Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • GALERI: Toyota Harrier 2018 di Malaysia – versi terkini enjin 2.0L turbo, harga dari RM238k, jaminan 5 tahun

    GALERI: Toyota Harrier 2018 di Malaysia – versi terkini enjin 2.0L turbo, harga dari RM238k, jaminan 5 tahun

    Seperti yang kami siarkan sebelum ini, Toyota Harrier baru telah dibuka untuk tempahan di Malaysia oleh UMW Toyota Motor pada harga bermula RM238,000 (tidak termasuk insurans), dan ini kami bawakan pula galeri penuh model yang dipertontonkan di Malaysia. Walaubagaimanapun, ini adalah unit dari pasaran Singapura, yang mungkin akan mempunyai sedikit perbezaan spesifikasi dengan model pasaran Malaysia. Contohnya, Harrier yang akan dibawa ke Malaysia nanti akan mempunyai tayar ganti jimat ruang (model Singapura ini tiada).

    Apapun, model yang akan ditawarkan ini adalah model facelift terkini, iaitu yang menggunakan padanan enjin 2.0 liter turbo D-4ST VVT-iW 231 PS/ 350 Nm dan transmisi automatik enam kelajuan, dalam dua varian iaitu Harrier 2.0T Luxury dan Harrier 2.0T Premium.

    Apabila mendapatkan Harrier facelift ini melalui UMW Toyota, pemilik dapat menikmati jaminan selama lima tahun, tanpa had batuan, bagi model terbaru yang sehingga kini pun masih belum ada dibawa masuk oleh pengimport persendirian. Malaysia juga adalah negara kedua luar Jepun, selepas Singapura yang menerima model ini melalui wakil pengedar rasmi.

    Selain daripada itu, UMW Toyota turut menyatakan bahawa Harrier facelift yang dibawa untuk pasaran Malaysia ini akan dilengkapi dengan pakej Toyota Safety Sense, yang bermaksud, ia akan mempunyai fungsi lampu tinggi automatik, Sistem Pra-Pelanggaran serta cruise control adaptif. Harrier ini juga dilengkapi dengan tujuh-beg udara dan Sistem Kawalan Stabiliti (VSC).

    Melihat kepada Harrier facelift ini, ia mempunyai lampu LED dengan projektor berkembar, gril bahagian atas yang direka semula, lampu kabus LED baharu serta lampu nyalaan siang LED yang diletakkan pada posisi mendatar. Kereta ini turut diberikan rim dengan corak turbin baharu berdiameter 18-inci, serta bahagian bawah bampar belakang yang direka semula dan turut menempatkan tip ekzos krom.

    Pada bahagian kabin, Harrier facelift diberikan tempat duduk pemandu larasan berkuasa dengan fungsi memori (menggelungsur sendiri secara automatik bagi memudahkan pergerakan keluar dan masuk), upholsteri gabungan Ultrasuede dan kulit palsu serta kemasan carbon-weave metal. Kesemua varian juga menerima sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa dua-zon, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan sokongan lumbar sisi boleh ubah, pengesan jarak hadapan dan belakang serta kamera undur.

     
     
  • Honda Malaysia terima tempahan sejumlah 60 unit Civic Type R sebelum harga didedah dan dilancarkan

    Honda Malaysia terima tempahan sejumlah 60 unit Civic Type R sebelum harga didedah dan dilancarkan

    Walaupun timbul persoalan adakah Honda Civic Type R boleh dijual dalam pasaran Malaysia memandangkan harganya berada pada julat hampir sama dengan hot-hatch Mercedes-AMG A45 (RM349k) yang lebih berkuasa dan dilengkapi pacuan semua roda, serta turut jauh lebih mahal berbanding Nissan GT-R recond, Honda Civic Type R FK8 tetap mempunyai pengikut tegarnya sendiri.

    Ketika sesi temubual ekskulsif bersama Penolong Besar Ketua Projek Civic Type R generasi terbaharu En. Hideki Kakinuma sehari sebelum pelancaran Civic terpantas pernah dihasilkan berkenaan di Malaysia, pembantu kepada pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia Shugo Watanabe mendedahkan, lebih 50 unit (jumlah sebenar adalah 60 unit ketika dilancarkan hari ini) Type R FK8 telah ditempah setelah tempahan berkenaan dibuka Oktober lalu, walaupun harga kereta berkenaan masih lagi belum didedahkan.

    Jumlah tersebut secara tidak langsung melengkapkan sasaran jualan model ini selama dua bulan, di mana sasaran asal ditetapkan pada kadar 30 unit sebulan.

    Menurut Watanabe lagi, memandangkan kereta ini bukan edisi terhad, Honda Malaysia tidak mengehadkan jumlah kemasukannya ke Malaysia. Namun buat masa sekarang hingga bulan Mac 2018 nanti, Honda Malaysia terlebih dahulu akan menempah sebanyak 150 buah unit awalan Civic Type R dari kilang Honda Swindon, UK.

    Manakala di Jepun sendiri, jika anda menempah FK8 pada bulan ini, anda hanya akan menerimanya pada September tahun hadapan. En Hideki Kakinuma sendiri telah menempah Type R yang hasil air tangannya tersebut pada hari ia dilancarkan di negara matahari terbit berkenaan, dan hanya akan menerima kereta tersebut pada bulan hadapan.

    Dijual pada harga RM320,000 untuk pasaran Malaysia, Civic Type R FK8 menerima enjin 2.0 liter VTEC Turbo yang menjana 310 PS pada takat 6,500 rpm serta tork maksima 400 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm, digabungkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan bersama LSD helical. Enjin berkenaan menjana 10 PS kurang dari pasaran Eropah, namun istimewanya talaan ini, ia masih boleh beroperasi secara optimum walaupun menggunakan petrol RON 95.

     
     
  • Honda Civic Type R FK8 kini dilancarkan di Malaysia secara rasmi – jana 310 PS/400Nm, harga dari RM320k

    Honda Civic Type R FK8 kini dilancarkan di Malaysia secara rasmi – jana 310 PS/400Nm, harga dari RM320k

    Akhirnya, kereta produksi pacuan roda hadapan paling pantas di Litar Nurburgring – Honda Civic Type R FK8 – kini secara rasmi telah masuk ke pasaran Malaysia. Berbanding pada pasaran Indonesia yang dijual pada harga 995 juta rupiah (kira-kira RM311k mengikut tukaran semasa), model pasaran Malaysia ini dijual pada atas jalan tanpa insuran RM320,000. Seperti juga pasaran-pasaran lain, Malaysia menerima Civic-R yang dibuat di Kilang Honda Swindon, UK.

    Civic Type R generasi baharu ini dijana enjin 2.0 liter VTEC Turbo K20C1, dipadankan dengan hanya kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat bersama short shifter dan LSD helical. Berbanding model Eropah dan Jepun yang menerima talaan kuasa 320 PS dan tork maksima 400 Nm, pasaran ASEAN termasuk Malaysia menerima talaan kuasa 310 PS dengan jumlah tork yang sama.

    Menurut Honda Malaysia, talaan kuasa 10 PS kurang ini dibuat adalah kerana jenis petrol yang digunakan. Ini bukan bermaksud petrol di Malaysia rendah kualiti, tetapi enjin ini ditala agar dapat beroperasi secara optimum walaupun menggunakan petrol RON 95, berbanding pada pasaran-pasaran yang mendapat kuasa 320 PS yang telah ditetapkan enjin berkenaan hanya boleh beroperasi dengan petrol oktana tinggi.

    Walaupun dengan jumlah kuasa yang sedikit rendah, jumlah tork 400 Nm yang sama membolehkan pecutan 0-100 km/j hampir tidak berubah, iaitu tidak sampai 0.1 saat berbanding catatan 5.7 saat. Jentera ini juga mampu mencapai kelajuan maksima 272 km/j.

    Honda Civic Type R FK8 kini dilancarkan di Malaysia secara rasmi – jana 310 PS/400Nm, harga dari RM320k

    Unit janakuasa baharu ini turut diberikan sentuhan yang diperhalusi, antaranya, roda tenaga (flywheel) beban-tunggal pada enjin untuk mengurangkan inersia klac sebanyak 25%. Selain itu, ia juga menampilkan sistem auto-blip untuk menurunkan gear secara agresif (dengan memberikan throttle-blip secara automatik ketika gear diturunkan), membolehkan pemandu tanpa kemahiran heel and toe menurunkan gear dengan lancar secara drastik.

    Ciri mekanikal lain, FK8 Malaysia masih lagi sama dengan model-model pasaran luar. Ia menampilkan sistem suspensi hadapan dua-paksi bersama lengan bawah dan knuckle stereng aluminium bagi menambah baik had ketika meredah selekoh serta mengurangkan torque steer, bersama sistem stereng berkuasa elektrik dua-pinan dengan nisbah pelbagai.

    Berbanding Type-R FK2 sebelum ini yang hanya diberikan suspensi jenis torsion beam, Civic Type-R baharu ini menampilkan suspensi multilink pada bahagian belakang, seterusnya meningkatkan lagi had pengendaliannya. Kesemua suspensi pada model baharu ini juga menerima Sistem Suspensi Adaptif dengan penyerap hentak tiga-chamber, penderia strok individu dan tiga penderia daya-G pada kenderaan bagi menawarkan kadar variasi lebih luas antara keselesaan dan juga respon pengendalian yang dinamik.

    Model pasaran Malaysia ini turut dilengkapkan dengan Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Kawalan Traction, ABS dan EBD serta cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix pada bahagian belakang. Type R ini juga hadir dengan sistem Advanced Display Audio dengan skrin sentuh tujuh-inci.

    Honda Civic Type R FK8 kini dilancarkan di Malaysia secara rasmi – jana 310 PS/400Nm, harga dari RM320k

    Ia turut menerima talaan eksklusif pada spring, penyerap hentak dan pada bushing yang berkaitan di litar Nurburgring, Jerman. Tidak seperti model-model Type R terdahulu yang menampilkan suspensi yang keras dan tidak sesuai untuk pemanduan harian, Type R FK8 diberikan tiga mod pemanduan iaitu Comfort, Sport dan R+ yang boleh dipilih sendiri oleh pemandu bagi disesuaikan dengan situasi.

    Civic Type-R 2017 dipadankan dengan rim aluminium berdiameter 20-inci, di baluti tayar berprestasi tinggi Continental ContiSportContact 6 bersaiz 245/30R20. Sistem brek Brembo ditempatkan disebalik rim-rim gergasi ini dengan cakera berliang serta ditebuk berdiameter 350 mm bersama angkup brek empat-omboh dihadapan, manakala cakera solid berdiameter 305 mm di belakang.

    Kerangka Type-R ini juga dibina lebih kukuh berbanding model hatchback dan sedan FC standard, dengan 38% peningkatan pada ketegaran kilas serta 45% peningkatan pada ketegaran lentur berbanding Civic Type-R terdahulu. Ini membolehkan respon stereng lebih baik dapat dicapai selain dari melenyapkan getaran badan serta bunyi pada kabin.

    Proses ini dilakukan dengan aplikasi pelekat struktur pada seluruh badan. Keluli berkekuatan ultra-tinggi digunakan sebanyak 14% dari keseluruhan badan, bersama bonet enjin aluminium menjadikan Type-R FK8 16 kg lebih ringan berbanding Civic Type-R generasi sebelumnya.

    Honda Civic Type R FK8 kini dilancarkan di Malaysia secara rasmi – jana 310 PS/400Nm, harga dari RM320k

    Seperti juga pasaran lain, bahagian luar Civic Type R generasi baharu ini mengundang pelbagai persepsi. Walaupun dianggap ‘ricer‘ bagi sesetengah orang, namun kit aero kereta ini yang terdiri dari bampar hadapan bersama splitter udara, liang udara pada bonet dan kedua-dua fender hadapan, vortex generator pada bumbung belakang, spoiler gergasi dan juga diffuser belakang benar-benar memberikan downforce yang diperlukan ketika jentera ini menakluk litar ‘The Green Hell’ Nordschleife Nurburgring.

    Berbanding model 1.5 Turbo standard yang hanya dilengkapkan dengan tip ekzos berkembar, versi Type-R ini dilengkapi dengan tiga-tip ekzos pada bahagian tengah. Untuk pasaran Malaysia, FK8 hanya hadir dengan warna rasmi Type-R – Championship White – dan ia turut menerima perincian Type-R lain seperti lencana, dan yang paling penting – logo H dengan latar belakang merah.

    Bahagian dalaman versi Type-R ini masih mengekalkan asas rekaan pada model sedan dan hatchback standard. Sama seperti barisan model Type-R yang lain, ia menerima paparan meter dengan latar belakang merah, serta kemasan-kemasan merah lain seperti jalur serlahan pada papan pemuka dan pintu serta jahitan benang merah pada bahagian tertentu, selain dari kemasan-kemasan dengan elemen gentian karbon.

    Tempat duduk bucket berwarna merah di berikan bersama roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit (dengan elemen merah), sarung tuil gear kulit, tombol dan set pedal aluminium serta plat nombor siri Type-R ditempatkan pada konsol tengah, bagi melengkapkan identiti sebuah Type-R sebenar.

    Untuk perincian lanjut berkaitan penawaran Honda Civic Type R generasi terbaharu ini di Malaysia, layari juga laman CarBase.my.

     
     
  • Renault Megane GT dipertontonkan di Malaysia

    Renault Megane GT dipertontonkan di Malaysia

    Seperti mana yang kami maklumkan semalam, TC Euro cars telah pun mendedahkan Renault Megane GT bagi tontonan umum di Malaysia. Hatchback ini adalah hasil kerjasama divisi Renault Sport Technologies, dengan mengambil inspirasi daripada Megane RS bagi menghasilkan keseimbangan yang sempurna antara keseronokan pemanduan dan keselesaan.

    Di bawah hudnya, ia ditampilakan enjin petrol Energy TCe 205 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 205 PS pada 6,000 rpm dan tork puncak sehingga 280 Nm dari 2,400 rpm. Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan transmisi automatik klac-berkembar tujuh-kelajuan EDC. Kuasa inijuga membolehkan Megane GT memecut 0-100 km/j dalam masa 7.1 saat. Manakala kecekapan penggunaan bahan api pula boleh mencecah 6 liter bagi setiap 100 km.

    Renault Megane GT baharu ini dilengkapi dengan casis khas serta teknologi 4CONTROL, yang pertama dalam segmen-C dan digabungkan dengan talaan suspensi yang diperhalusi, sekaligus memberikan pengendalian empat-roda yang lebih mantap. Sistem ini dapat mengawal penjajaran roda belakang sekaligus memberikan tindakbalas sport tanpa mengetepikan soal keselamatan.

    Renault Megane GT dipertontonkan di Malaysia

    Di mana pada kelajuan di bawah 80 km/j dalam mod Sport, dan 60 km/j dalam mod lain, roda hadapan dan belakang boleh membelok ke arah bertentangan, sehingga 2.7 darjah di belakang. Pada kelajuan tinggi, roda hadapan dan belakang membelok ke arah sama, dengan belokan sehingga satu darjah di belakang, untuk kestabilan yang lebih baik.

    Selain itu, ia juga dilengkapi dengan teknologi baharu yang dibangunkan khas oleh Renault Sport iaitu Multi Change Down, yang membolehkan penurunan gear pantas, serta Launch Control untuk pecutan dari pegun yang lebih cekap.

    Ia juga ditampilkan dengan teknologi MULTI-SENSE yang membenarkan pemandu melaras pemanduan mengikut kehendak sendiri termasuk untuk kawalan bahan pendikit dan tindak balas enjin, kelajuan menukar gear dan kawalan lampu ambien dalam kabin.

    Jentera ini dibangunkan berdasarkan platform Common Module Family (CMF) dari Pakatan Renault-Nissan. Model generasi keempat ini dibina dengan dimensi 64 mm lebih panjang (4,359mm) dan 25 mm lebih rendah (1,447mm) serta jarak roda 28mm lebih jauh (2,669mm) dari model generasi sebelum ini.

    Megane GT ini tampil dengan imej yang lebih macho, sporty dan agresif, dengan elemen luaran yang cukup menyerlah, termasuk dengan gril yang nampak lebih lebar dengan logo berlian tegak, lampu utama LED penuh Pure Vision dengan lampu nyalaan siang berbentuk-C yang bersambung ke bawah sehingga bampar. Manakala kekemasan krom berkualiti pula menjalari bahagian hadapan hingga ke sisi.

    Selain itu, bampar belakang yang tampil garang, selain lampu belakang LED dengan teknologi Edge Light, diffuser belakang, sepasang tip ekzos krom dan rim aloi kemasan gunmetal berdiameter 17-inci.

    Renault Megane GT dipertontonkan di Malaysia

    Menjengah bahagian kabinnya, ia hadir dengan kokpit berbentuk-L bersama papan pemuka yang menampilkan panel instrumen TFT warna penuh tujuh-inci dan skrin sesentuh R-LINK 2 tujuh-inci. Konsol tengahnya juga lebih luas dan tinggi serta mempunyai perehat tangan yang boleh dilaraskan.

    Selain itu, elemen lain yang turut ditampilkan termasuklah sistem bunyi 3D Arkamys dengan lapan-pembesar suara, kad bebas tangan dengan kemasukan tanpa kunci bersama fungsi mula/henti enjin, kamera undur, pendingin hawa automatik dwi-zon, pedal penukar gear di belakang stereng, pedal aluminium, Idle Start Stop, roda stereng balutan kulit dan kekemasan krom satin elegan pada bahagian kabin.

    Bagi aspek keselamatan, ia didatangkan dengan ABS dengan EBD dan Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Program Kestabilan Elektronik (ESP) dengan Kawalan Cengkaman (ASR), enam beg udara, Bantuan Mula Mendaki dan Kawalan Kelajuan dengan Pengehad Kelajuan.

    Buat masa ini, TC Euro Cars masih enggan mendedahkan, adakah jentera ini bakal dipasarkan secara rasmi di Malaysia mahu pun tidak. Namun akan mempamerkan jentera ini di beberapa pusat pameran Renault terpilih tidak lama lagi. Apa pun kami akan membawakan perkembangan selanjutnya jika ada.

     
     
  • Honda Big Wing akan dibuka di Malaysia – pusat sehenti motosikal kuasa tinggi, 4 tempat utama dipilih

    Honda Big Wing akan dibuka di Malaysia – pusat sehenti motosikal kuasa tinggi, 4 tempat utama dipilih

    Boon Siew Honda (BSH) secara rasminya telah mengumumkan ketibaan Honda Big Wing, iaitu pusat sehenti jualan dan servis untuk motosikal berkapasiti lebih 250 cc di Malaysia. Pembangunan rangkaian Big Wing ini akan dilakukan sebagai tambahan kepada rangkaian untuk motosikal kapasiti bawah 250 cc yang lain di negara ini.

    Pusat Honda Big Wing yang pertama akan dibuka di Kuala Lumpur pada Januari 2018 oleh Ee Tiong Motorsports Sdn Bhd, dan kemudiannya akan diikuti oleh Taycon Motor Sdn Bhd di Pulau Pinang, Welly Team Cycle Sdn Bhd di Selangor dan Additional Growth Sdn Bhd di Johor.

    Honda Big Wing akan dibuka di Malaysia – pusat sehenti motosikal kuasa tinggi, 4 tempat utama dipilih

    Selain sebagai pusat pameran untuk motosikal berkapasiti tinggi, Honda Big Wing juga akan menempatkan pusat servis, alat ganti, aksesori serta ruang istirehat untuk pelanggan. Pekerja dan mekanik yang memberi khidmat di Honda Big Wing juga mendapat latihan pakar manakala peralatan yang digunakan pula adalah peralatan khas yang diiktiraf.

    Pada separuh tahun pertama 2017, BSH telah menunjukkan peningkatan jualan motosikal berkuasa tinggi sebanyak 6% berbanding tahun 2016, dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 400 unit. Dengan pembukaan Honda Big Wing ini, ia diharap dapat meningkatkan lagi jualan sebanyak 30% (1,600 unit) pada tahun hadapan.

     
     
  • Mazda CX-9 spesifikasi M’sia ditunjuk kepada umum – varian 2WD dan AWD, harga bermula dari RM281,450

    Mazda CX-9 spesifikasi M’sia ditunjuk kepada umum – varian 2WD dan AWD, harga bermula dari RM281,450

    Sebelum ini kami sendiri sudah beberapa kali menyiarkan artikel mengenai Mazda CX-9, termasuk ulasan pandu ujinya. Namun masih tertanya-tanya bilakah CX-9 versi pasaran Malaysia bakal dilancarkan.

    Memandangkan pada April lalu, Bermaz Motor ada memaklumkan CX-9 versi Malaysia bakal dilancarkan pada Oktober, selepas pelancaran model pemasangan tempatan (CKD) CX-5 pada bulan yang sama. Sehingga Oktober berlalu, masih tiada khabar berita mengenainya.

    Tetapi, hari ini, khabar yang diterima adalah bahawa harga SUV besar berkapasiti tujuh-tempat duduk ini telah diumumkan, dengan unit spesifikasi Malaysia turut dipertontonkan kepada umum. Ia akan ditawarkan dalam dua varian, versi 2.5L 2WD akan dijual pada harga RM281,449 manakala versi 2.5L 4WD pada harga RM297,349. Ini adalah harga atas jalan tanpa insurans, dengan jaminan lima tahun/100,000 km serta servis percuma tiga tahun/60,000 km.

    Sebagai perbandingan, harga bagi model spesifikasi Australia yang dijual sebelum ini ialah masing-masing RM286,749 (2WD) dan RM302,649 (AWD). Bagi Mazda CX-9 spesifikasi Malaysia, antara kelainan yang akan ditampilkan ialah penggunaan lampu nyalaan siang LED, berbanding unit halogen.

    Mazda CX-9 spesifikasi M’sia ditunjuk kepada umum – varian 2WD dan AWD, harga bermula dari RM281,450

    Malah ia turut dilengkapi dengan lampu utama LED adaptif (ALH) dan cermin sisi boleh laras secara auto dengan satu sentuhan bersama lampu isyarat. Lain-lain elemen masih dikekalkan termasuk lampu utama bi-LED, lampu kabus LED, lampu kabus LED, bumbung matahari berkuasa dan roda aloi 20-inci.

    Bagi aspek pengendalian dan keselamatannya, CX-9 versi Malaysia turut dilengkapi dengan Mazda G-Vectoring Control, Lane Departure Warning System (LDWS), Lane Keep Assist System (LAS) dan Driver Attention Alert (DAA).

    Beberapa elemen yang ada pada versi Australia juga tidak akan ada untuk CX-9 pasaran Malaysia. Ini termasuklah Mazda i-ELOOP Brake Regeneration System, Mazda i-Stop Idling Technology dan juga indikator amaran tali pinggang keledar untuk tempat duduk barisan kedua. Tetapi, semua ini akan dapat dipastikan sebaik saja model berkenaan dilancarkan di sini nanti.

    Untuk kabinnya, elemennya turut dikekalkan, antaranya sistem kawalan suhu auto tiga-zon, balutan kulit upholstery, tempat duduk pemandu berkuasa dengan tatapan memori, Paparan Pemanduan Aktif jenis-projektor, sistem infotainmen MZD Connect dengan skrin sesentuh lapan-inci dan sistem bunyi Bose 12-pembesar suara.

    Namun untuk bahagian mekanikalnya, tiada perubahan atau pun perbezaan. Masih mengekalkan varian dengan enjin SkyActiv-G 2.5L Turbo 2WD dan SkyActiv-G 2.5L Turbo 4WD, sama seperti model versi Australia yang kami uji sebelum ini iaitu petrol 2.5 liter SkyActiv-G.

    Penjana kuasa ini mampu menghasilkan kuasa 228 hp pada 5,000 rpm dan tork 420 Nm pada 2,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Penggunaan bahan apinya sekitar 8.4 liter untuk setiap 100 km bagi model pacuan dua-roda dan 8.8L/100 km bagi pacuan semua-roda.

     
     
  • Yamaha NVX GP Edition diperkenal – tambah RM600

    Yamaha NVX GP Edition diperkenal – tambah RM600

    Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd baru sahaja memperkenalkan NVX GP Edition yang dikeluarkan bersempena dengan perlumbaan MotoGP. Model yang menggunakan grafik khas dan warna perlumbaan ini boleh mula didapati di pasaran bermula minggu hadapan di kedai pengedar motosikal Yamaha.

    Jika dibandingkan dengan model biasa, NVX GP Edition ini adalah lebih mahal RM600, dan selain grafik, bahagian lain semuanya adalah sama. Ini adalah harga yang dikeluarkan oleh HLYM, tetapi seperti ramai yang tahu, apabila tiba di kedai, ia boleh menjadi lebih. Yamaha NVX 155 dikuasakan oleh enjin 155 cc suntikan bahan api, dengan teknologi Blue Core dan VVA, berkuasa 14.8 hp dan 13.8 Nm tork.

    Antara perkara menarik yang ditawarkan oleh NVX 155 adalah sistem kunci pintar yang membolehkan pengguna memulakan enjin tanpa perlu memasukkan kunci pada motosikal (tetapi berada berdekatan). Enjin ini juga mempunyai sistem Start/Stop automatik.

    Bagi paparan instrumen, skuter ini menggunakan skrin LCD digital 5.8 inci, manakala di bahagian bawah pemegangnya terdapat satu ruang simpanan kecil bersama soket pengecas USB untuk peranti elektronik.

    Ciri lain yang ada pada NVX 155 adalah termasuk brek cakera di hadapan, dram di belakang, fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, tayar tanpa tiub 110/80 di hadapan, 140/70 di belakang, tangki bahan api 4.6 liter, berat 118 kg (18 kg lebih ringan berbanding NMax 155) dan transmisi automatik tali sawat.

     
     
  • Kia Picanto baharu diprebiu di Malaysia sekali lagi

    Kia Picanto baharu diprebiu di Malaysia sekali lagi

    Setelah dipamerkan di Johor Bahru Ogos lalu, Kia Picanto generasi ketiga (kod casis JA) dengan trim GT Line sekali lagi di prebiu di MAEPS, Serdang hari ini. Walau bagaimanapun, penampilannya kali ini sedikit berbeza dengan diberikan set pelekat hiasan pada badan, serta kesemua cerminnya digelapkan secara keseluruhan bagi menutup terus pandangan kedalam bahagian kabin.

    Dengan trim badan GT-Line, Picanto ini diberikan kit badan yang lebih agresif, bermula dengan bampar hadapan dan belakang, skirt sisi lebih dalam dan diffuser belakang berwarna hitam sertu turut menempatkan dua tip ekzos. Model ini juga diberikan rim berdiameter 16 inci – satu inci lebih besar berbanding model TA sebelumnya.

    Kereta yang diprebiu ini juga penuh dengan pelbagai kelengkapan termasuk lampu hadapan projektor halogen automatik dengan lampu nyalaan siang LED serta lampu belakang LED. Walaupun kali ini bahagiannya dalamannya tidak boleh dilihat, prebiu sebelum ini mendedahkan ia turut dilengkapi dengan sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, enam-beg udara serta sistem kawalan stabiliti elektronik.

    Kia Picanto baharu diprebiu di Malaysia sekali lagi

    Selain itu, terdapat juga ciri seperti kemasan separuh kulit, cruise control, sistem navigasi dengan skrin sesentuh tujuh inci, kamera undur, sistem pendingin hawa automatik, bumbung suria, sistem pemerhati tekanan angin tayar (TPMS) dan brek kecemasan automatik (AEB).

    Walau bagaimanapun, kesemua ciri ini masih lagi belum disahkan untuk pasaran Malaysia kerana unit yang dipamerkan ini merupakan unit pasaran Korea sebenar. Ia dijana enjin empat silinder 1.25 NA DOHC yang sama seperti sebelum ini – menghasilkan kuasa 83 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 122 Nm pada 4,000 rpm.

    Enjin tersebut digandingkan bersama kotak gear automatik empat-kelajuan. Bagi generasi sedia ada, Naza Kia ada menjual model dengan transmisi manual lima kelajuan, tetapi disebabkan sambutan yang kurang, ia mungkin tidak ditawarkan lagi. Masih lagi belum diketahui dengan jelas bila Picanto baharu ini akan menerjah pasaran Malaysia, tetapi ia dikhabarkan akan dilancarkan pada awal tahun hadapan.

    Untuk pengetahuan anda, Picanto turut ditawarkan dengan spesifikasi GT sebenar (GT-Line hanya berkisar aksesori kosmetik) di Korea. Model tersebut dijana enjin 1.0 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 100 PS/172 Nm, digandingkan bersama kotak gear manual lima-kelajuan.

    GALERI: Kia Picanto GT-Line generasi baharu diprebiu di Red Cube Johor Bahru

     
     
  • Subaru WRX STI 2018 diprebiu di Malaysia – RM310k

    Subaru WRX STI 2018 diprebiu di Malaysia – RM310k

    Subaru WRX STI 2018 diprebiu di Malaysia hari ini, malah harganya juga telah didedahkan iaitu RM309,647 (atas jalan tanpa insurans). Sedan prestasi tinggi versi facelift ini telah diberi suntikan yang lebih segar bagi penggayaan, pengendalian dan elemennya.

    Lihat daripada bahagian luarannya, penampilan agresif jelas kelihatan terrutamanya pada bahagian bampar hadapan, tanpa kehadiran lampu kabus seperti model sebelumnya. Namun demikian, ia diserikan dengan gril rekaan baharu, bersama logo Subaru yang diposisikan di tengah antara kepingan dua-bar.

    Lampu utama LED juga menerima sentuhan rekaan baharu dan mengikut respon stereng, di mana ia membantu menyuluh ke arah sudut belokan stereng. Bahagian belakang juga menerima sedikit sentuhan berbeza, menampilkan apron yang lebih rendah untuk dipadankan dengan paip ekzos. Paling menonjol, sudah pasti dengan kehadiran spoiler belakang yang besar, menandakan model tersebut sebagai STI.

    Subaru WRX STI 2018 diprebiu di Malaysia – RM310k

    Sementara itu, bahagian dalamannya juga diberi penambahbaikan termasuk material kabin, perehat tangan di tempat duduk belakang, pemegang pintu dalaman yang direka semula, kaca pintu yang lebih tebal, penyendal pintu yang disemak semula dan bahagian atas kerangka cermin depan dengan isian busa. Elemen baharu yang turut ditampilkan termasuk paparan 5.9-inci pelbagai-fungsi yang lebih besar iaitu sebahagian daripada sistem infotainmen double-DIN.

    Paparan kedua pula menunjukkan status sistem kawalan suhu dwi-zon serta boost pressure dan lain-lain. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kamera undur, kawalan kelajuan dan paparan pelbagai-info untuk panel instrumen.

    Bagi memberikan persona berorientasikan prestasi, jentera ini turut didatangkan dengan roda stereng berbentuk-D balutan kulit, tempat duduk sport kulit/Alcantara, jahitan merah dan pedal aluminium.

    WRX STI ini dijanakan oleh enjin petrol 2.5 liter pengecas turbo empat-silinder boxer, dengan hamburan kuasa sehingga 305 hp pada 6,000 rpm dan tork 393 Nm pada 4,000 rpm. Kuasa disalurkan ke semua roda menerusi sistem Subaru Symmertrical All-Wheel Drive dan transmisi manual enam-kelajuan.

    Subaru WRX STI 2018 diprebiu di Malaysia – RM310k

    Bagi pengendaliannya, talaan suspensinya telah disemak semula, dihadirkan dengan Driver’s Control Centre Differential (DCCD). Jika DCCD terdahulu menggunakan kombinasi mekanikal dan pusat kawalan elektronik LCD, kini ia menggunakan kawalan elektronik untuk respon yang lebih pantas dan lancar.

    Pemandu masih perlu akses ke sistem Vehicle Dynamics Control (VDC) dan mod pemanduan, sementara Active Torque Vectoring membantu jentera tidak tergelincir sewaktu dikemudi di selekoh.

    Walau bagaimana pun, kita tidak menerima roda 19-inci dan kombo brek seperti mana yang ada pada pasaran lain. WRX STI 2018 untuk Malaysia menerima unit 18-inci dengan kekemasan dark gun metallic dan brek Brembo yang turut menampilkan angkup brek empat-piston di bahagian hadapan dan dua-piston lagi di belakang.

    Elemen keselamatan pula termasuk tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu), ESC, traction control dan ABS. Seperti yang dinyatakan, harga bagi WRX STI 2018 ini ialah RM309,647, dan ia turut didatangkan dengan waranti lima-tahun dan pakej servis percuma (kos buruh sahaja).

     
     
  • ETCM tawar program bantuan banjir untuk pemilik kenderaan Nissan – diskaun 20% untuk alat ganti tulen

    ETCM tawar program bantuan banjir untuk pemilik kenderaan Nissan  – diskaun 20% untuk alat ganti tulen

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) dengan kerjasama Tan Chong Ekspres Auto Servis Centre (TCEAS) mengumumkan Program Bantuan Banjir Nissan untuk pemilik kenderaan Nissan yang terjejas akibat bencana banjir.

    Program bantuan ini menawarkan diskaun sebanyak 20% bagi alat ganti tulen Nissan, diskaun 20% untuk kos buruh, restorasi upholsteri dengan kadar harga istimewa RM1,325 (termasuk GST) untuk model sedan Nissan sahaja, restorasi upholsteri dengan kadar harga istimewa RM1,590 (termasuk GST) bagi MPV/SUV/Pikap/Van Nissan sahaja serta waranti tiga bulan atau 5,000 km untuk pengantian alat ganti tulen Nissan dan buruh (mana yang tiba terlebih dahulu).

    “Pelanggan adalah keutamaan kami dan perkhidmatan tambah nilai ini disediakan oleh ETCM dan TCEAS bagi membantu ratusan penduduk yang terjejas akibat banji kilat. Kami berharap dengan adanya bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mereka. Kami juga menggesa para pelanggan kami yang terlibat agar menghantar kenderaan masing-masing ke pusat servis TCEAS berhampiran secepat mungkin untuk kerja-kerja restorasi,” ujar Michael Yao, Ketua Unit Perniagaan TCEAS.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Program Bantuan Banjir Nissan ini, bolehlah menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Nissan di talian 1800-88-3838.

     
     
  • Toyota Harrier 2018 dibuka untuk tempahan – versi terkini 2.0L turbo, harga dari RM238k, jaminan 5 tahun

    Toyota Harrier 2018 dibuka untuk tempahan – versi terkini 2.0L turbo, harga dari RM238k, jaminan 5 tahun

    Selepas risalah jualannya bocor, kini UMW Toyota mengesahkan akan melancarkan Toyota Harrier secara rasmi di Malaysia pada tahun 2018. Model yang akan dibawa ini adalah model facelift terkini, yang dilancarkan di Jepun Jun lalu, dan Malaysia adalah negara kedua luar Jepun, selepas Singapura yang menerima model ini melalui wakil pengedar rasmi. Harrier yang banyak ditemui atas jalan sebelum ini adalah unit yang diimport oleh syarikat persendirian.

    Apabila mendapatkan Harrier facelift ini melalui UMW Toyota, pemilik dapat menikmati jaminan selama lima tahun, tanpa had batuan, dan ia akan ditawarkan dalam dua versi yang menggunakan padanan enjin 2.0 liter turbo D-4ST VVT-iW 231 PS/ 350 Nm dan transmisi automatik enam kelajuan, iaitu Harrier 2.0T Luxury dan Harrier 2.0T Premium. Model ini hanya akan dilancarkan pada tahun hadapan, namun tempahannya sudah dibuka dengan harga bermula RM238,000 (tidak termasuk insurans).

    Selain daripada itu, UMW Toyota turut menyatakan bahawa Harrier facelift yang dibawa untuk pasaran Malaysia ini akan dilengkapi dengan pakej Toyota Safety Sense, yang bermaksud, ia akan mempunyai fungsi lampu tinggi automatik, Sistem Pra-Pelanggaran serta cruise control adaptif. Harrier ini juga dilengkapi dengan tujuh-beg udara dan Sistem Kawalan Stabiliti (VSC). Selain itu, model pasaran Malaysia juga akan mempunyai tayar ganti jimat ruang (tiada untuk model Singapura).

    Melihat kepada Harrier facelift yang dipasarkan di Jepun, ia mempunyai lampu LED dengan projektor berkembar, gril bahagian atas yang direka semula, lampu kabus LED baharu serta lampu nyalaan siang LED yang diletakkan pada posisi mendatar. Kereta ini turut diberikan rim dengan corak turbin baharu berdiameter 18-inci, serta bahagian bawah bampar belakang yang direka semula dan turut menempatkan tip ekzos krom.

    Pada bahagian kabin, Harrier facelift diberikan tempat duduk pemandu larasan berkuasa dengan fungsi memori (menggelungsur sendiri secara automatik bagi memudahkan pergerakan keluar dan masuk), upholsteri gabungan Ultrasuede dan kulit palsu serta kemasan carbon-weave metal. Kesemua varian juga menerima sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa dua-zon, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan sokongan lumbar sisi boleh ubah, pengesan jarak hadapan dan belakang serta kamera undur.

    Teruskan bersama paultan.org/BM untuk melihat galeri penuh Toyota Harrier terbaru yang dipertontonkan oleh UMW Toyota Motor sebentar lagi.



     
     
  • Land Rover Discovery kini dipertontonkan di Malaysia

    Land Rover Discovery kini dipertontonkan di Malaysia

    Jaguar Land Rover Malaysia hari ini mempertontonkan model Land Rover Discovery generasi kelima di Malaysia, lebih awal sebelum pelancaran rasminya yang dijangka pada Januari 2018. Bersekali dengan itu, tempahan juga sudah dibuka bagi SUV tujuh-tempat duduk ini, walaupun masih belum ada anggaran harga yang diumumkan.

    Unit yang dipertontonkan ini ialah dari varian 3.0L Td6 HSE, dalam warna Kaikoura Stone untuk luaran dan warna Ebony untuk ruang dalaman. Enjin 3.0 liter V6 turbocas yang digunakan mampu menjana sebanyak 258 PS dan 600 Nm tork. Ia juga menggunakan pam minyak dua peringkat, kitaran semula ekzos bertekanan rendah dan muncung penyuntik minyak yang diperkemas untuk memberikan maklum balas dan kecekapan yang lebih baik.

    Enjin berkenaan dipadankan dengan sistem transmisi automatik lapan-kelajuan dari ZF. Teknologi pacuannya turut melibatkan sistem Terrain Response 2 serta kotak pemindah (transfer box) dua-kejaluan. Discovery yang dipertontonkan ini dilengkapi rim 21-inci dengan rekaan 10 jejari aloi.

    Kelengkapan standard lain adalah seperti lampu utama LED dan rekaan lampu belakang khusus, kawalan udara empat-zon, paddle shifter, ciri baru inner tailgate dua kegunaan, sistem kamera menyeluruh serta lima tapak Isofix terletak pada tempat duduk barisan kedua dan ketiga.

    Ciri InControl Touch Pro juga tersedia, menawarkan capaian kepada teknologi Intelligent Seat Fold, yang membolehkan kawalan untuk melipat kerusi barisan kedua dan ketiga menggunakan aplikasi pada telefon bimbit sebagai tambahan kepada kawalan pada bahagian belakangnya menggunakan skrin sentuh 10-inci.

    Untuk pasaran tempatan, tidak hanya versi enjin turbodiesel akan ditawarkan. Mei lalu, ketika pratonton maya SUV ini menggunakan peralatan Virtual Reality (VR), ada dinyatakan bahawa versi Si6, yang dijana oleh enjin 3.0 liter V6 supercas dengan output 340 PS/450 Nm turut akan dijual di sini.

     
     
  • Kia Stinger buat penampilan sulung umum di Malaysia – adakah ia benar-benar akan dilancarkan pada 2018?

    Kia Stinger buat penampilan sulung umum di Malaysia – adakah ia benar-benar akan dilancarkan pada 2018?

    Mei lalu, kereta sport empat pintu Kia Stinger dipamerkan di Sabah, tetapi ia bukan untuk tatapan umum kerana diprebiu di acara Konvensyen Pengedar Kia Asia 2017 dan imejnya dikongsi oleh akaun Instagram milik Kia Malaysia dan juga SM Nasarudin iaitu Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza Group of Companies.

    Hari ini, model berkenaan telah dipamerkan di MAEPS, Serdang dan ia merupakan prebiu rasmi pertama jentera sport GT dari Korea berkenaan. Walau bagaimanapun, model yang dibawa oleh Naza Kia ke Malaysia kali ini adalah dari versi pemanduan sebelah kiri, bagi tujuan penilaian untuk pasaran tempatan.

    Model yang diprebiu tersebut adalah dari varian tertinggi GT, dijana enjin V6 3.3 liter turbo berkembar Lambda II berkuasa 365 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hinga 4,500 rpm. Enjin paling berkuasa dalam barisan unit janakuasa Kia berkenaan dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik.

    Kia Stinger buat penampilan sulung umum di Malaysia – adakah ia benar-benar akan dilancarkan pada 2018?

    Unit tersebut juga adalah dari versi pacuan semua roda (AWD), dan bermakna kereta ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat, dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 269 km/j.

    Model V6 AWD ini juga turut diberikan rim aloi 19-inci bersama tayar 225/40R19 di hadapan serta 255/35R19 dibelakang. Disebalik tayar dan rim berkenaan, Stinger diberikan angkup brek empat-pot dan cakera berliang 350 mm di hadapan dari Brembo serta angkup dua-pot dan cakera 340 mm juga dari pengeluar yang sama di bahagian belakang.

    Untuk pasaran global, Stinger turut hadir dengan versi janaan enjin Theta 2.0 liter empat-silinder turbo menjana 255 PS/353 Nm. Ia juga turut hadir dalam versi diesel dengan enjin 2.2 liter turbo berkuasa 200 PS pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 440 Nm bermula 1,750 rpm hingga 2,750 rpm – namun model ini berkemungkinan besar tidak akan dibawa ke Malaysia.

    Adakah Kia Stinger akan masuk ke pasaran Malaysia? Awal tahun lalu ketika editor kami, Izwaashura Sadali ke Melbourne, Australia untuk menguji Kia Rio 2017, Dato’ Samson Anand George, CEO Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings memberitahu kami bahawa pihaknya amat berminat untuk membawa masuk Stinger ke pasaran Malaysia tahun hadapan.

    Sebulan sebelum dipamerkan di Sabah, sebuah Kia Stinger yang diselindungkan dengan kit penyamaran dijumpai di semenanjung Malaysia berkemungkinan sedang diuji untuk pasaran tempatan.

     
     
  • Toyota C-HR spesifikasi Malaysia dipertonton – enjin 1.8 liter NA 141 PS, sedikit perubahan pada ciri-ciri

    Toyota C-HR spesifikasi Malaysia dipertonton – enjin 1.8 liter NA 141 PS, sedikit perubahan pada ciri-ciri

    Walaupun masih belum dilancarkan, Toyota C-HR telah dibawa ke merata tempat untuk dijadikan tontonan kepada rakyat Malaysia. Tetapi, unit yang dibawa itu adalah yang menggunakan spesifikasi Australia, dengan enjin 1.2 liter turbo. Tapi kini, akhirnya UMW Toyota mempertontonkan buat pertama kali, C-HR spesifikasi Malaysia, bersama sebuah model yang lengkap dengan kit badan TRD Sportivo (untuk kajian).

    Dilihat dari bahagian luar, tidak banyak yang berbeza bagi C-HR spesifikasi Malaysia ini, di mana ia masih lagi mempunyai lampu utama projector halogen, lampu siang LED, rim 17 inci dan lampu belakang yang menggunakan mentol. Walaupun begitu, lampu kabus LED telah ditukar kepada unit halogen.

    Perubahan yang lebih jelas boleh dilihat pada bahagian dalam. Papan pemuka untuk C-HR spesifikasi Malaysia ini mempunyai bahagian atas yang berwarna coklat gelap, dan warna sama turut digunakan pada panel plastik hiasan tepi pintu, yang juga mempunyai tekstur jalinan. Bahagian selebihnya, selain ada yang menggunakan plastik lembut, juga disudahi dengan kemasan hitam berkilat.

    Untuk senarai kelengkapan, terdapat sistem masuk tanpa kunci, butang pemula enjin, lampu bawah pintu, tempat duduk balutan kulit bercorak, tempat duduk dengan larasan sokongan belakang elektrik (larasan sandar dan ke hadapan masih lagi manual), lampu serta pengelap cermin automatik, skrin informasi 4.2 inci berwarna, kawalan pendingin hawa dua zon dan kamera undur.

    Bagi aspek keselamatan pula, model spesifikasi Malaysia ini tidak mempunyai pakej Toyota Safety Sense seperti model Australia, yang termasuk Pre-Collision Safety, Active Cruise Control, Lane Departure Alert, Autonomous Emergency Braking, Forward Collision Warning dan Automatic High Beam.

    Walaupun begitu, kita masih akan mendapat Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA), bersama tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan BA, Vehicle Stability Control (VSC) dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

    Toyota C-HR spesifikasi Malaysia dipertonton – enjin 1.8 liter NA 141 PS, sedikit perubahan pada ciri-ciri

    Di bawah hud C-HR spesifikasi Malaysia ini terdapat enjin empat silinder 1.8 liter NA 2ZR-FBE dengan teknologi Dual VVT-i dan datang dari model pasaran Thailand. Enjin ini boleh digunakan untuk beberapa jenis bahan api tetapi bagi Malaysia, kita mungkin hanya akan mendapat versi petrol. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 141 PS pada 6,000 rpm dan 177 Nm tork pada 4,000 rpm, dihantar ke tayar hadapan melalui kotak gear CVT.

    UMW Toyota sekadar memberitahu C-HR akan dilancarkan pada tahun hadapan tetapi harganya masih belum diketahui. Tetapi, daripada apa yang dilihat ini, anda rasa dapatkah C-HR menyaingi model lain dalam segmennya seperti Honda HR-V dan Mazda CX-3?

    GALERI: Toyota C-HR spesifikasi Malaysia


    GALERI: Toyota C-HR TRD Sportivo

     
     
  • Perodua Myvi 2018 buat penampilan umum pertama

    Perodua Myvi 2018 buat penampilan umum pertama

    Semalam, pengumuman rasmi tentang Perodua Myvi 2018 telah pun mendedahkan sebahagian perkara mengenai model berkenaan, hari ini lain pula ceritanya. Model generasi ketiga Myvi itu membuat penampilan umum yang pertamanya di Malaysia.

    Bagaimanapun, ia masih belum dipertontonkan secara menyeluruh; unit yang dimaksudkan diletakkan di dalam “kotak” yang melindungi sebahagian besar badannya. Tetapi, ada dua bukaan yang dibiarkan untuk menampakkan bahagian belakang serta depan.

    Bukaan di hadapan menampakkan sedikit bahagian gril serta lampu hadapan LED yang melengkapi model baru ini. Rekaan kedua-duanya seperti ada kesinambungan dan bersambung dari hujung ke hujung, dengan bahagian gril hadir dengan rekaan tiga garis dengan logo besar Perodua ditengah-tengahnya.

    Perodua Myvi 2018 buat penampilan umum pertama

    Di belakang, bukaannya lebih luas, memperlihatkan bahagian lampu belakang hingga bahagian spoiler dibahagian hujung bumbung. Bahagian atas lampu belakang yang menggunakan menggunakan lampu LED juga dapat dilihat dengan jelas.

    Jika dilihat pada bahagian cermin belakang pula, ia nampak lebar dan tidak terlalu tinggi, tidak seperti pada Myvi sebelumnya yang nampak lebih kompak. Ini mencadangkan kepada kita bahawa Myvi 2018 ini mempunyai kedudukan bumbung yang lebih rendah, dengan menghampiri rekaan hatchback sebenar dan bukan lagi bumbung tinggi seperti dahulu.

    Ada dua pilihan enjin yang ditawarkan; 1.3L dan 1.5L baru yang cekap tenaga (EEV), lengkap dengan ciri Dual VVT-i yang dipadankan dengan sistem transmisi lima-kelajuan manual atau automatik empat-kelajuan E-AT bagi semua varian. Walaupun maklumat terperinci bagi enjinnya belum didedahkan, kami menjangkakan ia akan mewarisi enjin 1.3 dari Perodua Bezza manakala enjin 1.5L pula dari Toyota Avanza, tentunya dengan penambah baikan yang khusus untuk model baru ini.

    Perodua Myvi 2018 buat penampilan umum pertama

    Lima varian ditawarkan semuanya – 1.3 Standard G (MT), 1.3 Standard G (AT), 1.3 Premium X (AT), 1.5 High (AT) dan 1.5 Advance (AT). Ditawarkan pertama kali untuk Myvi ialah ciri Eco Idle bagi tiga varian paling tinggi – di mana enjin akan mati dan hidup semula jika brek dilepaskan (dalam keadaan statik).

    Turut menjadi kelebihan bagi model ini; ia menjadi model pertama dalam kelasnya yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia yang dilengkapi dengan ciri keselamatan termaju. Sebagai contoh, varian tertinggi 1.5 Advance akan dilengkapi dengan Advance Safety Assist (ASA) – yang turut merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision Warning, Pre-Collision Braking, Front Departure Alert dan Pedal Misoperation Control. Sistem ini berfungsi melalui sebuah kamera yang terletak di belakang bahagian cermin pandang belakang.

    Dan, kalau anda ada anak kecil dan merancang nak beli model terbaru ini, jangan lupa, Perodua juga ada menawarkan kerusi keselamatan kanak-kanak dengan promosi tersendiri.

    Senarai kelengkapan mengikut varian adalah seperti berikut:

    Perodua Myvi 1.3 Standard G
    RM44,300 (MT)
    RM46,300 (AT)

    Hadir standard dengan:

    Enjin 1.3 liter Dual VVT-i (1NR-VE)
    1,329 cc, empat-silinder petrol
    94 hp pada 6,000 rpm, 121 Nm pada 4,000 rpm (angka anggaran yang diambil dari Bezza 1.3)
    Manual lima kelajuan atau Automatik empat-kelajuan E-AT
    Lampu hadapan LED dengan fungsi auto off dan follow-me-home
    Pelaras lampu hadapan
    Lampu belakang LED dengan lampu panduan
    Penderia undur
    Rim aloi 14-inci
    Sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin
    Konfigurasi tempat duduk fleksibel 8+1
    Tempat duduk belakang boleh lipat 60:40
    Poket sisi (untuk telefon bimbit) pada tempat duduk hadapan
    Empat beg udara (dua hadapan dan hadapan sisi)
    ABS dan EBD
    Kawalan Stabiliti Elektronik (VSC)
    Kawalan Traction (TRC)
    Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS)
    Waranti lima-tahun/150,000 km
    Disasarkan untuk mendapat lima-bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP

    Perodua Myvi 1.3 Premium X
    RM48,300 (AT)

    Ditambah dengan:

    Sistem start-stop enjin automatik Eco-idle
    Kemasan luaran dan dalaman tambahan (belum didedahkan)

    Pilihan warna untuk Myvi 1.3:

    Ivory White (solid)
    Glittering Silver (metalik)
    Mystical Purple (metalik)
    Lava Red (metalik)
    Peppermint Green (metalik) – warna baharu, eksklusif untuk model-model 1.3

    Perodua Myvi 1.5 High
    RM51,800 (AT)

    Ditambah dengan:
    Enjin 1.5 liter Dual VVT-i (2NR-VE)
    1,496 cc, empat-silinder petrol
    106 hp pada 6,000 rpm, 140 Nm pada 4,200 rpm (angka anggaran yang diambil dari Vios 1.5)
    Empat-kelajuan E-AT
    Ekonomi penggunaan bahan api gabungan 20.1 km seliter
    Rim aloi 15-inci dua-tona
    Kit badan hadapan dan skirt sisi (dua tona)
    Bampar belakang dua-tona
    Spoiler belakang
    Pembaca tol bina-dalam (bersepadu dengan SmartTag)
    Enam beg udara (dua hadapan, sisi hadapan, tirai)

    Perodua Myvi 1.5 Advance
    RM55,300 (AT)

    Ditambah dengan:
    Advanced Safety Assist (ASA)
    Amaran Pra-pelanggaran
    Brek automatik Pra-pelanggaran (brek kecemasan automatik pada kelajuan rendah)
    Amaran Pergerakan Kehadapan
    Kawalan Salah-operasi Pedal

    Pilihan warna untuk Myvi 1.5:
    Ivory White (solid)
    Glittering Silver (metalik)
    Mystical Purple (metalik)
    Lava Red (metalik)
    Granite Grey (metalik) – warna baharu, eksklusif untuk model-model 1.5

     
     
  • Lebuhraya CSR tidak akan dikenakan caj tol – Rosnah

    Lebuhraya CSR tidak akan dikenakan caj tol – Rosnah

    Projek Central Spine Road (CSR) sepanjang 411 kilometer dan menghubungkan Pahang ke Kota Bharu, Kelantan, disahkan tidak akan ada tol, ujar Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam Dewan Rakyat semalam.

    Katanya lagi, ini termasuk dengan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai yang melibatkan jarak 61.36 km juga merupakan sebahagian daripada CSR dan ia juga akan bebas tol, laporan Bernama.

    Kenyataan ini adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Kamarudin Jaafar (PKR-Tumpat) yang ingin tahu adakah kerajaan merancang untuk mengenakan caj tol bagi Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai.

    Rosnah turut berkata, projek Kota Bharu-Kuala Krai merupakan sebahagian daripada Pelan Malaysia ke-10 (RMK10). Tambahnya lagi, pakej 1B (dari Pasir Hor ke Kadok) melibatkan jajaran sejauh tujuh kilometer, dan pembinaannya telah bermula sejak April 2014, serta dijangka siap pada Februari 2018. Sementara pakej 2A pula (dari Kadok ke Ketereh) yang melibatkan jarak 6.85 km, dijangka siap pada November 2018 dan pakej 2B (Ketereh ke Kok Lanas) sepanjang 6.2 km baru saja dikeluarkan surat persetujuan pada 3 November lalu.

     
     
  • Honda Wave Alpha ditawarkan dengan grafik istimewa

    Honda Wave Alpha ditawarkan dengan grafik istimewa

    Selepas diberikan pembaharuan pada Mac yang lalu, Boon Siew Honda kini memperkenalkan pula model grafik istimewa untuk model Wave Alpha. Ia adalah sebagai tambahan kepada dua variasi Wave Alpha sedia ada (model rim lidi dan brek dram dijual pada harga RM4,535.74, manakala model rim sport dengan brek cakera RM4,927.74) yang ditawarkan dalam pilihan tiga warna.

    Wave Alpha warna baru ini dijual pada harga RM5,086.94 termasuk GST, dan ia menggunakan tetapan rim sport serta brek cakera depan dan belakang. Warna gabungan merah dan putih serta grafik istimewa tersebut adalah menggunakan konsep sama seperti jentera yang digunakan dalam perlumbaan Cabaran Honda Wave Alpha 2017.

    Asas motosikal ini masih adalah sama, iaitu menggunakan enjin 109.1 cc satu silinder dengan sistem penyejukan udara dan kuasa disalurkan melalui kotak gear empat-kelajuan. Kuasa yang dihasilkan ialah 8.3 hp pada 7,500 rpm dan tork pula 8.59 Nm pada 5,500 rpm.

    Ruang barangan yang ada di bahagian bawah tempat duduk Wave Alpha ini, walaupun terhad, masih boleh memuatkan barangan bersaiz kecil. Turut disediakan adalah penghidup elektrik dan tendang. Honda Wave Alpha didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Perodua Myvi 2018 – apa itu ‘Advanced Safety Assist’?

    Perodua Myvi 2018 – apa itu ‘Advanced Safety Assist’?

    Perodua Myvi 2018 yang telah diumumkan secara rasmi pengenalannya pagi tadi nampaknya ditawarkan dengan senarai kelengkapan dan spesifikasi yang sangat menarik dan berbaloi. Walaupun perincian lengkap berkaitan model berkenaan belum lagi didedahkan sepenuhnya, ada beberapa perkara yang sudah dapat kita lihat berdasarkan maklumat pada risalah awal yang telah dikeluarkan.

    Sebagai contoh, paling minimum Myvi baru ini akan dilengkapi empat beg udara bagi varian 1.3L, manakala bagi varian 1.5L, ia akan hadir dengan enam beg udara. Ini belum ditambah dengan ciri lampu utama LED dan sistem tanpa kunci dan butang Push Start yang ditawarkan sebagai ciri standard bagi semua varian yang ada. Semua ini biasanya ditawarkan pada model kereta yang lebih premium, tentulah dengan harga yang berlipat kali ganda.

    Tambah menarik bagi aspek keselamatan, Perodua Myvi 2018 generasi ketiga ini turut dilengkapi dengan ciri yang dikenali sebagai Advanced Safety Assist (ASA), atau dalam bahasa mudahnya, bantuan pemanduan selamat. Sistem ASA ini merupakan ciri sedia ada yang dibangunkan oleh Daihatsu; dipanggil Smart Assist di Jepun.

    Tapi, apa sebenarnya yang dilakukan oleh sistem ini? Sebagai permulaan, ia terdiri daripada empat sistem berbeza – Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB) (mirip kepada autonomous emergency braking, AEB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC). Sistem ini berfungsi menggunakan sebuah kamera yang terletak di belakang bahagian cermin pandang belakang.

    Perodua Myvi 2018 – apa itu ‘Advanced Safety Assist’?

    Bila rangkaian sistem ini akan berfungsi? Secara ringkasnya, bagi PCW, ia akan mengeluarkan bunyi amaran dua saat sebelum sekiranya ia mendapati kenderaan anda sedang menghampiri kenderaan di depan dalam jarak yang tidak selamat. Ciri ini berfungsi dalam kelajuan dari 4 km/j hingga 30 km/j. Jika anda masih tidak melakukan apa-apa terhadap brek dan stereng, PCB pula akan diaktifkan.

    Ia akan membrek kenderaan anda sehingga berhenti sepenuhnya dan ciri ini berfungsi sama seperti apa yang dilakukan oleh autonomous emergency braking (AEB). Ia berlangsung dalam dua peringkat; 1.3 saat sebelum perlanggaran dengan aplikasi brek sederhana dan kemudian 0.8 saat sebelum perlanggaran dengan brek kuat. Tapi, apa yang pemandu dan penumpang akan rasa ialah satu brek yang agak kasar sebelum kereta berhenti.

    Bagi FDA pula, ia akan membunyikan amaran sekiranya kenderaan di depan sudah bergerak dan anda masih lagi tidak berbuat apa-apa. Bayangkan ketika berhenti untuk lampu merah, dan anda membelek telefon dan tidak perasan kereta depan sudah mula bergerak. Sistem ini akan memaklumkan pemandu terhadap situasi seperti itu.

    Terakhir, PMC pula akan bertindak untuk mengesan halangan pada laluan dihadapan (dalam jarak empat meter). Dalam keadaan itu, ia tidak akan membenarkan pemandu untuk menambah kelajuan walaupun pedal minyak ditekan. Ciri ini juga sangat berguna misalnya dalam situasi parkir kenderaan – ia akan mengelakkan situasi yang lebih teruk sekiranya pemandu tersilap memijak pedal (pedal minyak dan bukan brek seperti yang sepatutnya). Bunyi mungkin melucukan, tetapi perkara ini benar-benar terjadi di dunia nyata.

    Perodua Myvi 2018 – apa itu ‘Advanced Safety Assist’?

    Dah nama pun teknologi, mesti ada perkara yang terhad. Kamera stereo yang digunakan ini hanya mengesan bentuk kereta dan perlu padanan paling kurang 60% untuk sistem ini berfungsi. Sudut penglihatan yang diliputi ialah 40 darjah melintang dan 20 darjah menegak, dengan kualiti imej 1280 x 960 pixels. Ia boleh melihat sehingga 60 meter ke depan. Bagaimanapun, dalam cuaca hujan atau berkabus, ia tidak akan dapat mengesan dengan baik.

    Ini menjadikan Myvi 2018 satu-satunya kereta di bawah RM100k yang mempunyai ciri-ciri keselamatan aktif seperti ini. Selain Myvi ini, paling murah boleh didapat ciri seperti AEB adalah pada Hyundai Ioniq (RM114k), Mazda 3 spesifikasi tinggi (RM125k) dan Peugeot 308 spesifikasi tinggi (RM128k) – walaupun sistem yang ada pada Myvi ini bukanlah yang paling maju dalam kalangan berkenaan.

    Dari segi fungsinya, ASA ini bolehlah dianggap sebagai versi yang lebih ringkas bagi Honda Sensing yang ditawarkan pada model CR-V 2017 dan Accord 2.4 Advance yang diperkenalkan semalam.

    Jadi, apa pandangan anda tentang ciri berkenaan, adakah ia cukup menarik dan berguna? Tambahan pula pada harga ia ditawarkan, ini tentunya sesuatu yang dapat memberi manfaat kepada pengguna dan harapnya boleh mendidik pemandu untuk lebih bertanggungjawab ketika dijalan raya.

     
     
  • Boon Siew Honda beri diskaun sehingga 40% untuk baik pulih motosikal mangsa banjir di Pulau Pinang

    Boon Siew Honda beri diskaun sehingga 40% untuk baik pulih motosikal mangsa banjir di Pulau Pinang

    Hujung minggu lalu Pulau Pinang dilanda banjir yang teruk, dan bagi membantu meringankan beban mangsa di sana, Boon Siew Honda (BSH) kini menawarkan diskaun sehingga 40% untuk alat ganti tulen dan kos buruh baik pulih motosikal. Program khas ini bermula 10 November hingga akhir bulan Januari 2018 di wakil pengedar terpilih BSH.

    Mereka yang memerlukan khidmat ini terlebih dahulu perlu membuat laporan polis ataupun mendapatkan pengesahan di Pejabat Daerah dan Tanah, kemudiannya menghubungi wakil pengedar yang disenaraikan di bawah. Maklumat lanjut juga boleh didapati dengan menghubungi talian bebas tol 1800-88-3993.

    Taycon Motor Sdn Bhd 012-5534821 (Ah Pin)
    Chang Motor Sdn Bhd 016-4433856 (Ms. Foong)
    Sing Huat Motor Sdn Bhd 012-4088398 (Mr. Cheah)
    Boon Hai Motor Sdn Bhd 012-4923446 (Ah Hooi)
    KB Soon Huat Motor Sdn Bhd 019-5751241 (Mr. Khoo)
    Chung Seng Motor (S.Perai) Sdn Bhd 017-4958705 (Ah Chye)
    EL Chong Motor Trading Sdn Bhd 014-5822489 (Mr. Chong)

    “BSH berharap program ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pelanggan kami akibat banjir yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini. Kita (BSH) akan mencuba sedaya upaya untuk memberi bantuan kepada pelanggan,” kata timbalan pengerusi dan timbalan ketua pegawai eksekutif Boon Siew Honda, Datuk Seri Datuk Wira Tan Hui Jing.

     
     
  • Harga minyak 9-15 Nov 2017 – naik sampai tujuh sen!

    Harga minyak 9-15 Nov 2017 – naik sampai tujuh sen!

    Minggu lalu dari 2 hingga 8 November 2017 telah menyaksikan peningkatan harga ketiga-tiga bahan api utama iaitu masing-masing sebanyak 4 sen. Dan kali ini…sekali lagi marilah kita sama-sama bertabah secara berjemaah. Ia dilaporkan naik walau pun berbeza digit bagi minggu bertarikh 9 hingga 15 November 2017. Dan paling mengejutkan, ia melibatkan peningkatan yang tertinggi setakat ini.

    Bagi petrol RON 95, ia melibatkan peningkatan harga sebanyak 7 sen, iaitu menjadi RM2.31 seliter. Manakala RON 97 turut dilaporkan naik sebanyak 6 sen, kini menjadi RM2.60 seliter. Untuk diesel pula, ia meningkat sebanyak 3 sen iaitu RM2.20 seliter bagi Euro 2, dan Euro 5 pula menjadi RM2.30 seliter.

    Harga baharu yang dimaklumkan tersebut adalah berkuatkuasa 12 tengah malam ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026