Bagi menambahkan debaran di dada para pengikutnya, Subaru telah menyiarkan satu lagi imej iklan acah atau pun teaser yang menunjukkan konfigurasi penuh SUV tujuh-tempat duduk Ascent ini. Ia juga menjadikanya sebagai SUV terbesar bagi jenama tersebut ketika dilancarkan kelak. Konsep originalnya memiliki panjang kesuluruhan mencecah lima meter.
SUV tiga-barisan tempat duduk ini akan dibina dengan menggunakan Subaru Global Platform. Model konsepnya berukuran 5,050 mm panjang, 1,989 mm lebar, 1,839 mm tinggi dengan jarak roda 2,972 mm, yang mana ia kelihatan hampir menyamai model produksinya.Ia adalah lebih kurang sama besar seperti Audi Q7 generasi kedua, namun Subaru berkata Ascent merupakan SUV “saiz-keluarga, versatil dan berkaliber” memberikan gambaran ia memiliki dimensi yang lebih kurang sama untuk model produksinya.
Ascent dijangka bakal dijanakan oleh enjin boxer pengecas turbo dan suntikan terus, dengan padanan sistem pacuan semua-roda. SUV bersaiz besar ini bakal diproduksi di Lafayette, Indiana.
Imej teaser tersebut menunjukkan persamaan dengan apa yang ditampilkan pada model konsep (gambar di atas). Kelihatan lampu utama dengan lampu nyalaan siang berbentuk-C, gerbang roda yang tegap, rel bumbung dan spoiler belakang yang lebih besar.
Sebelum ini, Subaru telah pernah menyebarkan beberapa imej teaser termasuk menampilkan pelindung aluminium bagi boot lip dan logo Ascent. Walau bagaimana pun, kemungkinan besar, roda aloi dwi-tona 21-inci yang ada pada model konsep mungkin tidak akan ditampilkan pada model produksi.
Ia dijadual akan diperkenalkan di Los Angeles Auto Show pada 28 November ini. Sebelum ini, Ascent pernah dipertontonkan buat pertama kalinya dalam bentuk model konsep di New York International Auto Show lalu, iaitu pengganti bagi Tribeca.
Tampil dalam pelbagai video Gymkhana dengan jentera-jentera perlumbaan berkuasa tinggi, serta menyertai pelbagai perlumbaan rali juga dengan mesin-mesin hebat, agaknya apa yang Ken Block pandu untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat setiap hari ya? Ford Performance telah menyiarkan video memaparkan kereta harian yang digunakan oleh pemandu rali sensasi Youtube berkenaan iaitu Ford Focus RS generasi terkini dan juga jentera lagenda rali Group B – Ford RS200!
Ford Focus RS merupakan model RS (yang lahir dari dunia rali) pertama yang di bawa ke Amerika Syarikat secara rasmi. Kereta milik Ken Block berkenaan diwarnakan keseluruhannya dengan warna hitam matte, dan dipadankan dengan rim signatur Hoonigan iaitu Fifteen52. Walau bagaimanapun, kuasa kuda pada enjin turbo empat silinder 2.3 liter EcoBoost pada Focus RS ini tidak berubah dengan angka 350 hp.
Imej yang sama turut diberikan pada Ford RS200 miliknya. Untuk pengetahuan anda, RS200 dibina bagi membolehkan Ford bertanding dalam antara perlumbaan paling ‘gila’ dalam sejarah (dan telah diharamkan kerana terlalu bahaya) iaitu Kejohanan Rali Dunia (WRC) kategori Group B.
Hanya 200 unit RS200 yang dibina untuk versi jalanraya dari tahun 1984 hingga 1986 bagi mematuhi homologasi yang ditetapkan FIA, manakala kereta milik Ken Block ini merupakan unit yang ke-34. Versi jalanraya ini dijana oleh enjin 1.8 liter turbo Ford-Cosworth BDT berkuasa 250 hp (antara 350 hp hingga 450 hp untuk versi perlumbaan sebenar) yang diletakkan pada bahagian tengah kerangka, dan memacu semua roda.
Namun Ken Block tidak membiarkan kereta miliknya tersebut dalam keadaan standard. Enjin berkenaan diubahsuai lagi bagi mengekstrak kuasa 700 hp – lebih berkuasa dari kereta-kereta Group B sebenar dan ia hanya digunakan untuk kegunaan harian.
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan penawaran diskaun sehingga 40% bagi alat ganti dan kos buruh untuk semua pelanggannya yang menjadi mangsa banjir di Pulau Pinang baru-baru ini.
Tawaran diskaun yang diberikan ini adalah sehingga 30 Disember 2017 bagi semua kenderaan Mitsubishi yang terjejas akibat banjir. Menurut MMM, hanya kenderaan yang dibeli dari pengedar yang diiktiraf yang layak menerima tawaran diskaun ini dan ia juga tertakluk pada pengesahan bagi memastikan ketulenan.
“Kami berharap dengan adanya bantuan ini dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh para pelanggan kami yang berhadapan dengan bencana alam ini,” ujar Tomoyuki Shinnishi, CEO MMM.
Selain daripada diskaun bagi alat ganti, MMM turut menawarkan perkhidmatan menunda secara percuma bagi kenderaan yang terlibat untuk dihantar ke mana-mana pusat servis Mitsubishi terdekat. Apa yang pelanggan perlu lakukan ialah buat laporan polis terlebih dahulu dan menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan MMM di talian 1-800-88-2166 atau 03-7803 1566 untuk mendapatkan perkhidmatan trak penunda tersebut.
Malah pada cuti hujung minggu lalu, MMM bersama pengedar Mitsubishi bertauliah dan ahli Kelab Triton Tuners seramai 120 orang turut menganjurkan program pembersihan di beberapa kawasan yang terjejas akibat banjir.
Jika ingin menjadi warga negara yang baik, rasanya ramai yang boleh bersetuju bahawa antara perkara yang perlu kita lakukan ialah menunjukkan keprihatinan yang tinggi terhadap hal-hal berkaitan orang kelainan upaya (OKU). Dan, antara isu yang kerap dipandang mudah ialah salah guna kemudahan tempat letak kenderaan khas untuk OKU yang ada disediakan dikebanyakan tempat dan premis.
Ini tentulah untuk memudahkan mereka yang kurang upaya fizikal untuk mendapatkan ruang letak kenderaan yang lebih strategik dan hampir dengan pintu masuk utama, atau ramp untuk laluan kerusi roda sesebuah bangunan serta ruang yang lebih luas untuk memudahkan pergerakkan mereka yang sudah sedia terbatas itu.
Namun, dalam situasi-situasi tertentu, agak menyedihkan apabila ada segelintir pihak bukan OKU yang tidak menghormati perkara ini, dan menyalah-gunakan ruang berkenaan untuk kepentingan sendiri dengan meletakkan kenderaan mereka di ruang khas berkenaan. Ini bukanlah suatu kejadian yang terlalu asing, anda sendiri juga mungkin pernah melihat sendiri gelagat pentingkan diri seperti ini.
Ruang berkenaan disediakan khusus untuk memudahkan OKU. Dan, walaupun ada waktu ia kosong, pengguna selain daripada OKU tidak berhak untuk meletakkan kenderaan di sana – kerana kita tak tahu bila pemandu OKU akan memerlukan ruang berkenaan. Jadi, apa yang membolehkan seseorang itu untuk menggunakan ruang parkir berkenaan?
Berdasarkan rujukan kami kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), berdasarkan peraturan sedia ada ketika ini, pertama mereka mestilah merupakan seorang OKU yang memandu sendiri kenderaan yang telah diubahsuai untuk kegunaan OKU berdasarkan kekurangan fizikal masing-masing.
Pemandu itu pula perlulah memiliki kad OKU yang dikeluarkan jabatan berkenaan – tentunya dengan pengesahan daripada doktor. Kemudian, mereka perlu pula mendapatkan pelekat khas OKU untuk ditampal dengan jelas pada kenderaan yang akan digunakan itu tadi. Dan, pelekat itu hanya dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sahaja. Panduan permohonannya ada di sini.
Jika menepati semua keperluan ini maka barulah anda boleh meletakkan kenderaan diruang khas OKU. Tetapi, orang biasa juga kerap menyalah-guna dan meletak kenderaan mereka di situ. Jika ini berlaku, mereka yang berbuat demikian boleh diambil tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada – sekiranya kereta yang diletakkan tidak mempunyai pelekat OKU.
Namun, penguatkuasaan ke atas perkara ini adalah tertakluk kepada bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mungkin berbeza-beza di antara satu dengan yang lain. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas, kami menghubungi pula Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk mengetahui lebih lanjut – sekadar dijadikan satu contoh.
Memang, MBPJ mempunyai kuasa untuk mengenakan saman atau kompaun kepada kenderaan yang melakukan kesalahan ini. Di bawah peraturan Perintah Lalulintas MBPJ dengan kesalahan meletak kenderaan di kotak khas (sewa/OKU), pelaku boleh dikenakan saman RM100 bagi setiap kesalahan. Kadar saman ini pula mungkin berbeza-beza dari PBT yang lain.
Ini adalah apa yang tertulis dalam undang-undang sedia ada ketika ini. Namun, melalui perbualan dengan seorang advokator isu-isu OKU berkaitan hal ini yang sempat kami lakukan, beliau juga mengakui sejak beberapa waktu kebelakangan ini, ada berdebatan sedang berlangsung yang mendesak supaya penjaga OKU yang menguruskan mereka juga dibenarkan meletak kenderaan diruang berkenaan ketika membawa OKU sebagai penumpang untuk urusan harian.
Terbaru, satu kes sama berlaku di Pulau Pinang di mana kereta seorang wanita yang membawa ibunya yang juga OKU berkerusi roda dikunci tayarnya kerana menggunakan ruang khas berkenaan. Menurut penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang mengambil tindakan, kereta berkenaan tidak mempunyai pelekat OKU.
Ini selari dengan penjelasan advokator berkenaan, serta sudah tertulis di dalam peraturan sedia ada bahawa setiap kereta yang diletakkan diruang khas OKU berkenaan wajib mempamerkan pelekat OKU yang dikeluarkan oleh JPJ. Setakat ini, peraturan yang ada sangat jelas.
Berikut peristiwa itu, Datuk Bandar, Datuk Maimunah Mohd Sharif akan menilai semula peraturan berkaitan tempat letak kenderaan OKU di sana. “Kami akan menilai semula garis panduan sedia ada, tentunya ada perkara yang boleh diperbaiki lagi,” ujarnya seperti dilaporkan The Star. Pelekat OKU juga diberikan kepada wanita berkenaan.
Apa yang lebih penting, kita sebagai warga negara Malaysia haruslah lebih peka dan prihatin terhadap situasi dan keadaan golongan OKU. Dan, sekiranya sudah ada peraturan yang ditetapkan, adalah lebih baik untuk kita sama-sama patuh bagi mengelakkan kesulitan yang lain kemudiannya. Bagi yang sihat dan cukup sifat, jangan pula mengada-ngada meletakkan kenderaan di ruang khas untuk OKU. Jadilah warga yang bertanggungjawab.
Dalam wawancara bersama naib presiden pembuatan baharu Proton, Yoshiya Inamori, beliau turut menjelaskan satu lagi visinya dalam Proton iaitu untuk meningkatkan kualiti produk jenama automotif nasional tersebut.
Seperti yang diketahui, Proton menghadapi sentimen terhadap persepsi pelanggan terhadap kereta-kereta keluarannya. “Kerana reputasi atau variasi dalam pasaran (melibatkan) pelanggan (berkaitan) kualiti kenderaan Proton kami, saya lihat (ia) sebagai perkara yang tidak berapa baik,” katanya.
Dalam usaha Inamori untuk mengatasi masalah ini, Inamori mendedahkan berberapa langkah yang akan diambil. Beliau sedar akan perbezaan dari segi kualiti Proton terhadap pesaing-pesaing lain. Usaha berkenaan termasuk membuat kaji selidik untuk menentukan perbezaan kualiti antara Proton dan pesaingnya seterusnya mengetahui dengan jelas di mana kedudukan jenama tersebut sekarang.
Langkah ini membolehkan sasaran kualiti dapat ditentukan dengan lebih baik. “Sekarang, kami sedang membuat kaji selidik, melihat semula kualiti dari pesaing. Kami nampak berberapa perbezaan antara pesaing-pesaing lain, jadi untuk mengatasi kualiti pesaing, kami kini menetapkan sasaran kualiti,” jelas Inamori.
Selain dari memantau kualiti yang diberikan pesaing, Inamori mengaskan indeks prestasi utama (KPI) dalaman turut perlu dirombak semula bagi membantu meningkatkan kualiti. Kesemua penambahbaikkan ini akan diperkenalkan dari masa ke masa menerusi pengenalan dari model ke model, kerana Proton menjual kereta setiap hari.
“Tugas saya untuk berberapa bulan akan datang adalah untuk mengatasi tahap kualiti pesaing. Saya tetapkan KPI untuk kualiti, secara dalaman, jadi kami perlu mula untuk meningkatkan KPI kualiti kami,” tegas Inamori.
PT Kawasaki Motor Indonesia baru sahaja memperkenalkan model baru Ninja 250 FI untuk pasaran di sana. Secara keseluruhannya terdapat tiga variasi Ninja 250 ini iaitu yag asas pada harga Rp 61,900,000 (RM18,882), versi SE pada harga Rp 64,300,000 (RM19,614) dan 250 ABS SE Rp 71,900,000 (RM21,932).
Parubahan paling jelas yang boleh dilihat sudah tentu adalah grafik serta panel badan motosikal ini, yang pada pendapat kami, menjadikan ia lebih mirip kepada Yamaha R25, terutamanya bahagian lampu hadapan. Selain daripada itu, rekaan rim juga adalah baru, bersama tangki yang kini lebih kecil, menjadi 14 liter dari 17 liter.
Disebabkan tidak mahu ketinggalan dengan pesaing yang semakin hebat, seperti CBR250RR yang sudah memasuki pasaran, Kawasaki mengeluarkan model baru ini dengan peningkatan kuasa dan prestasi. Enjinnya masih lagi adalah unit dua silinder selari 249 cc empat strok dengan sistem penyejukan cecair dan padanan transmisi enam kelajuan, tetapi kini menghasilkan lebih kuasa iaitu sebanyak 39 PS pada 12,500 rpm dan 23.5 Nm pada 10,000 rpm. Jika dibandingkan dengan model yang dijual di Malaysia juga, jumlah ini adalah lebih banyak, di mana Ninja 250 di Malaysia cuma menghasilkan 32 PS dan 21 Nm tork.
Berat model baru ini juga berkurangan, daripada 172 kg untuk model standard (sama dengan Ninja 250 di Malaysia), menjadi 167 kg, dan untuk model ABS, ia berkurangan daripada 174 kg menjadi 167 kg. Pada bahagian suspensi, fork teleskopik hadapan Ninja 250 baru ini lebih besar, iaitu 41 mm, manakala model sebelum ini (dan juga model di Malaysia sekarang) adalah 37 mm.
Brek hadapan juga menerima sedikit naik taraf, di mana cakeranya bersaiz lebih besar 20 mm, menjadi 310 mm, manakala di belakang masih lagi menggunakan cakera 220 mm. Kelengkapan lain pula semuanya masih lagi sama seperti model sebelum ini termasuk saiz tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang.
Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, langkah itu bertujuan mengurangkan kes kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan, laporan Berita Harian.
“Setakat ini AWAS yang dilancarkan awal tahun ini hanya meletakkan dua kesalahan iaitu memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat. Namun banyak juga faktor lain yang turut menyumbang kepada kes kemalangan seperti memotong di garisan berkembar, salah guna laluan kecemasan dan menggunakan telefon bimbit.
“Saya bimbang dengan kemalangan membabitkan pemandu yang guna telefon bimbit dan kemalangan jenis ini semakin meningkat. Kita ada data-data yang menunjukkannya, justeru kita perlu memasukkannya dalam sistem demerit ini,” katanya.
Baru-baru ini Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) berkata, dalam kajiannya mendapati kebanyakan pemandu di negara ini mengakui bahawa penggunaan telefon bimbit ketika memandu merupakan faktor penyumbang kepada kemalangan jalan raya,
Menerusi kajian yang dijalankan, majoriti rakyat Malaysia juga bersetuju penggunaan telefon bimbit ketika memandu boleh mempengaruhi tingkah laku pemanduan serta membahayakan diri mereka dan orang lain, namun mereka masih berbuat demikian.
Miros melakukan kajian rawak pada tahun lalu terhadap 300 responden di Lembah Klang yang mendapati 43.4% pengguna jalan raya menggunakan telefon bimbit ketika memandu kereta dan membonceng motosikal manakala 61.7% pemandu menerima atau membuat panggilan telefon ketika memandu sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali seminggu.
Dalam masa yang sama, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggunakan dua jenis kamera iaitu jenis statik dan bergerak, bagi mengesan pesalah trafik yang didapati menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu dan mereka yang ditangkap akan disaman sebanyak RM300.
Proton dan Geely sebelum ini telah bersepakat mereka akan memanfaatkan semua tenaga kerja sedia ada bagi membangunkan kembali jenama automotif nasional berkenaan. Perkara ini ditegaskan sekali lagi oleh Yoshiya Inamori, iaitu naib presiden pembuatan baharu Proton yang berpengalaman selama 35 tahun mengendalikan kilang-kilang Mitsubishi di Jepun, Amerika Syarikat dan Rusia.
Ketika sesi temuramah bersama beliau, Inamori menegaskan Proton kini sememangnya tiada rancangan untuk mengurangkan pekerja, walaupun jumlah pengeluaran di paras rendah. Tenaga-tenaga kerja ini dapat digunakan untuk tujuan menjalankan kaedah-kaedah pengurangan kos, meningkatkan kualiti, pembekalan yang lebih bagus dan juga proses-proses yang lebih efisien.
“Jumlah pengeluaran bukan isunya…jika jumlah meningkat, kita akan cari lebih pekerja; jika jumlah turun, kami berhenti untuk mencari pekerja. Apa yang penting ialah jumlah produksi stabil setiap tahun.”
“Jika jumlah produksi tidak menentu, bulan-bulan tertentu kami perlu hasilkan lebih kereta, bulan-bulan lain pula rendah jumlah pengeluaran, jadi kami perlu sediakan pekerja untuk jumlah yang tinggi,” katanya. Inamori menjelaskan lagi jika terdapat pekerja dengan skop kerja yang bertindan, beliau sendiri akan menyarankan Geely agar menyediakan latihan untuk mereka.
“Sebenarnya, saya tidak bercadang untuk menurunkan jumlah pekerja kerana jumlah pengeluaran berada pada paras rendah, dan juga, dengan Geely, jika saya jumpa pekerja dengan kerja yang bertindan…jika saya mohon, Geely mungkin akan terima (untuk melatih pekerja) di Geely.
“Di Proton, kami mempunyai ramai pekerja yang berpengalaman, dengan umur 40 tahun, 50 tahun, dan orang-orang muda. Tetapi yang dalam lingkungan umur pertengahan kurang, dan bagaimana untuk melatih orang muda adalah tugas lain untuk saya. Jadi, jika saya jumpa pekerja yang berpotansi untuk tugas lain, saya akan minta Geely untuk melatih mereka,” jelasnya lagi.
Beliau turut menambah bahawa jumlah pekerja Proton buat masa sekarang dengan jumlah kereta yang dijual adalah masih munasabah. Mengikut data jualan dalaman terbaharu, Proton telah menjual 5,083 kereta manakala jumlah pekerja pula berjumlah 9,600 orang.
Inamori turut berkongsi pengalamannya sebagai naib presisen PCMA Rus (syarikat usahasama antara Peugeot dan MMC di Rusia), di mana beliau terpaksa mengurangkan jumlah pekerja kerana Krisis Ukraine pada tahun 2014 kerana jumlah pengeluaran kilang perlu dikurangkan. Menurutnya situasi di Malaysia masih lagi tidak memerlukan langkah sedemikian.
Walaupun sudah hampir 10 tahun berada dalam industri kewartawanan permotoran, saya masih lagi tidak pernah memandu sebuah Ferrari. Perkara ini sangat mudah difahami – kereta tersebut kebanyakannya berharga lebih RM1 juta, dan tidak mungkin pengedarnya secara mudah mahu memberikan tempat duduk pemandu kepada sebarangan orang.
Apabila duduk bersembang dengan orang yang cukup berminat dengan kerjaya saya juga, saya sering mendapat soalan sama ada pernah memandu sebuah Ferrari ataupun tidak. Apabila diberikan jawapan tidak, mereka juga tidak membalas dengan ekspresi yang pelik.
Tapi ahirnya, hari itu tiba. Saya diberi peluang oleh Naza Italia Sdn Bhd, iaitu pengedar rasmi kenderaan jenama ini di Malaysia untuk memandu uji model 488 GTB di atas jalan biasa. Namun, kereta ini datang bersama seorang ‘penjaganya’ yang duduk di sebelah saya sepanjang perjalanan.
Setiap model baru Ferrari yang dikeluarkan, ia pasti mempunyai kelebihan berbanding model sebelumnya. Untuk 488 GTB ada beberapa perkara yang boleh dilihat, dan sebagai permulaan untuk mereka yang kurang arif atau jarang melihat secara terperinci model-model Ferrari, model 488 GTB ini adalah pengganti bagi model 458 Italia yang sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2009.
Kemudian, kita lihat pula pada namanya. 488 GTB ini membawa perubahan daripada 458 Italia, di mana 488 itu adalah membawa makna kapasiti bagi setiap silinder enjinnya (yang semuanya ada lapan), sementara 45 pada 458 adalah membawa makna 4.5 liter dan 8 itu adalah jumlah silinder. GTB itu pula bermaksud Gran Turismo Berlinetta.
Dalam misi untuk memastikan Proton berada pada tahap global, jenama automotif nasional berkenaan kini mula menyusun semula bakat-bakat antarabangsa untuk memacu semula prestasinya. Terbaharu, Proton telah melantik Yoshiya Inamori sebagai naib presiden pembuatan, yang mempunyai pengalaman bersama Mitsubishi Motors Corporation (MMC) lebih dari 35 tahun (1982-2017).
Sebagai lepasan Universiti Kyushu di Fukuoka, Jepun dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal untuk Produksi, Inamori memulakan tugasnya di MMC sebagai jurutera pemasangan di kilang Nagoya, bertanggungjawab terhadap produk baharu yang dilancarkan. Tugas beliau melibatkan perancangan untuk proses bagi kenderaan yang diproduksi, melakar spesifikasi, membuat pesanan dan menyediakan peralatan produksi, serta membangunkan program sistem produksi.
Pada tahun 1989, beliau berpindah ke Amerika Syarikat dan ditugaskan sebagai koordinator di jabatan kejuruteraan pemasangan di kilang Diamond-Star Motor (DSM), Illnois. Setelah empat tahun bertugas disana, Inamori pulang ke Nagoya pada tahun 1993 dan kekal di kilang berkenaan sehinga tahun 2005.
Tugasnya selepas itu melibatkan pengurusan terhadap penyatuan fungsi Kejuruteraan Produksi pada kilang tersebut kepada hanya satu tempat di Okazaki. Ini membolehkan gerak kerja dan komunikasi yang lebih baik kerana fasiliti R&D yang lebih dekat. Beliau juga bertanggungjawab untuk mempertingkatkan keselamatan di kilang Nagoya berkenaan.
Dari 2005 hingga 2009, Inamori berpindah pula ke Belanda, kali ini menggalas tugas sebagai naib presiden pembelian untuk kilang Mitsubishi di negara berkenaan. Beliau menyelia kaedah pengurangan kos dan mewujudkan program pemulihan untuk keberkesanan produksi pada kilang tersebut.
Pada 2009, Inamori pulang semula ke Jepun dan dilantik sebagai ketua pegawai Projek Rusia di Mitsubishi. Ketika ini, beliau mewujudkan pasukan-pasukan bersilang fungsi (CFT) di MMC bagi melancarkan urusan komersial dan logistik antara Jepun, Perancis dan Rusia untuk produksi SKD di Rusia.
Selepas itu, beliau dilantik pula sebagi naib presisen PCMA Rus, iaitu syarikat usahasama antara Peugeot dan MMC di Russia. Tugasnya ketika itu adalah untuk menguruskan operasi keseluruhan kilang dan juga melatih 3,000 kakitangan yang tidak berpengalaman.
Walaupun berhadapan situasi sukar semasa Krisis Ukraine 2014, tugas Inamori masih lagi dilihat lancar di Rusia. Beliau mengurangkan jumlah pengeluaran pada tahun berkenaan dan terpaksa mengurangkan juga jumlah pekerjanya. Hasilnya, kilang tersebut mula menjana keuntungan semula pada tahun 2017.
Ini bukan kali pertama Inamori ke Malaysia. Ketika era kerjasama Proton-MMC, Inamori pernah ke sini 23 tahun dahulu bagi memasang kelengkapan baharu untuk barisan produksi pemasangan produk baharu. Tugasnya untuk membantu Proton ketika itu mengambil masa selama tiga bulan.
“Saya lebih suka untuk bekerja di negara luar, kerana saya telah bekerja di negara asing untuk tempoh masa yang lama. Sudah tentu, untuk saya, bekerja di Jepun adalah okay, tetapi saya sekarang sudah berumur 59 tahun, dan jika anda lihat resume saya, saya telah bekerja dengan Mitsubishi untuk sekian lama, 35 tahun. Jika saya menyambung tugas di Mitsubishi, saya akan mencapai umur persaraan.”
“Biasanya, di Jepun, apabila kami hampir tiba ke umur persaraan, kebanyakkan (orang) bekerja di Jepun, tetapi saya masih mahu untuk mencabar pelbagai lagi perkara baharu. Oleh kerana itu, saya bekerja di negara luar, ia lebih baik untuk saya. Apabila saya dicadangkan untuk bertugas di syarikat lain, saya mengambil keputusan untuk bekerja di Proton Malaysia,” katanya ketika menjawab adakah beliau suka untuk bekerja di luar Jepun.
Atas pengalamannya berada di laur negara ini juga, Inamori fasih berturut dalam bahasa Inggeris dan Rusia selain dari bahasa Ibundanya. Beliau juga seorang pemain tenis dan boleh bermain gitar akustik.
Mesti ramai yang sudah tahu banyak tentang Myvi 2018 hatchback yang baru dilancarkan minggu lepas. Dan, sebelum ini juga kami pernah paparkan sebuah rekaan digital yang membayangkan model berkenaan dalam bentuk sedan.
Terbaru, imej render oleh Bear Design ini membayangkan Myvi dalam bentuk sebuah kenderaan crossover pula. Macam mana, anda rasa menarik atau sebaliknya? Peralihannya sama seperti yang pernah kita lihat dilakukan kepada model Proton Iriz Active dua tahun lalu, di mana beberapa tambahan diberikan untuk menjadikannya tampil dengan imej crossover.
Bagi Myvi juga sama, tambahan bahagian hitam di sisi badannya, dengan padanan rim yang lebih besar menjadikannya nampak berbeza. Bumbung hitam yang berlawanan dengan warna badan serta bampar depan yang baru membangkitkan kelibat Myvi sebagai sebuah “Myvi Active” dengan gaya tersendiri.
Apa pandangan anda tentang imej render Myvi crossover ini? Ada kemungkinan dijadikan inspirasi untuk mengubahsuai Myvi milik anda nanti?
Sekadar makluman, Myvi 2018 yang baru saja dilancarkan merupakan hasil rekaan pereka tempatan sepenuhnya. Ia menjadi model Perodua yang pertama dilengkapi ciri keselamatan Advanced Safety Assist (ASA). Enjin pula menggunakan unit 1.3L dan 1.5L dari keluarga NR oleh Toyota; DOHC dan Dual VVT-i, dengan pilihan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan.
2017 Toyota Camry range – (front to rear) SL, SX, Ascent Sport and Ascent
Setelah Amerika dan Jepun, Toyota Camry generasi kelapan kini telah menggantikan model generasi ketujuhnya pada pasaran Australia secara rasmi. Untuk pasaran berkenaan, Camry ditawarkan dengan tiga enjin berbeza (petrol empat-silinder dan V6, dan juga hibrid), dalam empat trim berlainan (Ascent, Ascent Sport, SX dan SL).
Dengan harga bermula RM86k untuk model asas Ascent hingga RM137k untuk model tertinggi V6, spesifikasi Camry pasaran Australia ini dilihat hampir sama dengan apa yang ditawarkan di Amerika Syarikat.
Untuk enjin asas empat-silinder, Camry dijana enjin 2AR-FE 2.5 liter tanpa pendesak turbo, menghasilkan kuasa 178 hp/235 Nm dan digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan yang telah diperhalusi. Kesemua empat trim akan ditawarkan dengan enjin asas ini, namun khas untuk pembeli Ascent Sport, SX dan SL, enjin 2.5 liter mereka mengkekstrak 2 hp dan tork 4 Nm lebih berkuasa dari asal.
2017 Toyota Camry SL hybrid
2017 Toyota Camry Ascent
Bagi unit janakuasa hibrid pula, enjin petrol baharu A25A-FXS 2.5 liter empat-silinder bersama sistem suntikan bahan api terus D-4S berkuasa 176 hp/221 Nm digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 118 hp/202 Nm. Secara keseluruhan, unit janakuasa hibrid tersebut berupaya menghasilkan kuasa 214 hp dengan penggunaan bahan api gabungan 4.2 liter untuk 100 km. Camry Hybrid ditawarkan dalam trim Ascent, Ascent Sport dan SL.
Untuk model paling berkuasa dengan enjin V6, Camry hanya ditawarkan dalam trim SX dan SL. Enjin 2GR-FKS 3.5 liter dengan sistem suntikan bahan api terus dan VVT-iW berkenaan berupaya menjana 300 hp pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 365 Nm pada takat 4,700 rpm. Kuasa dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik direct-shift lapan-kelajuan. Sedan Toyota paling berkuasa pernah ditawarkan di Australia ini juga kini menggantikan model Aurion.
Kesemua enjin ini diberikan sistem penyejukkan bervariasi (dengan pam elektrik pada model hibrid), pam minyak pelincir bervariasi penuh dan juga penyejuk sistem EGR. Selain itu, kesemua versi janakuasa turut diberikan mod pemanduan Drive Mode Select (Normal, Eco dan Sport). Versi hibrid pula ditambah dengan mod EV, manakala 2.5 liter dan 3.5 liter V6 pula menerima kawalan ‘blipping‘ pendikit automatik ketika menurunkan gear secara agresif seperti sistem pada Toyota 86.
2017 Toyota Camry SL hybrid
2017 Toyota Camry Ascent Sport hybrid
Seperti yang diumumkan pada kemunculan sulung model generasi baharu ini, Camry dibina berasaskan platform baharu Toyota New Global Architecture (TNGA). Menurut Toyota, platform baharu ini membolehkan rekaan dilakukan dengan lebih bebas, memberikan kedudukan pemanduan lebih baik serta memperbaiki dinamik pemanduan kerana pusat gravitinya yang lebih rendah. Asas baharu ini juga menawarkan kekuatan torsi 30% lebih baik dari platform sebelum ini.
Selain itu, dinamik pemanduan pada kereta baharu ini turut dibantu oleh rekaan suspensi diperkemaskan – topang McPherson di hadapan dan suspensi double wishbone pada bahagian belakang. Jarak roda Camry baharu ini juga kini 50 mm lebih jauh dari model terdahulu, manakala tingginya pula telah dikurangkan 25 mm. Khas untuk Camry SX, ia turut diberikan bar penstabil yang lebih keras. Selain dari memberikan pengendalian lebih baik, trek yang lebih lebar dan ‘stance‘ yang lebih rendah membolehkan Camry ini kelihatan jauh lebih menarik.
Bagi kelengkapan lain, kesemua Camry diberikan lampu hadapan bi-LED dan lampu nyalaan siang LED – varian SX dan SL diberikan lampu nyalaan siang yang lebih premium. Kedua-dua varian tertinggi itu juga menerima lampu belakang LED sepenuhnya, manakala versi Ascent dan Ascent Sport hanya menerima lampu kombinasi LED. Versi SL juga dilengkapkan dengan bumbung suria berkuasa secara standard (opsyen dengan bayaran RM6k untuk SX), manakala Hybrid SL pula satu-satunya model yang diberikan moonroof kaca penuh.
2017 Toyota Camry V6 engine
2017 Toyota Camry hybrid
Toyota Camry SX diberikan kit badan agresif bersama lampu belakang yang digelapkan. Ia juga menerima rim aloi paling besar pernah dipadankan pada sedan Toyota pasaran Australia iaitu berdiameter 19-inci. Bahagian dalaman, Camry SX menerima tempat duduk sport pada bahagian hadapan.
Model dengan trim lebih rendah menerima kit kemasan yang lebih ‘sopan’ dimana trim SL dipadankan dengan rim aloi 18-inci, manakala Ascent dan Ascent Sport hanya diberikan rim aloi 17-inci.
Bagi keselamatan pula, Camry generasi kelapan ini diberikan sistem amaran pra-pelanggaran, amaran keluar laluan, lampu tinggi automatik, cruise control aktif, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan mula mendaki, kawalan libasan treler, dan juga penahan brek. Kesemua ini ditawarkan mengikut pakej pada trim, manakala brek kecemasan automatik adalah standard untuk setiap model.
Untuk model pasaran Australia ini, Camry telah diuji dan diiktiraf menerima taraf keselamatan lima-bintang dari ANCAP, standard untuk semua varian. Ia juga dibawa sepenuhnya ke Australia dari Jepun selepas kilang produksi Toyota di Melbourne ditutup bulan lalu, manakala untuk pasaran New Zealand ia akan mula dijual Mac tahun hadapan.
Keputusan sama ada untuk mengenakan atau membatalkan 10% surcaj tambahan bagi menggunakan kad prabayar Touch ‘N Go (TNG) di sesetengah lokasi seperti di pusat membeli-belah atau bangunan parkir kenderaan adalah bergantung kepada penyedia perkhidmatan terbabit, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Beliau berkata, sementara isu TNG ini dalam pembincangan dengan para penyedia perkhidmatan seperti pengendali parkir untuk pihak berkenaan menyerap kos tersebut dalam sistem penyediaan dan penyelenggaran TNG, keputusan untuk mengenakan caj perkhidmatan adalah di antara penilaian dan budi bicara penyedia perkhidmatan, laporan theSundaily
Kenyataan ini adalah jawapan bertulis susulan soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai yang ingin mengetahui sama ada menggunakan TNG ini sebagai satu medium jualan dan pembelian dengan kos tambahan melalui satu caj dilevi akan dikenakan kepada pelanggan. Kebanyakan penyedia sistem TNG ini tidak mengenakan caj tambahan untuk penggunaan kad-kad ini di tempat seperti plaza tol dan atas belian runcit, katanya.
“Walau bagaimana pun, terdapat beberapa penyedia perkhidmatan tertentu seperti pengendali parkir yang mengenakan surcaj bagi penggunaan TNG ini. Ini adalah bagi menanggung kos operasi dan pengurusan kemudahan di lokasi tertentu yang menawarkankemudahan TNG. Namun ada juga penyedia perkhidmatan yang memilih untuk tidak mengenakan caj tambahan bagi pengguna kad TNG dan menyerap kos bagi operasi sistem yang dikendalikan,” tambah Najib lagi.
Pada Mei lalu, Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNGSB) menyokong ‘tiada bayaran surcaj’ bagi model perniagaan dan telah berunding dengan pengendali parkir, pemilik bangunan dan pihak berkaitan bagi mengetepikan surcaj ini.
Seperti yang semua sedia maklum, Perodua telah pun melancarkan barisan Myvi 2018. Bagi Myvi 2018 pembuka generasi ketiga ini, banyak perubahan yang cukup signifikan telah dilakukan, pendek kata, berubah habis! Cukup berbeza dengan dua generasi sebelumnya.
Bagi yang ingin mendapatkan gambaran yang lebih jelas, kami membawakan galeri foto untuk menunjukkan perbandingan di antara varian Myvi 1.5 Advance 2015 dengan versi terkini 2018. Dari sini, anda boleh melihat secara lebih jelas perbezaannya yang ketara. Daripada wajah hadapan, ke sisi hinggalah ke bahagian belakang, malahan imej bahagian kabin juga telah diperbaharui bagi membawakan kesegaran yang lebih optimum.
Bagi bahagian luarannya, Myvi 1.5 Advance 2018 dibentangi dengan elemen yang lebih sporty, sentuhan moden dan lebih bergaya. Ia dilengkapi dengan kit badan dari bahagian hadapan sehinggalah ke belakang bersama rim dwi tona bersaiz 15-inci. Lampu utama reflektor LED dilengkapi dengan fungsi auto off dan follow-me-home. Lampu kabus hadapannya pula dilengkapi dengan unit LED bersama satu jaluran lampu kuning yang berfungsi sebagai lampu kecil. Mungkin ada yang beranggapan, ia kelihatan agak pelik, tetapi inilah gaya yang ingin Perodua pertaruhkan.
Krom pada gril hadapannya juga menyerlahkan gayanya, serta bampar hadapan yang kelihatan sedikit besar dan lebar membuatkan imej Myvi 2018 ini kelihatan lebih garang. Namun skirt sisi yang ditampilkan tidak banyak memberikan perbezaan daripada pandangan profil sisi berbanding model terdahulu, melainkan rekaan rim dwi tona 15-inci sahaja yang lebih menonjolkan gaya sisinya.
Berbanding dengan Myvi 1.5 Advance 2015, imejnya juga sedikit agresif tetapi tidaklah begitu menonjol seperti versi 2018. Lampu utama projektor dengan LED, lampu kabus dan gril sarang lebah bentangan hitam membawa model ini kelihatan lebih ringkas berbanding Myvi 2018. Malahan rim bersaiz 14-inci dengan satu tona warna dan skirt sisi juga jadi kelihatan biasa-biasa sahaja.
Garisan bumbung Myvi 2018 juga kelihatan lebih landai berbanding model sebelumnya, sekaligus menampakkan ia kelihatan lebih sporty. Pada sekilas pandang menerusi pandangan belakang, Myvi 2018 nampak sedikit bulat dan lebar, berbanding Myvi 2015 yang kelihatan sedikit tegap dan lebih tinggi. Itu kita dilihat menerusi pandangan mata kasar.
Secara kenyataannya, Myvi 2018 memang lebih besar, lebar, tinggi berbanding model sebelumnya. Di mana Myvi 2018 lebih panjang sebanyak 210 mm berbanding model sebelumnya (Myvi 2018 = 3,895 mm / Myvi 2015 = 3,685 mm), +70 mm lebih lebar (Myvi 2018 = 1,735 mm / Myvi 2015 = 1,665 mm), dan jarak rodanya juga +60 mm (Myvi 2018 = 2,500 mm / Myvi 2015 = 2,440 mm). Namun Myvi 2018 lebih pendek sebanyak 55 mm berbanding model sebelumnya (Myvi 2018 = 1,515 mm / Myvi 2015 = 1,570 mm).
Begitu juga dengan bahagian belakangnya, ia lebih menang gaya (semestinya!). Pemilihan lampu belakang yang lebih bergaya dengan bentuk-C membuatkan Myvi 2018 sedikit ada persamaan dengan Kia Rio 2017. Malah imej belakangnya lebih kemas dan bersih. Tanpa ada bar hitam di bawah cermin belakang dengan logo Perodua di tengahnya. Spoiler belakangnya juga kelihatan lebih sporty dan tidak menampakkan seperti ‘dari kedai aksesori’, dengan sirip antena.
Berbanding Myvi 2015, lampu belakang LED dengan posisi menegak dan bentuk belakangnya yang sedikit berpetak. Plat nombornya yang terletak di tengah bahagian belakang, berbanding yang diolah semula untuk Myvi 2018 dengan posisi di bahagian bawah. Malahan corong ekzos bagi Myvi 2018 juga kelihatan sedikit tersembunyi.
Perubahan yang ketara juga jelas kelihatan di dalam kabinnya. Jika Myvi 2015 memilih bentangan yang lebih melintang untuk bahagian papan pemuka, Myvi 2018 pula kelihatan sedikit mengunjur. Paling ketara kedudukan tuil gear telah diubah ke bahagian bawah bagi Myvi 2018, berbanding di atas pada Myvi 2015. Susunan butang kawalan termasuk untuk pendingin hawa turut diperkemaskinikan, serta menampakkan ciri yang lebih model dan sofistikated buat Myvi 2018.
Bentangan warna hitam sepenuhnya turut digantikan dengan kekemasan krom pada konsol tengah untuk Myvi 2018. Begitu juga dengan bahagian paparan meter di mana skrin informasi pemanduan diletakkan di tengah antara odometer dan speedometer bagi Myvi 2018. Namun ia masih mengekalkan kawalan manual bagi sistem pendingin hawa tetapi ditampilkan dengan bentuk suis kawalan yang lebih moden berbanding butang kawalan berbentuk bulat pada Myvi terdahulu.
Kiri ke kanan: Kabin Myvi 2015 dan Myvi 2018
Begitu juga dengan roda sterengnya yang telah diperkemaskinikan termasuk susun atur butang kawalan yang lebih kelihatan model dengan jaluran krom serta kekemasan jahitan, begitu juga dengan material kulit yang digunakan, menampakkan Myvi 2018 lebih elegan. Balutan kulit sepenuhnya turut menjadi pilihan buat Myvi 2018 sama seperti model terdahulu, namun rekaannya sedikit berbeza berbanding model lama yang menampilkan tempat duduk separa-lekuk.
Lain-lain elemen yang masih dikekalkan termasuklah radio dan pemain CD dengan MP3/MWA dan sambungan USB serta Bluetooth, sistem multimedia bersama fungsi navigasi, kamera undur dan penyangkut anti-ragut pada bahagian sisi tempat duduk pemandu hadapan. Namun begitu, varian tertinggi bagi Myvi 2018 ini turut didatangkan dengan pembaca kad Touch ‘N Go binaan dalam yang terletak di bahagian kanan sebelah roda stereng, dan ini merupakan antara ciri menarik bagi elemen dalaman barisan Myvi terbaharu ini.
Pasti semua tahu bahawa elemen keselamatan bagi Myvi 2018 juga telah banyak dipertingkatkan. Selain ciri-ciri keselamatan yang juga telah ada pada Myvi terdahulu; Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan ABS, Myvi 2018 telah dipertingkatkan dengan Advanced Safety Assist (ASA); sebuah ciri maju yang bertujuan untuk menghindarkan anda daripada terlibat dalam perlanggaran dalam kelajuan rendah. Ia terdiri daripada ciri Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC). Malah bagi varian Advance Myvi 2018 kini dilengkapi dengan enam beg udara, berbanding hanya dua untuk varian lain dan model terdahulu.
Bagi bahagian mekanikalnya pula, enjin 3SZ-VE pada model sebelum ini telah digantikan dengan enjin 2NR-VE berkuasa 102 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm. Manakala kotak gear automatik empat kelajuan elektronik E-AT dipadankan masih dikekalkan. Myvi 2018 turut turut dipadankan dengan sistem Eco Idle yang akan mematikan/menghidupkan semula enjin jika kereta tidak bergerak.
Ini membolehkan model 1.3 mencapai penggunaan bahan api gabungan 21.1 km/l untuk auto dengan Eco Idle, 20.1 km/l auto tanpa Eco Idle, 20.5 km/l untuk manual tanpa Eco Idle, manakala model 1.5 liter pula memperolehi bacaan 20.1 km/l dengan Eco Idle.
Harganya pula… hah jangan terkejut. Varian Myvi 1.5L Advance 2018 ini ditawarkan bermula RM55,300, berbanding RM58,500 untuk varian yang sama tetapi model terdahulu. Untungkan…dah lah lebih banyak elemen yang menarik dengan rekaan pada imej yang lebih bergaya dan lebih moden.
Nak tahu perincian lebih lanjut mengenai barisan Myvi 2018, sila klik CarBase.my. Anda juga boleh membawa ulasan pandu uji ringkasnya yang dibawakan oleh Editor kami, Hazril Hafiz menerusi ARTIKEL INI.
Peraduan berkenaan cukup ringkas, di mana anda hanya perlu mengisi borang dan jawab berberapa soalan mudah pada acara berkenaan. Anda juga tidak akan dikenakan sebarang bayaran tiket untuk masuk ke Festival tersebut. Selain dari menonton perlumbaan, Festival TGR ini turut menampilkan pertunjukkan drift, penampilan selebriti, permainan pentas dan banyak lagi aktiviti untuk seisi keluarga.
Toyota Vios Sports Edition merupakan model edisi khas yang dihasilkan sempena Vios Challenge di Malaysia. Diasaskan dari Vios 1.5J automatik, kereta ini diberikan kit badan lengkap bersama spoiler tiang gol TRD yang sama seperti Vios perlumbaan sebenar, dan diberikan pelekat jalur badan dan rim aloi yang diwarnakan hitam. Paling menarik, model ini turut diberikan suspensi sport boleh laras pada keempat-empat sudut untuk pengendalian yang lebih baik.
Toyota Vios Sports Edition
Untuk peminat dunia perlumbaan pula, anda perlu hadir untuk menyaksikan ‘dog fight‘ antara pelumba-pelumba tersohor tanah air seperti Tengku Djan Ley, Keifli Othman, Syafiq Ali, Boy Wong dan ramai lagi dalam kategori Super Sporting. Perlumbaan ini juga turut menampilkan selebriti-selebriti tempatan seperti Fattah Amin, Syukri Yahaya, Janna Nick dan juga Diana Danielle yang berlumba dalam kategori Promosi.
Bagi peminat Drift pula, bintang D1GP Jepun iaitu Masato Kawabata dan Hideyuki Fujino turut akan hadir bagi mempersembahkan aksi mereka. Pasangan ini akan membuat penampilan dengan mempersembahkan aksi drift selama 30 minit setiap hari, dengan memandu Toyota 86.
Selain itu, Festival kali ini turut akan menyediakan litar lasak bagi menguji kemampuan sistem 4X4 pada Toyota Hilux dan turut akan mempamerkan SUV segmen-B Toyota C-HR.
Perodua Myvi 2018 baru saja dilancarkan minggu lalu. Dan rasanya ramai orang yang sudah mengetahui banyak perkara tentangnya. Kami juga telah membuat liputan yang meluas tentang model berkenaaan; dari perincian lanjut berkaitan spesifikasi setiap varian, sehinggalah kepada sejarah 12 tahun Myvi setakat ini, yang mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2005.
Masih belum cukup dengan Myvi baru ini? Jangan risau, hujung minggu lalu juga kami telah sempat membawa keluar dua varian model baru ini, Myvi 1.5 Advance (RM55,300) dan 1.3 Premium X (RM48,300) untuk melihat dengan lebih dekat dan terperinci perbezaan terhadap penawaran antara kedua-duanya.
Sekali pandang pun sebenarnya kita sudah dapat lihat perbezaan luaran. Kedua-dua unit ini adalah di dalam warna baru yang unik untuk varian masing-masing; Granite Grey untuk model 1.5L manakala Peppermint Green untuk model 1.3L.
1.5 Advance sebagai penawaran spesifikasi tertinggi juga tampil lebih sporty, lengkap dengan kit keliling badan dengan rim 15 inci dwi-tona yang membuatkannya nampak lebih bergaya. Sementara 1.3 Premium X pula lebih ringkas tanpa kit badan, dengan rim 14-inci.
Tetapi, diantara kedua-duanya, yang mana lebih berbaloi? Adakah model 1.3L sudah memadai dan mampu memenuhi keperluan untuk kegunaan harian anda? Atau, memang anda perlukan kelebihan kuasa dan prestasi yang ada model 1.5L untuk pengalaman pamanduan yang lebih baik?
Untuk makluman, perbezaan output enjin bagi kedua-dua model ini ialah 8 hp bagi kuasa keseluruhan dan 15 Nm bagi nilai tork – ini menjadi kelebihan kepada model 1.5L. Bagaimanapun, adakah angka-angka ini memberikan kelainan yang ketara bagi Myvi baru ini?
Papan pemuka 1.3 Premium X (kiri) dan 1.5 Advance.
Myvi 1.3L kini dilengkapi enjin 1NR-VE yang menghasilkan kuasa sebanyak 94 hp pada 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm – enjin yang sama seperti pada sedan Perodua Bezza serta MPV tujuh-tempat duduk Toyota Avanza.
Manakala untuk versi 1.5L pula, ia menggunakan enjin 2NR-VE dengan janaan kuasa 102 hp pada 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm.
Selain itu, hanya 1.5 Advance akan dilengkapi dengan ciri keselamatan Advanced Safety Assist (ASA); sebuah ciri maju yang bertujuan untuk menghindarkan anda daripada terlibat dalam perlanggaran dalam kelajuan rendah.
Ia terdiri daripada ciri Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB) (mirip kepada autonomous emergency braking, AEB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC).
1.5 Advance juga dilengkapi dengan kamera undur, dengan paparan pada skrin utama pada bahagian tengah papan pemuka. Tetapi, ciri seperti kawalan kestabilan VSC dan ABS ditawarkan sebagai ciri standard untuk semua varian.
Sebenarnya, kami ada satu lagi “hidangan” untuk anda berkaitan Myvi 2018 ini — sebuah video ulasan menyeluruh yang akan diterbitkan dalam masa terdekat. Semua soalan yang ditanyakan di atas, termasuk banyak lagi perkara seperti tahap penggunaan minyak dalam dunia nyata, ujian drag race, ujian kebisingan dalam kabin, ujian dari 0-100 km/j dan lain-lain telah kami jalankan dan akan disertakan dalam video itu nanti.
Jadi, terus perhatikan ruang ini atau Facebook kami untuk perkembangan selanjutnya. Sementara itu, kami tinggalkan anda dengan galeri terperinci bagi dua varian ini untuk anda nikmati. Ikuti juga laporan pandu uji Myvi 2018 yang telah kami sediakan.
Jadi, untuk memenuhi permintaan berkenaan, kami akan mencari lebih banyak bahan-bahan seumpama ini untuk dipaparkan pada masa hadapan.
Oleh itu, jika anda mempunyai kenderaan-kenderaan unik tidak kira kereta, motosikal, atau mungkin trak pikap dan van sekalipun yang menarik untuk dikongsikan kepada umum, sila emailkan butiran kepada kami di [email protected] dan kami akan menghubungi anda semula selepas itu.
Kami di unit editorial paultan.org/bm amat berterima kasih kepada pembaca yang terus menyokong kami selama ini dan sebagai balasan, kami akan terus menyajikan pelbagai informasi berkenaan dunia automotif pada masa akan datang.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memaklumkan Jambatan Pulau Pinang akan ditutup sementara selama 10 jam kepada semua kenderaan pada Ahad ini, 26 November 2017, sempena acara Larian Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang 2017.
Menurut kenyataan terbabit, jambatan tersebut akan ditutup mulai jam 12.01 tengah malam sehingga 10 pagi dan akan dibuka semula selepas selesai acara larian tersebut.
Justeru, PLUS menyarankan orang ramai yang perlu keluar-masuk antara kawasan pulau dan tanah besar dinasihati supaya menggunakan perkhidmatan feri yang akan beroperasi 24 jam atau Jambatan Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah sebagai laluan alternatif. Orang ramai juga dinasihati mematuhi semua papan tanda dan arahan yang diberikan PLUS.
Kerajaan optimis untuk mencapai sasaran seramai 1.3 juta penumpang pengangkutan awam setiap hari di Lembah Klang menjelang hari ini.
Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, buat masa ini jumlah penumpang harian dicatatkan seramai 1.2 juta, laporan Bernama.
Katanya, perkongsian mod pengangkutan awam di Greater KL pada 2010 hanya 10% dan meningkat kepada 23% tahun ini.
“Kami menetapkan matlamat tinggi untuk mencapai perkongsian mod 40% bagi pengangkutan awam darat di kawasan bandar menjelang 2030. Menerusi usaha bersepadu, perkongsian mod mencatatkan pertumbuhan signifikan,” katanya ketika berucap pada Malam Gala Kementerian Pengangkutan, malam tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, kerajaan akan mengenal pasti langkah bersesuaian bagi mengurangkan impak kenaikan harga runcit petrol RON95 dan diesel jika meningkat melebihi RM2.50 seliter secara berterusan selama tiga bulan.
Katanya, berdasarkan trend kenaikan harga minyak mentah dunia sejak kebelakangan ini, langkah yang diambil akan memastikan rakyat tidak terbeban dan kadar inflasi terkawal dalam jangka masa sederhana dan panjang. Dalam masa yang sama, kerajaan prihatin dan memahami kesan kenaikan harga minyak di pasaran dunia yang kini telah mencecah lebih US$60 setong, laporan Bernama.
Kementerian Kewangan berkata pada masa ini, kerajaan melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi produk petroleum mengikut trend kenaikan atau penurunan harga minyak mentah dunia di mana langkah tersebut telah berjaya mengurangkan ketirisan dan memastikan pemberian subsidi yang bersasar.
Di mana penetapan harga runcit RON95 dan diesel dilaksanakan dengan mengambil kira harga pasaran minyak mentah dunia dan kadar tukaran wang asing. Justeru, mekanisme penetapan adalah secara mingguan di mana purata perubahan kos produk petroleum minggu sebelumnya akan menentukan harga bagi minggu berikutnya.
“Sekiranya harga minyak mentah dunia naik maka harga runcit produk petroleum turut naik, sebaliknya harga runcit akan berkurang jika harga minyak mentah dunia turun,” menurut Kementerian Kewangan.