Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Indian Scout Bobber 2018 diubah suai oleh tiga ikon

    Indian Scout Bobber 2018 diubah suai oleh tiga ikon

    Setelah syarikat motosikal jenama Victory ditutup, Polaris kini menumpukan tenaga kepada jenama Indian dan antara produk terbarunya adalah Scout Bobber 2018. Dalam satu acara bernama Brooklyn Invitational Custom Show di Amerika Syarikat, motosikal tersebut telah diubah suai oleh tiga ikon iaitu Keino Cycles, Kraus Motor Co dan Steve Caballero bersama Roland Sands Design (RSD).

    Secara asalnya, Indian Scout Bobber adalah sebuah motosikal yang menggunakan enjin dua silinder V berkapasiti 1,133 cc dan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 94 hp dan 97.7 Nm. Enjin ini sama sahaja dengan Scout sebelum ini, tetapi penampilan Scout Bobber berlainan, dan ia terletak 25 mm lebih rendah.

    Hasil ubah suai Keino Sasaki dari Keino Cycles mendapat inspirasi daripada kereta api, kapal terbang dan automobil tahun 50-an dan 60-an. Tangki, fender, fairing dan ekzos semuanya menggunakan aluminium, dan ia dijadikan lebih istimewa dengan brek Beringer serta rim lidi buatan khas. Sasaki mengambil masa enam minggu untuk menyempurnakan projek ini.

    Scout Bobber hasil ubah suai Kraus Motor Co pula lebih kepada prestasi, iaitu aspek yang sudah menjadi kepakaran syarikat tersebut. Pemiliknya, Satya Kraus mengambil masa empat minggu untuk melengkapkan Scout Bobber ini, dan ia kini mempunyai fork hadapan USD Ohlins, brek Beringer, rim gentian karbon Rotobox, tempat duduk khas Saddlemans dan pacuan rantai.

    Steve Caballero mungkin cukup terkenal dalam dunia papan selaju, tetapi dalam industri motosikal ubah suai, beliau masih baru. Scout Bobber hasil tangan beliau ini melihatkan pengaruh flat-tracker, dan menggunakan cat Grigio Telesto berserta pinstripe Sonny Boy, tangki yang dikecilkan sebanyak enam inci dan pelbagai aksesori daripada katalog RSD.

    Untuk Malaysia, Indian Scout Bobber 2018 dijangka tiba pada bulan Disember 2017, dengan jangkaan harga sekitar RM130,000. Walaubagaimanapun, ini semua masih bergantung kepada kelulusan kerajaan, duti kastam serta cukai.

     
     
  • Merceders-AMG GT R tiba di Malaysia – 4.0 liter V8 turbo berkembar, 585 hp/700 Nm, bermula RM 1.7 juta

    Merceders-AMG GT R tiba di Malaysia – 4.0 liter V8 turbo berkembar, 585 hp/700 Nm, bermula RM 1.7 juta

    Tidak sampai lima bulan setelah membuat kemunculan sulung peringkat global di Goodwood Festival of Speed Jun lalu, abang besar kepada Mercedes-AMG GT S iaitu Mercedes-AMG GT R kini mendarat ke pasaran Malaysia secara rasmi dan dijual pada harga bermula RM1.7 juta (atas jalan tanpa insuran).

    AMG GT R ini masih dijana V8 4.0 liter turbo berkembar sama seperti GT S, tetapi ia kini telah ditala untuk mengekstrak kuasa keseluruhan 585 hp dan tork maksima 700 Nm, berbanding GT S yang menghasilkan kuasa 503 hp dan tork maksima 650 Nm. Kuasa tambahan ini dihasilkan dengan kombinasi pengecas turbo baharu, talaan semula pada unit pengurusan enjin, liang ekzos yang dibentuk semula serta nisbah mampatan yang berlainan. Tekanan boost pada sistem turbo GT R dicatatkan pada 19.6 psi berbanding 17.4 pada GT S.

    Kesemua kuasa dialirkan ke gandar belakang menerusi kotak gear klac berkembar AMG Speedshift DCT tujuh-kelajuan. Nisbah pada kotak gear GT R ini turut berbeza dari GT S di mana nisbah pada gear pertama dipanjangkan sementara nisbah gear ketujuh dan nisbah akhir kini telah dipendekkan.

    Merceders-AMG GT R tiba di Malaysia – 4.0 liter V8 turbo berkembar, 585 hp/700 Nm, bermula RM 1.7 juta

    Berat keseluruhan GT R juga 90 kg lebih ringan dari GT S. Hasil gabungan kuasa yang lebih tinggi, nisbah gear yang diolah semula serta berat keseluruhan yang lebih ringan, Mercedes AMG GT R mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat (0.2 saat lebih pantas dari GT S). Jentera ini juga telah diuji dan ditala secara ekstensif di litar Nordschleife Nürbrugring, dan mencatatkan rekod lap terpantas 7 minit 10.92 saat di litar ‘The Green Hell‘ berkenaan.

    The Beast of The Green Hell‘ ini juga dilengkapi dengan kit brek karbon seramik. Ia juga dipadankan dengan roda aloi forged berdiameter 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang. Kesemua roda tersebut dibaluti tayar spesifikasi litar Michelin Sport Cup 2 bersaiz 275/35 ZR 19 di hadapan dan 325/30 ZR 20 di belakang.

    Pengendalian yang lebih lincah jentera ini bukan hanya bergantung pada sistem suspensi, ia turut dipadankan dengan sistem stereng pada roda belakang yang meningkatkan tindak balas serta kestabilan semasa membelok. Pada kelajuan di bawah 100 km/j, tayar belakang akan berpusing dalam sudut kecil bertentangan dengan arah pusingan tayar hadapan untuk tindak balas yang lebih pantas. Manakala untuk kelajuan melebihi 100 km/j pula, arah pusingan roda belakang adalah sama dengan roda hadapan, memberikan kestabilan yang lebih bagus dalam kelajuan tinggi.

    Bagi membezakannya dengan GT S, GT R menampilkan gril hadapan dengan motif jail-bar serta fender depan dan belakang yang lebih lebar diperbuat dari bahan gentian karbon menjadikan ia lebih lebar 1.8 inci. Bumbung GT R juga dibina dari bahan gentian karbon, manakala pada bahagian ia turut dilengkapi dengan sayap yang lebih besar. Bampar belakang dilengkapi dengan sepasang diffuser mengapit ekzos tip berkembar.

    Jentera ini juga dilengkapi dengan kit aerodinamik aktif pada bahagian hadapan yang menghasilkan kesan venturi, seterusnya menekan badan kereta ini sehingga 1.6 inci ketika memecut melebihi 80km/j dalam ‘Race Mode’ membuatkan ia melekat pada permukaan jalan raya.

    Bahagian dalaman GT R dilihat menampilkan imej yang lebih berorientasikan litar lumba dimana tempat duduk berprestasi AMG diberikan balutan kulit Nappa dan fabrik gentian mikro Dinamica. Warna hitam keseluruhan turut menerima serlahan berwarna kuning pada butang-butang kawalan instrumen dan jahitan. Tali keledar berwarna kuning turut didatangkan sebagai pilihan opsyen. Konsol tengah pula diberikan kemasan akhir piano black.

     
     
  • Subaru WRX STI Final Edition ucap sayonara – hanya untuk pasaran UK, terhad 150 unit sahaja

    Subaru WRX STI Final Edition ucap sayonara – hanya untuk pasaran UK,  terhad 150 unit sahaja

    Subaru telah mendedahkan, hanya 150 unit sahaja dibikin untuk generasi semasa WRX STI, sebelum model tersebut mengakhiri eranya. WRX STI Final Edition adalah edisi Sayonara (selamat tinggal), dibikin hanya untuk United Kingdom (UK), dan Subaru tidak merancang untuk menjualnya di pasaran lain termasuk Amerika Syarikat. Berita ini pastinya sedikit sebanyak bakal mengecewakan peminat model ini yang berada di luar UK.

    “Dengan pelancaran model baharu termasuk pelaburan bagi platform dan penjana kuasa, Subaru akan terus menghasilkan model rali ikonik Impreza. Di mana kami telah melabur lebih banyak bagi platform baharu serta bahan api alternatif yang bakal digunakan,” ujar Subaru dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    WRX STI Final Edition ini masih menggunakan enjin yang sama dengan model standard STI iaitu 2.5 liter empat-silinder dengan kuasa 296 hp, namun ia dihadirkan dengan beberapa elemen khas. Ini termasuklah roda yang lebih besar iaitu bersaiz 19-inci dengan brek Brembo yang lebih mantap dan dicat warna kuning.

    Subaru WRX STI Final Edition ucap sayonara – hanya untuk pasaran UK,  terhad 150 unit sahaja

    Bukan itu sahaja, model edisi terhad ini juga tampil dengan dengan bampar hadapan yang direka semula untuk imej yang lebih menonjol serta gril bawah yang nampak lebih agresif. Logo Final Edition juga diposisikan pada pintu, menggambarkan ia adalah model khas.

    Bagi pengendaliannya, WRX STI Final Edition turut dilengkapi dengan kawalan elektronik bagi tindakbalas yang lebih tepat.

    Di dalamnya pula, kekemasan hitam berkilat merajai bahagian panel instrumen, sekeliling tuil gear, panel pintu dan roda stereng bersama jahitan merah. Serta tali pinggang keledar berwarna merah, mencetuskan lagi karakter garangnya. Malah terdapat plat khas pada tuil gear yang menandakan nombor daripada jumlah terhad 150 unit tersebut.

    Subaru WRX STI Final Edition ucap sayonara – hanya untuk pasaran UK,  terhad 150 unit sahaja

    Jentera ini juga menerima paparan pelbagai-fungsi bersaiz 5.9-inci yang diletakkan di atas papan pemuka, malah panel instrumen juga direka semula serta sistem infotainmen kini didatangkan dengan radio DAB dan kamera undur.

    WRX STI merupakan versi modifikasi terbesar dari Impreza yang diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 2008, dan ia kekal sebagai model sedan empat-pintu, membezakannya dengan model Impreza hatchback. Apabila ia ‘ditukar’ menjadi lima-pintu dalam format hatchback, nama Impreza seakan ‘digugurkan’ dan WRX STI seperti berdiri sendiri sebagai satu model yang berlainan.

    Dijual pada harga £33,995 (RM190,784), di mana WRX STI ini adalah lebih £2000 (RM11,224) berbanding model standard WRX STI.

     
     
  • Hennessey Venom F5 – 1,600 hp, 1,338 kg, RM6.7 juta

    Hennessey Venom F5 – 1,600 hp, 1,338 kg, RM6.7 juta

    Selain VelociRaptor 6×6, Hennessey Special Vehicles turut memperkenalkan sebuah hypercar baru di pameran SMEA 2017, dipanggil sebagai Venom F5. Nama ini diambil daripada puting beliung paling berkuasa mengikut skala Fujita dan ia dianggap bersesuaian dengan kereta ini yang mempunyai prestasi menakjubkan.

    Melalui Venom F5, Hennessey cuba menghasilkan kereta paling laju atas muka bumi ini, di mana ia menggunakan enjin V8 turbo yang mampu menghasilkan sehingga 1600 hp dan dipadankan bersama transmisi tujuh kelajuan yang menghantar kuasa ke tayar belakang.

    Casis kenderaan ini menggunakan bahan serba ringan, manakala badannya dibina sepenuhnya daripada gentian karbon, membolehkan ia mencatat berat cuma 1,338 kg. Badan ini juga menggunakan rekaan aerodinamik aktif yang menghasilkan rintangan angin coefficient of drag serendah 0.33.

    Hennessey Venom F5 – 1,600 hp, 1,338 kg, RM6.7 juta

    Dengan kombinasi semua ini, Venom F5 tahap prestasi baru bagi sebuah hypercar, di mana ia boleh memecut 0-300 km/j dalam masa kurang 10 saat – lebih laju daripada kereta lumba F1. Pecutan 0-400 km/j pula boleh dilakukan dalam masa kurang 30 saat dan laju maksimum diunjurkan boleh melebihi 482 km/j (300 bsj).

    Hennessey bercadang untuk mengeluarkan hanya 24 unit Venom F5 ini, dan setiap satu daripadanya dijual pada harga asas USD1.6 juta (RM6.7 juta). Untuk mencapai semua prestasi ini juga, Hennessey telah bekerjasama dengan Pennzoil untuk minyak pelincir dan menggunakan bahan api premium Shell V-Power NiTRO+.

     
     
  • Porsche 360 Financing kini di Malaysia – bayaran bulanan serendah RM6k, nilai jualan balik terjamin

    Porsche 360 Financing kini di Malaysia – bayaran bulanan serendah RM6k, nilai jualan balik terjamin

    Berita baik bagi mereka yang kini sedang mempertimbangkan untuk membeli kereta Porsche baru. Kini, pengedar rasmi kenderaan tersebut, Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah memperkenalkan program pembiayaan dipanggil Porsche 360 Financing, yang membolehkan anda membawa pulang sebuah Porsche pada harga bayaran bulanan serendah RM6,000.

    SDAP menggambarkan Porsche 360 Financing sebagai “satu alternatif pintar untuk pembiayaan konvensional, dengan menjanjikan bayaran bulanan lebih rendah dan terma yang lebih fleksibel, untuk pengurusan kitaran tunai yang lebih baik.” Dalam masa tiga hingga lima tahun sebelum tamat program pembiayaan tersebut, pemilik boleh menjual kembali kenderaan mereka dan membeli Porsche baru, atau membiayai kembali (refinance) baki pinjaman.

    “Kami percaya bayaran bulanan yang rendah ini adalah sangat menarik untuk pelanggan. Mereka kini boleh mendapatkan pembiayaan untuk Macan dengan pinjaman sehingga 90% untuk lima tahun dan membayar sekitar RM6,000 setiap bulan,” kata ketua pegawai eksekutif SDAP, Arnt Bayer.

    Cara program ini berfungsi tidak banyak beza berbanding skim yang sedia ada dalam pasaran premium. Pelanggan perlu memilih tempoh pembiayaan sama ada tiga, empat atau lima tahun, dan nilai jualan balik kenderaan turut dijamin.

    Di hujung tempoh yang dipersetujui itu, pelanggan diberikan tiga pilihan. Pertama, untuk menjual kembali kenderaan tersebut kepada pusat pengedar rasmi Porsche pada harga yang dijamin. Program ini mempunyai struktur yang dapat memastikan baki pinjaman lebih rendah berbanding nilai jualan balik. Hasilnya, pemilik boleh mendapatkan baki tambahan dan boleh digunakan sebagai bayaran muka untuk Porsche baru.

    Pilihan kedua, yang diberikan selepas tempoh tiga tahun daripada tempoh pembiayaan tersebut, adalah untuk memanjangkan lagi tempoh pembiayaan atau menamatkannya dengan membayar keseluruhan baki secara penuh. Pilihan ketiga, memulangkan kembali kenderaan tersebut tanpa sebarang komitmen, kecuali bayaran catatan batuan yang lebih dan kenderaan tersebut tertakluk kepada kelusuhan akibat penggunaan.

    Bagi memastikan nilai jualan balik yang dijamin, pembeli di dalam program ini perlu menghantar kenderaan mereka untuk servis dan penjagaan di pusat servis rasmi Porsche. Ini sebenarnya bukanlah satu isu kerana semua kenderaan yang dijual oleh SDAP didatangkan bersama jaminan empat tahun dan pakej penyelenggaraan percuma empat tahun yang termasuk servis, alat ganti dan caj buruh. Jaminan ini boleh ditambah sehingga sembilan tahun pada bayaran tertentu.

    Walaubagaimanapun, program pembiayaan ini tidak ditawarkan untuk model GT seperti 911 GT3 yang baru dilancarkan semalam, dan model edisi terhad lain.

     
     
  • Jeep Wrangler 2018 – imej rasmi pertama disebarkan

    Jeep Wrangler 2018 – imej rasmi pertama disebarkan

    Jeep telah menyebarkan imej rasmi pertama bagi model Jeep Wrangler 2018 yang bakal ditampilkan buat pertama kalinya di LA Auto Show hujung bulan ini.

    Tiga imej pertama ini menunjukkan Wrangler baharu dalam format dua- dan empat-pintu. Jeep masih mengekalkan ‘trademark’ seperti sebelum ini dengan bentuk dan wajah yang lebih kurang sama, namun disertakan dengan gril berbentuk baji batu dan lampu utama bulat.

    Jeep turut mendakwa “ia lebih bersifat open-air freedom“, dan apa yang boleh dilihat di sini, pintu dan bumbungnya boleh ditanggalkan. Malah ia turut ditampilkan dengan cermin hadapan yang boleh dilipat dan hadir bersama kombinasi cermin hadapan, bumbung dan pintu yang berlainan.

    Klik untuk besarkan

    Jenama FCA ini juga berkata, Wrangler baharu ini turut menawarkan aerodinamik yang dipertingkatkan, penjana kuasa dengan penjimatan bahan api yang lebih efisien dan lebih banyak elemen keselamatan serta teknologi termoden, berbanding sebelum ini.

    Walau bagaimana pun, perincian atau spesifikasi penjana kuasanya masih tidak didedahkan secara rasmi, namun ada sumber membocorkan, Wrangler baharu ini dijana oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dan 3.6 liter V6, di mana unit 2.8 liter digugurkan. Enjin 2.0L boleh membawa kapasiti muatan 908 kg, sementara 1,587 kg bagi 3.6L.

     
     
  • Touch ‘n Go menang anugerah global Sistem Pengangkutan Pintar bagi Rantau Asia Pasifik

    Touch ‘n Go menang anugerah global Sistem Pengangkutan Pintar bagi Rantau Asia Pasifik

    Touch ‘n Go Sdn. Bhd. (TNGSB) telah menerima pengiktirafan global apabila menenangi Anugerah ‘Hall of Fame’ Industri bagi Rantau Asia Pasifik di Kongres Dunia ITS 2017 yang berlangsung semalam di Montreal, Kanada.

    Menerima anugerah tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNGSB Syahrunizam Samsudin yang menerajui Touch ‘n Go semenjak dua tahun lalu dan menggenggam visi untuk memimpin Touch ‘n Go menjadi syarikat FinTech yang unggul dalam tempoh 12 bulan akan datang. Di Kongres Dunia semalam, Syahrunizam turut mempersembahkan kepada hadirin global mengenai visi Touch ‘n Go untuk masa depan dengan tajuk pembentangan ‘Mobiliti Bandar didokongi Sistem Pembayaran Digital Baru.’

    Pada setiap tahun, ‘Hall of Fame’ Kongres Dunia ITS memilih dan mengiktiraf pencapaian tertinggi dari benua Amerika, Eropah dan Asia Pasifik dari komuniti pengangkutan berteknologi tinggi merentas Industri, Kerajaan Tempatan termasuk Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

    Pemenang kategori dipilih dari pelbagai rantau berdasarkan kriteria bercirikan kecemerlangan industri dan prestasi dalam landskap teknologi untuk pengangkutan. Mengikut definisi, sistem pengangkutan pintar (ITS) adalah teknologi, aplikasi atau platform yang meningkatkan kualiti pengangkutan atau aplikasi serta sistem yang memantau, mengurus atau meningkatkan mutu pengangkutan.

    Touch ‘n Go menang anugerah global Sistem Pengangkutan Pintar bagi Rantau Asia Pasifik

    Didorong oleh budaya inovasi dan peningkatan mutu berterusan, Touch ‘n Go telah berkembang pesat semenjak 21 tahun yang lalu. Hari ini, TNGSB adalah penyedia nombor 1 untuk sistem pembayaran mikro di Malaysia dan ia telah diterima secara meluas sebagai sistem tanpa tunai di pelbagai sektor khususnya rangkaian bas dan rel bandar serta pembayaran tol lebuhraya dan sedang berkembang pesat meneroka sektor runcit – menjadikan Touch ‘n Go antara nilai penting di dalam kehidupan harian rakyat Malaysia.

    Dengan pelbagai pendekatan mesra yang berorientasikan pelanggan di dalam pelbagai sektor, Touch ‘n Go juga telah menyediakan meningkatkan rangkaian tambah nilai dengan lebih daripada 9,000 pusat tambah nilai di seluruh negara. Kemudahan tambah nilai terdapat di stesen petrol, kedai serbaguna, rangkaian runcit terpilih, kiosk layan diri, Touch ‘n Go SPOTs dan hab-hab Touch ‘n Go di seluruh Malaysia.

    Melangkah ke hadapan, Touch ‘n Go kini berusaha giat secara terus menerus dengan memperkenalkan pelbagai cara inovasi untuk memberikan kepuasan pelanggan berserta pengalaman terbaik dalam kemudahan pembayaran mikro.

     
     
  • Harga minyak 2 hingga 8 Nov – semua naik 4 sen

    Harga minyak 2 hingga 8 Nov – semua naik 4 sen

    Selepas minggu lepas harga bahan api semuanya naik iaitu 3 sen untuk RON 95, 3 sen untuk RON 97 dan 2 sen untuk diesel, minggu ini ia naik lagi. Kali ini harga semua bahan api ini naik 4 sen, seperti yang diumumkan oleh KPDNKK.

    Bermakna, bagi minggu 2 November hingga 8 November ini, RON 95 akan dijual pada harga RM2.24 seliter, diikuti RM2.54 seliter untuk RON 97, RM2.17 seliter untuk diesel Euro 2 dan RM2.27 seliter untuk diesel Euro 5. Harga ini sudah mencapai antara tahap yang tertinggi sejak pelaksanaan harga mingguan bagi bahan api ini.

     
     
  • Isuzu Malaysia lantik Koji Nakamura sebagai CEO baru

    Isuzu Malaysia lantik Koji Nakamura sebagai CEO baru

    Isuzu Malaysia telah mengumumkan perlantikan Koji Nakamura sebagai ketua pegawai eksekutif baru, yang akan mengawai segala aspek operasi syarikat termasuk jualan, selepas jualan dan kewangan. Nakamura mengisi kekosongan yang dibuat oleh Kenji Matsuoka. Nakamura seterusnya akan dibantu oleh Mikia Tsukui sebagai COO bahagian kenderaan komersial dan Masayuki Suzuki sebagai COO bahagian kenderaan komersial ringan.

    “Koji Nakamura mempunyai pengalaman yang luas, termasuk dalam perancangan strategik, jualan dan operasi, selain memegang pelbagai jawatan ketua dalam industri automotif. Saya berbangga untuk melepaskan jawatan ini kepada seorang individu yang cemerlang, optimis dan mempunyai perspektif yang segar untuk mengetuai syarikat,” kata Matsuoka.

    Semasa di bawah teraju Matsuoka, Isuzu Malaysia berjaya meningkatkan kedudukan dalam senarai syarikat automotif di Malaysia dengan mendapat kedudukan keenam, dari ketujuh, dan berjaya meningkatkan perkongsian pasaran D-Max kepada 14.7% pada tahun lepas.

    “Peluang untuk mengembangkan perniagaan sentiasa akan ada dalam apa sahaja keadaan ekonomi. Saya percaya pasukan saya mampu merealisasikan visi kami dan terus berkembang dalam tahun-tahun akan datang. Antara tugas saya sekarang adalah untuk memperbaiki cara operasi dan memperkasa jualan kenderaan,” tambah Nakamura.

     
     
  • Imej Nissan Xterra bocor – SUV diasaskan dari Navara

    Imej Nissan Xterra bocor – SUV diasaskan dari Navara

    Jika Toyota ada Fortuner dari platform Hilux, Isuzu ada MU-X dari platform D-Max, tidak lama lagi Nissan turut akan memperkenalkan SUV ladder frame mereka diasaskan trak pikap Navara NP300. SUV berkenaan dikhabarkan akan diberi nama Xterra (atau Paladin) dan kini Headlightmag telah mendedahkan gambar model berkenaan yang telah bocor.

    Xterra dikatakan akan membuat kemunculan sulung peringkat globalnya pada tahun ini di China dan kemudian ia akan diperkenalkan di Thailand tahun berikutnya. Seperti juga saingannya yang lain, ia turut direka unik berbanding kembar pikapnya. Ia diberikan bampar yang berbeza dari Navara dengan rekaan lebih konservatif. Namun komponen lain seperti bonet dan cermin sisi krom masih lagi kelihatan seperti Navara.

    Pada bahagian sisi, dapat diperhatikan kebanyakkan komponen adalah baharu, dengan pintu lebih besar dan juga tingkap-tingkap tambahan pada bahagian belakang. Garis badan pada bahagian sisi ini juga kelihatan seperti X-trail, tetapi dengan saiz yang lebih besar. Bahagian kabin yang besar memungkinkan Xterra akan diberikan konfigurasi tujuh tempat duduk.

    SUV ini dijangka bakal dijana enjin 2.3 liter turbodiesel berkuasa 190 hp/450 Nm, digandingkan bersama kotak gear enam kelajuan manual atau tujuh-kelajuan automatik. Ia juga berkemungkinan besar akan ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang dan pacuan empat roda.

    GALERI: Spyshot Nissan Xterra

     
     
  • Hennessey VelociRaptor 6×6 muncul di SEMA 2017

    Hennessey VelociRaptor 6×6 muncul di SEMA 2017

    Hennessey Performance (HPE) telah membawa VelociRaptor 6×6 ke pameran SEMA 2017, dan ia akan ditawarkan dalam jumlah yang terhad, iaitu hanya 50 unit, pada harga US$349,000 (RM1,477,300) seunit.

    Harga ini memang tinggi, tetapi pembeli juga akan mendapat pelbagai kelengkapan padanya. Model ini menggunakan Ford F-150 Raptor crew cab 2018 sebagai asas, dan diubah suai oleh HPE untuk menjadi sebuah jentera enam tayar.

    Penambahan yang dilakukan termasuk gandar berkunci 6×6 di belakang, naik taraf suspensi, rim 20 inci yang dibalut dengan tayar offroad Toyo, bampar depan dan belakang yang unik, roll bar dan lampu LED. Pelanggan juga boleh memilik pakej naik taraf turbo berkembar yang dapat meningkatkan kuasa enjin EcoBoost 3.5 liter padanya menjadi lebih 600 hp.

    Hennessey VelociRaptor 6×6 muncul di SEMA 2017

    Untuk memadankan ia dengan kuasa lebihan ini, pilihan sistem brek Brembo juga ditawarkan dengan harga tambahan US$22,000 (RM93,125). Melalui pakej ini, pelanggan akan mendapat angkup brek enam piston dan cakera yang lebih besar untuk memastikan ia dapat berhenti lebih baik.

    “VelociRaptor 6×6 adalah sebuah kenderaan offroad berspesifikasi tinggi. Kami hanya akan menghasilkan 50 unit VelociRaptor 6×6, dan ia bukan setakat sebuah kenderaan yang agresif dan unik dalam pasaran, malah juga eksklusif,” kata pengasas dan CEO HPE, John Hennessey.

     
     
  • Enjin F1 2021 – 1.6L Turbo hibrid kekal; had putaran enjin 3,000 rpm lebih tinggi untuk bunyi lebih baik

    Enjin F1 2021 – 1.6L Turbo hibrid kekal; had putaran enjin 3,000 rpm lebih tinggi untuk bunyi lebih baik

    Setelah pertemuan antara pasukan-pasukan yang bertanding dalam Formula 1 dan FIA, pihak pemegang hak komersial pelumbaan berkenaan telah mendedahkan rancangan bagi spesifikasi enjin yang bakal digunakan di dalam perlumbaan itu untuk musim 2021 nanti.

    Cadangan untuk tahun 2021 berkenaan turut menggariskan enjin 1.6 liter V6 turbo hibrid yang digunakan buat masa sekarang akan terus digunakan, tetapi had putarannya akan dinaikkan lebih 3,000 rpm lagi bagi “memberikan bunyi yang lebih baik”. Manakala untuk menjadikan unit janakuasa berkenaan lebih ringkas, unit MGU-H pada pengecas turbo akan disisihkan.

    Berberapa parameter rekaan preskriptif akan diperkenalkan bagi “mengehadkan kos pembangunan serta tidak menggalakkan rekaan ekstrem”. Parameter-parameter berkenaan akan melibatkan bahagian dalaman dan juga luaran, di mana parameter luaran disifatkan oleh FIA sebagai “kebolehan penukaran enjin/casis/transmisi secara plug-and-play“.

    Pengecas turbo tunggal dengan dimensi dan had berat akan diwajibkan, manakala penyimpan tenaga standard untuk semua pasukan akan diperkenalkan bersama kawalan-kawalan elektronik yang sememangnya telah menjadi perkara standard di dalam F1 sejak sekian lama.

    Enjin F1 2021 – 1.6L Turbo hibrid kekal; had putaran enjin 3,000 rpm lebih tinggi untuk bunyi lebih baik

    Selain itu, unit MGU-K akan dibina lebih berkuasa, dan ia akan difokuskan sebagai sistem yang diaktifkan secara manual oleh pemandu bagi mendapatkan kuasa tambahan, sama seperti sistem asal KERS yang diperkenalkan dalam F1 pada 2009. Ciri ini juga akan memberikan pilihan kepada pemandu untuk menyimpan tenaga selama berberapa lap bagi meningkat elemen taktikal dalam perlumbaan tersebut.

    Kajian turut akan dilakukan pada undang-undang penggunaan bahan api – peraturan lebih ketat akan dikenakan dan penggunaan bahan api akan lebih dihadkan.

    Usaha untuk memperincikan spesifikasi baharu ini akan diteruskan untuk tempoh masa 12 bulan akan datang, dan FIA menjelaskan bahawa rekaan dan pembangunan unit janakuasa baharu ini adalah mustahil sehingga proses berkenaan lengkap – bagi memastikan pasukan-pasukan yang bertanding buat masa ini terus membangunkan enjin sedia ada sepanjang tahun 2018.

     
     
  • Porsche 911 GT3 dilancar di Malaysia – dari RM1.7 juta

    Porsche 911 GT3 dilancar di Malaysia – dari RM1.7 juta

    Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah melancarkan Porsche 911 GT3 baru untuk pasaran Malaysia. Model ini pertama kali muncul bulan Mac lalu, dan kita adalah negara pertama yang menerimanya di dalam pasaran ASEAN. Model baru ini kini menggunakan badan 991 facelift.

    911 GT3 baru ini ditawarkan bersama transmisi klac berkembar PDK tujuh kelajuan, tetapi mereka yang mahukan pemanduan sebenar, boleh menempah kotak gear manual enam kelajuan melalui SDAP. Ini adalah satu pilihan yang bakal memuaskan kaki kereta, kerana sebelum ini, 911 GT3 hanya ditawarkan dengan kotak gear PDK sahaja. Enjin untuk model baru ini adalah unit 4.0 liter NA enam silinder dengan kuasa 500 hp pada 8,250 rpm dan 460 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Secara kasarnya, enjin ini tidak banyak berubah berbanding enjin yang terdapat pada kereta lumba 911 GT3 Cup, dan sama dengan yang terdapat pada GT3 RS serta 911 R keluaran terhad sebelum ini. Walaubagaimanapun, bahagian dalam enjin 911 GT3 baru ini telah mengalami perubahan untuk membolehkannya pergi ke rpm lebih tinggi, iaitu sehingga 9,000 rpm.

    Porsche 911 GT3 dilancar di Malaysia – dari RM1.7 juta

    Dengan tetapan kotak gear PDK, 911 GT3 mencatat berat 1,430 kg dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat – 1/10 lebih pantas berbanding kereta sebelum ini – sebelum mencapai laju maksimum 318 km/j. Apabila memilih kotak gear manual pula, beratnya berkurangan sebanyak 17 kg, tetapi pecutan 0-100 km/j menjadi 3.9 saat.

    Untuk dinamik pemanduan yang lebih baik, bahagian casis turut dipertingkat, di mana ia kini duduk 25 mm lebih rendah berbanding Carrera S standard, dan masih lagi terdapat active rear steering, tapak enjin aktif dan locking rear differential.

    Seperti juga 991 facelift yang lain, model GT3 ini menerima pelbagai perubahan bahagian luar yang termasuk lampu rekaan baru dengan lampu siang LED, pembuka pintu yang tenggelam di permukaan dan lampu belakang baru. Muka hadapan khas untuk GT3 juga telah diubah menjadi lebih lebih berpetak, dan mempunyai diffuser belakang, manakala lubang udara turut ditambah pada penutup enjin di belakang. Terdapat juga sayap belakang gentian karbon baru.

    Pada bahagian dalam, GT3 ini telah diberikan roda stereng yang lebih kecil seperti model 918 Spyder (diameter 360 mm), serta sistem hiburan dan informasi Porsche Communication Management (PCM) baru serta Connect Plus Module dengan sambungan Apple CarPlay. Turut diberikan sekali adalah Porsche Track Precision App yang boleh merekod dan menganalisa data pemanduan melalui telefon pintar.

    Secara standard, kereta ini datang dengan Sport Seats Plus dengan sokongan tambahan pada bahagian tepi dan pelarasan manual. Tetapi, pelanggan juga boleh memilih Adaptive Sport Seats Plus dengan pelarasan elektrik, kolum stereng kuasa dan fungsi memori. Jika mahu spesifikasi lumba, mereka juga boleh mendapatkan tempat duduk bucket penuh gentian karbon. Porsche 911 GT3 baru dijual pada harga RM1.7 juta termasuk duti, tetapi tanpa yuran pendaftaran, cukai jalan dan insurans.

     
     
  • Toyota bawa pelbagai Camry ubahsuai ke SEMA 2017

    Toyota bawa pelbagai Camry ubahsuai ke SEMA 2017

    Menerusi acara ubahsuai kenderaan tahunan Amerika Syarikat – SEMA 2017 – Toyota nampaknya bersungguh-sungguh untuk melenyapkan terus imej ‘ayah-ayah’ terhadap sedan segmen-D Camry generasi terbaharu. Tahun ini, Toyota telah membawa lima buah Camry yang diubahsuai dan empat daripadanya menerima sentuhan peribadi pemandu-pemandu Nascar Toyota.

    Empat pemandu berkenaan adalah Martin Truex. Jr, Kyle Busch, Denny Hamlin, dan Daniel Suarez, manakala sebuah lagi Camry tersebut menerima sentuhan Rutledge Wood, iaitu penganalisa perlumbaan, hos Nascar Trackside dan juga pengacara bersama Top Gear USA. Kesemua mereka bekerjasama dengan pembina berasingan bagi menghasilkan setiap Camry istimewa berkenaan.

    Martin Truex. Jr. bersama Motorsport Tech Center (MTC) telah menghasilkan Camry yang seolah-olah versi jalanraya jentera Nascar Camry Cup sebenar yang dipandunya. Ia diberikan rim replika Nascar berdiameter 20-inci bersama spiltter udara hadapan serta spoiler belakang yang berfungsi memberikan downforce tambahan pada kereta tersebut. Camry ini dilengkapkan dengan warna badan keseluruhan hitam matte bersama kemasan Cerakote-plate.

    Untuk Kyle Busch pula, beliau mendapat kerjasama Chuck Gafrarar dari G Fabrication bagi menghasilkan Camry “Rowdy Edition”. Camry ini dipadankan dengan rim custom rekaan Kyle Busch sendiri manakala badannya pula menerima cat hitam dengan kemasan metalik pada bumbung, tiang-A, spoiler belakang serta splitter ala-Nascar pada bahagian hadapan. Ia turut diberikan lencana Rowdy Edition II.

    Bagi Denny Hamlin, Camry miliknya menampilkan rupa sebuah sedan berprestasi tinggi sebenar. Ia diberikan kit badan yang menjadikan Camry tersebut lebih lebar, digandingkan dengan rim custom American Racing. Bahagian luar dan dalam kereta ini menerima elemen warna putih dengan kemasan hitam dan merah krom. Ia turut menerima tempat duduk bucket pada bahagian kabin hadapan.

    Selain Martin Truex. Jr, MTC turut berganding dengan seorang pelumba Nascar iaitu Daniel Suarez untuk menghasilkan sebuah lagi Camry istimewa. Camry Daniel Suarez ini tampil lebih minimalis dengan warna putih-hitam, bersama kit aero berfungsi terdiri dari splitter hadapan dan spoiler belakang, Bahagian dalaman kereta ini menerima upholsteri kulit custom dan juga tandatangan Suarez dengan sulaman benang merah.

    Manakala untuk Rutledge Wood, beliau bekerjasama dengan Real Time Automotive Solution untuk menghasilkan Camry edisinya sendiri. Camry dari Wood ini mungkin yang paling agresif antara semua menampilkan panel badan yang dihasilkan menerusi teknik cetakan 3D serta menggunakan material komposit termaju. Bahagian dalaman kereta ini pula menerima upholsteri “sarung tangan baseball” dan juga sistem audio custom.

    Toyota Camry generasi baharu ini masih lagi belum mendarat di Malaysia. Ia didedahkan pada peringkat global buat pertama kali awal tahun ini di North American International Auto Show (NAIAS), Detroit, Amerika Syarikat. Produksi model ini telah pun bermula di Kentucky Jun lalu, manakala di Jepun ia telah mula dijual sebulan selepas itu.

    Tiga pilihan enjin baru akan ditawarkan untuk Camry 2018 ini iaitu 3.5 liter V6 dengan sistem suntikan D-4S berkuasa 301 hp/363 Nm, 2.5 liter “Dynamic Force” empat silinder berkuasa 206 hp/253 Nm dan juga versi hibrid THS II dengan kuasa keseluruhan 208 hp.

    GALERI: Toyota Camry 2018 Martin Truex Jr.

    GALERI: Toyota Camry 2018 Kyle Busch

    GALERI: Toyota Camry 2018 Denny Hamlin

    GALERI: Toyota Camry 2018 Daniel Suarez

    GALERI: Toyota Camry 2018 Rutledge Wood

     
     
  • TUNGGANG UJI: Honda X-ADV punya karekter unik, dilengkapi transmisi DCT enam kelajuan yang padu

    TUNGGANG UJI: Honda X-ADV punya karekter unik, dilengkapi transmisi DCT enam kelajuan yang padu

    Seperti yang sudah diketahui, pilihan motosikal masa kini terdiri dalam pelbagai kategori, dengan setiap satunya mempunyai keistimewaan dan tujuan tersendiri. Semakin masa berlalu, semakin banyak juga kategori ini bertambah, mungkin kerana ingin memuaskan keperluan pengguna yang berubah atau juga pengeluar cuba menghasilkan sesuatu yang unik.

    Melihat kepada skuter sahaja, selain yang berkapasiti rendah dengan sasaran penggunaan yang mudah di dalam bandar, terdapat juga skuter berkapasiti lebih besar untuk mereka yang mungkin perlukan pengangkutan jarak sedikit jauh dan ruang lebih besar, dan juga skuter sporty seperti Yamaha T-Max 530, BMW C650 GT atau Aprilia SRV850.

    Kini, Honda muncul dengan produk kategori baru – sebuah motosikal automatik konsep kembara dengan rekaan dan kelengkapan yang membolehkannya ditunggang atas pelbagai permukaan termasuk jalan kasar. Nama modelnya adalah X-ADV. Bukan setakat itu, motosikal ini juga didatangkan dengan enjin berkapasiti tinggi, iaitu dua silinder 745 cc dengan sistem penyejukan cecair dan SOHC. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 54 hp pada 6,250 rpm dan 68 Nm pada 4,750 rpm.

    Sebelum pergi lebih lanjut, saya ingin menyatakan bahawa, walaupun ramai yang menganggap motosikal automatik tidak dapat memberikan kepuasan menunggang sebenar kerana pengendalinya kerana tidak perlu menukar gear atau menarik klac, kewujudannya tetap dianggap berguna bagi mereka yang mungkin dulunya penunggang tegar, tetapi sekarang mempunyai masalah dengan tangan atau kaki kiri yang tidak begitu kuat. Jadi, motosikal seperti ini mungkin dijadikan pilihan untuk memuaskan jiwa.

    X-ADV sebenarnya menimbulkan banyak kekeliruan dan rasa serba salah untuk memanggilnya sebagai sebuah skuter. Pertamanya kerana ia tidak didatangkan dengan transmisi CVT dan pacuan tali sawat seperti kebanyakan skuter, tetapi menggunakan unit klac berkembar DCT enam kelajuan, dan kuasa disampaikan ke tayar belakang menggunakan sistem rantai. Apapun, ia adalah sebuah lagi motosikal produksi unik daripada Honda seperti Vultus.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Kia Stinger GT Federation didedahkan di SEMA 2017

    Kia Stinger GT Federation didedahkan di SEMA 2017

    Selain dari Stinger GT Wide Body, Kia turut membawa sebuah lagi sedan sport empat pintu baharu berkenaan yang telah menerima sentuhan semula digelar Kia Stinger GT Federation ke SEMA 2017.

    Stinger GT Federation dihasilkan bagi memberikan ‘amaran’ kepada pesaing-pesaingnya bahawa Kia bakal menghasilkan peralatan-peralatan beprestasi tinggi yang boleh dibeli untuk Stinger menerusi pembekal-pembekal terpilih serentak dengan pelancaran model berkenaan di Amerika Syarikat.

    Pada bahagian luar, Stinger GT Federation diberikan kit aero tambahan dari Air Design USA yang terdiri dari spoiler belakang, diffuser belakang dan juga liang bonet enjin yang direka semula. Setelah itu, keseluruhan badan Stinger berkenaan diberikan warna khas creamy orange bagi menyerlahkan lagi imej sport sedan tersebut.

    Rupa baharu ini turut disokong dengan pemadanan rim staggered berdiameter 20-inci dari TSW, dibaluti tayar-tayar berpretasi tinggi dari Falken. Bagi merendahkan lagi badan kereta ini, ia diberikan spring berprestasi tinggi dari Eibach bersama bar anti-oleng berdiameter lebih tebal untuk tujuan mendapatkan pengendalian lebih baik.

    Kia turut memadankan sistem penurasan dan pengambilan udara lebih sejuk dari K&N serta sistem ekzos lebih lawas dari Borla. Ini membolehkan enjin V6 3.3 liter turbo berkembar Lambda II tersebut menghasilkan kuasa sekitar 380 hp, atau 15 hp lebih berkuasa dari jumlah asal (365 hp/510 Nm).

     
     
  • SEMA 2017 – Toyota C-HR R-Tuned, 2.4 liter turbo, 600 hp, lebih pantas dari Nissan GT-R Nismo di atas litar

    SEMA 2017 – Toyota C-HR R-Tuned, 2.4 liter turbo, 600 hp, lebih pantas dari Nissan GT-R Nismo di atas litar

    Seperti yang diketahui, Toyota C-HR merupakan SUV segmen-B dari jenama dari Jepun berkenaan yang dibina bagi berhadapan dengan Honda HR-V dari segi jualan. Jadi, ia mempunyai kegunaan yang hampir serupa dengan HR-V iaitu SUV kecil yang seringkali digunakan di bandaraya, dan selalunya sering menjadi pilihan oleh kaum hawa.

    Namun pada SEMA 2017, Toyota mendedahkan sebuah C-HR yang dibina untuk pemanduan di litar, diberikan unit janakuasa jauh lebih liar, digelar C-HR R-Tuned yang dibina oleh firma perlumbaan Dan Gardner Spec (DG-Spec). Namun, SUV ini tidak lagi menggunakan enjin asalnya. Ruang enjin C-HR R-Tuned berkenaan kini disumbat dengan enjin 2.4 liter 2AZ-FE yang biasanya dijumpai pada perut Toyota Camry.

    Enjin tersebut turut tidak dibiarkan standard, di mana DG-Spec menempa semula bahagian-bahagian dalaman, membuat ubahsuai terhadap bahagian-bahagian injap, dan menyuap pengecas turbo bersaiz pasu bunga dari Garrett dengan tekanan boost hampir 1.6 bar. Ia turut diberikan unit intercooler custom dihubungkan pada sistem cold air intake berdiameter 4-inci, sistem ekzos dengan downpipe 3-inci bersama sistem cat-back, manakala pengurusan enjin dirombak semula menerusi sistem stand alone dari AEM.

    Menurut Toyota, hasil ubahsuai berkenaan membolehkan enjin tersebut mengekstrak kuasa berjumlah 600 hp. Kuasa berkenaan masih lagi hanya memacu roda hadapan menerusi kotak gear manual lima-kelajuan siri-E Toyota bersama LSD dari OS Giken.

    Bagi memastikan setiap kuasa dijana diterjemahkan kepada kelajuan, C-HR R-Tuned dilengkapkan dengan suspensi boleh laras custom, tayar perlumbaan Toyo Proxes RR DOT membaluti rim bersaiz 18×9 jj, dan juga splitter udara hadapan bersama spoiler bumbung belakang yang direka jurutera aerodinamik Toyota – mampu menghasilkan downforce setinggi 300 pound.

    Keseluruhan ubahsuai ini membolehkan C-HR R-Tuned memecut dari 0-96 km/j (0-60 bs/j) dalam masa hanya 2.9 saat. Jentera ini turut telah diuji di litar Willow Springs International Raceway dan mencatatkan lap terpantas 1 minit 25.22 saat – rekod yang jelas lebih laju dari Lamborghini Aventador SV, McLaren 650S Spider, Ferrari 488 GTB, Porsche 911 Turbo S dan Nissan GT-R R35 Nismo.

     
     
  • VIDEO: BMW keluarkan teaser F850GS untuk EICMA

    EICMA adalah satu acara yang penting kerana banyak motosikal tahun 2018 akan muncul buat pertama kali waktu itu, dan BMW adalah pengeluar terbaru yang mengeluarkan video teaser untuk produk terkini mereka, iaitu model F850GS. Ini diketahui berdasarkan saiznya yang lebih kecil daripada R1200GS, dan ia pernah ditemui beberapa kali sewaktu diuji.

    Daripada video ini boleh dilihat F850GS masih lagi menggunakan enjin dua silinder selari, tetapi mempunyai peningkatan kapasiti enjin, yang seterusnya bakal menghasilkan kuasa yang lebih. Model ini dijangkakan sebagai model serba baru kerana F800GS sudah agak lama di pasaran dan perlukan pembaharuan yang menyeluruh untuk bersaing.

    Kemampuan motosikal ini di atas jalan kasar terus dijadikan kelebihan dan dalam video ini dapat dilihat ia membuat pelbagai aksi menunjukkan ketahanannya. Perkara lain yang boleh dilihat adalah ia juga menggunakan meter digital TFT, yang bakal menggantikan meter analog sebelum ini serta lampu utama jenis LED.

     
     
  • Kia Stinger GT Wide Body binaan khas West Coast Custom buat penampilan sulung di SEMA 2017

    Kia Stinger GT Wide Body binaan khas West Coast Custom buat penampilan sulung di SEMA 2017

    Setelah diumumkan minggu lalu, kini Kia Stinger GT istimewa yang dibina semula oleh West Coast Custom membuat penampilan sulungnya di acara tahunan kenderaan ubahsuai terbesar Amerika Syarikat – SEMA 2017.

    Sedan sport empat pintu binaan khas tersebut digelar Kia Stinger GT Wide Body, menampilkan rupa luaran yang lebih agresif dari rupa Stinger standard yang sememangnya sudahpun cukup agresif. Menurut Kia, West Coast Custom membina semula rupa luaran Stinger ini dengan mengambil inspirasi dari kereta-kereta lumba GT era 70’an.

    Seperti namanya, keempat-empat ruang roda kereta tersebut telah dilebarkan bagi memuatkan rim forged lebih lebar berdiameter 21-inci dari Keen, serta dibaluti tayar-tayar berprestasi tinggi. Badan kereta ini direndahkan lagi sehingga 1.4-inci di hadapan dan 1.2-inci di belakang bagi memberikan stance yang ‘merayap’.

    West Coast Custom turut memadankan kit aero ringan dari material gentian karbon yang terdiri dari spoiler hadapan, skirt sisi serta diffuser belakang di mana pada bahagian terakhir tersebut turut ditempatkan dua tip ekzos berkembar berbentuk-segi empat.

    Pada bahagian kabin pula, kesemua tempat duduk dibalut dengan kulit dan diberikan kemasan tiub sekeliling berwarna biru. Panel papan pemuka turut dibalut kulit kelabu dengan jahitan tangan, manakala roda stereng turut dibalut semula dengan Alcantara bersama kemasan konsol tengah diberikan kemasan hitam berkilat.

    Tiada peningkatan mekanikal lain diumumkan oleh Kia, jadi berkemungkinan ia masih dijana enjin V6 3.3 liter turbo berkembar Lambda II berkuasa 365 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm, dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan yang membolehkan ia memecut dari 0-60 bsj (0-96 km/j) dalam masa 4.7 saat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026