Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Kapcai prestasi tinggi tidak patut diharamkan di M’sia – Zahid Hamidi kongsikan pendapat di media sosial

    Kapcai prestasi tinggi tidak patut diharamkan di M’sia – Zahid Hamidi kongsikan pendapat di media sosial

    Minggu lalu kecoh apabila video tular Suzuki Raider R150 Fi yang diuji atas mesin dyno sehingga mencatat kelajuan 177 km/j mendapat perhatian ketua polis negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, yang menyatakan rasa bimbang dan mengeluarkan saranan supaya penjualannya diharamkan.

    “Inilah (kapcai laju) antara penyumbang kepada tingginya kemalangan dan kematian dalam kalangan penunggang motosikal dan (kegiatan) merempit. Kenderaan (kapcai) seperti ini wajib diharamkan di Malaysia (kerana) tidak ada relevensi kelajuan 177 km/j di jalan raya sedangkan had laju maksimum adalah 110 km/j (di lebuh raya)” kata Acryl Sani kepada portal berita FMT.

    Sekarang, presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula muncul untuk memberi pandangan tentang isu ini, dengan mengatakan ia tidak sepatutnya diharamkan terus. Bekas timbalan perdana menteri ini turut berkongsikan beberapa perkara sebagai sokongan dan dikongsikan di laman media sosial.

    “Tanpa sedikit pun berhasrat memperkecilkan cadangan tersebut oleh mana-mana pihak, saya malah percaya beberapa perkara wajarlah diperhalusi terlebih dahulu. Pertama, motosikal walau apa prestasi jika ditunggang dengan cermat, berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya kebarangkalian selamat adalah tinggi. Kecuali berlaku faktor-faktor luar jangka seperti disebabkan oleh kecuaian pemandu kenderaan lain, kerosakan pada motosikal atau permukaan jalan tidak selamat,” kata Zahid.

    Kapcai prestasi tinggi tidak patut diharamkan di M’sia – Zahid Hamidi kongsikan pendapat di media sosial

    “Kedua, pasaran motosikal di Malaysia dilaporkan antara yang tertinggi di Asean, malah antara yang tertinggi di dunia sebelum pandemik melanda. Langkah pengharaman ke atas ‘kapcai’ dikhuatiri akan mengganggu industri tersebut yang baru saja mahu ‘bernafas’ semula. Kesan buruknya pasti akan dihadapi oleh ramai mereka yang terlibat dalam industri berkenaan daripada pengedar, penjual sehingga kepada pekerja. Malah sektor berkaitan termasuk perniagaan alat ganti dan bengkel membaiki motosikal akan turut terkesan.

    Ketiga, dianggarkan 11 juta penduduk Malaysia menggunakan ‘kapcai’ untuk kegiatan harian termasuk ke tempat kerja atau urusan-urusan lain. Antara faktor termasuk belum mampu memiliki kereta atau membeli lebih daripada sebuah kereta, maka sama ada suami atau isteri perlu menggunakan motosikal.

    Selain itu terdapat juga faktor mahu menjimatkan kos pengangkutan, mengelak terperangkap kesesakan lalu lintas dan kesukaran mendapat parkir. Begitu juga dengan pelajar institusi pengajian tinggi. Tidak semua ibu bapa mampu membelikan kereta buat anak-anak mereka untuk ke kuliah atau kelas,” kata ahli parlimen Bagan Datuk itu.

    Kapcai prestasi tinggi tidak patut diharamkan di M’sia – Zahid Hamidi kongsikan pendapat di media sosial

    Keempat, kita pernah mendengar tentang kapcai’ walaupun speed-cut (batasan halaju) 110 km/j masih boleh diubah suai untuk ditambah kelajuan. Kerana itu juga kita pernah dengar tentang ‘kapcai’ boleh mencecah kelajuan sehingga 180 km/j untuk tujuan lumba haram. Ini bermaksud walaupun ‘kapcai’ berprestasi tinggi diharamkan, masalah sebenar iaitu kelajuan yang tidak selamat akan terus berlaku.

    Justeru, aspek paling penting dalam menangani isu kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal adalah berhubung sikap pengguna jalan raya. Tentang usaha memperkasa kesedaran mereka terhadap kepentingan mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan ketika menunggang motosikal.

    Menanam elemen prihatin dan saling mengambil berat dalam kalangan pengguna jalan raya bagi mengatasi tingkah laku pentingkan diri. Begitu juga dengan aspek penguatkuasaan peraturan jalan raya dan peranan keluarga bagi membendung remaja daripada terlibat dalam aktiviti lumba haram,” kata Zahid.

    Beliau menamatkan kenyataan pendapat dengan pepatah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Pendapat anda pula bagaimana? Sudah tentu, pengharaman kapcai adalah sesuatu yang tidak patut kerana ramai yang bergantung kepadanya, tetapi adakah pendidikan cukup berkesan untuk mengelak masalah daripada timbul? Adakah terdapat penyelesaian lain?

     
     
  • Toyota GR Supra 2022 sah dapat transmisi manual!

    Toyota GR Supra 2022 sah dapat transmisi manual!

    Ada siapa-siapa yang dari dulu tanya “bila GR Supra nak ada manual?” Hah, ini berita baik untuk anda – Toyota mengumumkan bahawa GR Supra 2022 sah akan didatangkan dengan pilihan kotak gear manual! Pengumuman tersebut disertakan sekali dengan imej teaser menunjukkan set pedal untuk GR Supra berkenaan, yang tampil dengan pedal klac pada sebelah kiri.

    Supra generasi kelima ini diperkenalkan buat pertama kali pada 2019. Disebabkan ia adalah kembar kepada BMW Z4 G29, yang juga tampil tanpa pilihan kotak gear manual, maka Supra terus dijual hanya dengan kotak gear automatik sehingga kini. Jadi untuk GR Supra manual ini, ia mungkin akan menerima kotak gear enam kelajuan manual sama seperti yang dilengkapkan pada BMW M3 G80 dan M4 G82.

    Toyota GR Supra 2022 sah dapat transmisi manual!

    Tiada perincian spesifikasi lain diumumkan setakat ini. Bagi model sedia ada, GR Supra ditawarkan dalam dua jenis enjin – model asas dengan enjin 2.0 liter empat silinder menjana 258 PS/400 Nm, dan model paling berkuasa dengan enjin BMW B58 3.0 liter enam-silinder turbo menghasilkan 388 PS/500 Nm.

    Kuasa disalur hanya kepada gandar belakang, dan kedua-dua versi enjin berkenaan sebelum ini hanya dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Macam mana? Jadi beli ke bila Supra dah ada pilihan manual nanti ni?

     
     
  • Avatr 11 MMW – SUV yang dipacu oleh motor elektrik Huawei 578 PS, rekaan bersama pengasas Givenchy

    Avatr 11 MMW – SUV yang dipacu oleh motor elektrik Huawei 578 PS, rekaan bersama pengasas Givenchy

    Ini adalah Avatr 011, iaitu satu edisi keluaran istimewa bagi SUV elektrik tersebut, yang direka bersama oleh pengasas jenama 1017 ALYX 9SM dan pengarah kreatif jenama mewah Givenchy, Matthew M. Williams (MMW).

    Terhad hanya 500 unit untuk seluruh dunia, Avatr 011 MMW ini mendapat sentuhan unik yang menggambarkan jenama MMW. Warna hitam diambil sebagai tema utama, dan digunakan pada hampir semua bahagian termasuk rim 22 incinya.

    Warna perak pula digunakan bagi memberi sedikit kontras, pada bahagian seperti angkup brek, serta kemasan di dalam termasuk pada konsol tengah, panel pintu serta tempat duduk yang dibalut dengan kombinasi kulit Nappa serta Nuprima.

    Melengkapkan penampilannya adalah tulisan “AVATRMMW” pada banyak bahagian, termasuk penyandar kepala, angkup brek, tepi pintu dan but, kancing di belakang tempat duduk, pada ruang simpanan barang, bawah konsol tengah serta dalam but.

    Avatr 11 MMW – SUV yang dipacu oleh motor elektrik Huawei 578 PS, rekaan bersama pengasas Givenchy

    Gambar yagn disiarkan ini juga menunjukkan kepada kita bahagian dalam 011, yang sebelum ini, semasa pelancarannya November lalu tidak ditunjuk. Ia memang nampak moden, dengan sekurang-kurangnya terdapat tiga skrin, termasuk untuk panel instrumen digital, serta unit sesentuh di hadapan penumpang dan di tengah.

    Skrin paling besar yang terletak di tengah digunakan untuk semua fungsi kenderaan, dan disebabkan itu, konsol tengahnya tidak mempunyai sebarang butang kawalan dan hanya terdapat tempat meletak cawan dan pengecas telefon tanpa wayar. Pada bahagian lain, kita boleh melihat rekaan papan pemuka melengkung, serta roda stereng yang mempunyai bentuk rata di atas.

    Selain bahagian dalam, bahagian luar juga nampak sama futuristik dengan terdapat jalur DRL LED nipis serta lampu utama yang terletak lebih rendah di bawah. Tiada gril seperti kereta biasa pada SUV ini dan ia hanya menggunakan bukaan pada bahagian bawah bampar.

    Avatr 11 MMW – SUV yang dipacu oleh motor elektrik Huawei 578 PS, rekaan bersama pengasas Givenchy

    Melihat dari tepi, pembuka pintu 011 dijadikan sama rata dengan permukaan (jenis tersembunyi) serta kemasan pada fender yang sebenarnya diletakkan dengan kamera. SUV ini mempunyai garis bumbung seperti coupe yang menjunam di belakang, dan ia membawa kepada cermin belakang yang condong serta jalur lampu yang bersambung dari kiri ke kanan kenderaan.

    Untuk saiz, 011 adalah kecil sedikit berbanding Porsche Cayenne, dengan catatan panjang 4,880 mm (-39 mm), lebar 1,970 mm (-13 mm) dan tinggi 1,601 mm (-35 mm), sementara jarak roda pula ia lebih panjang iaitu 2,975 mm (+80 mm).

    Avatr sebenarnya adalah satu jenama yang dulunya dikenali sebagai Changan Nio, dan merupakan satu kerjasama antara Changan Automobil dari China dengan Nio. Selepas Nio keluar daripada kerjasama itu pada tahun 2018, Avatr Technology diwujudkan bersama dengan penglibatan Huawei serta pengeluar bateri, CATL.

    Model 011 ini adalah model pertama daripada Avatr dan dilengkapi dengan dua motor elektrik daripada Huawei yang menyediakan kuasa keseluruhan 578 PS (570 hp atau 425 kW). Syarikat teknologi itu kini aktif dalam bidang automotif, dengan turut terlibat dalam pembangunan satu lagi kereta iaitu Seres EF5. Huawei juga mempunyai jenama kereta mereka sendiri, iaitu AITO, yang bermaksud “Adding Intelligence to Auto,” dan menyediakan M5 (SF5 versi PHEV) sebagai produk pertama mereka.

    Pek bateri CTP ternary lithium pada 011 datang daripada CATL, dan ia mempunyai kapasiti 90.38 kWh dan boleh menyediakan jarak gerak sehingga 700 km. Daripada aspek prestasi, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa tiga saat dan mencapai kelajuan maksimum sehingga 200 km/j. Ia juga datang dengan sistem pengecasan pantas 750 volt yang boleh menerima kuasa 240 kW dan mengisi semula bateri dari 30-80% dalam masa cuma 15 minit.

    Sebagai tambahan, 011 juga datang dengan Huawei Inside (HI), iaitu sistem penuh kenderaan pintar, yang menggabungkan platform komputer 400 TOPS (operasi tera per saat) bersama tiga sensor lidar, enam radar gelombang milimeter, 12 radar ultrasonik dan 13 kamera. Ia dijangka dijual di China bermula suku kedua tahun ini.

     
     
  • Subaru Outback 2023 facelift didedahkan – wagon dengan wajah lebih bergaya; enjin 2.4L turbo, 2.5L NA

    Subaru Outback 2023 facelift didedahkan – wagon dengan wajah lebih bergaya; enjin 2.4L turbo, 2.5L NA

    Subaru telah mendedahkan model facelift bagi Outback dalam penganjuran New York International Auto Show (NYIAS) 2022, selepas hampir tiga tahun wagon (jenama ini menggelarnya sebagai SUV) generasi ke-enam diperkenalkan buat pertama kalinya.

    Untuk model tahun 2023, Outback menerima penggayaan yang dipertingkatkan dengan bahagian hadapan berwajah baharu, ditampilkan bersama gril yang lebih menyerlah. Tiada lagi kepingan melintang yang ditampilkan pada model sebelum ini, digantikan dengan kemasan baharu yang lebih berketerampilan dengan diserlahkan palang krom.

    Bampar baharu juga diberikan untuk model facelift ini bersama lampu utama yang direka semula dengan sentuhan lebih bergaya, sama seperti yang ditampilkan pada model terkini WRX dan Levorg. Sementara itu, penutup hitam juga diaplikasikan pada bampar bagi melindungi bahagian bawah hadapan model ini, dan dilunjurkan sedikit hingga bersambung ke lampu utama.

    Subaru Outback 2023 facelift didedahkan – wagon dengan wajah lebih bergaya; enjin 2.4L turbo, 2.5L NA

    Rekaan ini diinspirasikan dari varian Wilderness bagi Outback yang diperkenalkan Mac lalu (tidak disertakan bagi facelift ini), dengan sentuhannya dikurangkan sedikit untuk menutupi sebahagian kecil bampar. Bukan itu sahaja, lapisan gerbang roda diberikan tambahan untuk menampakkan model ini lebih bergaya disamping memberikan perlindungan ektra. Selain daripada perubahan yang dinyatakan ini, ciri lain bagi Outback masih dikekalkan seperti sebelum ini.

    Untuk kelengkapannya, semua varian Outback didatangkan dengan sistem bantuan pemandu dan keselamatan Subaru EyeSight sebagai ciri standard, yang kini beroperasi secara lebih lancar dalam apa jua situasi pemanduan. Penambahbaikan ini hasil daripada perisian kawalan yang ditingkatkan dan juga tambahan bagi electric brake booster, di mana kemasan tertinggi Touring turut diberikan kamera mono sudut yang lebih lebar yang bekerjasama dengan sistem dwi-kamera EyeSight.

    Subaru berkata pandangan bagi “third eye” turut ditambahkan bagi mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal secara lebih pantas apabila kenderaan memasuki persimpangan dalam kelajuan rendah. Touring juga menerima cermin pandang-belakang digital dengan auto-kelam, kompas dan HomeLink.

    Subaru Outback 2023 facelift didedahkan – wagon dengan wajah lebih bergaya; enjin 2.4L turbo, 2.5L NA

    Ia juga dilengkapi dengan Pengesan Titik Buta dengan Bantuan Menukar Lorong dan Kepekaan Trafik Lintasan Belakang, EyeSight kini juga diberikan Stering Kecemasan Automatik. Ciri baharu ini bekerjasama dengan Sistem Brek Pra-Pelanggaran yang membantu mengelak pelanggaran dalam kelajuan kurang daripada 80 km/j.

    Penawaran enjin masih sama seperti sebelum ini, termasuk unit FA24F 2.4 liter turbo empat-silinder petrol dengan lonjakan kuasa 260 hp dan tork 376 Nm, serta enjin tanpa-turbo FB25DI 2.5 liter empat-silinder dengan 182 hp dan 239 Nm sebagai alternatif. Kesemua model Outback digandingkan dengan Lineartronic CVT bersama nisbah maya lapan-kelajuan dan pedal menukar gear, serta Symmetrical All-Wheel Drive.

    Selain Trim, Outback juga dibarisi model asas, Premium, Limited dan Onyx Edition. Di mana varian Onyx Edition kini boleh ditempah dengan enjin tanpa-turbo jika tidak mahu unit FA24F.

     
     
  • Proton Iriz RX antara pencabar utama di 5 Nations British Rallycross C’ship pusingan 1 & 2 minggu ini

    Proton Iriz RX antara pencabar utama di 5 Nations British Rallycross C’ship pusingan 1 & 2 minggu ini

    Pusingan pertama dan kedua siri perlumbaan 5 Nations British Rallycross Championship akan berlangsung hujung minggu ini, di litar ikonik untuk disiplin rallycross di UK iaitu Lydden Hill Race Circuit. Senarai pelumba yang akan menyertai dua pusingan pertama musim 2022 berkenaan sudah pun dikeluarkan, dengan nama Ollie O’Donovan dari pasukan Team RX Racing yang akan memandu Proton Iriz RX berada pada kedudukan paling atas senarai tersebut.

    Ollie bertanding dalam kategori tertinggi dalam kejohanan ini iaitu kelas Supercar, yang akan menyaksikan pertembungan 14 jentera rallycross berkuasa 600 hp dari pelbagai jenama. Pelumba dari Ireland yang berumur 55 tahun tersebut merupakan nama besar dalam perlumbaan rallycross di UK – bergelar juara dalam kejohanan ini pada tahun 2007, dan sebagai naib juara untuk musim 2021 (hanya kalah 2 mata berbanding juara Derek Tohill), Iriz RX Ollie akan menggunakan nombor ‘2’ sebagai nombor perlumbaan.

    Projek penghasilan Proton Iriz RX yang dibangunkan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) dan Tony Bardy Motorsport (TBM) ini tidak mendapat penajaan terus dari Proton. Menurut ketua jurutera Team RX Racing dan juga pemilik TBM, Tony Bardy, projek ini dimulakan apabila Ollie memerlukan jentera baharu selepas berlumba dengan Ford Focus dan Ford Fiesta RX selama 15-tahun.

    Proton Iriz RX antara pencabar utama di 5 Nations British Rallycross C’ship pusingan 1 & 2 minggu ini

    “Kami ada kereta lain yang dirancang untuk masa hadpaan, tapi Ollie tak nak sama dengan orang lain, dia mahu sesuatu yang berlainan. Saya juga memikirkan perkara yang sama, tapi untuk bermula dari asas ia akan mengambil masa bertahun-tahun untuk membina dan membangunkan sesuatu yang benar-benar baru,” kata Tony Bardy.

    Menurut Bardy lagi, Iriz dipilih bukan sahaja ia tidak pernah lagi dihasilkan sebagai sebuah jentera rallycross seperti yang dimahukan oleh Ollie, malah MEM telah membuktikan bahawa Iriz kompetitif dengan jentera-jentera rali terkini dan telahpun memenangi banyak perlumbaan rali di UK.

    Pembangunan jentera ini dibuat di fasiliti MEM yang terletak di Derbyshire, UK, diasaskan dari jentera rali Iriz R5 yang dibangunkan sebelum ini. Tiada sebarang perincian teknikal diumumkan ketika jentera ini didedahkan. Namun menurut spesifikasi Supercar RX1 yang telah ditetapkan oleh FIA, jentera-jentera yang bertanding dalam kelas berkenaan perlu dijana oleh enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan sekitar 600 hp, digandingkan dengan kotak gear sequential enam-kelajuan, sistem pacuan semua roda serta ditimbang sekitar 1,300 kg.

    Dilihat dari bahagian luar, Iriz RX ini menampilkan kelengkapan aerodinamik yang hampir sama dengan Iriz R5, khususnya pada bampar hadapan dan belakang, serta panel wide body pada keempat-empat ruang roda. Namun apa yang berbeza, Iriz RX ini diberikan lampu ‘dummy’ di hadapan bersama liang udara yang lebih banyak pada gril bawah dan perumah lampu kabus, overfender belakang yang lebih lebar serta spoiler dua tingkat di belakang yang lebih besar diperbuat dari karbon.

    Jika anda perasan juga, terdapat liang udara besar pada kedua-dua belah pintu belakang, dan juga penutup but belakang yang telah ditebuk juga untuk aliran udara. Ini sebenarnya adalah untuk sistem penyejukkan enjin jentera lumba berkenaan, kerana radiator kereta rallycross lazimnya dialihkan ke bahagian belakang, bagi mengelakkan ia rosak ketika ‘dog fight’ yang lebih agresif berlaku setiap kali dalam disiplin perlumbaan tersebut.

    Menurut Team RX Racing, walaupun Iriz RX ini diasaskan dari Iriz R5, pembinaannya dibuat secara spesifik untuk kegunaan perlumbaan rallycross, bermula dengan kerangka kosong sebuah Iriz produksi.

    “Kereta ini berkongsi asas dengan Iriz R5, tetapi turut menampilkan banyak perincian yang unik, dan konsep berkenaan dikembangkan lagi bagi diadaptasi untuk rallycross lebih dari semua kemungkinan yang difikirkan sejak dari mula. Tetapi selepas kereta ini menjalani ujian pertama, ia ada kelajuan. Kereta ini mempunyai cengakaman yang banyak, dan lebih banyak potensi belum didedahkan. Kami semua tak sabar untuk perlumbaan pertama!” kata Tony Bardy lagi.

    Perlumbaan yang diadakan di Lydden Hill minggu ini akan berlangsung pada 16 hingga 18 April ini. 5 Nations British Rallycross Championship akan berlangsung sebanyak 10-pusingan tahun ini, dengan pusingan seterusnya akan dibuat di Pembrey (Wales), Mondello Park (Ireland), dan Dreux (Perancis).

    Anak Ollie iaitu Patrick O’Donovan turut akan menyertai 5 Nation BRX untuk musim ini, memandu satu lagi jentera pasukan Team RX Racing iaitu Ford Fiesta RX, bekas jentera yang digunakan Ollie untuk musim-musim sebelum ini. Apa yang menarik lagi, Ollie turut akan kembali ke siri European Rallycross Championship musim ini, yang akan bermula di Nyirad, Hungary bulan hadapan, diikuti pusingan di Norway, Sweden, Portugal, Latvia, Portugal dan Belgium.

     
     
  • Kad Enhanced Touch ‘n Go – kad RM10 baru dengan cip NFC dijual semula berharga RM19 via dalam talian

    Kad Enhanced Touch ‘n Go – kad RM10 baru dengan cip NFC dijual semula berharga RM19 via dalam talian

    Kad baharu Touch ‘n Go dengan teknologiNFC (near field communication) bakal dilancarkan tidak lama lagi, membolehkan pengguna untuk menambah nilai kad fizikal mereka secara terus dari aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

    Ia bakal dijual pada harga RM10 setiap satu, tetapi tinjauan menerusi platform dalam talian mendapati, ada penjual (reseller) yang menjualnya dengan harga RM19, atau pun kenaikan sebanyak 90%. Namun iklan tersebut telah ‘disembunyikan’, mungkin sebab kad terbabit telah habis dijual. Malahan dilaporkan kad Enhanced Touch ‘n Go ini telah pun dijual secara rasminya di cawangan TNG di Nu Sentral, tetapi setakat jam 6 petang kelmarin, ia juga telah habis dijual.

    Wakil paultan.org mahu membeli kad tersebut di stesen LRT, di mana pada mulanya kami dimaklumkan bahawa ia telah kekurangan stok, dan disarankan untuk kembali ke premis yang sama pada jam 6 pagi. Namun pagi ini, kami dimaklumkan bahawa stesen LRT hanya menjual kad versi lama, dan ternyata kami menerima informasi yang berbeza dari dua orang pegawai LRT.

    Kad Enhanced Touch ‘n Go – kad RM10 baru dengan cip NFC dijual semula berharga RM19 via dalam talian

    Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, fungsi baharu NFC akan boleh digunakan apabila kad baharu ini dilancarkan kelak. Di mana kad baharu ini boleh dikenalpasti oleh ikon NFC pada hujung kanan kad berkenaan. Ini bermakna pengguna perlu membeli kad Enhanced Touch ‘n Go itu untuk menggunakan fungsi tersebut.

    Apabila menerima kad fizikal Enhanced Touch ‘n Go itu, pengguna perlu melakukan pautan kad tersebut ke eWallet, membolehkan pengguna menyemak baki nilai di dalam kad, seperti mana kad sebelum ini, serta melakukan proses tambah nilai. Untuk melakukannya, kad baharu ini perlulah diletakkan di belakang telefon pintar yang mempunyai fungsi NFC selama lima saat. Video yang telah ‘disorokkan’ itu turut menunjukkan fungsi ini boleh digunakan bagi peranti iOs dan Android.

    Apabila kad Enhanced Touch ‘n Go dilancarkan kelak, ia membolehkan pengguna untuk menambah nilai kad fizikal mereka tanpa perlu ke kios atau kaunter perkhidmatan. Ini akan menjadi kemudahan tambahan kerana kad Touch ‘n Go fizikal masih digunakan untuk bayaran tempat letak kereta dan pengangkutan awam, selain PayDirect boleh digunakan untuk caj tol lebuh raya.

    Walau bagaimana pun, difahamkan baki kad baharu ini masih diasingkan dari baki eWallet. Dan buat masa ini, pautan antara kad fizikal, kad Touch ‘n Go dan aplikasi eWallet adalah bagi fungsi PayDirect, di mana transaksi pembayaran tol akan ditolak terus dari baki eWallet berbanding baki yang masih ada dalam kad Touch ‘n Go. Apabila baki eWallet telah habis, barulah caj tol akan ditolak daripada kad fizikal, yang boleh dihalang dengan mengaktifkan ciri muat semula automatik pada eWallet.

     
     
  • Voyah Dreamer – MPV elektrik produksi terpantas di dunia dari China, 0-100 km/h 5.9 saat, 435 PS/620 Nm

    Voyah Dreamer – MPV elektrik produksi terpantas di dunia dari China, 0-100 km/h 5.9 saat, 435 PS/620 Nm

    Selepas ditunjuk dalam versi konsep di Guangzhou tahun lalu, MPV bersaiz besar buatan China yang dikatakan lebih pantas dari hot-hatch iaitu Voyah Dreamer kini sudah pun didedahkan dalam versi produksi sebenar. Ia diperkenalkan dalam versi hibrid range extender (EREV) dan juga versi elektrik penuh (EV).

    Bagi model EREV, Voyah Dreamer ini menerima dua buah motor elektrik memacu gandar hadapan dan belakang, menghasilkan kuasa keseluruhan 290 kW (394 PS) dan tork maksima 610 Nm. Manakala enjin petrol 1.5 liter turbo yang diberikan bertugas semata-mata untuk mengecas bateri elektrik. Ini membolehkan MPV berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat.

    Versi EV pula menerima dua buah motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 320 kW (435 PS) dan tork maksima 620 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat! Menurut Voyah, ini adalah MPV produksi paling pantas di dunia yang boleh dibeli dalam pasaran buat masa sekarang.

    Voyah Dreamer – MPV elektrik produksi terpantas di dunia dari China, 0-100 km/h 5.9 saat, 435 PS/620 Nm

    Untuk rekod, sebelum ini Mercedes pernah menghasilkan model R63 AMG, iaitu MPV R Class dengan enjin V8 6.2 liter menghasilakn 510 PS/630 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.6 saat.

    Berbalik pada Voyah Dreamer, kedua-dua versi EREV dan EV mempunyai berat keseluruhan 2,540 kg dan 2,625 kg, serta kelajuan maksima kedua-duanya dihadkan hanya pada 200 km/j. Bagi model EV, jarak gerak untuk satu cas penuh adalah 600 km, manakala model EREV pula menampilkan jarak gerak 700 km. Tiada sebarang spesifikasi bateri mahupun sistem pengecas didedahkan setakat ini.

    Rupa luaran dan dalaman Voyah Dreamer versi produksi ini dilihat hampir sama dengan versi konsep terdahulu. Ia menampilkan gril hadapan yang besar diapit lampu hadapan yang nipis. Tidak seperti Lexus LM yang direka tinggi seperti van, Dreamer menampilkan badan yang nampak lebih lebar dengan jarak kelegaan tanah yang nampak rendah (menggunakan sistem suspensi udara).

    Voyah Dreamer – MPV elektrik produksi terpantas di dunia dari China, 0-100 km/h 5.9 saat, 435 PS/620 Nm

    Kabin belakang boleh diakses dengan pintu gelangsar berkuasa elektrik. Manakala lampu belakang turut direka nipis melintang bersambung antara kedua-dua sisi dengan bar yang merentangi pintu tailgate. Versi produksi ini turut menampilkan warna badan dua tona, sementara perincian dan kemasan-kemasan krom yang ‘meriah’ masih dikekalkan. Enam warna badan boleh dipilih pembeli, termasuk warna Deep Purple yang sama seperti versi konsep sebelum ini.

    Dari segi saiz, MPV ini dihasilkan dengan dimensi 5,315 mm panjang, 1985 mm lebar, 1,820 mm tinggi dan jarak roda sejauh 3,200 mm. Berbanding Toyota Alphard, Voyah Dreamer ini adalah 370 mm lebih panjang, 135 mm lebih lebar, 75 mm lebih rendah serta jarak roda 200 mm lebih jauh.

    Secara standard, Voyah Dreamer menawarkan kofigurasi tujuh-tempat duduk dengan diberikan kerusi kapten pada baris kedua dan kerusi bench untuk tiga penumpang pada baris belakang. Menurut Voyah, dengan konfigurasi ini, ia masih mampu menempatkan empat beg pakaian bersaiz 24-inci pada ruang but belakang.

    Voyah Dreamer – MPV elektrik produksi terpantas di dunia dari China, 0-100 km/h 5.9 saat, 435 PS/620 Nm

    Untuk pilihan lebih mewah, Voyah Dreamer turut boleh dipilih dalam versi hanya empat tempat duduk seperti Lexus LM, yang menawarkan ruang privasi lebih luas dan menurut jenama tersebut ia boleh dijadikan sebagai pejabat bergerak.

    Papan pemuka MPV ini dipenuhi dengan tiga buah skrin – satu untuk paparan instrumen digital, dua lagi untuk sistem infotainmen. Sistem berkenaan dikuasakan chipset Qualcomm 8155 serta mempunyai keupayaan ketersambuang 5G bersama kemaskini perisian menerusi sistem over-the-air. Ia juga disertakan dengan sistem bunyi premium dari DYNAudio.

    Tempat duduk kapten MPV ini turut disertakan dengan fungsi pemanas, pengalir udara dan juga pengurut. Kesemua tempat duduk diberikan upholsteri kulit sintetik OEKO-TEX bagi memastikan ia lebih mesra alam. Pembeli boleh memilih dua tema warna untuk kabin iaitu perang cerah atau cream.

    Voyah Dreamer – MPV elektrik produksi terpantas di dunia dari China, 0-100 km/h 5.9 saat, 435 PS/620 Nm

    Untuk sistem keselamatan, Voyah Dreamer diberikan sistem bantuan pemanduan autonomi Tahap 2, menampilkan fungsi seperti cruise control adpatif bersama bantuan kekal tengah lorong. Ia juga diberikan sistem parkir kawalan jauh dan juga pengenal gestur.

    Menurut CarNewsChina, Voyah Dreamer akan dijual pada harga bermula 380,000 RMB (RM252k) sehingga 480,000 RMB (RM319k). Manakala bagi model custom dengan hanya empat tempat duduk, ia akan dijual pada harga bermula 600,000 RMB (RM399k).

     
     
  • Audi e-tron GT EV menangi Kereta Prestasi Tahunan Dunia 2022, tewaskan BMW M3/M4 dan Toyota GR86

    Audi e-tron GT EV menangi Kereta Prestasi Tahunan Dunia 2022, tewaskan BMW M3/M4 dan Toyota GR86

    Audi e-tron GT quattro dinobatkan sebagai Kereta Prestasi Tahunan Dunia 2022, meneruskan pacuan yang agresif untuk segmen kenderaan elektrik (EV) bagi penganugeraan berprestij edisi tahun ini.

    Model elektrik sepenuhnya buatan Jerman ini telah menewaskan finalis dalam kelas yang sama iaitu BMW M3 dan M4, Porsche 911 GT3, Toyota GR86/Subaru BRZ serta Volkswagen Golf GTI dan Golf R. Sebelum diumumkan pemenang, senarai awal tersebut dipendekkan kepada tiga finalis sahaja iaitu e-tron GT quattro, M3/M4 dan GR86/BRZ.

    Sebagai model asas dalam barisan e-tron GT, e-tron GT quattro diberikan penjana kuasa dwi-motor dengan kuasa 238 PS untuk motor hadapan dan 435 PS bagi motor belakang, menjadikan keseluruhan kuasanya mencecah 476 PS, atau 530 PS dan 640 Nm dalam Launch Control untuk pacuan 2.5 saat. Dengan angka prestasi tersebut, jentera ini boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.1 saat dan kelajuan maksimumnya mampu cecah 245 km/j.

    e-tron GT quattro ini sebenarnya lebih maskulin jika hendak dibandingkan dengan model yang sama barisannya dengannya iaitu RS e-tron GT, yang menerima lonjakan kuasa hingga 598 PS dan tork 830 Nm, atau 646 PS dalam mod boost. RS e-tron GT juga boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 3.3 saat dan kelajuan maksimumnya cecah 250 km/j.

     
     
  • Isuzu Malaysia catat jualan 1,233 unit bagi D-Max untuk Mac 2022 – rekod bulanan tertinggi sejak 2005

    Isuzu Malaysia catat jualan 1,233 unit bagi D-Max untuk Mac 2022 – rekod bulanan tertinggi sejak 2005

    Isuzu D-Max 1.9 Premium Auto

    Isuzu Malaysia telah mengumumkan prestasi jualan bagi trak pikap D-Max yang dicatatkan pada Mac 2022 mencecah 1,233 unit. Malahan jumlah tersebut mengatasi jualan bulanan tertinggi yang pernah dicapai sejak syarikat berkenaan sejak beroperasi di sini pada tahun 2005.

    Menurut syarikat berkenaan, rekod bulan Mac 2022 yang memberangsangkan ini didorong oleh serahan kenderaan yang kembali meningkat bertujuan untuk memenuhi pesanan tertangguh sebelum ini. Angka baharu ini mengatasi rekod Isuzu yang sebelumnya, dengan 885 unit terjual pada Disember 2014 selepas pengenalan varian 3.0 liter V-Cross yang sangat popular ketika itu.

    Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo berkata, peningkatan serahan dari kilang telah membolehkan syarikat itu memendekkan penantian pelanggan bagi mendapatkan kenderaan baru mereka.

    “Sebagai sebuah jenama yang mementingkan pelanggan, dan faham bahawa pemilik kenderaan kami sangat bergantung kepada kenderaan Isuzu mereka untuk selalu bersedia berkhidmat bagi segala urusan, keutamaan kami adalah untuk meningkatkan bekalan bagi memenuhi permintaan yang juga semakin bertambah terhadap trak pikap pelbagai guna ini.

    “Saya sangat berterima kasih kepada semua pelanggan yang sabar menunggu ketibaan D-Max terbaharu mereka. Kami akan terus meningkatkan bekalan bagi bulan-bulan mendatang bagi mengurangkan lagi tempoh menunggu untuk pelanggan mendapatkan kenderaan mereka,” katanya.

    Peningkatan bekalan berkenaan dapat dicapai melalui peruntukan tambahan dari kilang dan menyaksikan varian paling banyak diserahkan sepanjang Mac adalah varian 1.9 Premium Auto dengan sejumlah 350 unit.

    Permintaan terhadap varian flagship X-Terrain juga memperlihatkan peningkatan kepada 163 unit serahan, walaupun model ini, yang merupakan model popular di peringkat global, turut mengalami kekurangan bekalan.

    Setakat ini, Isuzu Malaysia mempunyai 54 cawangan pengedaran rasmi di seluruh negara. Syarikat ini juga berkata, aktiviti rangkaian akan dikembangkan lagi dengan segera untuk memastikan pelanggan menikmati pengalaman yang lebih komprehensif di dalam suasana lebih selesa dan kondusif.

    GALERI: Isuzu D-Max 3.0L X-Terrain 4×4 AT

     
     
  • Yamaha 135LC Fi V8 – harga rasmi RM7,798 tapi harga sebenar di kedai berapa? Tak boleh beli secara tunai?

    Yamaha 135LC Fi V8 – harga rasmi RM7,798 tapi harga sebenar di kedai berapa? Tak boleh beli secara tunai?

    Setiap kali ada pelancaran motosikal baru, komen paling banyak yang kami terima adalah berkenaan harga, terutamanya model kapcai. Ramai yang mengatakan, pengedar menaikkan harga sesuka hati dan pembelian secara tunai juga kerap ditolak.

    Semasa Yamaha Y15ZR V2 baru tiba di negara kita, kami telah melakukan tinjauan harga di beberapa kedai, dan perkara ini memang terbukti berlaku. Harga di setiap kedai boleh menjadi berbeza, sama ada melalui cara pembelian tunai mahupun pinjaman sewa beli.

    Untuk kali ini, kami lakukan perkara sama – pergi ke tiga kedai secara rawak, tetapi untuk mendapatkan harga Yamaha 135LC Fi V8 pula. Kedai yang kami pergi kali ini adalah A di Setapak, Kuala Lumpur, B di Taman Medan, Petaling Jaya dan C di Pandamaran, Klang.

    Sebelum pergi lebih lanjut kepada harga sebenar di kedai ini, biar kami nyatakan semula bahawa semasa pelancaran rasmi, harga yang dinyatakan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) untuk 135LC Fi ini adalah RM7,798 tidak termasuk insurans dan kos pendaftaran lain.

    Yamaha 135LC Fi V8 – harga rasmi RM7,798 tapi harga sebenar di kedai berapa? Tak boleh beli secara tunai?

    Sekarang bila pergi ke dunia sebenar, kita boleh melihat kedai A dan kedai B nampaknya memberikan harga yang sama bagi pembelian tunai, iaitu RM8,800 sementara untuk pembelian secara pinjaman, bayaran bulanan sedikit berbeza meskipun deposit yang diletakkan adalah sama, iaitu RM1,000.

    Jangkaan kami, ini mungkin disebabkan beza antara penyedia pembiayaan dan kalau anda kira secara keseluruhan, beza bayaran antara kedai A dan kedai B apabila tempoh pinjaman berakhir cumalah RM252. Sempat kami bertanya untuk kedai A, jumlah yang dinyatakan itu adalah apabila menggunakan pembiayaan daripada AEON Credit dengan kadar bunga 10% setahun.

    Kedai C menunjukkan perbezaan yang jelas jika dibandingkan dengan kedai A dan B. Mereka langsung tidak menerima pembelian secara tunai (sebab tidak dinyatakan), sementara apabila menggunakan pinjaman juga jumlahnya adalah yang paling tinggi – bukan sahaja untuk bayaran pendahuluan, tetapi juga bulanan.

    Apabila dikira jumlah keseluruhan termasuk deposit serta bayaran bulanan sehingga tamat tempoh pinjaman, kedai C mencatat jumlah RM13,004 dan ini adalah lebih tinggi RM556 berbanding kedai A dan RM304 berbanding kedai B.

    Setakat yang kami tanya, kedai A dan kedai B tidak mempunyai masalah sekiranya pelanggan mahu membeli motosikal secara tunai, tetapi tempoh menunggunya adalah lebih lama (tambah satu minggu) berbanding jika menggunakan pembiayaan secara pinjaman.

    Apabila ditanya berkenaan stok pula, rata-rata semua kedai ini tidak mempunyai stok sedia ada dan tempoh menunggu yang diletakkan untuk 135LC Fi dan Y15ZR adalah sama, iaitu sekitar satu bulan. Itupun, mereka tidak boleh menjanjikan warna apa yang akan tiba.

    Di tempat anda pula bagaimana? Adakah sama seperti ini ataupun jauh lebih mahal? Cuba kongsikan dengan kami. Apapun, kalau anda rasa harga yang ditetapkan itu melampau, jangan beli terus di kedai tersebut. Sebaliknya, teruskan bertanya kepada kedai-kedai lain yang mungkin boleh menawarkan harga lebih rendah.

    GALERI: Yamaha 135LC Fi 2022


    GALERI: Yamaha 135LC Fi Special Edition

     
     
  • Rakyat Malaysia ke Thai kena yuran kemasukan RM1k

    Rakyat Malaysia ke Thai kena yuran kemasukan RM1k

    Pengembara Malaysia yang merancang untuk masuk ke negara jiran, Thailand, harus berhadapan dengan pematuhan yang lebih ketat untuk menyeberangi sempadan, laporan New Straits Times. Malahan hasil tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam mendapati, suasana di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand itu masih lengang dengan kehadiran orang ramai.

    Ini disebabkan oleh syarat ketat yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa Thailand, di mana pelancong yang mahu ke negara berkenaan dilaporkan perlu membayar yuran kemasukan sekurang-kurangnya RM1,000.

    Menurut pengusaha syarikat pelancongan tempatan, Ooi Jui Hu, kos tempahan penginapan bagi empat orang di Hatyai, Thailand kini mencecah RM5,000 untuk lima hari, selain itu, mereka juga perlu membeli insurans perubatan bernilai RM84,536 dengan bayaran premium dikenakan adalah kira-kira RM500 setiap seorang bagi tempoh tujuh hari, katanya kepada akhbar berkenaan.

    Bukan itu sahaja, ujian calitar RTK juga diwajibkan dengan bayaran sebanyak RM350 seorang dan perlu dibayar sendiri oleh pengembara sebaik tiba di hotel penginapan.

    Setakat 4 April lalu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada kenyataan memaklumkan, hanya 6,980 pergerakan warga asing direkodkan di pintu masuk Bukit Kayu Hitam, berbanding 160,818 di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, Johor.

     
     
  • AD: Miliki Mercedes-Benz GLA atau GLC melalui Step Up Agility Financing – bayaran bulanan dari RM1,688

    AD: Miliki Mercedes-Benz GLA atau GLC melalui Step Up Agility Financing – bayaran bulanan dari RM1,688

    Memiliki sebuah Mercedes-Benz sudah tentu sesuatu yang istimewa, terutamanya apabila melihat sejarah panjang jenama ini dalam inovasi dan kejuruteraan. Melalui produk Mercedes-Benz Financial, anda juga boleh menggunakan sumber yang ada dengan lebih baik untuk memiliki sebuah kenderaan, termasuklah model SUV Mercedes-Benz.

    Kelebihan utama apabila anda menggunakan Step Up Agility Financing adalah kadar bayaran bulanan yang lebih rendah, bukan sahaja apabila dibandingkan dengan program pajakan biasa, malah juga Agility Financing sendiri. Bagi Mercedes-Benz GLA 200 Progressive Line CKD, kadar bayaran bulanan menggunakan Step Up Agility Financing adalah RM1,688, berbanding RM5,492.96 melalui pajakan biasa dan RM3,064 melalui Agility Plan.

    Dalam program Step Up Agility Financing, terdapat dua pilihan yang disediakan, dan kedua-duanya menggunakan tempoh pemilikan selama lima tahun (60 bulan). Bagi pelan bayaran pertama, bayaran bulanan ditetapkan pada RM1,688 bagi dua tahun pertama, sementara bagi tahun ketiga, keempat dan kelima, ia akan menjadi RM3,864 sebulan.

    Pelan bayaran kedua bagi GLA200 Progressive Line CKD di bawah Step Up Agility Financing juga memerlukan bayaran bulanan RM1,688, tetapi hanya untuk tahun pertama dan ia akan meningkat menjadi RM2,088 bagi tahun kedua dan naik lagi menjadi RM3,709 sebulan pada tahun ketiga, keempat dan kelima.

    AD: Miliki Mercedes-Benz GLA atau GLC melalui Step Up Agility Financing – bayaran bulanan dari RM1,688

    Mahukan GLC200 AMG Line? Struktur bayaran yang sama juga digunakan, tetapi jumlahnya adalah berbeza. Sekali lagi, dua pilihan disediakan bagi SUV bersaiz lebih besar ini melalui Step Up Agility Financing, dan kedua-duanya menggunakan tempoh pemilikan selama 60 bulan. Bagi pilihan pertama, bayaran bulanannya adalah RM2,388 bagi dua tahun pertama, dan seterusnya menjadi RM,4988 sebulan bagi tahun ketiga, keempat dan kelima.

    Pelan bayaran kedua bagi GLC200 AMG Line juga menetapkan bayaran bulanan RM2,388, tetapi hanya untuk tahun pertama dan meningkat menjadi RM2,788 bagi tahun kedua, seterusnya RM4,833 sebulan bagi tiga tahun seterusnya. Sebagai perbandingan, bayaran bulanan melalui skim pajakan biasa adalah RM6,771.02 sementara melalui Agility Plan pula adalah RM3,899.

    Pelan Step Up Agility Financing bagi GLA dan GLC ini memerlukan bayaran pendahuluan sekitar 10%, dan bagi kedua-dua pilihan yang disediakan bagi GLA200 CKD dan GLC200 AMG Line ini, anda boleh menambah pelan perlindungan atau pelan penyelenggaraan.

    Sepanjang pemilikan melalui pelan Step Up Agility ini, anda juga akan menerima Mobility Plus, iaitu program penggantian kenderaan Mercedes-Benz apabila kenderaan anda tidak dapat digunakan. Anda diberikan tempoh masa selama 20 hari setahun untuk menggunakan kenderaan gantian ini dan penghantaran akan dibuat dalam masa 24 jam selepas kelulusan diberi.

    Step Up Agility Financing untuk GLA200 CKD dan GLC200 AMG Line. Klik untuk besarkan

    Tempat mengambil dan menghantar semula kenderaan ini bergantung kepada anda, iaitu pelanggan, dan ia boleh digunakan di seluruh negara termasuklah Langkawi dan Labuan. Sudah tentu, apabila menggunakan khidmat terbaik ini, kenderaan yang akan diberi sebagai ganti adalah juga sebuah Mercedes-Benz.

    Sebagai tambahan, Step Up Agility Financing juga dapat memberikan lebih ketenangan kepada anda, kerana nilai kenderaan akan terjamin melalui Guaranteed Future Value. Ia sangat berguna apatah lagi dalam zaman sekarang yang keadaan masa hadapan adalah tidak menentu.

    Ini adalah masa terbaik untuk memiliki sebuah Mercedes-Benz. Pastikan anda membuat keputusan dengan segera kerana tawaran yang disediakan oleh Mercedes-Benz Services Malaysia ini akan berakhir 30 April 2022. Ketahui lebih lagi berkenaan Step Up Agility Financing di sini.

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • Tolong, jangan biar anak-anak berlumba basikal lajak

    Tolong, jangan biar anak-anak berlumba basikal lajak

    Budaya menunggang basikal lajak bukan lagi benda baru di Malaysia. Seingat penulis sendiri yang memang berasal dari Johor Bahru, “sukan” ini telah mula bertapak di ibu negeri Johor berkenaan lebih dari 15 tahun yang lalu.

    Mengayuh basikal bukanlah sesuatu yang boleh kita kategori kan sebagai jenayah, tetapi berlumba dengan basikal tanpa brek, menurun bukit dengan kelajuan tinggi tanpa sebarang pelindungan, dan lebih bahaya ia dilakukan oleh remaja bawah umur di tengah-tengah jalan raya utama seperti Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru bermula tengah malam membawa ke subuh, ini perkara yang tidak boleh dipandang ringan – baik dari segi keselamatan, mahupun perkembangan sahsiah remaja-remaja tersebut.

    Kemuncaknya berlaku pada 2017, apabila seorang jurujual wanita ketika itu berumur 22 tahun, Sam Ke Ting terlanggar sekumpulan pelumba basikal lajak ini di satu kawasan berbukit Jalan Lingkaran Dalam, berhampiran tanah perkuburan Jalan Mahmoodiah pada pukul 3.20 pagi, 18 Februari dengan Nissan Almera yang dipandunya. Kejadian tersebut menyebabkan lapan orang remaja yang berumur antara 13 hingga 17 tahun dalam kumpulan itu maut di tempat kejadian.

    Sam didakwa memandu kereta secara melulu dan berbahaya hingga mengakibatkan kematian berkenaan di Mahkamah Majistret Trafik Johor Bahru pada 28 Mac 2017, namun dibebaskan oleh Mahkamah pada 28 Oktober 2019. Tetapi dia sekali lagi diperintahkan oleh Mahkamah untuk membela diri atas pertuduhan yang sama pada 18 Februari 2021 selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Pada 10 Oktober 2021, Mahkamah Majistret mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan Sam daripada tuduhan tersebut, tetapi pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan berkenaan. Akhirnya Sam Ke Ting yang kini berumur 27 tahun dan bekerja sebagai kerani diperintahkan oleh mahkamah untuk dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000, kerana kesalahan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak berkenaan.

    Tidak mustahil, apa yang terjadi pada Sam ini mungkin akan terjadi pada kita – memandu seorang diri di tengah malam, tiba-tiba terlanggar sekumpulan remaja yang ‘berkampung’ di tengah lebuhraya, terselindung di sebalik titik buta jalan berbukit, dan kemudian dihukum penjara.

    Perkara ini telah memanggil pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon untuk bersuara. Dalam laporan The Star, Prof Wong berkata ibu bapa tak sepatutnya membenarkan anak-anak mereka untuk menunggang atau berlumba basikal lajak ini di lebuhraya.

    “Ibu bapa perlu menghentikan kegiatan anak-anak mereka yang terlibat dalam aktiviti berbahaya kerana bukan sahaja mangsa yang akan merana, ia juga akan melibatkan keluarga sekiranya terjadi kemalangan,” katanya. “Ini sesuatu yang tak sepatutnya kita sokong. Lebuhraya bukan dibina untuk berlumba basikal. Aktiviti berbasikal lasak seperti ini perlu dibuat di taman khas yang dibina untuknya,” kata Prof Wong.

    Jurucakap MCA Chan Quin Er nyata terkejut dengan hukuman yang dikenakan ke atas Sam, dan berkata “keputusan ini meletakkan tanggungjawab yang besar kepada pemandu kerana mereka mesti berhati-hati di jalan raya walaupun mereka tidak mengambil alkohol dan berada dalam had laju. Lebih-lebih lagi dia telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan telah dibebaskan dua kali oleh Mahkamah Majistret.”

    Tolong, jangan biar anak-anak berlumba basikal lajak

    Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye pula menegaskan bahawa kes ini perlu diadili secara lebih saksama. “Jika mereka katakan ‘memandu secara melulu’, bagaimana mereka maksudkannya? Berapa kelajuan yang dipandu oleh wanita tersebut? Dari satu sudut lagi, kita tidak akan menjangkakan ada kanak-kanak untuk berada di situ khususnya pada masa sebegitu, pada lereng bukit, dan berlumba,” kata Lee.

    paultan.org turut berkesempatan untuk bercakap dengan pelumba basikal downhill mountain bike antarabangsa tempatan dengan 15 tahun pengalaman berlumba, Hasnan Badi. Menurut Hasnan, ada beberapa isu yang menyebabkan insiden tersebut.

    “Tinggalkan dulu hukuman yang telah dijatuhkan, sistem kehakiman Malaysia telah pun membuat keputusan tersebut. Saya rasa pasukan pembelaan Sam akan terus berusaha untuk rayuan,” katanya. “Tetapi, pertama sekali, apa yang kanak-kanak, semuanya bawah umur, buat di atas jalan raya pada pukul 3 pagi?” tanya Hasnan.

    “Yang kedua, isu ini berkaitan dengan keselamatan. Basikal lajak yang mereka tunggang tidak selamat untuk digunakan, tiada langsung keselamatan,” katanya lagi. “Basikal lajak dengan bar pemegang yang telah dipotong dan mungkin tiada brek, dengan posisi tunggangan begitu, tidak akan memberikan kawalan yang sepatutnya,” jelas Hasnan.

    Tolong, jangan biar anak-anak berlumba basikal lajak

    Walau bagaimanapun, Hasnan menekankan bahawa pemandu seharusnya bertanggungjawab dalam mengawal kereta mereka setiap masa. “Tengok, kita pemandu dan penunggang, kadang kala perkara malang akan terjadi,” katanya. “Tetapi pemandu perlu sentiasa peka dan bersedia untuk mengambil tindakan sepatutnya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan,” tambahnya lagi.

    Hasnan menyatakan bahawa jalan raya bukan tempat untuk basikal berlumba kecuali dalam keadaan terkawal. “Ia berbalik kepada keselamatan dan pendidikan. Jika kanak-kanak tidak dididik berkenaan keselamatan oleh ibu bapa dan ibu bapa tidak peka dengan apa yang dilakukan oleh anak-anak, mungkin perkara ini boleh terjadi lagi.”

    Apa pun yang terjadi, nasi sudah menjadi bubur. Apa pun hukuman yang dikenakan terhadap Sam tetapi tidak akan mengembalikan nyawa remaja-remaja berkenaan. Ya, kadang-kala memang sukar untuk mengawal kelakuan-kelakuan remaja yang sedang membesar dalam umur sebegitu – kita juga pernah lalui fasa yang sama, pasti ada sahaja helah untuk mengelak ibu bapa mengesan kesalahan yang kita buat kan?

    Oleh itu dalam persekitaran yang serba mencabar ini, sama-sama lah kita jaga anak-anak kita, ambil tahu apa yang mereka buat dengan apa cara sekalipun. Kalau bukan untuk keselamatan orang lain, fikirlah untuk keselamatan anak kita sendiri. Nyawa bukan boleh dibeli semula di mana-mana.

     
     
  • KTMB perkenalkan Ekpres Khas Keluarga Malaysia, sediakan tren ETS tambahan sempena Aidilfitri ini

    KTMB perkenalkan Ekpres Khas Keluarga Malaysia, sediakan tren ETS tambahan sempena Aidilfitri ini

    Sempena dengan sambutan Aidilfitri yang bakal disambut awal bulan hadapan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal memperkenalkan satu perkhidmatan tren khas bagi laluan Pantai Timur dikenali sebagai Ekspres Khas Keluarga Malaysia itu akan membuat perjalanan pada 29 April ini bermula dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, ia merupakan inisiatif Kementerian Pengangkutan Malaysia dan KTMB dengan membawa slogan ‘Maghi Kelek Kampung’ sebagai salah satu pengangkutan alternatif untuk mereka yang akan pulang berhari raya dengan selamat, selesa serta tambang berpatutan.

    Katanya, sebanyak 516 tiket ditawarkan untuk tren khas ini dan tren pertama akan berlepas pada 29 April, jam 11 malam dari Stesen KL Sentral dan akan berhenti di 17 stesen seperti Bandar Tasik Selatan, Kajang, Nilai, Seremban, Pulau Sebang, Mentakab, Jerantut, Gua Musang, Pasir Mas dan Tumpat.

    “Tren ini dijangka akan tiba di Stesen Tumpat pada 30 April, jam 3.55 petang, manakala perjalanan balik dari Stesen Tumpat adalah pada 7 Mei, jam 10 malam dan akan tiba di Stesen KL Sentral pada 8 Mei, jam 3.04 petang.

    “Malahan tren khas ini bakal dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk premier dan superior, koc buffet dan koc chillax untuk aktiviti solat dan moreh beramai-ramai. Tiket akan dijual pada 15 April dengan harga bermula RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala, cenderahati juga akan diberikan kepada penumpang yang membuat perjalanan dengan tren khas ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Jadual perjalanan tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia

    Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkhidmatan tren khas ini diwujudkan sebagai mengurangkan kesesakan jalan raya yang diramal berlaku pada sambutan Aidilfitri tahun ini.

    “Secara lazimnya, setiap kali musim perayaan terutamanya Aidilfitri, kesesakan jalan raya bakal dihadapi warga Pantai Timur dan pada tahun ini, kita jangkakan pertambahan trafik drastik kerana sudah dua tahun tidak pulang beraya. Oleh itu, dengan adanya perkhidmatan ini ia dapat mengurangkan kesesakan dan memberi jaminan keselesaan serta keselamatan kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

    Mengenai tren ETS tambahan, Mohd Rani Hisham berkata sebanyak 4,368 tiket disediakan untuk perkhidmatan itu membabitkan perjalanan KL Sentral-Padang Besar dan sebaliknya pada 29 April hingga 2 Mei dan 6 Mei hingga 8 Mei.

    “Perkhidmatan tambahan ini berikutan status jualan tiket pada tarikh berkenaan sudah habis dijual. Jualan tiket bagi tren tambahan ini akan mula dijual pada 15 April ini dan pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB,” katanya.

    Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau melayari saluran media baharu KTMB.

     
     
  • Hyundai Palisade facelift 2023 diperkenal – rupa lebih garang, kelengkapan ditambah, enjin masih V6 3.8L

    Hyundai Palisade facelift 2023 diperkenal – rupa lebih garang, kelengkapan ditambah, enjin masih V6 3.8L

    Hyundai Palisade facelift 2023 akhirnya didedahkan sewaktu New York International Auto Show, dan ia membawa bukan setakat perubahan gaya, tetapi juga senarai kelengkapan yang ditambah. SUV besar dengan tiga baris tempat duduk ini muncul di pasaran buat kali pertama pada tahun 2018 dan di Malaysia, model sebelum facelift baru sahaja dilancarkan Disember tahun lalu.

    Perubahan paling ketara adalah di bahagian hadapan, bermula dengan gril lebih lebar yang mempunyai kemasan krom bersambung sehingga ke lampu, serta kemasan dalam sama bentuk seperti lampu. Bahagian bawah bampar juga adalah baru, sementara lampu DRL pula diletakkan paling hujung pada bampar, dengan bentuk tegak dan lebih tebal.

    Pada bahagian belakang, lampunya masih lagi kelihatan sama, tetapi bahagian bawah bampar diubah sedikit menjadi lebih berpetak dan mempunyai pemantul cahaya yang panjang. Bergantung kepada varian, SUV ini turut boleh dipasang dengan rim 20 inci baru.

    Pada bahagian dalam, Hyundai memberikan Palisade baru ini corong pendingin hawa nipis, yang bersambung hampir sepanjang papan pemuka serta roda stereng baru. Panel instrumen digital 12.3 inci kini menggunakan latar belakang warna putih manakala skrin sesentuh di tengah pula dibesarkan sedikit menjadi 12 inci.

    Kemudiannya pada konsol tengah, semua butang dijadikan warna hitam dan tempat duduk pemandu dinaik taraf dengan unit Ergo Motion yang dikatakan lebih selesa. Buat pertama kalinya bagi Hyundai, mereka juga telah memasang fungsi pemanas pada tempat duduk barus ketiga.

    Tempat duduk baris kedua kini mendapat penyandar kepala yang mempunyai sokongan di tepi, liang udara serta peletak tangan yang tingginya boleh dilaras. Soket pengecas USB-A sebelum ini telah diganti dengan USB-C untuk mendapatkan pengecasan lebih pantas, sementara pengecas tanpa wayar pula kini boleh mengeluarkan 15 watt berbanding 5 watt sebelum ini.

    Hyundai Palisade facelift 2023 diperkenal – rupa lebih garang, kelengkapan ditambah, enjin masih V6 3.8L

    Melihat kepada kelengkapan, Palisade menjadi model Hyundai pertama di Amerika Syarikat yang ditawarkan dengan cermin pandang belakang digital serta kemampuan Wi-Fi hotspot. SUV ini juga boleh digunakan dengan Digital Key 2, yang membenarkan pemilik membuka dan mengunci kenderaan mereka menggunakan telefon tertentu.

    Sistem telematiks Bluelink turut dipasang pada SUV ini, dan ia bukan setakat membenarkan pemilik memeriksa status kenderaan mereka, tetapi juga boleh memberikan amaran sekiranya terdapat pergerakan kanak-kanak atau haiwan yang tertinggal di tempat duduk belakang.

    Model tahun 2023 ini diperkenalkan dengan varian XRT baru, yang datang dengan rim 20 inci warna gelap, penampilan lebih sporty dengan elemen skid plate di hadapan dan kemasan bawah pintu, gril hadapan dan rel bumbung gelap, bumbung suria boleh buka serta balutan kulit warna hitam.

    Pada bahagian keselamatan, beg udara tepi di belakang kini diberikan secara standard dan dipadankan bersama pelbagai lagi sistem aktif seperti Forward Collision-Avoidance Assist, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Safe Exit Assist, Driver Attention Warning, High Beam Assist, Smart Cruise Control, Lane Following Assist, Highway Driving Assist, Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist, Reverse Parking Collision-Avoidance Assist dan Remote Smart Parking Assist.

    Bahagian enjin tidak diubah, dan Palisade facelift ini terus dipacu oleh enjin petrol V6 3.8 liter bersama transmisi automatik lapan kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 291 hp pada 6,000 rpm dan 355 Nm tork pada 5,000 rpm. Pemilik boleh memilih sistem pacuan dua roda ataupun HTRAC empat roda bagi Palisade.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (+1.20)
EURO 5 B7 RM3.55 (+1.20)
Last Updated Jun 06, 2024