Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • HSR: Stesen tambahan di Forest City diteliti – SPAD

    HSR: Stesen tambahan di Forest City diteliti – SPAD

    Pemaju projek Forest City di Johor sebelum ini dilaporkan melobi kerajaan untuk membina stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura di kawasan berkenaan yang dilihat mampu memberi impak terhadap pembangunan di situ.

    Walau bagaimana pun, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) masih mengkaji keperluan membina stesen di Forest City, laporan Bernama.

    Menurut CEO SPAD,Mohd Azharuddin Mat Sah, keputusan penambahan stesen itu belum dimuktamadkan dan keputusan akhir akan dibuat kerajaan.

    “SPAD sedang mengkaji dengan teliti perkara ini, kalau ada keperluan kami akan buat cadangan dan kerajaan yang akan buat keputusan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Buat setakat ini, HSR yang disasarkan beroperasi pada 2026, akan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura. Projek sepanjang 350 km itu akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan melebihi 300 km sejam.

     
     
  • EzCab tambah pilihan MPV Toyota enam tempat duduk

    EzCab tambah pilihan MPV Toyota enam tempat duduk

    Bagi memenuhi permintaan pelanggan yang memerlukan kenderaan bersaiz besar, EzCab mengembangkan barisan kenderaannya untuk menyertakan sekali MPV enam-tempat duduk Toyota seperti Alphard dan Vellfire.

    “Kami kerap menerima permintaan terutama dari pengguna yang mahukan kenderaan yang lebih besar, untuk memenuhi keperluan dan keselesaan perjalanan mereka. Untuk itu, kami sangat berbesar hati untuk memperkenalkan ExCab (enam-tempat duduk),” ujar Pengarah Eksekutifnya, Nor Aleeshah binti Abdullah.

    Perkhidmatan terbaru ini boleh dicapai melalui aplikasi EzCab, dan harga yang dikenakan adalah kompetitif – setara harga perkhidmatan limosin sedia ada di negara ini. Sempena pelancarannya, potongan harga RM50 ditawarkan bagi semua EzCab enam-tempat duduk ini bagi perjalanan di Lembah Klang bermula 15 Oktober 2017.

    Pengguna boleh menempah perkhidmatan ini minimum tiga jam sebelum waktu yang diinginkan serta bayaran yang dikenakan sudah termasuk bayaran tol. Bagi yang memerlukan kenderaan yang lebih besar, EzCab lapan-tempat duduk akan diperkenalkan Disember nanti.

     
     
  • Skandal Kobe Steel – Honda, Mazda sahkan tiada isu

    Skandal Kobe Steel – Honda, Mazda sahkan tiada isu

    Baru-baru ini, pengeluar logam dari Jepun, Kobe Steel hangat diperkatakan selepas terlibat dalam satu skandal mengejut. Di mana syarikat tersebut dilaporkan memalsukan data berkenaan kualiti aluminium dan tembaga yang dibekalkan kepada pelanggan-pelanggan mereka sejak 10 tahun yang lalu. Skandal ini turut memberikan impak terhadap industri automotif kerana Kobe Steel merupakan pembekal logam kepada sejumlah pembuat kenderaan dari Jepun.

    Enam pengeluar kenderaan terkemuka dari Jepun; Nissan, Toyota, Honda, Mazda, Mitsubishi dan Subaru terlibat dalam menggunakan material yang dibekalkan oleh Kobe Steel bagi penghasilan produk mereka.

    Semalam, Toyota mengumumkan material yang dibekalkan oleh Kobe Steel kepada mereka tidak mempunyai sebarang masalah. Menurut Toyota, setelah disiasat, bahan aluminiun yang dibekalkan oleh Kobe Steel kepada mereka yang digunakan untuk membuat bonet hadapan, pintu belakang, serta bahagian-bahagian sisi kenderaan telah memenuhi standard dalaman mereka sendiri – dari segi keselamatan dan ketahanan.

    Terkini, menurut Reuters, Honda Motor Co dan Mazda Motor Co turut mengesahkan material aluminium dari Kobe Steel yang digunakan untuk membuat bonet dan bahagian luar lain bagi kenderaan mereka adalah selamat. Walaupun plat aluminium itu di luar spesifikasi pengeluar kereta berkenaan, namun ia masih selamat untuk digunakan. Aluminium terbabit dibekalkan dalam bentuk helaian dan digunakan di bahagian luaran.

    Aluminium menjadi bahan yang semakin popular bagi pengeluar kereta untuk digunakan dalam bahagian badan kerana lebih ringan daripada keluli, dan dapat meningkatkan kecekapan bahan bakar.

     
     
  • Audi A7 Sportback 2018 – semua model dijana hibrid

    Audi A7 Sportback 2018 – semua model dijana hibrid

    Audi akhirnya telah mendedahkan A7 Sportback generasi kedua, yang menampilkan banyak teknologi bantuan pemandu terkini jenama itu, seperti yang digunakan pada model Audi A8. Pada aspek rupa, A7 ini mengekalkan bentuk Sportback seperti sebelum ini, tetapi bahagian lain kebanyakannya adalah baru.

    Pada muka hadapannya, gril Singleframe unik Audi kini lebih lebar dan terletak lebih rendah berbanding A8, manakala lampu utamanya pula lebih kemas. Ia boleh didapati dalam tiga versi iaitu LED, Matrix LED dan Matrix LED dengan lampu lazer. Bagi dua lampu Matrix tersebut, ia menggunakan 12 baris LED tersendiri dengan lampu dinamik. Pencahayaan biasa (lampu rendah) dilakukan oleh projector LED berkembar manakala teknologi lazer pula digunakan untuk lampu tinggi.

    Keseluruhan bahagian belakang adalah baru, dan menurut Audi, ia dibentuk untuk kelihatan seperti kapal layar. Di dalam penutup but tersebut terdapat spoiler elektronik yang boleh naik secara automatik pada kelajuan 120 km/j (seperti model TT). Lampu belakang yang lebih panjang kini menampilkan unit LED dengan beberapa variasi pencahayaan.

    Audi A7 Sportback 2018 – semua model dijana hibrid

    Audi menawarkan sehingga 15 pilihan warna untuk kenderaan ini, dan lapan daripadanya adalah baru – dengan saiz rim sehingga 21 inci. Dimensi A7 baru ini hampir sama seperti model sebelum ini – panjang 4,969 mm (sama seperti sebelum ini), lebar 1,908 mm (-3 mm), tinggi 1,422 mm (2 mm lebih rendah) dan jarak roda 2,926 mm (-12 mm). Seperti biasa, pakej S Line disediakan sebagai pilihan, dengan kemasan hitam berkilat pada gril, salur udara hadapan, tepi serta diffuser.

    Walaupun bahagian luar kelihatan hampir sama, bahagian kabin pula melihatkan perubahan yang lebih jelas. Kini A7 baru mempunyai roda stereng tiga cabang yang dibalut kulit, siap dengan butang kawalan, Audi Virtual Cockpit dengan skrin 12.3 inci, serta pad sesentuh untuk mengawal ciri tertentu, menggantikan tombol pada model sebelum ini.

    Bahagian tengah papan pemuka kini menempatkan dua skrin sesentuh – yang di atas berukuran 10.1 inci dan disengetkan ke arah pemandu supaya mudah dilihat dan boleh ‘lenyap’ apabila ditutup. Di bawah pula terdapat skrin sesentuh 8.6 inci untuk mengawal suhu, pemanas tempat duduk, lane keep assist dan ciri start/stop enjin. Ia juga boleh diguna sebagai pad sesentuh untuk memasukkan input teks. Di bawah padanya anda boleh melihat penukar gear elektronik.

    Radio MMI datang secara standard, tetapi ia boleh dinaik taraf kepada MMI Navigation dan MMI Navigation Plus dengan sedikit bayaran tambahan. Pengguna juga disediakan dengan empat pilihan sistem bunyi – paling tinggi adalah Bang & Olufsen Advanced Sound System dengan bunyi 3D.

    Semasa pengenalannya, A7 ditawarkan dengan enjin V6 3.0 liter twin-turbo yang berkuasa 340 hp dan 500 Nm tork. Ia dipadankan bersama transmisi tujuh kelajuan S Tronic dan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j. Semua enjin yang ditawarkan pada A7 ini akan mendapat bantuan tenaga elektrik melalui sistem MHEV (mild hybrid).

    Dalam sistem hibrid MHEV ini terdapat sistem elektrikal 48 volt, dan menurut Audi, ia boleh menurunkan penggunaan bahan api sebanyak 0.7 l/100 km, sekaligus menjadikan tahap penggunaan bercampur 6.8 l/100 km. Enjin lain yang akan ditawarkan seterusnya adalah termasuk empat silinder, enam silinder, petrol dan diesel. Model S dan RS pula akan ditawarkan dengan enjin V8 4.0 liter twin turbo.

    Audi A7 Sportback 2018 – semua model dijana hibrid

    Pelanggan juga boleh memilih empat tetapan suspensi; hidraulik biasa dengan spring besi, suspensi sport (lebih rendah 10 mm), penyerap kawalan elektronik atau suspensi udara adaptif. Tindak balas stereng juga mempunyai nisbah yang lebih pantas, dan boleh menjadi lebih pantas dalam mod Sport. Pilihan lain yang disediakan adalah stereng semua roda, Electronic Chassis Program (ECP) dan sports differential.

    Akhir sekali, A7 Sportback turut dilengkapi dengan Audi AI, yang dibahagikan kepada tiga pakej; Audi AI Parking Pack, City Assist Pack (dengan ciri Crossing Assist) dan Tour Assist Pack (lengkap dengan Efficiency Assistant dan Adaptive Driving Assistant). Pemilik juga boleh meletakkan A7 dengan hanya menggunakan aplikasi telefon. Bergantung kepada varian, kereta ini boleh dilengkapi sehingga lima pengesan radar, lima kamera, 12 pengesan ultrasonik dan pengimbas lazer.

     
     
  • Mercedes-AMG G 65 Final Edition – 65 unit terakhir

    Mercedes-AMG G 65 Final Edition – 65 unit terakhir

    Mercedes-AMG G 65 bukan calang-calang kenderaan pacuan empat roda. Dan, tidak hanya estetika rekaannya sahaja yang menjadi daya penarik; yang tersimpan di bawah bonetnya juga menjadi senjata utama. Ia adalah enjin V12 buatan tangan 6.0 liter – dengan kemampuan janaan kuasa sebanyak 621 hp dan 1,000 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat, dan kelajuan maksimum yang mampu dicapai ialaj 230 km/j.

    Tetapi, semua perkara baik pasti akan tiba ke penghujungnya; AMG akan menghentikan pengeluaran model G-Wagon berkenaan tidk lama lagi. Sebagai persembahan terakhir, 65 unit model berkenaan dalam edisi khas Final Edition akan diperkenalkan. Hanya 65 unit untuk seluruh dunia, dan dijual pada harga 310,233 Euro (RM1,549,334).

    Untuk duit sebanyak itu, apa yang akan diperoleh ialah enjin V12 seperti yang dinyatakan, dengan padanan transmisi AMG Speedshift Plus 7G-Tronic serta sistem pacuan empat roda sepenuh masa. Dengan ketinggian kelegaan tanah, model ini memang boleh melepasi banyak halangan dalam permukaan yang mencabar.

    Antara ciri yang perlu dinyatakan ialah kemampuan meredah air atau lumpur sedalam 60 cm, memanjat dengan keadaan permukaan yang hanya 80% normal, pemanduan stabil pada sudut 28°, sudut mula bergerak pada kadar 27° dan sudut ideal breakover pada 22°.

    Versi Final Edition ini turut dilengkapi denga rim 21-inci dalam warna gangsa, kaliper brek warna perak serta kemasan AMG Sport di bahagian tepi. Perincian lain termasuk kemasan warga gangsa kesar pada bahagian pelapik bawah, elemen pada bampar, keliling gril serta cermin sisi. Ini dipadankan dengan kemasan hitam misalnya pada gril, hujung ekzos dan pada ciri penampan luaran.

    Walaupun nampak garang dari luar, ruang kabin sebenarnya kekal dengan pendekaran mewah, sama seperti yang ada pada model G kebiasaannya. Ia dilengkapi pakej Exclusive dengan penggunaan kulit Nappa serta kesan visual gentian karbon. Stereng pula adalah dari AMG Performance, serta perincian yang khusus bagi edisi ini yang tertera di beberapa tempat.

     
     
  • Petronas perbaharui menu kombo Morning@Mesra

    Petronas perbaharui menu kombo Morning@Mesra

    Petronas Dagangan Berhad (PDB) telah memperkenalkan set kombo sarapan pagi yang diperbaharui, Morning@Mesra, yang dilancarkan awal tahun ini. Berharga RM5, kini telah pun ditawarkan di lebih 450 stesen Petronas yang mengambil bahagian di seluruh negara.

    Di samping set kombo sedia ada iaitu nasi lemak dan Nescafé, pelanggan kini boleh memilih lebih banyak menu termasuk nasi kerabu, mee goreng dan bihun goreng. Inisiatif ini turut membantu pembekal tempatan dan perusahaan kecil hingga sederhana (SME) untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka, serta semua menu dibekalkan oleh pembekal terpilih bagi memastikan kualitinya terjamin.

    “Set Morning@Mesra tambahan terkini merupakan menu makanan tempatan kegemaran para pelanggan dan pastinya menepati citarasa ramai. Kami sangat mengalu-alukan maklumbalas positif daripada para pelanggan dan dengan ini kami dapat mempertingkatkan lagi menu yang disediakan,” ujar ketua perniagaan runcit Aadrin Azly.

    Petronas perbaharui menu kombo Morning@Mesra

    Bermula sekarang sehingga 15 November ini, pelanggan yang membeli lima combo Morning@Mesra bakal menerima baucer diskaun Lazada sebanyak 10% sehingga RM15. Manakala pelanggan Digi pula boleh membeli pek kombo ni pada harga 99 sen dengan memuat turun Superdeal menerusi aplikasi MyDigi (terhad satu tawaran untuk setiap orang) dan hanya di stesen Petronas Mesra yang mengambil bahagian sahaja.

    Untuk mempromosikan produk ini, PDB turut memberikan kombo sarapan pagi percuma kepada beberapa kasawan di luar Lembah Klang, bermula dengan Raub pada 9 Oktober lalu, manakala yang seterusnya di Bintulu pada 27 Oktober ini.

     
     
  • Kilang Holden di Australia tutup, akhiri produksi jenama tempatan berkenaan selepas 161 tahun

    Kilang Holden di Australia tutup, akhiri produksi jenama tempatan berkenaan selepas 161 tahun

    Hari ini, 20 Oktober 2017 merupakan hari dengan sejarah pahit buat rakyat Australia, khususnya buat peminat automotif di sana kerana jenama yang berasal dari negara berkenaan – Holden – secara rasmi telah menutup operasi kilang di tanah kelahirannya, sekaligus menamatkan operasi produksi selama 161 tahun. Kereta terakhir yang keluar dari kilang Elizabeth jenama tersebut iaitu sebuah Holden Commodore SS-V Redline berwarna merah pada pukul 10.45 pagi tadi (waktu Australia) akan disimpan oleh Holden sendiri sebagai salah sebuah kereta dalam koleksi warisan sejarah syarikat tersebut, menurut laporan CarAdvice.

    Untuk pengetahuan anda, jenama ini telah diasaskan oleh James Alexander Holden pada 1856, tetapi ketika itu syarikat tersebut merupakan pengeluar bagi produk-produk kulit dan pelana. Ia terus berkembang sebagai pembuat side car untuk motosikal dan membuat kerangka badan kereta pada tahun 1905, dan kemudian membekalkan kereta tram untuk Melbourne pada era 20’an.

    Pada tahun 1924, Holden mula menjadi pengedar kenderaan dari Amerika, General Motors di Australia. Manakala pada 1931, General Motors dan Holden digabungkan bagi membentuk General Motors-Holden’s Limited (GM-H). Holden mula mengeksport keretanya ke New Zealand pada tahun 1953 dan syarikat tersebut benar-benar menyerlah pada tahun 1958 apabila 40 peratus dari keseluruhan kereta di Australia adalah dari Holden

    Kilang Holden di Australia tutup, akhiri produksi jenama tempatan berkenaan selepas 161 tahun

    Holden memperkenalkan model FB pada tahun 1960, dan ia merupakan Holden pertama yang turut di bina dalam versi pemanduan sebelah kiri. FB merupakan produk global Holden yang dieksport ke Afrika, Asia Tenggara, Timur Tengah dan juga Kepulauan Pasifik. Dua tahun kemudian, Holden mencatatkan produksi melebihi satu juta unit bagi kenderaan di Australia dan juga di seluruh dunia.

    Holden terus kekal jenama yang mendominasi pasaran Australia sepanjang era 70’an dengan barisan kereta-kereta dengan enjin enam- dan lapan-silinder, walaupun Toyota telah mula menyerang pasaran tersebut dan Ford Australia mula membina model Falcon. Namun, penguasaan Holden dilihat mula jatuh pada era 80’an di mana jualan Ford Falcon mula mengatasi jualan Holden Commodore untuk enam tahun bertutur-turut (1980-1986).

    Walaupun Holden dilihat kembali mendaki pada separuh dekad era 80’an, jenama tersebut kemudian diancam pula oleh Toyota pada era 90’an. Walau bagaimanapun, model Commodore masih lagi gagah pada ketika itu, di mana VT Commodore yang diperkenalkan pada tahun 1997 merupakan model Commodore paling berjaya dengan jumlah jualan melebihi 300,000 unit dalam masa tiga tahun.

    Kilang Holden di Australia tutup, akhiri produksi jenama tempatan berkenaan selepas 161 tahun

    Detik kejatuhan Holden benar-benar dapat dilihat pada era Y2K apabila bahagian pasarannya jatuh 15% pada tahun 2006, setelah pelaburan sebanyak $400 juta di buat pada kilang enjin V6 miliknya yang terletak di Port Melbourne (kilang tersebut telah ditutup sepenuhnya tahun lalu).

    Kedudukan Holden semakin meruncing ketika era Krisis Kewangan Dunia yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang menjejaskan jualan eksportnya, seterusnya memburukkan lagi keadaan kewangan syarikat tersebut. Akhirnya, VF Commodore yang dilancarkan pada tahun 2013 disahkan sebagai Commodore terakhir yang akan dihasilkan di Australia.

    Walaupun kilang produksi Holden di Australia ditutup, jenama tersebut masih lagi wujud di negara asalnya. Sebanyak 20 model-model baharu dirancang untuk diperkenalkan sebelum tahun 2020, dan kereta-kereta tersebut akan diimport dari kilang-kilang GM lain di luar Australia. Selain Holden, kilang Ford Australia yang telah beroperasi selama 91 tahun juga telah ditutup tahun lalu, diikuti kilang Toyota Altona pada awal bulan ini menamatkan operasi produksi Toyota selama 54 tahun di negara berkenaan.

     
     
  • Menara parkir mekanikal automatik dilancarkan di KL – ciptaan tempatan, guna teknologi Jepun

    Menara parkir mekanikal automatik dilancarkan di KL – ciptaan tempatan, guna teknologi Jepun

    Masalah kawasan parkir yang tidak mencukupi sering kali menjadi isu, terutamanya di bandar-bandar besar termasuk di ibu kota Kuala Lumpur. Waima, kerajaan sangat menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan masyarakat, namun masih ramai di antara kita yang lebih gemar menggunakan kenderaan peribadi. Maka, pelbagai alternatif dilakukan termasuk membina bangunan parkir bertingkat.

    Justeru, usaha daripada MA Intelligent Parking (M) Sdn Bhd (MAIP) bagi menyediakan parkir bertingkat dengan teknologi termaju wajar dipuji. Terbaru, syarikat ini melancarkan menara ikonik tempat letak kereta mekanikal automatik (MAPS) bertaraf premier serta paling moden di Malaysia dengan kerjasama dan kepakaran teknologi dari Jepun, laporan Harian Metro.

    Menurut CEO Kumpulan MAIP, Datuk Seri Dr Muhammad Isa Kasim, menara setinggi 24 tingkat yang terletak di Jalan Tun Abdul Razak ini didirikan di atas tanah berkeluasan 0.4 hektar dan mampu memuatkan 199 tempat letak kereta. Ia menggunakan lif untuk membantu meletak kenderaan di tapak yang telah ditetapkan selepas pembayaran dibuat di mesin yang disediakan.

    “Kami bekerjasama dengan Nissei Build Kogyo Co Ltd bagi membina menara tempat letak kereta yang berkonsepkan mesra pelanggan dan menepati kehendak pengguna. Menara ini menggunakan teknologi Jepun iaitu Sistem Parkir Bertingkat Berintegrasi yang membabitkan perkhidmatan valet, parkir bulanan dan parkir premium,” ujarnya dalam majlis pelancaran MAPS semalam.

     
     
  • Volkswagen tunjuk teaser kereta lumba elektrik Pikes Peak 2018 – kuasa elektrik penuh, pacuan empat roda

    Volkswagen tunjuk teaser kereta lumba elektrik Pikes Peak 2018 – kuasa elektrik penuh, pacuan empat roda

    Transformasi Volkswagen ke arah kenderaan elektrik bukan sahaja untuk kereta biasa mereka, malah juga melibatkan sukan permotoran yang diceburi. Cabang sukan permotoran syarikat itu, Volkswagen Motorsport telah mengeluarkan sebuah teaser untuk kereta elektrik penuh prototaip yang dibangunkan untuk mencatat rekod baru semasa perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb di Colorado.

    “Pikes Peak Hill Climb adalah salah satu perlumbaan yang paling dikenali di seluruh dunia. Ia memberikan cabaran yang begitu sukar, sekaligus menjadi tempat yang sesuai untuk menunjukkan kemampuan teknologi akan datang,” kata salah seorang ahli lembaga yang terlibat dalam bahagian pembangunan kenderaan itu, Frank Welsch.

    “Kereta lumba elektrik kami akan dilengkapi dengan teknologi bateri dan pemanduan yang inovatif. Ujian tekanan ekstrem semasa Pikes Peak akan memberikan kami banyak maklumbat penting yang boleh memberi manfaat kepada pembangunan masa hadapan, dan ia akan menunjukkan produk serta teknologi terbaru kami,” tambah beliau.

    Ini adalah kali pertama Volkswagen Motorsport membangunkan sebuah kereta lumba elektrik penuh dan kereta ini akan menampilkan sistem pacuan empat roda untuk berhadapan perlumbaan mendaki sejauh 19.99 km itu.

     
     
  • Toyota Concept-i Ride dan Concept-i Walk didedah

    Toyota Concept-i Ride dan Concept-i Walk didedah

    Awal tahun ini semasa pameran CES 2017, Toyota telah menunjukkan Concept-i yang disasarkan untuk menjadi pengangkutan pada masa hadapan. Kini, syarikat pengeluar kenderaan dari Jepun itu telah menambah lagi barisan kenderaan pintar ini dengan model Concept-i Ride dan Concept-i Walk, yang akan membuat penampilan semasa Tokyo Motor Show minggu hadapan.

    Bagi Concept-i Ride, ia adalah sebuah pod penggerak dua tempat duduk yang direka untuk pengguna kerusi roda. Kereta kecil ini menampilkan pintu terbuka ke atas, seterusnya memberikan akses yang mudah kepada pemandu, dengan kerusi yang boleh melungsur ke arah luar. Pintu ini juga boleh membantu sewaktu membawa naik/keluar kerusi roda dan ia boleh disimpan di bahagian belakang kerusi pemandu.

    Pengawal biasa seperti roda stereng dan pedal telah diganti dengan joystick, dan sistem bantuan pemandu seperti meletak kereta sendiri boleh digunakan pada kelajuan rendah. Satu ‘Ejen AI’ diletakkan pada panel paparan digital di bahagian hadapan untuk memberikan maklumat penting untuk pengguna kerusi roda seperti di mana kawasan yang mesra kerusi roda.

    Sebuah lagi adalah Concept-i Walk, yang seperti sebuah skuter tiga tayar dan menurut Toyota, mempunyai saiz seperti seorang pejalan kaki. Ejen AI yang diberitahu tadi juga ada pada skuter ini, dan bekerja sama dengan pengesan padanya untuk memastikan keselamatan penunggang, memberi amaran sekiranya ada bahaya dan mengelak bahaya secara sendiri. Jarak roda hadapan dan belakang juga boleh ubah bergantung kepada kelajuan untuk menambah kestabilannya.

    Skuter ini bukan seperti Segway, dan ia tidak memerlukan pengalihan berat untuk dikawal. Sebaiknya, ia lebih mudah dengan adanya joystick. Lantai yang rendah membolehkan pelbagai jenis penunggang menggunakannya, termasuk kanak-kanak, orang tua dan perempuan yang memakai skirt.

    Toyota juga memberi gambaran servis perkongsian kenderaan untuk Concept-i Ride dan Concept-i Walk, yang seterusnya memberi akses lebih mudah kepada penggerak serba boleh, dan ia hampir sama seperti servis Care by Volvo oleh Volvo. Untuk Concept-i Walk, contoh yang diberi adalah sebagai servis penggerak jarak dekat di antara khidmat pengangkutan lain.

    GALERI: Toyota Concept-i Ride


    GALERI: Toyota Concept-i Walk

     
     
  • Toyota Hilux bakal dipertingkatkan lebih awal di Thai?

    Toyota Hilux bakal dipertingkatkan lebih awal di Thai?

    Perubahan pertengahan-hayat untuk suntikan yang lebih segar bagi Toyota Hilux generasi ke-lapan bakal dilakukan, menurut laman web Thailand Headlightmag. Laporan tersebut menyebut, langkah ini diambil bagi membolehkan Toyota menonjolkan pengenalan pasaran bagi Hilux Revo di Thailand seawal-awalnya bulan hadapan.

    Perubahan tersebut juga akan memfokuskan peningkatan visual, termasuk bahagian hadapan turut dipertingkatkan serta memberikan imej yang lebih bergaya dan maskulin. Walau bagaimana pun tiada perubahan mekanikal bakal dilakukan. Buat masa ini, Hilux ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 2.8 liter 1GD-FTV dan 2.4 liter 2GD-FTV.

    Sementara di Malaysia pula, Hilux baru sahaja dipertingkatkan dengan kit badan yang lebih bergaya, malahan jumlah variannya juga dikurangkan dari lapan ke enam. Harga bermula RMRM87,200 untuk Single-Cab 2.4 MT 4×4 hingga RM130,900 bagi Double-Cab 2.8G AT 4×4.

    Anda boleh mengetahui lebih lanjut berkenaan spesifikasi penuh semua varian Hilux ini laman web CarBase.my.

    GALERI: Toyota Hilux Double Cab 2.8G A/T 4×4

     
     
  • Statistik jualan kenderaan September 2017 mengikut jenama – lima kedudukan teratas catat penurunan

    Statistik jualan kenderaan September 2017 mengikut jenama – lima kedudukan teratas catat penurunan

    Laporan bulanan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan jualan kenderaan bagi September 2017 menurun sebanyak 20.8% – sebanyak 40,981 kenderaan terjual, kurang 10,739 unit jika dibandingkan dengan prestasi bulan Ogos lalu (51,720 units).

    Dilihat dari pecahan mengikut jenama pula, kebanyakannya memang mencatatkan penurunan, kecuali bagi sebilangan kecil jenama pengeluar dari Jerman. Perodua yang berada dikedudukan teratas juga tidak terlepas dari terkena tempias ini; jualannya turun sebanyak 22.9% berbanding bulan Ogos dengan merekodkan jualan 14,355 unit kenderaan.

    Trend sama diikuti oleh baki jenama dikedudukan lima teratas lainnya – Honda menurun sebanyak 18.8%, Proton menurun 30.3%, Toyota juga sama menurun sebanyak 23.9% manakala Nissan menurun 15.6%. Jejak ini diikuti juga oleh jenama-jenama utama lain seperti Mercedes-Benz (-21.8%), Ford (-24.2%), Mitsubishi (-40.2%), Peugeot (-40.9%) dan Renault (-62.5%).

    Bagaimanapun, tiga jenama yang mencatatkan jualan positif ialah BMW, dengan 9.5% pertambahan berbanding jualan pada Ogos. Selain itu, Volkswagen juga mencatatkan jualan yang meningkat sebanyak 9.8%. Peratusan peningkatan paling tinggi pula dicatat oleh Subaru dengan 46.7%.

    Rujuk jadual yang disertakan untuk perincian lanjut. Anda rasa, bagaimana agaknya prestasi bagi bulan Oktober nanti? Ada perubahan positif atau lebih teruk?

     
     
  • Beberapa laluan di Sunway ditutup pada 29 Okt ini

    Beberapa laluan di Sunway ditutup pada 29 Okt ini

    Sunway Good Run bakal dianjurkan pada 29 Oktober ini di Bandar Sunway sempena dengan kempen kesedaran kanser. Laluan bagi penganjuran larian ini akan bermula di Menara C di hadapan Pusat Perubatan Sunway, bermula jam 6.30 pagi hingga 10.30 pagi, yang melibatkan lebih dari 6,000 peserta.

    Justeru, Jalan Lagoon Selatan daripada persimpangan lampu isyarat di Universiti Monash Malaysia hingga ke Menara B di Pusat Perubatan Sunway bakal ditutup dari jam 2 pagi hingga 10.30 pagi pada tarikh yang sama.

    Sehubungan itu, laluan kontra bakal dibuka dari lorong bertentangan Pusat Perubatan Sunway bagi kenderaan termasuk pengangkutan awam Rapid KL BRT (dari Setia Jaya ke USJ 7) bagi kedua-dua arah. Walau bagaimana pun, sekiranya ada hal kecemasan, jabatan Kecemasan dan Kemalangan Pusat Perubatan Sunway masih boleh diakses dari laluan kontra berkenaan. Malah pelawat juga boleh memasuki pusat perubatan berkenaan menerusi kawasan parkir di Menara B.

    Pelepasan para peserta bagi acara larian terbabit akan berlangsung dari jam 6.30 pagi hingga 6.45 pagi serta 7.15 pagi hingga 7.30 pagi, di mana trafik akan dihentikan seketika di persimpangan di hadapan Pusat Perubatan Sunway, sepanjang Jalan Lagoon Selatan. Manakala dari jam 6.35 am hingga 6.50 pagi serta 7.20 pagi hingga 7.40 pagi, trafik dari Universiti Taylor menuju ke Persiaran Tasik Timur pula akan dihentikan seketika. Selepas jam 7.45 pagi, trafik akan kembali lancar di kedua-dua arah.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sunway Group lagi, selepas jam 10.30 pagi pada 29 Oktober, trafik di Jalan Lagoon Selatan akan kembali lancar seperti biasa.

    Pengguna jalan raya di Jalan PJS 11/5, PJS11/7, Jalan Universiti akan dilencongkan ke PJS13/6 sepanjang penutupan jalan ini. Sementara pengguna jalan raya di PJS1 pula akan dilencongkan ke Jalan Lagoon Timur menghala Menara Sunway atau laluan kontra di Jalan Lagoon Selatan sepanjang acara larian ini berlangsung.

     
     
  • Kia Stinger talaan West Coast Custom akan ke SEMA

    Kia Stinger talaan West Coast Custom akan ke SEMA

    Dalam keadaan standard, rupa sedan sport empat pintu baharu dari Kia iaitu Stinger sudahpun cukup mengiurkan. Berita baik, kereta berkenaan bakal muncul pada acara tahunan kenderaan ubahsuai terbesar di Amerika Syarikat – SEMA – hujung bulan ini, dengan talaan prestasi dan estetik dari firma ubahsuai ternama, West Coast Custom.

    Pengumuman ini turut disertakan dengan satu imej bahagian belakang Stinger berwarna biru bersama kit badan dan set roda lebih lebar, serta badannya telah dirapatkan sebolehnya ke permukaan bumi. Menurut Kia, mereka Stinger berkenaan turut menerima gril hadapan kemasan hitam berkilat, kit aero gentian karbon, rim forged bersaiz 21-inci, diffuser belakang dan juga empat tip ekzos berbentuk segi empat.

    Perincian lain masih lagi belum diumumkan, dan kereta berkenaan akan didedahkan sepenuhnya pada 31 Oktober ini iaitu hari pertama SEMA 2017 berlangsung.

    Kia Stinger talaan West Coast Custom akan ke SEMA

    Untuk pasaran Amerika, Stinger ditawarkan dengan dua enjin berbeza iaitu enjin 2.0 liter empat-slinder turbo berkuasa 255 hp pada takat 6,200 rpm serta tork maksima 353 Nm bermula 1,400 hingga 4,000 rpm, dan juga enjin V6 3.3 liter turbo berkembar Lambda II berkuasa 365 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm – jelas lebih berkuasa dari Audi S5 Sportback and BMW 440i Gran Coupe.

    Kedua-dua enjin ini hanya akan dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan yang dibina oleh Kia sendiri. Stinger merupakan sedan pacuan roda belakang dan diberikan LSD mekanikal yang dibekalkan secara standard. Namun untuk pasaran Amerika, ia turut ditawarkan bersama sistem pacuan semua roda dengan agihan tork lebih ke bahagian belakang bersama sistem Dynamic Torque Vectoring Control yang beroperasi bersama sistem brek.

    Ini membolehkan model 2.0 liter turbo memecut dari 0-60 bsj (0-96 km/j) dalam masa 5.9 saat, manakala model 3.3 liter V6 pula mampu memecut dalam jarak yang sama dengan catatan 4.7 saat – lebih laju dari catatan masa yang direkodkan oleh Porsche Panamera V6.

    GALERI: Kia Stinger pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Honda Malaysia umum CEO, Pengarah Urusan baharu – youkoso Ishiyama-san, matane Hayashi-san!

    Honda Malaysia umum CEO, Pengarah Urusan baharu – youkoso Ishiyama-san, matane Hayashi-san!

    Honda Malaysia Sdn. Bhd. (HMSB) mengumumkan pelantikan Toichi Ishiyama sebagai Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, bagi menggantikan Katsuto Hayashi, berkuatkuasa 1 November ini.

    Buat masa ini Ishiyama adalah Presiden dan CEO bagi Honda Atlas Cars (Pakistan) Limited.

    Ishiyama, 48 tahun, berpengalaman dengan Honda selama 25 tahun, pernah bertugas di beberapa buah negara selain Jepun, termasuklah Amerika Syarikat, Thailand, China dan Pakistan. Sepanjang kerjayanya di Thailand dan China, beliau telah mengkaji dengan lebih mendalam pasaran automotif tempatan. Dengan pengalaman lebih dua dekad ini, Ishiyama dilihat mempunyai kelebihan untuk memastikan HMSB terus mengukuhkan momentumnya sebagai Jenama Kenderaan Bukan-Nasional No.1 dan nombor dua dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) di Malaysia.

    Malah beliau juga akan berusaha untuk terus memastikan syarikat ini kekal cemerlang dalam penghasilan produk dan pengalaman pemilikan bagi pelanggan. Beliau percaya strategi yang diletakkan oleh Hayashi ini bakal meletakkan HMSB terus melakar kejayaan, termasuk mencapai sasaran jualan tahunan sebanyak 100,000 unit.

    Mengenai Hayashi pula, biar pun belum sampai dua tahun beliau berada di Malaysia, namun telah berjaya mengekalkan HMSB dalam kedudukannya sebagai pengeluar kenderaan bukan-nasional dan TIV terkini, bahkan syarikat ini mencapai perkongsian pasaran tempatan tertinggi pada Mac lalu iaitu merangkumi 20.5%. Malah HMSB turut merekodkan jualan sebanyak 100,000 unit pada tahun kewangan bagi tempoh April 2016 hingga Mac 2017 serta meraihkan kejayaan dalam mencecah 600,000 unit produksi.

    Sepanjang beliau berada di Malaysia, Hayashi juga tampil dengan strategi bagi menawarkan Advanced Technology kepada para pelanggan. Di bawah strategi Next Generation Advanced Technology, enjin pengecas turbo diperkenalkan pada tahun lalu. Menerusi model Civic 2016, ia menjadi model pelopor bagi produksi massa di Malaysia dengan padanan enjin pengecas turbo bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.

    Kini, strategi tersebut diperkembangkan lagi dengan pelancaran varian Sport Hybrid i-DCD, menjadikan Malaysia merupakan satu-satunya negara di luar Jepun yang menawarkan penjana kuasa ini, iaitu bagi model City 2017 dan Jazz 2017. HMSB juga baru melancarkan model CRV 2017 yang turut ditawarkan dengan enjin pengecas turbo. Sementara itu, HMSB juga bakal melancarkan model Civic Type R 2.0L VTEC Turbocharged serba baharu tidak lama lagi.

    Hayashi bakal memegang jawatan baharu sebagai Pengurus Besar, Divisi Operasi Luar Negara (Amerika), Operasi Serantau (Amerika Utara) di Honda Motor Co., Ltd. di Jepun.

    youkoso (selamat datang) Ishiyama-san, matane (jumpa lagi) Hayashi-san!

     
     
  • MAA: Jualan kenderaan September 2017 turun 20%

    MAA: Jualan kenderaan September 2017 turun 20%

    Di dalam laporan terkini bagi statistik jualan kenderaan bulan September 2017 yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), penurunan sebanyak 20.8% (atau 10,739 unit kenderaan) direkodkan berbanding jualan kenderaan pada bulan Ogos 2017.

    Sepanjang September 2017, sebanyak 40,981 unit kenderaan terjual. Ini bagaimanapun rendah jika dibandingkan jualan kenderaan pada bulan sama tahun lalu, yang mencatatkan angka 48,125 unit. Walaupun dengan penurunan ini, jumlah keseluruhan industri (TIV) setakat ini jika dibandingkan dengan tahun lalu masih mencatatkan angka lebih tinggi – 1.8% melebihi tempoh sama pada 2016, dengan jumlah keseluruhan 425,711 unit berbanding 418,277 unit.

    Menurut MAA, penurunan ini adalah disebabkan jumlah hari bekerja yang lebih singkat sepanjang September, serta kelulusan pinjaman pembiayaan kenderaan yang lebih ketat. Persatuan itu bagaimanapun sangat positif angka jualan berkenaan akan bertambah baik bagi bulan Oktober 2017.

     
     
  • Honda Super Cub 50 dan Super Cub 110 diperbaharui – guna lampu LED, tambahan varian Pro dengan bakul

    Honda Super Cub 50 dan Super Cub 110 diperbaharui – guna lampu LED, tambahan varian Pro dengan bakul

    Motosikal lagenda Honda Super Cub kini diperbaharui bagi tahun 2018, dengan pilihan model Super Cub 50 dan Super Cub 110. Pengeluaran kedua-dua motosikal ini juga akan dipindahkan dari China ke kilang Honda di Kumamoto, Jepun.

    Bagi kedua-dua model ini, terdapat pilihan model asas dan Pro, di mana bagi Super Cub 50 asas dijual pada harga 232,200 yen (RM8,683), Super Cub 50 Pro 253,800 yen (RM9,491), Super Cub 110 asas 275,400 yen (RM10,299) dan Super Cub 110 Pro 297,000 yen (RM11,107).

    Antara ciri baru bagi Super Cub 2018 ini adalah lampu utama dan lampu penunjuk arah LED, serta pelindung tepi yang boleh dicabut. Bagi enjin, model Super Cub 50 menggunakan unit 49 cc dengan kuasa 3.7 PS pada 7,500 rpm dan 3.8 Nm pada 5,500 rpm, manakala model Super Cub 110 pula menggunakan enjin 109 cc berkuasa 8 PS pada 7,500 rpm dan 8.5 Nm pada 5,500 rpm.

    Penyampaian bahan api pada enjin ini dilakukan oleh sistem suntikan elektrik PGM-FI, dan kuasa disampaikan melalui kotak gear empat kelajuan dan pacuan rantai – Super Cub 110 mempunyai rantai lebih panjang daripada Super Cub 50. Sistem brek pula masih adalah unit dram di depan dan belakang, manakala suspensi pula adalah fork teleskopik di hadapan dan penyerap berkembar di belakang.

    Bagi dua model asas Super Cub 50 dan Super Cub 110, ia menggunakan rim 17 inci, tetapi bagi model Pro, ia diganti dengan rim 14 inci, berserta tambahan bakul di atas fender hadapan, dan rak pengangkut di belakang. Lampu dan penunjuk arah pula diletakkan di hadapan bakul tersebut. Kelengkapan seperti ini dilihat menjadi keperluan bagi pengguna Super Cub yang biasa menghantar barang.

    GALERI: Honda Super Cub


    GALERI: Honda Super Cub Pro

     
     
  • Enjin Formula 1 Mugen-Honda untuk dijual – V10, 3.5 liter tanpa turbo, dari era awal 90’an, sekitar RM56k

    Enjin Formula 1 Mugen-Honda untuk dijual – V10, 3.5 liter tanpa turbo, dari era awal 90’an, sekitar RM56k

    Menerusi satu iklan yang disiarkan di laman racecarsdirect.com, seorang penjual dengan akaun bernama Silvano Caira dari Itali telah mengiklankan untuk menjual sebuah enjin V10 untuk kereta Formula 1 yang dibina oleh Mugen-Honda.

    Tiada perincian lengkap pada iklan berkenaan kecuali hanya maklumat ringkas yang bertulis ia adalah enjin Mugen-Honda V10 MF-350 ‘kosong’ – berkemungkinan anda akan dapat apa yang terlekat pada enjin berkenaan (mempunyai sistem suntikan bahan api dan juga sistem pencucuh) tanpa aksesori lain seperti pendawaian lengkap dan juga kotak komputer serta kotak gear. Ia dijual pada harga €10,000 (sekitar RM56k).

    Iklan tersebut juga menyatakan enjin tersebut digunakan pada kereta Formula 1 pada tahun 1993/1994, jadi ia berkemungkinan enjin V10 dengan kapasiti 3.5 liter NA berkuasa sekitar 700 hp yang digunakan pada jentera pasukan Footwork (1993) atau jentera Lotus 109 (1994).

    Diingatkan sekali lagi, enjin ini bukan di bina oleh Honda, sebaliknya oleh sayap perlumbaan rasmi mereka iaitu Mugen-Honda. Pada era ini juga, enjin berkenaan bukanlah enjin paling berkuasa, tetapi ia tidak mempunyai isu ketahanan seperti enjin V6 1.6 liter turbo Honda generasi terkini yang dibekalkan pada pasukan Mclaren.

    Jadi, abang-abang VTEC NA sekalian, kalau rasa enjin B series atau K series anda dah tak boleh pergi laju lagi, tak nak turbo, boleh la kot cuba enjin ini pula.

     
     
  • Mitsubishi bakal rai ulangtahun ke-100 dengan Model A dijana teknologi plug-in hybrid dari Outlander PHEV

    Tahun ini, genap 100 tahun Mitsubishi Motors bergelumang di dalam industri automotif, setelah kereta pertamanya di gelar Model A diperkenalkan pada tahun 1917. Bagi meraikan ulangtahun berkenaan, Mitsubishi menerusi West Coast Custom akan membina sebuah Model A yang dijana oleh teknologi plug-in hybrid dari SUV Mitsubishi Outlander, digelar Mitsubishi Re-Model A.

    Idea ini bagi menunjukkan bagaimana jenama dari Jepun tersebut berevolusi dari kenderaan pertamanya iaitu Model A sehingga teknologi paling maju yang dikecapi mereka yang telah dicurahkan pada Outlander PHEV. Projek ini dijalankan oleh West Coast Custom di fasiliti mereka yang terletak di California, Amerika Syarikat dengan menggabungkan sebuah Model A sebenar, dengan kerangka utama Outlander PHEV.

    Kerangka tersebut turut menempatkan unit janakuasa plug-in hybrid Outlander yang terdiri dari enjin MIVEC 2.0 liter berkuasa 118 PS/186 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 60 kW/137 Nm di gandar hadapan serta motor lebih besar berkuasa 60 kW/195 Nm di gandar belakang – menjadikan ia sebuah SUV pacuan semua roda sebenar dan dikawal sistem Super All-Wheel Drive.

    Walau bagaimanapun, projek ini masih belum siap dan ianya akan didedahkan sepenuhnya pada siri televisyen Inside West Coast Custom yang akan ke udara di saluran Velocity, Amerika Syarikat pada November ini. Ia juga akan di bawa ke Los Angeles Auto Show dan diletakkan di booth Mitsubishi bagi membuat kemunculan sulungnya.

     
     
  • Hyundai BTR Edition Elantra Sport – model konsep yang bakal dipertontonkan di SEMA, Las Vegas

    Hyundai BTR Edition Elantra Sport – model konsep yang bakal dipertontonkan di SEMA, Las Vegas

    Pertunjukan SEMA yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat memang sentiasa menjadi hab bagi mempertontonkan jentera produksi yang menerima talaan khas. Bagi SEMA kali ini, Hyundai turut mengambil kesempatan mempertontonkan model konsep BTR Edition Elantra Sport.

    Blood Type Racing, yang bertanggungjawab mengubah imej dan talaan Hyundai Elantra Sport ini, termasuk mengaplikasikan kid badan AutoArt dan cat yang berbeza bagi luarannya. Malah ia turut menampikkan lip kit hadapan ‘track-ready’ dan wing belakang, dengan roda 19-inci yang dibaluti tayar Toyo T1 Sport.

    Model konsep ini turut direndahkan dengan menggunakan suspensi gegelung HSD, serta dipadankan dengan kit brek Fella. Modifikasi casis yang lain melibatkan sway bar, pedakap topang tambahan, dan pedakap casis daripada Pierce Motorsports.

    Di bawah hudnya, Elantra Sport hadir dengan enjin petrol 1.6 liter pengecas turbo empat-silinder, turut menerima corong pengambilan udara baharu, ECU yang disemak semula dan sistem suntikan metanol/air Devil Own. Tiada anggaran kuasa didedahkan, namun secara standardnya, Elantra Sport mampu menghasilkan 205 PS dan tork 265 Nm.

    Di dalamnya, masih tiasa foto yang didedahkan. Namun difahamkan, bahagian kabin juga telah diolah, termasuk menerima padanan roda stereng gentian karbon, upholstery dan alas lantai jahitan-berlian baharu. Lain-lain elemen termasuk pencahayaan dalaman LED dan set kustom bagi ruang penyimpanan bagasi.

    GALERI: Hyundai Elantra 1.6 Sport

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026