Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Olskool Mega Gathering (OMG) – kumpul pemilik dan peminat kereta lama sembilan tahun berturut-turut

    Olskool Mega Gathering (OMG) – kumpul pemilik dan peminat kereta lama sembilan tahun berturut-turut

    Olskool Mega Gathering (OMG) edisi 2017 telah pun selesai, dan ini merupakan tahun ke-sembilan berturut-turut perhimpunan kereta lama terbesar di Malaysia berkenaan diadakan sejak edisi pertamanya bermula pada tahun 2009. Tahun ini, sebanyak hampir 400 buah kereta lama dari seluruh Malaysia berhimpun di perkarangan tempat letak kereta Giant Leisure Mall Johor Bahru, dan lebih 300 buah daripadanya merupakan peserta berdaftar.

    Seperti tahun-tahun sebelum ini, penganjur memberikan syarat ringkas untuk peserta mengambil bahagian dalam acara berkenaan iaitu kereta-kereta mereka perlulah dihasilkan pada tahun 1984 dan ke bawah, tanpa mengira buatan negara mana, atau konsep restorasi serta modifikasi yang ditampilkan.

    Namun, diantara genre restorasi dan modifikasi yang paling menonjol dalam OMG adalah JDM Olskool – anda akan bertemu dengan pelbagai jenis kereta-kereta lama buatan Jepun seperti Toyota Corolla, Corona, Carina, Celica, dan juga pelbagai Datsun seperti C210 Skyline, Bluebird 510, Sunny 120Y B110, B210 dan juga B310.

    Kereta-kereta buatan Eropah turut tidak ketinggalan dimana sebahagian dari peserta datang ke OMG dengan memandu jentera-jentera klasik dari jenama Volkswagen, Volvo, Ford, Fiat dan pelbagai lagi. Turut hadir pada perhimpunan kali ini adalah komuniti pemilik dan peminat kereta lama yang bukan sahaja dari Sabah dan Sarawak, malah dari Indonesia dan Brunei Darussalam.

    Selain dari perhimpunan kereta, pihak OMG juga menyediakan gerai-gerai jualan pelbagai barangan seperti alat ganti kereta lama, baju dan cenderamata dan juga permainan. Gerai-gerai jualan makanan dan minuman juga disediakan bagi memudahkan pengunjung, terutamanya mereka yang datang dengan keluarga.

    Berbeza dari acara-acara lain yang diselia oleh syarikat penganjur acara, OMG kekal dengan konsep mereka iaitu diuruskan oleh komuniti Olskool.my (dikenali sebagai Olskool.org sebelum ini), iaitu komuniti pemilik dan peminat kereta lama yang bergerak bukan seperti kelab – tidak mempunyai pengerusi dan jawatan kuasa lain, tetapi lebih berkonsep seperti kumpulan ‘kawan-kawan’.

    Untuk acara yang diadakan di Johor Bahru pada kali ini, penganjuran OMG berkenaan diterajui oleh Olskool.my Johor atau lebih dikenali sebagai Olskool.my Johor Tribe (OSJT), dengan saudara Mohamed Sidek Bin Samsudin dilantik sebagai ketua penyelaras projek. Ini juga merupakan kali kedua Johor dipilih sebagai tuan rumah, di mana sebelum ini OMG 2 pada tahun 2010 telah diadakan di Mersing.

     
     
  • Honda Riding Assist-e akan buat penampilan global pertama di Tokyo Motor Show – boleh imbang sendiri

    Honda Riding Assist-e akan buat penampilan global pertama di Tokyo Motor Show – boleh imbang sendiri

    Hujung bulan hadapan akan berlangsungnya Tokyo Motor Show, dan Honda telah bersiap-sedia dengan pelbagai model untuk dibawa ke sana. Bagi bahagian motosikal, sebuah model akan membuat penampilan global pertama iaitu Riding Assist-e. Walaubagaimanapun, tidak banyak perincian yang disiarkan tentang motosikal ini.

    Apa yang diberitahu adalah, Riding Assist-e menggunakan kuasa motor elektrik dan disertakan dengan teknologi robotik yang membolehkan ia mengimbangkan badan motosikal secara sendiri. Dengan imbangan sendiri pada kelajuan rendah ini, penunggang akan kurang penat dan lebih selesa.

    Apa yang boleh dilihat daripada gambar yang disiarkan oleh Honda adalah motosikal ini menggunakan kerangka asas seperti motosikal biasa, lengan ayun tunggal pada sebelah kiri, brek cakera di depan dan belakang bersama angkup Nissin, fork konvensional di hadapan dan monoshock di belakang, tempat duduk tunggal, lampu LED depan dan belakang, pendikit throttle-by-wire dan panel meter digital.

    Bagi mengecas bateri motosikal ini, terdapat soket di bahagian tepi, kiri. Berkenaan posisi menunggang, kelihatan seperti tempat duduk Riding Assist-e agak rendah, dengan bahagian pemegang pula mudah dicapai. Ini sekaligus memberi gambaran ia mudah dan selesa untuk tunggangan harian terutamanya dalam kawasan urban.

     
     
  • Honda bakal perkenal model konsep Sports EV di Tokyo Motor Show 2017 – turut terapkan rekaan retro?

    Honda bakal perkenal model konsep Sports EV di Tokyo Motor Show 2017 – turut terapkan rekaan retro?

    All-new Honda Sports EV Concept unveiled at Tokyo Motor Show

    Honda telah menyiarkan teaser kereta konsep elektrik baharunya digelar Sport EV Concept yang bakal membuat penampilan di Tokyo Motor Show (TMS) 2017 Oktober ini.

    Menurut Honda, kereta sport dengan janakuasa elektrik sepenuhnya itu menampilkan bayangan badan yang begitu menarik, muka yang ‘mesra’ dan juga permukaan badan dihasilkan dengan rekaan yang lembut, bagi memastikan ia sesuai digunakan dalam apa jua jenis gaya hidup.

    Pasukan pembina model elektrik baharu ini menghasilkan kereta berkenaan bagi memberikan perasaan yang seronok dan beremosi ketika dipandu, yang dapat dicapai secara efisien dengan gabungan sistem janakuasa elektrik dan teknologi AI dalam bentuk badan yang kompak, menurut Honda.

    Berdasarkan imej teaser yang disiarkan dalam bentuk lakaran dari sudut belakang-sisi kereta tersebut, ia seolah-olah direka seperti model hardtop Honda S600 klasik. Ini tidak mustahil kerana kereta konsep elektrik Honda Urban EV Concept yang muncul di Frankfurt Motor Show baru-baru ini turut direka seakan jelmaan semula hatchback Honda Civic genarasi pertama.

    Model Honda Urban EV tersebut turut akan membuat penampilan sekali lagi pada TMS kali ini, bersama barisan motosikal ‘kapcai’ lagenda Honda – Super Cup – yang meraikan ulangtahun ke-60 serta kejayaan penghasilannya sebanyak 100 juta unit.

    Tokyo Motor Show kali ini juga merupakan medan bagi SUV Honda CR-V generasi kelima membuat kemunculan sulungnya di Jepun – ya, CR-V generasi baharu yang sudah dilancarkan di Malaysia berkenaan masih lagi belum tiba di pasaran Jepun.

     
     
  • Mazda CX-8 bakal dijual di luar pasaran Jepun

    Mazda CX-8 bakal dijual di luar pasaran Jepun

    Dalam sidang akhbar selepas majlis permulaan pemasangan bagi Mazda CX-5 baharu semalam, turut didedahkan ialah CX-8 juga bakal dijual di luar pasaran Jepun. Perkara ini dinyatakan oleh Hiroshi Inoue, pegawai eksekutif pengurusan bagi perniagaan ASEAN dan presiden Mazda Asia Tenggara.

    Jualan bagi CX-8 di Jepun akan bermula 14 Disember tahun inu, dengan pengedarnya telah pun mula mengambil tempahan. Model ini diposisikan sebagai SUV di negara berkenaan, iaitu sebagai abang kepada CX-5, kerana CX-9 tidak dipasarkan di sana.

    Di Jepun, SUV tiga-barisan tempat duduk ini hanya ditawarkan dengan enjin 2.2 liter SkyActiv-D turbodiesel dengan padanan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Penjana kuasa ini mirip dengan salah satu enjin yang ditawarkan pada CX-5, namun dengan output yang telah dipertingkatkan iaitu 188 hp dan 450 Nm (dari 173 hp dan 420 Nm). Pelanggan juga boleh memilih sama ada pacuan roda-hadapan dan sistem pacuan semua-roda i-Activ AWD, dengan G-Vectoring Control diberikan untuk semua varian.

    Bagi pasaran negara lain, Inoue tidak mendedahkan sebarang perincian mengenainya, termasuk negara mana yang bakal menerima kemasukan model ini. Walau bagaimana pun, beliau turut menyebut bahawa Datuk Seri Ben Yeoh, CEO bagi Bermaz pernah menyuarakan hasratnya terhadap model ini. Model CX-9 telah pun dijual di Malaysia, adakah kebarangkalian CX-8 juga akan dibawa masuk ke sini? Nantikan perkembangan selanjutnya jika ada.

     
     
  • MV Agusta keluarkan model edisi khas kerjasama dengan Lewis Hamilton – terhad hanya 44 unit sedunia

    MV Agusta keluarkan model edisi khas kerjasama dengan Lewis Hamilton – terhad hanya 44 unit sedunia

    Bagi meraikan ulang tahun model F4 yang ke-20, MV Agusta telah mengeluarkan sebuah model edisi khas dinamakan sebagai F4 LH44 yang dihasilkan dengan kerjasama juara dunia F1 tiga kali, Lewis Hamilton. Masa yang lama diperlukan untuk membangunkan model ini kerana setiap input yang diterima daripada Hamilton diselidik kesesuaiannya untuk model produksi.

    Hasilnya, seperti yang anda boleh lihat adalah sebuah motosikal yang cukup garang, dan dalam masa sama kekal elegan. Asas model istimewa ini adalah F4 RC, yang diambil terus daripada MV Agusta Reparto Corse Superbike. Sumber kuasanya adalah enjin Corsa Corta empat silinder 998 cc yang berkuasa 205 hp. Untuk model istimewa ini, ia mendapat ekzos titanium dan unit kawalan komputer baru yang meningkatkan kuasanya menjadi 212 hp.

    Penampilan unik motosikal ini bermula dengan warna merah Candy Red, yang digunakan pada kebanyakan panel badannya, bersama warna Pearl White pada bahagian kerangka Trellis. Teknik yang dihasilkan untuk warna merah ini juga adalah unik, di mana ia menggunakan asas daripada dakwat. Seterusnya, terdapat pelekat grafik berwarna hitam bersama logo harimau kumbang yang sinonim dengan Hamilton.

    Bahagian suspensi model istimewa ini turut dipertingkat, melihatkan penggunaan unit fork O?hlins USD NIX 30 TiN-coated di hadapan, O?hlins TTX 36 di belakang, warna khas untuk peralatan ini dan tempat duduk yang dibalut dengan kulit asli dan Alcantara.

    Bahagaian cermin penghadang udara di hadapan motosikal ini juga dijadikan lebih gelap – pertama kali bagi F4 produksi – manakala beberapa bahagian lain seperti fairing utama dihasilkan daripada gentian karbon. Antara barangan khas lain yang unik bagi motosikal ini adalah penutup tempat mengisi minyak gaya lumba, rim forged dan skru tayar CNC anodized.

    MV Agusta F4 LH44 ini hanya akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad, iaitu sebanyak 44 unit, dan nombor itu sendiri datang daripada nombor perlumbaan Lewis Hamilton. Harga jangkaannya adalah 44,000 pound (RM250,000).

     
     
  • Proton tetap mahu hasilkan model EV – Syed Faisal

    Proton tetap mahu hasilkan model EV – Syed Faisal

    Pada tahun 2014, syarikat elektronik terkemuka Korea Selatan, LG Electronics, dilihat komited dalam menghasilkan prototaip kenderaan elektrik (EV) bagi model Iriz. Model prototaip berkenaan dijanakan oleh kuasa elektrik sepenuhnya dan mampu dipacu sehingga 240 km dengan bateri yang dicas penuh.

    Setahun kemudian, Proton mempertontonkan model prototaip Iriz EV di International Greentech & Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) 2015. Walau pun daripada sudut luarannya, ia tidak ada perbezaan dengan versi biasa, namun di bawah hudnya, model prototaip Iriz EV tersebut dikuasakan oleh motor elektrik magnet AC yang memberikannya janaan tenaga sehingga 155 hp dan tork 360 Nm.

    Namun demikian, sehingga kini, tiada lanjutan perkhabaran mengenai kedua-dua model prototaip berkenaan.

    Dalam sidang media sempena majlis mengumumkan senarai barisan terkini pengurusan tertinggi Proton pagi tadi, pertanyaan mengenai perancangan Proton untuk menghasilkan model EV telah dikemukakan.

    Proton tetap mahu hasilkan model EV – Syed Faisal

    Dato’ Sri Syed Faisal Albar selaku Pengerusi Proton Holdings Berhad (PHB) berkata, “Ya, ini merupakan sesuatu yang kami mahu capai dan Geely juga mempunyai teknologinya (EV). Ini salah satu sebab utama mengapa Proton memerlukan rakan strategik, di mana kami boleh mendapatkan akses bagi teknologi EV ini.”

    Katanya lagi, ia juga adalah berkaitan dengan pelan perancangan baharu Proton pada masa hadapan, termasuk penghasilan kenderaan hibrid, plug-in hybrid selain EV.

    Menurut ahli lembaga Proton, Daniel Donghui Li pula, “Geely akan menyalurkan teknologi transmisi yang juga cukup fleksibel dengan solusi kuasa baharu termasuk hibrid, plug-in hybrid dan elektrik. Kita juga akan menyalurkan perbangunan produk baharu, termasuk model baharu kita dan juga hibrid serta EV.”

    Li turut berkata memandangkan Geely telah membuat pelaburan signifikan terhadap teknologi-teknologi berkenaan, jadi Proton tidak perlu berbuat perkara yang sama, sebaliknya berkongsi teknologi yang ada ini untuk membangunkan produk baharu atau memberi penambahbaikan pada model yang sedia ada.

    GALERI: Model prototaip Proton Iriz EV yang dipertontonkan pada 2015 lalu

     
     
  • Geely bakal salur teknologi janakuasa kepada Proton – transmisi, enjin Euro 6, hibrid dan plug-in hybrid

    Geely bakal salur teknologi janakuasa kepada Proton – transmisi, enjin Euro 6, hibrid dan plug-in hybrid

    Ketika majlis pengumuman barisan pentadbiran baharu Proton pagi tadi, pakatan Proton-Geely turut mendedahkan sebahagian rancangan mereka dari segi perkongsian teknologi pada masa akan datang, khususnya untuk teknologi enjin serta transmisi.

    “Geely akan memberikan semua sokongan yang diperlukan. Geely akan membekalkan enjin dengan teknologi terkini kami. Untuk pengetahuan anda, enjin Proton buat masa ini hanya diiktiraf pada tahap emisi Euro 4. Geely bakal membekalkan enjin Euro 6 dan keatas,” kata naib presiden eksekutif dan ketua pegawai kewangan Zhejiang Geely (ZGH), Daniel Li Dong Hui.

    Teknologi yang bakal disalurkan ini bukan sahaja terdiri dari enjin petrol konvensional, malah turut melibatkan unit janakuasa dengan teknologi elektrik. “Geely akan menyediakan transmisi yang bukan sahaja boleh digunakan pada berberapa kereta, malah turut fleksibel untuk digunakan pada teknologi yang menggunakan sumber tenaga baharu, termasuk hibrid, plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya. Kami akan menyediakan pembangunan produk baharu, termasuk model baharu kami serta kereta hibrid dan elektrik,” tambah Li lagi.

    “Ya, ini merupakan perkara yang bakal kami kecapi, dan Geely sudah mengecapi teknologi berkenaan. Ini merupakan salah sebab utama mengapa Proton perlukan rakan stretegik, di mana kami dapat menerima akses lebih cepat kepada teknologi kenderaan elektrik sepenuhnya (EV),” jelas Pengerusi Proton Holdings, Datuk Sri Syed Faisal Albar.


    Geely Emgrand EV

    Geely mempunyai latar belakang teknologi elektrik yang sangat baik berikutan kerjasama pembangunan teknologi yang dijalankan bersama sebuah lagi syarikat jenama premium di bawah naungannya iaitu Volvo dari Sweden. Kerjasama berkenaan telah menghasilkan model elektrik sepenuhnya Emgrand EV, dan ia akan diikuti oleh versi plug-in hybrid yang dijangka akan diperkenalkan pada hujung tahun ini.

    Geely juga telah menubuhkan divisi mewahnya (seperti Toyota-Lexus, Nissan-Infiniti) dengan jenama Lynk & Co, yang mendapat kerjasama lebih rapat dari Volvo dari segi platform kenderaan, pembangunan unit janakuasa serta teknologi elektrik.

    Apa yang pasti, buat permulaan kerjasama Proton-Geely ini bakal membuahkan SUV pertama Proton dan model pertama pakatan berkenaan yang dijangka akan menjengah pasaran Malaysia pada penghujung tahun 2018. Selepas itu, Proton dengan bantuan Geely bakal memperkenalkan model baharu untuk setiap tahun, dan akses teknologi yang bakal diterima ini tentunya bakal membawakan pelbagai lagi model-model yang mengujakan.

    Geely Boyue dipasarkan di China dengan pelbagai jenis varian enjin. Ia termasuk versi dengan enjin empat-silinder 2.0 liter petrol NA berkuasa 139 hp/178 Nm), 2.4 liter petrol NA berkuasa 153 hp/225Nm dan yang paling berkuasa 1.8 liter petrol suntikan bahan api terus dengan pengecas turbo berkuasa 161 hp/250 Nm.

    Untuk Boyue versi Proton, ia dijangka bakal menggunakan enjin 1.8 liter turbo dengan transmisi automatik enam-kelajuan, memacu hanya roda hadapan. Rakan kami dari paultan.org versi bahasa inggeris telah pun menguji SUV berkenaan di China baru-baru ini, dan anda boleh membaca ulasannya DI SINI.

    Walau bagaimanapun perincian berkenaan bila unit-unit janakuasa berteknologi tinggi ini akan digunakan pada model-model Proton masih lagi belum diketahui. Sama ada ia turut akan digunakan pada model-model sedia ada ataupun hanya akan digunakan pada model-model akan datang juga masih lagi samar. Apa yang pasti, kerjasama ini pastinya disasarkan bagi keuntungan kedua-dua pihak.

    “Geely perlu melabur puluhan bilion dolar untuk kesemua pembangunan produk baharu ini. Kami tidak meminta untuk Proton membuat perkara yang sama dengan pelaburan tambahan. Jadi Proton hanya perlu melabur untuk mempertingkatkan produksi dan kelengkapan kilang, kualiti dan juga pengenalan produk-produk baharu,” jelas Li.

     
     
  • Proton-Geely Boyue hanya akan diperkenalkan hujung tahun 2018, masa diperlukan untuk buat pelarasan

    Proton-Geely Boyue hanya akan diperkenalkan hujung tahun 2018, masa diperlukan untuk buat pelarasan

    Seperti yang pernah diumumkan sebelum ini, model pertama yang akan diperkenalkan di Malaysia hasil kerjasama Proton dan Geely adalah sebuah SUV yang diasaskan daripada model Boyue. Model ini dilancarkan di China Mac lalu, dengan dua pilihan enjin di pasaran sana, iaitu 2.0 liter NA 139 hp/ 178 Nm dan 1.8 liter turbo 161 hp/ 250 Nm. Walaubagaimanapun, model yang akan dipasarkan di Malaysia masih belum diketahui menggunakan enjin yang mana.

    Model ini hanya dijangka dapat berada di pasaran Malaysia pada penghujung tahun 2018, dan ini sekaligus menimbulkan pertanyaan mengapa mengambil masa yang begitu lama, sedangkan model tersebut sudah pun lengkap dan dijual dengan sambutan yang baik di China.

    Pengerusi Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar mengulas, masa tersebut diperlukan kerana model ini asalnya adalah model panduan sebelah kiri, dan beberapa pelarasan perlu dibuat untuk mengubahnya ke panduan sebelah kanan. Selain itu, Proton juga perlu menguruskan hal berkaitan alat ganti untuk pemasangan tempatan kenderaan ini.

    Proton-Geely Boyue hanya akan diperkenalkan hujung tahun 2018, masa diperlukan untuk buat pelarasan

    “Dalam struktur yang ada di Malaysia, sekiranya lebih banyak komponen dalam negara yang digunakan, maka banyaklah insentif yang diterima. Ini adalah antara perkara yang perlu diambil kira,” tambah Faisal.

    Berkenaan harga model berasaskan Boyue ini, ia diketahui akan dipasarkan dalam harga yang lebih rendah berbanding model yang mempunyai kelengkapan sama. Walaupun begitu, Faisal tidak memberitahu berapakah jangkaan harganya dan mengatakan bahawa Proton perlu berusaha untuk mengurangkan kos pengeluaran kenderaan ini terlebih dahulu.

    Selain SUV berasaskan Boyue ini, gabungan Proton dan Geely juga akan memperkenalkan model baru setiap tahun, dan bukan itu sahaja, enjin serta transmisi baru juga akan diperkenalkan, dengan kemungkinan terdapat model hibrid, plug-in hybrid atau elektrik kerana transmisi itu sendiri sudah bersedia untuk penjana kuasa mesra alam yang disebutkan.

    Geely Boyue di Malaysia

     
     
  • Honda Malaysia lancar Pusat 3S terbaharu di Klang

    Honda Malaysia lancar Pusat 3S terbaharu di Klang

    Semalam Honda Malaysia telah melancarkan Pusat 3S terbaharunya di Malaysia, yang terletak di Bandar Botanic, Klang, Selangor. Pusat 3S Honda yang diuruskan oleh Botanic Auto Mall Sdn Bhd ini bersedia memberikan perkhidmatan terbaik buat pada pelanggan Honda di sekitar Klang.

    Dengan pelaburan berjumlah RM22 juta, pusat tersebut dilengkapi dengan kemudahan terkini yang membolehkan pengeluar kereta itu menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan kepada pelanggan yang semakin bertambah di wilayah tengah.

    Pusat 3S Honda baharu ini terletak dalam kawasan seluas 1.7 ekar, merupakan yang terbesar di kawasan sentral, dengan bangunan sebesar 72,000 kaki persegi. Ia dilengkapi dengan fasiliti termasuk 24 petak penyelenggaraan yang mampu menyelenggara 120 buah kenderaan sehari, lounge yang besar untuk para pelanggan, kaunter kafe, surau, perkhidmatan shuttle dan sebagainya.

    Kedudukannya juga cukup strategik, malah ia mudah diakses melalui beberapa lebuhraya utama termasuk Lebuhraya KESAS, sekaligus membolehkan pelanggan di sekitar kawasan berhampiran seperti Shah Alam, Subang dan Petaling Jaya, juga boleh ke sana untuk perkhidmatan yang diperlukan.

    Apatah lagi Stesen MRT 3 juga bakal terletak betul-betul di belakang Pusat 3S Honda Botanic Auto Mall tersebut, sekaligus memudahkan untuk para pelanggan menggunakan perkhidmatan tren sementara menantikan kenderaan mereka selesai diselenggara.

    Pusat 3S Honda Botanic Auto Mall terletak di Lot 143100, Jalan Kasuarina 13/KS 017, Ambang Botanic, Klang Bandar DiRaja, Selangor dan boleh dihubungi menerusi talian 03-3319 3387.

     
     
  • Honda Civic Type R FK8 sah dipasarkan di Malaysia – 310 PS, di prebiu di Litar F1 Sepang, tempahan dibuka

    Honda Civic Type R FK8 sah dipasarkan di Malaysia – 310 PS, di prebiu di Litar F1 Sepang, tempahan dibuka

    Teka-teki berkenaan kereta misteri yang dijumpai di plaza tol KLIA dua hari lalu terjawab setelah Honda Malaysia (HM) hari ini secara rasmi menayangkan Honda Civic Type R generasi baharu di Litar Antarabangsa Sepang sempena perlumbaan Grand Prix Formula 1 Malaysia hujung minggu ini. Satu lagi berita baik, HM turut telah membuka tempahan bagi mereka yang berminat untuk memiliki Civic Type R terpantas pernah dihasilkan ini.

    Dengan prebiu rasmi ini, HM turut mendedahkan Civic R pasaran Malaysia akan menerima enjin dengan talaan yang sama seperti pasaran Indonesia iaitu 310 PS – kurang 10 PS dari versi global. Walau bagaimanapun jumlah tork maksima adalah kekal sama iaitu 400 Nm. Dengan padanan kotak gear enam-kelajuan manual (peringatan bagi mereka yang tidak berminat dengan kotak gear manual, Type R tidak diberikan pilihan transmisi automatik) serta sistem suspensi dan kit aero yang lebih jitu, Civic Type R kini memegang takhta kereta produksi pacuan hadapan paling pantas di litar Nürburgring, Jerman.

    Honda turut memberikan tiga mod pemanduan pada Civic Type-R FK8 iaitu Comfort, Sport dan +R. Mod pemanduan ini akan melaras semula respon stereng dan pedal pendikit, rev-match (auto-blip) transmisi, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) serta talaan pada Sistem Suspensi Adaptif.

    Kit aero yang begitu agresif pada Civic ini juga bukan sekadar gimik, ia benar-benar berfungsi memberikan downforce dan kestabilan ketika dilaluan lurus serta selekoh dan ia memainkan peranan besar ketika FK8 ini mencatatkan rekod baharu di Nürburgring. Begitu juga dengan tip ekzos kembar tiga di bahagian tengah bampar belakang, ia bukan sekadar kosmetik tetapi mempunyai fungsinya tersendiri.

    Honda Civic Type R FK8 sah dipasarkan di Malaysia – 310 PS, di prebiu di Litar F1 Sepang, tempahan dibuka

    Kehadiran Civic Type R FK8 ini sudah kami jangka sebelum ini Honda Malaysia telah mengumumkan mereka akan melancarkan enam model untuk tahun 2017 – lebih dua model daripada apa yang dirancangkan sebelum itu. Rakan penulis kami dari paultan.org bahasa inggeris sebelum ini turut diberi peluang untuk memandu uji kereta berkenaan di Dresden, Jerman.

    Ini juga sebenarnya kali kedua Honda Malaysia berjaya membawa masuk legasi Civic paling berkuasa berkenaan setelah berjaya membawa Civic R FD2R sebelum ini. Di jual pada harga hampir RM200k lengkap dengan waranti pengeluar, Malaysia satu-satunya negara luar Jepun yang menerima model JDM berkenaan secara rasmi ketika itu.

    Bagi mereka yang berminat untuk menempah jentera berprestasi tinggi sebenar ini, anda perlu mengunjungi “Pengedar Sport Honda” terpilih yang dilantik untuk menjual dan menservis kereta berkenaan bermula 1 Oktober ini. Harga? Honda Malaysia masih lagi belum membuat sebarang kenyataan mengenainya.

    Honda Civic Type R FK8 sah dipasarkan di Malaysia – 310 PS, di prebiu di Litar F1 Sepang, tempahan dibuka

     
     
  • Proton – Geely akan lancar model baru setiap tahun

    Proton – Geely akan lancar model baru setiap tahun

    Pagi ini telah berlangsung satu sidang akhbar pembentangan barisan pengurusan dan lembaga pengarah baru kumpulan syarikat Proton, yang melihatkan beberapa individu dari rakan strategik baru, Zhejiang Geely diserap masuk, bersama seorang bekas ketua pegawai eksekutif Skoda iaitu Winfried Vahland.

    Namun soalan yang penting adalah, apa produk yang akan menemui pengguna hasil daripada kerjasama ini. Seperti yang telah diketahui, SUV Boyue akan menjadi produk pertama yang akan diperkenalkan, iaitu menjelang akhir tahun 2018, tetapi menurut ketua pegawai eksekutif baru Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, Dr Li Chunrong, ia akan disusuli dengan model menarik lain setiap tahun.

    Mengulas tentang perkara sama, pengerusi Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar memberitahu, sebahagian produk sedia ada Proton akan dikekalkan, dan ia akan ditambah dengan model baru Geely. Walaubagaimanapun, beliau tidak menyatakan model segmen apa yang akan diperkenalkan, dengan hanya memberitahu akan meneroka seluruh segmen. Bagi model segmen A, beliau memberitahu Proton sudah mempunyai Saga.

    Proton – Geely akan lancar model baru setiap tahun

    “Selain pelbagai strategi yang akan dilaksana, kami juga mengambil penting aspek kepuasan pelanggan. Produk baru akan diperkenalkan supaya bersesuaian dengan kehendak pelanggan. Saga dan Persona dilihat cukup baik, tetapi model baru dengan enjin yang lebih berteknologi tinggi, lebih berkuasa dan lebih jimat minyak juga akan diperkenalkan,” tambah Li Chunrong.

    Satu perkara menarik yang ditambah oleh ahli lembaga pengarah Proton Holdings Bhd, Daniel Donghui Li, Geely akan membekalkan bukan sahaja model baru, tetapi juga enjin bertaraf Euro 6 dan transmisi baru. Bagi transmisi ini, ia bukan sahaja boleh digunakan untuk enjin biasa, tetapi juga enjin dengan bantuan elektrik seperti hibrid, plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik (EV).

     
     
  • DRB Hicom-Zhejiang Geely umum pengurusan baharu Proton- Dr. Li Chunrong dilantik sebagai CEO

    DRB Hicom-Zhejiang Geely umum pengurusan baharu Proton- Dr. Li Chunrong dilantik sebagai CEO

    Genap tiga bulan selepas perjanjian muktamad antara DRB-Hicom dengan Zhejiang Geely Holding Group (Geely) sebagai rakan kongsi strategik asing bagi Proton, pagi ini, senarai barisan ahli lembaga pengarah dan sebahagian pasukan eksekutif termasuk CEO baharu telah pun diumumkan.

    Dato’ Sri Syed Faisal Albar kekal sebagai Pengerusi Proton Holdings Berhad (PHB), disertai oleh Shaharul Farez Hassan dan Amalanathan Thomas, kedua-duanya dari DRB-Hicom sebagai ahli lembaga pengarah. Bagi wakil Geely pula, Daniel Donghui Li dan Feng Qing Feng turut menyertai barisan ahli lembaga pengarah bagi PHB.

    Kesemua mereka turut dilantik sebagai ahli lembaga pengarah bagi Proton Edar Sdn Bhd. Selain itu, mereka berlima juga turut menyertai ahli lembaga pengarah Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB), bersama Dr. Nathan Yu Ning dari Geely dan Winfried Vahland yang merupakan bekas Pengerusi dan CEO bagi Skoda Auto.

    DRB Hicom-Zhejiang Geely umum pengurusan baharu Proton- Dr. Li Chunrong dilantik sebagai CEO

    Pengumuman paling dinantikan pada pagi ini ialah Proton dan Geely sepakat untuk melantik Dr. Li Chunrong sebagai CEO baharu PONSB, berikutan perletakan jawatan Dato’ Ahmad Fuaad Kenali pada 30 September lalu.

    Dr. Li memiliki pengalaman selama 30 tahun dalam industri automotif antarabangsa, termasuk pernah bekerja dengan beberapa jenama besar seperti Honda, Kia dan Dongfeng. Beliau akan bertanggungjawab terhadpa keseluruhan Proton yang melibatkan pengeluaran, pembuatan, operasi, kualiti, penyelidikan & pembangunan, serta penjualan dan pemasaran.

    Manakala Dato’ Radzaif Mohammed pula diumumkan kekal sebagai Timbalan CEO bagi Proton. Beliau akan bersama-sama Dr. Li bagi mengetuai pelan pemulihan Proton.

    DRB Hicom-Zhejiang Geely umum pengurusan baharu Proton- Dr. Li Chunrong dilantik sebagai CEO

    Dalam majlis pengumuman khas ini juga, lembaga pengarah telah memutuskan usaha pemulihan jenama Proton sebagai teras keutamaan syarikat.

    Menerusi perjanjian muktamad pada Jun lalu, DRB-Hicom dan Geely memegang saham masing-masing sebanyak 50.1% dan 49.9% di dalam PHB. PONSB dan Proton Edar pula adalah 100% subsidiari bagi PHB. Bagi ketiga-tiga syarikat berkenaan, DRB-Hicom masih menduduki tahap tertinggi, sesuai dengan pegangan terbesarnya dalam saham Proton.

    “PONSB adalah operasi terbesar di dalam Proton Group, dan adalah sukar bagi kami untuk memilih individu yang paling tepat untuk memegang jawatan yang diperlukan,” ujar Syed Faisal Albar dalam kenyataannya sebelum ini.

     
     
  • Kia Stinger 2018 bakal terjah pasaran Amerika – hadir dengan enjin 2.0L Turbo 255 hp dan 3.3L V6 365 hp

    Kia Stinger 2018 bakal terjah pasaran Amerika – hadir dengan enjin 2.0L Turbo 255 hp dan 3.3L V6 365 hp

    2018 Kia Stinger GT2 RWD

    Setelah didedahkan pada awal tahun ini, kini Kia Stinger telah bersedia untuk mendarat di Amerika Syarikat pada Disember akan datang. Sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada pasaran berkenaan, Kia terlebih dahulu menyiarkan galeri kereta sport (yang benar-benar sport) pacuan roda belakang, empat pintu terbaharu mereka ini.

    “Tidak seperti mana-mana Kia yang hadir sebelum ini, Stinger benar-benar kereta idaman untuk kami dan selepas komitmen dan kerja keras sekumpulan pereka, jurutera dan eksekutif seluruh dunia selama berberapa tahun, impian berkenaan kini menjadi kenyataan. Dari model asal GT Concept sehingga talaan dan diperhalusi selama berberapa tahun di litar lagenda Nürburgring, tiada perincian yang terlalu kecil untuk ditaksubkan, dan hasilnya adalah sangat mengkagumkan,” kata Orth Hedrick, naib presiden perancang produk Kia Motors America.

    Model GT Concept yang dinyatakan oleh Hedrick berkenaan adalah model konsep yang didedahkan pada Frankfurt Motor Show 2011. Kereta berkenaan mungkin dianggap sebagai angan-angan dari sebuah jenama mampu milik seperti Kia, namun hakikatnya GT Concept tersebut telah “menimbulkan keghairahan yang mencetuskan semangat di dalam organisasi”. Sebaik sahaja projek Stinger diberikan lampu hijau, GT Concept terus dijadikan rujukan sepanjang pembinaannya.

    Sasaran pembinaan ini adalah untuk mengahsilkan sebuah kereta dengan rekaan yang garang, lincah dan laju dalam masa yang sama mewah dan senyap, dan perlu mencapai keseimbangan yang sempurna antara keselesaan dan pengendalian dengan lima-tempat duduk bersama ruang kargo yang memuaskan.

    Kia Stinger 2018 bakal terjah pasaran Amerika – hadir dengan enjin 2.0L Turbo 255 hp dan 3.3L V6 365 hp

    Bagi menterjemahkan model konsep kepada model produksi sebenar menjadi tugas besar buat pereka Peter Schreyer bersama pasukan studio rekaan Kia Frankfurt. Gregory Guillaume, ketua pereka di Kia Motors Europe menghasilkan rekaan akhir yang cukup sempurna.

    “Gran Turismo sebenar, kereta yng direka untuk pemanduan jarak jauh, ia bukan berkisar tentang kuasa, dinamik bersudut keras dan penggayaan yang ganas, semuanya dialirkan pada kemewahan, keselesaan dan anggun. Stinger bukan direka untuk sampai dahulu ke destinasi – kereta ini berkisar tentang perjalanan. Ia berkenaan semangat,” katanya.

    Kia Stinger direka untuk menyerlahkan bahawa ia sebuah kereta pacuan belakang; bahagian muncung yang panjang bersama overhang hadapan yang pendek, jarak roda yang dipanjangkan, serta overhang belakang yang panjang bersama garis bahu yang kelihatan gagah. Stance kereta ini juga secara keseluruhannya nampak lebar, bersama garis badan dengan pekali seretan 0.30 Cd.

    Menurut Kia, jarak roda Stinger ini adalah lebih panjang dari Audi A5 Sportback, BMW 4 Series Gran Coupe dan Infiniti Q50 – kesemua ini adalah model yang disasarkan sebagai pesaing terdekatnya di Amerika. Jarak 2,905 mm berkenaan juga sebenarnya adalah lebih panjang dari jarak roda Mercedes-Benz CLS.

    Kia Stinger 2018 bakal terjah pasaran Amerika – hadir dengan enjin 2.0L Turbo 255 hp dan 3.3L V6 365 hp

    2018 Kia Stinger GT2 RWD

    Seperti juga model-model Hyundai dan Kia yang dibina di Eropah yang lain, Stinger menghabiskan masa yang lama di litar Nürburgring ketika peringkat prototaip. Menurut Kia, para jurutera menghasilkan Stinger dari ujian pemanduan lasak dengan jarak minima 480 lap (10,000 km) di litar berkenaan bagi menilai kualiti, keboleh harapan, dan juga ketahanan. Pembangunan Stinger juga melibatkan ujian jalan raya sejauh 160,000 km termasuk situasi sukar di litar ‘The Green Hell’ tersebut.

    Casis Stinger dibina dengan 55% keluli berkekuatan-tinggi yang lebih maju, memberikan pengendalian dan pemanduan yang lebih baik serta mengurangkan NVH. Sistem suspensi Topang McPherson diberikan pada bahagian hadapan dan juga sistem multi-link di bahagian belakang. Kia turut memperkenal penyerap hentak boleh laras elektronik buat pertama kali menerusi Stinger, di gelar Dynamic Stability Damping Control.

    Penyerap hentak berkenaan memberikan lima mod talaan berbeza untuk Stinger, membolehkan pemandu memilih untuk menggunakan mod Eco, Sport, Comfort, Smart atau Personal. Kereta sport empat pintu ini juga diberikan sistem stereng elektrik yang diletakkan pada rak, bagi memberikan respon stereng yang lebih baik serta mengurangkan gegaran yang tidak diperlukan.

    Stinger pasaran Amerika ditawarkan dengan dua enjin berbeza iaitu enjin 2.0 liter empat-slinder turbo berkuasa 255 hp pada takat 6,200 rpm serta tork maksima 353 Nm bermula 1,400 hingga 4,000 rpm, dan juga enjin V6 3.3 liter turbo berkembar Lambda II berkuasa 365 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm – jelas lebih berkuasa dari Audi S5 Sportback and BMW 440i Gran Coupe.

    Kia Stinger 2018 bakal terjah pasaran Amerika – hadir dengan enjin 2.0L Turbo 255 hp dan 3.3L V6 365 hp

    2018 Kia Stinger GT2 AWD

    Kedua-dua enjin ini hanya akan dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan yang dibina oleh Kia sendiri. Ia turut hadir bersama pedal penukar gear serta torque converter jenis Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) pertama dari Kia untuk mengurangkan getaran kilasan pada sistem transmisi.

    Ini membolehkan model 2.0 liter turbo memecut dari 0-60 bsj (0-96 km/j) dalam masa 5.9 saat, manakala model 3.3 liter V6 pula mampu memecut dalam jarak yang sama dengan catatan 4.7 saat – lebih laju dari catatan masa yang direkodkan oleh Porsche Panamera V6. Untuk versi Amerika Syarikat, Stinger tidak diberikan model 2.2 liter turbodiesel seperti yang diterima di Eropah.

    Stinger merupakan sedan pacuan roda belakang, namun untuk pasaran Amerika, ia turut ditawarkan bersama sistem pacuan semua roda dengan agihan tork lebih ke bahagian belakang bersama sistem Dynamic Torque Vectoring Control yang beroperasi bersama sistem brek. Tork boleh dibahagikan ke bahagian hadapan sehingga 50%, dan ketika menggunakan mod Sport, kuasa akan dialirkan ke gandar belakang sehingga 80%. Bagi model pacuan roda belakang sepenuhnya pula, ia turut diberikan LSD mekanikal yang dibekalkan secara standard.

    Menurut Kia, Stinger melakukan ujian brek menurun bukit pada jalan berbukit Grossglockner High Alpine yang terletak di Banjaran Alps – tempat biasa pembina brek terkenal – Brembo – untuk melakukan ujian. Sedan ini dilengkapi dengan angkup brek aluminium monoblok empat omboh di hadapan dan dua omboh di belakang yang dibekalkan oleh Brembo. Ia turut diberikan cakera brek 350 mm di hadapan dan 340 mm di belakang.

    Bagi membezakan kedua-dua versi enjin, model 2.0 liter turbo diberikan rim berdiameter 18-inci bersama tayar 225/45R18, manakala model V6 pula diberikan rim 19-inci bersama tayar Michelin Pilot Sport 4 – 225/40R19 di hadapan dan 255/35R219 di belakang.

    Bagi ciri keselamatan, Stinger pasaran Amerika diberikan pakej keselamatan aktif Multiple Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang terdiri dari sistem Kia Driver Attention Warning, Amaran Pelanggaran Hadapan, Smart Cruise Control with Stop & Go, Bantuan Kekal Laluan, Amaran Titik Buta bersama Amaran Lintasan Trafik belakang.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk paparan head-up berwarna dengan larasan ketinggian (turut memaparkan info navigasi dan titk buta), pengecas telefon pintar tanpa wayar serta penutup pintu tailgate belakang berkuasa.

    Model asas diberikan sistem audio dengan skrin sesentuh haptic tujuh-inci bersama enam pembesar suara, manakala model V6 dibekalkan dengan sembilan pembesar suara dan juga unit amplifier tambahan. Pilihan sistem audio Harman Kardon 720-watt bersama 15 pembesar suara dan subwoofer yang diletakkan pada tempat duduk hadapan turut ditawarkan.

    Selain dari Eropah dan Amerika, Stinger turut akan menembusi pasaran Australia bermula Oktober ini, dijual pada harga bermula AUD$48,990 (RM166,182) hingga AUD$59,990 (RM203,496). Awal tahun ini ketika editor kami, Izwaashura Sadali ke Melbourne, Australia untuk menguji Kia Rio 2017, Dato’ Samson Anand George, CEO Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings memberitahu kami bahawa pihaknya amat berminat untuk membawa masuk Stinger ke pasaran Malaysia tahun hadapan.

    Kemudian pada April lalu pula, sebuah Kia Stinger yang diselindungkan dengan kit penyamaran dijumpai di Malaysia berkemungkinan sedang diuji untuk pasaran tempatan. Sebulan selepas itu, kereta berkenaan dipamerkan sepenuhnya tanpa penyamaran di Sabah sempena Konvensyen Pengedar Kia Asia 2017. Jika benar Stinger akan di jual di Malaysia, julat harga jualannya di Australia mungkin sedikit sebanyak memberikan petunjuk berapa harga anggaran kereta ini pada pasaran kita.

     
     
  • Toyota, Mazda dan Denso akan bekerjasama dalam pembangunan kereta elektrik, syarikat baharu ditubuh

    Toyota, Mazda dan Denso akan bekerjasama dalam pembangunan kereta elektrik, syarikat baharu ditubuh

    Toyota, Mazda dan Denso telah mencapai satu persetujuan untuk bersama membangunkan teknologi struktur asas untuk kenderaan elektrik (EV). Semua syarikat ini telah mewujudkan satu syarikat baru iaitu EV CA Spirit, yang akan menggalas tugas sebagai pusat pembangunan untuk projek bersama ini.

    Usaha awal dalam syarikat ini akan melibatkan 40 jurutera terpilih daripada tiga syarikat tersebut. Berkenaan ekuiti dan tugas, Toyota akan menyediakan bahagian besar model, dengan pelaburan sebanyak 90%, manakala Mazda dan Denso masing-masing menyumbangkan 5%.

    Syarikat gabungan ini akan mempunyai operasi utama di Nagoya, Jepun dan di situ, segala penyelidikan dan pembangunan teknologi struktur asas kenderaan elektrik akan dijalankan. Teknologi yang dibangunkan itu boleh digunakan untuk kenderaan pelbagai segmen dan jenis, daripada kereta mini hinggalah kereta penumpang dan trak ringan.

    Proses pembangunan juga akan menggabungkan kekuatan tiga syarikat ini, dengan menggunakan perancangan produk serta kecekapan dalam pembangunan berasaskan model komputer oleh Mazda, teknologi elektrik Denso serta platform New Global Architecture Toyota (TNGA). Syarikat ini juga menyatakan akan melihat kepada struktur perniagaan yang akan dibuka kepada pengeluar kenderaan serta pembekal lain.

     
     
  • Audi e-tron FE04 – dibangunkan bersama Schaeffler

    Audi e-tron FE04 – dibangunkan bersama Schaeffler

    Audi adalah pengeluar kenderaan Jerman pertama yang menyatakan penglibatan penuh dalam perlumbaan Formula E, dan kini mereka telah menunjukkan jentera yang akan digunakan untuk bersaing dalam musim 2017/2018, iaitu e-tron FE-04. Kereta ini akan membuat penampilan pertama semasa perlumbaan pembukaan di Hong Kong 2 Disember nanti.

    Grafik kenderaan ini menggunakan warna hijau dan putih sebagai warna utama, manakala pemacunya pula yang terdiri daripada motor elektrik, transmisi, suspensi serta perisian yang berkaitan, semuanya dibangunkan sendiri oleh Audi. Transmisi yang digunakan adalah unit satu kelajuan tunggal yang direka untuk kecekapan.

    “Kami, bersama rakan kongsi teknologi iaitu Schaeffler telah berjaya membangunkan sebuah penjana kuasa yang baru,” kata ketua Audi Motorsport, Dieter Gass. “Anda boleh menyaksikan sendiri perkara ini dengan melihat kepada perumah karbon yang digunakan. Kereta ini juga menghasilkan bunyi yang berlainan.”

    Audi e-tron FE04 – dibangunkan bersama Schaeffler

    Pasukan Audi Sport ABT Schaeffler akan mengekalkan senarai pelumba mereka, yang termasuk juara dunia Lucas di Grassi dan Daniel Abt. Antara pencapaian mereka yang dibanggakan adalah 24 kali podium, enam kemenangan dan empat kali bermula di petak pertama. Pasukan ini juga mempunyai ketua baru, iaitu Allan McNish, yang juga adalah pemenang Le Mans sebanyak tiga kali.

    Selain Audi, BMW juga akan bersaing dalam perlumbaan Formula E, tetapi bermula pada musim 2018/2019, manakala Mercedes-Benz pula pada tahun selepas itu. Di dalam keluarganya sendiri, Audi akan disertai oleh Porsche yang turut akan bersaing pada tahun 2019.

     
     
  • Proton bakal lantik bekas CEO Skoda sebagai ahli lembaga pengarah, tanda tahap keseriusan – laporan

    Proton bakal lantik bekas CEO Skoda sebagai ahli lembaga pengarah, tanda tahap keseriusan – laporan

    Pelbagai spekulasi timbul berkenaan rombakan semula pengurusan Proton setelah pengeluar automotif nasional berkenaan menjalinkan kerjasama strategik dengan jenama dari China, Geely. Laporan terbaharu dari Utusan Malaysia mengatakan, selepas ini Proton bakal melantik bekas pengerusi dan CEO Skoda (kini bernaung di bawah kumpulan Volkswagen), Winfried Vahland.

    Vahland yang berasal dari Jerman merupakan individu yang sangat berpengalaman dalam industri automotif dan telah berkhidmat di bawah kumpulan Volkswagen selama 25 tahun. Sebelum dilantik untuk mengetuai Skoda pada tahun 2010, beliau merupakan CEO Volkswagen di China dan juga naib presiden kumpulan berkenaan pada peringkat global.

    Beliau kemudiannya dilantik untuk mengetuai operasi VW di Amerika Utara pada tahun 2015, tetapi memilih untuk meletak jawatan dua minggu sebelum pengumuman perlantikan tersebut dibuat kerana tidak bersetuju dengan strategi baharu syarikat berkenaan.

    Proton bakal lantik bekas CEO Skoda sebagai ahli lembaga pengarah, tanda tahap keseriusan – laporan

    Menurut sumber industri yang memberitahu perkara ini kepada Utusan, DRB-Hicom memilih Vahland sebagai ahli lembaga pengarah untuk “menunjukkan tahap keseriusan pengurusan untuk mendapatkan bakat sebenar automotif ke dalam Proton.” Laporan tersebut turut menambah bekas naib presiden eksekutif Dongfeng-Honda Engine Co Ltd, Li Chunrong, kini sudahpun berada di Shah Alam untuk bertemu dengan pegawai-pegawai kanan syarikat dan bakal diumumkan sebagai CEO baharu Proton, menggantikan Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

    “Pengumuman itu akan memperjelaskan struktur pengurusan baharu Proton dan paling genting, jawatan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) juga dijangka daripada kalangan pegawai yang dipilih oleh Zhejiang Geely,” kata sumber industri tersebut dan menambah “Chunrong yang sudah tiba dari China, dijadual memulakan tugasnya secara rasmi pada Isnin ini.”

    Transaksi kepentingan Geely sebanyak 49.9% kedalam Proton dijangka bakal dilengkapkan “dalam masa terdekat,” dan kedua-dua pihak kini dalam peringkat melengkapkan pelan perniagaan terperinci yang akan membawa Proton kearah yang betul untuk tempoh masa berberapa tahun akan datang. Pelan berkenaan turut termasuk strategi kedua-dua syarikat bagi menghasilkan kenderaan baharu bersama bagi dipasarkan pada peringkat global.

     
     
  • HKS hasilkan mee ramen dalam cawan segera asli

    HKS hasilkan mee ramen dalam cawan segera asli

    Ini bukan sejenis gurauan April Fool ataupun produk jenama ciplak, mee segera dalam cawan atau ramen cup noodle ini benar-benar produk asli dari penala prestasi tinggi dari Jepun, HKS.

    Menurut seorang pengguna blog minkara car review dengan akaun bernama PC-6082, mee berkenaan diberikan secara percuma kepadanya setelah dia selesai memasang set suspensi HKS HiperMaxG pada MPV Toyota Vellfire HV miliknya.

    Mee berkenaan merupakan hidangan lengkap dengan perencah sup dan juga sayur-sayuran. Bagi mereka yang beragama Islam, mee ini tidak sesuai untuk anda makan mahupun sekadar menyimpannya untuk koleksi kerana ia turut lengkap dengan daging khinzir kering.

     
     
  • Suzuki SV650X akan tampil buat kali pertama di Tokyo

    Suzuki SV650X akan tampil buat kali pertama di Tokyo

    Selain barisan kereta menarik seperti Xbee dan eSurvivor Concept, Suzuki juga akan membawa jentera dua roda ke pameran Tokyo Motor Show 2017. Satu model yang pertama kali akan ditunjukkan kepada orang ramai adalah SV650X, yang masih dinamakan sebagai model konsep tetapi kelihatan seperti sudah bersedia untuk produksi pasaran awam.

    Seperti yang boleh jelas dilihat, SV650X menggunakan asas daripada model SV650 (Gladius) 650, namun penampilannya diubah menjadi seperti sebuah jentera neo-retro. Antara bahagian yang berbeza berbanding SV650 biasa adalah panel lampu hadapan, lampu LED tambahan di depan, panel di tepi tangki minyak, tempat duduk dengan jahitan bertekstur dan penutup tempat duduk belakang.

    Bahagian lain semuanya kelihatan sama, dan enjin juga mungkin tidak berubah, iaitu unit dua silinder V 645 cc yang berkuasa 75 hp dan 64 Nm tork. Model Suzuki SV650A 2017 dijual di Malaysia pada harga RM38,800 termasuk GST, dan ini adalah unit yang diimport terus dari Jepun.

     
     
  • Mazda M’sia lancar pusat cat baharu di kilang Inokom – sasar eksport untuk lebih banyak pasaran Asia

    Mazda M’sia lancar pusat cat baharu di kilang Inokom – sasar eksport untuk lebih banyak pasaran Asia

    Selain mempertontonkan secara rasmi Mazda CX-5 generasi kedua (KF) dalam majlis pemulaan pemasangan (roll-out) model berkenaan, Mazda Malaysia turut melancarkan pusat cat baharu di kilang Inokom, Kulim, Kedah. Fasiliti bagi pusat cat ini telah pun mula beroperasi sejak Ogos lalu.

    Buat pertama kalinya, warna premium Mazda akan ditawarkan untuk model pemasangan tempatan (CKD) bagi pasaran Malaysia, bermula dengan CX-5. Sebelum ini, pelanggan yang ingin membeli SUV dengan warna Soul Red Metallic hanya boleh mendapatkannya menerusi model import sepenuhnya (CBU). Ia juga melibatkan model Mazda 3 sedan.

    Maka, dengan CX-5 generasi kedua yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, ia turut menawarkan pilihan warna termasuk Soul Red Crystal (evolusi bagi Soul Red Metallic), Machine Grey dan juga Snowflake Pearl White. Semua penawaran ini hadir secara premium, di mana terdapat pertambahan kos sebanyak RM2,000 untuk semua varian.

    Memandangkan kedua-dua CX-5 dan 3 kini merupakan hanya model pemasangan tempatan bagi Mazda di Malaysia, jadi ia juga ditawarkan dengan kekemasan premium yang sama. Walau bagaimana pun, syarikat ini masih belum mengesahkan bilakah sedan (atau hatchback) bakal menerima peningkatan bagi palet warna, atau sebanyak mana elemen premium yang bakal ditawarkan.

    Dengan adanya fasiliti baharu ini, Mazda Malaysia turut merancang untuk mengembangkan pasaran eksport ke seluruh Asia Tenggara pada masa hadapan, kecuali Vietnam (kerana ia merupakan pasaran pemanduan sebelah kiri). Buat masa ini, kilang ini memproduksikan CX-5 (sejak 2013) dan 3 (sejak 2014), dengan kedua-dua fasiliti diperkenalkan masing-masing pada 2015 dan 2016. Ia juga turut mengeksport CX-5 ke Thailand.

    Memandangkan kenderaan Mazda diproduksi di Kulim bagi pasaran domestik, ia juga akan dieksport ke beberapa pasaran luar terpilih di Asia, seperti Indonesia, Kemboja, Myanmar dan Filipina. Syarikat ini juga dilihat semakin progresif dalam meningkatkan jumlah produksi sejak 2012, dengan angka mencapai 15,000 unit pada 2017.

    Mazda M’sia lancar pusat cat baharu di kilang Inokom – sasar eksport untuk lebih banyak pasaran Asia

    “Kami melihat Malaysia sebagai hab produksi penting bagi rantau ASEAN, dengan mensasarkan untuk memperkukuhkan lagi sistem produksi, kami turut bekerjasama rapat dengan rakan perniagaan kami untuk membangunkan pembuatan kenderaan Mazda di sini,” ujar Masatoshi Maruyama, pegawai eksekutif pengurusan bagi Produksi Global dan Logistik Perniagaan Mazda.

    “Pelanggan di pasaran ASEAN semakin yakin dengan produk, teknologi dan standard kualiti Mazda. Justeru, kami melihat ia sebagai misi untuk menawarkan keperluan bagi mencapai apa yang mereka harapkan. Bagi CX-5 serba baharu pemasangan Malaysia ini, merupakan bukti kesungguhan Mazda dalam memperluaskan lagi pembuatan dan pasaran kami,” tambah Hiroshi Inoue, pegawai eksekutif pengurusan bagi perniagaan ASEAN Mazda.

    Fasiliti mengecat baharu ini melibatkan pelaburan sebanyak 2.3 bilion yen (lebih kurang RM86 juta), termasuklah bahagian proses kimpalan. Dengan penambahbaikan ini, kilang Inokom telah mengikut standard ‘kilang utama’ di Ujina dan Hofu, barat Jepun, termasuk berkaitan teknologi.

     
     
  • Mazda CX-5 CKD 2017 dipertontonkan di Malaysia – perincian penuh didedahkan, 5 varian, dari RM134k

    Mazda CX-5 CKD 2017 dipertontonkan di Malaysia – perincian penuh didedahkan, 5 varian, dari RM134k

    Seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, Mazda menerusi Bermaz Motor bakal memperkenalkan model CX-5 versi pemasangan tempatan (CKD) untuk pasaran Malaysia. Pagi ini, kami berlintas langsung dari kilang Inokom, Kulim, Kedah, bagi menyaksikan acara pemulaan pemasangan (roll-out) SUV popular Mazda ini.

    Walau pun masih belum mendedahkan bilakah CX-5 CKD ini akan dilancarkan secara rasmi, namun harga dan perinciannya telah pun didedahkan. Pastinya menambah debaran di kalangan penggemarnya terutamanya yang memasang hasrat untuk memilikinya.

    Seperti yang kami maklumkan sebelum ini, CX-5 CKD 2017 bakal dibarisi lima varian (tiga varian petrol dan dua varian diesel), iaitu 2.0G 2WD GL, 2.0G 2WD GLS, 2.5G 2WD GLS, 2.2D 2WD GLS dan 2.2D AWD GLS.

    Bermula dengan model asas 2.0G 2WD yang menampilkan dua varian iaitu GL yang ditawarkan pada harga RM134,205.50 serta GLS pula RM148,205.50. Turut menyertai barisan varian CX-5 2017 CKD ini ialah varian petrol 2.5G 2WD GLS ditawarkan pada harga RM160,596.70. Malah Mazda turut memberikan pilihan enjin diesel 2.2G 2WD GLS pada harga RM164,179.10 dan 2.2D AWD GLS yang berharga RM174,779.10.

    Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insurans. Dengan setiap pembelian, pemilik akan diberi jaminan selama lima-tahun atau 100,000 km, dan pakej servis percuma tiga-tahun atau 60,000 km.

    Mazda CX-5 CKD 2017 dipertontonkan di Malaysia – perincian penuh didedahkan, 5 varian, dari RM134k

    Apakah yang menariknya bagi CX-5 generasi kedua ini yang meneruskan evolusi Jinba Ittai kebanggaan Mazda? Pastinya imej luaran dan dalaman dengan rekaan konsep Kodo menjadi taruhan utama untuk menambat hati para peminat SUV atau pun bagi sesiapa yang mungkin mahu bertukar selera dari sedan ke SUV.

    Pada bahagian luaran, bonet baharu juga ditampilkan memberikan imej hadapan yang lebih tajam bagi SUV baharu ini. Bahagian bampar bawah juga digantikan serta kini tiada lagi corong palsu. Menyerlahkan lagi gayanya dengan gril gaya-sarang lebah baharu berbanding model sebelum ini hanya hanya menampilkan kepingan plat biasa. Ternyata CX-5 baharu ini ada iras-iras abangnya iaitu Mazda CX-9.

    Semua model baharu ini turut menerima lampu hadapan LED yang lebih langsing, dengan lampu nyalaan siang dan lampu kabus hadapan (LED bagi semua varian kecuali mentol untuk varian asas 2.0 GL). Ia juga ditawarkan dengan dua rekaan roda iaitu pelbagai-jejari 17-inci untuk varian rendah dan lima jejari-berkembar 19-inci bagi varian spesifikasi tertinggi. Lampu kombinasi belakang LED ditampilkan untuk semua varian tertinggi (kecuali varian asas dengan lampu mentol biasa). Semua varian turut ditampilkan dengan antena sirip jerung, spoiler belakang, pengesan parkir dan dwi corong ekzos dengan kekemasan terang.

    Pada bahagian dalaman pula, papan pemuka CX-5 yang dirombak semula ini dilengkapi dengan material sentuhan lembut berserta rekaan kayuan dan logam untuk semua varian kecuali model asas (hadir dengan kekemasan gun metallic). Ia turut menampilkan skrin utama Mazda Active Driving Display pada bahagian tengah yang dihubungkan kepada sistem infotainment MZD Connect. Bagi kluster instrumen, semua varian menerima paparan standard TFT LCD 4.6-inci, namun ia dipertingkatkan bagi dua varian tertinggi dengan menampilkan Paparan Pelbagai Informasi TFT LCD berwarna 4.6-inci.

    Mazda CX-5 CKD 2017 dipertontonkan di Malaysia – perincian penuh didedahkan, 5 varian, dari RM134k

    Lain-lain elemen yang ditampilkan termasuk roda stereng tiga-jejari (seperti CX-9), brek tangan elektrik (dengan fungsi brek penahan baharu), corong pendingin hawa belakang, kawalan suhu dwi-zon, perehat tangan, port USB, sambungan Bluetooth dengan kit telefon bebas tangan, pemain CD/MP3, sistem navigasi GPS (kecuali varian asas) dan kamera undur. Walau bagaimana pun ia tidak menyertakan sistem bunyi Bose seperti mana yang ada pada unit CBU.

    Bagi tempat duduk pula, balutan fabrik untuk model asas dan larasan manual untuk tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan. Manakala varian tertinggi lain menerima balutan kulit dengan 10-hala larasan berkuasa bagi tempat duduk pemandu.

    Selain pembaharuan yang lebih segar pada bahagian imejnya, SUV ini juga mengalami perubahan pada dimensi dan bentuk kerangkanya. Di mana tiang-A telah diposisikan ke belakang sedikit sebanyak 35 mm, sekaligus mengoptimumkan kedudukan gandar hadapan dan tiang-A.

    Jadi, dimensi terkini bagi model generasi kedua ini ialah 4,550 mm bagi panjang (-5 mm tanpa pemegang plat nombor) dan bertambah 20mm bagi ketinggiannya menjadi 1,690 mm. Namun lebarnya masih sama iaitu 1,840 mm, begitu juga dengan jarak rodanya (2,700 mm). dimensi baharu ini sekaligus memberikan ia memiliki “fizikal yang lebih mantap”, menurut Mazda.

    Di bawah bonetnya, varian CX-5 janaan petrol dilengkapi sama ada enjin SkyActiv-G 2.0 liter (162 hp/210 Nm) atau 2.5 liter (192 hp/257 Nm). Manakala bagi varian diesel pula, ia dipadankan dengan unit 2.2 liter SkyActiv-D yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 173 hp dan 420 Nm.

    Versi petrol akan dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan SkyaActiv-Drive memacu roda hadapan. Manakala untuk model yang dijana kuasa diesel pula juga diberikan sistem transmisi yang sama tetapi turut diberikan sistem pacuan semua-roda.

    Seperti juga model-model lain dalam barisan, SUV generasi baharu ini turut diberikan teknologi pemanduan SkyActiv-Vehicle Dynamic dengan sistem G-Vectoring Control (GVC) dan Mazda i-Stop Idling Technology.

    Untuk aspek keselamatannya, Mazda i-Activsense bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan juga akan didatangkan, dengan Kepekaan Trafik Lintasan belakang (RCTA), Pemantauan Titik Buta (BSM) dan Sokongan Brek bandar Pintar (hadapan) bagi semua varian. Lain-lain elemen keselamatan standard bagi semua varian ialah enam beg udara, ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Dinamis (DSC), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Sistem Kawalan Cengkaman (TSC), Bantuan Mula Mendaki (HSS) dan ISOFIX.

    Walau bagaimana pun, varian diesel juga akan dilengkapi dengan Sokongan Brek bandar Pintar (belakang), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Sistem Amaran Ketibaan Lorong (LDWS) dan Kepekaan Perhatian Pemandu (DAA). Kesemua model turut menerima penarafan lima-bintang dari Japan NCAP dan Euro NCAP.

    Sehingga kini, Mazda Malaysia belum bersedia mendedahkan bilakah kesemua barisan CX-5 baharu ini bakal dilancarkan untuk pasaran tempatan. Justeru, sama-samalah kita menantikan perkembangan selanjutnya.

    GALERI: Spesifikasi penuh untuk kesemua varian Mazda CX-5 2017 CKD

    GALERI: Mazda CX-5 2017 2.0L

    GALERI: Mazda CX-5 2017 2.5L

    GALERI: Mazda CX-5 2017 2.2L diesel

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026