Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Toyota, Lexus diiktiraf jenama paling dipercayai di AS

    Toyota, Lexus diiktiraf jenama paling dipercayai di AS

    Consumer Reports (CR) baru sahaja mengeluarkan keputusan bagi tinjauan mereka berkenaan kebolehpercayaan jenama kenderaan di Amerika Syarikat bagi tahun 2017, dan sekali lagi, Toyota dan Lexus didapati mendominasi tempat teratas.

    Jenama yang paling meningkat walaubagaimanapun adalah BMW dan Subaru, dengan masing-masing naik empat dan lima tangga. Mercedes-Benz juga berjaya meningkat naik tiga tempat, tetapi masih berada di tempat ke-14 secara keseluruhan, di bawah Porsche.

    Menurut CR, “kedudukan jenama ini didapati berdasarkan markah purata Jangkaan Kebolehpercayaan (kiraan mata 0-100) untuk setiap model yang ditawarkan.” Selain itu juga, tinjauan ini hanya berkenaan pasaran Amerika Syarikat, dan tidak berkaitan dengan pasaran lain.

    Tambah menarik, CR turut mendedahkan model yang paling boleh dipercayai dan paling tidak boleh dipercayai bagi setiap jenama, dan 86 Coupe dinobat sebagai model Toyota yang paling boleh dipercayai. Bagi Honda, kenderaan mereka yang paling tidak boleh dipercayai adalah Ridgeline.

    Toyota, Lexus diiktiraf jenama paling dipercayai di AS
    Toyota, Lexus diiktiraf jenama paling dipercayai di AS
    Toyota, Lexus diiktiraf jenama paling dipercayai di AS

     
     
  • Honda Malaysia panggil semula 2,814 unit HR-V tahun 2016 – palang penstabil depan dikhuatiri mudah patah

    Honda Malaysia panggil semula 2,814 unit HR-V tahun 2016 – palang penstabil depan dikhuatiri mudah patah

    Honda Malaysia hari ini mengumumkan panggilan semula sejumlah 2,814 unit Honda HR-V bagi model buatan tahun 2016 bagi tujuan penggantian palang penstabil. Stok bagi alat ganti yang ada kini mampu menampung sehingga 50% keperluan program ini, dan akan meningkat kepada 100% pertengahan November 2017.

    Ini adalah berikutan palang penstabil di bahagian depan berkemungkinan patah jika berhadapan dengan tekanan tinggi. Bagaimanapun, model lain yang dijual oleh Honda Malaysia tidak terlibat dengan panggilan semula ini.

    Menurut Honda Malaysia, kemungkinan palang penstabil itu patah adalah disebabkan kawalan suhu yang tidak tepat ketika proses pengeluarannya, memberi kesan terhadap ketahanan keseluruhannya. Ini dikhuatiri berkemungkinan akan menyebabkannya patah dalam keadaan tekanan tinggi. Jika ia patah, kesannya adalah roda hilang keseimbangan dan menyebabkan pemanduan menjadi tidak stabil dengan kenderaan akan tertolak ke sebelah kanan atau kiri.

    Honda Malaysia panggil semula 2,814 unit HR-V tahun 2016 – palang penstabil depan dikhuatiri mudah patah

    Namun, setakat ini tiada apa-apa kes kemalangan atau kecederaan yang dilaporkan berkaitan masalah ini di Malaysia. Honda Malaysia mengambil langkah awal untuk berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan pelanggan terjamin, dan memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi oleh semua pelanggan terlibat.

    Semua palang penstabil yang terkesan akan digantikan dengan alat ganti baru. Pelanggan yang terlibat di dalam panggilan semula ini akan dihubungi melalui surat, yang turut akan disertakan dengan perincian selanjutnya. Pelanggan diminta untuk membawa kenderaan mereka ke pusat servis Honda terdekat bagi pemeriksaan dan penggantian alatan berkenaan. Semua kos akan ditanggung oleh Honda Malaysia.

    Honda Malaysia juga sangat-sangat menggalakkan semua pelanggan yang terlibat agar menggantikan palang penstabil kenderaan mereka secepat mungkin sebaik menerima surat. Ini kerana jika patah, ia boleh membawa kepada kebocoran tayar dan pemanduan yang tidak stabil. Pelanggan boleh juga menghubungi Honda Malaysia untuk menyemak status kenderaan mereka melalui laman www.honda.com.my atau www.productrecall.honda.com.my serta boleh juga hubungi talian bebas tol 1-800-88-2020.

     
     
  • Mitsubishi e-Evolution Concept – pernyataan terhadap strategi global baru yang akan diumumkan di Tokyo

    Mitsubishi e-Evolution Concept – pernyataan terhadap strategi global baru yang akan diumumkan di Tokyo

    Untuk Tokyo Motorshow 2017, Mitsubishi akan memperkenalkan model e-Evolution Concept. Yang menariknya, kereta yang dipamerkan ini menggunakan semula nama “Evolution”, tetapi dalam bentuk serta teknologi yang baru dan bukannya dalam pakej sebelum ini.

    Model crossover konsep ini akan turut menggunakan sistem 4WD dengan tiga motor elektrik dan sistem artificial intelligence yang dibangunkan syarikat itu. Dan menurut Mitsubishi, ada banyak lagi perkara menarik tentang kereta ini dari sudut reka bentuk dan teknologi yang melengkapinya – model konsep ini menandakan permulaan era baru bagi syarikat itu.

    Mitsubishi e-Evolution Concept ini disifatkan sebagai “penerapan bagi pembaharuan strategi global Mitsubishi Motors”, “sebuah pernyataan impian Mitsubishi Motors untuk menjelah masa depan yang baru” serta “kembalinya jatidiri jenama Mitsubishi seperti yang pernah diingati”.

    Yang dimaksudkan itu adalah pendirian dan kemampuan jenama ini terhadap peralihan teknologi dan reka bentuk, pendekatan syarikat terhadap perniagaan global serta perhubungan antara Mitsubishi dengan pelanggan.

    Tahun ini merupakan pameran ditempat sendiri bagi Mitsubishi selepas syarikat itu diselaamtkan oleh Nissan tahun lalu, berikutan skandal manipulasi penggunaan bahan api. Jenama itu kini menjadi sebahagian daripada Pakatan Renault Nissan Mitsubishi, dan Carlos Ghosn, orang yang bertanggungjawab memulihkan Nissan, akan mengetuainya.

    Minggu lalu, dilaporkan Mitsubishi akan memperuntukkan 600 bilion Yen ($5.35 bilion) untuk perbelanjaan kapital dan R&D bagi tempoh tiga tahun sehingga 2019, sebagai usaha memulihkan perniagaan syarikat itu.

    Bulan lalu, pakatan Renault Nissan Mitsubishi mendedahkan perancangan enam-tahun yang ditelah ditetapkan dengan angka-angka yang mengejutkan. Dengan MMC menyertai pakatan ini, matlamatnya juga semakin meluas – ini termasuk menggandakan perolehan tahunan bersama sebanyak €10 bilion dipenghujung rancangan itu nanti, dengan lebih daripada sembilan juta kenderaan berkongsi empat platform yang sama. Perkongsian enjin dan transmisi juga akan menampung 75% jualan keseluruhan.

    “Untuk mencapai sasaran ini, di satu sisi, Renault, Nissan dan Mitsubishi akan menggiatkan usahasama perkongsian platform, sistem janaan kuasa dan kenderaan elektrik, autonomous dan teknologi rangkaian generasi baru. Di sisi lain pula, usahasama perlu dijalinkan berdasarkan skala yang semakin besar ini. Sasaran jualan tahunan keseluruhan ialah agar ia melebihi 14 juta unit kenderaan, dengan keuntungan dijangka $240 bilion sepanjang tempoh rancangan itu,” jelas Pengerusi dan CEO pakatan itu, Carlos Ghosn.

     
     
  • SPAD lakukan pemeriksaan latar belakang pemandu Grab, Uber – pastikan tiada rekod jenayah dan trafik

    SPAD lakukan pemeriksaan latar belakang pemandu Grab, Uber – pastikan tiada rekod jenayah dan trafik

    Pemeriksaan latar belakang terhadap pemandu Grab dan Uber kini sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Pemeriksaan itu dijalankan dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM untuk memastikan pemandu-pemandu tidak pernah memiliki rekod jenayah serta rekod trafik yang selamat dan bersih.

    CEO SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah menjelaskan perkara ini ketika berlangsungnya Simposium Pengangkutan Awam Darat 2017 di Kuala Lumpur. “Sebaik saja kami selesai dengan pemeriksaan berkenaan, kami akan mendaftarkan mereka dengan suruhanjaya ini,” ujar beliau, seperti dilaporkan oleh The Sun.

    Menurut beliau lagi, kedua-dua syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan memberi kerjasama yang sangat baik dalam usaha ini. Berkaitan perkhidmatan perkongsian basikal oBike pula, Azharuddin berkata SPAD menyokong idea berkenaan, tetapi menekankan suruhanjaya itu bukanlah sebuah pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyelia perkhidmatan itu.

    “Yang bertanggungjawab berbuat demikian ialah pihak berkuasa tempatan di mana ia beroperasi, dan kami sentiasa bersedia membantu pihak berkuasa terlihat di dalam mewujudkan satu skim kawal selia yang lebih jelas tentang bagaimana cara sebaiknya perkhidmatan itu boleh dikawal selia,” tambah beliau.

    Ini adalah sebagai maklumbalas dari insiden terbaru yang melibatkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menyita 250 unit basikal oBike. Itu adalah kerana basikal berkenaan didakwa menghalang laluan dibeberapa tempat. Perkara berkenaan bagaimanapun telah diselesaikan.

     
     
  • Singapura tetapkan sifar pertumbuhan bagi kenderaan menjelang Januari 2018 – jualan tidak diberhentikan

    Singapura tetapkan sifar pertumbuhan bagi kenderaan menjelang Januari 2018 – jualan tidak diberhentikan

    Pihak berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) telah mengumumkan bahawa kadar pertumbuhan bagi jualan kereta dan motosikal dalam kategori A, B dan D pada tahap sifar bermula Februari 2018. Ketika ini, kadar pertumbuhan berkenaan berada pada tahap 0.25%. Menurut Todayonline, had terakhir yang dilakukan sebelum ini ialah pada Februari 2015 – separuh daripada 0.5% kepada 0.25%. Kadar pertumbuhan kenderaan itu akan dinilai semula pada 2020.

    Had bagi kadar pertumbuhan itu, menurut LTA, adalah disebabkan kekangan keluasan tanah dan kerja-kerja penambahbaikan terhadap sistem pengangkutan awam. Ketika ini, 12% daripada permukaan tanah di pulau itu terdiri daripada jalan raya, sebaliknya rangakaian jajaran keretapi telah meningkat sebanyak 30% dalam tempoh enam tahun lalu. Projek baru turut giat dijalankan, misalnya menambah bilangan bas pada laluan baru.

    Bagaimanapun, kadar pertumbuhan bagi kenderaan kategori C (bas dan kenderaan perdagangan) kekal pada 0.25% sehingga 2021. Ini bagi memberi masa yang lebih kepada pemilik perniagaan untuk mempersedia dan mempertingkat kecekapan operasi logistik mereka – termasuk mengurangkan bilangan kenderaan perdagangan yang diperlukan.

    LTA menjangkakan langkah ini tidak akan memberi kesan terhadap pembekalan Certificate of Entitlement (COE), yang ditentukan sebelum ini melalui jumlah kenderaan yang digugurkan pendaftarannya. Langkah ini akan membolehkan COE yang dikeluarkan menepati jumlah kenderaan yang digugurkan pendaftarannya, dengan mengambil kira pertumbuhan sifar terbabit. Bagaimanapun, ini tidaklah bermaksud bahawa jualan kenderaan di Singapura akan diberhentikan.

    Bagi pengeluaran COE pula, difahamkan kuota bagi November 2017 hingga Januari 2018 akan menguncup sebanyak 5.3% dari suku semasa tahun ini – kepada hanya 25,913 selepas digabungkan bagi semua kategori kenderaan. Bekalan sijil bagi kategori A (kereta kecil hingga 1,600 cc), C dan kategori terbuka semuanya akan terkesan dengan langkah ini.

    Tetapi, bagi kategori B (kereta besar 1,600 cc ke atas) menyaksikan kenaikan sebanyak 7% kepada 8,246, sementara kategori D (motosikal) akan melonjak dari 2,862 kepada 3,053 (naik 6.67%). Walaupun memiliki kenderaan masih menjadi aspirasi bagi sesetengah orang, penting juga untuk ambil maklum bawaha dengan langkah ini, harga kenderaan mungkin akan lebih tinggi. Ini akan memaksa lebih ramai orang mengambil pilihan yang lebih ekonomikal – guna pengangkutan awam.

     
     
  • Malaysia Speed Festival (MSF) akan tampilkan siri Drift Gonzo semasa pusingan akhir 2 dan 3 Disember ini

    Malaysia Speed Festival (MSF) akan tampilkan siri Drift Gonzo semasa pusingan akhir 2 dan 3 Disember ini

    Acara perlumbaan terbesar tempatan, Malaysia Speed Festival (MSF) akan melancarkan siri cabaran drift yang pertama semasa pusingan akhirnya 2 dan 3 Disember ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

    Siri drift ini dipanggil sebagai MSF Drift Gonzo, dan akan menjadi sebahagian daripada acara dalam festival selama dua hari ini. Sebagai tambahan kepada perlumbaan MSF Racing Series, acara lain yang juga akan berlangsung adalah MSF Superbike Track Day, pameran kenderaan Mcclubz serta pengenalan semula acara catatan masa MSF Megalap. Turut disediakan adalah jualan makanan dan ruang bermain untuk kanak-kanak.

    Apa sebenarnya MSF Drift Gonzo ini? Ia bukanlah acara drift biasa yang akan melepaskan dua kereta serentak, tetapi satu persatu, dan pemandu perlu ‘melanggar’ beberapa sasaran di dalam litar untuk mendapatkan mata. Litar tersebut akan terletak di ruang letak kereta P2 dan P5, dan permukaannya akan dibasahkan.

    Dalam siri drift ini juga akan terdapat tiga kategori iaitu Super 1600, Street Limiter dan Pro Comp. Super 1600 akan melihatkan penyertaan kereta NA sehingga 1,600 cc, manakala Street Limited disasarkan kepada kereta pacuan roda belakang yang boleh dibawa harian tanpa sebarang ubah suai. Pro Comp pula sudah tentunya adalah bagi pemandu drift profesional dan kereta tersebut perlu mempunyai roll-cage yang dikimpal dan tiada cermin kaca.

    MSF Drift Gonzo yang akan berlangsung pada 2 Disember (Sabtu) akan memberi gambaran kepada musim penuh yang akan berlangsung pada tahun hadapan. Mereka yang berminat untuk menyertai acara ini boleh mendaftar dan membayar secara atas talian di laman web MSF, dan yuran penyertaan awal bermula pada RM220 bagi setiap pelumba.

    Untuk peminat sukan permotoran, bawa keluarga dan kawan anda ke Litar Sepang kerana pelbagai aktiviti lain turut akan disediakan sepanjang hujung minggu tersebut. Tiket untuk hari Sabtu dijual pada harga RM10 bagi orang dewasa dan RM20 untuk hari Ahad. Tiket juga boleh dibeli di Litar Sepang, dan tiada sebarang bayaran masuk dikenakan bagi kanak-kanak bawah 15 tahun.

    Untuk maklumat lebih lanjut, layari laman web rasmi atau laman Facebook MSF Racing.

     
     
  • Toyota JPN Taxi – hibrid LPG, Toyota Safety Sense C

    Toyota JPN Taxi – hibrid LPG, Toyota Safety Sense C

    Ini mungkin antara model kenderaan yang unik dan menarik yang bakal membuat kemunculan di Tokyo minggu ini. Setelah pertama kali diperkenalkan model konsepnya pada Tokyo Motor Show 2013, akhirnya Toyota JPN Taxi akan membuat penampilan sulung secara rasminya pada pameran yang akan dibuka kepada media esok.

    Model ini sudah mula dibuka untuk jualan di Jepun bermula semalam, dengan penawaran dua varian – Nagomi dan Takumi. Kedua-duanya menggunakan sistem bahan bakar LPG (gas petroleum cair), dengan enjin 1.5 litre 1NZ-FXP empat-silinder yang berasal dari keluarga Toyota Hybrid System II.

    Masih belum ada apa-apa perincian lanjut yang diketahui mengenai kereta ini, tetapi Toyota mendakwa kereta pacuan hadapan ini berkeupayaan menjangkau bacaan 19.4 km bagi setiap liter dengan pembebasan CO2 yang sangat rendah.

    Toyota JPN Taxi – hibrid LPG, Toyota Safety Sense C

    Terdapat beberapa lagi hal menarik yang dinyatakan oleh pengeluarnya; penjagaannya sangat minimum, antaranya disumbang oleh penggunaan pam air berkuasa yang tidak perlu diselenggara (menggunakan sistem tali sawat auxiliary).

    Pilihan sistem suspensi pula ialah dari jenis McPherson di bahagian depan dan multi-link untuk bahagian belakang, kedua-duanya direka untuk tahan lasak. Dari segi rekaan, menurut Toyota, model ini dihasilkan dengan penampilan yang unik agak mudah dikenalpasti oleh pengguna, dan penggayaannya – yang sangat unik dan mudah dicam – dijangka mampu bertahan lama merentasi beberapa dekad.

    Ia menerima gril dari rekaan yang sinonim dengan Toyota ketika ini – seperti pada model Crown Sedan dan Crown Comfort. Cermin sisi pula diletakkan pada bahagian atas bonet depan dan bukannya pada tiang-A.

    Varian Nagomi menerima lampu utama reflektor halogen sementara Takumi dilengkapi lampu utama projektor bi-LED. Antara yang membezakan kedua-duanya lagi ialah penggunaan rim dengan rekaan yang berlainan serta pemegang pintunya. Takumi turut didatangkan dengan lampu belakang menegak pada tiang-D, bampar belakang dicat serta kemasan krom pada bahagian belakangnya.

    Di dalam, kedudukan suis kawalan terbahagi kepada dua; kawalan pendingin hawa serta ciri khusus untuk pemandu semuanya ditempatkan disebelah kanan, sementara sistem GPS, meter teksi dan lain-lain pula mudah diperhatikan sendiri oleh penumpang. Suis bagi lampu kecemasan pula diletakkan disebelah kanan stereng, kerena menurut Toyota, ciri ini kerap digunakan oleh pemandu teksi di sana.

    Rekaan lantai rata di belakang turut memudahkan penumpang keluar-masuk, dengan ruang barangan yang seluas 401 liter yang mampu memuatkan empat beg golf. Dari sudut keselamatan, model ini dilengkapi dengan sistem Toyota Safety Sense C (TSS-C) dan enam beg udara sebagai ciri standard. Sistem Intelligent Clearance Sonar, yang berfungsi untuk mengesan halangan dan mengelakkan perlanggaran yang disebabkan pecutan mengejut ditawarkan sebagai pilihan.

    Sekarang tiba kepada harganya – ia bermula dari 3,277,800 yen (RM122k) bagi varian Nagomi dan 3,499,200 yen (RM130k) bagi Takumi. Toyota mensasarkan akan menjual 1,000 unit JPN Taxi ini sebulan, dan ia dikeluarkan dari kilang Toyota di Higashi-Fuji.

     
     
  • DUKE 2: Jajaran Sri Damansara telah dibuka kepada lalu lintas, tol percuma sehingga 22 November ini

    DUKE 2: Jajaran Sri Damansara telah dibuka kepada lalu lintas, tol percuma sehingga 22 November ini

    Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Fasa 2 yang menghubungkan Jalan Tun Razak ke Jalan Tuanku Abdul Halim dan Karak telah dibuka untuk pengguna jalan raya pada 23 Mei lalu. Terkini, Jajaran Sri Damansara pula telah dibuka kepada lalu lintas bermula hari ini, laporan Bernama.

    Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, jajaran sepanjang 7.4 kilometer itu dijangka menyelesaikan masalah kesesakan di sekitar ibu kota terutama kawasan Jalan Segambut, Jalan Kuching, Rawang dan Kepong. Dianggarkan 30,000 pengguna akan menggunakan jajaran itu setiap hari.

    “SDL juga akan menambah baik sistem penyuraian trafik sekitar Jalan Lang Emas, Jalan Taman Bukit Maluri, Kepong dan Penchala selain menjimatkan masa kira-kira 10 minit,” katanya ketika merasmikan jajaran tersebut semalam.

    Jajaran SDL menghubungkan Persimpangan Bertingkat Manjalara menghala ke Timur untuk berhubung dengan Persimpangan Bertingkat Segambut di Jalan Segambut.

    Fadillah berkata jajaran itu juga dilengkapi kemudahan hentian Rehat dan Rawat yang merangkumi kemudahan tempat meletak kenderaan, plaza tol dan lot komersial.

    Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan, pengguna juga bakal menikmati pengecualian tol selama sebulan bermula tengah malam ini sehingga 22 Nov depan.

     
     
  • ULASAN VIDEO: Modenas V15 di Malaysia – RM5,989

    Selepas Modenas mengumumkan kerjasama dengan Bajaj Auto dari India, Modenas V15 ini dilancarkan di Malaysia bersama dua lagi motosikal rebadge daripada jenama dari India tersebut, iaitu RS200 dan NS200. Daripada rupanya sahaja boleh diketahui V15 ini mempunyai sasaran pemilik yang berbeza, iaitu lebih kepada mereka yang mahukan tunggangan santai dan mudah.

    Kuasa yang menggerakkan motosikal ini datang daripada enjin 150 cc DTS-i Twin Spark baru, dengan teknologi yang menggunakan palam pencucuh berkembar, dan mampu menghasilkan kuasa 11.8 hp pada 7,500 rpm dan 13 Nm tork pada 5,500 rpm. Bagi kotak gear pula, ia menggunakan transmisi lima-kelajuan.

    Selepas sesi tunggang uji, kami dapat mengetahui lebih lanjut prestasi V15 ini, di mana sesuai dengan rekaannya, aspek tunggangan juga lebih kepada santai. Apa yang lebih menarik adalah harganya, iaitu RM5,989 termasuk GST, sekaligus menunjukkan perbezaannya (lebih murah) dengan motosikal berkapasiti 150 cc yang lain dalam pasaran.

    Melalui video di atas, anda boleh mengetahui lebih lanjut berkenaan apa yang ditawarkan oleh V15 dan pendapat kami berkenaan prestasinya. Bagi mereka yang lebih gemarkan membaca dan mahu penjelasan yang lebih terperinci, anda boleh pergi ke laporan tunggang uji kami di sini.

    GALERI: Modenas V15

     
     
  • Sebahagian lorong kecemasan dan perlahan di Lebuhraya ELITE ditutup bermula malam ini

    Sebahagian lorong kecemasan dan perlahan di Lebuhraya ELITE ditutup bermula malam ini

    Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) hari ini mengumumkan bahawa sebahagian lorong kecemasan dan lorong perlahan di sebahagian Lebuhraya ELITE akan ditutup bermula pukul 10 malam ini, 23 Oktober hingga 29 Oktober akan datang bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaran dilakukan di kawasan tersebut.

    Laluan yang dimaksudkan adalah di KM18.05 hingga KM20.5 di antara Bandar Saujana Putra dan Putrajaya. Sehubungan dengan perkara ini, PLUS menjangkakan sedikit ganguan trafik akan berlaku disepanjang tempoh tersebut.

    Oleh itu, PLUS menasihatkan semua pengguna jalan raya yang menggunakan laluan berkenaan agar berhati-hati, merancang perjalanan masing-masing, serta patuhi setiap semua papan tanda dan arahan yang diberikan oleh petugas PLUS.

     
     
  • Ducati Monster 821 2018 didedah – 109 hp, 86 Nm tork

    Ducati Monster 821 2018 didedah – 109 hp, 86 Nm tork

    Untuk pameran EICMA yang akan berlangsung di Milan, Itali awal bulan hadapan, Ducati telah menyatakan akan membawa lima model baru untuk diperkenalkan. Namun, pengeluar dari Itali itu telah menunjukkan satu daripadanya lebih awal iaitu Monster 921 2018, yang juga menyambut ulang tahun model Monster yang ke 25 tahun.

    Model ini menggunakan versi terbaru enjin dua silinder V Testastretta berpenyejukan cecair, dan mampu menghasilkan sehingga 109 hp pada 9,250 rpm dan 86 Nm tork pada 7,750 rpm. Warna Ducati Yellow yang diguna datang daripada model lama Monster 900 manakala skrin LCD TFT warna penuh pula pertama kali digunakan sebagai paparan meter dan informasi.

    Turut boleh didapati dalam senarai aksesori tambahan adalah quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear, serta Ducati Multimedia System yang boleh menyambung telefon anda dengan motosikal. Lampu hadapan serta ekzos gaya lumba juga adalah baru.

    Beberapa ciri Monster 1200 dilihat memberi pengaruh kepada model 821 ini, dan ia datang dengan tangki serta bahagian belakang yang direka semula secara keseluruhan. Kelengkapan lain yang diberikan secara standard adalah Ducati Safety Pack, yang termasuk brek ABS Bosch dan Duati Traction Control, bersama pelarasan ABS DTC dan mod tunggangan.

    Bahagian brek melihatkan penggunaan unit dari Brembo, dengan terdapat set berkembar cakera 320 mm serta angkup monobloc radial M4-32, dan angkup tunggal di belakang. Suspensi pula menggunakan fork 43 mm di hadapan dan monoshock boleh laras di belakang.

    Di Malaysia, model ini masih belum tiba, tetapi bagi Monster 821 yang ada sekarang, ia dijual pada harga RM66,999 manakala Monster 1200 S RM 119,000 dan Monster 1200 R pada RM160,999.

     
     
  • Gabit Saleh kini stabil – alami kemalangan teruk dalam perlumbaan motocross di Kemaman, Terengganu

    Gabit Saleh kini stabil – alami kemalangan teruk dalam perlumbaan motocross di Kemaman, Terengganu

    Pelumba motocross tempatan, yang juga memegang gelaran juara FIM Asia Supermoto 2016, Habibullah Mohd Saleh (lebih dikenali sebagai Gabit) hari ini dilihat sudah sedar dan stabil selepas semalam beliau mengalami kemalangan teruk sewaktu awal pusingan perlumbaan kategori Expert Kemaman Motocross Challenge.

    Gabit hilang kawalan terhadap motosikalnya dan terpelanting, manakala motosikal tersebut berpusing beberapa kali. Beliau kemudiannya dibawa keluar daripada litar oleh pegawai perubatan dan terus masuk ke dalam ambulans. Penonton dan penyokong beliau semuanya gusar dengan keadaan kemalangan yang nampak agak teruk.

    Beberapa jam selepas itu, abang beliau, Mohd Al-Amirul Ashshahid (juga dikenali sebagai Gaban) memuat naik satu gambar di hospital yang menunjukkan Gabit tidak sedar dan akan dimasukkan ke bilik bedah. Menurut sumber kami, ini adalah berkenaan dengan masalah paru-paru yang perlu ditebuk.

    Syukur, hari ini, Gabit dilihat sudah sedar, melalui gambar yang dimuat naik oleh rakan sekerja beliau, Amir Yusoff di dalam Facebook. Gabit kelihatan sudah mampu tersenyum dan disuap makanan oleh isteri beliau. Kami di sini mendoakan Gabit cepat sembuh seperti sebelum ini dan semoga segala urusan dapat dipermudahkan.

     
     
  • England bakal gunakan teknologi kapsul minyak bunga matahari bagi elak lubang pada jalan terjadi

    England bakal gunakan teknologi kapsul minyak bunga matahari bagi elak lubang pada jalan terjadi

    Badan yang menguruskan lebuhraya di sekitar England – Highway England – kini sedang menguji teknologi yang menggunakan kapsul minyak bunga matahari bagi mengelakkan lubang pada permukaan jalan raya daripada terbentuk, lapor AutoExpress. Teknologi berkenaan telah dibangunkan oleh Dr Alvaro Garcia iaitu jurutera di Universiti of Nottingham bersama pasukannya di Nottingham Transportation Engineering Centre.

    Menurut kajian yang dijalankan, minyak bunga matahari boleh menjadikan campuran aspal lebih nipis, bermaksud ia boleh mengalir ke bahagian yang retak. Apabila jalan mula retak, kapsul berkenaan turut akan pecah dan membebaskan minyak bunga matahari di dalamnya. Minyak tersebut akan melembutkan campuran aspal dikelilingnya. Ini akan membantuk aspal tersebut untuk ‘melekat’ bersama semula, seterusnya mengalir ke ruang-ruang retak dan secara tidak langsung mengelakkan dari terjadinya lubang pada permukaan jalan.

    Menurut Asphalt Industry Alliance, setakat ini terdapat kerja-kerja pembaikan semula lubang jalan yang tertunggak lebih 14 tahun di UK, dengan kos pembaikkan mencecah £11.8 bilion. Dr Garcia dan pasukannya percaya dengan penggunaan kapsul minyak matahari ini, masalah jalan raya yang rosak dan berlubang akan berkurangan dengan jangkaan hayat jalan raya tersebut meningkat sekurang-kurangnya satu pertiga dari 12 hingga 16 tahun.

    Highway England telah mengumumkan mereka akan menguji penggunaan kapsul minyak bunga matahari ini dan jika berjaya, teknologi berkenaan akan digunakan di seluruh jaringan jalan rayanya.

     
     
  • Honda siarkan teaser kedua projek Neo Sports Cafe

    Seperti yang diketahui melalui video teaser pertama, Honda akan menunjukkan sebuah motosikal baru semasa pameran motosikal EICMA yang akan berlangsung awal bulan hadapan. Seperti yang boleh dilihat pada namanya, motosikal ini akan membawa gaya sebuah cafe racer tetapi dengan enjin berkuasa dan teknologi moden.

    Dalam video teaser kedua ini, sekali lagi Honda mahu mengetengahkan kerja tangan orang Jepun pada pembinaannya, namun, bayang lebih jelas tentang bentuknya dapat dilihat dari sisi. Sekali imbas, ia kelihatan seperti sebuah Yamaha XSR700, dengan lampu bulat di hadapan, bahagian belakang yang ringkas, penghadang lumpur belakang rendah di bawah dan pemegang yang tidak terlalu rendah.

    Selebihnya dalam video ini lebih banyak menunjukkan binaan enjin, yang kelihatan seperti unit empat silinder, bermula sebagai bahan mentah aluminium dan kemudiannya dipasang menggunakan tangan. Selain itu, apabila dilihat terus daripada belakang, motosikal ini juga nampak seperti mempunyai tayar yang lebar, yang melekat pada lengan ayun tunggal (single arm) dan dua muncung ekzos pada sebuah unit peredam bunyi. Perincian lanjut motosikal ini hanya akan diketahui apabila dipertontonkan nanti.

     
     
  • Zero Motorcycles 2018 – cas lebih pantas, jarak 358 km

    Zero Motorcycles 2018 – cas lebih pantas, jarak 358 km

    Antara pengeluar motosikal elektrik paling berjaya setakat ini ialah Zero Motorcycles. Syarikat ini menjangjikan banyak penambahbaikan bagi barisan model yang dihasilkan bagi 2018 – yang paling utama ialah tempoh mengecas bateri yang enam kali lebih pantas. Selain itu, jarak yang boleh dicapai juga ditingkatkan kepada 358 km.

    Selain itu, ciri Power Tank turut diperkenalkan, yang membolehkan pertambahan jarak perjalana menjadi kenyataan, serta aplikasi khas Zero Cycles untuk menghubungkan pengguna dengan motosikal mereka. Seperti yang umum tahu, masalah utama bagi motosikal elektrik ialah jarak yang boleh dilalui; Zero kini turut menyifatkan pek bateri (ZF14.4, ZF7.2 dan ZF3.6) yang digunakan kini 10% lebih tahan.

    Gabungan bateri lithium-ion ZF14.4 dengan Power Tank 3.6 kWh memberikan mana-mana model yang dihasilkan beberapa tahun ini jarak perjalanan sejauh 358 km bagi tunggangan dalam bandar, atau 180 km ketika di lebuhraya.

    Tempoh mengecas juga dapat dikurangkan – ciri Charge Tank pada model Zero S dan Zero DS 2018 mampu mengecas sehingga 95% dalam masa satu jam. Menggunakan piawaian J1772, Charge Tank ini serasi untuk digunakan di rumah atau stesen mengecas awam 220 V.

    Aplikasi khusus yang disediakan pula boleh digunakan untuk memerhatikan prestasi dan jarak bateri yang ada. Juga, dalam masa yang sama, penunggang boleh membuat pilihan talaan terhadap prestasi motor elektrik yang digunakan itu untuk kesesuaian tunggangan.

    Model semasa keluaran Zero Motorcycles adalah termasuk genre naked street bike Zero S dan SR, Zero DS dan DSR dalam penggayaan scrambler, Zero FX (off-road) dan FXS (motard). Apa pandangan anda tentang motosikal dikuasakan elektrik ini, mampu mendapat sambutan?

     
     
  • Bekas jurutera Ford failkan paten enjin – satu turbo bagi setiap silinder, dakwa dapat atasi ‘turbo lag’

    Bekas jurutera Ford failkan paten enjin – satu turbo bagi setiap silinder, dakwa dapat atasi ‘turbo lag’

    Bekas jurutera Ford, Jim Clarke, telah memfailkan sebuah paten bagi pemasangan pengecas turbo individu bagi setiap silinder bagi enjin pembakaran dalaman. Dalam bahasa yang lebih mudah, konsep ini sebenarnya menggunakan satu turbo bagi setiap silinder – maksudnya, pada enjin empat silinder, ia akan turut memiliki empat unit pengecas turbo sendiri.

    Pendekatan ini akan memerlukan dua throttle body dan unit turbo yang lebih kecil, yang berpusing lebih pantas. Saiz yang kecil juga bermakna turbo berkenaan boleh dipasangkan rapat pada bahagian injap ekzos, membolehkan tujahan kuasa yang segera. Clarke juga mendakwa di dalam konfigurasi ini, ia mampu mengatasi masalah turbo lag.

    Menurut Car and Driver, rekaan enjin turbo yang dihasilkan ini secara teorinya masih tepat, bagaimanapun ketika ini masih belum ada unit prototaip yang dihasilkan. Ketika bertugas di Ford, Clarke bertanggungjawab membangunkan enjin V8 modular dan V6 Duratec. Beliau juga bergabung dengan Dick Fotsch, bekas presiden bahagian enjin di Navistar & Kohler.

    Rekaan ini, serta enjin yang digunakan pada kenderaan Koenigsegg dan enjin Sky-Activ oleh Mazda mungkin menjadi petanda baik bahawa hayat penggunaan enjin pembakaran dalaman masih panjang dan belum berada dipenghujungnya.

     
     
  • Petronas jelaskan isu pam tidak tepat – KPDNKK dan MCM uji, sahkan tiada penipuan dan percanggahan

    Petronas jelaskan isu pam tidak tepat – KPDNKK dan MCM uji, sahkan tiada penipuan dan percanggahan

    Berikutan isu video yang tular di laman sosial menyatakan sebuah stesen minyak Petronas yang didakwa telah menipu sukatan atau mnggunakan pam minyak yang tidak diselenggara dengan betul menjadikan jumlah petrol yang dipam tidak tepat seperti yang tertera di skrin, syarikat petroleum nasional berkenaan telah menjelaskan perkara tersebut semalam.

    Menerusi video tular berkenaan, seorang pelanggan mendakwa pam dari stesen Petronas tersebut tidak mengeluarkan jumlah petrol yang sepatutnya seperti yang dibayar. Untuk membuktikannya, pelanggan berkenaan meminta seorang petugas stesen tersebut untuk menuang petrol dari pam berjumlah RM 10 ke dalam sebuah baldi dan mendakwa jumlah petrol tersebut tidak sama seperti yang dibayar.

    Menurut Petronas dalam satu kenyataan yang disiarkan pada laman Facebook miliknya, pihak mereka sentiasa mengambil berat maklum balas dari pihak pelanggan, dan bagi melindungi hak pelanggan, mereka mengalu-alukan kehadiran penguatkuasa KPDNKK dan Metrology Corporation Malaysia Sdn.Bhd (MCM) iaitu syarikat yang memberi perkhidmatan tentusahan dan tentusahan semula semua alat timbang dan sukat yang digunakan untuk perdagangan seperti yang termaktub di bawah Akta Timbang Dan Sukat 1972.

    Petronas jelaskan isu pam tidak tepat – KPDNKK dan MCM uji, sahkan tiada penipuan dan percanggahan

    Hasil dari ujian yang dijalankan oleh KPDNKK dan MCM, pam yang didakwa rosak di stesen Petronas Simpang Pulai Arah Selatan berkenaan disahkan tepat dan tidak ada percanggahan dalam kuantiti bahan bakar.

    Berikut adalah kenyataan penuh dari Petronas:

    Assalamualaikum dan salam sejahtera,
    Pihak kami sentiasa mengambil berat setiap maklum balas dari para pelanggan terutamanya aduan yang tidak berasas seperti insiden yang melibatkan stesen PETRONAS Simpang Pulai Arah Selatan yang telah tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp. Bagi melindungi hak para pelanggan, pihak kami mengalukan-alukan kehadiran penguatkuasa KPDNKK dan Metrology Corporation Malaysia Sdn.Bhd untuk menjalankan ujian di stesen PETRONAS yang terlibat. Sukacita dimaklumkan bahawa pihak berkuasa berkenaan telah mengesahkan bahawa tidak ada percanggahan dalam kuantiti bahan bakar seperti yang didakwa.

    Kami berharap perkara di atas menjelaskan perkara ini dan kami memohon kerjasama anda untuk tidak menyebarkan aduan palsu ini.
    Untuk sebarang aduan atau maklumat, hubungi ejen khidmat pelanggan kami di talian hotline 1-300-88-8181 atau email [email protected].

     
     
  • Hafizh Syahrin tidak akan lagi bersama Petronas Raceline bagi perlumbaan Moto2 bermula musim 2018

    Hafizh Syahrin tidak akan lagi bersama Petronas Raceline bagi perlumbaan Moto2 bermula musim 2018

    Selepas banyak khabar angin yang tersebar, akhirnya kini rasmi pelumba tempatan kategori Moto2 dalam siri Moto GP, iaitu Hafizh Syahrin tidak akan lagi bersama pasukan Petronas Raceline bermula tahun 2018. Perkara ini dilaporkan oleh New Straits Times, dengan memetik kata-kata daripada ketua pasukan Petronas Raceline, Barry Leong.

    “Bagi kami sebagai sebuah pasukan, ia adalah satu penghormatan dapat berkembang bersama dengan Hafizh. Saya sendiri telah mengenali dan membimbing beliau sejak berumur 12 tahun, berlumba sebagai seorang anak muda yang berbakat, dan kini seorang dewasa yang penuh semangat. Walaupun begitu, setiap permulaan ada pengakhirannya, dan kami telah sampai ke penamat yang baik,” kata Barry.

    Walaupun hanya menjadi pelumba musim penuh dalam Moto 2 bersama Raceline sejak tahun 2014, Hafizh sebenarnya telah berlumba dalam beberapa kejuaraan lain untuk pasukan ini sejak tahun 2007 dan bakatnya telah digilap oleh Barry sejak zaman berlumba pocket bike lagi.

    Hafizh Syahrin tidak akan lagi bersama Petronas Raceline bagi perlumbaan Moto2 bermula musim 2018

    Bermula dengan Kejuaraan Petronas AAM Malaysian Cub Prix, Raceline kemudiannya membawa Hafizh ke Asia Road Racing, Australian Formula Extreme dan kemudiannya barulah Moto2.

    Dengan tamatnya khidmat Hafizh sebagai pelumba Raceline, Barry menyatakan akan terus ke hadapan dengan mencari bakat pelumba baru tempatan, seterusnya membawa mereka ke tahap saingan yang bertaraf tinggi. Potensi mereka juga akan dilatih supaya mencapai tahap maksimum.

    Dengan musim 2017 ini hanya tinggal tiga pusingan sahaja lagi, Hafizh kini berada di tempat kesembilan secara keseluruhan dan sebelum ini sudah berjaya menamatkan perlumbaan dua kali di atas podium. Pertamanya adalah semasa di Misano, Itali (selepas kemenangan Dominique Aegerter dibatalkan) dengan mendapat tempat kedua, dan seterusnya di Motegi, Jepun mendapat tempat ketiga.

    Walaupun Raceline tidak lagi akan terlibat dalam karier Hafizh, Petronas masih berkemungkinan boleh menjadi penaja pelumba tersebut dan ada juga jangkaan yang mengatakan, beliau turut akan duduk di bawah pasukan SIC Racing Team yang kini mempunyai pelumba dalam kategori Moto3 iaitu Adam Norrodin dan Ayumu Sasaki.

     
     
  • Ducati SuperSport dilancar di Malaysia – dari RM81k

    Ducati SuperSport dilancar di Malaysia – dari RM81k

    Selepas penampilan pertama di pameran EICMA Milan, Itali Oktober tahun lalu, Ducati SuperSport 2017 kini dilancarkan di Malaysia pada harga RM80,899 termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan kos pendaftaran lain. Sebuah lagi model yang lebih sporty, iaitu SuperSport S pula dijual pada harga RM88,899. SuperSport adalah sebuah model sports-tourer yang juga boleh digunakan seharian.

    Model ini menggunakan enjin V-twin Testastretta 11-degree 937 cc sama seperti Hyperstrada, dengan sistem penyejukan cecair dan empat injap Desmodromic bagi setiap silinder. Kuasa sebanyak 110 hp pada 9,000 rpm dan 93 Nm tork pada 6,500 rpm dapat disampaikan ke tayar belakang melalui transmisi enam kelajuan dan klac basah.

    Sistem suspensi model ini terdiri daripada unit Marzocchi 43 mm boleh laras sepenuhnya di bahagian depan, manakala di belakang pula terdapat monoshock Sachs yang boleh dilaras dan lengan ayun tunggal. Tugas membrek pula dijalankan oleh sistem Brembo dengan angkup M4-32 Monobloc di hadapan, bersama cakera 320 mm.

    Ducati SuperSport dilancar di Malaysia – dari RM81k

    Berat SuperSport adalah 210 kg, dan ia menyediakan tangki minyak berkapasiti 16 liter, manakala tinggi tempat duduk pula adalah 810 mm. Pada bahagian kokpitnya boleh dilihat terdapat panel instrumen LCD, dan pakej keselamatan Ducati Safety Pack yang diberi secara standard adalah termasuk kawalan cengkaman dan brek ABS. Turut disediakan adalah pilihan mod tunggangan.

    Penghadang angin yang boleh dilaras juga datang standard pada motosikal ini, dan terdapat dua versi yang boleh dipilih iaitu SuperSport biasa dan SuperSport S. Versi S datang lengkap dengan suspensi Ohlins, quickshifter naik dan turun gear, beberapa bahagian gentian karbon, tuil kawalan gaya lumba dan penutup tempat duduk belakang.

    Untuk SuperSport ini juga, disediakan dua pek pilihan tambahan iaitu Touring Pack yang memberikan kotak barangan, penghadang angin lebih tinggi dan pemegan dengan ciri pemanas, manakala Urban Pack pula memberikan beg atas tangki dan peletak kaki dengan alas getah. Harganya walaubagaimanapun masih belum diberitahu. Pembeli juga mempunyai pelbagai lagi pilihan aksesori di dalam katalog Ducati yang antaranya termasuk ekzos Akrapovic, steering damper Ohlins dan modul Bluetooth untuk sistem Ducati Multimedia.

    SuperSport ditawarkan dalam warna Ducati Red, dengan kerangka Trellis merah dan rim hitam matte manakala SuperSport S pula ditawarkan dalam warna sama ada Ducati Red ataupun Star Silk White dengan kerangka dan rim merah. Model ini boleh didapati di wakil pengedar Ducati bermula minggu hadapan dan didatangkan bersama jaminan pengilang dua tahun tanpa had batuan, servis injap Desmodromic 30,000 km dan Ducati Smart Service selama dua tahun.

    GALERI: Ducati SuperSport 2017

    GALERI: Ducati SuperSport S 2017

     
     
  • Nissan hentikan produksi di Jepun selama 2 minggu berikutan isu salah laku pada pemeriksaan akhir

    Nissan hentikan produksi di Jepun selama 2 minggu berikutan isu salah laku pada pemeriksaan akhir

    Nissan, the global leader in electric vehicle sales, continues its pursuit toward a clean-energy future with the reveal of the all-new Nissan LEAF. José Muñoz, Chief Performance Officer, Nissan Motor Co., Ltd. and Chairman, Nissan North America, Inc., unveiled the 2018 Nissan LEAF at a media event at Las Vegas’ Thomas & Mack Center. The debut immediately followed the LEAF’s global launch in Tokyo, Japan. The next-generation of LEAF, the world’s best-selling affordable, mass-production electric vehicle, goes on sale at Nissan dealers in all 50 states in early 2018.

    Selepas insiden panggilan semula inflator beg udara Takata Corp, kes manipulasi ujian penggunaan bahan api oleh Mitsubishi, dan terbaharu skandal pemalsuan laporan pemeriksaan kualiti logam oleh Kobe Steel, industri automotif Jepun sekali lagi dikejutkan dengan isu integriti baharu minggu ini – Nissan mendedahkan terdapat salah laku yang dilakukan oleh mereka terhadap prosedur pemeriksaan terakhir sebelum kenderaan keluar dari barisan produksi.

    Menurut laporan Reuters, rentetan dari isu ini, Nissan terpaksa menghentikan operasi produksi sejumlah enam buah kilangnya di Jepun sekurang-kurangnya selama dua minggu untuk mengenalpasti masalah ini dan mengatur semula barisan produksi mereka memenuhi undang-undang yang ditetapkan oleh kementerian pengangkutan Jepun, serta ia turut akan melibatkan panggilan semula.

    Laporan tersebut turut menyebut Nissan telah menghasilkan sejumlah 79,300 kenderaan penumpang dan komersial pada bulan Ogos lalu, dan 27,600 daripadanya adalah dari pasaran Jepun, atau 6% dari produksi global keseluruhan.

    Nissan mengakui bahawa ada juruteknik yang tidak berkelayakan telah melakukan pemeriksaan akhir untuk model-model domestik Jepun kerana berberapa langkah pemeriksaan telah ditukar ke barisan pemeriksaan lain dan ia telah melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kementerian.

    Pemeriksaan oleh juruteknik yang tidak bertauliah ini masih lagi berjalan setelah Nissan menyatakan mereka telah memperkasakan kawalan terhadap proses pemeriksaan apabila isu ini mula diketengahkan pada akhir September lalu.

    Nissan hentikan produksi di Jepun selama 2 minggu berikutan isu salah laku pada pemeriksaan akhir

    “Langkah kecemasan kami tidak cukup. Kami tidak mampu untuk mengubah tabiat buruk kami,” kata CEO Hirota Saikawa, dan menambah bahawa fokus untuk meningkatkan keberkesanan terhadap proses pemeriksaan telah menjadi penyumbang kepada isu ini, manakala komunikasi yang tidak baik antara pengurus-penguras kilang serta foreman juga menjadi salah satu faktor.

    Salah laku yang dilakukan Nissan ini telah memaksa mereka memnggil semula 1.2 juta kenderaan penumpang yang dijual di Jepun dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini diperiksa semula. Semalam, Nissan telah mengumumkan sekitar 34,000 lagi kereta akan diperiksa semula.

    Sebelum ini, kementerian pangangkutan Jepun telah menemui ada sebilangan juruteknik yang tidak bertauliah di kilang Nissan telah menggunakan cop milik juruteknik yang bertauliah bagi meluluskan pemeriksaan akhir, dan ini telah melanggar peraturan yang ditetapkan oleh kementerian.

    Nissan kemudiannya mengakui salah laku berkenaan tetapi menjelaskan perkara berkenaan tidak menjejaskan kualiti kenderaan keluaran mereka. Isu ini juga tidak menjejaskan kenderaan-kenderaan yang diimport ke luar Jepun kerana proses kelulusan bagi pemeriksaan akhir berkenaan tidak dijalankan untuk kenderaan yang di jual pada pasaran luar.

    Pihak penyiaran nasional Jepun, NHK pula melaporkan hari ini bahawa salah laku pada proses pemeriksaan tersebut telah dilakukan oleh Nissan paling kurang dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026