Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Tokyo 2017: Daihatsu Boon – “Myvi JDM” dipamerkan

    Tokyo 2017: Daihatsu Boon  – “Myvi JDM” dipamerkan

    Daihatsu Boon bukanlah sebuah model yang membuat penampilan sulung di Tokyo Motor Show 2017. Tapi, sebab ramai yang mungkin berminat, maka kami bawakan galeri ini untuk tatapan anda.

    Perodua Myvi yang sangat popular di Malaysia, yang mencapai angka pengeluaran ke sejuta beberapa bulan sebelum ini bakal digantikan. Dan, sejak awal lagi model berkenaan diasaskan dari Daihatsu Boon, dan ramai yang menjangkakan versi generasi ketiganya juga akan mengambil langkah yang sama. Adakah itu akan menjadi kenyataan?

    Mungkin tidak, kerana keupayaan reka bentuk kenderaan oleh syarikat Malaysia ini semakin berkembang, seperti yang diterjemahkan pada model Bezza yang diperkenalkan tahun lalu. Sedan pertama Perodua itu, walaupun menggunakan kerangka dari Daihatsu, memperlihatkan hasil reka bentuk luaran dan kabin oleh tenaga tempatan. Model Bezza tidak disandarkan pada mana-mana model Daihatsu, dan Myvi baru nanti kemungkinan akan mengikut perkembangan sama.

    Kembali kepada model yang dipaparkan ini; ia adalah versi yang diterima oleh pasaran di Jepun. Boon kekal tampil dengan penggayaan yang comel, dengan bumbung tinggi dan kekal sebagai model hatchback segmen B, dengan lampu depan ala Mini dan lebih banyak elemen bulat yang dapat dilihat. Ini merupakan varian tertinggi Cliq dengan skim warna istimewa – pearl white dengan bahagian atas hitam, dengan kemasan merah dibeberapa bahagian.

    Pendekatan yang sama menghiasi bahagian dalamannya, dengan lebih banyak ruang untuk menepatkan barangan kecil dan lebih ringkas. Tempat duduk depan bersambung, dan penumpang boleh keluar-masuk dari mana-mana sisi (ruang parkir sangat sempit dan terhad di Jepun).

    Boon dikuasakan oleh enjin 1KR-FE “Topaz Neo” 1.0 liter tiga-silinder dengan janaan 69 PS dan 92 Nm pada 4,400 rpm. Berat kereta ini 910 kg, dan menggunakan sistem transmisi automatik CVT. Penggunaan minyaknya pada kadar 28 km/l menurut kitaran JC08 Jepun.

     
     
  • Kerajaan masih tanggung subsidi bahan api bernilai jutaan ringgit walaupun selepas ia dihapuskan – Irwan

    Kerajaan masih tanggung subsidi bahan api bernilai jutaan ringgit walaupun selepas ia dihapuskan – Irwan

    Walaupun subsidi untuk bahan api telah dimansuhkan sepenuhnya pada Disember 2014, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah mendedahkan bahawa kerajaan masih lagi menanggung bayaran berbilion ringgit setiap bulan untuk subsidi berkenaan, lapor Malay Mail.

    Perkara ini dinyatakan oleh Irwan ketika dialog pasca Bajet 2018 yang diadakan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia semalam. “Walaupun kami telah merombak mekanisma harga bahan api, kerajaan kadang kala masih mensubsidikan (harga minyak). Dalam sesetengah tempoh jika ia naik, kami berikan sedikit subsidi,” jelasnya.

    “Kami masih memberikan subsidi berberapa ratus juta (ringgit) setiap bulan, tetapi saya tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Sebelum ini, kami telah berikan subsidi sebanyak RM22 bilion, selepas rasionalisasi, sekitar berberapa ratus juta,” tambahnya lagi.

    Setelah subsidi bahan api dihapuskan keseluruhannya hampir tiga tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa kerajaan pusat telah membelanjakan RM29 bilion bagi tujuan subsidi petrol RON95 dan RON97, serta diesel pada tahun 2013.

     
     
  • Tol Bukit Kayu Hitam berpindah ke lokasi baharu pada 1 Nov, hanya beroperasi sehingga hujung tahun ini

    Tol Bukit Kayu Hitam berpindah ke lokasi baharu pada 1 Nov, hanya beroperasi sehingga hujung tahun ini

    Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi hari ini bagi memberitahu operasi Plaza Tol Bukit Kayu Hitam yang terletak di KM 0.65 akan dipindahkan mulai 1 November 2017, bermula pukul 6 pagi.

    Menurut PLUS, lokasi baharu plaza tol berkenaan adalah di KM 1.0 dan ia hanya beroperasi sehingga 31 Disember 2017 ini sahaja. Operasi singkat tersebut adalah selari dengan pengumuman pemansuhan empat tol termasuk Bukit Kayu Hitam ketika oleh Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2018 minggu lalu.

    Lokasi baharu tersebut juga adalah sebahagian projek pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang baharu dan ia dibuka serentak dengan operasi plaza tol baharu berkenaan.

    Bagi memudahkan urusan di sempadan, pihak PLUS turut mengumumkan bahawa waktu operasi plaza tol ini akan dilanjutkan iaitu bermula 6 pagi hingga 2 pagi pada 1 November ini untuk setiap hari, berbanding buat masa sekarang di mana ia hanya beroperasi sehingga jam 12 tengah malam.

     
     
  • Jualan Proton meningkat 12.5%, beri petunjuk positif

    Jualan Proton meningkat 12.5%, beri petunjuk positif

    Walaupun jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia pada bulan September menurun, itu tidak menghalang Proton daripada mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 12.5% sepanjang 2017 setakat ini. Jualan yang dicatatkan ialah sebanyak 56,297 unit berbanding 50,091 unit bagi tempoh sama tahun lalu.

    Peningkatan ini turut disumbang oleh pertumbuhan sebanyak 1.7% bagi tempoh setakat ini untuk jumlah keseluruhan industri (TIV) berbanding jangka masa yang sama tahun lalu.

    “Proton amat bernasib baik dengan perancangan model Saga dan Persona yang dilancarkan pada Ogos dan September 2016. Ia telah berjaya meningkatkan penjualan kenderaan, di mana sebahagian besarnya adalah melalui hasil jualan kedua-dua Saga dan Persona, dengan masing-masing menyumbang kepada 42.7% (24,061 unit) dan 27.4% (15,448 unit) bagi keseluruhan jualan kereta Proton setakat ini.” jelas Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa.

    Kedua-dua model berkenaan juga memperlihatkan peningkatan sebanyak 9,661 unit berbanding model lamanya bagi tempoh sama tahun lalu. Model Persona misalnya mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 90% setakat ini jika dibandingkan tahun lalu.

    Jualan Proton meningkat 12.5%, beri petunjuk positif

    Tambah Rashid, tanda-tanda positif ini menunjukkan mengapa Proton memerlukan rakan kongsi yang baik; untuk memastikan syarikat itu dapat terus kekal dan berdaya saing dalam pasaran. Hasil dari usaha sama itu, Proton menjangkakan perkembangan yang lebih baik selepas ini.

    Usaha promosi yang dijalankan, seperti mendekati pelanggan dengan lebih kerap dan berkesan melalui siri jelajah hujung minggu, serta demonstrasi ciri-ciri keselamatan yang ada pada model-model Proton semakin membuahkan hasil dan menarik minat orang ramai.

    Melihatkan kepada maklum balas positif yang diterima daripada pelanggan, Proton kini meneruskan tawaran 5 nilai hebat dengan servis percuma selama 5 tahun dan waranti selama 5 tahun untuk setiap pembelian kereta Proton di seluruh negara.

    Perkhidmatan percuma ini tamat selepas 5 tahun atau 100,000km (mana-mana terdahulu) termasuk alat ganti, minyak enjin dan caj pekerja. Waranti tamat selepas 5 tahun atau 150,000km, mana-mana terdahulu. Tawaran bermula 1 Nov hingga 30 Nov 2017.

     
     
  • SEMA 2017 – Honda umum program pembelian enjin VTEC Turbo Civic Type R untuk tujuan perlumbaan

    SEMA 2017 – Honda umum program pembelian enjin VTEC Turbo Civic Type R untuk tujuan perlumbaan

    Mahu sesuatu yang lebih mudah bagi mendapatkan kuasa untuk jentera Honda anda berbanding menggunakan enjin F1 Mugen Honda untuk di jual sebelum ini? Nah, ini sesuatu yang dijual oleh Honda sendiri dan ia adalah barang baharu – pada pertunjukkan SEMA tahun ini, jenama berkenaan akan mula menjual enjin K20C1 dari Honda Civic Type R FK8 menerusi Honda Performance Development (HPD) di bawah program Honda Racing Line.

    Enjin 2.0 liter DOHC i-VTEC Turbo berkuasa 306 hp/400 Nm tersebut akan dijual pada harga US$6,519.87 (RM27597.63), dan anda turut akan diberikan status keahlian Honda Racing Line. Menurut Honda, penjualan enjin Civic Type R ini merupakan usaha bagi menunjukkan komitmen jangka panjang Honda terhadap sokongan kepada perlumbaan peringkat akar umbi, dan ia disasarkan untuk mereka yang berminat dalam dunia perlumbaan serta pelumba professional (bukan untuk kegunaan jalan raya biasa).

    Selain dari enjin ini, Honda turut akan mendedahkan produk perlumbaannya yang lain pada SEMA 2017, termasuk jentera perlumbaan Global Rallycros Civic Coupe Red Bull, Civic Si Pirelli World Challenge, jentera single seater F3 Amerika dan juga trak perlumbaan off-road Honda Rigdeline Baja 1000 50th Anniversary. Jentera untuk perlumbaan kereta pacuan roda hadapan terpantas di dunia dalam bentuk standard produksi kilang – THR-W Road Racing Endurance Type R turut akan dibawa ke SEMA tahun ini.

    Honda turut akan mempamerkan sebuah Civic Si yang dikuasakan enjin turbo K20C1 yang dipadankan dengan pelbagai peralatan perlumbaan prestasi tinggi HPD, dan juga peralatan aftermarket asli dari Honda. Sebuah jentera kart digelar Concept Shiter Kart – dijana enjin empat lejang 250 cc yang diambil dari CRF250R – turut bakal dipamerkan.

    Bersama pengumuman penjualan enjin berkenaan, Honda turut mengumumkan kit aksesori Red Carbon untuk Civic Type R, yang terdiri dari penutup cermin sisi, sayap spoiler, panel-panel dalaman, tombol gear balutan kulit berwarna merah, kemasan bendul dengan logo R bercahaya, konsol tengah bercahaya dan penutup kereta indoor.

    Untuk Civic bukan Type R pula, HFP turut menawarkan kit tingkat taraf yang terdiri dari rim aloi, suspensi sport, penutup bawah badan hadapan, sisi dan belakang, spoiler belakang, karpet alas kaki, emblem-emblem HFP, cakera brek, pedal sport dan tombol gear.

    Barisan motosikal Honda Powersport turut akan di bawa ke SEMA, antaranya replika Ken Roczen CRF450R 2017, CBR10000RR SP, TeamH35 CBR RR600 RR 2017, Genuine Broaster Chicken Honda/Roadrace Factory CBR 1000 RR SP2 dan Honda Grom – Team 32V-B Endurance 2014.

     
     
  • Acura NSX Dream Project binaan ScienceofSpeed bakal ke SEMA 2017- 610 hp/687 Nm, kit aero ala-GT3

    Acura NSX Dream Project binaan ScienceofSpeed bakal ke SEMA 2017- 610 hp/687 Nm, kit aero ala-GT3

    Sempena pertunjukkan kenderaan ubahsuai tahunan di Amerika Syarikat iaitu SEMA 2017, pakar ubahsuai Acura NSX – ScienceofSpeed (SoS) – akan menampilkan NSX yang lebih berkuasa dengan rupa yang lebih agresif digelar NSX Dream Project.

    Masih mengekalkan enjin V6 3.5 liter turbo berkembar bersama sistem hibrid dengan tiga motor elektrik, Dream Project diberikan pelbagai tingkat taraf unit janakuasa. Ubahsuai dimulakan dengan penukaran downpipe berprestasi tinggi dan disatukan dengan sistem ekzos keluli tahan karat 7 kg lebih ringan bagi menghasilkan deruman enjin yang lebih ‘dalam’ dan agresif.

    SoS turut memadankan sistem suntikan cecair ke unit intercooler bagi memberikan udara lebih sejuk setelah disedut oleh pengecas turbo, seterusnya memberikan ledakan yang lebih berkuasa di dalam kebuk pembakaran. Secara keseluruhan, senarai ubahsuai ini mampu mengerah 610 hp dan juga tork maksima 687 Nm, atau 37 hp dan tork 31 Nm lebih berkuasa dari jumlah asal.

    Acura NSX Dream Project binaan ScienceofSpeed bakal ke SEMA 2017- 610 hp/687 Nm, kit aero ala-GT3

    Bagi memberikan pengendalian lebih baik setelah kuasa asal dipertingkatkan, Dream Project diberikan kit suspensi custom yang merapatkan lagi badan NSX ini ke permukaan jalan, lebih satu inci dari ketinggian asal. Namun, untuk memudahkan supercar hibrid ini mudah untuk melintasi halangan – meredah bonggol misalnya, ia turut diberikan sistem iLIFT yang mampu meninggikan gandar hadapan NSX ini sebanyak dua-inci secara automatik sekiranya penderia mengesan halangan di hadapan.

    Pengendalian Dream Project ini turut dibantu dengan set roda yang dipadankan. Rim-rim asal NSX berkenaan digantikan dengan set rim forged lima-jejari Advan GT kemasan Machine Hyper Black dengan saiz 20×9 jj di hadapan dan 21×12 jj di belakang. Set rim berkenaan kemudiannya dibalut dengan tayar-tayar perlumbaan Pirelli Trofeo R.

    Pada bahagian luaran, SoS memberikan penampilan seperti jentera perlumbaan NSX GT3 pada Dream Project ini. Kit aero tambahan yang diberikan termasuk spoiler tambahan pada bahagian bawah bampar hadapan, panel sisi lebih lebar dengan liang udara binaan gentian karbon, diffuser belakang lebih besar, serta sayap GT belakang bagi memberikan downforce yang lebih baik.

    NSX Dream Project ini turut diberikan sistem brek lebih besar binaan seramik karbon dari Brembo. Manakala untuk memberikan imej bagi memperingati NSX generasi pertama, ia turut diberikan warna badan Nouvelle Blue Pearl bersama bumbung berwarna hitam.

    Masuk ke kabin pula, dapat diperhatikan tempat duduk asal digantikan dengan tempat duduk perlumbaan Recaro Pole Position dengan kemasan kulit hitam custom bersama fabrik biru (dengan elemen hexsagon, melambangkan gril sarang lebah ikonik NSX) dan serlahan jahitan biru. Tema berkenaan turut diberikan pada panel pintu, papan pemuka dan panel pada konsol tengah.

    SoS turut memadankan paparan pelbagai fungsi gaugeART OLED yang ditempatkan pada kedudukan tinggi di papan pemuka bagi memudahkan pemandu memantau data penting prestasi supercar berkenaan.

     
     
  • VIDEO: Triumph keluarkan teaser untuk Tiger baharu

    Pengeluar motosikal dari United Kingdom, iaitu Triumph nampaknya semakin sibuk sejak kebelakangan ini, dan untuk pameran EICMA yang akan bermula 6 November nanti, mereka menjanjikan sebuah model baru Tiger, dan teaser-nya boleh dilihat seperti di atas.

    Seperti yang kita ketahui, dalam barisan model Triumph, terdapat tiga model Tiger berbeza iaitu TIger 800, Tiger 1200 dan Tiger Sport. Dibandingkan pula dengan petikan-petikan pendek daripada video tersebut, kami boleh menolak pertamanya adalah Tiger Sport, kerana Tiger yang di dalam video ini menggunakan rim yang lidi yang lebih besar dan boleh dibawa offroad.

    Namun di antara Tiger 800 dan Tiger Explorer 1200, kami tidak dapat memberi jangkaan kerana bahagian lain yang ditunjukkan boleh jadi digunakan pada kedua-dua model, termasuk enjin tiga silinder. Bahagian baru yang boleh dilihat pada Tiger yang akan datang ini adalah meter digital, butang kawalan joystick seperti Street Triple 765 dan pencahayaan LED melintang yang bersepadu di dalam lampu hadapannya.

    Jika kami perlu membuat tekaan, kami akan katakan ini adalah Tiger 800 berdasarkan saiznya, dan Tiger Explorer 1200 masih lagi dipanggil sebagai model baru ketika ini. Untuk mengetahui selanjutnya, bersama kita tunggu motosikal ini dipertonton secara rasmi minggu hadapan.

     
     
  • Kemuncak Malaysia Speed Festival (MSF) 2017 pada 2-3 Disember ini; harga diskaun slot ‘track day’ RM300

    Kemuncak Malaysia Speed Festival (MSF) 2017 pada 2-3 Disember ini; harga diskaun slot ‘track day’ RM300

    Malaysia Speed Festival (MSF) kini menawarkan slot dua jam di litar pada harga hanya RM300, sempena siri perlumbaannya yang terakhir musim ini yang bakal berlangsung pada 2 dan 3 Disember 2017. Siri ini tidak hanya mempromosi perlumbaan yang diiktiraf oleh AAM bagi tahap permulaan dan pertengahan, tetapi turut melibatkan sesi track day terbuka bagi mereka yang ingin turut sama merasai pengalaman memandu di litar.

    Pada siri perlumbaan terakhir ini nanti akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sesi track day terbuka berkenaan ditawarkan hanya pada harga RM300 seperti dinyatakan awal tadi. Garaj pit juga boleh digunakan kepada yang memerlukan dengan tambahan RM60. Jadual sesi berkenaan adalah seperti berikut; 3pm hingga 5pm pada 2 Disember dan 9am hingga 11am pada 3 Disember. Kedua-dua sesi ini akan berlangsung di kemudahan South Track baru SIC.

    Sesi track day ini sangat sesuai kepada penggemar sukan lumba yang ingin mencuba dan mempertajam kemahiran pemanduan mereka di dalam litar sebenar serta dalam suasana terkawal yang selamat. Ketika siri perlumbaan MSF ini, pengalaman berkenaan akan menjadi lebih menarik. Sistem kereta keselamatan MSF membantu mengurangkan red flag down time yang mengganggu pemandu ketika di litar. Pendaftaran dan bayaran juga sangat mudah; boleh dilakukan secara atas talian melalui laman web rasmi MSF di sini.

    Ketika acara dua hari berkenaan, MSF buat pertama kalinya akan menampilkan aktiviti-akivitii baru termasuk cabaran Drift Gonzo serta track day hanya untuk superbike. Dua acara ini menjadi tambahan kepada aktiviti lain ketika MSF, termasuk track day untuk kereta, MSF MegaLAP time attack, MSF Racing Series serta pameran kenderaan oleh Mcclubz. Acara ini turut akan disertai oleh penyedia makanan dan minuman (dengan potongan harga) serta zon untuk kanak-kanak.

    Satu lagi khabar gembira ialah ruang grandstand utama juga akan dibuka kepada orang ramai secara percuma. Jika anda ingin memerhatikan pengalaman lumba yang lebih dekat, tiket bagi masuk ke paddock juga ada dijual; pada harga RM10 untuk dewasa pada Sabtu sementara RM20 untuk dewasa pada Ahad – bagi pembeli awal sahaja. Tiket berkenaan boleh dibeli di SIC, manakala kanak-kanak bawah 15 tahun boleh masuk secara percuma.

    Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi MSF Racing dan laman Facebook.

     
     
  • Haval H2 terima penarafan lima-bintang dari ANCAP

    Program Penilaian Kereta Baharu Australasia (ANCAP) telah memberikan penarafan lima bintang kepada SUV dari China, Haval H2 setelah ujian terbaharu badan berkenaan dijalankan baru-baru ini. Penarafan berkenaan sah untuk H2 yang dijual di Australia dari Oktober 2015, dan juga untuk model pasaran New Zealand bermula Ogos 2017.

    Untuk ujian pelanggaran offset hadapan, H2 menerima 13.88 markah dari 16 markah penuh, di mana perlindungan kepala dan leher pemandu di kelaskan sebagai ‘baik’ manakala dada dan kaki dikelaskan sebagai ‘boleh diterima’. Bagi ujian pelanggaran sisi pula, H2 menerima 16 markah penuh, bersama ujian perlindungan whiplash yang turut menerima dua markah penuh.

    Dalam ujian perlindungan pejalan kaki, H2 menerima markah 23.79 dari 36 markah penuh – cukup untuk penarafan ‘boleh diterima’. Bonet dan bampar SUV ini memberikan perlindungan besar yang ‘baik’ atau ‘boleh diterima’ kepada kepala pejalan kaki yang dilanggar. Walau bagaimanapun, impak pada bahagian atas kaki menunjukkan keputusan yang tidak baik.

    Haval H2 pasaran Australia menerima enam beg udara (dua hadapan, sisi dan tirai), ABS, EBD dan juga ESC sebagai ciri standard. Kesemua kelengkapan ini turut diberikan pada H2 pasaran Malaysia yang mula diperkenalkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD) pada tahun ini.

    GALERI: Haval H2 pasaran Malaysia

     
     
  • Toyota Hilux Bruiser – replika trak pikap permainan kawalan jauh ikonik Tamiya era 80’an dalam skala 1:1

    Kebiasaannya, kereta permainan akan dihasilkan sebagai replika kepada kereta sebenar. Namun, Toyota UK menghasilkan sebaliknya – trak pikap permainan kawalan jauh Toyota Hilux Bruiser dari Tamiya yang popular pada era 80’an dahulu kini dibina pada skala sebenar, diasaskan dari Toyota Hilux generasi terbaharu.

    Hilux Bruiser dengan skala 1:1 ini dibina oleh Arctic Trucks, pembina yang sama menghasilkan trak Polar Hilux. Trak pikap yang dibina hanya sebuah ini dihasilkan menggunakan asas Hilux generasi baharu dari varian Extra Cab pasaran UK.

    Pada bahagian luaran, Hilux ini diberikan salutan pelekat badan vinil dengan warna high-metallic Diamond Blue, yang menjadikan badan besi trak sebenar tersebut kelihatan seperti badan acrylic kereta permainan kawalan jauh keluaran Tamiya berkenaan. Ia turut diberikan livery “Hog Heaven” ikonik dan kesemua pelekat lain menyerupai Tamiya Hilux Bruiser yang dihasilkan semula secara digital menggunakan tangan.

    Bagi melengkapkan rekaan grafik badan, Hilux Bruiser skala penuh ini turut diberikan jalur tiga warna yang dilekatkan di sekeliling badan dan juga di bahagian bonet hadapan. Bahagian belakang trak pikap ini diberikan bampar rock slider yang dibuat dari tiub logam tahan karat menyerupai versi RC, begitu juga pada bahagian pelindung sisi yang mendapat rekaan sama. Manakala pada bahagian hadapan, bampar asal masih dikekalkan tetapi diberikan pelekat jalur menyerupai rock slider tersebut.

    Perincian lain yang turut diberikan bagi membuatkan Hilux 1:1 ini seperti kereta permainan Tamiya Hilux Bruiser sebenar termasuk antena gergasi pada bahagian belakang, suis on/off pada ruang kargo, klip magnetik pada bonet hadapan, dan juga pelekat yang kelihatan seperti panel louvre pada cermin belakang. Kesemua perincian berkenaan dibina oleh pembuat model terkenal Robert Selway.

    Arctic Truck turut memadankan pakej AT35, tayar gergasi bersaiz 35-inci, suspensi yang dipertingkat, nisbah gear baharu pada unit differential dan juga pelindung tambahan pada ruang roda. Hilux Bruiser sebenar ini masih dijana enjin 2.4 liter turbodiesel bersama kotak gear automatik enam kelajuan dan juga sistem pacuan empat-roda.

    Walaupun kelihatan seperti sebuah kereta permainan, Toyota Hilux Bruiser skala penuh ini masih lagi sah digunakan di atas jalan raya dan ia akan menyertai kereta-kereta demo Toyota UK lain pada acara-acara yang dijalankan oleh jenama berkenaan di seluruh UK.

     
     
  • Perodua lancar kempen keselamatan lima tahun, perkenalkan kerusi kanak-kanak GearUp dari RM660

    Perodua lancar kempen keselamatan lima tahun, perkenalkan kerusi kanak-kanak GearUp dari RM660

    Perodua hari ini melancarkan kempen keselamatan seluruh negara untuk tempoh lima tahun ke hadapan – dikenali dengan nama Kempen Keselamatan Jalanraya Perodua – dengan matlamat untuk membaiki sikap pemanduan pemandu-pemandu di Malaysia.

    Ia dimulakan dengan menggalakkan pemandu untuk mematuhi peraturan trafik asas serta mengamalkan tabiat memandu yang baik. Empat perkara menjadi tumpuan utama; menggunakan tali pinggang keledar, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, menggunakan lampu isyarat serta menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak. Bunyinya mudah, tetapi terlalu ramai pemandu di Malaysia yang mengabaikan semua ini.

    Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh menyatakan kempen berkeaan, selain menempatkan bahan penerangan berkaitan disemua cawangan jualan dan servis jenama itu seluruh negara, turut disasarkan untuk memberi kesedaran kepada sejuta pelanggan dalam tempoh setahun.

    “Kami percaya sasaran satu juta orang ini mampu dicapai memandangkan seramai 1.2 juta pelanggan datang ke pusat jualan dan servis kami setiap tahun. Kami ingin mengambil peluang ini untuk mendidik mereka berkaitan sikap pemanduan yang positif,” ujar beliau.

    “Sebagai sebahagian daripada program lima tahun ini, Perodua berharap untuk berkerjasama dengan beberapa agensi kerajaan berkaitan seperti JPJ, JKJR dan Miros untuk menjadikan jalan raya kita lebih selamat. Kami menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk meningkatkan aspek keselamatan jalan raya, dan untuk itu ingin memainkan peranan kami,” tambah beliau.

    Dan, sempena dengan pelancaran kempen berkenaan, Perodua turut memperkenalkan kerusi keselamatan kanak-kanak di bawah aksesori GearUp. Dua jenis akan ditawarkan – A untuk bayi dengan berat hingga 13 kg atau 18 bulan (warna merah atau kelabu) dan B untuk kanak-kanak antara sembilan hingga 36 kg (merah atau hitam). Yang kedua itu sesuai untuk kanak-kanak dari usia sembilan bulan ke 12 tahun.

    Kerusi khas ini, yang boleh dipasang dengan mudah menggunakan ciri ISOFIX pada semua kenderaan keluaran Perodua (dari 2012), dijual pada harga RM660 bagi jenis A manakala bagi versi B pada harga RM780. Ini merupakan harga pengenalan istimewa yang diberikan sehingga Tahun Baru Cina 2018 nanti. Selepas itu harganya masing-masing akan jadi RM790 dan RM980.

    Seperti juga aksesori GearUp yang lain, harga kerusi keselamatan kanak-kanak ini juga boleh dimasukkan ke dalam pinjaman jual-beli kenderaan baru dari Perodua sendiri – pelanggan tidak perlu mengeluarkan duit dahulu. Di buat di Malaysia, kerusi khas berkenaan menepati piawaian ECE R44.

     
     
  • Perodua jangka jualan suku keempat 2017 akan lebih kukuh serta mampu capai sasaran awal 202,000 unit

    Perodua jangka jualan suku keempat 2017 akan lebih kukuh serta mampu capai sasaran awal 202,000 unit

    Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, Perodua mencatatkan jualan kenderaan sebanyak 151,600 unit kenderaan, naik 0.5% bagi tempoh sama tahun lalu. Syarikat itu juga optimistik bakal mengukuhkan jualan pada suku keempat tahun ini, dan berada dalam situasi yang betul untuk mencapai sasaran jualan yang ditetapkan bagi tahun ini, iaitu sebanyak 202,000 unit kenderaan.

    Seperti kebanyakan jenama, jualan pada suku ketiga 2017 Perodua adalah sederhana, dengan jumlah 51,900 unit juga adalah 3% kurang berbanding tahun lalu. Tetapi, perlu dinyatakan, pencapaian suku ketiga tahun lalu dirancakkan oleh pengenalan model Perodua Bezza pada Julai.

    “Memandangkan pembentangan Bajet 2018 yang berlangsung bulan ini, jualan adalah sedikit perlahan kerana ramai pelanggan yang ingin tunggu dan lihat,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh minggu lalu. “Suku keempat dijangka turut akan menjadi sangat mencabar, tetapi kami percaya Perodua dapat mengekalkan momentum jualan dan sangat optimistik untuk mencapai sasaran awal 202,000 unit menjelang tujung tahun 2017 nanti,” ujar beliau.

    Perodua jangka jualan suku keempat 2017 akan lebih kukuh serta mampu capai sasaran awal 202,000 unit

    Dengan angka 48,700 unit, Axia menjadi model paling laris keluaran Perodua setakat ini, diikuti oleh Myvi dengan 42,000 unit. Bezza pula mencatat 39,800 unit sementara Alza dengan 21,400 unit bagi tempoh Januari hingga September. Perodua juga menjelaskan, semua model-model ini menjadi mendahulu bagi segmen masing-masing.

    “Kami ingin berterima kasih kepada rakyat Malaysia di atas kepercayaan yang ditunjukkan terhadap jenama kami,” jelas Aminar. Pada 2016, Perodua menjual sebanyak 207,100 unit kenderaan dan mencatatkan kadar perkongsian pasaran tertinggi iaitu 35.7%.

    Khidmat lepas jualan juga menjana pulangan yang besar buat Perodua; jumlah kenderaan yang diservis meningkat sebanyak 4.6% kepada 1.58 juta kenderaan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini. Ini lonjakan yang besar berbanding 1.2% tempoh sama yang dicatat pada separuh pertama 2017.

    Bagaimanapun, cabaran buat Perodua sama saja dengan pemain industri yang lain. Paling utama ialah kadar pinjaman jual-beli kenderaan. Sekitar 85%-90% pelanggan Perodua yang membuat pinjaman, ketika jumlah tempahan yang tinggi, kadar peratusan yang diluluskan pinjaman mereka agak rendah, iaitu 48%.

     
     
  • Kajian polisi baharu jangka hayat kenderaan kini sudah diperingkat akhir – Menteri Pengangkutan

    Kajian polisi baharu jangka hayat kenderaan kini sudah diperingkat akhir – Menteri Pengangkutan

    Menteri pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan kementeriannya kini dalam peringkat akhir dalam melakukan kajian polisi baharu bagi jangka hayat kenderaan, lapor Bernama.

    Menurut Liow, kajian berkenaan turut mengandungi cadangan pemberian insentif bagi menukar kenderaan lama kepada baharu dan ia perlu mendapat kelulusan Kabinet terlebih dahulu sebelum dibentang di Parlimen.

    “Kita tidak letakkan jangkaan tempoh untuk laksanakan polisi ini kerana kita tahu ia membabitkan pelbagai perkara selain perlu meminda undang-undang pengangkutan terutamanya Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Bagaimanapun, kita memahami kebimbangan rakyat kerana semakin ‘berusia’ kenderaan itu, semakin banyak isu atau masalah yang timbul,” jelas Liow kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen MCA Perak 2017.

    Beliau turut menjelaskan sekiranya polisi itu dilaksanakan, Kementerian Pengangkutan akan menentukan jangka hayat sesebuah kenderaan selain pemberian insentif kepada pemilik yang mahu menamatkan jangka hayat kenderaan mereka.

    “Kita mungkin bagi rebat atau wang tunai kepada mereka yang bersedia melakukan penamatan itu dan bagi kita, ia antara cara terbaik untuk mengurangkan jumlah kenderaan lama di atas jalan raya,”katanya.

    Liow turut menyebut bahawa banyak aduan yang diterima daripada pelbagai jabatan dan agensi yang mahu polisi baharu itu diperkenalkan dengan segera bagi mengurangkan masalah kenderaan terbengkalai dan ada laporan menyatakan bahawa ia menjadi tempat takungan hingga menyebabkan berlakunya penyakit denggi.

     
     
  • Kia Stinger akan ‘drift’ ke pertunjukkan SEMA 2017

    Selain akan tampil dalam versi ubahsuai oleh West Coast Custom, Kia turut akan menampilkan aksi drift dari model sedan GT Kia Stinger di pertunjukkan tahunan kenderaan ubahsuai terbesar di Amerika Syarikat iaitu SEMA 2017. Kia mengumumkan perkara ini menerusi video yang memamparkan sebuah Stinger berwarna perak melakukan aksi drift, dan diikuti dengan pengumuman dari pemandunya yang menyatakan Stinger akan di bawa ke SEMA tahun ini.

    Untuk pasaran Amerika, Stinger ditawarkan dengan dua enjin berbeza iaitu enjin 2.0 liter empat-slinder turbo berkuasa 255 hp pada takat 6,200 rpm serta tork maksima 353 Nm bermula 1,400 hingga 4,000 rpm, dan juga enjin V6 3.3 liter turbo berkembar Lambda II berkuasa 365 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm – jelas lebih berkuasa dari Audi S5 Sportback and BMW 440i Gran Coupe.

    Kedua-dua enjin ini hanya akan dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan yang dibina oleh Kia sendiri. Stinger merupakan sedan pacuan roda belakang dan diberikan LSD mekanikal yang dibekalkan secara standard. Namun untuk pasaran Amerika, ia turut ditawarkan bersama sistem pacuan semua roda dengan agihan tork lebih ke bahagian belakang bersama sistem Dynamic Torque Vectoring Control yang beroperasi bersama sistem brek.

    Ini membolehkan model 2.0 liter turbo memecut dari 0-60 bsj (0-96 km/j) dalam masa 5.9 saat, manakala model 3.3 liter V6 pula mampu memecut dalam jarak yang sama dengan catatan 4.7 saat – lebih laju dari catatan masa yang direkodkan oleh Porsche Panamera V6.

    GALERI: Kia Stinger pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • TINJAUAN AWAL: Ford F-150 di Malaysia – RM389k

    Kepada yang masih belum tahu, Ford F-150 kini sudah berada di Malaysia. Dan, bukan itu saja, ia merupakan versi pemasangan tempatan, dengan pemanduan sebelah kanan. Model ini bagaimanapun tidak akan dijual oleh Ford Malaysia, sebaliknya oleh Syarikat Hamawangsa Kredit Sdn Bhd.

    Harganya? Bagi versi paling rendah, 2.7L Ecoboost V6 seperti yang dipaparkan dalam video ini, harganya bermula dari RM388,888.

    Untuk pasaran tempatan, ada empat pilihan enjin ditawarkan; bermula dengan enjin 2.7 liter EcoBoost V6 (325 hp/508 Nm), 3.5 liter EcoBoost V6 (385 hp/524 Nm), 3.5 liter Ti-VCT V6 (282 hp/343 Nm) serta 5.0 liter Coyote V8 (enjin sama pada Mustang GT) dengan janaan 365 hp dan 569 Nm. Kemampuan menunda ialah 3,855 kg bagi 2.7L Ecoboost, 4,850 kg bagi 3.5L EcoBoost.

    Ia menggunakan rim 18-inci enam jejari aloi dengan tayar Goodyear Wrangler All-Terrain 275/65 sebagai penawaran standard. Pelanggan juga boleh memilih rim lebih besar, 22-inci. Kalau anda sanggup belanjakan lebih banyak duit, Syarikat Hamawangsa juga akan menawarkan rangkaian aksesori bagi F-150, termasuk pakej kemasan paling popular dan garang, Raptor.

    Kami mendekati model ini dengan lebih dekat melalui video ini. Berapa tinggi dan panjang F-150 sebenarnya? Kalau nak tahu – dan anda mungkin terkejut dengan banyak perkara – tonton video ringkas yang telah kami sediakan ini. Kalau ada apa-apa maklum balas atau pandangan, jangan segan-segan untuk nyatakan di ruang komen.

     
     
  • Sebastien Ogier sah bergelar juara dunia WRC 2017, Ford M-Sport rangkul gelaran kategori pengeluar

    Sebastien Ogier sah bergelar juara dunia WRC 2017, Ford M-Sport rangkul gelaran kategori pengeluar

    Walaupun Kejuaraan Rali Dunia (WRC) 2017 masih lagi berbaki satu pusingan, pemandu pasukan Ford M-Sport, Sebastien Ogier telah mengesahkan gelaran juara dunia untuk musim tahun ini setelah menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada Rali Great Britain semalam.

    Dengan kejayaan yang diraih tahun ini, Ogier mengekalkan gelarannya yang diperolehi tahun lalu bersama pasukan Volkswagen dan berjaya menjadi juara dunia untuk kali kelima berturut-turut. Rekod ini juga membolehkan Ogier mengatasi lagenda Finland, Tommi Makinnen yang bergelar juara sebanyak empat-kali, dan kini satu anak tangga di belakang pemandu senegara, Sebastien Loeb yang merangkul gelaran juara WRC sebanyak sembilan-kali.

    Bagi pasukan M Sport yang juga berpengkalan di UK, mata-mata yang diperolehi dari pemandu-pemandunya di Rali GB ini turut membolehkan mereka sah digelar sebagai juara dunia kategori pengeluar bagi WRC 2017. M-Sport bukanlah pasukan yang dilantik sendiri oleh Ford untuk bertanding dalam WRC, sebaliknya pasukan persendirian yang berlumba menggunakan Ford Fiesta. Kejayaan yang diraih oleh pasukan berkenaan nyata memberikan impak besar kepada pasukan-pasukan rasmi tiga jenama besar lain iaitu Toyota, Hyundai dan Citroen.

    Pusingan Dayinsure Wales Rally GB tersebut dijuarai oleh seorang lagi pemandu M-Sport iaitu Elfyn Evans, yang juga merupakan pemandu tempatan. Kemenangan Evans dan M-Sport di Rali GB ini secara tidak langsung mengembalikan memori peminat tempatan kepada kejayaan yang diraih oleh mendiang Richard Burns dan pasukan Prodrive Subaru World Rally Team (yang juga berpengkalan di UK) di Rali sama pada tahun 2000.

    Evans yang juga bekas juara kejohanan Rali British meninggalkan pemandu Hyundai, Thierry Neuville di tempat kedua dengan kelebihan 37.3 saat, sekaligus dapat membalas dendam terhadap kekalahannya kepada Neuville dengan hanya 0.7 saat di Rali Argentina enam bulan lalu.

    Seorang lagi pemandu Hyundai, Andreas Mikkelsen berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat, diikuti oleh pemandu Toyota, Jari-Matti Latvala di tempat kelima. Mata untuk pasukan M-Sport pada pusingan ini turut disumbangkan oleh pemandu keduanya iaitu Ott Tänak yang menamatkan perlumbaan pada tempat keenam.

    Berdasarkan carta pungutan mata, Ogier memperolehi 215 mata meninggalkan Neuville di tempat kedua dengan 183 mata. Bagi kategori pengeluar pula, M-Sport Ford mendahului dengan 398 mata, berbanding Hyundai Motorsport di tempat kedua dengan hanya 305 mata. Perlumbaan terakhir untuk musim WRC tahun ini akan dilangsungkan di Australia pada 16 hingga 19 November ini.

     
     
  • PLUS memperjelaskan perjanjian konsesi Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau tamat 20 tahun lebih awal

    PLUS memperjelaskan perjanjian konsesi Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau tamat 20 tahun lebih awal

    Selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kutipan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau bakal dimansuhkan mulai 1 Januari 2018, ada pihak mendakwa, kedua-dua plaza tol berkenaan memang tamat tempoh perjanjian konsesinya pada tahun hadapan.

    Walau bagaimanapun, PLUS Malaysia Sdn Bhd (PLUS) menegaskan tempoh perjanjian konsesi bagi kedua-kedua plaza tol berkenaan sebenarnya dijadualkan berakhir pada 31 Disember 2038. Ini bermakna pemansuhan berkenaan ditamatkan 20 tahun lebih awal daripada perjanjian konsesi berkenaan.

    Menurut PLUS lagi, perjanjian konsesi 2011 yang distruktur semula berikutan penswastaan PLUS pada tahun sama, menyaksikan kutipan di semua plaza tol milik PLUS, termasuk Batu Tiga dan Sungai Rasau, diselaraskan.

    Selain itu, tiada sebarang kenaikan kadar tol dilaksanakan, sama ada oleh kerajaan dan/atau PLUS di semua lebuh raya milik syarikat ini sejak 2005.

    Manakala bagi pemansuhan kutipan tol di tiga lokasi termasuk di Bukit Kayu Hitam, Kedah serta Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Johor, PLUS berkata, perbincangan sedang dilakukan dan pihaknya akan membuat pengumuman selepas mendapat maklumat daripada kerajaan.

     
     
  • BAJET 2018 – Empat tol dimansuhkan bermula 1 Jan

    BAJET 2018 – Empat tol dimansuhkan bermula 1 Jan

    Dalam pembentangan bajet 2018 yang diumumkan oleh Perdana Malaysia, Datuk Seri Najib Razak hari ini, turut diumumkan empat tol yang terletak di Lembah Klang, Johor Bahru dan Kedah akan dimansuhkan bermula 1 Januari 2018.

    Tol berkenaan adalah kedua-dua tol di Lebuhraya Persekutuan iaitu Tol Batu Tiga dan Tol Sungai Rasau, Tol Bukit Kayu Hitam, Kedah dan juga Eastern Dispersal Link (EDL), Johor Bahru.

    Berita ini pastinya sedikit sebanyak melegakan pengguna-pengguna yang sentiasa melalui laluan berkenaan, terutamanya Lebuhraya Persekutuan di mana laluan bertol kawasan berkenaan (RM1.10 untuk Batu Tiga dan RM1.00 untuk Sungai Rasau) telah mula dikutip pada awal 90’an.

     
     
  • BMW HP4 Race kini di M’sia – 215 hp, 120 Nm, RM521k

    BMW HP4 Race kini di M’sia – 215 hp, 120 Nm, RM521k

    Di antara tiga model baru yang dilancarkan oleh BMW Motorrad Malaysia di Litar Sepang hari ini yang termasuk G 310 GS dan S 1000 XR, paling mengujakan adalah model HP4 Race, yang dijual pada harga RM520,900 termasuk GST, tanpa insurans dan kos pendaftaran lain, kerana ia menggunakan banyak barangan daripada jentera lumba.

    Bermula pada bahagian enjin, spesifikasi unit empat siilnder 999 cc padanya adalah sama seperti motosikal yang digunakan dalam perlumbaan Endurance dan Superbike World Championshi, dengan mampu menghasilkan 215 hp pada 13,900 rpm dan 120 Nm tork pada 10,000 rpm. Tahap rpm tertinggi juga ditingkatkan menjadi 14,500, daripada 14,200 rpm pada model S 1000 RR. Kotak gear enam kelajuan yang digunakan adalah unit lumba dengan nisbah yang rapat.

    Selain enjin dan elektronik yang mempunyai sama kategori seperti jentera lumba pasukan BMW, bahagian suspensi pula lebih berprestasi, di mana ia menyamai unit seperti yang digunakan dalam Superbike World Championship dan MotoGP, iaitu fork Ohlins FGR-300 serta batang spring Ohlins TTX 36 GP. Bahagian lain yang menggunakan unit sama seperti jentera lumba adalah termasuk lengan ayun dan brek dengan piston titanium.

    Di sebalik panel badan motosikal ini, terdapat kerangka serta rim gentian karbon sepenuhnya, dan ini menjadikan HP4 Race sebagai motosikal pertama di dalam dunia yang menggunakan bahagian seperti itu. Ini sekaligus menjadikan ia lebih ringan, iaitu secara keseluruhannya, cuma 146 kg.

    Bukan sahaja senarai kelengkapan, perkara lain berkenaan HP4 Race termasuk pembangunannya juga menjadikan ia istimewa. Setiap satu daripadanya dipasang dengan tangan, dan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad, iaitu 750 unit sahaja untuk seluruh dunia. Gabungan warna Lightwhite uni/Racingblue metallic/Racingred uni pada HP4 Race adalah warna HP Motorsport yang baru dan motosikal ini didatangkan dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan.


     
     
  • BMW S1000XR baharu tiba di Malaysia – RM105,900

    BMW S1000XR baharu tiba di Malaysia – RM105,900

    Selain G 310 GS dan HP4 Race, BMW Motorrad Malaysia turut melancarkan S 1000 XR baharu untuk pasaran Malaysia. Model ini adalah model yang diperbaharui daripada model yang pernah diperkenalkan pada tahun 2015 sebelum ini, dan dijual pada harga RM105,900 termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan kos pendaftaran lain.

    S 1000 XR adalah sebuah model Adventure Sports, yang menggunakan enjin empat silinder 999 cc, dan kini menerima taraf Euro 4 serta 5 hp lebih berkuasa (menjadi 165 hp pada 11,000 rpm) dan 114 Nm tork pada 9,250 rpm. Transmisi yang digunakan adalah unit enam kelajuan dengan klac anti-hopping.

    Pembaharuan lain yang dilakukan pada model ini adalah ia kini mempunyai penyambung di bahagian pemegang anti gegaran dan tambahan 10 kg kepada berat yang boleh ditanggungnya (kini menjadi 444 kg). Bahagian lain kekal sama termasuk fork teleskopik USD 46 mm dengan pelarasan mampatan dan lantunan di hadapan, serta monoshock dengan pelarasan lantunan di belakang.

    Sebagai sebuah model sporty, S 1000 XR yang mempunyai berat 216 kg ini turut didatangkan dengan pelbagai kelengkapan prestasi termasuk set brek berkembar cakera 320 mm dan angkup empat piston di hadapan, brek cakera 265 mm dan angkup piston tunggal di belakang, sistem brek BMW Motorrad Race ABS dan rim aluminium 17 inci (tayar 120/70 di hadapan dan 190/55 di belakang). Warna baru yang ditawarkan untuknya adalah Ocean Blue metallic matt.

    Melalui sistem ride-by-wire, S 1000 XR dapat menyediakan dua mod tunggangan secara standard iaitu Rain dan Road, manakala sistem Automatic Stability Control (ASC) pula memastikan cengkaman optimum dalam pelbagai keadaan. Sekiranya ini masih tidak mencukupi, pemilik boleh mendapatkan sama ada pakej Dynamic yang datang dengan mod Dynamic, Dynamic Pro, ABS Pro, DTC, cruise control dan lampu penunjuk arah LED, atau pakej Touring yang memberikan pemegang dengan ciri pemanas, tapak beg barangan, persediaan untuk navigasi, tongkat tengah dan beg barangan.


     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026