Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • JPJ Negeri Sembilan sita 11 kenderaan klon di negeri tersebut sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini

    JPJ Negeri Sembilan sita 11 kenderaan klon di negeri tersebut sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini

    Sebanyak 11 buah kenderaan klon telah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.

    Menurut Pengarahnya Azrin Borhan, walau bagaimana pun jumlah tersebut dilihat menyusut berbanding 56 buah kenderaan klon yang dirampas pada tahun lalu dan 18 buah lagi pada tahun 2015, laporan Bernama.

    Beliau berkata penurunan kenderaan klon yang disita itu adalah berikutan kesedaran orang ramai tentang istilah klon dan tindakan penguatkuasaan yang akan diambil apabila mereka mempunyai kenderaan klon.

    “Di samping itu, kita juga aktif menjalankan penguatkuasaan untuk kenderaan klon ini dan kita turut ada membuat advokasi tentang implikasi apabila mempunyai kenderaan klon. Kebanyakan kenderaan klon ini dikesan semasa operasi JPJ dijalankan di negeri ini terutama di Nilai,” katanya kepada pemberita semalam.

    Katanya permintaan kenderaan klon ini tinggi kerana harganya yang murah. Kebanyakan kenderaan klon ini adalah dari negara jiran dan jenis kenderaan mewah yang popular diklon ialah Toyota Vios, Toyota Estima dan Honda Jazz.

    “Contohnya jika kereta Toyota Vios itu tahun 2004, kita boleh dapat dalam RM20,000, berbanding harga pasaran RM40,000 iaitu setengah daripada harga asal nilai kereta terpakai. Setakat Oktober lepas, tiga orang telah dituduh di mahkamah kerana kesalahan memiliki kereta klon, manakala tahun lepas lapan orang dituduh di mahkamah dan didenda sebanyak RM51,500,” katanya.

     
     
  • Isuzu D-Max facelift dilancarkan di Thailand – tiga cab berbeza, 1.9 dan 3.0 liter turbodiesel, bermula RM63k

    Isuzu D-Max facelift dilancarkan di Thailand – tiga cab berbeza, 1.9 dan 3.0 liter turbodiesel, bermula RM63k

    Selain dari Toyota Hilux facelift, Thailand kini turut menerima sebuah lagi trak pikap yang disegarkan kembali iaitu Isuzu D-Max facelift 2017. Ditawarkan dengan tiga jenis cab berbeza, D-Max dijual di Thai dengan harga bermula 497,000 baht (RM62,946) untuk model asas Spark 4×2 single cab (dijana enjin 1.9 litre bersama transmisi manual) hingga 1,099,000 Baht (RM139,322) untuk model V-Cross 3.0 Max Z-Prestige automatik.

    Enjin 1.9 turbodiesel pada D-Max ini menghasilkan kuasa 150 hp pada takat 3,600 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 1,800 rpm hingga 2,600 rpm. Enjin yang masih lagi belum diperkenalkan di Malaysia ini digandingkan dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan manual atau automatik, berdasarkan varian yang dipilih.

    Namun pasaran Thailand tidak menerima enjin 4JK1-TCX 2.5 litre turbodiesel seperti yang diterima pada pasaran Malaysia. Versi paling berkuasa masih lagi dijana enjin 4JJ1-TCX 3.0 liter turbodiesel yang berkuasa 177 hp pada takat 3,600 rpm dan tork maksima 380 Nm bermula 1,800 hingga 2,600 rpm. Enjin ini pula dipadankan dengan pilihan transmisi sama ada lima-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik.

    Isuzu D-Max facelift dilancarkan di Thailand – tiga cab berbeza, 1.9 dan 3.0 liter turbodiesel, bermula RM63k

    D-Max facelift ini menampilkan berberapa perubahan antaranya lampu nyalaan siang berbentuk-L yang dipadankan pada semua varian, pelaras cahaya lampu hadapan manual, gril hadapan krom bersama lampu kabus rekaan baharu dan juga tiang-B yang dihitamkan.

    Tiga warna baharu ditawarkan untuk versi tingkat taraf ini iaitu Polynesian Blue, Etna Red dan Zermatt Silver. Pada bahagian kabin pula, papan pemuka D-Max kini dilengkapi skrin sistem infotainmen lapan-inci yang turut diberikan fungsi navigasi dan juga sokongan Air-Mirroring terhadap telefon pintar menerusi hubungan Wi-Fi. Isuzu Connect turut menawarkan sokongan peranti berasaskan iOS dan Android bagi menghubungkan fungsi seperti Bluetooth dan USB.

    Versi Cab 4 pula menerima perubahan balutan upholsteri dalaman iaitu dari beige ke hitam. Manakala untuk V-Cross Max, ia kini diberikan upholsteri kulit dengan dua-tona warna iaitu perang dan kelabu, bersama serlahan jahitan oren dan juga kemasan Bronze Metallic pada panel pintu. Varian tertinggi Hi-Lander Z-Prestige pula kini diberikan balutan upholsteri kulit perang.

    Bahagian dalaman turut disertakan dengan komponon dari material sentuhan-lembut terutamanya pada bahagian storan pada konsol tengah, bahagian atas papan pemuka dan juga perehat tangan pada pintu hadapan. Varian Hi-Lander pula turut diberikan kemasan piano black (Cab 4 menerima kemasan seperti logam), dan juga pembuka pintu dengan kemasan krom.

     
     
  • Geely beli syarikat pengeluar kereta terbang Terrafugia

    Geely beli syarikat pengeluar kereta terbang Terrafugia

    Zhejiang Geely Holding Group telah melengkapkan pembelian syarikat pembangunan kereta terbang yang berpusat di Amerika Syarikat, iaitu Terrafugia. Nilai pembelian ini tidak dinyatakan, tetapi menurut Automotive News, syarikat tersebut masih lagi akan terus beroperasi di tempat asalnya (AS).

    Terrafugia sudah beroperasi sejak tahun 2006 dan diasaskan oleh sekumpulan graduan MIT, dan dipercayai adalah yang paling ke hadapan dalam pembangunan kereta terbang. Syarikat ini juga adalah syarikat paling baru yang dibeli oleh Geely di luar China, selain Volvo sejak tujuh tahun yang lepas, 49.9% ekuiti dalam Proton dan 51% pemilikan dalam Lotus.

    Pada tahun 2012, Terrafugia telah menunjukkan model Transition dengan harga $279,000 (RM1.17 juta), dan telah mendapat sijil kelulusan daripada Federal Aviation Administration tahun lepas. Menurut Terrafugia, Transition boleh terbang sekata pada kelajuan sekitar 160 km/j, dengan tahap paling tinggi 10,000 kaki dan jarak paling jauh 640 km.

    Geely beli syarikat pengeluar kereta terbang Terrafugia

    Paling baru, Terrafugia menunjukkan model TF-X, yang menggunakan rekaan lebih seperti kereta dan dua motor elektrik untuk mendapatkan kuasa keseluruhan sebanyak satu megawatt (1,341 hp). Model ini juga boleh naik dan turun secara tegak dan menampilkan enjin petrol 300 hp, dengan kelajuan 322 km/j.

    Ada juga syarikat lain yang sedang meneroka kereta terbang, seperti Aeromobil yang dikatakan sudah mengeluarkan model yang boleh mencecah kelajuan 160 km/j dan jarak pergerakan atas jalan sejauh 695 km, atau 745 km atas udara dengan kelajuan maksimum 357 km/j.

     
     
  • Toyota Hilux facelift di Thailand dapat muka Tacoma

    Toyota Hilux facelift di Thailand dapat muka Tacoma

    Toyota baru memberikan facelift kepada Hilux di Thailand, dan jika anda terasa seperti pernah nampak muka hadapan barunya ini, ia sebenarnya adalah hampir kepada model Tacoma yang dipasarkan di Amerika Syarikat. Penyumbang utama kepada muka baru ini adalah gril heksagon yang besar, bersama rekaan bampar, salur udara serta lampu kabus yang baru.

    Walaubagaimanapun, muka baru ini hanya boleh didapati bagi varian 4×4 dan 4×2 Prerunner High Rider, manakala varian 4×2 Low Rider masih lagi mendapat bahagian hadapan yang sama, tetapi dengan gril berwarna hitam dan pelindung bampar hadapan. Bahagian lain adalah sama.

    Turut tidak berubah adalah bahagian dalam, serta kelengkapan yang ditawarkan – pembeli di Thailand masih lagi boleh memiilh lampu utama LED, lampu kabus LED, sistem masuk tanpa kunci, butang pemula, cruise control, pengawal suhu, tempat duduk larasan kuasa, corong pendingin hawa di belakang, ruang simpanan di papan pemuka dengan penyejuk serta soket 220V di bawah perehat tangan tengah. Kelengkapan keselamatan juga masih sama, dengan sehingga tujuh beg udara dan Vehicle Stability Control.

    Toyota Hilux facelift di Thailand dapat muka Tacoma

    Satu perkara baru adalah terdapat model paling tinggi yang dipanggil sebagai Rocco. Ia hanya boleh didapati dalam bentuk badan double cab, dan trim 2.8G 4×2 dan 4×4. Model ini mempunyai gril kelabu dan hitam berkilat, bampar kelabu, kemasan keliling lengkuk roda hitam, rim 18 inci hitam dengan tayar all-terrain, sports bar, penutup bahagian belakang, grafik khas Rocco dan kemasan dalam warna hitam.

    Pilihan enjin juga masih adalah sama iaitu bermula dengan diesel turbo 2.4 liter 150 hp/ 400 Nm, 2.8 liter 177 hp/ 450 Nm dan 2.7 liter Dual VVT-i petrol 166 hp/ 245 Nm.

     
     
  • VW Beetle mungkin akan dijelmakan semula sebagai kereta pacuan belakang, tetapi dengan kuasa elektrik

    VW Beetle mungkin akan dijelmakan semula sebagai kereta pacuan belakang, tetapi dengan kuasa elektrik

    Kerana prestasi jualannya yang telah menurun, Volkswagen telah menyebut untuk menghentikan terus pengeluaran model ikoniknya iaitu Beetle. Namun laporan terbaharu dari Autocar menyatakan, pengeluar kenderaan dari Jerman berkenaan kini sedang menimbangkan untuk membina Beetle generasi baharu tetapi dijana kuasa elektrik sepenuhnya.

    Sebelum ini juga, VW telah mendedahkan bahawa model konsep van elektrik I.D Buzz sah akan dikeluarkan dalam bentuk produksi sebenar sebagai jelmaan semula van ikonik klasik VW T2 atau lebih popular dengan nama Kombi Van. Jadi, kini VW telah mula berbincang untuk turut melahirkan semula Beetle dalam bentuk kenderaan elektrik sepenuhnya, menggunakan platform Modular Electric Platform (MEB) yang sama.

    Jika model ini benar-benar dihasilkan nanti, nampaknya Beetle akan lebih mirip kepada model asalnya dengan konfigurasi pacuan belakang, berbanding generasi sedia ada yang dipacu roda hadapan. “Jika kami mahu melahirkan semula Beetle, secara elektrikal ia akan lebih baik dari model sekarang, lebih rapat dengan sejarah, kerana ia mungkin akan memacu roda belakang,” kata CEO VW Herbert Diess.

    Dengan menggunakan platform MEB yang sama juga, Beetle berkenaan bakal menerima motor elektrik yang diletakkan pada gandar belakang, manakala bateri pula pada bahagian lantai, sama seperti model konsep I.D Buzz. Platform ini juga begitu fleksible dan bakal memudahkan penghasilan Beetle generasi seterusnya berkenaan.

    Menurut Volkswagen, motor elektrik yang menggerakkan platform MEB tersebut mampu menghasilkan 170 PS dengan jarak perjalanan 600 km untuk satu cas penuh bateri. Platform ini juga dikhabarkan akan menyokong pembangunan 15 kereta elektrik baharu, di mana lima daripadanya akan menggunakan logo Volkswagen.

     
     
  • RapidKL catat purata 360,690 penumpang bas sehari antara Januari hingga September 2017 – Nancy

    RapidKL catat purata 360,690 penumpang bas sehari antara Januari hingga September 2017 –  Nancy

    Menerusi persidangan Dewan Rakyat hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata jumlah purata penumpang harian pengguna bas RapidKL bagi tempoh Januari hingga September 2017 mencecah hampir 360,690 orang.

    Katanya, purata pengguna bas bagi Rapid Penang dan Rapid Kuantan pula masing-masing mencatatkan 80,000 orang dan 10,000 orang bagi tempoh sama, laporan Bernama.

    Di mana sebanyak 1,147 buah bas RapidKL beroperasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, 382 bas Rapid Penang termasuk Rapid Kamunting dan 80 bas Rapid Kuantan.

    “Ia beroperasi di laluan-laluan sosial yang telah dikenal pasti serta beroperasi hampir sepanjang waktu termasuk waktu luar puncak,” katanya menjawab soalan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) mengenai pelaksanaan bas Rapid di semua ibu negeri dan jumlah penumpang purata sehari.

    Nancy berkata perkhidmatan bas ini memainkan peranan penting secara keseluruhannya, yang menjadi tulang belakang dan akses kepada rakyat dalam memastikan mereka mendapat faedah sosioekonomi.

     
     
  • Papan pemuka Mercedes-Benz G-Class generasi seterusnya bocor – diterapkan konsep lebih moden

    Papan pemuka Mercedes-Benz G-Class generasi seterusnya bocor – diterapkan konsep lebih moden

    Papan pemuka untuk Mercedes-Benz G-Class generasi seterusnya telah tersebar lebih awal daripada penampilan pertama kenderaan tersebut, dan dapat dilihat hasil daripada laman Autoweek. Seperti yang anda boleh lihat pada gambar ini, banyak tanda daripada model Mercedes-Benz yang lebih moden diterapkan pada papan pemuka ini, sambil masih lagi mengekalkan karekter pelbagai guna G-Class.

    Pada bahagian kiri papan pemuka ini, iaitu bahagian di mana sterengnya juga berada, terdapat corong pendingin hawa seperti daripada E-Class Coupe C238, dan di bawahnya terdapat suis untuk menyalakan lampu. Stereng pelbagai guna pada kenderaan ini juga dilihat diambil terus daripada S-Class W222 baru, bersama rekaan panel instrumen analog baru.

    Kenderaan yang boleh dibawa masuk offroad ini turut mempunyai skrin lebar baru, dan menunjukkan peningkatan yang besar berbanding unit kecil yang digunakan pada model sebelum ini. Ia juga pastinya akan menawarkan pelbagai fungsi. Di bawah skrin ini, terdapat suis untuk mengawal pengunci differential, dan kedudukannya adalah hampir serupa seperti sebelum ini.

    Papan pemuka Mercedes-Benz G-Class generasi seterusnya bocor – diterapkan konsep lebih moden

    Di samping butang ini terdapat lagi corong pendingin hawa manakala suis pengawal pendingin hawa dan sistem informasi serta hiburan terletak di bawahnya. Walaupun konsol tengah tiada pada unit pameran ini, kita boleh menjangka pelbagai lagi butang untuk sistem hiburan di bahagian tersebut.

    Memandangkan papan pemuka ni dilihat mempunyai suis brek kecemasan elektronik (di bahagian kiri, bawah), tuil penarik brek kecemasan biasa mungkin lagi tidak akan digunakan. Pada bahagian penumpang, ruang simpanan di papan pemuka tersebut nampak lebih kemas, manakala pemegang tangan juga dilihat kini lebih tinggi.

     
     
  • UMW Toyota sumbang Camry Hybrid kepada UTM

    UMW Toyota sumbang Camry Hybrid kepada UTM

    Sempena dengan sambutan ‘Japan Day’ tahun ini, UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMWT) telah menyumbangkan seunit Toyota Camry Hybrid kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kenderaan tersebut akan digunakan bagi kajian pembangunan dan penyelidikan teknikal oleh penyelidik dan pelajar yang menuntut di bawah Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), UTM.

    Majlis penyerahan Camry Hybrid ini diadakan di UTM, kampus Kuala Lumpur, sempena dengan sambutan Kerjasama Diplomatik Jepun-Malaysia ke-60 tahun. Penyerahan replika kunci kenderaan terbabit disempurnakan oleh Suichi Ishii, Pengarah Eksekutif UMWT kepada Datuk Ir. Dr. Wahid Omar yang merupakan Timbalan Cancelor UTM bagi pihak MJIIT.

    Ia turut disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Duta Jepun di Malaysia, Dr. Makio Miyagawa. Turut hadir sama ialah wakil tertinggi dari UTM yang terdiri dari Tan Sri Abdul Halim Ali, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UTM, pegawai tertinggi beberapa institut pengajian tinggi dan juga pihak pengurusan UMWT.

    UMW Toyota sumbang Camry Hybrid kepada UTM

    “Kami berbesar hati untuk menyumbangkan Toyota Camry Hybrid ini kepada MJIIT, UTM. Ia adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) UMWT, yang melibatkan pembangunan para pelajar,” ujar Akio Takeyama, Timbalan Pengerusi UMWT.

    Di bawah projek ini, penyelidik dan para pelajar akan membangunkan sistem baru bagi teknologi kenderaan. MJIIT, UTM merupakan perintis dan satu-satunya kumpulan penyelidik yang terlibat dengan penyelidikan kenderaan autonomi di Malaysia yang memberi tumpuan kepada tingkah laku memandu, sistem bantuan pemandu dan juga kenderaan pemanduan-sendiri.

    Kajian tersebut juga bekerjasama rapat dengan Smart Mobility Research Center, Tokyo University of Agriculture and Technology. Kenderaan hibrid merupakan modul terbaik bagi projek ini memandangkan ia memiliki kapasiti bateri yang besar untuk menyalurkan kuasa pada sistem pemanduan-sendiri.

     
     
  • Toyota Starlet KP61 1984 – Kambing rare 3-pintu!

    Toyota Starlet KP61 1984 – Kambing rare 3-pintu!

    Pada Geneva Motor Show tahun ini, Toyota telah mendedahkan sebuah hot-hatch kompak Yaris GRMN – dijana enjin supercharge 1.8 liter yang mampu mengekstrak 210 hp. Model berkenaan merupakan Yaris (dikenali sebagai Vitz untuk JDM) versi berprestasi tinggi pertama setelah diperkenalkan dalam tiga generasi bermula pada tahun 1999.

    Untuk pengetahuan anda Yaris/Vitz ini sebenarnya merupakan cucu-cicit kepada Toyota Starlet yang popular pada era 80’an hingga 90’an. Selain terkenal sebagai sebuah hatchback kompak yang sangat boleh diharap, Starlet turut terkenal dengan versi berprestasi tingginya iaitu Starlet GT Turbo – EP71 dan EP82, dan model turbo terakhir Starlet Glanza V EP91.

    Namun sebelum popularnya model-model pacuan hadapan ini, Starlet terlebih dahulu dikenali sebagai hatchback pacuan belakang yang begitu lincah menerusi model KP60/KP61. Model ini merupakan Starlet generasi kedua dan merupakan Starlet pertama hadir dengan bentuk badan hatchback, setelah beralih dari badan sedan/coupe pada model Publica Starlet (P40/P50) generasi pertama.

    Tiada model berprestasi tinggi dengan enjin turbo untuk model ini, tetapi Starlet merupakan jentera yang popular di Jepun bagi digunakan dalam perlumbaan kereta touring TS-Cup yang masih mengekalkan enjin siri-K produksi (dengan pelbagai ubahsuai membolehkan ia menjerit hingga 9,000 rpm), bersaing dengan Datsun Sunny KB310 dan juga Honda Civic generasi pertama (SB1).

    Toyota Starlet KP61 1984 – Kambing rare 3-pintu!

    UMW Toyota mula membawa masuk Starlet ke pasaran Malaysia pada sekitar tahun 1979 menerusi model zenki KP60 lima-pintu yang dijana enjin 2K 1.0 liter empat silinder. Atuk-atuk dan ayah-ayah kita menggelar Starlet ini sebagai ‘Kambing’ ketika ia mula dijual kerana logo Starlet yang terpampang pada roda stereng mempunyai bentuk seperti kepala kambing.

    Sekitar tahun 1982/1983, model kouki (facelift) mula diperkenalkan pada pasaran tempatan. Masih lagi ditawarkan dengan bentuk badan hatchback lima-pintu, namun versi lebih segar berkenaan hadir dengan kod casis KP61 – bermaksud ia dijana enjin 4K 1.3 liter yang lebih berkuasa.

    Kereta milik Hamizan Selamat yang kami paparkan kali ini merupakan salah satu contoh Starlet Kambing yang masih gagah (dan laju!) menyelusuri jalan raya walaupun telah berumur lebih 30-tahun. Sekali pandang, ia macam sama dengan ‘kambing-kambing’ lain. Namun jika diperhatikan betul-betul, ada sesuatu yang ganjil pada badan kereta ini. Ya, ia tiada pintu belakang, dan pintu hadapannya lebih panjang dari biasa.

    Kereta ini bukanlah model yang boleh dibeli di bilik pameran Toyota ketika itu, kerana ia adalah model hatchback tiga-pintu yang dibawa oleh pengimport persendirian ke Malaysia dan jumlahnya di sini amatlah sedikit serta sangat sukar untuk dijumpai – membuatkan kereta ini diburu oleh peminat-peminat JDM Legend di sini.

    Kereta ini dibeli oleh Hamizan pada tahun 2014, dan boleh dikatakan dia hanya mendapat ‘rangka’ ketika itu. Kereta ini sebenarnya sebuah jentera drift satu ketika dahulu dan kerap menyertai pertandingan pada pertengahan era 2000. Semasa aktif berlumba bersama tuan lamanya, KP61 ini dijana enjin 2.0 liter turbo SR20 dari Nissan.

    Dikelilingi oleh kawan-kawan yang aktif merestorasi kereta lama, Hamizan bernasib baik dalam projek Starlet keduanya ini kerana dia tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan cermin-cermin yang hilang, serta panel dalaman pintu yang diperolehi dari sepasang pintu gantian.

    Selain dari komponen-komponen unik tersebut, Hamizan mendapatkan sebuah lagi KP61 tetapi dari versi normal lima-pintu yang digunakan sebagai ‘donor car’ bagi melengkapkan kembali bahagian badan dan mekanikal yang telah hilang pada Starlet tiga-pintu berkenaan.

    Boleh dikatakan Starlet ini tampil dengan rupa asal ketika keluar dari kilang dahulu tanpa perubahan-perubahan drastik seperti bampar Iswara atau lampu belakang Skyline R32. Hamizan hanya menukar berberapa bahagian bagi menaikkan seri kereta ini antaranya lampu hadapan sealed beam asal ditukar kepada lampu dengan mentol H4 dari PIAA, cermin sisi ‘tanduk’ dari Toyota Celica TA22, sepasang pin bonet, dan juga visor krom asli Toyota yang diambil dari Toyota Mark II.

    Setelah badan kereta ini di cat dengan warna solid 2K Angelic White, Hamizan turut menempah jalur sisi badan yang direka sama seperti pelekat asal yang menampilkan perkataan ‘STARLET’ pada bahagian belakang, dan ‘sinopsis’ spesifikasi asal kereta ini pada bahagian permulaan pintu.

    Masuk ke kabin, hampir keseluruhan imej asal Starlet ini juga masih kelihatan – termasuk penggunaan papan pemuka dan juga roda stereng asal. Berdasarkan lampu amaran pintu yang masih menyala ketika pintu dibuka, boleh disimpulkan pendawaian semula ‘rangka’ kereta ini turut dibuat dengan baik.

    Selain itu, tempat duduk hadapan kereta ini telah digantikan dengan tempat duduk yang lebih sporty dan selesa iaitu Recaro Fishnet. Tempat duduk belakang masih lagi dikekalkan (dan masih boleh dilipat untuk memberikan ruang kargo lebih besar) tetapi telah dibalut semula untuk penampilan yang lebih baik.

    Walaupun tampil dengan rupa standard, Starlet ini sebenarnya menyorokkan sesuatu di dalam perutnya. Hamizan tidak mencari semula enjin 1.3 liter 4K asal Starlet ini, sebaliknya memilih enjin 1.6 liter Twin Cam 4A-GE yang diambil dari jentera lagenda Toyota Corolla AE86.

    Toyota Starlet KP61 1984 – Kambing rare 3-pintu!

    Sebelum ini, Hamizan telah memadankan sistem karburator perlumbaan side-draf Weber DCOE dengan diameter choke 45mm. Tetapi bagi tujuan praktikaliti, ia telah diganti semula dengan sistem suntikan bahan api elektronik bersama sistem TVIS asal yang ternyata lebih mudah untuk diselenggara.

    Tiada ubahasuai bahagian dalaman seperti omboh, aci sesondol dan sebagainya di mana Hamizan hanya menukar sistem kemasukan dan penapis udara aftermarket, serta header ekzos 4-2-1 custom yang kelihatan seperti tanduk kambing gurun.

    Enjin ini digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan T50 juga dari AE86 bagi menghantar kuasa ke roda belakang. Di bina untuk kegunaan jalan raya dan tidak berniat untuk menyertai mana-mana aktiviti drift, gandar belakang asal Starlet tanpa unit LSD masih lagi dikekalkan oleh pemiliknya.

    Bagi menampung kuasa lebih besar yang dihasilkan dan juga untuk menjadikan Kambing ini kelihatan ‘merayap’ di atas jalan raya, sistem suspensinya turut mendapat sentuhan semula. Pemasangan strut dan hab roda asal untuk bahagian hadapan masih dikekalkan, namun pada bahagian dalamnya kini diisi dengan penyerap hentak boleh laras Tein yang diambil dari Nissan Silvia S13. Manakala bahagian belakang pula, suspensi asal telah digantikan dengan sistem boleh laras keras-lembut TRD yang diambil dari AE86.

    Sebelum direndahkan serapatnya ke permukaan jalan, hatchback ini dipadankan dengan set rim lengkap ‘pisang’ asli dari RS Watanabe buatan Jepun. Watanabe dari siri R Type berkenaan berdiameter 14-inci tetapi menampilkan lebar dan offset berbeza – 8jj dengan et 0 di hadapan dan 8.5 jj et-13 di belakang.

    Akhir sekali bagi melengkapkan kereta ini dan membolehkan rim ‘terjojol’ keluar dari badan, tetapi sebahagian tayar masih boleh disorokkan disebalik fender, tayar Falken Ziex dengan saiz 165/60R14 ‘dipaksa’ masuk ke kesemua rim berkenaan – memberikan kesan ‘stretch‘ yang menyebabkan dinding tayar berkenaan serong.

    Menurut Hamizan, dari keadaan rangka kosong sehingga Kambing ini mampu meluncur hensem di jalanraya, ia mengambil masa selama setahun untuk disiapkan sepenuhnya. Berapa pula perbelanjaan yang dikeluarkan? Jangan ditanya, faham-faham sendiri sudahlah.

    Kami sedang mencari lebih lagi kereta-kereta custom dan ubahsuai untuk dipaparkan di sini. Jika anda mempunyai kereta menarik untuk ditampilkan, jangan segan silu untuk emailkan butiran lanjut kepada [email protected]. Kami akan menghubungi anda semula selepas itu

     
     
  • Nissan Clipper 660cc 5MT – kei truck komersil comel dari Jepun, harga bermula dari RM30k hingga RM50k

    Nissan Clipper 660cc 5MT – kei truck komersil comel dari Jepun, harga bermula dari RM30k hingga RM50k

    Zaman sekarang ni memang zaman kena gigih berusaha utuk cari duit lebih. Maklumlah kos sara hidup yang kian tinggi terutamanya yang memiliki keluarga untuk ditanggung, anak-anak hendak bersekolah dan sebagainya. Jadi pasti ramai di antara kita yang terfikir untuk memulakan perniagaan. Tak kiralah meniaga makanan, pakaian atau sebagainya, janji ia sumber pendapatan yang halal.

    Memang kebelakangan ini, lebih ramai yang memilih untuk meniaga secara dalam talian. Mungkin lebih mudah dan kos lebih menjimatkan. Apatah lagi strategi pemasaran yang lebih meluas, maklumlah bila ramai yang kongsikan ‘share’, boleh jadi tular dibuatnya. Tetapi masih ramai juga yang memilih cara konvensional dengan menjual produk di tapak-tapak perniagaan, termasuk di bazar, ekspo, pasar malam dan sebagainya.

    Untuk itu, cara yang terbaik adalah memiliki pengangkutan yang bersesuaian. Bagi anda yang mencari-cari pengangkutan yang sesuai untuk melancarkan lagi perniagaan anda, Nissan Clipper 660 cc ini antara pilihan yang wajar dipertimbangkan. Di Jepun, trak ini dikategorikan di bawah kei truck untuk kenderaan komersil tugas sederhana dan ringan.

    Nissan Clipper 660cc 5MT – kei truck komersil comel dari Jepun, harga bermula dari RM30k hingga RM50k

    Dibawa masuk dari negara matahari terbit itu oleh Combine Motor Sdn Bhd, ia merupakan trak recond yang dijanakan enjin petrol berkapasiti 660cc tiga-silinder yang dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Trak dua tempat duduk ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 48 PS pada 5,250 rpm dan puncak tork 62 Nm pada 4,000 rpm.

    Kei truck pacuan dua-roda ini memiliki dimensi berukuran 3,395 mm bagi panjangnya, selebar 1,475 mm dan berketinggian 1,790 mm serta 2,220 mm bagi jarak roda. Manakala berat dengan muatan (BDM) tidak melebihi 2,000 kg.

    Clipper 660 cc ini ditawarkan dengan enam pilihan badan, bermula kerangka keluli sebagai model asas, diikuti dengan wooden cargo, luton box, mobile food truck dan pasar malam luton. Harganya pula bermula RM30,000 bagi model asas dan mampu meningkat sehingga RM50,000 mengikut pilihan badannya. Walau bagaimana pun, pembelian kei truck ini perlulah didaftarkan di atas nama syarikat, bukan pendaftaran persendirian. Dan walau pun ia recond, namun waranti masih diberikan iaitu tiga bulan atau sehingga 5,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kei truck ini, anda boleh terus kunjungi bilik pameran Combine Motor Sdn Bhd yang terletak di One Selayang, Batu Caves.

     
     
  • Belia mahukan rangkaian pengangkutan awam lebih baik, Kuala Lumpur jadi zon bebas pencemaran – KJ

    Belia mahukan rangkaian pengangkutan awam lebih baik, Kuala Lumpur jadi zon bebas pencemaran – KJ

    Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, ada dua perkara utama yang diinginkan oleh golongan belia. Pertama, sistem pengangkutan awam yang lebih baik, dan kedua menjadikan pusat bandar Kuala Lumpur sebagai zon sifar pencemaran dari kenderaan.

    “Menjadi harapan peribadi saya bahawa menjelang 2050 nanti tiada lagi orang yang menggunakan kenderaan petrol atau diesel di dalam pusat bandar. Mereka boleh memilih untuk menggunakan pengangkutan awam atau kenderaan elektrik,” ujar Khairy seperti dilaporkan The Sun.

    Khairy optimis perkara ini boleh dicapai menjelang tahun 2050, selari dengan pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan untuk itu Malaysia mempunyai tempoh 33 tahun lagi untuk melaksanakannya. Beberapa bandar di Eropah sebelum ini mengumumkan untuk mengambil langkah yang sama menjelang tahun 2030.

    Bagi memangkin perkembangan itu, Khairy berpendapat jaringan sistem perkhidmatan awam yang bersepadu serta sistem bayaran yang mudah akan membantu memperkemas rangkaian perhubungan di Lembah Klang dan mempersiap Kuala Lumpur ke arah matlamat seperti yang dinyatakan itu.

     
     
  • MForce Bike beri potongan 50% bagi alat ganti, upah percuma untuk pelanggan terlibat banjir di P. Pinang

    MForce Bike beri potongan 50% bagi alat ganti, upah percuma untuk pelanggan terlibat banjir di P. Pinang

    Mforce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar bagi jenama-jenama motosikal seperti SYM, Benelli, Keeway dan SM Sport kini sedang menjalankan kempen servis motosikal khusus buat pelanggan yang terkesan dengan kejadian banjir di Pulau Pinang minggu lalu.

    Ini termasuk upah buruh percuma serta potongan harga sebanyak 50% bagi alat ganti terpilih dan juga minyak enjin PJ1. Program ini akan berjalan selama tiga hari dari 15-18 November 2017 dibeberapa pengedar dan kedai motosikal terpilih, seperti berikut:

    15/11/2017 – KB Soon Huat Sdn Bhd (Sungai Dua)
    No. 94, 96, 98 & 100, Lorong Merbau Jaya 1,
    Tmn Seri Merbau, 13800 Butterworth.
    Tel: 012-528 1241 – William Khoo

    16/11/2017 – Shin Hup Hing Motor Sdn Bhd
    No. 503 Jalan Tanah Liat, 14000 Bkt Mertajam.
    Tel: 012-479 0106 – En. Khor

    17/11/2017 – KB Soon Huat Sdn Bhd (SYM Smartshop)
    1266, Jalan Baru Taman Emas, 13600 P. Pinang.
    Tel: 017-489 8483 – Cik Khoo

    18/11/2017 – Chang Motor Sdn Bhd
    224 E&F, Jalan Burma,
    10350 GeorgeTown, P. Pinang
    Tel: 016-443 3856 – Cik Foong

    Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Pusat Servis Mforce Bike Holdings Sdn Bhd di talian 04-554 1777.

     
     
  • Infiniti QX80 facelift – set gambar awal sudah tersebar

    Infiniti QX80 facelift – set gambar awal sudah tersebar

    Infiniti QX80 facelift ini masih lagi belum membuat penampilan rasminya, tetapi satu set gambar awal telah tersebar di dalam internet. Secara visualnya, muka facelift ini mendapat lebih banyak inspirasi daripada model konsep QX80 Monograph yang pernah ditunjukkan April lalu.

    Antara bahagian baru di depan adalah gril yang lebih besar, lampu utama LED lebih kemas dengan lampu siang LED, bampar yang direka semula bersama lampu kabus dan lubang udara yang lebih kemas di fender. Bahagian belakang juga mendapat sedikit perubahan, melihatkan bampar baru, dan kemasan krom yang menyambungkan kedua-dua lampu di bahagian tengah. Rim 20 inci diberi secara standard, tetapi ruangnya boleh masuk sehingga 22 inci.

    Pada bahagian dalam, kabin tidak banyak disentuh, kecuali dengan kemasan kayu, tempat letak cawan yang direka semula, dan lampu panel instrumen yang diubah. Infiniti juga memperbaiki penebat pada kenderaan ini, dan karpet baru berwarna hitam diberi serta sistem hiburan untuk penumpang belakang mempunyai skrin yang lebih besar.

    Infiniti QX80 facelift – set gambar awal sudah tersebar

    Sumber kuasa SUV yang besar ini masih lagi adalah enjin V8 5.6 liter NA yang mampu menghasilkan 405 hp pada 5,800 rpm dan 560 Nm tork pada 4,000 rpm. Kuasa dihantarkan ke semua empat tayar melalui kotak gear automatik tujuh kelajuan. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 6.8 saat dan laju maksimum dicatat pada 210 km/j.

    Semasa mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2014, QX80 ini dijual pada harga RM798,000 tidak termasuk insurans. Memasuki tahun 2017 ini, ia datang dengan jaminan tujuh tahun tanpa had batuan.

     
     
  • Jalan Raja di Dataran Merdeka akan ditutup sebulan

    Jalan Raja di Dataran Merdeka akan ditutup sebulan

    Jalan Raja di Dataran Merdeka akan ditutup selama sebulan, bermula 15 November ini, sempena dengan Ekspo Negaraku 2017, laporan Bernama.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri berkata, penutupan jalan ini adalah bagi memastikan keselamatan dan aliran yang lancar bagi para pengunjung yang mengunjungi ekspo yang berlangsung di Dataran Merdeka.

    “Orang ramai dinasihati mencari laluan alternatif untuk ke destinasi yang ditujui. Selain itu, bagi yang ingin mengunjungi ekspo ini, dinasihati agar menggunakan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel,” ujar kenyataan terbabit.

    Ekspo Negaraku 2017 ini dianjurkan oleh EPU, dengan kerjasama agensi kerajaan dan sektor swasta, untuk menyemarakkan lagi patriotisme dan rasa cinta terhadap negara. Ia berlangsung selama sebulan, iaitu dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan dibuka percuma untuk semua.

    Dimaklumkan, Jalan Raja akan dibuka semula pada 16 Disember ini.

     
     
  • SPYSHOT: BMW 1 Series hatchback generasi akan datang – rekaan ruang dalaman dibongkarkan

    SPYSHOT: BMW 1 Series hatchback generasi akan datang – rekaan ruang dalaman dibongkarkan

    BMW 1 Series generasi akan datang telah dikesan sekali lagi, kali ini jurugambar pengintip kami telah berjaya merakamkan beberapa foto ruang dalaman kereta. Walau sebahagian besar ruang kabin ini dibaluti penyamaran, namun kami dapat melihat sedikit perinciannya.

    Sebagai permulaan, kelihatan dua paparan digital – satunya merupakan kluster instrumen dan satu lagi adalah sistem infotainmen iDrive. Ia juga kelihatan lebih besar berbanding model semasa F20, dan kelihatan juga di atasnya corong pendingin hawa dan suis bagi kawalan suhu serta sistem infotainmen.

    Selain itu, paparan untuk pemandu juga telah dipertingkatkan berbanding sebelum ini, ia mungkin boleh dikonfigurasikan untuk menunjukkan fungsi instrumentasi, navigasi dan informasi hiburan dalam kenderaan.

    Juga diletakkan di hadapan pemandu ialah roda stereng berjejari empat dengan rekaan baharu. Roda stereng ini juga menerima beberapa butang kawalan, termasuk bagi sistem kawalan kelajuan dan juga audio.

    Manakala bahagian konsol tengah diperkemaskinikan termasuk pengawal iDrive yang telah diposisikan berhampiran dengan penukar gear. Berkongsi kedudukan yang sama ialah brek parkir elektronik dan juga pemilh mod pemanduan.

    Bagi bahagian luarannya, prototaip ini tidak banyak berbeza dengan apa yang pernah kami siarkan pada Mei lalu. Difahamkan, model baharu ini dibina berasaskan platform UKL pacuan hadapan (FF), sama seperti model 2 Series Active Tourer, 2 Series Gran Tourer, dan juga barisan model-model MINI.

    Barisan model 1 Series baharu ini mungkin akan menampilkan enjin-enjin tiga- dan empat silinder BMW yang disuap dengan petrol dan juga diesel. Dengan model lain yang menggunakan platform UKL sudah pun diberikan varian plug-in hybrid seperti 225xe Active Tourer dan Mini Countryman, 1 Series baharu ini tidak mustahil bakal ditawarkan dengan pilihan teknologi yang sama. Bukan itu sahaja, malah 1 Series elektrik sepenuhnya juga dijangka bakal ditampilkan.

     
     
  • Chevrolet Corvette ZR1 2019 – 755 hp, 969 Nm tork

    Chevrolet Corvette ZR1 2019 – 755 hp, 969 Nm tork

    Chevrolet baru memperkenalkan Corvette ZR1 2019, yang menetapkan tahap baru bagi kenderaan muscle dari Amerika Syarikat. Model baru ini lebih aerodinamik, lebih berprestasi dan sudah tentu, lebih berkuasa daripada sebelum ini.

    Enjin V8 LT5 6.2 liter supercharge pada kereta sport ini mampu menghasilkan 755 hp dan 969 Nm tork, dan semua kuasa ini disampaikan ke tayar belakang melalui transmisi manual tujuh kelajuan. Buat pertama kalinya juga bari model baru ini, pengguna mempunyai pilihan transmisi automatik lapan kelajuan.

    Jumlah yang mampu dihasilkan ini adalah 105 hp dan 88 Nm lebih banyak berbanding model Z06, dan ia dilengkapi dengan sistem penyejukan tambahan, iaitu empat tambahan radiator. Angin yang pergi ke radiator ini datang melalui skup udara di atas bonet serta salur udara lain di bahagian hadapan.

    Chevrolet Corvette ZR1 2019 – 755 hp, 969 Nm tork

    Bagi memastikan kereta dapat melekat atas jalan dengan baik, ZR1 ini dilengkapi dengan pakej aerodinamik yang agresif, termasuk di bawah bampar hadapan, dan dua pilihan sayap belakang. Apabila menggunakan sayap belakang Low Wing standard, kereta ini boleh mencecah sehingga 335 km/j dan daya tolak ke bawah yang mampu dihasilkan pula adalah 70% lebih baik berbanding Z06 standard.

    Pilihan sayap belakang High Wing pula boleh dilaras pada dua kedudukan dan ia adalah sebahagian daripada pakej ZTK Performance, yang turut memberi splitter besar di hadapan dengan hujung gentian karbon, tayar Michelin Pilot Sport Cup 2, talaan khas dan penyerap Magnetic Ride Control untuk cengkaman lebih baik.

    Chevrolet Corvette ZR1 2019 – 755 hp, 969 Nm tork

    Namun, jika anda mahukan sesuatu yang lebih menonjol, pakej Sebring Orange Design adalah pilihannya, di mana ia mempunyai angkup brek yang berwarna lebih terang, jalur pada splitter dan tepi pintu, tali pinggang dan jahitan pada bahagian dalam. Warna luaran yang digunakan adalah Sebring Orange Tintcoat.

    Untuk bahagian dalam, ZR1 datang secara standard dengan tempat duduk balutan kulit, dan boleh dipilih dengan kemasan suede atau kulit Nappa, bersama liang pengudaraan. Turut ditawarkan adalah sistem bunyi premium, dan roda stereng dengan kemasan gentian karbon, tempat duduk sport dan pengumpul data prestasi.

     
     
  • VIDEO: Mercedes-AMG E63 S Estate catat rekod sebagai wagon terpantas di Litar Nürburgring

    Mercedes-AMG E63 S Estate telahpun mencatatkan rekod lap 7 minit 45.19 di litar Nürburgring Nordschleife, sekaligus diiktiraf sebagai wagon terpantas di litar yang digelar ‘The Green Hell’ berkenaan. Namun, rekod ini bukan dilakukan oleh Mercedes-AMG sendiri, sebaliknya adalah usaha yang dilakukan oleh sebuah majalah terbitan dari Jerman, Sport Auto.

    Rekod yang dicatatkan oleh E63 S Estate ini telah memadamkan rekod wagon terpantas sebelum ini yang dibuat oleh Seat Leon ST Cupra dengan catatan masa 7 minit 58.12 pada tahun 2015 lalu. Masa yang dicatatkan oleh wagon AMG ini juga dilihat mengatasi masa SUV terpantas di Nürburgring iaitu Alfa Romeo Stelvio Quadrifoglio (7:51.7) tetapi masih lagi perlahan jika dibandingkan dengan sedan empat pintu terpantas Alfa Romeo Quadrifoglio (7:32) dan kereta pacuan roda hadapan terpantas Honda Civic Type R (7:43.8).

    Versi wagon Mercedes-AMG E63 S ini dijana oleh enjin AMG M178 4.0 liter V8 turbo berkembar menghasilkan kuasa 612 hp pada takat 5,750 hingga 6,500 rpm dan tork maksima 850 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Kuasa dari enjin ini dihantar ke keempat-empat roda menerusi kotak gear AMG Speedshift MCT sembilan-kelajuan dan juga sistem 4MATIC.

    Ini membolehkan wagon tersebut mencapai kelajuan maksima 300 km/j (dengan pakej AMG Driver) dan juga mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat – 0.1 saat lebih lambat berbanding versi sedannya yang juga telah tiba di pasaran Malaysia hujung September lalu.

    GALERI: Mercedes-AMG E63 S Estate

     
     
  • Sistem apungan harga minyak dikekalkan – Johari

    Sistem apungan harga minyak dikekalkan – Johari

    Walau pun ramai di antara rakyat jelata yang menyuarakan keluh kesah akibat kos hidup kian membebankan termasuk harga minyak utama yang acapkali meningkat, namun sehingga kini kerajaan masih memutuskan untuk melaksanakan sistem apungan bagi menentukan harga runcitnya.

    Menurut Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sistem apungan minyak mentah akan dikekalkan pada kadar harga dagangan minyak mentah dunia yang kini pada paras US$63 setong, memetik laporan Bernama.

    Katanya lagi, pada 2008, harga minyak mentah dunia mencecah US$140 setong, dan RON 95 ketika itu berharga RM2.70 seliter berbanding RM2.31 seliter sekarang.

    “Apabila ia naik sampai satu peringkat di mana kita (kerajaan) perlu buat perbincangan, kita (kerajaan) akan buat perbincangan. Setakat hari ni, jauh lagi, kerana kita harus ingat bahawa dahulu (pernah mencapai paras) US$140 setong,”katanya kepada pemberita hari ini.

    Johari turut berkata, harga minyak mentah dunia yang turun naik adalah di luar kawalan kerajaan, dan apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan ialah memantau, mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta menimbang bantuan bagi mereka yang berpendapatan rendah agar tidak jatuh ke paras kemiskinan.

    “Skim hari ini adalah minyak apungan, dan pengapungan ini akan dikekalkan kerana kita tidak boleh ubah, (atas sebab) ia (harga minyak mentah dunia) adalah luar kawalan kerajaan. Ia (harga) masih jauh daripada harga yang pernah kita tengok, dan pada masa ini ia masih boleh dikawal, iaitu pada paras RM2.31 seliter,” katanya lagi.

    Beliau turut berkata kerajaan juga tidak dapat berbuat apa-apa terhadap kenaikan harga minyak mentah sekarang kerana harganya ditentukan oleh pasaran dunia.

    “Walaupun kerajaan tidak boleh kawal harga, apa yang kita buat ialah memantau supaya kehidupan rakyat tidak terjejas,” katanya.

     
     
  • SUV Volvo XC60 generasi baharu dikesan diuji di M’sia

    SUV Volvo XC60 generasi baharu dikesan diuji di M’sia

    Nampaknya SUV Volvo XC60 generasi baharu bakal membuat penampilannya pada pasaran tempatan tidak lama lagi setelah pembaca kami Sean Woo terserempak dengan unit yang sedang diuji di atas jalan raya Malaysia.

    XC60 generasi terkini berkenaan diperkenalkan buat pertama kali untuk peringkat global pada Geneva Motor Show Mac lalu, dan telah pun tiba ke pasaran Singapura. Unit yang dikesan sedang diuji di Glenmerie ini juga nampaknya diberikan pakej trim R-Design yang dapat dikenal pasti berdasarkan rekaan pada gril hadapan lebih agresif berbanding model Momentum dan Inscription.

    Ciri lain yang turut ditonjolkan pada trim R-Design ini termasuk apron bawah yang lebih menyerlah, penutup cermin sisi berlainan warna, serta bampar belakang berbeza yang menampilkan serlahan elemen hitam disekeliling perumah sepasang tip ekzos. Penampilan XC60 R-Design ini juga turut menyerlahkan rim aloi 19-inci lima jejari berkembar dengan kemasan matte black diamond cut.

    Tiada gambar bahagian dalaman dapat diambil pada kali ini, namun ia dijangka turut menawarkan pakej R-Design pada kabin yang terdiri dari peralatan seperti roda strereng balutan kulit dan juga tombol gear R-Design serta tempat duduk yang lebih sporty.

    SUV Volvo XC60 generasi baharu dikesan diuji di M’sia

    Seperti pada model XC90 generasi terbaharu, XC60 turut bakal hadir dengan sistem infotainmen Sensus secara standard bersama paparan instrumen 12.3-inci dan juga pendingin hawa automatik (sistem empat zon hanya ditawarkan pada model T5 dan T6). Namun sistem audio premium pilihan Bowers & Wilkins masih lagi belum pasti adakah ia akan ditawarkan atau tidak.

    Volvo XC60 turut diasaskan dari platform Scalable Product Architecture (SPA) yang sama seperti model siri 90 (XC90, S90, V90) yang lebih besar. Ini bermaksud ia turut tidak ada masalah untuk dipadankan dengan unit janakuasa petrol turbo-supercharger bersama sistem hibrid T8 Twin Engine yang mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 407 hp/640 Nm.

    Tidak dapat dipastikan enjin apa yang menjana model yang diuji ini, tetapi kami jangkakan ia adalah dari model T6 dengan enjin 2.0 liter turbo-superchager empat silinder dengan bekalan kuasa 320 hp/400 Nm, dipadankan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan.

    GALERI: Volvo XC60 2018

     
     
  • Kymco CV2, CV3 Concept dan XCiting S 400 di EICMA

    Kymco CV2, CV3 Concept dan XCiting S 400 di EICMA

    Syarikat pengeluar motosikal dari Taiwan, iaitu Kymco turut menyediakan model istimewa untuk EICMA 2017. Dua daripadanya adalah model konsep iaitu CV2 dan CV3, manakala satu lagi adalah model baru yang akan memasuki pasaran tahun hadapan iaitu XCiting S 400.

    Melihat terlebih dahulu kepada model konsep tersebut, nombor yang tertulis pada namanya membawa maksud jumlah tayar, iaitu CV2 mempunyai dua tayar dan CV3 mempunyai tiga tayar. Dua motosikal ini menggunakan asas sama, namun enjinnya tidak diberitahu. Kymco cuma menyatakan, ia akan lebih berkuasa berbanding enjin AK550 yang mampu menghasilkan 53.5 PS dan 55.64 Nm tork.

    Dua motosikal ini dipanggil oleh Kymco sebagai skuter “Adventure Tourer” dan ia dilengkapi dengan aksesori yang berkaitan. Keselesaan dan prestasi juga dijamin dengan adanya penyandar belakang serta penghadang angin boleh laras, suspensi hadapan USD, suspensi belakang boleh laras, brek Brembo depan dan belakang serta pelbagai aksesori lain.

    Untuk CV3 pula, ia menawarkan lebih stabiliti dengan suspensi hadapannya mempunyai fungsi pengunci elektronik. Apabila butang fungsi ini ditekan, motosikal tersebut boleh berdiri dengan sendiri apabila berhenti. Ia juga boleh dilengkapi dengan bumbung untuk memberikan keselesaan seperti sebuah kereta.

    Melihat kepada XCiting S 400 pula, ia adalah sebuah model baru yang digerakkan oleh enjin berkuasa 35.5 hp dan 37.7 Nm tork, dan mempunyai rekaan yang lebih dinamik. Pada bahagian hadapannya terdapat lampu utama LED, bersama lampu siang yang diluluskan oleh ECE.

    Aspek keselesaan motosikal ini telah dipertingkat dengan adanya bentuk tempat duduk baru, dengan sokongan belakang yang lebih baik, dan ia boleh dibuka secara berasingan untuk mengakses ruang simpanan di bawahnya. Penghadang angin pula boleh dilaras secara manual. Satu lagi ciri menarik pada motosikal ini apabila ia masuk ke pasaran tahun hadapan adalah aplikasi GPS bersepadu yang akan dipapar pada panel istrumen digitalnya.


    GALERI: Kymco CV2 Concept


    GALERI: Kymco CV3 Concept

    GALERI: Kymco XCiting S 400 2018

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026