Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MAA: Jualan kenderaan April 2020 jatuh hampir 100%

    MAA: Jualan kenderaan April 2020 jatuh hampir 100%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) di dalam laporan jualan kenderaan bagi bulan April 2020 memaklumkan bahawa angka yang dicatatkan memperlihatkan penurunan hampir 100%. Ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan, yang turut menyaksikan aktiviti di bilik pameran kenderaan juga terpaksa diberhentikan.

    Bagaimanapun, sejumlah 141 unit kenderaan tetap direkod sempat didaftarkan sepanjang bulan April berkenaan. Ini adalah penurunan sebanyak 22,337 unit atau 99.37% berbanding sejumlah 22,478 unit yang dicatatkan pada Mac lalu, yang ketika itu juga sudah memperlihatkan penurunan 44% berbanding jumlah keseluruhan Februari 2020.

    Kesan daripada perkembangan itu, jumlah semasa TIV bagi tahun ini ialah 106,601 unit. Ini adalah berkurangan berbanding angka tahun lalu yang dicatatkan dalam tempoh sama iaitu 192,971 unit. Daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang didaftarkan itu, 131 unit daripadanya merupakan kenderaan penumpang manakala 10 unit lagi kenderaan perdagangan.

    Jika ada yang tertanya-tanya mengapa tetap ada pendaftaran kenderaan pada April sedangkan tempoh berkenaan JPJ ditutup operasinya, kami dimaklumkan oleh sumber industri bahawa pendaftaran kenderaan secara online masih berlangsung ketika itu, walaupun kenderaan terbabit tidak dapat diproses sepenuhnya untuk diberikan cukai jalan dan dokumentasi penuh mahupun diserahkan kepada pemilik.

    Menurut sumber yang sama lagi, dalam kes ini, pendaftaran hanya dilakukan bagi kenderaan yang dibeli yang mana pinjaman atau pembiayaannya telah diluluskan oleh sebelum tempoh PKP, serta Letter of Undertaking (LoU) juga telah di keluarkan. Proses pendaftaran pula perlu dilengkapkan supaya tidak berlaku pertindanan dalam perjanjian berkenaan, yang boleh menyebabkan keseluruhan proses itu perlu diulang semula.

    MAA menjangkakan jualan kenderaan bagi Meo 2020 akan lebih tinggi daripada April, tetapi akan kekal di bawah angka biasa yang pernah dicatatkan sebelum ini sebelum tempoh PKP. Kunjungan ke bilik pameran kenderaan akan kekal rendah, manakala bank juga akan lebih ketat untuk memberikan pinjaman menjadi antara faktornya.

     
     
  • Pindaan akta pemandu mabuk akan dimuktamadkan pertengahan bulan hadapan – Dr. Wee Ka Siong

    Pindaan akta pemandu mabuk akan dimuktamadkan pertengahan bulan hadapan – Dr. Wee Ka Siong

    Hari demi hari, semakin ramai yang menjadi korban akibat pemandu mabuk, termasuk yang baharu sahaja terjadi di Kuantan semalam. Justeru, Menteri Pengangkutan Dr. Wee Ka Siong menyatakan bahawa pindaan untuk hukuman lebih berat terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut perlu disegerakan.

    Menulis menerusi laman facebook rasminya, menteri berkenaan menyatakan bahawa pindaan berkenaan mestilah dimuktamadkan pada pertengahan Jun ini.

    “Saya menggunakan kesempatan sempena cuti Hari Raya Aidilfitri dan dalam tempoh PKPB ini untuk berada di Pejabat Menteri Pengangkutan bagi meneliti semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 khususnya berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol / dadah / memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain.

    “Justeru itu, pada 1 Jun 2020, saya akan memanggil satu sesi taklimat di MOT bersama JPJ untuk segera meneliti dan menyemak cadangan pindaan Akta berkaitan. Pindaan Akta ini mestilah dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini dengan mengambilkira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan, sebelum ianya dibentangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” tulis beliau dalam kenyataan berkenaan.

    Berkenaan kajian soal selidik yang dinyatakan olen menteri tersebut, anda digalakkan untuk menyertai soal selidik yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan tersebut menerusi PAUTAN INI.

    Dr. Wee turut menegaskan bahawa selari dengan kenyataannya sebelum ini, beliau akan bertindak dan komited demi pembelaan kepada mangsa korban dalam kemalangan maut dan juga menegakkan keadilan untuk keluarga mangsa.

     
     
  • PKPB: Jumlah penumpang ikut kapasiti kenderaan persendirian mulai 27 Mei; syarat sekeluarga, serumah

    PKPB: Jumlah penumpang ikut kapasiti kenderaan persendirian mulai 27 Mei; syarat sekeluarga, serumah

    Dalam sidang media harian berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mulai esok, 27 Mei 2020, jumlah penumpang dalam kenderaan persendirian dibenarkan mengikut kapasiti tempat duduk di dalam kenderaan berkenaan.

    Walau bagaimana pun, selain daripada ahli keluarga, penumpang mestilah terdiri daripada orang yang tinggal serumah dengan pemandu. Di bawah peraturan baharu ini, jumlah penumpang di dalam sebuah kenderaan akan bergantung pada kapasiti kereta seperti yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

    “Sebuah kereta persendirian dengan kapasiti empat orang, hanya membenarkan seorang pemandu dengan tiga penumpang di dalam kereta yang sama, sementara MPV boleh membawa sehingga tujuh orang,” katanya

    PKPB: Jumlah penumpang ikut kapasiti kenderaan persendirian mulai 27 Mei; syarat sekeluarga, serumah

    Keputusan ini diambil selepas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

    Menurutnya lagi, perkara itu telah diwartakan dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.6)(Pindaan) 2020.

    Semalam, beliau turut memaklumkan, jika ada pemandu yang bawa lebih empat penumpang (bagi kereta berkapasiti lima-tempat duduk), misalnya ada bayi bersama yang menjadikannya lima penumpang dalam satu perjalanan, beliau yakin polis akan menggunakan budi bicara dengan adil.

    Sebelum ini, pada PKP fasa kedua yang bermula 1 April, kerajaan menguatkuasakan pelaksanaan satu orang satu kenderaan manakala kelonggaran kepada dua penumpang dalam satu kereta pula diberikan ketika PKP fasa keempat yang bermula 29 April.

    Dalam PKP Bersyarat pula, kerajaan mengehadkan hanya empat orang dalam keluarga yang sama boleh menaiki kenderaan persendirian.

     
     
  • PKPB: MPV dibenarkan membawa enam penumpang, kereta kekal dengan empat penumpang sahaja

    PKPB: MPV dibenarkan membawa enam penumpang, kereta kekal dengan empat penumpang sahaja

    Kerajaan telah memutuskan untuk bersetuju membenarkan kenderaan persendirian membawa sehingga enam penumpang daripada satu keluarga dan rumah yang sama, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

    Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kebenaran itu tertakluk kepada kapasiti penumpang bagi kenderaan berkenaan seperti kenderaan pelbagai guna (MPV).

    Bagaimanapun, beliau menegaskan kebenaran itu hanya akan berkuat kuasa selepas peraturan sedia yang hanya membenarkan empat penumpang dalam satu kenderaan, dipinda dan diwartakan.

    “Kita bersetuju untuk benarkan jumlah penumpang mengikut kapasiti kenderaan, seperti MPV boleh memuatkan enam penumpang dan itu kita benarkan. Namun, saya tidak pasti sama ada akta dan peraturan sedia ada sudah dipinda dan diwartakan. Jika sudah diwarta, maknanya kenderaan seperti MPV boleh bawa enam penumpang, tapi kereta biasa kekal empat penumpang sahaja.

    “Jika ada yang bawa lebih empat penumpang, misalnya ada bayi bersama yang menjadikannya lima penumpang dalam satu perjalanan, saya yakin polis akan menggunakan budi bicara dengan adil,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    Mulai 4 Mei lalu, kerajaan membenarkan kenderaan persendirian membawa empat penumpang dengan syarat mestilah dari rumah dan keluarga yang sama. Menurut Ismail Sabri, kebenaran itu diberikan berikutan isu jarak sosial tidak timbul dalam kalangan keluarga dan mereka yang tinggal serumah.

     
     
  • Proton Satria Neo R3 dan R3 Lotus Racing – bukti kejuruteraan tempatan bukan calang-calang!

    Proton Satria Neo R3 dan R3 Lotus Racing – bukti kejuruteraan tempatan bukan calang-calang!

    Minggu lalu, kami telah memaparkan dua buah model penuh Proton yang dihasilkan oleh sayap perlumbaan rasmi mereka, Race.Rally Research (R3) iaitu Satria R3 dan Satria Neo Clubsport. Tak lengkap rasanya jika kami tidak mengimbau dua lagi model lagenda yang pastinya akan menjadi rebutan pengumpul kereta pada masa akan datang (sekarang pun nampak dah mula) iaitu Satria Neo R3 Lotus Racing dan juga Satria Neo R3.

    Kita mulakan dahulu dengan model paling mahal pernah dihasilkan oleh R3 iaitu Satria Neo R3 Lotus Racing. Seperti yang kita tahu, sebelum 49.9% pegangan Proton diambil alih oleh Geely pada 2017, jenama kereta sport dari British iaitu Lotus adalah jenama yang bernaung di bawah Proton.

    Jadi bagi meraikan kembalinya semula Lotus ke perlumbaan Formula 1, Proton telah menghasilkan Satria Neo R3 Lotus Racing ini dengan pengeluaran hanya sebanyak 25-unit pada tahun 2010. Bukan sahaja jumlahnya yang begitu terhad, malah dengan pelbagai peralatan prestasi yang bukan calang-calang dipadankan pada model istimewa ini, ia dijual pada harga RM115,000!

    Proton Satria Neo R3 dan R3 Lotus Racing – bukti kejuruteraan tempatan bukan calang-calang!

    Neo Lotus Racing ini masih dijana oleh enjin 1.6 liter sama seperti enjin CPS pada model standard. Namun ia telah menerima sentuhan semula dari R3 dengan pemadanan aci sesondol dan sistem ekzos istimewa bersama header yang diperbuat dari titanium, kotak angin untuk sistem kemasukan diperbuat dari gentian karbon serta talaan kotak komputer yang telah diolah, membolehkan kuasa asal 125 Nm/150 Nm melonjak kepada 145 Nm dan tork maksima 168 Nm.

    Enjin berkenaan masih dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan bagi memacu roda hadapan. Namun kotak gear tersebut tetap menerima sentuhan semula dari R3 dengan nisbah gear yang lebih sesuai. Menurut R3, Neo Lotus ini mampu untuk menjerit hingga 7,500 rpm pada setiap gear membolehkan ia mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 200 km/j.

    Pengendalian yang sudah pun diakui sangat baik pada Satria Neo standard di mantapkan lagi menerusi pemadanan penyerap hentak bersama spring boleh laras sepenuhnya dari jenama perlumbaan terkenal dari Sweden iaitu Öhlins. Kemudian, sistem brek hadapan telah diganti dengan cakera dan angkup empat-silinder yang jauh lebih besar keluaran AP Racing.

    Neo istimewa ini kemudiannya menerima set rim 16-inci pelbagai-jejari khas yang lebih ringan, serta diberikan tayar berprestasi tinggi Bridgestone Potenza Adrenalin RE001 205/45R16 secara standard dari kilang.

    Pada bahagian luaran, Neo Lotus ini turut diberikan perincian yang cukup istimewa. Ia hadir dengan kit badan FRP terdiri dari bampar hadapan yang diberikan liang udara lebih besar, skirt sisi lebih labuh, bampar belakang yang diberikan liang udara serta diffuser agresif dan spoiler bumbung.

    Ia turut disertakan dengan fender hadapan yang diberikan liang udara bersama kemasan dengan logo ‘Lotus Racing’ dan menempat lampu isyarat membelok, manakala penutup bonet hadapan pula diperbuat dari gentian karbon. Dengan segala kelengkapan ini, sebanyak 62 kg berat berjaya dibuang dari asal, menjadikan ia kini hanya seberat 1,150 kg.

    Proton Satria Neo R3 dan R3 Lotus Racing – bukti kejuruteraan tempatan bukan calang-calang!

    Kereta ini diberikan ‘warna perlumbaan kebangsaan’ Britain iaitu British Racing Green serta jalur badan dari belakang hingga hadapan berwarna kuning.

    Pada bahagian dalaman pula, model ini menerima tempat duduk R3 balutan kulit Nappa berwarna hijau dan fabrik seakan gentian karbon yang lebih sporty, bersama sulaman logo Lotus Racing pada perehat kepala. Bahagian lain seperti kemasan pada papan pemuka, panel pintu, perumah tuil gear turut diberikan serlahan warna hijau yang sama.

    Tiada roda stereng Momo diberikan, sebaliknya roda stereng asal Satria Neo yang masih mempunyai beg udara digunakan kembali, tetapi ia dibalut semula dengan kulit bersama penanda tengah dan serlahan jahitan benang berwarna kuning seperti pada tempat duduk. Juga model istimewa ini turut diberikan butang penghidup enjin tetapi ia masih memerlukan kunci seperti Honda Civic Type R FD2R.

    Proton Satria Neo R3 dan R3 Lotus Racing – bukti kejuruteraan tempatan bukan calang-calang!

    Setahun selepas Neo Lotus Edition ini diperkenalkan, Proton melancarkan pula Satria Neo R3, iaitu versi yang lebih mampu milik serta dihasilkan lebih banyak tetapi masih terhad dengan pengeluaran hanya 150-unit sahaja.

    Neo R3 2011 menggunakan konfigurasi enjin yang sama seperti Neo Lotus Racing, dengan bekalan kuasa 145 hp dan tork maksima 168 Nm terus dari kilang dari enjin 1.6 liter CPS berkenaan. Tiada suspensi Öhlins dan brek dari AP Racing pada versi ini, namun ia tetap menerima talaan pengendalian lebih unik dari Neo CPS biasa.

    Pada bahagian luar, Neo R3 ini menggunakan asas rupa Neo CPS dengan bampar hadapan dan belakang yang sama dan juga overfender yang mengingatkan kita semula pada Satria GTi. Sentuhan R3 diberikan menerusi spoiler bawah bampar hadapan, spoiler bumbung belakang yang lebih ‘congek’, dan juga rim 16-inci asli R3 dengan offset lebih ngam dengan fender (rim pada CPS nampak lebih ‘kuncup’ kedalam). Kesemua 150-unit Proton Satria Neo R3 ini hanya hadir dengan warna badan Fire Red.

    Pada bahagian dalaman pula, model ini menerima tema warna yang sama seperti diluar iaitu merah-hitam yang diberikan pada tempat duduk lebih sporty yang diletakkan lebih rendah, papan pemuka, panel pintu dan perumah tuil gear. Roda stereng turut dibalut kulit dengan penanda tengah dan serlahan benang merah, serta diberikan butang penghidup enjin sama seperti Neo Lotus.

    Namun pada tahun 2012, Proton sekali lagi melancarkan satu model yang diberikan nama ‘Satria Neo R3’, tetapi anda jangan keliru, kerana ini sebenarnya hanyalah Neo CPS yang diberikan aksesori kosmetik R3, dijual pada harga yang lebih murah, dan ia juga sebenarnya adalah versi ‘selamat tinggal’ untuk Neo kerana ini adalah kumpulan terakhir Satria Neo yang dihasilkan oleh kilang Proton.

    Proton Satria Neo R3 Lotus Racing 2010

    Proton Satria Neo R3 2011

     
     
  • Harga minyak 23-29 Mei – RON 97 dan RON 95 naik sehingga 7 sen, diesel pula naik sebanyak 6 sen

    Harga minyak 23-29 Mei – RON 97 dan RON 95 naik sehingga 7 sen, diesel pula naik sebanyak 6 sen

    Kementerian Kewangan telah memaklumkan bagi minggu bertarikh 23 hingga 29 Mei 2020, kesemua bahan api utama di negara ini sekali lagi dilaporkan mengalami kenaikan harga.

    Bagi petrol RON 97, harganya naik sebanyak 7 sen seliter iaitu daripada RM1.61 kepada RM1.68 seliter. Begitu juga dengan harga runcit bagi RON 95 yang turut mengalami kenaikan sebanyak 7 sen, kini menjadi RM1.38 seliter, berbanding RM1.31 seliter pada minggu sebelumnya.

    Untuk diesel pula, harganya naik 6 sen, kini menjadi RM1.51 seliter bagi Euro 2M, dan RM1.61 untuk Euro 5. Kesemua harga baharu ini efektif mulai 12 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 29 Mei 2020.

    Menurut kementerian terbabit, kenaikan ini adalah disebabkan oleh peningkatan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan harga minyak mentah dunia.

    Walau bagaimana pun, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • PKPB: Melaka catat cubaan rentas negeri tertinggi, diikuti Perak dan Pulau Pinang – Ismail Sabri

    PKPB: Melaka catat cubaan rentas negeri tertinggi, diikuti Perak dan Pulau Pinang – Ismail Sabri

    Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan Melaka mencatatkan cubaan pergerakan rentas negeri tertinggi dengan 886 kes, diikuti Perak dengan 362 kes, dan Pulau Pinang (284).

    “Setiap hari saya ulangi jangan buat rentas negeri dan semalam mungkin bila saya umum tiada lagi kebenaran lagi rentas negeri, mungkin ramai yang ingin mengambil kesempatan rentas negeri.

    “Mungkin mereka takut hari ini ada sekatan jalan raya dan sebagainya, dan sebab itu ramai yang cuba merentas negeri,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau turut menambah sebanyak 2,539 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung, telah diarahkan berpatah balik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    PKPB: Melaka catat cubaan rentas negeri tertinggi, diikuti Perak dan Pulau Pinang – Ismail Sabri

    Bagi rentas daerah yang bertujuan mengunjungi sanak saudara sempena Aidilfitri, Ismail Sabri berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan membenarkan pergerakan itu, namun orang ramai tidak digalakkan melakukannya bagi menjaga keselamatan serta kesihatan bersama.

    Beliau menjelaskan saranan tidak mengalakkan pergerakan rentas daerah pada hari raya seperti diambil oleh negeri Johor, adalah selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

    “Tidak digalakkan bukan menyekat. Kalau kita dengar, setiap hari Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan, walaupun dibenarkan rentas daerah tetapi masyarakat tidak digalakkan bagi keselamatan bersama,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, larangan pergerakan rentas negeri yang diumumkan kerajaan semalam juga terpakai untuk suami isteri yang tinggal berjauhan, yang sebelum ini diberikan kebenaran rentas negeri seminggu sekali.

    “Tiada lagi. Sesiapa sahaja tertakluk kepada peraturan yang saya umumkan semalam,” katanya.

     
     
  • Triumph Scrambler 1200 Bond Edition – hanya 250 unit

    Triumph Scrambler 1200 Bond Edition  – hanya 250 unit

    Dua jenama British terkenal iaitu motosikal Triumph dan filem James Bond telah bekerjasama untuk menghasilkan sebuah model istimewa Triumph Scrambler 1200 Bond Edition. Ia hanya akan dikeluarkan dalam jumlah terhad 250 unit untuk seluruh dunia.

    Menggunakan asas daripada model Scrambler 1200 XE, model istimewa ini walaubagaimanapun hampir kesemua bahagiannya dicat warna hitam, dengan cuma bahagian tangkinya sahaja yang dihias dengan logo Triumph yang besar serta cat perak yang mempunyai jalur pinstripe warna emas.

    Bahagian-bahagian lain yang biasanya dibiarkan dengan warna besi asal turut disalut dengan cat hitam termasuk lengan ayun, fork, penghadang lumpur hadapan, pelindung lampu kabus, penghadang bawah enjin, pelindung ekzos serta pelindung tangan.

    Sebagai sebuah model keluaran istimewa, Scrambler 1200 Bond Edition dipasang dengan beberapa kemasan khas untuknya iaitu cetakan nombor keluaran pada bahagian tengah pemegang, tempat duduk kulit yang dijahit dengan tulisan Bond Edition, logo James Bond yang terpapar pada panel instrumen TFT-LCD apabila motosikal dihidupkan serta pelindung ekzos yang tercetak 007.

    Melihat kepada rekod sebelum ini, mungkin ada model edisi terhad ini yang akan tiba di Malaysia tetapi harganya masih tidak diketahui. Bagi Scrambler 1200 yang dijual sekarang, harganya adalah RM86,900 untuk versi XE dan RM80,900 untuk versi XC. Ia dikuasakan oleh enjin 1,200 cc yang mampu mengeluarkan kuasa maksimum 89 hp dan tork 110 Nm.

     
     
  • PKPB: Polis Kedah kongsi talian hotline untuk orang awam buat aduan individu yang ingkar rentas negeri

    Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah telah berkongsi senarai talian hotline Bilik Gerakan COVID-19 negeri terbabit menerusi laman Facebook rasminya. Menerusi talian hotline tersebut, orang awam boleh menyalurkan aduan atau sebarang maklumat mengenai kesalahan rentas negeri terutamanya jika menyedari terdapat individu yang ingkar dengan larangan terbabit.

    Hasil screenshot yang turut dikongsikan oleh IPK Kedah, terdapat pertanyaan daripada orang awam yang mengetahui maklumat ada individu yang bakal pulang berhari raya di kampung halaman yang melibatkan pergerakan rentas negeri. Walau pun ada netizen yang berkata, aduan terhadap individu yang lolos rentas negeri ini seperti bersifat dengki atau busy body, namun admin FB Polis Kedah menjelaskan ia lebih kepada tanggungjawab terhadap keselamatan dan kesihatan sejagat bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

    Justeru, IPK Kedah mengalu-alukan sebarang aduan atau pun maklumat berkaitan untuk disalurkan terus ke talian hotline yang disediakan. Buat masa ini, hanya IPK Kedah yang berkongsikan senarai talian hotline untuk membolehkan orang awam membuat aduan berkenaan.

    PKPB: Polis Kedah kongsi talian hotline untuk orang awam buat aduan  individu yang ingkar rentas negeri

    Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini.

    Menurutnya, walaupun ramai yang menganggap tidak mungkin pihak polis dan tentera akan mengawal setiap rumah, kedua-dua pihak berkuasa berkenaan sebenarnya akan membuat semakan di sesebuah kediaman jika didapati terdapat jumlah kenderaan yang banyak di luar rumah tersebut.

    Malah Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk mengesan kereta-kereta yang merentas negeri tanpa kebenaran ini kerana setiap kereta yang telah diberikan permit pergerakan mempunyai rekod dengan polis.

    Semalam, Ismail Sabri turut mengumumkan tiada lagi kebenaran untuk perjalanan rentas negeri dan orang ramai tidak perlu ke balai polis untuk memohon. “Mereka yang balik kampung lebih awal sebelum sekatan jalan raya menggunakan jalan tikus akan dikenakan tindakan sebaik balik ke kediaman selepas Aidilfitri”, katanya.

    Susulan daripada itu, Abdul Hamid telah mengeluarkan arahan kepada pasukannya supaya menahan dan mengenakan kompaun terhadap individu ingkar larangan rentas negeri.

    Selain polis Kedah, IPK Melaka juga akan mengambil tindakan terhadap pemilik rumah yang menerima tetamu melebihi had dibenarkan. Seramai 94 Petugas Pemantau akan melakukan rondaaan berterusan di taman perumahan dan kampung di negeri itu untuk memastikan pemilik rumah tidak melanggar arahan.

    Manakala di Kelantan pula, semua individu yang melakukan perjalanan rentas negeri masuk ke negeri itu perlu menjalani ujian COVID-19 berkuatkuasa semalam 21 Mei. Di mana kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan akan berada di sekatan jalan raya di sempadan negeri dan lapangan terbang untuk melakukan ujian saringan.

    Kerajaan negeri membuat keputusan itu susulan seorang wanita hamil dari Ampang disahkan positif COVID-19 ketika melakukan pemeriksaan kandungan di klinik ibu dan anak di kampungnya di Kuala Krai.

     
     
  • PANDU UJI: Mercedes-Benz A 250, A 200 sedan dan AMG A 35 — sama tapi tak serupa, mana lebih sesuai?

    PANDU UJI: Mercedes-Benz A 250, A 200 sedan dan AMG A 35 — sama tapi tak serupa, mana lebih sesuai?

    Perbualan di meja kedai mamak atau dalam sembang-sembang santai kadang kala saya gunakan untuk mengesan kecenderungan orang dalam banyak hal. Dalam istilah orang-orang yang kononnya sedikit kompleks, perkara ini disebut sebagai “sentimen-sentimen” semasa, yang mungkin sedang bergerak dan menangkap perhatian masyarakat umum.

    Spektrum perbualan pula tentulah melibatkan segala macam hal. Tetapi, tidak ketinggalan sebenarnya ia diselit untuk mengesan selera atau imaginasi orang terhadap model-model kenderaan. Biasanya, hal ini di pacu dari dua sisi; berita pengenalan model-model terbaru (ini yang paling kerap), atau kebetulan ada kenalan yang mungkin sedang mencari-cari punca kereta apa yang patut dibeli, atau ingin dicadangkan kepada orang lain.

    Seingat saya, dalam kelompok mereka yang sedikit muda – katakan sekitar usia 35 tahun dan profesional – nama Mercedes-Benz antara yang selalu meniti di bibir mereka ketika membincangkan kereta-kereta yang berada di dalam segmen premium. Selain BMW, Volvo dengan penawarannya yang terkini, terutama dalam pakej kenderaan yang lebih kompak seperti XC40 juga banyak kali muncul.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • ERL atur semula jadual perkhidmatan mulai 23 Mei ini

    ERL atur semula jadual perkhidmatan mulai 23 Mei ini

    Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan mengatur semula jadual perkhidmatan kereta api mulai Sabtu ini, 23 Mei 2020, untuk baki tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Langkah ini diambil untuk memenuhi keperluan semasa para penumpang.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh ERL, KLIA Ekspres dan KLIA Transit kini beroperasi sebagai perkhidmatan gabungan mulai 6 pagi hingga 11.10 malam setiap hari. Di mana kekerapan tren setiap 30 minit semasa waktu puncak pada hari biasa dan setiap 60 minit di luar waktu puncak, hujung minggu dan cuti umum.

    Walau bagaimana pun, ERL turut memaklumkan tiada perkhidmatan tren sebelum jam 6 pagi dan selepas tren akhir berlepas pada jam 11.10 malam.

    ERL atur semula jadual perkhidmatan mulai 23 Mei ini

    ERL turut menambah, masa perjalanan antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah 35 minit, KLIA2 (39 minit) dan di KL Sentral, semua pelepasan dan ketibaan akan melalui stesen Transit KLIA.

    “Jadual perjalanan akan dikaji semula secara berkala dan disesuaikan jika perlu agar memenuhi bilangan penumpang yang semakin meningkat. Jadual baharu ini juga akan diterbitkan sebelum dilaksanakan setelah berunding dan mendapat kelulusan pihak berkaitan,” ujar kenyataan terbabit.

    Sebelum ini, ERL telah menggantung semua operasikan sejak 4 April lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Walau bagaimana pun, sebulan kemudian, ERL menyambung semula perkhidmatannya mulai 4 Mei 2020 dengan waktu perjalanan operasi tren yang terhad.

     
     
  • PKPB: Tiada larangan kenderaan barangan di jalan raya sepanjang Aidilfitri – Kem. Pengangkutan

    PKPB: Tiada larangan kenderaan barangan di jalan raya sepanjang Aidilfitri – Kem. Pengangkutan

    Seperti kebiasaannya sebelum ini, ketika menjelang Hari Raya Aidilfitri, Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan perintah larangan kepada kenderaan barangan agar tidak berada di jalan raya bagi beberapa hari yang ditetapkan. Larangan tersebut bertujuan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya bagi memastikan kesesakan trafik dapat dikurangkan dengan meminimumkan keberadaan kenderaan barangan di jalan raya.

    Walau bagaimana pun, memandangkan negara sedang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Kementerian Pengangkutan telah memutuskan tidak akan melaksanakan perintah larangan tersebut kepada kenderaan barangan sepanjang tempoh perayaan ini kerana telah mengambil kira peraturan sedia ada dalam tempoh PKPB. Ini termasuklah merangkumi semua faktor termasuk keselamatan dan ekonomi.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian terbabit, pergerakan kenderaan barangan di dalam tempoh PKPB ini perlulah mengikut peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan dari semasa ke semasa oleh pihak kerajaan.

     
     
  • PKPB: Lelaki di tahan di rumah selepas curi-curi rentas negeri, bagi alasan ziarah bapa hidap diabetis

    PKPB: Lelaki di tahan di rumah selepas curi-curi rentas negeri, bagi alasan ziarah bapa hidap diabetis

    Setelah berjaya merentas negeri dari Melaka dan pulang ke kampung halamannya di Kedah tanpa sebarang kebenaran oleh pihak polis dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), seorang lelaki berumur 37-tahun telah di tahan di sebuah rumah di Kampung Bahagia, Kota Sarang Semut dekat Yan selepas anggota yang menjalankan tugas Ops COVID-19 diarahkan ke lokasi tersebut, lapor Bernama.

    Menurut Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar, lelaki yang memberikan alasan mahu menziarahi bapanya yang menghidap penyakit kencing manis di kampung ditahan pada pukul 10.30 malam Rabu lalu, kemudian di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Yan untuk tindakan lanjut. Dia kemudiannya mengakui tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran bertulis untuk melakukan rentas sempadan negeri berkenaan.

    “Hasil siasatan mendapati lelaki yang berumur 37 tahun itu telah pulang ke kampung, kononnya untuk melawat bapanya yang menghidap penyakit kencing manis, sejak empat hari lepas dari alamat semasa tempat dia bekerja iaitu di Melaka.

    “Lelaki berkenaan juga gagal untuk menunjukkan sebarang dokumen atau surat sokongan bertulis yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa serta alasan munasabah untuk merentas sempadan negeri,” kata DSP Shahnaz.

    PKPB: Lelaki di tahan di rumah selepas curi-curi rentas negeri, bagi alasan ziarah bapa hidap diabetis

    “Lelaki berkenaan telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dan perlu dibayar dalam tempoh dua minggu. Kes disiasat mengikut Peraturan 6(3) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” jelas beliau lagi.

    Tindakan yang di ambil oleh Polis Daerah Yan ini adalah selaras dengan apa yang disebut oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador tempoh hari bahawa pihaknya akan memburu mana-mana individu yang didapati berjaya lolos larangan rentas negeri termasuk pada sambutan Hari Raya tahun ini.

    Beliau menjelaskan bahawa pihakya tidak mempunyai masalah untuk mengesan kereta-kereta yang merentas negeri tanpa kebenaran ini kerana setiap kereta yang telah diberikan permit pergerakan mempunyai rekod dengan polis. “Polis memiliki rekod butiran individu serta kenderaan mereka yang diberikan permit atau kebenaran untuk melakukan pergerakan antara negeri,” tegasnya.

    Selepas Perdana Menteri mengumumkan PKPB bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur. Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam. Namun pergerakan untuk merentas negeri masih lagi belum diberikan.

     
     
  • Nissan Kicks 1.3L Turbo 156 PS/254 Nm muncul di India, guna enjin sama dengan Mercedes-Benz A200

    Nissan Kicks 1.3L Turbo 156 PS/254 Nm muncul di India, guna enjin sama dengan Mercedes-Benz A200

    Thailand baru sahaja menerima Nissan Kicks facelift 2020 minggu ini, dan pasaran berkenaan diberikan versi hibrid petrol elektrik yang diberikan sistem range extender e-Power. Namun di India, pelanggan untuk pasaran berkenaan akan menerima Nissan Kicks yang betul-betul ‘kick’, dijana oleh enjin turbo buat pertama kali.

    Untuk lebih spesifik, Kicks berkenaan diberikan enjin HR13DDT 1.33 liter empat silinder dengan sistem suntikan bahan api terus dan pengecas turbo tunggal, yang mampu menghasilkan 156 PS dan tork maksima 254 Nm. Macam pernah dengar? Ya, ini enjin yang sama (tetapi dengan talaan kuasa lebih rendah) boleh anda temui dalam perut Mercedes-Benz A 200 W177!

    Tidak seperti A 200 yang menerima kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan, enjin pada Kicks ini digandingkan dengan pilihan kotak gear Xtronic CVT Nissan bersama lapan-kelajuan maya atau manual enam-kelajuan.

    Nissan Kicks 1.3L Turbo 156 PS/254 Nm muncul di India, guna enjin sama dengan Mercedes-Benz A200

    Selain versi turbo ini, pilihan enjin 1.5 liter NA HR15DE berkuasa 106 PS/142 Nm masih ditawarkan pada model varian asas. Tetapi penawaran model dengan enjin diesel terpaksa dihentikan kerana ia tidak lagi sesuai dengan standard emisi di India yang semakin ketat.

    Walau bagaimanapun untuk pengetahuan anda, Nissan Kicks pasaran India ini sebenarnya tidak diasaskan dari platform V Nissan seperti Kicks untuk pasaran global termasuk Thailand dan juga model yang akan di terima di Malaysia sedikit masa lagi.

    Sebaliknya Kicks di India dihasilkan dari platform B0 untuk model-model bajet Pakatan Renault-Nissan seperti Dacia Duster dan juga Renault Captur pasaran India dan Rusia. Jadi walaupun anda lihat rupanya hampir sama, ia sebenarnya adalah dua model berbeza dan tidak akan menerima perubahan muka dengan gril signatur V-motion baharu Nissan.

    Nissan Kicks 1.3L Turbo 156 PS/254 Nm muncul di India, guna enjin sama dengan Mercedes-Benz A200

    Selain dari penawaran enjin baharu ini, Nissan Kicks pasaran India kini turut diberikan ciri-ciri baharu seperti lampu hadapan dan pengelap cermin automatik, lampu kabus dengan fungsi membelok, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, fungsi start/stop automatik, dan juga sistem infotainmen yang dilengkapi skrin lapan-inci serta fungsi arahan suara.

    Ia turut hadir dengan fungsi-fungsi terhubung NissanConnect termasuk sistem paparan status kenderaan, penjejak penyelenggaraan dan juga hubungan kepada jam tangan pintar. Nissan Kicks 2020 pasaran India ini dijual pada harga bermula 949,990 rupee (RM54,700) untuk model asas 1.5 XV manual sehingga 1,414,990 rupee (RM81,400) untuk model tertinggi 1.3 Turbo XV Premium CVT.

     
     
  • PKPB Raya: Tuan rumah terima tetamu curi-curi rentas negeri turut akan di heret ke balai – polis Melaka

    PKPB Raya: Tuan rumah terima tetamu curi-curi rentas negeri turut akan di heret ke balai – polis Melaka

    Ini amaran Polis Melaka untuk penduduk di negeri tersebut – mana-mana tuan rumah yang menerima tetamu yang pulang beraya ke negeri berkenaan tanpa kebenaran pihak polis dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mereka turut akan di bawa ke balai polis untuk di dakwa.

    Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim dalam laporan Astro Awani, seramai 94 petugas pemantau akan dikerahkan di ketiga-tiga daerah di negeri itu bagi membuat pemeriksaan mengejut terhadap kediaman yang mempunyai jumlah kenderaan diparkir yang meragukan.

    Menurutnya lagi, individu yang berusaha menipu pihak berkuasa untuk pulang ke kampung dengan memaklumkan mereka hanya merentas daerah juga akan menghadapi kesulitan jika cuba untuk melakukan perkara tersebut.

    Mat Kasim menjelaskan, perkara ini tidak mustahil akan banyak berlaku kerana Melaka merupakan sebuah negeri yang kecil dan kebanyakan pengguna jalan raya cenderung memilih laluan persekutuan berbanding lebuh raya dengan mengambil kira faktor jarak antara daerah yang dekat.

    PKPB Raya: Tuan rumah terima tetamu curi-curi rentas negeri turut akan di heret ke balai – polis Melaka

    “Jadi kita tahu negeri Melaka ini kecil dan laluannya pun agak mudah, tetapi bagaimanapun, di pintu-pintu masuk dan pintu keluar, contoh di tol Simpang Ampat ini, dua-dua belah kita akan jaga.

    “Kita akan pastikan mereka ini mematuhi dan mempunyai permit yang sebenarnya. Janganlah cuba-cuba hendak melintasinya tanpa sebarang alasan yang kukuh.

    “Sayang duit untuk bayar RM1,000, lebih baik digunakan untuk hari raya,” tegasnya.

    Beliau menjelaskan, ketika ini lapan sekatan jalan raya yang melibatkan 505 pegawai dan anggota dilaksanakan di Melaka termasuk di laluan-laluan pesisir pantai. Ia bagi mengekang cubaan penyeludupan keluar dan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan laluan laut.

    Sebentar tadi, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan kini tidak kira apa alasan kecuali yang benar-benar kecemasan, semua pergerakan untuk merentas negeri sudah tidak dibenarkan sama sekali.

    PKPB Raya: Tuan rumah terima tetamu curi-curi rentas negeri turut akan di heret ke balai – polis Melaka

    Ini berikutan terlalu ramai yang sewenang-wenangnya pergi ke balai-balai polis untuk ‘mencuba nasib’ bagi mendapatkan kebenaran rentas negeri semata-mata mahu pulang ke kampung untuk berhari-raya. Malah jumlah mereka yang cuba curi-curi rentas negeri untuk tujuan tersebut juga dilihat tinggi setiap hari.

    Menurut menteri berkenaan, semalam sahaja sebanyak 2,412 kenderaan cuba merentas negeri dan dinasihatkan polis berpatah balik. Beliau turut menegaskan, selepas ini kenderaan yang cuba merentas negeri bukan hanya akan diarah berpatah balik tetapi juga turut dikenakan kompaun di sekatan jalan raya berkenaan.

    Bagi mereka yang telah ‘berjaya’ menipu, lolos sekatan-sekatan jalan atau apa cara sekalipun untuk melakukan pergerakan rentas negeri ini juga jangan terlalu gembira terlebih dahulu. Ini kerana pihak polis dan askar akan melakukan rondaan dari rumah ke rumah untuk memantau kepatuhan rakyat mematuhi SOP cegah Covid-19 ketika beraya serta mengesan mereka-mereka yang telah merentas negeri tanpa kebenaran.

    PKPB Raya: Tuan rumah terima tetamu curi-curi rentas negeri turut akan di heret ke balai – polis Melaka

    Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador tempoh hari, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk mengesan kereta-kereta yang merentas negeri tanpa kebenaran ini kerana setiap kereta yang telah diberikan permit pergerakan mempunyai rekod dengan polis.

    “Polis memiliki rekod butiran individu serta kenderaan mereka yang diberikan permit atau kebenaran untuk melakukan pergerakan antara negeri,” tegasnya.

    Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin pula, pasukannya bersama tentera akan memeriksa nombor pendaftaran kenderaan, terutamanya jika ada banyak yang diparkir di luar rumah atau dalam kawasan perumahan.

    PKPB Raya: Tuan rumah terima tetamu curi-curi rentas negeri turut akan di heret ke balai – polis Melaka

    “Kami akan memeriksa semula nombor pendaftaran dengan senarai kami dan melihat sama ada kenderaan dan pemiliknya dibenarkan untuk perjalanan antara negeri atau tidak. Sekiranya kami mengetahui ada pihak melanggar perintah larangan perjalanan rentas negeri, kami akan menahan pemilik kenderaan,” jelasnya.

    Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg Datuk Dr Noor Hisham Abdullah juga gusar dengan tindakan degil sebahagian rakyat Malaysia ini kerana sebanyak 18 kluster daripada jumlah keseluruhan 49 kluster yang pernah dicatatkan dalam negara adalah berkaitan dengan aktiviti merentas negeri, dan 10 daripada kluster-kluster tersebut adalah masih aktif.

    Selepas Perdana Menteri mengumumkan PKPB bermula 4 Mei lalu, kerajaan telah memberi kelonggaran bergerak secara beransur-ansur. Buat masa sekarang, rakyat tidak lagi perlu untuk berseorang di dalam kenderaan, perjalanan melebihi radius 10 km sudah dibenarkan, dan tiada lagi had perjalanan hanya sehingga 10 malam. Namun pergerakan untuk merentas negeri masih lagi belum diberikan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025