Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • VPCM akan perkenal program kenderaan terpakai diiktiraf Das WeltAuto dan pusat jualan atas talian

    VPCM akan perkenal program kenderaan terpakai diiktiraf Das WeltAuto dan pusat jualan atas talian

    Semasa majlis pembentangan prestasi hari ini, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) turut mendedahkan bahawa mereka akan menubuhkan satu cabang program kenderaan terpakai diiktiraf digelar Das WeltAuto. Program ini sudah wujud sejak tahun 2010 oleh Volkswagen Group dan kini aktif di 24 buah negara termasuk Singapura.

    Waktu tepat bila program ini akan dilancarkan dan perinciannya walaubagaimanapun masih belum diberitahu. Di Singapura, kenderaan yang termasuk dalam program ini akan melalui beberapa siri pemeriksaan, dan apabila dijual, diberi jaminan 12 bulan dan sijil pengesahan Das WeltAuto.

    VPCM akan perkenal program kenderaan terpakai diiktiraf Das WeltAuto dan pusat jualan atas talian

    Selain program kenderaan terpakai itu, VPCM juga akan melancarkan satu tapak jualan atas talian Volkswagen Marketplace, untuk kenderaan edisi khas atau terhad yang diasaskan daripada model biasa. Langkah ini adalah menyamai apa yang dilakukan oleh MINI Malaysia melalui model Clubman Sterling Edition, yang dijual hanya secara atas talian.

    VPCM mula melakukan penjualan kenderaan atas talian melalui kerjasama dengan Lazada tahun lepas, menyaksikan 12 unit model Beetle edisi terhad habis dijual dalam masa hanya 20 minit. Beetle tersebut ditawarkan dalam tiga warna, pada harga RM112,112 seunit (tanpa pendaftaran dan insurans).

     
     
  • Perkhidmatan ETS Gemas ke JB Sentral dijangka beroperasi pada 2021 – kos anggaran RM9.4b, 192 km

    Perkhidmatan ETS Gemas ke JB Sentral dijangka beroperasi pada 2021 – kos anggaran RM9.4b, 192 km

    Pembinaan projek landasan berkembar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Gemas-Johor Bahru (JB) Sentral bakal bermula pada bulan ini dan dijangka akan siap dalam tempoh empat tahun akan datang.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Rani Hisham Samsudin, laluan itu akan menyediakan perkhidmatan ETS secara terus dari JB Sentral, Johor Bahru ke Padang Besar, Perlis, laporan Bernama.

    Pembinaan landasan berkembar dengan kos dianggarkan RM9.4 bilion itu meliputi laluan sepanjang 192 kilometer.

    Sebelum ini khidmat ETS hanya bermula dari stesen Gemas, Negeri Sembilan dan pada masa sama ia dapat meningkatkan jumlah penumpang selain jaringan sektor sosial dan ekonomi serta tempoh perjalanan yang lebih menjimatkan masa.

    “Seperti kita sedia maklum perkhidmatan ETS adalah paling popular kerana akses ke suatu tempat dapat dicapai dengan tempoh masa lebih singkat dengan kelajuan 140 kilometer sejam. Kita percaya dengan penambahan landasan berkembar dari Gemas ke Johor Bahru yang ditawarkan dalam empat tahun lagi dapat membawa lebih ramai penumpang untuk ke arah utara dan selatan tanah air,” katanya.

     
     
  • Yamaha R25 diperkenal dalam warna baharu – RM21k

    Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd telah memperkenalkan dua warna baru untuk model sports R25 tahun 2018, iaitu hitam dan biru, dengan grafik yang berlainan berbanding warna yang diperkenal pada bulan Mac tahun lalu. Penampilan baru ini lebih ringkas, dengan warna hitam sekadar mempunyai jalur merah manakala warna biru dengan jalur hitam.

    Perkara lain berkenaan motosikal ini masih tidak berubah, termasuk harganya iaitu kekal seperti cadangan yang dikeluarkan oleh HLYM sebelum ini – RM20,630.78 termasuk GST, tetapi tanpa insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

    Yamaha R25 dikuasakan oleh enjin dua silinder selari 249 cc suntikan bahan api, dengan padanan transmisi enam kelajuan. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm. Kapasiti tangki bahan api adalah 14.3 liter.

    Pada bahagian depan motosikal ini, terdapat fork teleskopik dan brek cakera dengan angkup dua piston manakala di belakang pula terdapat monoshock serta brek cakera hidraulik bersama angkup satu piston. Rim yang digunakan adalah bersaiz 17 inci (tayar 110/70 di depan dan 140/70 di belakang).

     
     
  • Volkswagen Passenger Cars Malaysia catat jualan 6,536 kenderaan, kepuasan pelanggan meningkat

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia catat jualan 6,536 kenderaan, kepuasan pelanggan meningkat

    Selepas lebih satu tahun mengendalikan pengedaran kenderaan Volkswagen secara rasmi di Malaysia, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) buat pertama kalinya telah mengadakan pembentangan prestasi kepada wakil media hari ini. Selain jumlah jualan pada tahun 2017, syarikat itu turut membentangkan peningkatan bahagian servis selepas jualan dan perancangan masa hadapan.

    Untuk jualan tahun 2017, walaupun hanya satu produk dilancarkan iaitu Tiguan, VPCM masih mampu menunjukkan peningkatan sebanyak 8.1% berbanding tahun 2016, dengan keseluruhannya 6,536 buah kenderaan berjaya diserahkan kepada pemilik baru. Daripada jumlah ini 94.5% adalah unit pemasangan tempatan (CKD) manakala selebihnya adalah import.

    Untuk langkah penambah baikan pengalaman selepas jualan kepada pelanggan, VPCM sentiasa menilai proses yang dilakukan, memerhati prestasi pengedar dan meningkatkan kemampuan pengurusan melalui latihan, bimbingan dan insentif buat pengedar.

    Langkah yang diambil ini ternyata berhasil, apabila dilihat melalui sistem penilaian mereka, kepuasan pelanggan meningkat menjadi 4.37 untuk jualan dan 4.17 bagi khidmat selepas jualan. Markah penuh adalah 5 bintang. Menurut Malaysia Customer Service Index (CSI) Study oleh J.D Power pula, Volkswagen berjaya mendaki ke tempat kelima dari tempat kelapan pada tahun 2016.

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia catat jualan 6,536 kenderaan, kepuasan pelanggan meningkat

    Pengarah urusan khidmat selepas jualan, teknologi informasi dan kewangan VPCM, Florian Steiner, VPCM sentiasa terbuka dengan harga servis untuk setiap model yang dijual. Perkara ini boleh dilihat pada laman web rasmi mereka, seterusnya memberikan bakal pemilik pandangan awal bagaimana kos pemilikan kenderaan Volkswagen.

    Memasuki tahun 2018, VPCM akan terus meningkatkan servis selepas jualan melalui penglibatan yang lebih aktif dengan pelanggan dan juga pengedar. Selain itu, semua kenderaan Volkswagen juga kini datang dengan jaminan pengilang lima tahun, dan pakej penyelenggaraan percuma tiga tahun atau 45,000 km.

    Satu lagi langkah penting yang akan menjamin kepuasan pelanggan adalah pemindahan pusat alat ganti dari Singapura ke Tanjung Pelepas, Johor Bahru dalam tahun ini. Alat ganti dari pusat ini, selain untuk pasaran Malaysia, juga akan dieksport ke 28 pasaran lain sekitar Asia Tenggara dengan ketersediaan alat ganti berada pada tahap 95%.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Hujung minggu lalu, Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing telah berkunjung ke Bandar Medini, Iskandar Puteri di Johor Bahru. Festival kali ini juga turut membawa perlumbaan Vios Challenge Malaysia ke pusingan ketiga, menyaksikan persaingan makin mendebarkan.

    Buat mereka yang masih lagi belum tahu berkenaan Vios Challenge ini, ia adalah perlumbaan ‘one-make’ yang dibawakan oleh Toyota Gazoo Racing menggunakan kereta produksi Toyota Vios 1.5 liter. Kesemua pasukan menerima kereta yang sama – diubahsuai oleh Wing Hin Motorsport dibawah seliaan TRD Jepun – dan mereka dilarang untuk melakukan ubahsuai tambahan kecuali talaan semula suspensi.

    Jadi, walaupun kereta-kereta lumba dalam siri ini dipandang remeh kerana masih menggunakan enjin asal dan juga brek dram pada bahagian belakang, Vios Challenge sebenarnya merupakan antara perlumbaan paling teknikal, kerana kemenangan bukan bergantung kepada kemampuan kewangan, tetapi kesemua pelumba dan pasukan akan bertarung dengan pengetahuan teknikal dan strategi perlumbaan masing-masing. Anda sebagai penonton juga bakal disajikan dengan aksi sengit ‘head-to-head‘ sepanjang perlumbaan ini.

    Untuk litar jalanan di Johor ini, ia menampilkan tujuh selekoh, lawan arah jam, sepanjang 1.9 km. Berbanding litar Batu Kawan Pulau Pinang dan MAEPS Serdang sebelum ini, litar Medini dibina pada jalan tiga lorong, membolehkan pelumba memecut lebh laju dan lebih ruang untuk memotong.

    HARI PERTAMA – JUMAAT, 19 JANUARI 2018

    Kategori Sporting

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Seperti biasa, perlumbaan hari pertama dimulakan dengan kategori Sporting. Branden Anthony dari pasukan Dream Chaser yang telah menang buat kali pertama di MAEPS sebelum ini sekali lagi menunjukkan taringnya dengan mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan dan bermula pada posisi paling hadapan.

    Drama untuk Perlumbaan 1 kategori Sporting ini bermula dari selekoh pertama selepas kesemua pelumba dilepaskan. Patrick Tham dari Pasukan Nanoplus yang bermula baris keempat berjaya memecut ke barisan hadapan menggunakan melalui laluan paling dalam, namun setibanya di selekoh pertama, posisi berkenaan bukanlah yang paling ideal untuk masuk ke selekoh. Dengan ruang yang sangat terhad, Patrick merempuh Brendan dan menolaknya terus ke dinding pelindung sebelah luar.

    Turut terjejas dalam insiden berkenaan adalah Dato’ Ken Foo yang merempuh Patrick Tham ke dinding sebelah dalam. Ini menyebabkan pengawal perlumbaan menaikkan bendera merah, dan setiap pelumba perlu pulang ke grid untuk memulakan semula perlumbaan. Walau bagaimanapun, Tham dan seorang lagi pelumba, Clement Yeo terpaksa masuk ke pit kerana kerosakan yang teruk.

    Selepas bermula semula, Brendan terpaksa membrek lebih awal pada selekoh pertama kerana keretanya mengalami sedikit masalah ketika insiden sebelumnya. Ini membolehkan Wong Chin Eeg dari Heiwa Racing Team mengambil tempat sebagai pendahulu perlumbaan dan Brendan tertinggal ke kedudukan keenam. Pelumba rali Kenneth Koh yang bermula dari petak keempat pula mengambil risiko membrek lebih lambat pada laluan paling dalam dan bergeser dengan dinding, menyebabkan sedikit kerosakan pada bampar, namun tindakannya itu membolehkan dia memintas Dato Ken Foo yang ketika itu berada pada kedudukan ketiga.

    Pada lap kelima, ‘Safety Car‘ terpaksa keluar untuk memimpin kesemua pelumba selama tiga lap kerana marsyal perlu mengeluarkan kereta Goh Eng Peng yang terlibat dengan kemalangan di selekoh pertama. Kesempatan ini membolehkan pelumba merapatkan semula jurang masa antara mereka, dan setelah Safety Car masuk semula ke pit, Kenneth Koh melakukan pula serangan terhadap Brendon Lim dan kemudian berjaya memintasnya untuk merebut tempat kedua.

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Ketika ini juga Brendan Anthony mula mendapat rentaknya semula berjaya memintas Brendon Lim pada lap ke-10 dan mula memburu Kenneth Koh pula selepas itu. Pertarungan sengit antara Brendan dan Kenneth bermula pada lap ke-13, membolehlah Wong Chin Eeg menjarakkan lagi kedudukannya lebih kehadapan.

    Walau bagaimanapun, Chin Eeg membuat kesilapan di selekoh keempat pada lap terakhir, membolehkan Brendan dan Kenneth kembali memburunya. Ketiga-tiga pelumba ini bertarung pada selekoh kelima dan kemudian beraksi seperti perlumbaan drag sejurus keluar dari selekoh terakhir. Pertarungan sengit ini akhirnya dimenangi oleh Chin Eeg, diikuti Brenden ditempat kedua dan Kenneth Koh terpaksa berpuas hati di tempat kelima.

    Kategori Promotional

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Ini merupakan kategori yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat-peminat yang mengenakan baju seperti ‘Janna Nickers’ yang membanjiri tapak festival berkenaan kerana barisan selebriti tempatan berlumba dalam kategori ini. Seperti perlumbaan di Batu Kawan dan Maeps, artis beatbox Shawn Lee dan dramatis Syukri Yahaya terus mendominasi kategori ini tanpa tentangan lebih sengit diberikan dari pelumba lain.

    Namun yang jelas, Shawn Lee memang seorang yang berbakat besar kerana walalupun beban penalti berat yang diberikan (undang-undang penalti berat untuk pemenang perlumbaan lalu ini adalah seiras dengan dengan undang-undang GT Jepun mahupun mana-mana perlumbaan touring car lain, bagi memastikan perlumbaan kekal sengit setiap pusingan tanpa didominasi seorang pelumba sahaja), masa yang dicatatkan masih lagi paling laju, malah berada pada liga yang sama dengan kategori Sporting.

    Walau bagaimanapun, Diana Danielle turut menunjukkan prestasi yang agak baik kerana berjaya memintas Danny Koo untuk merebut tempat ketiga. Tambah mencabar, hujan mula turun pada sebahagian litar ketika pertengahan perlumbaan, secara tidak langsung menyukarkan corak pemanduan pelumba kerana separuh dari litar dalam keadaan basah, dan sebahagiannya lagi pula kering.

    Pertarungan antara Danny dan Diana berakhir apabila kereta Diana berpusing disentuh Vios yang dipandu Danny pada selekoh hairpin, akibat Danny yang terlalu agresif dan membrek lebih lambat pada selekoh tersebut. Diana terpaksa keluar dari perlumbaan kerana kerosakan yang dihadapi, manakala Danny pula berada ditempat ketiga.

    Perlumbaan berakhir dengan Shawn dan Syukri kekal pada kedudukan 1-2, dan Danny berada ditempat ketiga. Walau bagaimanapun, kedudukan podium yang diperolehi Danny telah dibatalkan kerana dia tidak masuk ke laluan pit untuk penalti sebagai ‘hukuman’ tindakannya terhadap Diana sebelum itu. Ini secara tidak langsung membolehkan Fattah Amin yang berada di tangga ke empat untuk naik ke podium.

    Kategori Super Sporting

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Ini merupakan perlumbaan yang paling ditunggu-tunggu oleh ‘racing fans‘ sebenar kerana ia disertai oleh nama-nama besar seperti Tengku Djan Ley, Keifli Othman, Boy Wong, Syafiq Ali dan sebagainya.

    Pemenang perlumbaan kedua di MAEPS, Mitchell Cheah dan Mark Darwin terpaksa bermula di barisan paling belakang pada perlumbaan ini akibat tidak menghadiri taklimat pelumba dan sesi latihan pada hari khamis, kerana kedua-duanya terpaksa ke Sepang untuk menghadiri sesi pemilihan pemandu. Hujan yang bermula pada kategori Promotional tadi nampaknya terus menggila apabila pelumba kategori Super Sproting ini mula keluar ke grid permulaan.

    Namun hujan ini nyata membawa tuah kepada pakar hujan William Ho. Bermula dari petak pertama setelah mencatatkan masa terpantas semasa sesi kelayakan, William terus meninggalkan pelumba lain sejurus dilepaskan. Kesemua pelumba selamat melepasi selekoh pertama, tetapi pada selekoh kedua, Tengku Djan terlibat dengan insiden bersama Kenny Lee. Kemalangan ini turut melibatkan Akina Teo yang terbabas sehingga ke dinding keselamatan dan menyebabkan sebahagian laluan litar tersekat.

    Insiden ini menyebabkan Safety Car keluar bagi membolehkan marsyal membersihkan kawasan kemalangan. Serentak dengan itu, hujan menjadi semakin lebat dan memerlukan Safety Car memimpin perlumbaan sehingga ke lap-11. Masuk ke lap-12, pengarah perlumbaan memutuskan perlumbaan selamat untuk diteruskan walaupun hujan masih belum berhenti.

    Setelah 30 minit perlumbaan berlangsung, ia akhirnya ditamatkan pada lap ke-16, dan William Ho kekal ditempat pertama, diikuti Boy Wong dari pasukan ST Wangan, dan pelumba dari Johor Syafiq Ali, memandu untuk pasukan tuan rumah -M7 Racing Team- di tempat ketiga.

    HARI KEDUA – SABTU, 20 JANUARI 2018

    Kategori Sporting

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Perlumbaan kedua kategori Sporting menyaksikan tiada insiden berlaku pada selekoh pertama. Wong Chin Eeg terus memimpin perlumbaan diekori rapat Brendan Anthony di tempat kedua, meninggalkan kelompok belakang yang menyaksikan Kenneth Koh mempertahankan tempat ketiga yang ingin direbut oleh Brendon Lim.

    Namun masuk ke lap kedua, serangan yang dilancarkan oleh Brenden terhadap Wong pada selekoh pertama menyaksikan takhta pendahulu perlumbaan bertukar tangan. Masuk ke lap keenam, Kelompok utama berkenaan telah pun meninggalkan Kenneth dan Brandon dengan jarak 5 saat.

    Selain dari dua kelompok ini, pertarungan sengit turut berlangsung antara Clement Yeo, Shanmuganathan dan Dato’Ken Foo. Pada lap ke-sembilan Yeo cuba untuk memintas Shan pada selekoh pertama, menyebabkan sedikit pelanggaran tetapi ketiga-tiga mereka berjaya meneruskan perlumbaan dengan Yeo kini memimpin Shan dan Ken Foo. Namun Yeo kembali dipintas oleh kedua-dua saingannya itu pada selekoh hairpin berikutnya.

    Dua lap kemudian, Yeo kembali membina momentumnya, tetapi ketika ini dia mula menghadapi masalah brek. Dengan kelajuan penuh pada laluan lurus utama, kereta Yeo terus menuju ke dinding penghadang selekoh pertama dan merempuh Vios yang dipandu oleh Shan. Insiden ini menyebabkan bendera kuning diangkat sehingga pelumbaan tamat dengan Brenden Anthony menjuarai perlumbaan, diikuti Wong Chin Eeg dan Kenneth Koh.

    Kategori Promotional

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Persaingan untuk kategori ini masih lagi tertumpu pada Shawn Lee dan Syukri Yahaya di mana kedua-duanya terus meninggalkan pelumba lain sebaik sahaja dilepaskan. Namun kali ini, tentangan yang diberi oleh Syukri nampaknya lebih agresif dan Shawn terpaksa menerima tekanan yang begitu hebat pada lap kedua.

    Safety Car keluar pada lap kelima, kali ini disebabkan kemalangan yang menimpa Janna Nick. Sebaik sahaja Safety Car masuk semula, Syukri terus melakukan serangan dan berjaya memotong Shawn pada selekoh pertama. Sejurus dipintas, Shawn tidak mengalah dan terus melakukan counter attack dan menyaksikan penguasaan Syukri hanya bertahan selama dua lap.

    Sementara itu, kelompok kedua pula menyaksikan pertarungan antara Danny Koo dan Fattah Amin untuk merebut tempat ketiga. Danny berterusan mengejar Fattah tetapi sifat agresifnya telah mengundang padah pada lap kesembilan – dia membrek lambat untuk memotong Fattah dari luar di selekoh kedua, mengakibatkan keretanya understeer dan melanggar dinding keselamatan ketika keluar dari selekoh.

    Insiden tersebut menyebabkan kerosakan teruk pada suspensi kanan hadapan keretanya dan tidak boleh lagi meneruskan perlumbaan. Tamat perlumbaan, keputusan masih kekal seperti perlumbaan pertama dengan Shawn Lee juara, diikuti Syukri Yahaya dan Fattah Amin.

    Kategori Super Sporting

    Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

    Untuk kategori ‘super pro’ ini, grid untuk perlumbaan kedua ditentukan dengan menterbalikkan kedudukan pada perlumbaan pertama bagi enam pelumba di hadapan. Oleh itu, permulaan perlumbaan ini akan dipimpin oleh Keifli Othman, diikuti Tengku Djan, Kenny Lee, Syafiq Ali, Boy Wong dan William Ho – kedudukan ini memberikan lebih debaran kepada perlumbaan yang bakal berlangsung.

    Tanpa sebarang penalti berat, Keifli Othman dari pasukan Laser Motor Racing terus meluru kehadapan diekori rapat Tengku Djan. Namun tindakan Boy Wong untuk memotong dari dalam telah menyebabkan kereta Tengku Djan terhimpit.

    Insiden ini secara tidak langsung telah mewujudkan kelompok perlumbaan dimana kumpulan pertama menyaksikan ‘dogfight‘ antara Keifli, Tengku Djan dan Syafiq, dan kelompok kedua menyaksikan pertarungan antara William Ho dan Kenny Lee.

    Tengku Djan terus melakukan serangan demi serangan terhadap Keifli tetapi tujuh lap sebelum berakhirnya perlumbaan, dia mula mengalami kerosakan brek dan mula tertinggal kebelakang. Syafiq juga menyedari masalah yang dihadapi Tengku Djan, secara terus menerus pula melakukan pelbagai serangan.

    Aksi paling mengejutkan sepanjang TGR Johor terjadi pada lap terakhir kategori Super Sporting ini. Pada selekoh pertama, dengan masalah brek yang semakin ketara, Tengku Djan sudah boleh mengagak Syafiq akan memotongnya dari dalam. Oleh itu, dia terlebih dahulu berfikir untuk melakukan sesuatu untuk terus kekal di tempat kedua.

    Jadi, ketika Syafiq mula untuk memotong dari dalam, Tengku Djan melakukan aksi ‘Scandinavian Flick’ dari luar untuk mengekalkan momentumnya sepanjang selekoh tersebut dan berjaya memintas semula Syafiq ketika keluar dari selekoh! Lebih malang, Syafiq yang cuba kembali mengejar Tengku Djan mengalami understeer di selekoh ketiga dan melanggar dinding penghalang, menyebabkan tayar hadapan kanannya pecah.

    William Ho yang bergelut dengan penalti berat diterima setelah menang perlumbaan pertama sehari sebelum itu kemudian berjaya memotong Syafiq sebelum tiba ke garisan penamat untuk merebut podium tempat ketiga.

    Walaupun hanya berlumba dengan sekumpulan Vios dengan enjin asal, Tengku Djan mengakui tujuh lap terakhir pada perlumbaan ini merupakan “tujuh lap paling panjang” sepanjang kariernya sebagai seorang pelumba. Sekiranya anda tertinggal untuk menonton tiga pusingan perlumbaan sebelum ini, anda masih lagi berpeluang untuk merasai adrenalin perlumbaan ini secara live pada pusingan akhir yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, Mac ini.

    Selain dari Vios Challenge, Festival TGR turut membawakan persembahan drift dari dua orang ikon drift D1GP Jepun iaitu ‘Drift Samurai’ Imamura Takahiro dan Kawabata Masato yang memandu dua buah Toyota 86, serta penampilan selebriti-selebriti tempatan.

    GALERI:Toyota Gazoo Racing 2018 Pusingan ketiga, Medini, Johor Bahru – Hari pertama

    GALERI:Toyota Gazoo Racing 2018 Pusingan ketiga, Medini, Johor Bahru – Hari kedua

     
     
  • Volkswagen Golf Mk7.5 bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi – barisan model termasuk R-Line, GTI dan R

    Volkswagen Golf Mk7.5 bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi – barisan model termasuk R-Line, GTI dan R

    Volkswagen Golf facelift bakal diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi, iaitu dalam tempoh lebih kurang tiga bulan akan datang, seperti mana yang didedahkan oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) dalam sesi bersama media sebentar tadi.

    Walau bagaimana pun perincian spesifikasi bagi Golf baharu ini akan diumumkan kelak, namun menurut erik Winter, pengarah urusan VPCM, telah memberitahu beberapa maklumat mengenainya. Pertama, Golf yang bakal tiba ini adalah dalam bentuk model import sepenuhnya, dengan dilengkapi elemen yang pasti mengujakan, menurut Winter.

    Barisan varian pula termasuk R-Line iaitu model prestasi tinggi seperti juga GTI dan juga model pacuan semua-roda R. Harganya masih tidak didedahkan, namun menurut Winter, semua varian tersebut akan ditawarkan dengan harga yang kompetitif.

    Volkswagen Golf Mk7.5 bakal tiba di Malaysia tidak lama lagi – barisan model termasuk R-Line, GTI dan R

    Diperkenalkan pada November 2016, Golf Mk7.5 ditampilkan dengan rekaan semula bagi luaran serta didatangkan dengan beberapa teknologi baharu. Ini termasuklah Paparan Info Aktif yang diwarisi daripada Passat, sehinggalah sistem infotainmen Discover Pro 9.2-inci dan juga beberapa sistem keselamatan dan bantuan pemanduan.

    Di bawah bonetnya, Golf biasa dipadankan dengan enjin baharu petrol 1.5 liter pengecas turbo TSI Evo empat-silinder dengan kuasa 150 PS, yang menggantikan unit 1.4 liter TSI pada model semasa yang dijual di sini.

    Manakala varian GTI dijanakan oleh enjin 2.0 liter TSI empat-silinder, dengan versi standard kini menghasilkan lebih 10 PS pada 230 PS, dan varian Performance boleh menghamburkan output sehingga 245 PS, lebih 15 PS berbanding sebelum ini. Lebih kurang sama, Golf R pula hadir dengan kuasa 310 PS dan tork 400 Nm, iaitu lebih 10 PS dan 20 Nm berbanding sebelum ini.

    GALERI: Volkswagen Golf Mk7 facelift R-Line

    GALERI: Volkswagen Golf GTI facelift

     
     
  • Land Rover Defender – 12 unit edisi memorial terakhir diperkenalkan di Malaysia, tiga warna istimewa

    Land Rover Defender – 12 unit edisi memorial terakhir diperkenalkan di Malaysia, tiga warna istimewa

    Baru-baru ini, Jaguar Land Rover telah memperkenalkan Land Rover Defender Works V8 yang dihasilkan sebanyak 150 unit sahaja. Ia adalah sempena sambutan ke-70 tahun jenama tersebut.

    Terkini Jaguar Land Rover Malaysia telah pun mengumumkan 12 unit edisi memorial terakhir bagi110 Double Cab Defender, di mana ia ditawarkan dengan tiga warna istimewa iaitu Montalcino Red, Sicilian Yellow dan Baltic Blue. Ia adalah daripada 150 unit edisi terhad bagi meraikan ulang tahun Land Rover yang ke-70

    Simbahan warna kontras menjadi pilihan bagi luaran. Di mana varian Sicilian Yellow dan Montalcino Red ditampilkan bersama hitam berkilat, pada bahagian bumbung, gril hadapan, gerbang roda, penutup lampu utama dan roda 16-inci. Manakala bagi versi Baltic Blue pula, kekemasan perak menjadi pilihan bagi bumbung dan roda.

    Di dalamnya, Defender terakhir ini ditampilkan dengan tempat duduk kulit dengan jahitan kontras untuk membuatkan ia nampak lebih sepadan dengan warna luaran. Jahitannya juga kelihatan pada tombol gear dan roda stereng balutan kulit, manakala headlining bagi edisi ini telah ditingkatkan ke Alcantara.

    Dijanakan oleh enjin diesel 2.2 liter dengan padanan transmisi manual enam-kelajuan, Defender 110 Double Cab edisi memorial atau peringatan ini ditawarkan pada harga RM198,800, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

     
     
  • Adiva, m’sikal tiga roda berbumbung akan tiba di M’sia suku ketiga 2018, jadikan M’sia hab Asia Tenggara

    Adiva, m’sikal tiga roda berbumbung akan tiba di M’sia suku ketiga 2018, jadikan M’sia hab Asia Tenggara

    Tahun 2018 baru sahaja bermula dan kita sudah mendapat banyak berita menarik. Terbaru, kami diberitahu motosikal tiga roda berbumbung jenama Adiva akan tiba di Malaysia menjelang suku ketiga tahun ini dan dipasang di sini.

    Adiva adalah satu jenama yang bermula di Itali, namun kini telah menjadi satu jenama global dengan banyak aspek kejuruteraan dilakukan termasuk di Jepun, manakala pengeluaran pula berjalan di Taiwan.

    Jika melihat kepada laman web syarikat ini, terdapat enam model yang ditawarkan oleh Adiva pada masa ini, dan kesemuanya adalah motosikal tiga tayar berbumbung, dari yang berkapasiti 125 cc, hinggalah 400 cc. Enjin yang digunakan adalah daripada Peugeot.

    Adiva, m’sikal tiga roda berbumbung akan tiba di M’sia suku ketiga 2018, jadikan M’sia hab Asia Tenggara

    Bagi yang diberitahu akan tiba di Malaysia, ia adalah model 200 cc dan 400 cc iaitu AD1 200 dan AD2 400. Model ini juga sebenarnya sudah dipasarkan di negara jiran, Singapura, bersama beberapa model lain, namun ia adalah unit yang diimport dari Taiwan. Bagi model AD1 200, di Singapura, harganya berada dalam lingkungan yang sama seperti SYM Symphony 250.

    Untuk Malaysia, sebuah syarikat tempatan baru akan ditubuhkan untuk menguruskan pengedaran motosikal ini serta menariknya, ia turut akan dipasang di dalam negara oleh DNC Asiatic Sdn Bhd. Jangkaannya, motosikal ini dapat dilancarkan di Malaysia menjelang suku ketiga tahun ini.

    Adiva, m’sikal tiga roda berbumbung akan tiba di M’sia suku ketiga 2018, jadikan M’sia hab Asia Tenggara

    Merujuk kepada pemasangan tempatan, wakil DNC Asiatic, Nik Danial Nik Mahmood menyatakan syarikat kini sedang dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pemasangan Adiva Asia Tenggara dan China, dan jika berjalan lancar, Adiva akan menjadi jenama motosikal antarabangsa pertama yang memilih Malaysia sebagai hab pengeluaran.

    Mengulas lanjut berkenaan perkara ini, Nik Danial menyatakan Malaysia sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri berbanding Thailand dan Indonesia yang kini menjadi tumpuan utama pengeluar antarabangsa, antaranya seperti Malaysia tidak memerlukan syarikat ini melabur untuk pembinaan sebuah kilang baru, dan boleh memilih pihak ketiga sebagai pengendali pemasangan.

    GALERI: Adiva AD1 200


    GALERI: Adiva AD2 400

     
     
  • Boon Siew buka bilik pameran Impian X yang pertama di Johor, jangka dapat tingkatkan jualan 21% tahun ini

    Boon Siew buka bilik pameran Impian X yang pertama di Johor, jangka dapat tingkatkan jualan 21% tahun ini

    Bagi tujuan memenuhi keperluan penunggang Honda di Selatan, Boon Siew Malaysia kini membuka bilik pameran konsep Impian X pertamanya di Johor. Terletak di Gelang Patah, bilik pameran itu merangkumi pusat jualan sehenti serta pusat servis dengan kelengkapan penuh untuk menampung keperluan motosikal Honda sehinggga 300 cc.

    Jika sejak 2010 dahulu bilik pameran Impian Honda Shop diperkenalkan, bilik pameran Impian X ini pula akan memberikan pengalaman khidmat pelanggan yang berbeza daripada kedai atau bengkel motosikal biasa – ia mempunyai ruang menunggu yang selesa dengan hidangan makanan ringan dan Wi-Fi percuma.

    Juruteknik yang bertugas juga telah menerima latihan profesional untuk menyelenggara motosikal-motosikal Honda, dengan kelengkapan peralataan yang sepatutnya serta servis diagnostic maju dan menggunakan hanya alat ganti tulen. Sebagai tambahan, bakal pemilik juga akan diberikan Khidmat Nasihat Pra-Serahan oleh pelatih, berguna untuk mendidik mereka agar sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya.

    Boon Siew buka bilik pameran Impian X yang pertama di Johor, jangka dapat tingkatkan jualan 21% tahun ini

    “Dengan pengenalan bilik pameran Honda Impian X, Boon Siew Honda menjangkakan peningkatan jualan sebanyak 21% bagi tempoh setahun,” jelas Pengarah Urusan dan CEO, Nobuhide Nagata, Untuk tahun 2018, Boon Siew Honda merancang untuk membuka 10 lagi bilik pameran konsep Honda Impian X di seluruh negara, termasuk dua di Perak.

    Bagi 2017, Boon Siew merekodkan jumlah jualan 120,613 unit, peningkatan 16% berbanding 2016. Johor menymbang sebanyak 14% daripada jumlah berkenaan dengan sekitar 16,000 unit dan menjadi angka jualan kedua tertinggi Boon Siew Honda.

     
     
  • Mitsubishi Eclipse Cross menerima penarafan keselamatan lima-bintang daripada ASEAN NCAP

    Mitsubishi Eclipse Cross telah pun dianugerahkan penarafan keselamatan lima-bintang dari ASEAN NCAP, selepas menjalani ujian audit kerjasama dengan Program Penilaian Kereta Baharu Australia (ANCAP). SUV ini telah dilancarkan di Singapura, di mana ia turut menawarkan enjin 1.5 liter pengecas turbo.

    Seperti Perodua Myvi, Eclipse Cross juga mengikuti protokol ASEAN NCAP 2017-2020, di mana kini ia merangkumi markah bagi Teknologi Bantuan Keselamatan (SAT). Ia termasuk dengan semakan ujian bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP). Malah turut menambah perlindungan impak sisi (tambahan 16 mata) dan teknologi perlindungan kepala (tambah lagi empat mata) menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 36 mata (sebelum ini maksimum 16 mata).

    Klik untuk besarkan

    Bagi ujian AOP, SUV ini menerima markah sebanyak 35.14 daripada 36 mata, dengan menerima markah yang sempurna bagi evolusi teknologi perlindungan kepala (HPT) dan ujian impak sisi. Manakala untuk ujian COP pula, Eclipse Cross menerima 43.34 daripada 49 mata.

    Untuk ujian SAT pula, ia menerima 14.50 daripada 18 mata dengan merangkumi 81% pematuhan. Bagi pasaran Singapura, Eclipse Cross didatangkan dengan tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Aktif, ABS, paparan pandangan-sekeliling, bantuan mula mendaki dan sistem pengurangan perlanggaran hadapan. Lain-lain elemen termasuklah pengesan parkir hadapan dan belakang, brek parkir elektronik dengan penahan brek auto dan fungsi lampu tinggi automatik.

    GALERI: Mitsubishi Eclipse Cross 1.5T (spesifikasi Singapura)

     
     
  • Pembahagi lorong khas basikal di KL undang bahaya?

    Pembahagi lorong khas basikal di KL undang bahaya?

    Jika anda melalui kawasan pusat bandar Kuala Lumpur ketika ini, anda pasti akan menyedari kewujudan laluan khas berwarna biru; ia sebenarnya adalah untuk kegunaan mereka yang mengayuh basikal, dikenali antara lain dengan nama Bike4U, dan dijangka akan dilancarkan pada 9 Februari nanti.

    Laluan berkenaan dibuat untuk kegunaan delegasi yang menghadiri World Urban Forum di Kuala Lumpur dari 7 hingga 13 Februari ini, sebelum ia kemudiannya untuk kegunaan warga tempatan yang berbasikal. Ia menguhubungkan Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) dengan beberapa hotel disekitar pusat bandar.

    Ia adalah usahasama antara Urbanice, yang bernaung di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan AJM Planning and Urban Design Group (APUDG). Turut terlibat dalam rangkaian laluan berkenaan ialah Cycling Kuala Lumpur, Bicycle Map Project, oBike dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

    Pembahagi lorong khas basikal di KL undang bahaya?

    Projek ini melibatkan jarak 11 km dalam pusat bandar KL bagi fasa pertama perancangan lima-tahun yang bermula pada April 2017 dan kini sudah menyediakan laluan khas sepanjang 5 km dari Mid Valley ke Dataran Merdeka sebelum ini.

    Laluan di tengah pusat bandar itu menggunakan warna biru, dan diasingkan dengan pembahagi berketinggian 50 mm, dan direka agar ia tetap boleh dilalui pada bahagian atas pembahagi. Niatnya adalah untuk memisahkan antara basikal yang lebih berlahan daripada aliran trafik utama.

    Bagaimanapun, beberapa insiden mula beredar di laman Facebook, dan menyatakan bahawa pembahagi laluan itu membahayakan penunggang motosikal dan basikal sendiri, sekiranya mereka mengubah laluan dari laluan masing-masing (dibeberapa bahagian terutama di simpang, laluan biru ini juga ada yang dialih sedikit arah laluannya merentasi laluan utama).

    Pembahagi lorong khas basikal di KL undang bahaya?

    Koordinator Projek bagi Cycling Kuala Lumpur dan Bicycle Map Project, Jeffrey Lim menjelaskan, pembahagi berkenaan merupakan ciri tambahan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya ketika berada di laluan masing-masing agar tidak sewenang-wenang memasuki laluan khas itu.

    Namun, ada kejadian di mana penunggang motosikal terjatuh ketika melanggar pembahagi ini untuk mengubah laluan mereka. “Memang ada kekhuatiran seperti itu, sama juga sebaliknya, jika pengguna kenderaan bermotor memasuki lalun sikal berkenaan dan menyebabkan kecederaan kepada pengayuh basikal atau pejalan kaki,” jelas Jeffrey.

    Berkaitan warna biru yang digunakan itu pula, yang mana beberapa individu di Facebook mendakwa ia sangat licin dan menyebabkan mudah tergelincir, Jeffrey menjelaskan sepanjang pengetahuannya, cat berkenaan mempunyai bahan khas untuk menjadikan permukaannya kesat, dalam situasi dan had tertentu.

    Pembahagi lorong khas basikal di KL undang bahaya?

    “Seperti yang biasanya diamalkan, ia tidak digunakan untuk sepanjang laluan yang ada, tetapi hanya untuk bahagian-bahagian tertentu di kawasan yang memerlukan pengguna lebih berhati-hati, barulah ia akan bahan dan cat seperti itu digunakan. Tetapi dalam hal ini, ia digunakan untuk sepanjang laluan. Saya percaya ia bertujuan untuk memberikan kesan visual yang lebih ketara bagi jalur laluan yang baru saja diperkenalkan ini agar orang ramai lebih peka,” tambahnya.

    Projek Bike4U bertujuan untuk menghubungkan laluan-laluan tengah ibu kota dengan hab pengangkutan lain seperti stesen bas dan tren/keretapi. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dalam pusat bandar serta mengurangkan penggunaan kereta bagi perjalanan jarak dekat dalam bandar.

    Kalau anda ada pengelaman tersediri berkaitan laluan khas biru ini di tengah-tengah Kuala Lumpur, baik sebagai seorang pengguna basikal atau pun penunggang motosikal, sila nyatakan pandangan anda diruang komen. Adakah ia baik atau sebaliknya?

     
     
  • Pemandu berusia 65 tahun ke atas perlu diwajibkan jalani pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan- NGO

    Pemandu berusia 65 tahun ke atas perlu diwajibkan jalani pemeriksaan kesihatan setiap enam bulan- NGO

    Bukan satu dua kes yang melibatkan pemandu warga emas yang pernah mendapat perhatian kita. Bukan setakat tersesat sampai tak ingat jalan pulang ke rumah, baru-baru ini satu video telah tular di laman media sosial mengenai seorang pemandu warga emas berusia 76 tahun didapati memandu melawan arus di Lebuhraya New Pantai Expressway (NPE). Dia dipercayai menghidap dementia dan masalah pendengaran.

    Bagi mengelakkan insiden sebegini berulang di masa akan datang, sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) anti jenayah mahu pemandu berumur 65 tahun ke atas diwajibkan menjalani pemeriksaan perubatan setiap enam bulan bagi menentukan kecergasan dan kecekapan pemanduan mereka.

    Menurut laporan Bernama, pengasas Malaysia Menentang Rogol, Serangan dan Ragut (Marah) Dave Avran berkata pada masa ini tiada undang-undang di Malaysia yang menghalang seseorang itu daripada memandu sebaik sahaja mencapai umur tertentu.

    Katanya, sesiapa sahaja sememangnya boleh terus memandu selagi dia merasakan cukup cekap untuk berbuat demikian.

    “Bagi orang yang lanjut usia, memandu dalam keadaan penuh tekanan hari ini boleh menguji kesabaran dan memenatkan. Pemandu tidak seharusnya mendatangkan apa jua masalah kepada pengguna jalan raya yang lain. Jika mereka boleh menghadapinya dengan tenang, maka tiada sebab untuknya berhenti daripada memandu.

    “Bagaimanapun pemeriksaan perubatan akan memastikan ketenangan fikiran bagi diri mereka sendiri, orang tersayang tidak akan seringkali bimbang tentang mereka, dan pengguna jalan raya yang lain akan turut berasa selamat,” katanya bagi mengulas video yang menjadi tular itu.

     
     
  • 333 saman trafik dikeluarkan berhampiran KLIA malam tadi; rata-ratanya memarkir di bahu jalan – polis

    333 saman trafik dikeluarkan berhampiran KLIA malam tadi; rata-ratanya memarkir di bahu jalan – polis

    Biar pun pihak Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) telah menyediakan ruang parkir percuma untuk 30 minit pertama bagi orang awam yang menunggu ketibaan penumpang di KLIA dan KLIA2, namun masih ramai yang berdegil dan terus memarkir di bahu jalan.

    Semalam, pihak polis telah mengeluarkan sebanyak 333 saman atas pelbagai kesalahan trafik di sekitar KLIA dalam operasi khas yang dijalankan di sana.

    Menurut Ketua IPD KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adam Sah, pemandu yang meletakkan kenderaan di bahu jalan bukan saja boleh menyebabkan masalah kepada pengguna jalan lain, bahkan boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya, laporan The Star.

    “Tahun lalu sahaja, sebanyak 1,308 kes kemalangan jalan raya dicatatkan di jalan berhampiran KLIA dan KLIA2, yang turut menyebabkan empat kematian. Dengan adanya penguatkuasaan ini, diharap ia dapat memberikan kesedaran kepada para pemandu agar mematuhi undang-undang trafik,” ujarnya.

     
     
  • Perodua catat jualan 204,900 unit kenderaan pada 2017, berjaya kekalkan 35% bagi perkongsian pasaran

    Perodua catat jualan 204,900 unit kenderaan pada 2017, berjaya kekalkan 35% bagi perkongsian pasaran

    Dengan angka 202,000 unit jualan kenderaan disasarkan bagi tahun lalu, Perodua menamatkan tahun 2017 dengan mencatat jualan sedikit melepasi sasaran itu, dengan jualan 204,900 unit kenderaan.

    Namun, jika dibandingkan dengan tahun 2016, ia sebenarnya menurun sebanyak 1.1% – dengan jualan sebanyak 207,100 unit kenderaan walaupun suasana pasaran yang agak mencabar, saingan sengit serta kelulusan pinjaman sewa-beli yang diperketat.

    Bagaimanapun, syarikat itu tetap optimis tahun 2018 ini akan menjadi lebih baik dan meletakkan sasaran jualan sebanyak 209,000 unit – peningkatan sebanyak 2% berbanding 2017 – serta dapat mengekalkan peratusan perkongsian pasarannya.

    Perodua catat jualan 204,900 unit kenderaan pada 2017, berjaya kekalkan 35% bagi perkongsian pasaran

    “Berdasarkan kajian dalaman syarikat, TIV tahun ini dijangka meningkat kepada 590,000 unit tahun ini, dan kami yakin untuk mengekalkan perkongsian pasaran sebanyak 35%,” ujar Presiden dan CEO Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh.

    Sementara itu, perkhidmatan lepas jualan Perodua pula mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Pendapatan dari perkhidmatan servis kenderaan telah meningkat sebanyak 12%, sementara hasil perolehan dari perniagaan alat ganti dan aksesori juga meningkat sebanyak 7% berbanding tahun sebelumnya.

    Bagi khidmat lepas jualan, jumlah kenderaan yang kembali ke Perodua untuk tujuan servis telah meningkat 3% kepada 2.1 juta unit kenderaan bagi tahun 2017. Perkara ini dijangka akan lebih berkembang dan Perodua menjangkakan jumlah ini akan meningkat kepada 2.14 juta kenderaan pada tahun 2018.

    Perodua catat jualan 204,900 unit kenderaan pada 2017, berjaya kekalkan 35% bagi perkongsian pasaran

    Bagi jumlah kenderaan yang kembali ke Perodua untuk servis pula terbahagi kepada dua; A bagi kenderaan yang masih di dalam tempoh jaminan dan B untuk kenderaan yang telah tamat tempoh berkenaan.

    Bagi tahun 2017, khususnya kelompok B mencatatkan peningkatan sebanyak 4% berbanding 2016 menjadi 36% keseluruhan perkhidmatan servis ini. Ini merupakan sesuatu yang sangat penting bagi Perodua kerana ia dapat memastikan pelanggan tetap kembali untuk tujuan servis dan tidak lari ke tempat lain, walaupun kenderaan mereka sudah melepasi tempoh jaminan. Hal ini turut menyumbang kepada peningkatan pedapatan bagi alat ganti dan aksesori seperti yang dinyatakan di atas.

    Perodua catat jualan 204,900 unit kenderaan pada 2017, berjaya kekalkan 35% bagi perkongsian pasaran

    Antara cabang perniagaan Perodua yang mencatatkan penurunan ialah berkaitan eksport yang jatuh 20% kepada hanya 3,766 unit sahaja berbanding 4,696 unit pada tahun sebelumnya. Antara punca yang dikenal pasti adalah saingan yang semakin sengit di Indonesia (Daihatsu Sirion yang dijual di sana di pasang oleh Perodua).

    Selain itu, pengeluaran model eksport yang terpaksa dikurangkan untuk memberi laluan meningkatkan kapasiti pengeluaran model Myvi terbaru untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan. Jika sekali lagi Perodua berhasil mengekalkan peratusan perkongsian pasaran sekitar 35% bagi 2017, ia akan menjadi jenama yang menjadi pilihan No. 1 rakyat Malaysia bagi tempoh 12 tahun berturut-turut.

     
     
  • Plaza tol Batu Tiga, Sungai Rasau dijangka akan siap dirobohkan menjelang hujung Mac ini – PLUS

    Plaza tol Batu Tiga, Sungai Rasau dijangka akan siap dirobohkan menjelang hujung Mac ini – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan semua kerja-kerja perobohan struktur bangunan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau akan selesai pada Mac ini.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Azman Ismail berkata, “Proses melantik kontraktor-kontraktor yang berkelayakan telah bermula sejak Disember lalu dan pada ketika ini, PLUS sedang memuktamadkan pemilihan kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja perobohan tersebut.”

    “Setelah dilantik, kontraktor tersebut akan memulakan kerja-kerja merobohkan struktur fizikal Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau selepas perayaan Tahun Baharu Cina. Berdasarkan jadual, semua kerja-kerja perobohan dijangka akan selesai pada penghujung Mac akan datang.”

    Ini berikutan semua kerja-kerja tersebut perlu dilakukan secara berperingkat memandangkan ia dilaksanakan di dalam persekitaran lalulintas yang sentiasa bergerak. Justeru, PLUS tidak berkompromi terhadap aspek keselamatan ketika kerja-kerja tersebut dijalankan.

    Jelas Azman, kerja-kerja awalan seperti pemindahan peralatan tol, papan tanda serta aset-aset lain akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kerja-kerja perobohan struktur fizikal bermula.

    Sehubungan dengan itu, PLUS menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melalui kedua-dua plaza tol berkenaan pada ketika ini dan mengurangkan kelajuan kenderaan ketika menghampiri bangunan plaza.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024