Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • MIROS bakal bentangkan cadangan turunkan had laju kenderaan 30 km/j, 50 km/j kepada DBKL April ini

    MIROS bakal bentangkan cadangan turunkan had laju kenderaan 30 km/j, 50 km/j kepada DBKL April ini

    Mengenai pelaksanaan menurunkan had laju kenderaan kepada 30 kilometer sejam (km/j) dan 50 km/j di beberapa kawasan di pusat bandar yang dikhabarkan sebelum ini, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dijangka akan membentangkan cadangan tersebut kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada bulan hadapan.

    Perkara ini dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias menerusi sesi soal jawab persidangan Dewan Negara semalam.

    Katanya, MIROS yang mencadangkan perkara itu ketika ini masih membuat perincian dan penelitian mengenainya, laporan Bernama.

    MIROS bakal bentangkan cadangan turunkan had laju kenderaan 30 km/j, 50 km/j kepada DBKL April ini

    “Pengumpulan data serta analisis akan dibuat dan sekiranya dipersetujui maka ia akan diputuskan untuk dilaksanakan pada September ini. Kawasan yang terlibat dalam kajian MIROS ini adalah kawasan yang mempunyai had kelajuan 60km/j dan 40km/j. Jalan-jalan yang telah diwartakan had kelajuan 70km/j dan 80km/j tidak termasuk dalam skop kajian penurunan had laju oleh MIROS ini,” katanya.

    Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin tahu pendirian DBKL terhadap cadangan MIROS untuk melaksanakan had laju kenderaan 30km/j hingga 50km/j di kawasan terpilih, sebagai mengikut jejak langkah bandar raya Paris, Perancis yang mewartakan had laju tersebut pada Ogos tahun lepas.

    Jalaluddin berkata DBKL juga berpandangan cadangan pelaksanaan had laju itu adalah baik kerana ia meningkatkan ciri-ciri keselamatan pengguna jalan raya yang lain seperti penunggang basikal dan pejalan kaki.

     
     
  • Great Wall Ora Good Cat kini lebih murah sehingga 16% di Thai hasil insentif EV – dari RM104k-RM130k

    Great Wall Ora Good Cat kini lebih murah sehingga 16% di Thai hasil insentif EV – dari RM104k-RM130k

    Susulan pengumuman kerajaan Thailand mengenai insentif besar-besaran untuk kenderaan elektrik (EV), Great Wall Motors (GWM) telah mengumumkan kemaskini senarai harga bagi model Ora Good Cat, di mana kini ia lebih murah sehingga 165,000 baht (RM20,635) untuk ketiga-tiga varian yang ditawarkan. Harga baharu tersebut telah mula dilaksanakan sejak 21 Mac 2022, menurut penerbitan Headlightmag.

    Bagi varian asas Tech, kini ditawarkan pada harga 828,500 baht (RM103,613), atau kurang 16% berbanding harga asal yang diumumkan iaitu 989,000 baht (RM123,689). Manakala varian pertengahan Pro pula kini berharga 898,500 baht (RM112,371), mewakili pengurangan sebanyak 15.1% dari harga asal 1.059 juta baht (RM132,455).

    Kedua-dua varian Tech dan Pro ditawarkan dengan jarak pengecasan penuh sehingga 400 km (standard NEDC) yang dijanakan oleh bateri phosphate lithium-iron 47.8 kWh yang menyalurkan kuasa ke motor elektrik hadapan dengan kadar 143 PS (141 hp atau 105 kW) dan tork 210 Nm, ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 152 km/j.

    Bagi varian tertinggi Ultra pula, ia diberikan bateri 63.1 kWh yang lebih padu membuatkannya mampu mencapai jarak pengecasan penuh sehingga 500 km, dan masih menggunakan motor elektrik yang sama seperti dua varian di bawahnya. Ia kini ditawarkan pada harga 1.0385 juta baht (RM129,880), atau kurang 13.4% berbanding harga sebelum ini yang mencecah 1.199 juta baht (RM149,953).

    Semua varian juga menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW menerusi sambungan Type 2. Varian Tech dan Pro mengambil masa selama lapan jam untuk pengecasan penuh, manakala Ultra pula memerlukan 10 jam untuk dicas penuh.Ia juga diberikan pilihan menggunakan pengecasan pantas DC dengan kapasiti 60 kW menggunakan sambungan CCS2, yang memerlukan antara 0-80% peringkat pengecasan (SoC) lebih kurang 45 minit untuk varian 400 km, dan sekitar sejam bagi Ultra. Untuk 30-80% SoC pula, ia mengambil masa sekitar 32 minit bagi bateri kecil dan 40 minit bagi bateri yang lebih besar.

    Spesifikasi ini masih dikekalkan, begitu juga dengan kelengkapan standard bagi setiap varian. Good Cat masih merupakan model import sepenuhnya (CBU) di Thailand, dan ada kemungkinan ia akan hadir dengan model pemasangan tempatan (CKD) pada masa hadapan, yang akan memberikannya harga yang lebih rendah.

    GALERI: Great Wall Motors Ora Good Cat (pasaran Thailand)

     
     
  • Auto Bavaria & Lions Club of KL Agape Star bersama pulihara pantai & terumbu karang di Pulau Redang

    Auto Bavaria & Lions Club of KL Agape Star bersama pulihara pantai & terumbu karang di Pulau Redang

    Baru-baru ini, Auto Bavaria telah bekerjasama dengan Lions Club of KL Agape Star dalam inisiatif pemuliharaan pantai dan terumbu karang. Memulakan perjalanan dari Sime Darby Motors City, Ara Damansara, seramai 49 ahli kelab Lions dan 15 orang staf Auto Bavaria telah menyertai konvoi 15 unit BMW 218i Gran Coupe untuk ke Pulau Redang, Terengganu.

    Dalam perjalanan ke sana, konvoi sempat singgah di Gabungan Persatuan-Persatuan Tionghua di Kuantan, Pahang, yang didedikasikan untuk meningkatkan kesejahteraan sosial masyarakat Kuantan. Di sana, peserta konvoi meluangkan masa bersama 30 warga emas dan turut menyumbang barangan keperluan.

    Kemudian perjalanan diteruskan ke jeti Kuala Terengganu, dan dari sana, peserta konvoi menaiki bot untuk ke Pulau Redang. Di pulau berkenaan, ahli Lions Club dan pasukan Auto Bavaria juga menghabiskan masa seharian untuk membersihkan kawasan pantai. Selain mengumpul sampah sejumlah 13 buah beg, kumpulan terbabit juga turut menanam tiga terumbu tiruan dengan 48 karang pada setiap terumbu di taman laut di Pulau Redang bagi memelihara ekosistem terumbu karang.

    “Inisiatif pemuliharaan terumbu karang dan pantai dengn Lions Club of KL Agape Star ini adalah sebahagian daripada komitmen kami dalam menjaga kelestarian alam sekitar. Kami harga kepentingan yang didorong oleh pemeliharaan keindahan semula jadi Pulau Redang dan berbesar hati dapat memainkan peranan kami dalam mengekalkan pantai yang bersih dan indah untuk dinikmati semua,” ujar Vi Thim Juan, pengarah urusan Auto Bavaria.

    “Komitmen yang diberikan oleh ahli Lions Club adalah sangat menggalakkan dalam memberikan sumbangan terhadap masyarakat dan alam sekitar. Adalah penting untuk semua ahli dalam melakukan sesuatu usaha yang dekat dengan hati mereka dan saya berterima kasih dengan kerjasama Auto Bavaria dalam menjayakan program sebegini,” kata Victor Nga, pengerusi penganjur projek Kelab Lions KL Agape Star.

    Tambah beliau lagi, “Kami juga berasa seronok dapat merasai keselesaan dan ketangkasan kenderaan sepanjang perjalanan kami. Kami mengharapkan kerjasama yang lebih menarik pada masa hadapan dalam usaha meneruskan aktiviti tanggungjawab sosial korporat kami.”

     
     
  • Royal Enfield Scram 411 tiba di India dengan harga RM11k – Eropah dan Asia Pasifik pertengahan tahun

    Royal Enfield Scram 411 tiba di India dengan harga RM11k – Eropah dan Asia Pasifik pertengahan tahun

    Royal Enfield mengembangkan lagi penawaran produk mereka dengan pengenalan model baru Scram 411 di India. Diangkat sebagai sebuah model ADV Crossover, ia dijual pada harga bersamaan RM11,212 di negara itu, dan direka untuk mengendalikan pelbagai jenis tugas.

    Scram 411 dipacu oleh enjin LS-410, seperti Royal Enfield Himalayan, dan dipasang pada kerangka Harris Performance. Enjin satu silinder dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair ini mempunyai kapasiti 411 cc, dan mampu menghasilkan kuasa 24.3 hp pada 6,500 rpm dan 32 Nm tork pada antara 4,000 hingga 4,500 rpm.

    Penggayaan ala scrambler digunakan pada model ini, dengan suspensi yang tinggi, iaitu fork dengan jarak gerak 190 mm di hadapan dan monoshock dengan jarak gerak 180 mm di belakang, padanan rim 19 inci dan 17 inci serta tayar jenis pelbagai guna.

    Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan sistem cakera dan datang dengan sistem ABS, sementara tempat duduk pula dijadikan serba empuk untuk menjamin keselesaan pengguna. Bahagian pemegang terletak tinggi dan mudah dicapai penunggang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada model ini adalah panel meter gabungan digital dan analog, transmisi lima kelajuan, pemula enjin elektrik, tangki bahan api 15 liter dan berat keseluruhan 185 kg. Ia ditawarkan dalam tujuh warna termasuk dua tona.

     
     
  • Subaru BRZ 2022 kini sudah boleh di tempah di M’sia – bermula RM229k untuk 6MT dan RM239 untuk 6AT

    Subaru BRZ 2022 kini sudah boleh di tempah di M’sia – bermula RM229k untuk 6MT dan RM239 untuk 6AT

    Pengedar sah Subaru di Malaysia, Motor Image (MI) hari ini mengumumkan bahawa mereka kini sudahpun mula mengambil tempahan untuk kereta sport dua pintu pacuan belakang, Subaru BRZ generasi kedua. Model berkenaan didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global di Amerika Syarikat pada November 2020, dan mula dijual di Jepun pada April tahun lalu.

    Walau bagaimanapun, masih tiada perincian rasmi didedahkan di laman sesawang Subaru Malaysia. Tarikh pelancaran rasminya juga masih belum diumumkan, tetapi pengedar-pengedar Subaru telah pun mula mengiklan model berkenaan, dan menyatakan bahawa model dengan transmisi enam-kelajuan manual dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM229,245.

    Model dengan kotak gear automatik enam-kelajuan juga akan di bawa ke Malaysia, dan bakal dijual pada harga RM239,245. Sebagai perbandingan, model facelift terakhir BRZ generasi pertama dijual secara rasmi di sini pada harga RM224,389 untuk model manual dan RM230,749 untuk versi automatik.

    Subaru BRZ 2022 kini sudah boleh di tempah di M’sia – bermula RM229k untuk 6MT dan RM239 untuk 6AT

    Model generasi baharu ini hadir dengan enjin boxer NA FA24D 2.4 liter berkuasa 237 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm. Ia sudah tentu lebih besar dari enjin boxer NA 2.0 liter model generasi sebelumnya yang hanya menghasilkan kuasa 200 PS/205 Nm.

    Kuasa dialirkan sepenuhnya ke roda belakang menerusi gandar yang dibekalkan dengan LSD Torsen yang dibekalkan secara standard. Model dengan kotak gear automatik boleh mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat dengan kelajuan maksima 216 km/j, manakala versi manual pula lebih pantas dengan mencatatkan hanya 6.3 saat untuk pecutan sama bersama kelajuan maksima 226 km/j.

    Walau bagaimanapun, kedua-dua model manual dan automatik ini berkongsi kit kelengkapan yang hampir sama antara kedua-duanya. Ia termasuk perincian standard seperti rim aloi 18-inci dalam kemasan kelabu gelap, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh lapan-inci bersama Android Auto dan Apple CarPlay, paparan instrumen digital tujuh-inci, pedal sport aluminium, mod pemanduan yang boleh dipilih, upholsteri kulit dan Ultrasuede serta lampu hadapan LED automatik dengan respon stereng.

    Subaru BRZ 2022 kini sudah boleh di tempah di M’sia – bermula RM229k untuk 6MT dan RM239 untuk 6AT

    Namun apa yang membuatkan model automatik jauh lebih mahal adalah kerana ia diberikan pedal penukar gear dan juga sistem bantuan pemanduan Subaru EyeSight. Sistem keselamatan tersebut merangkumi fungsi-fungsi seperti cruise control aktif, amaran mula bergerak kenderaan hadapan, brek kecemasan automatik dan sistem false stare suppression control.

    Tetapi kedua-dua model ini masih menerima sistem keselamatan asas yang sama termasuk tujuh beg udara, sistem kestabilan kenderaan elektronik, sistem brek ABS dengan EBD, bantuan mula mendaki serta Subaru Rear Vehicle Detection – iaitu gandingan sistem pemantau titik buta serta amaran lintasan trafik belakang.

    Tujuh warna badan ditawarkan untuk Subaru BRZ ini iaitu Ignition Red, Magnetite Grey Metallic, Sapphire Blue Pearl, World Rally Blue Pearl, Crystal Black Silica, Crystal White Pearl dan Ice Silver Metallic. Setiap unit BRZ yang dibeli juga diberikan perlindungan waranti pengeluar selama lima-tahun atau 100,000 km, yang mana sampai dulu.

     
     
  • Mitsubishi Mirage Ralliart 2022 diperkenalkan di Thailand – ada overfender bersama mud flap merah

    Mitsubishi Mirage Ralliart 2022 diperkenalkan di Thailand – ada <em>overfender</em> bersama <em>mud flap</em> merah

    Selain dari Triton Ralliart, Mitsubishi turut memperkenalkan Mirage Ralliart pada pasaran Thailand dan bakal didedahkan kepada orang awam di Bangkok International Motor Show yang bermula esok. Walaupun ia diberikan nama ‘Mirage Ralliart’, model ini bukanlah seperti hot-hatch kompak seperti Colt Ralliart Turbo generasi sebelum ini, sebaliknya hanya model edisi khas yang diberikan imej yang lebih sporty.

    Model ini diasaskan dari Mirage generasi sedia ada dalam versi facelift terkini yang diperkenalkan di Thailand pada November 2019. Seperti juga Triton Ralliart, Mirage Ralliart ini menerima pelekat badan sisi Ralliart dengan grafik merah-putih-hitam.

    Ia turut diberikan overfender dalam kemasan karbon untuk kesemua ruang roda, mungkin mengambil inspirasi dari jentera rali Mirage AP4 yang dibangunkan oleh Ralliart New Zealand. Dan tidak ketinggalan, mud flap berwarna merah dengan logo Ralliart seperti yang gemar digunakan pada Proton Wira satu ketika dahulu, turut diletakkan pada bahagian belakang setiap ruang roda Mirage ini, sebagai memperingati jentera-jentera rali bersejarah Mitsubishi.

    Mitsubishi Mirage Ralliart 2022 diperkenalkan di Thailand – ada <em>overfender</em> bersama <em>mud flap</em> merah

    Tiada rim istimewa diberikan pada Mirage Ralliart ini, dan ia masih diberikan set rim yang sama seperti Mirage standard, tetapi ia diberi kemasan berwarna hitam berkilat. Hanya dua warna badan ditawarkan iaitu White Diamond serta Red Metallic, dan kedua-dua pilihan warna ini turut diberikan kemasan hitam pada bumbung, gril hadapan, penutup cermin sisi dan spoiler belakang.

    Imej untuk bahagian kabin Mirage Ralliart ini masih belum didedahkan. Namun menurut Mitsubishi, model edisi khas ini diberikan set karpet kaki dengan logo Ralliart, serta tempat duduk yang diberikan balutan dua tona merah-hitam istimewa yang berbeza dari Mirage standard.

    Mitsubishi Mirage Ralliart 2022 diperkenalkan di Thailand – ada <em>overfender</em> bersama <em>mud flap</em> merah

    Seperti yang diberitahu tadi, tiada sebarang peningkatan prestasi diberikan pada Mirage Ralliart ini. Secara standard, Mitsubishi Ralliart dijana oleh enjin 1.2 liter tiga silinder NA berkuasa 78 hp dan tork maksima 100 Nm. Tak dapat dipastikan sama ada ia hanya akan diberikan kotak gear CVT automatik atau turut ditawarkan dalam versi transmisi manual lima-kelajuan.

    Selepas model Mirage facelift ini membuat kemunculan global lebih dua tahun, tiada sebarang petanda bahawa ia turut akan di bawa ke Malaysia. Namun apa pendapat anda, adakah patut Mirage diperkenalkan semula oleh Mitsubishi Motors Malaysia ke pasaran tempatan?

     
     
  • Mitsubishi Xpander 2022 dilancarkan di Thai esok – penggayaan dikemaskini, CVT baharu ganti 4AT

    Mitsubishi Xpander 2022 dilancarkan di Thai esok – penggayaan dikemaskini, CVT baharu ganti 4AT

    Mitsubishi Xpander facelift bakal dilancarkan di Thailand menerusi penganjuran acara Bangkok Motor Show, yang dijadualkan bermula esok (22 Mac) hingga 3 April ini. MPV tujuh-tempat duduk yang diberikan suntikan lebih segar ini pertama kali didedahkan di Indonesia pada November lalu, dan selepas Thailand, ia dijangkakan bakal tiba di pasaran Malaysia pula.

    Bagi perubahan rekaannya, Xpander terkini telah membawakan imej hadapan Dynamic Shield baharu yang menampilkan lampu posisi LED yang direka semula, corong pengambilan udara dan larasan gril baharu serta lampu utama berbentuk-T. Lampu kabus bulat juga dikemaskinikan dan kini disambungkan ke apron bawah dan turut diberikan kemasan warna badan di sekelilingnya.

    Ciri lain yang diberikan termasuklah tailgate yang diprofil semula dengan lampu belakang kombinasi LED baharu, serta bampar belakang juga baharu. Bukan itu sahaja, overhang hadapan juga dipertingkatkan sebanyak 75 mm di hadapan dan 45 di belakang – membuatkan Mitsubishi mendakwa MPV ini memiliki ketinggian pengendalian yang terbaik dalam kelasnya iaitu mencapai 220 mm.

    Untuk ruang dalamannya, kualiti kabin juga telah dipertingkatkan dengan menggunakan pelapik yang lebih lembut untuk perehat tangan dan kemasan pintu. Malah untuk meningkatkan kemudahan, ia turut ditambah dengan ruang storan termasuk alas terbuka yang lebih besar untuk konsol tengah, sementara itu perehat tangan juga disediakan ruang yang boleh diletakkan empat botol minuman 600 ml, kalau mengikut Xpander spesifikasi Indonesia.

    Ciri tambahan yang diberikan untuk Xpander spesifikasi Indonesia termasuklah brek parkir elektronik dengan fungsi menahan brek auto, paparan skrin sesentuh lapan-inci (model semasa untuk Malaysia menerima unit sembilan-inci), sistem kawalan suhu automatik zon-tunggal dengan paparan digital, dan rekaan roda stereng baharu dengan ruang tengah yang lebih moden.

    Di bawah bonetnya, Xpander baharu yang bakal dilancarkan esok di Thailand dijangka akan mengekalkan enjin yang sama seperti model terdahulu iaitu unit 4A91 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder MIVEC. Penjana kuasa ini mampu menghamburkan sehingga 105 PS pada 6,000 rpm dan tork 141 Nm pada 4,000. Namun model facelift ini dipadankan dengan CVT baharu, bukan lagi kotak gear automatik empat-kelajuan.

    Mitsubishi Thailand belum lagi mendedahkan harga untuk Xpander facelift ini, tetapi model semasa berharga dari 789,000 baht (RM99,144). Di Malaysia, Xpander menerima harga rasmi pada November 2020, dan ditawarkan hanya satu varian dengan harga atas jalan RM92,349.80 tanpa insurans dan termasuk dengan pengecualian cukai jualan penuh memandangkan ia adalah model pemasangan tempatan (CKD).

    GALERI: Mitsubishi Xpander facelift 2022

     
     
  • Honda ST125 Dax tiba di Eropah – 125 cc, 4-kelajuan

    Honda ST125 Dax tiba di Eropah – 125 cc, 4-kelajuan

    Honda telah memperkenalkan satu lagi minibike untuk pasaran Eropah, dipanggil sebagai ST125 Dax. Model ini sebenarnya sudah wujud sejak tahun 1969, terutamanya untuk pasaran domestik Jepun, namun pada tahun 2003, pengeluarannya telah pun diberhentikan.

    Nama Dax ini sebenarnya diambil daripada satu baka anjing katik berbadan panjang, dan versi baru ini meneruskan gaya unik yang sememangnya sudah dikenali bagi model ST Dax, tetapi dengan kelengkapan serta enjin yang lebih moden.

    Dengan saiz kecil seperti Monkey dan MSX125 Grom, ST125 Dax juga menggunakan penggerak yang sama iaitu enjin satu silinder 124 cc penyejukan udara dengan sistem suntikan bahan api, yang mampu menghasilkan kuasa 9.25 hp pada 7,000 rpm dan 10 Nm tork pada 5,000 rpm.

    Walaubagaimanapun, enjin ST125 Dax ini dipadankan bersama transmisi empat kelajuan tanpa tuil klac tangan, sekaligus menjadikan operasinya lebih mudah bagi penunggang. Ia boleh dinaiki dua orang, sementara ekzos pula terletak tinggi seperti MSX125.

    Kelengkapan lain pada motosikal ini adalah termasuk tangki bahan api 3.8 iter, brek cakera depan dan belakang dengan sistem ABS, rim 12 inci, fork USD, dua penyerap hentak di belakang, panel meter LCD, semua lampu jenis LED serta berat keseluruhan 107 kg.

     
     
  • Mitsubishi Triton Ralliart baharu dilancarkan di Thailand – low rider dengan kit badan lebih agresif

    Mitsubishi Triton Ralliart baharu dilancarkan di Thailand – low rider dengan kit badan lebih agresif

    Pada November tahun lalu Mitsubishi Thailand telah pun melancarkan Pajero Sport Ralliart dan Triton Ralliart, sebagai tanda rasmi bahawa sayap prestasi rasmi jenama berkenaan telah dihidupkan semula. Dan kini satu lagi Triton Ralliart diperkenalkan di pasaran berkenaan, dan bakal didedahkan sepenuhnya di Bangkok International Motor Show esok.

    Menurut Mitsubishi, model edisi khas Ralliart ini direka “khusus untuk pelanggan yang mencari pemanduan dan penggayaan mereka yang unik.” Manakala naib presiden eksekutif Mitsubishi Yoichiro Yatabe pula menyatakan bahawa “model edisi khas Ralliart ini melambangkan sifat Mitsubishi Motor dan keghairahan Ralliart untuk prestasi jalan raya.”

    Mitsubishi Triton Ralliart baharu ini diasaskan dari badan double-cab, low rider Triton sedia ada. Trak pikap jenis rendah ini menampilkan pelekat badan sisi dan juga mud-flap berwarna merah (seperti kereta-kereta rali bersejarah Mitsubishi Ralliart sebelum ini), bersama bed liner yang diberikan logo Ralliart.

    Mitsubishi Triton Ralliart baharu dilancarkan di Thailand – low rider dengan kit badan lebih agresif

    Namun berbeza dari model yang diperkenalkan sebelumnya, versi paling baharu ini tampil dengan kit badan yang merangkumi spoiler hadapan, skrit sisi dan juga kemasan bampar belakang – kesemuanya lebih labuh – bagi “menonjolkan profil rendah untuk varian low-rider” trak pikap berkenaan, dakwa Mitsubishi.

    Walau bagaimanapun, tiada set rim istimewa diberikan pada Triton Ralliart ini di mana ia masih diberikan rim yang sama seperti model standard tetapi diberikan kemasan berwarna hitam. Ini mungkin strategi jualan yang dibuat oleh Mitsubishi kerana pemilik trak pikap di negara berkenaan lebih cenderung untuk menukar rim aftermarket yang banyak dijual di sana.

    Tiada imej untuk bahagian kabin Triton Ralliart ini didedahkan, namun Mitsubishi menyatakan bahawa model edisi khas ini diberikan karpet kaki yang menampilkan logo Ralliart bersama serlahan jahitan merah.

    Mitsubishi Triton Ralliart baharu dilancarkan di Thailand – low rider dengan kit badan lebih agresif

    Dua warna badan ditawarkan untuk Triton Ralliart ini iaitu Solid White dengan bumbung hitam dan juga Jet Black Mica. Kedua-dua warna badan ini turut disertakan dengan gril, penutup cermin sisi, pembuka pintu dan juga pembuka pintu tailgate belakang dalam kemasan hitam.

    Untuk sistem mekanikal, nampaknya semua masih sama dengan Triton standard. Tiada sebarang tingkat taraf berkenaan prestasi enjin mahupun casis dan suspensi diumumkan untuk Mitsubishi Triton Ralliart ini.

     
     
  • BMW iX1 bakal diperkenalkan hujung tahun ini – versi EV bagi X1 generasi akan datang; jarak hingga 438 km

    BMW iX1 bakal diperkenalkan hujung tahun ini – versi EV bagi X1 generasi akan datang; jarak hingga 438 km

    BMW bakal memperkenalkan model baharu bagi barisan kenderaan elektriknya iaitu iX1 pada tahun ini dan telah pun menunjukkan sedikit bayangan mengenai model terbabit dalam persidangan tahunan kumpulan baru-baru ini. Menurut pengeluar kereta Jerman tersebut, iX1 ini dijangka akan tiba pada hujung tahun ini, tidak lama selepas X1 generasi akan datang (dengan kod nama U11) diperkenalkan.

    X1 serba baharu ini dilaporkan akan dibangunkan dengan platform FAAR (Frontantriebsarchitektur) yang direka untuk enjin pembakaran dalaman tulen, plug-in hybrid dan penjana kuasa elektrik. Model iX1 yang merupakan versi elektrik sepenuhnya bagi X1 akan datang – sama seperti iX3 yang asasnya adalah X3 – dan ia adalah bagi menggantikan model i3 yang tidak lagi diproduksi.

    Buat setakat ini, BMW masih belum memberikan perincian penuh mengenainya, namun berkata iX1 akan menawarkan jarak pacuan penuh antara 413-438 km mengikut standard WLTP. Menerusi imej teaser yang dikeluarkan menyaksikan iX1 akan mengadaptasi beberapa rekaan yang sama seperti iX3, termasuk gril tertutup dan serlahan biru yang kini menjadi sentuhan tipikal buat barisan EV BMW.

    Manakala bampar hadapan pula menerima apron bawah yang lebih menyerlah dengan corong pengambilan udara dalam warna biru, sementara lampu utama pula dipadankan dengan lampu nyalaan siang bersudut. Malahan bahagian hadapannya juga mirip seperti X1.

    BMW iX1 bakal diperkenalkan hujung tahun ini – versi EV bagi X1 generasi akan datang; jarak hingga 438 km

    Menjelang tahun 2023, BMW Group menyasarkan untuk menawarkan sekurang-kurangnya satu EV dalam 90% daripada segmen yang terlibat, dan syarikat terbabit juga mendedahkan rancangan e-mobilitinya. Di mana fasa pertama di bawah perancangan utama ini bakal menyaksikan pelancaran i3, i8 dan juga MINI Electric, sementara fasa kedua melibatkan iX, iX3 dan i4.

    Model iX1 juga akan menyertai fasa kedua, bersama dengan i7 (versi EV bagi 7 Series akan datang), i5 (versi EV bagi 5 Series akan datang) dan MINI Countryman EV – satu lagi model tanpa nama yang turut ditunjukkan.

    Pada tahun 2025 pula, syarikat ini akan memulakan fasa ketiga, dengan Neue Klasse (diterjemahkan sebagai kelas baharu dalam bahasa Jerman) bagi kenderaan yang dibangunkan dengan senibina baharu jenama ini melibatkan generasi ke-enam bagi penjana kuasa elektrik.

     
     
  • Mitsubishi Ralliart kembali berlumba – sertai Asia Cross Country Rally 2022 dengan trak pikap Triton

    Mitsubishi Ralliart kembali berlumba – sertai Asia Cross Country Rally 2022 dengan trak pikap Triton

    Selepas Mitsubishi mengumumkan Ralliart dihidupkan semula pada Mei tahun lalu, ini merupakan pengumuman rasmi pertama sayap prestasinya itu akan kembali berlumba – Mitsubishi Ralliart mengesahkan penyertaan mereka untuk perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun ini!

    Jenama tiga berlian tersebut memilih trak pikap Triton untuk berlumba dalam rali berkenaan. Pasukan tersebut akan diuruskan oleh pasukan persendirian iaitu Tant Sports dari Thailand, tetapi lagenda Mitsubishi sendiri – juara Rali Dakar dua kali (2002 dan 2003) dengan Pajero – Hiroshi Masuoka telah dilantik sebagai pengarah pasukan.

    AXCR merupakan rali rentas negara ala-Rali Dakar yang dilangsungkan merentas negara-negara Asia Tenggara dan diselia oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA). Namun untuk musim ini, rali yang menyajikan aksi off-road dengan cuaca panas dan lembab merentasi hutan dan kawasan pergunungan tersebut sebahagian besarnya akan berlangsung di Thailand.

    Mitsubishi Ralliart kembali berlumba – sertai Asia Cross Country Rally 2022 dengan trak pikap Triton

    Rali ini dilangsungkan secara tahunan bermula pada 1996, dan turut pernah menampilkan laluan merentas negara seperti Singapura, Malaysia, Kemboja, Vietnam, Myanmar sehingga ke China. Namun ia dihentikan sementara pada tahun 2020 kerana pandemik Covid-19, dan bakal diadakan semula pada tahun ini.

    Untuk AXCR 2022, ia akan berlangsung bermula 6 hingga 12 Ogos nanti, dan informasi lanjut termasuk laluan yang bakal digunakan untuk perlumbaan hanya akan diumumkan pada awal April 2022.

    “Selama bertahun-tahun, Mitsubishi Motors telah bertanding di Kejohanan Rali Dunia dan Rali Dakar, menang kejohanan untuk kedua-duanya dan menambahbaik prestasi pemanduan kereta-kereta Mitsubishi yang boleh dinikmati dengan ketenangan minda dalam apa jua keadaan cuaca dan jalan,” kata Hiroshi Masuoka.

    “Penyertaan Mitsubishi dalam AXCR dalam bentuk sokongan teknikal akan memperkuatkan keunikan produk kami, terutamanya untuk model strategik ASEAN termasuk trak pikap 1-tan dan SUV. Pasukan Mitsubishi Ralliart akan membuat persediaan bagi memenuhi jangkaan peminat kami, jadi teruskan bersama kami,” tambah Masuoka lagi.

    Mitsubishi Ralliart kembali berlumba – sertai Asia Cross Country Rally 2022 dengan trak pikap Triton

    Tiada sebarang perincian berkenaan jentera rali Mitsubishi Triton AXCR ini didedahkan buat masa sekarang. Namun secara lazimnya, trak-trak pikap yang bertanding dalam rali ini adalah diasaskan dari model produksi sebenar, menggunakan enjin produksi, dan diberikan pelbagai ubahsuai untuk merendah laluan off-road dalam kelajuan tinggi – berbeza dengan Rali Dakar yang kini menampilkan jentera-jentera prototaip bagi kategori utama.

    Apa yang boleh dilihat, jentera lumba Triton AXCR ini tampil dengan tayar off-road yang lebih agresif, sistem suspensi yang memberikan jarak kelegaan tanah lebih tinggi, set roll cage lengkap dengan tempat duduk perlumbaan, serta dua set roda gantian yang diletakkan pada bed belakang.

    Sebelum mengumumkan penyertaan semulanya dalam dunia perlumbaan ini, Mitsubishi Ralliart telah pun melancarkan model-model produksi edisi terhadnya untuk pasaran Thailand seperti Triton dan Pajero Sport Ralliart. Jenama berkenaan juga telah pun menghasilkan kembali aksesori-aksesori untuk model-model pasaran domestik Jepun, serta telah pun menayangkan pelbagai model-model konsep pada Tokyo Auto Salon 2022 awal tahun ini.

     
     
  • TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, hujung minggu ini – bermula 19 hingga 20 Mac – Litar Antarabangsa Sepang dipenuhi dengan Toyota Vios yang berentap dalam siri ‘one make’ Vios Challenge untuk Toyota Gazoo Racing Festival Malaysia, yang kini berlangsung dalam musim kelima, pusingan pertama.

    Seperti musim-musim sebelumnya, Vios Challenge masih menampilkan empat kategori berbeza iaitu Promotional (untuk selebriti), Rookie (untuk bakat-bakat muda yang lahir dari perlumbaan simulator dan kart), Sporting (amatur) dan juga Super Sporting (profesional). Apa yang istimewa pada musim ini, pelumba-pelumba dari kategori Rookie dari musim lalu kini sudah pun menunjukkan bakat mereka untuk berentap dengan pemandu-pemandu lebih berpengalaman dalam kategori Sporting dan Super Sporting.

    RACE 1, SABTU 19 MAC

  • Kategori Super Sporting
  • TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Juara musim lalu, Tengku Djan Ley terpaksa menarik diri dari perlumbaan pertama ini kerana masalah kesihatan, dan tempatnya digantikan oleh adiknya sendiri iaitu Tengku Ezan untuk memandu jentera pasukan Prima Pearl Auto bernombor 12 berkenaan.

    Dengan ketiadaan juara bertahan ini, bintang muda yang baru berumur 17 tahun, Hayden Haikal (juga bekas juara kategori Sporting) dari pasukan Axle Sports mencatatkan masa terpantas dalam sesi kelayakan pada pagi Sabtu. Turut membuat kejutan adalah pelumba yang membuat penampilan dalam kategori Rookie musim lalu iaitu Amer Harris yang kini berlumba dalam kategori Super Sporting dengan memandu jentera bernombor 70 pasukan M7 Japan Project, mencatatkan masa kedua terpantas untuk bermula di belakang Hayden untuk perlumbaan pertama.

    Manakala seorang lagi pelumba pasukam Prima Pearl Auto, iaitu pelumba touring car antarabangsa yang baru berumur 22 tahun, Mitcheal Cheah berada di grid yang ketiga. Pelumba ‘otai’, Boy Wong yang juga berlumba untuk pasukan Axle Sports turut berada di grid baris kedua bersama Mitchell, bermula di petak keempat.

    TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Walau bagaimanapun sebaik sahaja perlumbaan bermula, Boy Wong berjaya meluru kehadapan untuk mengekori Hayden di tempat kedua. Dan kemudian pada lap kedua Hayden bukan sahaja dipintas oleh Boy Wong, malah turut tidak boleh bertahan dengan asakan dari Mitchell Cheah yang merampas kedudukan kedua.

    Namun pada selekoh terakhir pada lap keenam, Cheah yang cuba memotong dari dalam terlanggar bahagian belakang Vios Boy Wong dan menyebabkan kedua-duanya terbabas keluar. Impak dari insiden berkenaan menyebabkan kedua-dua jentera tersebut rosak dan tidak mampu untuk meneruskan perlumbaan.

    Ini membolehkan Hayden kembali memimpin perlumbaan, namun dia sentiasa diserang oleh pelumba pasukan Telagamas Toyota iaitu Freddie Ang. Walau bagaimanapun, Hayden berjaya mengekalkan kedudukannya sehingga ke garisan penamat dengan Ang berada hanya 0.264 saat di belakang. Eddie Liew dari pasukan Laser Motor Racing pula merangkul tempat ketiga dengan ketinggalan sekitar 3 saat berbanding kelompak pertama tersebut.

  • Kategori Sporting
  • TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Tom Goh dari pasukan S&D Tama memulakan perlumbaan ini pada petak pertama, diikuti oleh Mirza Syahmi dari pasukan Carroof Motorsport di petak kedua dan Abdul Miqail dari pasukan 23 Motors. Namun sebaik perlumbaan bermula, juara kategori Rookie musim lalu iaitu Naquib Azlan yang bermula dari petak kelima berjaya mendaki ke kedudukan ketiga selepas lengkap lap pertama.

    Naquib sekali lagi melakukan kejutan dengan memintas Mirza Syahmi di lap kedua, dan kemudian mula melakukan serangan terhadap Tom Goh yang berada di hadapan. Bintang muda yang bermula hanya sebagai pelumba simulator dan kini baru berumur 21 tahun berkenaan kemudian melakukan gerakan cantik pada selekoh pertama, lap ketiga; nampak seperti Naquib mahu memotong dari sebelah luar, Tom Goh turut mula melakukan gerakan defensif untuk menutup laluan berkenaan, tetapi Naquib tiba-tiba melakukakan serangan dari sebelah dalam!

    Naquib kemudiannya melakukan pintasan bersih dipertengahan selekoh pertama, dan mengesahkan kedudukan sebagai pendahulu perlumbaan selepas keluar dari selekoh kedua. Kedudukan tersebut kekal sehingga ke garis penamat dengan Tom Goh tidak berdaya menyerang semula Naquib, tertinggal hampir 16 saat di belakang ketika melepasi garisan penamat.

    Bagi Mirza Syahmi pula, dia terpaksa bertarung sengit dengan Bradley Benedict Anthony yang baru berumur 19-tahun dari pasukan Crestmax Motorsport untuk terus kekal di kedudukan ketiga. Bradley akhirnya berjaya memintas Mirza Syahmi pada lap kelapan.

    Bradley berjaya kekal dikedudukan tersebut hingga tamat perlumbaan untuk dan berjaya menaiki podium pertamanya untuk musim ini, sementara Mirza Syahmi pula terus diasak oleh Abdul Miqail (pasukan 23 Motors) dan Kenneth Koh (pasukan Panglima City Racing) dan akhirnya terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tangga keenam.

  • Kategori Rookie
  • Seperti musim lalu, enam orang pelumba muda dari kategori Rookie ini dilepaskan sekali bersama kategori Super Sporting, tetapi berada di belakang dengan dipisahkan dua baris grid dari baris terakhir kategori Super Sporting. Untuk kategori ini, Muizz Musyaffa memulakan perlumbaan di petak pertama, diikuti adik kepada Naquib Azlan, iaitu Nabil Azlan di tempat kedua.

    Namun agak malang bagi Muizz, dia tidak berjaya mengekalkan kedudukannya, di mana perlumbaan pusingan pertama ini dimenangi oleh Naquib – apa yang menarik Naquib menghabiskan perlumbaan ini di hadapan beberapa pelumba dari kelas Super Sporting!

    Sharique Zulqarinain pula berjaya menghabiskan perlumbaan di tempat kedua, tetapi ketinggalan lebih 14 saat berbanding Naquib. Muhammad Hamdany Abdul Hamid melengkapkan podium untuk tempat ketiga bagi kategori Rookie ini.

  • Kategori Promotional
  • Pelakon dan pelawak Zizan Razak nampaknya mendominasi sepenuhnya kategori ini. Dia berjaya mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan pada sebelah pagi untuk bermula di petak pertama pada Race 1. Selepas perlumbaan dimulakan, Zizan secara beransur-ansur menjarakkan dirinya dari kelompok kedua, dan akhirnya menang dengan selesa.

    Aksi yang agak menarik pada kategori ini ditunjukkan oleh juara musim lalu, pelakon Shukri Yahaya. Shukri memulakan perlumbaan di grid yang terakhir, namun dengan pemanduan yang cukup konsisten dia berjaya melepasi garis penamat di tempat kedua, 11.215 saat di belakang Zizan.

    Ahirinie Ahirudin juga mempamerkan pemanduan yang agak konsisten kali ini – dia bermula dari petak ketiga, dan kekal di kedudukan yang sama sehingga tamat perlumbaan untuk naik ke podium pertamanya bagi musim ini.

    RACE 2, AHAD 20 MAC

  • Kategori Super Sporting
  • TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Berdasarkan keputusan perlumbaan Race 1 pada Sabtu, susunan automatik semula yang dibuat membolehkan William Ho dari pasukan Toyotsu Racing bermula di petak pertama, diikuti oleh Aaron Lim dari pasukan Laser Motor Racing di petak kedua. Baris kedua pula adalah untuk Ady Rahimy dari pasukan 23 Motors dan Eddie Liew juga dari Laser Motor Racing masing-masing di petak ketiga dan keempat. Manakala juara dan naib juara Race 1 iaitu Freddie Ang dan Hayden Haikal pula berada di baris ketiga masing-masing di petak kelima dan keenam.

    Sebaik sahaja perlumbaan bermula, William Ho terpaksa membuat gerakan defensif bagi mengelakkan Ady Rahimi memintasnya dari luar pada selekoh pertama. Walau bagaimanapun, pergerakan tersebut membolehkan Eddie Liew mengambil kesempatan untuk memotong kedua-dua kereta tersebut dari sebelah dalam pada selekoh tersebut sekaligus menjadi pendahulu perlumbaan yang baharu.

    Persaingan dikelompok kedua berkenaan membolehkan Eddie menjarakkan kedudukan lebih selesa di hadapan. Dalam keadaan kucar-kacir tersebut juga membolehkan Hayden Haikal menyelinap ke kedudukan kedua. William Ho yang pada mulanya hanya tertinggal di tempat ketiga kemudiannya sekali lagi dipotong oleh Freddie Ang pada lap pertama ini dan jatuh satu lagi anak tangga.

    TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Walau bagaimanapun, bekas pelumba British Touring Car Championship (BTCC) Fariqe Hairuman yang menampilkan prestasi serba tidak kena pada Race 1, mula mengaktifkan ‘battle mode’ – pada lap kedua secara tiba-tiba Fariqe berjaya memotong Freddie dan Hayden untuk berada di kedudukan kedua.

    Namun Hayden masih belum mengalah dan melancarkan semula serangan bertubi-tubi terhadap Fariqe, dan dia turut disertai oleh Ady Rahimi menyebabkan kedudukan antara tiga pelumba ini sering bertukar pada lap kedua dan ketiga. Namun dog fight antara ketiga-tiga pelumba tersebut telah menyebabkan kemalangan besar pada lap keempat, membolehkan Mitchell Cheah yang bermula dari petak paling belakang, kini berjaya menduduki tangga ketiga, diikuti Freddie Ang di belakangnya.

    Walaupun ketinggalan agak jauh iaitu sekitar 10 saat di belakang Eddie Liew pada satu ketika, Mitchell masih sedaya upaya untuk menjarakkan dirinya – sehingga lap ke-17, jarak antara Mitchell dan Eddie hanyalah sekitar 3 saat. Walau bagaimanapun, Mitchell merasakan tayarnya mula haus akibat pemanduan yang agresif dan mula memperlahankan rentaknya selepas itu bagi memastikan ia menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Walaupun menerima cabaran dari Brendan Paul, Freddie Ang masih mampu mempertahankan podium tempat ketiga sehingga tamat perlumbaan.

  • Kategori Sporting
  • TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Dengan kemenangan pada Race 1, Naquib Azlan perlu bermula pada petak keenam pada Race 2. Perlumbaan ini dimulakan dengan Mirza Syahmi pada petak pertama, diikuti Kenneth Koh, Abdul Miqail, Bradley Banedict Anthony dan Tom Goh. Sebaik sahaja perlumbaan bermula, Abdul Miqail cuba untuk menyerang Mirza Syahmi pada selekoh pertama, dan pertarungan antara kedua-dua pelumba tersebut membolehkan Kenneth Koh mengambil kesempatan untuk berada di kedudukan pertama.

    Namun pada lap kedua, dua pelumba muda yang mendominasi Race 1 iaitu Naquib dan Bradley mula melancarkan serangan mereka pada kelompok kedua untuk berada di hadapan Abdul Miqail. Pada lap ketiga, Naquib berjaya memintas Syahmi untuk berada di tempat ketiga, dan kemudian pada lap keempat Syahmi jatuh ke kedudukan keempat setelah dipintas pula oleh Bradley.

    Dalam masa yang sama, Naquib mula cuba melancarkan beberapa serangan ke atas Kenneth Koh yang berada di hadapan. Dan akhirnya pada selekoh kedua pada lap ke-tujuh, Naquib berjaya memintas Kenneth dari dalam. Malang lagi untuk Kenneth Koh, tidak sempat dia melakukan apa-apa serangan balas, Bradley yang berada di belakang pula berjaya memintasnya dan berjaya naik ke posisi kedua.

    TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Naquib terus berada di hadapan dan menjarakkan dirinya berbanding kelompok kedua, manakala Kenneth pula sedaya upaya untuk terus berada di belakang Bradley. Walau bagaimanapun pada lap ke-15, Abdul Miqail mula mengacau kedudukan Kenneth dan cuba untuk memotongnya.

    Pertarungan antara Kenneth dan Abdul Miqail mencapai klimaks pada lap terakhir, dengan dua kali percubaan untuk memintas oleh Miqail menyebabkan kedua-dua mereka berlanggar. Namun Kenneth masih boleh bertahan untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Naquib juga berjaya kekal di hadapan sehingga garis penamat, diikuti Bradley yang tertinggal 7.412 saat di belakang.

    Walau bagaimanapun, Naquib menerima penalti 30 saat menyebabkan dia jatuh ke kedudukan ketujuh. Ini kerana pengarah perlumbaan mendapati bahawa dia memotong Kenneth dengan keempat-empat tayar berada di luar litar. Jadi untuk keputusan akhir Race 2 ini, Bradley disahkan sebagai juara, diikuti oleh Kenneth dan juga Abdul Miqail.

  • Kategori Rookie
  • TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Dengan hanya lima pelumba dalam kategori ini, sudah tentu Muizz Musyaffa yang berada di kedudukan terakhir pada Race 1 akan bermula di petak pertama pada Race 2 ini. Di petak kedua pula adalah satu-satunya pelumba wanita dalam kategori ini iaitu Adele Lew, diikuti Hamdany Hamid, Sharique Zulqarnain dan juga juara Race 1 iaitu Nabil Azlan.

    Namun selepas 20 lap perlumbaan berlangsung, Sharique berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama, manakala Muizz pula jatuh ke tempat kedua. Hamdany berjaya naik ke podium terakhir untuk kategori Rookie dalam Race 2 ini, manakala Nabil hanya berpuas hati di tempat keempat. Adele pula tidak berjaya untuk menamatkan perlumbaan.

  • Kategori Promotional
  • TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Keputusan pada Race 1 membolehkan Janna Nick bermula di grid pertama untuk perlumbaan ini dan diikuti oleh Wany Hasrita dan Nabil Ahmad. Manakala pemenang Race 1 iaitu Shukri Yahaya dan naib juara Zizan Razak berada di baris ketiga masing-masing di petak kelima dan keenam.

    Namun sebaik sahaja perlumbaan bermula, Zizan terus meluru ke hadapan, tetapi malangnya dia dilanggar dari belakang di selekoh pertama menyebabkan keretanya berpusing. Ini membolehkan Janna Nick terus berada di tempat pertama, manakala Zizan berada di kedudukan paling belakang setelah berjaya menghidupkan kembali enjin keretanya.

    Ini membolehkan Janna Nick kembali berada di hadapan, tetapi masih dicabar rapat oleh Nabil Ahmad dan Shukri Yahaya. Nabil berjaya memotong Janna Nick pada selekoh terakhir lap pertama berkenaan, kemudian Janna cuba memotong kembali Nabil pada selekoh kedua lap kedua.

    Walau bagaimanapun, Janna tak berjaya untuk memintas Nabil, sebaliknya kereta Janna berlanggar dengan Vios yang dipandu oleh pelawak tersebut, menyebabkan Janna pula yang terbabas. Ini membolehkan Nabil terus mendahului perlumbaan dengan Shukri terus mengejarnya di tempat kedua.

    TGR Racing Festival Vios Challenge pusingan 1, musim kelima – bakat muda mula tunjuk taring!

    Pertarungan antara Shukri dengan Nabil terus berlangsung sehinggalah Shukri berjaya untuk memintas Nabil ketika masuk ke selekoh pertama lap ke-4. Namun kedudukan tersebut tidak bertahan lama kerana Nabil berjaya merampas semula kedudukan berkenaan.

    Walau bagaimanapun pada lap kelima, Shukri membuat gerakan yang sama di tempat yang sama untuk memintas Nabil, dan kali ini dia berjaya dan terus menjarakkan diri dari Nabil. Apa yang menarik, dalam masa yang sama Zizan yang ketinggalan di belakang kerana kemalangan pada peringkat awal perlumbaan tadi memandu secara agresif dan konsisten, memotong satu persatu pelumba selebriti lain di hadapannya.

    Sehinggalah pada lap ke-12, Zizan berjaya memotong Nabila Razali yang ketika itu berada di tangga kedua, dan selepas itu dia mula memburu Nabil yang berada di tempat kedua. Dan pada lap ke-15, Zizan berjaya memotong Nabil. Kedudukan ini kekal sehingga ke garis penamat, dengan Shukri Yahaya mengungguli perlumbaan dengan kelebihan 12.626 saat di hadapan Zizan, sementara Nabil tertinggal 1.735 saat berbanding Zizan.

     
     
  • PACE 2022: Volkswagen pamer model terkini – Tiguan Allspace facelift, Golf Mk8, Arteon dan Passat

    PACE 2022: Volkswagen pamer model terkini – Tiguan Allspace facelift, Golf Mk8, Arteon dan Passat

    Acara PACE 2022 anjuran paultan.org masih lagi berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC) dan anda masih ada masa untuk mengunjunginya. Salah satu jenama besar yang turut serta adalah Volkswagen, dengan membawa pelbagai model terkini mereka.

    Paling baru sudah tentu adalah Tiguan Allspace facelift, yang dilancarkan semalam di tapak acara. SUV tujuh tempat duduk yang mendapat naik taraf ini menerima muka hadapan hampir seperti Golf Mk8, butang kawalan jenis sesentuh di bahagian dalam serta senarai kelengkapan yang dipertingkat.

    Dijual pada harga bermula RM175,346, varian asas Elegance dipacu oleh enjin 1.4 liter TSI (turbo) berkuasa 150 PS/250 Nm, dan dipadankan bersama transmisi klac berkembar DSG enam kelajuan serta sistem pacuan roda hadapan, membolehkan ia mencatat penggunaan bahan api sekiar 7.3 l/100 km.

    Varian R-Line 4Motion berharga RM220,527 pula bukan sekadar menerima penampilan yang lebih agresif, tetapi juga peningkatan prestasi hasil daripada enjin 2.0 liter berkuasa 220 PS dan 350 Nm tork – dihantar kepada semua roda melalui transmisi DSG tujuh kelajuan dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat.

    Turut dibawa adalah Golf Mk8 CKD, yang ditawarkan dalam versi GTI serta akan datang, R-Line. Kedua-duanya menerima penampilan serba sporty, tempat duduk selesa serta bahagian dalam penuh teknologi dengan banyak butang jenis sesentuh. Enjin 1.4 liter yang digunakan pada varian R-Line adalah sama seperti Allspace, tetapi ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan Aisin.

    Varian GTI yang dijual pada harga RM212,711 pula mendapat enjin 2.0 liter yang lebih berkuasa, mampu menghasilkan 245 PS dan 370 Nm tork untuk disampaikan kepada dua roda hadapan melalui kotak gear DSG tujuh kelajuan. Varian ini boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat dan mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.

    Walaupun dengan catatan itu, Arteon R-Line 4Motion adalah lebih berkuasa, mampu menghasilkan 280 PS dan 370 Nm kepada semua roda – pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 5.6 saat. Facelift yang diberikan kepada model ini menjadikan rupanya lebih menarik, dengan jalur lampu penuh, lampu belakang baru serta butang kawalan jenis sesentuh di dalam. Harga jualannya adalah RM258,019.

    Model lain yang ada di kawasan pameran Volkswagen adalah Passat baru, yang kini mendapat logo Volkswagen baru serta butang kawalan jenis sesentuh seperti model-model terkini yang lain. Kedua-dua varian Elegance yang dijual pada harga RM183,680 dan R-Line berharga RM212,939 dipacu oleh enjin 2.0 liter TSI dengan kuasa masing-masing 190 PS/320 Nm dan 220 PS/350 Nm – bersama padanan transmisi DSG tujuh kelajuan dan sistem pacuan dua roda hadapan.

     
     
  • PACE 2022: Mercedes-Benz EQA250 EV dipamerkan – juga menampilkan model Vito Tourer, A-Class Sedan

    PACE 2022: Mercedes-Benz EQA250 EV dipamerkan – juga menampilkan model Vito Tourer, A-Class Sedan

    Kurang dua jam lagi Premium Auto Car Expo (PACE) 2022 anjuran paultan.org yang sedang berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC) bakal melabuhkan tirainya. Namun, jika anda yang berada di sekitar Lembah Klang, masih sempat lagi untuk mengunjungi PACE 2022 sebelum jam 7 malam ini untuk mendapatkan tawaran menarik bagi kereta premium baharu dan pra-milik dari pelbagai jenama di sini.

    Mercedes-Benz antara jenama premium yang menjadi tumpuan ramai di PACE 2022, dibawakan oleh wakil pengedarnya Hap Seng Star, ia mempamerkan banyak model baharu yang menarik. Antaranya model A 200 Sedan, GLA 200 dan GLB 250 hingga ke GLC 200 dan GLC 300 facelift serta E 200 Avantgarde dan E 300 AMG Line.

    Selain itu, turut dipamerkan ialah Vito Tourer dan juga terbaharu, EQA 250. SUV semua-elektrik ini ibaratkan ‘ratu’ dalam pameran Mercedes-Benz ini dan mnjadi tumpuan ramai.

    Inilah peluang paling tepat untuk melihat sendiri model EQA yang diimport sepenuhnya dan boleh membandingkan dengannya dengan barisan GLA, yang turut dipamerkan di situ yang diwakili GLA 200. Ditawarkan pada harga RM278,201, iaitu lebih RM7k berbanding model pemasangan tempatan GLA 250 AMG Line, EQA ini turut menerima pengecualian cukai untuk EV dari kerajaan kita.

    Jika anda sudah jatuh cinta dengan mana-mana model Mercedes-Benz yang dipamerkan dan ingin membelinya, pelbagai tawaran menarik turut diberikan. Antaranya, dengan pembelian E 200 atau A 200, anda turut ditawarkan dengan kontrak pembiayaan daripada Mercedes-Benz Financial. Dan di PACE 2022 juga, anda bakal menerima kad Touch ‘n Go dengan nilai RM500. Sementara itu, jika membeli Vito Tourer pula, anda bakal menerima kad TNG percuma dengan nilai RM1,000.

    Bukan itu sahaja, setiap kenderaan yang ditempah di PACE akan didatangkan dengan baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.

    PACE 2022: Mercedes-Benz EQA250 EV dipamerkan – juga menampilkan model Vito Tourer, A-Class Sedan

    Tawaran menarik ini tidak sekadar berakhir di situ kerana selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.

    Jenama lain yang akan menyertai PACE 2022 adalah seperti BMW, MINI (melalui Auto Bavaria), Volkswagen, Volvo, Jaguar, Land Rover Ford Hyundai. Bukan setakat kereta, BMW Motorrad dan Harley-Davidson juga akan berada di acara ini. Sempatlah kalau nak ke PACE 2022 yang bakal melabuhkan tirainya jam 7 malam ini. Masuk adalah percuma!

     
     
  • PACE 2022: Pelbagai model BMW dan MINI dipamer dengan tawaran menarik — dibawa oleh Auto Bavaria

    PACE 2022: Pelbagai model BMW dan MINI dipamer dengan tawaran menarik — dibawa oleh Auto Bavaria

    Di PACE 2022 yang bakal berakhir hari ini, BMW yang di wakili oleh Auto Bavaria turut mempamerkan banyak model terkini, termasuk 218i yang dikemaskini, serta 5 Series facelift yang turut menyertai 3 Series, X3, X5 xDrive45e dengan peralatan M Performance dan juga model elektrik iX3.

    Jika anda memang merancang untuk membeli kenderaan BMW, anda akan menikmati rebat serta hadiah istimewa ketika membuat tempahan serta jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan percuma yang disertakan dengan pakej servis berjadual juga. Pemilik BMW sedia ada juga boleh membawa kenderaan mereka untuk menjalani pemeriksaan 13-poin.

    Selain BMW, Auto Bavarian turut membawakan beberapa model MINI seperti The Coopers Edition, varian istimewa bagi Cooper S 5 Door yang memperingati penglibatan keluarga Cooper dengan jenama berkenaan selama enam dekad lamanya.

    PACE 2022: Pelbagai model BMW dan MINI dipamer dengan tawaran menarik — dibawa oleh Auto Bavaria

    Model MINI juga datang dengan tawaran rebat menarik dan skim pembiayaan mudah dengan kadar faedah rendah. Tidak lupa, pembeli juga akan menikmati nilai trade-in yang tinggi untuk kereta terpakai mereka. Pembeli juga akan menerima jaminan 4+1 tahun dengan servis berjadual untuk kelegaan fikiran.

    Dengan pengecualian cukai SST yang masih berlangsung — 50% untuk CBU dan 100% bagi model CKD — hingga 30 Jun nanti, sekaranglah masa terbaik untuk membeli jika anda memang ada perancangan untuk berbuat demikian. Membeli di PACE pula akan memberikan anda beberapa lagi kelebihan dan penjimatan istimewa untuk dinikmati.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.40
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 16, 2024