Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • VIDEO: Nissan dijangka pamer SUV elektrik di Tokyo

    Bagi Tokyo Motor Show (TMS) tahun ini, Nissan bakal mempamerkan model konsep baru yang akan menjadi petunjuk kepada pendekatan Intelligent Mobility oleh jenama itu untuk masa hadapan. Sebagian daripadanya ada tunjukkan sedikit di dalam video ini.

    Terdahulu, khabar angin bertiup mengatakan bahawa ia adalah sebuah SUV elektrik, dan daripada bayangan kenderaan yang ditujukkan dalam video ini seperti mengesahkan perkara itu. SUV saiz besar itu menampilkan rekabentuk bahagian depan yang rata. Garis sinaran cahaya biru yang sedikit itu pula memberi gambaran terhadap garis bonet serta bumbungnya.

    Belum ada apa-apa maklumat berkaitan model konsep berkenaan setakat ini, tetapi dijangka ia diasaskan dari platform model elektrik Leaf yang diperbahrui, mungkin dengan pek bateri yang lebih besar dan motor elektrik yang juga lebih berkuasa. Sistem janaan elektrik juga menjadi antara tumpuan utama di dalam visi Nissan Intelligent Mobility mereka.

    Turut terkandung di dalam visi yang sama ialah Intelligent Driving, termasuk di dalamnya teknologi seperti pemanduan autonomous ProPILOT. Video ini juga mendedahkan papan tanda digital “Autonomous Drive Recommended” – mungkin akan ada demonstrasi atau persembahan ciri ini juga nanti.

    Yang terakhir, ciri Intelligent Integration, yang memberi tumpuan terhadap bagaimana kenderaan berhubung dengan masyarakat sekeliling, dengan kemampuan untuk berkomunikasi berkaitan jalan, maklumat serta rangkaian kuasa elektrik melalui teknologi vehicle-to-X (V2X).

     
     
  • McLaren sahkan dua model baharu Ultimate Series

    McLaren sahkan dua model baharu Ultimate Series

    McLaren telah mengesahkan bakal melancarkan dua model baharu yang diletakkan di bawah Ultimate Series, di mana salah satunya ialah P1. Pada mulanya, terdapat desas-desus menyatakan nama kod yang digunakan ialah P15, yang dikatakan “paling ekstrem, model McLaren yang direka seperti jentera lumba.”

    Kami menjangkakan model pertama bagi P15 bakal muncul pada suku pertama 2018, dan akan mendahului model masa depan Ultimate Series (kod nama BP23), iaitu “Hyper-GT”. Lebih kurang seperti P1, model Ultimate Series akan datang ini juga akan diproduksi dalam unit yang terhad, dan jika anda mahukannya, bergantung pada nasib.

    McLaren berkata P15 merupakan jentera lumba yang boleh digunakan di jalan raya secara sah dengan keupayaan pemanduan harian tetapi “memiliki pengalaman pemanduan yang lebih intensif di litar.” Syarikat ini juga menambah, model tersebut akan memberikan ekspresi yang sejati dari falsafah “bentuk yang mengekori fungsi” dan juga akan menampilkan rekaan yang disifatkan sebagai “brutal”.

    Gambar teaser di atas memberikan sedikit gambaran berkenaan satu bahagian jentera tersebut, dengan larasan tiga-paip ekzos, di mana ia agak jauh jika dibandingkan dengan Pagani Huayra. Menurut laporan Autocar UK, P15 tidak akan menerima penjana kuasa hibrid (seperti P1) dan menggunakan versi peningkatan dari M840T dari Super Series 720S.

    Malahan jentera ini juga dikatakan akan dibina dengan tab gentian karbon Monocage II dari McLaren sendiri, dengan berat yang kurang daripada 1,300 kg untuk memastikan nisbah kuasa-ke-berat senada dengan P1. Hanya 500 unit yang dijangka akan dibina oleh McLaren, dan nama jentera ini hanya akan didedahkan sebelum tahun 2017 berakhir.

     
     
  • Gran Turismo Sport tampilkan suasana di Malaysia

    Gran Turismo Sport tampilkan suasana di Malaysia

    Di pejabat paultan.org ini, memang ramai yang gemar bermain permainan video lumba, dan bila Gran Turismo Sport keluar Selasa lalu, mereka terus membelinya untuk menikmati permainan baru ini. Setelah dibelek-belek, rupanya Malaysia turut ditampilkan dalam permainan video ini, iaitu melalui fungsi Scape baru, dengan lapan lokasi terkenal.

    Scape ini adalah satu tambahan kepada Photo Mode, di mana pemain boleh meletakkan kereta virtual mereka di dalam satu gambar digital dinamik tinggi (HDR). Setiap gambar menampilkan informasi tenaga cahaya daripada tempat tersebut, termasuk pantulan, kedudukan matahari dan keterangan. Hasilnya memang serupa seperti gambar sebenar.

    Terdapat lebih 1,000 lokasi dalam Scape, dan Malaysia adalah antara tiga negara Asia Tenggara yang ditampilkan. Dua lagi adalah Brunei dan Vietnam. Antara tempat di Malaysia yang ditampilkan adalah Menara Berkembar Petronas (diambil daripada atas tempat letak kereta di Jalan Binjai yang kini telah dirobohkan), Bangunan Sultan Abdul Samad dan beberapa lokasi di Melaka, berhampiran Jonker Street.

    Ditambah pula dengan satu lagi ciri yang membolehkan anda mengubah no plet pada kenderaan, pasti ramai yang boleh tertipu dengan menyangka anda betul-betul mengambil gambar kereta eksotik tersebut di tempat-tempat yang disediakan. Walaubagaimanapun, anda masih belum boleh berlumba di Malaysia dalam permainan ini kerana Litar Sepang masih belum ditampilkan dalam senarai litar.

     
     
  • Skandal Kobe Steel – Toyota sahkan material aluminium tiada isu, bahan lain masih lagi disiasat

    Skandal Kobe Steel – Toyota sahkan material aluminium tiada isu, bahan lain masih lagi disiasat

    Susulan dari skandal pemalsuan data kualiti oleh pembekal komponen logam Kobe Steel termasuk kepada jenama-jenama utama automotif Jepun minggu lalu, Toyota kini telah mengumumkan bahawa material yang dibekalkan kepada mereka tidak mempunyai sebarang masalah.

    Menurut Toyota, setelah disiasat, bahan aluminiun yang dibekalkan oleh Kobe Steel kepada mereka yang digunakan untuk membuat bonet hadapan, pintu belakang, serta bahagian-bahagian sisi kenderaan telah memenuhi standard dalaman mereka sendiri – dari segi keselamatan dan ketahanan.

    Skandal Kobe Steel – Toyota sahkan material aluminium tiada isu, bahan lain masih lagi disiasat

    Namun untuk material seperti tembaga dan produk logam lain (tiub, pendawaian dan serbuk) masih lagi disiasat, dan mereka turut akan menguji semula bahan bukan aluminium lain bagi mengesan sebarang isu atau impak yang berpotensi.

    Setelah skandal ini didedahkan minggu lalu, Toyota menyatakan Kobe Steel hanya membekalkan material bagi kegunaan kilang mereka di Jepun sahaja, dan isu ini tidak melibatkan kilang-kilang mereka di luar Jepun.

     
     
  • Mercedes-Benz C200 AMG Line W205 – RM254,888

    Mercedes-Benz C200 AMG Line W205 – RM254,888

    Satu varian baru telah menyertai barisan model Mercedes-Benz C-Class W205, iaitu C 200 AMG Line, yang diletakkan atas daripada C 200 Avantgarde, dengan harga RM254,888 (atas jalan tanpa insurans). Dengan ini, sekarang terdapat tiga varian bagi C 200 iaitu Avantgarde, AMG Line dan Exclusive.

    Senarai kelengkapan bagi varian baru ini hampir sama dengan C 200 Avantgarde yang dijual pada harga RM253,888, tetapi dengan tambahan RM1,000 tersebut, anda akan menerima kit penuh AMG Line yang termasuk bampar unik, rim aloi AMG 18 inci, roda stereng yang rata di bawah dan suspensi sport. Varian ini tidak dilengkapi dengan bumbung panoramik dan lampu LED adaptif seperti C 250 AMG Line, tetapi diberikan lampu utama LED prestasi tinggi secara standard.

    Pada bahagian lain, ia sama seperti Avantgarde, dengan balutan Artico (tidak termasuk di papan pemuka – itu hanya untuk C 200 Exclusive dan C 250 AMG Line), kemasan hitam, jam analog, head unit Audio 20 tujuh inci, butang pemula enjin, pengawal suhu dua zon, penghadang cahaya untuk tingkap tepi dan cermin belakang, Parking Pilot dan kamera undur.

    Selain suspensi yang lebih tegap, tiada perubahan lain pada bahagian mekanikal. Ia masih lagi menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter turbo yang berkuasa 184 hp pada 5,500 rpm dan 300 Nm tork pada antara 1,200 hingga 4,000 rpm. Sebagai perbandingan, C 250 mampu menghasilkan 211 hp dan 350 Nm.

    Kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan. Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 7.2 saat, dan mencapai kelajuan maksimum 235 km/j, manakala penggunaan bahan api berada pada antara 5.6 hingga 6.1 l/100 km. Pilihan mod pemanduan Dynamic Select dan fungsi enjin start/stop datang secara standard.

    Anda boleh melayari laman web CarBase.my untuk melihat lebih lanjut berkenaan semua varian W205 ini dan juga membandingkannya dengan kenderaan lain.

     
     
  • Land Rover gusar tayang kereta konsep – lindungi pelaburan besar, bimbang ditiru lagi jenama China

    Land Rover gusar tayang kereta konsep – lindungi pelaburan besar, bimbang ditiru lagi jenama China

    Jika anda perasan, SUV baharu dari Land Rover – Range Rover Velar – didedahkan terus tanpa model konsepnya ditayang terlebih dahulu. Ini adalah kerana pengeluar SUV dari British berkenaan seakan trauma setelah insiden Evoque yang ditiru terus untuk penghasilan Land Wind X7 dari China sebelum ini.

    Bercakap kepada Autocar, ketua rekaan Land Rover Gerry McGovern berkata, “kami gusar untuk mendedahkan kereta konsep dalam berberapa tahun kebelakangan ini kerana anda boleh ditiru begitu sahaja.” Selepas peristiwa pahit tersebut, McGovern dan pasukannya telah diarahkan untuk mengkaji semula adakah perlu untuk menghasilkan kereta konsep bagi model-model akan datang untuk diprebiu.

    Land Rover gusar tayang kereta konsep – lindungi pelaburan besar, bimbang ditiru lagi jenama China

    McGovern turut menjelaskan ia adalah untuk melindungi pelaburan besar yang dibuat bagi menghasilkan model baharu iaitu antara £500 juta (RM2.8 bilion) dan £1 bilion (RM5.58 bilion), bergantung pada projek. Selepas model konsep DC100, Land Rover tidak lagi menayangkan mana-mana model konsep baharu, termasuk untuk model Defender generasi baharu yang sehingga kini masih tidak diketahui bagaimana rupanya nanti.

    Selepas Evoque ditiru bulat-bulat oleh Land Wind X7, Land Rover memfailkan saman terhadap pembuat SUV dari China tersebut – Jiangling Motor – kerana melanggar undang-undang hak cipta dan persaingan yang tidak adil. Namun jenama British berkenaan enggan mengambil tindakan undang-undang kerana peluang untuk menang adalah tipis serta mereka mungkin akan dianggap sebagai ‘membuli’ jenama tempatan oleh masyarakat China.

    GALERI: Land Wind X7

    GALERI: Range Rover Evoque sebenar

     
     
  • Toyota Fine Comfort Ride – 1,000 km satu isian penuh

    Toyota Fine Comfort Ride – 1,000 km satu isian penuh

    Toyota telah mendedahkan sebuah lagi kenderaan yang akan dibawa ke Tokyo Motor Show 2017, dan kali ini adalah sebuah “saloon premium” yang dikuasakan oleh fuel-cell (FCV) dan dinamakan sebagai Fine-Comfort Ride. Kenderaan ini memberi gambaran kepada “penggerak dalam masyarakat karbon rendah, dengan penggunaan teknologi maju hidrogen dan tenaga yang boleh diperbaharui.”

    Kerana ia panjang, Fine-Comfort Ride ini nampak seperti sebuah MPV, tetapi sebenarnya Toyota memanggilnya sebagai sebuah “saloon premium”. Ia mempunyai dimensi yang serba lebar, seterusnya dapat memaksimumkan bahagian dalam supaya lebih luas.

    Reka bentuk kenderaan ini adalah khas untuk kenderaan elektrik, dengan motor diletakkan pada setiap roda. Di bahagian bawah kenderaan pula terdapat pelindung yang dapat meningkatkan stabiliti dan menjadikan keadaan lebih senyap bagi penumpang.

    Pada bahagian dalam kenderaan ini, terdapat empat kerusi berasingan, yang masing-masing boleh dipusing dan mempunyai bentuk bulat yang seperti ‘membaluti’ tubuh penumpang. Selain boleh dipusing, ia juga boleh dibaringkan siap dengan perehat kaki. Paparan informasi di bahagian depan pula menggunakan sistem digital.

    Setakat ini, motor elektrik yang digunakan masih belum diberitahu mampu menghasilkan berapa banyak kuasa tetapi Toyota menyatakan kereta ini akan dikuasakan oleh elektrik dari sumber hidrogen. Ia boleh bergerak sehingga 1,000 km dalam satu isian penuh dan untuk mengisi semula hidrogen tersebut, ia cuma akan mengambil masa tiga minit.

     
     
  • HSR: Kerja-kerja tinjauan pembinaan di Melaka selesai

    HSR: Kerja-kerja tinjauan pembinaan di Melaka selesai

    Kerja-kerja tinjauan bagi pembinaan stesen High Speed Rail (HSR) antara KL-Singapore di Melaka telah selesai – koordinat dan kawasan yang diperlukan untuk projek berkenaan telahpun dikenal pasti, lapor Bernama.

    Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, projek berkenaan turut akan melibatkan pengambil alihan antara 60.7 hingga 80.9 hektar tanah penduduk di kawasan Durian Tunggal. “Kerja-kerja tinjauan sudah selesai, dan sekarang kami hanya menunggu tindakan seterusnya daripada MyHSR Corporation Sdn Bhd bagi urusan pengambil-alihan tanah dikawasan yang terlibat.

    “Ini dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat, dan kami juga telah mengenal pasti individu atau pihak yang terlibat di dalam urusan ambil alih tanah bagi projek ini. Mereka akan menerima pampasan sewajarnya,” jelas beliau.

    Stesen di Melaka menjadi stesen ke-empat perkhidmatan HSR itu. Projek berkenaan, yang dijangkan akan memulakan operasi pada 2026, akan menghubungkan bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Bangi, Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

     
     
  • Polestar 1 didedahkan – coupe dengan teknologi plug-in hybrid berkuasa 600 hp dan tork maksima 1,000 Nm

    Polestar 1 didedahkan – coupe dengan teknologi plug-in hybrid berkuasa 600 hp dan tork maksima 1,000 Nm

    Polestar 1 white exterior, front

    Setelah Polestar sah dipisahkan dari Volvo bulan lalu, kini sayap perlumbaan berkenaan memperkenalkan kereta sport di bawah jenamanya sendiri – Polestar 1. Coupe dengan teknologi plug-in hybrid (PHEV) berkenaan bakal diproduksi bermula petengahan 2019 nanti.

    Kereta ini dijana oleh unit janakuasa yang digelar ‘Electric Performance Hybrid’ yang menggabungkan enjin Volvo Drive-E 2.0 liter empat silinder untuk memacu roda hadapan, digabungkan dengan generator penghidup bersepadu (ISG) berkuasa 46 hp/150 Nm, manakala roda belakang pula dipacu sepasang motor elektrik (109 hp setiap satu) yang menerima suapan kuasa dari tiga pek bateri (kesemuanya berjumlah 34 kWh) dan turut diselia oleh sistem torque vectoring bagi memberikan cengkaman maksima ketika meredah selekoh.

    Menurut Volvo, keseluruhan unit janakuasa berkenaan mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 600 hp dan tork maksima 1,000 Nm dan kereta ini mampu dipandu dengan hanya kuasa elektrik sejauh 150 km. Kuasa yang besar tersebut dialirkan kepermukaan jalan menerusi set roda dengan rim 21-inci, dibaluti tayar 275/30R21 di hadapan dan 295/30R21 di belakang. Walau bagaimanapun, angka prestasi seperti pecutan 0-100 km/j dan juga kelajuan maksima masih belum diumumkan.

    Polestar 1 didedahkan – coupe dengan teknologi plug-in hybrid berkuasa 600 hp dan tork maksima 1,000 Nm

    Polestar 1 white exterior, 7/8 rear

    Polestar 1 ini dihasilkan menerusi platform Scalable Platform Architecture (SPA) dari Volvo iaitu asas yang sama bagi sedan/wagon S90 dan V90, serta SUV XC90 generasi terkini. Namun, platform tersebut telah dirombak semula oleh jurutera Polestar dengan hampir 50% asas berkenaan adalah baharu dan khas untuk jentera sport ini.

    Selain dari ubahsuai casis, Polestar 1 turut diberikan pelbagai teknologi baharu, antaranya sistem suspensi elektronik kawalan berterusan (CESi) dari Öhlins di mana kereta sport ini merupakan jentera pertama di dunia menggunakan sistem berteknologi tinggi berkenaan. Ia juga dipadankan dengan angkup brek enam piston aluminium monoblock dari Akebono pada bahagian hadapan, bersama cakera berliang dan ditebuk bersaiz 400×38 mm.

    Sekali pandang, rupa Polestar 1 ini saling tak tumpah dengan model konsep Volvo Concept Coupe yang muncul pada Frankfurt Motor Show 2013. Ia juga masih di reka dengan muka dan bahagian belakang yang hampir seiras dengan sedan S90 – menampilkan lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang Thor Hammer, serta lampu belakang berbentuk-C.

    Polestar 1 didedahkan – coupe dengan teknologi plug-in hybrid berkuasa 600 hp dan tork maksima 1,000 Nm

    Polestar 1 carbon body + drivetrain

    Pada bahagian sisi, rekaan Polestar 1 ini seakan diinspirasikan dari coupe klasik Volvo P1800 (dikenali juga sebagai Volvo The Saint). Bahagian belakang kereta ini juga turut dilihat menampilkan spoiler aktif yang boleh disorok, logo Polestar, dan juga empat tip ekzos.

    Badan Polestar 1 ini pula dibina dengan bahan polimer diperkukuh gentian karbon (CFRP) bagi menjadikan ia lebih ringan, memperbaiki ketegaran torsi sebanyak 45% dan turut membolehkan pusat gravity kekal rendah.

    Rekaan S90 turut dibawa ke bahagian dalam, di mana ia diberikan papan pemuka yang hampir seiras dengan versi sedan berkenaan, bersama skrin sesentuh menegak dan juga tombol gear kristal Orrefors. Bentuk roda stereng juga hampir serupa tetapi kali ini dipadankan dengan logo Polestar, manakala keseluruhan papan pemukan berkenaan pula diberikan kemasan gentian karbon.

    Polestar 1 didedahkan – coupe dengan teknologi plug-in hybrid berkuasa 600 hp dan tork maksima 1,000 Nm

    Polestar 1 interior, dashboard

    Coupe GT ini diberikan empat tempat duduk dengan konfigurasi 2+2. Berdasarkan gambar yang didedahkan, tempat duduk belakang turut direka mewah, serta penumpang bahagian tersebut turut boleh menikmati pemandangan bahagian atas dengan bumbung panaromik besar.

    Selepas dilancarkan nanti, Polestar 1 turut akan ditawarkan dengan skim sewaan selama dua atau tiga tahun menerusi skim Care By Volvo. Pelanggan perlu memohon skim ini secara dalam talian, dan mereka perlu membayar sewa bulanan untuk menyewa pelbagai model alternatif dalam rangkaian model Volvo dan Polestar.

    Kereta ini akan dihasilkan di Polestar Production Center yang terletak di Chengdu, China, di mana kilang berkenaan akan siap pada pertengahan 2018. Fasiliti tersebut termasuk dalam pelaburan RMB 5 bilion (sekitar RM 3 bilion) Volvo Cars dan pemilik jenama berkenaan, Geely Holding bagi menyokong fasa awal penghasilan produk, jenama dan pembangunan industri Polestar.

    Selepas Polestar 1 ini, jenama berkenaan akan tampil pula dengan Polestar 2 iaitu model elektrik sepenuhnya dari Volvo Car Group. Polestar 2 akan mula diproduksi pada lewat 2019 di China, dan akan dieksport kepasaran luar bagi memberikan saingan kepada Tesla Model 3. Selepas itu, SUV Polestar 3 pula akan dihasilkan dengan mensasarkan Tesla Model X sebagai saingan. Secara keseluruhan, sejumlah lima model elektrik sepenuhnya dari Polestar akan dilancarkan antara 2019 hingga 2021.

     
     
  • Porsche 718 GTS ditampilkan – Cayman dan Boxster

    Porsche 718 GTS ditampilkan – Cayman dan Boxster

    Porsche telah memperkenalkan model baharu 718 Boxster GTS dan 718 Cayman GTS, kedua-duanya menawarkan prestasi tahap tertinggi jika dibandingkan dengan varian S dan asas bagi model semasa.

    Model GTS enjin-pertengahan dijanakan oleh unit petrol 2.5 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 365 PS dan torque 430 Nm. Enjin ini menghasilkan lebih kuasa sebanyak 15 PS dan 10 Nm berbanding model 718 S, dan lebih 35 PS dan 60 Nm berbanding model 981 GTS generasi terdahulu.

    Ia juga ditawarkan sama ada transmisi manual enam-kelajuan atau Porsche Doppelkupplung (PDK) tujuh-kejaluan, dan model 718 GTS juga didatangkan secara standard dengan Sport Chrono Package, Porsche Torque Vectoring (PTV) bersama pengunci mekanikal belakang dan Porsche Active Suspension Management (PASM), dengan kerangka yang direndahkan sebanyak 10 mm.

    Bagi prestasinya, model GTS dengan PDK mampu dipacu dari pegun ke 100 km/j dalam hanya 4.1 saat, satu persepuluh lebih pantas berbanding 718 S. Bagi kelajuan maksimumnya, kedua-dua model ini mampu mencecah 290 km/j, iaitu lebih 5 km/j.

    Model GTS juga ditampilkan dengan apron hadapan Sport Design baharu untuk membezakannya dari model 718 biasa, di samping lampu utama dan lampu belakang dengan lapisan gelap. Elemen hitam juga banyak ditampilkan pada logo, apron belakang, roda 20-inci dan paip ekzos yang dipasang di tengah dengan sistem ekzos sport standard.

    Di dalamnya, GTS juga dipadankan dengan tempat duduk sport Alcantara dengan menampilkan logo GTS yang disulam pada perehat kepala. Malah ia turut didatangkan dengan roda stereng balutan Alcantara dan stopwatch iaitu sebahagian daripada Sport Chrono Package standard. Porsche Track Precision App (PTPA) juga turut ditampilkan, yang membolehkan pemandu merakam, memapar dan menganalisa data pemanduan secara automatik menerusi telefon pintar.

    Harga bermula dari 76,137 euros (RM379,311) untuk 718 Cayman GTS, sementara 718 Boxster GTS pula berharga 78,160 euros (RM389,390), dan kedua-duanya dibuka tempahannya di Jerman dan akan mula diproduksi pertengahan Disember 2017.



     
     
  • AmGeneral Insurance lancarkan perlindungan Auto365

    AmGeneral Insurance lancarkan perlindungan Auto365

    Syarikat penyedia insurans, AmGeneral Insurance telah mengumumkan produk terkininya, dikenali sebagai Auto365 Comprehensive Premier, sebuah pakej insurans yang diperkenalkan berikutan langkah liberalisasi insurans kenderaan yang bermula Julai lalu. Pakej ini disifatkan sebagai penawaran paling menyeluruh yang ada setakat ini.

    Pakej Auto365 ini turut merangkumi perlindungan bagi kerosakan yang tidak disengajakan, kerosakan akibat cubaan dicuri, objek yang dijatuhkan oleh pihak lain, bantuan tunda sejauh 200 km serta elaun ehsan di atas kehilangan kenderaan pada kadar sehingga 5% daripada nilai yang diinsuranskan atau RM5,000 bagi setiap kejadian, yang mana lebih rendah.

    Produk ini turut menawarkan jaminan tiga tahun bagi kerja-kerja yang dilakukan oleh bengkel yang disahkan, serta termasuk perlindungan sebahagiannya daripada kejadian yang disebebkan oleh alam sekitar bagi kerosakan sehingga 20% daripada jumlah yang diinsuranskan.

    “Kami kini berada di dalam kedudukan terbaik untuk memberikan perkhidmatan dan perlindungan yang menyeluruh kepada pelanggan, melalui rangakaian 7,000 ejen dan rakan kongsi diseluruh negara. Auto365 akan menjadi pemangkin kepada strategi liberalisasi insurans kami seterusnya,” jelas CEO AmGeneral Insurance, Derek Roberts.

    Sama seperti pendekatan yang dikenakan berkait liberalisasi insurans kenderaan di sini, harga bagi pakej Auto 365 akan dinilai berdasarkan profil risiko pelanggan individu, dan bukannya seperti yang diamalkan sebelum ini.

     
     
  • Harga minyak bagi minggu 19-25 Oktober – naik 1 sen

    Harga minyak bagi minggu 19-25 Oktober – naik 1 sen

    Sepanjang minggu lalu, harga bahan api petrol dan diesel turun antara 3 sen hingga 7 sen seliter. Trend itu bagaimanapun bertukar pula minggu ini; harga bahan api secara keseluruhannya mencatatkan kenaikan berbanding minggu lalu.

    Bagi minggu keempat, dari 19 hingga 25 Oktober 2017, harga minyak petrol akan dijual pada kadar baru – RON 95 akan naik sebanyak satu sen seliter menjadi RM2.17 untuk seliter. Sementara bagi RON 97 juga sama, naik satu sen seliter, menjadikan harga barunya esok ialah RM2.47 seliter.

    Harga minyak bagi minggu 19-25 Oktober – naik 1 sen

    Bagi diesel pula, harga runcitnya sama juga akan naik sebanyak satu sen berbanding harga terakhirnya. Ini menjadikan diesel Euro 2 akan dijual pada harga RM2.11 seliter, manakala diesel Euro 5 pula dijual pada harga RM2.21 seliter. Semua harga ini akan berkuat kuasa tengah malam nanti sehingga Rabu, 25 Oktober 2017.

     
     
  • Mercedes-Benz panggil balik sejuta kenderaan – masalah beg udara, empat pasaran terlibat ketika ini

    Mercedes-Benz panggil balik sejuta kenderaan – masalah beg udara, empat pasaran terlibat ketika ini

    Lebih dari sejuta kenderaan Mercedes-Benz dipanggil balik seluruh dunia untuk mengelak kebarangkalian beg udaranya diaktifkan tanpa sengaja, lapor Reuters. Program berkenaan meliputi kenderaan penumpang yang dibuat pada 2012 hingga 2017, merangkumi model-model seperti A-Class, B-Class, C-Class (W204 dan W205), E-Class (W212 sahaja), CLA, GLA dan GLC.

    Masalah berkenaan, seperti yang dijelaskan oleh Daimler AG, disebabkan oleh nyah-cas elektrostatik, bersekali dengan gelung pemasa yang rosak serta komponen asas pemasangan stereng yang tidak cekap boleh membawa kepada beg udara diaktifkan secara tidak sengaja bagi sebelah pemandu. Untuk mengatasi masalah ini, proses pembetulan akan melibatkan tambahan pada bahagian asas atau tapak komponen stereng akan dilakukan.

    Panggilan semula ini melibatkan sejumlah 495,000 kenderaan di Amerika Syarikat, 400,000 di Britain, 76,000 di Kanada dan beberapa ribu lagi di Jerman. Ketika ini, masih belum diketahui sama ada model-model yang dijual dipasaran selain yang dinyatakan ini akan terlibat sama. Begitu juga untuk Malaysia – masih belum ada apa-apa makluman daripada Mercedes-Benz Malaysia.

    Setakat ini, sudah terjadi beberapa kes pemandu terkesan daripada masalah ini, dengan kesan kecederaan ringan seperti lebam dialami, jelas jurucakap Mercedes-Benz di Amerika Syarikat. Bagaimanapun, belum ada kematian yang direkodkan. Syarikat itu menjelaskan, isu ini tidak ada kena mengena dengan panggilan semula global oleh Takata yang berlangsung sebelum ini.

     
     
  • Honda Malaysia perkenal khidmat Ultra Body Coating

    Honda Malaysia perkenal khidmat Ultra Body Coating

    Pengguna di Malaysia seringkali mahukan khidmat sepenuhnya dari pusat servis bertauliah berkenaan segala aspek penjagaan kereta mereka, bagi memastikan mereka mendapat khidmat terbaik dari pakar, termasuk penjagaan cat dan grooming. Untuk pemilik Honda, anda kini boleh mendapatkan khidmat tersebut kerana Honda Malaysia kini memperkenalkan khidmat Ultra Body Coating menerusi pengedar-pengedar mereka.

    Untuk perkhidmatan ini, Honda Malaysia menggunakan produk mereka sendiri iaitu set lengkap Ultra Body Coating yang telah diuji dan diluluskan oleh Honda Access iaitu jenama bagi aksesori asli Honda di Jepun. Set tersebut menggunakan bahan coating berasaskan kaca dengan kadar kekerasan 9H yang cukup untuk melindungi cat asli kereta Honda anda dari cuaca panas, pancaran UV, habuk besi, najis burung, tar dan juga batu-batu kecil, menurut Honda.

    Dengan sekali penggunaan khidmat Ultra Body Coating ini, ia mampu memberikan perlindungan serta kilauan yang boleh bertahan selama tiga tahun.

    Buat masa sekarang, Honda Malaysia menawarkan perkhidmatan ini dengan harga RM2,880 termasuk upah kerja dan GST dan ia turut diberikan waranti selama tiga-tahun serta dua kali sesi selenggara percuma yang perlu dilakukan setiap enam bulan sekali untuk tempoh setahun pertama. Caj tambahan hanya perlu di bayar jika selenggara tambahan perlu dibuat selepas itu (tertakluk pada terma dan syarat).

    Pemilik Honda yang berminat boleh membawa kereta mereka ke pengedar bertauliah, yang akan membantu untuk mengatur servis tersebut. Perkhidmatan Ultra Body Coating ini dijalankan di seluruh negara kecuali di Langkawi, Labuan, Miri, Sibu dan Bintulu.

     
     
  • PM lancar konsep rekaan stesen HSR KL-SG

    PM lancar konsep rekaan stesen HSR KL-SG

    Hari ini telah berlangsungnya majlis mempersembahkan reka bentuk konsep stesen Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) yang turut disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Setiap stesen mengambil identiti dan warisan Malaysia namun pada masa sama yang sama masih mengadaptasikan ciri moden dan futuristik.

    Najib berkata setiap daripada tujuh stesen di Malaysia itu adalah berdasarkan kajian meluas berserta usaha yang bukan sedikit dengan reka bentuknya bukan sahaja mengetengahkan elemen unik setiap bandar raya tetapi juga kreativiti dan inovasi tatkala negara menuju masa depan.

    “Pasukan pereka bentuk mengambil pendekatan perjalanan (MYJourney) dan mengaplikasikan tujuh tema utama iaitu MYGateway, MYPeople, MYVision, MYHeritage, MYFuture, MYCulture dan MYEncounter pada setiap daripada tujuh stesen di sepanjang laluan.

    PM lancar konsep rekaan stesen HSR KL-SG

    “Saya sendiri terlibat dalam memastikan setiap stesen mengekalkan cerminan identiti dan warisan Malaysia yang ketara sambil pada masa sama berciri moden dan futuristik,” katanya berucap dalam majlis berkenaan, laporan Bernama.

    Mengulas konsep reka bentuk terbabit, Perdana Menteri berkata untuk stesen pertama iaitu Bandar Malaysia di Kuala Lumpur, reka bentuknya merupakan terjemahan semula pertembungan Sungai Klang dan Gombak iaitu simbolik perpaduan semua lapisan masyarakat.

    Bagi stesen Bangi-Putrajaya yang terletak di sempadan Selangor dan Putrajaya, Najib berkata reka bentuknya dipengaruhi ciri-ciri seni bina Islam manakala stesen Seremban direka bentuk berdasarkan keagungan Istana Seri Menanti serta kehijauan hutan tropika Lembah Wawasan Malaysia.

    Apabila sampai di Melaka, inspirasi diperoleh daripada sejarah Melaka sebagai pelabuhan perdagangan strategik pada zaman kegemilangannya, justeru reka bentuk stesen Melaka adalah berdasarkan imej kapal dagang, simbol semangat keusahawanan masyarakat setempat.

    “Bergerak ke selatan ke negeri Johor, stesen Muar mencerminkan kekayaan elemen kebudayaan Melayu dan diinspirasikan oleh rehal yang lazimnya digunakan untuk meletakkan al-Quran ketika pelajar belajar membacanya. Reka bentuk itu merupakan simbol akan kepentingan pembelajaran yang ditanam dalam kebudayaan kita sejak sekian lama dan terus menjadi tonggak identiti kita sekarang dan pada masa depan,” kata beliau.

    Ujarnya lagi, bagi Stesen Batu Pahat pula, ia diinspirasikan oleh kuda kepang yang memberi keseimbangan antara warisan dan pemodenan, manakala stesen Iskandar Puteri diinspirasikan menerusi representasi berjabat tangan, menunjukkan peranan bandar itu sebagai bandar raya serantau untuk perdagangan bagi menjalankan perniagaan pada masa depan serta pertemuan antarabangsa, digabungkan dengan daya tarikan dan kemesraan Malaysia.

    HSR yang disasarkan beroperasi pada 2026, akan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura. Projek sepanjang 350 km itu akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan melebihi 300 km sejam.

     
     
  • Keeway Cafe Racer 152, K-Light 202 dan Patagonian Eagle tiba di M’sia – harga RM6.5k, RM9.1k dan RM10k

    Keeway Cafe Racer 152, K-Light 202 dan Patagonian Eagle tiba di M’sia – harga RM6.5k, RM9.1k dan RM10k

    Selain Benelli Leoncino, MForce Bike Holdings Sdn Bhd turut melancarkan tiga lagi motosikal berjenama Keeway iaitu Cafe Racer 152, K-Light 202 dan Patagonian Eagle untuk pasaran Malaysia. Harga motosikal ini adalah masing-masing RM6,521, RM9,103 dan RM9,951 termasuk GST, tetapi tanpa insurans, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Melihat pertamanya kepada Cafe Racer 152, ia adalah sebuah motosikal gaya klasik ringkas yang dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok 149 cc, dan padanan kotak gear lima kelajuan. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 11.4 hp pada 8,500 rpm dan 11.1 Nm tork pada 6,000 rpm. Enjin ini masih lagi menggunakan sistem karburetor dan sistem penyejukan udara.

    Pada bahagian hadapan, terdapat rim 17 inci, brek cakera tunggal 220 mm, manakala di belakang pula terdapat rim 17 dan brek dram 130 mm. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 108 kg, ketinggian tempat duduk 770 mm dan tangki minyak 12.1 liter. Pilihan warna yang diberi adalah hitam dan biru.

    Seterusnya adalah K-Light 202, yang juga mempunyai gaya retro. Model ini dipacu oleh enjin satu silinder empat strok 197 cc, bersama padanan kotak gear lima kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 12.9 hp pada 7,500 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,000 rpm. Sistem bahan api pada motosikal ini juga menggunakan karburetor dan pemilik boleh memulakan enjin dengan menggunakan pemula tendang atau elektrik.

    Kelengkapan asas pada motosikal ini antaranya adalah brek cakera tunggal 280 mm di hadapan, cakera 240 mm di belakang, panel meter digital, dua suspensi belakang, tangki minyak 11.8 liter, berat 143.5 kg, tinggi tempat duduk 715 mm dan jarak roda 1,440 mm. Pilihan warna yang diberi pula adalah hitam dan merah.

    Sebuah lagi model Keeway yang diperkenalkan, Patagonian Eagle menawarkan tunggangan lebih santai, dengan kuasa datang daripada enjin dua silinder 249 cc dan kotak gear lima kelajuan, menghasilkan 17.4 hp pada 8,000 rpm dan 16.5 Nm tork pada 6,000 rpm. Sistem bahan apinya juga adalah menggunakan karburetor, dan kuasa disampaikan ke tayar belakang oleh rantai.

    Berat keseluruhan motosikal ini adalah 145 kg, dan dilengkapi dengan brek cakera 260 mm di hadapan, brek dram 130 mm di belakang, tangki minyak 12 liter, tinggi tempat duduk 695 mm, rim 18 inci di hadapan, 15 inci di belakang dan penyandar untuk penumpang belakang. Pilihan warna yang ada untuk motosikal ini adalah hitam matte dan merah matte.

    Kesemua motosikal Keeway yang baru dilancarkan ini, walaupun sudah mempunyai harga seperti yang diberitahu di atas, walaubagaimanapun hanya akan berada di pasaran pada bulan Februari 2018.

    GALERI: Keeway Cafe Racer 152


    GALERI: Keeway K Light 202

    GALERI: Keeway Patagonian Eagle

     
     
  • Hoverbike – motosikal terbang untuk polis Dubai

    Pasukan Polis Dubai terkenal dengan dengan aset-aset mewahnya yang terdiri dari pelbagai kereta peronda eksotik seperti Mercedes-AMG G 63, McLaren 570S, dan banyak lagi. Terbaharu, pasukan berkenaan menerima satu lagi senjata unik untuk memerangi jenayah di negara yang kaya dengan hasil petroleum berkenaan iaitu Hoverbike atau motosikal yang boleh terbang.

    Jentera yang kelihatan seperti dron ini didedahkan pada acara Gulf Information Technology Exposition (GITEX), dan dibina oleh syarikat Hoversurf dari Rusia. Pembinaan ‘motosikal terbang’ ini diasaskan dari produk Hoversurf sendiri, dari model Scorpion-3.

    Bagi versi yang dihasilkan untuk polis Dubai ini, jentera berkenaan mampu terbang pada altitud lima meter dan ia mampu mencapai kelajuan maksima 70 km/j. Hoverbike ini digerakkan dengan motor elektrik janaan bateri, boleh berfungsi selama 25 minit bagi setiap cas penuh.

    Dengan spesifikasi yang dinyatakan, jelas Hoverbike ini tidak berkemampuan untuk beraksi dalam adegan kejar-mengejar kelajuan tinggi, namun buat masa ini polis Dubai akan menggunakannya sebagai kenderaan pertama yang akan sampai ke tempat-tempat yang sukar untuk di jangkau oleh kenderaan biasa contohnya di tengah-tengah kesesakan jalan raya.

    Dengan kemampuan untuk membawa muatan 272 kg, ia lebih dari cukup untuk membawa seorang anggota keselamatan untuk ketempat-tempat sukar berkenaan dan mampu membuat tugas-tugas dron dengan jarak sehingga enam kilometer.

     
     
  • Benelli Leoncino dilancar – enjin 500 cc 47 hp, RM30k

    Benelli Leoncino dilancar – enjin 500 cc 47 hp, RM30k

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd telah melancarkan sebuah model Benelli baru untuk pasaran Malaysia iaitu Leoncino. Model ini membawa gaya srambler klasik, tetapi dilengkapi dengan teknologi moden, dan dipasarkan pada harga RM29,678 termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan kos pendaftaran lain. Walaubagaimanapun, motosikal ini hanya akan mula berada di pasaran pada bulan Disember tahun ini.

    Penggerak Leoncino adalah unit enjin dua silinder selari 499.6 cc DOHC empat strok, dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 47 hp dan 45 Nm tork. Sistem bahan apinya adalah menggunakan suntikan elektronik (EFI), manakala penyampaian kuasa dilakukan oleh rantai ke roda belakang.

    Walaupun mempunyai rupa klasik, Leoncino dilengkapi dengan teknologi moden antaranya termasuk lampu utama dan lampu penunjuk arah LED, panel meter digital, fork hadapan USD dan suspensi belakang monoshock boleh laras. Brek hadapan cakera 320 mm berkembar dengan angkup empat piston dan brek belakang cakera 260 mm dengan angkup dua piston padanya juga dilengkapi dengan sistem ABS.

    Berat keseluruhan Leoncino adalah 196 kg, dan ia dilengkapi dengan tangki minyak 12.7 liter. Ukurannya pula adalah 2,160 mm panjang, 875 mm lebar, 1,160 mm tinggi, tinggi tempat duduk 810 mm dan jarak roda 1,460 mm. Pada bahagian rim, unit yang digunakan adalah bersaiz 17 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang.

    Benelli Leoncino dipasang di Malaysia, tetapi setakat ini, semua barangannya masih lagi diimport. Orang ramai diberi pilihan dua warna untuk Leoncino iaitu hitam dan merah, manakala jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Mitsubishi bakal belanjakan $5.35 bilion dalam 3 tahun

    Mitsubishi bakal belanjakan $5.35 bilion dalam 3 tahun

    Selepas diselamatkan oleh Nissan tahun lalu, Mitsubishi Motors kini bangkit daripada masalah kewangan yang dihadapinya. MMC merancang untuk membelanjakan lebih dari 600 juta yen ($5.35 bilion) bagi perbelanjaan kapital serta R&D bagi tempoh tiga tahun akan datang.

    Peruntukan besar untuk perbelanjakan ini adalah sebahagian usaha untuk memulihkan perniagaan syarikat itu selepas skandal manipulasi ujian penggunaan minyak, yang diakui MMC pada April 2016. Ini menurut Nikkei, yang turut menambah bahawa rancangan untuk membelanjakan 5% daripada jualan tahunan untuk peralatan dan jumlah yang sama untuk R&D.

    Perincian lanjut akan didedahkan kemudian, bersama rancangan jangka sederhana. Bagaimanapun, media Jepun dana berkenaan akan digunakan bagi pembangunan kenderaan elektrik dan untuk merancakkan pengeluaran jenama itu di China dan Indonesia.

    Mitsubishi bakal belanjakan $5.35 bilion dalam 3 tahun

    Bulan lalu, pakatan Renault Nissan Mitsubishi mendedahkan perancangan enam-tahun yang ditelah ditetapkan dengan angka-angka yang mengejutkan. Dengan MMC menyertai pakatan ini, matlamatnya juga semakin meluas – ini termasuk menggandakan perolehan tahunan bersama sebanyak €10 bilion dipenghujung rancangan itu nanti, dengan lebih daripada sembilan juta kenderaan berkongsi empat platform yang sama. Perkongsian enjin dan transmisi juga akan menampung 75% jualan keseluruhan.

    “Untuk mencapai sasaran ini, di satu sisi, Renault, Nissan dan Mitsubishi akan menggiatkan usahasama perkongsian platform, sistem janaan kuasa dan kenderaan elektrik, autonomous dan teknologi rangkaian generasi baru. Di sisi lain pula, usahasama perlu dijalinkan berdasarkan skala yang semakin besar ini. Sasaran jualan tahunan keseluruhan ialah agar ia melebihi 14 juta unit kenderaan, dengan keuntungan dijangka $240 bilion sepanjang tempoh rancangan itu,” jelas Pengerusi dan CEO pakatan itu, Carlos Ghosn.

     
     
  • Mitsubishi Electric Emirai 4 – kereta konsep pintar, penuh ciri keselamatan, bakal didedahkan di Tokyo

    Mitsubishi Electric Emirai 4 – kereta konsep pintar, penuh ciri keselamatan, bakal didedahkan di Tokyo

    Kereta konsep Mitsubishi Electric Emirai 4 bakal didedahkan di Tokyo Motor Show tahun ini. Mitsubishi Electric? ya, ini bukan divisi automotif Mitsubishi yang membina Lancer dan Pajero, sebaliknya syarikat yang menghasilkan peti sejuk dan televisyen dengan jenama Mitsubishi.

    Kereta ini diberikan sistem bantuan pemanduan yang disasarkan untuk mengurangkan kemalangan dengan bantual visual, termasuk paparan head-up bersama sistem augmented reality yang menggunakan pemetaan dan kedudukan 3D berketepatan tinggi. Sistem tersebut menggunakan tanda-tanda jalan bagi membantu pemandu mengawal kenderaan dengan selamat walaupun dalam cuaca yang sangat buruk dan penglihatan yang terhad.

    Model konsep ini juga dipadankan dengan ‘knob-on display’, iaitu tombol gelangsar yang membolehkan pemandu mengoeprasikan pelbagai fungsi tanpa mengubah pandangannya dari melihat jalan. Tombol gelangsar berkenaan berfungsi sebagai kunci utama yang boleh dikonfigurasikan bagi membolehkan fungsi yang ditugaskan pada tombol berkenaan boleh diubah ke dalam kumpulan yang spesifik, bagi menjadikan kawasan konsol tengah tersebut lebih ringkas.

    Mitsubishi Electric Emirai 4 – kereta konsep pintar, penuh ciri keselamatan, bakal didedahkan di Tokyo

    Bagi memperbaiki penglihatan di sekeliling kereta ini, paparan imej silang diberikan, yang terdiri dari separuh cermin bersama panel LCD pepenjuru dan juga sebuah lagi panel LCD yang diletakkan secara menegak bagi memberikan imej sekeliling dalan bentuk maya 3D. Ini akan memberikan pengawasan yang lebih baik kepada pemandu dalam bentuk imej menegak.

    Penumpang di dalam kenderaan turut akan dipantau. Ia dilengkapi dengan kamera sudut lebar untuk bahagian dalaman bagi mendapatkan imej kepala pemandu dan penumpang hadapan. Postur kepala kedua-duanya digunakan bagi mengelakkan apa-apa yang boleh menyebabkan pemanduan secara bahaya, dan juga membolehkan penukaran antara pemanduan manual dan pemanduan sendiri dijalankan secara lancar.

    Sistem lampu pada Emirai ini turut digunakan sebagai sistem keselamatan. Penderia pada badan kereta akan mengesan bila pintu akan dibuka, dan ia akan menyalakan lampu pada kereta dan juga lampu petunjuk yang dihalakan pada permukaan jalan, bagi memberikan amaran kepada pengguna jalan raya berdekatan bahawa pintu akan dibuka dan mungkin akan menghalang laluan mereka.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026