Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Nissan tunjuk kelancaran penggerak elektrik e-4ORCE AWD pada Ariya melalui robot penghantar ramen

    Nissan tunjuk kelancaran penggerak elektrik e-4ORCE AWD pada Ariya melalui robot penghantar ramen

    e-4ORCE adalah penggerak elektrik dua motor, pacuan semua roda keluaran Nissan yang sekarang digunakan pada model Ariya. Ia dapat memberikan pemanduan yang lancar dan stabil hasil daripada pengurusan kuasa dan prestasi brek yang tepat, serta membantu keyakinan pemandu dengan mengesan garis pemanduan atas hampir semua jenis keadaan jalan termasuk jalan basah dan bersalji.

    Semua ini dapat dicapai tanpa memerlukan pemandu untuk melaras cara pemanduan mereka ataupun input yang diberi kepada kenderaan, dan Nissan memberitahu, teknologi e-4ORCE ini memberikan “keselesaan tanpa tandingan untuk semua penumpang.” Apa yang dibuat adalah termasuk mengurangkan seboleh mungkin tahap kecondongan atau senget kenderaan, dengan menggunakan sistem penjanaan semula kuasa brek pada motor di belakang apabila kenderaan mengurangkan kelajuan, sekaligus juga dapat mengurangkan kemungkinan mabuk kereta.

    Demi menunjukkan keberkesanan sistem ini, Nissan telah membuat sebuah robot penghidang makanan yang digerakkan oleh sistem e-4ORCE, dan ia mempunyai dua motor elektrik yang beroperasi secara berasingan. Melalui talaan khas oleh jurutera Nissan, robot ini dikatakan dapat “memberi pecutan pantas dan pergerakan lancar atas kaunter makanan, sama seperti yang dibuat oleh Ariya atas jalan biasa.”

    Nissan tunjuk kelancaran penggerak elektrik e-4ORCE AWD pada Ariya melalui robot penghantar ramen

    Hasilnya, robot ini dapat menghidangkan ramen berkuah di dalam mangkuk kepada pelanggan, tanpa tumpah, termasuklah waktu ia memperlahankan pergerakan dan berhenti. Nissan juga telah membuat satu grafik untuk menunjukkan apa akan berlaku jika tiada sistem e-4ORCE pada robot ini dan juga Ariya.

    Ariya dijangka menjadi model elektrik seterusnya yang akan diperkenalkan oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM) ke dalam negara selepas Leaf, dan kita sudah pernah melihat ia muncul dalam video sempena Tahun Baru Cina Februari lalu. Walaubagaimanapun, setakat ini kita masih tidak mengetahui bila ia akan berlaku dan apa spesifikasi yang akan diperkenalkan, tetapi di negara lain, ia juga ada ditawarkan dengan tetapan satu motor.

     
     
  • Porsche gantung kilang produksi di Leipzig, penghantaran kereta ke Rusia terhenti sementara

    Porsche gantung kilang produksi di Leipzig, penghantaran kereta ke Rusia terhenti sementara

    Konflik yang sedang berlaku antara Ukraine-Rusia telah memaksa beberapa pengeluar kereta untuk menggantungkan pengeluaran masing-masing, dan terbaru krisis tersebut melibatkan Porsche. Menurut jurucakap syarikat tersebut kepada Motor1, produksi di kilang Leipzig yang mengeluarkan model Panamera dan Macan, ia telah digantung sejak 2 Mac lalu.

    Walau bagaimana pun, operasi kilang utama Zuffenhausen tidak terjejas buat masa ini, namun jurucakap tersebut berkata “Langkah selanjutnya akan dilakukan dalam proses yang teratur. Dalam beberapa hari dan minggu akan datang, kami akan beroperasi secara jangka pendek dan terus menilai semula keadaan.”

    Caleb J Schroëter yang memuat naik hantaran menerusi Twitter turut menunjukkan memo dalaman yang bocor mendedahkan kemungkinan gangguan produksi bakal melibatkan kesemua barisan Porsche, dari jentera sport 718 hingga ke 911, dan juga Taycan. Walau bagaimana pun, Porsche masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara ini.

    Sementara itu, pengeluar kereta dari Stuttgart ini juga telah menghentikan penghantaran semua kenderaannya ke Rusia secara serta-merta.

    Porsche gantung kilang produksi di Leipzig, penghantaran kereta ke Rusia terhenti sementara

    Bagi aspek jualannya, Porsche telah menjual sebanyak 6,262 unit kenderaan di Rusia pada tahun kewangan 2021, sementara itu, Cayenne menjadi model paling popular (3,431 unit dihantar, mewakili 54% perkongsian). Jenama tersebut mempunyai 26 Pusat Porsche di 20 buah bandar di Rusia.

    Porsche juga menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk satu juta euro, di mana 750,000 euro akan disalurkan kepada Bantuan Pelarian PBB. Ketua Pegawai Eksekutif Porsche Oliver Blume berkata, “Kami amat sedih dengan peristiwa di Ukraine. Ramai orang memerlukan bantuan segera bukan kerana kesalahan mereka sendiri. Oleh itu, kami membuat sumbangan dan menyokong organisasi yang terlibat di lapangan untuk membantu penduduk.”

    Manakala 250,000 euro akan didermakan kepada Ferry Porsche Foundation, yang memfokuskan untuk menyokong kanak-kanak dan golongan muda yang terjejas dengan konflik sebegini.

     
     
  • PACE 2022: MINI Cooper S Countryman — rebat hebat, waranti dan servis berjadual percuma menanti anda

    PACE 2022: MINI Cooper S Countryman — rebat hebat, waranti dan servis berjadual percuma menanti anda

    Premium Auto Car Expo (PACE) anjuran paultan.org akan berlangsung hujung minggu depan di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) dari 19-20 Mac. Di sana, akan ada pelbagai tawaran menarik diberikan untuk kereta premium baru mahupun terpakai. Jadi, jangan ketinggalan.

    Dengan baki tempoh pengecualian cukai SST hingga 30 Jun nanti — melibatkan 50% untuk kereta CBU dan 100% untuk CKD — sekarang adalah masa terbaik untuk anda menikmati penjimatan tersebut. Pembeli di PACE juga akan menikmati pelbagai kelebihan dan hadiah lain yang disediakan.

    Jika anda sedang mempertimbangkan kereta MINI yang mempertemukan keseronokan dan praktikaliti, MINI Cooper S Countryman wajar dipertimbangkan. Dalam tampilan Cooper S, crossover ini memanfaatkan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder, yang menghasilkan 192 PS dan 280 Nm dan memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat.

    Ia juga tampil bergaya dengan rim 19-inci Turnstile Spoke aloi, All4 dan pakej luaran Piano Black, kerusi balutan kulit karbon hitam, perincian MINI Yours Illuminated Shaded Silver, alas bumbung Satellite Grey dan stereng balutan kulit MINI Yours Walknappa.

    PACE 2022: MINI Cooper S Countryman — rebat hebat, waranti dan servis berjadual percuma menanti anda

    Ruang dalamannya pula turut dilengkapi dengan paparan kluster instrumen digital lima-inci, sistem infotainmen skrin sentuh 8.8-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan sistem bunyi Harman Kardon 12-pembesar suara, dan lain-lain.

    Memandangkan Countryman dipasang di Malaysia, ia menikmati pengecualian penuh untuk SST. Selain itu, Auto Bavaria yang mewakili MINI ketika PACE, turut menawarkan Cooper S Countryman dengan rebat serta pakej pembiayaan menarik dengan kadar faedah rendah. Anda juga akan menerima jaminan 4+1 tahun percuma dnegan servis berjadual percuma, serta nilai trade-in yang tinggi untuk kenderaan terpakai anda.

    Selain MINI, jenama yang ikut serta termasuklah Mercedes-Benz (diwakili Hap Seng Star), BMW dan MINI (diwakili Auto Bavaria), Volkswagen, Volvo, Jaguar, Land Rover, Ford dan Hyundai. Motosikal daripada BMW Motorrad dan Harley-Davidson juga akan ikut serta.

    Seperti biasa, membeli kenderaan di PACE akan memberikan anda bonus dan penjimatan. Semua kenderaan yang ditempah akan menerima baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    PACE 2022: MINI Cooper S Countryman — rebat hebat, waranti dan servis berjadual percuma menanti anda

    Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Pengecualian SST, tawaran hebat daripada jenama, baucar percuma daripada PACE, cabutan bertuah — semua ini menjadikan acara berkenaan masa dan tempat terbaik untuk membeli kenderaan. Jumpa di sana nanti!

     
     
  • Honda & Sony tandatangan MoU – akan tubuh syarikat baharu, bangunkan kereta elektrik, dijual pada 2025

    Honda & Sony tandatangan MoU – akan tubuh syarikat baharu, bangunkan kereta elektrik, dijual pada 2025

    Sony Vision-S 01

    Syarikat automotif Jepun, Honda dan juga jenama barangan elektrik dan elektronik yang terkenal dengan peranti-peranti ikonik seperti Playstation dan Walkman iaitu Sony telah pun menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal menyaksikan kedua-dua entiti berkenaan bekerjasama untuk menghasilkan “kenderaan elektrik bateri dengan nilai tinggi” serta mengkomersilkan kenderaan-kenderaan elektrik tersebut.

    “Pakatan strategik” ini disasarkan untuk mewujudkan era baharu dalam mobiliti dan servis mobiliti, dan kedua-dua syarikat ini akan meneruskannya dengan rundingan kearah melaksanakan pelbagai perjanjian yang akan dimuktamadkan, termasuk perjanjian pembangunan bersama dan perjanjian kerjasama, dengan matlamat untuk menubuhkan syarikat baharu dalam tahun ini. Produk yang akan dihasilkan oleh syarikat baharu tersebut disasarkan akan mula dijual pada 2025.

    Sebelum ini Sony telah menghasilkan prototaip sedan elektrik (Vision-S 01) dan SUV tujuh-tempat duduk (Vision-S 02), kedua-duanya menampilkan teknologi pemanduan autonomi Tahap 2+, yang menunjukkan bahawa mereka sudahpun mempunyai teknologi-teknologi berkenaan. Januari lalu Sony dilaporkan sedang mencari rakan kerjasama, dan ia nampaknya sudah selesai dengan MoU yang ditandatangani bersama Honda ini.

    Honda & Sony tandatangan MoU – akan tubuh syarikat baharu, bangunkan kereta elektrik, dijual pada 2025

    Sony Vision-S 02

    Pakatan ini mensasarkan untuk menggabungkan kebolehan Honda dalam pembangunan mobiliti, teknologi pembuatan badan kenderaan serta pengalaman dalam pengurusan servis selepas jualan, bersama kepakaran Sony dalam pembangunan dan aplikasi teknologi mengimej, menderia, telekomunikasi, jaringan dan hiburan.

    Syarikat kerjasama baharu ini dijangka akan merangka, mereka bentuk, membangunkan dan menjual kenderaan-kenderaan elektrik (EV), tetapi tidak akan memiliki dan mengoperasikan fasiliti pembuatan di mana dalam aspek ini ia menjadi tanggungjawab Honda sebagai pembuat kenderaan. Dijangkakan bahawa platform servis mobiliti akan dibangunkan oleh Sony untuk syarikat kerjasama ini.

    “Tujuan Sony adalah untuk ‘mengisi dunia dengan emosi menerusi kuasa kreativiti dan teknologi’. Menerusi pakatan bersama dengan Honda ini, di mana ia telah menghimpunkan pengalaman dan pencapaian global yang luas dalam industri automobil selama bertahun-tahun dan terus membuat kemajuan revolusioner dalam bidang ini, kami berhasrat untuk membina visi kami untuk ‘menjadikan ruang mobiliti sebagai ruang emosi,’ dan menyumbang kepada evolusi mobiliti tertumpu pada keselamatan, hiburan dan kebolehsuaian,” kata Kenichiro Yoshida, wakil pegawai eksekutif koporat, pengerusi, presiden dan CEO Sony Group.

    Honda & Sony tandatangan MoU – akan tubuh syarikat baharu, bangunkan kereta elektrik, dijual pada 2025

    “Syarikat baharu ini akan mensasarkan untuk berdiri di barisan hadapan dalam inovasi, evolusi dan pengembangan mobiliti di seluruh dunia, dengan mengambil pendekatan yang luas dan bercita-cita tinggi untuk mencipta nilai yang melebihi jangkaan dan imaginasi pelanggan. Kami akan berbuat demikian dengan memanfaatkan teknologi termaju dan pengetahuan Honda berhubung dengan alam sekitar dan keselamatan, sambil menyelaraskan aset teknologi kedua-dua syarikat,” kata Toshihiro Mibe, pengarah, presiden, wakil pegawai eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda.

    “Walaupun Sony dan Honda merupakan syarikat yang berkongsi banyak sejarah dan budaya yang sama, bahagian kami dalam kepakaran teknologi adalah sangat berbeza. Oleh itu, saya percaya pakatan ini akan membawa bersama kekuatan dari kedua-dua syarikat menawarkan kemungkinan yang besar untuk mobiliti masa hadapan,” tambahnya lagi.

    Sony telah mendedahkan sedan Vision-S 01 di CES 2020. Prototaip tersebut telah dibina oleh Magna Steyr di Austria dan telah pun membuat ujian jalan raya di Eropah. Manakala untuk SUV Vision-S 02 pula telah didedahkan pada CES 2022 yang berlangsung pada Januari lalu.

    GALERI: Sony Vision-S 01

    GALERI: Sony Vision-S 02

     
     
  • Beberapa laluan di Lembah Klang dilanda banjir kilat; Terowong Smart ditutup; Kesas, Besraya turut terjejas

    Beberapa laluan di Lembah Klang dilanda banjir kilat; Terowong Smart ditutup; Kesas, Besraya turut terjejas

    Petang ini kebanyakan kawasan di Lembah Klang sekali lagi dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam. Bencana alam ini turut menjejaskan beberapa laluan di sekitarnya termasuk di ibu kota Kuala Lumpur.

    Antara lokasi yang terjejas sehingga menenggelamkan banyak kenderaan termasuklah di Jalan Cheras, Jalan Loke Yew, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, Jalan Tun Perak, Jalan Pudu dan Jalan Sultan Ismail.

    Manakala di daerah Klang pula, antara yang terjejas ialah Jalan Meru berhampiran Klang Sentral turut ditenggelami banjir dan menyebabkan kesesakan trafik yang teruk di kawasan berkenaan.

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi kenyataan di Facebook, memaklumkan beberapa laluan termasuk Besraya Expressway membabitkan laluan dari pusat bandar ke Salak Selatan, dari Kuchai ke Salak Jaya dan Kampung Malaysia ke Kuchai ditenggelami banjir.

    Selain itu, banjir kilat turut melanda Lebuhraya Kesas dan menyebabkan empat lorong terhalang di Plaza Tol Awan Besar arah Barat serta hanya satu lorong boleh dilalui di KM48.3 arah Timur menuju ke persimpangan Sukom.

    Malahan terdapat penutupan sementara di Terowong SMART yang membabitkan laluan masuk terowong dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar serta susur keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras.

    Untuk pemandu kenderaan dan penunggang motosikal di kawasan yang dilanda banjir, anda dinasihatkan agar jangan sesekali meredah banjir, ia bukan sahaja boleh merosakkan kenderaan anda, malah mungkin membahayakan keselamatan sendiri.

     
     
  • Rapid, DBKL sediakan laluan bas di koridor Jalan Ipoh

    Rapid, DBKL sediakan laluan bas di koridor Jalan Ipoh

    Rapid Bus dan DBKL telah melancarkan projek rintis laluan bas di bandaraya Kuala Lumpur, terutamanya di koridor Jalan Ipoh. Ia telah pun bermula sejak 1 Mac lalu dan ujian rintis ini akan berlangsung sehingga 30 April 2022. Laluan bas berkenaan akan beroperasi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, dari jam 6 pagi hingga 8 malam, dan laluan terbabit boleh digunakan untuk semua kenderaan pada hujung minggu 9Sabtu dan Ahad) serta cuti umum.

    Inisiatif ini adalah bagi mengurangkan masa perjalanan untuk bas, selain menilai pengalaman menggunakan perkhidmatan ini serta meningkatkan keselamatan untuk penumpang, ujar Rapid Bus.

    Jalan utama yang terlibat ialah Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Dang Wangi. Ia melibatkan bas untuk laluan 171 (hab Wira Damai ke Lebuh Ampang melalui Sentul), 173 (Taman Jasa Utama ke Leboh Ampang), 180 (Taman Dato Senu ke hab Pasar Seni), 190 (Desa Sri Hartamas ke Lin Ho Jalan Lekiu) dan 191 (Terminal Sri Segambut ke Monorel Chow Kit).

    “Projek rintis ini adalah untuk kelancaran trafik bagi bas Rapid KL, yang membolehkan ia sampai ke destinasi masing-masing lebih cepat tanpa bercampur dengan kenderaan lain di laluan yang sama, selain menjimatkan masa para penumpang. Secara tidak langsung, ia juga meningkatkan keselamatan penumpang apabila mereka menaiki atau turun kerana perhentian bas tidak akan bercampur dengan kenderaan persendirian yang berhenti atau diletakkan di situ mahu pun di bahu jalan,” ujar CEO Rapid Bus, Mohammad Yazurin Sallij.

    Tambah beliau lagi, “Ia juga untuk mengurangkan risiko kemalangan yang melibatkan penumpang bas dan kenderaan persendirian apabila bas terpaksa berhenti di pertengahan jalan untuk menurunkan atau mengambiul penumpang (sekiranya perhentian bas terdapat halangan). Ia selari dengan prinsip operasi Rapid KL yang meletakkan keselamatan penumpang di tangga teratas.” Malahan beliau turut berharap sepanjang tempoh ujian ini, pengguna jalan raya yang lain juga akan mengikut peraturan yang tersedia dan tidak menggunakan laluan bas yang dikhaskan ini.

     
     
  • Rolls-Royce Ghost Black Badge 2022 kini tiba di M’sia — tema kemasan gelap, lebih kuasa, dari RM1.8 juta

    Rolls-Royce Ghost Black Badge 2022 kini tiba di M’sia — tema kemasan gelap, lebih kuasa, dari RM1.8 juta

    Rolls-Royce pertama kali memperkenalkan model Black Badge pada 2016 untuk disasarkan kepada golongan lebih muda. Ia menggunakan asas penawaran sedia ada, tetapi turut diterapkan dengan kejuruteraan semula untuk mengubah perwatakannya untuk lebih berprestasi dan menawan.

    Ia akhirnya terbukti berhasil, dengan lebih 27% pesanan global keluarannya melibatkan versi Black Badge. Untuk itu, tidak mengejutkan bahawa model Ghost generasi kedua turut menerima versi Black Badge ini. Ia telahpun dilancarkan di Malaysia oleh Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur dengan harga jualan bermula RM1.8 juta — harga sebelum cukai dan pilihan lain. Contoh yang dipaparkan dalam gambar ini misalnya lengkap dengan aksesori pilihan dan dijual pada harga RM2.4 juta sebelum cukai.

    Ghost Black Badge dibezakan oleh beberapa kemasan penampilan. Paling utama ialah warna gril Pantheon dan lambang Spirit of Ecstasy yang ikonik itu. Kedua-duanya diberikan kemasan elektrolit krom dengan proses khusus untuk mendapatkan penyudah unik seperti itu. Ia kemudiannya digilap dengan tangan untuk mendapatkan kesan akhir.

    Rolls-Royce Ghost Black Badge 2022 kini tiba di M’sia — tema kemasan gelap, lebih kuasa, dari RM1.8 juta

    Model ini juga ditawarkan dalam pilihan warna badan yang berlainan. Selain warna hitam seperti kebiasaannya, Black Badge ini juga hadir dalam warna putih seperti yang ditunjukkan ini, untuk memberikan kontras lebih menarik dan berbeza daripada kemasan hitam yang menghiasinya. Satu kelainannya, jalur sisi badan yang dilihat ini disempurnakan oleh Mark Court, satu-satunya individu di Rolls-Royce yang menggalas tugasan ini.

    Ciri lain yang perlu disebutkan ialah rim 21-inci, dengan rekaan yang khas untuk Ghost Black Badge ini — hadir dengan perincian gentian karbon dengan keseluruhannya 44 lapisan kesemuanya.
    Ini bertujuan menjadikannya lebih kukuh dan ringan sekaligus.

    Di dalam, semuanya serba mewah. Terdapat juga kemasan gentian karbon digunakan; agak jarang disertakan pada model lain Rolls-Royce sebelum ini yang lebih ingin menampilkan kemewahan elegan dengan material kayu yang lebih dominan, walaupun kemasan kayu ini masih lagi boleh dilihat disertakan.

    Rolls-Royce Ghost Black Badge 2022 kini tiba di M’sia — tema kemasan gelap, lebih kuasa, dari RM1.8 juta

    Kereta ini menggunakan enjin 6.75 liter V12 turbo berkembar sama seperti yang ada sebelum ini, tetapi dengan janaan yang lebih tinggi — 600 PS (592 hp) atu 29 PS (28 hp) lebih tinggi daripada Ghost biasa. Tork maksimum juga lebih 50 Nm menjadi 900 Nm. Transmisi automatik ZF lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda menjadi padanannya.

    Ghost Black Badge ini juga datang dengan mod “Low”, mod Sport untuk model ini. Jika diaktifkan, semua 900 Nm tersedia dari 1,750 rpm, penukaran gear ditingkatkan sebanyak 50% ketika pendikit ditekan 90%, dengan ngauman enjin yang lebih garang disumbangkan juga oleh sistem ekzos baru.

     
     
  • PACE 2022: Jaminan lima tahun atau 300,000 km, servis percuma apabila anda membeli sebuah Hyundai

    PACE 2022: Jaminan lima tahun atau 300,000 km, servis percuma apabila anda membeli sebuah Hyundai

    Tidak sampai dua minggu lagi, acara Premium Auto Car Expo (PACE) 2022 anjuran paultan.org akan berlangsung 19 dan 20 Mac ini di Setia City Convention Centre (SCCC). Inilah masa dan tempatnya untuk anda menikmati pelbagai tawaran untuk kereta premium baru dan juga terpakai.

    Turut serta dalam acara ini adalah Hyundai, membawa pelbagai model baru dan ada di antaranya datang bersama jaminan lima tahun atau 300,000 km, serta pakej penyelenggaraan tiga tahun atau 50,000 km. Jangan lupa singgah ke kawasan pameran Hyundai untuk mengetahui lebih lagi promosi yang mereka jalankan.

    Hyundai Sonata yang akan dibawa ke PACE 2022 contohnya, bukan sahaja merupakan model pertama yang menggunakan konsep rekaan Sensual Purity baru syarikat itu, tetapi juga adalah antara sedan segmen D yang terbaik di dalam kelasnya. Ia mempunyai ukuran badan 4,900 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,445 mm tinggi dan jarak roda 2,840 mm, manakala ruang simpanan di belakang pula berkapasiti 510 liter.

    Memacu kereta buatan Korea Selatan ini adalah enjin petrol 2.5 liter NA Smartstream, yang menghasilkan 180 PS dan 232 Nm tork, untuk dihantar kepada roda hadapan melalui transmisi automatik enam kelajuan. Turut disediakan adalah pedal penukar gear di stereng.

    PACE 2022: Jaminan lima tahun atau 300,000 km, servis percuma apabila anda membeli sebuah Hyundai

    Penukaran gear boleh dikawal menggunakan butang shift-by-wire, sementara mod pemanduan yang disediakan adalah Smart Comfort, Eco dan Sport. Kelengkapan lain yang disediakan di bahagian dalam adalah seperti tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan fungsi memori dan pelarasan lumbar, corong pendingin hawa belakang, bumbung panoramik besar serta cermin pandang belakang elektrokromik.

    Di hadapan pemandu terdapat panel instrumen digital 12.3 inci serta head-up display manakala di tengah terdapat skrin infotainmen sesentuh lapan inci yang boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Pada konsol tengah tersedia pengecas Qi tanpa wayar serta pendingin hawa automatik dua zon.

    Pada bahagian keselamatan, Sonata menerima enam beg udara, ABS dengan EBD, ESC, Hill Start Assist serta Vehicle Stability Management. Ini kemudiannya disertai oleh kamera 360 darjah serta pemerhati titik buta yang boleh memaparkan pandangan bahagian sisi pada panel instrumen.

    Setiap kenderaan yang ditempah di PACE akan didatangkan dengan baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    PACE 2022: Jaminan lima tahun atau 300,000 km, servis percuma apabila anda membeli sebuah Hyundai

    Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.

    Tawaran menarik ini tidak sekadar berakhir di situ kerana selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Jenama lain yang akan menyertai PACE 2022 adalah seperti Mercedes-Benz, Land Rover, BMW, MINI (melalui Auto Bavaria), Volkswagen, Volvo, Jaguar dan Ford. Bukan setakat kereta, BMW Motorrad dan Harley-Davidson juga akan berada di acara ini. Jadi, jangan lupa, 19 dan 20 Mac ini!

     
     
  • Laluan darat Malaysia-Singapura akan dibuka serentak dengan pembukaan sempadan negara – Menteri

    Laluan darat Malaysia-Singapura akan dibuka serentak dengan pembukaan sempadan negara – Menteri

    Kerajaan memutuskan untuk membuka laluan darat Malaysia ke Singapura melalui Tambak Johor dan Link Kedua secara serentak dengan tarikh pembukaan sempadan negara tidak lama lagi. Perkara ini disahkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, laporan Bernama.

    Beliau berkata, pengumuman mengenai perkara itu akan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

    Laluan sempadan darat sangat sinonim dengan Johor dan Singapura kerana pelancong dari republik itu lebih memilih melalui jalan darat kerana sudah terbiasa selain jarak yang dekat dan mudah.

    Baru-baru ini, Ismail Sabri turut mengesahkan bahawa sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi dan langkah ini membolehkan ahli Keluarga Malaysia yang sudah lama tidak bersua muka dapat pulang terutama ketika Aidilfitri pada Mei nanti.

    Sebelum ini, pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua dibuka serentak dengan VTL udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 November tahun lalu.

    Di mana VTL itu adalah untuk pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan Johor Bahru.

     
     
  • Geometry E muncul dalam teaser – crossover elektrik yang akan didedah di Beijing bulan hadapan, 81 PS

    Geometry E muncul dalam teaser – crossover elektrik yang akan didedah di Beijing bulan hadapan, 81 PS

    Geometry telah menyiarkan gambar teaser pertama bagi kereta elektrik baru mereka, yang akan dipanggil secara ringkas sebagai E. Menurut CarNewsChina, sebenarnya sebelum ini E mempunyai nama lain, iaitu Thunder Tiger, tetapi nampaknya pengeluar itu telah berubah fikiran dengan menukarnya.

    Dengan itu, kini hanya EX3 Kungfu Cow – didedahkan September lalu – sahaja yang menjadi satu-satunya kereta daripada jenama itu yang menggunakan nama berasaskan binatang. Sama seperti Kungfu Cow, E juga adalah sebuah crossover kecil dengan dimensi 4,006 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,550 mm tinggi dan jarak roda 2,485 mm.

    Meskipun Kungfu Cow dan E mempunyai ukuran hampir sama, E tampil lebih moden, seperti yang boleh dilihat dalam gambar teaser ini dan juga gambar yang didedahkan oleh kementerian industri dan informasi teknologi China bulan lalu.

    Antara ciri rekaan yang menonjol pada E adalah seperti jalur lampu penuh di bahagian depan, bampar yang tertutup sepenuhnya dengan lampu kabus di tepi, lampu nipis dan turun tajam ke bawah di belakang, rim dua tona, spoiler belakang berlekuk di tengah serta tempat mengecas di di bahagian fender kiri.

    Juga sama seperti Kungfu Cow, E ini bukanlah dibina ats platform baru, tetapi menggunakan asas daripada Geely Vision X3 yang sudah pun berada di pasaran sejak tahun 2017. Satu perbezaan yang nyata adalah E menggunakan satu motor elektrik terletak di depan yang mampu menghasilkan 81 PS (80 hp atau 60 kW) dan mampu membawanya sehingga kelajuan maksimum 121 km/j.

     
     
  • Projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2 kembali dilaksanakan, dijangka siap tahun 2028 – KKR

    Projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2 kembali dilaksanakan, dijangka siap tahun 2028 – KKR

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengesahkan pembinaan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Fasa 2 (Sarawak) akan dilaksanakan semula pada tahun ini. Menurut timbalan menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup, laluan bagi LPB Fasa 2 iaitu dari Limbang ke Lawas itu dijangka siap pada tahun 2028.

    Katanya lagi, kerajaan memberi komitmen akan mengutamakan jajaran itu yang objektifnya adalah untuk melancarkan trafik tanpa melalui Brunei, laporan Bernama.

    “Projek ini telah mendapat kelulusan secara prinsip pada mesyuarat Kabinet 4 Mac lepas,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat pagi tadi. Ia adalah bagi menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi mengenai status terkini Fasa 2 Projek Pan Borneo Sarawak yang dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

    Projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 2 kembali dilaksanakan, dijangka siap tahun 2028 – KKR

    Pelan asal laluan Lebuhraya Pan Borneo (Sarawak)

    Pada Disember tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa projek LPB Fasa 2 tersebut akan diteruskan.

    Selain itu, pada Februari lalu, kerajaan juga telah bersetuju untuk meluluskan beberapa projek berimpak tinggi termasuk pelaksanaan jajaran Trans Borneo merangkumi jajaran Fasa 2 LPB Sarawak dan Fasa 2 jajaran Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang merupakan kesinambungan Fasa 1.

    Arthur turut berkata, status pelaksanaan keseluruhan Fasa 1 projek LPB Sarawak sepanjang 786 kilometer, sehingga Januari lepas adalah 78% siap. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa pakej dalam projek itu akan mengalami sedikit kelewatan ekoran pandemik Covid-19 dan anggaran tarikh siap dijangka melangkaui suku pertama 2023.

    “Namun, pihak kementerian dan JKR Sarawak akan sentiasa memantau dan melaksanakan pelbagai pelan mitigasi termasuk penyelarasan semula jadual pembinaan dan lanjutan masa, bagi memastikan kelancaran beberapa pakej dalam projek ini supaya tarikh penyiapan tidak terlalu jauh daripada tarikh asal,” katanya.

     
     
  • Malaysia tidak akan anjur semula F1 di litar Sepang dalam masa terdekat; ciapan hanya usikan ringan

    Malaysia tidak akan anjur semula F1 di litar Sepang dalam masa terdekat; ciapan hanya usikan ringan

    Sabtu lalu kecoh seolah-olah Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menyiarkan teaser di laman Twitter mereka bahawa perlumbaan Formula 1 mungkin akan kembali ke Malaysia. Ciapan yang berbunyi “hmm..?” dan diikuti ikon motosikal dan kereta lumba berkenaan dibuat selepas FIA mengumumkan bahawa Grand Prix Rusia tidak akan diadakan tahun ini kerana tindakan negara berkenaan yang melancarkan perang terhadap Ukraine.

    Oleh itu ciapan berkenaan seolah-olah bakal menyaksikan F1 akan kembali ke Malaysia tahun ini bagi menggantikan pusingan yang ditinggalkan oleh Rusia tersebut. Walau bagaimanapun, sumber dalaman SIC menyatakan bahawa khabar angin berkenaan adalah tidak berasas.

    Sebaliknya, paultan.org dimaklumkan bahawa ciapan berkenaan hanyalah usikan ringan yang dibuat oleh pasukan media sosial SIC. Buat masa sekarang masih tiada rancangan untuk SIC menganjurkan perlumbaan Formula 1 selepas kontrak perlumbaan tersebut tidak diperbaharui untuk 2018, kerana pulangan yang rendah untuk negara berbanding kos penganjurannya yang tinggi.

    Malaysia tidak akan anjur semula F1 di litar Sepang dalam masa terdekat; ciapan hanya usikan ringan

    Walau bagaimanapun kemungkinan untuk SIC menganjurkan semula perlumbaan-perlumbaan berprestij seperti itu tidak diketepikan terus. “Untuk Formula 1 kembali ke SIC semula adalah bergantung masing-masing kepada usul dan juga kelulusan kerajaan Malaysia,” kata CEO SIC Azhan Shafriman Hanif.

    Situasi pandemik Covid-19 juga telah memberikan impak kepada SIC kerana banyak perlumbaan-perlumbaan utama antarabangsa terpaksa dibatal penganjurannya di sini dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Sesi Ujian Musim Sejuk MotoGP yang dibuat di SIC bulan lalu membolehkan pihak pengurusan litar berkenaan menunjukkan dan menguji prosedur operasi standard mereka bagi acara-acara antarabangsa.

    Buat masa sekarang kalendar SIC dipenuhi dengan acara-acara perlumbaan tempatan seperti Perlumbaan Merdeka Malaysia Speed Festival (MSF), Malaysian Championship Series (MCS), Malaysian Cub Prix, Malaysian Superbike Championship, Sepang 1000 km Race (S1K). SIC juga kini bersedia untuk menganjurkan semula pusingan MotoGP di Malaysia yang bakal dilansungkan pada hujung Oktober nanti.

     
     
  • Aprilia SR GT 200 – pengedar mula ambil tempahan, dijangka tiba bulan Julai dengan harga sekitar RM22k

    Aprilia SR GT 200 – pengedar mula ambil tempahan, dijangka tiba bulan Julai dengan harga sekitar RM22k

    Khabar ketibaan Aprilia SR GT 200 ke dalam negara memang sudah ada kedengaran sebelum ini, tetapi sekarang ia semakin hampir menjadi sah apabila pengedar motosikal jenama itu di Pulau Pinang dilihat sudah mula membuka tempahan untuk skuter tersebut melalui media sosial.

    Daripada maklumat yang kami terima, SR GT 200 dijangka tiba pada bulan Jun atau Julai tahun ini (untuk jualan kepada umum) dan harga awal yang diletakkan adalah sekitar RM21k untuk harga asas, dan sekitar RM23k untuk harga atas jalan termasuk insurans.

    Melihat kepada pasaran luar, SR GT 200 adalah sebuah skuter yang digerakkan oleh enjin satu silinder 174 cc SOHC, mampu menghasilkan kuasa 17.4 hp pada 8,500 rpm dan 16.5 Nm tork pada 7,000 rpm. Transmisi adalah unit automatik CVT.

    Selain rekaan Itali, skuter ini juga menawarkan tunggangan berkualiti dengan barangan seperti suspensi Showa (fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang), padanan rim 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS serta tangki bahan api sembilan liter.

    Kelengkapan lain yang tersedia adalah panel meter jenis digital, lampu LED, pengecas USB, ruang simpanan bawah tempat duduk 25 liter, sistem start/stop serta sambungan kepada telefon pintar melalui aplikasi Aprilia MIA (pilihan tambahan).

     
     
  • Michelin bakal gantung pengeluaran di beberapa kilangnya di Eropah angkara krisis Rusia-Ukraine

    Michelin bakal gantung pengeluaran di beberapa kilangnya di Eropah angkara krisis Rusia-Ukraine

    Pengeluar tayar terkemuka dunia, Michelin Group, membuat keputusan bagi menghentikan pengeluaran di beberapa kilang di Eropah untuk beberapa hari dalam beberapa minggu akan datang susulan konflik Rusia-Ukraine yang sedang melanda, laporan The Wall Street Journal.

    Menurut pengeluar tayar berpangkalan di Perancis, ia mengakui menghadapi masalah logistik dan pengangkutan utama dalam pembekalan kilangnya dan menghantar kepada pelanggan. Malahan masalah ini turut dihadapi oleh banyak kumpulan perindustrian lain di Eropah.

    Tambah Michelin lagi, bagi ‘mengoptimumkan operasi dan menyesuaikan pengurusan aliran’, Michelin memutuskan untuk menghentikan pengeluaran di beberapa kilangnya di benua terbabit selama beberapa hari dalam minggu-minggu akan datang. Di mana setiap kilang pengeluarannya akan ditentukan tempoh dan pelaksanaan tertentu.

    Walau bagaimana pun, syarikat ini akan cuba mengehadkan kesan kepada pelanggannya dan merancang untuk melaksanakan langkah yang sesuai untuk pekerja yang terjejas dan mengikut peraturan tempatan.

     
     
  • Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

    Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

    Tular dua-tiga hari kebelakangan ini berkenaan satu pengedar kereta terpakai yang mempunyai stok Proton Satria GTi dengan jumlah yang banyak untuk dijual. Dan ramai yang dah tahu bahawa kesemua Satria GTi ini dijual pada harga rata iaitu RM45,000 setiap satu.

    Namun dengan rasa teruja yang meluap-meluap melihat sejumlah lapan unit Satria GTi dengan rupa stok kilang dikumpulkan sekali, dan kelihatan seperti bilik pameran USPD pada lewat 90’an, kami melawat sendiri bilik pameran pengedar berkenaan iaitu Karrus Automotive yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.

    Seperti juga pengedar kereta import persendirian yang lain, perniagaan utama Karrus Automotive adalah membawa kereta-kereta sports dan mewah dari luar negara dengan AP. Tetapi dengan minat yang mendalam terhadap model-model ikonik dan bersejarah, syarikat tersebut telah menubuhkan divisi khas Karrus Classic bagi membawa model-model klasik dan moden klasik tak kira JDM, British Classic atau dari ceruk dunia mana sekalipun, selagi ia boleh di bawa masuk ke Malaysia menggunakan AP kereta klasik.

    Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

    Dan Satria GTi ini antara projek Karrus Automotive buat masa sekarang. Menurut syarikat tersebut, Satria GTi mempunyai satu tempat istimewa dalam kalangan peminat kereta di Malaysia. Model ini dihasilkan oleh Proton bagi menunjukkan bahawa mereka adalah pemilik kepada Lotus ketika itu, dan membuktikan teknologi jenama kereta sport dari British berkenaan boleh disuntik pada model-model Proton bagi menjadikan ia sebuah kereta prestasi yang seronok dipandu.

    “GTi sangat bermakna untuk kebanyakkan peminat kereta di Malaysia, dan kami gembira kerana dapat merestorasi kereta-kereta ini dan ‘pulangkannya’ kembali ke tangan peminat-peminat sekali lagi. Peminat-peminat model ini mungkin 20 tahun lalu tidak mampu memilikinya, tetapi sekarang mereka boleh merealisasikan semula impian masa muda mereka. Ini adalah objektif kami,” kata Karrus Classis.

    Projek untuk mengumpulkan sejumlah besar Satria GTi ini bermula ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu. Ia bermula dengan satu unit yang diperolehi dalam Selangor, dan ketika usaha mendapatkan alat-alat ganti bagi merestorasi kereta tersebut, maklumat berkenaan unit-unit lain yang hendak dijual turut mereka perolehi.

    Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

    Memang banyak Satria GTi yang boleh kita lihat untuk dijual dalam pasaran kereta terpakai. Namun sama seperti Honda Civic Type R EK9 mahupun Integra Type R DC2, nak jumpa unit yang masih ‘dara’ tanpa sebarang ubahsuai adalah perkara yang sukar – bukan sahaja enjin mahupun suspensi yang telah ditukar, kebanyakkannya paling kurang pun rim mesti sudah bukan standard.

    Karrus Classic agak cerewet ketika mendapat kereta-kereta ini, dan unit-unit yang dibeli dari pelbagai negeri seperti Johor, Kelantan dan Pulau Pinang tersebut mestilah hampir standard. Setelah diperolehi, ia direstorasi semula oleh Karrus sebelum dijual kembali kepada pelanggan.

    Secara asasnya, kesemua Satria GTi yang diperolehi oleh Karrus ini akan menerima cat badan baharu, bersama lampu-lampu, perapi-perapi dan emblem (jika perlu) juga baharu. Ada unit yang mereka terima tidak datang dengan rim 16-inci standard Satria GTi, tetapi telah diberikan set rim baharu keluar dari kotak, dan ada juga diberikan rim yang direstorasi seperti baharu. Kesemua unit Satria GTi ini juga telah diberikan satu set tayar baharu Toyo Proxes TR1 bersaiz 205/45R16.

    Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

    Sistem-sistem mekanikal dalam setiap unit Satria GTi ini juga telah diperiksa, disemak semula, dan segala komponen yang perlu diservis atau diperbaiki telah dibuat sebaiknya. Setiap enjin kereta-kereta ini juga telah dibuat ujian tekanan silinder bagi memastikan komponen-komponen dalaman berada dalam keadaan ‘sihat’.

    Malah Karrus turut membuat ujian jalan raya sejauh 100 km pada setiap Satria GTi berkenaan bagi memastikan ia tidak akan menimbulkan masalah kepada pemilik baharu kelak.

    Manakala untuk bahagian dalaman, komponen-komponen dalam kabin telah dibersihkan semula. Jika upholsteri tempat duduk Recaro Enjoy pada Satria GTi ini sudah terlalu teruk, ia akan dibalut semula. Karpet-karpet kaki digantikan dengan karpet baharu asli Satria GTi, dan mana-mana bahagian yang kurang akan dilengkapkan semula.

    Proton Satria GTi restorasi Karrus Classic – stok banyak, RM45k untuk beli “semula masa muda anda”!

    Malah ada unit yang masih kekal mempunyai pemain audio asli 2-Din Satria GTi dari Clarion yang masih berfungsi! Kesemua kereta ini juga diberikan kunci yang dibekalkan dengan unit kawalan jauh asli Proton dengan perumah baharu.

    Jadi walaupun kesemua kereta ini dijual pada harga RM45,000, keadaan bagi setiap unit kereta adalah berbeza. Oleh itu sekiranya anda mahu membeli unit Satria GTi yang tersedia ini, sebaik-baiknya datang sendiri ke bilik pameran Karrus Classic yang terletak di No. 6, Jalan Pendaftar U1/54, Temasya Industrial Park, Glenmarie, Shah Alam ini.

    Kalau tak pasti dengan apa-apa perkara, anda boleh hubungi En.Syazwan, pengurus jualan dan operasi Karrus Private Garage di talian 03-55699606, atau lawati akaun Instagram dan Facebook Karrus Classic.

    Jika dah sampai ke bilik pameran Karrus ini, jangan lepaskan peluang untuk lawat sekali koleksi kereta klasik moden di garaj Karrus tersebut, yang tampil dengan kondisi muzium! Dan jika anda mahukan maklumat, nasihat atau apa sahaja berkenaan untuk mengimport kereta-kereta begini, anda boleh hubungi Maikel di talian 1700 81 1911 yang kini mengetuai Karrus Classic.

    Sekiranya anda membeli mana-mana unit Satria GTi yang dijual oleh Karrus Classis ini, anda turut akan menerima satu fail yang bukan sahaja diisi dengan geran, malah segala rekod-rekod pembaikan, penukaran alat ganti dan lain-lain yang telah dibuat oleh Karrus. Gambar-gambar tolok tekanan ketika ujian tekanan yang dibuat pada setiap silinder enjin juga disertakan dalam fail berkenaan.

    Dalam hantaran yang tular baru-baru ini ada yang mendakwa bahawa walaupun Satria GTi dijual pada harga RM45,000, ia hanya dilindungi insuran dengan nilai RM5,000 sahaja. Karrus Classic menyatakan bahawa mereka boleh membantu pelanggan mendapatkan insuran dengan perlindungan lebih tinggi, setara dengan harga belian kereta berkenaan jika pelanggan mahu, dan sudah tentu bayaran premium lebih tinggi juga diperlukan.

    Insuran yang dimaksudkan adalah insuran di bawah skim insuran kereta klasik. “Syarikat insuran akan membuat semakan latar belakang terhadap sejarah tuntutan insuran pemohon. Namun mereka hanya akan menerima permohonan untuk kereta dengan kondisi terbaik seperti yang kami ada. Permohonan untuk kereta yang telah diubahsuai tidak akan diluluskan,” jelas Karrus Classic.

    Jadi berbaloi ke untuk sebuah Proton lama dibeli dengan harga RM45,000? Unit-unit yang dijual oleh Karrus Classic ini sudah tentu tidak sesempurna unit-unit Satria GTi mahupun model-model C99 lain yang direstorasi oleh Dream Street Restoration (DSR). Namun dengan harga lebih rendah, anda dapat menikmati sebuah Satria GTi dengan rupa luaran seperti kereta baharu, dan disahkan tiada apa-apa isu berkenaan mekanikal atau sistem-sistem lain.

    Seronok bila tengok makin ramai yang menghargai semula kereta-kereta lagenda yang dihasilkan oleh Proton ini seperti model-model ikonik JDM bukan? Jadi bagi mereka yang menyimpan hasrat untuk membeli Satria GTi masa sekolah menengah atau ketika di universiti dulu dan masih belum dapat sehingga kini, unit-unit yang disediakan oleh Karrus Classic ini antara opsyen yang boleh anda timbangkan untuk “membeli kembali masa muda” anda yang tidak kesampaian dahulu!

    GALERI: Koleksi kereta-kereta klasik moden lain di Karrus Private Garage

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024