Melihat kepada keadaan di Malaysia, Kawasaki KLX150 cukup popular dalam dunia motosikal dual purpose/offroad permulaan. Setelah sekian lama, ia tidak mempunyai pesaing dari jenama Jepun, dan alternatif lain peminat motosikal jenis ini adalah daripada jenama Demak, DTM dan beberapa lagi. Keadaan sama juga berlaku di Indonesia.
Kini, ia sudah berubah kerana Honda baru sahaja memperkenalkan CRF150L untuk pasaran Indonesia, dan ia cukup menarik jika dilihat daripada spesifikasi. Harganya pula, jika dibandingkan dengan KLX150 di sana, cuma berbeza 2.7 juta rupiah (sekitar RM834) iaitu bermula 31,800,000 rupiah (RM9829).
Dengan bayaran lebih sedikit sahaja, CRF150L menawarkan pelbagai kelebihan berbanding KLX150 seperti meter digital kompak, rim Excel 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, suspensi USD 37 mm dengan jarak gerak 225 mm di hadapan, monoshock dengan Pro-link di belakang, raiser di pemegang yang boleh dilaras dan penampilan moden seperti ‘abangnya’ yang lebih besar, CRF250L dan CRF450.
Pada bahagian enjin, CRF150L menggunakan unit satu silinder 150 cc dengan sistem suntikan bahan api PGM-FI, dan dipadankan bersama transmisi lima kelajuan. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 12.91 PS pada 8,000 rpm dan 12.43 Nm tork pada 6,500 rpm. Untuk memulakan enjin, anda boleh menggunakan pemula elektrik ataupun tendang. Berat keseluruhan CRF150L adalah 122 kg, dan ia datang dengan kapasiti tangki 7.2 liter.
Melihat kepada semua kelengkapan ini, ternyata CRF150L menyediakan lebih banyak nilai kepada pengguna berbanding KLX150L di Indonesia. Ini kerana KLX150 yang sedang dijual di sana masih lagi menggunakan rim 19 inci di hadapan dan 16 inci di belakang, manakala fork hadapan pula masih adalah unit teleskopik biasa. Namun jika masuk ke Malaysia, CRF150 ini tidak jauh berbeza dengan model KLX150BF yang merupakan versi terkini yang dijual di sini, di mana ia dilengkapi dengan fork USD dan padanan rim 21/18 inci.
Bergantung kepada kajian awal yang dilakukan, pembinaan projek LRT di Sarawak boleh dimulakan pada 2019 seperti dilaporkan oleh The Borneo Post. Belanjawan kerajaan negeri yang dibentangkan pada Rabu, menyediakan peruntukan untuk kajian berkenaan dijalankan, yang mengambil masa setahun untuk disiapkan, seperti dinyatakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Kajian awal itu merangkumi laluan yang dicadangkan, kedaan tanah dan sumber tenaga, sementara pembangunan berperingkat sistem LRT berkenaan akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan terlibat sekitar Kuching.
Beliau turut menambah, kawasan liputan berkenaan juga boleh diperluas, melibatkan kawasan Bako, Damai, Lundu, Bau dan Serian serta Kota Samarahan dan Padawan. “Jika kerajaan Brookes dahulu mampu membina laluan keretapi pertama dari Kuching ke Batu 10 dahulu, kita tentulah boleh melakukan lebih daripada itu kini,” tambah beliau.
Perkhidmatan LRT yang dicadangkan itu dijangka akan menggunakan tren elektrik memandangkan negeri berkenaan memiliki janaan eletrik yang besar oleh tiga stesen ketika ini; di Batang Ai, Bakun dan Murum. Stesen janakuasa keempat yang sedang di bina di Baleh juga dijangka akan menghasilkan 1,400 MW tenaga sebaik sahaja ia siap pada 2025 nanti.
Satu lagi berita mengenai kemalangan jalan raya pagi ini. Kali ini daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) yang mendapati kebanyakan pemandu di negara ini mengakui bahawa penggunaan telefon bimbit ketika memandu merupakan faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya,
Menerusi kajian yang dijalankan majoriti rakyat Malaysia juga bersetuju penggunaan telefon bimbit ketika memandu boleh mempengaruhi tingkah laku pemanduan serta membahayakan diri mereka dan orang lain, namun mereka masih berbuat demikian.
Miros melakukan kajian rawak pada tahun lalu terhadap 300 responden di Lembah Klang yang mendapati 43.4% pengguna jalan raya menggunakan telefon bimbit ketika memandu kereta dan membonceng motosikal manakala 61.7% pemandu menerima atau membuat panggilan telefon ketika memandu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali seminggu.
“Kajian itu juga mendedahkan 53.6% pemandu menggunakan telefon bimbit ketika terperangkap di dalam kesesakan jalan raya; 53% pemandu menaip teks ketika memandu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali seminggu dan 61.7% pemandu menerima atau membuat panggilan telefon ketika memandu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali seminggu,” ujar Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye seperti mana yang dilaporkan oleh Bernama.
Justeru, beliau berpendapat walaupun responden mengakui penggunaan telefon bimbit merupakan antara punca kemalangan, namun mereka enggan berubah sikap, kurang displin dan degil meneruskan tabiat itu, sekaligus meningkatkan risiko jalan raya.
“Segala-galanya berpunca daripada sikap masing-masing. Saya berpendapat penguatkuasaan undang-undang jalan raya oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negara ini perlu dipertingkatkan lagi bagi memastikan pemandu memandu dengan mengikut peraturan jalan raya yang telah ditetapkan. Miros mendapati budaya dan sikap pemandu memang merupakan trend pada masa kini dan Miros akan menjalankan lebih banyak lagi kempen kesedaran kepada pengguna jalan raya,” katanya.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengumumkan statistik kematian akibat kemalangan jalan raya yang berlaku dalam tempoh Januari hingga September 2017, iaitu melibatkan 5,083 kematian.
Menurut Pengarah JSPT, SAC Sharul Othman Mansor, daripada jumlah itu, sebanyak 1,077 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan melibatkan pelajar sekolah berusia di antara 6 hingga 20 tahun diikuti jumlah golongan tersebut yang cedera parah seramai 1,150 orang dan 1,675 orang cedera ringan, Bernama.
Selain itu, dalam tempoh sama kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal berumur 16 hingga 25 tahun adalah tertinggi direkodkan iaitu sebanyak 1,043 kes daripada 3,232 kes.
“Penunggang dan pembonceng motosikal masih lagi menjadi kumpulan pengguna jalan raya yang paling terdedah dan paling berisiko tinggi terlibat dalam kes kemalangan jalan raya di negara ini,”katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Pencegahan Jenayah di Melaka baru-baru ini.
Katanya lagi, golongan penunggang dan pembonceng motosikal merupakan golongan yang tertinggi berisiko kemalangan kerana kebanyakan mereka sering mengabaikan isyarat lalu lintas dan aspek keselamatan yang lain.
Di mana dalam tempoh sama, sebanyak 764 tangkapan dilakukan menerusi 2,795 operasi membanteras lumba haram melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal. Daripada jumlah itu, seramai 369 orang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal berusia 16 hingga 20 tahun, sebanyak 275 orang berusia 21 hingga 25 tahun, seramai 87 orang berusia kurang daripada 15 tahun, seramai 30 orang berusia 26 hingga 30 tahun dan tiga orang berusia lebih daripada 31 tahun.
“Kesemua mereka ini didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya bukan sahaja pada diri sendiri tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain,”katanya.
Beliau berkata berdasarkan situasi itu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melalui JSPT giat menganjurkan kempen keselamatan jalan raya dan pencegahan jenayah di bawah pelan Tindakan Inisitif Strategi Lautan Biru Kebangsaan dengan institusi pengajian tinggi di negara ini bagi meningkatkan kesedaran dan aspek keselamatan jalan raya dalam kalangan generasi muda.
Program berkenaan mempunyai empat objektif utama termasuk memberi pembelajaran mengenaik teknik dan kemahiran menunggang motosikal secara berhemah serta memberi pengetahuan dan kesedaran melalui ceramah pencegahan jenayah, dadah, kempen keselamatan jalan raya.
Agak lama tak dengar khabar tentang pencapaian Proton dalam litar lumba. Tetapi, untuk hujung minggu lalu, lain ceritanya; jentera pasukan Proton R3 merangkul gelaran juara di dalam perlumbaan Sepang 1,000 km Endurance 2017 (S1K).
Jentera Suprima S R3 bernombor 82 yang dipandu oleh Admi Shahrul dan James Veerapan menamatkan saingan jauh di hadapan juara S1K tahun lalu, Tengku Djan Ley dan Keifli Othman. Sementara jentera Iriz R3 bernombor 81 yang dipandu oleh Syafiq Ali dan Farique Hairuman menamatkan perlumbaan ditempat kelima – selepas mengharungi 171 pusingan yang mencabar.
“Proton R3 menunjukkan kerjasama berpasukan yang sangat baik walaupun di dalam S1K tahun lalu. Proton memiliki pasukan pelumba, jurutera dan kakitangan teknikal yang sangat berdedikasi untuk pembangunan kereta R3 serta sukan permotoran, dan saya amat berbangga dengan apa yang telah mereka capai pada malam ini.
Pencapaian terbaru ini juga merupakan perkara yang manis bagi kemunculan semula kami di sukan permotoran selepas ini. Ia tentunya titik tolak yang baik bagi Proton,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Dr Li Chunrong.
Khamis depan, Perodua dengan rasminya akan melancarkan model Myvi 2018. Dan, nampak gayanya, model terbaru ini sudah mula mengukir sejarahnya sendiri – jumlah tempahan yang diterima sejak dua hari lalu sudah mencecah 1,500 unit.
Menurut Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Datuk Dr Zahari Husin, itu merupakan rekod tempahan tertinggi yang pernah diterima oleh mana-mana model Perodua sebelum ini. “Tempahan yang diterima sejak 10 November lalu sudah 1,500 unit. Ini lebih tinggi daripada yang dicatatkan oleh Bezza tahun lalu.” Perodua mula membuka tempahan bagi Myvi 2018 pada 10 November.
Perodua Myvi generasi ketiga ini bakal hadir dengan pelbagai ciri terkini yang sangat menarik, antaranya pilihan enjin 1.3 liter dan 1.5 liter Dual VVT-i, lampu LED, dan pada model-model spesifikasi tinggi ia turut bakal tampil dengan enam-beg udara.
Myvi 2018 juga akan dilengkapi dengan ciri bantuan pemanduan keselamatan ASA yang terdiri daripada empat sistem berbeza – Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB) (mirip kepada autonomous emergency braking, AEB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC).
Lebih menarik, hatchback ikonik ini turut menawarkan harga yang begitu kompetitif, bermula dari RM44,300 untuk 1.3 Standard G manual dan RM46,300 untuk automatik, RM48,300 untuk 1.3 Premium X dan RM51,800 untuk 1.5 High. Model tertinggi 1.5 Advance pula dijual pada harga RM55,300. Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan semua model hadir dengan pelindungan waranti lima tahun/150,000km
Menerusi posting terbaharu pada laman Facebook rasmi Perodua, Myvi generasi baharu nampaknya bakal dilancarkan pada masa terdekat iaitu 16 November ini.
Perodua Myvi generasi ketiga ini telah dikhabarkan bakal hadir dengan pelbagai ciri terkini yang begitu menarik antaranya pilihan enjin 1.3 liter dan 1.5 liter Dual VVTi, lampu hadapan LED, dan pada model-model spesifikasi tinggi ia turut bakal tampil dengan enam-beg udara
Myvi 2018 turut bakal hadir dengan pakej bantuan pemanduan keselamatan ASA yang terdiri daripada empat sistem berbeza – Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB) (mirip kepada autonomous emergency braking, AEB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC).
Lebih menarik, hatchback ikonik ini turut menawarkan harga yang begitu kompetitif iaitu bermula dari RM44,300 untuk 1.3 Standard G manual dan RM46,300 untuk automatik, RM48,300 untuk 1.3 Premium X dan RM51,800 untuk 1.5 High. Model tertinggi 1.5 Advance pula dijual pada harga RM55,300. Kesemua harga yang dinyatakan adala harga atas jalan tanpa insuran, dan kesemua model hadir dengan pelindungan waranti lima tahun/150,000km. Berminat dengan kereta ini? Tempahan untuk model ini sebenarnya telah dibuka semalam.
Menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh; “Myvi serba baru ini menjadi model Perodua pertama yang mana rekaan luarannya (upper body) dilakukan oleh Perodua sendiri tanpa input dari orang luar.” Jadi jelas, bahagian atas model baharu ini bukanlah model saduran dari Daihatsu Boon atau Toyota Passo seperti model sebelum ini.
Perodua Myvi 1.3 Standard G
RM44,300 (MT)
RM46,300 (AT)
Hadir standard dengan:
Enjin 1.3 liter Dual VVT-i (1NR-VE)
1,329 cc, empat-silinder petrol
94 hp pada 6,000 rpm, 121 Nm pada 4,000 rpm (angka anggaran yang diambil dari Bezza 1.3)
Manual lima kelajuan atau Automatik empat-kelajuan E-AT
Lampu hadapan LED dengan fungsi auto off dan follow-me-home
Pelaras lampu hadapan
Lampu belakang LED dengan lampu panduan
Penderia undur
Rim aloi 14-inci
Sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin
Konfigurasi tempat duduk fleksibel 8+1
Tempat duduk belakang boleh lipat 60:40
Poket sisi (untuk telefon bimbit) pada tempat duduk hadapan
Empat beg udara (dua hadapan dan hadapan sisi)
ABS dan EBD
Kawalan Stabiliti Elektronik (VSC)
Kawalan Traction (TRC)
Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS)
Waranti lima-tahun/150,000 km
Disasarkan untuk mendapat lima-bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP
Perodua Myvi 1.3 Premium X
RM48,300 (AT)
Ditambah dengan:
Sistem start-stop enjin automatik Eco-idle
Kemasan luaran dan dalaman tambahan (belum didedahkan)
Pilihan warna untuk Myvi 1.3:
Ivory White (solid) Glittering Silver (metalik) Mystical Purple (metalik) Lava Red (metalik) Peppermint Green (metalik) – warna baharu, eksklusif untuk model-model 1.3
Perodua Myvi 1.5 High
RM51,800 (AT)
Ditambah dengan:
Enjin 1.5 liter Dual VVT-i (2NR-VE)
1,496 cc, empat-silinder petrol
106 hp pada 6,000 rpm, 140 Nm pada 4,200 rpm (angka anggaran yang diambil dari Vios 1.5)
Empat-kelajuan E-AT
Ekonomi penggunaan bahan api gabungan 20.1 km seliter
Rim aloi 15-inci dua-tona
Kit badan hadapan dan skirt sisi (dua tona)
Bampar belakang dua-tona Spoiler belakang
Pembaca tol bina-dalam (bersepadu dengan SmartTag)
Enam beg udara (dua hadapan, sisi hadapan, tirai)
Pilihan warna untuk Myvi 1.5: Ivory White (solid) Glittering Silver (metalik) Mystical Purple (metalik) Lava Red (metalik) Granite Grey (metalik) – warna baharu, eksklusif untuk model-model 1.5
Perodua hanya mendedahkan sedikit bahagian hadapan, sisi. dan belakang ketika Myvi 2018 mula membuat penampilan sulungnya semalam. Namun jurugambar power kami, Patrick Seow berjaya mengintai bahagian dalaman hatchback generasi ketiga berkenaan dan mendapatkan gambaran bagaimana rupa papan pemukanya.
Jelas, papan pemuka model genarasi baharu ini direka jauh berbeza dari model sebelumnya. Jika Myvi sedia ada menampilkan konsol tengah yang seolah-olah timbul kehadapan, papan pemuka baharu ini lebih moden menampilkan permukaan lebih rata, menempatkan skrin infotaimen, dan panel tersebut bersepadu dengan liang penghawa dingin tengah – seakan rekaan pada Honda Jazz.
Klik untuk besarkan
Apa yang membuatkan papan pemuka ini kelihatan lebih premium adalah penampilan kemasan piano black pada panel tengah dan bahagian sisi pemandu, manakala sekelilingnya turut diberikan kemasan jalur berwarna perak.
Turut kelihatan adalah butang penghidup enjin yang terletak di bawah konsol utama, manakala stereng tiga jejari dengan rekaan baharu turut menempatkan suis kawalan audio pada bahagian kiri dan telefon pada bahagian kanan, serta dibalut dengan kulit.
Menerusi imej teaser yang disiarkan tempoh hari juga dapat dilihat tombol gear Myvi tidak lagi diletakkan pada papan pemuka, sebaliknya ia kelihatan lebih normal dengan tuil gear yang terletak pada terowong tengah.
Menurut Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh; “Myvi serba baru ini menjadi model Perodua pertama yang mana rekaan luarannya (upper body) dilakukan oleh Perodua sendiri tanpa input dari orang luar.” Jadi jelas, bahagian atas model baharu ini bukanlah model saduran dari Daihatsu Boon atau Toyota Passo seperti model sebelum ini dan rekaan pada papan pemukanya juga langsung tidak diberikan DNA dari kedua-dua model JDM tersebut.
Perodua Myvi dilihat bakal membawa persaingan hatchback segmen-B keperingkat lebih tinggi kerana ia akan turut menawarkan pakej bantuan pemanduan keselamatan ASA yang terdiri daripada empat sistem berbeza – Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB) (mirip kepada autonomous emergency braking, AEB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC).
Perodua Myvi 1.3 Standard G
RM44,300 (MT)
RM46,300 (AT)
Hadir standard dengan:
Enjin 1.3 liter Dual VVT-i (1NR-VE)
1,329 cc, empat-silinder petrol
94 hp pada 6,000 rpm, 121 Nm pada 4,000 rpm (angka anggaran yang diambil dari Bezza 1.3)
Manual lima kelajuan atau Automatik empat-kelajuan E-AT
Lampu hadapan LED dengan fungsi auto off dan follow-me-home
Pelaras lampu hadapan
Lampu belakang LED dengan lampu panduan
Penderia undur
Rim aloi 14-inci
Sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin
Konfigurasi tempat duduk fleksibel 8+1
Tempat duduk belakang boleh lipat 60:40
Poket sisi (untuk telefon bimbit) pada tempat duduk hadapan
Empat beg udara (dua hadapan dan hadapan sisi)
ABS dan EBD
Kawalan Stabiliti Elektronik (VSC)
Kawalan Traction (TRC)
Lampu Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS)
Waranti lima-tahun/150,000 km
Disasarkan untuk mendapat lima-bintang dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP
Perodua Myvi 1.3 Premium X
RM48,300 (AT)
Ditambah dengan:
Sistem start-stop enjin automatik Eco-idle
Kemasan luaran dan dalaman tambahan (belum didedahkan)
Pilihan warna untuk Myvi 1.3:
Ivory White (solid) Glittering Silver (metalik) Mystical Purple (metalik) Lava Red (metalik) Peppermint Green (metalik) – warna baharu, eksklusif untuk model-model 1.3
Perodua Myvi 1.5 High
RM51,800 (AT)
Ditambah dengan:
Enjin 1.5 liter Dual VVT-i (2NR-VE)
1,496 cc, empat-silinder petrol
106 hp pada 6,000 rpm, 140 Nm pada 4,200 rpm (angka anggaran yang diambil dari Vios 1.5)
Empat-kelajuan E-AT
Ekonomi penggunaan bahan api gabungan 20.1 km seliter
Rim aloi 15-inci dua-tona
Kit badan hadapan dan skirt sisi (dua tona)
Bampar belakang dua-tona Spoiler belakang
Pembaca tol bina-dalam (bersepadu dengan SmartTag)
Enam beg udara (dua hadapan, sisi hadapan, tirai)
Pilihan warna untuk Myvi 1.5: Ivory White (solid) Glittering Silver (metalik) Mystical Purple (metalik) Lava Red (metalik) Granite Grey (metalik) – warna baharu, eksklusif untuk model-model 1.5
Mercedes-Benz Malaysia telah mengumumkan penganjuran program bantuan mangsa banjir mereka untuk pelanggan yang berada di bahagian utara, yang kenderaan mereka terjejas akibat banjir teruk baru-baru ini.
Melalui program ini, diskaun sehingga 40% akan diberi pada alat ganti, apabila mereka ini membawa kenderaan tersebut ke pusat servis berdaftar Mercedes-Benz Autohaus. Walabagaimanapun, mereka perlu mempersiapkan dokumen yang diperlukan dan menempah temu janji terlebih dahulu.
Mangsa banjir ini juga dinasihatkan supaya tidak menghidupkan enjin kenderaan mereka, kerana ia berkemungkinan mengakibatkan kerosakan yang lebih serius. Cara yang lebih elok adalah dengan menghubungi syarikat insurans, atau penyedia khidmat tunda kenderaan untuk membawa kenderaan mereka ke pusat servis rasmi.
Proton dan Zhejiang Geely Holding Group (Geely) sepakat untuk memanfaatkan vendor syarikat sedia ada, yang kini berjumlah 230 syarikat. Malah menerusi usahasama yang terjalin ini, Geely turut menyasarkan bagi meningkatkan jualan Proton kepada 500,000 unit setahun dalam masa 10 tahun. Tahun lepas, jualan Proton berjumlah lebih kurang 72,000 unit.
Dalam Dewan Rakyat hari ini, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata, dengan meningkatnya penjualan kereta Proton kepada 500,000 setahun sudah tentunya perniagaan mereka (vendor) akan berkembang, laporan Bernama.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) berkenaan usaha kerajaan untuk membina kapasiti dengan adanya perjanjian antara Proton dan Geely serta mengembangkan dan memberi peluang kepada vendor-vendor Proton sedia ada.
Manakala mengenai soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) berkaitan jaminan kerajaan kepada pekerja dan vendor Proton berikutan usaha sama Proton dan Geely itu, Ahmad berkata pekerja Proton sedia ada tidak akan dibuang malahan terdapat perancangan untuk meningkatkan bilangan pekerja kepada 20,000 orang dalam masa 10 tahun.
Katanya, Geely juga merancang untuk menambah bilangan vendor Proton di samping meningkatkan keupayaan vendor sedia ada bagi mengeluarkan produk yang lebih berkualiti.
Sekiranya melihat kepada bentuk asalnya, Bentley Continental GT memanglah bukan pilihan yang biasa bagi sebuah kereta lumba. Walaubagaimanapun, itulah yang dilakukan oleh pasukan Crew, yang menggunakan model ini sebagai kereta lumba kelas GT3 sejak tahun 2013. Dengan pelancaran model baru awal tahun ini, pasukan itu juga turut menggunakan model tersebut sebagai asas untuk kereta lumba terbaru.
Bentley Continental GT3 baru ini dibangunkan dengan kerjasama M-Sport (pasukan sama yang mengendalikan World Rally Championship untuk Ford), dan mengambil kesempatan daripada struktur aluminium kenderaan tersebut untuk menyediakan kereta lumba yang beratnya cuma 1,300 kg, serta pembahagian berat yang ideal.
Kuasa masih lagi datang daripada enjin V8 twin-turbo 4.0 liter asal, tetapi dipasang dengan sistem pengurusan enjin Cosworth, takung minyak enjin yang direka semula, serta salur udara dan ekzos baru. Hasilnya, enjin kereta lumba ini boleh menghasilkan 550 hp untuk dihantar ke roda belakang, melalui transmisi sequential enam kelajuan Ricardo.
Sudah tentu, bahagian luar kenderaan ini diubah suai dengan ujian di dalam terowong angin bagi mendapatkan kuasa tolakan ke bawah yang lebih baik, dengan badan yang lebih lebar, salur udara lebih besar, diffuser belakang yang besar dan sayap belakang yang juga besar. Di sebalik badan ini terdapat suspensi double wishbone dengan penyerap lumba boleh laras, dan brek Alcon yang terdiri daripada angkup enam piston di hadapan dan empat piston di belakang. Rim adalah unit 18 inci daripada BBS Motorsport.
Kereta lumba ini telah pun memulakan program ujian seama enam bulan di sekitar United Kingdom, Perancis dan Portugal, bagi mempersiapkannya untuk mengganti kereta sebelum ini yang telah mencatat 120 podium dan 45 kemenangan dalam 528 perlumbaan. Continental GT versi lumba baru ini akan membuat penampilan pertama di perlumbaan pembukaan Blancpain GT Series Endurance Cup 2018 di Monza.
Sebelum didedahkan secara rasmi, pengeluar supercar dari Itali menyiarkan terlebih dahulu video teaser produk terbaharunya iaitu sebuah SUV berprestasi tinggi yang dikenali sebagai Urus. Selain sebagai prebiu, video ini juga menayangkan fungsi salah satu mod pemanduan yang diberikan, digelar sebagai mod Sabbia (pasir).
Menerusi mod pemanduan berkenaan, Urus nampaknya tiada masalah untuk meredah padang pasir dengan kelajuan tinggi. Video tersebut juga turut memperlihatkan bagaimana sistem four-wheel steering yang dipadankan pada SUV ini berfungsi, memberikan pergerakan lincah walaupun dalam situasi sukar.
Selain dari Sabbia, Urus turut diberikan dua mod pemanduan lasak lain iaitu Terra (berlumpur) dan Neve (salji). Tiga mod pemanduan pemukaan tar iaitu Strada (jalan raya), Sport dan Corsa (litar) seperti pada barisan supercar terkini Lambo yang lain turut diberikan pada Urus.
Dari segi rekabentuk pula, nampaknya SUV ini bakal mengekalkan rupa seperti model konsep yang muncul pada tahun 2007 dahulu – hanya berberapa perkara disentuh semula bagi menjadikan ia sebuah model produksi sebenar. Menurut Lamborghini, Urus akan menerima enjin khas 4.0 liter V8 turbo berkembar, dan mungkin akan ditawarkan dalam versi plug-in hybrid selepas itu.
SUV berkuasa tinggi ini dijadualkan akan membuat kemunculan sulung pada 4 Disember ini. Setelah masuk ke pasaran nanti, Urus pastinya akan memberikan cabaran kepada SUV berprestasi tinggi lain seperti Porsche Cayenne.
Lagenda ada dalam pelbagai bidang, dan bagi perlumbaan MotoGP, pengulasnya setelah sekian lama, iaitu Nick Harris diiktiraf sebegitu dalam apa yang beliau lakukan. Tetapi, musim perlumbaan 2017 adalah tahun terakhir Harris akan bertugas sebagai pengulas rasmi MotoGP, bermakna perlumbaan di Valencia minggu ini adalah kali terakhir penggemar siri perlumbaan tersebut dapat mendengar suara beliau.
Oelh itu, MotoGP menyediakan satu kejutan sebagai penghargaan, dan ia dipersembahkan kepada Harris sewaktu sidang media pertama siri MotoGP Valencia, semalam. Beliau juga dipanggil untuk duduk di meja hadapan bersama pelumba utama MotoGP untuk menonton video khas yang disediakan.
Saksikan dalam video di atas, bagaimana sebenarnya semua yang terlibat dalam MotoGP ini amat menghormati beliau dan menyatakan rasa sedih dengan persaraan ini. Harris digelar sebagai ‘voice of MotoGP’ dan suara beliau semasa perlumbaan sentiasa menaikkan rasa membara di kalangan penonton.
Walaupun operasi pasukan rali dunia Volkswagen telah ditamatkan bermula musim WRC tahun ini, jenama dari Jerman berkenaan nampaknya masih lagi berminat untuk bertanding dalam perlumbaan dengan disiplin tersebut. Terbaharu, mereka telah menyiarkan teaser jentera Polo GTI R5 baharu yang akan diperkenalkan untuk program perlumbaan pelanggan.
Jentera ini akan diasaskan dari Volkswagen Polo GTI generasi terkini (Mk6) yang baharu sahaja didedahkan pada Jun lalu dan hanya mula dipasarkan pada hujung tahun ini. Untuk versi produksi, Polo GTI akan dijana enjin 2.0 liter empat silinder turbo TSI bekuasa 200 PS, namun untuk bertanding dalam kategori R5, jelas sekali enjin dengan kapasiti 1.6 liter turbo perlu dimuatkan pada kereta ini.
Tiada perincian lanjut berkenaan unit janakuasa didedahkan, tetapi VW ada menyebut Polo GTI R5 akan dikerah dengan kuasa 270 hp dan dihantar ke keempat-empat roda menerusi kotak gear sequential perlumbaan lima-kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda. Seperti juga jentara rali lain, kereta ini turut akan diberikan pakej keselamatan yang menyeluruh.
Pembangunan kereta ini sebenarnya telah bermula pada awal tahun ini, manakala sesi ujiannya juga dirancang akan dilakukan dalam tahun ini. Volkswagen akan menggunakan segala kepakaran mereka ketika berkecimpung dalam WRC selama empat tahun (2013-2016) dan mendominasi keseluruhan perlumbaan tersebut dengan menjadi juara pengeluar dan pemandu menerusi Sebastien Ogier sepanjang tempoh berkenaan.
Projek ini juga diketuai oleh François-Xavier “FX” Demaison, iaitu Pengarah Teknikal Volkswagen Motorsport yang juga orang yang bertanggung jawab menghasilkan jentera Polo R WRC sebelum ini. Jurutera projek senior Gerard-Jan de Jongh iaitu bekas jurutera perlumbaan untuk Sebastien Ogier turut terlibat dalam pembangunan Polo GTI R5 berkenaan.
“Dengan Polo GTI R5 kami berharap dapat memindahkan kepakaran kami dari WRC kepada program perlumabaan pelanggan dengan jayanya, dan menawarkan jentera perlumbaan kelas-pertama untuk pelbagai kejuaraan rali dari siri nasional hingga ke WRC,” kata pengarah sukan permotoran Volkswagen Sven Smeets.
“Sebelum bermula perlumbaan pertama tahun hadapan, kami akan mensubjekkan Polo GTI R5 untuk menjalani ujian yang ketat bagi memastikan ia bersedia untuk meredah pelbagai situasi dengan laluan ekstrem di seluruh dunia,” jelasnya lagi.
Dengan tahun 2017 sudah hampir berakhir, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd memutuskan untuk memperkenalkan warna baru bagi skuter NMax 155, bagi menggantikan warna sebelum ini yang sudah diberhentikan pengeluarannya. Warna baru bagi NMax ini adalah terdiri daripada hitam dan biru.
Harga dan spesifikasi motosikal ini masih tidak berubah, iaitu jika mengikutkan harga sewaktu pelancarannya adalah RM8,812 termasuk GST, dan menggunakan enjin satu-silinder 155 cc empat injap SOHC suntikan bahan api dengan sistem injap bukaan bervariasi (VVA) dan digandingkan bersama kotak gear CVT. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 14.8 hp pada 8,000 rpm dan tork dicatatkan 14.4 Nm pada takat 6,000 rpm.
Berat keseluruhan Yamaha NMax adalah 136 kg, dan ia datang dengan tangki minyak berkapasiti 6.6 liter. Rim yang digunakan adalah bersaiz 13 inci, manakala brek pula kedua-duanya adalah unit cakera 230 mm di depan dan belakang. NMax warna baru ini akan mula berada di pasaran pada minggu hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata semua pemandu bas ekspres diwajibkan untuk memiliki kad pemandu mulai tahun depan manakala bagi kelas-kelas bas yang lain akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun 2019.
Katanya, untuk memiliki kad pemandu tersebut yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), pemandu bas akan melalui proses saringan yang lebih efektif bagi membolehkan mereka dipilih sebagai pemandu bas, Bernama.
“Pelaksanaan ini membolehkan SPAD melakukan saringan latar belakang yang lebih ketat dengan usaha sama agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kad pemandu tersebut hanya akan dikeluarkan kepada pemandu yang mematuhi semua syarat yang ditetapkan oleh SPAD termasuk tahap kesihatan yang baik serta bebas dari kes dadah atau rekod jenayah,” katanya dalam Dewan Rakyat semalam.
Menurut Nancy lagi, pemandu yang dikenal pasti melakukan kesalahan boleh digantung atau dibatalkan kad pemandu mereka serta mewajibkan latihan semula bagi tujuan penambahbaikan.
Justeru, dengan adanya syarat keperluan untuk memiliki kad pemandu tersebut, syarikat pengendali bas boleh menapis dan memilih pemandu-pemandu baharu dengan lebih efektif kerana dapat memastikan individu yang layak dan berkemahiran sahaja akan diambil bekerja sebagai pemandu bas.
Katanya dengan mewajibkan pemandu bas memiliki kad pemandu dapat menangani isu pengusaha bas mengupah atau mengambil pemandu yang mempunyai latar belakang jenayah. Selain itu, ia dapat memastikan syarikat pengendali bas mengambil pemandu yang cekap bagi mengelakkan kemalangan semasa perjalanan akibat kecuaian pemandu.
Lotus masih belum berhenti menaik taraf Exige. Kali ini, syarikat dari United Kingdom itu memperkenalkan pula Exige 430 Cup: Unlimited Edition, yang diangkat sebagai “taruhan Exige paling ekstrem.” Enjin V6 3.5 liter pada kenderaan ini dipasang dengan supercharger dan penyejuk Edelbrock baru, sehingga menjadikan kuasanya 430 hp pada 7,000 rpm dan 440 Nm tork antara 4,000 hingga 6,800 rpm.
Jika dibandingkan dengan Exige paling hebat sebelum ini, iaitu Exige Cup 380, model baru ini menghasilkan 15% lebih kuasa, ataupun 55 hp dan 30 Nm lebih. Enjin ini kemudiannya dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan, yang mempunyai diameter klac lebih besar, iaitu 240 mm (+12 mm berbanding Cup 380) untuk bertahan dengan lebih kuasa.
Dari kedudukan pegun, Cup 430 boleh memecut ke kelajuan 100 km/j dalam masa hanya 3.3 saat, dan apabila diteruskan, ia boleh mencecah kelajuan maksimum 290 km/j. Dan biasa bagi Lotus, kereta ini dijadikan lebih ringan, dikurangkan 12 kg lagi untuk menjadi 1,059 kg. Apabila menggunakan lagi barangan tambahan yang lebih ringan, jumlah ini boleh menjadi 1,056 kg.
Seperti yang dijangka, bahan utama yang menyumbang kepada pengurangan berat ini adalah gentian karbon, dan ia digunakan pada splitter hadapan, panel akses hadapan, bumbung, keliling diffuser, bukaan udara tepi, pintu but dan sayap belakang.
Penggayaan kereta ini turut diubah dengan pakej aerodinamik baru yang dapat menjana kuasa tolakan ke bawah sebanyak 220 kg secara maksimum. Rim aloi yang digunakan adalah bersaiz 17 inci di hadapan, 18 inci di belakang dan ia dibalut dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 (saiz 215/45 di depan dan 285/30 di belakang).
Fungsi lain yang diberi dalam pakej ini adalah kawalan cengkaman dengan empat tetapan (gelinciran 1%, 3%, 6%, 9%, 12%), dan suis tutup terus yang boleh dikawal menggunakan tombol jenis pusing. Penggunaan gentian karbon turut diteruskan pada bahagian dalam iaitu pada tempat duduk, keliling panel instrumen, tepi pintu dan tepi tempat duduk.
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) semalam mengumumkan program Bantuan Banjir untuk seluruh negara bagi semua pemilik kenderaan Volkswagen yang terjejas dengan bencana alam tersebut, terutamanya di utara Semenanjung Malaysia.
Program Bantuan Banjir ini menawarkan diskaun sehingga 30% bagi keseluruhan invois termasuk alat ganti dan kos buruh.
“Pelanggan kami di Pulau Pinang yang terjejas dengan bencana alam ini cukup terbeban dengan kehilangan atau kerosakan rumah dan harta benda. Justeru dengan bantuan yang kami tawarkan ini, diharap dapat mengurangkan beban yang mereka tanggung,” ujar Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.
Menurut VPCM lagi, tawaran ini akan berlanjutan sehingga 28 Februari 2018.
Minggu lalu Koenigsegg Agera RS sah sebagai kereta produksi terpantas di dunia dengan mencatatkan kelajuan maksima purata untuk dua ujian 447 km/j. Namun dalam percubaan yang dilakukan pada jalan raya awam antara Las vegas dan Pahrump, Nevada, Amerika Syarikat tersebut, Agera RS sebenarnya telah memecahkan empat rekod dunia lain
Rekod kedua yang dicatatkan pada ujian di Nevada berkenaan adalah rekod untuk pecutan dari 0-400 km/j kemudian berhenti sepenuhnya kembali (0-400-0 km/j). Seperti yang diketahui, Agera RS telahpun memecahkan rekod yang dipegang oleh Bugatti Chiron ini Oktober lalu dengan catatan 36.44 saat, namun pada kali ini rekod tersebut diperbaharui dengan masa hanya 33.29 saat.
Rekod ketiga yang dipecahkan adalah rekod kelajuan purata dalam jarak satu kilometer yang dicatatkan pada jalan raya awam – Agera RS merekodkan kelajuan 445.54 km/j. Rekod ini memadam rekod lama yang dibuat oleh Rudolf Caracciola pada tahun 1938 – memandu kereta lumba Mercedes-Benz W125 di lebuhraya Autobahn, Jerman dengan catatan 432.7 km/j.
Manakala rekod keempat, Agera RS yang dikemudi pemandu ujian Niklas Lilja berkenaan sekali lagi memecahkan rekod yang dibuat oleh Caracciola bersama Merc W125 untuk kelajuan purata tertinggi dalam jarak satu batu. Rekod baharu yang dicatatkan adalah 444.66 km/j, memadamkan rekod 432.4 km/j yang dicipta hampir 80 tahun lalu.
Untuk rekod terakhir pula adalah rekod kelajuan tertinggi pada jalan raya awan. Seperti yang boleh dilihat pada video, Agera RS berjaya mencapai kelajuan maksima 457.49 km/j, sekaligus memadam rekod Mercedes-Benz dengan catatan 432.7 km/j yang juga dicatatkan pada tahun 1938.
Perlu diingatkan, Koenigsegg Agera RS yang dijana enjin 5.0 liter turbo berkembar V8 berkuasa 1,341 hp ini bukanlah model paling berkuasa dari pengeluar hypecar Sweden berkenaan. Mereka mempunyai sebuah lagi model yang lebih berkuasa iaitu Regera – dilengkapi enjin 5.0 liter V8 turbo berkembar dengan sistem KDD, mengekstrak kuasa keseluruhan melebihi 1,500 hp/2,000 Nm. Ini memungkinkan mereka mencatatkan rekod yang jauh lebih dahsyat selepas ini.
Moto Guzzi nampaknya akan menyertai kembali segmen motosikal kembara selepas pengeluaran Stelvio dihentikan, apabila memperkenalkan sebuah model konsep baru di pameran EICMA 2017, iaitu V85. Seperti yang boleh dilihat, motosikal ini menggabungkan gaya kembara klasik, moden dan retro.
Moto Guzzi memanggil motosikal ini sebagai sebuah enduro klasik, yang menjadi titik temu kepada teknologi moden dan kelengkapan canggih. Motosikal ini mempunyai lampu siang LED, panel instrumen digital sepenuhnya, suspensi Ohlins, pelindung bawah enjin, pelindung tangan, penghadang angin yang tinggi, dan tetapan brek berkembar di hadapan.
Satu lagi perkara yang menjadi perhatian pada motosikal ini adalah ia menggunakan enjin Moto Guzzi baru iaitu unit V-twin 850 cc yang mungkin selepas ini, juga boleh digunakan untuk model lain yang terletak antara V7, V9 dan model mereka yang lebih besar. Syarikat ini tidak mengeluarkan perincian tentang enjin ini, selain menyatakan ia mampu menghasilkan 80 hp, tetapi ia dilihat masih lagi menggunakan sistem syaf untuk menghantar kuasa ke belakang.
Bukan sekadar untuk satu orang, Moto Guzzi turut menjamin keselesaan menggunakan motosikal ini bersama penumpang, di mana bahagian tengahnya adalah ramping, tetapi menggunakan tempat duduk yang empuk, sekaligus juga dapat membantu kawalan yang lebih mudah.
Bila model produksi akan dikeluarkan masih lagi tidak diberitahu, tetapi motosikal ini sudah kelihatan seperti bersedia untuk pasaran. Moto Guzzi juga memberi peluang kepada orang ramai untuk memberi cadangan kepada nama motosikal ini apabila ia masuk ke dalam pasaran nanti.