Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Maro Engel diberi penghargaan guna jentera lumba Mercedes-AMG C63 DTM sebagai ‘kereta pengantin’

    Sudah menjadi lumrah bagi ‘mat-mat kereta’untuk menggunakan jentera kesayangan mereka pada hari perkahwinan sendiri sebagai kereta pengantin. Trend terkini, kereta-kereta kebanggaan berkenaan bukan sahaja hadir sebagai prop untuk gambar kahwin, malah turut digunakan dalam video sama ada dengan aksi berjalan, mahupun membuat pelbagai aksi lain termasuk drift.

    Maro Engel merupakan pelumba untuk Mercedes-AMG untuk sekian lama, dan berlumba untuk pasukan berkenaan dalam pelbagai perlumbaan termasuk kejohanan DTM Jerman dan juga V8 Supercars Australia. Tahun ini, sempena kepulangannya semula untuk berlumba di DTM dan juga sempena hari perkahwinannya, syarikatnya bersetuju untuk memberikan jentera perlumbaan sebenar Mercedes-AMG C63 DTM bagi digunakan oleh Engel sebagai kereta pengantin.

    Maro Engel diberi penghargaan guna jentera lumba Mercedes-AMG C63 DTM sebagai ‘kereta pengantin’

    “Ia merupakan pengalaman yang menakjubkan. Apabila pasukan menawarkan kepada kami, kami sangat teruja dan mula berfikir untuk memandunya dalam masa setengah jam. Ia perasaan yang gila, memandu Mercedes-AMG C 63 DTM dari gereja bersama isteri saya, sepanjang jalan sempit menerusi perkampungan nelayan yang kecil dan keluar ke jalan pesisir pantai,” kata Engel.

    Menurut Engel lagi, isterinya turut teruja ketika berbincang berkenaan tawaran dari pasukan tersebut. “Kami masuk ke tempat duduk kereta ini dengan kain putih yang besar, dia berjaya masuk kedalam dengan sedikit bantuan dari saya,” jelas Engel.

     
     
  • Litar Antarabangsa Sepang rancang atur pelbagai perlumbaan, bina taman tema dalam masa 5 tahun

    Litar Antarabangsa Sepang rancang atur pelbagai perlumbaan, bina taman tema dalam masa 5 tahun

    Walaupun perlumbaan berprestij Formula 1 sudah tidak dianjurkan lagi oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula tahun hadapan, pihak pengurusannya kini telahpun merancang pelbagai strategi untuk litar berkenaan bagi lima tahun akan datang, menurut laporan Malay Mail Online.

    CEO Datuk Razlan Razali berkata, SIC akan dijadikan seperti litar Suzuka di Jepun selepas ini yang turut dilengkapi taman tema dan juga hotel. “Kami akan berehat selama lima tahun. Tanpa pengajuran F1, kami perlu terus menambah lebih infrastruktur yang mungkin akan membantu dalam memberikan keuntungan,” jelasnya.

    “Idea ini sebenarnya sudah ada sejak hari pertama saya bertugas pada 2008 tetapi sekarang perdana menteri telah mengarahkan saya untuk meneruskannya untuk tempoh lima tahun akan datang. Kami mahu menawarkan sesuatu untuk semua orang. Contohnya, jika sebuah keluarga datang ke sini ketika MotoGP, ayah boleh menonton perlumbaan manakala ahli keluarga lain boleh berseronok di taman tema,” katanya.

    SIC kini sedang merancang untuk membawa perlumbaan V8 Supercar Australia atau membawa semula kejohanan Super GT Jepun bagi menggantikan slot yang ditinggalkan F1. “Tiga acara yang kami sedang pertimbangkan adalah Super GT Jepun, Kejohanan Supercar Australia (V8 Supercars) dan Kejohanan Dunia FIM Endurance. Tetapi kami masih lagi belum membuat keputusan,” kata Razlan.

    Tetapi, walau apapun berlaku, SIC akan tetap menganjurkan MotoGP, dan litar ini tidak akan menjadi gajah putih. Razlan juga menjelaskan bahawa F1 bukanlah kehilangan besar kepada negara. “Ketika perlumbaan berlangsung, F1 hanya membawa sejumlah 30,000 hingga 40,000 pelancong asing setiap tahun. Itu bukanlah angka yang besar. Saya pasti angka berkenaan dapat digantikan dengan mudah dengan acara lain yang telah dirancang oleh kementerian pelancongan dan kebudayaan,” kata Razlan.

    “Kami gagal untuk memecahkan rekod penonton walaupun ia perlumbaan F1 terakhir dan harga tiket telah dikurangkan sebanyak 82%. Pada mulanya, rungutan adalah kerana harga tiket tetapi apabila kami mengurangkan harga, jumlah penonton masih juga rendah. Saya rasa rakyat Malaysia sudah bosan dengan F1,” jelasnya lagi.

    Dilaporkan seramai 110,604 peminat hadir ke Sepang Ahad lalu untuk menonton perlumbaan F1 terakhir di Malaysia berkenaan, yang akhirnya dimenangi oleh pemandu Red Bull, Max Verstappen. Rekod tertinggi jualan tiket F1 di SIC adalah pada tahun 2008 dengan 126,690 tiket berjaya dijual.

    “Tunggu lagi lima tahun. Mungkin anda akan menerima berita yang mahu anda dengar. Tetapi buat masa sekarang, izinkan kami berehat,” ujar Razlan dengan nada berseloroh.

     
     
  • Mazda dijumpai memfailkan paten rekaan spoiler aktif yang boleh disorokkan pada lampu belakang

    Mazda dijumpai memfailkan paten rekaan spoiler aktif yang boleh disorokkan pada lampu belakang

    Rekaan spoiler belakang aktif yang boleh disorokkan – seperti pada Porsche Panamera – mungkin bukan sesuatu yang baru. Namun rekaan yang baharu sahaja ditemui dipatenkan oleh Mazda ini adalah sesuatu yang agak segar – spoiler aktif yang bukan disorokkan pada badan, sebaliknya keluar dari lampu belakang.

    Motif rekaan Mazda ini adalah untuk mendapatkan downforce pada bahagian belakang hanya ketika diperlukan (pada kelajuan tinggi tertentu misalnya), tetapi pada situasi normal, spoiler tersebut disorokkan dari pandangan agar rupa keseluruhan kereta berkenaan kekal cantik tanpa gangguan.

    Pergerakan sayap tersebut akan dikawal oleh lengan yang dilengkapkan bersama unit actuator yang mana mekanismanya turut akan disorokkan. Spoiler berkenaan bukan sahaja boleh bergerak kehadapan dan kebelakang untuk masuk dan keluar dari lampu belakang, malah sudutnya juga boleh diubah bagi mendapatkan lebih downforce.

    Rekaan ini jelas hanya sesuai digunakan pada sebuah kereta sport, sama seperti paten pintu yang boleh dibuka ke atas yang turut dijumpai dipatenkan oleh Mazda sebelum ini.

    Mazda telah mengesahkan mereka akan membawa sebuah lagi kereta konsep sport dengan enjin Wankel Rotary (bukan model konsep RX-Vision sebelum ini) ke Tokyo Motor Show tahun ini yang mungkin akan menyambung legasi siri RX sebelumnya (RX-9?). Tidak mustahil kedua-dua rekaan ini bakal tampil pada kereta sport konsep yang bakal menggantikan RX-7 dan RX-8 tersebut.

     
     
  • Toyota Crown Concept bakal membuat penampilan sulung pada Tokyo Motor Show 2017 bulan ini

    Toyota Crown Concept bakal membuat penampilan sulung pada Tokyo Motor Show 2017 bulan ini

    Kita di Malaysia mengenali Toyota Crown sebagai teksi pada era 70’an dan 80’an, dan ia juga merupakan sedan Toyota paling besar serta merupakan model flagship jenama berkenaan. Namun setelah Toyota Camry diperkenalkan di sini, Crown tidak lagi dibawa kepasaran tempatan.

    Sebenarnya Crown masih lagi terus dijual dan berevolusi di pasaran Jepun dan ia kekal sebagai sebuah sedan mewah. Generasi ke-14 sedia ada Toyota Crown dengan kod casis S210 diperkenalkan pada tahun 2012, dan ia sudah hampir ke penghujung hayat produksinya. Pada Tokyo Motor Show tahun ini, Toyota bakal membawakan model konsep Toyota Crown generasi baharu untuk diprebiu.

    Sebelum ia membuat penampilan sulung, Toyota telah menyiarkan dua imej rasmi sedan mewah berkenaan. Model generasi baharu ini menampilkan rupa yang lebih sporty dan bertenaga. Ia juga menampilkan enam-cermin pada profil sisi, sama seperti Lexus LS generasi terkini.

    Muka sedan ini juga direka dengan begitu agresif menampilkan lampu utama LED dan juga gril baharu. Imej model baharu yang disiarkan ini turut menampilkan rim aloi berdiameter besar dengan elemen rekaan turbin yang sporty – berkemungkinan ia dari varian Crown Athlete. Varian mewah Crown Royal dan versi lebih panjang dan lebih premium Crown Majesta dijangka turut dijangka akan diteruskan.

    Model generasi baharu ini diukur dengan dimensi 4,910 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,455 mm tinggi manakala jarak rodanya pula 2,920 mm. Berbanding model sedia ada, Crown generasi seterusnya ini adalah 25 mm lebih panjang, 5 mm lebih tinggi manakala jarak rodanya pula 70 mm lebih panjang.

    Toyota Crown Concept bakal membuat penampilan sulung pada Tokyo Motor Show 2017 bulan ini

    Model ini dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dan dijangka bakal berkongsi banyak komponen dengan Lexus GS generasi berikutnya. Ia juga dijumpai diuji di litar Nürburgring, Jerman, jadi boleh dijangka ia bakal menampilkan pengendalian yang lebih sporty.

    Model ini juga dijangka bakal mengekalkan enjin dari generasi sedia ada iaitu enjin 8AR-FTS 2.0 liter turbo berkuasa 235 PS dan tork maksima 350 Nm, digandingkan bersama kotak gera automatik lapan-kelajuan. Versi yang dijana enjin 3.5 liter NA berkuasa 318 hp/380 Nm bersama transmisi automatik 10-kelajuan juga berkemungkinan akan ditawarkan, sama seperti Lexus LS 350 yang hanya dipasarkan di China.

    Untuk versi hibrid pula, model ini dijangka bakal dipacu unit janakuasa Multi Stage Hybrid System yang diambil dari Lexus LS 500h dan LC 500h. Unit berkenaan menggabungkan enjin petrol V6 3.5 liter Dual VVT-i berkuasa 295 hp/350 Nm dengan dua motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 354 hp. Kedua-dua motor elektrik berkenaan beroperasi bersama kotak gear empat kelajuan bagi memberikan kesan pemanduan seperti menggunakan kotak gear 10-kelajuan.

    Bagi sistem keselamatan pula, Crown baharu ini terus dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik dan juga sistem hubungan komunikasi ITS Connect kenderaan-ke-infrastruktur (V2I) dan juga kenderaan-ke-kenderaan (V2V). Menerusi model generasi ke-15 ini, ia turut hadir standard dengan Modul Komunikasi Data (DCM) yang membolehkan sistem Internet of Things (IoT) berfungsi, diperkenalkan buat pertama kali oleh Toyota.

    Menurut Toyota, sistem tersebut akan mengumpul sejumlah data yang banyak untuk digunakan dalam pelbagai cara, seperti mengurangkan kesesakan trafik dan meramal masalah kenderaan yang mungkin timbul dan terus menghubungi pusat panggilan bagi memberikan bantuan yang diperlukan secepat mungkin. Toyota Crown generasi baharu ini dijangka akan dipasarkan pada musim panas 2018.

    GALERI: Spyshot Toyota Crown 2018

     
     
  • Honda CR-V 2017 kini cecah 5,000 unit tempahan sejak dilancarkan – varian 1.5L turbo monopoli 75% jualan

    Honda CR-V 2017 kini cecah 5,000 unit tempahan sejak dilancarkan –  varian 1.5L turbo monopoli 75% jualan

    Honda CR-V 2017 yang dilancarkan di Malaysia pada Julai lalu terus meniti kepopularan tersendiri. Apatah lagi kini seakan menjadi trend menukar sedan ke SUV.

    Sejak dilancarkan tiga bulan yang lalu, Honda Malaysia mengkhabarkan bahawa CR-V generasi kelima ini telah pun mencecah 5,000 unit tempahan, iaitu melepasi jangkaan sasaran. Di mana pada mulanya Honda Malaysia mensasarkan jumlah tersebut hanya mampu dicapai dalam tempoh lima bulan ia dilancarkan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,080 unit CR-V 2017 telah pun dihantar ke para pelanggan dan semakin banyak dilihat di jalan raya.

    Malah menurut Honda Malaysia lagi, varian 1.5L turbo telah memonopoli jualan bagi SUV ini iaitu mencapai 75% daripada jumlah keseluruhannya, iaitu melebihi enjin N/A iaitu 2.0 liter, varian paling asas dalam barisan CR-V 2017. Sekaligus membuktikan enjin turbo daripada Honda kian diterima dan menjadi pilihan ramai di negara ini, selepas ia diperkenalkan pada model Civic 2016.

    Bagi pasaran Malaysia, CR-V 2017 ini menawarkan tiga varian turbo dengan model spesifikasi tertinggi 1.5TC-P 2WD yang dilengkapi teknologi terkini Honda Sensing. Walau bagaimana pun, dua lagi varian iaitu spesifikasi pertengahan 1.5TC 4WD dan model asas 1.5TC 2WD tidak dilengkapi kedua-dua teknologi berkenaan.

    Varian turbo dijanakan oleh enjin 1.5 liter suntikan terus pengecas turbo dengan lonjakan kuasa sebanyak 193 PS dan 243 Nm tork di antara 2,000 hingga 5,000 rpm. Ia sama dengan enjin yang dipadankan pada Civic varian turbo namun lonjakan kuasa bagi CR-V dipertingkatkan sebanyak 20 PS/23 Nm. Manakala model asas masih mengekalkan enjin NA 2.0 liter dengan hamburan kuasa 153 PS dan 189 Nm. Kedua-dua model dipadankan bersama transmisi CVT Earth Dream daripada Honda sendiri iaitu menggantikan unit automatik lima-kelajuan sebelum ini.

    Untuk 1.5TC-P, ia ditawarkan pada harga atas jalan RM167,700, RM161,600 bagi 1.5TC 4WD dan 1.5TC 2WD pula RM155,700. Bagi varian 2.0L 2WD pula berharga RM142,400. Kesemua varian turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun dengan perbatuan tanpa had dan selang servis 10,000 km (tertakluk pada terma & syarat) di mana-mana 91 pengedar Honda sah di seluruh negara.

     
     
  • Mobike kini di Cyberjaya – servis perkongsian basikal

    Mobike kini di Cyberjaya – servis perkongsian basikal

    Selepas bekerjasama dengan SP Setia Berhad untuk menyediakan khidmat perkongsian basikal di Setia Alam, Mobike kini tiba pula di Cyberjaya setelah satu persefahaman dicapai dengan Cyberview Sdn Bhd. Penyediaan khidmat ini turut disokong oleh Majlis Perbandaran Sepang, iaitu pihak yang bertanggungjawab dengan servis dan keperluan am di Sepang.

    Untuk khidmat di Cyberjaya ini, Mobike telah menyediakan 10 hab meletakkan basikal dan lebih seratus unit basikalnya sebagai permulaan. Jumlah ini mungkin ditambah sekiranya terdapat permintaan yang baik daripada pengguna.

    Cara penggunaan basikal Mobike adalah mudah. Anda hanya perlu memuat turun aplikasi dalam telefon pintar, pergi ke basikal yang diletakkan di habnya dan imbas kod yang terdapat pada basikal tersebut. Untuk menggunakan khidmat ini, anda perlu memasukkan deposit sebanyak RM99 (akan dipulangkan balik) manakala penggunaan basikal tersebut dikenakan bayaran RM1.50 bagi setiap setengah jam.

    Walaubagaimanapun, untuk bulan Oktober ini, Mobike sedang melakukan promosi pengenalan, di mana deposit yang dikenakan cuma RM9, manakala bayaran penggunaannya pula adalah percuma. Untuk pengetahuan anda, semua bayaran ini boleh dilakukan dengan apa sahaja jenis kad kredit atau debit.

    Istimewanya berkenaan basikal Mobike ini adalah ia tidak memerlukan penyelenggaraan, di mana tayarnya menggunakan getah tanpa angin di dalam, sistem pacuan syaf dalaman, rangka dan fork binaan aluminium, bakul, pemegang dan rim aloi, pedal PVC dan brek cakera di belakang.

    Sebagai langkah keselamatan, basikal Mobike juga dilengkapi dengan lampu hadapan, unit GPS dan kunci yang hanya boleh dibuka dengan mengimbas kod dalam telefon pintar. Bagi mengecas bateri yang digunakan untuk sistem ini, di dalam habnya terdapat motor stator dan rotator.

    Mobike mula beroperasi di Shanghai pada April 2016, dan dalam masa satu tahun, ia telah berkembang dengan operasi kini sudah berada di 180 bandar secara global. Malaysia adalah negara Asia Tenggara kedua selepas Singapura yang menerima khidmat Mobike ini dan ia kemudiannya akan diteruskan pula dengan Thailand.

    Sebagai makluman, Mobike ini adalah syarikat berbeza dengan sebuah lagi penyedia khidmat perkongsian basikal iaitu oBike, yang sebelum ini pernah mengalami masalah dengan pihak berkuasa apabila basikal mereka dirampas oleh MBPJ kerana menghalang laluan. Bagi mengelakkan perkara sama, Mobike akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.

     
     
  • Harga bahan api 5 hingga 11 Oktober 2017 – petrol RON 95 dan RON 97 naik semula, diesel naik lagi

    Harga bahan api 5 hingga 11 Oktober 2017 – petrol RON 95 dan RON 97 naik semula, diesel naik lagi

    Setelah harga petrol RON 95 dan RON 97 turun minggu lalu, ia nampaknya naik semula minggu ini. Manakala untuk diesel pula, setelah ia naik minggu lalu, ia terus naik minggu ini.

    Harga bagi bahan api RON 95 naik semula 3 sen minggu ini, kini menjadi RM2.19 seliter, manakala RON 97 juga turut naik 3 sen menjadi RM2.49 seliter. Diesel turut naik sebanyak 5 sen bagi Euro 2 menjadi RM2.17 sen seliter dan RM2.26 seliter untuk Euro 5 M.

    Semua harga yang diumumkan ini akan kekal bagi tempoh seminggu iaitu sehingga 11 Oktober 2017. Minggu sebelum ini iaitu 28 September hingga 4 Oktober, harga bagi bahan api RON 95 dan RON 97 turun sebanyak 3 sen, dijual pada harga masing-masing RM2.16 dan RM2.46 seliter. Bagi diesel pula ia turun sebanyak 2 sen seliter untuk Euro 2 dan Euro 5, dijual pada harga masing-masing RM2.12 dan RM2.22 seliter.

     
     
  • Daihatsu Boon Sporza Limited – edisi terhad, bakal buat penampilan sulung di Tokyo Motor Show 2017

    Pada Tokyo Motor Show (TMS 2017) yang akan berlangsung bulan ini, Daihatsu akan membawa model edisi terhad Boon Sporza Limited. Varian Sporza sebenarnya sudah pun berapa dalam barisan model Boon sedia ada – diasaskan dari varian tertinggi Silk, dari versi Cliq (lampu hadapan bulat). Untuk model Limited ini, ia akan hadir dengan berberapa perincian istimewa.

    Dua versi Sporza Limited akan ditawarkan berdasarkan pilihan warna. Versi pertama menampilkan warna badan merah dengan elemen serlahan berwarna hitam, manakala versi kedua pula adalah sebaliknya iaitu warna badan hitam dengan serlahan berwarna merah.

    Kedua-dua versi ini diberikan dua jalur badan pada bonet hadapan dan bumbung, bersama jalur tambahan pada bahagian bawah sisi badan. Penutup cermin sisi, perumah lampu kabus, pembuka pintu dan gril pula diwarnakan dengan warna serlahan yang berlawanan dengan warna badan.

    Walau bagaimanapun, Sporza Limited ini tidak diberikan sebarang peningkatan pada aspek mekanikal. Ia masih lagi dijana enjin 1KR-FE “Topaz Neo” 1.0 liter DVVT tiga silinder, berkuasa 69 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 92 Nm pada takat 4,400 rpm. Ia dipadankan dengan pilihan kotak gear CVT automatik atau lima-kelajuan manual.

    Kelengkapan lain yang diberikan kepada Boon Sporza Limited ini termasuk lampu nyalaan siang LED yang dibina-dalam lampu utama, rim aloi 14-inci dan juga lampu kabus hadapan. Model istimewa ini dijangka akan dijual di Jepun tidak lama selepas diperkenalkan di TMS 2017 nanti.

    Daihatsu Boon generasi baharu ini telah diperkenalkan di Jepun pada April tahun lalu. Generasi-generasi terdahulu Daihatsu Boon telah pun dibawa ke Malaysia, dijelmakan dengan nama Perodua Myvi. Namun untuk generasi baharu ini, ia masih lagi belum tiba ke pasaran tempatan dalam versi Perodua.

     
     
  • Tempoh sah pemeriksaan tukar hak milik Puspakom (B5) bakal dipanjangkan dari sebulan kepada 6 bulan

    Tempoh sah pemeriksaan tukar hak milik Puspakom (B5) bakal dipanjangkan dari sebulan kepada 6 bulan

    Tempoh sah pemeriksaan mandatori untuk proses penukaran hak milik (B5) yang dijalankan oleh Puspakom akan naik dari sebulan kepada enam bulan selepas ini, menurut laporan Bernama.

    Perkara ini dinyatakan sendiri oleh menteri pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan menjelaskan ianya sebagai langkah bagi memudahkan proses penukaran hak milik terhadap kereta-kereta terpakai.

    Liow turut menambah bahawa kementeriannya telah bersetuju untuk memanjangkan tempoh berkenaan selepas menerima cadangan dari Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM).

    “Saya akan mengajukan terus kepada ketua pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyemak semula dan meluluskan perkara ini secepat mungkin untuk dikuatkuasakan, katanya selepas menyaksikan upacara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara FMCCAM dengan Persatuan Peniaga Kenderaan Singapura serta Persatuan Kereta Terpakai Thailand.

    Menurut Liow lagi kementeriannya turut akan melihat semula perjanjian antara kerajaan dan Puspakan, entiti swasta, dari aspek perundangan serta implikasinya terhadap langkah ini, dan turut menambah perkara ini tidak perlu dirujuk ke Kabinet kerana ia di bawah bidang kuasa kementerian pengangkutan.

    Sebelum ini, kementerian pengangkutan telah pun memberikan kelulusan kepada Puspakom untuk melantik bengkel swasta yang boleh dipercayai untuk bertindak sebagai agen mereka, membolehkan khidmatnya diperluaskan ke kawasan luar bandar tanpa membina lebih pusat-pusat pemeriksaan baharu.

     
     
  • Rezvani Tank kereta perisai guna enjin 6.4L V8 500 hp

    Rezvani Tank kereta perisai guna enjin 6.4L V8 500 hp

    Syarikat pengubahsuai kenderaan yang beroperasi di California, iaitu Rezvani memang terkenal dengan penghasilan jentera sports seperti Beast Alpha dan Beast X. Kini, syarikat itu telah menambah sebuah 4×4 dalam barisan model yang ditawarkan, dikenali sebagai Tank.

    Dibina untuk mengharungi sebarang cabaran, Rezvani Tank dikuasakan oleh enjin 6.4 L V8 berkuasa 500 hp, dengan sistem pacuan empat roda On Demand. Seperti yang boleh dilihat, kenderaan ini duduk tinggi hasil penggunaan sistem suspensi offroad terbaik dan rim offroad GRID.

    Daripada penampilannya sahaja boleh dilihat Rezvani Tank adalah sebuah kenderaan yang serius, tetapi jika pengguna mahukan lebih lagi, mereka boleh memilih tambahan perisai perlindungan balistik, sekaligus menjadikan ia kebal untuk berhadapan tembakan.

    Kelengkapan standard lain yang dipasang pada Rezvani Tank adalah termasuk pintu kuasa elektrik bukaan jenis suicide, tempat duduk yang mengutamakan keselesaan, lampu LED intensiti tinggi di atas bumbung, sistem penglihatan malam dan termal, serta paparan informasi head-up display.

    Rezvani meletakkan harga Tank bermula pada USD178,00 (RM752,050) sekaligus meletakkan ia sebagai kenderaan kedua termahal yang ditawarkan oleh syarikat, selepas model Beast X yang berharga USD270,000 (RM1.14 juta).

     
     
  • Triumph Bonneville Bobber Black – bukan sekadar penampilan lebih garang, prestasi turut dipertingkat

    Triumph Bonneville Bobber Black – bukan sekadar penampilan lebih garang, prestasi turut dipertingkat

    Dalam sejarah Triumph Motorcycles selama 115 tahun, model Bobber telah menjadi model yang paling pantas dijual. Jadi untuk model tahun 2018, syarikat itu menyediakan sesuatu yang lebih istimewa iaitu Bobber Black, yang bukan setakat menerima perubahan penampilan, tetapi prestasinya juga dinaik taraf.

    Seperti pada namanya, kebanyakan bahagian pada motosikal ini diwarnakan hitam, termasuklah ekzos, perehat kaki, pedal gear, penyambung gear, tuil brek dan klac, pemegang, mangkuk tempat duduk, pelindung enjin, pelindung sprocket, kemasan lampu hadapan dan hab roda. Kesimpulannya, motosikal ini serba gelap dan garang.

    Enjin yang digunakan masih lagi sama, iaitu unit 1,200 cc HT penyejukan cecair, bersama transmisi enam gear yang boleh menghasilkan sebanyak 77 PS pada 6,100 rpm dan 106 Nm tork pada 4,000 rpm. Hasil daripada penggunaan sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini dapat didatangkan dengan mod tunggangan, bersama sistem kawalan cengkaman dan ABS.

    Spesifikasi Bobber Black turut dipertingkat berbanding model Bobber sebelum ini. Bermula pada bahagian rim dan tayar, ia kini menggunakan unit 16 inci bersama tayar lebih gemuk, manakala suspensi hadapan juga menerima fork Showa yang lebih gemuk, berukuran 47 mm, berbanding 41 mm pada Bobber biasa. Brek pula menggunakan unit cakera 310 mm berkembar dengan angkup Brembo dua piston di hadapan dan cakera tunggal bersama angkup satu piston di belakang.

    Ciri-ciri lain Bobber masih dikekalkan seperti tempat duduk tunggal yang kelihatan seperti terapung, suspensi belakang monoshock RSU, bahagian belakang ‘swing cage‘ yang nampak seperti sebuah hardtail dan tinggi tempat duduk yang memudahkan iaitu hanya 688 mm. Seperti biasa, pilihan luas aksesori rasmi daripada Triumph sendiri ada disediakan untuk Bobber Black.

     
     
  • Nissan hasilkan tempat duduk boleh kesan dehidrasi

    Nissan hasilkan tempat duduk boleh kesan dehidrasi

    Nissan telah menghasilkan tempat duduk dan juga stereng istimewa yang mampu mengesan peluh dan juga dehidrasi pemandu, dengan kerjasama studio rekaan Droog dari Amsterdam, Belanda.

    Mengapa perlu mengesan kadar dehidrasi pemandu? Menurut Universiti Loughborough dan Institut Hidrasi Eropah, pemandu yang sedang dehidrasi atau kekurangan air adalah sama bahayanya dengan pemandu mabuk.

    Menerusi kajian yang dilakukan pada 2015, pemandu yang mengalami dehidrasi berpotensi untuk cuai seperti pemandu yang mempunyai kadar alkohol 0.08% di dalam darah – iaitu kadar minima bagi melarang seseorang itu untuk memandu di UK dan juga di Malaysia sendiri.

    Teknologi yang dibangunkan oleh Nissan ini digelar Soak. Menerusi teknologi ini, balutan tempat duduk akan berubah warna sekiranya peluh dari badan pemandu mempunyai kadar garam yang tinggi – petanda yang jelas sekiranya seseorang itu mengalami dehidrasi.

    Fabrik balutan khas pada tempat duduk ini direka oleh Droog. Dalam keadaan normal, balutan tempat duduk berkenaan akan berwarna biru gelap, dan sekiranya dehidrasi dikesan, ia akan bertukar kepada warna kuning.

    Tempat duduk dengan teknologi baharu ini telah dipasangkan pada SUV Nissan Juke bagi tujuan demonstrasi. Walau bagaimanapun, Nissan masih lagi belum bercadang untuk memproduksi teknologi Soak ini ke kenderaan-kenderaan mereka pada masa akan datang. Antara sebab mengapa Nissan membangunkan teknologi ini adalah untuk menunjukkan mereka mampu untuk menghasilkan produk sedemikian, disamping menjelaskan mengapa memandu dalam keadaan dehidrasi adalah merbahaya.

     
     
  • Triumph Speedmaster 2017 – dipacu enjin 1,200 cc 77 PS dan 106 Nm, kedudukan lebih santai, praktikal

    Triumph Speedmaster 2017 – dipacu enjin 1,200 cc 77 PS dan 106 Nm, kedudukan lebih santai, praktikal

    Menuruti kejayaan model Bonneville generasi baru, Triumph telah menambah satu lagi model iaitu Speedmaster untuk memberi lebih pilihan kepada pengguna. Secara ringkasnya, model ini dibina dengan DNA klasik Bonneville dan sifat seperti Bobber, tetapi lebih praktikal dan serba boleh.

    Enjin yang digunakan pada model ini adalah sama seperti model Bonneville T120 dan Bobber, iaitu unit dua silinder penyejukan cecair 1,200 cc HT, yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 77 PS pada 6,100 rpm dan 106 Nm tork pada 4,000 rpm. Jika dibandingkan dengan model Speedmaster tahun 2015, model baru ini mempunyai 42% lebih banyak tork puncak dan 25% lebih banyak kuasa puncak. Transmisi yang digunakan adalah unit enam kelajuan.

    Dari aspek gaya, Speedmaster menggabungkan ciri pada Bonneville dan Bobber, tetapi ditambah dengan ciri elegan tersendiri seperti kemasan ‘nacelle‘ pada lampu hadapan, besi pemegang di belakang, tempat letak kaki yang lebih ke hadapan, penghadang lumpur belakang yang tetap dan rim lidi 16 inci.

    Bagi meningkatkan ciri praktikaliti, Speedmaster dilengkapi dengan tangki bahan api yang lebih besar, iaitu 12 liter, dan bahagian belakangnya boleh diubah untuk menjadi sama ada satu tempat duduk seperti Bobber, atau dua tempat duduk seperti Bonneville. Tiga pilihan warna yang disediakan adalah Jet Black, Cranberry Red dan Fusion White/Phantom Black.

    Serasi dengan enjin yang berkuasa, bahagian brek juga dipertingkat, dengan melihatkan Speedmaster dilengkapi tetapan cakera berkembar 310 mm bersama angkup Brembo dua piston di hadapan, manakala di belakang terdapat cakera tunggal 255 mm dan angkup Nissin satu piston. Seperti juga barisan Bonneville generasi baru yang lain, ia didatangkan terus dengan sistem ABS, dan ditambah dengan Traction Control yang boleh ditutup jika mahu.

    Walaupun nampak klasik, Speedmaster sebenarnya mempunyai banyak kelengkapan moden, termasuk semua lampunya menggunakan LED, sistem pendikit ride-by-wire, pilihan mod Road dan Rain, cruise control, klac torque assist dan immobiliser. Bahagian meter pula adalah ringkas, dengan paparan analog dan LCD kecil di dalamnya.

    Bagi pemilik yang ingin mengubah suai lebih lagi motosikal ini, Triumph turut mempunyai pilihan luas aksesori untuk Speedmaster seperti penghadang angin hadapan, tempat duduk kulit, besi pelindung enjin, rak barangan, ekzos Vance Hines dan pelbagai lagi. Bagi memudahkan, anda juga boleh memilih pakej inspirasi ‘Highway’ yang lebih banyak barangan jelajah atau ‘Maverick’ yang lebih kepada gaya yang garang.


    GALERI: Triumph Speedmaster Inspiration Highway dan Maverick

     
     
  • Hyundai hasilkan sistem amaran tempat duduk belakang – elakkan pemandu terlupa bawa keluar anak

    Hyundai hasilkan sistem amaran tempat duduk belakang – elakkan pemandu terlupa bawa keluar anak

    Hyundai telah menghasilkan satu sistem baharu untuk kenderaan keluarannya digelar Rear Occupant Alert atau sistem amaran penumpang belakang bagi mengingatkan pemandu untuk membawa keluar anak mereka yang diletakkan di tempat duduk belakang.

    Idea untuk menghasilkan sistem ini sebenarnya agak mudah di mana ia menggunakan penderia ultrasonic yang diletakkan pada bahagian belakang bagi mengesan sebarang pergerakan. Sekiranya pintu sudah dikunci tetapi masih terdapat pergerakan di kabin belakang, sistem penggera kereta akan berbunyi untuk memberikan amaran kepada pemandu supaya memeriksa semula kereta mereka.

    Jika anda perasan, kebanyakkan penderia ultrasonic ini telah pun banyak diletakkan pada kereta moden tetapi selalunya ia diletakkan pada bahagian hadapan, atau lebih spesifik pada kiri dan kanan cermin pandang belakang bahagian tengah. Ia digunakan untuk mengesan pergerakan selepas kereta dikunci – contohnya cermin tingkap dipecahkan oleh pencuri – dan kemudian sistem penggera akan dihidupkan.

    Hyundai hanya mengubahsuai sedikit sistem berkenaan bagi mewujudkan sistem baharu ini. Sebagai tambahan, sistem amaran baharu ini turut dihubungkan kepada aplikasi Hyundai Blue Link, yang akan menghantar mesej amaran terus ke telefon pintar pemandu. Amaran kepada pemandu agar memeriksa kembali tempat duduk belakang turut dipaparkan pada kluster informasi kereta setiap kali enjin dimatikan dan pintu dibuka.

    Selain dari Hyundai, Nissan juga telah menghasilkan sistem bagi tujuan yang sama digelar Rear Door Alert atau amaran pintu belakang, yang memberi amaran kepada pemandu dalam bentuk hon bagi memeriksa kembali tempat duduk belakang setelah mereka keluar dari kereta. Sistem dari Nissan ini sedikit lebih rumit kerana ia melibatkan memori – hanya akan berfungsi sekiranya pemandu membuka pintu belakang terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.

    Mengapa sistem seperti ini begitu penting? Untuk pengetahuan anda, di Amerika Syarikat sahaja, 37 orang kanak-kanak telah meninggal dunia sepanjang tahun ini akibat strok haba kerana ditinggalkan di dalam kereta yang panas. Kita di Malaysia masih lagi belum menerima sistem seperti ini, jadi ingat, jangan tinggalkan anak anda di dalam kereta yang panas walaupun sekejap!

     
     
  • Nissan Leaf Nismo didedahkan sebelum kemunculan sulungnya di Tokyo Motor Show 2017 bulan ini

    Nissan Leaf Nismo didedahkan sebelum kemunculan sulungnya di Tokyo Motor Show 2017 bulan ini

    Pagi tadi kami menyiarkan teaser Nissan Leaf Nismo Concept yang disiarkan menerusi laman twitter editor AutoExpress, namun baru sebentar tadi kami menerima pula pendedahan rasmi hatchback elektrik sepenuhnya berkenaan yang telah mendapat sentuhan penala rasmi jenama dari Jepun itu.

    Menurut Nissan, kereta konsep ini dihasilkan bagi menggambarkan visi Nissan pada masa akan datang. Leaf Nismo ini diberikan kit badan lebih agresif terdiri dari bampar hadapan dan belakang baharu, skirt sisi, dan juga rim Nismo berdiameter lebih besar dibaluti tayar berprestasi tinggi.

    Menurut Nissan, pengetahuan perlumbaan yang dimiliki oleh Nismo akan memperbaiki prestasi aerodinamik Leaf generasi baharu ini, tanpa menjejaskan pekali seretannya yang sememangnya sudah cemerlang.

    Nissan Leaf Nismo didedahkan sebelum kemunculan sulungnya di Tokyo Motor Show 2017 bulan ini

    Hatchback elektrik sepenuhnya ini turut diberikan suspensi sport lebih rendah yang ditala oleh Nismo bagi memberikan pengendalian yang lebih baik. Nismo turut memberikan talaan komputer istimewa bagi memberikan pecutan lebih baik pada setiap kelajuan.

    Dalam keadaan standard, Leaf digerakkan oleh motor elektrik EM57 berkuasa 148 hp/320 Nm yang menerima bekalan kuasa dari pek bateri lithium-ion 40 kWh. Dengan satu cas penuh (dapat dicapai dalam masa lapan jam menggunakan sumber kuasa 6kW), Leaf didakwa mampu bergerak sejauh 400 km.

    Leaf generasi kedua ini turut diberikan teknologi e-Pedal, yang membenarkan pemandu mengawal pecutan, memperlahankan kenderaan dan membrek dengan hanya menggunakan satu pedal sahaja (pedal pendikit). Untuk memperlahankan kenderaan, anda hanya perlu melepaskan perlahan-lahan pedal tersebut, manakala untuk berhenti, angkat terus kaki daripada pedal. Sekiranya ciri ini sedang aktif, pemandu masih boleh menggunakan pedal brek untuk berhenti, terutamanya dalam waktu kecemasan.

    Nissan Leaf Nismo didedahkan sebelum kemunculan sulungnya di Tokyo Motor Show 2017 bulan ini

    Kereta elektrik generasi baharu ini juga diberikan sistem ProPILOT Park yang menggabungkan teknologi pemprosesan gambar menggunakan empat kamera dan 12 pengesan ultrasonik sekitar kenderaan untuk membantu meletakkan kenderaan dalam petak secara automatik. Sistem ini juga boleh mengambil alih tugas mencari lokasi letak kenderaan, pecutan, brek, kawalan stereng dan brek tangan.

    Nissan Leaf generasi baharu ini disahkan akan dilancarkan pada pasaran Malaysia pada tahun hadapan oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM) iaitu pengedar kenderaan Nissan di Malaysia. ETCM memberitahu bahawa ia turut akan dihasilkan secara pemasangan tempatan di kilang mereka yang terletak di Segambut.

    GALERI: Nissan Leaf 2018

     
     
  • Plat nombor siri Y pula ditawarkan – bidaan dari RM1k

    Plat nombor siri Y pula ditawarkan – bidaan dari RM1k

    Sejak kebelakangan ini, nombor plat pendaftaran kenderaan khas semakin banyak diperkenalkan. Walau pun kebanyakannya melibatkan harga bidaan yang tinggi, namun masih ramai yang mahu memilikinya. Sudahlah ia khas, kebanyakannya sirinya kelihatan unik.

    Kali ini giliran plat nombor siri Y pula diperkenalkan di pasaran. Sehingga 20 Oktober ini, anda berpeluang membidanya dan keputusannya hanya akan disiarkan pada 1 November ini.

    Siri plat nombor Y 1 hingga Y 9999 telah pun diluluskan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Jalan (JPJ) bagi Yayasan Nur Jauhar yang diasaskan oleh Tun Jauhar dan Toh Puan Hajah Norlidah. Menurut www.yplate.com.my, yayasan ini adalah bagi memberikan bantuan kepada komuniti kurang bernasib baik di Sabah tanpa mengira latarbelakang, agama dan kumpulan etnik.

    Plat nombor siri Y pula ditawarkan – bidaan dari RM1k

    Klik untuk besarkan

    Ia melibatkan bidaan minimum bagi beberapa kategori, bergantung kepada betapa “istimewanya” nombor berkenaan. Harga bidaan minimum bermula dari RM1,000 untuk nombor “biasa” sehingga RM300,000 bagi digit tunggal. Bagi plat paling top ‘Y 1’, ia akan dibida pada harga minimum RM600,000 atau berapa sahaja jumlah bidaan tertinggi yang bakal direbut.

    Selain siri G yang diperkenalkan sebelum ini, beberapa siri nombor plat pendaftaran lain yang tidak kurang menariknya juga mendapat sambutan yang menggalakkan, antaranya ‘NAAM’, ‘VIP’, ‘PERFECT’, ‘RIMAU’, selain siri plat yang ditawarkan di bawah JPJ negeri seperti ‘AKU’, ‘RR’ dan ‘DDD’.

     
     
  • Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia kini 28.2 juta

    Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia kini 28.2 juta

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data pendaftaran kenderaan di Malaysia, yang dikumpul sehingga 30 Jun 2017, di mana ia mencatat keseluruhannya 28,181,203 unit kenderaan. Setelah dikira, ini bersamaan dengan 0.88 kenderaan bagi setiap individu di negara ini.

    Jika dibandingkan dengan tahun 2015, yang yang berada pada 26,301,952 buah, jumlah baru ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.88 juta. Pergi lagi ke belakang, pada tahun 2010, jumlah kenderaan yang didaftar adalah 20,188,565 buah menjadikan perbezaannya dengan jumlah tahun ini adalah 7,992,638 buah.

    Melihat secara lebih terperinci data ini, secara keseluruhannya terdapat 13,288,797 kereta dan 12,933,042 motosikal persendirian yang berdaftar di Malaysia. Ini kemudiannya diikuti 185,035 buah kenderaan servis awam (PSV) yang termasuk bas, teksi serta kereta sewa swasta, 1,205,744 kenderaan barang dan 568,585 kenderaan jenis lain-lain.

    Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia kini 28.2 juta

    Seperti yang boleh dijangka, Wilayah Persekutuan – yang termasuk Kuala Lumpur Putrajaya dan Labuan – mencatat jumlah kenderaan berdaftar terbanyak iaitu 6,320,329, diikuti Johor Bahru sebanyak 3,611,611. Selangor berada di tempat ketiga dengan catatan 2,904,476 buah kenderaan berdaftar, diikuti Pulau Pinang 2,655,679 buah dan Perak 2,260,242 buah.

    Merujuk kepada jumlah jualan pula, bagi separuh tahun pertama 2017, Malaysia mencatat jualan sebanyak 284,461 buah kenderaan, dan memasuki bulan Ogos ia sudah menjadi 384,730 buah. Ini dilihat masih lagi berada dalam laluan untuk MAA mencapai sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 590,000 buah bagi tahun ini.

     
     
  • Nissan Serena Nismo bakal tampil di Tokyo bulan ini

    Nissan Serena Nismo bakal tampil di Tokyo bulan ini

    Selain dari Nissan Leaf Nismo, Nissan turut akan membawa Serena Nismo, MPV yang telah dihasilkan untuk generasi kelima dan diberikan sentuhan sayap perlumbaan dan penala rasmi jenama berkenaan.

    Menurut Nissan, MPV edisi khas ini akan menerapkan teknologi sport Nismo yang “menampilkan rekaan menarik serta prestasi yang mengujakan” tanpa mengorbankan ciri-ciri mesra-keluarga MPV berkenaan.

    Pada bahagian luaran, MPV ini diberikan imej Nismo dengan menampilkan bampar hadapan baharu yang lebih agresif serta kit aero lengkap yang lain (skirt sisi dan bampar belakang dengan kemasan seperti diffuser) bersama serlahan jalur merah padanya dan juga bumbung berwarna hitam. Begitu juga pada bahagian dalaman, ia turut diberikan sentuhan Nismo dengan serlahan elemen-elemen merah.

    Selain dari rim Nismo yang berdiameter lebih besar, MPV ini turut diberikan sistem suspensi talaan Nismo bagi memberikan pengendalian yang lebih baik. Nismo turut akan memberikan modul pengurusan enjin dan juga sistem ekzos baharu untuk MPV ini bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih menyeronokkan – walau bagaimanapun jumlah kuasa kuda hasil ubahsuai tersebut tidak dinyatakan.

    Nissan Serena Nismo bakal tampil di Tokyo bulan ini

    Dalam keadaan standard, Nissan Serena generasi kelima dikuasakan dengan unit janakuasa S-Hybrid dari model generasi sebelum ini, menggunakan enjin petrol MR20DD 2.0 liter pancitan bahan api terus CVTC berkembar berkuasa 147 PS pada takat 5,600, dan tork maksima 210 Nm pada takat 4,400 rpm.

    Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear CVT Xtronic dan dibantu oleh motor ECO yang mengawal fungsi Idling Stop dan bertindak sebagai unit alternator semasa nyah pecutan. Motor berkuasa 1.8 kW/200 A berkenaan juga membolehkan fungsi “bantuan tork” berfungsi, memberikan tork tambahan 50 Nm ketika badan MPV dipecut dari kedudukan pegun.

    Selain itu, Serena baharu ini turut diberikan sistem ProPILOT, iaitu sistem pemanduan automatik dari Nissan yang mengawal pedal pendikit, brek dan roda stereng secara automatik semasa memandu di lebuhraya, tidak kira pada keadaan trafik sesak atau tidak.

    Model ini telah diperkenalkan pada pasaran Jepun pada Julai tahun lalu, manakala versi tingkat taraf Nismo ini pula bakal dijual pada pasaran berkenaan bermula November tahun ini.

    GALERI: Nissan Serena generasi kelima JDM

     
     
  • UMW Toyota taja kereta rasmi Jelajah Malaysia 2017

    UMW Toyota taja kereta rasmi Jelajah Malaysia 2017

    UMW Toyota Motor telah berbesar hati menjadi penaja kenderaan rasmi bagi acara Jelajah Malaysia 2017, iaitu pertandingan basikal tertua di Asia.

    Sebanyak 20 pasukan telah mengambil bahagian bagi acara kali ke-53 ini dan acara pelepasannya juga telah berlangsung dengan penuh meriah dari ibu pejabat UMW Toyota Motor, Shah Alam, yang berlangsung pagi tadi. Daripada 132 pelumba bagi 20 pasukan tersebut, Malaysia sendiri turut menghantar sembilan pasukan termasuk tiga pasukan negeri, antaranya Selangor, Perak dan Kedah, untuk mengambil bahagian, bagi merentasi pantai barat semenanjung, bermula hari ini dan bakal berakhis pada 7 Oktober 2017 di Alor Setar, Kedah.

    Acara pelepasannya telah disempurnakan oleh Datuk Seri Halim Samah selaku Timbalan Presiden Dewan Negara, Amiruddin Shari; exco Negeri Selangor dan Akio Takeyama, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor.

    Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K, pembabitan syarikat ini sebagai penaja kenderaan rasmi bagi Jelajah Malaysia 2017 adalah sebagai bukti dan sokongan padu mereka di dalam penganjuran acara seumpamanya.

    “Kami amat berbesar hati berpeluang menjadi penaja bagi Jelajah malaysia. Ini turut menjadi bukti bahawa kami amat menyokong acara dan aktiviti sihat sebegini,” ujarnya sebelum acara pelepasan bermula.

    Untuk acara ini, UMW Toyota Motor telah menaja sebanyak sembilan unit kenderaan, iaitu model Lexus ES dan selebihnya model Toyota termasuk Vios, Camry, Avanza, Fortuner, Innova, Hilux dan Sienta.

     
     
  • Nissan e-NV200 dinaik taraf dengan bateri EV 40 kWh, jarak gerak dengan satu cas penuh bertambah 60%

    Nissan e-NV200 dinaik taraf dengan bateri EV 40 kWh, jarak gerak dengan satu cas penuh bertambah 60%

    Kenderaan komersial ringan berkuasa elektrik Nissan e-NV200 telah menerima peningkatan, menyaksikan ia kini menggunakan unit bateri 40kWh, seterusnya mampu bergerak dalam jarak 60% lebih jauh berbanding sebelum ini. Saiz bateri masih lagi sama, bermakna tiada perubahan bahagian ruang.

    Bateri 40 kWh ini adalah sama seperti yang digunakan pada model Leaf generasi kedua, dan ia membolehkan e-NV200 bergerak sehingga 280 km dalam satu cas penuh. Jarak ini adalah 100 km lebih berbanding sebelum ini, namun apabila dibandingkan dengan Leaf yang lebih kecil, ia lebih sedikit, iaitu Leaf boleh pergi sehingga 378 km.

    “Dengan jarak pergerakan lebih jauh dan kapasiti kargo yang baik, e-NV200 adalah kenderaan yang sempurna untuk penghantaran jarak dekat. Melihat kepada impak besar yang diberi oleh perniagaan yang menggunakan kenderaan komersial ringan ini, terutamanya dalam kawasan bandar, pengurangan pembebasan karbon adalah penting demi masa hadapan,” kata pengarah kenderaan elektrik Nissan Eropah, Gareth Dunsmore.

    Jualan Nissan e-NV200 dengan bateri 40 kWh ini akan bermula pada hujung tahun 2017 di Eropah, manakala bagi Malaysia, model yang lebih relevan untuk dilihat adalah Leaf generasi kedua, yang telah diberitahu akan datang pada tahun hadapan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026