Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kempen kurangkan kadar kemalangan jalan raya gagal

    Kempen kurangkan kadar kemalangan jalan raya gagal

    Kempen keselamatan jalan raya gagal mengurangkan kadar kemalangan di negara ini, ujar Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi, menurut laporan Bernama.

    Katanya, Pelan Keselamatan Jalan Raya 2014-2020 menyasarkan pengurangan kadar kematian dan cedera parah akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50% menjelang 2020, namun malangnya jumlah kemalangan jiwa terus meningkat setiap tahun.

    Justeru, katanya semua agensi relevan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) akan berbincang dalam masa terdekat bagi mewujudkan pendekatan lebih holistik bagi mengatasi masalah tersebut.

    “Kita harus membuat fokus baharu (dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan) kerana saya melihat data (kemalangan) yang ada hari ini semakin naik, sebab itu saya kata kita gagal dan kita harus mengakui fakta itu. Mungkin kita perlu melihat amalan di negara lain seperti Sweden yang mempunyai kadar kemalangan 10 kali ganda lebih rendah daripada kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia Peringkat Kebangsaan 2017, hari ini.

    Abdul Aziz berkata sejak 2003, angka kematian akibat kemalangan jalan raya di negara ini tidak pernah kurang daripada 6,000 orang setahun dan buat pertama kalinya kes kematian melepasi angka 7,000 orang pada tahun lepas.

    Selain meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam, katanya antara langkah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang boleh dipertimbangkan termasuk mengetatkan syarat pemilikan kenderaan.

    Menurutnya, kebelakangan ini sebanyak 1.5 juta kenderaan baharu dan lebih 500,000 pemandu baharu didaftarkan di Malaysia pada setiap tahun.

    “Di Singapura contohnya, seseorang yang hendak membeli kenderaan peribadi perlu mempunyai Certificate of Entitlement (COE). Tetapi di negara kita hari ini, sebuah rumah kadang-kala ada sehingga enam biji kereta,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Pengarah JKJR Datuk Rosli Isa berkata pada tahun lepas, sebanyak 960,569 kemalangan jalan raya direkodkan di negara ini dengan 670,935 daripadanya melibatkan motosikal.

    Rosli berkata punca kemalangan maut yang tertinggi pula adalah terbabas iaitu sebanyak 1,850 kes, pertembungan berdepan (1,590), langgar sisi (959), langgar belakang (710) dan bergesel (420).

     
     
  • Valentino Rossi dapat XJR1300 kustom bernama ‘Mya’

    Valentino Rossi dapat XJR1300 kustom bernama ‘Mya’

    Kita sendiri sudah menyaksikan, 2017 bukanlah tahun yang baik dalam karier Valentino Rossi. Tetapi, hadiah daripada rakan sekerja beliau di VR46 ini mungkin dapat menceriakan sedikit keadaan. Ia adalah sebuah XJR1300 yang diubah suai secara khas oleh Rodolfo Frascoli dan dinamakan ‘Mya’.

    Penampilan asal XJR1300 diubah untuk menjadi sebuah motosikal flat track (tetapi juga kelihatan seperti motard), namun enjin asalnya, iaitu unit 1,251 cc empat silinder sebaris masih lagi dikekalkan. Enjin ini dikatakan mampu menghasilkan 105 hp dan 108 Nm tork, namun telah menyebabkan FJR1300 diberhentikan pengeluarannya kerana tidak melepasi peraturan Euro 4.

    FJR1300 untuk Rossi ini menggunakan kebanyakannya warna hitam, dan sedikit jalur berwarna kelabu dan kuning terang yang sudah menjadi tanda unik beliau. Kemudiannya, ia dilengkapi dengan pelbagai barangan prestasi termasuk suspensi Ohlins di depan dan belakang, ekzos Akrapovic dan penapis udara yang terdedah.

    Tetapan dua brek cakera pada motosikal asal juga diubah untuk menjadi hanya satu sahaja di bahagian hadapan, dan ia turut dipasang dengan rim jenis lidi 19 inci. Di bawah panel plastik untuk nombor plet, terdapat salur udara yang besar, dan ketiadaan lampu hadapan biasa pada motosikal ini diganti dengan unit projector LED daripada Yamaha R1 yang diletakkan pada kedua-dua fork.

    Walaupun akhirnya mungkin akan dijadikan perhiasan atau dibelasah oleh Rossi di dalam litar flat track beliau di kampung, motosikal ini dilihat masih mempunyai kelengkapan untuk penggunaan atas jalan biasa termasuk tempat meletak nombor plet di belakang, bersama lampu penunjuk arah serta cermin sisi.

     
     
  • SPYSHOT: Porsche Panamera Sport Turismo di M’sia

    SPYSHOT: Porsche Panamera Sport Turismo di M’sia

    Porsche Panamera generasi terbaharu dalam versi wagon yang dikenali sebagai Panamera Sport Turismo mungkin akan berada dalam pasaran Malaysia tidak lama lagi setelah pembaca kami, Toby Cheng terserempak dengan kereta berkenaan yang dibawa di atas sebuah trak penunda.

    Kereta berwarna Sapphire Blue berkenaan dikenalpasti dari varian tertinggi Turbo dan masih mengenakan nombor pendaftaran Jerman. Ia berkemungkinan besar milik pengedar tunggal rasmi Porsche di Malaysia iaitu Sime Darby Auto Performance (SDAP) yang akan digunakan sebagai unit latihan teknikal atau untuk dipamerkan di mana-mana acara. Oleh itu boleh dijangka juga SDAP akan melancarkan Panamera Sport Turismo ini di Malaysia dalam varian tertinggi tersebut.

    Selain dari bentuk bahagian belakang yang sedikit berbeza dari versi ‘sedan’ empat pintu biasa, Sport Turismo turut diberikan tempat duduk belakang 2+1, iaitu tempat duduk individu pada kedua-dua sisi, manakala bahagian tengah turut boleh menempatkan penumpang jika perlu serta turut dilengkapi tali pinggang keledar. Model biasa, kabin belakang hanya boleh dinaiki oleh dua orang penumpang.

    Ruang kargo Sport Turismo juga 20 liter lebih besar dari versi sedan, dan tempat duduk belakang boleh dilipat bagi memberikan ruang keseluruhan 1,390 liter dari jumlah 520 liter asal. Agaknya berapa harga kereta ini ketika ia dilancarkan nanti? Julai lalu versi sedannya iaitu Panamera Turbo telah pun dilancarkan di Malaysia dengan harga asas RM1.55 juta – ini mungkin boleh menjadi tanda aras untuk model wagon ini.

    GALERI: Porsche Panamera Sport Turismo 2017

     
     
  • Trak pikap Projen – Ford Raptor tiruan dari China

    Trak pikap Projen – Ford Raptor tiruan dari China

    China sememangnya terkenal dengan produk-produk tiruan dari segenap jenis produk – industri automotif turut tidak terkecuali. Terbaharu, trak pikap F-150 dari Ford dipilih sebagai ‘inspirasi’ rekaan untuk trak dari jenama Projen yang berasal dari republik rakyat tersebut, dan lebih menarik produk tiruan berkenaan lebih terarah ke varian paling garang dan berkuasa iaitu Raptor.

    Projen sebenarnya merupakan subsidiari dari Lifan. Trak pikap binaan mereka ini secara jelas meniru rekabentuk trak binaan Ford tersebut bermula dengan lampu hadapan berbentuk hampir sama seperti Ford F-150 generasi ketiga. Kemudian ia turut diberikan gril hadapan yang besar seperti Raptor dengan perkataan ‘PROJEN’ yang juga tunjukkan pada bahagian belakang.

    Ciri lain yang turut diberikan pada trak ini yang menjadikan ia seperti Raptor adalah pada skid plate yang berwarna perak, side step, lampu belakang serta rim besar yang diberikan tayar off-road yang tebal.

    Walaupun ia begitu bergaya seperti Raptor, Projen ini tidaklah berkuasa seperti trak Amerika berkenaan kerana ia hanya dijana enjin 2.5 liter turbodiesel berbanding Raptor tulen yang dikuasakan enjin Ecoboost V6 3.5 liter.

     
     
  • JPJ akan gunakan kamera untuk mengesan pemandu yang menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu

    JPJ akan gunakan kamera untuk mengesan pemandu yang menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu

    Awas bagi anda yang mempunyai tabiat buruk iaitu menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu, akan ada ‘mata-mata khas’ yang akan memerhatikan tindakannya ada!

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggunakan dua jenis kamera – statik dan bergerak, bagi mengesan pesalah trafik yang didapati menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu dan mereka yang ditangkap akan disaman sebanyak RM300.

    “Semua sedia maklum akan peraturan jalan raya yang telah termaktub ini iaitu larangan penggunaan telefon bimbit sewaktu sedang memandu. Kita sendiri telah memberikan banyak nasihat, namun masih ramai yang ingkar. Fokus pada pemanduan, bukannya menggunakan telefon bimbit sewaktu anda sedang memandu,” ujarnya pada pemberita dalam majlis penutup Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Bentong semalam, laporan The Star.

    JPJ akan gunakan kamera untuk mengesan pemandu yang menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu

    Liow turut menambah penggunaan aplikasi navigasi termasuk Waze dibenarkan, tetapi telefon bimbit tersebut haruslah dipasangkan pada pemegang telefon. Beliau turut berkata, penggunaan telefon bimbit di kalangan pemandu adalah salah satu daripada 20 kesalahan yang bakal temasuk dalam Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang menyatukan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).

    “Kadar kemalangan jalan raya adalah sangat tinggi. Terdapat 5,310 kematian berlaku antara Januari hingga September tahun ini, berbanding jumlah keseluruhan sebanyak 7,152 kes pada tahun lalu. Kami mahu mengurangkan jumlah ini sebanyak 10% setiap tahun dan ini merupakan suatu yang sangat mencabar,” ujarnya lagi.

    Tambahnya lagi, sasaran utama penguatkuasaan yang tegas ini adalah bagi menyelamatkan nyawa, dan bukannya untuk mendenda pengguna jalan raya. “Jika kita tidak melanggar undang-undang, jalan raya lebih selamat untuk semua orang.”

    Wahai pembaca budiman, harap anda lebih berhemah dalam pemanduan. Jangan disebabkan kecuaian kita, orang lain yang tidak berdosa yang menjadi mangsa.

     
     
  • Jambatan Ketiga Klang dilancarkan Sultan Selangor

    Jambatan Ketiga Klang dilancarkan Sultan Selangor

    Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan merasmikan Jambatan Ketiga Klang yang diberikan nama sebagai Jambatan Raja Muda Nala semalam. Jambatan berkenaan dinamakan sempena nama putera kepada Sultan Selangor yang pertama, Sultan Sallehudin Shah.

    Baginda berangkat tiba bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sambil diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin.

    Jambatan sepanjang 2.5 kilometer yang merentasi Sungai Klang sejauh 1.2 kilometer tanpa tol dengan kos pembinaan RM199 juta mula dibina pada 17 Julai 2014 dan siap sepenuhnya 15 Jun 2017. Laluannya bermula dari persimpangan Sungai Udang dan berakhir di persimpangan Jalan Goh Huck Huat dibina bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

    Jambatan jenis ‘segmental box girder’ yang terletak di tengah-tengah Sungai Klang adalah antara terpanjang di Malaysia. Ia merentasi Sungai Klang dan dijangka mampu mengurangkan 20% jumlah kenderaan yang menggunakan Jambatan Kota dan Jambatan Tengku Kelana.

    Menurut Azmin, jambatan tersebut dibina dengan pembiayaan sepenuhnya Kerajaan Negeri tanpa pinjaman daripada institusi perbankan tempatan atau luar negara.

     
     
  • Hyundai Tucson 2.0 MPi kini ditawarkan dalam varian Premium 4WD di Malaysia dengan harga RM159,888

    Hyundai Tucson 2.0 MPi kini ditawarkan dalam varian Premium 4WD di Malaysia dengan harga RM159,888

    SUV Segmen-C Hyundai Tucson telah pun berada dalam pasaran Malaysia dengan tiga varian iaitu versi petrol NA 2.0 MPi Elegance, petrol turbo 1.6 T-GDI dan juga turbodiesel 2.0 CRDi – kesemua model ini hanya di pacu roda hadapan. Hyundai Sime Darby Motors kini mengumumkan versi baharu dengan sistem pacuan semua roda, namun ia hanya hadir untuk model yang dijana enjin petrol NA menerusi model 2.0 MPi Premium 4WD.

    Model ini masih dijana enjin sama seperti versi Elegance 2WD iaitu enjin 2.0 liter empat-silinder MPi “Nu” berkuasa 155 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksima 192 Nm pada takat 4,000 rpm digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan. Pada situasi pemanduan biasa diatas jalan raya, kuasa dari enjin disalurkan hanya ke roda hadapan untuk mengekalkan penjimatan bahan api, namun jika ia berhadapan dengan permukaan yang sukar, tork akan disalurkan 40% ke gandar belakang mengikut situasi keadaan jalan.

    Untuk meredah laluan off-road yang lebih lasak, Tucson 4WD ini turut diberikan sistem ‘Lock Mode’ yang membolehkan pemandu ‘mengunci’ sistem pacuan empat-roda ini dengan nisbah tork 50/50 secara manual menerusi sentuhan satu butang. Ini akan memberikan lebih kestabilan dan mengekalkan kelajuan rendah pada laluan lasak, dan ia turut dibantu dengan sistem Traction Control bagi memaksimakan cengkaman tayar ketika melalui selekoh.

    Model Premium ini turut diberikan pelbagai penambahan ciri berbanding Elegance termasuk lampu hadapan LED berkembar dengan lampu membelok statik, sistem pendingin hawa automatik dua-zon, bumbung panaromik dan juga rak bumbung. Model ini juga turut diberikan tempat duduk belakang dengan fungsi lipatan nisbah 60:40 serta boleh ditolak kebelakang sama seperti pada model 1.6 Turbo dan juga 2.0 turbodiesel.

    Hyundai Tucson 2.0 MPi 4WD Premium ini dijual pada harga RM159,888 berbanding model 2WD Elegance yang berharga RM126,188. Sebagai rujukan, model 1.6 Turbo GDi dijual pada harga RM145,688 dan 2.0 liter turbodiesel R CRDi dijual pada harga RM155,788. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran dan setiap pembelian akan diberikan waranti selama lima-tahun/300,000 km.

    GALERI: Hyundai Tucson 1.6L T-GDI

     
     
  • Perdana Menteri dijangka bakal umumkan keputusan bagi mekanisme harga minyak hari ini- Zahid Hamidi

    Perdana Menteri dijangka bakal umumkan keputusan bagi mekanisme harga minyak hari ini- Zahid Hamidi

    Satu mesyuarat mengenai mekanisme harga minyak dijangka akan diadakan hari ini dan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebarang keputusan mengenai mekanisme mekanisme yang sesuai dalam menangani isu kenaikan harga minyak yang dikaji oleh pihak kerajaan, akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, laporan Sinar Harian.

    Beliau turut mengakui ketika ini trend kenaikan harga bahan api sedang berlaku ekoran peningkatan harga minyak di pasaran dunia.

    Mengenai sama ada kerajaan akan menaikkan jumlah subsidi minyak bagi mengurangkan harganya, Ahmad Zahid berkata, semua cadangan itu akan diperhalusi oleh kerajaan.

    “Kita akan kaji semua cadangan yang ada,” katanya.

     
     
  • Harga minyak naik susulan pergolakan di Asia Barat

    Harga minyak naik susulan pergolakan di Asia Barat

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, harga minyak di pasaran tempatan akan diturunkan apabila harga bahan bakar itu di pasaran dunia stabil.

    Katanya, kenaikan harga minyak di pasaran sekarang berikutan pergolakan di Asia Barat sehingga menjadikan harga minyak dunia meningkat, laporan Bernama.

    “Apa yang kita berikan (harga minyak) adalah tidak membebankan rakyat dan semua yang berlaku itu mengikut pasaran dunia dan kerajaan turut mengambil pelbagai usaha termasuk pemberian subsidi. Mekanisme harga minyak sekarang masih rendah sejak kerajaan melaksanakan penetapan harga bahan bakar itu secara mingguan sejak Mac lepas,” katanya.

    Beliau turut menyifatkan kenaikan harga runcit petrol sejak dua minggu lalu masih terendah dalam kalangan negara ASEAN dan meletakkan Malaysia di kedudukan ke-20 negara yang menjual minyak pada harga rendah.

    Hamzah berkata, beliau akan membawa isu kenaikan harga minyak ke mesyuarat Kabinet bagi mencari jalan terbaik untuk meringankan beban rakyat.

     
     
  • Perodua Myvi 2018 – tempahan meningkat kepada 6,000 unit selepas dilancarkan secara rasmi

    Perodua Myvi 2018 – tempahan meningkat kepada 6,000 unit selepas dilancarkan secara rasmi

    Ketika dilancarkan Khamis lalu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh telah mengumumkan bahawa Perodua Myvi telah ditempah sebanyak 5,000 unit setelah tempahannya dibuka seminggu sebelum itu. Namun angka tempahan berkenaan terus melonjak ke 6,000 hanya pada hari berikut pelancaran rasminya.

    Menurut data statistik sehingga 16 November lalu, 78% dari jumlah tempahan berkenaan adalah terdiri dari model yang dijana enjin 1.5 liter, manakala warna yang paling popular pula adalah Granite Grey iaitu warna khas yang hanya ditawarkan untuk model-model 1.5 liter.

    Aminar turut berteriman kasih kepada rakyat Malaysia kerana pengiktirafan yang diberikan kepada Myvi generasi baharu ini, dan beliau menyatakan bahawa Perodua komited untuk memaksimakan penghantaran kereta tersebut bagi memastikan ia cepat sampai ke tangan pemilik baharu masing-masing.

    Pembuat automotif dari Rawang berkenaan turut membuatkan sasaran awal bagi menjual Myvi 2018 dengan jumlah 6,000 unit sebulan, dan pemilik pertama hatchback ikonik berkenaan – Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar – telah pun menerima keretanya Jumaat lalu.

    Perodua Myvi 2018 – tempahan meningkat kepada 6,000 unit selepas dilancarkan secara rasmi

    Antara pemilik terawal lain Myvi 1.5 Advance yang turut menerima kereta mereka pada hari yang sama adalah pemenang-pemenang pertandingan Myvi 12 Iconic Years Anniversary SMS & Win iaitu Chin Mei Ling, Mohd Nazmil Mohd Nasir dan juga Ong Kok Seng.

    Perodua Myvi 2018 ditawarkan dengan empat varian model yang bermula dengan varian asas 1.3 Standard G manual berharga RM44,300 dan RM46,300 untuk automatik, RM48,300 untuk 1.3 Premium X, RM51,800 untuk 1.5 High, manakala varian tertinggi 1.5 Advance pula berharga RM51,800. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan dengan insuran bersama waranti lima-tahun/150,000 km.

    Untuk mengetahui selanjutnya berkenaan Myvi 2018, anda boleh baca laporan pelancarannya DI SINI, perbandingan antara spesifikasi DI SINI, ulasan pandu uji tanggapan awal DI SINI, dan juga spesifikasi penuh di laman Carbase.my.

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi Standard X dan Premium G 2018

    GALERI: Gambar rasmi Perodua Myvi 1.5 Advance 2018

    GALERI: Perodua Myvi 1.3 Standard G 2018 dalam semua warna

    GALERI: Perodua Myvi 1.3 Premium X 2018

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 High 2018

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 Advance 2018

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 Advance 2018 dengan pakej Gear Up

    GALERI: Perodua Myvi 1.5 High 2018 dengan pakej Gear Up

    GALERI: Brosur Perodua Myvi 2018

    GALERI: 12 tahun perjalanan Perodua Myvi

     
     
  • Proton catat peningkatan jualan sebanyak 13% untuk Oktober 2017 – Saga dan Persona paling digemari

    Proton catat peningkatan jualan sebanyak 13% untuk Oktober 2017 – Saga dan Persona paling digemari

    Proton menunjukkan perkembangan yang lebih memberangsangkan apabila berjaya mencatat lonjakan rekod jualan sebanyak 13% bagi Oktober 2017 dengan 5,083 unit berbanding 4,498 unit kereta pada September 2017. Prestasi jualan ini memperlihatkan kenaikan 6% untuk bulan Januari hingga Oktober 2017 dengan jumlah keseluruhan jualan sebanyak 61,380 unit berbanding 57,734 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.

    Menurut kenyataan yang dihantar oleh Proton, Saga dan Persona terus menguasai trend jualan apabila kedua-duanya menyumbangkan 70% kepada keseluruhan jualan kereta Proton, dengan 26,343 unit Saga dan 16,833 unit Persona terjual.

    Saga yang dilancarkan September tahun lalu terus kekal sebagai model pilihan utama di kalangan pemilik Proton. Dari harga serendah RM35,590.29 untuk varian Standard 1.3L sehingga RM44,342.25 bagi varian Premium CVT 1.3L, Saga baharu ini menawarkan pemanduan yang hebat, lebih lancar dan penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan. Dari segi keselamatan pula, Saga telah dinaiktaraf kepada empat-bintang oleh ASEAN NCAP dengan varian varian Premium yang memiliki ciri-ciri seperti ESC, ABS, EBD, kawalan cengkaman, bantuan brek, sistem kawalan cerun, beg udara, ISOFIX dan tambatan atas (top-tether), dengan sensor di seluruh bahagian kereta.

    Proton catat peningkatan jualan sebanyak 13% untuk Oktober 2017 – Saga dan Persona paling digemari

    Bagi Persona yang dilancarkan pada Ogos 2016 pula, telah memperlihatkan kenaikan 57.5% tahun sehingga kini, dengan jumlah jualan sebanyak 16,833 unit berbanding 10,687 unit pada tempoh yang yang sama tahun lepas. Dengan harga bermula dari RM44,831.09, pemilik Persona dapat memiliki kereta yang bertaraf lima-bintang oleh ASEAN NCAP, dengan sensor di seluruh bahagian kereta, ESC, ABS dengan EBD, Bantuan Brek, Sistem Kawalan Cengkaman dan bantuan kawalan cerun sebagai ciri-ciri standard bagi semua varian.

    “Kami menyeru pelanggan untuk mengambil peluang terhadap promosi ‘5 Nilai Hebat’ yang sedang berlangsung, dengan kos penyelenggaraan sebanyak RM0 sehingga 5 tahun/100,000 km dan penjimatan sehingga RM8,000 untuk sebuah kereta Proton. Penyelenggaraan RM0 termasuk alat ganti, minyak enjin dan caj pekerja agar tiada kesulitan untuk menyelenggara kereta anda dan mampu memberikan ketenangan fikiran kepada para pelanggan kami. Dari hanya RM398 sebulan, pelanggan boleh membawa pulang sebuah juara. Promosi sah dari 1 hingga 30 November 2017,” ujar Abdul Rashid Musa, Naib Presiden Presiden Jualan & Pemasaran, Proton.

    Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh hubungi talian Khidmat Pelanggan PROTON di 1800 888 398 atau e-mel kepada kami di [email protected]. Pelanggan juga boleh layari www.proton.com atau lawati laman Facebook rasmi PROTON di www.facebook.com/ProtonCarsOfficial. Untuk kemudahan tambahan, pelanggan boleh memuat turun aplikasi mudah alih rasmi MyProton, yang boleh didapati melalui Google Play dan Apple App Store.

     
     
  • MSF x McClubs bakal bawakan barisan kenderaan unik

    MSF x McClubs bakal bawakan barisan kenderaan unik

    Kemuncak acara Malaysia Speed Festival (MSF) yang akan berlangsung pada 2-3 Disember nanti akan turut memperkenalkan pameran kereta MSF x McClubs Showdown yang akan menyaksikan pelbagai jentera empat roda dipamerkan.

    Pameran kereta berkenaan, yang akan berlangsung pada hari pertama (2 Disember) akan turut menampilkan kereta dari beberapa kategori; MDM (Malaysian Domestik Market), JDM (Japanese Domestic Market), Retro, Euro dan Open – semuanya untuk dinikmati oleh pengunjung yang hadir.

    MSF x McClubs bakal bawakan barisan kenderaan unik

    Penyertaan akan dikenakan bayaran sebanyak RM40 bagi setiap kereta, dan termasuk satu tiket BBQ, sehelai kemeja-T dan dua pas paddock dengan akses kepada aktiviti-aktiviti yang berlangsung pada hari Sabtu, termasuk MSF Superbike, MSF Drift Gonzo, MSF Track Day untuk kereta dan MSF MegaLAP.

    Untuk mendaftar, layari laman Facebook McClubz dan ikut arahan yang diberikan. Bagi pemerhati, anda boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web rasmi MSF. Selain aktiviti-aktiviti yang dinyatakan, MSF Finale akan turut menampilkan perlumbaan penuh adrenalin serta MSF Racing Series yang merangkumi hingga 11 kategori yang dipertandingkan, dengan hampir 170 kereta serta perlumbaan sokongan Caterham Motorsport pada hari Ahad.

    MSF x McClubs bakal bawakan barisan kenderaan unik

    Untuk kanak-kanak pula, akan ada sebuah kolam getah gergasi pada hari Ahad. Masuk percuma bagi akses ke grandstand, dan harga serendah RM20 bagi akses ke paddock untuk aksi yang lebih dekat.

    *Penyertaan adalah terhad dan penganjur berhak untuk menafikan penyertaan
    ** Setiap kemasukan rasmi akan menerima satu pas BBQ. Pas BBQ tambahan boleh didapati pada harga RM15 seorang.

     
     
  • Perodua Myvi 2018 sedan – mungkin jadi kenyataan?

    Perodua Myvi 2018 sedan – mungkin jadi kenyataan?

    Dilancarkan pada Khamis lalu, Perodua Myvi terbaru menjadi buah mulut ramai orang bagi tempoh beberapa waktu kebelakangan ini. Mungkin terlalu awal untuk dinyatakan, tetapi mungkin ramai yang sudah tertanya-tanya apa pula selepas ini dari Perodua? Kalau dilihat kepada corak sebelum ini – selepas pengenalan model Axia – hadir pula versi sedannya tahun lalu dengan model Bezza.

    Jadi, jika mengambil itu sebagai petunjuk, mungkinkah akan ada Myvi sedan? Jika betul, maacam mana rupa model itu nanti? Dengan kemahirannya, Theophilus Chin yang sebelum ini banyak membayangkan semula model-model sedia ada melalui lakaran digital, kali ini mengalihkan perhatiannya untuk Myvi terbaru pula.

    Bahagian depan kekal seperti model hatchback sedia ada, dengan kelainan diberikan pada profil tepi rekaan ini; elemen yang terdiri daripada enam cermin juga masih ada, tetapi nampak lebih kemas dan tajam berbanding Bezza. Di belakang, rekaan bentuk L pada lampunya menampilkan gaya yang lebih elegan dengan ruang untuk nombor plat juga diletakkan di situ.

    Perodua Myvi 2018 sedan – mungkin jadi kenyataan?

    Sekadar makluman, Myvi generasi ketiga ini rekaannya dihasilkan sepnuhnya oleh tenaga tempatan, dengan kelengkapan keselamatan yang lebih baik. Lebih panjang, lebih lebar dan lebih rendah dari Myvi sebelum ini, ia juga hadir dengan lampu utama LED untuk semua varian.

    Dua pilihan enjin ditawarkan, 1.3L dan 1.5L dari keluarga enjin NR Toyota, DOHC dengan ciri Dual VVT-i. Enjin 1.3L ini juga terdapat pada Bezza, menjana 94 hp pada 6,000 rpm dan 121 Nm tork pada 4,000 rpm. Manakala enjin 1.5L dari Toyota Vios pula menghasilkan 102 hp pada 6,000 rpm dan 136 Nm tork. Untuk maklumat lanjut, ikuti laporan pelancaran dan pandu uji ringkas yang kami sediakan.

     
     
  • Tesla Semi – trak elektrik sepenuhnya yang mampu memecut dari 0-97 km/j dalam masa hanya 5 saat

    Tesla Semi – trak elektrik sepenuhnya yang mampu memecut dari 0-97 km/j dalam masa hanya 5 saat

    Pembuat kereta elektrik berkuasa tinggi dari Amerika – Tesla – telah mendedah trak elektrik sepenuhnya yang di gelar Tesla Semi. Menurut syarikat berkenaan, Tesla Semi bakal memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pemandu trak, disamping mempertingkatkan keselamatan dan mengurangkan kos pengangkutan secara signifikan.

    Menurut Tesla, sekiranya trak ini tidak menarik beban, ia mampu untuk memecut dari 0-97 km/j dalam masa hanya lima saat – cukup untuk menewaskan kebanyakkan kereta ‘sport’, berbanding sekitar 15 saat untuk trak diesel konvensional. Jika diberi beban 80,000 pound pula, ia mampu memecut pada jarak sama dalam masa 20 saat, berbanding sekitar seminit bagi trak diesel biasa.

    Tesla juga turut menjelaskan, trak ini mampu mendaki bukit dengan gred 5% dengan kelajuan selesa 105 km/j berbanding trak diesel yang hanya mampu mencapai kelajuan maksima 72 km/j pada kadar kecerunan yang sama. Manakala sistem regenarative braking pada trak ini pula mampu memanjangkan jangka hayat sistem brek, selain memberikan 98% kuasa kinetik kepada bateri

    Pecutan dan nyah pecut trak ini juga lebih lancar kerana tidak memerlukan kotak gear. Secara keseluruhan, Semi lebih responsif, dapat bergerak lebih jauh berbanding trak diesel dalam tempoh masa yang sama, menurut Tesla lagi.

    Kabin Semi juga direka berbeza dengan trak konvensional dan bersifat lebih mesra pemandu. Ia menampilkan tangga tanpa halangan untuk memudahkan akses dan juga tempat duduk pemandu yang berada di tengah bagi memberikan penglihatan yang lebih baik. Dua paparan skrin sesentuh yang diletakkan pada kedua-dua sisi pemandu akan memberikan informasi berkenaan navigasi, pemantau titik buta dan juga sistem data logging elektronik.

    Trak ini juga disertakan dengan sistem pengurusan logistik bina dalam yang membantu merancang laluan dan jadual, serta pemantau jarak jauh – sistem ini dibekalkan oleh pihak ketiga untuk trak-trak diesel biasa.

    Bersama trak ini, Tesla turut memperkenalkan Megachargers iaitu sistem pengecas arus terus (DC) berkelajuan tinggi yang mampu memberikan bekalan kuasa untuk bergerak sejauh 644 km dengan sekali cas selama 30 minit. Ia boleh dipasang pada pangkalan asal dan juga destinasi serta sepanjang laluan dengan trafik sibuk, membolehkan trak ini dicas semula semasa mengisi dan menurunkan barang, atau ketika pemandu berehat.

    Tanpa enjin dan transmisi, Tesla mendakwa trak Semi mereka ini akan memberikan kos selenggara yang jauh lebh rendah. Bateri yang digunakan adalah bateri yang dibina dengan komposisi sama dengan produk tenaga mereka yang lain dan sememangnya direka bagi penggunaan berulang kali untuk lebih sejuta batu, manakala motor elektrik yang digunakan adalah motor yang diambil dari Tesla Model 3 dan ia telah disahkan tahan untuk perjalanan lebih satu juta batu dalam situasi paling lasak.

    Tesla Semi ini juga direka dengan standard keselamatan yang lebih tinggi dari trak kerja-berat dalam pasaran lain. Bateri trak ini diperkuatkan bagi melindungi Semi dari impak pelanggaran serta mempunyai kadar pusat graviti yang rendah. Cermin hadapan trak ini juga dibina dari kaca kalis impak.

    Manakala untuk sistem keselamatan lain, Semi turut diberikan kamera sekeliling bagi membantu pemandu mengesan objek dan mengurangkan titik buta, serta membantu memberi amaran sekiranya ia mengesan apa-apa halangan. Dengan sistem Autopilot yang dipertingkat, Tesla Semi turut menampilkan sistem brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong dan juga amaran keluar laluan.

    Untuk pelanggan yang berminat, mereka sudahpun boleh menempah trak ini dengan bayaran $USD 5,000 setiap trak. Ia bakal diproduksi bermula tahun 2019.

     
     
  • Petronas Dynamic Diesel Euro 5 dengan Pro-Drive dilancarkan – untuk enjin yang lebih lancar dan bersih

    Petronas Dynamic Diesel Euro 5 dengan Pro-Drive dilancarkan – untuk enjin yang lebih lancar dan bersih

    Petronas Dagangan Bhd hari ini melancaran formulasi baru bagi Petronas Dynamic Diesel Euro 5, kini dengan Pro-Drive. Diesel bersih terbaru ini didakwa mampu memberikan pemanduan yang lebih lancar dan penggunaan minyak yang lebih baik, dengan diesel asas yang lebih berkualiti tinggi yang diformulasikan agar sesuai untuk kegunaan enjin common-rail moden.

    Teknologi Pro-Drive yang digunakan pada diesel baru ini dibangunkan dengan usaha sama Iveco dalam Rali Dakar, yang menyaksikan Petronas De Rooy Iveco muncul juara pada edisi 2016 lalu.

    “Penglibatan Petronas dalam Rali Dakar memberikan kami platform untuk mengkaji keperluan kenderaan dengan enjin common-rail suntikan terus berprestasi tinggi dan membolehkan kami untuk terus-menerus memperbaharui produk kami agar ia menepati keperluan semasa, termasuk dalam keadaan pemanduan yang paling ekstrem,” jelas Pengarah Urusan dan CEO, Datuk Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus.

    Petronas Dynamic Diesel Euro 5 dengan Pro-Drive dilancarkan – untuk enjin yang lebih lancar dan bersih

    Petronas mendakwa bahan api dengan Pro-Drive ini akan membersihkan endapan dan melindungi bahagian penyuntik minyak, membolehkan enjin berada dalam keadaan bersih dan memberikan kecekapan yang optimum. Ia juga mampu memperbaiki pembakaran dalam enjin, mengatasi diesel lain yang ada kini. Hasilnya, pemanduan jadi lancar, bersih dan lebih senyap.

    Petronas Dynamic Diesel Euro 5 kini boleh diperolehi di 58 stesen, dengan perancangan untuk menjadikannya 115 stesen dalam masa terdekat.

     
     
  • Imej Toyota Rush 2018 bocor di internet sebelum didedahkan secara rasmi sepenuhnya di Indonesia

    Imej Toyota Rush 2018 bocor di internet sebelum didedahkan secara rasmi sepenuhnya di Indonesia

    Pasaran MPV/SUV mampu milik Indonesia nampaknya benar-benar menarik perhatian jenama-jenama automotif Jepun. Setelah Mitsubishi Xpander membuat kemunculan sulungnya di Gaikindo International Indonesia Auto Show (GIIAS) Ogos lalu, selepas ini Toyota Rush 2018 pula akan membuat penampilan pertama diperingkat global di negara berkenaan.

    Namun sebelum ia didedahkan secara rasmi, laman Autonetmagz terlebih dahulu telah menyiarkan imej SUV berkenaan yang telah bocor. Rush yang juga dikenali sebagai Daihatsu Terios pada sesetengah pasaran nampaknya akan muncul untuk generasi ketiga sebagai jelmaan produksi bagi model Daihatsu FT Concept yang pernah muncul di GIIAS 2015.

    Gambar yang bocor ini jelas menunjukkan Rush kini lebih berbentuk seperti MPV berbanding dengan rupa sebuah SUV sebenar pada model-model sebelum ini. Laporan ini juga turut mendedahkan berberapa kelengkapan yang diberikan pada model generasi baharu ini antaranya, lampu hadapan reflektor LED, lampu nyalaan siang LED berbentuk-L, lampu belakang LED, lampu puddle LED pada cermin sisi dengan lipatan elektrik, spoiler belakang dengan lampu brek LED serta antena sirip-yu.

    Dua varian muncul pada set imej kali ini iaitu G dan TRD Sportivo, di mana kedua-duanya diberikan standard dengan ciri-ciri yang dinyatakan diatas. Namun apa yang membezakan antara kedua-dua model ini adalah saiz dan rekaan rim di mana model G diberikan rim aloi 16-inci manakala TRD Sportivo (berwarna hitam) menerima rim dengan elemen rekaan turbin dua-tona bersaiz 17-inci – seperti rekaan yang ditampilkan pada Daihatsu FT Concept.

    Ciri standard lain yang dibekalkan untuk varian G adalah termasuk fungsi sistem start-stop enjin automatik dan juga penghawa dingin manual dengan fungsi memori seperti pada Perodua Myvi 2018. Untuk TRD Sportivo pula, ia menerima penghawa dingin automatik, papan pemuka dengan material sentuhan-lembut serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

    Kedua-dua varian diberikan kamera undur, penderia parkir dan juga sistem infotaimen dengan skrin utama tujuh-inci. Untuk model tertinggi pula, pemain audio infotainmen utama turut akan diberikan sokongan Near-Field Communication (NFC) dan dihubungkan kepada lapan-pembesar suara.

    Rush turut menerima roda stereng pelbagai fungsi yang hanya boleh dilaras tinggi-rendah, paparan instrumen analog bersama paparan pelbagai informasi TFT dan juga tiga port pengecas. Kereta baharu ini juga menerima brek ABS, EBD, VSC, bantuan mula-mendaki dan juga enam-beg udara. Namun khabar yang turut tersebar mengatakan, versi Daihatsu Terios hanya akan menerima empat beg-udara tetapi ia akan dilengkapi dengan kamera sekeliling 360-darjah yang tidak diterima oleh Rush.

    Toyota Rush dan Daihatsu Terios dijangka bakal dijana enjin baharu 1.5 liter empat silinder Dual VVT-i 2NR-VE, iaitu enjin yang sama berada dalam perut Myvi 1.5L 2018. Ia berupaya menjana 102 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm – 6 hp lebih berkuasa tetapi 6 Nm kurang tork berbanding enjin 1.5 liter terdahulu. Walau bagaimanapun, enjin ini direka bagi mendapatkan penggunaan bahan api yang lebih efisien.

    Untuk pasaran Indonesia, Toyota Rush 2018 dilaporkan akan dijual Rp.5,000,000 (RM1,540) lebih mahal dari sebelum ini. Untuk model terdahulu, Rush dijual pada harga bermula Rp 228.7 juta untuk G manual hingga Rp.262.45 juta (RM78,534) untuk TRD Sportivo Ultimo A/T. Selain Xpander, Rush turut akan memberikan tentangan sengit terhadap Honda BR-V dan Suzuki Ertiga pada pasaran berkenaan.

    Toyota Rush dan Daihatsu Terios pernah dihasilkan dalam versi Perodua sebelum ini iaitu Kembara dan juga Nautica. Jadi tidak hairan jika ada desas-desus mengatakan model generasi baharu ini turut akan hadir sebagai Alza generasi seterusnya atau SUV kompak baharu yang disebut-sebut sebelum ini.

    Namun mengikut trend yang ditunjukkan pada dua model serba baharu yang dilancarkan oleh Perodua iaitu Bezza dan Myvi, pembuat automotif dari Rawang berkenaan nampaknya ‘sedang berseronok’ dengan unit R&D mereka – menghasilkan upper body Bezza dan Myvi, serta mengolah kembali platform Myvi lama bagi menjadikannya sebuah platform baharu.

    Adakah Perodua akan ‘menarik’ platform Myvi 2018 bagi menghasilkan Alza baharu (seperti apa yang dilakukan oleh Toyota terhadap MPV Passo Sette iaitu asas Alza sedia ada), atau SUV dengan platform baharu ini tetapi dengan upper body dari Perodua sendiri, perkara ini sebenarnya masih agak sukar untuk diramal.

    GALERI: Daihatsu FT Concept di GIIAS 2015

     
     
  • Mitsubishi perkenal tambahan varian baru Triton VGT AT Premium, ASX Adventure edisi terhad mula dijual

    Mitsubishi perkenal tambahan varian baru Triton VGT AT Premium, ASX Adventure edisi terhad mula dijual

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dengan rasminya mengumumkan penawaran varian terkini iaitu Premium bagi Triton VGT dan juga edisi terhad bagi ASX Adventure. Seperti yang dipertontonkan awal bulan ini, model ASX Adventure ini ditawarkan dalam jumlah hanya 60 unit sahaja dan menampilkan beberapa tambahan dari segi penampilan luaran mahupun dalaman.

    Model SUV kompak ini mendapat gril dengan rekaan baru dengan panel yang lebih besar berbanding susunan bertingkat pada rekaan pada model biasa. Kemasan krom juga lebih banyak. Di belakang, bamparnya turut menerima beberapa kemasan baru, yang selari dengan penggunaan bahagian hitam pada sisi dan juga pelindung fender – memberikannya imej yang lebih ranggi.

    Mitsubishi perkenal tambahan varian baru Triton VGT AT Premium, ASX Adventure edisi terhad mula dijual

    Rim 18-inci lima jejari pula menggantikan rim yang seinci lebih kecil yang digunakan pada varian lain – rim yang sama akan anda lihat digunakan pada model Outlander. Di dalam, kemasan warna biru menghiasi dikebanyakan tempat, dengan kehadiran tempat duduk kulit. Pedal yang digunakan juga dari jenis aluminium. Berdasarkan model ASX 2.0L 2WD, edisi Adventure ini datang hanya dalam warna Sporty Blue Metallic dan dijual pada harga RM123,988.

    Triton VGT AT Premium pula ialah sebuah varian baru yang dipekenalkan, berada di antara Triton VGT AT GL dan Triton VGT Adventure X yang paling lengkap. Dijual pada harga RM116,300, VGT AT Premium dilengkapi dengan rim aloi 17-inci, tempat duduk kulit dan kamera undur. VGT AT GL, yang lebih murah pada harga RM103,800 hanya menggunakan rim 16-inci dan tempat duduk fabrik.

    Mitsubishi perkenal tambahan varian baru Triton VGT AT Premium, ASX Adventure edisi terhad mula dijual

    Selain itu, MMM juga memberikan sports bar rekaan terbaru bagi Triton Adventure X, yang kini dijual pada harga RM126,990 – lebih rendah berbanding sebelum ini, RM130,900. Spesifikasi lain masih sama.

    Triton VGT dikuasakan oleh enjin 2.4 liter MIVEC turbodiesel dengan VVT, menghasilkan 181 PS dan 430 Nm. Model berkenaan diberi peningkatan pada awal tahun ini, dengan pertambahan ciri keselamatan. Dibawa masuk dari CBU dari Thailand, Triton diberikan jaminan lima-tahun/200,000 km.

    Mitsubishi ASX Adventure

     
     
  • Volkswagen Virtus – Polo versi sedan generasi baharu

    Volkswagen Virtus – Polo versi sedan generasi baharu

    Selepas hatchback Volkswagen Polo generasi terbaharu (Mk6) didedahkan sebelum ini, kini versi sedannya pula membuat kemunculan sulung dan digelar sebagai Virtus (model generasi kelima dikenali sebagai Vento pada pasaran Malaysia). Untuk peringkat global, kereta ini muncul buat kali pertama di Sao Paulo, Brazil.

    Volkswagen Virtus 2018 ini dibina berasakan platform modular MQB A0 iaitu platform yang sama dengan Seat Ibiza. Namun berbanding Polo, asas Virtus ini telah ditarik lebih panjang menjadikan jarak rodanya 86 mm lebih jauh (2,650 mm) dan ia hampir sama dengan dimensi pada VW Jetta.

    Lebar sedan ini masih lagi sama dengan versi hatchback (1,751 mm), tetapi panjang keseluruhannya diukur pada 4,480 mm berbanding 4,053 pada Polo, dan ia juga 22 mm lebih tinggi (1,468 mm). Dengan saiz yang lebih besar ini membolehkan ruang butnya direka dengan kapasiti 521 liter berbanding hanya 351 liter untuk hatchback.

    Volkswagen Virtus – Polo versi sedan generasi baharu

    Untuk pasaran Brazil, Virtus akan dijana dengan dua pilihan enjin sama ada NA atau turbo. Bagi versi NA, ia akan dijana enjin 1.6 liter empat-silinder petrol berkuasa 117 hp dan tork maksima 162 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik lima-kelajuan. Manakala untuk versi turbo pula, ia diberikan enjin 1.0 liter tiga-silinder petrol yang berupaya menjana 128 hp dan tork maksima 200 Nm, digandingkan bersama kotak gear enam-kelajuan automatik.

    Dari segi rupa pula, muka sedan ini adalah hampir seiras dengan Polo, namun diberikan sentuhan semula pada bampar hadapan. Dari sisi, dapat diperhatikan pintu belakang juga dilihat jaun lebih panjang dari Polo. Berbanding Vento yang diberikan lampu belakang menegak, Virtus dipadankan dengan lampu ‘two-piece‘ dengan rekaan lebih tirus dan menyerupai lampu belakang Audi A4 B9.

    Masuk ke bahagian kabin, Virtus turut diberikan bentangan rekaan seiras dengan Polo. Paparan instumen sedan ini diberikan paparan digital menerusi skrin Active Info Display bersaiz 10.25-inci. Untuk sistem infotaimen pula, ia dilengkapkan dengan skrin sesentuh utama bersaiz 8-inci pada bahagian tengah.

    Virtus merupakan salah satu model dari 13 model lain yang akan dihasilkan di kilang Volkswagen Brazil. Jenama automotif dari Jerman berkenaan turut merancang untuk melancarkan 20 model baharu (termasuk Virtus) pada pasaran Brazil menjelang tahun 2020.

     
     
  • Boon Siew perkenalkan Honda Beat baru – RM5,724

    Boon Siew perkenalkan Honda Beat baru – RM5,724

    Boon Siew Honda (BSH) kini memperkenalkan model skuter automatik Honda BeAT 2017 dengan corak grafitti baru untuk tampil lebih ranggi. Model ini juga dilengkapi tayar tanpa tiub dengan empat pilihan warna diberikan; Space Magenta Metallic (warna baru), Pearl Nightfall Blue, Pearl Magellanic Black dan Vivacity Red.

    “Tahun lalu, BSH melancarkan Honda BeAT untuk pasaran penunggang muda. Kini, kami menambahbaikkan rekabentuknya dengan warna-warna baharu serta corak grafik terkini. Ia bukan sahaja mempunyai kelengkapan keselamatan yang sesuai untuk para pelajar menunggangnya untuk aktiviti seharian, ia kini lebih bergaya,” jelas CEO BSH Nobuhide Nagata.

    Antara ciri-ciri lain yang melengkapi model ini ialah Sistem Brek Combi, Smart Lock System yang mengekalkan skuter ini dalam keadaan breknya dikunci ketika enjin dihidupkan, serta ciri umum bagi skuter, iaitu Side Stand Switch, yang akan mematikan enjin sekiranya tongkat diturunkan.

    Model ini menggunakan enjin 108.2 cc dengan teknologi kurang geseran serta lengkap dengan ciri suntikan minyak PGM-FI. Enjin ini menjana sebanyak 6.46 KW (8.77 PS) @ 7,500 rpm dan 9.14Nm @ 6,000 rpm tork. Kapasiti tangki petrolnya pula ialah empat liter. Berat keseluruhannya ialah 94 kg.

    Honda BeAT 2017 ini dijual pada harga RM5,724, termasuk GST. Dan, menurut BSH lagi, ini merupakan model skuter pertama yang menerima pengiktirafan EEV di Malaysia.

     
     
  • Perodua Myvi 2018 terima 5-bintang dari ASEAN NCAP; 32.71 mata bagi AOP, 43.14 mata untuk COP

    Perodua Myvi 2018 terima 5-bintang dari ASEAN NCAP; 32.71 mata bagi AOP, 43.14 mata untuk COP

    Dalam majlis sidang media sebelum berlangsungnya pelancaran Perodua Myvi 2018, Presiden dan CEO Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh mengumumkan model generasi ketiga Myvi ini telah menerima penarafan lima-bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) iaitu di bawah protokol baharu 2017-2020, yang kini termasuk dengan Teknologi Bantuan Keselamatan (SAT). Ia turut menyertai ujian Perlindungan penumpang Dewasa (AOP) dan Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP).

    Dan sebaik sahaja majlis pelancarannya usai, MIROS telah mengumumkan keputusan penuh mengenai ujian perlanggaran yang telah dijalankan terhadap Myvi 2018 ini. Di mana penarafan tersebut boleh digunakan bagi semua varian Myvi 2018, dari 1.3 Standard G (MT) hingga yang tertinggi 1.5 Advance.

    Berbanding dengan model sebelum ini, yang menerima penarafan empat-bintang (diuji pada 2015), Myvi 2018 ini menerima 32.71 daripada 36 mata bagi ujian AOP. Jika dibandingkan dengan model persaingnya, Proton Iriz (diuji pada 2014) yang menerima lima-bintang, dengan 14.07 mata.

    Perodua Myvi 2018 terima 5-bintang dari ASEAN NCAP; 32.71 mata bagi AOP, 43.14 mata untuk COP

    Tetapi Myvi baharu ini turut diuji bagi teknologi perlindungan impak tepi dan perlindungan kepala, yang kedua-duanya tidak diuji pada Myvi 2015 dan Iriz.

    Untuk ujian COP, Myvi 2018 ini menerima 43.14 daripada 49 mata. Sebagai perbandingan, model sebelum ini menerima 34.83 daripada 49 mata, sementara Iriz pula mendapat 40.06 daripada 49 mata.

    Manakala bagi ujian keselamatan pula, Myvi 2018 ini menerima sejumlah 15 mata daripada 18 mata penuh.

    Klik untuk besarkan

    Kit keselamatan standard untuk semua varian termasuk empat beg udara (dwi hadapan dan sisi), ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Traction (TRC), isyarat berhenti kecemasan, pengesan undur dan cagak ISOFIX di tempat duduk barisan kedua.

    Sementara varian 1.5L pula menerima lagi dua beg udara menjadikannya sebanyak enam (dwi hadapan, sisi dan tirai), dan hanya 1.5 Advance menerima Advanced Safety Assist (ASA) untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan. Ini termasuklah Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026