Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • KTM EXC 250 TPI 2018 sudah dijual di Malaysia – guna enjin dua lejang suntikan bahan api, harga RM45,050

    KTM EXC 250 TPI 2018 sudah dijual di Malaysia – guna enjin dua lejang suntikan bahan api, harga RM45,050

    Pada bulan Mei yang lalu, pengeluar motosikal dari Austria, iaitu KTM telah mengejutkan industri dengan pengeluaran enjin dua lejang suntikan bahan api untuk model enduro mereka yang akan dijual kepada orang ramai. Ia dihasilkan dalam dua kapasiti iaitu 250 cc dan 300 cc, melalui model EXC TPI.

    Semasa majlis pelancaran Duke 250 dan 390 beberapa hari yang lalu, kami terperasan model EXC 250 TPI ini menyorok di depan mata, di mana ia dipamerkan di kalangan motosikal offroad yang lain, dan tidak kelihatan begitu istimewa. Tidak ramai yang memberi perhatian kepada motosikal yang belum dilancarkan ini, dan tanda harganya juga jelas terpampang, iaitu RM45,050 termasuk GST.

    Sedikit berkenaan spesifikasi, KTM EXC 250 TPI 2018 ini dikuasakan oleh enjin satu silinder 249 cc dua lejang, dan gabungan transmisi enam kelajuan. Apa yang menjadikan ia istimewa adalah sistem suntikan bahan api TPI, yang menjadikan ia motosikal berenjin dua lejang suntikan bahan api pertama di dunia – untuk produksi dan pasaran awam.

    Melalui model ini, KTM menawarkan penggunanya dengan manfaat tambahan, selain kuasa kuat yang sudah cukup sinonim dengan enjin dua lejang, iaitu penjimatan bahan api, dan lebih memudahkan kerana mereka tidak perlu mencampur sendiri minyak 2T dan petrol, serta tidak perlu menukar tetapan jetting untuk keadaan persekitaran yang berbeza seperti yang perlu dilakukan pada enjin dua lejang sebelum ini.

    Bagi aspek kuasa pula, KTM mendakwa rasanya lebih ‘garing’ dan tidak teragak-agak apabila mahu dikerah. Enjin ini juga menepati tahap emisi Euro 4. Barangan lain yang ada pada motosikal ini tetap berkualiti seperti motosikal KTM yang lain, termasuk pemula enjin elektronik, bateri lithium ion ringan, brek Brembo, klac hidraulik, suspensi WP dan pelbagai lagi.

     
     
  • Formula 1 akan gunakan mikrofon khas bagi hasilkan bunyi enjin lebih mengujakan di kaca televisyen

    Formula 1 akan gunakan mikrofon khas bagi hasilkan bunyi enjin lebih mengujakan di kaca televisyen

    Pihak pengendali perlumbaan Formula 1 kini sedang berusaha untuk menghasilkan mikrofon khas yang boleh diletakkan pada jentera-jentera perlumbaan bagi memberikan bunyi ekzos yang lebih kuat serta ‘mendalam’ untuk mereka yang menyaksikan perlumbaan tersebut menerusi television, lapor Reuters.

    Ini berikutan bunyi ekzos dihasilkan oleh enjin 1.6 liter V6 turbo hibrid yang digunakan sejak tahun 2014 menggantikan enjin-enjin V8, V10 dan V12 pada era-era sebelumnya agak tidak mengujakan pada siaran televisyen. Menurut pengarah urusan komersial Formula 1, Sean Bratches, lebih usaha perlu dilakukan untuk penonton-penonton seluruh dunia.

    “Salah satu aspek yang akan kami perkuatkan pada masa hadapan adalah bunyi sukan ini, kerana ia agak penting terhadap peminat dan sangat mustahak dalam semua penyelidikan yang kami lakukan,” kata Bratches kepada agensi berita berkenaan.

    Menurut Bratches lagi, buat masa sekarang seorang produser dari Australia yang mempunyai reputasi cemerlang dalam inovasi penyiaran sukan di televisyen, David Hill terbabit dengan usaha terbaharu ini.

    “Beliau sedang berusaha bersama pihak Jerman untuk menghasilkan mikorfon seramik yang boleh kami lekatkan pada paip ekzos bagi memberikan bunyi sebenar kepada peminat,” jelasnya lagi dan menyatakan ini hanyalah salah satu langkah dalam usaha berkenaan.

    Pada tahun 2014, pasukan-pasukan Formula 1 pernah menguji sistem ekzos ‘megaphone’ yang berfungsi seperti trumpet bagi menguatkan lagi bunyi enjin, namun eksperimen berkenaan tidak berjaya.

    Penyiaraan perlumbaan Formula 1 telah diambil alih oleh Liberty Media dari Amerika Syarikat sejak Januari lalu, setelah itu perlumbaan berkenaan menampilkan sudut kamera, aperture dan kedudukan yang lebih segar menghasilkan sensasi kelajuan yang lebih baik.

     
     
  • SPYSHOT: Honda Civic Type-R sudah sampai M’sia!

    SPYSHOT: Honda Civic Type-R sudah sampai M’sia!

    Awal tahun ini, Honda Malaysia telah mengumumkan mereka akan melancarkan enam model untuk tahun 2017 – lebih dua model daripada apa yang dirancangkan sebelum itu. Salah satu model berkenaan kami jangkakan adalah Honda Civic Type R generasi baharu (FK8), yang mana ia mungkin semakin jelas apabila rakan penulis kami dari paultan.org bahasa inggeris diberi peluang untuk memandu uji kereta berkenaan di Dresden, Jerman.

    Hari ini, jangkaan tersebut nampaknya semakin nyata apabila pembaca kami, Galvin Tan menghantar gambar sebuah kereta misteri yang dibalut hampir keseluruhannya diatas sebuah treler di plaza tol KLIA. Namun tidak sukar untuk mengenal pasti kereta berkenaan menerusi rekaan spoiler belakang yang begitu agresif serta tiga tip ekzos pada bahagian tengah bampar belakang yang begitu unik – tentunya ia sebuah Civic Type R FK8!

    Honda Civic Type R generasi baharu ini telah dibina dan diproduksi di kilang Honda Swindon, UK, serta diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global di Geneva Motor Show tahun lalu. Untuk pasaran ASEAN, negara yang mengamalkan pemanduan sebelah kiri iaitu Filipina merupakan negara pertama yang menerimanya, diikuti Indonesia yang dilancarkan pada GIIAS 2017 bulan lalu.

    Untuk peringkat global, enjin 2.0 liter VTEC Turbo pada Civic berkenaan menjana 320 PS pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Walau bagaimanapun, untuk pasaran Indonesia enjin berkenaan hanya ditala bagi mendapatkan 310 PS. Dengan padanan kotak gear enam-kelajuan manual serta sistem suspensi dan kit aero yang lebih jitu, Civic Type R kini memegang takhta kereta produksi pacuan hadapan paling pantas di litar Nürburgring, Jerman.

    Berbalik pada model pasaran Indoensia, hatchback berkenaan diberikan rim aloi Berlina kemasan hitam berdiameter 20-inci, dibaluti tayar Continental SportContact6 245/30R20 yang dibina khas untuknya. Ia turut hadir dengan suspensi adaptif dengan tiga mod pemanduan (Comfort, Sport and R+) serta sistem brek dari Brembo. Ia dijual pada harga 995 juta rupiah atau sekitar RM32,100.

    Jika benar FK8 dipasarkan di Malaysia, ini kali kedua Honda Malaysia berjaya membawa masuk legasi Civic paling berkuasa berkenaan setelah berjaya membawa Civic R FD2R sebelum ini. Di jual pada harga hampir RM200k lengkap dengan waranti pengeluar, Malaysia satu-satunya negara luar Jepun yang menerima model JDM berkenaan secara rasmi ketika itu.

     
     
  • Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ kini di Malaysia – 4.0 liter V8 Twin Turbo, 612 hp/850 Nm, RM998,888

    Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ kini di Malaysia – 4.0 liter V8 Twin Turbo, 612 hp/850 Nm, RM998,888

    E-Class paling berkuasa pernah dihasilkan, dan W213 tertinggi dalam barisan model – Mercedes-AMG E63 – kini secara rasminya tiba di pasaran Malaysia setelah diperkenalkan pada peringkat global Oktober tahun lalu.

    Untuk pasaran Malaysia, Mercedes-Benz hanya membawa model tertinggi dan paling berkuasa E 63 S 4MATIC+, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM998,888. Dalam tempoh terhad juga, MBM turut menawarkan versi istimewa E 63 S 4MATIC+ Edition 1, yang menawarkan ciri-ciri yang lebih tersendiri.

    E 63 S 4MATIC+ ini dijana oleh enjin AMG M178 4.0 liter V8 turbo berkembar, yang pertama kali diperkenalkan pada AMG GT S. Enjin ini menggantikan enjin M157 5.5 liter V8 yang menjana E 63 dan E 63 S W212 sebelum ini. Walaupun kapasiti enjin baharu ini lebih kecil, kuasa yang dihasilkan adalah lebih besar berbanding enjin 5.5 liter terdahulu.

    Enjin pada E 63 S 4MATIC+ menghasilkan kuasa 612 hp pada takat 5,750 hingga 6,500 rpm dan tork maksima 850 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm (557 hp/720 Nm pada enjin 5.5 liter), 49 hp/100 Nm lebih berkuasa dari versi E 63 4MATIC+ standard. Walau bagaimanapun, tork pada enjin 4.0 liter varian S ini sedikit kurang dari E 63 S W212, di mana enjin 5.5 liter pada model berkenaan dicatatkan pada 900 Nm.

    Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ kini di Malaysia – 4.0 liter V8 Twin Turbo, 612 hp/850 Nm, RM998,888

    Enjin baharu ini dipadankan dengan transmisi AMG Speedshift MCT sembilan-kelajuan, menggantikan kotak gear AMG Speedshift MCT tujuh-kelajuan sebelum ini. Kotak gear baharu ini juga menggunakan klac pemula (start clutch) menggantikan torque converter pada kotak gear lama, bagi memberikan respon yang lebih baik dan juga lebih ringan. Kotak gear baharu ini dikatakan mampu menukar gear lebih pantas, penurunan gear lebih laju serta diberikan fungsi double-clutching.

    Padanan enjin dan transmisi baharu ini membolehkan E 63 S memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat (standard 3.5 saat) sebelum mencapai kelajuan maksima yang 300 km/h pada model yang hadir bersama pakej AMG Driver.

    Berbanding E 63 W213 yang dipacu roda belakang, E 63 W213 menerima sistem pacuan semua roda bervariasi 4MATIC. Menerusi sistem berkenaan, penyambung yang dikawal secara elektro-mekanikal dihubungkan kepada gandar belakang untuk menyalurkan kuasa secara bervariasi kepada gandar hadapan, dengan agihan tork yang dikira secara berterusan berdasarkan keadaan pemanduan dan input dari pemandu, membolehkan kereta ini berubah dari sebuah jentera pacuan semua roda dengan cengkaman jalan yang kuat kepada sebuah jentera pacuan roda belakang sepenuhnya bergantung pada keadaan.

    Seperti yang dilaporkan sebelum ini, E 63 S 4MATIC+ W213 turut menerima fungsi Drift Mode sebagai ciri standard. Fungsi ini boleh diaktifkan menerusi program pemanduan “RACE” menggunakan pedal penukar gear – mematikan fungsi ESP serta transmisi boleh dikawal secara manual. Apabila fungsi ini diaktifkan, E 63 S 4MATIC bertukar kepada sebuah jentera pacuan roda belakang sepenuhnya, dan ia kekal berfungsi sehingga pemandu sendiri mematikannya. Gandar belakang pada model S ini juga diberikan unit LSD dengan sistem kawalan elektronik.

    Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ kini di Malaysia – 4.0 liter V8 Twin Turbo, 612 hp/850 Nm, RM998,888

    Program pemanduan AMG Dynamic Select ditawarkan dengan pilihan empat mod iaitu Comfort, Sport, Sport+ dan Individual. Ia turut diberikan mod “RACE” untuk kegunaan di litar perlumbaan tertutup. Untuk fungsi Racestart pula, kawalan logiknya kini telah ditala semula dan turut dipermudahkan lagi.

    Dalam program Sport, Sport+ dan Race, pemandu perlu menekan pedal brek sepenuhnya dengan kaki kiri dan pedal pendikit juga secara sepenuhnya dengan kaki kanan untuk mengaktifkan sistem elektronik agar kuasa enjin dilaras pada kuasa sepenuhnya.

    Untuk mod Comfort pula, silinder nombor dua, tiga, lima dan lapan enjin V8 ini boleh dinyahaktifkan ketika ia dipandu pada tahap separa-bebanan menerusi sistem AMG Cylinder Management bagi mendapatkan penggunaan petrol yang lebih ekonomi.

    Model ini menampilkan rekaan muka yang lebih garang, dengan bonet dan fender direka selari seperti pada model coupé, yang menurut Mercedes ia memberikan pendekatan yang lebih dinamik. Ruang roda turut dilebarkan lebih 17 mm dari E-Class standard untuk memmuatkan trek roda yang lebih lebar dan juga roda yang lebih besar pada gandar hadapan.

    Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ kini di Malaysia – 4.0 liter V8 Twin Turbo, 612 hp/850 Nm, RM998,888

    Mercedes-AMG E 63 S juga menerima gril hadapan dua baris kemasan krom perak dan hitam serta ditempatkan lencana AMG. Ia juga dipadankan dengan splitter dan apron hadapan besar diinspirasikan dari rekaan sayap jet dengan kemasan berwarna hitam. Bahagian belakang pula dipadankan dengan spoiler but, apron belakang direka seperti diffuser serta tip ekzos berkembar dengan elemen krom pada sistem ekzos sport yang boleh dipilih.

    E 63 S 4MATIC+ didatangkan dengan rim aloi ringan 20-inci lima jejari berkembar dengan kemasan akhir high-sheen dan turut dibaluti tayar berprofil 265/35R20.

    Model ini juga menampilkan suspensi AMG yang menerima kejuruteraan semula, diasaskan dari suspensi udara Air Body Control pelbagai-kebuk. Suspensi ini juga menampilkan rekaan gandar hadapan empat-hubungan yang terdiri dari komponen aloi forged dengan wishbone, rod strut, hubungan spring serta gandar belakang yang menerima kejuruteraan semula membolehkan ia disesuaikan dengan prestasi dinamik jentera ini yang telah dipertingkatkan. Turut dilengkapi adalah pembawa roda spesifik AMG, talaan elastokinematik yang dioptimakan untuk dinamik kenderaan serta camber yang lebih negatif.

    E 63 S 4MATIC+ hadir dengan cagak enjin dinamik sebagai ciri standard serta dibekalkan dengan stereng sensitif-kelajuan elektromekanikal AMG Sport. Untuk brek pula, sedan sport ini diberikan sistem brek berprestasi tinggi AMG, dengan varian S menampilkan cakera brek bahagian hadapan yang lebih besar berbanding model standard. Sistem brek AMG karbon seramik dengan diameter lebih besar turut ditawarkan sebagai opsyen untuk varian S.

    Bahagian dalaman pula, E 63 diberikan elemen kemasan aluminium trapezium dan tempat duduk sport pada bahagian hadapan, dengan pilihan upholsteri balutan kulit nappa hitam/gentian mikro Dinamica, kulit nappa nut brown atau kulit nappa macchiato, serta diberikan opsyen tempat duduk dengan penahan kepala AMG Performance.

    Khas untuk E 63 S 4MATIC+, ia turut dipadankan dengan balutan kulit nappa pada panel instrumen, sulaman AMG pada bahagian hadapan perehat kepala, jalur tempat duduk dan tali pinggang keledar kelabu kristal dan jam analog rekaan IWC. Paparan skrin lebar dengan dua monitor juga dibekalkan sebagai ciri standard.

    Untuk model Edition 1, ia diberikan warna badan designo night Black Magno, jalur dinamik pada panel sisi serta roda aloi forged 20-inci AMG kemasan hitam matte dengan bahagian flange menerima kemasan digilap hingga berkilat.

    Pada bahagian dalaman pula, ia menerima tempat duduk sport AMG Performance balutan kulit nappa hitam dengan jahitan kuning serta roda stereng AMG Performance. Berdasarkan gambar juga, model ini turut menerima sistem audio premium Burmester dan juga jam analog rekaan IWC.

     
     
  • Harga minyak 28 Sept-4 Okt – petrol turun, diesel naik

    Harga minyak 28 Sept-4 Okt – petrol turun, diesel naik

    Lega sekali lagi menerima perkhabaran ini apabila harga bahan api utama petrol RON 97 dan RON 95 dilaporkan turun (setelah ia kekal pada minggu sebelum ini selepas meningkat selama beberapa minggu), masing-masing sebanyak 3 sen. Ini bermakna bagi minggu bertarikh 28 September hingga 4 Oktober 2017, harga bagi RON 95 menjadi RM2.16 seliter, manakala RON 97 pula RM2.46 seliter.

    Walau bagaimana pun, berita baik ini tidak ‘berjangkit’ bagi pengguna bahan api diesel kerana ia disahkan naik sebanyak 2 sen. Selepas dilaporkan turut sebanyak 3 sen pada minggu sebelum itu, kini ia berharga RM2.12 seliter bagi Euro 2, dan RM2.22 seliter buat Euro 5.

    Harga ini adalah berkuatkuasa tengahmalam ini sehingga 4 Oktober hadapan.

     
     
  • Mercedes-Benz A 250 Sport kini RM249k, C-Class Coupe terima transmisi 9G-Tronic – lebih mahal RM2k

    Mercedes_A250-2

    Mercedes-Benz Malaysia telah membuat semakan semula harga untuk model Mercedes-Benz A 250 Sport, dan kini ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM248,888 – atau RM10k lebih mahal berbanding W176 A-Class facelift yang diperkenalkan pada pasaran tempatan Mac tahun lalu.

    Walau bagaimanapun, spesifikasi mekanikal hatchback ini masih lagi kekal sama di mana A 250 Sport dijana enjin 2.0 liter turbo berkuasa 211 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 1,200 rpm hingga 4,000 rpm. Enjin tersebut digandingkan bersama transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7G-DCT, membolehkan kereta berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 240 km/j.

    Perincian model ini juga kekal sama di mana ia dibekalkan dengan kit luaran AMG Line, rim lima jejari 18-inci AMG, lampu hadapan LED high performance serta suspensi talaan AMG yang 15 mm lebih rendah dari biasa.

    Mercedes-Benz_C300_Coupe_AMG_Line_Malaysia_002

    Sementara itu, model C205 C-Class Coupe kini dipertingkatkan dengan penggunaan transmisi automatik sembilan-kelajuan 9G-Tronic untuk kesemua variannya dalam pasaran Malaysia iaitu C 200 Coupe AMG Line, C 250 AMG Line dan C300 Coupe AMG Line.

    Dengan kotak gear baharu ini, harga jualan bagi kesemua varian tersebut kini meningkat RM2,000 dari sebelum ini. Oleh itu, C 200 Coupe AMG Line kini dijual pada harga RM310,888, C 250 AMG Line berharga RM335,888 manakala varian tertinggi C 300 Coupe AMG Line dijual pada harga RM390,888.

    GALERI: Mercedes-Benz A 250

    GALERI: Mercedes-Benz C 300 Coupe AMG Line

     
     
  • VIDEO: Ujian ‘alat penjimat bahan api’ mampu milik dalam pasaran – adakah ia benar-benar berkesan?

    Dewasa ini, pelbagai alat dijual dalam pasaran yang didakwa mampu menjimatkan penggunaan bahan api kereta anda, dan dijual pada harga yang agak mampu milik. Namun persoalannya, adakah alat-alat berkenaan benar-benar berkesan seperti yang didakwa atau ianya hanya ‘palcebo effect‘ semata-mata?

    Untuk mengetahui adakah alat-alat sedemikian benar-benar berkesan atau tidak, Marty dan Moog dari Mightycarmods, Australia melakukan ujian terhadap alat-alat berkenaan. Ujian ini dijalankan dengan menggunakan sebuah Toyota Corolla hatchback E9 dan mereka membuat sebuah botol yang bertindak sebagai tangki minyak custom bagi membolehkan jumlah bahan api dipantau dengan mudah bagi ujian berkenaan.

    Sebelum melengkapkan kereta tersebut dengan alat-alat penjimat bahan api berkenaan, kereta itu dipandu terlebih dahulu di sebuah litar drag dan ia dipandu dalam jarak 4.7 km. Setelah bacaan petrol di dalam botol tersebut direkod, mereka mula memasang pelbagai alat penjimat bahan api yang dibeli menerusi internet.

    Alat-alat yang dibeli oleh Marty dan Moog ini sebahagiannya adalah sama seperti yang terdapat di Malaysia (dilabelkan dengan pelbagai jenama berbeza, tetapi sebenarnya benda yang sama), antaranya penstabil voltaj (voltage stabilizer) yang dipasang pada soket pencucuh rokok 12V, penstabil voltaj yang dipasang terus pada bateri lengkap dengan wayar bumi tambahan, magnet yang dilekatkan pada paip bahan api yang didakwa mampu ‘memecahkan molekul’ petrol, ‘kipas turbin’ yang dipasang antara penapis udara dan manifold kemasukan udara ke enjin dan juga ‘pemampat mikro’ yang didakwa mampu memberikan udara tambahan ke kebuk pembakaran yang dipasang menerusi paip vakum enjin.

    VIDEO: Ujian ‘alat penjimat bahan api’ mampu milik dalam pasaran – adakah ia benar-benar berkesan?

    Setiap alat berkenaan didakwa mampu menjimatkan sehingga 20-30% penggunaan bahan api disamping mampu meningkatkan prestasi enjin. Selepas kesemuanya dipasang, perjalanan sejauh 4.7 km yang sama dibuat untuk melihat penggunaan bahan api kereta tersebut.

    Namun apa yang mengejutkan, dengan pemasangan kesemua alat-alat berkenaan, penggunaan bahan api Corolla tersebut nampaknya bukan semakin jimat, malah semakin teruk. Menurut Marty, keputusan tersebut berkemungkinan disebabkan pelbagai faktor antaranya vakum yang telah dibocorkan oleh ‘pemampat mikro’ yang digunakan serta pelbagai lagi.

    Satu lagi yang boleh membuatkan kita berfikir, sekiranya teori-teori yang menggunakan kaedah-kaedah mudah dan murah ini benar-benar berkesan, mengapa pengeluar-pengeluar automotif tidak memadankannya sebagai ciri standard terus dari kilang? Sebaliknya mereka lebih rela melabur jutaan ringgit bagi menghasilkan teknologi-teknologi yang lebih rumit bagi mengurangkan sedikit penggunaan bahan api dari masa ke masa.

     
     
  • Mural gergasi baharu Mazda 787B di litar Laguna Seca

    Mural gergasi baharu Mazda 787B di litar Laguna Seca

    Mazda 787B antara bukti terbaik bagaimana enjin Wankel Rotary berfungsi lebih bagus dari enjin konvensional biasa. Jentera ini menjuarai perlumbaan endurance Le Mans 24 Jam pada tahun 1991, seterusnya mencatatkan rekod sebagai enjin tanpa omboh pertama serta jenama dari Asia pertama dinobatkan sebagai juara. Namun setelah kejayaan besar diraih oleh Mazda ini, FIA telah mengharamkan penggunaan enjin Wankel Rotary berkenaan dalam perlumbaan Le Mans dengan mewujudkan undang-undang kelas baharu.

    Sebagai mengenang kejayaan tersebut, sebuah mural gergasi dengan imej jentera lagenda berkenaan telah diletakkan pada lereng bukit litar ikonik Mazda Raceway Laguna Seca, Amerika Syarikat. Mural dengan panjang 32 kaki dan tinggi 10 kaki berkenaan dilukis di atas papan plywood oleh John Cerney dari California.

    “Karya seni ini benar-benar mencerminkan siapa kami dan apa yang kami lakukan,” kata pengurus besar Mazda Raceway Laguna Seca, Gill Campbell. “Sebagai tambahan kerana menjadi penaja hak penamaan sejak 2001, litar kami menjadi ‘spiritual home‘ buat Mazda. Karya berkenaan merapatkan hubungan Mazda dengan legasi perlumbaan hebat dan fasiliti sukan bermotor berkelas dunia kami,” tambah Campbell.

    Sehingga kini, Mazda merupakan satu-satunya jenama dari Jepun yang berjaya menjuarai Le Mans 24 Jam. Mazda 787B bernombor 55 yang dipandu oleh Johny Herbert, Volker Weidler dn Bertrand Gachot memenangi perlumbaan tersebut pada tahun 1991 menggunakan strategi agresif yang dapat dilakukan kerana ketahanan dan juga ekonomi penggunaan bahan api enjin Wankel Rotary berkenaan.

    Dijana enjin R26B 2.6 liter empat rotor tanpa turbo berkuasa 700 hp dan mampu mencapai 9,000 rpm dengan mudah sepanjang 24 jam perlumbaan, jentera ini turut diberikan livery perlumbaan jenama pakaian Renown (yang menghasilkan stokin argil) dengan warna hijau-oren yang begitu menyerlah.

    Walaupun tidak lagi boleh berlumba, Mazda 787B ini kerap melakukan penampilan di Laguna Seca terutamanya pada perhimpunan tahunan Rolex Monterey Motorsports Reunion.

     
     
  • Polestar kini dipisahkan dari jenama Volvo – bina kereta sport hanya dengan logonya sendiri

    A post shared by PolestarCars (@polestarcars) on

    Polestar dikenali sebagai pembina kereta-kereta lumba Volvo sejak 1996 sehingga ia dibeli dan menjadi sayap rasmi perlumbaan dan talaan rasmi jenama dari Sweden berkenaan – sama seperti Mercedes-AMG dan BMW M – pada tahun 2015. Namun, baru-baru ini jenama tersebut dilancarkan semula bagi menjadikan ia sebagai jenama bebas, bukan hanya sebagai penala kereta-kereta Volvo sedia ada.

    Berita baharu yang muncul dari laman instagram Polestar semalam mungkin agak mengecewakan peminat The Prancing Moose buatan Sweden berkenaan setelah mesej ringkas disampaikan berbunyi ‘The End‘. Mesej berkenaan bermaksud selepas ini kereta-kereta binaan Polestar tidak lagi menggunakan logo Volvo, tetapi ia hanya membawa jenama Polestar secara bersendirian.

    Laporan Autocar sebelum ini menyebut, Polestar dikhabarkan akan menghasilkan sebuah model sports coupe dengan logonya sendiri, yang bakal menggunakan banyak komponen gentian karbon bersama enjin berkuasa sekitar 600 hp.Model tersebut akan membuat kemunculan sulungnya pada Frankfurt Motor Show tahun ini.

    Walau bagaimanapun, ia bukanlah dibina dari mula oleh Polestar, sebaliknya ia akan menggunakan platform Volvo sedia ada dan diberikan ubahsuai berat dan dipadankan dengan elemen-elemen tersendiri.

    “Polestar bakal menikmati teknologi spesifik dan sinergi kejuruteraan bersama Volvo Cars dan mendapat faedah dari skala ekonomi yang signifikant kerana hubungannya dengan Volvo. Sinergi ini membolehkan ia untuk merekabentuk, membangunkan dan membina kereta berprestasi tinggi dengan teknologi elektrik berkelas dunia,” kata petikan rasmi syarikat berkenaan.

    Boleh dijangkakan, model berprestasi tinggi ini akan dijana oleh janakuasa hibrid gabungan enjin petrol dan motor elektrik yang bakal ditala untuk prestasi pemanduan, dan bukan untuk penjimatan bahan api. Setakat ini, Volvo mempunyai unit janakuasa T8 Twin Engine berkuasa 407 hp/640 Nm yang dipadankan pada SUV XC90 dan XC60 – calon terbaik untuk digunakan pada sports coupe yang diandaikan bakal dibina berdasarkan platform Volvo S60 sedia ada.

     
     
  • KTM Duke 250 dan 390 2017 dilancarkan di Malaysia – harga jualan masing-masing RM21,730 dan RM28,800

    KTM Duke 250 dan 390 2017 dilancarkan di Malaysia – harga jualan masing-masing RM21,730 dan RM28,800

    Dua model permulaan baru yang ditunggu-tunggu iaitu KTM Duke 250 dan Duke 390 akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia oleh KTM Malaysia. Ia dijangka menaikkan kembali nama Duke dalam segmen motosikal kapasiti sederhana, yang mana model sebelum ini sudah berada dalam pasaran hampir empat tahun bagi 390 dan dua tahun untuk 250.

    Perkara paling menarik berkenaan model baru dipasang di Malaysia ini sudah tentu adalah rekaannya, yang kini semakin hampir seperti model Duke yang lebih besar iaitu Super Duke 1290 R. Pada bahagian lampu hadapan, model 390 mendapat unit LED manakala model 250 hanya menggunakan unit halogen dengan lampu siang LED. Bahagian subframe juga adalah baru, dan ia dibiarkan lebih terdedah.

    Kerangka trellis masih lagi digunakan pada kedua-dua motosikal ini, tetapi ia diberikan skema warna serta grafik yang berlainan. Selain daripada itu, anda juga boleh melihat ekzosnya kini keluar lebih tinggi di bahagian kanan motosikal berbanding unit pendek yang berakhir di tengah motosikal pada model sebelum ini.

    Melihat kepada Duke 390, ia masih menggunakan enjin satu silinder 373.2 cc sama, dengan kuasa 44 hp pada 9,000 rpm, tetapi tork telah ditingkatkan menjadi 37 Nm pada 7,000 rpm, daripada 35 Nm sebelum ini. Ketinggian tempat duduk model baru ini juga adalah lebih tinggi 30 mm (830 mm), jarak roda lebih pendek 10 mm (1,357 mm), lebih berat 10 kg (149 kg) dan dilengkapi dengan tangki minyak 2.4 l lebih besar (13.4 liter).

    Bahagian lain yang berubah pada model baru ini adalah kedudukan lebih sporty, tempat duduk lebih empuk, pemegang baru, sistem CANBUS, tayar Metzeler M5 Interact, cermin sisi lebih lebar, penarafan emisi Euro 4 dan sistem pendikit ride-by-wire. Motosikal ini juga didatangkan dengan tiga mod sistem brek ABS iaitu Road, Off dan Supermoto. Dalam mod Supermoto, sistem ABS untuk tayar belakang ditutup, tetapi untuk tayar hadapan ia masih aktif.

    Seterusnya, Duke 390 juga dilengkapi dengan panel meter TFT berwarna, yang boleh melaras keterangan skrin secara automatik bergantung kepada cahaya sekitar. Anda boleh melihat informasi lengkap melalui skrin ini, termasuk sambungan kepada telefon bimbit melalui sistem KTM My Ride.

    Kelengkapan lain pada yang ada pada Duke 390 adalah termasuk fork USD WP Suspension 43 mm baru di hadapan, monoshock pra beban boleh laras baru di belakang, rim 17 inci dengan tayar 110 mm di hadapan dan 150 mm di belakang, brek cakera 320 mm dan angkup Bybre empat piston di hadapan, brek cakera 230 mm dan angkup satu piston di belakang, sistem ABS two-channel, klac slipper dan transmisi enam kelajuan.

    Pergi kepada model Duke 250 pula, model ini kekurangan sedikit kelengkapan berbanding Duke 390, di mana ia tidak mempunyai panel meter TFT (sebaliknya menggunakan unit LCD), tiada pendikit ride-by-wire (menggunakan kabel biasa) dan tiada pilihan mod ABS Supermoto. Enjin juga masih adalah unit satu silinder 248.8 cc sama dengan kuasa sebanyak 30 hp pada 9,000 rpm dan tork 24 Nm pada 7,250 rpm.

    Jika dibandingkan dengan model Duke 250 sebelum ini, Duke 250 baru juga adalah lebih tinggi 30 mm (830 mm), jarak roda lebih pendek 10 mm (1,357 mm), lebih berat 8 kg (149 kg) dan dilengkapi dengan tangki minyak 2.4 l lebih besar (13.4 liter). Model ini juga menerima penarafan emisi Euro 4.

    Kelengkapan lain yang ada pada Duke 250 2017 adalah rim 17 inci dengan tayar 110 mm di hadapan dan 150 mm di belakang, fork USD WP Suspension 43 mm di hadapan, monoshock pra beban boleh laras baru di belakang, brek cakera 320 mm dan angkup Bybre empat piston di hadapan, brek cakera 230 mm dan angkup satu piston di belakang, brek ABS two-channel dan klac slipper.

    Harga untuk KTM Duke 250 adalah RM21,730 manakala Duke 390 pula adalah RM28,800, termasuk GST tetapi tanpa insurans dan pendaftaran. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun tanpa had batuan, manakala pilihan warna pula adalah oren dan putih untuk kedua-duanya. Antara pesaing bagi Duke baru ini adalah Honda CBR250R, Kawasaki Ninja 250 dan Benelli TnT25.

    GALERI: KTM Duke 390 2017


    GALERI: KTM Duke 250 2017

     
     
  • Jumlah jualan kenderaan Ogos 2017 mengikut jenama

    Jumlah jualan kenderaan Ogos 2017 mengikut jenama

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan baharu bagi bulan Ogos 2017. Di mana ia menyaksikan sebanyak 51,720 kenderaan baharu telah pun dihantar kepada para pelanggan. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 3,167 unit atau 6.5% berbanding Julai, namun 1% (499 unit) lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

    Jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tarikh Ogos, menunjukkan sejumlah 384,730 unit, atau 4% lebih rendah berbanding 370,152 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun 2016. MAA berkata faktor ini didorong oleh kempen promosi yang dilaksanakan oleh syarikat kenderaan dan juga sistem e-daftar yang telah pun kembali pulih operasinya.

    Mengikut rekod bagi Ogos, ada sesetengah jenama yang meningkat jualannya. Bagi peneraju jenama bukan nasional, Honda, menunjukkan peningkatan sebanyak 13.5%, jauh meninggalkan pencabar terdekatnya Toyota. Manakala lain-lain jenama Jepun yang turut menunjukkan peningkatan ialah Mazda (14.4%) dan Subaru (87.7%).

    Selain jenama Jepun, jualan kenderaan lain termasuk Volkswagen turut meningkat sehingga 53.7%, Kia (41.9%) dan Peugeot (61.4%). Cuma ada beberapa jenama yang mengalami sedikit penyusutan jualan, ini termasuklah pendahulu jenama di Malaysia, Perodua (-1.5%) dan Ford (-16.9%).

    Bagi jenama premium di Malaysia, Mercedes-Benz masih mengekalkan kecemerlangannya dengan peningkatan jualan sehingga 60.8% (tangga ke-enam tertinggi dengan 8,016 unit sehingga Ogos 2017, jauh meninggalkan beberapa jenama biasa yang lain termasuk Mazda dan Mitsubishi), sementara Volvo masih mengekalkan perkembangan yang kukuh pada 212.2%. Walau bagaimana pun, hingga Ogos 2017, jumlah jualan bagi Volvo mencapai 566 unit, turut mencabar persaing terapatnya iaitu Lexus (578 unit) dan Audi (516), tetapi tidak bagi Mercedes dan BMW (6,631 unit).

     
     
  • Honda NSX Liberty Walk – lebih lebar, lebih rendah

    Honda NSX Liberty Walk – lebih lebar, lebih rendah

    Awal tahun ini, penala dari Jepun yang terkenal dengan mengasilkan kit badan agresif untuk kereta-kereta eksotik – Liberty Walk (LB Performance) – mengumumkan mereka bakal menghasilkan produk untuk Honda NSX generasi baharu. Ia bukan sekadar omongan kosong kerana kit berkenaan kini sudah pun siap.

    Seperti hasil-hasil kerja LB Performance sebelum ini, kit tersebut menampilkan panel badan yang lebih lebar untuk setiap ruang roda, splitter udara hadapan, skirt sisi dan juga diffuser belakang yang diperbuat dari karbon. Kit untuk NSX ini turut hadir dengan GT-Wing belakang bersaiz besar bagi melengkapkan rupanya.

    Honda NSX Liberty Walk – lebih lebar, lebih rendah

    NSX yang lengkap ini dipadankan dengan rim aloi dari Forgiato. Bagi merapatkan badan kereta ini ke permukaan jalan, ia turut dilengkapi suspensi udara boleh laras.

    Namun, tiada ubahsuai dilakukan terhadap unit janakuasa supercar asli dari Jepun ini. Ia masih dikuasakan unit janakuasa hibrid yang menggabungkan enjin petrol V6 3.5 liter turbo berkembar dan juga tiga motor elektrik yang keseluruhannya berupaya mengerah 573 hp dan tork maksima 646 Nm.

     
     
  • Rapid KL sedia bas perantara khas ke F1 Sepang

    Rapid KL sedia bas perantara khas ke F1 Sepang

    Bagi anda yang berhasrat mahu menonton perlumbaan prestij Formula One Petronas Malaysia Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini, dan tidak mahu bersesak-sesak di jalan raya serta sukar mencari parkir, apa kata pilih saja menaiki bas perantara yang disediakan oleh Rapid KL ini.

    Rapid KL akan menyediakan perkhidmatan bas perantara khas bagi acara terbabit selama tiga hari berturut-turut mulai Jumaat ini.

    “Seperti tahun-tahun lepas, Rapid KL adalah Penyedia Perkhidmatan Bas Rasmi untuk acara ini. Rapid KL bukan saja akan menyediakan perkhidmatan perantara antara Kuala Lumpur dan KLIA2, tetapi juga menyediakan perkhidmatan sokongan atau ‘feeder service’ di sekitar kawasan litar.

    Sebagai edisi F1 yang terakhir, kami menjangkakan sambutan memberangsangkan daripada para peminat sukan pemotoran untuk acara yang bersejarah ini. Kerana ramai yang pergi ke SIC, cara terbaik untuk menggunakan perkhidmatan bas perantara ini, yang akan mempunyai jadual tersusun dan diberikan prioriti dan keistimewaan dalam perjalanan masuk dan keluar daripada kawasan litar oleh pihak berkuasa,” kata Encik Mohd Azam Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad.

    Menerusi kenyataan yang turut disiarkan di laman Facebook rasmi mereka, Mohd Azam turut berkata, selepas berbakti untuk temasya Sukan SEA ke 29 dan Sukan Para Asean 2017, Rapid KL akan terus menyokong agenda pembangunan sukan negara dengan menjadi Pengangkutan Rasmi untuk acara Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix dan juga untuk acara Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix, yang akan hujung bulan depan.

    Sebagai edisi yang ke-19 dan yang terakhir, 2017 Formula Petronas Malaysia Grand Prix ini dijangka mendapat sambutan dengan puluhan ribu peminat membanjiri Litar Sepang untuk menyaksikan acara berprestij itu.

    Mengambil kira jumlah kenderaan persendirian yang akan menuju ke kawasan litar dan jumlah parkir yang dijangka terhad, para peminat digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam khususnya Rapid KL untuk perjalanan yang selesa dan selamat ke Sepang.

    Rapid KL sedia bas perantara khas ke F1 Sepang

    Perkhidmatan bas khas ini akan bermula pada hari pertama acara pada 29 September dengan bas pertama berlepas daripada tempat naik dan menurunkan penumpang di tiga lokasi iaitu KL Sentral, KLCC dan KLIA 2; dengan bas yang terakhir pada 1 tengahari untuk ketiga-tiga hari.

    KL Sentral dipilih sebagai salah satu lokasi adalah kerana ia adalah hub pengangkutan awam bandaraya Kuala Lumpur dengan kemudahan silih-hubungan dengan LRT Laluan Kelana Jaya, MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang, KLIA Ekspres dan ERL, KL Monorel, KTM Komuter serta perkhidmatan ETS.

    Tempat mengambil dan menurunkan penumpang di KLCC adalah di hab bas KLCC, yang terletak berdekatan dengan stesen LRT KLCC; manakala KLIA 2 akan memberi kemudahan kepada mereka yang berkunjung ke Sepang dengan menaiki pesawat tambang murah dari dalam dan luar negara.

    Tiket-tiket bas berharga RM20 untuk perjalanan sehala dari KLCC atau KL Sentral dan sebaliknya; dan RM35 untuk perjalanan pergi balik. Untuk perjalanan dari KLIA2 pula, harga tambang adalah RM12. Kekerapan bas adalah antara 30 hingga 45 minit, bergantung kepada keadaan trafik.

    Untuk perjalanan daripada SIC, bas pertama akan meninggalkan kawasan litar pada 4 petang untuk ketiga-tiga hari. Waktu untuk bas terakhir, bagaimanapun, tidak sama dengan bas terakhir pada hari Jumaat ditetapkan pada pukul 7 malam. Manakala hari Sabtu dan Ahad, bas terakhir dilewatkan kepada 10 malam bagi menyediakan kemudahan kepada para peminat yang ingin pulang lewat khususnya untuk menyaksikan konsert selepas perlumbaan pada hari Ahad.

    Tiket-tiket bas boleh dibeli ketika mengambil perkhidmatan berkenaan di lokasi-lokasi yang ditetapkan. Tiket-tiket juga boleh dibeli awal di stesen-stesen LRT Masjid Jamek, KLCC dan KL Sentral.

     
     
  • Singapura bakal gunakan imbasan cap jari di Tuas dan Woodlands; proses pengesahan mungkin lebih lambat

    Singapura bakal gunakan imbasan cap jari di Tuas dan Woodlands; proses pengesahan mungkin lebih lambat

    Urusan keluar dan masuk ke republik Singapura menerusi pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands selepas ini bakal dikenakan satu lagi peringkat, menurut laporan Channel News Asia. Walau bagaimanapun, tarikh sebenar sistem ini akan diimplementasikan secara penuh masih lagi belum diumumkan.

    Sistem yang digelar BioScreen berkenaan akan dilengkapi dengan mesin pengimbas secara progresif pada kaunter kenderaan pada kedua-dua bahagian pusat pemeriksaan. Ini dilakukan bagi membiasakan pengguna untuk menjalani proses baharu tersebut, jelas Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura pada Isnin lalu.

    Proses baharu berkenaan akan melibatkan pengguna dari kedua-dua arah, sama ada masuk atau keluar dari Singapura. Imbasan pengesahan cap jari perlu dilakukan terhadap kesemua yang bergerak menggunakan kereta dan berumur enam tahun keatas. Bagi melakukan proses ini, kesemua penumpang kereta perlu turun dari kenderaan mereka untuk mengimbas kedua-dua jari, dan ICA menjangkakan proses pengesahan imigresen berkenaan bakal menjadi lebih panjang, tambah laporan tersebut lagi.

    Implementasi ini merupakan langkah baharu kerajaan Singapura dalam mengembangkan penggunaan sistem BioScreen tersebut setelah ujiannya sudahpun bermula April tahun lalu menerusi sistem yang dipadankan pada terminal feri. Sistem ini disasarkan untuk dipasang pada semua pintu masuk negara berkenaan sama ada melalui darat, laut dan juga udara.

    “Keselamatan pada pusat pemeriksaan kita adalah keutamaan ICA. Sistem BioScreen merupakan langkah yang penting dalam usaha ini, kerana ia membolehkan ICA mengenalpasti identiti pengguna dengan lebih cekap,” kata ICA.

     
     
  • Toyota kekal jenama automotif paling berharga Interbrand Best Global Brand 2017, Honda tempat ke-4

    Toyota kekal jenama automotif paling berharga Interbrand Best Global Brand 2017, Honda tempat ke-4

    2017 Toyota C-HR Koba with optional black roof

    Interbrand telah pun mengeluarkan kedudukan Best Global Brands untuk tahun 2017, dan untuk sektor automotif, Toyota masih berada di tangga pertama. Walau bagaimanapun, jenama berkenaan kini dinilai pada harga US$50.291 bilion, 9% lebih rendah dari tahun lalu.

    Untuk kedudukan keseluruhan, Toyota berada pada pada tangga ke-tujuh di bawah jenama-jenama gergasi lain seperti Apple, Google, Coca Cola dan Samsung. Namun pengeluar kenderaan dari Jepun tersebut masih lagi mampu mendahului Facebook yang dinilai pada US$48.188 bilion.

    Jenama automotif kedua paling bernilai adalah Mercedes-Benz yang berada pada tangga ke-sembilan dengan nilai US$47.829 bilion, 10% lebih tinggi dari tahun lalu. Ini diikuti oleh BMW yang berada pada tangga ke-13 dinilai pada US$41.521 bilion, manakala satu lagi jenama automotif Jepun, Honda, ditempat keempat (tangga ke-20 keseluruhan) dinilai dengan US$22.696 bilion.

    Toyota kekal jenama automotif paling berharga Interbrand Best Global Brand 2017, Honda tempat ke-4

    Antara jenama automotif lain yang termasuk dalam senarai 50 jenama paling berharga ini adalah Ford (ke-33), Hyundai (ke-35), Audi (ke-38),Nissan (ke-39), Volkswagen (ke-40) dan Porsche (ke-48). Manakala untuk 100 jenama paling berharga Kia (ke-69), Land Rover (ke-73) dan Harley-Davidson (ke-77) turut termasuk dalam senarai.

    Untuk tahun ini, Ferrari turut disenaraikan dan berada pada tangga ke-88 dengan nilai jenama sebanyak US$4.876 bilion, dibelakang MINI yang berada pada tangga ke-87. Tesla turut tersenarai di tempat ke-98 dengan nilai jenama US$4.009 bilion, memperbaiki kedudukan pada tahun lalu.

    Bagi membolehkan satu-satu jenama tersenarai dalam Interbrand Best Global Brands ini, syarikat tersebut perlulah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti 30% dari keuntungannya perlu dijana dari luar negara asal mereka, tampil secara signifikant di Asia, Eropah dan Amerika Utara, serta meliputi pasaran-pasaran penting baharu.

    Mereka juga perlu telus dalam menyiarkan data prestasi kewangan mereka kepada umum, dan mana-mana keuntungan ekonomik perlu dijangka positif dalam masa yang panjang, memberikan pulangan ke atas kos modal jenama. Akhir sekali, jenama tersebut perlu mempunyai profil awam dan dikenali di semua peringkat ekonomi utama dunia.

     
     
  • Subaru bakal pertontonkan model konsep XV dan Impreza yang lebih sporty di Tokyo Motor Show 2017

    Subaru bakal pertontonkan model konsep XV dan Impreza yang lebih sporty di Tokyo Motor Show 2017

    Bukan setakat WRX STI Sport Special Edition, WRX STI S208, BRZ STI Sport, Subaru juga akan ‘mencuri’ perhatian di Tokyo Motor Show 2017 dengan mempamerkan lagi dua model konsepnya yang berasaskan model XV, Impreza dan Outback, selain konsep Viziv.

    Ketiga-tiga model konsep berkenaan akan diterjemahkan dengan imej yang lebih sporty dan ranggi berbanding versi produksi sedia ada. Malah memungkinkan ia memberikan sedikit gambaran untuk model masa akan datang.

    Model konsep XV ini bakal diterjemahkan sebagai “Fun Adventure Concept” dan akan menampilkan beberapa ciri luaran yang bersesuaian dengan keupayaan pengendalian off-road. Warna luaran kuning menonjolkan lagi lapisan pada bahagian hadapan, fender sisi dan diffuser belakang. Ketinggian kenderaan juga dinaikkan sedikit, dan rak basikal pada bumbung masih mengekalkan tema serba rangginya.

    Subaru bakal pertontonkan model konsep XV dan Impreza yang lebih sporty di Tokyo Motor Show 2017

    Bagi model konsep Outback pula, ia diberi kekemasan yang lebih berkualiti pada bahagian kabin, lengkap dengan tempat duduk dan panel “ultrasuede”, cetakan timbul berwarna perak gelap, paparan baharu lapan-inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Bahagian luarannya juga menerima elemen yang lebih mewah termasuk gril dan roda yang eksklusif.

    Manakala untuk model konsep Impreza pula, ia tampil dengan suntikan makeover yang cukup sporty. Dengan gambaran “Future Sport Concept”, Impreza ini turut diberi pusat graviti yang lebih rendah, dengan rekaan semula bagi bampar hadapan dan belakang serta gaya yang lebih agresif, juga pada corong ekzos yang diposisikan di tengah bahagian bawah belakang. Bukan itu sahaja, gayanya cukup menyerlah dengan roda dan taillight yang gelap, bersama lampu LED pada bahagian hadapan membuatnya lebih unik.

    Walau bagaimana pun, spesifikasi dan perician penuhnya hanya akan didedah pada waktu pembukaan acara pertunjukan automotif terhangat di Jepun ini. Namun difahamkan, segala apa yang dipersembahkan oleh Subaru ini pasti bakal mencuri tumpuan ramai, apatah lagi kebanyakan model konsep yang pernah dipertontonkan sebelum ini memang memberikan bayangan yang lebih jelas untuk model produksinya yang akan datang.

    Seperti mana yang disebut oleh Subaru, semua model konsep dan edisi istimewa yang bakal dipamerkan ini adalah sebagai pra-tonton kepada “kisah baharu Subaru”. Jadi, pasti kita sendiri tidak sabar menantikan kejutan yang bakal dibongkarkan oleh syarikat ini. Sama-sama kita nantikannya.

     
     
  • McLaren keluarkan baju pelindung yang menggunakan teknologi daripada kereta F1, lihat bagaimana ia dibuat

    McLaren keluarkan baju pelindung yang menggunakan teknologi daripada kereta F1, lihat bagaimana ia dibuat

    McLaren mempunyai satu cabang syarikat yang dinamakan sebagai McLaren Applied Technologies, dan kerjanya adalah menghasilkan barangan inovatif berteknologi selain untuk kegunaan dalam dunia automotif. Antara hasil terbaru yang ditunjukkan oleh syarikat tersebut adalah baju pelindung yang turut diselitkan dengan teknologi yang didapati daripada Formula One.

    Asalnya, projek ini bermula sebagai satu cabaran oleh seorang klien yang mahukan alat yang boleh melindung organ penting dalam badan selepas pembedahan. Selepas pelbagai kajian dan ujian, inilah hasil yang dikeluarkan oleh McLaren Applied Technologies.

    Baju pelindung yang dinamakan sebagai Invincible ini dibina daripada beberapa lapisan bahan, bermula dengan gentian Dyneema yang biasa digunakan pada baju pelindung, sistem resin yang diperkuat dengan tenunan fabrik dan gentian Zylon, seperti yang digunakan pada bahagian tepi jentera F1 untuk memberi perlindungan daripada perlanggaran tepi. Tidak cukup dengan itu, baju pelindung ini juga menggunakan gentian karbon bagi memastikan ia kekal tegar dan boleh menampung beban.

    Saksikan melalui video di bawah bagaimana baju pelindung ini dihasilkan, dan apa proses yang dilalui dari mula sehinggalah ia siap untuk dipersembahkan kepada klien.

     
     
  • Enjin kitaran ‘Budack’ baharu dari Volkswagen – apa perbezaannya dan bagaimana pula ia beroperasi?

    Volkswagen telah memperkenalkan enjin dengan sistem kitaran empat lejang Budack pada enjin TSI baharu mereka. Sistem kitaran baharu berkenaan dikatakan mempunyai kecekapan bahan api dan emisi yang hampir sama dengan enjin kitaran Atkinson, tetapi mempunyai kecekapan kuasa yang masih sama seperti enjin dengan kitaran empat lejang Otto konvensional.

    Sebelum bercerita bagaimana sistem kitaran Budack ini berfungsi, kita fahami dahulu bagaimana sistem kitaran Atkinson beroperasi. Enjin Atkinson masih lagi mempunyai empat lejang yang sama seperti enjin empat lejang Otto biasa. Apa yang membezakan antara kedua-dua enjin ini adalah pada lejang mampatan.

    Ketika berlakunya lejang mampatan, mekanisma istimewa pada aci sesondol (camshaft) dan juga injap enjin Atkinson ini akan melambatkan penutupan sepenuhnya injap kemasukan bagi membebaskan sedikit udara keluar dari kebuk pembakaran. Dengan cara ini, nisbah mampatan dapat direndahkan seterusnya memberikan kecekapan bahan api yang lebih bagus.

    Enjin kitaran ‘Budack’ baharu dari Volkswagen – apa perbezaannya dan bagaimana pula ia beroperasi?

    Tetapi dengan sengaja ‘membocorkan’ udara ketika lejang mampatan ini akan menyebabkan kuasa yang dihasilkan oleh enjin Atkinson ini kurang dari enjin kitaran Otto biasa. Untuk ‘menggantikan’ semula kuasa yang hilang berkenaan, kebanyakkan pengeluar buat masa sekarang menggabungkan enjin Atkinson ini bersama motor elektrik hibrid.

    Dengan cara ini, penggunaan bahan api pada enjin petrol tersebut menjadi jauh lebih jimat, dan enjin kekal berkuasa dengan sokongan dari motor elektrik. Ada juga pengeluar yang memberikan suapan pengecas turbo pada enjin Atkinson ini bagi memberikan tambahan kuasa kepadanya.

    Manakala untuk enjin Budack Volkswagen ini pula, ia masih mengekalkan konsep untuk mengurang nisbah mampatan. Apa yang berbeza, proses berkenaan berlaku pada lejang kemasukan dan bukan pada lejang mampatan. Semasa lejang kemasukan, injap kemasukan berkenaan akan ditutup lebih cepat menerusi durasi aci sesondol yang lebih kecil.

    Ini menyebabkan udara yang masuk ke kebuk pembakaran tidak sebanyak yang masuk seperti pada enjin kitaran Otto biasa, seterusnya merendahkan nisbah mampatan bagi mencapai hasil yang sama seperti yang dicapai oleh enjin Atkinson. Satu lagi keistimewaan enjin Budack ini adalah lejang dengan tempoh kemasukan lebih pendek tersebut hanya digunakan ketika enjin tidak dikerah dan tiada beban contohnya ketika cruising di lebuhraya.

    Semasa anda menekan pedal pendikit dengan drastik, enjin ini akan berfungsi sama seperti enjin Otto konvensional menggunakan durasi aci sesondol normal. Bagaimana durasi berkenaan boleh berubah? Volkswagen memberikan dua durasi aci sesondol berbeza pada setiap omboh dan ianya berubah menerusi mekanisma istimewa yang mempunyai konsep yang hampir sama seperti sistem VTEC Honda.

    Kesimpulannnya, berbanding enjin VTEC yang menukar durasi bukaan injap kemasukan dari biasa ke durasi lebih lama untuk mendapatkan udara yang lebih banyak ke kebuk pembakaran ketika ianya di ‘on’ berdasarkan situasi, sistem Budack Volkswagen ini pula menukar durasi biasa kepada durasi lebih pendek bagi mendapatkan penggunaan bahan api yang lebih baik – sistem ini boleh digelar ‘VTEC terbalik’ lah senang cerita.

     
     
  • Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid Sport Turismo – varian paling atas dengan kuasa 680 hp, tork 850 Nm

    Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid Sport Turismo – varian paling atas dengan kuasa 680 hp, tork 850 Nm

    Dalam barisan model Porsche Panamera Sport Turismo sudah ada model plug-in hybrid iaitu Panamera 4 E-Hybrid Sport Turismo, dan sekarang, model lebih tinggi pula diperkenalkan iaitu Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid Sport Turismo.

    Seperti juga model sedan, varian Sport Turismo ini menggabungkan enjin V8 4.0 liter 550 hp dengan motor elektrik, menghasilkan kuasa sebanyak 680 hp (130 hp lebih banyak berbanding model Turbo biasa) dan 850 Nm tork. Ia juga mampu memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat dan boleh mencecah kelajuan maksimum 310 km/j.

    Bukan itu sahaja, penggunaan bahan api pula dikatakan berada pada tahap 3.0 l/100 km (33.3 km/l) melalui ujian kitaran Eropah. Jumlah ini dapat dihasilkan dengan adanya jarak pergerakan elektrik (EV) sahaja sehingga 49 km, manakala kelajuan maksimum dalam mod ini adalah 140 km/j. Bateri lithium-ion 14.1 kWh yang diguna boleh dicas antara 2.4 hingga enam jam untuk penuh.

    Porsche Panamera Turbo S E-Hybrid Sport Turismo – varian paling atas dengan kuasa 680 hp, tork 850 Nm

    Alat decoupler yang disepadukan ke dalam modul hibrid kenderaan ini diaktifkan secara elektromekanikal melalui Electric Clutch Actuator. Hasilnya adalah masa tindak balas yang lebih pendek dan tahap keselesaan lebih tinggi. Transmisi automatik klac berkembar lapan kelajuan Porsche Doppelkupplung menyampaikan kuasa dari enjin ke sistem pacuan empat roda adaptif Porsche Traction Management (PTM).

    Kereta ini juga datang dengan semua kelengkapan seperti Panamera generasi kedua, termasuk Porsche Advanced Cockpit digital, Porsche InnoDrive yang termasuk cruise control adaptif dan pilihan tambahan stereng gandar belakang. Sport Turismo juga menawarkan lebih praktikaliti dengan bumbung lebih tinggi, ruang bukaan but belakang lebih lebar, ruang simpanan belakang 425 liter (boleh menjadi 1,295 liter apabila tempat duduk dilipat) dan tempat duduk belakang 2+1.

    Kelengkapan standard lain pada kenderaan ini adalah Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC Sport) dengan Porsche Torque Vectoring Plus (PTV Plus), brek Porsche Ceramic Composite Brake (PCCB), rim 21 inci seperti model 911, Power Steering Plus dan Sport Chrono Package. Suspensi yang diguna pula adalah jenis beg udara adaptif.

     
     
  • Subaru WRX STI S208 bakal tampil di Tokyo Motor Show 2017 – 450 unit, hanya untuk Jepun sahaja

    Subaru WRX STI S208 bakal tampil di Tokyo Motor Show 2017 – 450 unit, hanya untuk Jepun sahaja

    Selain Subaru BRZ STI Sport dan model konsep Viziv, Subaru juga akan mempertontonkan WRX STI S208 di pentas pertunjukan Tokyo Motor Show 2017 hujung Oktober ini.

    Sama seperti model WRX STI S207 yang pernah dipamerkan di pertunjukan automotif yang sama dua tahun lalu dan dijual dengan unit terhad iaitu 400 unit dan hanya untuk pasaran Jepun sahaja, WRX STI S208 ini juga memilih langkah yang sama. Bezanya ia ditambah kuantiti sebanyak lagi 50, menjadikannya 450 unit yang bakal dijual di negara matahari terbit itu.

    Walau bagaimana pun, Subaru masih merahsiakan spesifikasi dan perincian lanjut mengenai model ini, namun difahamkan kuasa yang dihasilkan oleh enjin adalah lebih baik. Bahkan penggayaan luaran dan dalaman juga diberi banyak peningkatan serta beberapa lagi “perubahan yang lebih signifikan”. Antaranya, bumbungnya kini diperbuat daripada gentian karbon, sekaligus mengurangkan kadar beratnya dan merendahkan lagi pusat gravitinya. Dijangkakan suspensinya juga dipertingkatkan.

    S207 turut dibawa masuk ke negara kita menerusi pengimport persendirian, jadi tidak mustahil model S208 juga ada potensi untuk hadir ke Malaysia dengan cara yang sama, pasti ada permintaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026