Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • SPYSHOT: Nissan Serena 2018 sedang diuji di M’sia

    SPYSHOT: Nissan Serena 2018 sedang diuji di M’sia

    MPV Nissan Serena generasi kelima sudah dilihat diuji dijalan raya Malaysia. Pembaca paultan.org, Kenneth Lee, sempat merakamnya di Cheras baru-baru ini. MPV ini pertama kali membuat penampilan sulungnya Julai tahun lalu, dengan pembaharuan reka bentuk serta pertambahan kelengkapan.

    Daripada apa yang dapat dilihat, ia adalah Serena terbaru, jika merujuk kepada karektor garis badan bahagian sisinya – bermula dari tengah lampu utama, dilanjutkan ke bahagian bawah pemegang pintu hingga ke pintu gelungsur. Rekaan ini tidak terdapat pada model sedia ada Serena.

    Disebabkan itu, unit yang sedang diuji dipakaikan dengan samaran untuk menyorokkan penampilan sebenarnya. Bahagian depan misalnya kini bertukar kepada gril V-motion baru. Di bawahnya juga diberikan rekaan apron baru, yang menempatkan ruang masukan udara yang lebih kecil serta lampu kabus.

    SPYSHOT: Nissan Serena 2018 sedang diuji di M’sia

    Lagi rekaan baru yang boleh dilihat pada Serena terkini ialah kemasan disekitar bahagian pemegang plat di belakang, bampar belakang yang lebih agresif rekaannya serta lampu utama yang lebih pendek. Semua bahagian yang dinyatakan ini dilindungi pada unit yang diuji ini, seperti yang dapat dilihat dalam gambar.

    Walaupun tiada gambar yang menunjukkan ruang dalaman, Serena serba baru sudah diketahui menerima ruang kabin yang lebih mewah. Papan pemuka rekaan baru, kluster instrumen yang lebih lebar, panel tengah dengan sistem infotainmen skrin sentuh serta stereng yang lebih sporty.

    Di Jepun, Serena dikuasakan oleh sistem S-Hybrid, dengan enjin MR20DD 2.0 liter suntikan terus CVTC berkembar, empat-silinder yang menjana 147 PS pada 5,600 rpm dan 210 Nm pada 4,400 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi Xtronic CVT, dan dibantu oleh motor ECO yang mengawal fungsi Idling Stop.

    SPYSHOT: Nissan Serena 2018 sedang diuji di M’sia

    Motor 1.8 kW/200 A ini juga membolehkan fungsi torque assist, menyediakan lonjakan 50 Nm sehingga satu saat ketika memulakan pergerakan dari keadaan pegun. Ia juga dilengkapi pelbagai ciri maju, model ini turut dilengkapi dengan ciri seperti Intelligent Park Assist dan ProPILOT.

    Dengan Serena S-Hybrid semasa yang dijual di Malaysia adalah pemasangan tempatan (CKD), mungkinkah model baru ini nanti mengikut jejak yang sama dan ditawarkan dengan harga yang berpatutan? Itu kita akan lihat nanti.

     
     
  • BMW G310GS tiba di pasaran Malaysia – RM29,900

    BMW G310GS tiba di pasaran Malaysia – RM29,900

    Beberapa hari selepas berita ketibaannya diumum, kini BMW Motorrad Malaysia melancarkan G 310 GS untuk pasaran Malaysia. Harga yang ditetapkan untuk model ini adalah RM29,900, termasuk GST dan ia didatangkan dalam pilihan tiga warna iaitu Cosmic Black, Racing Red dan Pearl White Metallic.

    Model ini dikuasakan enjin sama seperti G 310 R yang dijual pada harga RM26,900, iaitu unit satu silinder 313 cc suntikan bahan api elektronik berkuasa 34 hp pada 9,500 rpm dan 28 Nm pada 7,500 rpm, manakala kotak gear yang digunakan adalah unit enam kelajuan dengan sistem rantai. Enjin ini juga menerima penarafan emisi Euro 4.

    Membawa nama GS, model ini turut mewarisi aspek kelasakan seperti model yang lebih besar dengan di hadapan terdapat rim 19 inci, fork USD 41 mm, cakera brek tunggal 300 mm dan angkup empat piston, manakala di belakang pula terdapat rim 17 inci, monoshock dengan pelarasan pra beban, cakera brek 240 mm dan angkup satu piston. Jarak pergerakan suspensi yang disediakan adalah 180 mm dan breknya dilengkapi ABS dual-channel.

    Model ini juga menawarkan pengendalian yang mudah dengan berat hanya 169 kg, tinggi tempat duduk 835 mm (disediakan juga pilihan tempat duduk rendah 820 mm dan tinggi 850 mm) dan jarak roda 1,420 mm. Ukuran keseluruhannya adalah 2,075 mm panjang, 880 mm lebar dan 1,230 mm tinggi, manakala tangki minyak pula boleh diisi dengan 11 liter bahan api.

    Semestinya, sebagai sebuah motosikal jelajah, G 310 GS disediakan dengan pelbagai pilihan tambahan aksesori seperti beg barangan, tempat meletak unit navigasi dan pelbagai lagi kelengkapan supaya dapat memberi kesenangan kepada penggunanya apabila menunggang.


     
     
  • Bajet 2018 Malaysia – kemaskini secara langsung isu-isu berkaitan industri automotif dan pengangkutan

    Bajet 2018 akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pukul 3.30 petang ini. Kami akan membawakan kemaskini secara langsung berkaitan industri automotif serta pengangkutan dari pembentangan berkenaan. Adakah akan ada lagi tambahan insentif terhadap kenderaan cekap tenaga (EEV) dan kenderaan elektrik? Atau mungkin peruntukan untuk naik taraf jalan raya dan pengangkutan awam? Ikuti perkembangannya bersama kami di sini.

    Beberapa belanjawan yang diumumkan, berkaitan pengangkutan:

    Pemansuhan kutipan tol

    Bermula 1 Januari 2018, tiada lagi kutipan tol di:
    – Batu Tiga dan Sungai Rasau (Lebuhraya Persekutuan),
    – Bukit Kayu Hitam, Kedah
    – Eastern Dispersal Link (EDL), Johor

    Jalanraya

    Lebuhraya Persisiran Pantai Barat
    – Menghubungkan Taiping ke Banting
    – Sedang dalam pembinaan, dengan kos RM5 bilion

    Lebuhraya Kuala Krai-Kuala Pilah (Central Spine Road)
    – Memerlukan RM230 juta untuk sambungan projek pembinaan
    – Menghubungkan Raub ke Bentong, Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang

    Jambatan ke Labuan
    – Kajian awal sedang dijalankan untuk menghubungkan Pulau Labuan ke tanah besar Sabah

    Lebuhraya Pan Borneo
    – Peruntukan sebanyak RM2 bilion
    – 11 pakej pembinaan sudah diagihkan
    – Lima daripada 35 pakej Fasa 1 di Sabah telah pun diserahkan

    Jalan luar bandar
    – RM934 juta untuk membina jalan di kawasan luar bandar seluruh negara, termasuk RM500 juta peruntukan kepada Sabah dan Sarawak
    – RM1.1 bilion untuk membina dan menaiktaraf jambatan, lampu jalan, surau da pasar

    Pengangkutan Awam

    East Coast Rail Link (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor, Kelantan
    – Jarak perjalanan dua lokasi ini dalam masa hanya empat jam.
    – Kerja-kerja pembinaan akan dilakukan bermula Januari 2018
    – RM110 juta diperuntukkan untuk membina jalan alternatif ke Pelabuhan Klang

    MRT 2 jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya
    – Jarak 52 km melibatkan 37 stesen
    – Kos yang dianggarkan ialah RM32 bilion

    MRT 3 (Circle Line)
    – Dijangka siap pada 2025, awal daripada jadual asal pada 2027

    LRT 3
    – Menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia, Klang
    – Dijangka siap pada Februari 2021

    High-Speed Rail (HSR)
    – Menghubungkan Kuala Lumpur ke Singapora
    – Perjalanan memakan masa 90 minit
    – Bakal beroperasi pada 2026

    Bas Ekspres
    – RM45 juta untuk melaksankan sistem kawalan biometrik untuk memantau perkhidmatan bas ekspres

    Perkhidmatan E-Hailing
    – RM5,000 akan diberi sebagai geran kepada pemandu-pemandu teksi berdaftar yang ingin beralih ke perkhidmatan e-hailing

    Lapangan terbang
    – Menaik taraf lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang dan Langkawai
    – Lapangan terbang baru akan dibina di Mukah
    – Perluasan lanjutan lapangan terbang Kota Bahru dan Sandakan
    – Kajian awal untuk bina lapangan terbang di Pulau Tioman

     
     
  • VIDEO: Bagaimana enjin petrol pencucuhan mampatan Mazda SkyActiv-X berfungsi – tampil teknologi SPCCI

    Mazda sebelum ini telah menyatakan mereka akan memperkenalkan enjin petrol SkyActiv-X yang berfungsi sebagai enjin pencucuhan mampatan, iaitu enjin SkyActiv-G generasi kedua dalam dalam rancangan “Sustainable Zoom-Zoom 2030”.

    Ketika mula-mula diumumkan dahulu, difahamkan enjin SkyActiv-X ini akan menggunakan konsep Homogeneous Charge Compression Ignition (HCCI), iaitu konsep enjin petrol yang berfungsi dengan meledakkan pembakaran campuran udara-petrol dengan hanya menggunakan mampatan tinggi, tanpa percikan permulaan dari palam pencucuh.

    Namun setelah didedahkan, sistem dari Mazda ini dinamakan sebagai teknologi Spark Controlled Compression Ignition (Pencucuh Mampatan Kawalan Percikan) – ia masih agak sama seperti enjin HCCI yang mendapatkan mampatan tinggi bagi memberikan sokongan pembakaran (juga sama seperti enjin diesel), tetapi permulaan pembakaran masih lagi dimulakan dengan unit spark plug yang akan memberikan nyalaan api.

    Bukan sahaja bagi memulakan pembakaran, sistem ini juga secara tidak langsung dapat mengawal pemasaan pembakaran tersebut dan memaksimakan tempoh pencucuhan mampatan, dan juga memastikan peralihan yang lancar antara pencucuhan percikan dan mampatan. Manakala strok yang lebih panjang seperti enjin diesel, ia akan menghasilkan nisbah mampatan lebih tinggi (yang juga hampir menyamai enjin diesel) dan mampu menolak pergerakkan piston lebih kuat bagi menghasilkan tork yang lebih besar.

    Dengan nisbah mampatan yang sangat tinggi, enjin baharu ini mampu menghasilkan nisbah campuran udara-petrol yang sangat lean (bahagian udara lebih banyak berbanding bahagian bahan api dalam nisbah campuran) seterusnya meningkatkan kecekapan enjin antara 20% hingga lebih 30% berbanding enjin SkyActiv-G sedia ada dan antara 35% hingga lebih 40% berbanding versi asal dengan kapasiti sama yang muncul pada tahun 2008.

    Menurut Mazda lagi, teknologi ini sangat efektif sehingga kecekapan bahan api enjin SkyActiv-X berkenaan sama atau lebih baik dari enjin diesel SkyActiv-D. Enjin berkenaan turut akan diberikan suapan supercharger dan ia didakwa menawarkan respon lebih baik serta 10% hingga 30% lebih tork berbanding enjin SkyActiv-G.

    Dengan kecekapan enjin yang tinggi pada semua peringkat kelajuan enjin dan juga beban, pilihan nisbah gear dapat dikembangkan lagi, seterusnya memberikan penggunaan bahan api dan juga prestasi pemanduan lebih baik, dakwa Mazda lagi.

    Mazda telah mengumumkan sebelum ini bahawa enjin SkyActiv-X berkenaan bakal ditawarkan pada pasaran pada penghujung tahun 2018 untuk menjana Mazda 3 generasi baharu, secara tidak langsung ia juga enjin petrol komersial pencucuhan mampatan pertama di dunia. Buat masa sekarang, enjin ini dipadankan pada model konsep Mazda Kai yang membuat kemunculan sulung pada Tokyo Motor Show 2017 baru-baru ini – hatchback berkenaan juga dikatakan dikatakan memberi gambaran kepada Mazda 3 generasi keempat.

    GALERI: Mazda Kai Concept 2017

     
     
  • BMW M2 Coupe F87 LCI kini tiba di Malaysia – RM536k

    BMW M2 Coupe F87 LCI kini tiba di Malaysia – RM536k

    BMW M2 Coupe F87 LCI (atau facelift dalam istilah biasa) kini tiba di Malaysia, dengan perubahan yang tidak begitu ketara. Ia dijual pada harga RM535,800 – sedikit tinggi berbanding model sebelum facelift yang dijual pada RM499k ketika dilancarkan dan naik kepada RM505K pada 2017.

    Perubahan yang diterapkan hanya sedikit, memandangkan ini baru memasuki tahun kedua selepas ia diperkenalkan pada penghujung 2015, dan tiba di Malaysia pada Mac 2016. Dua perubahan dilakukan terhadap model facelift ini; lampu utama kini LED sepenuhnya (dari bi-Xenon) dan lampu belakang LED dengan rekaan baru.

    Selebihnya kekal sama – prestasi pacuan belakangnya masih memberikan sensasi pemanduan yang sama. Di luar, penggayaan badan yang lebar dan agresif masih ada (malangnya tanpa cermin sisi spesifk bagi BMW M), rim 19-inci dan empat paip ekzos.

    Ruang dalaman juga sama, dengan rekaan yang diwarisi dari model 2 Series, dengan kemasan dipertingkatkan untuk membezakannya bagi versi M ini. Stereng sport dengan tiga jahitan, panel instrumen hitam khusus dengan takat meter sehingga 300 km/j dan tempat duduk dengan logo M.

    Tambahan terbaru ialah ciri iDrive UI yang dikemaskini dengan live tiles dan skrin sentuh – Apple CarPlay juga ada melalui BMW ConectedDrive Store. Enjin 3.0 liter BMW M enam-silinder sebaris yang melengkapinya menghasilkan 370 hp pada 6,500 rpm dan 465 Nm dari 1,400 rpm hingga 4,750 rpm – dengan fungsi overboost yang akan melonjakkannya ke 500 Nm.

    Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui sistem transmisi M DCT tujuh-kelajuan, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat. Suspensi pula menggunakan jenis khas M Sport – lebih keras untuk dinamik pada kelajuan tinggi, tetapi adaptif sepenuhnya untuk memberikan keselesaan. Ciri seperti stereng M Servotronic, brek khas M serta Active M Differential kawalan elektronik juga ada.

    Pilihan warna untuk pasaran Malaysia ialah Long Beach Blue, Black Sapphire, Alpine White dan Mineral Grey, dengan kemasan dalaman berwarna Dakota Black sebagai standard. Ia akan dijual pada harga RM535,800 di Semenanjung, RM537,986.50 di Sabah & Sarawak, atau RM331,980 di kawasan bebas cukai.

    Dengan BMW Balloon Financing melalui BMW Credit Malaysia, BMW M2 ini boleh dimiliki pada kadar RM6,188 sebulan dengan loan sehingga 80%. Ia hadir dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dengan servis berjadual percuma, serta program jaminan tayar dua tahun.

     
     
  • Hennessey VelociRaptor 6×6 bakal muncul di SEMA

    Hennessey VelociRaptor 6×6 bakal muncul di SEMA

    Hennessey Performance akan mempamerkan sebuah trak, dikenali sebagai VelociRaptor 6×6 ketika pameran SEMA nanti. Secara ringkasnya, ia adalah sebuah Ford F-150 Raptor 2017 yang diberi banyak pertambahan lain, termasuk dua lagi roda untuk menjadikannya sistem pacuan 6×6.

    “VelociRaptor 6×6 kami sangat agresif, termasuk pacuan kesemua enam rodanya. F-150 Raptor 2017 akan menjadi satu daripada trak serba boleh yang pernah dihasilkan, dan kami teruja untuk meletakkannya ke satu tahap yang lebih tinggi dari segi prestasi serta menjadikannya lebih eksklusif,” ujar pengasasnya, John Hennessey.

    Harganya bermula dari US$295,000 (RM1,250,947) dan termasuk Raptor biasa, yang akan diubah suai oleh Hannessey Performance untuk menjadikannya pacuan 6×6, suspensi Fox yang dinaiktaraf, rim 20-inci dan tayar off-road, bampar dengan rekaan baru, sports bar dan lampu LED.

    Kalau banyak duit, pembeli boleh memilih untuk mendapatkan naik taraf VelociRaptor 600 turbo berkembar bagi jentera 6×6 ini. Pakej naik taraf dengan 600+ hp ini termasuk pengecas turbo berkembar, sistem ekzos tahan karat, tambahan intercooler depan serta ECU yang ditala semula. Ini turut ditawarkan pada Raptor pacuan empat roda biasa.

    Perlukan lebih lagi? Syarikat ini juga menawarkan pakej naik taraf brek Brembo, rim dan tayar yang lebih besar, pencahayaan LED, kemasan ruang dalaman khusus serta sistem armour. Agak berlebihan naik taraf yang dilakukan? Atau anda masih lebih sukakan Mercedes-AMG G 63 6×6?

     
     
  • Yokohama lancarkan semula tayar retro Advan HF Type D untuk lengkapkan jentera ‘JDM Legend’ anda

    Yokohama lancarkan semula tayar retro Advan HF Type D untuk lengkapkan jentera ‘JDM Legend’ anda

    Berita baik bagi mereka yang mahukan restorasi sempurna bagi kereta-kereta klasik JDM – Yokohama kini telah memproduksi semula tayar berprestasi tinggi yang telah diperkenalkan pada era 80’an iaitu Advan HF Type D.

    Jadi selepas ini, jika anda mempunyai sebuah Toyota Corolla AE86 dengan rim Advan A3A berdiameter 13-inci, anda boleh menggunakan tayar yang diproduksi semula berkenaan bagi mendapatkan rupa ‘sebijik’ pada era kegemilangannya tersebut.

    Menurut Yokohama, Advan HF Type D diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1981. Ia menampilkan corak bunga yang agak unik untuk pemanduan berprestasi tinggi di litar dan ia merupakan produk yang melonjakkan nama Yokohama sebagai pembuat tayar pada era 80’an dan 90’an.

    Yokohama turut menghasilkan Advan HF Type D ini dengan saiz-saiz asal iaitu untuk rim berdiameter 13-inci hingga 15-inci sahaja, dengan profil antara 50 siri hingga 70 siri, dan lebar antara 185 mm hingga 225 mm – saiz yang hanya sesuai dengan rim-rim ‘mangkuk’ JDM old-school.

    Walau bagaimanapun, buat masa ini tayar Yokohama Advan HF Type D ini hanya boleh didapati pada pasaran Jepun. Namun Yokohama menyatakan mereka bakal mengimport tayar ini ke pasaran luar pada masa akan datang.

     
     
  • Toyota pindah operasi cawangannya kepada pengedar

    Toyota pindah operasi cawangannya kepada pengedar

    Di dalam perkembangan terbarunya, UMW Toyota (UMWT) mensasarkan untuk memperkukuh operasi jualan syarikat di Malaysia. Dan untuk itu, bermula Januari 2018, sebahagian besar operasi cawangannya yang diuruskan sendiri oleh UWMT sebelum ini akan dipindahkan kepada pengedar-pengedar sedia ada Toyota.

    Menurut UMWT, langkah ini akan membolehkan syarikat untuk memberi tumpuan terhadap aktiviti-aktiviti pengurusan dengan nilai tambah yang lebih tinggi seperti pembangunan produk, pemasaran dan sokongan terhadap rangkaian pengedarnya. “Adalah amat penting bagi UMWT untuk terus mencapai standard kepuasan pelanggan yang tinggi,” ujar Presidennya, Ravindran Kurusamy.

    “Saya sangat teruja untuk dapat bekerja dengan lebih rapat bersama pengedar-pengedar kami bagi menzahirkan visi UMWT, iaitu untuk menjanjikan pelaksanaan konsep “Best In Town”, yang bermaksud memberikan lebih tumpuan kepada pelanggan. Walaupun peralihan ini menjadi sesuatu yang sangat penting bagi perubahan UMWT, pelanggan tidak perlu khuatir kerana perkhidmatan kami tidak akan terjejas, malahan akan bertambah baik di masa hadapan,” tambah beliau.

     
     
  • Jentera lumba F1 beralih kepada AWD pada 2021?

    Jentera lumba F1 beralih kepada AWD pada 2021?

    GP MALESIA F1/2017
    © FOTO STUDIO COLOMBO PER FERRARI MEDIA (© COPYRIGHT FREE)

    Sabar, ini belum diputuskan lagi. Menurut laporan Autosport, pasukan-pasukan F1 telah dijemput untuk berjumpa dengan pemegang hak komersial FIA dan F1 minggu depan untuk berbincang berkenaan perincian enjin serta peraturan bagi jentera F1 bagi musim 2021 dan seterusnya, dan sistem pacuan semua roda dijangka akan turut menjadi topiknya.

    Matlamat utama adalah untuk menambahbaik persembahan ketika perlumbaan dengan meningkatkan kekerapan aksi memotong antara jentera di dalam litar. Dengan sistem AWD, ia akan memperkemas aspek cengkaman pada jentera, dan ini membolehkan pemandu untuk mengikuti dengan rapat antara satu sama lain dan harapnya akan membawa kepada aksi memotong yang lebih menyeronokkan.

    Khabarnya beberapa pasukan akan bersetuju untuk menggunakan roda depan yang dipacu oleh Kinetic Energy Recovery System (KERS) pada gandar depan. Dalam keadaan ini, jentara akan memperoleh cengkaman yang sama seperti pada AWD tanpa perlu menyalurkan kuasa ke roda hadapan dari enjin ditengah jentera. Sistem yang sama telah digunakan dalam jentera LMP1 prototaip.

    Apa pun, semua ini masih terlalu awal untuk diketahui dengan lebih lanjut. Cuma, idea berkaitannya akan dibincangkan nanti. Kalau betul jentera F1 perlu hadir dengan sistem AWD, apa pandangan anda?

     
     
  • Tokyo 2017: Daihatsu DN U-Space – luas dan praktikal

    Tokyo 2017: Daihatsu DN U-Space – luas dan praktikal

    Selepas dua model diperkenalkan oleh Daihatsu yang dipaparkan sebelum ini – DN Compagno dan DN Trec – ini ada lagi model-model konsep unik dari pengeluar yang sama dari Tokyo Motor Show 2017. Daihatsu DN U-Space muncul dengan rekaan “kotak” dan bumbung tinggi dengan imej comel, tetapi kali ini disasarkan kepada golongan ibu.

    Menurut Daihatsu, rekaan ini dihasilkan untuk memudahkan para ibu dengan anak kecil menjalankan rutin harian mereka. Satu ciri utama yang membayangkan perkara ini ialah bukaan pintu gelungsur yang luas dikedua-dua sisinya secara automatik.

    Digandingkan dengan ketiadaan tiang sentral serta jarak kelegaan dari tanah yang rendah, keluar-masuk dari kenderaan ini, bahkan untuk berjalan di dalamnya, sangat mudah. Bukaan pintu ini sangat-sangat luas.

    Daihatsu memang terkenal handal menghasilkan rekaan yang luas bagi ruang terhad. Di dalam kenderaan ini, empat orang dewasa boleh duduk – ditambah dengan barangan beli-belah mereka – dengan sangat selesa. Ia bagaimanapun masih dalam kategori Kei Car Jepun, jadi enjin yang digunakan ialah 660 cc tiga silinder.

    Daihatsu DN U-Space membawa idea praktikaliti yang menjadi keutamaan kini. Dan, memang ia akan memudahkan urusan golongan ibu dengan pakej yang ada. Daihatsu seperti sudah memikirkan keperluan golongan yang berbeza-beza dalam menghasilkan model konsepnya.

     
     
  • Lakaran awal bagi SUV Lotus bocor – cukup menarik?

    Lakaran awal bagi SUV Lotus bocor – cukup menarik?

    Sudah sekian lama khabar angin berkaitan SUV daripada Lotus bertiup, dan kini kita dapat melihat sedikit sebanyak rekaan yang dirancang itu. Lakaran paten awal SUV Lotus ini kini bocor di China, menampakkan sebuah rekaan yang sporty dengan sentuhan yang sinonim dengan jenama Lotus.

    Bahagian depannya kelihatan tidak begitu jauh beza dari rekaan pada kereta-kereta sport Lotus yang pernah dihasilkan sebelum ini, dengan tiga ruang masukan udara yang lebar serta logo bulat yang ada. Jika gambar-gambar ini – yang diterbitkan oleh sebuah laman web di China, PCAuto.com.cn – boleh dipercayai, SUV ini akan memiliki profil sisi yang tak kalah menawan, dengan cermin di belakang yang lebih tirus.

    Ia tidak kelihatan seperti Lotus APX Concept. Dan, itu boleh difahami; rekaan berkenaan dilakukan 10 tahun dahulu, tentulah selera dan keperluan hari ini sudah banyak berubah. Rekaan baru ini menunjukkan penampilan SUV yang lebih moden pengeluarnya.

    Lakaran awal bagi SUV Lotus bocor – cukup menarik?

    Ini sahaja maklumat yang diketahui setakat ini. Khabar angin lain yang bertiup ada menyatakan bahawa model itu nanti akan dibangun menggunakan platform dari Volvo atau Lynk&Co tidak dapat dipastikan. Perlu dinyatakan, projek ini dimulakan lama sebelum Geely mempunyai kepentingan terhadap jenama-jenama ini. Dua tahun lalu, CEO Lotus, Jean-Marc Gales pernah mengeluarkan kenyataan bahawa SUV Lotus itu nanti akan lebih baik pengendaliannya berbanding Porsche Macan.

    Berdasarkan lakaran ini, apa pula pandangan anda? Adakah ia cukup ramuan untuk menjadi sebuah SUV yang berjaya memenangi hati orang-ramai?

     
     
  • Tokyo 2017: Toyota GR HV Sports – auto dan manual?

    Tokyo 2017: Toyota GR HV Sports – auto dan manual?

    Tidak sah kalau dipameran sebesar Tokyo Motor Show 2017 tak ada kereta yang pelik-pelik. Toyota misalnya tak nak ketinggalan dalam mempamerkan rekaan yang agak di luar kotak kebiasaan melalui Toyota GR HV Sports Concept.

    Diasaskan daripada model 86, model konsep ini bagaimanapun menerapkan pelbagai perubahan yang membezakannya di antara keduanya. Misalnya, ia hadir dengan rekaan kenderaan jenis targa, yang mengembalikan ingatan terhadap model Sports 800 dan Supra. Bahagian depannya juga direka semula, menjadikannya 155 mm lebih panjang dan 30 mm lebih lebar dari 86.

    Banyak sentuhan rekaan yang ada diambil dari kereta lumba prototaip TS050, dengan perincian seperti lampu LED depan yang lebar, ruang masukan udara yang besar, rim aluminium 19-inci, lampu belakang tirus serta diffuser yang besar.

    Di dalam, tak banyak perubahan yang dilakukan, melainkan penggunaan lencana Gazoo Racing pada stereng serta ada kluster instrumen digital. Di bawahnya, terdapat shifter bentuk H manual yang disekalikan dengan butang penghidup enjin dengan rekaan tuil unik ala jet tempur. Walaupun begitu, butang kawalan pilihan gear automatik juga ada.

    Model ini menggunakan sistem transmisi automatik, tetapi pemandu boleh bertukar kepada penukaran gear manual dengan hanya menekan satu butang, membolehkan mereka merasai pemanduan gear enam-kelajuan manual. Tidak pasti transmisi yang ada itu dari jenis mana – sama ada gear automatik enam-kelajuan konvensional atau eCVT seperti pada Prius, atau mungkin juga sistem Multi-Stage Hybrid yang digunakan pada Lexus LS 500h dan LC 500h.

    Maklumat enjin masih belum diketahui, tetapi menurut Toyota, ia mengoptimumkan sistem Toyota Hybrid System-Racing (THS-R) baru, yang didakwa akan menampilkan ciri dari TS050. Kereta berkenaan menggunakab unit MGU-K berkembar (motor-generator unit-kinetic) bagi setiap gandar untuk memanfaatkan tenaga yang kerap hilang ketika membrek, menyalurkannya kepada bateri lithium-ion dan bukannya kepada kapasitor.

     
     
  • Tokyo 2017: Toyota JPN Taxi – teksi LPG mesra alam

    Tokyo 2017: Toyota JPN Taxi – teksi LPG mesra alam

    Jika New York ada Yellow Taxi, dan London ada teksi hitam yang sangat sinonim dengan kota itu, Tokyo juga akan beralih kepada satu reka bentuk dan pakej teksi yang lebih menarik berbanding teksi Toyota yang digunakan ketika ini – perkenalkan, Toyota JPN Taxi.

    Model ini dibangunkan antaranya sebagai persediaan kepada acara sukan terbesar dunia, Olimpik Tokyo 2020. Teksi ini mesra alam, dan sangat mesra pengguna termasuk bagi kanak-kanak, orang tua serta mereka yang berkerusi roda. Untuk membezakan penampilannya dari teksi yang digunakan kini, JPN Taxi hadir dengan bumbung yang lebih tinggi.

    Ia unik dengan rekaan gril yang diwarisi dari teksi Comfort, serta bukaan pintu yang luas memudahkan penumpang untuk keluar-masuk. Rekaan lampu bahagian belakang dijadikan sebegitu dengan maksud memberikan penampilan model pada teksi ini. Ruang barangan yang tersedia pula ialah 401 liter – boleh memuatkan sehingga empat beg golf.

    Ruang kabinnya direka luas untuk membolehkan penumpang duduk dengan tenang. Dengan ketinggian lantai hanya 320 mm, panjang bahagian belakang kabin 1,065 mm serta 230 mm ruang kepala, JPN Taxi ternyata direka untuk keselesaan penumpang.

    Dari aspek keselamatan, ia disertakan dengan enam beg udara dan pakej bantuan pemandu Toyota Safety Sense C, yang termasuk di dalamnya Pre-Collision System, amaran pertukaran lorong serta sistem lampu tinggi automatik. Ciri Intelligent Clearance Sonar, yang menghindari kemalangan disebabkan tersilap tekan pedal, turut ditawarkan sebagai pilihan.

    Model ini dikuasakan oleh sistem janaan hibrid dari Prius C, dengan bahan api LPG. Enjin 1NZ-FXP 1.5 liternya menghasilkan 74 PS dan 111 Nm, dan ia digandingkan dengan motor elektrik 61 PS/169 Nm untuk menghasilkan output keseluruhan 100 PS. Penggunaan bahan apinya didakwa pada kadar 19.4 km bagi setiap liter dengan kitaran JC08 Jepun.

    Sekarang tiba kepada harganya – ia bermula dari 3,277,800 yen (RM123,100) bagi varian Nagomi dan 3,499,200 yen (RM131,400) bagi varian Takumi. Toyota mensasarkan akan menjual 1,000 unit JPN Taxi ini sebulan, dan ia dikeluarkan dari kilang Toyota di Higashi-Fuji.

     
     
  • Tokyo 2017: Honda Urban EV Concept – adaptasi buat model baharu, sasar pasaran Eropah dan Jepun

    Tokyo 2017: Honda Urban EV Concept –  adaptasi buat model baharu, sasar pasaran Eropah dan Jepun

    Semalam Honda turut memperkenalkan Urban EV Concept, selain NeuV dan Sports EV Concept, menerusi pentas Tokyo Motor Show 2017.

    Menurut Honda, Urban EV Concept ini lebih bersifat mesra pengguna, malah sesuai bagi pengangkutan harian di samping mampu memberikan kepuasan dan kegembiraan dalam pemanduan.

    Urban EV Concept dilengkapi dengan pelbagai elemen komunikasi yang interaktif, selain memiliki rekaan yang lebih mesra pengguna serta ruang dalaman yang luas.

    Menurut CEO Honda, Takahiro Hachigo, pihaknya menjangka model baharu yang berasaskan Urban EV Concept ini akan dijual di pasaran Eropah terlebih dahulu, sebelum memasuki Jepun menjelang tahun 2020.

    Seperti model NeuV dan Sports EV Concept, beliau juga tidak memberikan sebarang perincian lanjut mengenai Urban EV Concept ini. Jadi kenalah tunggu ‘anak’ terbaharu Honda berdasarkan model konsep ini.

     
     
  • Peugeot Traveller kini di Malaysia – harga RM199,888

    Peugeot Traveller kini di Malaysia – harga RM199,888

    Peugeot Traveller, sebuah MPV yang pernah dipertontonkan di sini ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kini sudah ada tanda harga rasmi. MPV lapan-tempat duduk ini dijual pada harga RM199,888 atas jalan tidak termasuk insurans.

    MPV ini menggunakan enjin 2.0 liter turbodiesel yang menghasilkan 150 hp dan 370 Nm tork, yang disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi automatik enam-kelajuan dari Aisin dengan torque converter. Model ini dibangunkan di atas casis monocoque EMP2, dan yang ditawarkan di Malaysia ialah versi panjang Standard, dan bukannya versi Compact atau Long yang ada ditawarkan untuk pasaran global.

    Yang ada dilihat ini ialah sebuah kenderaan yang besar. Dimensi saiznya adalah seperti berikut – 4,956 mm panjang dengan jarak antara roda 3,275 mm. Ia menggunakan rim 17 inci dengan tayar 215/60R17, dengan tayar ganti saiz penuh tersimpan di luar bahagian bawah ruang barangan.

    Konfigurasi tempat duduk MPV ini ialah 2-3-3, dengan semua enam tempat duduk dibarisan kedua dan ketiga dilengkapi tali keledar 3-poin serta Isofix sendiri – ini memudahkan penggunaan bagi keluarga dengan anak kecil. Kedua-dua pintu sisinya juga dikuasakan oleh elektrik, tapi pintu belakang adalah manual.

    Senarai kelengkapan lain juga menarik – lampu xenon, LED DRL, lampu utama dan pengilap cermin automatik, kamera undur dengan 180 darjah penglihatan, bumbung panoramik, cruise control, sistem tinjauan titik buta dan tirai bagi barisan kedua. Tempat duduk depan juga hadir dengan ciri larasan lapan-cara.

    Dari segi keselamatan, tapak Isofix ada enam semuanya pada barisan kedua dan ketiga, enam beg udara hingga ke barisan ketiga, serta ciri ABS, EBD, Hill Start Assist dan kawalan kestabilan. Ciri Child Lock pula boleh dikawal secara elektrik melalui satu butang sahaja.

    Apa pendapat anda tentang nilai yang ditawarkan oleh MPV besar ini? Khabarnya, unit yang digunakan ketika Sukan SEA tempoh hari turut dijual dengan harga promosi RM169,888, RM30k lebih rendah dari harga sebenar.

     
     
  • Tokyo 2017: Mazda CX-8 – SUV 6-penumpang dipamer

    Tokyo 2017: Mazda CX-8 – SUV 6-penumpang dipamer

    Mazda CX-8 mula diperkenalkan kepada umum pada September tahun ini, dan di Tokyo Motor Show 2017, SUV tiga barisan tempat duduk ini dipertontonkan kepada umum. Dalam pasaran domestiknya, Mazda CX-8 ditawarkan dengan enjin 2.2 liter SkyActiv-D (188 hp dan 450 Nm) yang digandingkan dengan transmisi SkyActiv-Drive automatik enam-kelajuan.

    Pelanggan juga diberi pilihan untuk memiliki versi pacuan roda hadapan atau sistem AWD i-Activ yang dibangunkan Mazda. SUV ini 4,900 mm panjang (+350 mm dari CX-5), 1,840 mm lebar dan 1,730 mm tinggi. Ia juga berkongsi jarak antara roda CX-9 dengan 2,930 mm (juga +230 mm berbanding CX-5).

    Dari segi rekaan, CX-8 menerapkan sentuhan yang ada pada CX-5 dan CX-9, seperti yang dapat dilihat pada lampu utama, gril dan lampu belakang. Ruang dalaman bagaimanapun lebih cenderung kepada penampilan yang sama pada model CX-5 – banyak bahagian yang biasa kita lihat pada model sebelumnya seperti rekaan stereng yang sama, sistem infotainmen MZD, skrin sentuh tujuh-inci dan lain-lain.

    SUV ini mampu menempatkan enam orang penumpang, dengan tempat duduk barisan kedua memiliki sepasang captain seat dengan sebuah kotak konsol memisahkannya di tengah. Capaian ke tempat duduk belakang boleh dilakukan dengan menarik pemegang pada kedua-dua tempat duduk barisan kedua; ruang dibarisan ketiga ini disifatkan mampu menempatkan penumpang dewasa dengan ketinggian 170 cm dengan selesa.

    Jika barisan ketiga dinaikkan, ruang barangan yang tersedia ialah 239 liter. Turutkan barisan terakhir berkenaan, anda akan mempunyai ruang seluas 572 liter. Turut terdapat ruang tambahan dengan kedalaman 307 mm pada bahagian bawah lantainya.

    Setakat ini, CX-8 diumumkan akan turut dijual di luar pasaran Jepun, walaupun masih belum dinyatakan negara mana secara spesifik. Jadi, bagaimana? CX-9 lebih menarik atau CX-8 ini yang hadir dengan saiz lebih praktikal?

     
     
  • Khairul Idham Pawi perlu masa sesuaikan diri dalam Moto2, tidak letak harapan tinggi untuk musim 2017

    Khairul Idham Pawi perlu masa sesuaikan diri dalam Moto2, tidak letak harapan tinggi untuk musim 2017

    Hujung minggu perlumbaan MotoGP di Malaysia hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi dan dengan kebanyakan pelumba sudah tiba di sini, kami berpeluang menyertai satu acara ringkas yang dianjurkan oleh Red Bull bersama pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi.

    Dalam masa yang singkat itu, sempat juga kami bertanyakan beberapa soalan kepada Khairul, namun kebanyakan jawapan yang diberi adalah ringkas.

    Bagi yang mahu mengetahui, kenapa pemuda berusia 19 tahun ini kurang menyerlah pada musim ini, Khairul memberitahu beliau sedang bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera di setiap litar dan memerlukan lebih masa. Lagipun, ini adalah musim pertama beliau di dalam kategori Moto2.

    Ada juga komen-komen orang yang mengatakan beliau masuk ke Moto2 terlalu awal, dan ini adalah jawapan Khairul, “saya rasa dakwaan itu ada benarnya. Tetapi sekurang-kurangnya dengan masuk lebih awal, saya juga dapat bersedia lebih awal untuk musim hadapan.”

    Khairul Idham Pawi perlu masa sesuaikan diri dalam Moto2, tidak letak harapan tinggi untuk musim 2017

    Selain daripada itu, Khairul juga menyatakan bahawa tahun ini adalah tahun untuk beliau belajar, di mana beliau sendiri sedar masih kurang pengalaman kerana sebelum ini hanya berlumba dua tahun sahaja di dalam Moto3.

    Walaupun kini berada dalam keadaan yang sukar, Khairul memberitahu rakan sepasukan, keluarga, rakan-rakan lain serta penyokong beliau sentiasa memberi semangat. Disebabkan itu, dalam setiap perlumbaan, beliau sentiasa berusaha memberikan yang terbaik.

    Untuk baki dua pusingan sahaja lagi musim ini, Khairul tidak memberikan harapan yang tinggi, dan sekiranya dapat memungut mata sahaja, sudah cukup baik bagi beliau. Untuk perlumbaan di Malaysia, Khairul juga cuba untuk tidak memberi tekanan kepada diri sendiri kerana sedar itu adalah tidak elok.

    Pada masa ini, Khairul berada di tangga ke-25 daripada 44 pelumba yang ada dalam kategori Moto2 dengan kutipan 10 mata.

     
     
  • Yamaha Niken Leaning Multi-Wheeler (LMW) 2018 – guna tiga roda, tetapan fork berkembar di hadapan

    Yamaha Niken Leaning Multi-Wheeler (LMW) 2018 – guna tiga roda, tetapan fork berkembar di hadapan

    Daripada artikel sebelum ini, kita sudah mengetahui Yamaha akan membawa dua model konsep yang radikal ke Tokyo Motor Show 2017. Dalam berita terbaru, pengeluar dari Jepun itu dikatakan akan membawa sebuah lagi model luar biasa ke pameran EICMA di Itali pula, dikenali sebagai Niken Leaning Multi-Wheeler (LMW).

    Seperti yang boleh dilihat di dalam gambar, model ini mempunyai tiga tayar, dua set fork dan rim 15 inci dengan lengan ayun tunggal di bahagian hadapan. Perincian lain belum diberitahu, tetapi ia boleh dijangka menggunakan asas daripada MT-09 Tracer, dengan kedudukan yang tinggi dan tegak.

    Yamaha juga mendakwa model ini dapat memberikan rasa stabil apabila mengambil selekoh, dan “prestasi cemerlang untuk berhadapan tunggangan sporty dan bersemangat di atas pelbagai jenis permukaan jalan, serta mampu mengambil selekoh yang berturut-turut.”

    Jika mengganggap ia menggunakan enjin sama seperti MT-09, Niken LMW ini mungkin boleh menghasilkan sehingga 115 PS pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm. Walaubagaimanapun, kerangkanya dilihat berbeza berbanding MT-09, di mana ia kini menggunakan kerangka trellis.

    Bahagian atas ‘motosikal’ ini juga kelihatan lebih lebar, supaya berpadanan dengan tapak yoke yang lebih lebar untuk tetapan fork berkembarnya. Lampu utama Niken LMW juga terletak pada perumah yang garang, dan kelihatan menggunakan gabungan unit projector, DRL LED dan lampu penunjuk arah LED (di cermin sisi).

    Setakat ini masih belum diketahui sama ada Niken LMW dilengkapi dengan sistem yang membolehkan ia tegak sendiri pada kelajuan rendah ataupun bergantung sepenuhnya kepada kawalan penunggang. Lebih banyak maklumat akan diketahui apabila ia dipertontonkan di EICMA bulan hadapan.

     
     
  • Tokyo 2017: Lexus LS+ Concept – autonomous mewah

    Tokyo 2017: Lexus LS+ Concept – autonomous mewah

    Walaupun Lexus LS baru saja diperkenalkan awal tahun ini, itu tidak menghalang sayap jenama mewah Toyota ini untuk mempersembahkan versi yang lebih maju model sama, dikenali sebagai Lexus LS+ Concept ketika Tokyo Motor Show 2017.

    Kereta ini antara lain menampilkan beberapa ciri pemanduan autonomous yang dijangka bakal diperkenalkan pada sedan termaju Lexus pada 2020. Masih mengekalkan bentuk umum LS, versi konsep ini sebenarnya menampilkan wajah depan yang lebih agresif, dengan dominasi rekaan lampu utama segi tiga padanya.

    Gril spindle unik Lexus juga diberi rekaan semula yang lebih segar, dan dilengkapi dengan bahagian grill shutter besar untuk memperbaiki aspek penyejukan dan prestasi aerodinamik – juga terdapat pencahayaan pada kerangka gril yang menyerlahkan bentuknya.

    Ke belakang, terdapat kamera diletakkan pada cermin pintu serta pemegang pintu terselindung yang menyuntik ciri futuristik pada LS+ ini. Lampu belakang pula nampak seperti rekaan tiga dimensi. Melengkapi imej sport ialah penggunaan rim yang besar dengan rekaan kompleks.

    Namun, sebab utama Lexus membangunkan konsep LS+ ini adalah untuk menunjukkan kemajuan teknologi yang hadir bersamanya – kereta ini boleh memandu sendiri, secara autonomous. Sistem Highway Teammate bertanggungjawab sepenuhnya mengendalikan kereta ini di lebuhraya.

    Menggunakan pengecaman tepat, serta penentuan operasi dari sistemnya sebagai maklumbalas kepada keadaan trafik sebenar, sistem ini akan membenarkan kereta untuk memasuki lebuhraya, bertukar lorong dan keluar lebuhraya secara automatik, serta mengekalkannya dalam lorong sepatutnya dalam jarak selamat dari kereta di depan.

    LS+ juga boleh melakukan kemaskini perisian dengan mudah, berguna untuk pertambahan ciri baru dari semasa ke semasa. Ciri Artificial Intelligent yang ada juga mengalisis data-data yang luas, termasuk maklumat laluan dan jalan raya serta kawasan sekitarnya. Ini bermaksud, kereta ini berupaya untuk melaksanakan pemanduan automatik tahap tinggi, serta berupaya untuk belajar dan matang bersama penggunanya.

     
     
  • Harga minyak 26 Oktober-1 November – semua naik

    Harga minyak 26 Oktober-1 November – semua naik

    Minggu lalu, harga bahan api petrol dan diesel telah dinaikkan sebanyak 1 sen berbanding minggu sebelumnya. Dan, keadaan itu akan berterusan minggu ini; ia naik lagi minggu ini.

    Bagi minggu terakhir Oktober, harga minyak petrol akan dijual pada kadar baru – RON 95 akan naik sebanyak 3 sen seliter menjadi RM2.20 untuk seliter. Sementara bagi RON 97 juga sama, naik 3 sen seliter, menjadikan harga barunya esok ialah RM2.50 seliter.

    Harga minyak 26 Oktober-1 November – semua naik

    Bagi diesel pula, harga runcitnya sama juga akan naik sebanyak 2 sen berbanding harga terakhirnya. Ini menjadikan diesel Euro 2 akan dijual pada harga RM2.13 seliter, manakala diesel Euro 5 pula dijual pada harga RM2.23 seliter. Semua harga ini akan berkuat kuasa tengah malam nanti sehingga Rabu, 1 November 2017.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026