Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • GALERI: Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription CKD

    GALERI: Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription CKD

    Bulan lalu, Volvo Car Malaysia telah membuka tempahan untuk model S90 T8 Twin Engine Inscription baru, yang dipasang di negara ini (CKD), pada harga pengenalan RM348,888 (sehingga 31 Oktober) atas jalan, tidak termasuk insurans.

    Kini, kami bawakan kepada anda galeri model yang akan dilancarkan tidak lama lagi ini. Bermula pada bahagian luar, seperti nama varian yang diberikan, anda boleh melihat model ini menggunakan pakej trim Inscription yang termasuk gril krom hitam, rim aloi 19 inci (tayar 225/40), bahagian bawah bampar krom dengan logo Inscription dan pintu but elektrik yang boleh dibuka tanpa sentuh.

    Lampu siang ‘Thor’s hammer’ yang menjadi tanda unik model Volvo baru juga terdapat pada model ini, dan lampu utamanya adalah jenis LED bersama fungsi Active High Beam (AHB) dan Active Bending Lights (ABL). Kelengkapan luar lain yang diberikan adalah lampu pada bahagian bawah pintu, lampu pada pembuka pintu dan dua corong ekzos.

    Pada bahagian dalam, terdapat kemasan kayu walnut pada bahagian tengah papan pemuka, seperti XC90 CKD. Kereta ini juga datang dengan sistem bunyi Bowers & Wilkins. Walaubagaimanapun, kita masih perlu menunggu waktu pelancaran untuk mengetahui sama ada kelengkapan ini akan diberikan secara standard atau memerlukan bayaran tambahan.

    GALERI: Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription CKD

    Barangan lain yang ada pada model ini adalah termasuk roda stereng tiga cabang yang dibalut dengan kulit, paparan instrumen 12.3 inci, pengawal suhu dua zon, sistem informasi dan hiburan Sensus Navigation Pro dengan skrin sesentuh sembilan inci dan sistem audio 10 pembesar suara.

    Selain itu, terdapat juga tempat duduk yang dibalut kulit Nappa dan boleh dilaras 16 arah, bersama fungsi memori untuk pemandu dan penumpang hadapan, dan sebagai sebuah model Inscription, ia dilengkapi dengan tombol gear kristal secara standard, seperti XC90 CKD.

    Enjin plug-in hybrid T8 Twin Engine pada model ini terdiri daripada unit petrol empat silinder 2.0 liter Drive-E turbo supercas yang berkuasa 320 hp dan 400 Nm, dan motor elektrik yang berkemampuan menghasilkan 87 hp dan 240 Nm.

    GALERI: Volvo S90 T8 Twin Engine Inscription CKD

    Kuasa hasil daripada gabungan ini, disampaikan ke semua tayar, dan turut melibatkan crankshaft-mounted starter generator (CISG) yang diletakkan antara enjin dan kotak gear automatik Geartronic lapan kelajuannya. Bateri lithium-ion 9.2 kWh pula diletakkan di bahagian tengah terowong transmisi tersebut.

    Keseluruhan kuasa yang dapat dihasilkan oleh gabungan enjin dan motor elektrik ini adalah 407 hp dan 640 Nm, sekaligus dapat membenarkan ia memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa 4.8 saat. Untuk penggunaan bahan api pula, ia mampu memberikan tahap penggunaan bercampur 2.0 liter bagi setiap 100 km, dan jarak pergerakan menggunakan elektrik sahaja sejauh 48 km.

    Sekali lagi ingin dinyatakan, S90 T8 Twin Engine Inscription sudah pun dibuka untuk tempahan dan harga ini adalah harga pengenalan sehingga hujung bulan ini. Jika dilihat kepada harga itu, ia meletakkan S90 T8 Twin Engine Inscription RM40,000 lebih murah berbanding S90 T5 dan RM105,000 lebih murah berbanding S90 T6 AWD R-Design. Dua model ini adalah model import sepenuhnya (CBU).

     
     
  • MIMOS alih perhatian, hasilkan rekaan 3D bagi MiRT

    MIMOS alih perhatian, hasilkan rekaan 3D bagi MiRT

    Sebelum ini, Saharuddin Busri dan pasukan pereka dari Pusat Rekaan MIMOS (MiDC) banyak memberi tumpuan kepada penghasilan rekaan dari aplikasi digital dalam usaha membayangkan semula beberapa model kenderaan Proton seperti Suprima X dan Suprima R.

    Namun, ia tidak berhenti sekadar di situ; lanjutan kepada usaha berkenaan kini menyaksikan mereka mengalihkan tumpuan kepada rekaan digital bagi projek Mass Rapid Transit (MRT) pula. Dikenali dengan nama MIMOS Innovation Rapid Transit (MiRT), tujuannya hanya satu – untuk membuktikan bahawa pereka-pereka tempatan juga mampu menghasilkan reka bentuk industri yang berdaya saing diperingkat global.

    Masih di dalam bentul model 3D digital, MiRT seperti yang ditampilkan ini dibangun menggunakan dua pendekatan atau teknologi rekaan semasa – realiti maya (Virtual Reality) dan realiti lanjutan (Augmented Reality). Kepakaran dan kelengkapan penghasilan reka bentuk ini memang sedia ada di MIMOS, dengan kerjasama dan bantuan perisian Autodesk.

    Dari sudut rekaan luaran, MiRT yang dihasilkan tampil dengan rekaan yang mengambil unsur budaya, kraf serta seni bina yang khusus untuk Malaysia, sebelum diadun dengan ciri aerodinamik yang moden dan futuristik pada badan tren yang digunakan. Tidak ketinggalan, penggunaan LED di sepanjang gerabak.

    Rekaan bahagian dalaman juga mengambil pendekatan sama; ilham dari geometri seni bina tempatan dengan motif corak Islamik sebagai unsur utama. Kombinasi warna yang digunakan pula mengambil inspirasi dari suasana Putrajaya pad waktu senja – warna biru muda, kelabu dan kuning yang mencadangkan persekitaran lebih tenang dan selesa.

    Jika ada berminat untuk mendekati rekaan ini, MIMOS akan menampilkan serta membuat demonstrasi bagi projek berkenaan di acara Ekspo Inovasi dan Ekonomi Kreatif Kebangsaan 2017 (NICE 2017) yang akan berlangsung dari 12 hingga 16 Oktober ini di Taman Teknologi Malaysia.

     
     
  • Mercedes-Benz M’sia umum prestasi Q3 2017 – 8,771 unit kereta dihantar, 6,580 unit kereta CKD dihasilkan

    Mercedes-Benz M’sia umum prestasi Q3 2017 – 8,771 unit kereta dihantar, 6,580 unit kereta CKD dihasilkan

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan keputusan prestasi bagi suku ketiga (Q3) 2017, di mana ia menunjukkan sejumlah 8,771 unit kereta telah dihantar sehingga tarikh tersebut. Walau bagaimana pun, ia tidak dapat menandingi pencapaian tahun lalu, bagi tempoh yang sama, iaitu mencecah 9,047 unit.

    Daripada 8,771 unit tersebut, sebanyak 6,580 daripadanya adalah unit pemasangan tempatan (CKD), menyumbang 2.3% bagi perkongsian pasaran di Malaysia sehingga Ogos 2017. Seperti mana suku sebelum ini, prestasi jualan kereta penumpang MBM dimonopoli oleh barisan sedan, termasuk C-Class, E-Class dan S-Class. Dengan C-Class menyumbang sebanyak 3,044 unit dan 1,891 unit daripada E-Class.

    Manakala kereta kompak pula sebanyak 1,220 unit serta barisan Dream Cars Collection pula mencapai jualan sebanyak 406 unit sehingga Q3 2017. Dengan dua model baharu yang dilancarkan pada tempoh itu iaitu Mercedes-AMG E 63 S dan GLC 200.

    Sementara itu, syarikat ini turut mengeluarkan rekod bagi kenderaan yang diservis iaitu melibatkan sejumlah 94,596 unit di pusat servisnya dalam tempoh sembilan bulan pertama, meningkat 18.3% berbanding tahun lalu. Bukan itu sahaja, bagi prestasi kewangan pula, Mercedes-Benz Services Malaysia telah mencatatkan keuntungan sehingga RM2.2 bilion bagi tempoh sehingga tarikh yang dinyatakan bagi Q3 2017, meningkat 22.2% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

    MBM turut mengesahkan, sebanyak RM1 bilion telah dilanurkan untuk operasi tempatan sejak 2003, dan syarikat ini mempunyai seramai 1,400 pekerja secara keseluruhannya di Malaysia.

     
     
  • DRB-Hicom umum PONSB terima geran pembayaran RM1.1 bilion untuk R&D daripada kerajaan

    DRB-Hicom umum PONSB terima geran pembayaran RM1.1 bilion untuk R&D daripada kerajaan

    DRB-Hicom Bhd mengumumkan bahawa Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) telah menerima geran pembayaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) bernilai RM1.1 bilion daripada kerajaan iaitu menerusi Kemeterian Kewangan, laporan Bernama.

    PONSB merupakan cabang pembuatan syarikat pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd.

    Menerusi kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam, DRB-Hicom berkata PONSB akan menggunakan hasil geran itu dalam usaha menurunkan jumlah leveraj kewangan sebanyak mungkin menerusi pengurangan liabiliti kewangan sedia adanya.

    Dalam masa yang sama, PONSB juga mahu menyelesaikan sepenuhnya kemudahan pinjaman sindiketnya dan selepas itu membantu Proton untuk membayar sebahagian pendahuluan pemegang saham kepada DRB-Hicom daripada baki dana geran pembayaran R&D itu

     
     
  • Yamaha Y15ZR SE GP Edition 2017 dilancar – RM8.9k

    Yamaha Y15ZR SE GP Edition 2017 dilancar – RM8.9k

    Bersempena dengan perlumbaan Moto GP yang akan berlangsung di Litar Sepang hujung bulan ini, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) telah mengeluarkan sebuah model edisi istimewa iaitu Y15ZR SE GP Edition. Model ini dikeluarkan dengan harga cadangan termasuk GST RM8,891.28 dan akan berada di pasaran bermula minggu hadapan.

    Seperti yang boleh dilihat, model edisi istimewa ini menggunakan grafik dan warna yang berbeza berbanding model biasa, dengan terdapat tanda-tanda penaja seperti motosikal lumba Moto GP termasuk Movistar dan Eneos. Pada tahun lepas, HLYM juga ada mengeluarkan Y15ZR edisi istimewa GP Edition, tetapi model baru ini nampak lebih menarik kerana lebih banyak menggunakan bahagian yang berwarna hitam, selain warna utama birunya.

    Bahagian-bahagian lain masih tidak berubah, termasuk enjin, di mana Y15ZR SE GP Edition ini masih dikuasakan oleh enjin 150 cc empat lejang, satu silinder dengan empat injap serta sistem suntikan bahan api. Ia menghasilkan kuasa sebanyak 15.1 hp pada 8,500 rpm dan tork sebanyak 13.8 Nm pada 7,000 rpm. Kotak gear yang menyalurkan kuasa pula hadir dengan lima-kelajuan. Model Y15ZR biasa dijual pada harga cadangan RM8,361 termasuk GST.

     
     
  • Perodua buka pusat jualan kenderaan terpakai di Jalan Pahang, Kuala Lumpur – jaminan sehingga 18 bulan

    Perodua buka pusat jualan kenderaan terpakai di Jalan Pahang, Kuala Lumpur – jaminan sehingga 18 bulan

    Sekiranya melalui Jalan Pahang, Kuala Lumpur, anda akan dapat menyaksikan sebuah pusat pameran Perodua yang baru dibuka, dipanggil Perodua KL. Istimewanya pusat pameran ini, selain kenderaan Perodua baru, pelanggan juga boleh memilih kenderaan terpakai yang diiktiraf oleh Perodua sendiri.

    Seperti juga Toyota Topmark dan BMW premium Selection, kenderaan Perodua terpakai (POV) ini datang dengan jaminan yang anda tidak boleh dapat pada penjual kenderaan terpakai lain. Ketenangan minda adalah kelebihan POV, dan kenderaan yang dijual datang bersama jaminan sehingga 18 bulan (untuk enjin dan transmisi).

    Kereta-kereta tersebut telah diperelok dan diberikan pemeriksaan 165 bahagian oleh Perodua untuk memastikan ia bebas daripada sambungan tidak selamat. Perodua juga memberitahu tiada cas tersembunyi untuk kenderaan ini dan perlindungan insurans komprehensif Perodua Total Protect dan Auto Assist juga ada ditawarkan.

    Wakil kami melawat pusat pameran tersebut dan model yang dilihat dijual di situ adalah termasuk Myvi, Axia dan Viva. Dua unit Myvi 1.3X tahun 2015 dipamerkan dengan harga RM36,500, dan terdapat juga kenderaan yang mempunyai spesifikasi asas seperti Viva 660 EX manual tahun 2014 yang dijual pada harga RM15,500 dan Axia 1.0E ‘spesifikasi sekolah memandu’ tahun 2014 pada harga RM19,000. Kelisa dan Kenari tidak dijual di sini kerana POV hanya mengambil kenderaan yang berusia sehingga tujuh tahun.

    “Kami faham kereta memang diperlukan untuk bergerak, tetapi masih ramai yang tidak mampu untuk memilikinya. Perniagaan kenderaan terpakai kami menawarkan kereta yang mampu milik dengan tambahan jaminan untuk model-model terpilih,” kata pengarah urusan jualan Perodua, Datuk Dr Zahari Husin.

     
     
  • Toyota Fortuner ditambah dengan varian 2.4 VRZ 4×4 dan 4×2 baharu, brek cakera belakang untuk semua

    Toyota Fortuner ditambah dengan varian 2.4 VRZ 4×4 dan 4×2 baharu, brek cakera belakang untuk semua

    Bulan lalu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd telah mengumumkan ketibaan dua varian baru bagi SUV Fortuner pasaran Malaysia iaitu 2.4 VRZ A/T 4×4 dan 2.4 VRZ A/T 4×2, namun harganya tidak diberitahu. Kini, ia sudah dikeluarkan, menyaksikan harga masing-masing ditetapkan pada RM195,800 dan RM185,500, iaitu lebih tinggi daripada model 2.7 SRZ A/T 4×4 yang berharga RM181,800. Harga ini adalah termasuk GST, tanpa insurans bagi pendaftaran individu persendirian di Semenanjung Malaysia.

    Varian 2.4 VRZ baru ini menggunakan enjin sama seperti varian permulaan 2.4 A/T 4×4 yang berharga RM169,800, iaitu unit empat silinder diesel 2,393 cc DOHC VNT yang berkuasa 148 hp dan 400 Nm tork, tetapi transmisi automatik enam kelajuannya boleh dikawal dengan tambahan pedal penukar di belakang stereng seperti varian 2.7 SRZ yang menggunakan enjin petrol 2,694 cc.

    Untuk senarai kelengkapan, varian 2.4 VRZ mempunyai barangan hampir sama seperti varian 2.7 SRZ, antaranya termasuk lampu utama Bi-projector, Vehicle Stability Control (VSC), Hill Start Assist, tujuh beg udara SRS, pendingin hawa automatik, tempat duduk kulit berwarna coklat, pintu but kuasa elektrik, lampu kabus LED dan cruise control.

    Toyota Fortuner ditambah dengan varian 2.4 VRZ 4×4 dan 4×2 baharu, brek cakera belakang untuk semua

    Selain penambahan dua varian baru ini, UMW Toyota juga telah memberi sedikit naik taraf bagi varian lain, iaitu untuk 2.7 SRZ (dan 2.4 VRZ 4×4), ia didatangkan dengan ciri Downhill Assist Control (DAC) yang dapat membantu kenderaan mencengkam lebih baik sewaktu turun dari atas bukit. Selain daripada itu, brek cakera untuk roda belakang juga kini didatangkan standard bagi semua varian.

    Semua varian Toyota Fortuner ini didatangkan bersama jaminan lima tahun tanpa sebarang had batuan, dan anda boleh melihat lebih lanjut berkenaan spesifikasi, serta membandingkannya dengan kenderaan lain di www.CarBase.my.

     
     
  • Toyota Innova 2.0X kini varian tertinggi – kit badan baharu, lampu LED, tempat duduk kapten, RM132,800

    Toyota Innova 2.0X kini varian tertinggi –  kit badan baharu, lampu LED, tempat duduk kapten, RM132,800

    Hari ini secara rasmi UMW Toyota memperkenalkan varian baharu dan juga varian tertinggi Toyota Innova generasi kedua, digelar Toyota Innova 2.0X. MPV spesifikasi tertinggi ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM132,800, menjadikan ia RM9,000 lebih mahal dari varian 2.0G. Sebagai perbandingan, varian asas Innova 2.0E dijual pada harga RM107,800 untuk versi manual dan RM115,800 bagi versi transmisi automatik.

    Menurut Toyota, Innova 2.0X ini menerapkan “rekaan yang diasaskan dari konsep crossover, lain dari rupa MPV tradisional.” Ia menampilkan kit badan baharu yang terdiri dari spoiler hadapan dan belakang, kemasan overfender pada kesemua ruang roda, kemasan berwarna hitam pada bahagian bawah, serta gril yang lebih gelap.

    Kesemua varian Innova didatangkan standard dengan lampu dan pengelap cermin automatik, serta lampu follow-me-home. Semua kelengkapan dari varian 2.0G diberikan pada model 2.0X ini seperti sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin serta sistem pendingin hawa automatik.

    Toyota Innova 2.0X kini varian tertinggi –  kit badan baharu, lampu LED, tempat duduk kapten, RM132,800

    Sebagai varian tertinggi, ia turut ditambah pelbagai lagi kelengkapan lebih premium antaranya lampu utama LED dengan fungsi larasan automatik yang menggantikan unit reflektor halogen, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, serta rim aloi 17-inci kemasan hitam dengan tayar 215/55R17 berbanding rim 16-inci dengan tayar 205/65R16 pada model 2.0G dan 2.0E.

    Perubahan terbesar yang dilakukan ialah menampilkan dua tempat duduk kapten pada barisan kedua, menjadikan 2.0X ini hanya boleh memuatkan tujuh-tempat duduk berbanding lapan pada model lain yang lebih rendah. Namun bagi penumpang yang duduk di tempat duduk kapten, ia pastinya memberikan perasaan yang lebih selesa, mewah dan premium.

    Menurut Toyota, tempat duduk kapten berkenaan adalah sama seperti yang ditawarkan pada MPV premium yang lebih besar dan “memberikan keselesaan pada tahap Business Class bersama pemegang cawan dan juga meja boleh lipat serta perehat tangan individu.”

    Model 2.0X ini turut menampilkan upholsteri balutan kulit berwarna hitam pada kesemua tempat duduk (berbanding fabrik pada varian lain), bersama larasan berkuasa enam-hala bagi tempat duduk pemandu (kekal dengan larasan manual untuk penumpang hadapan).

    Kelengkapan lain model 2.0X ini turut berkongsi bersama model 2.0G termasuk kemasan kayuan berkilat dan “emas sutera” pada beberapa bahagian permukaan, sistem pendingin hawa automatik hadapan dan belakang, lampu suasana LED berwarna biru dua-zon, panel instrumen Optitron dengan paparan pelbagai-info TFT-LCD berwarna 4.2-inci, meja boleh lipat pada belakang tempat duduk, kamera undur dan sistem infotainmen DVD-AVX lapan-inci.

    Bagi keselamatan pula, Innova dibekalkan dengan tujuh beg udara, ABS,EBD,BA, VSC dan bantuan mula mendaki – standard untuk semua varian termasuk model asas 2.0E. Bahagian mekanikal tidak menampilkan apa-apa perubahan di mana model tertinggi ini kekal dijana enjin petrol 2.0 liter NA Dual VVT-i berkuasa 139 ps/183 Nm, digandingkan bersama transmisi automotik enam-kelajuan yang turut dilengkapkan dengan mode pemanduan Eco dan Power.

    UMW Toyota kini turut menawarkan aksesori tambahan untuk Innova iaitu “Monitor Pandangan Panaromik” yang memberikan imej 360 darjah pada sekeliling kenderaan dan sudut atas. Menerusi sistem ini, empat kamera dipasang pada Innova, manakala imejnya pula dipaparkan pada skrin DVD-AVX bagi membantu pemandu ketika memarkir. Kamera DVR atau dashcam (untuk merakam pemanduan) dan juga filem penapis haba keselamatan turut ditawarkan sebagai opsyen.

    Toyota Innova 2.0X kini varian tertinggi –  kit badan baharu, lampu LED, tempat duduk kapten, RM132,800

     
     
  • Toyota Hilux dipertingkat – enam varian, dari RM87k

    Toyota Hilux dipertingkat – enam varian, dari RM87k

    Seperti yang diberitahu sebelum ini, selain Innova dan Fortuner, UMW Toyota Motor Sdn Bhd juga telah menaik taraf kelengkapan trak pikap Hilux, iaitu daripada aspek prestasi off road, kemudahan dan juga sistem keselamatan. Untuk menyediakan pilihan yang bersesuaian dengan kegunaan pemilik, model ini didatangkan dalam enam varian.

    Ia bermula dengan varian Single Cab 2.4 MT 4×4 pada harga RM87,200, diikuti Double Cab 2.4 MT 2×4 pada RM89,100, Double Cab 2.4 STD MT 4×4 pada RM96,900, Double Cab 2.4G MT 4X4 pada RM106,700, Double Cab 2.4G AT 4X4 pada RM116,300 dan paling tinggi, Double Cab 2.8G AT 4X4 pada harga RM130,900. Semua harga ini adalah termasuk GST, tanpa insurans bagi pendaftaran individu persendirian.

    Berkenaan peningkatan yang dikatakan awal tadi, bagi aspek keselamatan, varian 2.4G manual telah ditambah dengan ciri Vehicle Stability Control (VSC), serta Hill Assist Control dan A-TRC. Bagi varian 2.8G, ia kini datang bersama Downhill Assist Control (DAC) manakala varian 2.4G AT turut diberi tujuh beg udara (sedia ada bagi 2.8G).

    Pergi kepada bahagian kelengkapan pula, varian 2.8G telah ditambah dengan cruise control, sistem pendingin hawa automatik, soket pengecas USB tambahan dan corong pendingin hawa bagi penumpang belakang. Varian lain tidak mempunyai kelengkapan ini. Selain daripada itu, orang ramai juga boleh menambah pelbagai aksesori lain untuk Hilux ini seperti kamera panoramik pada harga RM2,650 untuk varian 2.8G.

    Seperti juga model lain Toyota, Hilux didatangkan bersama jaminan lima tahun, tetapi had batuannya diletakkan pada 150,000 km. Anda boleh mengetahui lebih lanjut berkenaan spesifikasi penuh semua varian Hilux ini dan membandingkannya dengan model lain melalui laman web CarBase.my.

     
     
  • Toyota GR HV Sports Concept – kereta sports konsep hibrid dengan gear manual enam-kelajuan ‘palsu’

    Toyota GR HV Sports Concept – kereta sports konsep hibrid dengan gear manual enam-kelajuan ‘palsu’

    Pada Tokyo Motor Show yang akan berlangsung pada bulan ini, Toyota bakal membawa sebuah kereta sport konsep dengan janakuasa hibrid digelar GR HV Sport. Rekaan kereta sport ini macam pernah nampak? Ya, ia sebenarnya diasaskan dari kerangka Toyota 86 sedia ada.

    Berbanding 86, kereta konsep ini menampilkan muncung yang lebih panjang, menjadikan ukuran keseluruhannya 155 mm lebih panjang dari biasa. Bukan sahaja panjang, malah ia juga direka 30 mm lebih lebar berbanding 86 standard.

    Muka kereta ini juga telah direka agar ia lebih unik dan tersendiri dengan menampilkan lampu LED melintang dan juga liang kemasukan udara hadapan yang besar – diinspirasikan dari jentera perlumbaan Le Mans Toyota TS050 Hybrid.

    Toyota GR HV Sports Concept – kereta sports konsep hibrid dengan gear manual enam-kelajuan ‘palsu’

    Bukan itu sahaja, malah lampu belakang kecil, diffuser belakang yang besar, liang kemasukan udara pada lampu belakang dan juga rim aloi 10-jejari berdiameter 19-inci turut direka diinspirasikan dari jentera perlumbaan tersebut. Ia juga direka dengan bumbung Targa (boleh dibuka tetapi tiang dan cermin belakang masih kekal) bagi memperingati semula Toyota Supra Targa Top dan juga Toyota Sports 800.

    Masuk ke bahagian kabin, ia masih lagi kelhatan seperti kabin Toyota 86. Perubahan dilakukan adalah pada roda stereng (diberikan logo Gazoo Racing atau GR) dan juga kluster informasi digital di belakangnya.

    Namun jika anda perhatikan, ada sedikit perkara pelik pada tuil gear dan juga tombol tengah kereta ini. Ia diberikan tombol gear dengan illustrasi tukaran gear manual H-pattern, tetapi, di bawah skrin pada konsol tengah, terdapat juga butang transmisi automatik P-R-N-D-M.

    GR HV Sport sebenarnya dilengkapi dengan transmisi automatik, namun pemandu masih lagi boleh ‘berangan’ untuk memandu kereta ini seperti kereta dengan transmisi manual. Tetapi perincian berkenaan sistem ini masih lagi belum dinyatakan oleh Toyota. Jadi sama ia menggunakan transmisi enam-kelajuan automatik konvensional seperti 86 auto atau transmisi CVT elektronik (eCVT) atau ia turut akan diberikan pedal klac palsu bagi melengkapkan ‘berangan manual’ tersebut masih lagi belum dapat dipastikan.

    Unit janakuasa hibrid kereta ini juga masih belum diketahui. Dua kemungkinan yang boleh diagak – pertama, ia menggunakan sistem Multi-Stage Hybrid seperti pada Toyota Prius dan juga jentera lebih berkuasa Lexus LS 500h dan LC 500h. Kedua, ia mungkin dikuasakan unit janakuasa Toyota Hybrid System-Racing (THS-R) yang didakwa dihasilkan dari teknologi jentera perlumbaan TS050 Hybrid.

    Bagi sistem THS-R, ia menggunakan dua unit MGU-K (motor generator unit-kinetic) pada setiap gandar bagi menjana semula tenaga yang hilang ketika membrek. Kuasa pada sistem ini dibekalkan dari bateri lithium-ion, berbanding menggunakan kapasitor menerusi sistem pada jentera TS030 dan TS040 terdahulu.

     
     
  • Polestar tayang teaser kereta sport baharunya – bakal buat kemunculan sulung pada 17 Oktober ini

    Polestar tayang teaser kereta sport baharunya – bakal buat kemunculan sulung pada 17 Oktober ini

    Setelah sah dipisahkan dari Volvo bulan lalu, Polestar kini mengorak langkah untuk memperkenalkan kereta sport pertamanya di bawah jenama sendiri. Sebelum kereta sport tersebut membuat kemunculan sulung pada 17 Oktober ini, syarikat berkenaan telah pun menayangkan imej teaser terlebih dahulu.

    Berdasarkan khabar angin yang bertiup, kereta berkenaan akan muncul sebagai coupe dengan unit janakuasa elektrik sepenuhnya bagi memberi tentangan kepada Tesla dan barisan model BMW i.

    Imej teaser yang disiarkan tersebut memaparkan bahagian belakang model baharu berkenaan, tetapi dalam bentuk puzzle. Namun apa yang menarik, setelah ia dicantumkan (dibuat oleh pengikut forum Swedespeed), bahagian tersebut menyerupai model Volvo Concept Coupe – model konsep yang dihasilkan sebelum sedan S90 dan wagon V90 dijelmakan dalam bentuk produksi.

    Polestar tayang teaser kereta sport baharunya – bakal buat kemunculan sulung pada 17 Oktober ini

    Bahagian belakang kereta sport baharu Polestar yang dibayangkan berdasarkan model Volvo Concept Coupe

    Ketika diperkenalkan, Volvo Concept Coupe dikuasakan oleh janakuasa hibrid plug-in menghasilkan 395 hp/600 Nm. Berdasarkan laporan-laporan sebelum ini, tidak mustahil kereta sport pertama dari Polestar berkenaan akan menggunakan platform Scalable Product Architecture (SPA) sama seperti model-model terbaharu Volvo.

    Setelah Lotus diambil alih oleh Geely sebelum ini, terdapat juga laporan yang mengatakan Volvo dan Polestar bakal menerima talaan suspensi dari pembuat kereta sport British tersebut. Tidak mustahil, kereta sport baharu ini akan menerima sentuhan talaan berkenaan. Namun, tiada lagi sebarang pengumuman rasmi dari Polestar sendiri berkenaan apa-apa perincian kereta ini dan kita masih lagi perlu menunggu sehingga 17 Oktober nanti.

     
     
  • Toyota Hilux sentuhan Carlex – tampil lebih premium

    Toyota Hilux sentuhan Carlex – tampil lebih premium

    Syarikat rekaan dari Poland, Carlex Design, yang memberikan tingkat taraf rupa untuk supercar, SUV mewah hingga ke motosikal Yamaha V-Max 1700, kini tampil dengan sentuhan baharu mereka terhadap trak pikap Toyota Hilux.

    Seperti yang diketahui, Hiux bukanlah kenderaan mewah, sebaliknya ia sebuah trak pikap yang direka bagi melakukan tugas-tugas lasak. Namun dengan hasil kerja yang dilakukan oleh Carlex, Hilux berubah menjadi sebuah kenderaan dengan penampilan lebih premium.

    Pada bahagian luaran, Carlex memadankan kit badan yang lebih agresif terhadap Hilux yang terdiri dari bampar hadapan dan belakang, spoiler, overfender, pelindung sisi, kemasan pada lampu dan juga pelindung bonet hadapan. Kesemua komponen berkenaan dihasilkan dengan “teknologi plastik terkini”, menurut Carlex.

    Toyota Hilux sentuhan Carlex – tampil lebih premium

    Bagi melengkap rupa luaran, keseluruhan badan menerima balutan pelekat khas, rim aloi lebih agresif dan juga tayar dari BFGoodrich. badan Hilux ini diangkat lebih tinggi dengan kit suspensi dari Pedders yang memberikan keselesaan yang lebih baik tidak kira pada permukaan tar mahupun off-road.

    Masuk ke bahagian kabin, tempat duduk, papan pemukan dan juga roda stereng Hilux ini menerima upholsteri kulit hitam yang dijahit dengan tangan. Sistem audio baharu turut dipadankan bersama perincian lain seperti pelapik kaki getah baharu, pintu yang diberikan tebatan bunyi lebih baik serta penutup ruang kargo belakang yang boleh ditutup dengan lebih lembut.

    Toyota Hilux sentuhan Carlex – tampil lebih premium

    “Tugas Carlex Design adalah untuk menyiapkan projek lengkap pada bahagian luaran dan dalaman model trak pikap yang telah dipilih,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Carlex. “Trak pikap luar biasa ini menggabungkan apa yang terbaik pada segmennya: rekaan luaran yang ekpresif dari kit badan unik dan pelbagai ubahsuai off-road, serta ruang dalaman yang diberikan sentuhan teliti.”

    Seperti juga hasil pada model-model lain, Carlex hanya menyediakan sentuhan terhadap rekaan luaran dan dalaman, tanpa melibatkan apa-apa ubahsuai dan tingkat taraf pada enjin serta bahagian mekanikal lain.

     
     
  • Mitsubishi Electric bangunkan sistem pemerhati pemandu – tambah keselamatan, laras kelengkapan

    Mitsubishi Electric bangunkan sistem pemerhati pemandu – tambah keselamatan, laras kelengkapan

    Mitsubishi Electric Corporation telah mengumumkan bahawa semasa Tokyo Motor Show 2017 nanti, mereka akan menunjukkan sistem pemerhati pemandu dalam kenderaan yang baru dibangunkan oleh syarikat. Sistem ini menggunakan sebuah kamera pandangan luas, dan dijangka dapat digunakan secara komersial pada tahun 2018.

    Berbeza dengan sistem pemerhati pemandu sedia ada sekarang yang hanya boleh mengesan sama ada pemandu mengantuk atau letih, sistem oleh Mitsubishi ini pula dapat mengesan pemandu dan juga penumpang secara serentak. Data yang diperolehi daripada kamera itu dapat digunakan untuk mengesan tingkah laku yang merbahaya serta mengenal pasti arahan muka atau tangan untuk melaras audio atau pendingin hawa.

    Selain bahagian kepala, kamera ini juga dapat mengesan pergerakan seluruh bahagian atas badan, sekiranya terdapat tingkah laku yang membahayakan seperti kedudukan yang tidak normal atau baring ke belakang. Melalui sistem ini juga, ciri keselamatan kenderaan serta kemudahan untuk pengguna dapat ditingkatkan.

     
     
  • AD: PETRONAS akan terus bawa manfaat daripada teknologi F1 untuk kegunaan kereta atas jalan biasa

    Hujung minggu lalu adalah kali terakhir perlumbaan Formula One berlangsung di Sepang, tetapi ia tidak bermakna penglibatan Malaysia dalam perlumbaan ini sudah berakhir. PETRONAS telah menyambung lagi kerjasama teknikal mereka bersama pasukan Mercedes AMG PETRONAS untuk tahun-tahun akan datang, dan menjadikan kini penglibatannya sudah mencecah 22 tahun.

    Banyak manfaat yang didapati daripada perlumbaan kereta paling hebat ini, di mana sebagai sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa, PETRONAS dapat membentuk kemampuan teknologi dan modal insannya – terutamanya dalam bahagian penyelidikan dan pembangunan – untuk minyak serta pelincir yang dikeluarkan. Kerjasama PETRONAS dengan pasukan yang berasal dari Brackley ini juga sudah berjaya menghasilkan juara dunia pemandu dan pengeluar sebanyak tiga kali berturut-turut.

    Untuk memahami bagaimana PETRONAS boleh menjadi pengeluar minyak dan pelincir paling berjaya dalam era hibrid sekarang, anda perlu memahami sejarah sukan permotorannya, yang bermula dengan tajaan pasukan rali tempatan pada awal tahun 90-an. Pada masa itu, syarikat ini sedang dalam usaha untuk mengembangkan perniagaan secara global bagi melengkapi simpanan hidrokarbon serta membangunkan tenaga kerja profesional yang lebih berkemahiran dan bertaraf dunia.

    PETRONAS mahu mempercepat objektif ini, jadi ia masuk ke Formula One, dengan menandatangani perjanjian sebagai penaja pasukan Red Bull Sauber pada tahun 1995. Ini sekaligus meletakkan syarikat sebagai jenama antarabangsa dan meningkatkan status Malaysia di persada global. Ia bukan sekadar satu langkah pemasaran, di mana dua tahun selepas itu, PETRONAS menjadi penaja enjin dan nama bagi pasukan tersebut.

    AD: PETRONAS akan terus bawa manfaat daripada teknologi F1 untuk kegunaan kereta atas jalan biasa

    Perjanjian ini bertepatan dengan penubuhan Sauber PETRONAS Engineering, yang membina kotak gear dan enjin Ferrari untuk kegunaan pasukan. Ia adalah permulaan bagi Program Pemindahan Teknologi Formula One, yang menyaksikan jurutera PETRONAS dapat mengambil bahagian dalam F1 dan memperoleh pengalaman serta pengetahuan yang sebenar.

    Sauber PETRONAS Engineering juga terlibat dalam pembangunan enjin baru, dan pada tahun 1998 ia telah memulakan ujian enjin prototaip 2.0 liter untuk kegunaan kereta atas jalan biasa. Enjin tersebut akhirnya menjadi PETRONAS E01, dan ia dipersembahkan sewaktu Malaysian Grand Prix 1999, yang mana PETRONAS juga adalah penaja nama bagi perlumbaan tersebut.

    PETRONAS terus memungut manfaat daripada penglibatannya dalam Formula 1, dengan kemudiannya melancarkan barisan pelincir prestasi tinggi Syntium pada tahun 2000. Menjelang 2001, program pemindahan teknologi ini telah berkembang menjadi lapan jurutera, dan dalam tahun yang sama, Sauber PETRONAS Engineering telah menunjukkan enjin prototaip untuk motosikal lumba pertama Malaysia, iaitu PETRONAS GP1.

    AD: PETRONAS akan terus bawa manfaat daripada teknologi F1 untuk kegunaan kereta atas jalan biasa

    Penyelidikan yang dijalankan di Makmal Penyelidikan dan Servis Saintifik PETRONAS untuk jentera Formula One telah membawa kepada penghasilan PETRONAS Syntium 5000 pada tahun 2004. Pada tahun berikutnya, PETRONAS mengumumkan sambungan kerjasama dengan Sauber setelah BMW mengambil alih pasukan ini, yang menjadikan namanya BMW Sauber F1.

    Kerjasama dengan pasukan baru ini menghasilkan satu juara perlumbaan, 17 podium dan paling tinggi dalam kedudukan pengeluar adalah tempat kedua pada tahun 2007. PETRONAS juga telah mewujudkan program pembangunan pemandu, dengan kerjasama BMW Sauber F1, iaitu PETRONAS Formula Xperience (PFX),

    Lembaran baru bermula pada tahun 2010 apabila PETRONAS menjadi penaja nama bagi pasukan baru Mercedes-Benz. Pasukan yang dikenali sebagai Mercedes-AMG PETRONAS ini meningkat dengan pantas, dan Nico Rosberg berjaya mencapai kemenangan pertama bagi jenama itu dalam tempoh 57 tahun waktu Chinese Grand Prix tahun 2012. Pada tahun berikutnya, pasukan tersebut mengambil Lewis Hamilton sebagai pemandu, dan beliau juga diangkat menjadi penasihat prestasi teknikal PETRONAS.

    AD: PETRONAS akan terus bawa manfaat daripada teknologi F1 untuk kegunaan kereta atas jalan biasa

    Pengenalan enjin V6 hibrid pada tahun 2014 menyaksikan pasukan ini mendominasi perlumbaan, dengan memenangi kejuaraan bagi kategori pengeluar pada tahun 2014, 2015 dan 2016, serta juara bagi kategori pemandu pada tahun 2014 dan 2015 melalui Hamilton. Tahun lepas Rosberg memenangi juara pemandu, dan daripada 21 perlumbaan, 19 dimenangi oleh pasukan ini.

    Hari ini, PETRONAS membina formula dan membekalkan keseluruhan bendalir untuk pasukan Mercedes AMG PETRONAS, dan juga minyak dan pelincir untuk pasukan Force India dan Williams – pasukan ini juga menggunakan enjin Mercedes-AMG. Syarikat kini mempunyai 10 hingga 12 saintis – termasuk dua jurutera di litar – yang terlibat dalam penghasilan formula untuk bendalir Formula One, seterusnya digunakan untuk kedua-dua, atas jalan biasa dan litar.

    Sejak tahun 2010, PETRONAS telah membangunkan lebih 350 bahan api, pelincir dan bendalir untuk pasukan dan diuji pada lima produk perlumbaan, termasuk bahan api PETRONAS PRIMAX, PETRONAS Syntium dan pelincir PETRONAS Tutela. Syarikat ini sekarang menawarkan dua produk bahan api iaitu PRIMAX 97 dan PRIMAX 95, dengan Advanced Energy Formula.

    AD: PETRONAS akan terus bawa manfaat daripada teknologi F1 untuk kegunaan kereta atas jalan biasa

    PRIMAX 97 menampilkan rumusan baru yang dapat mengurangkan geseran pada dinding silinder, menghasilkan pecutan yang lebih lancar dan pantas. Ia juga dapat menghapus dan mengelakkan kumpulan kotoran, seterusnya melindungi bahagian injector dan meningkatkan pembakaran. Dengan semua ini, pengguna dapat menikmati pemanduan lebih lancar dan jauh dengan setiap isian. Kandungan sulfur yang rendah juga dapat melindungi sistem emisi yang sensitif.

    PRIMAX 95 dengan Advanced Energy Formula dapat membersihkan enjin, mengoptimakan penyampaian bahan api dan membina pancutan yang lebih halus – ini semua memperbaiki pembakaran bahan api, pembebasan tenaga dan mengurangkan geseran, seterusnya mengurangkan kehilangan tenaga untuk penggunaan bahan api lebih baik. PETRONAS PRIMAX dan Dynamic Diesel boleh didapati di lebih 2,500 stesen minyak di Malaysia dan Afrika Selatan, manakala minyak enjin PETRONAS Syntium dan Urania ditawarkan di lebih 80 pasaran global.

    Penghasilan produk bertaraf dunia ini bermula dengan Rumusan Teknologi Bendalir PETRONAS, iaitu pendekatan pintar untuk menghasilkan bahan api, pelincir dan bendalir lain. Ini juga termasuk sekali dengan pengetahuan serta pengalaman yang diperolehi daripada sukan permotoran seperti Formula One, yang membawa kepada penggunaan bahan api dan ketahanan untuk kereta kegunaan harian.

    AD: PETRONAS akan terus bawa manfaat daripada teknologi F1 untuk kegunaan kereta atas jalan biasa

    Jadi, apa yang akan berlaku seterusnya dengan PETRONAS dalam Formula One? Sambungan kerjasama syarikat ini dengan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS telah mengukuhkan lagi penglibatannya dalam sukan ini, sekaligus dapat membenarkan ia membangunkan produk bertaraf dunia untuk litar, serta juga kereta atas jalan biasa untuk orang ramai.

    PETRONAS berjanji akan terus menambah baik Formula Kemenangan ini untuk membenarkan pasukan dapat menang lebih banyak kali lagi, kerana ia bukanlah proses yang akan berhenti setakat pada satu atau dua kemenangan sahaja. Malah, ia memerlukan kejuruteraan yang berterusan, untuk terus mendesak lagi had teknologi. Dalam kata lain, ia akan kekal.

    Untuk maklumat lanjut berkenaan perjalanan sukan permotoran PETRONAS, layari laman rasmi Facebook PETRONAS Motorsport, dan anda juga boleh berkongsi cerita dengan PETRONAS Motorsport dalam media sosial dengan menggunakan hashtag #ourstorycontinues.

     
     
  • Go Auto akan lancar bas elektrik hujung tahun ini – unit awal akan dibekal kepada kerajaan negeri Melaka

    Go Auto akan lancar bas elektrik hujung tahun ini – unit awal akan dibekal kepada kerajaan negeri Melaka

    Pengedar eksklusif kenderaan GWM (Great Wall Motors) di Malaysia, iaitu Go Auto mempunyai hasrat menyokong usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluar komponen dan kenderaan elektrik (EV), apabila ia akan melancarkan bas elektrik tidak lama lagi.

    Prototaip bagi bas elektrik ini sudah hampir siap sepenuhnya, dan Go Auto sudah mempunyai pelanggan awal iaitu kerajaan negeri Melaka, yang akan menerima unit pertama menjelang akhir tahun ini. Pelaburan yang dilakukan untuk membekal bas elektrik ini dikatakan mencecah RM30 juta.

    “Bagi memastikan penghasilan komponen EV berjalan lancar, kami menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat pengeluar kenderaan elektrik seperti pembuat bateri Microvast dari Amerika Syarikat dan pengeluar bas Higer,” kata pengarah eksekutif Go Auto Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal.

    Selain kerajaan Melaka, Go Auto juga kini sedang dalam perbincangan terakhir untuk membekalkan bas elektrik ini kepada beberapa klien lain.

     
     
  • Koenigsegg Agera RS – 0-400-0 km/j dalam masa 36.44 saat, rekod Bugatti Chiron lebur tidak sampai sebulan

    Bulan lalu, Bugatti Chiron membuat satu catatan rekod dunia baru dengan memecut dari kedudukan pegun hingga 400 km/j kemudian berhenti sepenuhnya semula (0-400-0 km/j) dalam masa 41.96 saat. Namun tidak sampai sebulan, rekod berkenaan lebur setelah Koenigsegg Agera RS mencatatkan rekod pecutan yang sama dalam masa hanya 36.44 saat – 5.5 saat lebih pantas dari Chiron.

    Rekod 0-400 km/j juga menunjukkan Agera RS lebih pantas dari Chiron dimana Hypercar dari Sweden berkenaan mencatatkan masa hanya 26.88 saat, berbanding Bugatti yang memerlukan 32.6 saat bagi mencapai kelajuan tersebut dari kedudukan pegun. Dalam percubaan ini juga, Agera RS berjaya mencatatkan kelajuan maksima 403 km/j yang dicapai dalam masa 37.28 saat.

    Agera RS ini dipandu oleh pemandu ujian syarikat berkenaan, Niklas Lilja. Ia dilakukan di lapangan terbang Vandel, Denmark pada 1 Oktober lalu. Bagi merekodkan segala pencapaian ini, Koenigsegg menggunakan data logger dan juga GPS. Menurut syarikat berkenaan, permukaan jalan pada lapangan tersebut tidak memberikan cengkaman yang baik, dimana data logger berkenaan merekodkan tayar Agera RS ini tergelincir pada gear 1-2-3.

    Koenigsegg Agera RS dijana enjin 5.0 liter turbo berkembar V8 dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan. Model yang digunakan pada percubaan ini menampilkan opsyen kuasa enjin 1,341 hp (berbanding kuasa lebih besar 1,480 hp dihasilkan enjin W16 8.0 liter empat pengecas turbo pada Chiron).

    Ia juga dipasangkan dengan roll cage dari Koenigsegg sendiri bagi tujuan keselamatan. Ketika ujian ini dijalankan juga, Koenigsegg telah melaras sudut spoiler belakang Agera RS berkenaan bagi mendapatkan downforce yang diperlukan.

    Menurut Koenigsegg, mereka melakukan ujian ini kerana pemilik-pemilik Agera RS “ingin mengetahui bagaimana prestasi sebenar jentera ini berbanding jentera jenama lain”. Pembuat Hypercar Sweden ini juga mendakwa mereka pasti rekod yang lebih baik dapat dicatatkan, dan kini sedang membuat persiapan untuk melakukannya dengan sebuah lagi model iaitu Koenigsegg Regera.

     
     
  • UMW Toyota tawar peluang menang hadiah bernilai RM1 juta, promosi Oktober masih berjalan serentak

    UMW Toyota tawar peluang menang hadiah bernilai RM1 juta, promosi Oktober masih berjalan serentak

    Bermula 1 Oktober, hingga 31 Disember ini, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) menawarkan peluang kepada pelanggannya untuk memenangi hadiah yang bernilai sehingga RM1 juta melalui promosi ‘Bonanza RM1,000,000 Toyota’. Antara hadiah yang akan diberikan adalah termasuk tiga unit Toyota Camry Hybrid 2.5 sebagai hadiah utama dan 100 unit telefon pintar yang harganya RM5,000 sebuah.

    Pada masa sama, promosi untuk bulan Oktober masih diteruskan, di mana orang ramai boleh menikmati pelbagai tawaran termasuk rebat sehingga RM7,000, aksesori Toyota bernilai sehingga RM5,790 dan servis berkala percuma sehingga tiga tahun, bergantung kepada model yang dibeli.

    Bagi pelanggan yang memerlukan pelan pembiayaan pula, mereka boleh melihat kepada tawaran servis Toyota Capital seperti Toyota 2-Tier Plan yang menawarkan bayaran bulanan lebih rendah untuk graduan, dan pelan pembiayaan Toyota Drive, yang membolehkan pelanggan jimat lebih lagi.

    Jika mahu melihat lebih dekat semua model ini, anda boleh terus ke pusat pameran Toyota, di mana ia akan mengadakan sesi hujung minggu istimewa dengan pelbagai aktiviti pada 6 dan 7 Oktober di Kelantan dan Terengganu, dan 7 dan 8 Oktober ini di semua pusat pameran lain seluruh Malaysia. Setiap model Toyota datang dengan jaminan lima tahun tanpa had batuan, kecual Hilux, dengan had paling tinggi 150,000 km.

     
     
  • Toyota Century 2018 kini guna enjin hibrid V8 5.0 liter

    Toyota Century 2018 kini guna enjin hibrid V8 5.0 liter

    Walaupun nampak seperti kereta tahun 90-an, ini sebenarnya adalah model baru, iaitu Toyota Century generasi ketiga. Sementara model generasi kedua yang dilancarkan pada tahun 1997 menggunakan enjin V12, model baru ini pula menggunakan enjin hibrid V8 5.0 liter yang mampu menghasilkan 394 hp dan 520 Nm tork.

    Menurut Toyota, enjin ini memberikan penggunaan bahan api terbaik di dalam kelasnya, tetapi jumlah sebenar tidak disiarkan. Motor elektrik pada kenderaan ini mendapat kuasa daripada bateri nickel-metal hydride dan menampilkan sistem dua tahap penyampaian untuk pemanduan yang lebih lancar dan senyap. Tapak enjin, suspensi serta tayar juga direka khas supaya dapat mengurangkan bunyi dan gegaran.

    Melihat kepada dimensinya, Century 2018 ini adalah lebih besar, berukuran 5,335 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,505 mm tinggi dan jarak roda 3,090 mm. Ukuran ini melebihi model Mercedes-Benz S-Class W222 long wheelbase sebanyak masing-masing 89 mm, 31 mm dan 9 mm. Walaubagaimanapun, jarak roda model Mercedes-Benz tersebut masih mempunyai jarak roda lebih panjang iaitu 3,165 mm.

    Walaupun nampak ringkas, Century ini dilengkapi dengan barangan moden seperti lampu utama LED dengan Adaptive High Beam System (AHS), lampu siang LED, gril yang besar serta lencana dan lambang mahkota di atas hudnya. Ia juga dilengkapi dengan pakej keselamatan Toyota Safety Sense P yang termasuk sokongan penghindaran perlanggaran, pemerhati titik buta, amaran trafik dari belakang dan pelbagai lagi.

    Pada bahagian dalam kenderaan ini, hanya terdapat empat tempat duduk yang tetap (tiada kusyen di bahagian tengah di belakang), dengan pilihan dua kemasan iaitu kain wool yang lembut (seperti dalam gambar), atau balutan kulit. Di antara dua tempat duduk di hadapan terdapat panel paparan untuk penggunaan multimedia, manakala di atasnya terdapat dua corong pendingin hawa (pada b-pillar juga ada corong ini) dan di bawahnya terdapat ruang simpanan.

    Menjadikan kedudukan penumpang lebih selesa, tempat duduk belakang boleh dilaras secara elektrik bersama perehat kaki dan fungsi mengurut. Semua ciri ini boleh dikawal melalui panel LCD pada perehat tangan, bersama kawalan pendingin hawa dan audio. Kemudahan lain yang disediakan adalah termasuk meja tulis, lampu membaca dan sistem bunyi premium 20 pembesar suara.

     
     
  • Mercedes-Benz E 350e dilancarkan untuk Malaysia – plug-in hybrid, tiga varian, harga bermula RM392,888

    Mercedes-Benz E 350e dilancarkan untuk Malaysia – plug-in hybrid, tiga varian, harga bermula RM392,888

    Sedan plug-in hybrid Mercedes-Benz E 350e sudah dipertontonkan sejak bulan April yang lalu, tapi kini, ia sudah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Model yang menggunakan gabungan enjin petrol dan motor elektrik ini boleh didapati dalam varian Exclusive dan AMG Line, serta satu varian edisi terhad 60 unit Edition 60 untuk menyambut tahun kemerdekaan negara yang ke-60.

    Harga untuk E 350e ini bermula daripada RM392,888, iaitu untuk varian Exclusive, diikuti varian AMG Line yang hanya RM3,000 lebih, menjadi RM395,888. Varian edisi terhad Edition 60 pula dijual pada harga RM408,888. Ini semua adalah harga atas jalan, tidak termasuk insurans, bersama jaminan empat tahun tanpa had batuan.

    Enjin yang digunakan pada E 350e adalah sama seperti model C 350e, iaitu unit empat silinder petrol turbo 2.0 liter M274, tetapi motor elektriknya lebih berkuasa. Enjinnya sahaja boleh menghasilkan 211 hp dan 350 Nm tork, manakala motor elektrik pula menghasilkan 65 kW dan 440 Nm. Secara keseluruhannya, digabung dengan penggunaan transmisi automatik 7G-Tronic Plus, E 350e boleh menghasilkan 281 hp dan 550 Nm tork, dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat.

    Sebagai sebuah kenderaan plug-in hybrid, E 350e mampu memberikan penggunaan bahan api lebih baik, iaitu di antara 2.1 hingga 2.5 l/100km. Motor elektrik pada kenderaan ini mendapat kuasa daripada bateri lithium-ion berkapasiti 6.2 kWh, dan ia boleh bergerak dengan hanya menggunakan kuasa elektrik sehingga 33 km. Kelajuan maksimum bagi pemanduan elektrik penuh adalah 130 km/j, manakala cas penuh boleh dilakukan dalam masa sekitar tiga jam menggunakan soket rumah dan satu jam menggunakan pengecas dinding khas.

    Daripada aspek penampilan, tidak banyak beza di antara E 350e dengan model E-Class yang lain. Ciri tersendirinya cuma angkup brek berwarna biru, lencana Plug-in Hybrid di sisi dan soket mengecas pada bampar belakang, bawah lampu sebelah kanan. Pada bahagian dalam, terdapat paparan yang menunjukkan tahap bateri dan penggunaannya, serta butang untuk memilih mod enjin.

    Kelengkapan pada semua model juga hampir sama, dengan semuanya dilengkapi lampu utama Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Plus, sistem masuk dan mulakan enjin Keyless-Go, pengawal suhu empat zon Thermotronic, balutan kulit Nappa, tempat duduk larasan kuasa dengan sistem memori dan sokongan belakang, Active Parking Assist, kamera 360 darjah, bumbung panoramik, lampu suasana 64 warna dan but belakang yang boleh dibuka tanpa sentuh.

    Mercedes-Benz E 350e dilancarkan untuk Malaysia – plug-in hybrid, tiga varian, harga bermula RM392,888

    Turut diberi adalah penghadang cahaya matahari berkembar di hadapan, penghadang cahaya manual untuk tingkap tepi belakang dan kuasa elektrik untuk cermin belakang, Widescreen Cockpit dengan paparan 12.3 inci, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem bunyi Burmester 13 pembesar suara. Tiada head-up display pada model ini.

    Perbezaan di antara varian ini hanyalah gayanya, di mana varian Exclusive datang dengan rim 19 inci 10 cabang dan kemasan kayu coklat cair. Varian AMG Line pula mendapat kit badan yang lebih agresif, rim 19 inci lima cabang, roda stereng rata di bawah dan kemasan dalam jalinan besi dan konsol tengah hitam berkilat.

    Sementara itu, varian Edition 60 pula adalah sama seperti varian Exclusive, cuma ia ditambah dengan rim 19 inci enam cabang, balutan tempat duduk dan panel pintu kulit macchiato beige dan saddle brown designo serta kemasan panel plastik hitam berkilat. varian ini juga mendapat lencana Edition 60 pada fender hadapan dan konsol tengah, serta kunci putih berkilat dan plet penghargaan eksklusif daripada Royal Selangor.

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) juga telah mengumumkan harga E 350e melalui Agility Financing iaitu RM3,928 setiap bulan untuk varian Exclusive, RM3,958 sebulan untuk AMG Line dan RM4,088 sebulan untuk Edition 60 – bagi tempoh tiga tahun. Anda boleh melihat lebih lagi berkenaan spesifikasi model E-Class di CarBase.my.

    GALERI: Mercedes-Benz E 350e Edition 60

    GALERI: Mercedes-Benz E 350e AMG Line

     
     
  • Mitsubishi dedah lagi teaser e-Evolution Concept – jelmaan semula dalam bentuk SUV EV akan ke Tokyo

    Mitsubishi dedah lagi teaser e-Evolution Concept – jelmaan semula dalam bentuk SUV EV akan ke Tokyo

    Mitsubishi mendedahkan lebih lagi imej teaser dan juga perincian berkenaan jelmaan semula siri berprestasi tinggi mereka – Evolution – yang akan ke Tokyo Motor Show tahun ini dengan model konsep yang digelar e-Evolution Concept. Seperti yang telah diketahui menerusi pendedahan sebelum ini, Evo generasi seterusnya berkenaan akan muncul dalam bentuk SUV, dijana dengan motor elektrik sepenuhnya serta diberikan teknologi Artificial Intelligence (AI)

    Menurut Mitsubishi, dengan fleksibiliti sebuah SUV, Evo dengan janaan elektrik berprestasi tinggi ini mampu dipandu dengan seronok dalam apa jua cuaca dan apa jua bentuk permukaan jalan. Tiga buah motor elektrik dengan tork tinggi bakal dipadankan pada SUV ini – sebuah untuk gandar hadapan, dan sepasang motor lagi untuk gandar belakang, bagi memberikan sistem yang sememangnya patut untuk sebuah Evo iaitu pacuan semua roda.

    Lebih menarik, motor pada gandar belakang berkenaan turut hadir dengan sistem yang telah diperkenalkan sejak Lancer Evolution IV iaitu Active Yaw Controller (AYC). Sistem berkenaan akan mengagihkan tork dengan lebih tepat kepada setiap roda bagi mendapatkan pengendalian yang lincah tidak kira di kawasan lebuhraya mahupun jalan berliku.

    Bagi sistem AI pula, Mitsubishi mendakwa ia akan berfungsi sebagai pembantu peribadi kepada pemandu. Sistem berkenaan akan membina persefahaman yang komprehensif kepada pemandu dan penumpang serta memberikan pelbagai informasi bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih selamat dan kurang tekanan.

    Sistem pembantu peribadi AI ini menggunakan teknologi pengecaman suara yang dapat memahami apa yang dikatakan oleh pemandu dan penumpang. Teknologi Voiceprint yang diberikan membolehkan sistem AI ini mengenalpasti setiap individu berbeza di dalam kereta, belajar dari apa yang mereka perkatakan serta memahami kelakuan bagi memberikan khidmat terbaik berdasarkan citarasa dan keperluan individu.

    Selain itu, sistem ini turut membolehkan pemandu mengawal pelbagai fungsi pada kereta dengan hanya menggunakan suara seperti pendingin hawa, pengelap cermin, lampu hadapan, dan pelbagai lagi.

    Untuk pengetahuan anda, ini bukan kali pertama Evo dihasilkan dalam bentuk janaan elektrik sepenuhnya. 12 tahun lalu, Mitsubishi telah menghasilkan model konsep Lancer Evolution MIEV yang diasaskan dari Lan Evo IX.

    Jentera berkenaan dilengkapi dengan empat buah motor elektrik pada kesemua hab roda yang menghasilkan kuasa keseluruhan 270 hp/518 Nm. Ketika diperkenalkan, Mitsubishi memberitahu ia akan diproduksi dan masuk ke pasaran pada tahun 2010, namun pada tahun ini, syarikat berkenaan masih lagi membina sebuah Evo elektrik dalam bentuk konsep.

    GALERI: Mitsubishi Lancer Evolution MIEV

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026