Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda Malaysia tawar program bantuan bagi mangsa banjir Penang – 50% diskaun untuk komponen terjejas

    Simpati dengan kesengsaraan yang dialami oleh mangsa tragedi banjir di Penang, Honda Malaysia mengumumkan program bantuan banjir untuk para pelanggannya, dengan menawarkan diskaun sehingga 50% bagi alat ganti tulen yang terjejas

    Pemilik kenderaan Honda yang terjejas, perlu membuat laporan polis terlebih dahulu, serta menyediakan nota perlindungan insurans (asal atau salinan). Kemudian, perlu menghubungi pusat servis Honda bertauliah berhampiran dan memaklumkan tentang keadaan kenderaan mereka sebelum membuat temujanji.

    Kenderaan Honda yang terlibat akan ditunda di pusat servis yang dilantik, di mana sesi membaikpulih akan dilakukan.

    “Ingatan dan doa kami tetap ada untuk semua mangsa banjir di sana,”ujar syarikat tersebut seperti mana yang dipaparkan menerusi Facebook rasmi mereka.

     
     
  • Yamaha MT-09 SP diperkenalkan, MT-07 diperbaharui

    Yamaha MT-09 SP diperkenalkan, MT-07 diperbaharui

    Pengeluar Jepun tidak terkecuali memberi impak semasa pameran EICMA 2017, dan Yamaha telah meunjukkan barisan model tahun 2018 mereka, yang termasuk MT-09 SP dan MT-07 yang diperbaharui. Model MT adalah antara model penting bagi Yamaha di pasaran global dan menunjukkan penerimaan baik hasil pakej motosikal serta harga yang menarik.

    Seperti yang dijangka dengan melihat kepada nama modelnya, MT-09 SP adalah versi MT-09 yang lebih berprestasi, di mana suspensinya dinaik taraf dengan unit fork boleh laras di bahagian hadapan dan monoshock Ohlins yang boleh dilaras secara elektronik di bahagian belakang. Sama seperti sebelum ini, penukar gear Quick Shift System (QSS) juga didatangkan sekali untuk melengkapi kotak gear enam kelajuan serta klac assist/slipper padanya.

    Enjin MT-09 SP ini masih sama seperti model standard iaitu unit tiga silinder 847 cc dengan sistem DOHC dan penyejukan cecair, dengan kuasa sebanyak 115 PS pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm. Enjin ini juga menerima penarafan Euro 4 dan pengguna boleh memilih tiga mod penyampaian kuasa, berserta Traction Control System dan ABS.

    Untuk menyamakan spesifikasi premium motosikal ini, ia didatangkan dengan pilihan warna unik iaitu Silver Blu Carbon, yang mendapat inspirasi daripada model MT-10 SP, manakala rim pula diwarnakan biru bersama grafik khas SP, tempat duduk jahitan biru dan panel paparan serta butang kawalan berwarna gelap.

    Bagi MT-07, pembaharuan yang dibuat untuk model 2018 juga melibatkan bahagian suspensi, tetapi ia tidaklah begitu premium seperti MT-09 SP. Fork hadapan MT-07 2018 dijadikan lebih sporty, manakala monoshock belakang pula kini lantunannya boleh dilaras.

    Karekter yang dibawa pada rekaannya masih lagi sama, tetapi ia kini diterapkan dengan pengaruh daripada MT-09. Turut diperbaharui adalah tempat duduk, seterusnya memberikan posisi tunggangan yang lebih baik. Bahagian lain masih lagi sama termasuk enjin dua silinder 689 cc berkuasa 74.8 PS/ 68 Nm dan padanan kotak gear enam kelajuan. Warna yang ditawarkan untuk model baru ini adalah Night Fluo, Tech Black dan Yamaha Blue.

    GALERI: Yamaha MT-09 SP 2018


    GALERI: Yamaha MT-07 2018

     
     
  • Honda catat jualan 87,800 unit kenderaan setakat ini

    Honda catat jualan 87,800 unit kenderaan setakat ini

    Honda Malaysia mengumumkan pencapaian jualan syarikat itu setakat ini bagi tahun 2017 dengan merekodkan sebanyak 87,800 unit terjual bagi tempoh Januari hingga Oktober. Dengan perkembangan ini, Honda Malaysia yakin akan dapat mencapai sasaran awal 100,000 unit kenderaan menjelang hujung tahun ini.

    Dengan angka ini, Honda kekal mendahului ditempat pertama bagi pengeluar kenderaan bagi segmen bukan nasional, dan ditempat kedua bagi keseluruhan jumlah industri.

    Pengenalan model-model Sport Hybrid (Jazz Hybrid dan City Hybrid) dan VTEC Turbo (Civic dan CR-V) telah menjadi penyumbang kepada perkembangan itu. Bagi model-model Sport Hybrid, Honda memaklumkan telah mencapai lebih daripada 1,860 unit dalam tempoh lima bulan, melebihi sasaran 24%.

    Sementara itu, bagi model-model VTEC Turbo pula menyumbang jualan 60% bagi Civic dan 71% bagi CR-V. Untuk baki tahun ini, Honda Malaysia akan melancarkan model ke enamnya tahun ini untuk pasaran Malaysia – Civic Type R. Hari ini, Honda Malaysia telah memperkenalkan penawaran terbaru bagi model Accord 2.4 VTi-L Advance dengan Honda Sensing.

     
     
  • Honda Accord 2.4 VTi-L Advance dengan ciri Honda Sensing diperkenalkan di Malaysia – berharga RM170k

    Honda Accord 2.4 VTi-L Advance dengan ciri Honda Sensing diperkenalkan di Malaysia – berharga RM170k

    Honda Sensing, sebuah pakej keselamatan yang mula diperkenalkan pada model Honda CR-V 2017 untuk pasaran Malaysia Julai lalu, kini ditawarkan pula bagi sedan segmen D keluaran syarikat ini, Accord 2.4 VTi-L Advance. Ia merupakan model sedan pertama daripada Honda yang ditampilkan dengan pakej keselamatan Sensing ini.

    Bagi yang masih kurang pasti mengenai Honda Sensing, ini ada serba sedikit pencerahan mengenainya. Ia merupakan sistem keselamatan yang terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu ciri bantuan pemanduan, penghindaran perlanggaran sisi serta penghindaran perlanggaran secara berdepan. Ia dikendalikan dengan menggunakan dua peranti iaitu kamera monokular yang terletak berdekatan bahagian cermin pandang belakang, serta milimeter wave radar pada bahagian depan yang terletak di bawah logo pada gril.

    Bagi bantuan pemanduan, ia bertujuan untuk memberikan keselesaan tambahan kepada pengguna; ia terdiri daripada Adaptive Cruise Control (ACC). ACC berfungsi untuk mengekalkan jarak serta kelajuan selamat dari kenderaan di depan, dan boleh berfungsi dalam julat kelajuan antara 30 km/j hingga 180 km/j.

    Honda Accord 2.4 VTi-L Advance dengan ciri Honda Sensing diperkenalkan di Malaysia – berharga RM170k

    Untuk penghindaran perlanggaran sisi, ia terdiri daripada tiga sistem iaitu Lane Departure Warning (LDW), Road Departure Mitigation (RDM) dan Lane Keep Assist (LKAS). Bagi LDW, ia akan memberi amaran sekiranya kenderaan anda didapati semakin menghampiri garisan jalan.

    Sekiranya masih tiada input dari pemandu, RDM akan diaktifkan – stereng akan digegarkan sedikit. Sekiranya masih tiada tindak balas dari pemandu, sistem akan mengawal stereng untuk mengembalikan kenderaan ke tengah. Untuk memahami situasi ini, bayangkan pemandu sedang mengantuk atau mungkin tertidur ketika memandu.

    LKAS pula hadir sebagai ciri bantuan kepada pemandu. Apa yang dilakukan ialah mengekalkan kenderaan di tengah laluan di antara dua garisan putih – ia berkesan selagi kenderaan anda berada di dalam julat kelajuan antara 72 km/j hingga 180 km/j.

    Honda Accord 2.4 VTi-L Advance dengan ciri Honda Sensing diperkenalkan di Malaysia – berharga RM170k

    Bagi penghindaran perlanggaran berdepan pula, dua sistem ditampilkan iaitu Forward Collision Warning (FCW) dan Collision Mitigation Braking Sistem (CMBS). FCW akan memberi amaran kepada pemandu sekiranya ia mengesan kenderaan berada dalam jarak tidak selamat dengan kereta hadapan. Sementara CMBS pula akan membrek kenderaan anda sekiranya ia menjangkakan kemalangan akan berlaku. Walaupun sistem ini mampu untuk membrek sepenuhnya, ia sebetulnya direka untuk mengurangkan impak ketika kemalangan.

    Selain Honda Sensing, Accord 2.4 VTi-L (175 PS/225 Nm) masih dikekalkan dengan elemen yang sedia ada. Antaranya pedal penukar gear, lampu utama LED, lampu selekoh aktif, roda aloi 18-inci yang dibaluti tayar 235/45, sistem bunyi Premium dengan subwoofer, skrin paparan pelbagai-info (i-MID) berwarna bersaiz 7.7-inci baharu dan skrin sentuh tujuh-inci bagi audio dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Bagi aspek keselamatan yang lain, ia masih kekal dengan elemen sedia ada termasuk enam beg udara, ABS dengan EBD, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Honda LaneWatch, kamera belakang dengan pelbagai-sudut, Bantuan Mula Mendaki, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), dua pengesan sudut hadapan, empat pengesan sudut belakang dan cagak Isofix.

    Klik untuk besarkan

    Selain itu, ia turut menampilkan kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin, butang ECON, kawalan kelajuan, cermin pandang belakang dengan anti silau, pendingin hawa dua-zon, corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang, soket MP3/iPod/USB/HDMI, kawalan bebas tangan bagi telefon bimbit dan pengesan suara, dan enam-pembesar suara serta roda stereng tiga-jejari balutan kulit.

    Ketika ini, bagi model Accord, varian 2.0 VTi-L menjadi satu-satunya model 2.0 liter yang ditawarkan oleh Honda Malaysia; model paling asas 2.0 VTi tidak ditawarkan lagi. Jadi, Accord kini hanya ada dua varian – 2.0 VTi-L dengan harga kekal sama pada RM149,350 dan bagi varian tertinggi, 2.4 VTi-L Advance dengan Honda Sensing dijual pada harga RM169,800.

    Menurut Honda, Accord mengungguli jualan kenderaan segmen D, dengan versi generasi kesembilan sudah terjual sebanyak 5,500 unit sejak September 2016. Dari jumlah itu, varian 2.4L menyumbang sebanyak 25% manakala varian 2.0 VTi-L menjadi pilihan popular, menyumbang sebanyak 61%. Model asas yang digugurkan (2.0 VTi) hanya menyumbang sebanyak 14%.

    Sementara itu, bagi model CR-V, 34% pelanggan yang membeli model baharu berkenaan memilih varian tertinggi dengan ciri Honda Sensing, dan hampir 50% pemilik 1.5L Turbo membayar harga premium untuk pakej keselamatan berkenaan. Ini mungkin menjadi petunjuk positif bagi sambutan yang bakal diterima oleh Accord 2.4 VTi-L Advance.

     
     
  • Brosur Toyota Harrier dari UMW Toyota bocor – model facelift, 2.0 liter turbo, lengkap dengan waranti kilang

    Brosur Toyota Harrier dari UMW Toyota bocor – model facelift, 2.0 liter turbo, lengkap dengan waranti kilang

    SUV Toyota Harrier jelas mempunyai peminat yang ramai di Malaysia berdasarkan jumlahnya di atas jalan raya yang boleh dikatakan agak mudah untuk dijumpai. Namun, kesemua model generasi terbaharu hanya dibawa pengimport persendirian ke pasaran tempatan. Berita baik untuk mereka yang berminat untuk mendapatkan Harrier yang 100% baharu dan lengkap waranti pengeluar, SUV berkenaan bakal dijual sendiri oleh UMW Toyota Motors tidak lama lagi, berdasarkan brosur yang telah pun tersebar di internet.

    Selain dari Singapura, Malaysia adalah pasaran kedua luar Jepun yang menerima Harrier secara rasmi dari pengedar bertauliah Toyota. Manakala menerusi brosur yang terdedah, Malaysia nampaknya akan menerima model facelift (dengan gril bawah yang lebih lebar, sedikit perbezaan pada lampu belakang). Anda tidak akan jumpa model seumpamanya di sini kerana belum ada lagi pengimport persendirian yang membawanya ke pasaran tempatan, namun UMW bakal membuat prebiu SUV tersebut di Malaysia Autoshow pada 9 hingga 12 November yang berlangsung di MAEPS Serdang

    Diperkenalkan pada Jun tahun ini, Harrier facelift dijana enjin baharu 8AR-FTS 2.0 liter turbo empat silinder – enjin sama yang boleh ditemui di dalam perut SUV mewah Lexus NX – menghasilkan 231 PS bermula 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 1,650 hingga 4,000 rpm.

    Ia dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan automatik, dan menurut Toyota gabungan tersebut membolehkan Harrier mencapai penggunaan bahan api 13 km seliter untuk versi pacuan roda hadapan dan 12.8 km seliter untuk model AWD pada kitaran JC08 Jepun. SUV ini turut diberikan penyerap hentak ‘berprestasi tinggi’ pada sistem suspensi bagi mengurangkan olengan badan serta memperbaiki stabiliti ketika kelajuan tinggi.

    Ciri-ciri lain yang turut dipadankan pada Harrier facelift ini termasuk lampu LED dengan projektor berkembar, gril bahagian atas yang direka semula, lampu kabus LED baharu serta lampu nyalaan siang LED yang diletakkan pada posisi mendatar. Kereta ini turut diberikan rim dengan corak turbin baharu berdiameter 18-inci, serta bahagian bawah bampar belakang yang direka semula dan turut menempatkan tip ekzos krom pada bahagian tersebut.

    Pada bahagian kabin, Harrier facelift diberikan tempat duduk pemandu larasan berkuasa dengan fungsi memori (menggelangsar sendiri secara automatik bagi memudahkan pergerakan keluar dan masuk), upholsteri gabungan Ultrasuede dan kulit palsu serta kemasan carbon-weave metal.

    Model spesifikasi lebih tinggi pula diberikan upholsteri kulit Nappa bersama kemasan brushed aluminium dan juga sistem audio JBL GreenEdge dengan 11-pembesar suara. Harrier turut dipadankan dengan lampu puddle yang memancarkan logo tradisi ‘Helang’ SUV tersebut, bersama sistem pintu tailgate berkuasa dengan ketinggian yang boleh diubah.

    Pada pasaran Singapuran, Harrier ditawarkan dengan tiga varian iaitu Elegence M, Premium G dan Turbo Luxury G, berbanding pasaran Jepun yang ditawarkan dengan varian Elegance, Premium dan Progress. Kesemua varian menerima sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa dua-zon bersama liang udara belakang, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan sokongan lumbar sisi boleh ubah, penderia parkir hadapan dan belakang serta kamera undur.

    Model Premium G pula ditambah dengan bumbung panaromik, pengelap cermin automatik, cermin pandang belakang anti-silau automatik, pembersih udara Nanoe serta pintu tailgate belakang berkuasa seperti yang dinyatakan tadi. Manakala untuk model tertinggi Turbo Luxury G pula, ia diberikan upholsteri kulit Nappa, tempat duduk berliang larasan berkuasa dengan fungsi memori.

    Brosur Toyota Harrier dari UMW Toyota bocor – model facelift, 2.0 liter turbo, lengkap dengan waranti kilang

    Untuk keselamatan pula, kesemua varian menerima tujuh-beg udara, Sistem Kawalan Stabiliti (VSC) dan juga pakej keselamatan baharu Toyota Safety Sense P dalam sistem bantuan pemanduan yang turut memberikan fungsi lampu tinggi automatik, Sistem Pra-Pelanggaran serta cruise control adaptif.

    Buat masa ini, spesifikasi Harrier pasaran Malaysia masih lagi belum jelas – jika UMW menawarkan spesifikasi yang menghampiri apa yang diterima oleh pengguna di seberang tambak, ia pastinya menggembirakan pelanggan Toyota tempatan. Apa yang pasti dan ditunggu-tunggu oleh peminat Harrier di sini tentunya waranti lima-tahun tanpa had perbatuan dan juga sistem audio serta fungsi lain yang boleh berfungsi sepenuhnya untuk kegunaan di Malaysia.

     
     
  • Honda CB1000R 2018 – gaya ringkas, teknologi moden

    Honda CB1000R 2018 – gaya ringkas, teknologi moden

    Sebelum ini, Honda ada mengeluarkan siri teaser untuk projek sebuah motosikal yang digelar sebagai Neo Sports Cafe. Kini semasa pameran EICMA 2017, motosikal tersebut telah dipertontonkan, dan ia rupanya adalah CB1000R, yang menggunakan konsep rekaan minimalis baru. Model yang dipamerkan ini juga adalah model produksi yang akan mula masuk pasaran pada tahun hadapan.

    Menurut Honda, CB1000R 2018 ini adalah jawapan kepada mereka yang mencari antara motosikal prestasi tinggi dan karekter tersendiri. Ia mampu memberikan hubungan yang beremosi dan kuat antara manusia dan motosikal, dan bagi pemilik, mereka akan rasa lebih berbangga memilikinya.

    Enjin yang digunakan pada model ini adalah sama dengan CBR1000RR, iaitu unit empat silinder 998 cc DOHC, namun kini dinaik taraf dengan piston diperkuat, angkatan injap lebih tinggi, injap lebih besar, lubang pemasukan angin lebih besar dan kebuk pembakaran bentuk baru yang dapat meningkatkan pergerakan udara serta tork di tahap pertengahan rpm.

    Nisbah gear juga dikurangkan sebanyak 4% untuk pecutan lebih baik, dan ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan yang mempunyai klac assist/slipper yang lebih ringan. Sistem ekzos 4-2-1 baru turut dipadankan pada motosikal ini, dan ia adalah 4.5 kg lebih ringan dan dapat memberikan lebih tork semasa rpm tinggi.

    Kelengkapan lain yang ada pada CB1000R 2018 adalah empat mod tunggangan (Standard, Sport, Rain, User), kesemua lampu LED, pemegang yang 0.5 inci lebih lebar dan lebih tinggi, tayar lebih lebar (190/55 ZR17), fork hadapan Showa Separate Function Big Piston (SFF-BP), kerangka besi Mono-backbone dan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC).

     
     
  • Honda Africa Twin Adventure Sports – lebih mantap

    Honda Africa Twin Adventure Sports – lebih mantap

    Bersedia untuk pasaran tahun 2018, Honda telah memperbaharui model Africa Twin CRF1000L mereka pada beberapa bahagian dan barisan model tersebut ditambah dengan sebuah model yang mempunyai gerak suspensi lebih panjang, lebih tinggi dari tanah, lebih selesa dan tangki minyak lebih besar, dipanggil Africa Twin Adventure Sports CRF1000L2.

    Sebelum pergi kepada model khas ini, kita lihat terlebih dahulu apa yang pembaharuan yang dilakukan oleh Honda untuk Africa Twin secara umumnya. Enjin dua silinder selari 998 cc SOHC pada model ini dinaik taraf dengan kotak udara dan bahagian dalam ekzos baru, balancer shaft lebih ringan, pam air di dalam perumah klac, termostat dalam head, bateri lithium ion, sistem throttle-by-wire, empat mod tunggangan dan sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan tujuh tahap (sebelum ini cuma tiga).

    Tiada jumlah peningkatan kuasa yang dinyatakan, namun model ini masih lagi boleh didapati dengan transmisi automatik Dual Clutch Transmission (DCT). Pada model sebelum ini, ia boleh menghasilkan sebanyak 93.8 hp pada 7,500 rpm dan 98 Nm tork pada 6,000 rpm. Untuk transmisi DCT tersebut, ia datang dengan tiga pilihan mod penyampaian kuasa dan butang G yang boleh meningkatkan cengkaman atas jalan kasar.

    Pergi kepada model baru Africa Twin Adventure Sports CRF1000L2, ia sebenarnya pernah ditunjukkan sebagai sebuah model konsep sebelum ini. Datang standard padanya adalah penghadang angin 80 mm lebih tinggi di hadapan, pemanas tangan, soket pengecas 12 V, pelindung bawah enjin lebih besar, besi yang boleh digunakan untuk meletakkan lampu tambahan di depan, panel tepi aluminium, pelindung panel tepi, tangki lebih besar (24 liter), serta pemegang dan tempat duduk yang lebih tinggi.

    Untuk prestasi tunggangan, model baru ini dinaik taraf dengan suspensi Showa yang lebih panjang, sekaligus menjadikan jaraknya dari tanah juga lebih tinggi, iaitu 10.6 inci. Suspensi ini boleh dilaras untuk pra beban, lantunan serta mampatan. Rim yang digunakan pula masih sama dengan model biasa iaitu 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang.

    Harga model ini masih belum diumumkan kerana hanya akan masuk pasaran pada tahun hadapan bermula dengan Eropah, dan ia ditawarkan dalam grafik menarik seperti Tricolor yang menggabungkan warna putih, biru dan merah. Rim pula adalah unit aluminium berwarna emas.

     
     
  • Honda tumpu pengeluaran hibrid di rantau Asia Pasifik

    Honda tumpu pengeluaran hibrid di rantau Asia Pasifik

    Honda mahu memberikan tumpuan yang penuh bagi pengeluaran model hibrid iaitu sebahagian daripada pelan 2030 Vision yang telah dirangka Jun lalu. Pengeluar automotif ini menyasarkan untuk mempunyai kenderaan dengan teknologi bahan api alternatif iaitu bagi dua pertiga daripada jualannya di peringkat global menjelang tahun 2030, dengan hibrid dan plug-in hybrid menjadi separuh daripada komposisi tersebut.

    Presiden dan CEO Honda Takahiro Hachigo berkata, daripada 65% kenderaan hijau yang diunjurkan jualannya, hibrid dan PHEV dijangka menyumbang 50% daripada jualan tersebut, dan selebihnya ialah kenderaan hidrogen (FCV) yang dijana oleh sel bahan api dan sifar-emisi/EV. Di rantau Asia Pasifik, hibrid adalah menjadi keutamaan sasaran.

    Bercakap kepada pemberita di Tokyo pada hujung bulan lalu, Hachigo berkata, teknologi tersebut telah pun diwujudkan, dan akan terus mempromosikan hibrid di rantau ini. Di mana buat masa ini, hibrid telah menyumbang sebanyak 30% daripada jualan domestik pengeluar kenderaan di Jepun, dan ia telah menokok jualan sekitar 2.1 juta bagi kenderaan hibrid sejak teknologi ini diperkenalkan secara komersil.

    Beliau menjelaskan bahawa walaupun strategi besar untuk pengeluaran elektrik akan mengambil pendekatan yang berbeza (bateri EV, hibrid dan FCV), adalah sukar untuk mengolah sesuatu seperti Honda Clarity, yang mana sudah tersedia dalam ketiga-tiga bentuk – di rantau ini, kecuali diberi subsidi atau sokongan oleh kerajaan.

    Honda tumpu pengeluaran hibrid di rantau Asia Pasifik

    Walau bagaimanapun, beliau berkata, keadaan mungkin berubah mengikut perkembangan semasa. “Pada dasarnya, kami ingin memberi tumpuan bagi hibrid, tetapi akan akan tetap melihat trend yang sedang berkembang di rantau masing-masing dan akan bertindak sewajarnya,” katanya lagi.

    Hachigo berkata langkah ke hadapan bagi bahan api alternatif adalah sangat diperlukan, dan bukan hanya sekadar mengikut trend pengeluar kenderaan. “Elektrifikasi bukanlah tujuan tersendiri. Sebaliknya, objektifnya adalah untuk memulihara sumber, melindungi alam sekitar dan mengurangkan pelepasan CO2.”

    Beliau berkata misi ke arah elektrifikasi mempunyai beberapa cabaran. “Di pihak kami, hanya ada tiga. Yang pertama ialah teknologi, bagaimana hendak mewujudkannya. Yang kedua pula dari perspektif perniagaan, seperti bagaimana untuk mengurangkan kos (bagi produksi) dan ketiga, bagaimana hendak membangunkan infrastrukturnya,” jelasnya.

    Honda tumpu pengeluaran hibrid di rantau Asia Pasifik

    Tambahnya lagi, ”Mengenai pembangunan teknologi dan isu kos, ini adalah sesuatu yang memerlukan usaha kita sendiri, tetapi apabila ia turut melibatkan pembangunan infrastruktur, kita perlu bekerjasama dengan kerajaan dan rantau yang terlibat.”

    Syarikat ini juga melihat akan pemuliharaan penggunaan tenaga dan pengurangan pelepasan sebahagian daripada sumber hijau. Hachigo berkata pengeluar kenderaan bukan hanya menangani produk yang dijual tetapi juga proses pengeluaran dan logistik untuk komponen yang digunakan bagi memastikan ia mempunyai dasar alam sekitar yang komprehensif.

    “Walau pun ia adalah misi terbesar bagi produk kami, namun demikian kami tetap akan memberikan pertimbangan kepada aliran pengeluaran dan proses kami, dan kami telah menetapkan sasaran untuk kilang-kilang global, di mana kami telah bekerja keras untuk mengusahakannya,” katanya.

    “Untuk fasiliti pengeluaran kami di seluruh dunia, kami sedang berusaha untuk memanfaatkan lagi karakteristik bagi setiap lokasi yang berbeza dan kemungkinan, kami akan cuba untuk menjanakan kuasa menggunakan tenaga yang diperbaharui. Tenaga solar dan kuasa angin juga telah digunakan di beberapa kawasan,” tambah Hachigo.

     
     
  • VIDEO: Toyota Corolla AE86 dengan kuasa elektrik sepenuhnya, ubahsuai spesifikasi perlumbaan drift

    Toyota AE86 – sebuah jentera yang sinonim dengan enjin-enjin petrol dengan putaran rpm tinggi, sama ada menggunakan enjin asal 1.6 liter NA 16V 4A-GE, versi 20V sama ada ‘black top’ atau ‘silver top’, atau enjin-enjin lain seperti enjin 2.0 liter 3S-GE dari Toyota Altezza, atau 2.0 liter F20C DOHC i-VTEC dari Honda S2000.

    Namun, kereta yang muncul dalam episod terbaharu pada saluran Youtube Hoonigan ini agak ganjil dan berbeza dari ubahsuai-ubahsuai tipikal sebelum ini – Toyota Corolla AE86 tersebut diubahsuai untuk aktiviti drift dengan dijana motor elektrik sepenunhnya!

    Corolla AE86 milik Omead Moinee ini memulakan hayatnya sebagai sebuah AE86 spesifikasi SR5, iaitu varian asas pasaran Amerika Syarikat yang dibekalkan dengan enjin 4A-C – enjin 1.6 liter dengan blok yang sama seperti enjin 4A-G, tetapi mempunyai kepala enjin dengan aci sesondol tunggal (DOHC untuk 4A-G) serta hanya disuap sistem karburator.

    Moinee juga pernah mengubahsuai keretanya tersebut kepada spesifikasi GTS iaitu dengan enjin 4A-GE sebenar dan digunakan dalam disiplin drift. Namun akibat terpengaruh jentera-jentera untuk perlumbaan rali Pikes Peak yang kini banyak telah menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya (kategori elektrik telah diperkenalkan pada perlumbaan berkenaan), Moinee mula merombak keretanya bagi dijana kuasa bateri.

    Menurut Moinee, motor elektrik yang digunakan adalah motor DC berdiameter 9-inci yang diambil dari jentera Drag elektrik. Motor berkenaan disuap dengan bateri lithium-ion yang diambil dari industri penerbangan, dan diletakkan pada bahagian belakang kereta ini.

    Tidak seperti kereta-kereta elektrik lain yang menggunakan transmisi automatik, atau tidak mempunyai transmisi langsung kerana tork maksima yang dibekalkan bermula dari 0 rpm, AE86 elektrik ini menggunakan kotak gear manual Toyota T-50, iaitu kotak gear asal untuk enjin 4A berkenaan.

    Moinee turut memberitahu, kereta ini sudah pun diuji diatas mesin dynometer dan ia memberikan bacaan kuasa 250 hp dan tork maksima 334 Nm. Bayangkan bagaimana tork melebihi angka 300 Nm tersebut menyeksa klac dan juga tayar bermula 0 rpm pada gear 1! Namun, menurut pemiliknya lagi, motor eletrik tersebut hanya dapat berputar pada kelajuan maksima 5,000 rpm.

    Pada akhir video ini, Moinee turut mendemonstrasikan bagaimana sebuah jentera drift yang selalunya hadir dengan paip ekzos yang kuat, tetapi jenteranya mempersembahkan aksi yang cukup senyap dengan hanya bunyi geseran tayar kedengaran.

     
     
  • Toyota umumkan kemaskini siasatan terhadap skandal Kobe Steel – masih tiada masalah, ujian diteruskan

    Toyota umumkan kemaskini siasatan terhadap skandal Kobe Steel – masih tiada masalah, ujian diteruskan

    Toyota telah mengeluarkan kenyataan berhubung skandal Kobe Steel, yang menyifatkan syarikat pembekal komponen logam itu memalsukan data bagi kualiti aluminium dan tembaga yang disediakan untuk pengeluar kenderaan.

    Oktober lalu, Toyota mengumumkan hasil siasatan yang dijalankan terhadap plat aluminium yang dibekalkan oleh Kobe Steel dengan menyatakan bahawa semua material berkenaan menepati standard wajib yang ditetapkan. Kenyataan terbaru ini pula melanjutkan perhatian terhadap hasil siasatan melibatkan material tambahan, yang sebelum ini masih lagi dalam siasatan.

    Menurut Toyota sendiri; “Di dalam siasatan ini, merujuk kepada material yang disenaraikan di dalam jadual yang ditandakan (material yang dibeli dari Kobe Steel di Jepun, melainkan produk yang diperbuat daripada tembaga seperti yang dirujuk dalam kenyataan oleh Kobe Steel Oktober lalu), kami mengesahkan bahawa kualiti dan prestasi kenderaan yang kami keluarkan menepati standard dalaman kami sendiri.”

    Toyota umumkan kemaskini siasatan terhadap skandal Kobe Steel – masih tiada masalah, ujian diteruskan

    Ini berdasarkan data yang diteliti seperti yang disediakan oleh Kobe Steel, dan menilai impak yang berpotensi terhadap material yang dibekalkan itu. Data yang mengandungi penyimpangan paling besar dari spesifikasi Toyota atau pembekalnya digunakan bagi ujian penilaian yang sedang dijalankan.

    Toyota juga mengesahkan kenyataan lanjutan oleh Kobe Steel pada 20 dan 26 Oktober, termasuk data yang dipalsukan terhadap beberapa material lain, tidak mempunyai kesan ke atas kenderaan kerana ia tidak digunakan. Syarikat itu menambah, material-material lain memerlukan lebih masa untuk disiasat kerana melibatkan jumlah pembekal yang besar, dan menyesali setiap kesulitan yang timbul terhadap pelanggan.

     
     
  • BMW panggil semula 1.4j kenderaannya di Amerika ekoran risiko kebakaran – X3, X5 antara terbabit

    BMW panggil semula 1.4j kenderaannya di Amerika ekoran risiko kebakaran – X3, X5 antara terbabit

    BMW memanggil semula 1.4 juta kenderaan di seluruh Amerika Syarikat ekoran terdapat dua kes risiko kebakaran. Menurut Pengurusan Keselamatan Pengangkutan Lebuhraya Nasional (NHTSA) di sana, kenderaan yang terbabit adalah buatan antara 2006 dan 2011.

    Panggilan pertama melibatkan sebanyak 740,561 kenderaan termasuk 1 Series (2008-2011), 3, 5 Series, X3, X5 dan Z4 buatan tahun 2007-2011 disebabkan masalah injap pengaliran kotal engkol positif (PCV) yang dikatakan boleh mencetuskan haba panas, sekiranya terjadi litar pintas. Malahan ia boleh menyebabkan injap PCV di bahagian terbabit cair, sekaligus mendatangkan risiko kebakaran jika kenderaan tersebut tidak digunakan. Semua pemilik akan dimaklumkan dan pengedar akan menggantikan pemanas injap PCV terbabit secara percuma.

    Syarikat ini juga memanggil semula sebanyak 672,775 unit bagi 3 Series (2006-2011) termasuk M3 ekoran pendawaian dan penyambung elektrikal bagi sistem yang mengawal aliran udara bagi sistem kawalan suhu didapati bermasalah. Penyambung tersebut boleh menjadi panas dan cair, sekaligus mendatangkan risiko kebakaran sekiranya kenderaan tidak digunakan.

    Malah BMW juga akan memaklumkan kepada semua pemilik kenderaan yang terlibat, dan komponen yang bermasalah itu akan digantikan secara percuma. Setakat ini, terdapat tiga laporan kecederaan bagi kes kedua.

     
     
  • Audi R8 V10 Spyder dipertonton – akan masuk M’sia?

    Audi R8 V10 Spyder dipertonton – akan masuk M’sia?

    Dalam satu acara golf yang berlangsung di Kelab Golf dan Resort Mines hujung minggu lalu, sebuah R8 V10 Spyder telah membuat kemunculan yang tidak dijangka. Unit ini adalah varian V10 biasa (bukannya V10 Plus) dan dibawa ke Malaysia melalui Audi Sport Singapore.

    Model Audi yang memberi cabaran kepada Mercedes-AMG GT ini masih belum dijual secara rasmi di Malaysia, tetapi pernah dijadikan teaser dua tahun yang lalu. Untuk pengetahuan, R8 ini hanya boleh didapati dengan enjin V10 NA (tiada versi dengan enjin lebih kecil dan pendesak kuasa seperti turbo atau supercharge), dan di dalam dua talaan kuasa iaitu 540 hp/ 540 Nm untuk R8 V10 standard dan 610 hp/ 560 Nm untuk R8 V10 Plus.

    Kedua-dua varian ini dipadankan bersama transmisi klac berkembar S Tronic tujuh kelajuan yang sama, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat untuk varian V10 standard (3.6 saat untuk Spyder) dan 3.2 saat untuk V10 Plus (3.3 saat untuk Spyder). Turut datang secara standard adalah sistem cengkaman semua roda quattro, dengan 85% kuasa disampaikan pada kebanyakan masa ke tayar belakang. Nisbah ini walaubagaimanapun bergantung kepada cengkaman.

    Audi R8 generasi pertama 5.2 TFSI quattro dijual di Malaysia pada harga RM1,245,900, dan jika model baru ini masuk nanti, anda rasa berapakah harganya? Adakah peminat model ini di negara kita?

     
     
  • Ducati Scrambler 1100 – enjin 86 hp daripada Monster EVO, hampir keseluruhan bahagian motosikal diubah

    Ducati Scrambler 1100 – enjin 86 hp daripada Monster EVO, hampir keseluruhan bahagian motosikal diubah

    Selepas didatangkan dalam dua variasi enjin iaitu 399 cc dan 803 cc, Ducati menambah satu lagi pilihan enjin bagi model Scrambler dengan pengenalan Scrambler 1100 yang menggunakan enjin 1,079 cc. Model baru ini diperkenalkan semasa pameran EICMA 2017, dan ia datang dalam pilihan tiga varian iaitu Scrambler 1100, Scrambler 1100 Special dan Scrambler 1100 Sport.

    Ducati bukan sekadar menukar enjin Scrambler ini, tetapi hampir keseluruhan bahagiannya adalah baru. Melihat kepada dimensinya, dibandingkan dengan Scrambler 800, Scrambler 1100 ini mempunyai jarak roda 69 mm lebih panjang (1,514 mm), tinggi tempat duduk 20 mm lebih tinggi (810 mm), 50 mm lebih lebar (895 mm) dan 20 kg lebih berat (206 kg). Tangki minyak juga 1.5 liter lebih besar (15 liter).

    Enjin 1,079 cc yang digunakan pada Scrambler ini sebenarnya diambil daripada model Monster EVO 1100, iaitu unit L-twin Desmodromic penyejukan udara, namun kuasanya dilaras menjadi 86 hp pada 7,500 rpm dan 88 Nm tork pada 4,750 rpm. Transmisi pula adalah unit enam kelajuan dengan klac hidraulik basah.

    Bahagian casis motosikal ini turut diubah, di mana kerangka Trellis padanya kini mempunyai jarak kecondongan fork yang berbeza dan lengan ayun aluminium, manakala untuk ergonomik, jarak antara peletak kaki, pemegang dan tempat duduk lebih lebar.

    Bagi Scrambler 1100 asas dan Scrambler 1100 Special, suspensi yang digunakan adalah Marzocchi 45 mm USD boleh laras sepenuhnya di hadapan, dan monoshock Kayaba di belakang, tetapi bagi Scrambler 1100 Sport, ia lebih berprestasi dengan unit Ohlins 48 mm USD di hadapan dan Ohlins boleh laras di belakang. Brek pula adalah sama bagi semua varian iaitu unit berkembar cakera 320 mm dan angkup Brembo Monobloc M4.32 di hadapan, dan cakera 245 mm serta angkup satu piston di belakang.

    Perkara lain yang membezakan varian Scrambler 1100 ini boleh dilihat pada rim, penghadang lumpur depan dan belakang, ekzos, kemasan tangki, lengan ayun, fabrik yang digunakan untuk membalut tempat duduk serta pemegang yang lebih rendah bagi Scrambler 1100 Sport.

    GALERI: Ducati Scrambler 1100


    GALERI: Ducati Scrambler 1100 Special

    GALERI: Ducati Scrambler 1100 Sport

     
     
  • Retromotif: Subaru Impreza STI Electra One Concept – dijelmakan hampir keseluruhan untuk versi produksi

    Retromotif: Subaru Impreza STI Electra One Concept – dijelmakan hampir keseluruhan untuk versi produksi

    Agresif, liar, melebih-lebih, tidak masuk akal – ini semua antara ciri-ciri yang biasa ditampilkan untuk sebuah kereta konsep, dan akhirnya rekaan tersebut akan dirasionalkan apabila versi produksi sebenarnya diperkenalkan. Namun, ada tak kereta konsep yang dijelmakan ke bentuk produksi dengan rupa yang hampir sama dari asal? Ya, memang ada – antaranya Subaru Impreza STI Electra One Concept yang diperkenalkan 18 tahun lalu ini.

    Muncul buat pertama kali pada Tokyo Motor Show (TMS) 1999 dan kemudian dipamerkan kembali pada Tokyo Auto Salon (TAS) 2000, Electra One Concept dibina berasaskan model Impreza GC8 WRX STI Version VI dan merupakan model konsep yang menayangkan barisan aksesori-aksesori asli dari STI.

    Yang paling menonjol tentulah penampilan luarannya yang begitu agresif dan tidak masuk akal untuk produksi. Ia dipadankan dengan bampar hadapan yang lebih besar dari standard, gril yang lebih dalam, skup udara bonet hadapan lebih besar, diberikan skup kemasukan udara bumbung, cermin sisi ala-Impreza WRC serta skirt sisi jauh lebih labuh.

    Cukup ekstrem? Anda akan lebih terkejut melihat bahagian belakang. Bampar belakang yang lebih besar diberikan pada kereta ini turut diberikan liang-liang udara yang begitu agresif (rekaan seperti diffuser masih lagi belum menjadi trend ketika era ini), dan ia juga menempatkan muffler besar dengan tip berbentuk empat segi. Begitu juga dengan spoiler – ia bukan sahaja bersaiz gergasi, malah turut mempunyai dua tingkat sayap yang begitu menonjol.

    Akhir sekali, badan kereta ini diberikan warna Artic Silver Metallic dan dipadankan dengan rim-rim forged lima-jejari berwarna emas dengan diameter 17-inci binaan khas oleh Rays Engineering dan STI sendiri. Model konsep ini juga diberikan pelbagai peralatan suspensi berpretasi tinggi dari STI, namun ia masih mengekalkan enjin asal EJ20 dari WRX STI Version VI yang menghasilkan 280 PS/353 Nm.

    Apa yang mengejutkan, tidak sampai tiga bulan setelah kemunculannya di TAS 2000, Subaru melancarkan kereta konsep ini sebagai model produksi edisi terhad (hanya dibina 300 unit) digelar sebagai Subaru Impreza WRX STI S201. Ia tampil dengan bentuk yang hampir keseluruhannya dari Electra One kecuali pada lampu hadapan (menggunakan lampu standard GC8 berbanding dengan lampu bulat berkembar pada model konsep), rim forged 17-inci Rays-STI enam-jejari dan juga spoiler belakang yang sedikit berbeza.

    Model produksi sebenar Subaru Impreza WRX STI S201

    Bercakap mengenai spoiler belakang, model produksi S201 ini menggunakan spoiler STI ‘double wing’ yang telah pun dipadankan pada model Impreza WRX STI Version VI Limited – diperkenalkan tidak lama sebelum model edisi terhad ini. Walaupun kelihatan agak janggal, spoiler ini berkenaan sebenarnya benar-benar berfungsi dan dihasilkan oleh Fuji Heavy Industri (FHI) Aerospace Division iaitu syarikat yang bernaung di bawah FHI sama dengan Subaru dan membina pelbagai komponen sayap untuk pesawat-pesawat keluaran Boeing.

    Lebih mengujakan, enjin EJ20 2.0 liter boxer turbo pada S201 ini turut mendapat sentuhan semula dari STI. Liang pada injap ekzos telah dibesarkan, boost turbo ditingkatkan, unit intercooler ditukar kepada unit yang lebih besar serta pengurusan enjin diatur semula dengan ECU sports dari STI – hasilnya enjin tersebut mampu mengekstrak 304.3 PS tetapi tork masih kekal pada 353 Nm.

    S201 menjadi perintis kepada model-model edisi-terhad-lebih-berkuasa siri WRX STI S20x selepas itu iaitu S202, S203, S204, S206, S207 dan terakhir S208 yang baharu sahaja diperkenalkan pada Tokyo Motor Show 2017 bulan lalu. Bukan itu sahaja, S201 juga menjadi penutup kepada casis GC8 yang telah digunakan Subaru bermula Impreza WRX versi pertama bermula tahun 1992, apabila model Impreza ‘New Age’ a.k.a ‘Bug Eyed Impreza’ (dengan kod casis GDA/GDB) diperkenalkan pada Ogos 2000.

    Walaupun casis GC8 ditamatkan produksinya, namun enjin EJ20 – enjin yang pernah membawa mendiang Colin McRae, mendiang Richard Burns dan Petter Solberg bergelar juara WRC – masih lagi terus digunakan. Malah untuk model S208 terkini, enjin EJ20 tersebut masih digunakan berbanding varian standard WRX yang telah pun menggunakan enjin generasi baharu FA20.

    GALERI: Subaru WRX STI S208 di Tokyo Motor Show 2017

     
     
  • Nissan GT-R Pure 2018 masuk pasaran USA – 565 hp

    Nissan GT-R Pure 2018 masuk pasaran USA – 565 hp

    Nissan USA telah mengumumkan harga dan perincian bagi GT-R 2018, termasuk varian GT-R Pure. Dijual pada harga bermula USD99,990 (RM424,189), GT-R Pure dijanakan oleh enjin 3.8 liter pengecas turbo-berkembar V6 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 565 hp. Bagi enjin ini, setiap silinder turut menampilkan lapisan unik plasma pada bahagian dindingnya, dengan sistem pengambilan persendirian bagi setiap bank silindernya. Pengecas turbo berkembar yang penuh berkuasa ini juga mengambil kelebihan daripada rekabentuk Premium Midship (PM) untuk keseimbangan yang lebih optimum.

    Enjin ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac enam-kelajuan dengan tiga mod-pemanduan. Apabila pemanduan menggunakan R-Mode, transmisinya bertukar dengan lebih pantas iaitu dalam tempoh 0.15 saat. Selain itu, ia turut ditampilkan dengan ATTESA E-TS® All-Wheel Drive (AWD) yang menghantar tork ke roda belakang, dan roda hadapan dalam pembahagian 50% setiapnya. Malah turut memberikan respon yang lebih optimum bagi stereng, sekaligus meningkatkan keyakinan dalam pemanduan AWD.

    Bukan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan sistem suspensi Bilstein® DampTronic® yang mengawal peredam penyerap hentak boleh laras. Ia turut ditampilkan dengan tiga mod pemilihan pemanduan dan membantu mengawal kelajuan kenderaan, pendikitan, tork, engine rpm dan brek serta pengendalian yang lebih optimum.

    Nissan GT-R Pure 2018 masuk pasaran USA – 565 hp

    Selain itu, lain-lain elemen yang membantu pengendalian, termasuk Advanced Vehicle Dynamic Control (VDC) dan sistem brek Nissan/Brembo® turut ditampilkan.

    Untuk bahagian luarannya, ia dilengkapi dengan lampu utama multi-LED, lampu belakang LED, roda aloi Super-lightweight 20-inci, ekzos titanium.

    Nissan GT-R Pure ini turut ditawarkan dengan Pakej Dalaman Premium baharu ‘Kuro Night’. Selain sistem paparan Driver-configurable Multi-Function yang bekerjasama dengan Polyphony Digital®, pereka pemainan perlumbaan Gran Turismo®, untuk sistem intuitif seperti prestasi pemanduan, pendikiran, data g-force dan sebagainya serta sistem Navigasi Nissan dengan skrin bersaiz lapan-inci, NissanConnect® Services dikuasakan oleh SiriusXM® bagi sambungan telefon pintar, sambungan Apple CarPlay, Paparan RearView, butang penghidup enjin pintar, sistem audio Bose dengan 11-pembesar suara dan tempat duduk balutan kulit.

     
     
  • Ducati Panigale V4 didedahkan – enjin empat silinder, kelengkapan baru, tiga variasi termasuk model terhad

    Ducati Panigale V4 didedahkan – enjin empat silinder, kelengkapan baru, tiga variasi termasuk model terhad

    Superbike Ducati sememangnya sudah sinonim dengan enjin V-twin dari dulu. Namun, pengeluar dari Itali tersebut telah mengambil keputusan untuk menukar format enjin ini dengan terbaru, memperkenalkan superbike yang menggunakan enjin V4 seperti motosikal dalam perlumbaan MotoGP.

    Didedahkan buat pertama kali di pameran EICMA 2017, superbike baru ini ditawarkan dalam tiga variasi iaitu Panigale V4, Panigale V4 S (tambahan suspensi Ohlins, rim aluminium dan bateri lithium ion) dan Panigale V4 Speciale (terhad 1,500 unit dengan tambahan ekzos titanium, grafik khas dan barangan gentian karbon). Harga jualan masing-masing adalah £19,250 (RM106,747), £23,895 (RM132,504) dan £34,995 (RM194,057).

    Walaupun luaran superbike baru Ducati ini nampak sama sahaja seperti model sports mereka sebelum ini, tumpuan patut diberi kepada bahagian enjin kerana ia adalah model keluaran awam pertama yang menggunakan enjin Desmosedici V4, dengan kapasiti 1,103 cc. Walaupun datang dari dunia perlumbaan, enjin ini masih dapat dihasilkan dengan selang servis 12,000 km (7,500 batu) dan pemeriksaan injap 24,000 km (15,000 batu). Kuasa pula adalah 214 hp pada 124 Nm tork untuk V4 dan V4 S, manakala bagi V4 Speciale, ia meningkat menjadi 226 hp.

    Satu lagi keunikan enjin yang mampu menghasilkan 214 hp ini adalah putaran crankshaft terbalik. Biasanya bagi motosikal jalanan, crankshaft akan berputar sama arah seperti tayar, tetapi pada enjin baru Ducati ini, ia melawan arah bagi memberikan kelebihan pada kesan giroskopik, inertia, meningkatkan kawalan dan kelincahan.

    Dengan tambahan silinder, berat enjin ini juga bertambah. Oleh itu, Ducati telah membangunkan kerangka baru untuk Panigale V4 ini, yang digelar ‘Front Frame’. Jika dibandingkan dengan kerangka monocoque, kerangka baru ini dapat mengasingkan ketegaran kilasan (torsional rigidity) dan ketegaran lateral (lateral rigidity), seterusnya dapat menyerap hentakan lebih baik. Secara keseluruhannya Panigale V4 mencatat berat 195 kg.

    Bukan setakat menggunakan enjin baru, Panigale V4 ini juga datang dengan pelbagai kelengkapan elektronik, bermula dengan pilihan tiga mod menunggang iaitu Race, Sport dan Street. Ciri lain adalah termasuk ABS Cornering Bosch EVO (untuk tayar depan sahaja), Ducati Traction Control EVO (DTC EVO), Ducati Slide Control (DSC), Ducati Wheelie Control EVO (DWC EVO), Ducati Power Launch (DPL), Ducati Quick Shift up/down EVO (DQS EVO), Engine Brake Control EVO (EBC EVO) dan Ducati Electronic Suspension EVO (DES EVO).

    Ducati Panigale V4 didedahkan – enjin empat silinder, kelengkapan baru, tiga variasi termasuk model terhad

    Semua pelarasan ciri ini boleh dilihat pada meter TFT lima inci berwarna penuh baru, yang juga dapat memaparkan pelbagai informasi lain berkenaan motosikal. Terdapat dua pilihan paparan pada meter ini, iaitu ‘Track’ yang memberikan fokus kepada penunjuk catatan masa manakala ‘Road’ lebih kepada informasi biasa bersama sambungan Ducati Multimedia System.

    Secara standard, Panigale V4 datang dengan suspensi hadapan Showa Big Piston Fork (BPF) 43 mm boleh laras, monoshock Sachs boleh laras di belakang dan steering damper Sachs, tetapi bagi versi S dan Speciale, ia datang dengan fork Öhlins NIX-30, monoshock Öhlins TTX36, steering damper Öhlins dan pelarasan separuh automatik. Brek hadapan pula menggunakan angkup Brembo Stylema Monobloc baru, yang merupakan evolusi kepada angkup prestasi Brembo M50.



     
     
  • Hukuman penjara bagi pemandu cuai yang akibatkan kematian wajar dipertimbangkan kini – Lee Lam Thye

    Hukuman penjara bagi pemandu cuai yang akibatkan kematian wajar dipertimbangkan kini – Lee Lam Thye

    Kerajaan perlu mempertimbang untuk memperkenalkan hukuman penjara mandatori bagi pemandu-pemandu cuai yang mengakibatkan kematian, sama ada terhadap penumpang mereka mahupun pengguna jalan raya yang lain.

    Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye di dalam satu kenyataannya semalam berkata cadangan untuk hukuman itu bertepatan untuk dilaksanakan kini kerana kejadian demikian yang melibatkan pemandu-pemandu bas serta kenderaan berat semakin kerap berlaku, lapor Bernama.

    “Di dalam kejadian terbaru, seorang pemandu bas ekspres bersama 26 penumpangnya cedera selepas bas yang mereka naiki terbalik di KM434.9 Lebuhraya PLUS arah Utara berdekatan Rawang. Laporan awal kemalangan yang berlaku pada 4.50 pagi itu menunjukkan, bas berkenaan yang sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur terlanggar pembahagi jalan dan hilang kawalan sebelu terbalik dan memasuki laluan bertentangan,” jelas beliau.

    Pada 24 Oktober, lapan pekerja kilang meninggal sementara 44 orang lagi cedera di dalam sebuah kemalangan melibatkan bas kilang dengan sebuah van di KM147 lebuhraya sama, berdekatan plaza tol Juru. 24 Disember tahun lalu pula, sebuah bas ekspres menuju Utara terhumban ke dalam gaung sedalam enam meter di KM137 lebuhraya sama, mengakibatkan kehilangan 14 nyawa.

    Lee juga menekankan, kemalangan terburuk melibatkan bas ekspres ialah pada 2013 yang mengakibatkan 37 kematian dan 16 orang lagi cedera dalam kemalangan berdekatan Tokong Chin Swee, Genting Highland, Pahang.

    “Saya percaya kita memerlukan langkah radikal untuk mengatasi masalah ini, dengan menanamkan rasa takut dan tanggungjawab dalam diri pemandu-pemandu – mereka akan masuk penjara sekiranya didapati bersalah memandu dengan cuai.

    “Kita perlu mempunyai undang-undang yang berkesan untuk memastikannya dapat mengekang kejadian seumpama itu daripada berulang, terutama dalam kalangan pemandu kenderaan berat,” tambah Lee.

     
     
  • McLaren P1 ‘foot-to-floor’ – McLaren sebenar paling mampu milik, tanpa elektrik atau bahan api, RM199.50

    Menjelang perayaan Hari Natal yang bakal berlangsung tidak lama lagi, McLaren telah melancarkan satu lagi model untuk kanak-kanak dalam barisan produknya iaitu McLaren P1 ‘foot-to-floor’.

    Berbanding P1 electric Ride-On berkuasa bateri yang diperkenalkan sebelum ini, ‘foot-to-floor’ hanya dijana oleh kuasa kaki dan dijual pada harga mampu milik iaitu £35.99 atau RM199.50. Menurut McLaren, jentera yang “mampu memecut dari 0-200 meter sejam bergantung pada biskut yang di makan” tersebut turut diberikan warna ‘Volcano Yellow’ seperti P1 sebenar.

    McLaren P1 ‘foot-to-floor’ – McLaren sebenar paling mampu milik, tanpa elektrik atau bahan api, RM199.50

    Selain dari P1 electric Ride-On dan ‘foot-to-floor’ ini, peminat turut boleh membeli pelbagai model die-cast P1 dalam pebagai skala dan dibuat oleh pelbagai pengeluar seperti AutoArt, TSM, Kyosho, Motormax, Kinsmart dan Hot Wheels.

    Model-model resin dari Amalgam, TSM dan Tecnomodel turut ditawarkan, disamping model ‘Quick Build’ dari Airfix, model kereta slot dari Scaletrix dan juga model kawalan jauh dari New Bright, Rastar dan Maisto.

     
     
  • VIDEO: Visual ‘onboard’ Koenigsegg Agera RS catat rekod kereta produksi terpantas di dunia – 447 km/j!

    Semalam kami telah laporkan bahawa Koenigsegg Agera RS kini sah sebagai kereta produksi terpantas di dunia dengan catatan kelajuan maksima purata untuk dua ujian direkodkan pada 447 km/j. Hari ini video rakaman ‘on-board’ ujian berkenaan pula didedahkan untuk tatapan umum.

    Ujian ini dijalankan di Nevada, Amerika Syarikat iaitu pada jalan raya awam antara Las vegas dan Pahrump yang telah ditutup oleh polis. Dalam video tersebut dapat dilihat Agera RS mencapai kelajuan maksima 437 km/j pada cubaan pertama, manakala percubaan kedua pada laluan bertentangan, kereta yang dipandu oleh pemanduan ujian Koenigsegg, Niklas Lilja berkenaan mencapai kelajuan 457.7 km/j.

    VIDEO: Visual ‘onboard’ Koenigsegg Agera RS catat rekod kereta produksi terpantas di dunia – 447 km/j!

    Oleh itu, kelajuan purata untuk kedua-dua percubaan tersebut dicatatkan pada 447 km/j, atau 16 km/j lebih laju dari rekod yang dicatatkan oleh Bugatti Veyron Supersport (431 km/j). Rekod yang diambil pada ujian berkenaan dikutip menerusi sistem Racelogic – perinciannya akan didedahkan oleh Koenigsegg sendiri tidak lama lagi.

    Catatan rekod ini nampaknya memberi ‘pukulan KO’ kepada Bugatti sebanyak dua kali – bulan lalu Agera RS memusnahkan rekod 0-400-0 km/j yang dicatatkan oleh Bugatti Chiron tidak sampai sebulan kereta sport dari Perancis berkenaan memegang takhta.

     
     
  • Koenigsegg Agera RS sah sebagai kereta produksi terpantas di dunia – 447 km/j, padam rekod Veyron

    Koenigsegg Agera RS sah sebagai kereta produksi terpantas di dunia – 447 km/j, padam rekod Veyron

    Koenigsegg Agera RS kini sah dinobatkan sebagai kereta produksi terpantas di dunia setelah membuat rekod berkenaan di Pahrump, Nevada, Amerika Syarikat. Perkara ini telah diumumkan oleh Koenigsegg menerusi laman Facebook rasmi mereka.

    Menurut posting berkenaan, Agera RS telah melakukakan dua percubaan pada laluan sama tetapi kedua-duanya adalah bertentangan arah – kelajuan purata untuk kedua-dua percubaan tersebut dicatatkan pada 447 km/j, atau 16 km/j lebih laju dari rekod yang dicatatkan oleh Bugatti Veyron Supersport (431 km/j).

    Agera RS berkenaan dipandu oleh pemandu ujian mereka sendiri iaitu Niklas Lilja dan rekod yang diambil pada ujian berkenaan dikutip menerusi sistem Racelogic – perinciannya akan didedahkan oleh Koenigsegg tidak lama lagi.

    Catatan rekod ini nampaknya memberi ‘pukulan KO’ kepada Bugatti sebanyak dua kali – bulan lalu Agera RS memusnahkan rekod 0-400-0 km/j yang dicatatkan oleh Bugatti Chiron tidak sampai sebulan kereta sport dari Perancis berkenaan memegang takhta.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026