Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Kutipan tol di Plaza Tol Segambut, DUKE 2 bermula

    Kutipan tol di Plaza Tol Segambut, DUKE 2 bermula

    Pemegang konsesi bagi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Konsortium Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI) telah mengumumkan kutipan tol di Plaza Tol Segambut telah mula dibuka sejak semalam, 23 November 2017.

    Plaza Tol Segambut yang terletak di Lebuhraya DUKE Fasa 2 Damansara Link (SDL), mengenakan kadar tol sebanyak RM2.50 bagi kenderaan Kelas 1, RM3.80 untuk Kelas 2, RM5 bagi Kelas 3 dan RM1.50 bagi Kelas 4 dan 5.

    SDL merupakan penghubung di antara Lebuhraya MRR2 dari persimpangan Manjalara dan Lebuhraya DUKE berfungsi sebagai laluan alternatif ke pusat bandar Kuala Lumpur dari Sri Damansara, Rawang, Desa Park City, Kepong dan Sungai Buloh.

     
     
  • Mitsubishi Triton Athlete tampil di Thai Motor Expo

    Mitsubishi Triton Athlete tampil di Thai Motor Expo

    Mitsubishi Triton bakal melakukan penampilan khas di Thailand Motor Expo yang akan berlangsung pada minggu hadapan, dengan varian baharu, Athlete, diperkemaskinikan bahagian dalaman dan luaran. Ia melibatkan perubahan kosmetik yang agak besar, namun masih mengekalkan penjana kuasa yang sama seperti sebelum ini, dengan imejnya telah didedahkan oleh Headlight Magazine.

    Semua varian bagi Triton Athlete Special Edition pasaran Thailand ini bakal dijanakan oleh enjin diesel 2.4 liter 4N15 MIVEC dengan variable geometry turbocharger dan intercooler, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 181 hp pada 3,500 rpm dan tork 430 Nm pada 2,500 rpm. Transmisi pula sama ada menerusi kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik lima-kelajuan.

    Untuk bahagian luarannya, bahagian hadapan Triton Athlete dilengkapi dengan gril sarang lebah bersama jaluran hitam. Malah bampar hadapan juga menerima jaluran hitam-jingga di hadapannya dan kekemasan hitam di dalamnya yang ditampilkan bersama lampu kabus. Gerbang roda hadapannya dan perumah cermin sisi juga ditampilkan dengan rona hitam.

    Mitsubishi Triton Athlete tampil di Thai Motor Expo
    Mitsubishi Triton Athlete tampil di Thai Motor Expo

    Tiga palang sport yang sama dengan warna badan juga terpasang di bahagian luaran dan ini termasuklah liner bagi tailgate. Bampar belakang juga ditampilkan dengan kekemasan hitam dan jingga, malah warna yang sama turut menghiasi pelekat yang ditampal pada sisi bawah pada pintu dan juga sisi palang sport.

    Bagi bahagian dalamanya pula, sekali lagi warna hitam dan jingga menjadi pilihan dan ini jelas kelihatan pada semua tempat duduk kulit upholstery. Begitu juga dengan roda stereng, tombol gear, panel pintu dan kotak storan konsol tengah yang turut ditampilkan dengan jahitan jingga. Selain itu, Untuk tempat duduk pemandu, ia disertakan dengan larasan elektronik lapan-hala. Elemen unik dan khas bagi varian Athlete yang turut ditampilkan termasuklah corong pendingin hawa, panel konsol tengah, kekemasan roda stereng dengan kekemasan logam.

    Selain itu, ia turut dilengkapi dengan unit skrin sesentuh bersama sambungan Apple CarPlay dan Android Auto untuk telefon pintar. Lain-lain perincian dan harganya hanya akan didedahkan sepenuhya ketika pelancaran acara Motor Expo ini.

    GALERI: Mitsubishi Triton VGT Adventure X di Malaysia

     
     
  • Toyota Rush 2018 buat kemunculan sulung global di Indonesia – 1.5L Dual VVT-i, tujuh-tempat duduk

    Toyota Rush 2018 buat kemunculan sulung global di Indonesia – 1.5L Dual VVT-i, tujuh-tempat duduk

    Baru saja kami siarkan teaser sebentar tadi, khabar terbaharu yang diterima dari Indonesia, Toyota Rush 2018 sudahpun membuat kemunculan sulungnya untuk peringkat global di negara berkenaan hari ini. Seperti yang anda telah tengok pada imej teaser dan juga imej yang bocor di internet sebelum ini, Rush generasi baharu berkenaan nampaknya diberikan imej yang berbeza sedikit dari generasi sebelumnya.

    Jika sebelum ini Rush dilihat seperti SUV kompak sebenar, model generasi baharu ini menampilkan rupa sebuah MPV yang diberi penggayaan seperti SUV – prinsip rekaan yang hampir serupa dengan Honda BR-V dan juga Mitsubishi Xpander. Seperti juga sebelumnya, Rush turut akan dipasarkan di Indonesia dengan jenama Daihatsu selepas ini, di bawah nama Terios.

    Model generasi baharu ini dijana enjin baharu 2NR 1.5 liter DOHC – enjin dari siri yang sama pada Perodua Myvi 2018 dan juga Toyota Avanza generasi terkini. Namun, unit dengan teknologi Dual VVT-i pada Rush ini ditala untuk mengekstrak kuasa 104 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm. Ia digandingkan dengan pilihan sama ada kotak gear lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik.

    Toyota Rush 2018 buat kemunculan sulung global di Indonesia – 1.5L Dual VVT-i, tujuh-tempat duduk

    Seperti juga MPV-SUV mampu milik lain yang disasarkan untuk pengunaan di Indonesia seperti BR-V, Xpander dan Suzuki Ertiga, Rush menampilkan ruang kelegaan tanah yang agak tinggi dengan 220 mm – membuatkan ia kelihatan lampai.

    Untuk memudahkan anda membayangkan tinggi dan dimensi lain MPV-SUV ini, Rush mempunyai kelegaan tanah 19 mm lebih tinggi dari BR-V, manakala panjang 4,435 mm dan lebar 1,695 mm Toyota ini membuatkan ia 18 mm lebih pendek dan 40 mm lebih lebar dari saingannya tersebut. Manakala dengan dimensi 2,685 mm, Rush mempunyai jarak roda 23 mm lebih jauh dari BR-V.

    Rush pasaran Indonesia nampaknya hadir dengan spesifikasi yang agak tinggi. Untuk keselamatan, model ini didatangkan standard untuk semua varian dengan enam-beg udara, VSC, ABS, bantuan mula mendaki, isyarat berhenti kecemasan dan juga peringat tali pinggang keledar untuk kesemua tujuh-tempat duduk.

    Toyota Rush 2018 buat kemunculan sulung global di Indonesia – 1.5L Dual VVT-i, tujuh-tempat duduk

    Selain itu, Rush juga diberikan lampu hadapan LED dengan lampu panduan, lampu belakang LED, roda steering boleh laras, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, kamera undur dan juga lapan buah pembesar suara – kesemua ini turut diberikan standard untuk semua varian.

    Berbanding model G, versi TRD Sportivo akan dibezakan dengan penambahan papan pemuka dua-tona dengan material sentuhan-lembut, skrin sesentuh DVD-AVX tujuh-inci bersama sistem Miracast, Weblink serta sokongan Bluetooth dan Waze, paparan pelbagai info berwarna, penghawa dingin automatik dengan paparan digital serta pengecas USB pada semua barisan tempat duduk.

    Model TRD Sportivo ini juga tampil lebih garang dengan pemadanan pelindung bawah pada bahagian hadapan dan belakang, perumah lampu kabus lebih menonjol dan juga kemasan sisi tambahan. Model varian tertinggi ini juga menerima rim aloi 17-inci, berbanding model G yang hanya diberikan rim 16-inci.

    Walau bagaimanapun, Toyota masih lagi belum mendedahkan harga Rush generasi baharu ini dan ia hanya diumumkan pada tahun hadapan. Di Malaysia, Rush pernah dijual oleh UMW Toyota, malah Daihatsu Terios turut pernah dihasilkan dalam bentuk Perodua Kembara dan Perodua Nautica.

    Dengan spesifikasi yang ditawarkan pada model generasi baharu ini, Rush dijangka bakal memberikan cabaran yang sengit untuk BR-V di Indonesia. Jika ia di bawa ke Malaysia dengan harga yang tepat, ia tentu juga bakal menggugat pasaran SUV-MPV dari Honda berkenaan. Apa pula pendapat anda?

     
     
  • Proton Savvy 18 – rekaan konsep lanjutan pereka asal

    Proton Savvy 18 – rekaan konsep lanjutan pereka asal

    Ketika ini, tentunya kita sudah biasa dengan kerja-kerja rekaan digital yang dihasilkan oleh Saharudin Busri yang bertugas di Pusat Rekaan MIMOS. Sekadar mengingat kembali, beliau pernah mengasilkan beberapa rekaan model-model Proton yang dibayangkan semula, seperti Suprima X dan Suprima R.

    Terbaru, beliau menghasilkan pula rekaan konsep bagi semua model kompak Proton yang unik sebelum ini, Proton Savvy Concept. Dan, model Savvy bukanlah terlalu asing buat beliau; ketika model berkenaan dibangunkan kira-kira 15 tahun lalu, Saharudin bertindak selaku ketua pereka untuk model berkenaan ketika itu.

    Jadi, rekaan konsep yang sedang kita tatap ini bolehlah dianggap sebagai kesinambungan kepada rekaan lama yang pernah dihasilkan dulu. Paling penting, rekaan ini merupakan imajinasi terbaru pereka asalnya terhadap bagaimana model Savvy perlu hadir di masa akan datang.

    Proton Savvy 18 – rekaan konsep lanjutan pereka asal

    Pendekatan rekaan konsep terbaru ini cuba membawa imej “Sporty & Sexy” pada Savvy, yang sejak dulu memang disasarkan untuk pengguna muda-mudi dari generasi baru kini – ia dihasilkan agar mampu melengkapi unsur kepantasan dan gaya ranggi yang tersendiri.

    Beliau menamakan rekaan ini Savvy 18; dengan harapan Proton akan dapat kembali seperti pada zaman kegemilangannya pada tahun 2018 dengan kerjasama Geely. Ia semacam satu tribute dan sekaligus sebagai sebuah harapan beliau kepada jenama Proton.

    Rekaan konsep ini masih mengekalkan identiti dan unsur-unsur utama yang ada pada Savvy asal dahulu yang kemudiannya diterapkan dengan pendekataan rekaan yang lebih segar dan baru. Bentuk V yang ada pada bahagian logo hadapan dan belakang rekaan ini adalah karektor utama Savvy yang masih dikekalkan. Garis bahagian sisinya pula memberikan penampilan yang lebih tajam dan sporty yang diingini.

    Proton Savvy 18 – rekaan konsep lanjutan pereka asal

    Satu lagi unsur penting Savvy yang masih ditampilkan pada rekaan ini ialah sambungan garis yang bermula dari bahagian hud depan yang menyambungkan garis krom di depan dengan kemasan krom pada bahu sisi kereta ini. Dan, tak lupa juga kedudukan ekzos yang berada ditengah – semua ini ada pada rekaan asal Savvy lama.

    Sentuhan baru yang diberikan pula ialah seperti pada bahagian A-pillar krom dengan rekaan ala cabriolet untuk mendapatkan garis bumbung coupe – lebih mewah dan bergaya. Untuk bahagian depan, lampu-lampunya disorok sedikit; lampu utama yang nipis tak jauh dari ruang masukan udara sisi, dengan lampu DRL yang bersambung dengan kemasan garis krom antara menjadi kelainan utama. Lampu belakang pula menggunakan elemen sports car – nampak macam 3D dan lebih moden.

    Imej keseluruhannya adalah ringkas dan bersih, dengan warna dua tona antara badan kereta dan bumbungnya untuk menyuntik imej sporty. Nampak meyakinkan atau sebaliknya? Kalau anda ada apa-apa pandangan, sila kongsikan.

    Proton Savvy 18 – rekaan konsep lanjutan pereka asal

     
     
  • Toyota Rush 2018 – imej rasmi disiarkan di Indonesia

    Toyota Indonesia telah menyiarkan imej rasmi bagi Toyota Rush 2018, dan ia dimuat naik sebagai gambar utama laman Facebook syarikat tersebut. Satu gambar penuh kenderaan tersebut kemudiannya diikuti pula oleh gambar teaser lampu belakang yang diletakkan dengan tajuk “cutting edge vehicle illumination system”.

    Toyota Rush ini juga dikenali sebagai Daihatsu Terios di beberapa pasaran lain, dan sebelum ini, gambarnya pernah bocor sebelum pelancaran di Indonesia. Gambar rasmi yang disiarkan oleh Toyota Indonesia ini mengesahkan Rush 2018 sudah beralih lebih kepada sebuah MPV berbanding sebelum ini sebuah SUV. Ada juga bahagian yang kelihatan seperti daripada Toyota Fortuner.

    Maklumat yang tersebat mengatakan Rush 2018 akan dilengkapi dengan lampu utama bi-beam LED reflector, lampu siang LED berbentuk L, lampu belakang LED dan lampu LED di bawah cermin sisi. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Toyota pada tajuk gambar teaser tersebut.

    Toyota Rush 2018 – imej rasmi disiarkan di Indonesia

    Dua varian Rush 2018 sudah pernah dilihat sebelum ini iaitu G dan TRD Sportivo. Sebagai tambahan kepada kelengkapan yang dinyatakan tadi, varian G mendapat fungsi enjin start/stop dan pengawal suhu manual digital dengan fungsi memori, manakala TRD Sportivo mendapat pengawal suhu automatik, bahan lembut pada papan pemuka dan sistem masuk tanpa kunci.

    Kedua-dua varian mendapat kamera undur, pengesan undur dan sistem informasi dan hiburan dengan skrin tujuh inci, manakala varian lebih tinggi, boleh disambung dengan peranti yang mempunyai sistem NFC, berserta sistem bunyi lapan pembesar suara. Di dalam kenderaan ini terdapat tiga tempat mengecas peranti elektronik.

    Untuk pemandu, terdapat stereng pelbagai guna yang boleh dilaras, panel instrumen analog serta paparan informasi digital. Bagi aspek keselamatan pula, ia dilengkapi dengan ABS, EBD, VSC, Hill-start Assist dan enam beg udara – lebih dua beg udara tetapi tiada kamera 360 darjah.

    Toyota Rush 2018 – imej rasmi disiarkan di Indonesia

    Di sini, kita juga boleh melihat bahagian dalam Rush 2018, hasil daripada Rockomotif. Untuk yang di dalam gambar ini, skema warna dua tona krim dan hitam digunakan, bersama kemasan yang kelihatan seperti besi pada roda stereng dan keliling tombol gear. Panel istrumen kelihatan seperti daripada Innova dan Fortuner.

    Harga Toyota Rush 2018 di Indonesia masih lagi belum disahkan, tetapi Rockomotif mengganggarkan ia berada di sekitar 250 hingga 300 juta Rupiah (RM76,111 hingga RM91,333). Jumlah ini juga dikatakan meningkat sebanyak 10-15 juta Rupiah (RM3,044 hingga RM4,566) berbanding model sebelum ini.

     
     
  • Bilik pameran Volvo Sisma Auto secara rasminya dibuka – tawar khidmat jualan di Bukit Bintang

    Bilik pameran Volvo Sisma Auto secara rasminya dibuka – tawar khidmat jualan di Bukit Bintang

    Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini melancarkan bilik pameran terbaharunya di Kuala Lumpur yang dimiliki oleh Sisma Auto. Bilik pameran Volvo pertama di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur ini terletak di tingkat bawah Menara Worldwide, Jalan Bukit Bintang dan dilancarkan sendiri oleh pengarah urusan VCM, Lennart Stegland bersama pengarah urusan Sisma Auto, Syed Khalil Syed Ibrahim.

    Seperti juga bilik-bilik pameran Volvo baharu yang lain, premis Sisma Auto ini turut diberikan konsep Volvo Retail Experience (VRE) – tampil dengan persekitaran perniagaan yang serba mewah dengan elemen reka bentuk Scandinavia.

    Fasiliti terbaharu ini mampu untuk mempamerkan lebih dari enam buah kereta pada satu-satu masa, dan turut disediakan dengan kemudahan lain seperti lounge, studio bagi pelanggan memilih kemasan dan aksesori untuk kereta baharu mereka, ruang penghantaran tertutup, dan juga ruang jualan barangan dan cenderamata Volvo.

    Bilik pameran Volvo Sisma Auto secara rasminya dibuka – tawar khidmat jualan di Bukit Bintang

    Namun, bilik pameran di Kuala Lumpur ini tidak mempunyai khidmat selepas jualannya sendiri dan pusat servis bertauliah Volvo milik Sisma Auto terletak di Glenmarie, Shah Alam. Tetapi fasiliti di Bukit Bintang ini masih lagi mempunyai kaunter servisnya sendiri, di mana pemilik boleh menghantar kereta di sini, seterusnya Sisma Auto akan menguruskan urusan lain untuk menservis kereta berkenaan.

    Bagi pelanggan yang tidak sempat untuk menghantar kereta mereka bilik pameran mahupun terus ke pusat servis di Shah Alam, Sisma Auto turut menawarkan Concierge Service iaitu perkhidmatan mengambil dan menghantar semula kereta tersebut sama ada di rumah atau di pejabat pelanggan. Servis ini disediakan untuk semua pelanggan sekitar Lembah Klang.

    “Kami begitu bangga kerana dapat menyertai rangkaian Volvo, jenama yang nyata sedang meningkat selepas melancarkan barisan model baru yang mengagumkan dari XC90 hinggalah S90 T8 Twin Engine baru. Dengan adanya bilik pameran baru ini, kami berhasrat untuk membawakan pengalaman Volvo kepada mereka yang tinggal atau bekerja ibu kota,” kata Syed Khalil.

    Sempena pembukaan bilik pameran baru ini, SISMA Auto menawarkan peluang untuk memenangi lawatan ke Sweden yang ditaja sepenuhnya kepada pelanggan yang membeli mana-mana model baharu Volvo dari syarikat tersebut.

    Selain dari Volvo, Sisma Auto turut menjalankan operasi cawangan Jaguar Land Rover (JLR) di Glenmarie dan Pulau Pinang. Manakala bilik pameran Volvo di Bukit Bintang ini juga sebenarnya merupakan bilik pameran mereka untuk jenama JLR sebelum ini. Syed Khalil turut menyatakan bahawa syarikatnya masih amat komited untuk membangunkan jenama JLR di Malaysia dalam jangka masa panjang.

     
     
  • Mercedes-Benz A-Class 2018 – rekaan dalam didedah

    Mercedes-Benz A-Class 2018 – rekaan dalam didedah

    Mercedes-Benz A-Class 2018 masih lagi belum bersedia untuk penampilan pertamanya, oleh itu, pengeluar dari Jerman itu memberikan gambar awal bahagian dalam serba baru kenderaan tersebut. Ya, ia nampak lebih mewah dan jauh berbeza berbanding model A-Class W176 sekarang.

    Seperti yang pernah dilihat sebelum ini pada model prototaip, A-Class 2018 akan menggunakan tetapan kokpit dengan skrin lebar, seperti E-Class W213. Dengan penggunaan skrin ini, bahagian atas papan pemuka lebih rata, dan kemasan yang bersambung dari panel pintu, ke papan pemuka dapat dijadikan lebih sekata. Kemasan ini boleh didapati dalam beberapa pilihan bahan, termasuk kayu.

    Pelanggan juga boleh memilih tiga tetapan skrin – dua skrin tujuh inci, satu skrin tujuh inci dan satu 10.25 inci, ataupun kedua-duanya 10.25 inci. Memandangkan kebanyakan fungsi kenderaan telah dipaparkan pada kokpit skrin lebar tersebut, bahagian tengah lebih kosong, dan cuma mempunyai butang pengawal suhu dan pendingin hawa.

    Pada bahagian konsol tengah, kini terdapat pad sesentuh pelbagai fungsi untuk mengawal sistem informasi dan hiburan COMAND. Penambahan lain adalah termasuk lampu suasana 64 warna, roda stereng baru (daripada S-Class W222) dan corong pendingin hawa gaya seperti E-Class Coupe C238.

    Mercedes-Benz turut menyatakan bahawa ciri pemanas dan pengawal suhu di tempat duduk, serta pakej Multicontour Seat turut disediakan untuk tempat duduk hadapan buat kali pertama. Untuk tempat duduk, terdapat tiga pilihan iaitu Comfort dengan 20 pelarasan, manakala Sporty untuk didatangkan bersama beberapa kelengkapan spesifik lain.

    Turut didedahkan adalah ciri praktikaliti – A-Class 2018 kini mempunyai ruang simpanan belakang 370 liter, iaitu 29 liter lebih besar berbanding model sebelum ini. Lampu belakang yang terbahagi dua juga memberikan ruang masukan yang lebih luas (+20 sm), manakala lantai but itu sendiri adalah 11.5 sm lebih panjang.

     
     
  • BMW 530e plug-in hybrid kini di Thailand – RM457k

    BMW 530e plug-in hybrid kini di Thailand – RM457k

    Harga bagi BMW 530e iPerformance di Thailand telah pun diumumkan, sebelum G30 plug-in hybrid dilancarkan di sana hujung bulan ini. Menyertai diesel 520d dan petrol 530i di negara berkenaan, 530e didatangkan dengan dua varian iaitu Luxury pada harga 3,639,000 baht (RM457,446) dan M Sport pula berharga 3,939,000 baht (RM494,466). Kedua-duanya lebih murah berbanding 530i M Sport, yang dijual pada harga 4,339,000 baht (RM544,701).

    Seperti 530i, 530e pemasangan-Thailand, dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder, dengan hamburan kuasa 184 hp dan tork puncak cecah 290 Nm. Ia juga dipadankan bersama motor elektrik 113 hp/250 Nm, serta gabungan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan, dengan sistem output keseluruhan mencecah 252 hp dan 420 Nm, iaitu lebih 70 Nm berbanding enjin petrol.

    Di bawah tempat duduk belakang, terletaknya bateri lithium-ion 9.2 kWh dengan litar suhu-rendah dan penyejukan bahan pendingin. Pengecasan bateri penuh mengambil masa selama tiga jam dan 15 minit dengan menggunakan soket domestik, atau dua jam dan 15 minit jika menerusi BMW i Wallbox 3.7 kW.

    BMW 530e plug-in hybrid kini di Thailand – RM457k

    530e boleh mencapai pacuan dari 0-100 km/j dalam hanya 6.2 saat sebelum mencecah kelajuan maksium sehingga 235 km/j. Penggunaan bahan api kombinasi dianggarkan 2.3 liter bagi setiap 100 km. Sedan saiz besar ini juga berkeupayaan dipacu dalam mod elektrik pada kelajuan sehingga 140 km/j, dan didakwa dengan penggunaan semua-elektrik sehingga 47 km. Secara realitinya, anggaran bagi mod hibrid pula sekitar 644 km.

    Kit standard yang dipadankan untuk model 530e spesifikasi Thai ini termasuklah aloi 18-inci, lampu utama adaptif LED dengan Bantuan Lampu Tinggi, paparan unit utama, Comfort Access, Display Key, material kulit Dakota, paparan instrumen digital 12.3-inci dan pendingin hawa dwi-zon, skrin belakang 10.2-inci, pengecas tanpa wayar serta sistem bunyi sekeliling Harman Kardon.

    Seperti biasa, model M Sport pula menampilkan penggayaan yang lebih agresif, dalaman yang dipertingkatkan (roda stereng, tempat duduk) dan roda yang lebih besar bersaiz 19-inci dengan jejari-berkembar.

    BMW PHEV kian diterima di Thailand, sebagaimana mana di Malaysia. Jenama premium Jerman ini telah menjual sebanyak 852 unit bagi kereta iPerformance di negara tersebut dari Januari hingga Oktober 2017, meningkat sebanyak 234% tahun-ke-tahun, menurut laporan Bangkok Post. Ini mewakili 10.2% jumlah jualan BMW di pasaran, iaitu meningkat sebanyak 28%. BMW mula menjual model PHEV di Thailand sejak Disember 2015, apabila X5 xDrive40e diperkenalkan.

    Melihat sambutan terhadap BMW PHEV di Malaysia setakat ini, dan apabila Mercedes-Benz telah pun memperkenalkan model setandingnya E350e di sini (malah Volvo juga telah melancarkan S90 T8 Twin Engine), kami sasarkan untuk melihat G30 5 Series plug-in hybrid di pasaran pada tahun hadapan.

    Kini, G30 5 Series telah pun dijual dengan varian CKD 530i pada harga RM388,800.

     
     
  • Royal Enfield Himalayan akan masuk M’sia awal 2018

    Royal Enfield Himalayan akan masuk M’sia awal 2018

    Motosikal jenama Royal Enfield yang berasal dari United Kingdom mungkin tidak begitu popular di Malaysia, kecuali bagi mereka yang berminat dalam dunia motosikal klasik. Namun, di luar negara, nama ini cukup dikenali kerana ia sudah wujud sejak tahun 1890 sementara di India pula ia terkenal sebagai pilihan utama untuk motosikal yang lasak dan serba tahan.

    Model popular keluaran Royal Enfield tentunya adalah Bullet, tetapi pada tahun 2015, Royal Enfield telah memperkenalkan model jelajah baru yang digelar Himalayan. Berita baik untuk penggemar di Malaysia, model baru ini dikhabarkan sendiri oleh pengedarnya, The Big Bike Shop akan tiba dalam pasaran suku pertama tahun 2018. Harganya masih belum didedahkan, tapi kami meletakkan jangkaan di bawah RM40,000.

    Keseluruhan motosikal ini adalah baru, bermula dari casis, hinggalah enjin L410 411 cc overhead cam, silinder tunggal dengan sejukan udara/cecair yang digunakan. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 24.5 hp pada 6,500 rpm dan 32 Nm tork pada 4,500 rpm. Transmisi pula menggunakan kotak gear lima kelajuan.

    Reka bentuknya mengambil pendekatan rekaan sebuah motosikal dual-purpose; kedudukan yang tinggi, rim 21 inci di bahagian depan manakala 17 inci dibahagian belakang. Ketinggian tempat duduk ialah 800mm. Berat basahnya pula ialah 183 kg. Ia sebuah jentera yang direka untuk kegunaan pada permukaan yang pelbagai dan jelajah.

    Antara ciri lainnya adalah sistem suspensi depan fork 41 mm, dengan jarak mendapan 200 mm serta penyerap hentak tunggal di belakang, dengan jarak mendapan 180 mm. Pelindung angin di bahagian depan jentera ini adalah ciri standard dan begitu juga dengan kerangka untuk membawa beg barangan dibelakang; ia diperbuat daripada kimpalan besi biasa untuk memudahkan kerja-kerja baik pulih sekiranya perlu.

    Lampu belakang dari jenis LED, sementara di depan hanya menggunakan lampu halogen biasa. Panel meter pula kekal menggunakan paparan analog, yang digandingkan dengan paparan LCD bagi bacaan odometer.

    Bermula tahun 2015, Royal Enfield dilihat semakin serius ingin bersaing dalam pasaran global apabila melabur untuk pembukaan pusat teknologi di United Kingdom, dan mengambil lebih banyak jurutera serta pakar dari dalam industri. Buah tangan pertama pusat teknologi ini sudah pun dipertontonkan di EICMA 2017, iaitu Interceptor 650 Twin dan Continental GT 650 Twin.


    GALERI: Royal Enfield Himalayan di GIIAS, Indonesia

     
     
  • Isu kenaikan harga minyak: Persatuan pengguna gesa kerajaan memperkenalkan semula petrol RON92

    Isu kenaikan harga minyak: Persatuan pengguna gesa kerajaan memperkenalkan semula petrol RON92

    Disebabkan harga petrol dilihat tidak begitu stabil dan sering mengalami kenaikan, persatuan pengguna menggesa kerajaan dan syarikat minyak untuk memperkenalkan semula petrol RM92. Di mana persatuan terbabit berpendapat, RON92 yang tidak diteruskan penjualannya sejak 2009, mampu menjadi alternatif bahan api bagi kumpulan pendapatan pertengahan (M40) dan rendah (B40), laporan The Sun.

    Walau bagaimana pun, pemain industri enggan memberikan pendapat berapakan kos bagi RON92 sekiranya ia dikembalikan ke pasaran.

    Namun, menerusi semakan ke atas harga minyak di Singapura, LEVO92, yang setanding dengan RON92, buat masa ini dijual pada harga S$2.19 seliter (RM6.66). Manakala LEVO95 yang setanding dengan RON97 pula dijual pada harga S$2.23 (RM6.78).

    Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia Yusof Abdul Rahman berkata, inilah masanya untuk kerajaan mengembalikan semula RON92 bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup.

    Katanya kepada akhbar terbabit, “RON92 boleh digunakan bagi kenderaan dengan kapasiti enjin yang rendah, yang mana ia dimiliki oleh ramai golongan berpendapatan rendah. Malah kerajaan juga boleh menyalurkan subsidi bagi RON92 untuk membantu golongan B40 ini.”

    Isu kenaikan harga minyak: Persatuan pengguna gesa kerajaan memperkenalkan semula petrol RON92

    Walau bagaimana pun ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Nadzim Johan berpendapat, kajian terhadap RON92 perlu dilakukan untuk mengetahui kesannya terhadap persekitaran.

    “Ia mungkin tidak sesuai untuk alam sekitar dan semua jenis kenderaan,” katanya sambil menambah kerajaan perlu mencari alternatif bagi memperkenalkan inisiatif subsidi yang disasarkan.

    “Sebagai contoh, subsidi petrol boleh dibagikan kepada individu yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan,” tambahnya lagi.

    Manakala presiden Persatuan Pengedar Petrol Malaysia Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata langkah untuk memperkenalkan semula RON92 bukanlah jalan penyelesaian yang tepat bagi majoriti industri automotif kerana telah diputuskan untuk meneruskan dan melaraskan penggunaan bahan api RON95 sebagai standard minimum.

    Isu kenaikan harga minyak: Persatuan pengguna gesa kerajaan memperkenalkan semula petrol RON92

    “Kenderaan baharu memerlukan RON95 dan yang lebih atas. Mengembalikan semula (RON92) akan mencetuskan huru-hara dalam industri,” katanya, sambil menambah daripada memperkenalkan semula RON92, adalah lebih baik kerajaan memastikan RON95 dan diesel diletakkan harga dan subsidi yang lebih adil.

    Awal minggu ini, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata kerajaan akan mengenal pasti langkah bersesuaian bagi mengurangkan impak kenaikan harga minyak mentah dunia sekiranya harga runcit RON95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan. Di mana langkah yang diambil akan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak dunia dan kadar inflasi terkawal dalam jangka masa sederhana dan panjang.

    Semalam kerajaan memutuskan akan mengumumkan mekanisme stabil harga minyak sekiranya ia mencecah RM2.50 seliter bagi RON95 dan disel. Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata mekanisme atau langkah itu akan memberi manfaat kepada isi rumah berpendapatan rendah dan pertengahan.

     
     
  • Data jualan kenderaan Oktober 2017 mengikut jenama

    Data jualan kenderaan Oktober 2017 mengikut jenama

    Bagi bulan Oktober 2017, statistik atau data jualan kenderaan di Malaysia seperti yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mencatatkan peningkatan sebanyak 14.9% berbanding bulan sebelumnya. Sebanyak 47,041 unit telah dijual – naik 6,085 unit berbanding September 2017.

    MAA menyatakan, antara perkara utama yang menyumbang kepada peningkatan itu ialah tempoh hari bekerja yang lebih panjang pada Oktober. TIV setakat ini ialah 472,723 unit, juga naik 1% berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 466,157 unit.

    Berikut pecahan mengikut jenama bagi statistik jualan bulan lalu. Empat jenama di kedudukan teratas menyaksikan angka jualan yang semakin kukuh. Perodua catat peningkatan 14.9%, manakala Honda pula naik 14.7%. Proton juga tidak ketinggalan dari corak ini; naik 13%.

    Bagaimana pun, jenama yang paling banyak menjual kenderaan bulan lalu ialah Toyota, dengan 6,210 unit terjual, naik 42.3% berbanding pada September. Hanya Nissan yang masih mencatatkan penurunan sebanyan 6.6%.

    Jenama-jenama lain yang turut menikmati peningkatan jualan adalah seperti berikut; Mazda (+38.3%), Mitsubishi (+68.5%), Renault (+108.3%) dan Mercedes-Benz (+22.3%). Jenama yang kurang bernasib baik dan mencatatkan penurunan pula antaranya BMW (-2.7%), Volkswagen (-28.2%), Subaru (-33.2%) dan Audi (-24.7%).

     
     
  • ETS tawar tempat duduk kelas-perniagaan mulai 2018

    ETS tawar tempat duduk kelas-perniagaan mulai 2018

    Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) akan menawarkan tempat duduk kelas-perniagaan mulai tahun hadapan, ujar Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi.

    Beliau berkata, ruang kelas-perniagaan ini akan mempunyai 36 tempat duduk yang lebih selesa dan luas berbanding tempat duduk konvensional, laporan News Strait Times.

    “Penumpang juga boleh menonton video menerusi skrin yang diletakkan pada setiap tempat duduk,” ujarnya ketika menamatkan perbahasan Belanjawan 2018 bagi kementeriannya di peringkat jawatankuasa dalam Dewan Rakyat Selasa lalu.

    Katanya lagi terdapat sembilan tren tambahan bagi ETS, yang dibeli menerusi Bajet 2016 yang diluluskan bagi memenuhi pemintaan di laluan utara-selatan, dijangka tiba pada 2018. Ia memperuntukan kira-kira RM540 juta bagi kos tren tambahan itu yang membabitkan perjalanan dari Gemas-Kuala Lumpur-Padang Besar sekali gus dapat mengatasi kesesakan penumpang pada cuti hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

    Dalam masa yang sama, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) juga akan memperkenalkan sistem e-tiket ETS baharu tidak lama lagi.

     
     
  • Kerajaan akan umum mekanisme stabil harga minyak jika cecah RM2.50 seliter bagi RON95 dan diesel

    Kerajaan akan umum mekanisme stabil harga minyak jika cecah RM2.50 seliter bagi RON95 dan diesel

    Kerajaan memutuskan akan mengumumkan mekanisme stabil harga minyak sekiranya ia mencecah RM2.50 seliter bagi RON95 dan disel. Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata mekanisme atau langkah itu akan memberi manfaat kepada isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40), laporan Bernama.

    Beliau berkata kerajaan telah menetapkan sekiranya harga RON95 naik sehingga RM2.50, itu adalah had maksimum.

    “Kerajaan sedang mengkaji mekanisme dan ia belum lagi muktamad, terdapat dua atau tiga opsyen. Kita akan mengkaji perkara ini secara mendalam kerana kita tidak mahu rakyat kata ada klise dalam implementasi nanti,” katanya tanpa memperincikan butiran lanjut mengenai mekanisme tersebut.

    Mohd Irwan Serigar berkata rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan sentiasa memahami kehendak mereka dalam menentukan harga runcit bahan bakar di pam minyak.

    “Kerajaan akan mencari jalan untuk memberi balik kepada rakyat, bagaimana kita boleh menampung kos beban hidup mereka,” katanya.

    Awal minggu ini, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata kerajaan akan mengenal pasti langkah bersesuaian bagi mengurangkan impak kenaikan harga minyak mentah dunia sekiranya harga runcit RON95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan. Di mana langkah yang diambil akan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak dunia dan kadar inflasi terkawal dalam jangka masa sederhana dan panjang.

    Bagi minggu 23 hingga 29 November, harga ketiga-tiga bahan api utama ini dilaporkan turun. RON97 dijual pada harga RM2.58 seliter. Manakala bagi RON 95 pula, ia dijual pada harga RM2.30 seliter. Bagi diesel pula, Euro 2 berharga RM2.23 seliter, dan diesel bersih Euro 5 pula menjadi RM2.33 seliter.

     
     
  • Harga minyak 23-29 November 2017 – semua turun!

    Harga minyak 23-29 November 2017 – semua turun!

    Berita yang mungkin sedikit melegakan bagi ramai orang; harga minyak untuk minggu depan bagi semua bahan api akan turun. Bagi minggu bertarikh 23 hingga 29 November 2017, harga petrol akan mengalami penurunan sebanyak 8 sen.

    RON 97 akan dijual pada harga RM2.58 seliter. Manakala bagi RON 95 pula, ia akan dijual pada harga RM2.30 seliter berbanding minggu lalu.

    Bagi diesel pula, Euro 2 bakal berharga RM2.23 seliter, melibatkan penurunan sebanyak 2 sen, sementara diesel bersih Euro 5 pula menjadi RM2.33 seliter. Semua harga baharu ini akan berkuatkuasa selepas jam 12 tengah malam ini.

    Harga minyak 23-29 November 2017 – semua turun!

    Sebelum ini, Berita Harian melaporkan harga minyak dunia dilaporkan meningkat dan ia disokong oleh jangkaan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara pengeluar lain akan meneruskan pengurangan bekalan pada minggu depan.

    Namun beberapa hari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, harga minyak di pasaran tempatan akan diturunkan apabila harga bahan bakar itu di pasaran dunia stabil. Katanya, kenaikan harga minyak di pasaran sekarang berikutan pergolakan di Asia Barat yang menjadikan harga minyak dunia meningkat.

    Justeru, kerajaan akan mengenal pasti langkah bersesuaian bagi mengurangkan impak kenaikan harga runcit petrol RON95 dan diesel jika meningkat melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan.

     
     
  • Yoshiya Inamori dedah sebahagian masalah Proton dan langkah yang dirangka untuk mengatasinya

    Yoshiya Inamori dedah sebahagian masalah Proton dan langkah yang dirangka untuk mengatasinya

    Dalam sesi temu ramah bersama naib presiden pembuatan baharu Proton Yoshiya Inamori, beliau turut menjelaskan berberapa masalah yang kini dihadapi oleh jenama automotif nasional itu dan langkah-langkah yang beliau rangka untuk menanganinya.

    Objektif untuk langkah-langkah berkenaan adalah jelas iaitu bagi menjadikan Proton kembali sebagai jenama automotif nombor satu di Malaysia. Namun untuk memegang semula takhta berkenaan, sudah tentu ia memerlukan angka jualan yang lebih besar dari sedia ada (5,083 unit pada Oktober), yang mana Inamori menyifatkannya sebagai sukar untuk menjamin keuntungan.

    “Kilang di Shah Alam dan Tanjung Malim, secara relatif kepada kawasan yang besar dan kapasiti yang besar, kedua-duanya mempunyai jumlah pengeluaran yang rendah. Saya berpendapat kerana sebab ini, saya rasakan agak sukar untuk menjana keuntungan,” kata Inamori.

    Namun menurut Inamori, tiada masalah pada sistem dalam kilang Proton kerana kedua-duanya menerima pelbagai pengiktirafan ISO (9001 dan 14001 untuk Tanjung Malim serta 9001 untuk Shah Alam). Tetapi jumlah model yang dilancarkan menjadi kegusaran utama beliau kerana ia mungkin akan menjejaskan kualiti.

    Yoshiya Inamori dedah sebahagian masalah Proton dan langkah yang dirangka untuk mengatasinya

    Masalah yang beliau maksudkan ini adalah langkah Proton melancarkan empat model – Perdana, Persona, Saga dan Ertiga – dengan jarak antaranya hanya satu bulan tahun lalu.

    “Tahun lalu, Proton melancarkan empat model baharu dalam satu tahun. Jadi saya rasa ia mungkin akan menimbulkan masalah kualiti di sini, kerana untuk jenama automotif Jepun sekalipun, kami biasanya akan meletakkan jarak pelancaran enam-bulan antara model. Jadi empat pelancaran dalam setahun, ia tidak pernah terjadi, walaupun pada syarikat automotif Jepun. Sangat sukar untuk mengekalkan kualiti jika kita melancarkan empat model dalam setahun,” jelasnya.

    Apabila ditanya adakah pelancaran yang bertalu-talu ini tidak akan dibuat lagi selepas ini, Inamori memberi respon, “tidak, untuk masa hadapan, ia tidak boleh dilakukan lagi untuk pelanggan, kualiti jauh lebih penting.”

    Beliau menjelaskan perkara ini dengan berkata, “untuk penghantaran, kita sentiasa menyediakan kualiti yang sempurna untuk pelanggan, tetapi di kilang, ia masih lagi sedikit sibuk kerana empat model dilancarkan secara berterusan. Jadi, saya nampak masalah, masalah kualiti di kilang, dan kami mengambil masa yang lama untuk memperbaiki semula kilang ini. Dalam kilang, saya perlu mempertingkatkan kelengkapan dan mengurangkan kos membaiki.”

    Yoshiya Inamori dedah sebahagian masalah Proton dan langkah yang dirangka untuk mengatasinya

    “Sebenarnya, kami baharu sahaja melancarkan pasukan fungsi-silang (CFT) sejak Oktober lalu, yang kami gelarkan sebagai aktiviti CFT, dan kami kini mempunyai lapan pasukan CFT. Misalnya, untuk kualiti, kebolehuntungan dan kepuasan pelanggan, kami tubuhkan pasukan untuk tiga bulan iaitu Oktober, November dan Disember. Dalam tiga bulan, kami menjangkakan penambahbaikkan yang besar bukan hanya kualiti tetapi juga kos dan kepuasan pelanggan.”

    “Saya nampak banyak ruang yang boleh diperbaiki untuk kos, tetapi saya rasa jika kami lengkapkan semua aktiviti peningkatan kualiti, kami akan dapat mengurangkan masa membaiki, dan menjadikan kilang lebih efisien yang akan membantu mengurangkan kos.”

    Inamori turut menjawab persoalan adakah jumlah varian kereta Proton buat masa sekarang akan dikurangkan untuk menyelaraskan semula barisan produk jenama berkenaan. “Dari titik produksi, saya tidak meminta untuk mengurangkan jumlah produk. Kalau boleh, jika satu produk mempunyai banyak sangat opsyen atau varian, saya mungkin minta. Misalnya, jika berberapa warna tidak dapat dijual dengan baik, kami boleh meminta untuk mengurangkan jumlah warna tersebut. Saya rasa aktiviti sedemikian,” katanya.

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan bagi Oktober 2017 naik 14.9%

    MAA: Jualan kenderaan bagi Oktober 2017 naik 14.9%

    Di dalam laporan terkini bagi statistik jualan kenderaan bulan Oktober 2017 yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), peningkatan sebanyak 14.9% (atau 6,085 unit kenderaan) direkodkan berbanding jualan kenderaan pada bulan September 2017.

    Sepanjang Oktober 2017, sebanyak 47,041 unit kenderaan terjual. Ini bagaimanapun 1.8% atau 839 unit lebih rendah jika dibandingkan jualan kenderaan pada bulan sama tahun lalu, yang mencatatkan angka jualan 47,880 unit.

    Apa pun, jumlah keseluruhan industri (TIV) setakat ini jika dibandingkan bagi tempoh sama tahun lalu masih mencatatkan angka 1% lebih tinggi, dengan jumlah keseluruhan 472,723 unit berbanding 466,157 unit.

    Menurut MAA, peningkatan ini disebabkan jumlah hari bekerja yang lebih panjang pada Oktober lalu. Persatuan itu bagaimanapun sangat positif angka jualan berkenaan akan bertambah baik lagi bagi bulan November 2017 atas faktor pengenalan model baru serta promosi besar-besaran akhir tahun yang diberikan.

     
     
  • Sistem Bas Rapid Transit bakal dilaksanakan di Sabah

    Sistem Bas Rapid Transit bakal dilaksanakan di Sabah

    Bagi mengurangkan kesesakan trafik di Kota Kinabalu, Sabah, kerajaan mewujudkan sistem Bas Rapid Transit (BRT). Menurut Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, BRT menggunakan laluan khas dan dilaksanakan menerusi konsep perkongsian awam-swasta dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM2 bilion, laporan Berita Harian.

    Katanya, projek ini bakal membabitkan dua fasa dengan jajaran sepanjang 44 kilometer.

    “Fasa 1 iaitu laluan pertama Kepayan-Kota Kinabalu-Inanam sejauh 15 kilometer akan dilaksanakan dahulu dengan kos RM1 bilion,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

    Kenyataan beliau ini adalah bagi menjawab soalan Datuk Dr Hiew King Cheu (BN-Luyang) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan membina monorel Kota Kinabalu untuk mengurangkan kesesakan trafik dan menyelesaikan masalah kekurangan tempat letak kereta.

    Dalam masa yang sama, Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur, berkata pihaknya turut sentiasa bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mencari kaedah terbaik mengatasi masalah tempat letak kereta di Bandaraya Kota Kinabalu.

    Jika projek ini terlaksana, maka ia memang memberikan berita baik bagi masyarakat di Sabah, khususnya di Kota Kinabalu, termasuk pelancong yang mengunjungi Negeri Di Bawah Bayu ini.

     
     
  • Pak Busu – Drifter OKU yang akan beraksi pada Drift Gonzo MSF Finale 2017 di Litar Antarabangsa Sepang

    Pak Busu – Drifter OKU yang akan beraksi pada Drift Gonzo MSF Finale 2017 di Litar Antarabangsa Sepang

    Kredit gambar: Adam Photography

    Bagi peminat sukan drift tempatan, nama Pak Busu mungkin agak biasa didengar. Namun untuk anda yang masih lagi belum mengenali, Pak Busu merupakan satu-satunya drifter dengan kelainan upaya (OKU) berasal dari Melaka, dan terkenal dengan aksi drift yang agak agresif.

    Pak Busu atau nama sebenarnya Halizamri Haji Mustapa merupakan anak kepada seorang pengajar seni mempertahankan diri tempatan. Bukan sekadar aktif dalam lapangan sukan drift, malah dia sebenarnya seorang mekanik bertauliah dan mempunyai bengkel sendiri yang terletak Batu Hampar, Melaka.

    Selain mengusahakan bengkel, Pak Busu turut mempunyai gerai di pasar malam sekitar untuk menjual petai bagi menyara empat orang ahli keluarganya.

    Pak Busu mula berminat dalam drifting apabila sukan ini menjadi fenomena kira-kira 10 tahun lalu. “Saya dilahirkan tidak sempurna, tapi ini merupakan sesuatu yang perlu saya lakukan,” jelas Pak Busu.

    Pak Busu – Drifter OKU yang akan beraksi pada Drift Gonzo MSF Finale 2017 di Litar Antarabangsa Sepang

    Kredit gambar: Adam Photography

    Sifatnya lebih suka tidak bergantung dan keazamannya yang tinggi secara tidak langsung menjadikan drift bukan sekadar hobi atau minat, di mana drift telah membawa Pak Busu kearah hidup yang lebih aktif, dan membuktikan tiada apa yang boleh menghalangnya dari menjalani kehidupan normal.

    Bagi mereka yang mahu menyaksikan aksi Pak Busu, pastikan anda datang ke Malaysia Speed Festival (MSF) Finale 2017 yang akan berlangsung pada 2-3 Disember ini. Pak Busu telah mengesahkan penyertaannya dalam kategori Street dan akan memandu Toyota Corolla GL KE70 yang diubahsuai sendiri olehnya.

    Jentera KE70 Pak Busu ini juga bukan kereta biasa dimana enjin 1.3L 4K asal telah digantikan dengan enjin Nissan SR20DET 2.0 liter turbo digandingkan bersama kotak gear lima-kelajuan manual, bersama nisbah akhir yang agak tinggi iaitu 4.7:1. Kereta berkenaan juga turut menerima suspensi yang diambil dari Nissan Silvia S13, bersama nisbah stereng yang diubahsuai bagi mendapatkan sudut drift yang lebih besar.

    Kesemua ubahsuai ini juga ditala dan dilaras bagi disesuaikan untuk gaya pemanduan Pak Busu, dimana ia melibatkan pelbagai kerja dan juga proses kimpalan yang serius – sesuatu yang sangat dibanggakan olehnya sendiri. “Kesemua modifikasi ini saya lakukan sendiri, dengan pertolongan berberapa rakan baik,” jelas Pak Busu.

    Pak Busu akan mengambil bahagian dalam MSF Drift Gonzo – iaitu pertandingan yang mensasarkan gaya drift pada MSF Finale 2017 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang 2-3 Disember ini.

    MSF Drift Gonzo akan diadakan pada 2 Disember (Sabtu) dan ia adalah prebiu sebelum diadakan sebagai musim penuh pada 2018. Bagi mereka yang berminat untuk mengambil bahagian dalam acara ini, anda boleh mendaftar dan membayar secara atas talian di laman web MSF. Yuran RM220 untuk setiap pemandu akan dikenakan untuk pendaftaran terawal.

    Tiket masuk untuk hari Sabtu adalah RM10 untuk dewasa dan dari RM20 untuk dewasa pada hari Ahad, untuk pembeli awal. Anda juga boleh mendapatkan tiket di SIC pada hari berkenaan. Kanak-kanak berumur 15 tahun kebawah pula tidak akan dikenakan sebarang bayaran. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi serta Facebook MSF Racing.

     
     
  • Toyota tunjukkan robot T-HR3 – boleh tiru pergerakan manusia dari jarak jauh, berguna sewaktu bencana

    Toyota tunjukkan robot T-HR3 – boleh tiru pergerakan manusia dari jarak jauh, berguna sewaktu bencana

    Toyota, melalui rakan kongsinya, Partner Robot Division telah menunjukkan sebuah robot humanoid yang digelar sebagai T-HR3. Robot ini boleh dikawal dari jarak jauh menggunakan sebuah lagi unit pengawal yang dinamakan sebagai Master Maneuvering System.

    Pada unit pengawal ini, terdapat lapan Torque Servo Module, manakala pada robot itu sendiri terdapat 13 modul yang sama. Cara untuk mengendali robot ini adalah dengan memakaikan unit pengawal utama kepada seorang manusia, dan setiap pergerakan yang dibuat seterusnya akan ditiru oleh robot berkenaan. Penglihatan robot itu pula boleh disaksikan oleh manusia yang mengawal melalui goggle VR yang dipakai.

    Melalui T-HR3, Toyota cuba untuk meneroka teknologi baru untuk mengendalikan secara selamat interaksi fizikal antara robot dan persekitarannya, serta sistem pengendalian baru yang dapat meniru pergerakan manusia. Kebolehan seperti ini dianggap berguna untuk keadaan seperti di kawasan bencana alam, tapak pembinaan, hospital malah juga luar angkasa.

    Untuk sistem pengawal tersebut, ia mempunyai berat 170 kg, dan boleh diletakkan di satu tempat sahaja. Untuk robot itu pula, ia mempunyai berat 75 kg, dan ketinggian 1,540 mm. T-HR3 akan membuat penampilan di pameran robot antarabangsa Tokyo yang akan berlangsung 29 November hingga 2 Disember ini.


     
     
  • Perodua Myvi SE 2018 – bertambah sporty dan garang

    Perodua Myvi SE 2018 – bertambah sporty dan garang

    Bagi penawarannya setakat ini, Perodua Myvi 2018 terbaru tidak lagi ditawarkan dalam spesifikasi pertengahan seperti yang ada pada varian Myvi SE sebelum ini. Entah apa nasib versi SE berkenaan, tetapi tentu ada yang membayangkan ia ditawarkan kemudian sebagai tambahan.

    Bagaimana kiranya ia akan menjadi model hatchback yang lebih berprestasi? Macam mana agaknya imej yang sesuai untuk membawa karektor itu? Theophilus Chin sekali lagi menggunakan kepakaran digitalnya untuk membayangkan versi Myvi “Special Edition” berkenaan untuk tatapan umum.

    Hasil akhirnya nampak agak menarik juga. Antara tambahan yang diberikan ialah gril dengan corak honeycomb, bukaan masukan udara lebih luas dan juga DRL dari lampu LED. Rim dwi-tona yang digunakan juga lebih besar, dengan perumah cermin sisi berwarna perak.

    Perodua Myvi SE 2018 – bertambah sporty dan garang

    Bahagian belakang, lampunya dijadikan lebih nipis berbanding sedia ada, sekaligus merubah penampilannya. Spoiler juga lebih besar, serta lampu brek ketiga yang lebih lebar memberi kelainan pada model bayangan ini. Penampilannya dilengkapi dengan meletakkan diffuser kecil bawah ruang nombor plat.

    Walaupun sebuah Myvi dengan enjin yang lebih berkuasa kedengaran sangat mengujakan, tapi hakikatnya Perodua mungkin tidak akan menjadikannya kenyataan – setakat ini, belum kedengaran syarikat itu akan membangunkan enjin yang lebih besar dari 1.5 liter.

    Sekadar makluman, Myvi 2018 yang baru saja dilancarkan merupakan hasil rekaan pereka tempatan sepenuhnya. Ia menjadi model Perodua yang pertama dilengkapi ciri keselamatan Advanced Safety Assist (ASA). Enjin pula menggunakan unit 1.3L dan 1.5L dari keluarga NR oleh Toyota; DOHC dan Dual VVT-i, dengan pilihan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan.

    GALERI: Perodua Myvi 1.5L Advance 2018

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026