Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • BMW Excellence Club diperkenal di Malaysia – khas untuk pemilik 7 Series dengan pelbagai keistimewaan

    BMW Excellence Club diperkenal di Malaysia – khas untuk pemilik 7 Series dengan pelbagai keistimewaan

    Pemilik BMW 7 Series nampaknya akan menerima lebih lagi layanan istimewa apabila BMW Group Malaysia memperkenalkan BMW Excellence Club, iaitu sebuah program keahlian dan kesetiaan pelanggan untuk pemilik baru dan sedia ada model 7 Series G12.

    Dalam program ini, pelbagai keistimewaan eksklusif diberikan, termsuk program pelayan khas, acara tertutup sendiri, servis letak kenderaan di beberapa lokasi utama di seluruh negara, keutamaan temu janji di tempat-tempat eksklusif dan akses kepada ruang rehat premium.

    “Semasa kami memperkenalkan BMW 7 Series Hybrid dengan eDrive Technology awal tahun ini, kami telah berkongsi idea ‘Puncak Kehidupan Mewah,'” kata pengarah urusan BMW Group Malaysia, Han Sang Yun. “Idea ini berkisar tentang menikmati pengalaman dunia eksklusif dengan kemewahan moden yang boleh disesuaikan dan difokuskan kepada inovasi dan kecanggihan berkaitan ‘Kepuasan Pemanduan Sebenar.’

    BMW Excellence Club diperkenal di Malaysia – khas untuk pemilik 7 Series dengan pelbagai keistimewaan

    Syarikat ini menyatakan telah menganjurkan beberapa acara unik baru-baru ini, termasuk menerbangkan tujuh pasangan menggunakan helikopter waktu senja di atas Kuala Lumpur untuk menikmati pengalaman unik di Mono Kuala Lumpur, serta satu acara lain bersama Hugo Boss.

    “Program BMW Excellence Club melengkapi dan menjadi tanda aras baru bagi program BMW White Card dan MINI Black Card yang diperkenalkan untuk pemilik BMW dan MINI,” tambah Han yang turut memberitahu acara-acara selanjutnya akan diumumkan kelak.

     
     
  • Paris lanjutkan larangan – termasuk kenderaan enjin konvensional guna bahan api petrol menjelang 2030

    Paris lanjutkan larangan – termasuk kenderaan enjin konvensional guna bahan api petrol menjelang 2030

    Berikutan perkembangan larangan kenderaan diesel dan petrol pada masa hadapan, Perancis juga mengikut jejak langkah sama dengan mengumumkan semua kereta dengan enjin pembakaran dalaman akan dilarang daripada berada di atas jalan kota Paris menjelang tahun 2030. Ia sebahagian daripada usaha menjadikan Paris sebagai bandar neutral karbon menjelang 2050.

    Ini adalah lanjutan kepada rancangan awal Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo untuk melarang menggunaan kenderaan diesel pada 2024, dan kini turut melibatkan larangan terhadap kenderaan petrol sebelum 2030.

    “Ini merupakan perancangan jangka panjang dengan strategi bagi mengurangkan gas rumah hijau. Kendaraan adalah antara sumber utama pembebasan gas-gas ini. Jadi, kami merancang untuk keluar daripada lingkungan yang menggunakan enjin koncensional ini menjelang 2030,” ujar wakil pihak bertanggungjawab terhadap dasar pengangkutan di pejabat Datuk Bandar, Christophe Najdovski, seperti dilaporkan oleh Reuters.

    Larangan ini juga adalah lanjutan kepada rancangan kerajaannya untuk tidak lagi membenarkan jualan kenderaan petrol dan diesel menjelang tahun 2040. Beberapa bandar lain di Eropah juga sudah mengumumkan komitmen untuk mengikut jejak langkah sama, antaranya Britain, Athens, Mexico City dan terbaru, Belanda.

    Dewan Bandara Paris sebelum ini sudah mengambil langkah awal untuk mengurangkan pencemaran di kota itu, termasuk melarang kenderaan yang dibuat sebelum tahun 1997 daripada memasuki kawasan pusat bandar serta memperkenalkan hari bebas kenderaan.

     
     
  • MINI akan pasang kereta di China dengan Great Wall

    MINI akan pasang kereta di China dengan Great Wall

    Sekiranya satu laporan yang dikeluarkan oleh Bloomberg boleh dipakai, nampaknya MINI akan memasang kenderaan di China buat pertama kali. Jenama itu, yang duduk di bawah BMW Group dikata akan menandatangani perjanjian dengan Great Wall Motors untuk mengeluarkan kenderaan bagi pasaran eksport – dan ini adalah menurut sumber yang dekat dengan rancangan tersebut.

    Perjanjian ini akan menjadi kali pertama bagi Great Wall, iaitu sebuah syarikat pengeluar SUV yang besar di China kerana sebelum ini ia tidak mempunyai rakan kongsi dari luar negara. Walaubagaimanapun, wakil daripada BMW dan Great Wall masih belum mahu memberikan sebarang komen berkenaan perkara tersebut

    BMW sebenarnya telah memasang kenderaan jenamanya di China dengan kerjasama Brilliance Auto sejak tahun 2003. Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun itu juga, jualan BMW dan MINI di sana telah meningkat 16% menjadi 383,976 unit. Mengikut data yang dikeluarkan semalam, secara keseluruhannya, pasaran kenderaan penumpang di China juga meningkat 3.3% kepada 2.34 juta unit bulan lalu.

    MINI akan pasang kereta di China dengan Great Wall

    Langkah ini berkemungkinan mempunyai kaitan dengan hala tuju baru kerajaan China yang mensasarkan peningkatan pengeluaran kenderaan tenaga baru yang diumumkan bulan lepas. BMW juga mengeluarkan kenyataan akan memberi sokongan penuh untuk mempromosi kenderaan dengan tenaga elektrik di negara tersebut. Bagi MINI pula, ia telah mengesahkan akan mengeluarkan kenderaan elektrik komersial pertama yang diasaskan daripada model hatchback tiga pintunya menjelang tahun 2019.

    Ini bukanlah kali pertama BMW meneroka pengeluaran MINI di Asia – Countryman generasi pertama juga pernah dipasang di negara kita, serta Chennai, India.

     
     
  • Jenama-jenama utama automotif Jepun bakal lakukan penyiasatan selepas pendedahan skandal Kobe Steel

    Jenama-jenama utama automotif Jepun bakal lakukan penyiasatan selepas pendedahan skandal Kobe Steel

    Selepas pendedahan skandal pemalsuan data pemeriksaan kualiti logam oleh syarikat keluli dari Jepun, Kobe Steel, pengeluar-pengeluar automotif Jepun yang menerima bekalan material dari syarikat tersebut rata-rata memberikan respon akan menyiasat perkara ini terutama terhadap impak keselamatan kepada pengguna, lapor Bloomberg.

    Bagi Toyota, perkara ini disifatkan sebagai “isu berat” dan mereka kini sedang mengenal pasti model-model yang terjejas dan apa kesannya terhadap setiap model tersebut. Material yang dibekalkan oleh Kobe Steel rata-rata digunakan sebagai bahan untuk membuat penutup bonet hadapan, pintu belakang dan juga panel-panel bahagian sisi kenderaan keluaran jenama berkenaan.

    Berita baik untuk pengguna Toyota di Malaysia, jenama tersebut turut mengesahkan material yang dibekalkan Kobe Steel ini hanya digunakan di kilang mereka di Jepun dan tidak menjejaskan produk yang dihasilkan oleh kilang mereka di luar negara matahari terbit tersebut.

    Untuk Subaru Corporation (sebelum ini dikenali sebagai Fuji Heavy Industries) yang juga terlibat dalam penghasilan komponen kapal terbang, isu ini bukan sahaja menjejaskan kenderaan darat buatan mereka, malah turut melibatkan komponen yang dibekalkan untuk Angkatan Pertahan Jepun dan juga sayap yang dibekalkan untuk Boeing Co.

    Manakala Nissan pula memberikan reaksi mereka akan memeriksa semula impak terhadap fungsi kenderaan kerana material yang terjejas digunakan untuk membuat komponen seperti penutup bonet hadapan, mungkin akan menjejaskan perlindungan terhadap pejalan kaki. Honda juga menyatakan mereka menggunakan material dari Kobe Steel yang mungkin terjejas bagi menghasilkan pintu dan penutup bonet hadapan.

    Mazda pula mengeluarkan kenyataan yang menyebut, “kami gunakan aluminium yang dihasilkan oleh Kobe Steel, tetapi buat masa sekarang kami masih dalam proses untuk memeriksa kenderaan mana yang menggunakannya, dan bagaimana ia digunakan pada kenderaan-kenderaan tersebut. Kami juga kini sedang memeriksa aluminium yang mana kami guna berkaitan pemalsuan data tersebut.”

    Mitsubishi menyatakan mereka sedang mengenalpasti model-model yang terlibat dalam perkara ini dan sama ada ia akan menjejaskan keselamatan. Manakala Suzuki pula masih lagi memeriksa adakah mereka ada menggunakan material dari Kobe Steel, dan sekiranya ada, adakah ianya terlibat dengan pemalsuan data tersebut.

    Menurut laporan ini lagi, bukan sahaja pengeluar-pengeluar automotif Jepun yang terlibat dengan skandal ini, malah jenama luar seperti General Motors (GM) dan Ford Motor Co. turut menerima bekalan material dari Kobe Steel.

     
     
  • Ford Focus RS dan Focus ST diubah suai untuk SEMA

    Ford Focus RS dan Focus ST diubah suai untuk SEMA

    Pameran SEMA yang akan berlangsung di Amerika Syarikat sememangnya ditunggu-tunggu ramai kerana ia bakal mempamerkan pelbagai aksesori dan kelengkapan ubah suai untuk kenderaan. Bagi tahun 2017, ia akan berlangsung hujung bulan ini dan Ford bakal menjadi pengeluar OEM dengan tapak paling besar, membawa lebih 50 buah kenderaan untuk pameran. Bagi menghangatkan suasana, syarikat itu telah mengeluarkan gambar awal empat model Focus yang diubah suai khas untuk SEMA dengan kerjasama beberapa syarikat institusi.

    Pertamanya adalah Focus ST, yang menggunakan warna Midnight Purple dengan kit badan lebar dan di atas bumbungnya terdapat rak untuk meletakkan drone. Dari luar anda boleh melihat ia menggunakan rim 19 inci dan brek Wilwood yang besar, tetapi enjin asal 2.0 L EcoBoost padanya turut dinaik taraf dengan kit turbo menyeluruh yang terdiri daripada turbin Borg Warner EFI 7163, ekzos Ford Performance, quickshifter Ford Performance, sistem penyejukan Mishimoto dan ditala oleh COBB Tuning.

    Bahagian dalam juga tidak terlepas daripada ubah suai dengan adanya tempat duduk gentian karbon Sabelt GT621L, tali pinggang lumba 4 point Sabelt, roll bar dan harness bar Autopower, ruang simpanan khas untuk drone oleh BTR Custom dan stereng gentian karbon SoCal Garage.

    Model seterusnya adalah sebuah Focus RS yang menggunakan cat khas hitam matte berserta grafik airbrush. Penampilan mantap kenderaan ini disempurnakan oleh barangan daripada Anderson Composites dan disudahi dengan rim 19 x 9.5 inci Forgestar CF5. Suspensi prestasi AirLift digunakan, manakala enjin 2.3 L EcoBoost asal padanya dinaik taraf dengan wastegate actuator TurboSmart, blow-off Kompact, penukar gear Ford Performance, ekzos Ford Performance dan salur udara COBB Tuning.

    Sebuah lagi Focus RS, iaitu yang menggunakan warna kuning Pennzoil di dalam gambar mempunyai penampilan yang lebih bersih dan duduk lebih rendah seperti kenderaan ‘hellaflush‘ atau ‘stance‘. Rim yang digunakan adalah unit Rotiform bersaiz 19 x 9.5 inci, manakala suspensi pula daripada BC Racing. Ubah suai pada kenderaan ini juga adalah lebih ringkas dan tidak keterlaluan.

    Ford Focus RS dan Focus ST diubah suai untuk SEMA

    Focus RS yang terakhir pula membawa gaya rali. Enjin 2.3 L EcoBoost padanya tidak diubah suai banyak dengan hanya penambah baikan pada sistem penyejukan, ekzos dan penukar gear, tetapi casisnya diperkuat dengan sway bar depan dan belakang daripada Eibach, kit pelarasan camber dan suspensi RS-R Sports-i. Rim yang digunakan pula adalah unit OZ Racing Superturismo GT bersaiz 19 x 8 inci.

    Selain bahagian luar yang ditambah dengan pelbagai bahagian aerodinamik dan penghadang lumpur, bahagian dalam juga diperlengkap dengan tempat duduk Sparco EVO, roda stereng dan tombol gear R353, tali pinggang lumba HPI, meter khas Autometer Cobalt dan roll cage Rally Innovations.

     
     
  • Mitsubishi Outlander 2.0L AWD CKD kini mula dijual

    Mitsubishi Outlander 2.0L AWD CKD kini mula dijual

    Mula dipertontonkan bulan lalu, SUV tujuh-tempat duduk Mitsubishi Outlander 2.0 AWD CKD kini mula dijual di Malaysia. Bagi tempoh terhad hingga hujung tahun nanti, ia dijual pada harga pengenalan RM139,988 atas jalan, tidak termasuk insurans. Dipasang di kilang Tan Chong di Segambut, model CKD ini RM31,000 lebih murah berbanding model Outlander 2.4 AWD sedia ada yang dibawa masuk dari Jepun.

    Outlander 2.0L 4WD ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter DOHC MIVEC menjana kuasa sebanyak 145 PS dan 196 Nm (kurang 22 PS dan 26 Nm berbanding model 2.4L), serta digandingkan dengan transmisi INVECS-III CVT. Transmisi ini menyalurkan kuasa kepada sistem Multi-Select 4WD, yang merangkumi mod 4WD Eco, 4WD Auto dan 4WD Lock.

    Menurut MMM, ia mampu memberikan penjimatan bahan api sekitar 13.7 liter bagi setiap 100 km (13 liter per 100 km bagi varian 2.4 liter). Penampilan luarannya sama dengan versi 2.4L, cuma lampu utamanya tidak menggunakan unit LED projektor berkembar, tetapi ditukar kepada projektor halogen. Selebihnya kekal sama; lampu kabus dan lampu belakang LED serta rim 18-inci aloi.

    Mitsubishi Outlander 2.0L AWD CKD kini mula dijual

    Bagi ruang dalaman, model 2.0L ini didatangkan dengan tempat duduk balutan fabrik dan tidak mempunyai ciri paddle shifter, sunroof, brek parkir elektronik, tempat duduk berkuasa bagi pemandu serta pintu kuasa elektrik bagi ruang barangan belakang seperti mana model 2.4L. Ciri lain kekal sama.

    Dari aspek ciri-ciri keselamatan, ia dilengkapi dengan tujuh-beg udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, Active Stability Control (ASC) dan Hill Start Assist. Turut disertakan ialah dashcam dengan pandangan 170 darjah serta filem penebat haba keselamatan.

    Terdapat tiga pilihan warna bagi model ini – Red Metallic, Solar White dan warna baru Ruby Black yang khusus untuk pasaran Malaysia sahaja dan hanya untuk model 2.0 AWD ini. Jaminan lima tahun tanpa had perbatuan adalah standard.

    GALERI: Mitsubishi Outlander 2.0L AWD CKD

     
     
  • Produksi Volkswagen Scirocco generasi ketiga bakal ditamatkan, tiada model gantian generasi baharu

    Produksi Volkswagen Scirocco generasi ketiga bakal ditamatkan, tiada model gantian generasi baharu

    Setelah sembilan tahun dalam pasaran, Volkswagen Scirocco generasi ketiga bakal ditamatkan pengeluarannya, menurut laporan Car & Driver. Ia adalah berdasarkan laman web Volkswagen Jerman yang menyatakan, “Scirocco kini tidak lagi boleh ditempah dengan spesifikasi individu. Tetapi anda masih boleh membeli kenderaan yang telah siap dibuat.”

    Laporan ini adalah selari dengan perkara yang disebutkan oleh Autocar pada Mei lalu yang menyatakan penghasilan Beetle dan Scirocco akan ditamatkan dan tiada lagi model gantian generasi seterusnya akan dibina bagi kedua-dua model berkenaan.

    Volkswagen Scirocco generasi ketiga ini diprebiu sebagai model konsep Iroc pada tahun 2006 dan muncul sebagai model produksi sebenar pada tahun 2008. Namun tidak seperti model lain yang diberikan model gantian baharu sepenuhnya selepas enam tahun diproduksi, Scirocco hanya diberikan versi facelift pada tahun 2014.

    Produksi Volkswagen Scirocco generasi ketiga bakal ditamatkan, tiada model gantian generasi baharu

    Tanpa sebarang bayangan dari Volkswagen berkenaan generasi seterusnya, Scirocco telah dijangka bakal disisihkan pada barisan model tidak lama lagi. Beetle merupakan antara model VW yang mempamerkan prestasi jualan lembab, hanya dijual sebanyak 25,127 unit pada tahun 2016. Namun, Scirocco menununjukkan prestasi yang lebih lemah dengan jumlah hanya separuh dari Beetle iaitu hanya 10,752 unit pada 2016.

    Sebagai perbandingan, jualan Golf untuk Januari 2017 sahaja lebih banyak dari jumlah jualan gabungan untuk kedua-dua model berkenaan dalam tempoh setahun. Dengan jumlah jualan yang tidak memberangsankan ditambah pula dengan skandal dieselgate yang menyelubungi Volkswagen, Beetle dan Scirocco terpaksa dikorbankan untuk visi baharu syarikat berkenaan yang memberi tumpuan terhadap kenderaan elektrik sepenuhnya.

    GALERI: Volkswagen Scirocco

     
     
  • Yamaha akan bawa gaya radikal ke Tokyo Motor Show

    Yamaha akan bawa gaya radikal ke Tokyo Motor Show

    Tokyo Motor Show bukan sahaja untuk kereta, tetapi juga motosikal dan kenderaan lain. Untuk tahun 2017 ini, Yamaha memberitahu akan membawa 20 model untuk dipertontonkan di tapak pamerannya termasuk basikal kuasa elektrik, skuter, motosikal, Leaning Multi-Wheelers (LMW) dan model konsep. Tema bagi Yamaha tahun ini adalah “Garaj Masa Hadapan.”

    Salah satu model konsep yang ditunjuk lebih awal adalah Motoroid, yang merupakan sebuah mesin eksperimental dengan ciri Artificial Intelligence (A.I) dan untuk meneroka kemungkinan dalam mencipta pengangkutan persendirian pada masa hadapan. Motosikal dua tayar ini boleh mengenal pasti pemiliknya dan boleh berinteraksi untuk menghasilkan kepuasan yang lebih mendalam dan keterujaan yang lebih apabila ditunggang.

    Yamaha akan bawa gaya radikal ke Tokyo Motor Show

    Seterusnya, Yamaha juga akan membawa Motobot Ver.2. Bagi versi terkini motosikal robot yang boleh bergerak sendiri ini, ia sudah boleh memecut pada kelajuan tinggi di dalam litar, dan sasaran yang diberi untuk tahun 2017 adalah supaya ia akan dapat mencecah 200 km/j dan mencabar Valentino Rossi di dalam litar.

    Satu lagi model yang direka untuk meneroka kemungkinan pengangkutan persendirian yang berasaskan motosikal adalah MWC-4. Ia mempunyai dua tayar di hadapan dan belakang, dan seperti boleh menempatkan dua orang di dalamnya. Menurut Yamaha, MWC-4 ini dikuasakan oleh motor elektrik, dengan range-extender dan menggunakan teknologi kawalan perilaku, seterusnya dapat memberikan tahap keselesaan yang tidak dapat dijumpai pada motosikal biasa.

     
     
  • Belanda jadi negara Eropah terbaru bakal kenakan larangan jualan kenderaan petrol, diesel sebelum 2030

    Belanda jadi negara Eropah terbaru bakal kenakan larangan jualan kenderaan petrol, diesel sebelum 2030

    Belanda menjadi negara Eropah terbaru yang mengikut jejak langkah untuk melarang jualan kenderaan petrol dan diesel menjelang tahun 2030. Sebelum ini, langkah sama turut diumumkan oleh Perancis dan Britain – dalam usaha untuk menuju ke arah pengangkutan tanpa pencemaran.

    Langkah itu adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang yang diumumkan oleh kerajaan Belanda, seperti dilaporkan NL Times. Negara terbabit mensasarkan untuk mencapai pengurangan sebanyak 49% bagi pembebasan gas emisi keseluruhannya menjelang 2030, dan akan memperuntukkan sebanyak 4 bilion Euro bagi peralihan kepada tenaga bersih. Negara itu juga akan melaburkan sejumlah 100 juta Euro dalam menyediakan prasarana bagi pengayuh basikal.

    Jerman juga dilaporkan akan mengenakan larangan jualan terhadap kenderaan baru yang dikuasakan diesel pada masa akan datang – bagaimanapun masih belum ada tempoh waktu yang ditetapkan. Canselor Jerman, Angela Merkel berkata langkah itu pasti akan diambil – kemungkinan pada 2030 juga.

    Negara pertama di Eropah yang mengumumkan akan menamatkan jualan kenderaan dengan sistem pembakaran konvensional ialah Norway, yang mensasarkan untuk melaksanakan langkah itu pada 2025. Diperingkat kebangsaan, Paris, Madrid dan Mexico City turut mengumumkan akan melarang penggunaan kenderaan diesel di atas jalan mereka, juga pada 2025.

     
     
  • Tiga jalan kampung di Teluk Intan, Perak terima turapan dengan campuran getah – pertama di Malaysia

    Tiga jalan kampung di Teluk Intan, Perak terima turapan dengan campuran getah – pertama di Malaysia

    Menurut catatan pada laman Facebook Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Mah Siew Keong, tiga buah jalan kampung Sungai Kerawai di Teluk Intan, Perak kini menerima jalan prototaip pertama di Malaysia yang diturap menggunakan CMA (Asfalt Terubahsuai Getah Bekuan) atau turapan jalan dengan campuran getah.

    Menurut kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Getah Malaysia sebelum ini, menerusi kajian yang dijalankan, penggunaan getah beku mempunyai potensi yang lebih baik untuk mengatasi masalah teknikal jalan. Di mana campuran aspalt meningkatkan kelikatan bitumen yang dapat memberi rintangan terhadap suhu yang tinggi.

    Pada waktu panas terutama tengah hari, suhu jalan boleh mencapai sehingga 60 darjah selsius dan kebiasaannya ketika itu CMA akan mencapai suhu titik lembut yang lebih tinggi daripada bitumen konvensional. Keadaan ini akan membantu masalah jalan berlekuk terutama yang dilalui kenderaan berat.

    Campuran yang terhasil mempunyai kelikatan tinggi dan ia membantu balutan bitumen yang lebih baik ke atas batu untuk menambahkan daya tahan selain menjadi lebih elastik yang akan memberi rintangan yang tinggi pada kenderaan.

    Oleh itu, jalan raya dengan turapan CMA ini mempunyai pelbagai kelebihan antaranya kos selenggara yang lebih murah kerana ia lebih tahan dan juga boleh menanggung beban yang lebih tinggi, selain mampu memberikan daya cengkaman yang lebih baik.

    Walau bagaimanapun, kos pembinaan jalan menggunakan CMA ini jauh lebih tinggi iaitu RM53 per meter berbanding RM29 per meter jika menggunakan kaedah konvensional. Namun, dengan cara ini juga sebenarnya dijangka akan meningkatkan permintaan getah negara sebanyak 10% setahun dengan jangkaan 4.2 tan getah beku akan digunakan untuk membina satu kilometer jalan.

    Ia nyata selari dengan usaha kerajaan bagi menangani masalah kejatuhan harga getah buat masa sekarang kerana Malaysia mampu menghasilkan kira-kira 700,000 tan metrik getah setiap tahun. Mah turut dilaporkan berkata sebelum ini bahawa kira-kira 440,000 pekebun kecil getah di Malaysia yang memerlukan sokongan ketika ini dan mungkin akan beralih ke bidang lain sekiranya harga getah terus jatuh.

    Selain dari di Teluk Intan, JKR turut dilaporkan telah memulakan projek jalan dengan turapan CMA ini di kawasan lain, antaranya di jalan yang menghubungkan Kampung Desa Temu Jodoh ke Kampung Kwong Sai di Labis, Johor dengan jarak kira-kira 10 kilometer.

     
     
  • Infiniti QX80 baharu akan muncul di Dubai Motor Show

    Infiniti QX80 baharu akan muncul di Dubai Motor Show

    Infiniti akan menunjukkan SUV QX80 generasi baru semasa Dubai Motor Show 2017, yang akan bermula pada 14 November ini. Untuk memberitahu orang ramai berkenaan perkara ini, beberapa gambar teaser disiarkan, memperlihatkan beberapa ciri mewah padanya.

    Seperti yang boleh dijangka, QX80 baru ini kelihatan seperti menerima banyak pengaruh daripada QX80 Monograph Concept yang pernah ditunjukkan semasa New York Auto Show sebelum ini. Ciri antaranya seperti gril hadapan yang besar dan lampu utama yang lebih nipis diambil daripada model konsep tersebut, namun diberikan sedikit perubahan.

    Bahagian bawah bampar kenderaan ini juga dijadikan lebih kemas dan ringkas untuk versi produksi, seperti yang ditunjukkan dalam gambar ini, ia juga mempunyai lampu kabus dan bukaan udara yang luas. Selain daripada itu, terdapat juga rim 22 inci dan balutan kulit bercorak pada kulit pintunya.

    Rekaan baru yang digunakan pada QX80 pastinya dapat meningkatkan tarikan berbanding model sebelum ini yang mempunyai muncung berbonjol seperti ikan flowerhorn. Menurut Infiniti, SUV ini akan menampilkan “perkadaran yang mantap, kabin mewah dan bahagian dalam sentuhan tangan.

    “DNA rekaan Infiniti telah dipertingkat untuk SUV kami yang paling besar ini. QX80 membawakan kedudukan tegap yang berkuasa dan pergerakan mendatar yang dipertingkat. Pereka kami telah meningkatkan ketinggian visual untuk gril dua lengkung yang digunakan bersama lampu yang menarik,” kata timbalan presiden kanan rekaan global Infiniti, Alfonso Albaisa.

     
     
  • Petronas Dagangan bakal membuka 100 stesen pengecasan EV menjelang tahun 2018

    Petronas Dagangan bakal membuka 100 stesen pengecasan EV menjelang tahun 2018

    Petronas Dagangan (PDB) bakal memperluaskan lagi rangkaian stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), ChargEV, di mana implementasinya telah pun bermula tahun lalu, daripada 66 stesen menjadi 100.

    Pengumuman ini dibuat dalam Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM 2017) Ke-8, yang turut berlangsungnya majlis menandatangani antara tiga pihak dengan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) and Tenaga Nasional Berhad Energy Services (TNBES), yang dimiliki sepenuhnya oleh Tenaga Nasional, untuk memasang 100 stesen ChargEV, di seluruh negara menjelang 2018.

    Penambahan bilangan stesen ChargEV ini dilakukan secara berperingkat bagi menampung permintaan pasaran.

    PDB juga akan mengkaji untuk memasang panel fotovoltaik solar di 100 stesen terpilih, justeru itu, tenaga yang digunakan untuk memberi kuasa kepada ChargEV akan boleh diperbaharui sepenuhnya dan bebas karbon, menjadikannya benar-benar hijau.

    Selain kemudahan mengecas kenderaan elektrik dan panel fotovoltaik solar, GreenTech Malaysia dan TNBES juga akan membantu menukarkan 100 stesen terpilih menjadi stesen cekap tenaga dengan memasang lampu dan penyaman udara yang jimat tenaga serta menyepadukan sistem pengurusan tenaga di setiap stesen ini.

    Setakat ini, 55 stesen ChargEV telah dipasang di stesen Petronas di seluruh negara.

     
     
  • Bas elektrik akan mula operasi di Putrajaya pada 2018

    Bas elektrik akan mula operasi di Putrajaya pada 2018

    Di dalam usaha untuk memperbanyakkan penggunaan kenderaan hijau, satu perkhidmatan bas elektrik yang baru bakal diperkenalkan untuk kawasan Putrajaya tahun depan. The Sun melaporkan, menurut Gets Global, sebanyak 150 unit bas elektrik akan ikut serta di dalam armada bas sedia ada bagi menggantikan bas NGV. Ia akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan lima bas elektrik pertama akan mula beroperasi pada suku kedua 2018.

    Peralihan kepada bas elektrik adalah selari dengan usaha syarikat itu untuk mengurangkan pembebasan karbon dioksida dan pencemaran bunyi di sekitar Putrajaya, ujar Pengarah Urusan Gets Global, Datuk Che Azizuddin Che Ismail.

    “Langkah seperti ini akan memperbaiki perkhidmatan rangkaian pengangkutan awam di Putrajaya dan dalam masa yang sama menzahirkan cita-cita ke arah menjadikannya bandar hijau untuk penempatan menjelang 2025,” tambah beliau ketika majlis menandatangani MoU antara Gets Global dan Putrajaya Leisures & Services Group (Pulse Group) semalam.

    Struktur kadar tambang masih belum ditentukan lagi, tetapi syarikat berkenaan berhasrat untuk memberikan perkhidmatan percuma kepada pengguna sekiranya kos operasi bas elektrik berkenaan disubsidi oleh kerajaan. Kadar tambang bas Nadi Putra ketika ini pula ialah hanya 50 sen bagi setiap perjalanan.

    “Pendekatan dibandar-bandar besar seluruh dunia kini adalah untuk memberikan perkhidmatan bas percuma kepada orang awam. Jadi, jika kos operasi kami boleh disubsidi menggunakan sumber lain, kami tidak teragak-agak untuk menyediakan perkhidmatan berkenaan secara percuma,” tambahnya.

     
     
  • GALERI: Toyota Hilux D/Cab 2.8G A/T 4×4 – RM130,900

    GALERI: Toyota Hilux D/Cab 2.8G A/T 4×4 – RM130,900

    Toyota Hilux juga tidak terlepas daripada menerima pembaharuan yang dilakukan oleh UMW Toyota Motor Sdn Bhd bagi barisan modelnya termasuk Innova dan Fortuner. Kini dalam barisan model Hilux, terdapat enam varian dengan harga antara RM87,200 hingga RM130,900.

    Varian dengan harga paling tinggi tersebut adalah Double Cab 2.8G AT 4X4, dan ini kami bawakan galeri penuhnya, yang sudah pun berada di bilik pameran. Varian ini adalah satu-satunya varian yang dikuasakan oleh enjin 1GD-FTV 2.8 L Intercooler VNT berkuasa 177 PS dan tork maksimum 450 Nm manakala varian lain dipacu oleh enjin diesel 2GD-FTV 2.4 L Intercooler berkuasa 150 PS dan 400 Nm tork.

    Antara kelengkapan lain yang unik bagi varian 2.8G ini adalah rim 18 inci dengan tayar 265/60 di hadapan dan belakang, lampu utama LED Projector dengan fungsi Follow Me Home, lampu siang dan lampu kabus hadapan LED, meter Optitron dengan Illumination Control, skrin MID 4.2 inci TFT, sistem audio dengan skrin sesentuh 6.1 inci, pendingin hawa automatik dengan corong khas untuk penumpang belakang serta perakam video. Model di dalam galeri ini juga sudah ditambah dengan aksesori Tough Package tambahan dan Panoramic View Monitor.

    Pada aspek keselamatan, varian 2.8 G ini telah dipertingkat dengan Downhill Assist Control (DAC), sebagai tambahan kepada Vehicle Stability Control dan Active Traction Control sedia ada. Untuk pambaharuan ini, varian lain turut dipertingkat, melihatkan varian 2.4G manual telah ditambah dengan ciri Vehicle Stability Control (VSC), serta Hill Assist Control dan A-TRC, manakala 2.4G AT turut diberi tujuh beg udara (sedia ada bagi 2.8G).

    Seperti juga model lain Toyota, Hilux didatangkan bersama jaminan lima tahun, tetapi had batuannya diletakkan pada 150,000 km. Anda boleh mengetahui lebih lanjut berkenaan spesifikasi penuh semua varian Hilux ini dan membandingkannya dengan model lain melalui laman web CarBase.my.

     
     
  • GALERI: Toyota Innova 2.0X – lampu hadapan LED, tempat duduk kapten, kit badan baharu, RM133k

    GALERI: Toyota Innova 2.0X – lampu hadapan LED, tempat duduk kapten, kit badan baharu, RM133k

    UMW Toyota telah merasmikan jualan Toyota Innova 2.0X pada pasaran Malaysia minggu lalu. Model berkenaan kini diletakkan sebagai varian tertinggi dalam barisan model Innova generasi kedua di Malaysia, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM132,800. Dah tengok model ini di bilik pameran? Kalau belum tak mengapa kerana kami mempunyai galeri lengkap MPV tujuh tempat duduk ini.

    Model ini diberi pelbagai ciri lebih tinggi berbanding model 2.0G (RM123,800) dan 2.0E (RM115,800 untuk auto dan RM107,800 untuk manual) sedia ada. Ia diberikan kesemua kelengkapan yang ada pada model 2.0G dan ditambah dengan kelengkapan lebih premium antaranya lampu utama LED yang menggantikan unit reflektor halogen, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED serta rim aloi 17-inci kemasan hitam dengan tayar 215/55R17 berbanding rim 16-inci dengan tayar 205/65R16 pada model 2.0G dan 2.0E.

    MPV ini juga kini diberikan penampilan lebih kearah sebuah SUV dengan menampilkan kit badan baharu yang terdiri dari spoiler hadapan dan belakang, kemasan overfender pada kesemua ruang roda, kemasan berwarna hitam pada bahagian bawah, serta gril yang lebih gelap.

    GALERI: Toyota Innova 2.0X – lampu hadapan LED, tempat duduk kapten, kit badan baharu, RM133k

    Perubahan terbesar yang dilakukan ialah menampilkan dua tempat duduk kapten pada barisan kedua, menjadikan 2.0X ini hanya boleh memuatkan tujuh-tempat duduk berbanding lapan pada model lain yang lebih rendah.

    Walaupun kurang tempat duduk, penumpang pada bahagian baris kedua kini nyata lebih selesa dengan tempat duduk kapten ala-MPV lebih premium daripadanya yang disifatkan Toyota sebagai “memberikan keselesaan pada tahap Business Class bersama pemegang cawan dan juga meja boleh lipat serta perehat tangan individu.”

    Ia turut menampilkan upholsteri balutan kulit berwarna hitam pada kesemua tempat duduk (berbanding fabrik pada varian lain), bersama larasan berkuasa enam-hala bagi tempat duduk pemandu (kekal dengan larasan manual untuk penumpang hadapan).

    Kelengkapan lain yang diberikan pada model 2.0X ini termasuk sistem pendingin hawa automatik hadapan dan belakang, panel instrumen Optitron dengan paparan pelbagai-info TFT-LCD berwarna 4.2-inci, meja boleh lipat pada belakang tempat duduk, pencahayaan ambien dwi-zon, kamera undur dan sistem infotainmen DVD-AVX lapan-inci.

    Bagi keselamatan pula, Innova dibekalkan dengan tujuh beg udara, ABS,EBD,BA, VSC dan bantuan mula mendaki – standard untuk semua varian termasuk model asas 2.0E. Bahagian mekanikal tidak menampilkan apa-apa perubahan di mana model tertinggi ini kekal dijana enjin petrol 2.0 liter NA Dual VVT-i berkuasa 139 ps/183 Nm, digandingkan bersama transmisi automotik enam-kelajuan yang turut dilengkapkan dengan mode pemanduan Eco dan Power.

     
     
  • GALERI: Toyota Fortuner 2.4 VRZ A/T 4×2 lengkap dengan aksesori tambahan dan pakej TRD Sportivo

    GALERI: Toyota Fortuner 2.4 VRZ A/T 4×2 lengkap dengan aksesori tambahan dan pakej TRD Sportivo

    UMW Toyota Motor Sdn Bhd telah memberikan naik taraf bagi SUV Fortuner, melihatkan ia ditambah dengan dua lagi varian iaitu 2.4 VRZ A/T 4×4 dan 2.4 VRZ A/T 4×2 yang dijual pada harga masing-masing RM195,800 dan RM185,500. Walaupun dua model baru ini berada di pertengahan, harganya lebih tinggi berbanding varian 2.7 SRZ A/T 4×4 paling atas iaitu RM181,800. Semua harga ini adalah termasuk GST, tanpa insurans bagi pendaftaran individu persendirian di Semenanjung Malaysia.

    Semasa berita pengenalannya disiarkan, hanya gambar studio yang diberi, tapi kini ia sudah berada di bilik pameran dan kami bawakan kepada anda galeri penuh kenderaan ini. Model yang boleh dilihat dalam galeri ini adalah Fortuner 2.4 VRZ A/T 4×2, lengkap dengan barangan pilihan tambahan.

    Ini termasuk pakej kit badan TRD Sportivo (gril hitam, spoiler depan dan belakang, jalur sports, lencana dan karpet), sistem DVD-AVN dengan kamera undur, monitor di atas bumbung, monitor pandangan panoramik (PVM) dan Blind Spot Monitor (BSM) dengan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

    Untuk senarai kelengkapan secara standard, varian 2.4 VRZ mempunyai barangan hampir sama seperti varian 2.7 SRZ, antaranya termasuk lampu utama Bi-projector, Vehicle Stability Control (VSC), Hill Start Assist, tujuh beg udara SRS, pendingin hawa automatik, tempat duduk kulit berwarna coklat, pintu but kuasa elektrik, lampu kabus LED dan cruise control.

    Varian 2.4 VRZ baru ini menggunakan enjin sama seperti varian permulaan 2.4 A/T 4×4 yang berharga RM169,800, iaitu unit empat silinder diesel 2,393 cc DOHC VNT yang berkuasa 148 hp dan 400 Nm tork, tetapi transmisi automatik enam kelajuannya boleh dikawal dengan tambahan pedal penukar di belakang stereng seperti varian 2.7 SRZ yang menggunakan enjin petrol 2,694 cc.

    Semua varian Toyota Fortuner ini didatangkan bersama jaminan lima tahun tanpa sebarang had batuan, dan anda boleh melihat lebih lanjut berkenaan spesifikasi, serta membandingkannya dengan kenderaan lain di www.CarBase.my.

     
     
  • VIDEO: Lagenda WRC Group B Walter Rohrl pandu Porsche 911 GT3, masih berbisa pada umur 70 tahun

    Kejohanan Rali Dunia (WRC) dengan undang-undang Group B diakui sebagai perlumbaan antara paling laju serta paling berbahaya di dunia dan ia telah diharamkan terus pada tahun 1987 setelah berberapa orang pemandu dan penonton terkorban kerana jentera-jentera ‘gila’ berkenaan mengalami kemalangan.

    Dengan enjin berkuasa 400 hp hingga 500 hp dan juga sistem pacuan semua roda, jentera-jentera Group B ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa sekitar tiga saat di atas permukaan batu kerikil. Berlumba pada laluan sempit, licin dan tidak rata dengan jentera-jentera gila berkenaan menjadikan pelumba-pelumba kelas tersebut dianggap pemandu-pemandu terhebat sepanjang zaman.

    Antara salah seorang lagenda-lagenda Group B yang masih hidup adalah pelumba Jerman, Walter Rohrl. Ketika era berkenaan, Rohrl berlumba untuk pasukan Audi, memandu jentera Sport Quattro S1. Kini, walaupun sudah berumur 70-tahun, Rohrl masih lagi hebat memandu.

    Video baharu dari Porsche ini, Rohrl memberikan tunjuk ajar untuk ‘menyerang’ selekoh di sebuah litar yang terletak di Andalusia menggunakan Porsche 911 GT3. Rohrl bukan sekadar memandu laju, malah beliau kelihatan masih segar dan tidak mempunyai masalah untuk melakukan aksi drift menggunakan jentera berkuasa 500 hp tersebut.

    Porsche 911 GT3 dijana enjin boxer enam-slinder 4.0 liter tanpa pengecas turbo berkuasa 500 hp/460 Nm. Bagi model yang dipandu Rohrl ini, ia dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan (juga terdapat dengan versi PDK automatik tujuh-kelajuan), membolehkan kereta sport ini memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Yamaha NVX 155 di M’sia – RM10,500

    Skuter Yamaha NVX 155 pertama kali muncul di negara Asean sewaktu hujung minggu perlumbaan Moto GP di Sepang pada tahun lepas. Sejak itu, ramai yang tertunggu-tunggu pelancarannya. Bukan sahaja kerana jenama Yamaha itu sendiri, tetapi skuter ini dikatakan membawa semangat sporty, yang melebihi satu lagi skuter keluaran Yamaha yang menggunakan enjin 155 cc VVA sama iaitu NMax.

    Ciri sporty ini bermula dengan aspek rekaan, yang seperti dilihat, NVX mempunyai lebih banyak garis tajam yang menjadikan ia nampak agresif dan membawa kesinambungan rekaan seperti model R25. Selain kuasa sebanyak 14.8 hp dan tork 13.8 Nm, pengendalian turut dipertingkat dengan penggunaan rim lebih besar, iaitu 14 inci, bersama tayar 110/80 di hadapan dan 140/70 di belakang.

    Secara keseluruhannya, NVX ini 18 kg lebih ringan berbanding NMax, dan walaupun menggunakan padanan enjin dan transmisi sama, ia terasa lebih bersemangat, ditambah dengan talaan yang menjadikannya lebih responsif.

    Bukan setakat pada prestasi, pada harga jualan NVX RM10,500 termasuk GST, pemilik juga akan menerima sistem berteknologi moden termasuk yang kami cukup gemari adalah sistem tanpa kunci berserta penggera. Dengannya, pengguna tidak perlu bersusah payah mengeluarkan kunci setiap kali mahu memulakan enjin. Selain itu, meter LCD 5.8 inci yang digunakan juga memberikan paparan yang menarik, terutamanya pada waktu malam.

    Anda boleh mengetahui selebihnya berkenaan Yamaha NVX 155 ini melalui video yang telah kami sediakan di atas, atau untuk lebih terperinci lagi, laporan tunggang ujinya ada di sini, di mana ia turut menyatakan pendapat kami menunggang motosikal ini selama beberapa hari.

     
     
  • MSF pusingan kelima di Sepang hujung minggu ini

    MSF pusingan kelima di Sepang hujung minggu ini

    Bagi peminat permotoran tempatan, sekiranya anda mempunyai masa hujung minggu ini, bolehlah ke Litar Antarabangsa Sepang untuk menyaksikan sendiri perlumbaan sengit dalam Malaysia Speed Festival (MSF) yang kini sudah memasuki pusingan kelima. Ia akan berlangsung pada hari Ahad, 15 Oktober.

    Dalam kategori Street 1600, Kenny Lee (#232) dari pasukan Kegani Racing mendahului kedudukan keseluruhan dengan selesa dan hanya perlu menghabiskan saja baki dua perlumbaan lagi untuk dinobatkan sebagai juara musim 2017. Tempat kedua pula kini sedang menjadi rebutan Hazlami/Muslim (#101) dari Wakos Garage dan Hazrin Khaidi (#111) dari UiTM-JMS Tuner yang hanya mempunyai beza 30 mata.

    Untuk kategori Super Street pula, musim ini menyaksikan Alif Hamdan (#172) dari Penrite-AHM Racing Team dan Raja Imran (#135) dari FTuned Racing Team bersaing sengit untuk mendapat kedudukan teratas. Dalam pusingan yang berlangsung Julai lalu, Satria Evo Turbo yang dipandu Alif mengalami kerosakan enjin, seterusnya membolehkan Raja Imran merapatkan mata apabila menang dengan Mercedes-Benz AMG A45.

    MSF pusingan kelima di Sepang hujung minggu ini

    Juara bagi kategori Saga Cup Ron Jeremy (Expert) juga seperti sudah pasti, dengan Jay Choong (#168) dari SMRT mendahului 220 mata di depan Alif Hamdan (#72) dari JNA Racing Team. Sekiranya Jay berjaya mendapatkan dua lagi kedudukan di atas podium, beliau akan dinobatkan sebagai juara Saga Cup. Pelumba lain yang mengejar gelaran ini adalah termasuk Boy Wong (#21) dan Tommy Lee (#552).

    Dalam kategori Saga Cup Rocco (Novice) pula, terdapat persaingan hebat tiga cabang antara Tan Chaw Wei (#522) dari Seng Motorsports, Syed Rizal (#169) dari SMRT, dan Ahmad Faizry (#10) dari Loco Racing, di mana nama Tan menjadi sebutan kerana telah melanggar kereta Alif Hamdan yang bersaing dalam kategori lain. Sebagai orang baru, beliau harus belajar daripada kesilapan tersebut, dan kini telah menjadi pendahulu dalam kategorinya.

    MSF pusingan kelima di Sepang hujung minggu ini

    Muka baru dapat dilihat menguasai kategori Race Cars Open, iaitu Akid Azlee (#500) dari Sitty-DNT Racing Team yang mendahului Keifli Othman (#45) dari Mayhem-Fast Autoworks Maxxoil. Jika mahu merebut takhta tersebut, Keifli perlu memenangi pusingan hujung minggu ini, tapi tentunya ia bukanlah mudah.

    Sesi kelayakan bagi perlumbaan pusingan kelima ini akan berlangsung pada jam 1.00 petang manakala perlumbaan pula akan bermula pada jam 3.00 hingga 5.00 petang. Tiket untuk penonton boleh didapati di pintu masuk pada harga RM20 jika dibeli sebelum jam 11.00 pagi, manakala selepas itu, ia akan berharga RM35.

     
     
  • Range Rover facelift 2018 semakin mewah, ditambah dengan model P400e PHEV berkuasa 404 PS, 640 Nm

    Range Rover facelift 2018 semakin mewah, ditambah dengan model P400e PHEV berkuasa 404 PS, 640 Nm

    Selepas pengenalan Range Rover Sport facelift minggu lalu, kini model yang lebih besar pula, iaitu Range Rover diberikan pembaharuan. Kebanyakan pembaharuan yang dilakukan adalah sama seperti Range Rover Sport, dengan rekaan baru, peningkatan teknologi dan varian plug-in hybrid.

    Range Rover 2018 menerima naik taraf luaran inspirasi daripada model Velar, termasuk lampu utama berpetak yang boleh dipilih dengan teknologi Pixel-laser LED. Unit lampu ini menggunakan 144 LED dan empat diode laser, dengan masing-masing boleh berfungsi secara individu untuk mengelakkan trafik bertentangan silau. Gril rekaan seperti rantai itu juga adalah daripada Velar.

    ‘Muka’ hadapan Range Rover baru ini adalah lebih kemas dan ringkas, bersama bukaan udara yang lebih lebar, manakala profail bahagian bonet pula diubah untuk kelihatan lebih panjang berbanding sebelum ini. Lubang udara hiasan pada tepi pintu juga kini menggunakan tiga jalur, manakala lampu belakang mempunyai grafik yang lebih besar. Muncung ekzos pula kini disepadukan ke dalam bampar.

    Range Rover facelift 2018 semakin mewah, ditambah dengan model P400e PHEV berkuasa 404 PS, 640 Nm

    Masuk ke dalam, anda boleh lihat terdapat tempat duduk baru dengan bahagian luar yang lebih lebar supaya pengguna mudah masuk, busa yang lebih dalam dan lapisan tambahan untuk menambah keselesaan. Bagi penumpang hadapan, terdapat tempat duduk yang dilengkapi ciri memori dan pemanas secara standard, manakala fungsi mengurut telah ditambah baik dengan ciri Hot Stone.

    Pada bahagian belakang, pilihan tambahan Executive Class Seating kini diberikan sekali dengan konsol tengah larasan kuasa dan boleh menempatkan lima orang. Ia juga boleh dibaringkan sehingga 40 darjah, meningkat daripada sebelum ini 17 darjah. Seperti juga sebelum ini, terdapat model dengan jarak roda 200 mm lebih panjang, seterusnya memberikan tambahan ruang kaki sebanyak 186 mm.

    Sistem Touch Pro Duo daripada Velar turut digunakan pada Range Rover 2018, termasuk skrin sesentuh definisi tinggi 10 inci berkembar – satu untuk ciri informasi dan hiburan, manakala satu lagi untuk mengubah kawalan suhu, tempat duduk dan tetapan kenderaan, sekali dengan tombol Dynamic Dials. Stereng sama seperti Range Rover Sport, dengan butang kawalan turut digunakan, berserta panel instrumen 12 inci dan head-up display 10 inci.

    Range Rover facelift 2018 semakin mewah, ditambah dengan model P400e PHEV berkuasa 404 PS, 640 Nm

    Ciri baru lain adalah termasuk sistem kawalan suara lebih pantas dengan pengenalan Bahasa Inggeris dan Mandarin, skrin sesentuh berkembar di belakang, penghadang cahaya bumbung kawalan gerak tangan, teknologi pembersihan udara Nanoe, peti sejuk di konsol tengah, lampu suasana tiga zon dan sehingga 17 soket penghubung dalam kenderaan yang termasuk USB, HDMI, 12 V dan soket domestik untuk mengecas komputer riba dan peranti lain.

    Pembeli juga boleh mendapatkan Activity Key, yang pertama kali diperkenalkan pada Jaguar F-Pace. Kunci ini membenarkan anda meninggalkan kunci dalam kereta apabila melakukan aktiviti di luar. Ciri Advanced Tow Assist menjalankan tugas countersteer sewaktu mengundur, memudahkan lagi operasi oleh pemandu.

    Ciri keselamatan juga telah diperelok untuk model tahun 2018 ini, dengan adanya Autonomous Emergency Braking dan Lane Departure Warning yang diberikan secara standard untuk semua varian. Apabila memilih Drive Pack, pembeli akan menerima Blind Spot Monitor, Driver Condition Monitor dan Traffic Sign Recognition, manakala dengan memilih Drive Pro Pack pula, mereka akan menerima High-speed Emergency Braking, Blind Spot Assist, Lane Keep Assist dan Adaptive Cruise Control dengan Queue Assist.

    Range Rover facelift 2018 semakin mewah, ditambah dengan model P400e PHEV berkuasa 404 PS, 640 Nm

    Sementara itu, pakej Park Pack pula memberikan kamera parkir 360 darjah, Rear Traffic Monitor dan Clear Exit Monitor yang boleh memberikan amaran sekiranya terdapat trafik semasa mereka mahu membuka pintu belakang. Pakej Park Pro Pack pula menambah Park Assist untuk meletak kenderaan di kotak tepi atau 90 darjah.

    Barisan enjin bagi model ini turut disemak semula, dengan berita utamanya penambahan model P400e plug-in hybrid yang menggantikan SDV6 Hybrid Diesel. Ia menggabungkan enjin empat silinder petrol Ingenium 2.0 liter turbo 300 PS/ 400 Nm dengan motor elektrik 85 kW (116 PS) yang disepadukan dalam kotak gear automatik lapan kelajuan. Secara keseluruhan, kuasanya adalah 404 PS dan 640 Nm tork.

    Kuasa ini boleh memacu SUV yang besar ini dari keadaan pegun ke 100 km/j dalam masa hanya 6.8 saat, sebelum mencapai laju maksimum 220 km/j. Bateri lithium ion 13.1 kWh yang diletakkan di bawah lantai bahagian but belakang dapat memberikan jarak menggunakan elektrik sahaja sejauh 51 km, dan kenderaan ini boleh dipandu dalam mod EV sehingga kelajuan 137 km/j.

    Seperti kebanyakan PHEV lain, P400e boleh dipandu sama ada dalam mod Parallel Hybrid atau EV, dengan terdapat fungsi penjimatan tenaga serta Predictive Energy Optimisation yang menggunakan sistem navigasi untuk mengoptimakan penggunaan tenaga bateri. Apabila dicas menggunakan soket domestik, ia mengambil masa 7 jam 30 minit untuk penuh, manakala apabila menggunakan pengecas 32 A, 2 jam 45 minit.

    Pilihan enjin lain masih tidak berubah, terdiri daripada V6 petrol Supercharge 3.0 liter 340 PS/ 450 Nm (juga boleh didapati dengan kuasa 380 PS), V6 turbodiesel 3.0 liter 258 PS/ 600 Nm TDV6 dan 306 PS/ 700 Nm untuk SDV6, dan V8 diesel 4.4 liter SDV8 339 PS/ 740 Nm. Sementara itu bagi model V8 petrol Supercharge 5.0 liter, ia mendapat tambahan kuasa menjadi 525 PS dan 625 Nm tork. Model yang lebih sporty, SVAutobiography Dynamic juga mendapat tambahan kuasa, menjadi 565 PS dan 700 Nm.

    Range Rover facelift 2018 semakin mewah, ditambah dengan model P400e PHEV berkuasa 404 PS, 640 Nm

    Kemampuan offroad Range Rover semakin dinaik taraf, dengan ia mendapat transfer case dengan actuator pintar, berbanding motor dan ECU berasingan, menghasilkan berat lebih ringan 1.5 kg. Pada model P400e, sistem Terrain Response 2 telah ditala semula untuk memanfaatkan kelebihan motor elektrik, seterusnya memberikan lebih kawalan pada kelajuan rendah.

    Walaupun adalah model PHEV, tahap tenggelam dalam air model P400e masih adalah sama dengan model Range Rover biasa, iaitu 900 mm, dan Land Rover menyarankan supaya menggunakan kuasa enjin petrol bagi mengelakkan air masuk ke dalam ekzos. Semua model juga mendapat sistem Low Traction Launch daripada Jaguar.

    GALERI: Range Rover 2018

    GALERI: Range Rover PHEV 2018

    GALERI: Range Rover SVAutobiography Dynamic 2018

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026