Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kilang Toyota Altona ditutup secara rasmi – tiada lagi kenderaan jenama berkenaan diproduksi di Australia

    Kilang Toyota Altona ditutup secara rasmi – tiada lagi kenderaan jenama berkenaan diproduksi di Australia

    Seperti yang diumumkan pada Januari lalu, hari ini, 3 Oktober 2017 secara rasminya kilang Toyota yang terletak di Altona ditutup. Ia secara tidak langsung menamatkan 54 tahun operasi pemasangan tempatan Toyota di Australia, dan selepas ini pasaran berkenaan hanya akan menerima kenderaan Toyota yang diimport dari luar.

    Melihat kepada sejarah, kilang Toyota di Australia ini memahat pelbagai peristiwa penting bagi jenama dari Jepun itu sendiri pada peringkat global. Australia merupakan pasaran pertama di luar Jepun yang mempunyai kilangnya sendiri bermula dengan kilang di Port Melbourne yang mula memasang Toyota Tiara pada tahun 1963, dan kemudian ia mula memasang pelbagai lagi siri popular Toyota seperti Crown, Corona dan Corolla.

    Bagi siri sedan Toyota paling popular iaitu Corolla, Australia juga merupakan negara pertama yang menerimanya, iaitu sebulan selepas ia dilancarkan di Jepun pada tahun 1966. Dua tahun selepas itu, Australia turut menjadi negara pertama yang memproduksi Corolla selain dari Jepun.

    Selain itu, Australia juga menjadi negara pertama diluar Jepun yang memproduksi enjin, bermula pada tahun 1979. Enjin-enjin yang dibina di kilang Altona berkenaan digunakan pada model-model Toyota Camry yang dieksport ke luar Australia, termasuk pada pasaran Thailand dan Malaysia. Sepanjang operasi kilang tersebut, ia telah menghasilkan sejumlah 2,535,963 unit enjin.

    Nama Camry juga sebenarnya agak sinonim dengan Australia. Negara berkenaan merupakan pasaran pertama yang menerima Camry selain dari Jepun, dan kemudian menjadi model ke-10 Toyota bagi diproduksi di Australia. Sehingga kini juga, Toyota merupakan satu-satunya jenama yang memasang kereta hibrid di Australia.

    Sepanjang kewujudan kilang berkenaan, sebanyak 3.5 juta kenderaan telah dihasilkan bukan sahaja untuk pasaran tempatan, malah turut dieksport ke pasaran Timur Tengah.

    Rancangan penutupan kilang berkenaan sebenarnya telah diumumkan empat tahun yang lalu bagi memberikan staf-staf dan juga pembekal-pembekal membuat persediaan dan latihan semula untuk beralih ke bidang lain, dengan bantuan kewangan dari Toyota sendiri serta pelbagai peringkat di kerajaan Australia.

    Sempena penutupan kilang tersebut, perhimpunan bersama 2,600 pekerja yang tidak lagi akan bekerja dengan Toyota minggu hadapan, eksekutif-eksekutif Toyota dari Jepun dan Australia, serta lebih dari 100 pembekal diadakan di kilang berkenaan hari ini. Pengerusi Toyota Motors Corporation (TMC), Akio Toyoda tidak hadir pada majlis tersebut tetapi beliau sempat berhubung menerusi video bersama semua stafnya.

    “Saya ingin merakamkan penghargaan ikhlas saya kepada anda, pekerja kami yang berdedikasi , pembekal kami, pelanggan kami, masyarakat setempat dan kerajaan yang semuanya menyokong pembangunan kilang Toyota di Australia. Dari lubuk hati saya, saya harap anda dan keluarga anda bahagia di masa depan. Terima kasih banyak,” kata Toyoda menerusi hubungan video tersebut.

    Toyoda juga telah melawat kilang Altona berberapa minggu sebelum ini untuk meluangkan masa bersama staf-staf yang masih lagi kekal dan mengumumkan sendiri berkenaan langkah untuk menutup kilang tersebut – sama seperti apa yang dilakukannya pada Februari 2014.

    Selain dari Toyota, Ford juga telah menutup kilangnya di Australia pada tahun lalu setelah beroperasi selama 91 tahun. Manakala jenama jati dari Australia sendiri – Holden – telah menutup kilang enjinnya pada November lalu, dan bakal menutup seluruh operasinya pada tahun ini.

     
     
  • TUNGGANG UJI: Honda NSS300 punya bermacam kelengkapan, sesuaikah untuk perjalanan jarak jauh?

    TUNGGANG UJI: Honda NSS300 punya bermacam kelengkapan, sesuaikah untuk perjalanan jarak jauh?

    Motosikal jenis skuter mempunyai penggemarnya yang tersendiri. Selain terkenal sebagai motosikal yang mudah ditunggang, aspek praktikaliti juga sering kali menjadi kelebihan motosikal jenis ini.

    Selain model-model bawah 150 cc, skuter juga ada datang dengan kapasiti enjin lebih besar, dengan badan yang juga lebih besar, dan ia semakin mendapat sambutan ramai di negara kita. Skuter seperti ini dipanggil sebagai Maxi Scooter dan antara yang popular di Malaysia adalah seperti daripada SYM, Kymco dan Modenas (juga menggunakan asas daripada Kymco).

    Pengedar motosikal jenama Jepun paling besar di Malaysia, iaitu Hong Leong Yamaha Sdn Bhd tidak membawa skuter berkapasiti tinggi mereka secara rasmi (seperti TMax 530) ke dalam pasaran Malaysia, tetapi Kawasaki pula ada menawarkan model J300. Tidak gentar untuk memberi saingan, Honda memperkenalkan model NSS300, dengan versi terbaru dilancarkan Jun yang lalu.

    Gaya yang diketengahkan model ini tidak keterlaluan, malah lebih kepada elegan dan mudah diterima ramai. Perkara ini menjadi lebih jelas apabila dilihat pada unit tunggang uji yang berwarna kelabu ini, tetapi bagi mereka yang mahukan sesuatu yang lebih terang, Boon Siew Honda telah menambah pilihan warna biru Candy Caribbean Blue Sea bagi model tahun 2017 ini.

    Harga NSS300 ditetapkan pada RM30,727 termasuk GST, sekaligus meletakkan ia di bawah Kawasaki J300 yang dijual pada harga RM31,498, manakala beberapa model lain pula adalah lebih murah seperti Kymco Downtown 250i pada RM22,790, Modenas Elegan 250 RM13,599 manakala SYM Symphony Evo sekitar RM20,000. Dijangka tidak lama lagi, SYM akan memperkenalkan sebuah model baru iaitu SYM Cruisym 300i, kerana ia sudah dipertonton semasa satu acara di Pulau Pinang, namun harganya masih belum diketahui.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Ford Ranger Raptor – bakal guna enjin 3.5 liter Twin Turbo EcoBoost V6 atau 2.0 liter EcoBlue turbodiesel?

    Pasaran Asia dan Australia tidak menerima trak pikap berprestasi tinggi Ford F-150 Raptor yang sememangnya mengujakan, Namun bulan lalu, Ford Australia mengesahkan mereka akan memperkenalkan Raptor versi lebih kecil, diasaskan dari trak pikap Ford Ranger T6 dan video serta gambar versi prototaip trak berkenaan telah pun disiarkan.

    Ford Ranger Raptor akan membuat penampilan pada tahun 2018 dan ia turut akan mendarat di berberapa pasaran Asia-Pasifik. Spekulasi awal berkenaan trak ini menyatakan ia akan dijana sama ada dengan enjin EcoBoost V6 3.5 liter turbo berkembar atau enjin 3.2 liter turbodiesel asal yang diubahsuai bagi mengerah kuasa tambahan. Namun kini satu lagi khabar angin bertiup, dilaporkan oleh Motor Report yang mendakwa trak pikap berprestasi tinggi berkenaan akan hadir dengan enjin EcoBlue 2.0 liter turbodiesel.

    Enjin EcoBlue atau dikenali sebagai siri Panther berkenaan diperkenalkan buat pertama kali tahun lalu, menjana van Ford Transit dan Transit Custom. Jika laporan tersebut benar, enjin Panther tersebut bakal menembusi rantau berkenaan menerusi trak pikap Ranger Raptor ini.

    Enjin Panther 2.0 liter turbodiesel ini secara progresif akan menggantikan enjin-enjin turbodiesel dari siri Puma sedia ada yang telah pun digunakan hampir 2 dekad. Buat masa sekarang, enjin Puma ini dapat dijumpai dalam Ranger pasaran Malaysia dalam bentuk 3.2 liter dan 2.2 liter Duratorq TDCi, di mana versi dengan kapasiti paling kecil diberikan dua talaan kuasa.

    Buat permulaan, enjin EcoBlue akan hadir dalam tiga talaan kuasa iaitu 105 PS, 130 PS dan 170 PS untuk kegunaan komersial. Namun menurut Ford, kuasa enjin Panther 2.0 TDCi ini mampu dikerah setinggi 240 PS bagi kegunaan prestasi tinggi. Enjin tersebut juga dikatakan diiktiraf sebagai enjin Euro-6 dan menawarkan 20% lebih tork (sehingga 340 Nm) bermula 1,250 rpm berbanding enjin 2.2L TDCi.

    GALERI: Spyshot Ford Ranger Raptor

     
     
  • Toyota Innova 2.0X – model tertinggi dengan tempat duduk kapten, lampu utama LED, harga rasmi RM133k

    Toyota Innova 2.0X – model tertinggi dengan tempat duduk kapten, lampu utama LED, harga rasmi RM133k

    Varian baharu dan juga varian tertinggi Toyota Innova generasi kedua, digelar Toyota Innova 2.0X yang diumumkan bulan lalu kini telah pun diberikan harga rasmi. MPV berkenaan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM132,800, menjadikan ia RM9,000 lebih mahal dari varian 2.0G. Sebagai perbandingan, varian asas Innova 2.0E dijual pada harga RM107,800 untuk versi manual dan RM115,800 bagi versi transmisi automatik.

    Kesemua kelengkapan dari varian 2.0G diberikan pada model 2.0X ini. Namun sebagai varian tertinggi, ia turut ditambah pelbagai lagi kelengkapan lebih premium antaranya lampu utama LED yang menggantikan unit reflektor halogen, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED serta rim aloi 17-inci kemasan hitam dengan tayar 215/55R17 berbanding rim 16-inci dengan tayar 205/65R16 pada model 2.0G dan 2.0E.

    MPV ini juga kini diberikan penampilan lebih kearah sebuah SUV dengan menampilkan kit badan baharu yang terdiri dari spoiler hadapan dan belakang, kemasan overfender pada kesemua ruang roda, kemasan berwarna hitam pada bahagian bawah, serta gril yang lebih gelap.

    Toyota Innova 2.0X – model tertinggi dengan tempat duduk kapten, lampu utama LED, harga rasmi RM133k

    Perubahan terbesar yang dilakukan ialah menampilkan dua tempat duduk kapten pada barisan kedua, menjadikan 2.0X ini hanya boleh memuatkan tujuh-tempat duduk berbanding lapan pada model lain yang lebih rendah. Namun bagi penumpang yang duduk di tempat duduk kapten, ia pastinya memberikan perasaan yang lebih selesa, mewah dan premium.

    Ia turut menampilkan upholsteri balutan kulit pada kesemua tempat duduk (berbanding fabrik pada varian lain), bersama larasan berkuasa enam-hala bagi tempat duduk pemandu (kekal dengan larasan manual untuk penumpang hadapan).

    Kelengkapan lain model 2.0X ini turut berkongsi bersama model 2.0G termasuk kemasan kayuan berkilat dan “emas sutera” pada beberapa bahagian permukaan, sistem pendingin hawa automatik hadapan dan belakang, panel instrumen Optitron dengan paparan pelbagai-info TFT-LCD berwarna 4.2-inci, meja boleh lipat pada belakang tempat duduk, pencahayaan ambien dwi-zon, kamera undur dan sistem infotainmen DVD-AVX lapan-inci.

    Bagi keselamatan pula, Innova dibekalkan dengan tujuh beg udara, ABS,EBD,BA, VSC dan bantuan mula mendaki – standard untuk semua varian termasuk model asas 2.0E. Bahagian mekanikal tidak menampilkan apa-apa perubahan di mana model tertinggi ini kekal dijana enjin petrol 2.0 liter NA Dual VVT-i berkuasa 139 ps/183 Nm, digandingkan bersama transmisi automotik enam-kelajuan yang turut dilengkapkan dengan mode pemanduan Eco dan Power.

     
     
  • Modenas akan lancar dua model Bajaj tahun depan

    Modenas akan lancar dua model Bajaj tahun depan

    Modenas, melalui kerjasama dengan Bajaj Auto telah melancarkan Pulsar NS200, RS200 dan V15 di Malaysia. Pada tahun hadapan, ia akan diikuti oleh dua lagi model iaitu Dominar 400 dan Boxer X 150. Kedua-duanya menggunakan enjin satu silinder, dan disasarkan untuk pasaran bajet dengan harga yang dikatakan menarik.

    Dominar 400 adalah sebuah motosikal naked yang dikuasakan oleh enjin Triple Spark DTS-i 373.3 cc, dan padanan kotak gear enam kelajuan bersama klac jenis slipper. Ia mampu menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 35 hp dan tork pula 35 Nm pada 6,500 rpm.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang motosikal ini adalah menggunakan unit cakera bersama angkup Bybre, dengan saiz cakera 320 mm di hadapan dan 230 mm di belakang. Ia juga datang lengkap dengan sistem ABS two-channel, dan rim saiz 17 inci bersama tayar 110/70 di depan dan 150/60 di belakang.

    Modenas akan lancar dua model Bajaj tahun depan

    Bagi yang mahukan sebuah motosikal bajet, dan boleh dipercayai, Modenas akan cuba menawarkannya melalui model Boxer X 150. Ia menggunakan enjin satu silinder berpenyejukan udara yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 12 hp pada 7,500 rpm dan 12.3 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini masih lagi menggunakan sistem karburetor dan dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan.

    Kedua-dua Modenas Dominar 400 dan Boxer X 150 direncana untuk pelancaran di Malaysia pada suku pertama tahun 2018, dan harganya akan diberitahu kelak. Kami juga akan cuba untuk mendekati model ini lebih awal untuk memberikan anda pandangan pertama berkenaannya.

     
     
  • Nissan Leaf Nismo – imej teaser didedahkan, model konsep bakal dibawa ke Tokyo Motor Show 2017

    Bulan lalu, Nissan telah mendedahkan model generasi baharu kereta produksi elektrik sepenuhnya – Nissan Leaf 2018 – yang kini nampak lebih sporty, dan lebih seperti hatchback sebenar berbanding model generasi pertamanya. Lebih mengujakan, model konsep yang akan diberikan sentuhan sayap perlumbaan Nissan iaitu Nismo bakal muncul pada Tokyo Motor Show bulan ini dan ia dijangka bakal direalisasikan sebagai model produksi sebenar.

    Perkara ini dilaporkan oleh portal AutoExpress, di mana Nissan menyiarkan imej teaser ketika acara Nissan Futures 3.0 di Oslo, Norway. Hanya satu imej ditunjukkan, memaparkan sebuah Leaf generasi kedua dipadankan dengan kit badan Nismo, kemasan hitam pada bonet enjin dan juga sambungan elemen hitam dari bumbung dan kemasan pada tiang-C dan juga serlahan jalur merah pada spoiler hadapan dan skirt sisi.

    Nismo Leaf berkenaan juga kelihatan lebih rendah (berkemungkinan besar menerima talaan suspensi dari Nismo), dan juga rim aloi Nismo yang lebih besar. Bukan sahaja rupa, unit janakuasa elektrik Leaf Nismo ini juga dilaporkan bakal menghasilkan kuasa yang lebih besar dari model standard.

    Perkembangan baharu ini membuktikan rancangan Nissan untuk mengangkat Nismo ke pasaran lebih serius dan lebih besar pada April lalu bukanlah omongan kosong. Menerusi rancangan berkenaan, Nismo Cars Business Department telah diwujudkan, yang akan menjadi sebahagian daripada jenama Autech mereka sendiri yang menghasilkan kenderaan ubah suai khas. Menurut Nissan, ini membolehkan mereka untuk merancang dan menghasilkan produk yang lebih menarik dalam selang masa yang pendek.

    Berbalik kepada Nissan Leaf generasi kedua ini, pengedar kenderaan Nissan di Malaysia iaitu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengesahkan bahawa ia akan dilancarkan pada pasaran Malaysia pada tahun hadapan dan turut akan dihasilkan secara pemasangan tempatan di kilang mereka yang terletak di Segambut.

    GALERI: Nissan Leaf 2018

     
     
  • Tempahan Honda Jazz dan City Sport Hybrid i-DCD cecah 1,200 unit – capai sasaran sebulan lebih awal

    Tempahan Honda Jazz dan City Sport Hybrid i-DCD cecah 1,200 unit – capai sasaran sebulan lebih awal

    Honda Malaysia hari mengumumkan jumlah tempahan terhadap model Sport Hybrid i-DCD – Jazz dan City – kini telah mencecah sebanyak 1,200 unit pada 30 September 2017. Jumlah ini secara tidak langsung telah melebihi sasaran asal untuk tiga bulan dalam masa hanya dua bulan.

    Tempahan untuk Honda Jazz dan City Sport Hybrid i-DCD telah dibuka dua bulan lalu, dengan sasaran asal 150 unit sebulan unit untuk Jazz dan 250 unit sebulan untuk City. Buat masa sekarang, City Hybrid mendominasi carta tempahan dengan 61%. Mengikut statistik Honda lagi, model Sport Hybrid ini lebih popular dikalangan pengguna di bahagian tengah tanah air, yang menerima tempahan 53% dari jumlah keseluruhan.

    Sehingga kini, sebanyak 500 unit City Hybrid dan 330 unit Jazz Hybrid telah diserahkan kepada pembeli, sekaligus menjadi peneraju segmen hibrid di bawah julat harga RM200,000 untuk dua bulan berturut-turut. Namun, dengan jumlah tempahan yang melebihi jangkaan ini Honda Malaysia turut menyatakan tempoh menunggu bagi pelanggan mendapatkan kereta mereka kini adalah sekitar satu hingga dua bulan.

    Honda Jazz City Sport Hybrid ini dikuasakan unit janakuasa yang sama iaitu dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion menghasilkan kuasa akhir 137 PS/170 Nm. Menurut Honda, sistem Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual-Clutch Drive) ini menghasilkan prestasi sama seperti enjin 1.8 liter NA biasa (Civic 1.8 hanya menghasilkan lebih 4 PS/4 Nm), dan menggunakan kurang bahan api – 4.0 liter bagi setiap 100 km untuk Jazz Hybrid dan 3.9 liter setiap 100 km untuk City Hybrid.

    Selain dari unit janakuasa, kedua-dua model ini turut diberi talaan pengendalian lebih sporty dari model petrol konvensional seperti suspensi lebih tegar dan juga nisbah stereng yang lebih pantas. Bagi perincian pula, ia menerima kelengkapan yang hampir sama dengan gred E pada model petrol

    Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD dijual pada harga RM87,500 manakala City Hybrid pula dijual pada harga RM89,200 – kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran. Setiap pembelian turut dilindungi waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan, manakala untuk bateri sistem hibrid diberi perlindungan selama lapan-tahun.

    Bagaimana prestasi unit janakuasa Sport Hybrid i-DCD baharu ini dan apa pula perbezaannya dengan versi IMA sebelum ini? Baca laporan pandu uji kami terhadap Honda City Sport Hybrid i-DCD DI SINI.

    GALERI: Honda City Sport Hybrid i-DCD

    GALERI: Honda Jazz 1.5 Sports Hybrid i-DCD

     
     
  • Volkswagen Malaysia anjur kempen “Sedanza”

    Volkswagen Malaysia anjur kempen “Sedanza”

    Bila memasuki akhir tahun ini, semakin agresif syarikat kereta membuat pelbagai tawaran, kempen dan promosi istimewa. Bukan setakat mahu meningkatkan jualan, bahkan ingin menghabiskan stok yang sedia ada. Antara syarikat kereta yang begitu aktif membuat pelbagai kempen promosi sebegini ialah Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).

    Kali ini, VPCM memilih untuk menganjurkan kempen “Sedanza” dengan memfokuskan model sedan pemasangan tempatan termasuk Vento, Jetta dan Passat. Kempen ini menawarkan kadar faedah serendah 0.28%, penyelenggaran percuma selama lima tahun dan rebat tunai sehingga RM15,000. “Volkswagen Sedanza” telah pun mula berlangsung sehingga 31 Disember 2017. Carta di bawah menunjukkan model yang terlibat dan promosi yang berkaitan dengannya.

    Volkswagen Malaysia anjur kempen “Sedanza”

     
     
  • Audi A4 B9 dengan pakej Tech Pack dilancar untuk pasaran Malaysia – harga pengenalan bermula RM224k

    Audi A4 B9 dengan pakej Tech Pack dilancar untuk pasaran Malaysia – harga pengenalan bermula RM224k

    Audi Malaysia telah memperkenalkan varian Tech Pack bagi model A4 B9 di Malaysia, yang membenarkan pelanggan untuk menempah mana-mana varian A4, dengan barangan Tech Pack, termasuk Audi Virtual Cockpit. Syarikat itu juga memperkenalkan satu varian permulaan pada harga pengenalan istimewa sementara stok masih ada.

    Bagi varian permulaan 1.4 TFSI, pakej Tech Pack ini dijual pada harga RM25,000, yang menjadikan keseluruhan kereta berharga RM243,900 atas jalan tidak termasuk insurans (harga standard adalah RM218,900). Bayaran tambahan ini akan memberikan anda Audi Virtual Coockpit dengan skrin 12.3 inci, sistem informasi dan hiburan MMi Navigaton Plus, paparan seperti telefon pintar, Audi Connect dan kamera undur.

    Bagi varian 2.0 TFSI (dijual pada harga RM248,900 tanpa sebarang kelengkapan tambahan), sebelum ini ia hanya boleh didapati dengan sama ada Tech Pack atau S Line, dan bukan kedua-duanya sekali. Harga bagi setiap pakej itu adalah RM25,000.

    Audi A4 B9 dengan pakej Tech Pack dilancar untuk pasaran Malaysia – harga pengenalan bermula RM224k

    Tapi kini, orang ramai boleh memilih varian 2.0 TFSI dengan kedua-dua pakej, yang menjadikan harga keseluruhan kenderaan RM298,900. Pakej S Line menjadikan penampilan kereta lebih garang dengan bampar rekaan agresif, rim 18 inci, kemasan tepi pintu berlampu, tempat duduk hadapan kulit dan Alcantara, serta roda stereng S Line.

    Dalam pakej Tech Pack untuk 2.0 TFSI ini, barangannya adalah sama seperti yang disebutkan tadi iaitu Audi Virtual Cockpit dengan skrin 12.3 inci, sistem informasi dan hiburan MMi Navigaton Plus, paparan seperti telefon pintar, Audi Connect dan kamera undur. Selain itu, ia juga mendapat tambahan lampu utama Matrix LED (dengan penunjuk arah dinamik).

    Akhir sekali, bagi varian paling atas iaitu 2.0 TFSI quattro S Line Tech Pack, ia dijual pada harga RM334,900, iaitu tambahan RM20,000 berbanding harga asal RM314,900. Varian ini sudah memang dilengkapi dengan kebanyakan ciri dalam Tech Pack, tetapi diberi tambahan lampu belakang Matrix LED dan sistem bunyi 3D Bang & Olufsen.

    Audi A4 B9 dengan pakej Tech Pack dilancar untuk pasaran Malaysia – harga pengenalan bermula RM224k

    Bahagian enjin untuk semua varian masih lagi sama, dengan varian 1.4 TFSI dikuasakan oleh unit empat silinder 1.4 liter turbo petrol berkuasa 150 hp dan 250 Nm tork, manakala varian 2.0 TFSI dipacu oleh unit 2.0 liter berkuasa 190 hp dan 320 Nm tork. Varian 2.0 TFSI quattro juga menggunakan enjin 2.0 liter, tetapi mempunyai kuasa 252 hp dan 370 Nm tork.

    Semua enjin ini dipadankan dengan kotak gear klac berkembar S Tronic tujuh kelajuan, dengan kuasa disampaikan kepada tayar hadapan, kecuali bagi model 2.0 TFSI quattro, yang mendapat sistem pacuan semua roda. Pada aspek prestasi, varian 2.0 TFSI quattro boleh mencecah kelajuan 100 km/j, dari pegun dalam masa 5.8 saat diikuti dengan 7.3 saat oleh 2.0 TFSI dan 8.5 saat bagi 1.4 TFSI.

    Seperti yang dinyatakan di atas, Audi Malaysia kini menawarkan varian Tech Pack bagi model A4 ini pada harga pengenalan istimewa, iaitu RM224,900 bagi A4 1.4 TFSI Tech Pack (kurang RM19,000), RM274,900 bagi A4 2.0 TFSI S Line + Tech Pack (kurang RM24,000) dan RM314,900 bagi A4 2.0 TFSI quattro Tech Pack (kurang RM20,000). Setiap pembelian datang dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan.

     
     
  • Ford Transit R-Spec Edition dari MS-RT – inspirasi dari Fiesta WRC, 212 hp/486 Nm, terhad hanya 50 unit

    Ford Transit R-Spec Edition dari MS-RT – inspirasi dari Fiesta WRC, 212 hp/486 Nm, terhad hanya 50 unit

    MS-RT iaitu gabungan penala Van-Sport dan pemilik pasukan M Sport (yang mengendalikan pasukan rali dunia Ford), Malcom Wilson, telah mendedahkan produk baharu mereka – van Ford Transit R-Spec Edition, dibina hanya 50 unit sahaja.

    Van berkenaan dihasilkan sempena kejayaan Fiesta WRC dalam kejohanan rali dunia (WRC) tahun ini yang dipandu oleh penyandang juara dunia, Sebastien Ogier dan juga pemandu kedua, Ott Tanak. Van Ford Transit edisi khas ini direka dengan menampilkan rupa diinspirasikan dari jentera WRC berkenaan.

    Dihasilkan berdasarkan model Transit Custom DCIV lima-tempat duduk, R-Spec Edition diberikan warna badan metalik, pintu gelangsar pada kedua-dua sisi, kamera belakang, penderia parkir, lampu bahagian kargo LED serta pengubah kuasa 240V.

    Ford Transit R-Spec Edition dari MS-RT – inspirasi dari Fiesta WRC, 212 hp/486 Nm, terhad hanya 50 unit

    Bagi membezakan model MS-RT Custom yang telah diperkenalkan sebelum ini, R-Spec Edition diberikan diffuser udara hadapan yang lebih panjang. Ia juga diberikan lampu LED Lazer pada gril hadapan bersama pek pelekat badan eksklusif.

    Pada bahagian dalaman pula, ia diberikan kemasan papan permuka berwarna kelabu serta tempat duduk bucket perlumbaan dari Sparco, lengkap dengan tali pinggang keledar berwarna biru. Van edisi terhad ini turut diberikan sistem keselamatan dan kunci perlindungan yang dipertingkat.

    Transit R-Spec ini diberikan rim aloi OZ Racing berdiameter 20-inci, yang melindungi kit brek besar dari MS-RT disebaliknya. Selain itu, ia turut dilengkapkan dengan unit intercooler dan juga hos-hos sistem turbo MS-RT, bersama muffler khas MS-RT yang menghasilkan bunyi yang lebih mengujakan.

    Bagi mereka yang mahukan lebih prestasi, kit modul pengurusan enjin dari Steinbauer turut ditawarkan yang mampu menghasilkan kuasa akhir 212 hp dan tork maksima 486 Nm. Ford Transit MS-RT R-Spec Edition dijual dipasaran UK pada harga £35,995 atau sekitar RM203k mengikut nilai tukaran wang semasa.

     
     
  • GALERI: Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD CKD dipertontonkan di Mid Valley – perincian didedahkah

    GALERI: Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD CKD dipertontonkan di Mid Valley – perincian didedahkah

    Mitsubishi Motor Malaysia (MMM) telah pun mempertontonkan SUV tujuh-tempat duduk Outlander 2.0L 4WD, unit pemasangan tempatan, di khalayak ramai di Mid Valley Megamall hujung minggu baru-baru ini, menandakan tarikh pelancarannya kian menghampiri.

    Buat masa ini, MMM hanya memasarkan varian Outlander 2.4L AWD yang dibawa masuk dari pasaran Jepun, yang dilancarkan di Malaysia pada April tahun lalu, dengan harga RM171,000. Dengan hadirnya varian 2.0L, pastinya memberikan pilihan kepada para pengguna di Malaysia apatah lagi ia ditawarkan pada harga pengenalan yang lebih rendah iaitu RM139,988.

    GALERI: Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD CKD dipertontonkan di Mid Valley – perincian didedahkah

    Outlander 2.0L 4WD ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter DOHC MIVEC bersama hamburan kuasa 145 PS dan 196 NM, serta dipadankan bersama transmisi INVECS-III CVT. Menurut MMM, ia mampu memberikan penjimatan bahan api sekitar 13.7 liter bagi setiap 100 km (13 liter per 100 km bagi varian 2.4 liter dengan 167 PS/222 Nm).

    Seperti mana model 2.4L, Outlander 2.0L ini juga didatangkan dengan sistem 4WD pintar sebagai standard. Ia juga memiliki sistem Multi-Select 4WD dengan tiga pilihan mod iaitu 4WD Eco, 4WD Auto dan 4WD Lock, yang sesuai untuk semua keadaan jalan dan laluan termasuk off-road.

    Bagi Outlander 2.0 CKD, luarannya tidak banyak berbeza dengan varian 2.4.. Lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, antena sirip jerung, kamera undur dan pengesan parkir hadapan/belakang, semuanya masih sama, termasuklah roda 18-inci. Walau bagaimana pun, varian 2.0L CKD tidak ditampilkan dengan lampu utama LED, hanya lampu projektor halogen sahaja.

    Di dalamnya, varian 2.0L tidak menerima tempat duduk balutan kulit, penukar pedal di belakang stereng, bumbung matahari, brek parkir elektronik, cermin pandang belakang anti-silau, tempat duduk pemandu larasan berkuasa dan tailgate berkuasa. Namun ia masih mengekalkan kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, lampu utama dan bilah pengelap cermin auto, pendingin hawa auto dwi-zon dan unit paparan utama skrin sesentuh 7.0-inci dengan Air Gesture Control dan Apple CarPlay.

    Bagi elemen keselamatannya, ia sama dengan varian 2.4L CBU, iaitu tujuh beg udara, ABD dengan EBD, Bantuan Brek, Kestabilan Aktif dan Kawalan Cengkaman (ASTC), Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan cagak ISOFIX.

    Khas untuk pasaran Malaysia, Outlander 2.0L CKD ini turut diberikan warna eksklusif iaitu Ruby Black, serta mengekalkan warna Red Metallic dan Solar White. Bagi warantinya pula, ia ditawarkan untuk lima-tahun dengan perbatuan tanpa terhad.

    GALERI: Mitsubishi Outlander 2.0L 4WD CKD

    GALERI: Mitsubishi Outlander 2.4L 4WD CBU

     
     
  • Pemanduan BMW Z4 2019 tidak akan sama dengan Toyota Supra generasi baharu walau dibina bersama

    Pemanduan BMW Z4 2019 tidak akan sama dengan Toyota Supra generasi baharu walau dibina bersama

    Jika anda mengikuti perkembangan pembinaan Toyota Supra generasi baharu, anda mungkin tahu bahawa kereta sport flagship Toyota berkenaan dibina dengan platform dan unit janakuasa yang sama dengan BMW Z4 2019 yang juga akan mula diproduksi pada tahun hadapan. Namun, adakah ini bermaksud jika anda beli Supra, perasaan memandunya adalah sama sahaja seperti anda memandu Z4?

    CEO BMW Group Australia Marc Werner memberitahu portal CarAdvice, walaupun BMW Z4 dibina bersama Toyota, beliau menegaskan produk akhir kedua-dua kereta sport tersebut tidak akan sama, dan purist BMW sedia ada jangan risau kerana Z4 generasi seterusnya itu masih lagi sebuah “ultimate driving machine“.

    Menurut Werner, kerjasama dengan Toyota itu bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana usaha tersebut adalah untuk mengambil kesempatan terhadap pengurangan kos dengan berkongsi pelaburan serta menyatukan sumber. “Ia adalah pasti berkenaan skala ekonomi [sebagai sebab untuk kerjasama ini],” katanya.

    “Pembangunan produk untuk setiap kereta menelan belanja berberapa bilion dolar, dan permintaan segmen roadster ini malangnya menurun dalam masa berberapa tahun kebelakangan ini – bukan hanya kami [BMW], tetapi setiap pengeluar,” jelas Werner lagi.

    BMW Z4 dan Toyota Supra yang dijumpai diuji bersama

    BMW Z4 dan Toyota Supra dibina oleh kedua-dua pengeluar berkenaan di atas platform kereta sport terbaharu yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan. Namun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z4 yang tampil dengan bentuk badan roadster. Werner menjelaskan lagi, bukan sekadar rekaan, malah pemanduan antara kedua-dua kereta berkenaan adalah berbeza sama sekali.

    Supra dan Z4 dijangka akan dikuasakan dengan enjin empat silinder sebaris dan enam silinder sebaris bersama pengecas turbo dari BMW dan varian paling berkuasa kedua-duanya bakal diberikan unit janakuasa hibrid dilengkapi kapasitor serta sistem pacuan empat roda. Namun, produk dari BMW dijangka bakal tampil lebih premium dengan ciri-ciri seperti sistem infotaimen BMW iDrive dan sebagainya.

    Ogos lalu, BMW telah pun mendedahkan model BMW Concept Z4 di Pebble Beach Concours D’Elegance, yang memberikan gambaran paling hampir bagaimana rupa versi produksi sebenar nanti. Untuk Supra pula, gambar-gambar risikan sebelum ini mendedahkan ia akan tampil dengan rekaan diambil dari model konsep Toyota FT-1, manakala model konsep yang hampir dengan versi produksi akan didedahkan pada Tokyo Motor Show bulan ini.

    GALERI: BMW Z4 Concept

    GALERI: Spyshot Toyota Supra generasi baharu

    GALERI: Toyota FT-1 Concept

     
     
  • Indeks Kepuasan Jualan J.D Power Malaysia 2017 – Isuzu dan Toyota berkongsi kedudukan paling atas

    Indeks Kepuasan Jualan J.D Power Malaysia 2017 – Isuzu dan Toyota berkongsi kedudukan paling atas

    Menurut kajian Indeks Kepuasan Jualan J.D. Power Malaysia 2017, pelanggan nampaknya lebih berpuas hari dengan pengalaman jualan untuk kenderaan baru mereka pada tahun ini. Keputusan kajian ini didapati daripada maklum balas 2,130 pemilik kenderaan baru yang membeli kenderaan antara Ogos 2016 hingga Mei 2017.

    Enam faktor – jurujual (19%), kemudahan pengedar (19%), masa penghantaran (17%), urus janji (16%), proses penghantaran (16%) dan penjanaan jualan (13%) – diambil kira, dan kesemuanya menyumbang kepada kepuasan keseluruhan pelanggan dalam pengalaman mereka membeli kereta baru.

    Melihat kepada sesuatu jenama, Isuzu dan Toyota kedua-duanya berjaya meletakkan nama di tempat teratas dengan mata sebanyak 823 (daripada 1,000), diikuti Nissan pada 814 mata, Honda 808 mata dan Mazda 807 mata. Kesemua jenama ini berada di atas tahap purata iaitu 804 mata.

    Jenama yang berada bawah pada tahap itu adalah termasuk Mitsubishi (802 mata), Perodua (798 mata) dan Proton (793 mata). Terdapat juga jenama lain yang terlibat dalam kajian ini, tetapi tidak dimasukkan dalam senarai kerana saiz sampel yang tidak mencukupi iaitu Ford, Hyundai, Kia dan Volkswagen.

    Kajian ini juga mendedahkan bahawa kepuasan keseluruhan pelanggan telah meningkat kepada 923 mata bagi tahun 2017, berbanding 901 mata pada tahun 2016, dengan hampir 31% daripada mereka melakukan kajian dalam internet berkenaan pembelian kereta yang dimahukan (pada tahun 2016 ia berada pada tahap 27%). Perkara yang mereka cari dalam internet kebanyakannya adalah berkenaan harga dan promosi, serta juga spesifikasi dan kelengkapan pada kenderaan tersebut.

    Faktor lain yang dilihat meningkatkan kepuasan pelanggan adalah termasuk sesi pandu uji, di mana mereka yang ditawarkan dengan peluang ini mencatat mata 810 secara purata. Sebagai perbandingan, mereka yang tidak menawarkan pandu uji hanya mencatat 783 mata. Peratusan pelanggan yang ditawar dengan pandu uji juga talah meningkat menjadi 80%, daripada 67% tahun lalu.

    Penerimaan barangan percuma daripada pengedar juga didapati meningkatkan kepuasan di kalangan pelanggan, dengan kebanyakan daripada mereka memberitahu ada menerima barang seperti aksesori atau hadiah lain bersama pembelian kenderaan. Apabila mendapat barang percuma, kepuasan pelanggan meningkat 36 mata.

    Akhir sekali, masa penghantaran yang pantas dihargai oleh pelanggan, dan lebih 43% daripada mereka memberitahu menerima masa penghantaran yang lebih pantas berbanding yang dijangka tahun ini (peningkatan 3% berbanding tahun 2016). Penjadualan semula masa penghantaran juga telah menurun tahun ini, menjadi 42% berbanding 50% tahun lalu.

     
     
  • Kia Malaysia buka pusat 3S di Kuala Terengganu

    Kia Malaysia buka pusat 3S di Kuala Terengganu

    Naza Kia Malaysia Sdn Bhd, pengedar rasmi bagi Kia Motors di Malaysia, telah pun membuka pusat 3S terbaharu di Kuala Terengganu, dengan kerjasama pengedar bertauliah Autohaus Prima Sdn Bhd.

    Terletak di kawasan seluas 10,000 kaki persegi, Kia Kuala Terengganu mampu mempamerkan sehingga lima buah kereta di bilik pameran ini serta mempunyai satu petak penyelenggaraan yang berkeupayaan menyelenggara sehingga 15 buah kereta sehari. Model terkini Kia yang turut dipamerkan ialah Rio, Cerato, Optima, Sportage, Sorento dan Grand Carnival.

    Beroperasi di 159, Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, bilik pameran ini melibatkan perlaburan sebanyak RM1 juta, merangkumi jualan, servis, fasiliti alat ganti serta lounge bagi pelanggan, merupakan cawangan kedua yang beroperasi di Pantai Timur selepas Kia Red Cube, Kuantan, yang dibuka pada 2014.

     
     
  • Puspakom bakal lantik bengkel swasta – perluas khidmat ke luar bandar dengan kos lebih rendah

    Puspakom bakal lantik bengkel swasta – perluas khidmat ke luar bandar dengan kos lebih rendah

    Dalam tempoh sebulan dari sekarang, Perkhidmatan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) akan diperluaskan dengan membolehkan agensi itu melantik bengkel-bengkel kenderaan swasta untuk memberikan perkhidmatan pemeriksaaan kenderaan, lapor Bernama.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi, kementerianya bersetuju untuk membolehkan Puspakom melantik bengkel-bengkel swasta tersebut khususnya di luar bandar bagi menjimatkan perbelanjaan agensi tersebut.

    “Kaedah itu juga boleh memberi peluang kepada bengkel-bengkel yang terpilih untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka dengan penambahan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan namun, ia mestilah mengikut garis panduan yang ditetapkan Puspakom,” jelas Aziz.

    “Fokus kita ialah memperluaskan perkhidmatan Puspakom ke kawasan luar bandar dan kaedah ini dapat menjimatkan perbelanjaan berbanding jika kita membina cawangan baharu yang menelan kos pembinaan lebih tinggi,” tambahnya lagi.

    Puspakom merupakan agensi yang menjalankan pemeriksaan kenderaan berkomputer yang dilantik oleh kerajaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memastikan kenderaan-kenderaan komersial diperiksa untuk memastikan ia selamat digunakan diatas jalan raya, dan juga pemeriksaan-pemeriksaan lain bagi tujuan kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan misalnya pemeriksaan bagi tujuan penukaran hak milik serta lain-lain.

    Selain dari pemeriksaan-pemeriksaan mandatori ini, Puspakom turut menjalankan pemeriksaan sukarela yang dibuka untuk orang awam bagi memastikan tahap ‘kesihatan’ kenderaan mereka. Perincian lanjut berkenaan pusat ini boleh anda baca DI SINI, setelah kami diberi peluang untuk menjadi pemeriksa kenderaan selama sehari.

     
     
  • Triumph Tiger 800 Tramontana untuk Rali Pan-Africa

    Triumph Tiger 800 Tramontana untuk Rali Pan-Africa

    Jurutera Triumph Motorcycles dari ibu pejabatnya di Hinckley, bersama dua beradik, David Lopez dan Felipe Lopez telah membangunkan sebuah Triumph Tiger 800 XCX khas untuk perlumbaan Rali Pan Africa 2017. Motosikal ini diubah suai supaya dapat berhadapan dengan cabaran getir rali 2,000 km ini.

    Walaupun Tiger 800 XCX sudah dianggap cukup berkemampuan dalam keadaan asalnya, perubahan masih perlu untuk menjadikannya lebih ringan dan dapat menyediakan kelengkapan bersesuaian bagi penunggang. Antara perubahan penting adalah bahagian hadapan yang ditukar supaya dapat menyediakan instrumen penting seperti peta perjalanan, ICO dan lampu isyarat GPS.

    Pada bahagian itu juga terdapat lampu hadapan yang lebih ringan, manakala subframe pula diperkuat untuk menampung beberapa komponen baru. Selain panel badan, motosikal ini juga turut diberi perlindungan tambahan, terutamanya pada bahagian enjin.

    Triumph Tiger 800 Tramontana untuk Rali Pan-Africa

    Suspensi juga diubah, dengan melihatkan unit daripada Ohlins, dan ia mempunyai jarak pergerakan yang lebih tinggi, sesuai dengna perlumbaan rali yang banyak melibatkan lompatan dan jalan-jalan kasar yang sukar diduga. Bahagian belakangnya juga lebih pendek bagi memperbaiki titik graviti.

    Walaupun begitu, motosikal hanya menyumbang kepada separuh sahaja kejayaan dalam perlumbaan ini. Ia masih bergantung kepada penunggangnya sendiri. Oleh itu, kedua-dua David dan Felipe telah bekerja keras untuk mempersiapkan diri secara mental dan fizikal supaya mereka dapat terus bertahan dalam perlumbaan tersebut.

     
     
  • Invois tuntutan bernilai RM1.24 juta dari pasukan F1 HAAS terhadap SIC yang tular adalah palsu – laporan

    Minggu lalu telah tular satu ‘invois’ bernilai US$295,000 (kira-kira) RM1.24 juta daripada pasukan Formula 1 HAAS kepada pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang menuntut ganti rugi terhadap kerosakan yang dialami oleh jentera pasukan yang dipandu oleh Romain Grosjean yang telah terlanggar dengan penutup longkang yang teralih pada sesi latihan bebas Grand Prix Malaysia, Jumaat lalu.

    Namun menurut CEO SIC, Datuk Razlan Razali dalam laporan Berita Harian, dokumen yang telah dikongsi oleh ramai netizen tersebut sebenarnya adalah dokumen palsu.

    “Setakat ini saya difahamkan dokumen yang disiarkan di media sosial adalah palsu kerana sehingga sekarang, kami masih tidak dapat lagi kenyataan rasmi daripada FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa) dan pasukan Haas,” kata Razlan. Beliau juga hairan mengapa pihak tertentu melakukan perkara ini pada perlumbaan terakhir Formula 1 diadakan di Litar berkenaan.

    “Ia seolah-olah mencari pasal untuk memuat naik status seperti ini di media sosial yang mana sepatutnya kita harus sokong, meraikan F1 terakhir ini berbanding mengeluarkan isu yang saya tak tahu nak gambarkan sama ada hasad dengki,” kata Razlan lagi.

    Invois tuntutan bernilai RM1.24 juta dari pasukan F1 HAAS terhadap SIC yang tular adalah palsu – laporan

    Kemalangan yang dialami oleh Grosjean berkenaan menyebabkan tayar belakang sebelah kanannya berkecai, menyebabkan dia terus terbabas ke dinding penahan. Sebelum insiden tersebut terjadi, Valteri Bottas yang memandu jentera pasuka Mercedes AMG Petronas dan Kimi Raikkonen dari Scuderia Ferrari telah terlebih dahulu melanggar penutup longkang di selekoh 13 berkenaan dan menyebabkan ia teralih.

    Malah, selepas berlakunya kemalangan tersebut ada juga dakwaan yang tersebar di internet menyatakan perlumbaan Formula 1 terakhir yang diadakan di Malaysia berkenaan akan dibatalkan.

    “Jadi saya nak maklumkan di sini yang perlumbaan F1 ini sama sekali tidak akan dibatalkan seperti dihebohkan dan dokumen yang disebarkan itu adalah palsu,” jelas Razlan.

    Beliau turut menambah bahawa SIC dan FIA sendiri telah melakukan pemeriksaan trek pada Khamis lalu dan mereka memberi lampu hijau untuk meneruskan perlumbaan ini.

    “Sebulan sebelum itu, mereka juga ada menghantar nota kepada kami yang menyatakan kereta kali ini lebih laju dan kami perlu meningkatkan sesuatu di selekoh dan sebagainya. Kami mengikut arahan itu sebelum mereka datang (pada Khamis) dan bila pemeriksaan pada Khamis, semuanya sempurna,” tegas Razlan.

    Menurut CEO SIC berkenaan lagi, FIA berkata ini adalah perkara yang tidak dijangka, jadi susah untuk menyalahkan mana-mana pihak dan mereka tidak boleh menyalahkan pihaknya.

    “Malah, kami juga diarahkan untuk memperkukuhkan lagi (keselamatan) sistem perparitan sejak dari semalam lagi dan kami juga diberitahu oleh penyelenggaraan trek yang semuanya sudah dipatri sejak dulu lagi. Dan sistem perparitan ini pun sudah kita periksa dan patri semula,” tambah Razlan.

     
     
  • Naza Italia buka bilik pameran kedua Ferrari di KL

    Naza Italia buka bilik pameran kedua Ferrari di KL

    Naza Italia telah membuka bilik pameran kedua Ferrari di Lembah Klang. Terletak di Tower 1, Platinum Park, Kuala Lumpur, bilik pameran ini telah pun dilancarkan pada petang Khamis baru-baru ini.

    Bilik pameran Ferrari baharu ini berkeluasan 3,115 kaki persegi dan mampu mempamerkan tiga model kenderaan dalam satu masa. Ia juga menempatkan ruang lounge mewah untuk pelanggan, selain mempunyai bilik untuk konfigurasi dan pemilihan untuk elemen bagi model Ferrari yang dipilih. Dengan kos perlaburan berjumlah RM2.8 juta, Ferrari Platinum Park ini dibuka pada jam 9 pagi hingga 6 petang pada setiap Isnin hingga Jumaat, dan dari jam 10 pagi hingga 4 petang pada hari Sabtu.

    Menurut Datuk Wira Hj SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin, pengerusi eksekutif kumpulan Naza World Group of Companies, bilik pameran Ferrari di Platnium Park ini mensasarkan kunjungan yang lebih ramai malah menyediakan pengalaman yang optimum buat para pelanggannya seperti mana yang ditampilkan di ibu pejabatnya di Petaling Jaya.

    Selain itu, syarikat ini turut memaklumkan pusat servis selepas jualan yang terletak di belakang bilik pameran PJ telah pun diubahsuai mengikut ketetapan terkini Ferrari. Naza Italia berkata dengan peningkatan yang melibatkan kos berjumlah RM5 juta, ia mampu memperluaskan lagi jenama ini di Malaysia.

     
     
  • Alfa Romeo Stelvio Quadrifoglio – SUV paling pantas di Nürburgring, 8 saat lebih laju dari Porsche Cayenne

    Alfa Romeo Stelvio Quadrifoglio kini sah sebagai SUV terpantas di litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife dengan catatan masa 7 minit 51.7 saat. Catatan berkenaan secara tidak langsung telah memadam rekod 7 minit 59.74 saat yang dicatatkan oleh SUV Porsche Cayenne Turbo S yang dilakukan pada tahun 2015.

    Dengan rekod baharu tersebut, Alfa Romeo kini memegang dua rekod produksi di Nürburgring di mana Giulia Quadrifoglio yang dibina dengan platform yang sama dengan Stelvio kini memegang rekod untuk sedan empat pintu terpantas dengan catatan masa 7 minit 32 saat.

    Stelvio hadir dalam pasaran dengan dua pilihan enjin iaitu enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 280 hp/400 Nm, manakala varian yang digunakan untuk mencatatkan rekod ini merupakan versi tertinggi dengan enjin V6 2.9 liter turbo berkembar berkuasa 510 hp dan tork maksima 600 Nm.

    Kesemua kuasa dari setiap pilihan enjin disalurkan ke keempat-empat tayar menerusi sistem pacuan semua roda Q4 dan juga kotak gear lapan-kelajuan dari ZF yang mampu menukar gear sepantas 150 milisaat dengan menggunakan mod Race. Sistem AWD crossover ini membenarkan 60% tork ke gandar hadapan, manakala unit torque vectoring differential turut dipadankan untuk mempertingkatkan daya tarikan serta kestabilan.

    Selain itu, SUV ini juga diberikan sistem Chassis Domain Control (CDC) dan juga menampilkan drive shaft yang diperbuat dari material gentian karbon, manakala kerangka badannya pula dibina dengan material ringan bersama agihan berat 50/50 secara keseluruhan.

     
     
  • MRR2 laksana lencongan laluan kanan sehingga tahun 2019 untuk kerja-kerja pembinaan Lebuhraya SUKE

    MRR2 laksana lencongan laluan kanan sehingga tahun 2019 untuk kerja-kerja pembinaan Lebuhraya SUKE

    Untuk pengguna Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd.(Prolintas) telah mengeluarkan kenyataan lencongan pada lorong kanan akan dilaksanakan sepenuhnya bermula 1 Oktober sehingga 28 Februari 2019. Ia adalah bagi memberikan laluan kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

    Menurut Prolintas, lencongan lorong kanan kedua-dua arah sepanjang 1.8 kilometer di MRR2 itu melibatkan kerja-kerja pemasangan cerucuk, struktur dan rasuk.

    Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati dan mematuhi panduan keselamatan yang ditetapkan. Bagaimanapun, laluan tiga lorong di kawasan tersebut masih dikekalkan. Ciri-ciri keselamatan seperti pemasangan kon keselamatan, papan tanda, penghadang plastik dan konkrit akan ditempatkan di kawasan terbabit. Di samping itu, ‘Emergency Traffic Response Patrol’ akan bertugas selama 24 jam bagi menghadapi sebarang kecemasan.

    Sebagai alternatif, pengguna digalakkan menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) untuk ke pusat bandar.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026