Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Tokyo 2017: Toyota Crown Concept – kini lebih sporty

    Tokyo 2017: Toyota Crown Concept – kini lebih sporty

    Satu lagi model yang berada di kawasan pameran Toyota di Tokyo Motor Show 2017 adalah Crown Concept ini, yang memberi petanda kepada sedan eksekutif generasi kelima belas yang dijual di Jepun sahaja. Ia sudah bersedia untuk menggantikan model S210, yang sudah dijual sejak tahun 2012, dan menampilkan rekaan lebih tegap diambil daripada Camry baru.

    Jelas boleh dilihat adalah permukaan yang lebih beralun dan garis bumbung seperti sebuah fastback, serta enam tingkap di bahagian tepi seperti mendapat inspirasi daripada Lexus LS baru. Pada bahagian depan, terdapat lampu utama LED dan gril tengah yang panjang sehingga ke bawah. Di belakang terdapat lampu yang terpisah dan diffuser yang besar, serta empat muncung ekzos.

    Lencana RS yang terdapat pada gril membawa makna Racing Spirit, dan apabila digabungkan dengan muka yang garang serta rim bercorak turbin, ia seakan memberi gambaran kepada model yang lebih sporty, terletak lebih atas daripada Crown Athlete yang ada sekarang. Model ini juga dijangka akan terus dijual bersama dengan Crown Royal dan Crown Majesta.

    Tokyo 2017: Toyota Crown Concept – kini lebih sporty

    Ukuran Crown Concept adalah 4,910 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,455 mm tinggi, dan ini adalah 25 mm lebih panjang dan 5 mm lebih tinggi berbanding model yang ada sekarang. Jarak roda 2,920 mm padanya juga adalah 70 mm lebih panjang. Ia dibina atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dan dijangka berkongsi pelbagai komponen dengan Lexus GS generasi seterusnya.

    Model produksi dijangka mengekalkan enjin 2.0 liter turbo 8AR-FTS yang diperkenalkan pada model facelift semasa, dengan kuasa sebanyak 235 PS dan 350 Nm tork, bersama padanan kotak gear automatik lapan kelajuan. Model dengan enjin 3.5 liter NA juga boleh dijangka, seperti model Lexus LS 350 yang ditawarkan di China dengan kuasa sebanyak 318 hp dan 380 Nm tork.

    Sementara itu, bagi model hibrid, ia berkemungkinan menerima sistem Multi Stage Hybrid daripada Lexus LS 500h and LC 500h. Sistem ini menggabungkan enjin V6 3.5 liter Dual VVT-i 295 hp/ 350 Nm dengan motor elektrik dan bateri lithium-ion 310 V. Secara keseluruhan, kuasanya adalah 354 hp.

    Bagi aspek keselamatan, Crown baru ini akan terus menggunakan sistem brek kecemasan autonomous, serta sistem komunikasi kenderaan-ke-infra (V2I) dan kenderaan-ke-kenderaan (V2V) ITS Connect. Satu ciri baru bagi model generasi kelima belas ini adalah Data Communication Modules (DCM) yang akan datang secara standard, sekaligus membawa kemasukan Toyota ke dalam arena Internet of Things (IoT).

     
     
  • Tokyo 2017 : Mitsubishi e-Evolution Concept elektrik

    Tokyo 2017 : Mitsubishi e-Evolution Concept  elektrik

    Ini ialah masa depan bagi Mitsubishi Evo – dipertontonkan sebagai Mitsubishi e-Evoliton Concept. Evo memang kembali, tetapi bukan lagi dalam imej yang pernah dikenali dulu. Nama legenda itu kini digunakan untuk sebuah model SUV konsep prestasi tinggi elektrik sepenuhnya.

    Model ini disifatkan sebagai sebuah pernyataan hala tuju baru bagi syarikat berkenaan – model konsep ini menggunakan tiga motor elektrik dengan tork tinggi – satu menguasakan tayar hadapan, dan sepasang lagi terletak di belakang dan berfungsi sebagai sistem baru Dual Motor Active Yaw Control (AYC).

    Sistem berkenaan membekalkan fungsi torque-vectoring yang dikawal secara elektronik, dan jika digabungkan semuanya, ia akan membentuk satu sistem kawalan dinamik unik yang dinamakan Super All-Wheel Control (S-AWC). Menurut pengeluarnya, sistem ini memberikan pemanduan yang padu dan bernyawa disetiap permukaan jalan.

    Tokyo 2017 : Mitsubishi e-Evolution Concept  elektrik

    Baterinya diletakkan di bawah lantai ditengah-tengahnya untuk merendahkan kedudukan titik graviti, memberikan kestabilan pemanduan ketahap lebih baik. Tiada statistik prestasi yang didedahkan setakat ini.

    Dari segi reka bentuk, Mitsubishi menjelaskan model ini memiliki profil unik di bahagian sisi yang “tidak mungkin berhasil sebelum ketibaan teknologi kenderaan elektrik.” Motor elektrik kompak yang menggantikan enjin pembakaran dalaman yang besar, membolehkan pakej rekabentuk dilakukan dengan lebih ekstrem.

    Dari depan, sentuhannya menampilkan arah baru bagi rekaan Dynamic Shield oleh Mitsubishi, dengan gril hitam dengan kemasan biru berkaca. Kamera dan sensor terletak di dalam gril berkenaan, sementara corong kemasukan udara diletakkan di bawah lampu utama untuk membolehkan penyejukan brek elektrik lebih berkesan.

    Bahagian tengah badannya yang lebih tirus bertujuan untuk menyumbang kepada kelincahannya, sementara penggunaan tayar yang besar pula melambangkan tork bagi 4WD yang berkuasa. Bentuk hexagon di belakang itu sebenarnya datang dari penutup tayar ganti pada Mitsubishi Pajero.

    Di dalam, model ini menampilkan ciri kokpit yang kemas, dengan rekaan panel insturmen terapung serta skrin sentuh yang besar sama dengan kelebaran papan pemukanya. Model konsep ini juga memiliki sistem Artificial Intelligence (AI) untuk “membaca” kemampuan pemandu. Ia menggunakan sejumlah sensor untuk membaca keadaan jalan dan mengagak hasrat pemandu, dengan kemampuan fungsi yang akan membantu pemandu untuk mengendalikan kenderaan dengan lebih baik.

     
     
  • Tokyo 2017: Toyota Century 2018 – lebih mewah, maju

    Tokyo 2017: Toyota Century 2018 – lebih mewah, maju

    Toyota Century telah berada dalam pasaran Jepun sejak tahun 1967 lagi, dan ia diterima baik untuk menggambarkan status mewah dan pernah muncul dalam pelbagai filem dan manga. Disebabkan itu, Toyota tidak mahu banyak mengubah model ini kecuali pada tahun 1997.

    Tapi kini sudah ada Century baru, yang membuat penampilan pertama semasa Tokyo Motor Show 2017 dalam bentuk prototaip sebelum memasuki pasaran pada pertengahan tahun 2018. Walaupun penampilan ikoniknya tidak banyak berubah – dengan badan yang panjang (kebiasaannya berwarna hitam), dengan kemasan krom di merata tempat – kereta ini sebenarnya lebih besar pada segenap dimensi dan mempunyai pelbagai kelengkapan moden.

    Model G60 ini berukuran 5,335 mm panjang, 1,930 mm lebar dan 1,505 mm tinggi, dan ini adalah 65 mm lebih panjang, 40 mm lebih lebar dan 30 mm lebih tinggi berbanding model G50. Model baru ini malah mengatasi Mercedes-Benz S-Class dengan 89 mm lebih panjang, 31 mm lebih lebar dan sembilan mm lebih tinggi.

    Tokyo 2017: Toyota Century 2018 – lebih mewah, maju

    Pada bahagian luar, badannya telah diubah dengan C-pillar yang lebih tegak, sekaligus menunjukkan kepentingan ruang penumpang belakang. Lampu berbentuk petak padanya kini menggunakan unit projector LED dengan Adaptive High Beam System (AHS), dan di tengahnya terdapat gril dengan corak mahkota.

    Pergi ke bahagian belakang, lampu yang berukuran penuh kini mempunyai bahagian tengah berwarna hitam, manakala lensa tiga dimensinya menjadikan keseluruhan rekaan lebih harmoni. Bukaan pintu serta ruang yang ada juga menjadikan masuk serta keluar daripada kenderaan ini lebih mudah.

    Masuk ke bahagian dalam, anda akan dapat melihat balutan kain wool digunakan pada pelbagai bahagian, berbeza dengan balutan kulit yang biasanya digunakan pada kenderaan mewah. Walaubagaimanapun, kemasan kulit masih disediakan sebagai pilihan. Papan pemukanya menggunakan rekaan mendatar yang mewujudkan rasa lebih luas.

    Tokyo 2017: Toyota Century 2018 – lebih mewah, maju

    Rasa ini ditingkatkan lagi dengan penggunaan corak kotak-kotak pada bahagian belakang tempat duduk dan konsol di antara dua tempat duduk tersebut. Konsol itu juga menempatkan skrin hiburan yang besar, untuk penumpang belakang yang boleh ditonton sambil menyandarkan kerusi yang mempunyai fungsi mengurut. Tempat perehat kaki boleh dibuka dengan butang elektrik.

    Satu skrin LCD yang tersembunyi di dalam perehat tangan tengah tempat duduk belakang membolehkan penumpang mengawal kedudukan tempat duduk, pendingin hawa dan audio. Mereka yang perlu bekerja sambil bergerak pastinya boleh menghargai meja lipat serta lampu yang disediakan. Pembesar suara pula adalah sistem 20 pembesar suara premium.

    Bagi bahagian enjin, unit V12 sebelum ini telah diganti dengan unit V8 5.0 liter yang digabungkan dengan dua motor elektrik dan bateri nickel-metal hydride. Ini adalah unit sama seperti yang digunakan pada LS 600h, meskipun hanya menggunakan pacuan dua roda belakang.

    Tokyo 2017: Toyota Century 2018 – lebih mewah, maju

    Toyota masih belum mengumumkan jumlah kuasa sebenar untuk kenderaan ini, tetapi boleh dijangka menghasilkan sehingga 439 hp, seperti LS 600h. Turut dijanjikan adalah penggunaan bahan api yang lebih baik, serta mengoptimakan tapak enjin dan sistem kawalan bunyi aktif untuk menghasilkan perjalanan lebih senyap.

    Ciri keselesaan dan stabiliti turut dipertingkat lebih lagi dengan badan yang lebih tegap serta suspensi yang ditala khas, bersama tayar baru untuk mengurangkan getaran daripada jalan. Pada aspek keselamatan, kereta ini dilengkapi dengan Toyota Safety Sense P yang termasuk Pre-Collision System, Lane Departure Warning dan Adaptive Cruise Control, yang datang secara standard dengan pemerhati titik buta dan rear cross traffic alert.

     
     
  • Tokyo 2017: Subaru WRX STI S208 – 329 PS, 432 Nm

    Tokyo 2017: Subaru WRX STI S208 – 329 PS, 432 Nm

    Subaru WRX STI S208 telah melakukan penampilan perdana di Tokyo Motor SHow 2017. Difahamkan hanya 450 unit sahaja yang akan diproduksi dan untuk pasaran Jepun sahaja. Model ini telah menerima peningkatan estetika termasuk bagi prestasinya, lebih kurang dengan model terdahulu WRX STI S207.

    Di bawah bonetnya, ia dipadankan dengan enjin EJ20 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu memuntahkan kuasa sehingga 329 PS pada 7,200 rpm dan tork 432 Nm dari 3,200 hingga 4,800 rpm. Ia juga dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan yang menyalurkan kuasa ke semua rodanya.

    Daripada segi penggayaanya, S208 didatangkan dengan NBR Challenge Package termasuk spoiler lips hadapan dan belakang, roda aloi BBS hitam 19-inci serta skirt sisi. Malahan ia juga dilengkapi dengan wing belakang dan bumbung gentian karbon, serta perkataan ‘S208’ di bahagian belakang.

    Untuk bahagian kabinnya, ia ditampilkan dengan roda stereng balutan Alcantara dengan jahitan kontras serta logo STI di bahagian jejari bawah, kekemasan merah berkilat termasuk pada bahagian papan pemuka utama, pedal aluminium dan tempat duduk bucket balutan kulit. Plat nombor siri juga diletakkan di antara penukar gear dengan pemilih SI-DRIVE untuk menunjukkan tahap eksklusiviti model ini.

     
     
  • Tokyo 2017: Daihatsu DN Trec – SUV baru Perodua?

    Tokyo 2017: Daihatsu DN Trec – SUV baru Perodua?

    Selepas melihat keunikan reka bentuk pada Daihatsu DN Compagno, apa kata kita alih perhatian pula kepada sebuah lagi model yang dipertontonkan oleh syarikat itu di Tokyo hari ini. Ini mungkin juga sangat relevan untuk kita di Malaysia – Daihatsu DN Trec, sebuah rekaan konsep yang disebut-sebut akan membenihkan SUV Perodua. Biar betul?

    Daihatsu DN Trec ialah rekaan konsep sebuah SUV kompak, dengan genre berkenaan sangat popular di luar Jepun. Sebagai contoh di negara kita, lihat sambutan terhadap Honda HR-V, Mazda CX-3 ada menyaingi dan Toyota C-HR pula akan datang tak lama lagi.

    Tokyo 2017: Daihatsu DN Trec – SUV baru Perodua?

    Kini, bayangkan pula akan ada satu lagi pilihan tawaran daripada Perodua, dengan harga yang lebih murah – sudah tentu ia akan mendapat sambutan hangat. Dengan petunjuk yang ada, misalnya dari Presiden dan CEO Perodua sendiri, Datuk Aminar Rashid Salleh pada Julai lalu berkata, Perodua sedang mempertimbangkan dengan serius untuk memperkenalkan sebuah SUV kompak.

    Bagi sebuah syarikat yang banyak merahsiakan perancangan mereka, pengakuan itu boleh dikira sesuatu yang konkrit juga. “SUV menjadi sesuatu yang mendapat sambutan kini, dan walaupun ia tidak berada di dalam barisan model yang kami tawarkan kini, kami senang menjalankan kajian awal untuk memperkenalkan model seperti itu,” ujar beliau.

    Jangkaan kami, melihat kepada konteks ini, dan jika dikaitkan pula dengan pengenalan model DN Trec ini, nampak gayanya perancangan itu seperti sudah berjalan dengan sangat baik – sekiranya betul SUV kompak itu nanti akan didasarkan kepada model SUV Perodua itu nanti.

    Model yang dipamerkan ini dicadangkan untuk menggunakan enjin 1.2 liter hibrid dengan pilihan enjin 1.0 liter turbo. Daihatsu mengalihkan perhatian kepada teknologi hibrid dan elektrik sebagai teras untuk bergerak ke hadapan selepas ini.

     
     
  • Tokyo 2017: Honda NeuV Concept hadir dengan ciri pembuatan pintar serta teknologi pemanduan auto

    Tokyo 2017: Honda NeuV Concept hadir dengan ciri pembuatan pintar serta teknologi pemanduan auto

    Selain Honda Sports EV Concept yang menjadi tarikan utama bagi barisan model konsep EV buatan Honda, jenama ini turut menampilkan NueV Concept.

    Menurut Honda, model konsep ini direka dengan objektif bagi memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. NueV Concept ini dibangunkan dengan pembuatan pintar dan teknologi pemanduan automatik serta boleh mengesan perasaan tertekan pemandu menerusi ekspresi wajah dan/atau nada suara, sekaligus ‘menawarkan’ bantuan untuk keselamatan pemanduan.

    Seperti mana model Sports EV Concept, Honda juga tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai NeuV Concept ini. Walau bagaimana pun, Honda berkata, ia dicipta bagi kesesuaian gaya hidup masa kini dan mampu memberikan lebih keseronokan sewaktu pemanduan. Malahan ia juga akan mendemostrasikan bagaimana produk mobiliti mampu membantu manusia.

     
     
  • BMW G 310 GS akan tiba di Malaysia dalam bulan ini

    BMW G 310 GS akan tiba di Malaysia dalam bulan ini

    Selepas model G 310 R, BMW Motorrad Malaysia akan membawa sebuah lagi model motosikal kapasiti rendah iaitu G 310 GS ke pasaran Malaysia. Model ini pertama kali muncul secara global semasa pameran EICMA tahun lepas, dan dijangka dapat memuaskan mereka yang mencari sebuah model jelajah.

    G 310 GS ini dianggap sebagai ‘adik kecil’ kepada model popular R1200 GS, dan ia dikuasakan oleh enjin 313 cc DOHC, dengan padanan kotak gear enam kelajuan sama seperti G 310 R. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 34 hp pada 9,500 rpm dan 28 Nm tork pada 7,500 rpm. Berat keseluruhan yang dicatat pula adalah 169.5 kg.

    Kedudukan tinggi motosikal ini didapati daripada penggunaan fork hadapan USD 41 mm (pergerakan 49 mm lebih banyak berbanding G 310 R) dan monoshock belakang dengan pelarasan pra beban yang dipasang pada lengan ayun aluminium. Rim yang digunakan pula bersaiz 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

    BMW G 310 GS akan tiba di Malaysia dalam bulan ini

    Secara standard, motosikal ini datang dengan brek ABS, dan pemilik mempunyai pilihan untuk menambah barangan yang bersesuaian dengan penggunaannya seperti beg barangan, soket 12V, tempat duduk 820 mm atau 850 mm, tongkat tengah serta alat navigasi.

    Di Eropah, G 310 GS ini dijual pada harga 4,750 Euro (RM21,244), namun harga bagi pasaran Malaysia masih belum diumumkan. Bagi G 310 R, semasa pelancarannya di Malaysia Ogos lalu, harga yang ditetapkan adalah RM26,900 termasuk GST.

     
     
  • Tokyo 2017: Subaru Viziv – WRX generasi seterusnya?

    Tokyo 2017: Subaru Viziv – WRX generasi seterusnya?

    Tahun ini di Tokyo, Subaru tak mahu mengalah dalam mempamerkan model terbaru; ini Subaru Viziv Perfomance Concept. Secara ringkasnya, apa yang ingin ditampilkan oleh pengeluarnya ialah sebuah rekaan dan penampilan sedan sport generasi seterusnya. Adakah ini petunjuk kepada model WRX generasi seterusnya?

    Model konsep terbaru ini – yang merupakan sedan pertama bagi barisan kajia rekaan di bawah nama Viziv – mengambil ilham daripada beberapa model ikonik Subaru; Legacy – yang membangunkan definisi bagi jenama ini selaku kereta untuk pemandu; Impreza – yang menggungguli Kejuaraan Rali Dunia; WRX – jentera yang mendominasi perlumbaan kereta serata dunia.

    Viziv sedan ini dibangunkan dengan 4,630 mm panjang, 1,950 mm lebar dan 1,430 mm tinggi – jarak antara roda pula ialah 2,730 mm. Rim 20-inci terselindung di bawah lengkung bahagian tayar yang dilanjutkan menggunakan bahan gentian karbon bagi mendapatkan bentuk yang menurut Subaru disifatkan sebagai sedan sport generasi baru yang “merangkum keseronokan pemanduan”.

    Tokyo 2017: Subaru Viziv – WRX generasi seterusnya?

    Material gentian karbon turut digunakan pada bahagian lain, seperti bampar depan, scoop bonet dan diffuser belakang yang menempatkan empat hujung ekzos dengan lampu kabus penggayaan Japan GT. Menyerikan lagi rekaannya adalah penggunaan pemegang pintu yang tersorok, gril depan dengan pencahayaan serta kamera EyeSight Subaru yang disekalikan pada bahagian bumbung karbon.

    Sama ada Subaru WRX generasi terkini akan mengambil rekaan yang mirip model ini atau tidak, itu masih menjadi persoalan. Tetapi, berdasar sejarah peralihan dari model konsep ke model produksi Subaru akhir-akhir ini, ia mungkin tidak akan berlaku. Apa pandangan anda tentang rekaan ini?

     
     
  • Tokyo 2017: Honda Sports EV Concept tampil perdana

    Tokyo 2017: Honda Sports EV Concept tampil perdana

    Menunjukkan betapa seriusnya Honda di dalam menghasilkan kenderaan dengan bahan api alternatif, terbaru, menerusi pentas Tokyo Motor Show 2017, Honda telah memperkenalkan buat julung kalinya model Honda Sports EV Concept.

    Menurut CEO Honda, Takahiro Hachigo, Honda Sports EV Concept ini merupakan satu daripada tiga model konsep kereta mobiliti masa hadapan janaan enjin elektrik (EV) yang didedahkan hari ini, iaitu selain Honda NeuV dan Honda Urban EV.

    “Sports EV Concept ini adalah cadangan terbaru kami. Di mana kami sememangnya sentiasa mahu memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan buat para pelanggan di samping pengendalian kenderaan yang bersifat sporty. Berdasarkan platform EV yang sama seperti Urban EV Concept, namun Sports EV Concept ini memiliki pusat graviti yang lebih rendah untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih sporty,” ujarnya kepada pihak media pagi tadi.

    Bagi rekaannya pula, Hachigo berkata, model konsep ini mengadaptasikan pakej yang lebih rendah dan lebar iaitu mewakili “kecantikan” bagi kereta sport, dan pihaknya yakin ia mampu menarik perhatian ramai kelak.

    Walau bagaimana pun, Hachigo tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai model konsep sport ini, malah juga tidak memberikan sebarang jawapan, bilakah model ini bakal diproduksikan.

     
     
  • Tokyo 2017: Nissan IMx Concept – 600 km sekali cas

    Tokyo 2017: Nissan IMx Concept – 600 km sekali cas

    Nissan IMx telah dipertontonkan di Tokyo Motor Show 2017, dan ia menampilkan teknologi pacuan elektrik jenama tersebut, pada badan yang mempunyai bentuk crossover masa depan. Ada yang memanggilnya sebagai “Leaf SUV”, dan ia dijangka memberi gambaran model produksi masa hadapan.

    Nissan mendakwa kereta ini boleh memberikan jarak gerak elektrik lebih 600 km dengan satu cas penuh, hasil daripada penggunaan pek bateri kapasiti tinggi dengan ketumpatan yang dipertingkat. Ia juga menggunakan platform kenderaan elektrik (EV) terbaru Nissan, dengan bateri terletak rata di bawah lantai untuk pekej yang lebih baik. ini juga sekaligus dapat merendahkan titik graviti dan memberikan “kawalan mantap yang mampu memberi makna baru kepada segmen crossover.”

    Kuasa penggerak kenderaan ini datang daripada sepasang motor elektrik output tinggi, yang diletakkan pada setiap gandar, seterusnya menghasilkan pacuan semua roda. Apabila digabungkan, Nissan IMx mampu menghasilkan keseluruhannya 429 hp dan 700 Nm tork, bermakna, ia bukanlah sebuah EV yang membosankan.

    Tokyo 2017: Nissan IMx Concept – 600 km sekali cas

    Pada aspek gaya, ia jelas menunjukkan evolusi daripada Leaf generasi kedua, dengan panel badan tajam dan lebar yang berlapis di atas satu sama lain. Ia juga menampilkan kemasan vermillion di atas badan yang dicat dengan warna putih mutiara.

    Pada bahagian dalam, IMx dikatakan mendapat inspirasi daripada ruang yang terdapat dalam rumah tradisional Jepun. Empat tempat duduk yang ada mendapat panel kayu di sekelilingnya, dengan rekaan yang minimalis. Menurut Nissan lagi, kenderaan ini menggunakan teknologi Artificial Intelligence (A.I) yang boleh dikawal melalui pergerakan mata dan tangan, dan sebab itulah ia tidak mempunyai banyak butang kawalan.

    Tokyo 2017: Nissan IMx Concept – 600 km sekali cas

    Sudah tentu, sebagai sebuah kenderaan masa depan, sistem pemanduan autonomous juga dilengkapi padanya, termasuk sistem ProPilot yang menawarkan kawalan automatik penuh. Apabila diaktifkan, roda stereng akan masuk ke dalam papan pemuka, manakala tempat duduk akan disandarkan supaya pemandu dapat lebih santai.

    Sebagai satu contoh keadaan, Nissan memberitahu IMx boleh menurunkan anda di lapangan terbang, mencari tempat letak kenderaan yang membolehkan ia dicas secara sendiri, dan apabila anda pulang, ia boleh kembali menjemput anda di terminal dan membawa anda pulang – semua ini di dalam pelan Seamless Autonomous Mobility Nissan.

     
     
  • Honda Goldwing 2018 – lebih maju, ringan, datang dengan pilihan kotak gear automatik DCT 7-kelajuan

    Honda Goldwing 2018 – lebih maju, ringan, datang dengan pilihan kotak gear automatik DCT 7-kelajuan

    2018 GL1800 Goldwing Tour

    Honda Goldwing 2018 akhirnya muncul secara rasmi, dan kini datang dengan pakej yang lebih kemas, pilihan varian, mod tunggangan dan transmisi automatik. Model touring paling tinggi bagi Honda ini telah wujud sejak 43 tahun yang lalu, dan untuk model 2018 ini ia datang dengan pilihan Goldwing dan Goldwing Tour.

    Ia ditunjukkan semasa satu acara khas di Santa Barbara, California dan masih menggunakan enjin enam silinder sama, tetapi dinaik taraf dengan ride-by-wire, empat mod tunggangan, Honda Selectable Torque Control (HSTC), Hill Start Assist (HSA) dan Idling Stop untuk menjadikan kawalannya lebih mudah dan meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api. Enjin enam silinder 1,833 cc ini kini mempunyai empat injap bagi setiap silinder dan 62 kg lebih ringan, dengan kuasa sebanyak 124 hp pada 5,500 rpm dan 170 Nm tork pada 4,500 rpm.

    Sistem bahan api yang digunakan adalah PGM-FI, dan anda mempunyai pilihan dua kotak gear – manual enam kelajuan biasa dengan fungsi undur elektrik, atau automatik klac berkembar DCT dengan tujuh kelajuan ke hadapan dan satu gear undur. Kotak gear DCT ini menampilkan ciri Walking Mode, di mana ia boleh bergerak sekata pada kelajuan 1.8 km/j dan boleh digunakan dengan hanya menekan butang pada bahagian kiri pemegang.

    Bergantung kepada model pilihannya, Goldwing baru ini boleh jadi sehingga 48 kg lebih ringan berbanding model generasi sebelum ini. Pengurangan ini didapati bukan sahaja pada enjin, malah juga casis, di mana kerangka serta lengan ayunnya 2 kg lebih ringan daripada sebelum ini. Untuk model asas, beratnya adalah 365 kg, manakala versi Tour mempunyai berat masing-masing 379 kg untuk manual dan 383 kg untuk DCT.

    Kesemua lampu motosikal ini adalah menggunakan sistem LED, dan pada bahagian kokpitnya terdapat skrin TFT LCD tujuh inci yang boleh memaparkan fungsi navigasi dan hiburan. Pilihan boleh dilakukan menggunakan dail yang ada. Untuk pengguna iPhone, terdapat sambungan Apple CarPlay pada sistem ini.

    Untuk keselesaan pengguna, skrin besar di hadapan pada model sebelum ini telah digantikan dengan skrin lebih kecil, dan boleh dilaras secara elektrik melalui butang pada pemegang untuk dinaik dan diturunkan. Bukan sekadar tinggi dan rendah, pengguna juga boleh melaras sudut kecondongan skrin ini.

    Honda Goldwing 2018 – lebih maju, ringan, datang dengan pilihan kotak gear automatik DCT 7-kelajuan

    2018 GL1800 Goldwing Tour

    Perbezaan utama antara Goldwing biasa dan Goldwing Tour adalah suspensi boleh laras secara elektrik, pemanas tangan, kotak barangan, HSTC, pembesar suara belakang dan tongkat tengah. Bagi Goldwing Tour juga, pembeli boleh memilih model yang mempunyai beg udara.

    Harga bagi Goldwing asas bermula 23,500 USD (RM99,510), manakala model dengan kotak gear DCT dijual pada harga bermula 24,700 USD (RM104,592). Untuk Goldwing Tour pula, harganya bermula 26,700 USD (RM113,061), manakala Goldwing Tour DCT 27,700 USD (RM117,295). Model yang dilengkapi beg udara pula dijual pada harga bermula 31,500 USD (RM133,386).

     
     
  • Tokyo 2017: Mazda Kai Concept – Mazda 3 berikutnya?

    Tokyo 2017: Mazda Kai Concept – Mazda 3 berikutnya?

    Mazda Vision Coupe adalah satu daripada dua model konsep yang membuat penampilan pertama di Tokyo Motor Show 2017. Satu lagi adalah Kai Concept ini, iaitu sebuah hatchback yang menggunakan teknologi dan rekaan generasi baru Mazda, dan dikatakan memberi gambaran kepada Mazda 3 generasi keempat.

    Ukurannya adalah 4,420 mm panjang, 1,855 mm lebar dan 1,375 mm tinggi, dengan jarak roda 2,750 mm. Jumlah ini, apabila dibandingkan dengan Mazda 3 sekarang (4,580 mm panjang, 1,795 mm lebar, 1,450 mm tinggi dan jarak roda 2,700 mm) adalah nampak hampir.

    Dari aspek rekaan, model konsep ini menggunakan banyak idea yang didapati daripada Vision Coupe. Elemen yang tidak perlu dikeluarkan daripadanya, dan ditambah dengan beberapa bahagian lain.

    Tokyo 2017: Mazda Kai Concept – Mazda 3 berikutnya?

    Bahagian hadapan serba kemas ini mendapat rekaan gril baru, dengan “sayap” yang membawa kepada lampu berbentuk bulat. Sementara itu, bahagian bawah bampar diserlahkan lagi dengan lampu dan bayang untuk menghasilkan gaya berlapis, dan disudahi dengan lip seperti gentian karbon.

    Dari tepi, boleh dilihat kereta ini mempunyai pemegang pintu yang sama rata dengan permukaan pintu, rim lima cabang yang besar dan kemasan krom di bahagian bawah. Di belakang pula terdapat lampu yang seperti mendapat inspirasi daripada RX-Vision, dengan jalur LED di sekitarnya. Spoiler pula menggunakan warna hitam dan ia mempunyai bumbung panoramik dua bahagian.

    Masuk ke bahagian dalam, Kai Concept seperti menampilkan lebih banyak barangan berbanding Vision Coupe. Sebagai permulaan, terdapat salur udara di belakang panel instrumen. Terdapat juga tombol untuk mengawal pendingin hawa di atas papan pemuka serta konsol tengah yang ditinggikan.

    Tokyo 2017: Mazda Kai Concept – Mazda 3 berikutnya?

    Seperti kebanyakan kenderaan konsep Mazda lain yang muncul di Tokyo, Kai concept ini menampilkan skrin sesentuh yang lebar atas papan pemukanya dan menunjukkan pelbagai informasi. Kai Concept ini dibina atas SkyActiv-Vehicle Architecture, yang didakwa dapat menawarkan pemanduan lebih tegar dan NVH yang lebih baik berbanding SkyActiv-Chassis yang digunakan sekarang.

    Melengkapkan platform baru tersebut adalah enjin SkyActiv-X, yang akan menjadi enjin petrol komersial pertama di dunia yang menggunakan penyalaan menerusi mampatan. Hasilnya adalah prestasi dan penggunaan bahan api yang lebih baik.

     
     
  • PANDU UJI: Honda Clarity FCV, PHEV – prestasi kekal dinamik, ada potensi untuk masuk pasaran Malaysia?

    PANDU UJI: Honda Clarity FCV, PHEV – prestasi kekal dinamik, ada potensi untuk masuk pasaran Malaysia?

    Dua hari sebelum berlangsungnya Tokyo Motor Show 2017, Honda Malaysia telah membawa kami mengunjungi Motegi, Jepun, untuk taklimat mengenai teknologi bahan api alternatif yang merupakan sebahagian daripada pelan 2030 Vision yang dirangka awal tahun ini. Di mana Clarity Fuel Cell Vehicle (FCV), Clarity Plug-in Hybrid (PHEV) menjadi model contoh bagi pelan 2030 Vision ini. Ternyata Honda semakin serius untuk membangunkan kenderaan dengan teknologi bahan api alternatif ini pada masa akan datang.

    Menurut Honda, sudah tiba masanya untuk mereka melangkah lebih ke hadapan dalam menghasilkan kenderaan sebegini memandangkan beberapa negara di dunia ini telah berikrar untuk melarang penggunaan kenderaan dengan bahan api konvensional terutamanya diesel di kawasan bandar besar khususnya.

    Untuk makluman, Clarity FCV telah pun diperkenalkan kepada umum di Tokyo Motor Show 2015 dan pada Mac 2016, ia mula dijual di pasaran Jepun. Ia merupakan pengganti kepada FCX Clarity, kenderaan yang dijanakan oleh hidrogen yang diperkenalkan pada tahun 2007.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Tokyo 2017: Daihatsu DN Compagno – lama dan baru

    Tokyo 2017: Daihatsu DN Compagno – lama dan baru

    Bagi Tokyo Motor Show 2017, Daihatsu mempamerkan lima model konsep terbaru. Paling menarik perhatian ialah model ini, Daihatsu DN Compagno. Model ini merupakan terjemahan kepada kereta coupe empat-pintu kompak penggayaan retro dengan dome roof.

    Menurut Daihatsu, kereta ini memberi keutamaan kepada keselesaan yang nyaman bagi pemandu dan penumpang di hadapan, digandingkan dengan rekaan dalaman yang berkualiti tinggi. Ia bukan sebuah kereta sport, dan ia disasarkan kepada golongan “berusia yang aktif” yang ingin menikmati “gaya hidup individual”.

    Ini lari daripada imej sedia ada terhadap kenderaan yang digunakan golongan berkenaan dalam mendapatkan keselesaan maksimum dan praktikaliti. Kereta selepas usia persaraan tidak lagi akan menjadi begitu membosankan dengan DN Compagno ini.

    Tokyo 2017: Daihatsu DN Compagno – lama dan baru

    Dan, ia bukanlah hadir tiba-tiba ke dalam imajinasi perekanya; versi asal Compagno pertama kali diperkenalkan pada 1963. Ini merupakan asal rekaan versi terbarunya – walaupun tampil dengan rekaan moden, banyak unsur yang dapat dilihat sebenarnya diwarisi dari model terdahulu Compagno ini.

    Bagi enjin, ia menggunakan enjin 1.0 liter turbocaj, dengan pilihan enjin 1.2 liter hibrid. Di dalam ucapan pembukaannya, Presiden Daihatsu, Soichiro Okudaira ada menyebut bahawa hibrid dan teknologi elektrik akan menjadi teras utama masa depan Daihatsu. Ini sesuatu yang baru bagi Daihatsu, kerena syarikat itu sebelum ini pun memang mengeluarkan antara kenderaan paling cekap tenaga dan “hijau”.

     
     
  • Tokyo 2017: Mazda Vision Coupe – masa depan Kodo

    Tokyo 2017: Mazda Vision Coupe – masa depan Kodo

    Pendekatan rekaan Kodo – Soul of Motion telah menjadi sangat sinonim dengan jenama itu sejak model konsep Shinari muncul pertama kali lebih setengah dekad lalu. Kini, rekaan itu dilanjutkan lagi kepada generaasi berikutnya, menjelma sebagai Mazda Vision Coupe, yang akan membuat penampilan sulung di Tokyo Motor Show 2017.

    Model konsep coupe empat-pintu ini menjadi penanda awal kepada Mazda, mempamerkan rekaan dengan estetika minimalistik dalam bentuk ringkas bagi rekaan-rekaan kenderaan akan datang dari jenama itu. Di depan, gril Mazda yang kita kenali sebelum ini dilebarkan, dengan “sayap” dihujungnya yang dilanjutkan hingga ke lampu utama.

    “Sayap” yang sama turut menempatkan lampu LED tirus yang berfungsi sebagai lampu isyarat serta DRL. Dua seksyen cengkung di tepi turut kelihatan mengapit gril, menyerlahkan lagi keberadaannya. Dua “bilah” kecil turut menghiasi di bahagian bawahnya.

    Tokyo 2017: Mazda Vision Coupe – masa depan Kodo

    Dengan keringkasan menjadi matlamat utama, bonet dan bahagian fender hadapan menerapkan garis yang lebih ringkas juga berbanding model Mazda terdahulu, termasuk yang dapat dilihat pada RX-Vision Concept pada 2015. Dilihat dari sisi pula, rekaan ini ternyata mengikuti nisbah klasik yang selalu ada pada sebuah rekaan coupe; bonet yang panjang dan bahagian kabin terletak lebih hampir kepada bahagian belakang badannya.

    Satu garis yang menonjol membantu menghadirkan karekter tersendiri yang lebih kuat pada imejnya, bermula dari logo pada gril, dibawa ke bahagian logo di belakang. Ciri lain dari aspek rekaan di luar ialah corong sisi yang terletak pada lengkung roda hadapan.

    Perubahan cahaya dan bayang seperti yang dapat dilihat antara roda depan 21 inci dan roda belakang 22 inci mula dikenali sebagai “vortex effect”. Menurut Pengarah Urusan Eksekutif dan ketua pereka Mazda, Ikuo Maeda, lengkung kecil untuk menghasilkan rupa berkenaan memerlukan beberapa model tanah liat digunakan, dibantu oleh simulasi komputer untuk melihat bagaimana cahaya jatuh ke badan kenderaan.

    Tokyo 2017: Mazda Vision Coupe – masa depan Kodo

    Bahagian belakang banyak mewarisi rekaan konsep dari RX-Vision, dengan sedikit perubahan bagi menepati arah tuju baru rekaannya. Lampu belakang terdiri daripada lampu bulat tunggal disetiap sisi, dan tiada lagi spoiler rata digunakan. Ia diganti dengan lampu melintang LED (juga berfungsi sebagai lampu isyarat), yang disepadukan ke dalam “garis bayangan” ke arah logo yang ada.

    Bagi ruang dalamannya yang memberi lebih tumpuan kepada pemandu, Maeda menjelaskan rekaan terbaru ini mengikuti konsep senibina tradisional Jepun yang dikenali sebagai ma – “penggunaan ruang yang sangat teliti untuk membangkitkan suasana”.

    Ini dapat dilihat pada penggunaan ruang yang disengajakan pada kawasan panel instrumen, kemasan pintu serta konsol tengah. Ini sekali lagi melambangkan estetika minimalistik yang menjadi arah baru Mazda. Selain itu, penggunaan material berkualiti juga dapat dilihat pada keseluruhan kabin.

     
     
  • Nissan Serena e-Power – MPV elektrik Range Extender

    Nissan Serena e-Power – MPV elektrik Range Extender

    Nissan Serena e-Power baru sahaja didedahkan lebih awal daripada penampilan rasminya di Tokyo Motor Show. Ini adalah variasi tambahan baru bagi model MPV Jepun tersebut, dan menampilkan sistem pacuan elektrik range extender terbaru jemama itu, yang turut digunakan buat pertama kali pada Note e-Power.

    Masih belum ada perincian tepat yang dikeluarkan secara rasmi untuk MPV ini, tetapi ia diberitahu menggunakan motor elektrik sebagai pemacu utama. Tetapi, sebagai ganti kepada kebergantungan terhadap pek bateri yang perlu dicas, e-Power ini sebaliknya menggunakan enjin petrol untuk mengecas kembali baterinya.

    Bermakna, pemilik masih perlu mengisi minyak untuk mengecas bateri tersebut, dan ia juga membenarkan penggunaan pek bateri yang lebih kecil supaya tidak berkompromi dengan pakej bahagian dalam kenderaan. Enjin petrol tersebut digunakan hanya untuk mengecas bateri sahaja dan tidak bersambung langsung dengan tayar.

    Nissan Serena e-Power – MPV elektrik Range Extender

    Menurut Nissan, Serena e-Power dapat menawarkan “pecutan responsif dan berkuasa sebuah kenderaan paucan elektrik, bersama kesenyapan dan kecekapan penggunaan bahan api yang menjangkaui kelasnya.”

    Perubahan visual pada kenderaan ini adalah sangat minimal, dengan hanya terdapat sedikit kemasan biru di gril hadapan, lampu belakang LED serta rim aluminiumnya. Kemasan biru ini juga digunakan pada bahagian dalam, yang turut menampilkan penggunaan tempat duduk jenis ‘captain‘.

    Serena e-Power direncana untuk memasuki pasaran Jepun pada suku kedua tahun hadapan, lengkap dengan ciri teknologi pemanduan autonomous ProPilot satu lorong.

    GALERI: Nissan Serena 2017 (JDM)

     
     
  • Hyundai Tucson Sport Vaccar Concept di SEMA 2017

    Hyundai Tucson Sport Vaccar Concept di SEMA 2017

    Untuk pameran SEMA tahun ini, Hyundai telah bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Ohio, iaitu Vaccar untuk menghasilkan Tucson Sport Concept seperti yang boleh dilihat dalam gambar. Model ini menggunakan asas daripada crossover Tucson Sport, tetapi dibuah suai secara menyeluruh.

    Bermula pada bahagian luar, warna yang anda lihat itu adalah warna Blue Metallic yang boleh bertukar tona, dan dihiasi dengan beberapa bahagian berwarna kelabu. Lip hadapan, side skirt dan diffuser belakang adalah unit daripada Vaccar sendiri manakala gril hadapan adalah daripada M&S. Turut dipasang adalah lampu jenis LED RGB Diode Dynamic.

    Bukan sekadar penampilan, bahagian enjin Tucson Sport ini turut dinaik taraf dengan pengecas turbo Boostec, blow-off R50, sistem pengudaraan dan paip AEM, intercooler Mishimoto G-Line, oil-catch tank VMS Racing, peredam bunyi Magnaflow Performance, bateri XS Power D Series 3400 dan minyak serta penapis AMSOil Signature Series.

    Pada bahagian casis pula, peningkatan yang diberi melibatkan rim Concept One 20×9.5 inci, tayar Continental ExtremeContact Sport 255/35R20, pakej brek Vaccar-Power Stop di hadapan dan Z23 Evolution di belakang, nat tayar VMS Racing serta suspensi coilover Vaccar-Gecko G-Street.

    Pada bahagian dalam, ia dilengkapi dengan balutan kulit warna kelabu dan jahitan biru, meter boost dan nisbah minyak/angin AutoMETER, head unit Vaccar dengan platform Android dan skrin sembilan inci, skrin sembilan inci di penyandar kepala untuk penumpang belakang, subwoofer 12 inci Picasso dan. amplifier Nano 520w Class D 4-channel.

     
     
  • MBPJ pasang CCTV untuk perhatikan kesalahan trafik

    MBPJ pasang CCTV untuk perhatikan kesalahan trafik

    Sebagai langkah untuk memastikan keselamatan, terutama sekali bagi mengawal aliran trafik dan menghindarkan kecurian kecil, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini memasang 22 unit kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar. Ini ditambah pula dengan 24 unit kamera yang dipasang oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta 60 kamera milik kerajaan Selangor.

    Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain melakukan demonstrasi sistem kamera berkenaan di dalam satu acara bersama media. Beliau menerangkan bagaimana sistem itu berfungsi, yang mana turut melibatkan penggunaan pembesar suara bagi hebahan awam serta menunjukkan tinjauan masa nyata dari kamera-kamera berkenaan – bagi kawasan sekitar Seksyen 52, Petaling Jaya.

    Menurut Azizi, kamera-kamera berkenaan digunakan terutamanya bagi meninjau keadaan trafik, terutama bagi kelakuan meletak kereta sebarangan di kawasan itu. Sistem itu membolehkan pegawai penguatkuasa bergegas ke lokasi yang spesifik untuk menghalang perkara itu daripada berlaku dan mengelakkan kesesakan.

    Semua kamera dapat diperhatikan dari sebuah bilik kawalan yang terletak di tingkat 22, Menara MBPJ, yang akan menanyalurkan arahan serta maklumat kepada pegawai bertugas. CCTV berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MBPJ, manakala maklumat itu turut dikongsi bersama ibupejabat PDRM Petaling Jaya.

     
     
  • Isuzu D-Max facelift 2018 untuk Thailand bulan depan?

    Isuzu D-Max facelift 2018 untuk Thailand bulan depan?

    Ada khabar angin yang bertiup, bahawa Isuzu D-Max 2018 versi facelift akan muncul di Thailand bulan depan, kemungkinan ketika Thai Moto Expo 2017 yang akan berlangsung pada penghujung November. Ini seperti yang dinyatakan oleh sebuah laman web Thai, headlightmag, yang turut melaporkan model Toyota Hilux juga akan menerima kemaskini dalam waktu yang hampir sama.

    Trak pikap popular oleh Isuzu yang kini dalam generasi keduanya, pertama kali diperkenalkan pada 2011, sebelum diberi penambahbaikan dipertengahan kitaran hayatnya pada 2015. Kalau berita ini benar, facelift terbaru itu nanti akan jadi yang kedua dalam tempoh dua tahun – bertujuan untuk membuatkan model berkenaan segar semula dan mampu bertahan dalam pasaran, merebut perhatian dari pesaingnya.

    Laporan berkenaan menyatakan D-Max 2018 itu akan menerima sedikit perubahan penampilan di bahagian depan, termasuk pengenalan warna baru. Pilihan enjin akan kekal sama (pasaran Thailand menerima enjin serba baru 1.9 liter Ddi turbodiesel pada 2015), tetapi diharap akan menerima peningkatan ciri keselamatan – ketika ini beg udara yang disediakan hanya dua, baik di sana atau di Malaysia.

     
     
  • Ford Mustang 2018 – tujuh model ubah suai di SEMA

    Ford Mustang 2018 – tujuh model ubah suai di SEMA

    Tujuh model Ford Mustang 2018 yang diubah suai khas akan dibawa ke pameran SEMA yang akan berlangsung di Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat. Kebanyakan daripadanya menggunakan enjin V8 5.0 liter yang diubah suai dengan suercharger atau turbocharger, tetapi ada juga yang menggunakan enjin 2.3 liter EcoBoost.

    Model pertama yang menggunakan warna putih berserta grafik jalur hijau adalah hasil daripada MAD Industries, dan model yang menggunakan enjin 2.3 liter EcoBoost ini dipasang dengan ekzos Borla, suspensi coilover, sway bar yang dipertingkat dan rim Niche Staccato 20 inci.

    Seterusnya adalah hasil kerja Roush, yang keseluruhan kereta menggunakan warna hijau, bersama rim 20 inci berwarna emas. Kenderaan ini dikuasakan oleh enjin V8 5.0 liter supercharged berkuasa 729 hp dan mempunyai beberapa salur udara termasuk di atas hud. Kit badan yang digunakan adalah keluaran Roush sendiri, dan ia ditambah dengan pelbagai aksesori gentian karbon, tempat duduk Recaro dan roll-cage.

    Mustang yang diubah suai oleh Tucci Hot Rods nampak ganas dengan warna kelabu dan enjin V8 5.0 liter padanya diubah suai dengan dua unit turbo, untuk menghasilkan laju maksimum sehingga 321 km/j. Pelbagai perubahan dilakukan pada kita badannya dan ia turut dilengkapi dengan suspensi udara, driveshaft dan gandar belakang G-Force, sway bar dari Ford Performance dan brek Wilwood Aero.

    Sebuah lagi Mustang convertible (warna hitam) adalah hasil daripada Speedkore. Ia datang dengan motto “interpretasi moden sebuah roadster klasik Amerika” dan dilihat menggunakan cat khas dan kemasan gentian karbon, manakala enjin pula adalah unit V8 5.0 liter yang dipadankan dengan kotak gear 10 kelajuan.

    Pelumba profesional terkenal, Brad Deberti turut menyumbangkan kepakaran dengan mengubah suai sebuah Mustang untuk dibawa ke SEMA. Kereta beliau mempunyai hud baru, kit badan lebar dan rim Forgato 20 inci. Enjin V8 5.0 liter supercharge yang diguna dipadankan bersama ekzos Borla dan kuasa disampaikan melalui kotak gear manual enam kelajuan. Suspensi belakang pula kini menggunakan unit daripada Watson Racing.

    Mustang hasil kerja Air Design (warna perak) nampak lebih kemas, tidak begitu menonjol, tetapi masih garang. Bampar, side skirt serta diffuser pada kenderaan ini adalah baru, dan ia dipacu oleh enjin 2.3 liter EcoBoost serta dilengkapi dengan tempat duduk Recaro dan brek Wilwood.

    Mustang yang menggunakan penampilan sebuah kereta polis tersebut adalah hasil daripada DRAGG yang bermaksud Drag Racing Against Gangs and Graffiti. Selain lampu serta siren, kereta ini juga direndahkan, mempunyai splitter di hadapan, rim 20 inci Velgen, salur udara Air Raid dan ekzos Borla.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026