Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Tokyo 2017: Mitsubishi Eclipse Cross guna semula nama kereta sport ikonik – 1.5 Turbo 163 PS/250 Nm

    Tokyo 2017: Mitsubishi Eclipse Cross guna semula nama kereta sport ikonik –  1.5 Turbo 163 PS/250 Nm

    Mitsubishi telah mengambil keputusan untuk menggunakan semula nama kereta sport dua pintu ikonik, Eclipse untuk satu lagi model yang dipertontonkan di Tokyo Motor Show 2017. Namun kereta berkenaan bukan lagi sebuah kereta sport, sebaliknya dijelmakan semula sebagai crossover dan diberi nama Eclipse Cross.

    Walau pun secara signifikannya, ia dikurangkan sedikit daripada konsep XR-PHEV, namun Eclipse Cross ini turut membawakan banyak penggayaan yang lebih kurang sama. Bahagian hadapan dan tengahnya menonjolkan gril Dynamic Shield ciptaan Mitsubishi sendiri, disambung pada kluster lampu utama dan lampu kabus, sementara profil berbentuk-baji, beltline, dan cermin depan serta juntaian belakang yang sedikit pendek menambahkan lagi imej dinamiknya.

    Garisan karakter yang lebih dalam pada bahagian sisi, melunjur hingga ke lampu belakang serta menampakkan dapra (fender) yang lebih tegap. Pada bahagian belakang, lampu LED model ini merentasi bahagian cermin belakang, seperti gaya Honda CR-Z. Manakala lampu ketiga pula terletak di palang pembahagi, dan disambungkan pada lampu belakang.

    Tokyo 2017: Mitsubishi Eclipse Cross guna semula nama kereta sport ikonik –  1.5 Turbo 163 PS/250 Nm

    Crossover ini berukuran 4,405 mm panjang, 1,805 mm lebar dan 1,685 mm tinggi, iaitu lebih panjang sebanyak 110 mm, 35 mm lebih lebar dan 60 mm lebih tinggi berbanding ASX, namun memiliki jarak roda yang sama iaitu 2,670 mm.

    Untuk bahagian kabinnya, ia mengingatkan kita dengan dalaman Lexus NX, dengan konsol tengah yang bagai bertebing, dilingkari dengan kekemasan logam berwarna perak. Ia juga ditampilkan dengan Touchpad Controller, seperti Remote Touch Pad dari Lexus, yang menguasai paparan tengah. Selain itu, sistem sokongan Smartphone Link Display Audio turut menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Di hadapan pemandu, paparan utama menunjukkan kelajuan kenderaan, data dari sistem keselamatan aktif dan informasi lain yang berkaitan. Di belakangnya pula, tempat duduk boleh dilipat secara nisbah 60:40.

    Tokyo 2017: Mitsubishi Eclipse Cross guna semula nama kereta sport ikonik –  1.5 Turbo 163 PS/250 Nm

    Kuasa disalurkan dari enjin petrol baharu 1.5 liter suntikan-terus turbo yang mampu menghamburkan 163 PS pada 5,500 rpm dan tork 250 Nm dari 1,800 hingga 4,500 rpm, dipadankan bersama CVT yang turut menampilkan Sport Mode dengan lapan nisbah maya. Ia juga ditawarkan dengan enjin 2.2 liter turbodiesel (tiada perincian kuasa didedahkan setakat ini), dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Selain itu, Eclipse Cross juga menampilkan sistem pacuam semua-roda kawalan elektronik, serta sistem kawalan dinamik Super All-Wheel Control (S-AWC) dengan Active Yaw Control (AYC). Pendakap palang hadapan tiga-poin dan struktur belakang telah menambahkan lagi ketegaran kerangkanya, di mana, digabungkan dengan suspensi yang lebih optimum, ia dikatakan mampu memberikan pengendalian yang mantap dan lebih stabil.

     
     
  • Belanjawan 2018: Selangor memperuntukan RM200j untuk naik taraf jalan, RM10j bina jambatan

    Belanjawan 2018: Selangor memperuntukan RM200j untuk naik taraf jalan, RM10j bina jambatan

    Jika Jumaat lalu, Kerajaan Pusat telah mengumumkan Bajet 2018, hari ini Kerajaan Negeri Selangor pula melakukan perkara yang sama, tetapi dipanggil Belanjawan 2018. Antara yang diumumkan ialah sebanyak RM200 juta akan digunakan untuk menaiktaraf beberapa jalan di sekitar negeri Selangor, manakala RM18.7 juta bakal digunakan untuk membina jejantas/jambatan, seperti mana yang terkandung dalam Belanjawan 2018.

    Menteri Besar Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pecahan bagi peruntukan sebanyak RM200 juta untuk menaiktaraf beberapa jalan di negeri terbabit melibatkan RM16 juta untuk menaiktaraf jalan Kampung Lombong di daerah Klang dan Kuala Langat. Manakala sebanyak RM13 juta pula bagi membina jalan alternatif dari Shah Alam ke Banting.

    Bukan itu sahaja, peruntukan sebanyak RM16.5 juta turut disediakan bagi menaiktaraf jalan dari Simpang Tiga Jenderam ke Pekan Sepang Lama. Peruntukan terbesar bagi infrastruktur jalan ini pula melibatkan kos sebanyak RM40 juta bagi menaiktaraf Persiaran Mokhtar Dahari serta RM36.7 juta untuk membina dan menaiktaraf jalan di daerah Gombak.

    Klik untuk besarkan

    Beliau turut memaklumkan sebanyak RM10 juta turut diperuntukan bagi membina jalan sambungan Kota Warisan, RM1.3 juta bagi membina jalan dari Kajang ke Kampung pasir, Sungai Lalang dan RM1 juta untuk membina jalan sambungan Sungai Kelambu ke Genting Sanyen.

    Tambahnya lagi, sebanyak lagi RM18.7 juta diperuntukan untuk membina jambatan dan jejantas di negeri berkenaan. Ia melibatkan pembinaan jambatan di Sungai Kundang, Gombak dengan kos RM6 juta, manakala RM5 juta pula bagi membina jambatan di Kampung Rantau Panjang, Kuala Selangor. Kerajaan Negeri Selangor turut memperuntukan sebanyak RM3.7 juta bagi membina jambatan di Sungai Rasah, Klang.

     
     
  • Tokyo 2017: Renault Megane RS baharu turut dipamerkan, 1.8 liter turbo berkuasa 280 hp/390 Nm

    Tokyo 2017: Renault Megane RS baharu turut dipamerkan, 1.8 liter turbo berkuasa 280 hp/390 Nm

    Setelah membuat kemunculan sulung di Frankfurt Motor Show 2017 September lalu, Renault Megane RS generasi baharu kemudiannya dipamerkan pula pada Tokyo Motor Show yang berlangsung baru-baru ini.

    Seperti juga model-model sebelumnya, RS generasi terkini ini dibina berasaskan model Megane generasi sedia. Namun apa yang berbeza, ia tidak lagi dijana enjin 2.0 liter turbo seperti model generasi sebelum ini, tetapi digantikan dengan unit 1.8 liter turbo yang lebih kecil.

    Walau bagaimanapun, enjin baharu dengan sistem suntikan terus ini mampu menghasilkan 280 hp dan tork maksima 390 Nm, atau 5 hp dan 30 Nm lebih berkuasa dari enjin 2.0 liter turbo sebelumnya. Tidak seperti Clio RS baharu yang menerima kritikan kerana hanya diberikan transmisi EDC automatik, kuasa dari enjin Megane RS ini dialirkan ke roda hadapan menerusi dua pilihan kotak gear iaitu sama ada enam-kelajuan manual atau enam kelajuan klac berkembar automatik EDC bersama pedal penukar gear.

    Tokyo 2017: Renault Megane RS baharu turut dipamerkan, 1.8 liter turbo berkuasa 280 hp/390 Nm

    Pengendalian model generasi baharu ini turut dibantu dengan sistem four-wheel steering digelar 4Control yang diperkenalkan buat pertama kali pada model Megane GT sebelum ini. Seperti generasi-generasi sebelumnya juga, Megane RS diberi dua pilihan talaan suspensi – sama ada suspensi Sport standard, dan juga yang lebih hardcore dan lebih sesuai untuk litar iaitu casis Cup.

    Kedua-dua jenis talaan tersebut menerima unit bump stop jenis mampatan hidraulik seperti yang digunakan pada jentera rali di keempat-empat sudut. Sistem berkenaan mampu memberikan pengendalian dan juga keselesaan yang lebih baik, bergantung mod pemanduan yang dipilih.

    Suspensi hadapan model generasi baharu ini telah dirombak sepenuhnya dengan pemadanan paksi stereng jenis bebas bagi meningkatkan ketepatan pengendaliannya. Bagi casis Cup pula, ia turut menerima LSD jenis Torsen. Lima mod pemanduan diberikan untuk dipilih pemandu untuk disesuaikan dengan situasi iaitu Comfort, Normal, Sport, Race dan Perso (talaan pengkhususan oleh pemandu).

    Tokyo 2017: Renault Megane RS baharu turut dipamerkan, 1.8 liter turbo berkuasa 280 hp/390 Nm

    Pada bahagian luaran, Megane RS generasi baharu ini turut menampilkan rupa yang lebih agresif. Muka hot-hatch ini direka dengan liang kemasukan udara pada bampar yang lebih besar bersama mesh sarang lebah tiga dimensi, dan menempatkan turut lampu nyalaan siang LED RS Vision (seakan corak bendera perlumbaan).

    Keempat-empat ruang roda kereta ini direka lebih lebar dari model standard dan aerodinamiknya turut dibantu oleh spoiler belakang bersama diffuser udara pada bampar belakang yang turut menempatkan tip ekzos besar pada bahagian tengah. Bagi melengkapkan rupanya, dua pilihan rim aloi diberi – sama ada berdiameter 18-inci atau 19-inci.

    Ruang dalaman masih lagi kekal direka ringkas. Ia menerima tempat duduk sport yang dibalut dengan pilihan fabrik atau Alcantara kemasan charcoal grey dan diakhiri dengan serlahan jahitan benang merah. Upholsteri yang sama turut diterapkan pada roda stereng dan juga tombol gear.

    Lebih tiga tahun lalu, Renault Megane RS merupakan kereta pacuan roda hadapan produksi paling pantas di litar Nürburgring. Tetapi selepas itu nama Megane jatuh sedikit demi sedikit setelah pertarungan kelas berkenaan tertumpu kepada Volkswagen Golf Clubsport S dan juga Honda Civic Type R FK2, dan kini gelaran ‘King of the Ring’ tersebut dipegang oleh Civic Type R FK8.

    Angka 280 hp ini kedengaran sangat kurang untuk bertempur dengan Civic Type R bukan? Tunggu dulu, model yang didedahkan ini sebenarnya hanya varian asas. Versi Trophy yang jauh lebih liar bakal diperkenalkan tahun hadapan, dibekalkan dengan kuasa 300 hp. Dalam pasaran kelak, Megane RS bukan hanya perlu berhadapan dengan Civic R, malah ia turut perlu bersaing dengan Ford Focus ST serta pahlawan baru dari Korea – Hyundai i30 N.

     
     
  • Tokyo 2017: Nissan Leaf masuk Malaysia tahun depan

    Tokyo 2017: Nissan Leaf masuk Malaysia tahun depan

    Melihat kepada kawasan pameran Nissan di Tokyo Motor Show 2017, selain IMx Concept, sebuah lagi model yang menjadi perhatian adalah Nissan Leaf 2018. Memandangkan kenderaan elektrik generasi kedua ini bakal tiba di Malaysia, kami sediakan di sini galeri kenderaan yang dipamerkan di Tokyo untuk tatapan anda.

    Jika model sebelum ini nampak sedikit pelik, model baru ini pula telah direka semula supaya menjadi lebih aerodinamik dan mudah diterima. Lampu hadapannya menggunakan unit dual-projector, tiang tengah diwarnakan hitam untuk menjadikan bumbung kelihatan seperti terapung, lampu belakang lebih nipis dan di belakang juga terdapat diffuser.

    Masuk ke bahagian dalam, walaupun ada beberapa butang kawalan yang kelihatan mirip dengan unit yang terdapat pada model sebelum ini, bahagian lain pula semuanya adalah baru. Ini termasuk rekaan papan pemuka seperti sayap, roda stereng yang rata di bawah (diambil daripada Serena) dan panel instrumen yang menggabungkan paparan digital dan analog. Bahagian but kini boleh menampung 435 liter.

    Untuk aspek keselamatan, kenderaan ini dilengkapi dengan pakej Safety Shield, yang termasuk Intelligent Lane Intervention, Lane Departure Warning, Intelligent Emergency Braking, Blind Spot Warning, Traffic Sign Recognition, Rear Cross Traffic Alert, Intelligent Around View Monitor dengan pengesan objek bergerak dan Emergency Assist for Pedal Misapplication.

    Ia juga kemudiannya ditambah dengan teknologi pemanduan pintar antaranya ProPILOT, iaitu sistem pemanduan autonomous dalam satu lorong. Apabila diaktifkan, kenderaan ini dapat mengekalkan jarak dengan kenderaan hadapan pada kelajuan yang ditetapkan (antara 30 km/j hingga 100 km/j), sambil stereng dikawal untuk memastikan kenderaan tetap dalam satu lorong. Ia juga boleh membrek sehingga berhenti sepenuhnya secara automatik apabila perlu.

    Kuasa penggerak kenderaan ini datang daripada pek bateri lithium-ion 40 kWh, dan motor elektrik EM57, menghasilkan kuasa sebanyak 110 kW (148 hp) dan 320 Nm. Jika dibandingkan dengan model sebelum ini, jumlah tersebut adalah masing-masing meningkat sebanyak 38% dan 26%. Dalam ujian kitaran Japan Cycle, satu cas penuh bateri 40 kWh Leaf baru dapat memberi jarak pergerakan sejauh 400 km.

    Berdasarkan laporan sebelum ini, Edaran Tan Chong Motor ada memberitahu mereka akan cuba untuk menjadikan harga Leaf ini lebih menarik dengan melakukan pemasangan tempatan (CKD), seterusnya menambah pelaburan di kilang mereka di Segambut dan Serendah. Jika tidak menjadi, mereka perlu memikirkan perjanjian lain untuk mengelakkan harga tinggi bagi kenderaan elektrik import (CBU).

     
     
  • Boon Siew perkenalkan kapcai Honda EX5 Fi edisi terhad ulang tahun ke-30 – harga mula dari RM5,309

    Boon Siew perkenalkan kapcai Honda EX5 Fi edisi terhad ulang tahun ke-30 – harga mula dari RM5,309

    Jika ada senarai model-model yang ikonik untuk mengingatkan kita kepada kenderaan yang pernah dan masih mendapat sambutan hangat di Malaysia, motosikal kapcai Boon Siew Honda EX5 patut tersenarai di dalamnya. Mula berada di atas jalan raya negara ini sejak 1987, ia masih lagi ditawarkan sehingga kini, walaupun dengan penampilan yang berbeza.

    Kini, Boon Siew memperkenalkan pula edisi terhad Honda EX5 Fi sempena ulang tahunnya yang ke-30, bersekali untuk meraikan unit pengeluarannya yang kini telah mencapai angka 100 juta diperingkat global. Di dalam penawarannya yang terkini, Honda EX5 EFi dilengkapi enjin 109.1 cc dengan ciri suntikan minyak PGM-Fi penyejukan udara yang menjana sebanyak 8.35 hp pada 7,500 rpm dan 8.4 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Bagi edisi terhad ini, ia didatangkan di dalam dua pilihan warna dan rekaan – dalam warna merah atau perak, serta penggunaan rim sama ada dari jenis jejari atau cast. Ia turut hadir dengan perincian kemasan khas “30th Anniversary” untuk membezakannya daripada versi biasa.

    Kapcai ini antara lain dilengkapi dengan tangki minyak berkapasiti 4.3 liter, mempunyai berat 99 kg dan menggunakan sistem transmisi empat-kelajuan jenis klac basah centrifugal automatik. Honda EX5 Fi Limited Edition ini masing-masing dijual pada harga bermula RM5,309 dan RM5,563, termasuk GST.

     
     
  • Supra generasi baharu akan dipasarkan di bawah jenama Gazoo Racing (GR), bukan jenama Toyota

    Supra generasi baharu akan dipasarkan di bawah jenama Gazoo Racing (GR), bukan jenama Toyota

    Toyota Supra generasi baharu bakal dijual dengan jenama sayap perlumbaan Toyota iaitu Gazoo Racing (GR), dan bukan di bawah jenama Toyota sendiri, lapor Auto Express.

    Perkara ini diberitahu sendiri oleh boss Gazoo Racing, Shigeki Tomoyama. Menurut beliau, ia adalah kerana pasukannya terlibat dengan banyak aspek ketika pembangunan kereta ini dilakukan – setelah presiden Toyota Akio Toyoda menguji kereta tersebut dan mengarahkan agar ia menjadi “lebih mobile“.

    Tomoyama juga mendedahkan bahawa kereta ini akan berada pada pasaran pada separuh kedua tahun 2019, berbanding kembarnya dari Jerman – BMW Z4 – yang bakal menerjah pasaran pada tahun hadapan.

    Tomoyama yang juga pemilik sebuah Supra JZA80 berkuasa 600 hp dengan badan gentian karbon menegaskan, model generasi baharu berkenaan seharusnya akan menarik perhatian pemilik-pemilik Supra sedia ada. “Kereta generasi terdahulu dijana enjin enam-silinder, turbo berkembar dan juga memacu roda belakang; kereta baharu ini perlu dibina dengan falsafah yang sama,” tegasnya.

    BMW Z4 dan Toyota Supra yang dijumpai diuji bersama

    Supra generasi baharu ini dibina bersama oleh Toyota dan BMW dimana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan. Namun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z4 yang tampil dengan bentuk badan roadster.

    Sebelum ini CEO BMW Group Australia Marc Werner pernah memberitahu portal CarAdvice, kedua-dua kereta tersebut bukan hanya berbeza dari segi rekaan, malah pemanduan antara kedua-duanyan adalah berbeza sama sekali dan purist BMW sedia ada jangan risau kerana Z4 generasi seterusnya itu masih lagi sebuah “ultimate driving machine“ sebenar.

    Supra dan Z4 dijangka akan dikuasakan dengan enjin empat silinder sebaris dan enam silinder sebaris bersama pengecas turbo dari BMW dan varian paling berkuasa kedua-duanya bakal diberikan unit janakuasa hibrid dilengkapi kapasitor serta sistem pacuan empat roda. Namun, produk dari BMW dijangka bakal tampil lebih premium dengan ciri-ciri seperti sistem infotaimen BMW iDrive dan sebagainya.

    Namun, siapa sebenarnya Gazoo Racing ini? Baca artikel pada PAUTAN INI untuk mengetahui sejarah sayap perlumbaan rasmi yang seolah-olah menggantikan tempat Toyota Racing Development (TRD) buat masa sekarang.

    GALERI: Spyshot Toyota Supra generasi baharu

     
     
  • Toyota Australia sedang pertimbang hasilkan Hilux lebih garang untuk menyaingi Ford Ranger Raptor

    Toyota Australia sedang pertimbang hasilkan Hilux lebih garang untuk menyaingi Ford Ranger Raptor

    Menurut satu laporan oleh CarAdvice, Toyota Australia kini sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan Hilux yang diubah suai lebih ganas. Pada masa ini, syarikat tersebut cuma ada menawarkan versi SR5 (sama seperti Hilux 2.8 G di negara kita), dan versi TRD sebagai varian paling tinggi. Walaubagaimanapun, ketua bahagian jualan dan pemasaran syarikat itu, Sean Hanley menyatakan ia mungkin tidak cukup menarik untuk jangka masa panjang.

    “Jelas terdapat jurang bagi model Hilux. Kami tidak mempunyai model tahap empat, iaitu model lebih tinggi daripada SR5 dan TRD,” tambah Hanley. Sementara itu, Ford pula terus memberi impak dengan pengenalan Ranger Raptor, dan ia juga dilapor akan menggunakan enjin diesel twin turbo 2.0 liter EcoBlue.

    Toyota Australia sedang pertimbang hasilkan Hilux lebih garang untuk menyaingi Ford Ranger Raptor

    “Permintaan juga jelas menjurus lebih ke arah model yang lebih tinggi daripada SR5. Kami berjaya mengisi ruang tersebut dengan model TRD, tetapi untuk masa hadapan, kami perlu memikirkan sebuah lagi model yang lebih tinggi supaya dapat terus meningkatkan jualan,” kata Hanley lagi.

    Sekarang ini di sana, Hilux masih lagi menguasai carta jualan dengan jualan sebanyak 35,229 unit dari awal tahun sehingga 4 Oktober yang lalu, dan syarikat tersebut yakin dapat menamatkan tahun ini di tempat pertama. Ranger berada di tempat kedua dengan jualan sebanyak 32,620 unit.

     
     
  • Tokyo 2017: Toyota Fine-Comfort Ride tunjuk teknologi hidrogen baru – 6-tempat duduk, jarak gerak 1,000 km

    Tokyo 2017: Toyota Fine-Comfort Ride tunjuk teknologi hidrogen baru – 6-tempat duduk, jarak gerak 1,000 km

    Walaupun masih ada yang tidak begitu yakin kenderaan tenaga hidrogen akan menjadi realiti, syarikat pengeluar kenderaan Jepun semakin banyak mengeluarkan kereta konsep seperti ini. Antaranya yang muncul semasa Tokyo Motor Show 2017 adalah Toyota Fine-Comfort Ride, yang membawa visi “bentuk baru saloon premium” dan dikuasakan oleh fuel cell hidrogen.

    Bentuk badannya yang pelik turut memberi lebih ruang kepada bahagian dalam (tetapan tempat duduk 4+2), selain dapat meningkatkan prestasi aerodinamik dan bahagian bawahnya mempunyai lapisan penutup untuk meingkatkan stabiliti pada kelajuan tinggi dan mengurangkan bunyi. Pada bahagian tayar pula, setiap satunya mempunyai motor elektrik, menghasilkan pacuan empat roda.

    Masuk ke bahagian dalam, pereka kenderaan ini cuba menghasilkan rekaan konsep “diselubungi keselesaan”, yang turut diangkat sebagai nilai tambahan, selain sebagai sekadar sebuah pengankutan dari satu tempat ke tempat lain. Kesemua empat tempat duduknya yang berasingan boleh dipusing menghala ke mana sahaja yang anda suka.

    Bermaksud, pengguna boleh menghada ke depan seperti kereta biasa, atau jika perlu, dipusingkan untuk mewujudkan keadaan seperti satu ruang perbincangan. Ia juga boleh dilaras mengikut postur pengguna. Seperti juga kenderaan konsep lain yang ditayangkan, Fine-Comfort Ride ini mempunyai AI Agent yang boleh muncul di bahagian panel paparan sesentuh di tingkap tepi.

    Ukuran penuh kenderaan ini adalah 4,830 mm panjang, 1,950 mm panjang dan 1,650 mm tinggi. Ini membuatkan ia hampir sama seperti kenderaan segmen D seperti Camry, tetapi lebih lebar (+116 mm) dan tinggi (+210 mm). Jarak rodanya pula adalah 3,450 mm, dan dapat memberikan ruang yang lebih bagi penumpang di dalam.

    Ciri utama Fine-Comfort Ride sudah tentu adalah enjin kuasa hidrogen, di mana ia menggunakan fuel cell yang berada di depan, dan tangki hidrogen berbentuk silinder di lantai. Toyota mendakwa kenderaan ini boleh bergerak sehingga 1,000 km dengan satu isian penuh, di mana setiap kali diisi, ia akan mengambil masa tiga minit.

     
     
  • Volkswagen Arteon 2018 tiba di Australia – RM213k

    Volkswagen Arteon 2018 tiba di Australia – RM213k

    Model perdana serba baharu daripada Volkswagen, Arteon, telah pun tiba di Australia. Menurut CarAdvice, ia dijual dengan varian 206TSI R-Lin sahaja pada harga AUD$65,490 (RM213k) sebelum kos atas-jalan-raya.

    Logo 206TSI mewakili hamburan kuasanya iaitu sebanyak 206 kW, hasil daripada enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan 276 hp dan tork 350 Nm. Ia dipadankan bersama transmisi DSG tujuh-kelajuan (jenis basah, DQ380), yang menyalurkan kuasa ke semua roda menerusi sistem pacuan semua-roda 4Motion. Ia turut membenarkan Arteon dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 5.6 saat dan penggunaan bahan apinya dianggarkan sebanyak 7.5 liter bagi setiap 100 km.

    Pada bahagian luarannya, ia didatangkan dengan lampu utama LED adaptif bersama lampu nyalaan siang LED sepadan dengan gril hadapan. Bahagian bawahnya bersambung dengan corong udara hadapan “signatur-C” dengan kekemasan hitam berkilat serta dipadankan bersama roda aloi ‘Montevideo’ 19-inci secara standard. Di belakangnya pula, ia ditampilkan dengan lampu LED (dengan indikator dinamik), spoiler yang lebih berkilat dan dua corong ekzos dengan gaya yang cukup sporty.

    Berkenaan dengan saiznya, Arteon kecil sedikit berbanding CC, namun memiliki jarak roda yang lebih besar (+46 mm) berbanding model trekini Passat biarpun menggunakan platform MQB yang sama. Menurut Volkswagen, Arteon memiliki 1,016 mm ruang kaki, dan menjanjikan ruang kepala yang lebih besar hasil daripada bumbung condong yang lebih panjang. Manakala ruang penyimpanan barang pula berkapasiti 563 liter, dan mampu mencecah sehingga 1,557 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.

    Model Australia ini juga menerima kehadiran teknologi terkini, termasuk paparan utama (HUD), kamera pandangan sekeliling 360-darjah, bantuan pencahayaan dinamik, indikator dinamik, tailgate berkuasa, pencahayaan ambien dalaman dengan tiga-warna, Bantuan Kecemasan dengan Bantuan Menukar Lorong Kecemasan, tempat duduk belakang dengan haba panas dan pelindungan penumpang pro aktif pengesan-belakang.

    Volkswagen Arteon 2018 tiba di Australia – RM213k

    Bagi aspek keselamatan, ia turut didatangkan dengan kawalan kelajuan adaptif (ACC), Bantuan Kecemasan generasi kedua VW, Bantuan Lorong, pencahayaan selekoh dengan kawalan ramalan, PreCrash, Bantuan Sisi dan Bantuan Tanda. Lain-lain elemen yang turut ditampilkan termasuklah kawalan casis dinamik, fungsi mengurut dan memori (untuk tempat duduk pemandu sahaja), upholstery kulit Nappa, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, serta sistem infotainmen ‘Discover Pro’ 9.2-inci dengan kawalan pergerakan. Unit utama disokong oleh fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Pembeli juga boleh mendapatkan pilihan Pakej Gaya dan Bunyi termasuk bumbung matahari panoramik, dengan kos AUD$2,500 (RM8,130) setiap satu. Selain itu, ia turut didatangkan dengan sistem bunyi premium Dynaudio dan roda aloi kelabu ‘Rosario’ 20-inci. Bagi warna badannya, ia didatangkan dengan tujuh pilihan, namun simbahan metalik didatangkan dengan kos tambahan bernilai AUD$900 (RM2,927).

     
     
  • Honda Motor Co Ltd yakin dengan kredibiliti HMSB – Malaysia menduduki tangga ke-9 dalam pasaran global

    Honda Motor Co Ltd yakin dengan kredibiliti HMSB – Malaysia menduduki tangga ke-9 dalam pasaran global

    Kunjungan ke Tokyo, Jepun, pada minggu lalu turut memberi peluang kepada kami untuk menemubual secara eksklusif dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Honda Motor Co Ltd (HMC), Takahiro Hachigo. Temubual selama setengah jam itu turut disertai media dari Taiwan dan New Zealand, berlangsung di ibu pejabat HMC di Aoyama, Tokyo.

    Turut sama dalam temubual tersebut ialah Shinji Aoyama selaka Ketua Pegawai, Operasi Serantau (Asia & Ocenia) Honda Motor Co Ltd, merangkap Presiden dan CEO, Asian Honda Motor Co. Ltd.

    Menurut Hachigo, Malaysia merupakan antara pasaran paling penting di peringkat global bagi Honda. Di mana Malaysia menerusi Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) telah berjaya menduduki tangga ke-sembilan pasaran dunia bagi jenama tersebut bagi sembilan bulan pertama tahun 2017.

    Honda Motor Co Ltd yakin dengan kredibiliti HMSB – Malaysia menduduki tangga ke-9 dalam pasaran global

    Di mana dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, HMSB berjaya menjual 78,742 unit kenderaan iaitu sebanyak 36.1% bahagian pasaran. Pada September tahun ini pula, sebanyak 7,906 unit kenderaan dijual atau 19.2%, sekaligus meletakkan Malaysia menduduki tangga pertama dalam jualan Honda di peringkat global.

    Pada Februari lalu, HMSB telah mengumumkan sasaran jualan sebanyak 100,000 unit bagi tahun 2017, dan nampak gayanya bakal mencecah jumlah tersebut tidak lama lagi. Sekaligus mengulangi kejayaan yang sama yang pernah dicatatkan pada tahun kewangan (1 April 2016 hingga 31 Mac 2017).

    Honda Motor Co Ltd yakin dengan kredibiliti HMSB – Malaysia menduduki tangga ke-9 dalam pasaran global

    “Jadi bagi saya, prestasi Honda di Malaysia sangat baik dan memberangsangkan, sebab itu Malaysia sangat penting bagi kami,” ujar Hachigo.

    Selain Malaysia, ada lagi dua negara Asean yang berjaya menduduki 10 tangga teratas bagi pasaran global buat Honda. Di mana Thailand menduduki tangga ke-lapan, Indonesia di tangga ke-lima iaitu di belakang Kanada dan Jepun (masing-masing di tangga ke-empat dan ketiga).

    Bukanlah menjadi satu kejutan apabila dimaklumkan Amerika Syarikat dan China menduduki tangga teratas dalam pasaran global, manakala India pula di tangga ke-enam, sekaligus menjadi pasaran jualan terunggul di rantau Asia-Ocenia. Sementara Brazil di tangga ke-tujuh dan Mexico di tangga ke-sepuluh.

     
     
  • Ducati perbaharui kerjasama dengan Naza di Malaysia

    Ducati perbaharui kerjasama dengan Naza di Malaysia

    Memasuki tahun 2018, pengeluar motosikal jenama Ducati dari Itali telah memperbaharui kerjasama dengan rakan mereka di sini, Naza melalui anak syarikatnya, Next Bike Sdn Bhd. Tumpuan akan diberikan untuk meluaskan rangkaian pengedar jenama itu di Malaysia, serta membimbing operasi pengedar untuk memastikannya menjana keuntungan.

    Perancangan lain adalah termasuk mempertingkat pengalaman pelanggan dengan pengenalan kemudahan serta aktiviti-aktiviti Ducati yang baru. Selain itu, Ducati Malaysia juga ingin mengurangkan kos pemilikan motosikal berkenaan, dan dalam masa yang sama mengekalkan imej premium jenama itu.

    “Kami amat berbangga untuk meneruskan kerjasama dengan Kumpulan Syarikat Naza World melalui anak syarikatnya, Next Bike untuk tempoh yang lebih panjang ke hadapan. Kerjasama 17 tahun setakat ini terbukti memberi manfaat kepada kami, dan 2018 diharap akan lebih banyak pengenalan produk baru Ducati dilancarkan di sini,” ujar Pengarah Rantau Asia Ducati, Marco Biondi.

    Terbaru, Ducati Malaysia pada Oktober lalu melancarkan secara rasmi model Ducati SuperSport untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan bermula RM80,899 termasuk GST.

     
     
  • Rampai Puteri lancar kempen Buckle Up, Baby! – beri kerusi kanak-kanak percuma sepanjang November

    Rampai Puteri lancar kempen Buckle Up, Baby! – beri kerusi kanak-kanak percuma sepanjang November

    Rampai Puteri Medical Centre (RPMC) semalam melancarkan kempen Buckle Up, Baby! dengan kerjasama Institut Kajian Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS) dengan matlamat untuk mengurangkan kematian kanak-kanakn yang terlibat kemalangan. Hospital berkenaan menawarkan kerusi kanak-kanak percuma bagi setiap bayi yang dilahirkan pada November.

    Kerusi keselamatan kanak-kanak yang diberikan ialah berjenama Sweet Cherry Fiji, dari jenis Group 0+ had berat 10 kg. Bagi pelanggan mereka yang mengambil pakej bersalin Suite pula, mereka akan menerima kerusi khas kanak-kanak Avora Gemini; jenis Group 0+, 1 dan 2 tempat duduk dengan had berat 25 kg. Kedua-dua kerusi keselamatan ini penggunakan pemasangan tali pinggang keledar.

    Selepas November, kerusi keselamatan Sweet Cherry Fiji akan ditawarkann secara sewaan percuma (dengan pendahuluan RM150) bagi mereka yang tidak mempunyai kerusi khas berkenaan ketika bersalin. Bagi Avora Gemini pula, ia akan dijual kepada umum selepas potongan harga pada RM350, kurang berbanding harga asal RM499.

    Rampai Puteri lancar kempen Buckle Up, Baby! – beri kerusi kanak-kanak percuma sepanjang November

    Sebagai tambahan, RPMC turut melaksanakan dasar hospital yang memerlukan setiap bayi yang baru lahir terus mengggunakan kerusi keselamatan ini sebaik sahaja dibenarkan pulang. Hospital ini bekerjasama dengan MIROS selaku penganjur bersama, dan akan membantu pelaksanaan kempen untuk menyediakan kepakaran terhadap bagaimana cara yang betul untuk memasang kerusi khas itu.

    Menurut statistik polis, kanak-kanak merupakan golongan yang paling tinggi mencatatkan kematian dalam kemalangan jalanraya – antaranya seramai 600 bayi di bawah usia setahun terbunuh setiap tahun. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan kerusi keselamtan kanak-kanak adalah cari paling berkesan untuk melindungi mereka dan mengurangkan risiko kematian sebanyak 71% jika kerusinya dipasang dengan betul.

     
     
  • Elakkan kemalangan dengan kereta polis – Zahid

    Elakkan kemalangan dengan kereta polis – Zahid

    Orang awam dinasihati supaya elak daripada terlibat kemalangan jalan raya dengan kereta polis kerana ia akan menyukarkan untuk membuat tuntutan ganti rugi, biar pun ia berpunca daripada polis terbabit, ujar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Menurutnya, ini adalah kerana kereta polis tidak dilengkapi dengan perlindungan isnurans dan mana-mana pihak ketiga yang terlibat dalam kemalangan terbabit perlu berurusan dengan penasihat guaman dalam jabatan polis untuk tujuan siasatan lanjut, laporan The Sun.

    Ahmad Zahid turut mendedahkan, terdapat kira-kira 22,000 kenderaan polis di seluruh Malaysia dan kesemuanya “tidak dilindungi oleh insurans”.

    “Polis tidak akan membayar sebarang ganti rugi atau kos membaikpulih kenderaan pihak ketiga sekiranya mereka terlibat dengan kemalangan jalan raya. Walau bagaimanapun, sebarang ganti rugi yang relevan boleh dituntut kepada pihak kerajaan,” ujarnya dalam kenyataan bertulis bagi menjawab pertanyaan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) pada 24 Oktober lalu.

    Katanya lagu, ini adalah berdasarkan prosedur yang terkandung dalam Perbendaharaan Pekeliling WP 4.2 mengenai kemalangan jalan raya yang membabitkan kenderaan milik kerajaan.

    Sebelum ini,Teo mengemukakan pertanyaan kepada menteri terbabit mengenai jumlah kenderaan polis yang tidak dilengkapi insurans dan bagaimana pihak polis membayar gantirugi atau kos baikpulih sekiranya terlibat dalam kemalangan.

    “Setiap kemalangan yang membabitkan kenderaan kerajaan perlu dirujuk kepada penasihat guaman untuk mengkaji kebarangkalian untuk kerajaan membayar ganti rugi disebabkan kemalangan terbabit,” ujarnya lagi.

    Menurut Ahmad Zahid lagi, penasihat guaman akan mengambil tindakan munasabah bagu menyelesaikan tuntutan atau membuat aturan pembayaran untuk pihak ketiga.

    “Jika punca kemalangan tersebut daripada pihak ketiga, pampasan akan diambil melalui peguam negara dan wang tersebut akan dikreditkan sebagai hasil kerajaan,” kata Ahmad Zahid lagi.

    Bagi semua kos baikpulih atau penyelenggaraan, pihak polis akan menggunakan peruntukan yang diberikan kepada jabatan terbabit.

    Menurut pekeliling, sekiranya kenderaan milik kerajaan terlibat dengan kemalangan jalan raya, pemandu kenderaan terbabit perlu memberikan laporan terperinci secara bertulis kepada ketua jabatan selepas membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam selepas berlakunya insiden.

    Walau bagaimana pun, perkara ini tidak digunapakai oleh pemandu yang dilantik secara peribadi oleh mana-mana pegawai kerajaan.

     
     
  • Hyundai HyperEconiq Ioniq Concept – hasil ubahsuai Bisimoto Engineering, tumpu kecekapan bahan api

    Hyundai HyperEconiq Ioniq Concept – hasil ubahsuai Bisimoto Engineering, tumpu kecekapan bahan api

    Bisimoto Engineering – nama yang sinonim dengan ubahsuai enjin VTEC Honda yang disuap dengan pengecas turbo. Namun untuk SEMA 2017, penala dari Amerika Syarikat berkenaan melakukan perkara yang jauh lari kebiasaan dengan menghasilkan Hyundai HyperEconiq Ioniq Concept iaitu kereta konsep yang diasaskan dari model hibrid Hyundai Ioniq, dibina mensasarkan penggunaan bahan api yang lebih baik.

    Perkara pertama yang dilakukan oleh Bisimoto untuk mencapai sasarannya adalah memperbaiki aspek aerodinamik. Untuk itu, Ioniq ini diberikan splitter udara hadapan, skirt sisi dan juga spoiler belakang. HyperEconiq ini juga menerima penutup ruang roda belakang yang direka seperti Honda Insight generasi pertama dan Citroen BX.

    Seterusnya, elemen yang terlibat dengan geseran pula disentuh semula. Kereta ini dipadankan dengan rim 19-inci dari material gentian karbon, dibaluti tayar Bridgestone Ecopia bersama set suspensi Progress Performance bagi merendahkan lagi badan kereta ini (untuk mengurangkan rintangan udara) serta penjajaran roda (wheel alignment) yang dilaras semula bagi mengurangkan rintangan golekan. Enjin masih dibiarkan standard, tetapi Bisimoto telah menggunakan minyak pelincir sintetik PurOl Elite.

    Selain itu, sedikit perlatan mekanikal standard telah ditukar iaitu palam pencucuh dari NGK baharu dan juga sistem ekzos khas yang dibina bagi memberikan “keberkesanan volumetrik yang lebih baik”. Ia juga turut diberikan tingkat taraf sistem brek, kluster instrumen digital baharu dan juga tempat duduk bucket dari Recaro.

    Menerusi semua ubahsuai yang dilakukan, Hyundai HyperEconiq Ioniq ini mampu mencatatkan penggunaan bahan api sehingga 35.3 km/l, menurut Bisimoto sendiri berbanding hanya 23.4 km/l (berdasarkan ujian dari EPA Amerika Syarikat) untuk Ioniq standard serta 24.7 km/l untuk versi Ioniq Blue.

    Apa yang dilakukan oleh Bisimoto Engineering ini mungkin boleh memberikan idea kepada anda bagaimana sukarnya untuk membuatkan sesebuah kereta itu lebih cekap bahan api, dan mereka tidak langsung menggunakan sebarang voltage stabilizer yang hanya dicucuk pada soket pencucuh rokok 12V.

     
     
  • Kerajaan akan bayar pampasan bagi pemansuhan empat plaza tol; RM2.04b untuk PLUS – Johari

    Kerajaan akan bayar pampasan bagi pemansuhan empat plaza tol; RM2.04b untuk PLUS – Johari

    Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah mengeluarkan kenyataan, kerajaan akan membayar pampasan bagi pemansuhan empat tol iaitu Batu Tiga, Sungai Rasau dan Bukit Kayu Hitam serta Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL).

    Katanya, kerajaan perlu menyerap kerugian yang ditanggung oleh syarikat yang terlibat dengan pemansuhan tol seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018, untuk manfaat rakyat, laporan Bernama

    “Kerajaan sentiasa mendengar dan kita juga melihat kepada keupayaan kita untuk memenuhi kehendak rakyat. Sebanyak 155,000 kenderaan menggunakan laluan bertol (Batu Tiga dan Sungai Rasau) setiap hari. Permintaan (daripada penduduk) telah berlaku agak lama dan pemimpin dalam Barisan Nasional telah memohon kepada kerajaan untuk memansuhkan dua tol ini,” katanya ketika ditemu bual dalam Rancangan Soal Jawab TV3 berkaitan topik, ‘Bajet 2018’ malam tadi.

    Menerusi laporan Berita Harian pula yang menyebut, ia melibatkan kos sehingga RM2.04 bilion bagi pampasan kepada PLUS, iaitu berdasarkan pampasan sebanyak RM102 juta akan dibayar oleh kerajaan kepada PLUS setahun dan ia dibayar ke atas baki 20 tahun kontrak perjanjian yang sepatutnya berakhir pada 2038.

    Kerajaan akan bayar pampasan bagi pemansuhan empat plaza tol; RM2.04b untuk PLUS – Johari

    “Dalam pemansuhan tol, kena lihat kemampuan kerajaan. Kita juga melihat kepada PLUS yang ada bon RM30 bilion untuk dibayar. Mereka sudah menstruktur semula kadar tol sehingga tahun 2038. Banyak (kadar) tol yang sepatutnya naik, tiga tahun mereka tangguhkan. Saya difahamkan sejak tahun 2005 sehingga 2016 mereka tangguhkan kenaikan kadar tol. Namun, kita tidak boleh mansuh kutipan tol tidak tentu pasal. Tetapi PLUS ada liabiliti RM30 bilion. Kalau kerajaan hendak buat (mansuh) semua, ia akan menjejaskan perbelanjaan kerajaan seperti kesihatan dan pendidikan,” ujarnya kepada pemberita.

    Menurutnya lagi, kerajaan juga akan membayar pampasan sebanyak RM8 juta di tol Bukit Kayu Hitam, Kedah selain penyelesaian pertindihan bayaran di Lebuhraya EDL. Pengguna EDL ketika ini dikenakan caj jalan raya sebanyak RM20.

    “Bagi EDL, kerajaan sudah kenakan caj jalan raya, itu sudah bertindan, kita akan ‘offset’ dengan caj jalan raya,” katanya.

    Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat minggu lepas, mengumumkan pemansuhan kutipan empat tol tersebut mulai 1 Januari 2018.

    Johari menjelaskan kerajaan kini dalam perbincangan dengan pihak pengendali lebuh raya tersebut.

    “Kita kini di peringkat akhir perbincangan dan kita perlu membayar (pampasan) kerana kerajaan mengambil alih aset dan kutipan tol mereka. Kita perlu membayar balik tetapi ini semua untuk rakyat,” katanya.

    UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, merupakan pemegang saham utama PLUS Malaysia Bhd (PLUS), pengendali lebuh raya tol terbesar di Malaysia termasuk tol Batu Tiga, Sungai Rasau dan Bukit Kayu Hitam, manakala Malaysian Resources Corporation Bhd adalah syarikat konsesi yang mengendalikan Lebuhraya EDL.

     
     
  • Lagenda WRC Marcus Grönholm uji Proton Iriz R5

    Lagenda WRC Marcus Grönholm uji Proton Iriz R5

    Juara kejohanan rali dunia (WRC) dua kali Marcus Grönholm telah menguji jentera rali Proton Iriz R5 di Wales, UK, selasa lalu, lapor Motorsport News.

    Pemandu yang berasal Finland tersebut dikatakan sedang membuat penilaian terhadap Iriz R5 untuk tujuan kemungkinan akan turut serta dalam program pembangunan bagi musim akan datang, dan beliau kagum dengan pasukan Mellors Elliot Motorsport (MEM) menerusi ujian pertama ini.

    “Ia merupakan ujian persendirian, tetapi ia adalah bagus. Untuk masa hadapan, tiada apa lagi yang boleh saya perkatakan”, kata Grönholm yang menjuarai WRC untuk musim 2000 dan 2002 bersama pasukan Peugeot.

    Grönholm juga sememangnya dikenali kerana kepakarannya sebagai pemandu uji dan pembangunan kereta rali, di mana beliau telah terlibat dengan ujian-ujian awal jentera Volkswagen Polo R WRC 2017 sebelum pasukan berkenaan dilaporkan menarik diri dari kancah rali dunia.

    Prinsipal pasukan MEM Chris Mellors pula berkata, “Dia (Grönholm) memandu jentera tersebut sepanjang hari dan hanya menjumpai berberapa perkara yang perlu kami perbaiki. Kami mahu bekerjasama dengan Marcus pada masa hadapan dan beliau kelihatan seperti berminat”.

    Iriz binaan MEM yang disuntik steroid ini dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

    Jentera ini membuat kemunculan sulungnya di Goodwood Festival of Speed Julai lalu dan terus memenangi perlumbaan pertamanya pada Rally Stage acara berkenaan. MEM menerusi laporan sebelum ini juga telah mengesahkan Proton Iriz R5 akan mula bertanding pada Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2 dan juga Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) musim 2018.

     
     
  • Tata buka pusat servis 3S baharu di Bidor, Perak

    RS Super Truck & Bus Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh S.R. Automobile Centre Sdn Bhd, telah membuka Pusat 3S Tata terbaharu dengan memilih Bidor, Perak, sebagai lokasinya. Ini mengukuhkan lagi komitmen DRB-HICOM Commercial Vehicles Sdn Bhd (DHCV) sebagai pengedar kenderaan Tata dalam menguatkan kehadiran Tata di pasaran Malaysia.

    Pembukaan kemudahan 3S baharu ini akan meningkatkan jualan dan memudahkan perkhidmatan sokongan selepas jualan kepada pemilik Tata di Bidor dan juga di kawasan berhampiran.Terletak secara strategik di Bidor ini, ia akan memudahkan pelanggan dari bandar-bandar berdekatan untuk menyelenggara kenderaan mereka. Bilik pameran yang luas ini boleh mempamerkan sehingga enam buah kenderaan Tata pada satu masa. Model semasa yang dipamerkan ialah Tata Xenon Double & Single Cab Pick-up, Ultra 512 (GVW: 5,000kg), Ultra 1012 (GVW: 10,400kg), Prima 4×2 dan Prime Mover 6×4.

    Ketua Pegawai Operasi DHCV, Chin Tan Hee berkata, “Saya gembira melihat usaha yang dilakukan oleh RS Super Truck & Bus dalam mempromosikan produk Tata melalui kemudahan baharu yang mempunyai ruang yang luas ini, serta usaha-usaha mempelbagai aplikasi rangka badan untuk kenderaan Tata, termasuklah Tata Xenon “Tipper”, Tata Xenon “Box”, Tata Xenon “Food Truck”, Tata Ultra “Arm Roll”, Tata Ultra “Car Carrier” dan Tata Ultra “Bike Carrier”. Aplikasi rangka yang lain termasuklah Tata Ultra “Wooden Cargo”, Tata Ultra “Tipper” dan Tata Ultra “Tanker”.”

    Sambungnya lagi, “RS Super Truck & Bus kini menjadi pusat 3S sepenuhnya yang akan menawarkan operasi jualan, servis dan alat ganti. Ini sangat penting dalam usaha kami untuk menyediakan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang, dari saat pelanggan berjalan masuk di mana-mana pusat pengedaran kami”.

    Tata buka pusat servis 3S baharu di Bidor, Perak

    Pusat perkhidmatan ini dilengkapi dengan peralatan diagnostik Tata Motors yang terkini dan semua alat khusus yang diperlukan untuk menjalankan perkhidmatan penyelenggaraan lengkap dan komprehensif serta membaik pulih kenderaan.

    Rajasagar Nagaya, Pengarah Urusan RS Super Truck & Bus Sdn Bhd berkata, “Ini merupakan satu penghormatan kerana DHCV, pengedar Kenderaan Tata Komersil di Malaysia telah memilih untuk melantik RS Super Truck & Bus sebagai pengedar sah untuk memasarkan rangkaian produk Tata. Ini menggariskan kepercayaan DHCV terhadap komitmen RS Super yang bukan sahaja memperkenalkan kenderaan Tata sebagai kenderaan pilihan untuk kegunaan komersial di Bidor, tetapi keupayaannya untuk merangsang kehadiran pasaran Tata dan pertumbuhan jenama Tata di negeri Perak”.

    RS Super Truck & Bus juga merancang untuk membuka satu lagi Pusat Jualan (1S) di Bukit Tengah, Pulau Pinang pada awal tahun 2018 sebagai sebahagian daripada rancangan mereka untuk memasarkan produk Tata secara agresif di wilayah utara. Syarikat ini telah dilantik oleh DHCV sebagai pengedar sah 3S Tata pada Disember 2016.

    Tahun lepas, Tata menduduki tempat ke-10 daripada 28 pembekal kenderaan komersial di Malaysia, dan menyumbang sejumlah 571 unit atau 1.0% jumlah keseluruhan kenderaan komersial (TIV) yang berjumlah 65,579 unit.

     
     
  • MSF Finale 2017 – masuk grandstand adalah percuma

    MSF Finale 2017 – masuk grandstand adalah percuma

    Pusingan terakhir Malaysia Speed Festival (MSF) 2017 akan berlangsung 2 dan 3 Disember ini, dan buat pertama kalinya, kemasukan ke kawasan grandstand akan diberikan percuma kepada penonton. Pada kedua-dua hari, peminat sukan permotoran negara tidak perlu membayar apa-apa untuk menyaksikan siri perlumbaan ini, dan masuk adalah melalui pintu utama Litar Antarabangsa Sepang.

    Bagi mereka yang mahu menyaksikan lebih dekat aksi termasuk di belakang tabir, pas masuk ke kawasan paddock dijual pada harga istimewa, iaitu RM10. Pas ini hanya adalah untuk orang dewasa, sementara bagi kanak-kanak di bawah 15 tahun, masuk adalah percuma.

    Pada hari Sabtu, 2 Disember, pengunjung boleh menyaksikan hari litar MSF Superbike, catatan masa MSF MegaLap dan MSF Track Day untuk kereta dari bahagian grandstand. Sebagai tambahan, acara MSF Drift Gonzo dan Mcclubz Car Show juga akan berlangsung di kawasan letak kereta paddock, yang boleh diakses setelah mempunyai pas paddock.

    MSF Finale 2017 – masuk grandstand adalah percuma

    Selain daripada itu, untuk aktiviti biasa, akan terdapat pelbagai gerai makanan sepanjang hari dan juga sesi BBQ bermula jam 5 petang. Bahagian khas kanak-kanak dengan istana belon angin turut akan disediakan di bahagian grandstand.

    Pada hari Ahad, 3 Disember pula, akan terdapat sesi kedua MSF Track Day untuk kereta, perlumbaan Caterham Motorsport dan semestinya, perlumbaan MSF sendiri yang melibatkan sehingga 11 kategori. Masuk ke bahagian grandstand pada hari Ahad juga adalah percuma, sementara pas paddock dijual pada harga RM20 jika dibeli sebelum jam 11 pagi, dan RM35 pada waktu selepas itu.

    Untuk tiket meletak kereta pula, harganya adalah RM5 untuk hari Sabtu, manakala pada hari Ahad, tiket letak kereta dijual pada harga RM10 untuk tiket biasa dan RM50 untuk tiket premium. Pas paddock boleh dibeli di kawasan masuk utama paddock. Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi serta Facebook MSF Racing.

     
     
  • Ford Performance Drfit Stick Kit untuk Focus RS – tuil brek tangan ala-rali, aksesori asli, disahkan Ken Block

    Ford Focus RS sememangnya didatangkan standard dengan ‘Drift Mode’, iaitu mod pemanduan yang telah ditala bagi memudahkan aksi drfit dilakukan dengan bantuan komputer. Bagi memberikan lebih sensasi pada mod tersebut, Ford Performance dengan bantuan pemandu rali sensasi Youtube – Ken Block – telah menghasilkan kit tuil brek tangan ala-kereta rali sebenar digelar ‘Drift Stick’.

    Kit ini adalah aksesori asli dari Ford Performance, jadi setelah ia dipadankan pada Focus RS, kereta berkenaan bersama kit tersebut masih dilindungi oleh waranti pengeluar. Sebelum ini, projek penghasilan produk baharu ini digelar Project Wicked Stick, diketuai oleh pengurus program John Wicks – pasukan yang sama menghasilkan Drift Mode pada Focus RS.

    Tuil tersebut dibina dari bahan aluminium dan diletakkan diantara tempat duduk pemandu dan tombol gear. Ia bukan sekadar menghantar tekanan hidraulik ke angkup brek belakang, malah turut dihubungkan dengan sistem pacuan semua roda (AWD) dan juga brek ABS Ford Focus RS berkenaan.

    Apabila pemandu menarik tuil Drift ini, klac sistem AWD yang memacu roda belakang akan dilepaskan bagi memotong penghantaran kuasa ke gandar belakang, dan serentak dengan itu, modulator ABS akan menghantar tekanan ke angkup brek belakang untuk mengunci pergerakan kedua-dua tayar belakang – seterusnya membolehkan bahagian belakang kereta ‘terbuang’ dengan mudah untuk memulakan drift, sama seperti kereta rali sebenar.

    Sebelum kit ini sah untuk diproduksi dan dilancarkan, ia terlebih dahulu diuji dan mendapat konsultasi oleh Ken Block. Selain memandu untuk Ford untuk pelbagai kejuaraan rali, Block turut lebih dikenali dengan video ‘Gymkhana‘ di saluran Youtube miliknya – TheHoonigan – dan beliau seringkali menggunakan tuil brek tangan kereta rali sebenar bagi memulakan aksi drift dengan sudut yang besar.

    “Saya rasa adalah sangat hebat apabila Ford Performance menawarkan pelanggan cara untuk menghasilkan drift dengan sudut besar pada Focus RS. Jelas ia sesuatu yang sangat menghairahkan bagi saya untuk menjadi sebahagian dari pembangunan kereta produksi, jadi ia sangat mengujakan untuk melihat ia menjadi kenyataan. Ia semestinya menjadikan kereta ini lebih seronok untuk dipandu,” jelas Ken Block.

    Ford Performance Drfit Stick Kit untuk Focus RS – tuil brek tangan ala-rali, aksesori asli, disahkan Ken Block

    Kit ini juga amat mudah untuk dipasang dan dibuka semula dari Focus RS – tiada proses kimpalan perlu dilakukan, tiada lubang yang perlu ditebuk serta tiada angkup brek tambahan perlu dipasang – ia hanya terdiri dari kit hidraulik. Ia juga dihubungkan kepada port OBD pada kereta yang bertindak sebagai alat kalibrasi profesional.

    Disebabkan ia beroperasi dengan kawalan elektronik, hanya tekanan enam pound diperlukan untuk mengoperasikan Drift Stick ini, tidak seperti tuil brek tangan standard atau tuil hidraulik custom yang dibuat sendiri oleh kebanyakkan drifter pada kereta mereka.

    Menurut Ford Performance, aksesori ini hanya boleh digunakan pada pemanduan di dalam litar sahaja dan ia kini dijual pada pasaran Amerika Syarikat dan Kanada dengan harga USD$999. Kit tersebut terdiri tuil Drift Stick, set cagak dan juga moduk elektronik bersama fungsi kalibrasi professional.

    GALERI: Ford Focus RS

     
     
  • Mitsubishi ASX Adventure – 2WD, 60 unit, RM124k

    Mitsubishi ASX Adventure – 2WD, 60 unit, RM124k

    Dalam sesi pandu uji Mitsubishi Outlander 2.0 AWD pemasangan tempatan (CKD) yang berlangsung hari ini, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah memperkenalkan versi edisi terhad ASX. Digelar ASX Adventure, hanya 60 unit sahaja yang ditawarkan, dengan penambahbaikan bahagian luaran dan dalaman yang lebih segar.

    Pada bahagian luarannya, ASX Adventure kini tampil dengan rekaan gril hadapan baharu bersama panel yang lebih besar berbanding gril bertingkat seperti model standard. Tiada lagi unsur krom. Selain itu, kekemasan pada bampar belakang turut ditambah, dengan disambung pada sisi kereta dan pelindung dapra (fender), memperkukuhkan lagi rupa SUV ini.

    Ia turut dipadankan dengan roda aloi jejari-berkembar 18-inci, yang lebih besar berbanding model biasa ASX. Malah rimnya juga lebih kurang sama seperti model Outlander.

    Manakala di dalamnya pula, ditampilkan kekemasan pada bahagian pintu, serta sentuhan berwarna perak di sekeliling corong pendingin hawa. Malah tempat duduk balutan kulit dengan rekaan baharu turut ditampilkan, berserta dengan pedal aluminium.

    ASX Adventure ini juga dipacukan sistem pacuan dua-roda (2WD), kekal dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder MIVEC (150 PS dan 197 Nm) dan dipadankan bersama transmisi automatik INVECS-III CVT.

    Senarai elemen lain termasuklah lampu utama projektor halogen automatik, kemasukan tanpa kunci, kawalan suhu automatik, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh, tiga beg udara dan kamera undur. Mitsubishi ASX Adventure ini ditawarkan pada harga atas jalan RM124k tanpa insurans dan kini tempahannya telah dibuka.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026