Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • DBKL kembali laksana tindakan kunci roda kenderaan yang sebabkan halangan atau bahaya mulai Okt 2023

    DBKL kembali laksana tindakan kunci roda kenderaan yang sebabkan halangan atau bahaya mulai Okt 2023

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kembali melaksanakan tindakan kapit (kunci/clamping) roda kenderaan yang menyebabkan halangan, bahaya atau kesulitan kepada pengguna jalan yang lain mulai bulan ini. Perkara tersebut diumumkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasminya, dengan berkata kenderaan yang didapati melakukan kesalahan ini akan dikenakan tindakan berkenaan dan kenderaan itu juga boleh dialihkan oleh pihak DBKL.

    “Tindakan dibuat menerusi Seksyen 48, Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dilaksanakan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL),” kata DBKL yang turut berkongsikan video pendek mengenai penguatkuasaan ini.

    Walau bagaimana pun, DBKL tidak menyatakan bayaran kompaun yang dikeluarkan untuk kesalahan ini. Jika mengikut bayaran kompaun untuk kesalahan tersebut sekitar tahun 2016, pemilik kenderaan perlu hadir menjelaskan bayaran sebanyak dalam tempoh empat jam tayar kenderaan dikunci bagi tuntutan semula sebelum tindakan menunda diambil dengan denda RM100 dikenakan.

    Pada tahun 2018, DBKL pernah menggantung semua operasi kunci roda kenderaan susulan satu insiden perbalahan antara pemilik kenderaan dan pegawai DBKL.

    Walau bagaimana pun, dengan pelaksanaan semula operasi sebegini, DBKL turut mengingatkan pengguna jalan raya khususnya di sekitar ibu negara untuk sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

     
     
  • Promosi Oktober 2023 Honda Malaysia — potongan sehingga RM12,000, baucar diskaun dan hadiah lain

    Promosi Oktober 2023 Honda Malaysia — potongan sehingga RM12,000, baucar diskaun dan hadiah lain

    Sepanjang bulan Oktober, Honda Malaysia mengadakan kempen jualan hujung tahun melalui promosi bulanan “Last Call Bonanza” dengan menawarkan rebat tunai dan banyak lagi.

    Kempen ini sah untuk semua kenderaan yang didaftarkan sepanjang Oktober 2023, dengan penjimatan keseluruhan mencecah RM12,000. Model yang terlibat terdiri daripada City, City Hatchback, Accord dan CR-V, dan semua ini adalah bagi model keluaran tahun ini, MY2023.

    Diskaun paling besar tentulah untuk kereta yang paling besar juga — Accord diberikan potongan harga sebanyak RM12,000. Jika inginkan SUV, CR-V juga ada, dengan potongan sebanyak RM8,000 sepanjang tempoh ini, dan boleh dipilih daripada barisan varian yang luas — 2.0L 2WD, 1.5L TC-P 2WD, 1.5L TC-P 4WD dan Black Edition.

    Semua lima varian bagi sedan segmen B City Hatchback — S, E, V, V-Sensing dan RS — turut diberikan potongan RM2,500. Versi City Hatchback pilihan yang lebih sesuai dengan golongan belia, dan menjadi model yang ideal untuk mereka yang baru memulakan pengalaman pemilikan kenderaan. Untuk City Sedan, ia diberikan rebat sebanyak RM1,500.

    Namun, untuk bulan ini, bukan itu saja. Honda Malaysia turut memberikan bonus dalam bentuk baucar servis, kadar faedah rendah, baucar petrol atau ganjaran tunai. Sebagai tambahan, mereka yang memilih City E dan V akan menerima Ecotint percuma bernilai RM2,200. Insentif istimewa untuk City E/V ini sah bermula sekarang hingga 31 Disember.

    Untuk sebuah kereta baru, ini adalah penjimatan yang menarik, dan mungkin antara insentif terbaik yang pernah diberi oleh mana-mana pengeluar kenderaan bagi tempoh pasca-pandemik ini. Jika memang ingin memiliki sebuah model Honda, ini peluang yang baik untuk dimanfaatkan.

     
     
  • Proton S50 dengan gril songket dijumpai sedang diuji – sedan turbo bakal dilancarkan bulan depan?

    Proton S50 dengan gril songket dijumpai sedang diuji – sedan turbo bakal dilancarkan bulan depan?

    Kita mungkin akan menyaksikan sebuah sedan serba baharu dari Proton bulan hadapan kerana pada September lalu CEO Proton, Dr. Li Chunrong sendiri mengesahkan bahawa model berkenaan akan dilancarkan dalam masa “dua bulan dari sekarang“.

    Dan nampaknya semakin hampir tarikh pelancarannya, semakin kerap juga unit prototaip untuk model yang dijangka akan digelar sebagai Proton S50 tersebut dilihat diuji di atas jalan raya awam. Yang terbaharu, kelibat sedan tersebut dapat dibelek oleh seorang pengguna laman sosial TikTok ketika ia berhenti untuk mengisi petrol di sebuah stesen minyak Shell.

    Dapat diperhatikan unit kali ini nampaknya menerima gril dengan elemen pin krom seperti pada SUV segmen-D Proton X90, berbeza dengan unit-unit sebelum ini yang mengenakan gril infinite weave seperti pada X70 dan X50. Menurut Proton ketika X90 dilancarkan Mei lalu, rekaan pin krom berkenaan sebenarnya diilhamkan dari corak kain songket Melayu, manakala corak infinite weave sebelum ini diketahui diinspirasikan dari corak ukiran rumah-rumah tradisional asli Melayu.

    Mungkin gril-gril ini mewakili varian berbeza yang akan ditawarkan pada S50 kelak? Malah sebelum ini sebuah unit prototaip S50 turut dilihat telah dipadankan dengan kit badan lebih agresif menampilkan spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, spoiler ‘ekor itik’ pada but belakang dan juga unit diffuser belakang yang nampak lebih besar dari sebelum ini.

    @thisisfarelll jalan2 terserempak #protons50 ♬ original sound – thisisFARELL

    Walaupun Proton S50 ini diasaskan dari Geely Emgrand yang telah pun dijual di China dan Filipina, model yang dibangunkan di Malaysia ini mungkin menerima kelengkapan yang lebih canggih dari model asalnya.

    Berdasarkan kamera monokular pada bahagian atas cermin hadapan dan trade plate yang digunakan pada bahagian hadapan mempunyai lubang empat segi yang mungkin digunakan untuk menguji radar gelombang milimeter, S50 nampaknya akan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang tidak ditawarkan pada Emgrand.

    Dengan kelengkapan-kelengkapan tersebut, berkemungkinan sistem ADAS pada S50 ini akan memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi bukan sahaja brek kecemasan automatik, malah sistem cruise control adaptif dengan bantuan kekal/pengelak keluar lorong.

    Selain itu, S50 turut dijangka akan menampilkan unit rangkaian kuasa lebih baik iaitu enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan seperti pada Proton X50, berbanding Emgrand di China yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA dengan kotak gear CVT.

    Proton S50 dengan gril songket dijumpai sedang diuji – sedan turbo bakal dilancarkan bulan depan?

    Ini kerana setakat ini Proton tidak membayangkan akan menggunakan enjin 1.5L NA dari Geely berkenaan untuk mana-mana model baharu, sebaliknya menyatakan enjin 1.5L Turbo yang kini sudahpun dipasang di Tanjung Malim akan menjadi enjin utama untuk model-model baharunya yang akan dilancarkan pada 2023 dan 2024.

    Enjin yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo serta dikenali dengan kod dalaman GEP3 tersebut akan menggantikan tugas enjin 1.6 liter Campro Turbo sebelum ini yang telahpun ditamatkan terus pembangunannya.

    Di Filipina, Emgrand merupakan sedan segmen-B yang bersaing dengan model seperti Honda City dan juga Toyota Vios. Namun menerusi petunjuk yang didedahkan oleh CEO Proton Dr Li Chunrong pada Mac lalu, Proton S50 bukanlah model sedan segmen-B yang akan menggantikan Proton Persona sedia ada kerana ia merupakan model serba baharu dan tidak akan menggantikan mana-mana model yang sedang dijual di bilik pameran Proton buat masa sekarang.

    Oleh itu S50 ini dijangka akan menjadi sedan Proton untuk bersaing dalam kelas segmen-C di Malaysia bagi berhadapan dengan Honda Civic dan Toyota Corolla, kerana ia mempunyai enjin yang cukup berkuasa dan juga sistem ADAS yang cukup canggih setaraf dengan saingannya.

    Malah saiz Emgrand di China turut hadir dengan saiz yang agak besar berbanding saingan segmen-B, membolehkan ia masuk ke saingan segmen-C, menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm.

    Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, Emgrand hanya hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar. Manakala jarak rodanya pula adalah sama sepenuhnya dengan sedan segmen-C Proton yang sudah tidak lagi ditawarkan iaitu Proton Preve.

    Kami juga menjangkakan S50 turut akan menampilkan harga seperti Preve iaitu harga seperti segmen-B tetapi dengan ciri seperti segmen-C. Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012, manakala Proton Persona dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT.

    Dengan Proton X50 yang kini dijual pada harga RM86k hingga RM113k, boleh jadi S50 ini akan dijual bermula RM70k untuk varian paling asas. Anda pula rasa bagaimana? Agak-agak berapa harga S50 ini ketika dilancarkan bulan depan?

     
     
  • JDT sertai lumba motosikal bersama Hafizh Syahrin

    JDT sertai lumba motosikal bersama Hafizh Syahrin

    Johor Darul Ta’zim yang kini sudah menjadi satu jenama, dengan penyertaan dalam pelbagai bidang sukan termasuk futsal, polo, tinju dan hoki ais kini mengumumkan akan menyertai perlumbaan motosikal bermula tahun hadapan dengan kerjasama Hafizh Syahrin.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui media sosial, JDT memberitahu bahawa pasukan yang dikenali sebagai JDT Racing Team ini akan bermula dengan perlumbaan Asia Road Racing Championship dengan hasrat untuk bersaing dalam perlumbaan Superbike World Championship pada masa hadapan.

    Setakat ini masih belum diketahui apa tugas Hafizh dalam kerjasama ini, sama ada beliau akan menjadi pelumba, penasihat atau pelatih dan kedua-dua pihak masih belum mengeluarkan sebarang maklumat berkaitan perkara tersebut.

    Bersama kita nantikan perkembangan terkini berkenaan kerjasama ini.

     
     
  • BMW X1 sDrive20i xLine 2023 diperkenalkan di M’sia — CKD, 2.0T dengan 204 PS, 300 Nm; dari RM260k

    BMW X1 sDrive20i xLine 2023 diperkenalkan di M’sia — CKD, 2.0T dengan 204 PS, 300 Nm; dari RM260k

    BMW X1 generasi ketiga (U11) kini ditawarkan dengan enjin pembakaran dalaman biasa melalui pengenalan varian sDrive20i xLine untuk pasaran tempatan pada harga RM259,800 atas jalan tidak termasuk insurans. Ini termasuk sekali dengan lanjutan jaminan lima-tahun dan pakej servis.

    Tidak seperti model elektrik iX1 xDrive30 M Sport yang dilancarkan pada Mei lalu, model petrol X1 sebelum ini ditawarkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD) dari Kulim, Kedah. Model generasi kedua F48 juga merupakan model CKD.

    Dengan harga tersebut, model terkini X1 datang dengan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol yang menjana sebanyak 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 300 Nm tork. Berbanding model generasi F48 untuk varian yang sama, angka janaannya meningkat sebanyak 12 PS (12 hp atau 9 kW) dan 20 Nm.

    BMW X1 sDrive20i xLine 2023 diperkenalkan di M’sia — CKD, 2.0T dengan 204 PS, 300 Nm; dari RM260k

    Kuasa dihantar ke roda depan melalui transmisi Steptronic klac berkembar tujuh-kelajuan, dengan memberikan bacaan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat dan laju maksimum 236 km/j. Kadar penggunaan minyak bagi varian sDrive20i ialah 7.2 l/100 km.

    Model U11 terbaru ini juga mempunyai dimensi ukuran yang lebih besar daripada model sebelumnya. Ia berukuran 4,500 mm (+53 mm) panjang, 1,845 mm (+24 mm) lebar, 1,642 mm (+44 mm) tinggi dengan jarak antara roda 2,692 mm (+22 mm). Kapasiti ruang barangan pula ialah 476 liter yang boleh ditambah menjadi 1,527 liter dengan kerusi belakang diturunkan.

    X1 CKD ini diberikan pakej penggayaan xLine yang menampilkan bampar lebih agresif berbanding model iX1 M Sport. Kemasan visual utama yang ada termasuklah “kidney grille” dengan bingkai Pearl Chrome dan jalur hitam berkilat, panel pelindung bawah badan, kemasan krom bagi bukaan udara serta kemasan kelabu gelap untuk apron bawah.

    Kelengkapan standard untuk X1 terdiri antaranya daripada lampu utama LED adaptif, rim 19-inci jejari-V Style 867 dwi-warna, sistem infotainmen dengan skrin sentuh 10.7-inci, BMW Operating System 8, kawalan pendingin dua-zon, balutan kerusi Sensatec, paddle shifter dan My Modes.

    Bagi sistem bantuan pemandu, kedua-dua pakej Bantuan Memandu dan Parkir disertakan, yang terdiri daripada ciri Hill Start Assist, Speed Limiter, Attentiveness Assistant, Lane Departure Warning dengan kawalan stereng Amaran perlanggaran depan dan belokan kiri — dengan fungsi brek — serta Evasion Assistant.

    Lima warna ditawarkan bagi model ini, iaitu Black Sapphire, Alpine White, Cape York Green, Phytonic Blue dan Space Silver, semuanya digandingkan dengan balutan Sensatec dan lapik bumbung anthracite.

     
     
  • Proton sumbang 7-enjin 1.5 T-GDi kepada institusi pendidikan awam untuk tujuan latihan kemahiran

    Proton sumbang 7-enjin 1.5 T-GDi kepada institusi pendidikan awam untuk tujuan latihan kemahiran

    Proton mengumumkan bahawa pihaknya telah menyumbangkan tujuh unit enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan terus (TGDi) kepada beberapa institusi pendidikan awam sekitar negeri Perak bagi digunakan untuk tujuan pembelajaran dan latihan teknikal.

    Enjin-enjin tersebut disampaikan oleh YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dan Ahli Parlimen Tanjung Malim semasa acara berbasikal sejauh 30km, Proton Growing Together Fun Ride yang berlangsung pada 8 Oktober lalu bersempena ulang tahun syarikat yang ke-40.

    Antara institusi pendidikan yang menerima enjin 1.5 TGDi tersebut ialah Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Kolej Vokasional Slim River, Giat Mara Tanjung Malim dan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim. Menurut Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan, pelajar-pelajar akan diberi latihan eksklusif dan membina pengetahuan dalam servis dan pembangunan enjin, serta membantu menyelaraskan kemahiran mereka dengan permintaan industri.

    “Proton telah mengeluarkan kenderaan di Tanjung Malim selama 20 tahun dan kami sentiasa mencari peluang untuk menyokong institusi pendidikan tempatan untuk mengembangkan lagi pengetahuan dan kemahiran automotif mereka. Kami berharap enjin yang diserahkan hari ini akan membantu memajukan program latihan di institusi dan membantu melatih bakat masa depan untuk industri automotif Malaysia,” kata CEO Proton, Dr Li Chunrong.

    Enjin 1.5 TGDi ini dikenali dengan kod dalaman GEP3 atau Global Engine Petrol 3, yang dibina bersama oleh Volvo dan Geely. Oleh itu enjin ini adalah setaraf dengan enjin-enjin yang dihasilkan oleh pengeluar automotif global lain buat masa sekarang dari segi teknologi, prestasi dan juga emisi.

    Proton juga telah mula memasang enjin ini secara pemasangan tempatan di fasilitinya di Tanjong Malim, dengan pelbagai komponen dalaman dibekalkan oleh vendor-vendor tempatan.

    Selain majlis penyerahan enjin, Proton turut menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada tiga beradik atas usaha cemerlang mereka di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX23). Shameer Panduar, 16, Shaheer Panduar, 14, dan Shazlan Panduar, 13, semuanya merupakan pelajar di SMK Proton City telah bersama-sama memenangi pingat emas untuk Pameran Rekacipta Muda Dunia (WYIE) dan dinobatkan sebagai Pencipta Muda Terbaik di Pameran Reka Cipta Muda Malaysia (MYIE).

    “Sumbangan tunai Proton kepada tiga beradik itu adalah ganjaran atas usaha dan pengiktirafan mereka bahawa minda muda berbakat boleh ditemui di Tanjung Malim. Sama seperti ibu bapa mereka, kami juga berbangga dengan pencapaian mereka dan berharap ini adalah langkah pertama untuk pencapaian yang lebih hebat pada masa hadapan,” tambah Dr Li.

     
     
  • Mazda MX-5 terima facelift – tambahan kuasa untuk enjin 1.5L, DSC-Track, ACC, skrin infotainmen 8.8 inci

    Mazda MX-5 terima facelift – tambahan kuasa untuk enjin 1.5L, DSC-Track, ACC, skrin infotainmen 8.8 inci

    Mazda telah memperkenalkan MX-5 facelift, yang menerima peningkatan bahagian visual dan juga teknologi. Ini adalah kali ketiga model ND generasi keempat ini diberikan peningkatan sejak ia membuat penampilan pertama September 2014 lalu, dengan talaan enjin dibuat pada tahun 2018 dan Kinematic Posture Control (KPC) diperkenalkan pada tahun 2021.

    Masih disediakan dalam versi bumbung boleh lipat lembut atau keras (RF), MX-5 baru ini antaranya menerima lampu utama LED yang disepadukan bersama DRL. Lampu belakang juga menampilkan rekaan pencahayaan baru, sementara rekaan rim baru turut ditawarkan dengan Aero Grey Metallic.

    Anda juga akan dapat melihat gril yang diubah suai bagi menempatkan pengesan radar yang membantu fungsi Mazda Radar Cruise Control (MRCC) serta Smart Brake Support [Rear Cross] (SBS-RC). Fungsi sokongan brek itu dapat membrek kenderaan secara automatik semasa mengundur pada kelajuan 15 km/j ke bawah, apabila ia mengesan kenderaan dari kiri, kanan atau belakang.

    Pada bahagian belakang, MX-5 facelift ini mengikut jejak Mazda 2 dan CX-3 dengan mendapat skrin 8.8 inci untuk sistem infotainmen. Ia kemudiannya disertai oleh panel instrumen yang diubah sedikit, soket USB-C, cermin sisi terapung serta pilihan balutan dalam baru. Satu varian baru, iaitu S Leather Package V dengan bahagian dalam lebih cerah serta bumbung lembut disediakan sebagai piilhan.

    Berkenaan sistem pemanduan, versi transmisi manual mendapat asymmetrical limited-slip differential serta mod baru untuk dynamic stability control, dipanggil sebagai DSC-Track. Kemudiannya, sistem stereng elektrik untuk semua varian ditala semula untuk menjadi lebih ringan dan memberikan rasa lebih tepat.

    Akhir sekali, enjin empat silinder 1.5 liter NA pada MX-5 menerima peningkatan kuasa sebanyak 4 PS (4 hp atau 3 kW), menjadikan keseluruhannya 135 PS (133 hp atau 99 kW) dan tork 150 Nm. Enjin empat silinder 2.0 liter NA pula tidak diusik dan masih menyediakan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork 205 Nm – kedua-dua enjin ditawarkan dengan transmisi manual atau automatik enam kelajuan.

     
     
  • Keputusan pelaksanaan penguatkuasaan letak kenderaan di depan rumah diketahui 11 Okt ini – MBPG

    Keputusan pelaksanaan penguatkuasaan letak kenderaan di depan rumah diketahui 11 Okt ini – MBPG

    Susulan isu penguatkuasaan meletakkan kenderaan di luar pagar rumah seperti mana pada memo dan notis pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) pada 2 Oktober lalu, PBT berkenaan berkata pihaknya akan mengeluarkan keputusan berhubung perkara tersebut pada 11 Oktober ini.

    Menurut Datuk Bandar MBPG, Datuk Asman Shah Abd Rahman, pelaksanaan penguatkuasaan kesalahan meletakkan kenderaan di hadapan rumah dan menghalang laluan mengikut Undang-Undang Kecil, Jalan, Parit dan Bangunan akan diputuskan dalam satu mesyuarat dan jika mendapat persetujuan Ahli Majlis, penguatkuasaannya akan dilaksanakan secara berfasa.

    “Untuk permulaan ini kita akan buat sesi kesedaran mengenai penguatkuasaan undang-undang kecil ini kepada masyarakat. Kita menjangkakan sehingga akhir tahun proses kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat ini akan diberikan,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Tambah beliau, pelaksanaan penguatkuasaan tersebut bertujuan menjaga keharmonian antara jiran-jiran di bandar raya ini. Di mana pihaknya menerima banyak aduan meletakkan kenderaan menghalang laluan atau di tempat tidak sesuai.

    “Sebenarnya semangat kejiranan semakin terhakis dan kita ada terima laporan pergaduhan dengan jiran. Kita tidak terus kompaun jika terdapat kesalahan, selalunya notis akan diberikan terlebih dahulu kepada pemilik kenderaan yang menghalang laluan.

    Keputusan pelaksanaan penguatkuasaan letak kenderaan di depan rumah diketahui 11 Okt ini – MBPG

    “Notis itu diberi tempoh sehingga 21 hari untuk pemilik kereta mengambil tindakan penambahbaikkan. Selepas itu jika tiada tindakan pemulihan, kita akan kompaun. Kita tidak akan kompaun terus, kita akan beri notis dulu. Kompaun RM100 hingga maksimum RM2,000 bagi kesalahan berulang,” katanya.

    Walau bagaimana pun, tambah beliau, pihaknya sedia maklum mengenai taman perumahan lama yang mana ruang jalan dan kediaman sempit dan dekat. Oleh itu, MBPG tidak akan mengeluarkan kompaun sekiranya kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah tidak menghalang laluan.

    Sebelum ini, MBPG menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook berkata, pihaknya mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan, tetapi untuk tindakan penguatkuasaan yang difokuskan dan diutamakan adalah berdasarkan aduan yang diterima. Ini kerana setiap aduan yang diterima perlu diberikan maklum balas dan diambil tindakan selanjutnya.

    “Untuk makluman semua, rekod bagi aduan kacau ganggu kenderaan (kenderaan menghalang, kenderaan terbiar/buruk, kenderaan yang diletakkan di simpang jalan/laluan utama dan lain-lain) yang diterima oleh pihak MBPG sebanyak 242 aduan pada tahun 2022. Manakala setakat September 2023 pula, sebanyak 349 aduan diterima,” kata kenyataan tersebut.

     
     
  • Hot Wheels Malaysia umum Proton Saga sudah dijual kedai; harga cecah RM250 di platform atas talian!

    Hot Wheels Malaysia umum Proton Saga sudah dijual kedai; harga cecah RM250 di platform atas talian!

    Hot Wheels Malaysia mengumumkan bahawa kereta die-cast skala 1/64 Proton Saga 1985 kini sudahpun mula dijual di gedung-gedung beli-belah utama, kedai-kedai mainan dan juga kedai serbaneka seluruh negara.

    Pengumuman ini dibuat menerusi hantaran di laman Facebook jenama itu, dan mengesahkan bahawa Proton Saga berkenaan bukanlah versi edisi terhad, tetapi ia dijual dalam versi Hot Wheels Basic Car atau mainline dan ia terkandung dalam kumpulan Dash/Case B untuk 2024.

    Selain itu, Hot Wheels Malaysia turut akan membuat sesi unboxing secara langsung kotak Dash B berkenaan dalam acara yang akan berlangsung di Pavilion Bukit Jalil pada pukul 10 pagi 8 dan 15 Oktober serta 5 petang 14 Oktober 2023.

    Hot Wheels dan Proton mengumumkan kerjasama untuk menghasilkan Proton Saga generasi pertama dalam versi mainan skala kecil berkenaan pada Disember tahun lalu, bagi meraikan ulangtahun ke-40 Mattel Malaysia (anak syarikat Mattel Inc).

    “Perkongsian ini bertujuan mempertahankan warisan kebanggaan Mattel dan Proton untuk terus menyediakan kenderaan berkualiti tinggi kepada peminat semua peringkat umur di seluruh dunia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Komersial Mattel Inc Steve Totzke ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-40 Mattel di kilang Mattel Malaysia yang terletak di Pulau Pinang tahun lalu.

    Buat masa sekarang, kilang Mattel Malaysia tersebut sememangnya kilang Hot Wheels terbesar di dunia dan memproduksi model-model mainline Hotwheels untuk pasaran global. Ia mampu menghasilkan sekitar 900,000 unit kereta mainan Hot Wheels seminggu, dengan tenaga kerja seramai 3,900 orang.

    Hot Wheels Malaysia umum Proton Saga sudah dijual kedai; harga cecah RM250 di platform atas talian!

    Hot Wheels Proton Saga yang dijual di platform jualan atas talian dengan harga tak masuk akal!

    Selain dari versi mainline ini, Hot Wheels turut akan menjual edisi khas Proton Saga dengan kad blister istimewa rekaan adik Saw Jane Harn yang baru berumur 9 tahun dari Pulau Pinang. Rekaan kad blister Jane Harn dipilih untuk digunakan pada versi edisi terhad tersebut selepas dia memenangi pertandingan Hot Wheels x Proton Kids Design Competition, dan ia didedahkan ketika berlangsungnya Art of Speed 2023 pada Julai lalu.

    Berbeza dengan versi mainline yang sudah dijual sekarang yang turut akan ke pasaran eksport seluruh dunia, versi edisi terhad tersebut kelak hanya akan dipasarkan di Malaysia dan ia akan mula dijual pada tahun hadapan.

    Sebagai model mainline, Saga ini hanya dijual pada harga RM9.90 dalam pasaran sebenar. Walau bagaimanapun hasil carian kami di platform jualan atas talian, penjual-penjual kereta mainan ini sudahpun menjual Hot Wheels Proton Saga mainline ini pada harga tidak masuk akal dengan harga yang mencecah sehingga RM250!

     
     
  • Beberapa kawasan di Cheras dilanda banjir kilat akibat hujan lebat petang ini – trafik turut sesak di sekitar KL

    Beberapa kawasan di Cheras dilanda banjir kilat akibat hujan lebat petang ini – trafik turut sesak di sekitar KL

    Terdapat perkongsian di laman media sosial petang ini yang memaparkan kejadian banjir yang sedang melanda beberapa kawasan di sekitar Cheras, termasuklah di Bandar Sri Permaisuri dan UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI), ekoran hujan lebat hampir sejam.

    Dalam masa yang sama, Rapid KL juga telah berkongsi maklumat berhubung terdapat perkhidmatan bas kendaliannya yang tidak dapat melalui terowong Jalan Chan Sow Lin disebabkan banjir.

    Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga berkongsi maklumat mengenai banjir kilat yang berlaku di KM B0.6sb pusat bandar menghala ke Salak Selatan. Di mana terdapat penutupan lorong perlahan dan tengah di laluan terbabit.

    Malah trafik juga dilaporkan sesak akibat air bertakung di Salak Expressway, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Loke Yew, Jalan Sultan Hishamudin dan Lebuhraya KL-Seremban.

    Oleh itu, jika jalan yang anda ingin lalui terjejas, tangguhkan perjalanan anda jika boleh, dan elakkan untuk menggunakan laluan tersebut kerana ia boleh menyebabkan kerosakan yang ketara pada kenderaan anda.

    Anda juga disyorkan untuk mendapatkan insurans tambahan bencana alam untuk perlindungan kenderaan anda. Perlu diingat, untuk membaikpulih kenderaan yang rosak akibat banjir memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi, maka dengan adanya insurans khas ini mampu mengurangkan beban kewangan anda.

     
     
  • Honda CRF1100L Africa Twin dan CRF1100L Africa Twin Adventure Sports 2024 diberi naik taraf

    Honda CRF1100L Africa Twin dan CRF1100L Africa Twin Adventure Sports 2024 diberi naik taraf

    Honda telah memberikan pembaharuan kepada model adventure CRF1100L Africa Twin, yang ditawarkan dalam dua versi iaitu CRF1100L Africa Twin, dan CRF1100L Africa Twin Adventure Sports. Ia melibatkan sedikit bahagian panel badan, enjin, roda serta suspensi.

    Masih lagi menggunakan enjin yang sama seperti sebelum ini, iaitu unit dua silinder selari 1,084 cc, CRF1100L Africa Twin tahun 2024 bagaimanapun mampu memberikan lebih kuasa pada tahap rpm rendah dan pertengahan, sementara tork pula bertambah tujuh peratus menjadi 112 Nm pada 5,500 rpm. Kuasa maksimum masih lagi sama, iaitu 102 hp pada 7,500 rpm.

    Penambahbaikan pada bahagian enjin ini adalah hasil daripada peningkatan nisbah mampatan, perubahan pada sistem ekzos serta pelarasan semula pemasaan enjin, salur bukaan udara dan tetapan unit kawalan enjin (ECU). Selain padanan transmisi standard manual enam kelajuan, kedua-dua versi CRF1100L Africa Twin ini juga disediakan dalam pilihan transmisi DCT enam kelajuan.

    Pada bahagian suspensi, Adventure Sports didatangkan terus dengan unit larasan elektronik Showa Electronically Equipped Ride Adjustment (Showa EERA), tetapi bagi versi standard CRF1100L Africa Twin, ia kini disediakan sebagai pilihan tambahan. Lima mod ditawarkan pada suspensi ini, iaitu Soft, Mid, Hard, Off-road dan User.

    Pergi pula kepada roda, CRF1100L Africa Twin masih kekal menggunakan padanan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, tetapi Adventure Sports dikecilkan pada bahagian hadapan menjadi 19 inci. Bersama dengan perubahan rim spoked aluminium ini, suspensi Showa EERA pada Adventure Sports juga direndahkan 20 mm, menjadikan tinggi tempat duduknya 835-855 mm.

    Jarak gerak suspensi Adventure Sports adalah 210 mm di hadapan dan 200 mm di belakang, sementara CRF1100L Africa Twin standard yang menggunakan fork USD boleh laras manual 45 mm pula menyediakan jarak gerak 230 mm di hadapan dan 220 mm di belakang. Tinggi tempat duduknya adalah 850-870 mm.

    Honda CRF1100L Africa Twin dan CRF1100L Africa Twin Adventure Sports 2024 diberi naik taraf

    Untuk badan, kedua-dua versi CRF1100L Africa Twin ini menerima fairing baru yang direka semula untuk memperbaiki ciri aerodinamik, serta penghadang angin hadapan yang boleh dikawal secara elektronik untuk ditetapkan pada pilihan lima tahap tinggi. Sebagai tambahan, Adventure Sports juga menerima tempat duduk baru yang lebih selesa.

    CRF1100L Africa Twin mencatat berat yang lebih ringan, iaitu 231 kg, dan tangki bahan api yang lebih kecil, iaitu 18.8 liter, berbanding 243 kg dan 24.8 liter bagi Adventure Sports. Selain dalam keadaan standard ini, beberapa pakej lain turut disediakan untuk dua versi CRF1100L Africa Twin ini.

    Kelengkapan standard lain CRF1100L Africa Twin adalah termasuk skrin TFT 5.0 inci dengan sambungan kepada telefon pintar, lima mod tunggangan, cruise control, lampu hadapan dan belakang LED penuh, soket pengecas USB, ABS dual-channel, Wheelie Control, HSTC (kawalan cengkaman) dan Cornering Light.

    GALERI: Honda CRF1100L Africa Twin 2024

    GALERI: Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports 2024

     
     
  • Yamaha 135LC Fi tiba dalam pilihan empat warna baharu – harga Standard RM8,298 dan SE RM8,798

    Yamaha 135LC Fi tiba dalam pilihan empat warna baharu – harga Standard RM8,298 dan SE RM8,798

    Dilancarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia pada Mac 2022, Yamaha 135LC Fi kini diberikan penampilan baru dengan penawaran warna baru cyan, biru gelap serta putih untuk versi standard, sementara versi SE kini menggunakan warna gabungan biru muda dan hitam.

    Harga jualan yang ditetapkan untuk 135LC Fi baru ini adalah RM8,298 untuk versi Standard, dan RM8,798 untuk versi SE. Setiap pembelian akan menerima kunci cakera brek bernilai RM100, sementara pembeli versi SE akan menerima tambahan penghadang angin atas lampu hadapan serta bakul meletak barang.

    Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama seperti waktu ia dilancarkan dahulu, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder 135 cc dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dipadankan bersama kotak gear empat kelajuan untuk menghasilkan kuasa 12.5 hp pada 8,000 rpm, dan tork maksimum 12.2 Nm.

    Untuk sistem brek, kedua-dua bahagian menggunakan tetapan cakera, dengan angkup satu piston masing-masing di hadapan dan belakang, sementara suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang. Hanya pemula elektrik sahaja yang disediakan pada motosikal ini, dan tiada penendang kaki.

    Pada bahagian meter, ia menggunakan unit digital LCD seperti Y16ZR. Berat keseluruhan 135LC Fi adalah 109 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 4.6 liter serta rim bersaiz 17 inci, dengan tayar saiz 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang.. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ FL 2023 di Malaysia dari RM528k OTR; Street Style Edition dari RM558k

    Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ FL 2023 di Malaysia dari RM528k OTR; Street Style Edition dari RM558k

    Mercedes-Benz Malaysia telah mengumumkan Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ generasi C-118 facelift telah pun tiba di pasaran Malaysia, yang ditawarkan dengan varian biasa dan juga Street Style Edition, masing-masing dengan harga atas jalan (OTR) RM527,888 dan RM557,888 tanpa insurans.

    Di bawah bonetnya, ia diberikan unit M139 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol dengan hamburan kuasa 421 PS pada 6,750 rpm dan tork 500 Nm dari 5,000 hingga 5,250 rpm, menyalurkan pacuan ke semua empat roda menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan dwi-klac AMG Speedshift 8G. Larasan ini membolehkan CLA45S ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.1 saat dan kelajuan maksimum cecah 270 km/j, menurut pengeluaranya.

    Peningkatan imej yang dilakukan terhadap model facelift ini termasuk lampu utama yang direka semula dengan bentangan lampu nyalaan siang baharu, ciri lain masih mirip dengan versi pra-facelift. Warna baharu turut diberikan iaitu Hyper Blue dan Spectral Blue menyertai pilihan sedia ada, sementara itu rona Manufaktur Patagonia Red metallic dan Manufaktur Mountain Grey magno ditawarkan dengan kos tambahan, masing-masing pada RM3,000 dan RM15,000.

    Selain itu, CLA45S ini diberikan roda aloi ringan jejari-berkembar-lima AMG 19-inci dengan flange rim berkilat secara standard atau roda aloi tempaan AMG cross-spoke 19-inci dengan kos tambahan sebanyak RM1,000. Ia juga diberikan AMG Night Package dalam kemasan hitam berkilat untuk splitter hadapan, perumah cermin luaran, serta garisan jaluran belt dan tingkap berserta dengan corong ekzos krom hitam.

    Ciri piihan yang turut ditawarkan adalah AMG Night Package II, yang merangkumi gril radiator gelap spesifik-AMG dengan palang menegak, lencana pada bootlid dan wing dan tristar dalam krom hitam. Turut diberikan secara pilihan ialah penutup tangki minyak AMG. Manakala pakej AMG Aerodynamics pula diberikan secara standand, dan bagi AMG Aerodynamics Package Plus pula dikenakan kos tambahan.

    Street Style Edition pula ditampilkan dengan kemasan warna Manufaktur Mountain Grey magno , pelekat sisi dengan logo AMG dan paten AMG chequered-flag dan serlahan jingga terang. Selain itu, rim aloi tempaan cross-spoke 19-inci diberikan dengan rona matte black dan high-gloss machined flange, yang diberikan secara standard untuk Street Style Edition. Ia juga diberikan AMG Night Package I dan II, AMG Aerodynamics dan penutup tangki minyak AMG.

    Di dalamnya, CLA45S menerima roda stereng pelbagai-fungsi AMG Performance dengan kemasan kulit Nappa dan Microcut microfibre upholstery. Selain itu, ia turut diberikan tempat duduk hadapan AMG Performance dengan AMG Performance Seat Package Advanced, kemasan dalam kulit sintetik Artico dan gentian mikro Microcut. Manakala tali pinggang keledar pula dengan kemasan kontras merah.

    Bagi kabin pula, varian Street Style Edition menerima tempat duduk hadapan AMG Performance dalam kemasan Artico hitam dan Microcut upholstery, bersama serlahan jingga terang dan label “CLA45S” juga dalam rona yang sama.

    Elemen kemasan dalaman pada Street Style Edition menampilkan paten yang sama dengan pelekat luaran, sementara panel instrumen pula dengan jahitan kontras jingga, kemasan ambang pintu dengan perkataan AMG, pencahayaan ambien dalaman dalam rona merah, spesifik untuk Street Style Edition.

    Pakej Bantuan Pemandu adalah ciri baharu yang diberikan untuk CLA45S facelift, merangkumi Active Distance Assist DISTRONIC, Active Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, dan Active Brake Assist, bersama Active Parking Assist dengan kamera 360-darjah. Turut diberikan ialah Guard 360 Vehicle Protection Plus.

    Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ facelift – termasuk versi Street Style Edition – boleh ditempah menerusi talian di Malaysia menerusi Mercedes-Benz Store, harga dari RM527,888 atas jalan tanpa insurans.

    Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ 2023

    Mercedes-AMG CLA45S 4Matic+ Street Style Edition 2023

     
     
  • Porsche Cayenne facelift 2024 dilancar di Malaysia – CKD Kulim, Kedah, RM600k, V6 3.0L T, 355 PS/500 Nm

    Porsche Cayenne facelift 2024 dilancar di Malaysia – CKD Kulim, Kedah, RM600k, V6 3.0L T, 355 PS/500 Nm

    Selepas tempahannya dibuka bulan lalu, hari ini secara rasmi Porsche Cayenne facelift 2024 dilancarkan di Malaysia. Cayenne pasaran tempatan ini terus diproduksi di fasiliti Sime Darby di Kulim, Kedah (yang juga merupakan fasiliti pertama Porsche di luar Jerman) dalam versi CKD, dan ia dijual pada harga bermula RM599,999

    Sekali tengok, rupa luaran Cayenne facelift 2024 ini nampak seakan sama seperti versi sebelumnya. Namun sekiranya anda lihat dengan teliti, bahagian fender, bonet dan juga lampu hadapan telah direka semula bagi memberikan rupa yang nampak lebih lebar pada SUV ini.

    Rekaan semula turut dibuat pada bahagian belakang di mana versi kemaskini ini dilengkapi lampu belakang tiga-dimensi baharu, pintu tailgate dengan rupa lebih ringkas, serta perumah nombor pendaftaran dialihkan ke bawah iaitu pada bahagian apron.

    Porsche Cayenne facelift 2024 dilancar di Malaysia – CKD Kulim, Kedah, RM600k, V6 3.0L T, 355 PS/500 Nm

    Model pasaran Malaysia ini datang standard dengan beberapa perincian antaranya lampu hadapan LED matrix dan juga rim aloi Cayenne Design berdiameter 20-inci.

    Porsche Cayenne facelift 2024 CKD pasaran Malaysia ini hanya menerima pilihan unit rangkaian kuasa asas dengan enjin petrol v6 3.0 liter turbo yang menghasilkan kuasa 355 PS dan tork maksima 500 Nm, atau 13 PS/50 Nm lebih berkuasa dari sebelum ini. Kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik dan sistem pacuan semua roda, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat.

    Antara perincian standard yang dibekalkan bagi model pasaran Malaysia ini termasuk suspensi adaptif PASM, Power Steering Plus, Park Assist untuk hadapan dan belakang bersama fungsi Surround View. Ia juga menerima ciri standard cruise control adaptif, pintu yang ditutup secara lembut dan juga pakej Sport Chrono (membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 248 km/j) – di mana kesemua perincian ini merupakan ciri opsyen untuk pasaran lain.

    Porsche Cayenne facelift 2024 dilancar di Malaysia – CKD Kulim, Kedah, RM600k, V6 3.0L T, 355 PS/500 Nm

    Pada sebelah dalam model facelift ini diberikan sedikit perubahan di mana tombol gear telah dialih ke bahagian papan pemuka bagi memberikan ruang storan yang lebih dan panel kawalan sistem pendingin hawa pada konsol tengah. Pemandu diberikan panel instrumen digital dengan skrin lengkung 12.6-inci, manakala sistem infotainmen pula hadir dengan skrin 12.3-inci PCM Display.

    Untuk kelengkapan kabin, Cayenne facelift ini dilengkapi dengan tempat duduk hadapan comfort dengan larasan elektrik 14-hala bersama fungsi memori, sistem penghawa dingin empat-hala, serta logo Porsche yang dicetak pada perehat kepala. Ia juga menerima pelindung matahari kawalan elektrik untuk tingkap belakang, pengecas telefon pintar tanpa wayar 15W dan juga sistem bunyi surround dari Bose.

    Untuk pelanggan yang mahukan lebih lagi, model facelift CKD ini turut ditawarkan dengan perincian lain yang boleh dipilih dari katalog Porsche Tequipment, antaranya rim aloi Cayenne Exclusive Design 21-inci dan Sport Design 22-inci, sistem infotaimen tambahan untuk penumpang belakang.

    Pilihan dalam katalog Porsche Tequipment ini menampilkan pelbagai aksesori bagi aktiviti off-road dan luar bandar, antaranya khemah bumbung dan kotak bumbung berprestasi, rak letak basikal di bahagian belakang serta banyak lagi.

    Tempahan untuk Porsche Cayenne facelift 2024 CKD ini (dan juga model-model Porsche yang lain) boleh dibuat menerusi platform digital jenama berkenaan. 250 pelanggan pertama yang meletakkan tempahan mereka akan menerima kunci yang datang menampilkan warna yang sama dengan warna badan SUV mereka.

    Bagi pelanggan yang mahu melihat Porsche Cayenne facelift CKD ini secara lebih dekat, ia kini sedang dipamerkan di The International Gallery di Kuala Lumpur Golf & Country Club bermula 9 pagi hingga 4 petang pada 7 dan 8 Oktober 2023.

    GALERI: Tiga generasi Porsche Cayenne

    GALERI: Gambar rasmi Porsche Cayenne facelift 2024 CKD

     
     
  • DFSK EC31 mula dijual di Malaysia – trak pikap EV dengan kuasa 82 PS, jarak gerak 275 km, dari RM128k

    DFSK EC31 mula dijual di Malaysia – trak pikap EV dengan kuasa 82 PS, jarak gerak 275 km, dari RM128k

    Trak pikap elektrik penuh DFSK EC31 kini sudah mula dijual di Malaysia, melalui Dongfeng Commercial Vehicle Malaysia. Ia boleh diubah suai mengikut keperluan penggunaannya dan harga bermula dari RM127,960 tidak termasuk insurans.

    Trak dua tempat duduk ini datang dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 38.7 kWh dan mampu memberikan jarak gerak sehingga 275 km mengikut standard NEDC. Bateri ini memberi kuasa kepada motor elektrik yang mampu menghasilkan 82 PS (80 hp atau 60 kW) dan tork 200 Nm, dan boleh memacu trak ini sehingga kelajuan maksimum 90 km/j.

    Untuk mengecas kembali bateri, pemilik boleh menggunakan sama ada sumber AC dengan kuasa maksimum 6.6 kW (20-80% dalam masa empat jam), atau DC pada kadar maksimum 40 kW (20-8-% dalam masa 35 minit).

    DFSK EC31 mula dijual di Malaysia – trak pikap EV dengan kuasa 82 PS, jarak gerak 275 km, dari RM128k

    Berkenaan saiz, trak ini mencatat ukuran panjang 4,730 mm, lebar 1,635 mm, tinggi 1,985 mm dan jarak roda 3,050 mm, manakala beratnya pula adalah 2,600 kg. Menurut Dongfeng Commercial Vehicle Malaysia, trak ini boleh diubah suai untuk mempunyai bahagian belakang pelbagai jenis termasuk kotak penyejuk, ruang simpanan biasa seperti van ataupun yang boleh dibuka untuk menjadikannya seperti trak penjual makanan.

    EC31 juga datang dengan kelengkapan termasuk ABS, EBD, stereng kuasa elektrik, fungsi pencari kenderaan, tingkap bukaan kuasa, sistem pemerhati tekanan angin tayar serta pilihan tambahan kamera dan pengesan undur. Setiap pembelian diberikan dengan jaminan lima tahun atau 120,000 km dan pengecas mudah alih 16 A.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025