Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • VIDEO: Harley-Davidson XL1200CX kegunaan atas salji

    Sewaktu keadaan bersalji, terdapat kenderaan khas yang boleh digunakan, sama ada yang dikuasakan oleh enjin ataupun ditarik oleh haiwan. Walaupun begitu, terdapat individu ataupun kumpulan kreatif, yang mengubah suai motosikal untuk dijadikan sebagai kenderaan salji dengan contoh yang pernah dilihat biasanya adalah motosikal jenis scrambler.

    Tapi sebuah syarikat pengedar Harley-Davidson di Banská Bystrica, Slovenia mengambil langkah berbeza dengan menggunakan asas daripada model Harley-Davidson Sportster XL1200, dan diubah suai untuk kegunaan di atas salji. Dalam keadaan standard, motosikal ini dikuasakan oleh enjin V-twin 1,202 cc, mampu menghasilkan sekitar 67 hp dan 99 Nm tork.

    VIDEO: Harley-Davidson XL1200CX kegunaan atas salji

    Motosikal ini sebenarnya dihasilkan untuk sebuah pertandingan ubah suai motosikal iaitu Battle of the Kings di sana, dan boleh dilihat bahagian tayar hadapan diganti dengan gelungsur ski yang diletakkan pada fork. Bahagian belakang lebih mencabar kerana asalnya tali sawat motosikal berada di sebelah kiri manakala pemacu salji itu pula perlu digerakkan dari bahagian kanan.

    Untuk itu, syarikat tersebut telah mengalihkan tali sawat motosikal ke sebelah kanan, manakala suspensi, brek serta lengan ayun ditanggalkan kerana pemacu salji tersebut sudah ada sistem suspensi serta breknya yang sendiri. Saksikan sendiri bagaimana aksi motosikal tersebut dalam video di atas.

     
     
  • Nissan Navara Black Series dilancarkan – dari RM109k

    Nissan Navara Black Series dilancarkan – dari RM109k

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) kini memperkenalkan Nissan Navara Black Series, yang menampilkan pertambahan kemasan hitam dibeberapa tempat. Pelanggan tetap boleh memilih varian yang ada; VL, V dan SE (automatik sahaja), dengan dan semua kemasan ini datang dari kilang.

    Bahagian-bahagian yang menerima kemasan warna hitam adalah seperti gril, lampu utama, sekeliling lampu kabus, pelindung cermin sisi, fender tambahan serta sports bar yang digunakan pada bahagian barangan di belakang. Kabinnya pula menggunakan material kulit hitam.

    Nissan Navara Black Series dilancarkan – dari RM109k

    Harga bagi edisi ini bermula dari RM108,800 (atas jalan tanpa insurans) bagi varian SE Black Series, diikuti dengan RM115,800 bagi varian V dan RM124,800 bagi varian VL. Harga-harga ini menyaksikan pertambahan antara RM4,000-RM5,000 berbanding Navara biasa.

    Tiada perubahan mekanikal dilakukan. Trak pikap ini masih menggunakan enjin 2.5 liter turbodiesel dengan janaan 190 PS dan 450 Nm. Ini dipadankan dengan sistem transmisi automatik tujuh-kelajuan dengan sistem pacuan empat roda yang boleh dipilih modnya ketika bergerak.

    Nissan Navara Black Series dilancarkan – dari RM109k

    Nissan juga sudah memulakan kempen promosi akhir tahun dengan menawarkan percutian bertemakan Star Wars: The Last Jedi ke Croatia bagi pembeli bertuah. Selari dengan peraduan ‘Take Home a Nissan and Take on the Galaxy’, rebat dan penjimatan sehingga RM8,000 turut diberikan bagi model-model Nissan terpilih, serta promosi RM1 bagi pakej aksesori premium yang masih berlangsung.

     
     
  • Lamborghini Urus tampil secara rasmi – SUV 650 PS, 850 Nm tork, penghantaran bermula pada tahun 2018

    Lamborghini Urus tampil secara rasmi – SUV 650 PS, 850 Nm tork, penghantaran bermula pada tahun 2018

    Model SUV kedua Lamborghini (selepas LM002) yang dinamakan sebagai Urus akhirnya membuat penampilan rasmi pertama semalam. Sebelum model produksi ini muncul, ia diperkenalkan sebagai konsep pada tahun 2012. Nama Urus itu pula berasal daripada baka lembu besar di Sepanyol yang juga digunakan dalam pertarungan.

    SUV lima tempat duduk ini berukuran 5,112 mm panjang, 2,016 mm lebar dan 1,638 mm tinggi, manakala jarak roda pula adalah 3,003 mm. Panel badan berbentuk tajam inspirasi Aventador masih dikekalkan sama seperti model konsep tetapi saiz rimnya dikurangkan, dengan pilihan yang diberi adalah antara 21 hingga 23 inci.

    Walaupun dengan ukuran sebegini, Urus tidak kelihatan begitu ‘gemuk’ kerana mempunyai garis bumbung rendah dan lampu utama yang nipis. Ia sebenarnya dibina di atas platform MLB milik kumpulan Volkswagen, yang juga digunakan untuk Audi Q7, Bentley Bentayga dan Porsche Cayenne.

    Lamborghini Urus tampil secara rasmi – SUV 650 PS, 850 Nm tork, penghantaran bermula pada tahun 2018

    Masuk ke bahagian dalam, campuran kulit, Alcantara, aluminium, gentian karbon dan kayu digunakan. Bagi spesifikasi standard, ia datang dengan kulit berwarna dan kombinasi trim sama ada Nero Ade atau Grigio Octans. Lima lagi warna lain disediakan sebagai pilihan, serta trim warna Bicolor Elegante dan Bicolor Sportivo.

    Papan pemuka pula datang dengan kemasan hitam berkilat dan brushed aluminium secara standard, manakala kemasan kayu dan gentian karbon disediakan sebagai pilihan tambahan. Untuk tempat duduk, bahagian hadapan mempunyai pelarasan kuasa 12 arah berserta memori DNA, dan pelanggan boleh memilih tempat duduk lebih mewah yang mempunyai liang udara serta fungsi mengurut.

    Dalam keadaan standard, tempat duduk belakang Urus boleh menempatkan tiga orang, dan ia boleh direndahkan untuk menjadikan ruang barangan lebih besar, dari 616 liter kepada 1,596 liter. Pilihan lain yang diberi adalah tempat duduk lebih eksklusif untuk dua orang di bahagian belakang.

    Lamborghini Urus tampil secara rasmi – SUV 650 PS, 850 Nm tork, penghantaran bermula pada tahun 2018

    Panel instrumen adalah unit digital TFT sepenuhnya, manakala di konsol tengah, terdapat dua skrin – yang atas untuk fungsi berkaitan hiburan serta navigasi, telefon dan status kenderaan, manakala yang di bawah untuk kawalan pendingin hawa, pemanas tempat duduk serta fungsi papan kekunci dan tulisan.

    Fungsi standard yang diberi pada Urus adalah pengecas telefon tanpa wayar, kawalan suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sambungan Bluetooth, pemain DVD dan sistem bunyi lapan pembesar suara, manakala barangan tambahan yang boleh dipiih adalah paparan TV, pembaca kad DAB dan CI, head-up display, skrin hiburan untuk tempat duduk belakang dan sistem bunyi Bang & Olufsen 21 pembesar suara.

    Pada bahagian konsol tengah, terdapat tombol mod pemanduan. Secara standard terdapat empat mod iaitu Strada (Road), Sport, Corsa (Race) dan Neve (Snow), manakala melalui pakej tambahan Off-Road, pemiilk akan mendapat dua lagi mod tambahan iaitu Terra (Dirt) dan Sabbia (Sand). Melalui pakej ini juga mereka akan mendapat bampar yang diperkuat dan perlindungan di bahagian bawah kenderaan.

    Lamborghini Urus tampil secara rasmi – SUV 650 PS, 850 Nm tork, penghantaran bermula pada tahun 2018

    Mod pemanduan ini juga bekerjasama dengan sistem suspensi udara adaptif, yang boleh meninggikan dan merendahkan kenderaan mengikut keadaan. Sebagai contoh dalam mod Strada, suspensi diubah lebih kepada keselesaan manakala dalam mod Sport, ia akan menjadi lebih rendah untuk memastikan kestabilannya.

    Kuasa penggerak Urus datang daripada enjin V8 4.0 liter twin-turbo yang diberitahu oleh Lamborghini sebagai tidak sama dengan versi VAG yang digunakan pada Bentley Continental V8 dan Flying Spur V8. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 650 PS pada 6,000 rpm dan 850 Nm tork pada 2,250 rpm.

    Catatan prestasi lain bagi Urus adalah 3.6 saat untuk pecutan 0-100 km/j, 12.8 saat untuk 0-200 km/j dan laju maksimum 305 km/j. Untuk penghentian pula, dari kelajuan 100 km/j, Urus boleh berhenti sepenuhnya dalam jarak 33.7 meter.

    Lamborghini Urus tampil secara rasmi – SUV 650 PS, 850 Nm tork, penghantaran bermula pada tahun 2018

    Enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan yang menampilkan klac slip-controlled converter lock-up dan torque converter yang dibangunkan secara spesifik untuknya. Transmisi ini ditala supaya dapat memberikan nisbah gear yang sangat rendah dan gear tinggi yang lebih panjang.

    Kuasa disampaikan kepada semua empat tayar, dengan differential Torsen memberikan nisbah 40/60 secara standard untuk gandar hadapan dan belakang, dan ia boleh berubah sehingga maksimum menjadi 70% di hadapan atau 87% di belakang, bergantung kepada keperluan.

    Urus juga dilengkapi dengan active torque vectoring pada differential belakang, yang dapat menyampaikan kuasa kepada tayar tertentu untuk meningkatkan cengkaman, dan juga bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih serta keadaan jalan.

    Lamborghini Urus tampil secara rasmi – SUV 650 PS, 850 Nm tork, penghantaran bermula pada tahun 2018

    Selain brek seramik karbon yang diberi secara standard, Urus juga didatangkan dengan rear-wheel steering, yang boleh beroperasi dalam sebarang kelajuan. Sudut kecondongan tayar boleh berubah +/- 3.0 darjah bergantung kepada kelajuan kenderaan dan mod pemanduan.

    Kelengkapan keselamatan pula termasuk High Beam Assistant, pengesan jarak hadapan dan belakang, cruise control dan sistem PreCognition untuk mengelak perlanggaran. Sistem ADAS yang termasuk sistem pengurusan trafik, kamera pandangan atas dan mod sambungan treler pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Penghantaran Lamborghini Urus kepada pelanggan akan bermula pada tahun hadapan, dan di Eropah, ia dijual pada harga bermula 171,429 euro (RM826,004) tidak termasuk cukai.

     
     
  • Teknologi kereta tanpa pemandu buatan Malaysia – dari Google ke Reka; cerita dan impian orang muda

    Teknologi kereta tanpa pemandu buatan Malaysia – dari Google ke Reka; cerita dan impian orang muda

    Individu-individu di Reka ketika ini mempunyai sesuatu yang sangat menjanjikan untuk ditawarkan kepada industri automotif tempatan – paling tidak jika dilihat dari sudut penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang sedang dijalankan.

    Sebuah syarikat kecil dengan teras kemahiran dalam bidang Artificial Intelligence (AI), ketika ini mereka antara lain terlibat di dalam peringkat awal penyediakan penyelesaian bagi sektor pengilangan; sebagai contoh, menghasilkan teknologi pada forklift untuk kegunaan dalam kawasan kilang yang tidak memerlukan pengendali.

    Mula ditubuhkan sekitar 2014, syarikat ini terdiri daripada 20 orang individu yang terdiri dari latar belakang pengetahuan yang berbeza, dari sains komputer, kejuruteraan elektronik, bio-medik hinggalah ke aeroangkasa. Mereka kini memiliki dua premis operasi – pejabat pengurusan utama di Kuala Lumpur dan sebuah lagi makmal R&D di Melaka.

    Teknologi kereta tanpa pemandu buatan Malaysia – dari Google ke Reka; cerita dan impian orang muda

    Lebih menarik, sejak September 2016, mereka telah memulakan pembangunan teknologi berkaitan kereta tanpa pemandu yang dihasilkan sendiri – yang sudahpun menjalankan beberapa siri ujian dan demonstrasi sebenar di beberapa acara atau pameran yang mereka terlibat sama setakat ini.

    Untuk mengetahui lebih lanjut tentang usaha ini, kami duduk berbual dengan CEO Reka, Muhammad Haziq Faris Hasnol minggu lalu dan bertanyakan tentang permulaan, hala tuju serta cabaran untuk membawakan teknologi maju yang dibangunkan sendiri ini dan bagaimana untuk meyakinkan khalayak di Malaysia.

    Haziq, 27, menjelaskan semua ini bermula pada awalnya dari sebuah cip elektronik yang mereka hasilkan, yang dikenali sebagai Reka Innovation Gear (RIG). “Sama seperti kebanyakan teknologi kereta tanpa pemandu lain yang ada ketika ini, sistem yang kami bangunkan juga berada dalam Tahap 3 bagi kategori pemanduan autonomous,” jelasnya.

    Teknologi kereta tanpa pemandu buatan Malaysia – dari Google ke Reka; cerita dan impian orang muda

    Ini bermaksud, teknologi R&D yang dibangunkan itu masih memerlukan manusia untuk memantau operasinya, tapi tidak memerlukan orang untuk duduk dikerusi pemandu dan mengendalikannya. Setakat ini, mereka telah menghasilkan tiga prototaip kereta yang dipasangkan sistem ini. Versi paling awal menggunakan sebuah Proton Waja dan mula diuji pada November 2016.

    Kira-kira sebulan selepas itu, mereka melakukan ujian perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka untuk menilai sistem berkenaan; dua penumpang duduk di belakang untuk meninjau dan tanpa pemandu. Setakat yang sudah diuji, sistem berkenaan mampu mencapai keadaan operasi yang optimum pada kelajuan 60-80 km/j.

    Bagi kemampuan membelok di simpang pula, ia berkesan dalam kelajuan 20-30 km/j. Sementara kemampuan membrek pula ialah dalam jarak 5-10 meter – semua ini setakat yang pernah mereka uji dan berpandukan sistem navigasi sedia ada seperti Google Maps.

    Teknologi kereta tanpa pemandu buatan Malaysia – dari Google ke Reka; cerita dan impian orang muda

    Kini, mereka beralih pula kepada dua Proton Perdana yang dipinjamkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Nano Malaysia – dua unit ini sering dibawa menjelajah untuk bertemu khalayak, dengan sistem yang lebih stabil dan pemasangan yang lebih kemas.

    “Dari segi perkasasan atau peranti, kami menggunakan teknologi sedia ada seperti kamera (permulaan dulu hanya menggunakan dashcam untuk percubaan), sensor radar dan laser dan sebagainya. Tetapi yang membezakannya ialah perisian pintar yang kami bangunkan,” tambah Haziq. Dalam bahasa mudah, teknologi tanpa pemandu sudah ada di sini, dan dibangunkan oleh warga tempatan sendiri, walaupun mungkin masih perlu diperkemaskan serba sedikit untuk produksi.

    Bergerak ke hadapan, apa yang ingin dicapai dengan teknologi yang dibangunkan ini? Haziq menjelaskan, tentunya mereka ingin menjadikannya sebagai produk komersial, mungkin dalam tempoh beberapa tahun lagi. “Tetapi, daripada maklum balas beberapa pengeluar dan agensi kerajaan yang sudah kami temui, rata-rata tidak menunjukkan minat seperti yang diharapkan terhadap potensi teknologi yang dibangunkan sendiri di Malaysia ini,” jelas Haziq.

    Teknologi kereta tanpa pemandu buatan Malaysia – dari Google ke Reka; cerita dan impian orang muda

    Yang dimaksudkan adalah untuk menjalin usaha sama dalam memperkemas dan mempertingkatkan kemampuan teknologi yang sudah ada ini, atau paling tidak untuk membantu mempatenkan hasil kerja ini agar ia menjadi satu produk yang hakciptanya dimiliki oleh syarikat Malaysia. “Walaupun begitu, kami ada menerima tawaran dari pihak luar yang berminat untuk menjalin kerjasama serta melanjutkan pembangunan teknologi ini, antaranya dari firma di Singapura dan Australia.” tambahnya.

    Tetapi, buat masa ini, mereka agak keberatan untuk memilih jalan itu, disebabkan syarat yang dikenakan misalnya oleh firma Singpura berkenaan adalah mereka perlu memindahkan pusat operasi ke sana serta paten terhadap rekaan yang dibangunkan juga akan berpindah tangan.

    “Kami tidak menolak tawaran pihak luar yang ada, tetapi dalam tempoh setahun-dua ini kami akan cuba bertahan dan mencari jalan untuk menyumbang tenaga dan kemahiran dalam negara sendiri. Kalau masih tak berhasil, barulah kami akan pertimbangkan untuk terima tawaran dari pihak luar negara,” jelasnya.

    Teknologi kereta tanpa pemandu buatan Malaysia – dari Google ke Reka; cerita dan impian orang muda

    Melihat kepada usaha besar yang dilakukan oleh Reka dengan sumber yang agak terhad serta visi yang ada, tentu ada yang tertanya-tanya latar belakang CEO muda ini. Haziq sebelum ini pernah melanjutkan pelajaran di Universiti Cambridge, UK dalam bidang sains komputer. “Tetapi saya tidak menghabiskan pengajian ketika itu kerana menerima tawaran kerja dari Google di Amerika Syarikat,” jelasnya.

    “Kemudian saya kembali ke Malaysia dengan hasrat untuk menyumbang tenaga dan kreativiti di tanahair sendiri. Jadi, setahun-dua sebelum mendirikan Reka Studios, saya pusing satu Malaysia – berdasarkan khabar angin – untuk mencari dan berjumpa dengan individu-individu dengan kepakaran berbeza yang berkongsi impian yang sama,” ujar Haziq.

    Perjalanan itu telah berhasil menemukannya dengan mereka yang menjadikan Reka Studios seperti hari ini. “Antara yang bersama kami ketika ini misalnya seorang jurutera aeroangkasa tempatan yang sempat menimba ilmu bersama NASA di AS dahulu, dan juga individu yang bertanggungjawab membangunkan perisian face detection pada kamera Samsung,” tambah Haziq lagi, yang yakin kepelbagaian kepakaran ini yang menjadi kelebihan untuk mereka.

    Semoga anak-anak muda ini berhasil mengharumkan nama negara suatu hari nanti dan menjadi inspirasi untuk ramai orang – dan tentunya Malaysia boleh menikmati teknologi kereta tanpa pemandunya sendiri yang boleh dibanggakan.

     
     
  • Jaguar F-Pace 2.0 Ingenium – tiba di Malaysia Q1 2018

    Jaguar F-Pace 2.0 Ingenium – tiba di Malaysia Q1 2018

    Jaguar Land Rover Malaysia telah mula mengambil tempahan untuk model permulaan F-Pace, yang dilengkapi dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder Ingenium baharu. SUV mewah ini dijangka akan dilancarkan di Malaysia pada suku pertama (Q1) tahun 2018 dan bakal diposisikan di bawah varian 3.0L supercharged V6 (RM599k).

    Penjana kuasa baharu ini mampu menghamburkan output sehingga 250 PS dari 1,200 rpm dan tork 365 Nm iaitu 90 PS dan 85 Nm kurang daripada enjin V6. Ia juga mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.8 saat. Enjin ini diperbuat daripada struktur Aluminium, bagi menggantikan penjana kuasa GTDI RWD, yang digunakan di pasaran China. Kelebihan enjin ini berbanding GTDI ialah ia turut mampu mempertingkatkan prestasi termasuk meningkatkan penjimatan bahan api sebanyak 15%, 4.1 kg lebih ringan dan juga NVH yang turut diberi penambahbaikan.

    SUV lima-tempat duduk ini juga turut dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan 8HP45 (versi V6 menerima 8HP70) yang lebih ringan dan kompak, yang menyalurkan kuasa ke semua rodanya. Ia juga menampilkan pendulum damper di dalam torque converter yang lebih efektif untuk menyerap getaran frekuensi rendah serta membolehkan enjin dipacu dalam kelajuan rendah tanpa menjejaskan kehalusannya.

    Buat masa ini, harga dan spesifikasi yang lebih terperinci masih belum didedahkan. Namun bagi yang berminat, boleh mendaftar DI SINI. Anda juga boleh menyemak elemen dan spesifikasi bagi varian F-Pace yang sudah berada di Malaysia menerusi CarBase.my.

    GALERI: Jaguar F-Pace R Sport

     
     
  • Mercedes-Benz Sprinter – rekaan dalam generasi baru

    Mercedes-Benz Sprinter – rekaan dalam generasi baru

    Mercedes-Benz Sprinter generasi ketiga hanya akan dilancarkan awal tahun hadapan, tetapi pengeluar dari Jerman itu telah mengeluarkan gambar awal bahagian dalamnya. Daripada itu, kita boleh melihat ia mendapat inspirasi daripada kenderaan penumpang Mercedes-Benz yang lain dengan stereng tiga cabang daripada C-Class facelift, corong pendingin hawa berbentuk turbin seperti E-Class Coupé, skrin tengah yang besar serta butang kawalan tempat duduk di panel pintu.

    Sebagai sebuah kenderaan pelbagai tugas, terdapat banyak ruang simpanan pada van besar ini termasuk dua kotak besar di bawah konsol tengah dan bertentangan penumpang hadapan, di papan pemuka. Gambar teaser bahagian luar kenderaan ini pula sekadar menunjukkan ia mempunyai lampu yang lebih tajam dan penyalaan seperti LED.

    Sprinter baru ini adalah sebahagian daripada inisiatif adVANce untuk van Mercedes-Benz, dan ia membawa perubahan daripada sekadar sebuah kenderaan kepada penyedia penyelesaian pengangkutan dan mobiliti bersepadu. Untuk itu, van ini datang dengan pelbagai ciri termasuk sambungan internet sebagai sebahagian daripada infrastruktur untuk membolehkan ia diguna untuk servis tertentu.

    Mercedes-Benz Sprinter – rekaan dalam generasi baru

    Turut diperlengkap adalah sistem pengurusan kenderaan Mercedes Pro Connect untuk jumlah kenderaan yang kecil dan sederhana, yang membolehkan pengurusan serta pengawasan kenderaan secara atas talian yang termasuk akses kepada informasi seperti lokasi, tahap bahan api serta selang masa servis.

    Model baru Sprinter ini dijangka dilancar dengan menggunakan enjin diesel empat silinder 2.0 liter dan enam silinder 3.0 liter baru. Versi elektrik iaitu eSprinter pula akan dilancar pada tahun 2019, bagi membantu mengurangkan emisi dan boleh diguna dalam kawasan atau jarak tertentu.

    Pengeluaran Sprinter baru akan kekal dilakukan di Dusseldorf dan Ludwigsfelde. Tetapi, kilang baru di North Charleston, South Carolina juga akan mengeluarkan kenderaan untuk Amerika Utara, yang merupakan pasaran kedua terbesar untuk van ini selepas Jerman.

     
     
  • Bas Putra NEDO EV mula beroperasi di Putrajaya- purata 30 km jarak perjalanan, 10 minit bagi cas penuh

    Bas Putra NEDO EV mula beroperasi di Putrajaya- purata 30 km jarak perjalanan, 10 minit bagi cas penuh

    Bas Putra NEDO EV pastinya bakal menjadi antara daya tarikan di Putrajaya selepas mula beroperasi baru-baru ini kerana ia merupakan bas berkuasa elektrik (EV) Super Quick Charge (SQC) pertama di Malaysia. Lebih membanggakan, ia dibangunkan oleh syarikat tempatan sendiri iaitu DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH) yang merupakan anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM).

    Projek SQC ini adalah daripada program pemindahan teknologi hasil perjanjian di antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Jepun. Memorandum Persefahaman ini telah ditandatangani di antara Perbadanan Putrajaya (PPj) dan New Energy and Industrial Technology Development Organization (NEDO) Jepun yang diusahakan oleh konsortium dari Negara Matahari Terbit itu yang terdiri daripada Toshiba Infrastructure Systems & Solutions Corporation (pengurusan projek secara keseluruhan termasuk membekalkan bateri lithium-ion), PUES Corporation (bagi penjana kuasa elektrik), Hasetec Corporation (untuk SQC) dan Oriental Consultants Global Company Limited (bertanggungjawab dalam penilaian alam sekitar dan ekonomi).

    DEFTECH juga dijangka akan menjadi hab serantau bagi pengeluaran bas SQC EV di masa hadapan. Setakat ini, DEFTECH telah diamanahkan untuk mengeluarkan 11 unit bas setingkat EV. Sebanyak lapan unit bas telah diserahkan kepada PPj manakala baki tiga unit dijadualkan akan dihantar pada tahun 2018. Namun menurut Toshiba, terdapat dua unit bas dua tingkat yang bakal dibangunkan dalam projek ini. Bas Putra NEDO EV ini dikendalikan oleh Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd (Nadiputra), iaitu anak syarikat milik penuh PPj, yang menjalankan perkhidmatan di kawasan Putrajaya.

    Bas Putra NEDO EV mula beroperasi di Putrajaya- purata 30 km jarak perjalanan, 10 minit bagi cas penuh

    Bas SQC EV menggunakan teknologi yang berbeza berbanding bas EV lain yang beroperasi di Malaysia, dan mungkin di rantau ASEAN. Sistem Super Quick Charging (SQC) hanya memerlukan 10 minit untuk dicas sepenuhnya melalui overhead pantograph, antara setiap perjalanan iaitu mencecah purata 30 km. Kesemua bas EV ini dilengkapi dengan bateri pengecasan lithium-ion jangka hayat-panjang Toshiba’s SCiB™, yang diiktiraf memiliki kebolehpercayaan operadi dan daya ketahanan terbaik dalam apa jua kondisi.
    Pastinya ia lebih pantas dan efektif berbanding kebanyakan bas komersial EV lain yang secara umumnya memerlukan tempoh semalaman untuk dicas semula (dianggarkan 6-8 jam) untuk beroperasi secara optimum.

    Pengecas telah dipasang di terminal bas di stesen Putrajaya Sentral dan semua bas EV ini boleh dicas secara pantas di sana. Sugu dan status bateri serta karakteristik elektronik bas dan pengecasan sepanjang operasi akan dipantau oleh sistem IoT untuk tujuan penyelenggaraan yang efisien.

    Projek Bas Putra NEDO EV ini telah dimulakan sejak Februari 2015 (termasuk fasa perancangan dan penyediaan) dan dijangka selesai pada tahun 2020. Ia menelan kos sebanyak 3.6 bilion yen (RM129,760,218.00). Ia turut mendapat sokongan penuh daripada pelbagai kementerian dan agensinya, terutamanya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, dan Jabatan Pengangkutan Jalan, projek ini adalah langkah pertama dalam menjadikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebagai sebuah bandar hijau .

     
     
  • Volkswagen tunjukkan van elektrik untuk sistem perkongsian kenderaan MOIA – operasi pada 2018

    Volkswagen tunjukkan van elektrik untuk sistem perkongsian kenderaan MOIA – operasi pada 2018

    Selepas hampir satu tahun ditubuhkan, kini servis perkongsian kenderaan milik Volkswagen, iaitu MOIA mendedahkan kenderaan yang akan diguna – van enam tempat duduk kuasa elektrik. Misi utama MOIA melalui servis perkongsian kenderaan ini adalah “kurangkan satu juta kenderaan atas jalan”.

    Di dalam van ini terdapat enam tempat duduk, dan setiap satunya adalah berasingan dan mempunyai ruang yang cukup luas. Ia direka khas untuk servis perkongsian kenderaan, dan dilengkapi dengan sambungan WiFi, serta soket pengecas USB dan lampu membaca untuk setiap penumpang. Beg pula boleh diletakkan sama ada di tepi penumpang sendiri ataupun tepi pemandu.

    Van ini menjadikan keseluruhan ekosistem untuk servis perkongsian kenderaan MOIA ini lengkap, di mana selain itu, ia juga akan didatangkan dengan aplikasi khas untuk pelanggan yang boleh digunakan untuk menempah serta membayar servis MOIA. Aplikasi itu boleh menunjukkan kenderaan apa yang ada, dan berapa jumlah yang perlu dibayar untuk setiap perjalanan. Sistem khas digunakan supaya penumpang menghala ke destinasi sama, dan mengurangkan lencongan. Pemandu pula mempunyai aplikasi yang lain.

    Menurut MOIA, keseluruhan ekosistem servis perkongsian kenderaan ini akan dilancarkan secara rasmi di Hamburg, Jerman pada penghujung tahun 2018, dan untuk masa depan, mereka mensasarkan operasi yang lebih meluas termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat bagi mencapai misi seperti yang disebutkan tadi menjelang tahun 2025.

    “Kami bermula satu tahun yang lepas di London dengan visi bekerjasama dengan bandar untuk memperbaiki kecekapan di atas jalan. Kami ingin mencipta penyelesaian untuk masalah pengangkutan yang biasa dihadapi seperti trafik, ruang, serta pencemaran udara dan bunyi,” kata ketua pegawai eksekutif MOIA, Ole Harms.

     
     
  • Proton catat lonjakan jualan bagi 2017 – mencecah 66,190 unit, meningkat 2% berbanding tahun lalu

    Proton catat lonjakan jualan bagi 2017 – mencecah 66,190 unit, meningkat 2% berbanding tahun lalu

    Proton makin melangkah lebih agresif apabila berjaya mengekalkan pertumbuhan mantap dalam prestasi jualannya pada tahun hingga kini. Sehingga 30 November 2017, Proton telah berjaya mencapai 66,190 unit jualan iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak 2% berbanding 65,069 pada tempoh yang sama tahun lepas.

    “Ia merupakan satu perjalanan yang mencabar untuk Proton sejak lima tahun yang lalu dan pertumbuhan mantap yang direkodkan dari Januari hingga November 2017 merupakan pencapaian yang positif untuk Proton. Kami akan bekerja dengan lebih keras di bulan yang mendatang dan kami mengalu-alukan para pelanggan untuk mengambil kesempatan terhadap promosi hujung tahun bagi kereta Proton,” kata Abdul Rashid Musa, Naib Presiden Jualan & Pemasaran, Proton.

    Seperti yang dijangka, Saga dan Persona kekal mendahului semua model Proton yang lain dengan jumlah jualan masing-masing sebanyak 28,368 dan 18,113 unit tahun hingga kini, menyumbang sebanyak 70% daripada jumlah jualan kereta Proton.

    “Pertumbuhan ini dapat dilihat dari peningkatan tahap kualiti yang dilakukan di peringkat dalaman. Bekerjasama dengan rakan kongsi, PRroton memperhebatkan proses dan usaha peningkatan kualiti melalui perkongsian pengetahuan dan kemahiran dengan lebih mendalam, serta peluang latihan untuk pekerja Proton di Geely, China.

    Proton catat lonjakan jualan bagi 2017 – mencecah 66,190 unit, meningkat 2% berbanding tahun lalu

    Kemajuan yang positif dapat dilihat kerana PROTON sudahpun memiliki produk yang baik. Ketahanan dan kehandalan kereta Proton telah diuji melalui perlumbaan ketahanan selama 9 jam di Sepang 1,000 km 2017 bulan lepas di mana kereta Proton diumumkan sebagai juara keseluruhan. Kami akan terus berusaha untuk memperbaiki lagi kereta Proton dan Syarikat berharap dapat memberikan kepuasan kepada pelanggan ke tahap yang lebih baik,” tambah Rashid lagi.

    Dengan kemenangan tersebut, jualan Iriz telah menunjukkan peningkatan sebanyak 2.8% pada November 2017 berbanding Oktober 2017, selepas menunjukkan prestasi yang kurang memberansangkan sebelum ini.

    Dalam masa yang sama, Proton masih meneruskan kempen promosi Bonanza Akhir Tahun dengan menawarkan RM0 penyelenggaraan sehingga 5 tahun dan penjimatan sehingga RM8,000. Malah Proton menawarkan penyelenggaraan bernilai RM0 sehingga 5 tahun, termasuk minyak enjin dan kos pekerja. Walau bagaimana pun, ia tertakluk pada terma dan syarat.

     
     
  • Alfa Romeo kembali sertai F1 selepas lebih 30 tahun

    Alfa Romeo kembali sertai F1 selepas lebih 30 tahun

    Selepas lebih 30 tahun keluar, akhirnya Alfa Romeo mengumumkan akan kembali menyertai perlumbaan Formula One bermula pada musim hadapan. Perkara ini menjadi rasmi apabila Alfa Romeo, yang dimiliki oleh Fiat Chrysler Automobiles (FCA) menandatangani perjanjian kerjasama teknikal dan komersial bersama pasukan Swiss Sauber F1 Team.

    Pasukan baru ini akan dikenali sebagai Alfa Romeo Sauber F1 Team, dan kereta lumba satu tempat duduk yang diguna akan mempunyai warna serta logo Alfa Romeo, manakala enjinnya pula adalah unit tahun 2018 daripada Ferrari. Gambar awal yang tersebar di internet menunjukkan kereta ini berwarna merah dan putih, tetapi ia mungkin berubah nanti.

    Melalui perjanjian ini, kedua-dua pihak boleh berkongsi kepakaran teknologi, komersial dan strategi dalam semua bahagian pembangunan, termasuk akses kepada pengetahuan kejuruteraan dan kepakaran teknikal Alfa Romeo. Selain dalam perlumbaan itu sendiri, kerjasama ini juga dapat memberi manfaat kepada kedua-dua syarikat dalam sektor automotif secara amnya.

    Alfa Romeo terlibat dalam perlumbaan Formula 1 sejak tahun 1950 hingga 1988 sebagai pembina dan juga pembekal enjin. Selepas penampilan pertamanya, dengan pantas Alfa Romeo berjaya menggondol gelaran juara bagi kategori pemandu melalui Nino Farina dan Juan Manuel Fangio pada tahun 1950 dan 1951. Kembalinya mereka selepas lebih 30 tahun ini menunjukkan tujuan yang jelas untuk memberikan impak ke dalam dunia permotoran.

     
     
  • Nissan Kicks jadi crossover terkini masuk pasaran AS

    Nissan Kicks jadi crossover terkini masuk pasaran AS

    Selepas pengenalan sulung untuk pasaran Amerika Latin dan kemudiannya China sebelum ini, Nissan Kicks, sebuah crossover segmen B terbaru syarikat itu kini melebarkan sayap ke pasaran Amerika Syarikat pula – sebagai ganti model Nissan Juke di sana.

    Rekabentuknya lebih cenderung ke arah rekaan yang kian diterima kini, misalnya Honda HR-V, dengan rekabentuk lampu utama yang lebih tajam mengapit gril V-Motion khas Nissan. Rekaan bumbungnya juga mengambil pendekatan rekaan floating roof dengan tiang A dan C dihitamkan. Ia nampak lebih lebar dan kukuh dengan bahagian fender yang menonjol, dengan rekaan lampu belakang ala boomerang melengkapkan penampilannya.

    Nissan Kicks jadi crossover terkini masuk pasaran AS

    Pilihan yang turut ada ialah lampu utama LED dengan lampu kedudukan yang juga dari jenis LED, lampu kabus, cermin sisi dengan pemanas dibahagian luar bersekali lampu isyarat dan juga spoiler bumbung di belakang. Akan ada tujuh pilihan warna luaran serta lima gabungan warna dwi-tona untuk pengguna.

    Di bahagian dalam, ia menerapkan rekaan yang mirip digunakan oleh Nissan March yang baru. Ini tidaklah menghairankan, memandangkan kedua-duanya menggunakan asas yang sama – platform V. Papan pemuka dengan sentuhan Gliding Wing dilengkapi dengan sistem infotainmen dengan skrin sentuh tujuh-inci – dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Varian paling lengkap dilengkapi dengan sistem bunyi Bose Personal Plus dengan tambahan lapan pembesar suara.

    Nissan Kicks jadi crossover terkini masuk pasaran AS

    Ia menggunakan enjin 1.6 liter empat silinder petrol yang menghasilkan 125 hp dan 156 Nm yang dipadankan dengan transmisi Xtronic CVT. Bacaan penggunaan minyaknya ialah 7.1 liter bagi 100 km. Ciri-ciri lain yang melengkapinya sebagai penawaran standard ialah kawalan kestabilan (VDC). Bagi model SR, ada pertambahan ciri Dynamic-Control Module (IDM) dengan Active Engine Brake, Active Trace Control dan Active Ride Control.

    Dari aspek keselamatan, ia juga hadir dengan ciri Automatic Emergency Braking (AEB) dengan Forward Collision Warning (FCW), tujuh-beg udara dan kamera undur, termasuk ciri pilihan antaranya Intelligent Around View Monitor.

     
     
  • Naza Kia Malaysia lanjut program bantuan banjir ke Pantai Timur pula – 50% diskaun alat ganti tulen

    Naza Kia Malaysia lanjut program bantuan banjir ke Pantai Timur pula – 50% diskaun alat ganti tulen

    Selepas bahagian utara dilanda banjir besar baru-baru ini, giliran Pantai Timur pula mengalami nasib yang sama. Bagi meringankan beban pemilik kenderaan Kia yang terjejas akibat banjir, Naza Kia Malaysia berbesar hari untuk menawarkan bantuan banjir di daerah Pantai Timur pula.

    Mulai hari ini sehingga 31 Disember 2017, pemilik kenderaan Kia yang terjejas akibat banjir bolehlah menghantar kenderaan masing-masing di tiga pusat servis Kia yang mengambil bahagian iaitu NKM Kuantan Red Cube (Pahang), Autohaus Prima Sdn Bhd (Terengganu) dan Sri Baru Fast Automobile (Kelantan) untuk pemeriksaan percuma dan turut ditawarkan diskaun sehingga 50% bagi alat ganti tulen serta kos buruh, yang tertakluk pada tahap kerosakan kenderaan terbabit.

    Dalam masa yang sama, Naza Kia turut menyarankan agar anda tidak menghidupkan enjin kenderaan yang terjejas, buka pintu secara manual dengan menggunakan kunci untuk mengelakkan peralatan elektronik kawalan jauh terjejas dan segera mencabut terminal bateri.

    Selain itu, anda perlu segera membuat laporan polis dan memaklumkan kepada syarikat insurans kenderaan anda. Kemudian keluarkan semua barangan berharga daripada kenderaan sebelum menguncinya semula secara manual. Dan akhir sekali, segera hubungi pusat servis Kia berhampiran untuk membuat temujanji bagi pemeriksaan lanjut dan proses menunda kenderaan anda.

     
     
  • Toyota C-HR – Harga bagi pasaran Malaysia mula beredar, dijangka RM146k dan bakal dilancar Q1 2018

    Klik untuk besarkan

    Beberapa kali ia muncul di khalayak ramai di negara ini, sekaligus mengundang rasa tidak sabar di kalangan peminatnya untuk mengetahui harga Toyota C-HR yang bakal tiba di pasaran Malaysia ini. Terkini, senarai harganya bagi pasaran Semenanjung Malaysia telah mula beredar. Di mana ia bakal ditawarkan dengan harga atas jalan RM145,500 (tanpa insurans). Menurut senarai tersebut, harga ini adalah untuk mereka yang mendaftar minat pada awal tahun ini.

    Merupakan model pemasangan dari Thailand (CBU), C-HR pasaran Malaysia juga didatangkan dengan enjin 2ZR-FBE 1.8 liter empat-silinder DOHC dengan Dual VVT-i yang turut dipadankan dengan CVT tujuh-kelajuan. Penjana kuasa ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 137 PS pada 6,400 rpm dan tork 170 Nm pada 4,000 rpm.

    Spesifikasi luaran dan dalamannya juga telah didedahkan baru-baru ini. Bagi bahagian luarannya, ia didatangkan dengan lampu utama projektor halogen automatik dengan fungsi Follow Me Home, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan dan belakang dengan unit halogen, lampu belakang LED dan juga rim aloi 17-inci yang dibaluti tayar 215/60R17.

    Menjengah kabinnya pula, bahagian atas papan pemuka C-HR bagi pasaran Malaysia ini dibentangi rona coklat gelap, malah warna yang sama turut menghiasi panel plastik hiasan pada tepi pintu dengan tekstur jalinan. Bahagian lainnya pula dihiasi plastik lembut dengan kekemasan hitam berkilat.

    Antara elemen yang bakal ditampilkan termasuklah sistem masuk tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu bawah pintu, tempat duduk balutan kulit bercorak, tempat duduk dengan larasan sokongan belakang elektrik (larasan sandar dan ke hadapan masih lagi manual), lampu serta pengelap cermin automatik, skrin informasi berwarna 4.2-inci, kawalan pendingin hawa dwi-zon dan kamera undur.

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan skrin sesentuh tujuh-inci dengan pemain DVD, sambungan telefon pintar, pengesan suara, capaian Internet, Wifi, HDMI, USB, Bluetooth, dan juga enam-pembesar suara.

    Manakala untuk aspek keselamatan pula, ia didatangkan dengan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu) bersama Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dengan kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, ABS dengan EBD dan bantuan Brek, paparan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan tekanan tayar dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

    Warna standard yang ditawarkan termasuklah Metal Stream Metallic dan Attitude Black Mica, serta anda juga boleh memilih White Pearl CS atau dua-tona Blue Metallic dan Red Mica – kedua-duanya dengan bumbung hitam – tetapi dengan harga tambahan. Turut ditawarkan ialah sistem navigasi DVD-AVN, perakam video digital (seperti dash cam) dan pengalas barangan. Tidak sabar menantinya? C-HR ini dijangka bakal dilancarkan pada suku pertama 2018.

    GALERI: Toyota C-HR spesifikasi Malaysia

    GALERI: Toyota C-HR TRD Sportivo

     
     
  • Toyota FT-AC tampil di LA – untuk gaya hidup lasak

    Toyota FT-AC tampil di LA – untuk gaya hidup lasak

    Toyota telah membawa sebuah kenderaan konsep yang dinamakan sebagai FT-AC ke Los Angeles Auto Show 2017, dan ia mengetengahkan gaya sebuah SUV/crossover yang ranggi, dan boleh disesuaikan dengan pengguna yang mempunyai gaya hidup aktif. Satu tambahan yang menarik, kereta ini mempunyai kamera yang boleh merekod pengembaraan pemiliknya.

    Kamera tersebut terletak di cermin sisi (boleh dicabut jika mahu), dan ia lengkap dengan fungsi infra merah supaya boleh merekod video waktu cahaya kurang ataupun malam. Ia turut dibantu dengan lampu penanda LED di hadapan, yang juga boleh bertindak sebagai flash apabila mengambil gambar. Fugnsi WiFi hotspot pada kenderaan ini membolehkan pengguna memuat naik video atau gambar yang dirakam ke internet, seterusnya melakukan pelarasan dan menyiarkannya menggunakan peranti elektronik.

    Dengan fungsi WiFi ini juga, pengguna FT-AC boleh melakukan siaran langsung untuk tatapan orang ramai. Selain daripada itu, kenderaan konsep ini juga didatangkan dengan lampu LED di atas bumbung yang boleh dikawal melalui peranti elektronik, serta rak basikal di belakang, yang boleh dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam kereta secara mudah.

    Toyota FT-AC tampil di LA – untuk gaya hidup lasak

    Dimensi dan spesifikasi terperinci kenderaan ini tidak disiarkan, tetapi ia datang dengan tinggi yang mencukupi untuk pelbagai permukaan, bersama rim 20 inci dan tayar all-terrain. Bahagian bawah kenderaan dilindung dengan skid plate, manakala di hadapan pula terdapat cangkuk untuk menarik kenderaan sekiranya terkandas. Lampu utama FT-AC adalah unit LED, sementara bagi lampu kabus (juga LED) ia boleh dicabut dan dipasang pada basikal untuk kayuhan malam.

    Di bawah hud FT-AC terdapat enjin petrol dan sistem pacuan semua roda, dengan sistem torque vectoring maju yang boleh membahagikan kuasa kepada tayar tertentu bergantung kepada permukaan dan cengkaman yang diperlukan. Toyota juga sedang mempertimbangkan versi hibrid untuk FT-AC versi akan datang, seterusnya menggabungkan kuasa offroad dan penjimatan bahan api.

     
     
  • BHP umum pemenang untuk promosi Touch ‘n Go

    BHP umum pemenang untuk promosi Touch ‘n Go

    Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) telah mengumumkan dan menyampaikan hadiah buat barisan pemenang promosi ‘BHPetrol Touch ‘n Go Reload and Win’ di The Royale Chulan The Curve pagi ini.

    Promosi yang berlangsung dari 30 Ogos hingga 30 September 2017 disertai stesen BHPetrol yang mempunyai stesen tambah nilai Touch ‘n Go ini menawarkan pelbagai hadiah hebat untuk dimenangi. Sepanjang promosi ini berlangsung, setiap tambah nilai kad Tpuc ‘n Go dengan nilai minima RM50 turut menerima e-baucer BHPetrol bernilai RM3 bagi setiap transaksi. e-baucer tersebut boleh ditukar dengan pembelian minimum bernilai RM20 bagi petrol Infiniti dan secara automatik memberikan peluang kepada para pelanggan untuk menyertai promosi ini.

    Seramai 44 orang pemenang berjaya merebut hadiah-hadiah yang ditawarkan, di mana 10 daripadanya menerima bekalan petrol secara percuma selama setahun bernilai RM3,600, tambah nilai Touch ‘n Go bernilai RM1,000, SmarTAG dan juga jam pintar Touch ‘n Go.

    “Ini merupakan kali pertama kami menyertai promosi secara bersama dengan Touch ‘n Go dan maklumbalas yang diterima adalah sangat memberangsangkan. Malah ia juga berjaya menarik lebih ramai pelanggan baharu dan pelanggan setia kami untuk menambah nilai kad Touch ‘n Go dan mengepam minyak di BHPetrol,” ujar Baba Tan, Pengurus Pemasaran Peruncitan BHPetrol.

    Turut hadir sama dalam majlis penyampaian hadian ini ialah Norafinaz Raja Din, Ketua Unit Perniagaan Tambah Nilai dan Jenelle Koh, Ketua Perkongsian Strategik & Korporat Touch ‘n Go Sdn Bhd.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.40
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 16, 2024