Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Daihatsu DN TREC didedahkan sebelum ke TMS 2017

    Daihatsu DN TREC didedahkan sebelum ke TMS 2017

    Tokyo Motor Show (TMS) 2017 kian menghampiri detik penganjurannya, walau bagaimana pun Daihatsu seakan tidak sabar untuk menantikan acara itu, lantas mengambil keputusan untuk mendedahkan salah satu model konsep yang sepatutnya ditampilkan julung kalinya di TMS kelak. Model konsep tersebut, DN TREC, crossover kecil yang mungkin akan muncul sebagai model produksi akan datang.

    Daihatsu berkata crossover lima-tempat duduk ini menampilkan penjana kuasa petrol hibrid 1.2 liter, malah boleh juga dipadankan dengan enjin pengecas turbo 1.0 liter. Model ini menyasarkan golongan dengan gaya hidup yang aktif, selain menampilkan penggayaan dan dalaman yang berkualiti tinggi.

    Elemen yang ditampilkan termasuk balutan plastik pada bahagian sisi, jarak kelegaan tanah yang tinggi dan lampu utama yang besar. Dirujuk sebagai konsep, daripada sudut luarannya, DN TREC sebenarnya nampak cukup bersedia untuk diproduksikan.

    Di dalamnya pula, konsep kabin futuristik ditampilkan dengan beberapa paparan berwarna antara perumah yang bersudut. Konsol tengah juga menjadi perumah untuk pemilih gear bersama kawalan bagi sistem infotainmen, di mana ia boleh diakses menerusi butang pada roda stereng tiga-jejari.

    Untuk perincian lanjut mengenai model konsep ini, Dahaitsu hanya akan mendedahkan sepenuhnya pada acara TMS yang bakal membuka tirainya hujung bulan ini.

     
     
  • VIDEO: Pandangan atas Jalan Pintasan Rawang – masih belum dibuka, tunggu pengumuman JKR

    Mereka yang duduk di Selangor dan kawasan sekitarnya, pastinya sudah tahu Rawang mempunyai keadaan trafik yang agak sesak, dan sekiranya boleh, ia adalah kawasan yang perlu dielak terutamanya di kawasan bandar Rawang itu sendiri.

    Walaupun terdapat Lebuh Raya Kuala Lumpur Kuala Selangor dan Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran dengannya, jika anda datang dari arah Serendah, untuk ke Kuala Lumpur dan sebaliknya, anda tetap perlu melalui pusat bandar Rawang. Memikirkan keadaan yang semakin teruk, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) telah melaksanakan projek Jalan Pintas Rawang.

    Selepas beberapa tahun, jalan pintas ini kelihatan seperti sudah hampir lengkap, tetapi ia masih belum dibuka secara rasmi kepada orang awam. Ramai yang teruja dengan jalan ini kerana ia dikatakan memberi pemandangan yang cantik dengan ada bahagian jejambat yang tinggi.

    VIDEO: Pandangan atas Jalan Pintasan Rawang – masih belum dibuka, tunggu pengumuman JKR

    Jalan Pintas Rawang bermula dari Persimpangan Sg Choh, iaitu susur FT01 dari Ipoh, dan tiba di bahagian Taman Warisan Negeri Selangor, ia menjadi laluan yang ditinggikan bagi memelihara pokok di situ. Mungkin ramai yang tidak tahu, ada pokok di situ yang dipanggil Giam Kanching, adalah satu spesies unik yang hanya boleh dijumpai di situ. Di kawasan lain di dunia ini, tiada pokok tersebut. Laluan paling tinggi dalam jalan ini adalah mencecah sehingga 60 meter dari tanah.

    Menurut JKR, penggunaan Jalan Pintas Rawang ini boleh memendekkan perjalanan ke Kuala Lumpur daripada 2 jam kepada hanya 30 minit. Selain membantu kelancaran trafik, ia juga dikatakan dapat meningkatkan lagi pembangunan di kawasan Serendah, Batang Kali dan Tanjung Malim.

    Saksikan dalam video drone di atas, yang dirakam oleh Fahmie Abu Bakar 3 dan 4 Oktober lalu, menunjukkan keadaan terkini Jalan Pintas Rawang tersebut, manakala di bawah pula adalah video oleh JKR sendiri.

     
     
  • Nilai semula pelaksanaan standard MS2669 – MWFA

    Nilai semula pelaksanaan standard MS2669 – MWFA

    Berhubung pengumuman berkaitan pelaksanaan standard baru MS2669 bagi filem penapis haba yang akan mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2018 sebelum ini, Malaysia Window Film Association (MWFA) mempunyai pandangan yang sedikit berbeza; walaupun persatuan itu bersetuju dengan keperluan adanya piawaian baru yang dikenali sebagai MS2669 itu, ahli-ahlinya bagaimanapun berpendapat aspek pelaksanaannya perlu dinilai semula dan diperhalusi lagi.

    “Pertama sekali, kami selaku pemain industri yang terlibat secara langsung tidak hanya selaku pengedar filem penapis haba merasa ditidak diwakili sebaiknya dalam proses penetapan standard baru itu,” ujar Presiden MWFA, YM Syed Hafidz Jamalullail.

    WMFA didaftarkan secara rasmi pada 17 Ogos 2017 lalu susulan daripada polemik yang tercetus ini. Persatuan ini terdiri daripada 414 ahli daripada 384 syarikat yang ada diantaranya turut merupakan pengilang dan pengeluar filem penapis haba di Malaysia dan bukan sekadar menjadi pengedar kepada filem-filem yang diimport.

    Menurut WFMA, pihak yang dirujuk di dalam proses penepatan piawaian baru ini oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat, iaitu Auto Audio Accessories and Air-Condition Traders Association (AAA) tidak mewakili suara pemain-pemain industri yang terlibat secara langsung di dalam pengeluar dan pemasarkan produk filem penapis haba.

    “Ahli-ahli persatuan itu terdiri sebahagian besarnya daripada mereka yang terlibat dalam perniagaan audio dan pendingin hawa kenderaan. Bagaimana mereka ini boleh mewakili kepentingan dan dapat memberi maklum balas yang betul bagi hal-hal berkaitan filem penapis haba kenderaan?” soal Hafidz.

    Nilai semula pelaksanaan standard MS2669 – MWFA

    MS2669 diusulkan bagi mengatasi beberapa masalah yang melibatkan penggunaan filem penapis haba sebelum ini. Antaranya ialah situasi cermin dan filem berkenaan yang boleh menjadi bergelembung selepas satu tempoh masa yang menyebabkan penglihatan pemandu terganggu sekaligus boleh menyebabkan kemalangan.

    Kedua, peranti pengesan bacaan Visible Light Transmittance (VLT) yang tidak sekata dan tidak konsisten yang digunakan dalam kalangan penjual/pihak berkuasa untuk menentukan tahap tembusan cahaya dalam kenderaan. MS2669 diusulkan untuk mengawalselia perkara ini, dan menentukan satu kaedah atau piawaian baru yang lebih berkesan.

    “Kami tak ada masalah jika kerajaan ingin memperkenalkan standard baru ini yang dengan jelas bertujuan untuk meningkatkan keselamatan, tetapi pelaksanaan yang diputuskan setakat ini masih terdapat ketidakpastian dan kelompongan yang perlu diperhalusi,” tambah beliau lagi.

    Antara perkara yang dimaksudkan ialah pengenalan label keselamatan dengan kod QR. Jika ini dilaksanakan tahun depan, setakat yang telah diluluskan kini, semua kenderaan baru yang didaftar akan dilengkapi dengan enam label kod QR ini yang mengandungi maklumat tentang kenderaan serta produk berkaitan filem penapis haba yang digunakan. Dengan adanya label ini, pihak berkuasa akan mengatahui bahawa kenderaan terbabit sepatutnya telah menepati piawaian MS2669 yang dimaksudkan.

    “Tetapi, bagaimana pula dengan peranan agensi kerajaan seperti JPJ yang sebelum ini turut akan menguatkuasakan perkara berkenaan? Jika mereka masih perlu memeriksa kenderaan untuk tujuan itu, bukankah tugas ia akan bertindan dengan objektif pengenalan kod QR itu tadi?” soal mereka.

    Nilai semula pelaksanaan standard MS2669 – MWFA

    Seperkara lagi yang masih sama-samar adalah berkaitan keperluan untuk kerajaan melantik syarikat swasta sebegai pihak ketiga bagi menjalankan hal ini, sedangkan setakat ini, jika berkaitan filem penapis haba kenderaan, sudah ada tiga agensi yang terlibat di dalam melakukan kawal selia berkenaan; Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), SIRIM dan Puspakom. “Mengapa perlu lantik lagi pihak lain untuk buat kerja yang sama? Mengapa tidak diperhalusi dan diperkemas peranan tiga agensi ini?” soal mereka lagi.

    Perkara lain yang masih menjadi tanda tanya ialah pemeriksaan atau ujian yang perlu dilakukan terhadap semua filem penapis haba yang ingin dijual selepas ini. “Jika satu model filem dengan spesifikasi tersendiri akan dikenakan kos sekitar RM6,000, bayangkan berapa banyak kenaikan kos yang akan terlibat sekiranya ada beberapa jenis filem dari spesifikasi yang berbeza di dalam satu penghantaran yang tiba di sini. Kos jualan yang akan dikenakan kepada pengguna juga akan melambung,” ujar mereka lagi.

    Kesimpulannya, WMFA merasakan aspek perlaksanaan MS2669 masih banyak ketempangan dan perlu diperhalusi lagi. Di dalam perkembangan terbaru, wakil persatuan ini turut akan bertemu dengan kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat untuk memberi maklum balas dari pihak mereka, yang sebelum ini tidak disampaikan atau tidak diwakili dengan sewajarnya.

     
     
  • Plat nombor siri khas NBOS mula dibida hari ini

    Plat nombor siri khas NBOS mula dibida hari ini

    Satu lagi plat nombor siri khas bagi kenderaan telah pun dibuka bidaannya, bermula hari ini. Pembaca Kent Lim telah pun memaklumkan kepada kami mengenai perkara ini.

    Walau tiada perincian menerusi pengumuman yang dilakukan, hanya sekadar penerangan prosedur untuk membidanya. Seperti nombor siri khas sebelum ini, tawaran bidaan adalah bagi NBOS 1 sehingga NBOS 9999, tanpa memaklumkan harga minimum bagi setiap bidaan.

    Apa yang diketahui, NBOS ini adalah singkatan bagi program National Blue Ocean Strategy, pelbagai-agensi yang bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan, termasuk bagi program seperti Urban Transformation Centres (UTC).

    Sebelum ini, beberapa plat nombor siri khas telah mendapat sambutan dan perhatian, ini termasuklah ‘VIP’, ‘Y’, ‘G’, ‘NAAM’, ‘US’, ‘PERFECT’, ‘GT’, dan ‘RIMAU’.

     
     
  • Ferrari sah bakal keluarkan SUV – Sergio Marchionne

    Ferrari sah bakal keluarkan SUV – Sergio Marchionne

    Ferrari telah mengesahkan spekulasi berhubung dengan rancangan untuk memproduksi model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama mereka, laporan Bloomberg.

    Perkara ini didedahkan sendiri oleh Sergio Marchionne, CEO Ferrari dan Fiat Chrysler Automobiles, yang berkata, “Ferrari bukan setakat hanya mempertimbangkan untuk membikin SUV dan ia akan mengambil masa selama 30 bulan untuk ke arah produksi, di mana ia akan dihasilkan secara eksklusif.”

    “Kami benar-benar serius berhubung perkara ini. Walau bagaimana pun kami perlu pelajari banyak perkata termasuk antara pengkhususan dan kekurangan produk, kemudian kami akan mengimbanginya untuk mengembangkan lagi portfolio produk,” ujar Marchionne, yang merujuk model tersebut sebagai “FUV”.

    Idea untuk menghasilkan SUV ini tercetus sejak beberapa tahun yang lalu, walau pun pada mulanya pengeluar jentera prestasi ini pernah menafikannya. Baru-baru ini, Ferrari pernah mengeluarkan kenyataan untuk mengembangkan lagi jualan dan profit dengan skala yang lebih besar menjelang 2022, termasuk kebarangkalian untuk menghasilkan model SUV atau empat-pintu.

    Pesaingnya, Aston Martin dan Lamborghini juga telah membuat keputusan untuk menghasilkan model SUV, dengan model seperti DBX dan Urus yang akan diperkenalkan pada masa hadapan. Buat masa ini, di pasaran, pelanggan sudah mempunyai pilihan untuk model seperti Porsche Cayenne dan Bentley Bentayga.

     
     
  • Honda keluarkan video teaser projek Neo Sports Cafe

    Honda baru menyiarkan satu video teaser untuk sebuah motosikal yang dipanggil sebagai Neo Sports Cafe. Motosikal ini hanya akan dipertontonkan secara rasmi semasa pameran motosikal EICMA 6 November nanti, dan seperti yang boleh dilihat pada namanya, ia akan membawa semangat sebuah cafe racer.

    Tidak banyak yang dapat dilihat dalam video ini, tetapi Honda mahu mengetengahkan kerja tangan Jepun padanya, yang sekaligus membawa makna antaranya ketelitian. Dalam samar, antara perkara yang boleh dilihat adalah motosikal ini menggunakan angkup brek jenis radial, rim sports dan lampu berbentuk bulat di hadapan.

    Langkah Honda bereksperimen dengan bentuk cafe racer ini boleh difahami kerana ia semakin mendapat sambutan di kalangan penggemar motosikal, tetapi mereka harus pantas mengeluarkan model produksi kerana dalam pasaran sudah ada beberapa model yang hangat bersaing seperti Ducati Scrambler Cafe Racer, Triumph Street Cup dan Yamaha XV950CR.

     
     
  • HyperEqonic Ioniq akan dipamerkan di SEMA – 34 km/l

    HyperEqonic Ioniq akan dipamerkan di SEMA – 34 km/l

    Bagi SEMA Show tahun ini, Hyundai akan mempamerkan model konsep yang memfokuskan penjimatan bahan api sebaik mungkin iaitu HyperEconiq Ioniq, dengan kerjasama antara Bisimoto Engineering.

    Model konsep ini berasaskan Ioniq namun menjalani proses modifikasi yang jitu bagi memberikannya kehebatan daripada segi penjimatan bahan api yang sungguh efisien melebihi 80 mpg (34 km/l atau 2.9 l/100 km). “HyperEcoiq Ioniq diolah daripada model Ioniq, tanpa mengenepikan keupayaan pemanduannya,” ujar Bisi Ezerioha, presiden Bisimoto Engineering.

    “Kami memfokuskan elemen teknikal bagi memberikan lebih penjimatan, aero dan dinamik ke tahap yang lebih tinggi,” sambungnya lagi. Elemen ini termasuklah kit Bisimoto Dream Aero, menampilkan splitter hadapan dan sisi, pelindung roda belakang dan wing belakang.

    Model konsep ini juga dilengkapi dengan roda gentian karbon Carbon Revolution 19-inci, suspensi Progress Performance, kaliper brek aluminium Buddy Club, ARP wheel stud, tayar rintangan olengan rendah dan tempat duduk racing Recaro Pole Position.

    Di bawah bonetnya, enjinnya menggunakan minyak sintetik geseran rendah PurOl Elite (0W20) dan e-generator yang dipertingkatkan serta palam pencucuh NGK. Lain-lain modifikasi termasuklah mengoptimakan pengecas lampau ketika valvetrain overlap, sistem ekzos Bisimoto serta pemantauan elektronik Recepak OBD.

     
     
  • General Motors SURUS – platform trak Hydrogen Fuel Cell dengan kemampuan offroad, boleh gerak sendiri

    General Motors SURUS – platform trak Hydrogen Fuel Cell dengan kemampuan offroad, boleh gerak sendiri

    General Motors (GM) telah mendedahkan satu platform kenderaan berat yang menggunakan sistem Hydrotec Fuel Cell terbaru mereka, bersama keupayaan pemanduan autonomous digelar sebagai SURUS (Silent Utility Rover Universal Superstructure). Platform ini akan dipertontonkan pertama kali semasa perhimpunan persatuan tentera Amerika Syarikat pada musim luruh nanti.

    Istimewanya platform ini, menurut GM, ia boleh digunakan untuk pelbagai bentuk kenderaan berat termasuk trak utiliti, penjana kuasa bergerak atau kecemasan, sistem penghantaran kargo, pengangkut komersial, trak kegunaan ringan dan sederhana serta trak tentera.

    Melalui sistem Hydrotec Fuel Cell, keupayaan pemanduan autonomous dan komponen casis trak, SURUS dapat memberikan prestasi tinggi, tiada emisi, beroperasi secara senyap, tork serta merta, boleh dibawa offroad, boleh mengeluarkan air dan kuasanya boleh digunakan untuk perkara lain.

    Berkenaan kemampuan, selain pemanduan autonomous, SURUS juga lincah di atas jalan kasar. Untuk kegunaan tentera pada masa hadapan, sistem dengan haba rendah dan beroperasi secara senyap ini dapat memberikan kelebihan kerana ia sukar dikesan dan kurang risiko.

    Sejak April lalu, tentera Amerika Syarikat telah menguji sistem Hydrogen Fuel Cell GM melalui Colorado ZH2, dan mereka mendapati ia boleh bertahan dengan pemanduan offroad dan boleh meredah air. Namun apa yang lebih menarik adalah ia lebih sukar dikesan secara akustik, dan boleh pergi 10 kali lebih dekat ke arah musuh berbanding kenderaan biasa.

     
     
  • Renault umum perancangan untuk 6 tahun – 21 model baharu termasuk 8 EV, 12 hibrid menjelang 2022

    Renault umum perancangan untuk 6 tahun – 21 model baharu termasuk 8 EV, 12 hibrid menjelang 2022

    Groupe Renault telah mendedahkan pelan perancangan perniagaan baharu bagi tempoh enam tahun, yang dipanggil ‘Drive the Future’, dengan menyasarkan pendapatan tahunan melebihi €70 bilion (RM347.6 bilion) dan margin keuntungan sehingga 7% menjelang 2022, di samping aliran tunai yang positif setiap tahun.

    Puncak bagi pelan ini ialah pengeluaran produk secara besar-besaran, dengan tidak melebihi 21 model baharu dalam perancangan, termasuk MPV kompak untuk India, crossover segmen-C baharu dan kenderaan elektrik (EV) aras permulaan bagi China. Renault juga semakin serius untuk memproduksi kenderaan berteraskan elektrik, termasuk persediaan melancarkan lapan EV sepenuhnya dan 12 model hibrid, dengan sasaran mengurangkan 30% kos bateri dan 20% bagi kos motor.

    EV bakal menjadi daya tarikan untuk pengguna, menurut syarikat tersebut – mereka akan menampilkan ruang dalaman yang terbaik dalam kelasnya, termasuk lantai rata dan perisian pengudaraan yang dipertingkatkan. Renault juga merancang untuk menambah baik kadar NEDC dengan melebihi 600 km, berbanding 400 km sebelum ini. Malah pengecasan pantas juga boleh mencapai sehingga 230 km dalam tempoh 15 minit.

    Perancangan ini juga membabitkan peluasan barisan model kos rendah untuk peringkat global, termasuk jenama Dacia dan Lada, serna crossover Renault Kwid. Begitu juga dengan barisan kenderaan komersil ringan (LCV) di mana Renault menyasarkan untuk menjadi pemain global teratas dalam segmen, serta menawarkan barisan kenderaan komersil elektrik terbesar.

    Renault umum perancangan untuk 6 tahun – 21 model baharu termasuk 8 EV, 12 hibrid menjelang 2022

    Pemanduan sendiri juga antara dalam perancangan, dengan menghasilkan pemanduan lebuhraya semi-auto Tahap 2 bermula 2019, dimulakan dengan model generasi akan datang bagi Clio dan Espace. Syarikat ini juga akan meningkat ke Tahap 3 bagi pemanduan sendiri pelbagai-lorong pada 2021 dan Tahap 4 sepenuhnya pada 2022, dimulakan dengan EV serba baharu. Sekaligus, Renault mahu menghasilkan sebanyak 15 model pemanduan sendiri dalam rangkaiannya.

    Di bawah pelan baharu ini juga, Groupe Renault juga mensasarkan 40% peningkatan bagi unit jualan iaitu melebihi lima juta kenderaan setiap tahun, berbanding 3.47 juta yang terjual pada 2016. Pelan ini juga membabitkan perkongsian kerjasama antara Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, dengan 80% model Renault akan dibangun menggunakan platform modular Pakatan terbabit, sekaligus mengurangkan kos sebanyak 40% bagi R&D dan 30% untuk kos produksi.

    Lain-lain perincian di dalam pelan ini termasuklah penjimatan sebanyak €4.2 bilion (RM20.9 bilion) bagi pelaburan di dalam kajian dan pembangunan untuk tempoh enam tahun. Renault juga merancang untuk mempunyai 100% kenderannnya yang boleh dihubungkan secara terus dengan perkhidmatan Internet menjelang 2022, meningkat sebanyak 30% berbanding masa ini.

     
     
  • KESAS beri diskaun 10% sempena Deepavali

    KESAS beri diskaun 10% sempena Deepavali

    Sempena dengan sambutan Deepavali pada 18 Oktober depan, Konsortium Expressway Shah Alam Selangor (KESAS), pengendali Lebuhraya Shah Alam (LSA), menawarkan diskaun 10% kepada penggunanya.

    Menurut CEO KESAS, Mohammed Shah Samin, pemberian diskaun membabitkan pengguna kenderaan kelas satu itu akan bermula jam 12 tengah malam sehingga 11.59 malam, 18 Oktober ini.

    Di mana lebih 285,000 pengguna kenderaan dianggar menikmati diskaun di Lebuhraya Shah Alam (LSA). Pemberian diskaun itu adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) KESAS kepada pengguna.

    Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi hotline KESAS di 03-56337188 atau laman web www.kesas.com.my.

     
     
  • Jambatan Seri Ehsan Putrajaya dibuka mulai esok

    Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengumumkan Jambatan Seri Ehsan yang merupakan jambatan ke-sembilan di Putrajaya bakal dibuka kepada lalu lintas mulai esok.

    Katanya yang merasmikannya hari ini, jambatan yang menghubungkan Presint 4 dan Presint 19 itu bertujuan mewujudkan laluan alternatif dan memendekkan masa perjalanan memasuki ‘Putrajaya Core Business District’ iaitu di Presint 1 hingga Presint 5, sekaligus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.

    Jambatan Seri Ehsan bernilai RM68.5 juta itu adalah sepanjang 280 meter dengan kelebaran 35 meter yang menyediakan enam lorong iaitu tiga lorong keluar dan tiga lorong masuk ke Presint 4. Malah jambatan itu memiliki ketinggian 9 meter dan boleh dilalui oleh bot persiaran di bawahnya.

     
     
  • Ken Block dedah jentera baharunya – Ford Escort RS Cosworth spesifikasi WRC Group A berkuasa 400 hp

    Ken Block dedah jentera baharunya – Ford Escort RS Cosworth spesifikasi WRC Group A berkuasa 400 hp

    Secara peribadi, saya sendiri agak bosan dengan video-video yang dihasilkan oleh pemandu rali sensasi Youtube dan juga pengasas bersama DC Shoes, Ken Block sejak akhir-akhir ini. Aksi-aksi yang dilakukan walaupun dalam suasana berbeza, ia tetap stereotaip serta kurang faktor ‘wow’. Namun baru-baru ini Block mendedahkan sesuatu yang agak mengujakan – beliau bakal tampil dengan kereta baharu iaitu jentera lagenda rali dunia, Ford Escort RS Cosworth spesifikasi WRC Group A.

    Menerusi gambar-gambar yang disiarkan, kereta baharu berkenaan masih lagi berwarna putih dan belum menerima livery perlumbaan seperti jentera-jentera Hoonigan yang lain seperti Ford Fiesta RX 43 dan juga Ford Mustang Hoonicorn. Ia tampil sebagai sebuah Escort RS Cosworth lengkap bersama spoiler belakang ikonik jentera ini yang dikenali sebagai ‘ekor paus’

    Sebagai sebuah jentera milik Block, ia pastinya menerima set rim dari Fifteen52 – untuk Escort ini, ia diberikan rim bersaiz 18-inci, dibaluti tayar dari Toyo. Kereta ini juga turut menampilkan tip ekzos yang keluar pada sisi kanan badan kereta.

    Untuk pengetahuan anda, WRC Group A adalah undang-undang yang digunakan bagi menggantikan regulasi Group B yang telah diharamkan oleh FIA pada tahun 1987 kerana terlalu berkuasa dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian pelumba dan penonton. Untuk Group A, FIA mensyaratkan pengeluar untuk memproduksi model kereta yang ingin digunakan pada perlumbaan dalam bentuk versi jalan raya sebagai syarat homologasi.

    Ken Block dedah jentera baharunya – Ford Escort RS Cosworth spesifikasi WRC Group A berkuasa 400 hp

    FIA membenarkan pelbagai ubahsuai pada enjin produksi tersebut tetapi dikenakan berberapa had, contohnya restrictor pada turbo bagi mengehadkan kuasa enjin agar kesemua pasukan mempunyai daya saingan dan kuasa enjin yang hampir sama. Walau bagaimanapun, Group A ditamatkan pada tahun 1997 dengan pengenalan undang-undang WRC sedia ada iaitu dengan jentera-jentera prototaip yang diubahsuai berlainan dari versi produksi, tanpa memerlukan homologasi.

    Bagi jentera milik Ken Block ini, ia menggunakan enjin Cosworth asal 2.0 liter turbo yang diambil dari jentera WRC 1991, dengan blok besi asal digantikan dengan blok dari material aloi yang lebih ringan. Enjin tersebut diubahsuai bagi membolehkan ia mengerah kuasa 400 hp dan tork maksima 549 Nm. Dua talaan suspensi dibina untuk kereta ini iaitu bagi pemanduan permukaan tar dan juga batu kelikir.

    Menurut Block, kereta ini bakal membintangi video baharunya tidak lama lagi, dan ia turut akan digunakan pada perlumbaan untuk tahun 2018. Selain dari Escort generasi keempat ini, Ken Block turut mempunyai sebuah lagi Escort iaitu dari generasi kedua keluaran tahun 1977, atau lebih dikenali sebagai Escort Mk2 juga dari versi RS. Kereta berkuasa 333 hp tersebut sebelum ini turut telah membintangi video Gymkhana sebelumnya, dan merupakan jentera pacuan roda belakang pertama tampil dalam siri video tersebut.

     
     
  • Johor wujudkan semula MKJR dalam usaha kurangkan kadar kemalangan jalan raya di negeri itu – Exco

    Johor wujudkan semula MKJR dalam usaha kurangkan kadar kemalangan jalan raya di negeri itu – Exco

    Kerajaan negeri Johor mewujudkan semula Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) bagi negeri terbabit dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan di sana.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor Datuk Hasni Mohammad, sasaran kerajaan Johor adalah mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai keselamatan jalan raya, laporan Bernama.

    “20 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1992, MKJR Negeri Johor telah pun terbatal, namun kini kita hidupkannya semula untuk menjadikan peranannya lebih menyeluruh,” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi MKJR Johor.

    Hasni berkata 15 anggota jawatankuasa dilantik menganggotai MKJR berkenaan termasuk pelumba permotoran negara, Jazeman Jaafar yang dilantik sebagai Timbalan Pengerusi II. Jazeman dan pelakon, pelawak serta pengacara terkenal, Harith Iskander turut dilantik sebagai ikon selebriti kempen keselamatan jalan raya.

    Johor wujudkan semula MKJR dalam usaha kurangkan kadar kemalangan jalan raya di negeri itu – Exco

    Katanya lagi, mengikut rekod, sebanyak 73,116 kes kemalangan jalan raya yang membabitkan 1,135 kematian dicatatkan tahun lepas, dengan penunggang dan pembonceng motosikal berumur antara 16 dan 25 tahun merupakan penyumbang tertinggi kepada kematian tersebut.

    Kerajaan negeri juga sedang berusaha melaksanakan kempen keselamatan jalan raya dengan misi meletakkan Johor setara dengan negara maju bagi mencapai kadar kematian akibat kemalangan jalan raya kurang daripada dua kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar.

    “Namun demikian, disebabkan masa dan teknologi yang berubah, adalah wajar inisiatif baharu diwujudkan bagi menangani masalah keselamatan jalan raya yang banyak dipengaruhi oleh budaya dan pengetahuan semasa,” katanya.

     
     
  • TUNGGANG UJI: KTM Duke 250 dan 390 2017 – lebih garang, terus tunjuk prestasi baik menari di selekoh

    TUNGGANG UJI: KTM Duke 250 dan 390 2017 – lebih garang, terus tunjuk prestasi baik menari di selekoh

    Barisan model naked KTM Duke mula memasuki pasaran Malaysia dengan versi Duke 200 pada tahun 2011, dan kemudiannya diikuti oleh Duke 390 dan Duke 250 pada tahun-tahun selepas itu. Sejak dari mula diperkenalkan, selain grafik, bentuknya tidak banyak berubah, menyebabkan ia semakin pudar dalam pasaran.

    Apatah lagi, segmennya semakin menerima banyak saingan dengan model-model baru seperti Yamaha R25, Honda CBR250R, Kawasaki Z250, Benelli TnT25, Naza N5, Megelli 250 dan beberapa model lain. Segmen motosikal 250 cc ini semakin meriah kerana banyak pengeluar yang mahu menambat hati pengguna dengan model yang menarik, tanpa perlu menaik taraf lesen motosikal B2 kepada B.

    Dalam pasaran global, pada tahun 2017 ini, KTM telah memperkenalkan model baru Duke tahap permulaan (entry level) yang tampil lebih menarik dan datang dalam beberapa kapasiti antara 125 cc hingga 390 cc. Sejak daripada itu, ramai yang tertunggu-tunggu kehadirannya di Malaysia.

    Akhirnya, minggu lalu Duke 2017 ini dilancarkan di negara kita dan ia didatangkan dalam dua pilihan iaitu Duke 250 dan Duke 390. Kedua-duanya adalah model pemasangan tempatan yang dilakukan di kilang KTM Malaysia di Jitra, Kedah dan seperti yang boleh dilihat, kini tiada lagi Duke 200 dalam barisannya.

    Bagi saya, ini adalah langkah yang bagus diambil oleh KTM Malaysia kerana untuk merasakan kuasa yang berpadanan pada model ini, pengguna sekurang-kurangnya perlu memilih model 250 untuk berpuas hati. Walaubagaimanapun, Duke 200 sentiasa menjadi sasaran mereka yang mempunyai bajet terhad dan mahukan sesuatu yang lebih sporty berbanding model biasa.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Peugeot L750 R Hybrid Vision Gran Turismo didedah

    Peugeot L750 R Hybrid Vision Gran Turismo didedah

    Sebagai menandakan keluarnya Gran Turismo Sport baru untuk Playstation 4, Peugeot telah mendedahkan versi kemasikini bagi jentera L500 R Hybrid Vision Gran Turismo. Perkenalkan, L750 R Hybrid Vision Gran Turismo yang lebih sporty dan garang berbanding model konsepnya pada 2016.

    Dari sudut prestasi, jentera ini mampu mencapai kelajuan 0-100 km/j maya dalam masa hanya 2.4 saat. Ini satu per sepuluh lebih pantas berbanding model L500 R terdahulu. Ia mampu dicapai dengan penggunaan sistem janaan hibrid yang lebih berkuasa, yang menggabungkan enjin petrol dengan kemampuan rev yang tinggi (sehingga 10,000 rpm) dan motor elektrik 170 hp.

    Peugeot L750 R Hybrid Vision Gran Turismo didedah

    Enjinnya sahaja menjana sebanyak 580 hp, dan dipadankan dengan kotak gear sequential tujuh-kelajuan – kedua-duanya dipasang pada gandar belakang. Baterinya pula menggunakan dari jenis lithium-ion sejukan cecair. Antara kelengkapan berkaitan pemanduan lain ialah sistem brek hidraulik dwi-litar dengan empat cakera berliang karbon, suspensi depan dan belakang boleh laras serta rim dari magnesium yang diperkukuh.

    Menurut pengeluarnya, jentera ini hadir dengan berat 825 kg, iaitu 175 kg lebih ringan berbanding L500, dan direka untuk kecekapan aerodinamik yang optimum. L750 ini juga menerima banyak pembaharuan bagi reka bentuk luarannya – misalnya sayap belakang yang besar di belakang, serta corong udara yang dipasang pada bumbung sebagai mengimbangi imej sporty perlumbaan yang ditampilkan.

     
     
  • AD: TintNOW.my laman web perkhidmatan cermin gelap kenderaan – hanya 3 langkah mudah diperlukan

    AD: TintNOW.my laman web perkhidmatan cermin gelap kenderaan – hanya 3 langkah mudah diperlukan

    Pasti ramai di antara kita yang masih ragu-ragu untuk memilih lapisan cermin gelap kereta yang terbaik dna bersesuaian dengan bajet. Namun, kini semua maklumat mudah diperoleh di hujung jari, dengan klik pada laman web TintNOW.my.

    Bukan sahaja memudahkan pencarian jenama bagi lapisan cermin gelap, malahan ia turut menyenangkan urusan anda kerana perkhidmatan ini juga boleh mengambil kenderaan anda, memasang cermin gelap yang dipilih dan menghantar kembali kenderaan kepada anda, jimat masa dan tenaga bukan?

    Laman web ini juga menawarkan pelbagai kelebihan, selain pengambilan dan penghantaran kenderaan secara percuma, harga dengan diskaun menarik, mengenalpasti pembelian, waranti lima-tahun, malah turut memberikan pelbagai pilihan produk lapisan cermin gelap bagi semua jenis kenderaan.

    Malah bagi tawaran diskaun, para pelanggan masih boleh mendapat harga yang lebih murah atau yang sama yang boleh diperoleh selepas berunding di bilik pameran. Pelanggan boleh menyemak status pembelian sama seperti menyemak status parcel.

    Keselamatan terjamin dengan sistem semakan ID kakitangan serta langkah demi langkah bagi proses makluman dilakukan menerusi e-mel dan SMS berhubung dengan pengambilan dan penghantaran kembali kenderaan pelanggan.

    Terdapat empat jenama yang menyertai TintNOW.my iaitu V-KOOL Serendipity, Armourcoat, Solar Gard dan Tint-A-Glass. Kesemua produk ini diseliakan oleh Tint-A-Glass, yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang berkaitan, dan didatangkan dengan waranti selama lima-tahun.

    Pilihan filem lapisan ini bermula dari tahap yang paling rendah sehinggalah yang tertinggi, dengan harga bermula serendah RM550. Pilihan khas termasuklah pemasangan lapisan keselamatan bagi bumbung matahari, bumbung panoramik dan kanopi trak juga ditawarkan.

    Menurut pengendalinya, perkhidmatan pada hari yang sama juga ditawarkan untuk pelanggan dengan kenderaan baharu atau bagi kenderaan yang tidak dilengkapi dengan filem lapisan cermin gelap – yang menempah sebelum jam 1 tengahari, atau pun sebelum jam 10 pagi sekiranya kenderaan itu perlu melakukan proses menanggalkan lapisan cermin gelap lama.

    Semua pembelian adalan menerusi dalam talian – yang turut mesra pengguna mobil – dengan hanya tiga langkah utama: pilih cermin gelap anda, pilih jadual penghantaran dan membuat pembayaran juga menerusi dalam talian. Untuk informasi selanjutnya, sila layari TintNOW.my atau pun Facebook rasminya TintNOW.my.

     
     
  • Vietnam intai peluang anjur perlumbaan F1 – laporan

    Vietnam intai peluang anjur perlumbaan F1 – laporan

    GP MALESIA F1/2017
    © FOTO STUDIO COLOMBO PER FERRARI MEDIA (© COPYRIGHT FREE)

    Menurut sebuah laporan oleh Motorsport.com, Vietnam disifatkan bakal menjadi hos bagi perlumbaan F1 pada masa hadapan. Pengarah Urusan bahagian operasi komersial F1, Sean Bratches mendedahkan bahawa pencarian lokasi perlumbaan di Asia berkemungkinan berlaku berikutan penarikan diri Malaysia daripada penganjuran perlumbaan berprestij itu.

    Walaupun masih belum ada maklumat terperinci didedahkan setakat ini, desas-desus perlumbaan dari jalanan di Hanoi mungkin akan mengambil tempat sekiranya Grand Prix Vietnam itu dianjurkan. Dilaporkan awal tahun ini telah berlangsung persetujuan yang hampir selesai yang dilakukan oleh ketua F1 terdahulu, Bernie Ecclestone, sebelum kemudiannya dibatalkan kerana beliau merasakan jumlah perlumbaan di rantau ini sudah memadai.

    Selain Vietnam, cakap-cakap tentang perlumbaan kedua di China juga ada kedengaran; sebuah pasaran yang disifatkan sangat penting oleh Liberty Media. Antara perancangan awalnya termasuk perlumbaan jalanan di Beijing, satu daripada kota yang paling ramai penghuninya di dunia.

    Bratches terlebih dahulu menyatakan jumlah perlumbaan akan dihadkan sebanyak 25 bagi setiap musim, dan kalendar musim depan setakat ini hanya mempunyai 21 perlumbaan dan belum muktamad. Ini membuka kepada kemungkinan pertambahan empat lagi perlumbaan, dan lebih daripada 40 lokasi telah menyatakan minat untuk menganjurkannya.

     
     
  • Range Rover Evoque generasi akan datang bakal dijanakan dengan enjin plug-in hybrid – laporan

    Range Rover Evoque generasi akan datang bakal dijanakan dengan enjin plug-in hybrid – laporan

    Jaguar Land Rover (JLR) bakal memperkenalkan model generasi kedua Range Rover Evoque yang ditawarkan dengan versi plug-in hybrid, selain enjin petrol tiga-silinder baharu.

    Model PHEV ini menggunakan unit petrol 1.5 liter yang dipadankan bersama motor elektrik, turut menawarkan pengurangan emisi, meningkatkan prestasi dan mengehadkan perbatuan dengan kuasa elektrik sejati.

    Menurut laporan Autocar, SUV PHEV ini yang dilengkapi dengan pek bateri lithium ion dikuasakan oleh senibina elketrikal 48V baharu, seperti mana yang pernah dipertontonkan oleh model hibrid sederhana Evoque Concept e pada tahun 2015. Seperti mana model berkenaan, motor elektrik bagi Evoque versi produksi juga bertindak seperti mana motor penghidup enjin.

    Sebelum ini, JLR pernah berkata, Evoque PHEV ini dijangka akan tiba sebelum barisan modelnya yang lain yang turut dijanakan oleh enjin elektrik diperkenalkan menjelang tahun 2020. Namun ada sumber memberitahu, Evoque PHEV ini akan diperkenalkan sebelum tahun tersebut.

    Selain itu, menurut sumber, barisan Evoque generasi akan datang juga akan dibina dengan platform yang lebih besar, selain turut ditawarkan dengan enjin petrol dan pengecas turbo diesel, yang telah diberi penambahbaikan untuk prestasi, penjimatan bahan api dan emisi.

    Evoque ini akan menyertai barisan versi PHEV bagi Range Rover Sport dan Range Rover, yang kedua-duanya telah disahkan akan diperkenalkan tidak lama lagi, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh CEO Ralf Speth di Frankfurt Motor Show 2017 baru-baru ini. Semua model versi elektrik akan dibina berdasarkan model enjin pembakaran petrol, berbanding penjana kuasa hibrid diesel yang menggunakan platform model semasa Range Rover PHEV.

    SPYSHOT: Range Rover Evoque generasi akan datang

     
     
  • Brembo hasilkan brek belakang guna ibu jari untuk Rossi kerana kaki kanan beliau masih belum kuat

    Brembo hasilkan brek belakang guna ibu jari untuk Rossi kerana kaki kanan beliau masih belum kuat

    Seperti yang diketahui ramai, Ogos lalu, pelumba pasukan Yamaha Racing dalam Moto GP, Valentino Rossi telah mengalami kemalangan sewaktu berlatih dan membuatkan beliau terlepas satu siri perlumbaan di Misano, Itali kerana kaki beliau yang patah. Tapi yang mengejutkan ramai, pada pusingan seterusnya, iaitu di Aragon, beliau muncul kembali dan ini hanya 20 hari selepas insiden berlaku.

    Malah, pada hari perlumbaan, Rossi menunjukkan prestasi baik, dengan berada di kelompok hadapan pada kebanyakan masa, dan akhirnya menghabiskan perlumbaan di tempat kelima; yang dianggap cukup baik bagi seorang pelumba yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kaki yang patah.

    Tidak dapat dinafikan lagi beliau adalah seorang pelumba yang hebat, tetapi disebabkan kaki kanan yang patah tersebut masih belum dapat berfungsi kuat 100%, beliau mahukan penyelesaian brek belakang khas. Oleh itu, Brembo telah memberikan tetapan brek belakang yang tidak lagi menggunakan pedal di kaki kanan, tetapi menggunakan tuil di ibu jari kiri.

    Brembo hasilkan brek belakang guna ibu jari untuk Rossi kerana kaki kanan beliau masih belum kuat

    Sebenarnya, tetapan brek seperti ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana sudah ada beberapa penunggang yang menggunakannya dalam perlumbaan seperti Maverick Viñales, Andrea Dovizioso, Jorge Lorenzo dan Danilo Petrucci, dengan antara sebabnya adalah mereka mahu membrek semasa membelok ke kanan dan mengelakkan kaki terkena jalan. Tetapan brek ibu jari ini juga boleh jadi berbeza sama ada ia boleh diguna sekali dengan pedal brek di kaki atau salah satu sahaja.

    Namun, brek jenis ini diperkenalkan kali pertama oleh Brembo untuk Mick Doohan selepas beliau mengalami kemalangan teruk pada tahun 1992. Walaupun telah dibedah, kaki kanan beliau tidak dapat menjadi kuat seperti sebelumnya, dan memerlukan penyelesaian istimewa. Waktu itulah Brembo memperkenalkan brek ibu jari ini.

    Bagi Rossi, beliau sudah pernah menguji brek ibu jari tersebut sebelum ini, dan memutuskan untuk menggunakannya sewaktu perlumbaan di Aragon. Beliau juga memilih untuk menggunakan tetapan yang boleh membuatkan kedua-dua tuil di ibu jari kiri dan pedal di kaki kanan boleh digunakan serentak untuk membrek tayar belakang. Dalam masa yang pantas, Brembo siap menghasilkannya untuk Rossi.

    Anda juga boleh menonton video di bawah, di mana Danillo Petrucci menjelaskan bagaimana brek ibu jari ini berfungsi dan kenapa beliau memilih untuk menggunakannya dalam perlumbaan.

     
     
  • Polis Langkawi memperkenalkan sistem kod bar anti kecurian motosikal – berjaya kurangkan 40% kes

    Polis Langkawi memperkenalkan sistem kod bar anti kecurian motosikal – berjaya kurangkan 40% kes

    Bagi menangani masalah kecurian motosikal di Pulau Langkawi, polis di daerah tersebut telah pun mencipta satu inovasi dengan menghasilkan sistem kod bar anti kecurian.

    Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Dr Che Ghazali Che Awang berkata sebanyak hampir 40% kes kecurian motosikal berjaya dikurangkan sejak sistem ini diperkenalkan di pulau tersebut pada Oktober tahun lalu, laporan Bernama.

    Katanya lagi, sehingga akhir tahun lalu, peratusan kes kecurian motosikal turun 24% dan turun 15% lagi setakat September lalu. Dalam masa yang sama, pihaknya turut menyasarkan penurunan 5% lagi dalam tempoh tiga bulan yang berbaki tahun ini..

    “Malah sistem ini juga telah mendapat perhatian Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff yang mahu sistem tersebut diguna pakai oleh polis-polis daerah lain. Sistem ini dibangunkan oleh kepakaran kami di sini dan membolehkan kami meraih tempat kedua pada Pertandingan Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat kebangsaan tahun lepas. Kami akan mewakili PDRM dalam pertandingan peringkat Kementerian Dalam Negeri tahun ini, ” kata Che Ghazali.

    Katanya setakat ini lebih 2,000 pemilik mendaftarkan motosikal mereka di bawah sistem itu dan beliau mengalu-alukan mereka yang belum berbuat demikian mendaftar di ibu pejabat polis daerah di sini.

    “Pendaftaran adalah percuma dan maklumat motosikal akan dibenam dalam kod bar yang dilekatkan pada kenderaan mereka yang boleh dicapai dengan pantas menerusi telefon pintar, ” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026