawal muzik, membuat panggilan dan mengawal peranti pintar lain.

    Ariya didatangkan dengan pakej keselamatan ProPilot 2.0, yang membolehkan pemanduan autonomous tanpa input pemandu bagi lorong tunggal di lebuhraya, termasuk membantu untuk penukaran lorong. Sistem berkenaan menggunakan tujuh kamera, sensor gelombang radar lima milimeter dan 12 sensor sonar sebagai deria bagi SUV ini untuk mengesan dan memahami persekitarannya. Ini bersekali dengan sistem tunjuk arah dan data peta 3D definisi tinggi. Di Jepun, Ariya turut ditawarkan dengan ciri ProPilot Park, yang membolehkan pengguna meletak kenderaan dari kawalan jauh menggunakan kunci pintar.

    Ariya akan dijual dengan dua pilihan kapasiti bateri lithium-ion, 63 kWh dan 87 kWh, dengan sistem pacuan belakang ataupun semua roda. Dengan bateri kapasiti lebih kecil itu, varian berkenaan mampu menghasilkan 160 kW (215 hp) dan 300 Nm tork, dengan jarak perjalanan sehingga 450 km berdasarkan kitaran WLTP, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat.

    Motor dilonjakkan sehingga 178 kW (239 hp) dengan bagi versi dengan bateri 87 kWh, tetapi ia sedikit lambat bagi pecutan 0-100 km/j, dengan masa 7.6 saat. Bagaimanapun, jarak perjalanan yang mampu diberikan adalah yang paling jauh, iaitu 610 km. Bagi kedua-dua varian, laju maksimum ialah 160 km/j.

    Varian dengan sistem pacuan semua roda pula menerima lonjakan kuasa yang lebih dengan motor elektrik berkembar yang melengkapinya. Model 63 kWh menghasilkan 250 kW (335 hp) dan 560 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat dengan jarak perjalanan 430 km. Bagi model 87 kWh, yang menghasilkan 290 kW (388 hp) dan 600 Nm dan mampu bergerak hingga jarak 580 km dengan sekali cas. Pecutan 0-100 km/j pula dalam masa 5.1 saat sahaja.

    Nissan memaklumkan, dengan pengecas pantas 130 kW CHAdeMO di Jepun, Ariya boleh memberikan jarak perjalanan 375 km dalam tempoh 30 minit. Bateri berkenaan, yang terletak di bawah lantai untuk menjadikan titik graviti yang lebih rendah, menampilkan rekaan yang nipis untuk menyediakan ruang yang selesa dalam kabin. Suspensi pula ditala untuk memberikan keselesaan dan kestabilan pemanduan.

     
     
  • Ford Bronco Sport 2021 – SUV dengan kebolehan off-road luar biasa, sesuai untuk pelbagai aktiviti outdoor

    Ford Bronco Sport 2021 – SUV dengan kebolehan <em>off-road</em> luar biasa, sesuai untuk pelbagai aktiviti <em>outdoor</em>

    Selain dari model utama yang fokus untuk kegunaan off-road, Ford Bronco generasi keenam yang didedahkan semalam, jenama automotif dari Detroit berkenaan turut memperkenalkan sekali Bronco yang lebih sesuai dijadikan sebagai SUV keluarga, digelar Ford Bronco Sport.

    Model ini walaupun menggunakan nama Bronco dan rekaan seakan sama, ia tidak dihasilkan dengan casis ladder frame yang sama, serta dijana dengan pilihan enjin yang lebih kecil. Walau bagaimanapun, Ford Bronco Sport masih diberikan sistem untuk meredah permukaan lasak yang serius, dibintangi sistem Terrain Management bersama mod pemanduan G.O.A.T (Go Over Any type of Terrain).

    Dakwa Ford lagi, Bronco Sport juga dihasilkan dengan “jarak kelegaan tanah yang tiada tandingan serta sudut approach dan departure yang dihasilkan untuk laluan lasak, meredah air, perlindungan dari halangan dan juga menampilkan teknologi off-road pertama seumpanya dalam berbanding pesaing lain dalam segmen sama.”

    Ford Bronco Sport 2021 – SUV dengan kebolehan <em>off-road</em> luar biasa, sesuai untuk pelbagai aktiviti <em>outdoor</em>

    Sama seperti Bronco, Bronco Sport juga ditawarkan dalam lima varian iaitu model asas, Big Bend, Outer Banks, Badlands dan juga First Edition. Dua varian tertinggi iaitu Badlands dan First Edition dilengkapi dengan gandar pacuan belakang dengan klac berkembar bersama fungsi differential lock.

    Sistem ini membolehkan kedua-dua tayar belakang menerima tork sama seperti yang ditawarkan pada sistem mekanikal locking differential tradisional, memberikan daya cengkaman yang lebih baik bila diperlukan. Kesemua varian hadir dengan lima mod pemanduan untuk G.O.A.T iaitu Normal, Eco, Sport, Slippery dan Sand. Manakala untuk Badlands dan First Edition, ia ditambah dengan dua mod lagi iaitu Mud/Ruts dan Rock Crawl.

    Kerangka Ford Bronco Sport ini menerima sistem suspensi bebas untuk bahagian hadapan dan belakang bagi kesemua varian. Lagi untuk model Badlands dan First Edition, kedua-dua versi ini menerima penyerap hentak yang ditala khas bersama penghenti pantul semula hidraulik yang direka bagi memberikan pemanduan off-road yang lebih senyap.

    Ford Bronco Sport 2021 – SUV dengan kebolehan <em>off-road</em> luar biasa, sesuai untuk pelbagai aktiviti <em>outdoor</em>

    The all-new Bronco Sport small SUV comes standard with SYNC® 3 and an 8-inch touchscreen, which includes compatibility with Apple CarPlay™ and Android Auto™. (Pre-production model pictured.)

    Manakala di belakang, ia diberikan penyerap hentak monotube berdiameter 46 mm (antara yang terbesar dalam kelasnya) bagi memberikan respon lebih baik dan keselesaan dalam pemanduan off-road. Ia digandingkan dengan spring dan bar anti-oleng yang lebih lembut memberikan pergerakan lebih baik untuk meredah halangan.

    SUV ini juga hadir dengan teknologi Trail Control bagi memudahkan lagi pemanduan off-road. Sistem ini berfungsi seakan cruise control yang boleh berfungsi dalam kelajuan sehingga 20 bsj (32 km/j) kehadapan dan 6 bsj (10 km/j) ketika mengundur. Dengan sistem ini, pemandu tidak perlu risau tentang kawalan pendikit dan brek bagi menumpukan sepenuhnya kawalan stereng untuk melepasi halangan.

    Satu lagi kelengkapan untuk off-road pada Bronco Sport ini adalah kamera off-road pada bahagian hadapan yang lengkap dengan pembasuh lensa. Kamera yang ditawarkan secara opsyen ini akan membantu memberikan gambaran lebih jelas situasi di hadapan kereta kepada pemandu, dan visualnya dipaparkan pada skrin infotainmen utama.

    Ia juga menerima empat plat pelindung logam bawah badan dan juga cangkuk tunda hadapan yang disangkutkan pada kerangka badan yang masing-masing mampu menahan beban statik sehingga 100% berat badan kereta tersebut. Model Badlands dan First Edition boleh meredah air dengan kedalaman 60 cm.

    Untuk pilihan enjin pula, model asas, Big Bend dan Outer Banks dijana oleh enjin petrol turbo 1.5 liter EcoBoost berkuasa 181 hp dan tork maksima 258 Nm. Manakala versi Badlands dan First Edition pula dibekalkan dengan enjin petrol turbo 2.0 liter EcoBoost berkuasa 245 hp/373 Nm.

    Kedua-dua pilihan enjin ini digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik. Model Badlands dan First Edition diberikan sekali dengan pedal penukar gear SelectShift serta sistem penyejuk tambahan untuk kotak gear dan gandar pacuan belakang.

    Model Badlands datang standard dengan tayar jenis all-terrain, manakala model First Edition diberikan tayar A/T dengan kemampuan off-road lebih agresif, menampilkan bunga tayar lebih tebal serta ‘tumbuh’ di bahagian sisi dinding tayar bagi memberikan cengkaman lebih baik.

    Selain kemampuannya untuk meredah off-road, Bronco Sport juga direka dengan pelbagai ciri yang sesuai bagi aktiviti di kawasan pendalaman, Antaranya lampu limpah LED, tali Molle untuk membawa lebih peralatan, poket belakang kerusi dengan zip, serta pembuka penutup botol bina dalam pada ruang kargo belakang.

    Menurut Ford, Bronco Sport dengan bumbung “gaya safari” ini membolehkan rel bumbung panjang dipasang untuk membawa barang sepanjang yang mungkin, dan juga memberikan ruang kelegaan kepala terbaik dalam kelasnya. Bahagian kargo pula boleh menempatkan dua basikal MTB dengan roda bersaiz 27.5-inci yang didirikan, jika pemilik memilih rak basikal dari Yakima yang dipasang oleh pengedar rasmi.

    Ford Bronco Sport 2021 – SUV dengan kebolehan <em>off-road</em> luar biasa, sesuai untuk pelbagai aktiviti <em>outdoor</em>

    The all-new Bronco Sport is an available interior bike rack that lets adventurers transport two 27.5-inch bikes inside the vehicle. (Pre-production model pictured.)

    Anda juga tidak perlu gusar untuk membawa masuk basikal yang kotor kerana varian Badlands dan First Edition hadir dengan lantai kabin getah yang mudah untuk dibasuh, suis-suis yang disalut silikon serta balutan tempat duduk yang mudah untuk dibersihkan. Satu bahagian simpanan khas juga diberikan pada bahagian bawah tempat duduk baris kedua bahagian penumpang untuk menyimpang barang basah, berais atau bertanah liat.

    Kelengkapan aktiviti outdoor lain yang turut diberikan pada Bronco Sport ini termasuk cermin pintu tailgate belakang yang boleh dibuka, rak bumbung yang cukup kuat untuk menampung beban termasuk untuk memasang khemah bumbung, bahagian kargo dengan lantai rendah, dan juga ‘benjol’ pada fender hadapan bagi memudahkan pemandu melihat selekoh.

    Ford turut menawarkan banyak lagi ciri opsyen untuk Bronco Sport ini. SUV ini juga sesuai dijadikan pusat untuk perkhemahan dengan meja yang boleh digelangsar untuk dikeluarkan, sebagai salah satu konfigurasi lima-hala dari sistem pengurusan kargo.

    Ford Bronco Sport 2021 – SUV dengan kebolehan <em>off-road</em> luar biasa, sesuai untuk pelbagai aktiviti <em>outdoor</em>

    The all-new Bronco Sport offers an available overlanding-ready roof rack with capacity to make roof-top tent camping easy. (Pre-production model pictured.)

    Ia juga diberikan diberikan unit inverter 400-watt dan lampu limpah pada pintu kargo yang boleh menerangi kawasan sehingga 129 kaki persegi. Ford telah melancarkan lebih dari 100 aksesori aftermarket asli yang disokong oleh pengeluar, dan pembeli turut boleh memilih aksesori tersebut dalam tema pakej aktiviti seperti, berbasikal, salji, air dan perkhemahan.

    Untuk sistem hiburan pula, Bronco Sport hadir dengan sistem infotainmen SYNC 3 yang dilengkapi skrin sesentuh lapan-inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, Ford+Alexa dan radio satelite SiriusXM. Ia juga menerima sistem bantuan pemanduan Ford Co-Pilot 360.

     
     
  • Michelin lancar tayar motosikal prestasi siri Power – empat model, harga antara RM423 hingga RM706

    Michelin Malaysia telah melancarkan empat model tayar prestasi untuk motosikal yang menggunakan nama Power dalam pasaran iaitu Power 5, Power GP, Power Cup 2 dan Power Slick 2. Ia sesuai digunakan untuk mereka yang mencari cengkaman terbaik baik di atas jalan biasa mahupun dalam litar.

    Michelin Power 5 dan Power GP direka lebih kepada penggunaan atas jalan dengan masing-masing mempunyai nisbah 100% jalan biasa dan 50% jalan biasa, 50% litar. Ia dibuat menggunakan campuran bahan silika serta carbon black dan masih boleh digunakan atas jalan basah.

    Bunga bahagian tengah Power 5 dan Power GP kelihatan serupa tetapi pada bahagian tepi, Power GP tidak mempunyai sebarang bunga dan menggunakan bahan slick. Melalui ujian perbandingan yang dilakukan dengan tayar pesaingnya, Power 5 dapat memberikan prestasi paling baik waktu jalan basah manakala Power GP juga mencatat prestasi terbaik untuk kedua-dua jalan basah dan kering.

    Michelin lancar tayar motosikal prestasi siri Power – empat model, harga antara RM423 hingga RM706
    Michelin lancar tayar motosikal prestasi siri Power – empat model, harga antara RM423 hingga RM706

    Power 5 ditawarkan dalam satu saiz untuk tayar hadapan iaitu 120/70 R17 yang berharga RM423 dan lima saiz untuk tayar belakang dari 160/60 R17 hingga 200/55 R17 dengan harga antara RM530 hingga RM659. Power GP juga ditawarkan dalam satu saiz 120/70 R17 untuk tayar hadapan berharga RM439 manakala untuk tayar belakang terdapat tiga saiz antara 180/55 R17 hingga 190/55 R17 dengan harga antara RM549 hingga RM643.

    Dua model lagi yang membawa prestasi ke tahap lebih tinggi adalah Power Cup 2 dan Power Slick 2. Ia dibangunkan lebih kepada penggunaan dalam litar dan perlumbaan, dengan nisbah antara jalan biasa dan litar masing-masing 10%, 90% dan 100%.

    Untuk harga Power Cup 2, tayar hadapan saiz 120/70 R17 dijual pada RM471 manakala untuk tayar belakang yang terdiri daripada tiga saiz antara 180/55 R17 hingga 200/55 R17 dijual pada harga antara RM565 hingga RM659. Tayar hadapan Power Slick 2 bersaiz 120/70 R 17 pula dijual pada harga RM518, manakala untuk tayar belakang, terdapat dua saiz iaitu 190/55 R17 dan 200/55 R17 dengan harga masing-masing RM675 dan RM706.

    Kesemua tayar prestasi siri Power ini berkongsi teknologi sama yang termasuk bentuk binaan ACT+, bahan dual compund serta rekaan bunga yang dihasilkan melalui kiraan komputer. Bahagian tepinya juga mempunyai tanda unik Michelin yang menggunakan tona warna hitam berbeza.

    “Setiap tayar yang baru dilancarkan ini mempunyai karekter prestasi spesifik yang tersendiri melalui penggunaan bahan berteknologi serta rekaannya. Reka bentuk unik, serta keseimbangan pintar antara fleksibiliti dan ketahanan, menawarkan prestasi tinggi sehinggalah pada sudut mengambil selekoh yang paling condong,” kata pengarah komersial Michelin 2-Wheel Asia, Ross Shields.

    GALERI: Michelin Power 5

    GALERI: Michelin Power GP

    GALERI: Michelin Power Cup 2

    GALERI: Michelin Power GP 2

     
     
  • Diskaun 20% bagi pengguna RFID di plaza tol Jambatan Pulau Pinang telah pun bermula

    Diskaun 20% bagi pengguna RFID di plaza tol Jambatan Pulau Pinang telah pun bermula

    Mulai semalam (14 Julai 2020), pengguna kenderaan persendirian yang menggunakan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) untuk membayar tol di Jambatan Pulau Pinang sudah boleh menikmati diskaun sebanyak 20%.

    Ini susulan dengan pengumuman PLUS Malaysia Berhad pada awal Jun lalu, di mana diskaun tersebut diberikan khas kepada mereka yang menetap, bekerja dan belajar di Pulau Pinang.

    Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata walau bagaimana pun, pengguna yang mahu menikmati diskaun berkenaan perlu mendaftarkan diri dengan PLUS di https://jimatdipenang.plusmiles.com.my.

    “Tag RFID yang dipasangkan pada kenderaan adalah lebih selamat dan mengelak dari disalah guna. Ia juga menawarkan kemudahan membuat tambah nilai secara dalam talian dan transaksi yang lebih lancar di plaza tol. Lebih menarik, RFID tidak memerlukan penggunaan bateri yang sering menjadi punca kegagalan transaksi seperti peranti SmartTAG sebelum ini,” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

    Beliau turut berkata, sistem RFID menggunakan tag pengenalan fungsi radio yang dilekatkan pada kenderaan yang mana ia dihubungkan terus dengan eWallet Touch ‘n Go yang membolehkan pelanggan membuat urusan tambah nilai secara dalam talian tanpa perlu mengunjungi kaunter tambah nilai dan membayar secara tunai.

    “Pelekat RFID boleh diperoleh di pusat pemasangan RFID di seluruh Pulau Pinang dengan harga RM35 seunit. Pelanggan lebuhraya boleh merujuk senarai pusat pemasangan RFID yang berdekatan dengan melayari https://mx.touchngo.com.my/fitment-centres,” katanya.

     
     
  • Hanya 2,000 orang sehari dibenarkan rentas sempadan ke S’pura melalui Tambak Johor, Link Kedua – Menteri

    Hanya 2,000 orang sehari dibenarkan rentas sempadan ke S’pura melalui Tambak Johor, Link Kedua – Menteri

    Semalam telah diumumkan, Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk melaksanakan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) bagi tujuan membenarkan kembali perjalanan rentas sempadan antara dua negara. Tarikh pelaksanaan yang disasarkan adalah pada 10 Ogos 2020. Keputusan ini diambil bagi memenuhi keperluan penduduk kedua-dua negara.

    Susulan perkara tersebut, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengeluarkan kenyataan bahawa kemudahan PCA hanya akan dihadkan kepada 2,000 orang sehari melalui Tambak Johor dan Link Kedua bagi tujuan rentas sempadan tersebut.

    Selain itu 400 orang akan dibenarkan menggunakan RGL iaitu untuk tujuan rasmi dan perniagaan penting setiap minggu, ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    Hishammuddin turut berkata, had pengguna kedua-dua kategori kemudahan rentas sempadan ini akan dikaji dan dipertimbangkan untuk penambahan dari semasa ke semasa bergantung kepada jumlah kes Covid-19 dan Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan serta proses keluar masuk hanya akan diumumkan secara terperinci sepuluh hari sebelum tarikh itu.

    “Terdapat dua lagi kategori iaitu membenarkan perjalanan rentas sempadan setiap hari atas tujuan kerja yang dijangka membabitkan seramai kurang 200,000 rakyat kedua-dua negara.

    “Untuk kategori ketiga dan keempat, kerajaan Malaysia dan Singapura masih perlu memperhalusi banyak perkara sebelum ia boleh dilaksanakan. Ini berkait rapat soal keselamatan dan kesihatan memandangkan situasi Covid-19 jelas belum reda,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

     
     
  • Nissan perkenal logo baharu yang lebih ringkas

    Nissan perkenal logo baharu yang lebih ringkas

    Nissan nampaknya bersungguh untuk bangkit semula setelah dilanda pelbagai masalah – selepas menunjukkan teaser model-model baharu untuk masa akan datang Mei lalu, kini mereka tampil pula dengan logo yang baharu yang direka semula.

    Logo baharu ini didedahkan serentak dengan pendedahan crossover elektrik sepenuhnya, Nissan Ariya. Ia menampilkan rupa yang lebih ringkas, diberikan tulisan dan juga gegelang yang lebih kurus – sama dengan pendekatan yang diambil oleh Volkswagen.

    Menurut Nissan, rekaan logo baharu ini melambangkan masa hadapan, dalam masa yang sama masih berbangga dengan warisan sejarah yang kaya serta tradisi innovasi mereka.

    Nissan perkenal logo baharu yang lebih ringkas

    Logo ini sebenarnya telah didedahkan pertama kali di Tokyo Motor Show tahun lalu, ditampilkan pada gril hadapan tiga dimensi model konsep Nissan Ariya. Nissan juga telah dilaporkan memfailkan tanda dagangan logo baharu ini di Britain, Peru, Uruguay, Chile dan Argentina pada Mac lalu.

    CEO baharu Nissan, Makoto Uchida berkata, Ariya akan menjadi model Nissan pertama yang menggunakan identiti baharu jenama mereka tersebut. Logo ini turut akan diberikan pada model-model baharu dan juga model-model kemaskini yang bakal diperkenalkan pada masa hadapan.

     
     
  • Mercedes-Benz C200 AMG Line 2020 dilancarkan di Malaysia – 2.0L Turbo gantikan 1.5L EQ Boost, RM252k

    Mercedes-Benz C200 AMG Line 2020 dilancarkan di Malaysia – 2.0L Turbo gantikan 1.5L EQ Boost, RM252k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan model pemasangan tempatan C 200 AMG Line, yang ditawarkan pada harga RM251,587.38 (termasuk pengecualian cukai jualan). Berita baik mengenai kemunculan model ini di pasaran ialah ia menggunakan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol berbanding 1.5 liter EQ Boost hybrid (yang diperkenalkan pada model facelift C 200).

    Unit penjana kuasa 2.0 liter ini mampu menghasilkan 204 hp pada 5,800 hingga 6,100 rpm dan tork 300 Nm pada 1,600 hingga 4,000 rpm. Di mana ia lebih 20 hp dan 20 Nm berbanding enjin 1.5L EQ Boost, dengan puncak tork lebih pantas berbanding penjana kuasa hibrid pada takat 3,000-4,000 rpm.

    Bagi prestasinya, C 200 AMG Line baharu ini mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam 7.1 saat, berbanding 1.5L EQ Boost pada 7.7 saat. Manakala kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 250 km/j (239 km/j pada model hibrid) dan penggunaan bahan api kombinasi antara 6.3 hingga 5.9 liter per 100 km/j (lebih kurang sama dengan model hibrid). Pacuan disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan.

    Mercedes-Benz C200 AMG Line 2020 dilancarkan di Malaysia – 2.0L Turbo gantikan 1.5L EQ Boost, RM252k

    Bagi kelengkapannya, ia menerima sentuhan AMG Line, termasuk gril radiator berlian dengan pins krom, bampar hadapan dan belakang spesifik-AMG dan roda aloi ringan lima-jejari AMG 18-inci. Selain itu, ia turut diberikan suspensi sport dengan unit Agility Control yang lebih keras seperti model C 200 Avantgarde.

    Untuk bahagian kabinnya, ia menerima skrin LCD 12.3-inci digital sepenuhnya yang menawarkan tiga tema grafik, sementara paparan infotainmen tengah pula berukuran selebar 10.25-inci. Ia turut menampilkan Mercedes me connect yang membolehkan pengguna untuk mengakses beberapa fungsi kenderaan.

    Sebagai varian AMG Line, bahagian dalamannya dihitamkan dengan anthracite headlining dan kemasan kayu oak, bersama roda stereng kulit Nappa dan pad permukaan metalik (hitam berkilat pada model C 200 Avantgarde), pedal penukar gear galvanised, upholstery kulit Artico dan pedal sport AMG.

    Mercedes-Benz C200 AMG Line 2020 dilancarkan di Malaysia – 2.0L Turbo gantikan 1.5L EQ Boost, RM252k

    Untuk aspek keselamatan, ia lebih kurang sama dengan C 200 Avantgarde, dengan menerima bantuan parkir aktif, kamera undur, kawalan kelajuan Speedtronic, bantuan titik buta (beroperasi dari 10 km/j hingga 200 km/j), tujuh beg udara, bantuan brek aktif, dan brek kecemasan sendiri (AEB) secara standard.

    Timbalan Presiden Pemasaran dan Jualan MBM, Michael Jopp berkata, “C-Class telah menjadi salah satu daripada jualan terbaik bagi rangkaian kenderaan kami, dengan terjual lebih 20,000 unit setakat ini, sejak ia diperkenalkan pada 2014. Model pemasangan tempatan juga telah mendapat penerimaan yang menggalakkan daripada para pelanggan kami.”

    Sambungnya lagi, “Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kami terhadap pasaran tempatan, model sedan saiz sederhana premium, C 200 ini telah dipertingkatkan dengan beberapa penambahbaikan termasuklah memiliki enjin yang lebih berdinamik, suspensi sport, sistem infotainmen digital dan Mercedes me connect. Model ini dilihat mampu memenuhi permintaan pelanggan kami.”

     
     
  • Mercedes-AMG GT Black Series C190 padat dengan peningkatan prestasi, kuasa 720 hp dan tork 800 Nm

    Mercedes-AMG GT Black Series C190 padat dengan peningkatan prestasi, kuasa 720 hp dan tork 800 Nm

    Kali terakhir Mercedes-AMG memperkenalkan model yang menggunakan lencana Black Series adalah pada tahun 2012, melalui SLS AMG dan kini ia dibawakan kembali pada model GT Black Series. Tempoh yang lama itu digunakan untuk memastikan pakej pada model ini benar-benar berbaloi sepadan dengan namanya.

    Segalanya berkenaan kereta ini terarah kepada prestasi, bermula dengan enjin V8 twin turbo 4.0 liter di bawah bonetnya. Enjin ini tidak sama dengan enjin M178 varian lain model GT yang menggunakan cross-plane crankshaft, sebaliknya dipertingkat dengan flat-plane crankshaft.

    Hasilnya, enjin tersebut menjadi lebih responsif, sambil memberi kelancaran serta tork yang tinggi pada kadar kitaran enjin yang rendah. Urutan pembakaran baru (1-8-2-7-4-5-3-6) pula memperbaiki kitaran gas dan keluar melalui sistem ekzos baru yang dibuat daripada stainless steel.

    Mercedes-AMG GT Black Series C190 padat dengan peningkatan prestasi, kuasa 720 hp dan tork 800 Nm

    Sistem kitaran minyak dry sump masih digunakan pada model Black Series ini, tetapi jurutera AMG telah mengubah laluan udara ekzos ke bahagian tengah enjin V tersebut. Perubahan lain adalah termasuk camshaft dan manifold ekzos baru, intercooler lebih besar, serta roda compressor pengecas turbo lebih besar yang boleh menggerakkan 1,100 kg udara dalam masa satu jam berbanding 900 kg sejam pada model GT R.

    Enjin yang telah diubah banyak ini sekarang dipanggil oleh Mercedes-AMG sebagai M178 LS2. Ia mampu menghasilkan kuasa 730 PS (720 hp) antara 6,700 hingga 6,900 rpm dan tork 800 Nm dari 2,000 hingga 6,000 rpm, sekaligus membenarkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat, 0-200 km/j di bawah sembilan saat dan laju maksimum 325 km/j.

    Demi memberikan anda gambaran bagaimana besarnya peningkatan pada enjin ini, model GT paling berkuasa sebelum ini, iaitu GT R dan GT R Pro hanya mampu menghasilkan 585 PS (577 hp) dan 700 Nm, dengan prestasi 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat dan laju maksimum 318 km/j.

    Transmisi klac berkembar AMG Speedshift 7G-DCT tujuh kelajuan yang dipadankan bersama enjin baru ini juga dipertingkat dan menggunakan sistem penyejukan lebih baik untuk bertahan dengan jumlah tork yang lebih tinggi. Tiub tork yang sebelum ini menggunakan aluminium diganti dengan gentian karbon (40% lebih ringan dengan berat cuma 13.9 kg) manakala driveshaft di dalamnya juga dibuat daripada gentian karbon.

    Pada bahagian casis, wishbone, steering knuckle dan pemegang hab di depan dan belakang sekarang semuanya dibuat daripada aluminium forged demi mengurangkan berat keseluruhannya. Suspensi boleh laras sama seperti GT R digunakan, tetapi dipasang dengan penyerap adaptif AMG Ride Control yang boleh berubah bergantung kepada mod pemanduan AMG Dynamic Select yang dipilih. Camber dan anti-roll bar juga boleh dilaras.

    Sistem kawalan cengkaman AMG Traction Control disediakan pada kereta ini, dengan terdapat sembilan tahap yang boleh dipilih tetapan Level 9 membenarkan gelinciran maksimum sekiranya pemandu mahu drift. Rim forged 10 cabang serta sistem brek seramik, angkup hitam dan pad serta cakera brek sports diberikan secara standard.

    Mercedes-AMG GT Black Series C190 padat dengan peningkatan prestasi, kuasa 720 hp dan tork 800 Nm

    Untuk ciri aerodinamik, pasukan pereka GT Black Series melihat kepada kereta lumba AMG GT3 sebagai inspirasi, dan terhasillah gril yang lebih besar serta bonet gentian karbon dengan beberapa lubang udara di atasnya. Bahagian bawah bampar juga dipasang dengan splitter yang boleh dilaras secara manual dengan pilihan Street atau Race serta diffuser.

    Pelbagai lagi bahagian luar kenderaan ini diubah suai untuk menguruskan peredaran udara serta meningkatkan ciri aerodinamiknya, manakala bahagian bawah kenderaan pula hampir keseluruhannya ditutup dengan panel khas. Untuk mengurangkan lagi beratnya, cermin yang lebih nipis digunakan, bersama barangan gentian karbon seperti sayap hadapan, bumbung, tailgate serta aerofoil belakang (menyumbang kepada daya tolak ke bawah sehingga 400 kg pada 250 km/j.

    Kelengkapan lain yang diberi adalah tempat duduk AMG Performance, panel instrumen digital 12.3 inci, skrin 10.25 inci untuk infotainmen, roda stereng AMG Performance, pilihan tambahan AMG Track Package yang memberikan besi pelindung titanium, tali pinggang four-point serta pemadam api, balutan kulit Nappa dan Dinamica, serta penarik pintu jenis tali di dalam.

     
     
  • Pemandu mabuk bakal berhadapan penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 – Menteri

    Pemandu mabuk bakal berhadapan penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 – Menteri

    Dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, pagi ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pemandu mabuk bakal berdepan hukuman lebih berat iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 jika pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) diluluskan Dewan Rakyat.

    Menurut beliau lagi, mereka yang disabitkan dengan kesalahan juga boleh digantung lesen memandu sehingga 20 tahun, laporan Berita Harian.

    “Kita sudah mencadangkan kadar penjara maksimum dengan pindaan 15 tahun untuk kesalahan pertama dan 20 tahun bagi kesalahan berikutnya. Kadar denda dicadangkan dinaikkan maksimum RM20,000 sekarang kepada RM100,000 untuk kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda RM150,000.

    “Tempoh penggantungan lesen juga dicadang dinaikkan dari 10 tahun kepada 20 tahun,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau)

    Pemandu mabuk bakal berhadapan penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM150,000 – Menteri

    Awal Jun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias mendedahkan sebanyak 70 kemalangan di seluruh negara membabitkan pemandu mabuk sepanjang tempoh 2018 hingga Mei 2020. Ia meliputi sebanyak 25 kes pada tahun 2018, 23 kes (2019) dan 13 kes bagi lima bulan pertama 2020.

    Pada 30 Mei lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

    Mengikut undang-undang sedia ada, individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

    Manakala bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 dan penjara maksimum 10 tahun.

     
     
  • Toyota GR Supra kini diberi tambahan kuasa 48 PS — dari RM589,987 tanpa SST hingga 31 Disember 2020

    Toyota GR Supra kini diberi tambahan kuasa 48 PS — dari RM589,987 tanpa SST hingga 31 Disember 2020

    Sebagai kemaskini terbaru untuk kereta sport GR Supra, UMW Toyota kini memperkenalkan versi dikemaskini bagi model berkenaan untuk pasaran tempatan. GR Supra 2020 kini diberikan peningkatan; enjin 3.0 liternya kini menerima pertambahan output kuasa.

    Peningkatan berkenaan tertumpu kepada enjin enam-silinder turbocas yang digunakan, dengan kini menghasilkan 285 kW (388 PS) kuasa antara 5,800 dan 6,500 rpm; peningkatan sebanyak 14% dari sebelumnya. Tork maksimum pula kekal pada angka 500 Nm, tetapi dicapai pada julat yang lebih luas antara 1,800 rpm – 5,000 rpm berbanding 1,600 rpm – 4,500 rpm sebelum ini.

    Meningkatkan output kuasa ini tidak hanya melalui talaan semula, tetapi turut melibatkan penambahan manifold ekzos dua cabang utama dengan enam port (berbanding hanya dua), bertujuan memperbaiki pengurusan haba enjin.

    Toyota GR Supra kini diberi tambahan kuasa 48 PS — dari RM589,987 tanpa SST hingga 31 Disember 2020

    Rekaan piston baru juga mengurangkan nisbah mampatan enjin daripada 11:1 kepada 10.2:1. Enjin yang dipertingkat dengan julat tork yang lebih tinggi ini mengekalkan keupayaan rev yang tinggi dengan kelancaran optimum. Dengan transmisi automatik lapan-kelajuan ZF sebagai standard, tempoh pecutan 0-100 km/j kini menjadi 4.1 saat, berbanding 4.3 saat sebelum ini.

    GR Supra terbaru ini turut menerima talaan semula casis dengan pertambahan rod prestasi untuk meningkatkan lagi ketahanannya. Selain penggunaan angkup brek berwarna merah dengan logo Supra di depan, lain-lain spesifikasi teknikal dan ciri-ciri yang ada kekal sama.

    Warna badan Deep Blue Metallic kini tidak lagi ditawarkan, tetapi pelanggan masih boleh memilih dari tujuh warna lain — Prominence Red, Lightning Yellow, White Metallic, Silver Metallic, Ice Grey Metallic, Black Metallic dan Matte Storm Grey Metallic.

    Toyota GR Supra kini diberi tambahan kuasa 48 PS — dari RM589,987 tanpa SST hingga 31 Disember 2020

    Ciri keselamatan standard termasuk sistem-sistem aktif yang bekerjasama untuk membantu pemandu sekiranya perlu. Sebagai tambahan, ada juga ciri seperti sistem pemantau tekanan tayar, sensor parkir pintar dengan fungsi brek kecemasan serta peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang.

    Dijual pada harga bermula RM589,987 (*dengan pengecualian cukai jualan dan tidak termasuk insurans) dan RM611,880 (*tanpa pengecualian cukai jualan dan tidak termasuk insurans), GR Supra terbaru kini boleh ditempah melalui bilik-bilik pameran terpilih Toyota GR Garage di seluruh negara.

     
     
  • Mitsubishi Xpander dijumpai di Malaysia dalam versi facelift terbaharu – bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Mitsubishi Xpander dijumpai di Malaysia dalam versi facelift terbaharu – bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Ini mungkin berita baik untuk mereka yang sudah terlalu lama ‘memendam rasa’ – kelibat Mitsubishi Xpander nampaknya telah dijumpai di Malaysia! Gambar yang anda lihat ini telah berjaya dirakam oleh pembaca, Jamaan Abd Rahman.

    Unit yang dijumpai berkenaan nampaknya adalah model kemaskini terbaharu iaitu Xpander facelift 2020 yang baru sahaja didedahkan di pasaran pertamanya iaitu Indonesia pada Februari lalu. Berbanding model yang diperkenalkan pada 2017, versi facelift ini menerima sedikit perubahan pada gril Dynamic Shield yang digunakan – kini dengan logo Mitsubishi yang lebih besar dan lengkung baru di tengahnya.

    Desas-desus berkenaan pelancaran MPV tujuh tempat-duduk dengan rupa seakan SUV ini sudahpun kedengaran sebelum ini, dijangka bakal masuk ke pasaran Malaysia pada tahun 2018. Namun selepas itu, berita tersebut terus senyap tanpa diketahui mengapa. Dengan munculnya gambar ini, nampaknya cerah semula harapan untuk melihat Xpander bagi dilancarkan pada pasaran tempatan.

    Walau bagaimanapun, masih belum ada lagi sebarang petunjuk berkenaan spesifikasi Xpander sekiranya ia benar-benar masuk ke pasaran Malaysia. Setakat ini pada semua pasaran yang telah menerimanya, Xpander hadir dengan enjin MIVEC 4A91 1.5 liter empat silinder tanpa NA berkuasa 104 PS dan tork maksima 141 Nm.

    Mitsubishi Xpander dijumpai di Malaysia dalam versi facelift terbaharu – bakal dilancarkan tidak lama lagi?

    Enjin tersebut digandingkan sama ada dengan kotak gear lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik konvensional, dan hanya memacu roda hadapan.

    Bagi pasaran Indonesia, Xpander diberikan kelengkapan seperti rim 16-inci dua tona, lampu hadapan LED, skrin sesentuh untuk sistem infotainmen, sistem pendingin hawa manual, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, skrin pelbagai info pada paparan instrumen, upholsteri fabrik dan juga roda stereng dengan butang kawalan audio.

    Indonesia juga menerima model ini dalam versi Xpander Cross, iaitu model dengan pengayaan SUV yang lebih jelas menampilkan kemasan pelindung sekeliling badan dan juga suspensi dengan kelegaan tanah lebih tinggi.

    Xpander bukan satu-satunya model MPV segmen-B yang kelihatan seperti SUV. Jika ia masuk ke pasaran Malaysia kelak, Xpander bakal bersaing dengan dua lagi model sekelas denganya yang telahpun berada dalam pasaran iaitu Honda BR-V dan juga Perodua Aruz.

    Jadi untuk mengetahui perkembangan terbaharu berkenaan Mitsubishi Xpander di Malaysia, jangan lupa untuk sentiasa mengikuti laporan dari kami.

    GALERI: Mitsubishi Xpander facelift 2020 pasaran Indonesia

     
     
  • Sistem MRT Laluan 1 capai objektif – Audit Negara

    Sistem MRT Laluan 1 capai objektif – Audit Negara

    Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 telah mengemukakan penilaian skop pengauditan terhadap pengurusan sistem landasan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 1 yang telah mencapai objektif yang ditetapkan bagi menyampaikan sistem MRT yang efektif, efisien, bersepadu dan selamat kepada pengguna.

    Menerusi kenyataan yang disiarkan oleh Bernama, pengauditan penilaian terhadap pengurusan sistem landasan MRT Laluan 1 adalah untuk tempoh dari 16 Dis 2016 hingga 31 Jan 2019, melibatkan dua bidang utama iaitu prestasi dan pengurusan sistem landasan itu.

    Menurut LKAN, kerajaan telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM21.35 bilion bagi kos pembinaan projek yang meliputi semua pakej kerja termasuk RM4.05 bilion untuk 12 pakej kerja sistem. Malah kemudahan ini memberi peluang kepada orang awam untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dengan mudah dan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pelepasan karbon dengan ketara.

    Sistem MRT Laluan 1 capai objektif – Audit Negara

    Bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan sistem MRT yang kurang cekap dan kurang berkesan seperti kerosakan yang masih belum selesai walaupun tempoh masa kecacatan (DLP) telah tamat selama 182 hari setakat 14 Jan 2020 serta kerosakan berulang, menurut laporan itu.

    Ini termasuklah kejadian kelewatan ketibaan Electric Train (ET) yang berlaku boleh memberi kesan terhadap tahap kepuasan pengguna.

    Justeru, LKAN mengesyorkan enam perkara yang perlu diambil perhatian oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Prasarana untuk mengatasi kelemahan yang dibangkitkan agar perkara sama tidak berulang dalam pengurusan sistem MRT serta pelaksanaan projek MRT Laluan 2.

    Pertama, MRT Corp hendaklah memastikan pembaikan segera diambil oleh Work Package Contractor (WPC) terhadap semua kerosakan yang dilaporkan terutama bagi empat pakej kerja sistem yang dibangkitkan serta menetapkan tempoh pembaikan kerosakan.

    Sistem MRT Laluan 1 capai objektif – Audit Negara

    Kedua, MRT Corp hendaklah menguruskan pembaikan kerosakan dengan cekap dan berkesan agar kerosakan sama tidak berulang.

    Seterusnya, MRT Corp hendaklah membuat kajian terperinci berkaitan isu-isu pembaikan yang memerlukan penyelesaian kekal bagi memastikan isu tidak berulang selepas Sijil Perakuan Siap Membaiki Kecacatan (CMGD) dikeluarkan.

    Keempat, MRT Corp hendaklah memastikan semua masalah berkaitan Sistem Pengurusan Penyenggaraan Berkomputer (CMMS) diselesaikan oleh WPC supaya sistem tersebut dapat digunakan sepenuhnya oleh Rapid Rail bagi pengurusan dan pemantauan kerja penyenggaraan lebih berkesan.

    Selain itu, MRT Corp hendaklah meminda prosedur DLP mengikut pelaksanaan semasa dan mengkaji semula prosedur bagi memastikan kerosakan dapat diselesaikan dengan segera. Terakhir pula ialah Prasarana perlu memastikan pengurusan aduan ditambah baik dengan mewujudkan mekanisme untuk mengukur tempoh penyelesaian aduan bagi meningkatkan pengurusan perkhidmatan.

     
     
  • Perodua Myvi 2020 – ASA 2.0 standard untuk 1.5 AV, 1.5 H, opsyen untuk 1.3X, warna Electric Blue baharu

    Perodua Myvi 2020 – ASA 2.0 standard untuk 1.5 AV, 1.5 H, opsyen untuk 1.3X, warna Electric Blue baharu

    Perodua hari ini mengumumkan bahawa mereka telah mengemaskini model Myvi untuk versi 2020 dengan ciri keselamatan dipertingkat pada varian terpilih serta penawaran satu lagi warna badan baharu. Model yang disegarkan ini juga telah diumumkan boleh ditempah bermula hari ini.

    Bermula sekarang, sistem bantuan pemanduan Advanced Safety Assist (ASA) pada Myvi telah dipertingkatkan dengan sistem ASA 2.0, sama seperti pada Perodua Aruz, Axia facelift dan juga Bezza facelift. Malah sistem ASA 2.0 kini bukan sahaja diberikan pada model tertinggi 1.5 AV, ia juga hadir standard pada varian 1.5 H dan opsyen dengan bayaran tambahan untuk varian 1.3 X.

    Sistem ASA 2.0 ini masih menawarkan pakej sistem yang sama iaitu Pre-collision Warning (PCW), Pre-collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC), tetapi fungsi untuk sistem ini telah dipertingkatkan.

    Antara peningkatan tersebut termasuk penambahan sistem Pengesan Pejalan Kaki yang berfungsi sehingga 50 km/j, manakala kelajuan operasi PCW dan PCB ditingkatkan masing-masing kepada 100 km/j dan 80 km/j. Lebih perincian untuk sistem ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Perodua Myvi 2020 – ASA 2.0 standard untuk 1.5 AV, 1.5 H, opsyen untuk 1.3X, warna Electric Blue baharu

    Selain dari kemasikini sistem ASA, Myvi juga kini ditawarkan dengan warna baharu Electric Blue untuk semua varian, sama seperti yang ditawarkan pada Daihatsu Sirion 2020 pasaran Indonesia yang diperkenalkan pada Mac lalu. Warna Ivory White, Glittering Silver, Lava Red dan Granite Grey juga kini ditawarkan untuk semua varian Myvi, kecuali untuk varian 1.3 G.

    Untuk lain-lain perincian, kelengkapan yang ditawarkan pada Myvi untuk setiap varian masih lagi kekal sama. Perodua Myvi dijual pada bermula RM41,292 untuk varian asas 1.3 G MT (satu-satunya varian yang diberikan transmisi manual), dan RM43,029 untuk 1.3 G AT.

    Manakala untuk varian 1.3 X, ia akan dijual pada harga RM44,959 dan pelanggan perlu menambah bayaran sebanyak RM2k sekiranya mahu ia dilengkapkan dengan sistem ASA 2.0, menjadikan harga keseluruhan RM46,959. Model 1.5 H yang kini sudah standard dengan ASA 2.0 pula dijual pada harga RM50,530, manakala varian tertinggi Myvi 1.5 AV dijual pada harga RM52,697. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan.

    Lebih perincian berkenaan Perodua Myvi 2020 ini termasuk perbezaan setiap varian, anda boleh rujuk di laman Carbase.my.

    GALERI: Perodua Myvi 1.3 X dengan ASA 2.0

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025