Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lagi satu nombor plat khas muncul – kali ini abjad X

    Lagi satu nombor plat khas muncul – kali ini abjad X

    Lepas satu, satu lagi nombor pendaftaran siri khas diperkenalkan. Baru sahaja kami siarkan berkenaan nombor dengan abjad XX, kini ada pula siri baharu yang menggunakan abjad tunggal X.

    Tiada perincian sempena apa nombor pendaftaran siri ini dikeluarkan, tetapi ia berkemungkinan berkaitan dengan organisasi atau yayasan. Namun apa yang diketahui, nombor ini akan bermula dari X 1 hingga X 9999. Mereka yang berminat boleh membida nombor ini bermula 23 April nanti, manakala keputusannya akan diumumkan pada 7 Mei 2018.

    Jika anda berminat untuk membida nombor digit tunggal, anda perlu bermula dengan harga rezab minima RM50,000, manakala nombor dua-digit pula harga rezab ditetapkan pada RM10,000. Nombor tiga-digit pula perlu dibida pada harga minima RM3,000, manakala nombor empat-digit lain perlu dibida bermula RM1,000.

    Siri plat khas X dan XX ini akan mengikut jejak langkah siri YY dan UU yang diumumkan bulan lalu. Selain itu, kita juga sudah pernah lihat pelbagai lagi nombor plat khas yang dikeluarkan, sebagai contoh GG, GTR, VIP, PATRIOT, PERFECT dan banyak lagi.

     
     
  • VW Tiguan Comfortline – pakej ‘Wild’ RM5k diperkenal

    VW Tiguan Comfortline – pakej ‘Wild’ RM5k diperkenal

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan pakej penggayaan ‘Wild’ untuk Tiguan Comfortline, dan ia dijual pada harga RM5,099. Melalui pakej ini, pembeli akan menerima pedal sport aluminium, hiasan pada but warna krom, plet krom pada tempat masuk barang, muncung ekzos krom, scuff plate dengan logo Tiguan dan penapis haba cermin “VW Tint”.

    Pakej ini adalah satu usaha pengedar tempatan untuk menaikkan imej Tiguan Comfortline, iaitu varian yang lebih rendah bagi SUV tersebut. Satu lagi varian yang terletak di atasnya adalah Highline. Tiguan Comfortline dipasang di Malaysia dan dijual pada harga RM149,578. Dicampur dengan pakej ini, harganya menjadi RM154,677, tidak termasuk insurans.

    Baru-baru ini juga, VPCM secara senyap telah menaik taraf sistem infotainmen MIB pada Tiguan Comfortline dan Highline, menyaksikan varian Highline didatangkan bersama sistem Discover Media lapan inci, manakala Comfortline pula mendapat sistem Composition Media bersaiz sama, tetapi tidak mempunyai naivgasi GPS dan kamera undur.

    VW Tiguan Comfortline – pakej ‘Wild’ RM5k diperkenal

    Tiguan generasi kedua ini dilancarkan di Malaysia hampir satu tahun yang lalu, dan ia dikuasakan oleh enjin TSI 1.4 liter dengan kuasa sebanyak 150 PS dan 250 Nm tork antara 1,500 hingga 3,500 rpm. Enjin turbo ini dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar enam kelajuan DSG dan dikatakan dapat memberi penggunaan bahan api 6.7 liter bagi setiap 100 km. Pecutan 0-100 km/j pula dapat dilakukan dalam masa 8.9 saat.

    Seperti model Volkswagen yang lain juga (bermula 1 Januari 2018), Tiguan datang dengan program penyelenggaraan percuma tiga tahun atau 45,000 km, jaminan pengilang lima tahun dan bantuan tepi jalan lima tahun. Anda boleh melihat spesifikasi penuh kenderaan ini di CarBase.my.

     
     
  • Lotus Exige Cup 430 Type 25 – tribute kereta lumba F1

    Lotus Exige Cup 430 Type 25 – tribute kereta lumba F1

    Lotus telah mengeluarkan sebuah model istimewa yang dinamakan sebagai Exige Cup 430 Type 25. Ia memberikan penghormatan kepada kereta lumba F1 Lotus yang pernah mendominasi perlumbaan pada tahun 1963, iaitu Type 25, dan dihasilkan sebanyak 25 unit sahaja.

    Type 25 layak untuk dihormati kerana sepanjang berlumba dalam F1 daripada tahun 1962 hingga 1967, ia telah mencatat pelbagai kejayaan dan paling diingati, menjadi juara keseluruhan – pemandu dan pengeluar – pada tahun 1963 dengan memenangi tujuh daripada 10 perlumbaan.

    Kereta lumba ini menaikkan nama pengasas Lotus iaitu Colin Chapman kerana menggunakan kejuruteraan yang berbeza dengan pesaing lain, antaranya menjadi kereta F1 pertama yang menggunakan rekaan casis fully stressed monocoque. Ia juga menjadi permulaan kepada kelahiran kereta lumba lain Lotus termasuk Type 33 dan Type 49.

    Lotus Exige Cup 430 Type 25 – tribute kereta lumba F1

    Bahagian luar Exige Cup 430 Type 25 ini boleh dipilih dalam warna Lotus Racing Green atau English White, bersama jalur pinstripe warna kontras pada splitter hadapan, bukaan udara di hadapan, penghadang cermin belakang unik, panel bumbung serta spoiler belakang.

    Pada bahagian belakang, kereta ini menggunakan tempat duduk lumba gentian karbon edisi Type 25 yang dibalut dengan Alcantara hitam, serta trim khas, dengan jalur unik pada penyandar kepala dan penyandar belakang, dengan jahitan kontras. Kemasan yang mempunyai warna sama seperti luar badan digunakan pada tempat duduk, konsol transmisi, keliling panel pendingin hawa dan ia diselitkan sekali dengan gentian karbon. Juga unik adalah tombol gear kayu seperti kereta F1 dulu.

    Di bawah hudnya masih terletak enjin V6 3.5 liter supercas sama seperti Exige Cup 430, dan ia mampu menghasilkan kuasa sebanyak 430 hp dan 440 Nm tork antara 4,000 hingga 6,800 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dibuat dalam masa 3.3 saat dan boleh mencapai laju maksimum 290 km/j.

    Lotus Exige Cup 430 Type 25 – tribute kereta lumba F1

    Walaupun mempunyai berat cuma 1,056 kg, kereta ini masih mempunyai pendingin hawa, sistem hiburan single-DIN dengan sambungan iPod dan Bluetooth, cruise control dan pelapik kaki penuh dalam kenderaan, tetapi pemilik masih diberi pilihan untuk mendapatkan kereta yang kosong bagi menjimatkan berat.

    Transmisi pula adalah unit manual enam kelajuan, dan ia turut mempunyai sistem kawalan cengkaman boleh ubah (enam kedudukan boleh dipilih), penyerap boleh laras Nitron, anti-roll bar boleh laras Eibach, tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 dan angkup brek empat piston AP Racing.

     
     
  • GALERI: Perodua Myvi 1.3G dan 1.3 Premium X – senarai spesifikasi tak jauh beza, harga lebih murah

    GALERI: Perodua Myvi 1.3G dan 1.3 Premium X – senarai spesifikasi tak jauh beza, harga lebih murah

    Lima bulan selepas dilancarkan, Perodua Myvi terus menerima sambutan yang menggalakkan. Itu sudah boleh diagak. Namun, seperti yang berulang kali dinyatakan oleh pengeluarnya, apa yang tidak dijangkakan lebih awal ialah pengguna akan lebih ramai memilih untuk memiliki model 1.5L berbanding 1.3L.

    Sehingga kini, perhatian lebih banyak diberikan kepada model 1.5L, dan tempoh menunggu bagi model ini juga masih agak panjang jika anda membuat tempahan sekarang kerana permintaan terhadapnya masih begitu tinggi.

    Tetapi halnya berbeza dengan model 1.3L yang mempunyai banyak stok tersedia. Untuk itu, adakah berbaloi untuk menunggu lama bagi mendapatkan model 1.5L? Atau adakan penawaran pada model 1.3L ini juga memberi lebih nilai dengan tanda harga yang dikenakan.

    GALERI: Perodua Myvi 1.3G dan 1.3 Premium X – senarai spesifikasi tak jauh beza, harga lebih murah

    Bagi galeri ini, kami mempertemukan kedua-dua varian model 1.3L dalam warna Peppermint Green khusus untuknya; varian G dan juga Premium X. Kedua-duanya hadir dengan ciri standard seperti lampu utama LED, sistem tanpa kunci, empat beg udara dan kawalan kestabilan kenderaan (VSC). Ia juga kini lebih murah daripada model sebelumnya, dan datang dengan jaminan pengeluar lima tahun atau 150,000 km.

    Model ini menggunakan enjin 1.3 liter Dual VVT-i (1NR-VE) yang menghasilkan 94 hp pada 6,000 rpm dan 121 Nm pada 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan sistem transmisi automatik elektronik empat kelajuan (hanya model asas 1.3L ada ditawarkan dengan transmisi manual lima-kelajuan). Ia juga lengkap dengan stereng kuasa elektronik dan rim 14-inci.

    Kedua-dua varian 1.3G dan 1.3 Premium X ini dilengkapi dengan sensor parkir, cermin sisi berkuasa dengan lampu isyarat pada unit yang sama, lampu belakang LED dengan light guide serta cermin depan akustik dan antena radio “shark fin”.


    Myvi 1.3G (kiri) dan 1.3 Premium X.

    Di dalam, kedua-duanya mempunyai suis tingkap automatik sebelah pemandu (naik dan turun), kawalan pendingin hawa digital, ruang barangan di tengah, unit radio DIN berkembar, sokongan SUB dan Bluetooth serta pengecas USB ditawarkan sebagai standard.

    Bagi varian 1.3L Premium X, ia mempunyai beberapa tambahan ciri. Ini termasuk lampu kabus halogen di depan, sensor parkir bahagian depan, sistem Eco Idle serta bantuan mula mendaki. Stereng juga dinaiktaraf kepada material kulit dengan butang kawalan audio dan telefon.

    Model 1.3L kini ditawarkan dengan senarai spesifikasi yang menarik juga, dan dijual pada harga yang lebih murah. Ia juga tidak jauh berbeza dari spesifikasi 1.5L – yang antara lain turut dilengkapi dengan enam beg udara dan Advanced Safety Assist (ASA, bagi varian paling tinggu sahaja).

    Ia menggunakan enjin 1.5 litre Dual VVT-i (2NR-VE) dengan janaan 102 hp pada 6,000 rpm dan 136 Nm pada 4,200 rpm. Walaupun lebih hanya lapan hp dan 15 Nm, untuk kereta saiz dan seberat Myvi, perbezaan prestasi pemanduan akan dapat dirasai dengan ketara.

    Lain-lain ciri yang menjadi kelebihan bagi model 1.5L ialah rim 15-inci, bodykit dwi-tona dan Smart-Tag binaan dalam. Bagi spesifikasi paling tinggi 1.5 Advance, ia menerima kerusi kulit, unit audio dengan skrin sentuh lengkap dengan navigasi dan Smartlink dan kemara undur. Tidak terlalu banyak beza dari model 1.3L sebenarnya. Satu lagi, warna Granite Grey yang khusus untuk 1.5L.

    Kalau anda ingin membeli Myvi sekarang, dan mahukan model 1.5L, kebarangkaliannya adalah anda mungkin perlu tunggu lama dan tak akan mendapat serahannya untuk Hari Raya nanti. Melihat kepada senarai spesifikasinya, model 1.3L juga tidak ketinggalan jauh, tambahan pula dengan tanda harga yang lebih murah. Adakah 1.3L ini sudah memenuhi keperluan anda? Kalau ya, kenapa perlu tunggu lama-lama untuk dapatkan model 1.5L?

    Perodua Myvi 1.3G

    Perodua Myvi 1.3 Premium X

     
     
  • VIDEO: Honda Mean Mower Mk.2 kini bersedia rampas semula rekod mesin rumput paling laju di dunia

    Bulan lalu Honda telah mengumumkan mereka akan merampas semula rekod mesin rumput paling laju di dunia menerusi yang jentera baharu dibina, digelar sebagai Mean Mower Mk.2. Terbaharu, satu lagi video pendek disiarkan, memaparkan mesin rumput berkenaan telah dihidupkan oleh pemandunya, Jess Hawkins, dan bersedia untuk memcahkan rekod tersebut.

    Mesin rumput terbaharu ini dijana enjin 1,000 cc dari Honda Fireblade dan dirombak semula bagi menghasilkan kuasa 190 hp, serta digandingkan dengan kotak gear sequential enam-kelajuan. Transmisi tersebut turut menerima sentuhan semula dengan gear satu yang jauh lebih panjang, bagi membolehkannya mencatatkan masa pecutan 0-60 bs/j (0-96 km/j) dalam masa tidak sampai 3 saat.

    Namun perubahan yang benar-benar membantu memperbaiki prestasi mesin rumput terkini ini adalah kedudukan tempat duduknya. Menerusi Mean Mower Mk.2, tempat duduk perlumbaan gaya go-kart dipadankan dan terletak sangat rendah pada casis bagi membolehkan geseran aerodinamik yang disebabkan oleh pemandu dapat dikurangkan.

    Selain itu, mesin rumput berprestasi tinggi ini turut dipadankan dengan tayar perlumbaan dari Hoosier, pedal-box gaya-perlumbaan, roda stereng Sparco dan juga sistem brek dengan cakera berliang bersaiz besar – ia masih lagi mampu untuk memotong rumput walaupun diubahsuai berorientasikan kelajuan.

    VIDEO: Honda Mean Mower Mk.2 kini bersedia rampas semula rekod mesin rumput paling laju di dunia

    Jess Hawkins yang bakal menggalas tugas memandu mesin rumput ini pula sebenarnya adalah seorang pemandu go-kart handalan dan pemenang tempat kedua Mini Challenge Great Britain 2017.

    Menyentuh kemampuannya untuk memotong rumput, menurut Honda, Mean Mower Mk.2 ini boleh digunakan untuk tujuan berkenaan tanpa had kelajuan seperti pada Mean Mower asal – bermaksud anda boleh memotong rumput walaupun pada kelajaun 100 bs/j. Bilah pemotong rumput berkenaan pula diperbuat dari material gentian-karbon, dan digerakkan dengan sebuah motor elektrik kecil.

    Rekod mesin rumput paling laju di dunia buat masa sekarang dipegang oleh sebuah mesin rumput Stihl T6 yang diubahsuai sebuah syarikat dari Norway dengan menyumbat LS V8 dari GM. Mesin rumput berkenaan mencatatkan rekod kelajuan maksima 215.7 km/j, dan memadamkan rekod yang dicatatkan oleh Honda Mean Mower Mk.1 dengan kelajuan maksima 187.6 km/j.

     
     
  • Sistem VEP di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura bakal bermula pada penghujung April ini

    Sistem VEP di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura bakal bermula pada penghujung April ini

    Implementasi caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) kepada semua kenderaan berdaftar di negara asing yang memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Lebuh raya Linkedua dijangka bermula hujung bulan ini, menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi dalam laporan Bernama.

    Menteri berkenaan menjelaskan lagi bahawa sistem VEP berkenaan kini sedang menjalani ujian bersama ‘Touch ‘n Go e-Wallet’ bagi tujuan pembayaran caj jalan raya (RC) tanpa tunai. Perlaksanaan sistem tersebut juga akan melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian, pemasangan infrastruktur dan pembangunan sistem integrasi melibatkan (JPJ) Jabatan Pengangkutan Jalan, PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Kastam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia).

    “Selain itu penyelasaran prosedur dengan agensi-agensi yang berada di pintu sempadan juga perlu dimuktamadkan sebelum pelaksanaan VEP,” kata Abdul Aziz ketika menjawab soalan Anuar Abdul Manap (BN-Sekijang) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

    Sistem VEP di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura bakal bermula pada penghujung April ini

    AppleMark

    Menurutnya lagi tag VEP berkenaan yang menggunakan teknologi pengecaman frekuensi radio (RFID) dan diintegrasikan dengan sistem pembayaran tanpa menggunakan wang tunai yang dibangunkan ‘Touch ‘n Go’, akan turut dilaksanakan di laluan Malaysia-Thailand tahun ini.

    Sebagai tambahan, Abdul Aziz berkata kementerian bercadang untuk melaksanakan teknologi RFID yang boleh mengesan kenderaan klon dan mengenal pasti saman tertunggak kepada kenderaan tempatan pada awal tahun depan. Kerajaan juga kini sedang berbincang dengan pihak Touch ‘n Go untuk memberi tag RFID secara percuma kepada rakyat.

    Abdul Aziz turut menyatakan, sehingga kini kira-kira 450,000 kenderaan dari Singapura melalui kedua-dua laluan itu setiap bulan dengan melibatkan kutipan RC sebanyak RM150 juta.

     
     
  • Siri nombor plat khas bermula XX pula ditawarkan

    Siri nombor plat khas bermula XX pula ditawarkan

    Bila agaknya nak habis penawaran nombor plat siri khas ini? Walaupun sudah banyak dikeluarkan sebelum ini, ia nampaknya macam belum cukup. Terbaru, giliran siri nombor plat XX pula muncul untuk “direbut” oleh mereka yang mungkin berminat.

    Sekali lagi, ia dikeluarkan melalui Yayasan Modal Insan Harta (YMIH) – organisasi sama yang membawakan siri plat GG awal tahun ini. Masih belum ada sebarang perincian tentang bukaan tender atau harga permulaan bagi bidaannya, tetapi seperti biasa ia akan bermula dari XX 1 hingga XX 9999.

    Siri plat khas XX ini mengikut jejak langkah siri YY dan UU yang diumumkan bulan lalu. Selain itu, kita juga sudah pernah lihat pelbagai lagi nombor plat khas yang dikeluarkan, sebagai contoh GG, GTR, VIP, PATRIOT, PERFECT dan banyak lagi. Lepas ini apa pula yang akan muncul?

     
     
  • Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak siap lebih awal

    Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak siap lebih awal

    Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bagi sektor di Sarawak, yang melibatkan jarak 1,089 km, dijangka siap lebih awal daripada jadual. Bernama melaporkan, pembinaan yang dijangka siap pada 2021 itu kini berada pada kadar dua peratus lebih cepat bagi pembinaannya.

    Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di dalam sidang Dewan Rakyat semalam berkata, peratusan yang telah disiapkan pada bulan lalu bagi projek berkenaan ialah sebanyak 14.76% berbanding peratusan yang perlu dicapai mengikut jadual asal iaitu 12.78%.

    Beliau menjelaskan, projek pembinaan mega yang dari Telok Melano, Sematan ke Miri itu melibatkan 11 pakej pembinaan dan telah diselesaikan secara berperingkat sejak September 2016.

    “Kerja-kerja masih dijalankan bagi semua pakej berkenaan dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2021,” jelas beliau ketika menjawab pertanyaan dari Chong Chieng Jen (DAP-Bandar Kuching) di Dewan Rakyat sesi semalam.

    Rosnah turut menambah, nilai kos bagi setiap pakej yang terlibat adalah antara RM580 juta hingga RM2.11 bilion.

     
     
  • GALERI: Honda Jazz, City, BR-V dan HR-V – White Orchid Pearl kini ganti warna solid Taffeta White

    Untuk barisan model 2018, Honda Malaysia (HM) kini tidak lagi menawarkan warna Taffeta White untuk model Jazz, City, BR-V dan juga HR-V dalam brosur mereka. Jadi, untuk menggantikan warna tersebut, jenama berkenaan menggantikannya dengan satu lagi jenis putih dengan efek mutiara iaitu White Orchid Pearl.

    Warna tersebut sebenarnya telah pun ditawarkan oleh Honda Malaysia sebelum ini, tetapi ia hanya pada model-model lebih premium iaitu Civic, Accord dan CR-V. Menurut HM lagi, penawaran ini adalah berdasarkan tinjauan terhadap penerimaan pembeli, di mana 38% pembeli Civic, 33% pembeli Accord dan 26% pembeli CR-V memilih warna premium berkenaan untuk kereta baharu mereka.

    Selain kilaun mutiara, White Orchid Pearl mempunyai lapisan kekuningan diatas warna asas putih berkenaan, berbanding Taffeta White yang tampil sebagai warna putih solid biasa. Oleh itu, Honda Malaysia mengenakan bayaran lebihan bagi pembeli yang berminat untuk memilih warna baharu berkenaan.

    Untuk model Jazz dan City bukan dari versi hibrid (model hibrid sememangnya diberikan pilihan warna ini sejak dilancarkan), pembeli yang berminat perlu menyediakan bayaran tambahan sebanyak RM120, manakala model BR-V dan HR-V yang lebih besar pula dikenakan sebanyak RM300. Jadi, sekiranya anda mahukan kereta Honda baharu anda dari model-model yang dinyatakan di atas dengan warna putih, anda perlu membayar lebih sedikit kerana warna solid Taffeta White kini tidak lagi ditawarkan.

    GALERI: Honda Jazz 1.5 V 2018

    GALERI: Honda City 1.5 S 2018

    GALERI: Honda BR-V 1.5 E 2018

    GALERI: Honda HR-V Mugen 2018

     
     
  • MINI Cooper S Countryman Sports tiba di M’sia – siap kit badan JCW, naik taraf kelengkapan, harga RM246k

    MINI Cooper S Countryman Sports tiba di M’sia – siap kit badan JCW, naik taraf kelengkapan, harga RM246k

    Selain MINI Cooper S E Countryman plug-in hybrid, MINI Malaysia turut melancarkan Copper S Countryman Sports hari ini. Ia datang dengan pelbagai aksesori John Cooper Works, dan menandakan kedatangan semula model pemasangan tempatan bersama model yang dikuasakan oleh enjin petrol, tetapi dengan harga lebih rendah.

    Model ini dijual pada harga RM245,888 tidak termasuk insurans, dan ini adalah RM24,000 lebih murah berbanding model Cooper S diimport sepenuhnya (CBU) yang dilancarkan tahun lalu, dan RM10,000 lebih murah berbanding Cooper S E. Pemilik juga diberikan jaminan selama empat tahun, tanpa had batuan dan servis berkala percuma.

    Pada bahagian luar, MINI Cooper S Countryman Sports dilihat datang dengan kit aerodinamik John Cooper Works yang lebih agresif, dengan bampar hadapan lengkap bersama salur udara di penjuru, serta diffuser dan spoiler di belakang. Melengkapkan penampilannya adalah rim JCW Course Spoke 19 inci dengan tayar run-flat.

    MINI Cooper S Countryman Sports tiba di M’sia – siap kit badan JCW, naik taraf kelengkapan, harga RM246k

    Masuk ke dalam pula, model ini dilengkapi dengan lapik bumbung warna anthracite, plet tepi pintu JCW dan sistem informasi dan hiburannya telah dinaik taraf dengan unit yang lengkap bersama sistem navigasi skrin sesentuh 8.8 inci (sebelum ini 6.5 inci), 12 pembesar suara dan sistem bunyi Harman Kardon.

    Sama seperti sebelum ini, kemasan yang digunakan adalah kulit Carbon Black Cross Punch, stereng JCW dengan pedal penukar gear, perincian garis krom dan trim MINI Yours hitam berkilat dan berlampu. Kelengkapan lain yang didatangkan secara terus adalah lampu utama dan lampu kabus LED, pengawal pendingin hawa dua zon, cruise control serta lampu dan pengelap cermin automatik.

    Turut diberi adalah cermin pandang belakang malap sendiri, tempat duduk sports larasan kuasa dengan simpanan memori bagi bahagian pemandu, Park Assist, pintu but kuasa dengan fungsi bukaan tanpa pegang dan penanda kawasan MINI FindMate Bluetooth. Suspensinya pula adalah unit sports.

    Kuasa untuk kenderaan ini masih lagi datang daripada enjin petrol 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan 192 hp pada 5,00 hingga 6,000 rpm dan 280 Nm tork antara 1,350 hingga 4,600 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan, untuk menyampaikan kuasa ke roda hadapan, dan membolehkan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam masa 7.4 saat, laju maksimum 224 km/j dan penggunaan bahan api 6.1 liter bagi setiap 100 km.

    Anda juga boleh melihat lebih terperinci spesifikasi kenderaan ini dan membandingkannya dengan kenderaan lain di CarBase.my.


     
     
  • MINI Cooper S E Countryman All4 F60 dilancar di Malaysia – guna sistem plug-in hybrid, harga RM256k

    MINI Cooper S E Countryman All4 F60 dilancar di Malaysia – guna sistem plug-in hybrid, harga RM256k

    MINI Malaysia telah melancarkan sebuah model baru iaitu MINI Cooper S E Countryman F60 All4 untuk pasaran Malaysia, pada harga RM255,888 tidak termasuk insurans. Ia adalah model Sports Activity Vehicle (SAV) pertama jenama itu yang menggunakan sistem plug-in hybrid dan dipasang dalam negara (CKD).

    Penggerak kenderaan ini terdiri daripada enjin tiga silinder petrol 1.5 liter turbo (134 hp dan 220 Nm) yang menyampaikan kuasa kepada tayar hadapan melalui transmisi automatik Steptronic enam kelajuan, dan motor elektrik (87 hp dan 165 Nm) yang menyampaikan kuasa kepada tayar belakang (dengan bateri 7.6 kWh).

    Dengan tetapan sebegini, pacuan semua roda dapat dihasilkan, menggunakan sistem MINI eALL4 dan ia turut disertakan dengan Dynamic Stability Control yang dapat membantu mengelakkan oversteer dan understeer apabila kuasa sepenuhnya dikerah. Secara keseluruhannya, sistem hibrid ini mampu memberi kuasa sebanyak 224 hp dan 385 Nm tork.

    MINI Cooper S E Countryman All4 F60 dilancar di Malaysia – guna sistem plug-in hybrid, harga RM256k

    Melihat kepada prestasinya, MINI Cooper S E Countryman All4 boleh memecut 0-110 km/j dalam masa 6.8 saat dan mencecah kelajuan maksimum 198 km/j. Disebabkan ia adalah sebuah model plug-in hybrid, penggunaan bahan api juga menjadi lebih baik iaitu boleh menjadi 2.1 liter bagi setiap 100 km. Sekiranya mahu menggunakan kuasa elektrik sahaja, ia boleh digunakan untuk sehingga 42 km, dan kelajuan maksimum 120 km/j.

    Kereta ini juga didatangkan dengan tiga mod pemanduan elektrik yang boleh dipilih menggunakan butang eDrive. Mod Auto mengambil kira tetapan paling baik yang dapat menggabungkan kecekapan dan kepuasan memandu, mod Max untuk penggunaan kuasa elektrik sahaja manakala mod Save Battery membolehkan bateri sistem hibridnya dicas oleh enjin petrol.

    MINI Countryman terbaru ini boleh dicas semula di rumah dengan soket kuasa yang disambung menggunakan Home Charging Cable dalam masa sekitar 5 jam (230V) bergantung kepada voltan elektrik grid kuasa kediaman tersebut. Selain itu, pengguna juga boleh mengecas kenderaan di salah satu daripada 270 fasiliti stesen mengecas awam yang terdapat di seluruh Malaysia.

    Model ini boleh dibezakan dengan Countryman yang lain melalui lencana “e” serta logo S berwarna kuning yang terdapat pada gril, fender tepi dan juga pintu but belakang. Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan kit badan All4, rim MINI Yours Masterpiece 19 inci dan soket pengecas di fender kiri.

    Masuk ke dalam pula, anda akan dapat melihat kebanyak bahagian menggunakan warna hitam, dengan sterengnya dibalut kulit Nappa dan terdapat jahitan kontras warna kelabu. Di bahagian tengah papan pemukanya terdapat satu skrin sesentuh 6.5 inci, yang diletakkan dalam perumah berbentuk bulat.

    MINI Cooper S E Countryman F60 All4 plug-in hybrid ini didatangkan dengan jaminan selama empat tahun tanpa had batuan, manakala baterinya pula diberikan jaminan selama enam tahun atau 100,000 km. Tidak cukup dengan itu, ia juga dilindungi dengan program bantuan tepi jalan selama lima tahun, dan MINI Malaysia juga ada menawarkan pakej ChargeNow bersama MINI Public Charging Cables, yang dapat memberikan langganan pengecasan tanpa had di mana-mana stesen ChargeEV percuma selama satu tahun.

    Kombinasi warna badan dan bumbung yang ditawarkan untuk model ini adalah merah (Chili Red), hijau (British Racing Green), kelabu (Thunder Grey), putih (Light White), perak (Melting Silver) dengan bumbung hitam dan warna biru (Island Blue) yang dipadankan dengan bumbung putih.


     
     
  • Petronas lancar kempen ‘Stay Alert, Stay Hydrated’

    Petronas lancar kempen ‘Stay Alert, Stay Hydrated’

    Bertolak dari angka statistik kemalangan jalan raya yang bertambah tinggi dan merisaukan di Malaysia – dengan angka korban 7,000 nyawa pada 2016 – Petronas dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Nestle melancarkan kempen “Stay Alert, Stay Hydrated” bagi tempoh sepanjang tahun hingga 31 Disember 2018.

    Sepanjang tempoh ini, Petronas menawarkan kombo minuman sebotol air mineral dan setin Nescafe yang dijual pada harga RM3.50 sahaja. “Jika sebelum ini kami kerap menganjurkan kempen Coffee Break ketika musim perayaan, kempen terbaru ini melangkau lebih daripada itu.

    “Tetapi, masih dengan hasrat yang sama; agar pengguna dan pelanggan berehat sekejap ketika dalam perjalanan jauh,” jelas CEO dan Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad (PDB), Dato’ Mohd Ibrahimnudding Mohd Yunus.

    Petronas lancar kempen ‘Stay Alert, Stay Hydrated’

    Disebalik promosi yang dijalankan, perkara yang menjadi matlamat utama ialah untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya terhadap bahaya masalah terlelap ketika memandu (microsleep). Ini juga merupakan satu masalah serius yang jarang diberi perhatian oleh ramai orang.

    Disebabkan hal-hal lain yang berkaitan keselamagan ketika memandu – seperti bahaya penggunaan telefon – kerap mendapat perhatian meluas, Petronas bagi kempen terbaru kali ini memilih untuk memberi penekanan khusus terhadap masalah terlelap ketika memandu pula.

    Kempen ini sah disemua 700 stesen minyak serta Kedai Mesra Petronas di seluruh negara.

     
     
  • Honda Malaysia umum panggilan semula baharu untuk beg udara – 28k unit City, Jazz dan Insight terlibat

    Honda Malaysia umum panggilan semula baharu untuk beg udara – 28k unit City, Jazz dan Insight terlibat

    Honda Malaysia (HM) hari ini mengumumkan sesi panggilan semula terbaharunya berhubung masalah inflator beg udara keluaran Takata Corp. Kali ini sebanyak 28,399 unit kenderaan dari model keluaran tahun 2013 terlibat, dan dipanggil semula untuk menukar inflator beg udara hadapan sebelah penumpang.

    Model yang terlibat untuk penukaran kali ini adalah terdiri dari Honda City, Jazz, Jazz Hybrid dan Insight – kesemuanya model tahun 2013. HM menyeru agar semua pemilik kenderaan terjejas dapat meluangkan sedikit masa untuk menukar komponen berkenaan bagi memastikan keselamatan pelanggannya, serta memohon maaf atas kesulitan tersebut.

    Sehingga Mac 2018, Honda Malaysia telah berjaya menukar semula 223,000 unit inflator beg udara sebelah pemandu, atau 84% dari jumlah keseluruhan unit yang terjejas telah lengkap ditukar. Manakala untuk keseluruhan inflator beg udara bahagian pemandu dan sebelah penumpang hadapan pula, lebih 435,000 unit telah ditukar, atau 77% lengkap dari jumlah kesemua yang terjejas.

    Syarikat tersebut turut menjelaskan bahawa kesemua model baharu yang masih dijual di bilik pameran adalah tidak terlibat dengan panggilan semula ini. Walau bagaimanapun, mereka akan terus mengamalkan ketelusan dan kawalan yang ketat bagi memastikan keselamatan setiap pelanggannya.

    Menurut HM lagi, usaha untuk melengkapkan panggilan semula ini kini diperhebatkan termasuk memastikan stok komponen alat ganti sentiasa tersedia 100%. Kapasiti fasiliti untuk membuat penukaran ini juga ditingkatkan lagi dengan penyediaan pusat-pusat Hab Mudah Alih, Hab di stesen Petronas terpilih, hab di roadshow Honda serta keutamaan yang diberikan di pusat-pusat servis bertauliah Honda.

    Pemilik kenderaan yang terjejas akan diberitahu menerusi surat yang turut mengandungi perincian panggilan semula tersebut. Pelanggan yang menerima surat berkenaan adalah digesa untuk menghantar kereta mereka ke pusat servis bertauliah Honda yang terdekat untuk diperiksa, dan penukaran alat ganti terjejas akan dibuat secara percuma.

    Jika anda ragu-ragu sama ada kenderaan Honda anda terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini, anda boleh lawati laman web khas yang disediakan DI SINI, dan masukkkan nombor pengenalan kenderaan (VIN) atau dikenali juga sebagai nombor casis kereta anda DI LAMAN TERSEBUT. Anda juga boleh memeriksa status kereta anda atau untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan apa-apa juga tentang isu ini dengan menghubungi talian 1800-88-2020 atau kunjungi mana-mana pengedar sah Honda.

     
     
  • Mercedes-Benz S450 W222 CKD terpapar dalam web Malaysia pada harga RM699,888 – facelift akan tiba?

    Mercedes-Benz S450 W222 CKD terpapar dalam web Malaysia pada harga RM699,888 – facelift akan tiba?

    Selain Mercedes-AMG C 43 dan GLC 43, turut dijumpai berada dalam laman web kalkulator kewangan Mercedes-Benz Malaysia (MBM) adalah S 450 W222. Varian ini hanya ada ditawarkan pada S-Class facelift, sekaligus memberi bayangan model yang diperbaharui ini juga akan tiba di Malaysia tidak lama lagi.

    Disenaraikan sebagai model pemasangan tempatan (CKD), S 450 dilihat terpapar dengan harga RM699,888 tidak termasuk insurans sekaligus meletakkan ia RM100,000 lebih mahal berbanding model hibrid S 400 h yang mendapat pengecualian duti. Tetapi, S 450 adalah sebuah model yang lebih berkuasa.

    Ini kerana ia didatangkan dengan enjin petrol enam silinder turbo 3.0 liter baru, bersama tambahan starter/alternator 48 volt bersepadu yang dapat memberi tambahan 21 hp dan 250 Nm apabila perlu – sekaligus menjadikan ia sebagai sebuah hibrid ringkas. Jumlah kuasa sistem ini adalah 362 hp dan 500 Nm, dihantar ke roda belakang melalui transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan.

    Mercedes-Benz S450 W222 CKD terpapar dalam web Malaysia pada harga RM699,888 – facelift akan tiba?

    Pada masa ini, spesifikasi serta barangan pada kenderaan ini masih belum didedah, tapi ia boleh dijangka mempunyai inovasi sama seperti yang diperkenalkan pada model facelift. Ini termasuk lampu utama LED Multibeam dengan Ultra Range High Beam, pad kawalan sesentuh pada stereng, pengecas tanpa wayar dan sistem kawalan keselesaan Energizing yang boleh mengawal suhu, pewangi udara, pemanas tempat duduk, fungsi mengurut dan pelbagai lagi.

    Sistem bantuan pemandu juga telah dinaik taraf dengan cruise control adaptif Distronic yang boleh memperlahankan kenderaan secara sendiri apabila ada selekoh atau persimpangan, dan boleh digunakan pada kelajuan sehingga 210 km/j. Terdapat juga Active Steering Assist dengan Active Lane Changing Assist dan Active Emergency Stop Assist, serta tambahan Active Brake Assist dengan fungsi brek trafik bertentangan dan brek kecemasan serta Evasive Steering Assist.

    GALERI: Mercedes-Benz S-Class W222 facelift

     
     
  • Mercedes-AMG C43 Sedan dan SUV GLC43 – harga model CKD terdedah, berkurang sehingga RM100k

    Mercedes-AMG C43 Sedan dan SUV GLC43 – harga model CKD terdedah, berkurang sehingga RM100k

    Terdapat spekulasi bahawa Mercedes-Benz Malaysia (MBM) akan mengeluarkan model AMG pemasangan tempatan (CKD), dan nampaknya masa itu seperti semakin tiba. Berdasarkan apa yang kami temui, Mercedes-AMG C 43 4Matic Sedan dan SUV GLC 43 4Matic akan menjadi model AMG CKD terawal yang akan ditawarkan. Model CKD ini dijumpai dalam laman kalkulator kewangan MBM, tetapi nampaknya sudah dipadam.

    Beza harga antara model import penuh (CBU) dan model CKD menjadi topik utama yang mahu diutarakan, dan ia sebenarnya agak banyak. Bagi C 43 4Matic Sedan, semasa pelancaran Mei lalu, harganya adalah RM499,888, tidak termasuk insurans. Harga CKD yang tertunjuk di laman web itu pula adalah kurang sehingga RM100,000 (20% dalam kiraan peratusan), menjadi RM399,888.

    Mercedes-AMG C43 Sedan dan SUV GLC43 – harga model CKD terdedah, berkurang sehingga RM100k

    Sama juga dengan GLC 43 4Matic, dengan harga CKD yang tertunjuk adalah RM458,888, sementara harganya waktu dilancarkan sebagai model import adalah RM538,888. Ini adalah pengurangan sehingga RM80,000 ataupun 14.8%. Buat masa ini, spesifikasi untuk dua model CKD ini masih belum disiarkan, tetapi ia mungkin tidak lari jauh daripada model CBU.

    Di bawah hud, kedua-dua kenderaan ini menggunakan enjin sama, iaitu unit V6 3.o liter twin turbo M276 yang mampu menghasilkan 362 hp (367 PS) dan 520 Nm tork. Kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan dan sistem pacuan empat roda 4Matic. Daripada aspek prestasi, C 43 Sedan mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat manakala GLC 43 pula mengambil masa 4.9 saat.

    GALERI: Mercedes-AMG C 43 Sedan 4Matic CBU


    GALERI: Mercedes-AMG GLC 43 4Matic

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025