Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota dan Geely bincang kerjasama teknologi hibrid

    Toyota dan Geely bincang kerjasama teknologi hibrid

    Gergasi automotif Jepun yang juga terkenal dengan penghasilan teknologi hibrid – Toyota – kini dilaporkan sedang dalam perbincangan berkenaan kerjasama dalam teknologi tersebut dengan jenama dari China iaitu Geely, menurut Reuters. Toyota memberitahu kepada agensi berita tersebut menerusi satu kenyataan bahawa pihaknya bersama Geely kini sedang “berkomunikasi bersama” berkenaan teknologi hibrid.

    Aspek yang dibincangkan masih lagi belum jelas, namun menurut sumber yang rapat dengan perkara ini menyatakan bahawa ia adalah berkaitan dengan syarikat pembekal teknologi bateri hibrid dari China, di mana Toyota dan Geely telah pun mempunyai kerjasama tetapi secara berasingan.

    “Toyota telah menjalankan perniagaan dengan polisi terbuka yang turut membabitkan teknologi elektrik. Hubungan dengan Geely (yang sedang diteroka Toyota) juga berdasarkan pada polisi terbuka ini,” kata kenyataan tersebut. Respon ini adalah berikutan laporan media China yang menyatakan Geely kini sedang berkerjasama dengan Toyota berkenaan teknologi hibrid, dan perinciannya akan diumumkan tidak lama lagi. Geely walau bagimanapun enggan memberi sebarang komen.

    Toyota dan Geely bincang kerjasama teknologi hibrid

    Laporan ini menunjukkan bahawa Toyota kini sedang berusaha dalam pembangunan teknologi-teknologi baharu untuk pertumbuhan masa hadapan. Ia juga sebagai salah satu langkah bagi meningkatkan lagi jumlah jualan di China yang juga kini dikenali sebagai pasaran paling besar di dunia. Jenama tersebut telah pun memasarkan model hibrid menerusi model Corolla dan Levin sejak 2015 dan bercadang untuk membawa sedan-sedan dalam versi hibrid plug-in (PHEV) tahun hadapan.

    Geely pula kini mempunyai platform asas B-segment Modular Architecture (BMA) yang direka bagi membolehkan pelbagai unit janakuasa dipadankan termasuk sistem hibrid plug-in, hibrid biasa dan juga hibrid ringkas. Bagi model sedan flagship Geely Bo Rui GE pula, ia ditawarkan dengan pilihan janakuasa MHEV dan PHEV, namun sistem berkenaan adalah berbeza sama sekali dengan teknologi hibrid konvensional dari Toyota.

     
     
  • Subaru WRX Raiu Edition 2019 dilancarkan – 100 unit model edisi terhad, hanya untuk pasaran Kanada

    Subaru WRX Raiu Edition 2019 dilancarkan – 100 unit model edisi terhad, hanya untuk pasaran Kanada

    Subaru telah melancarkan versi edisi terhad bagi WRX, yang dinamakan sebagai Subaru WRX Raiu Edition. Raiu bermaksud ribut petir dalam bahasa Jepun, dan warna luaran Cool Grey Khaki mencerminkan tema suram. Walau bagaimana pun, model edisi terhad ini hanya didatangkan sebanyak 100 unit dan untuk pasaran Kanada sahaja.

    Model edisi terhad ini berasaskan WRX Sport-tech RS, tetapi dipertingkatkan secara eksklusif termasuk menampilkan bahagian hadapan, ambang sisi, spoiler, peresap belakang dengan gaya STI, serta gear manual enam-kelajuan dengan sistem Hill Holder. Ia turut menampilkan kemasan luaran berwarna hitam bagi menambahkan lagi sifat sporty termasuk roda aloi lime-jejari berkembar gelap 18-inci.

    Tidak seperti STI, WRX dijanakan oleh enjin 2.0 liter suntikan-terus Boxer bentangan-melintang bersama pengecas turbo berkembar yang mampu menghasilkan 268 hp dan tork 350 Nm. Kuasa disalurkan ke semua roda menerusi sistem pacuan semua-roda, dan Raiu Edition hanya ditawarkan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

    Subaru WRX Raiu Edition 2019 dilancarkan – 100 unit model edisi terhad, hanya untuk pasaran Kanada

    Lain-lain mekanikal yang dipertingkatkan termasuk pad brek Jurid (bahagian hadapan) dengan kaliper brek warna-merah untuk semua brek, differential belakang jenis shot-peen open dan juga LSD tengah jenis Viscaus Coupling.

    Di dalamnya, ia ditampilkan dengan tempat duduk hadapan Recaro dengan “ultrasuede” dan kulit upholstery untuk hadapan dan belakang, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh tujuh-inci bersama navigasi dan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem stereo Harman Kardon dengan sembilan-pembesar suara. Harga yang ditawarkan untuk model edisi terhad ini ialah bermula CAD$40,995 (RM129k).

     
     
  • GALERI: Benelli RFS150i Limited Edition, Leoncino Trail dan TRK 502X ditunjuk awal sebelum pelancaran

    GALERI: Benelli RFS150i Limited Edition, Leoncino Trail dan TRK 502X ditunjuk awal sebelum pelancaran

    Semasa majlis pelancaran skuter Benelli VZ125i hujung minggu lalu, MForce Bike Holdings Sdn Bhd turut melakukan pra tonton awal untuk tiga model yang akan dilancarkan tidak lama lagi iaitu RFS150i Limited Edition, Leoncino Trail dan juga TRK 502X. Harga varian tambahan model ini masih belum diumumkan.

    Kesemuanya memberikan pilihan tambahan kepada model standard yang sudah dilancarkan di pasaran Malaysia, dengan dipasang pelbagai aksesori yang bersesuaian. Ini sekaligus memberikan pilihan kepada pengguna yang mahukan sesuatu yang berlainan dan lebih khusus.

    TRK 502X contohnya, dilengkapi dengan pelbagai aksesori untuk kembara, dengan antara yang boleh dilihat adalah pelindung bawah enjin, kotak simpanan di belakang dan rim jejari (depan saiz 19 inci dan belakang bersaiz 17 inci) berserta tayar dual purpose. Suspensi model ini juga dikatakan lebih tinggi berbanding model standard.

    Leoncino Trail juga mempunyai kelengkapan hampir sama, yang menjadikan ia seperti satu varian scrambler bagi model itu. Ia menggunakan rim jejari (19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang) dengan tayar dual purpose serta penghadang angin kecil di atas lampu hadapan. Kelengkapan lain seperti meter digital, brek cakera depan dan belakang serta lampu LED masih dikekalkan sama seperti model biasa.

    Pergi kepada RFS150i Limited Edition, paling jelas boleh dilihat adalah grafiknya, yang kini menggunakan jalur warna bendera Itali serta rim kelabu dengan jalur merah. Ia juga dipasang dengan aksesori lain seperti getah pemegang, tuil brek dan klac sports aluminium serta gelung spring suspensi belakang yang berwarna kuning. Bahagian lain masih kelihatan sama.

    GALERI: Benelli RFS150i Limited Edition

    GALERI: Benelli Leoncino Trail

    GALERI: Benelli TRK502X

     
     
  • VinFast – jenama dari Vietnam dedahkan rekaan sedan dan SUV, bakal diperkenalkan di Paris bulan hadapan

    VinFast – jenama dari Vietnam dedahkan rekaan sedan dan SUV, bakal diperkenalkan di Paris bulan hadapan

    Jenama automotif dari Vietnam, VinFast akhirnya mendedahkan sebahagian rupa model sedan dan SUV konsep mereka yang hampir ke versi produksi sebenar, sebelum kedua-duanya membuat penampilan penuh di Paris Motor Show bulan hadapan.

    Seperti yang diketahui sebelum ini, sedan dan SUV berkenaan mendapat sentuhan dari firma rekaan Itali, Pininfarina bagi menjelmakan rupanya. Kali ini didedahkan bahawa syarikat tersebut menggunakan platform asas, enjin dan transmisi dari Jerman iaitu BMW.

    Untuk model sedan, ia dibina dari kerangka asas BMW 5 Series generasi F10, manakala untuk SUV pula dihasilkan dari model BMW X5 generasi F15. Kedua-duanya akan dikuasakan enjin petrol 2.0 liter empat silinder turbo dari generasi N20 terdahulu, ditala bagi memberikan kuasa 174 hp dan 228 hp. Ia digandingkan dengan kotak gear ZF lapan-kelajuan untuk memacu roda belakang, sementara SUV turut akan ditawarkan dengan opsyen pacuan semua roda.

    VinFast – jenama dari Vietnam dedahkan rekaan sedan dan SUV, bakal diperkenalkan di Paris bulan hadapan

    Oleh itu, bentuk badan model-model ini turut kelihatan seperti BMW, menampilkan bonet hadapan dan juga jarak roda yang panjang. Versi sedan direka dengan bahagian belakang yang pendek serta garis melintang bagi membayangkan sifat “simetri, sofistikated dan kecantikan yang elegen”, manakala SUV pula diberikan bonet yang lebih garang dan berotot bagi memberikan rupa yang lebih sporty.

    Rekaan untuk kedua-dua model pertama dari VinFast ini dipilih sendiri oleh 62,000 ribu orang rakyat Vietnam yang menyertai undian, dan mereka perlu memilih antara 20 lakaran yang disediakan oleh firma-firma seperti Pininfarina, Italdesign, Touring Superleggera dan Zagato. Akhirnya rekaan dari Italdesign diisytiharkan pemenang, dan ia kemudian diperhalusi oleh Pininfarina dan dihasilkan dalam bentuk model tanah liat bantuan rekaan terbantu komputer 3D (CAD) di Itali, dan akhirnya didedahkan setahun setelah undian berkenaan tamat.

    VinFast – jenama dari Vietnam dedahkan rekaan sedan dan SUV, bakal diperkenalkan di Paris bulan hadapan

    Kedua-dua model VinFast rekaan Pininfarina ini diberikan lampu nyalaan siang LED yang tirus pada bahagian atas manakala lampu utama diletakkan pada bahagian bampar – seperti konsep yang diterapkan oleh Hyundai Kona. Model-model ini turut diberikan gril utama berbentuk heksagon, dan logo ‘V’ diletakkan pada bahagian tengah. Jika perasan, bentuk abjad ‘F’ turut diberikan disebelah logo utama, bagi melengkapkan sebutan ‘VinFast’ pada mukanya.

    Rekaan dengan konsep sama diteruskan pada bahagian belakang, dimana ia diberikan lampu belakang LED dengan rekaan tirus, dihubungkan kedua-dua belah dengan kemasan pada pintu tailgate, bersama logo ‘V’ diberikan pada bahagian tengah.

    Selepas muncul di Paris nanti, kereta-kereta berkenaan akan diperkenalkan di Vietnam pada penghujung tahun ini, manakala penghantaran kepada pembeli pertama akan bermula pada September tahun hadapan.

     
     
  • Proton Saga dalam imej render dengan gaya dari X70

    Proton Saga dalam imej <em>render</em> dengan gaya dari X70

    Seperti yang kita sedia maklum, minggu lalu Proton telah pun mendedahkan banyak perincian dan gambar SUV pertama keluaran syarikat itu, X70 lebih awal daripada tarikh pelancarannya. Dan, dari imej SUV versi Malaysia berkenaan, Theophulis Chin mengenakan penggayaan yang diambil daripada SUV berkenaan dan dibayangkan pada model Saga pula.

    Di bahagian depan, rekaan Saga yang dibayangkan semula ini menggunakan sentuhan rekaan gril dari X70. Jalur berkembar yang ada pada gril lama juga tiada lagi, dan digantikan dengan bilah gril “infinite weave”, satu corak a la sulaman yang meminjam inspirasi dari hasil kerja tangan Malaysia (batik dan ukiran kayu). Lampu utama juga diberikan bentuk baru, dan ruang masukan udara bahagian bawah bampar yang juga lebih besar.

    Proton Saga dalam imej <em>render</em> dengan gaya dari X70

    Beralih ke bahagian belakang, tiada lagi logi Proton yang sebelum ini diletakkan di tengah-tengah palang krom yang menghubungkan kedua-dua lampu belakang; ia telah digantikan dengan tulisan ejaan Proton sahaja, sama seperti yang dapat dilihat pada SUV X70. Rekaan lampu belakang juga turut diubah sedikit, dan ruang yang menempatkan nombor plat juga diberi perubahan.

    Kedudukan lampu kabus juga telah dialihkan ke sudut bampar. Selebihnya, rekaan Saga ini kekal sama seperti versi sedia ada. Sekiranya betul-betul Saga perlu diberi wajah baru, adakah pendekatan ini cukup menarik? Apa pandangan anda?

     
     
  • Proton buka pusat 3S baharu di Sg. Dua, Pulau Pinang

    Proton buka pusat 3S baharu di Sg. Dua, Pulau Pinang

    Proton telah melancarkan satu lagi pusat 3S baharunya, kali ini berlokasi di Taman Sungai Dua Utama, Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang. Sebelum ini, ia hanya beroperasi sebagai pusat 2S sahaja dan masih dikendalikan oleh Top Zone Auto Gallery.

    Penambahbaikan ini selaras dengan pelan Proton untuk menampilkan cawangan berwajah baharu dan terkini. Ia penting dalam memastikan pelanggan mendapatkan jualan dan servis yang terbaik, dengan memastikan ianya menjadi pusat sehenti yang memudahkan pelanggan.

    Dengan kos pelaburan sebanyak RM1.5 juta, pusat 3S di Sungai Dua ini terletak di kawasan pembangunan bandar baharu dan hanya mempunyai satu pengedar 2S PROTON yang berdekatan iaitu Zoomteknik Service Sdn Bhd. Lokasi ini sangat strategik kerana jaraknya hanya 2 minit dari Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) ke Sungai Dua.

    Proton buka pusat 3S baharu di Sg. Dua, Pulau Pinang

    Malahan ia juga mempunyai lima petak servis, lima servis pengangkat, ruang menunggu untuk pelanggan dan ruang Internet serta tempat pengecas. Menurut CEO Top Zone Auto Gallery Sdn Bhd, Haji Sobri Mustafa, pihaknya percaya bahawa Proton harus menjadikan kehadiran mereka mendapat tempat di pasaran, terutamanya apabila jenama ini kini giat melakukan perubahan yang agresif untuk menampilkan wajah yang lebih menarik dan terkini.

    Peningkatan terhadap kualiti kereta, dan usaha dalam memberikan servis selepas jualan yang lebih baik, turut telah menyumbangkan kepada peningkatan keseluruhan jualan dalam masa beberapa bulan yang lalu. Melalui penambahbaikan cawangan ini, ia juga menjangkakan peningkatan jumlah servis kepada 25%, diikuti dengan pertumbuhan jualan yang positif pada tahun pertama.

    Cawangan ini beroperasi pada setiap hari (kecuali Ahad) bermula jam 8 pagi hingga 8 malam untuk bilik pameran, dan pusat servis pula dari jam 9 pagi hingga 5.15 petang.

     
     
  • Benelli VZ125i dilancar – Malaysia jadi negara pertama terima skuter 124 cc EFI jenama itu, harga dari RM5.3k

    Benelli VZ125i dilancar – Malaysia jadi negara pertama terima skuter 124 cc EFI jenama itu, harga dari RM5.3k

    Selepas SYM VF3i, MForce Bike Holdings Sdn Bhd sekali lagi menjadikan Malaysia sebagai negara pertama yang menerima produk baru dan kali ini adalah untuk skuter Benelli VZ125i. Model ini boleh mula didapati di kedai pengedar motosikal Benelli seluruh Malaysia Disember ini.

    Benelli VZ125i adalah sebuah skuter yang dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok SOHC berpenyejukan udara 124 cc dengan sistem suntikan bahan api. Enjin yang mendapat penarafan Euro 3 ini dipadankan bersama transmisi automatik CVT, dan mampu menghasilkan kuasa 8.4 hp pada 7,500 rpm dan 9.0 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Antara yang menjadi perhatian pada skuter ini adalah lampu LED padanya, yang digunakan untuk lampu DRL, lampu utama, lampu penunjuk arah dan juga lampu belakang. Kemudiannya, monoshock belakang skuter ini menggunakan unit daripada Kayaba.

    Ia juga didatangkan dengan beberapa ciri yang memudahkan pengguna seperti pengecas USB, ruang simpanan bawah tempat duduk cukup untuk satu helmet, dua ruang barangan kecil di bawah pemegang dan juga tangki bahan api 4.9 liter.

    Antara kelengkapan lain yang ada pada skuter ini adalah brek cakera hadapan 220 mm dengan angkup dua piston, brek dram di belakang, rim 14 inci dengan tayar tanpa tiub 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, fork teleskopik dan panel meter digital.

    Untuk model biasa VZ125i, ia didatangkan dalam piilhan dua warna iaitu merah dan biru, dengan harga jualan RM5,288 manakala versi VZ125i SE berwarna hitam matte yang mempunyai aksesori seperti tuil brek aluminium, lapik kaki aluminium serta monoshock Kayaba dengan sub-tank di belakang dijual pada harga RM5,888. Semua harga ini termasuk SST tetapi tanpa insurans dan kos pendaftaran lain.

    GALERI: Benelli VZ125i

    GALERI: Benelli VZ125i SE

     
     
  • Mercedes-Benz CLA 200 Night Edition dan GLA 200 Night Edition diperkenalkan – RM243k dan RM245k

    Mercedes-Benz CLA 200 Night Edition dan GLA 200 Night Edition diperkenalkan – RM243k dan RM245k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan memperkenalkan C117 CLA 200 dan X156 GLA 200 versi Night Edition, dan ia bagi menggantikan varian CLA 200 AMG Line dan GLA 200 Urban Line di barisan tempatan.

    Pakej Night Edition menampilkan luaran AMG Line, jadi model facelift bagi CLA 200 tidak banyak berubah daripada model sebelum ini, namun dihadirkan dengan sedikit perubahan termasuk apron depan dan belakang, serna panel ambang sisi dengan kemasan matte titanium grey. Logo Edition pada dapra hadapan juga salah satu ciri yang ditampilkan.

    CLA 200 masih menggunakan roda aloi-ringan pelbagai-jejari AMG 18-inci yang diperkenalkan pada facelift, sementara GLA 200 Night Edition pula menerima roda baharu 19-inci dengan unit pelbagai-jejari AMG kemasan hitam yang menggantikan rekaan terdahulu roda lima-jejari kemasan hitam berkilat.

    Di dalamnya, tempat duduk balutan kulit tiruan Artico, alas lantai, beltline dan juga papan pemuka kini menampilkan jahitan putih, dan tali pinggang keledar dengan kemasan jaluran putih, sementara corong AC pila kini dengan lingkaran putih, dan kemasan seperti gaya gentian-karbon turut menghiasi papan pemuka, menggantikan kemasan aluminium seperti sebelum ini.

    Mercedes-Benz CLA 200 Night Edition dan GLA 200 Night Edition diperkenalkan – RM243k dan RM245k

    Tiada perubahan mekanikal – kedua-dua CLA 200 dan GLA 200 masih menggunakan enjin yang sama iaitu M270 DE 16 1.6 liter pengecas turbo yang menawarkan kuasa sehingga 154 hp pada 5,300 rpm dan tork 250 Nm dari 1,250 hingga 4,000 rpm, yang dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan 7G-DCT.

    Pilihan warna luaran bagi CLA 200 Night Edition terdiri daripada Polar White, Cavansite Blue, Polar Silver, Cosmos Black dan Mountain Grey, sementara bagi GLA 200 Night Edition ditawarkan dengan pilihan warna yang sama, tetapi tambahan satu lagi rona iaitu Polar Silver.

    Seperti yang MBM umum mengenai senarai harga baharunya, Mercedes-Benz CLA 200 Night Edition ditawarkan pada harga RM242,888, sementara GLA 200 Night Edition pula RM244,888, yang kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

     
     
  • BMW X2 M35i ditunjukkan dengan lebih kuasa – 302 hp

    BMW X2 M35i ditunjukkan dengan lebih kuasa – 302 hp

    BMW telah membuat keputusan untuk memberikan lebih kuasa kepada model X2 F39 dengan penawaran varian M35i baru, yang disebut oleh syarikat itu sebagai sebuah model yang menggabungkan ciri sporty bersama penampilan yang bertentangan.

    Kelebihan utama varian ini sudah tentu adalah pakej kuasanya, di mana ia menggunakan enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo dengan kemampuan 302 hp dan 450 Nm tork. Menurut BMW, enjin TwinPower Turbo ini adalah enjin empat silinder pertama daripada M Performance, tetapi tidak mendedahkan sama ada ia adalah unit yang dipertingkat daripada enjin B48. Apa yang dinyatakan, enjin ini mempunyai sistem penyejukan yang direka semula supaya suhunya lebih stabil.

    Demi memastikan semua kuasa ini dapat sampai ke atas jalan dengan baik, X2 M35i menggunakan sistem pacuan semua roda xDrive, bersama transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan. Hasilnya, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa cuma 4.9 saat, tapi laju maksimum tidak diberitahu. Penggunaan bahan api pula dikatakan berada pada tahap sekitar 8.1 L/100 km dan mengeluarkan karbon dioksida serendah 185 gram bagi setiap kilometer.

    Selain enjin yang lebih berkuasa, X2 M35i juga datang dengan sistem suspensi adaptif M Sport dengan dua mod pelarasan manual. Gandar hadapan pula mempunyai differential khas M Sport untuk mengelakkan kehilangan cengkaman pada roda hadapan.

    Penambahbaikan lain yang dilakukan pada model ini adalah talaan stereng yang dibuat semula, serta brek yang dipertingkat (cakera 18 inci di depan dan 17 inci di belakang). Dengan angkup yang berwarna biru, brek ini masih boleh dilihat jelas di sebalik rim aloi M Sport 19 inci dan pembeli masih mempunyai pilihan untuk menaik taraf rim ini kepada unit 20 inci M Sport.

    Walaupun mempunyai potensi yang tinggi, penggayaan X2 M35i tidak terlalu agresif dan cuma menggunakan pakej M Sport yang sudah sedia ada. Walaubagaimanapun, ia diberi sedikit perubahan termasuk pada bahagian salur udara hadapan bagi memberikan kesan penyejukan yang lebih baik kepada brek dan enjin.

    BMW X2 M35i ditunjukkan dengan lebih kuasa – 302 hp

    Beberapa bahagian seperti gril kidney dan lapik belakang cermin sisi dicat dengan warna Cerium Grey, manakala bahagian belakang mempunyai spoiler atas bumbung yang lebih menonjol serta dua muncung ekzos yang masing-masing berdiameter 100 mm.

    Masuk ke dalam pula, ia masih menggunakan barangan seperti dalam pakej M Sport, dengan antaranya seperti roda stereng M Sport yang dibalut kulit dan tulisan M35i paa trim pintu. BMW juga ada menawarkan tempat duduk M Sports sebagai pilihan tambahan, dengan tiga rekaan berbeza termasuk untuk tali pinggang keledar.

    Barangan tambahan lain yang boleh didapati untuk kereta ini termasuk heads-up display warna penuh, sokongan Apple CarPlay tanpa wayar, serta BMW ConnectedDrive dan BMW Connected App versi yang terbaru. Pengeluaran X2 M35i akan bermula November tahun ini.

     
     
  • Proton X70 – warna luaran dan dalaman

    Proton X70 – warna luaran dan dalaman

    Ketika pendedahan SUV Proton X70 pagi tadi, kami difahamkan bahawa model ini akan ditawarkan dengan lima warna badan berbeza, manakala pada bahagian kabin model Premium diberikan kulit Nappa berwarna perang sementara model lebih rendah menerima kulit sintetik berwarna hitam. Walau bagaimanapun, gambar rasmi yang diberikan kepada kami hanya memaparkan warna badan merah dan kelabu, serta kabin dari versi tertinggi.

    Nak tahu macam mana rupa SUV ini dengan warna standard lain iaitu puith, perak dan coklat/perang? Nah, kami sediakan untuk anda agar tidak perlu untuk hanya membayangkannya dalam kotak fikiran. Bukan setakat warna badan, bahagian kabin untuk model yang diberikan kulit berwarna hitam turut kami sertakan.

    Secara keseluruhan, bentuk luaran X70 adalah hampir seiras dengan Boyue facelift dan diberikan sedikit sentuhan dengan elemen masyarakat Malaysia. Pada bahagian hadapan, gril asal Boyue digantikan dengan gril Proton yang dihasilkan diinspirasikan dari busur panah dengan kemasan krom, manakala rekaan bahagian tengahnya digelar infinite weave yang diambil dari elemen ukiran kayu pada rumah-rumah tradisi melayu.

    Proton X70 – warna luaran dan dalaman

    Begitu juga pada bahagian dalaman, keseluruhannya masih lagi sama dengan kembarnya dari China. Namun, jika gril pembesar suara dan kemasan bahagian belakang pembuka pintu Boyue diberikan rekaan ‘G’ yang membentuk motif seperti dinding tembok besar negeri China, komponen yang sama pada X70 menerima elemen infinite weave seperti pada gril hadapan.

    Proton X70 akan ditawarkan dalam empat varian iaitu model asas Standard 2WD, Executive 2WD, Executive AWD dan Premium 2WD. Kesemua varian ini bakal dijana enjin dan transmisi yang sama iaitu enjin petrol empat silinder 1.8 liter TGDI turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 285 Nm digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan automatik.

    Seperti yang tercatat pada varian, X70 ditawarkan dengan sistem pacuan hadapan dan juga versi dengan sistem pacuan semua roda. Menurut spesifikasi untuk Boyue pasaran China, model TGDI pacuan hadapan dengan berat 1,690 kg adalah 7.8 liter untuk perjalanan 100 km (12.8 km/l).

    Kelengkapan lain yang turut diberikan termasuk kamera 360-darjah yang memaparkan halangan persekitaran kereta dalam bentuk 3D, dan juga kamera pandangan hadapan diletakkan pada bahagian atas cermin hadapan yang dihubungkan kepada sistem bantuan pemanduan, terdiri dari sistem brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan dan cruise control adaptif.

    Proton X70 – warna luaran dan dalaman

    X70 juga dibekalkan dengan ciri “Kawalan Jauh Telefon Pintar” dan “Penyegar Udara Pintar” – dinyatakan menerusi perkataan sistem “Air Cleaner” yang terletak di bahagian atas liang pengahawa dingin belakang. Sistem pemantauan angin tayar turut diberikan.

    SUV ini diberikan port USB yang cukup banyak – dua untuk penumpang hadapan dan pemandu, dua untuk penumpang belakang dan satu lagi di belakang cermin pandang belakang bagi memudahkan pemasangan dash cam. Model Premium dilengkapi dengan pengawal kedudukan tempat duduk penumpang hadapan tambahan yang diletakkan pada bahagian sisi seperti pada Toyota Camry, dan juga subwoofer yang diletakkan pada bahagian atas tayar gantian.

    Harga untuk SUV ini masih lagi belum diumumkan, tetapi jika anda benar-benar berminat dengan Proton X70 ini, tempahannya akan dibuka esok, 8 September 2018 dengan bayaran RM1,000.

    GALERI: Gambar rasmi Proton X70

     
     
  • KTM bakal menambah sembilan unit tren untuk perkhidmatan ETS menjelang Disember ini

    KTM bakal menambah sembilan unit tren untuk perkhidmatan ETS menjelang Disember ini

    Bagi menampung keperluan sedia ada, Keretapi Tanah Melayu (KTM) bakal menambah sembilan lagi unit tren bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), dijangka menjelang Disember ini.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, sembilan unit itu akan menyertai 15 lagi set yang sedia ada dan menjadikan jumlah keseluruhan 24 set tren ETS bakal beroperasi di sepanjang laluan yang sedia ada sekarang, laporan Berita Harian.

    “Kita tahu ETS mendapat permintaan tinggi pengguna di semua laluan dari selatan sehingga utara dan penambahan set ini akan melihat ramai pengguna dapat menggunakan ETS. Perkhidmatan ini sememangnya popular di kalangan pengguna yang menjadikan ETS sebagai medium pengangkutan dari Kuala Lumpur ke Butterworth, Ipoh dan Padang Besar,” katanya kepada pemberita, semalam.

    Tambahnya lagi, laluan trek berkembar arah selatan dari Gemas ke Johor Bahru masih belum siap sepenuhnya manakala laluan dari Gemas ke utara sudah digunakan dan jajarannya sudah siap sepenuhnya. Malah pihaknya memang mahu menambah kapasiti tren KTM terutamanya selepas ia mendapat permintaan tinggi daripada pengguna.

    Sejajar dengan kemudahan Penang Sentral yang akan beroperasi sebelum Disember ini, penambahan kemudahan ETS itu akan memenuhi keperluan pengguna perkhidmatan kenderaan awam.

     
     
  • Proton X70 – ciri Malaysia yang diserap pada rekaan

    Proton X70 – ciri Malaysia yang diserap pada rekaan

    Kami baru sahaja selesai sesi pra tonton eksklusif SUV pertama Proton iaitu X70 dan dua model pemanduan sebelah kanan lengkap ditunjukkan di depan mata. Selain daripada itu, beberapa wakil Proton turut melakukan pembentangan berkenaan model ini, termasuklah ketua rekaan Proton, Azlan Othman.

    Seperti yang sudah diketahui, X70 ini adalah sebuah SUV yang menggunakan asas daripada Geely Boyue versi facelift terkini, dan kebanyakan kerja yang dilakukan oleh Proton adalah untuk menukarkannya kepada pemanduan sebelah kanan. Walaubagaimanapun, beberapa ubah suai lain turut dilakukan supaya ia berpadanan dengan jenama Proton serta pasaran di negara ini.

    Melihat kepada rekaannya, X70 mempunyai perbezaan yang jelas berbanding Boyue pada bahagian grilnya. Selain terdapat lambang Proton di tengahnya, Azlan turut memberitahu rekaan gril ini mendapat inspirasi daripada busur panah dan ia menggantikan gril jenis “expanding cosmos” yang terdapat pada Boyue.

    Kemudiannya pada gril ini juga, terdapat corak berwarna kelabu yang mengisi tengahnya, dan bahagian ini mendapat inspirasi daripada ukiran kayu yang terkenal dalam hasil kerja tangan di Malaysia. Di sekeliling gril ini terdapat kemasan krom berkilat.

    Sebagai satu kebetulan, Boyue yang direka oleh Peter Horbury sememangnya diserap dengan elemen rekaan daripada harimau dan Proton juga menggunakan logo harimau. Pengaruh ini boleh dilihat melalui bentuk tepi X70 dan juga lampu utamanya yang mempunyai mata seperti harimau. Di bahagian tepi lampu depan dan belakang X70 ini terdapat ukiran yang tertulis nama Proton.

    Selain di bahagian luar, pengaruh tempatan turut digunakan pada bahagian dalam X70, di mana konsep rekaan sama seperti gril tadi digunakan pula pada kemasan berhampiran pembuka pintu serta permukaan pembesar suara yang juga terdapat di pintu. Pemegang yang terletak di konsol tengah pula dikatakan mempunyai bentuk seperti ombak.

    Melalui X70 juga, anda akan nampak Proton bukan sekadar melakukan penukaran logo pada SUV ini malah kerja yang dilakukan adalah lebih banyak. Selain papan pemuka, konsol tengah juga telah diubah supaya bersesuaian dengan kedudukan pemandu yang berada di sebelah kanan. Butang parkir elektronik, Auto Hold, DSC serta penunjuk kedudukan gear juga semuanya sudah berada berhampiran pemandu.

     
     
  • Malaysia bakal jadi hab global produksi Geely Boyue versi pemanduan sebelah kanan dan Proton X70

    Malaysia bakal jadi hab global produksi Geely Boyue versi pemanduan sebelah kanan dan Proton X70

    Ketika pendedahan SUV pertama Proton -X70- di Pusat Kecermerlangan Proton Shah Alam pagi ini, jenama automotif nasional berkenaan mendedahkan fasiliti mereka di Tanjung Malim bukan sahaja akan memasang model baharu tersebut, malah turut akan menjadi hab global bagi penghasilan Geely Boyue versi pemanduan sebelah kanan.

    Untuk peringkat permulaan, Proton X70 sebenarnya akan dihasilkan secara CBU di kilang Geely di China. Menurut naib presiden pembuatan Proton, Yoshiya Inamori, kilang Proton Tanjung Malim pula kini sedang disediakan untuk menghasilkan model tersebut dalam versi CKD, dijadualkan akan beroperasi pada pertengahan tahun hadapan.

    Secara realiti, kualiti produk dari China sekarang sebenarnya telah meningkat dengan banyak, tetapi stigma ‘made in China‘ masih lagi menghantui kereta-kereta dari negara berkenaan. Inamori yang juga jurutera berpengalaman selama 35 bersama Mitsubishi menyatakan bahawa kualiti Geely adalah jauh lebih tinggi dari Proton, namun jenama automotif tempatan tersebut kini sedang “menghampiri tahap Geely,” manakala Geely pula “hampir ke tahap Volvo.”

    Timbalan ketua pegawai eksekutif Proton Datuk Radzaif Mohamed pula menambah, Proton kini telah menghantar 500 orang juruteranya (selain dari pereka) ke Geely bukan sahaja untuk belajar tentang aspek teknikal berkaitan kualiti, tetapi turut “membawa pulang budaya kerja.” Beliau turut mengesahkan kepada pihak paultan.org bahawa Proton bukan sahaja akan menjadi hab produksi untuk X70 pasaran Malaysia, malah berpotensi untuk mengeksport model pemanduan sebelah kanan tersebut ke pasaran yang menggunakan konfigurasi pemanduan sama, berkemungkinan dengan lencana Proton.

     
     
  • LRT tidak sesuai untuk Pulau Pinang – Anthony Loke

    LRT tidak sesuai untuk Pulau Pinang – Anthony  Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata Transit Aliran Ringan (LRT) tidak sesuai untuk dilaksanakan di Pulau Pinang. Katanya, ia adalah berdasarkan hasil penyelidikan yang dibuat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) baru-baru ini, laporan Berita Harian.

    “Saya sudah berbincang dengan Ketua Menteri. Saya memberitahunya bahawa pihak kami sentiasa menyokong usaha kerajaan negeri untuk menaiktaraf sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang. Namun, kajian SPAD menunjukkan bahawa LRT bukan satu pilihan yang baik di negeri ini. Mungkin tram atau bentuk pengangkutan lain,” katanya kepada pemberita semalam.

    Jelasnya lagi, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri mengenai apa yang dihajati Pulau Pinang.

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pula berkata, pihaknya akan berhubung dengan SPAD dan bersikap terbuka dengan cadangan sama ada tram, Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Bas (BRT) atau lain-lain.

     
     
  • Proton X70 – kenapa nama itu dipilih, apa maksudnya?

    Proton X70 – kenapa nama itu dipilih, apa maksudnya?

    Nama untuk SUV pertama Proton akhirnya telah diumumkan, dan ia akan dikenali secara rasmi sebagai X70. Pastinya ramai yang tertanya kenapa dan bagaimana nama itu dipilih, kerana ia adalah berbeza dengan cara Proton memberi nama kepada modelnya sebelum ini.

    Jika anda ingat, April lalu Proton telah memulakan satu undian khas secara atas talian yang dibuka kepada umum untuk menentukan nama SUV Proton ini. Pilihan yang diberi adalah Proton X7, PX7, X70, atau X700. Cadangan nama terkenal yang berlegar di laman sosial iaitu ‘Bayu’ walaubagaimanapun tidak termasuk dalam senarai.

    Undian itu kini sudah berakhir dan dengan penyertaan lebih 89,900 orang, nama yang mendapat undian paling ramai adalah X70 dengan hampir 60% peserta memilih nama tersebut. Proton juga telah memilih lima orang peserta bertuah yang terlibat dalam undian ini untuk menerima hadiah bernilai lebih RM100,000.

    Proton X70 – kenapa nama itu dipilih, apa maksudnya?

    Menurut ketua pegawai eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa, nama X70 ini akan memudahkan Proton untuk menjual model tersebut di negara ASEAN lain tanpa adanya batasan bahasa. Huruf X tersebut sinonim dengan kenderaan jenis crossover ataupun SUV, manakala 70 pula menggambarkan saiz atau kelas bagi segmen SUV tersebut.

    Ketua pegawai eksekutif Proton, Li Chunrong pula memberitahu nama X70 ini dipilih kerana ia lebih ringkas dan mahukan orang ramai lebih memberi tumpuan kepada jenama Proton itu sendiri dan bukannya pada model itu secara khusus sahaja.

    X70 adalah model Proton pertama yang menggunakan sistem angka dan abjad, dan ia akan diteruskan untuk model Proton yang berikutnya. Mungkinkah ini akan menjadi penamat bagi nama-nama unik model Proton seperti Saga, Persona, Perdana, Waja dan lain-lain? Itu kami belum tahu. Apa pula pendapat anda?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025